Sunday, July 30, 2017

27 Jenis Hantu Dalam Masyarakat Di Malaysia

Dalam masyarakat Melayu dan orang asli istilah hantu, semangat, jembalang atau penunggu telah ada sejak zaman animisme lagi.

Hantu
Gambar hiasan.

Ketika itu, semua benda besar seperti pokok atau batu yang besar dianggap didiami "penunggu" atau tunggu yang perlu dihormati dengan baik. Ini dilakukan agar penunggu tersebut tidak mengamuk dan membahayakan penduduk sekitar.

Malah, jamuan makanan atau acak disediakan oleh seseorang yang berpengalaman yang dikenali sebagai Dukun, Pawang, Tok Bathin bagi memastikan penunggu tersebut pula membantu penduduk daripada serangan wabak penyakit dan musuh tanaman.

Amalan ini masih kekal di kalangan penduduk asli yang masih mengamalkan kepercayaan animisme.

Ada pelbagai jenis-jenis hantu atau makhluk yang dianggap hantu ini. Munsyi Abdullah dalam Hikayat Abdullah telah lama mempertikaikan kepercayaan karut orang Melayu ini.

Berikut adalah 27 jenis-jenis hantu paling popular, paling terkenal dan paling menyeramkan di Malaysia.

Antara jenis-jenis hantu ini ialah:

1. Pontianak, Puntianak, Kuntilanak

Puntianak atau lebih popular dieja sebagai pontianak, dipercayai oleh masyarakat Melayu bahawa ia berasal daripada perempuan yang mati ketika mengandungkan anaknya.

Terdapat juga pendapat menyatakan bahawa ia merupakan jin (hantu) liar yang bertindak mengganggu manusia.

2. Polong

Hantu Polong merujuk kepada semangat atau makhluk halus belaan yang dipelihara oleh seseorang, biasanya lelaki, bertujuan untuk tujuan memudaratkan musuh.

Hantu polong dipercayai diberi makan darah dari jari tuannya.

Menurut kepercayaan orang Melayu, polong dihasilkan dengan meletak darah orang yang mati dibunuh kedalam botol bermulut panjang.

Botol tersebut kemudiannya akan dipuja dan jampi serapah akan dibacakan dalam tempoh masa tertentu. Selepas tujuh hingga dua minggu akan kedengaran bunyi mengerit daripada dalam botol.

Pemuja polong perlu menghiris sedikit jarinya dan memasukkan jarinya yang berdarah itu ke dalam botol untuk memberi polong makan.

Dengan memberi makan, polong ini akan terikat kepada tuannya dan akan melakukan apa sahaja suruhan tuannya.

Polong biasanya akan disimpan di dalam botol dan hanya dikeluarkan apabila hendak memusnahkan musuh. Mangsa polong biasanya boleh dikenali dengan kesan lebam pada mayat dan darah keluar melalui mulut.

3. Toyol

Toyol merujuk kepada sejenis makhluk halus dalam kepercayaan Melayu, kemungkinannya dari golongan jin, syaitan, yang dipelihara bagi tujuan mencuri.

Toyol ini dikatakan berbentuk kanak-kanak kecil dan turut mempunyai perangai seperti kanak-kanak kecil. Pemeliharaan makhluk halus ini dikenali sebagai saka.

Toyol biasanya dipelihara dengan tujuan membantu pemiliknya mendapatkan duit dengan mencuri daripada jiran-tetangga.

Toyol mampu menyelip dalam mana-mana bilik berkunci dan mampu mencari wang tunai yang disorokkan di mana sahaja, kononnya termasuk yang disorok dicelah kitab suci.

Pemelihara toyol biasanya akan membeli atau memuja untuk mendapatkan toyol. Toyol yang dipelihara, dipercayai secara umum sebagai mempunyai bentuk seorang budak kecil berbogel, dengan mata yang merah dan gigi yang tajam.

Kononnya, toyol akan dipelihara dalam sebuah botol kecil dan pemiliknya akan memberikannya makan darahnya sendiri setiap hari, setiap bulan mengambang. Sekiranya gagal, toyol akan menghisap darah ahli keluarga terdekat pemiliknya.

Toyol juga tidak akan mencuri keseluruhan jumlah wang, tetapi sekadar mengambil sebahagian daripada wang yang tersimpan. Mungkin kerana kata orang tua-tua yang mengatakan bahawa "budak-budak jangan pegang duit banyak banyak".

Pemilik toyol juga perlu memenuhi apa sahaja permintaan toyol peliharaannya, sekiranya gagal, toyol tersebut akan bertindak ganas.

4. Pelesit

Pelesit merujuk kepada sejenis makhluk halus, menurut kepercayan melayu ianya hantu yang dipelihara bagi tujuan sebagai pelaris dan pemanis.

Hantu ini dikatakan secara cerita lisan bahawa sangat berusaha menjadikan tuannya disukai ramai.

Ia dinamakan pelesit kerana ia melesetkan (menyesatkan) melalui tujuan melaris diri.

5. Hantu Air, Hantu Laut

Hantu air (juga termasuk Hantu laut) merupakan sejenis makhluk halus digelar mambang atau jin yang terdapat di dalam kawasan berair. Makhluk ini dianggap agak keras dan mampu membahayakan mereka yang bertembung dengannya.

Kebiasaannya ia dikatakan terapung-apung seperti batang kayu buruk, tetapi mampu melumpuhkan mereka yang tersentuh dengannya.

Selain itu, ia dikatakan mampu menjelma untuk mengusik mereka yang berada di pinggir air.

Dipercayai bahawa hantu air berasal daripada ilmu dan makhluk halus yang dibuang, dihanyutkan melalui sungai mengalir ke laut dengan menggunakan acak.

Air laut yang berkilauan dikatakan menunjukkan kehadirannya dan bagi menggelakkan gangguan bagi para nelayan dari hantu air (laut), satu upacara yang dikenali sebagai semah laut akan diadakan setiap tahun.

Upacara ini juga dikenali sebagai puja pantai, main pantai.

6. Hantu Raya

Hantu Raya biasanya dipelihara bagi tujuan membantu tuannya melakukan kerja-kerja berat, juga boleh disuruh membinasa musuh atau orang yang dibenci pemiliknya.

Dinamakan Hantu Raya bersempena saiznya yang besar seperti penggunaan dalam bahasa Melayu Balairaya, jalanraya dan sebagainya.

Hantu Raya biasanya mampu melakukan kerja-kerja berat seperti empat atau lima orang dengan mudah dan ia boleh menjelma sebagai manusia.

7. Hantu Bungkus, Pocong, Hantu Punjut

Hantu bungkus atau juga dikenali sebagai hantu punjut atau hantu pocong merujuk kepada sejenis makhluk yang berbentuk seperti mayat yang dibungkus dengan kain kafan.

Hantu bungkus sering dikatakan mengusik orang yang lemah semangat, dan akan bergerak dengan meloncat seperti hantu Cina, atau bergolek. Ia dikatakan mampu bergerak sepantas kereta, bergerak seiring dengan kereta yang dipandu oleh mangsa usikan mereka.

Hantu bungkus tidak dipelihara dan terdapat secara bebas. Kemungkinan hantu bungkus adalah jelmaan jin yang menganggu manusia.

Mereka yang berani menangkap hantu bungkus dikatakan mampu mendapat kekayaan yang banyak kerana dikatakan, dalam bungkusan tersebut terdapat wang yang banyak.

8. Langsuir

Langsuir adalah sejenis makhluk halus penghisap darah dalam kepercayaan masyarakat Melayu. Langsuir dipercayai akan merasuk mangsa dan menghisap darah mangsa secara perlahan-lahan sehingga mati.

Kononnya jika dipaku di belakang tengkoknya, langsuir akan berubah menjadi seorang wanita yang cantik.

9. Bota

Bota ialah sejenis gergasi besar yang hidup dalam tanah, menyembunyikan diri dalam gua di dalam tanah. Bota akan keluar daripada tempat persembunyian pada ketika-ketika tertentu sahaja dan amat meminati kanak-kanak yang tidak memakai seluar.

10. Bajang

Bajang merujuk kepada sejenis makhluk halus, kemungkinannya dari golongan jin, shaitan, yang dipelihara bagi tujuan memudaratkan musuh. Pemeliharaan makhluk halus ini dikenali sebagai saka.

Bajang merupakan makhluk setan yang dipuja daripada mayat bayi yang mati semasa lahir.

Bajang biasanya perlu diwarisi dan sekiranya tidak diturunkan kepada waris, tuannya akan menjadi bangkai bernyawa. Tubuhnya mati dan berbau busuk, tetapi apabila hendak dikebumikan, ia akan bangkit seperti hidup.

Selain itu, ia akan makan dengan lahapnya apabila diberi makan.

11. Bunian

Terdapat beberapa pendapat mengenai asal-usul makhluk bunian, antaranya ialah mereka adalah daripada keturunan jin.

Pendapat kedua menyatakan mereka ialah hasil perkahwinan antara manusia dengan jin.

Dan pendapat ketiga dan yang sebenarnya, Bunian adalah makhluk ciptaan Allah dan bukan dari keturunan manusia, jin maupun malaikat.

12. Hantu Jepun

Hantu Jepun merujuk kepada sebarang bayangan atau makhluk yang berpakaian seperti tentera Jepun. Selalunya ia dikaitkan dengan tempat-tempat di mana pernah dijadikan markas tentera semasa Perang Dunia II, semasa Jepun menawan Malaysia.

Tempat yang selalu selalu disebut-sebut sebagai kawasan yang dihantuinya adalah bangunan sekolah berasrama, pejabat kerajaan dan bangunan-bangunan penting yang ada semasa Perang Dunia II. Oleh itu, boleh dikatakan, hantu Jepun ini agak moden.

Selalunya ia dilihat sama ada bersenjatakan senapang atau pedang, tanpa berkepala atau kepalanya dipangku bersama-samanya.

Kadang kala, ia dikatakan berbaris lengkap bersenjata pada waktu malam (tanpa kepala), dengan bunyi derapan kasut but tentera.

13. Hantu Bukit

Hantu bukit merujuk kepada sejenis makhluk; lihat Hantu, yang dipercayai berkeliaran di kawasan berbukit-bukau. Hantu bukit sering dikatakan mengusik orang yang lemah semangat.

Hantu ini tinggal di bukit dan sekiranya seseorang daripada kaum Semai bermimpi melihatnya, dia harus menjadi Halak (Dukun).

14. Hantu Kubur

Hantu kubur merujuk kepada sejenis makhluk yang berkeliaran di kawasan perkuburan. Hantu kubur amat ditakuti di kalangan orang-orang asli kerana mampu menyebarkan penyakit.

Hal ini adalah antara sebab orang asli berpindah-randah sekiranya berlaku kematian malah ia ditakuti oleh puak asli Kubu (Indonesia) dan Jakun (Malaysia) walaupun mereka dipisahkan oleh Selat Melaka.

Hantu kubur sering dikatakan mengusik orang yang lemah semangat.

15. Pari-pari

Pari-pari merujuk kepada sejenis makhluk halus dalam kepercayaan Melayu, kemungkinannya dari golongan jin, syaitan, yang terdapat dalam hutan.

Kepercayaan terhadap pari-pari juga terdapat dalam masyarakat barat seperti di England dan Amerika Syarikat.

Pari-pari biasanya digambarkan sebagai berbentuk seperti manusia dan mempunyai masyarakat tersendiri.

Pari-pari dikatakan tidak dipelihara oleh manusia dan dikatakan hidup bebas.

Asal mereka tidak jelas dalam cerita rakyat, dengan pelbagai kelakuan dan bentuk syaitan atau spesies yang bebas sepenuhnya dari manusia atau malaikat.

Pakar cerita rakyat barat telah mencadangkan bahawa asal mereka dari ras ditakluk yang hidup secara bersembunyi, atau dalam kepercayaan yang tersingkir dengan kedatangan agama Kristian.

Penjelasan ini tidak selalunya serasi dan ia mungkin dapat dijejak dari pelbagai sumber.

Pari-pari dipercayai mempunyai kuasa ajaib dan mampu membantu menyembuhkan penyakit atau memberi kekayaan.

Secara ilmiah, pari-pari kemungkinan berasal daripada kepercayaan animisme atau Hindu, (meskipun teori ini tidak berasas) yang mempercayai bahawa kesemua benda, seperti pokok besar, batu berbentuk pelik, mempunyai penunggu, dewa yang dipercayai mempunyai kuasa bagi membantu manusia.

16. Jerangkung

Jerangkung merujuk kepada sejenis makhluk halus dalam kepercayaan Melayu, kemungkinannya dari golongan jin, shaitan, yang dipelihara bagi tujuan menganiaya orang lain.

Pemeliharaan makhluk halus seperti ini turut dikenali sebagai saka.

Jerangkung bisanya dipelihara dengan tujuan membantu pemiliknya melindung diri atau bagi memusnahkan musuh.

17. Hantu Galah

Hantu Galah merujuk kepada sejenis makhluk halus dalam kepercayaan Melayu, kemungkinannya dari golongan jin, shaitan.

Ia dikatakan berbentuk manusia tetapi bersaiz besar dan amat tinggi sehingga kepalanya dikatakan menyapu awan. Ia sering kali ditemui jauh di dalam hutan dan biasanya hanya kakinya yang kelihatan.

Mereka yang diusiknya dikatakan sering menyangka kakinya sebagai batang pokok. Kakinya dikatakan berbulu panjang dan hanya mangsa hanya terserempak pada waktu malam apabila sering bersandar atau memegang kakinya atau ketika melalui celah kangkangnya.

Manusia yang bersahabat dengannya dikatakan boleh mencabut bulu betisnya yang akan dibakar untuk menyerunya apabila memerlukan pertolongannya.

Hantu galah dipercayai hanya mengusik tetapi tidak membahayakan orang.

18. Jin Tanah

Jin Tanah dalam budaya Melayu, merujuk kepada sejenis makhluk halus dan perkara tahyul. Ia dikatakan terdiri daripada golongan jin atau syaitan, yang dikatakan menjaga sesuatu kawasan (tanah).

Jin Tanah biasanya menjaga sesuatu kawasan tanah dan akan menganggu mereka yang membuka tanah baru untuk berhuma. Untuk mengelakkan gangguan Jin Tanah, biasanya upacara pembukaan tanah baru akan di adakan.

Biasanya makanan yang disediakan dikenali sebagai acak, sajian termasuk telur, ayam panggang, pulut kuning dan sebagainya. Sekiranya tidak, Jin Tanah akan mengganggu mereka yang meneroka kawasan tanah baru tersebut.

19. Hantu Keramat

Hantu Keramat merujuk kepada semangat atau makhluk halus yang terdapat disuatu tempat tetapi tidak mengganggu orang.

Hantu Keramat dikatakan akan berada di sesuatu tempat tertentu dan mampu membantu mereka yang datang membuat permintaan dari mereka.

Hantu keramat biasanya dikaitkan dengan batu besar, pokok besar atau sesuatu kawasan seperti dipersimpangan. Keramat dipercayai akan mengkabulkan permintaan seseorang yang memberikan persembahan kepada mereka.

Contohnya, dengan mempersembahkan sebiji telur, seseorang itu mampu menang loteri untuk membeli rumah besar.

20. Hantu Kum-Kum

Asal hantu kum-kum dikatakan bermula dengan seorang wanita yang mengamalkan ilmu mencantikkan muka. Tetapi salah satu pantangnya merupakan dia tidak boleh melihat cermin selama 10 hari, sesetengah cerita menyatakan sebulan.

Semenjak hari itu semua orang memuji-muji kejelitaan wanita itu dan menyebabkan dia tidak sabar dan melihat wajahnya di cermin pada hari terakhir.

Akibatnya mukanya menjadi buruk dan setelah dia menemui kembali gurunya, dia diberitahu bahawa mukanya hanya akan kembali cantik setelah dia menyapu mukanya dengan darah vagina perawan.

Disebabkan itu wanita itu merayau-rayau mengetuk pintu rumah bagi mencari mangsa sambil menyatakan "Kum-Kum" sambil mengenakan jibab.

Matlamat hantu kum-kum dikatakan memulihkan wajah penuntutnya yang terlanggar pantang.

21. Orang Minyak

Orang minyak merujuk kepada seseorang yang menuntut ilmu batin bagi tujuan menceroboh masuk ke dalam rumah mangsa bagi tujuan mencuri/membuat onar.

Salah satu cerita mengatakan orang minyak ini telah tersalah menuntut, menyebabkan dia menjadi hitam dan hanya akan pulih selepas memperkosa 40 orang gadis.

Mangsa akan menjadi terpukau dan ditanda dengan dipangkah pada mukanya selepas dinodai.

Orang minyak bertujuan bagi memudahkan menceroboh ke dalam rumah bagi matlamat tertentu dan mampu memasuki rumah yang berkunci dengan mudah.

Sekiranya seseorang itu tidak mahu diganggu oleh Orang Minyak pada waktu malam terutamanya gadis, sekeliling tempat tidurnya harus ditaburi dengan kelopak jantung pisang dan daun keladi bira.

22. Puaka

Hantu Puaka merujuk kepada sejenis makhluk halus dalam kepercayaan Melayu, kemungkinannya dari golongan jin, syaitan, yang dikatakan sering berkeliaran bersama-sama cuaca buruk.

Hantu puaka dipercayai sering mengikuti fenomena alam dan mendatangkan kerosakan kepada harta benda.

Hantu puaka adalah sejenis makhluk halus yang ada di air yang menyeramkan.

23. Penanggalan, Hantu Tenggelong

Hantu Penanggalan, Penanggal atau juga dikenali sebagai hantu tengelong di negeri Kedah atau Balan-balan di Sabah, merujuk kepada seseorang, biasanya wanita, yang menuntut ilmu hitam bagi sesuatu kepentingan.

Mereka yang menuntut ilmu ini mampu menceraikan kepala dengan badan mereka dan kepala mereka mampu terbang dengan tali perut terurai-urai.

Rawatan paling biasa dalam kisah rakyat bagi melindungi dari serangan Penanggal adalah dengan menyelerak daun mengkuang atau limau yang memiliki daun berduri yang akan mencederakan atau memerangkap isi perut, jantung, perut, paru-paru Penanggal yang terdedah ketika ia terbang mencari mangsa.

24. Hantu Bidai

Hantu Bidai atau juga dikenali sebagai hantu balong bidai merujuk kepada sejenis makhluk halus dalam kepercayaan Melayu, kemungkinannya dari golongan jin, shaitan, yang suka menganggu manusia.

Kononnya hantu bidai merupakan semangat jahat yang tinggal dalam air juga mampu menyerupai tikar dan akan menggulung dan melemaskan mangsa.

25. Hantu Tetek, Hantu Kopek

Hantu Kopek merujuk kepada sejenis makhluk halus dalam kepercayaan Melayu, kemungkinannya dari golongan jin, shaitan, yang suka menganggu manusia.

Kononnya hantu kopek berbentuk seorang wanita yang tua yang suka menyorokkan kanak-kanak kecil yang suka bermain-main di luar rumah semasa waktu maghrib dan malam-malam, dengan cara menyembunyikan mereka di bawah kopek (buah dada) mereka.

26. Harimau Jadian

Harimau jadian atau juga dikenali sebagai harimau akuan dalam budaya Melayu dan orang asli, antaranya orang Semai, merujuk kepada sejenis ilmu yang membolehkan penuntutnya bertukar menjadi harimau apabila dikehendaki.

Ia dikatakan dibantu oleh golongan jin atau syaitan, yang dipelihara bagi tujuan membantu tuannya mempertahankan diri dan juga bagi memudaratkan musuh.

Harimau jadian biasanya perlu dibuang sebelum meninggal dan sekiranya tidak dibuang, penuntut ilmu itu akan sukar meninggal dunia.

27. Jembalang Tanah

Jembalang tanah merujuk kepada semangat atau makhluk halus yang terdapat dikawasan hutan dara. Jembalang tanah dikatakan berasal daripada urin atau tali pusat bayi yang ditanam di kawasan hutan.

Jembalang tanah dikatakan akan mengganas sekiranya kawasan mereka diterokai, oleh itu setiap kali sebidang tanah baru dibuka, persembahan makanan yang dikenali sebagai acak akan diletakkan dikawasan tersebut bagi mengelakkan jembalang tanah mengamuk dan mendatangkan kemudaratan kepada peneroka tersebut.

Mengapa hantu

Hantu wujud dalam minda Melayu sebagai satu penjelasan mengenai perkara-perkara yang tidak difahami atau diketahui.

Contohnya:
  • Mengapa seseorang itu sakit mengejut padahal sebelum ini kelihatan sihat sebelum berpindah?
  • Mengapa pokok besar dan berakar songsang itu berbunyi pada waktu malam?
  • Mengapa sesebuah rumah itu ditinggalkan oleh penghuninya, dan orang yang baru berpindah masuk tidak kekal lama. Ada bunyi orang mengilai?
  • Mengapa kawasan kubur seperti ada sesuatu bergerak dan berbunyi pada waktu malam?
  • Mengapa mayat seseorang dijumpai berkecai-kecai ketika berladang?

Mungkin orang Melayu hendak menakutkan anak-anaknya agar tidak keluar waktu malam atau waktu maghrib. Mungkin cerita hantu mudah direka dan menjadi hiburan pada waktu malam.

Berdasarkan gambaran umum (tidak semestinya tepat kebenarannya), kebanyakan hantu ini matanya merah, pada mulutnya merah lantaran kesan-kesan darah.

Mulutnya penuh dengan gigi yang tajam bercerancang, berwarna merah, selalunya selepas menghisap darah.

Takut?

BACA INI JUGA: 10 Jenis Hantu Paling Menyeramkan Di Serata Dunia

sumber: wikipedia

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon