Monday, May 08, 2017

Sambutan Hari Migrasi Burung Sedunia, World Migratory Bird Day

Sambutan Hari Migrasi Burung Sedunia, World Migratory Bird Day

Sambutan Hari Migrasi Burung Sedunia, World Migratory Bird Day disambut pada Sabtu kedua bulan Mei setiap tahun bagi memperingati migrasi burung yang telah berabad-abad lamanya mengundang pesona dan perhatian dikalangan pengkaji burung (Ornitologis) di seluruh dunia.

World Migratory Bird Day

Sambutan Hari Migrasi Burung Sedunia yang diperkenalkan pada tahun 2006 merupakan salah satu usaha meningkatkan kesedaran untuk melindungi burung migrasi dan habitatnya.

Sambutan ini dianjurkan oleh Conservation of Migratory Species of Wild Animals (CMS) dan Agreement on the Conservation of African-Eurasian Migratory Waterbirds (AEWA), dua lembaga yang dikelola dibawah United Nations Environment Programme (UNEP).

Dari sudut ekologi, migrasi burung adalah sebuah aktiviti tahunan yang menunjukkan keseimbangan fungsi ekologii di pelbagai bahagian dunia.

Bayangkan, lebih daripada 50 juta ekor burung akan melakukan migrasi setiap tahun, melintas benua dengan jarak puluhan ribu kilometer bagi mencari makanan dan cuaca panas untuk mengawan.

Itulah sebabnya, dalam sambutan Hari Migrasi Burung Sedunia, akan dijalankan pelbagai acara untuk menyoroti pentingnya jaringan ekologi bagi kelangsungan hidup burung migran.

Kolaborasi dan jaringan sangat penting untuk membangunkan perlindungan, mengurangkan ancaman terhadap burung migran dan keperluan kerjasama dengan dunia antarabangsa.

Malangnya, ritual migrasi tahunan ini kini semakin terganggu oleh perubahan iklim yang semakin parah.

Dari hasil kajian yang dilakukan, hilangnya wilayah makanan burung migran sebanyak 23% hingga 40% akan menyusutkan populasi burung-burung migran ini hingga 70%.

Dalam kajian yang dilakukan sejumlah pakar dari Australia, di beberapa kawasan ketika ini sudah mula mengalami penyusutan populasi burung antara 30 hingga 80%.

Dalam kebanyakan kes, pembangunan kawasan pesisir dan proses penambakan pantai untuk kepentingan pertanian telah mengganggu lokasi transit burung.

Sejumlah spesies yang mengalami masalah dengan kenaikan permukaan air laut ini antaranya adalah godwit ekor belang, curlew sandpiper, great knot, grey-tailed tattler, lesser sand plover dan red knot, seperti dilaporkan hasil kajian yang dimuatkan dalam jurnal Proceedings of the Royal Society B.

Pada hari sambutan, para aktivis burung akan menjalankan aktiviti bersama peminat burung, mengajak masyarakat menjadi pemerhati burung, mengedarkan stiker, mengambil gambar alam semulajadi dan berdiskusi.

Burung migran bukan hanya terbang untuk melakukan migrasi tahunan, tetapi juga menjaga keseimbangan ekologi dunia di utara dan selatan. Ini adalah salah satu tujuan utama migrasi ini.

Hilangnya habitat dan pencemaran di kawasan pesisir menjadi salah satu penyebab keseimbangan alam terganggu.

Sambutan Hari Migrasi Burung Sedunia sekaligus mengingatkan kita bahawa kesimbangan ekologi di beberapa bahagian dunia bukan hanya mempengaruhi kitaran hidup burung migran, juga keseimbangan alam dan kesan buruknya kepada manusia.

Selamat menyambut Hari Migrasi Burung Sedunia.

BACA INI JUGA:

sumber: omkicau

Sunday, May 07, 2017

Apa Rahsia Kurus Dan Cantik? Minum Air Kosong!

Apa Rahsia Kurus Dan Cantik? Minum Air Kosong!

Pengambilan air kosong setiap hari sangat penting, ini kerana air kosong dapat memelihara kesihatan tubuh dan melancarkan sistem metabolisme dalam badan.

Detox Air Kosong

Selain itu, air kosong juga dapat membantu mengurangkan berat badan kita sebabnya, bila air dalam badan kita mencukupi, ia sekaligus dapat membakar kalori dalam tubuh.

Dan ini adalah 4 waktu terbaik untuk minum air kosong yang boleh anda amalkan dengan mudah setiap hari.

1. Sebelum Tidur

Minum segelas air masak sebelum tidur. Tujuannya bagi mengelakkan kita terkena serangan jantung dan juga strok.

Di mana kedua-dua penyakit di atas merupakan punca kematian terbanyak yang dicatatkan di Malaysia.

2. Bangun Tidur

Minumlah 2 gelas air masak bagi mengaktifkan organ dalaman kita

3. Sebelum Mandi

Ada baiknya minum segelas air masak waktu ni. Dapat melancarkan perjalanan darah serta mengurangkan tekanan darah kita.

4. Sebelum Makan

30 minit sebelum makan, eloklah minum dulu segelas air masak. Amalan sebegini didapati membantu sistem penghadaman dimana perut kita lebih bersedia untuk menerima makanan. Perut tidak jadi terkejut olehnya.

***

4 waktu di atas adalah kuantiti minima jika anda memang yang jenis tak suka langsung minum air kosong.

Saya pernah menulis status di Facebook bertanyakan soalan ini: “Kenapa perempuan bila dah kurus automatik nampak cantik siap dengan pakej putih sekali?”

Dan antara jawapan paling win saya terima, sebab minum air kosong yang mencukupi, itu yang kulit jadi lawa dan putih. Detox katanya.

Nah, ini tip ekstra untuk anda, minum air kosong pun boleh jadi cantik, tak perlu pakai produk mahal-mahal.

Amalkan Minum Air Kosong Pada 4 Waktu Ini Walaupun Tak Suka

Ramai orang beranggapan minum air kosong dalam kuantiti yang banyak baik untuk kesihatan, namun berbeza pula dengan pendapat Kavin Zahri. Menurut beliau, pengambilan air kosong secara berlebihan juga boleh membahayakan kesihatan.

Formula ringkas yang dapat saya ambil melalui catatan di blog beliau berkenaan kesan minum air berlebihan, selain daripada rasa haus cara terbaik untuk mengukur adalah dengan melihat pada warna air kencing.

Sekiranya warna urine anda jernih, ia menunjukkan yang badan anda terhidrasi dengan baik manakala warna urine yang kekuningan menunjukkan yang anda perlu lebih air untuk sistem badan anda yang lebih baik.

Jadi, sudah cukup jelas bahawa pengambilan air kosong atau air mineral dalam kehidupan seharian amat penting untuk kesihatan. Tetapi bagaimana pula dengan mereka yang mempunyai masalah tak suka minum air kosong?

Jika anda mempunyai masalah untuk minum air kosong, sila amalkan 4 tips mudah diatas.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Dahsyatnya Kesan Minum Air Putih Setiap Pagi!

sumber: thevocket

Sejarah Cuti Hari Buruh Di Malaysia Yang Ramai Tidak Tahu

Sejarah Cuti Hari Buruh Di Malaysia Yang Ramai Tidak Tahu

Mengapa kita menyambut Hari Pekerja pada 1 Mei? Adakah kerana majikan berprihatin dengan pekerja dan memberi pelepasan? Atau sebagai pengiktirafan usaha dan keringat pekerja?

Sejarah Hari Pekerja

1 Mei bukan untuk merai pekerja yang terperuk dalam pejabat beraircond, ia lebih kepada hari pekerja manual atau buruh.

Sambutan ‘May Day’ ini bermula di Amerika Syarikat pada 1880-an. Ketika itu Amerika berada dalam zaman ‘Gilded Age’ (1865-1900), satu zaman yang terkenal dengan amalan sistem ekonomi ‘laissez faire’ di mana kerajaan tidak bercampur tangan dalam ekonomi.

Dengan amalan tersebut industri berkembang pesat dan Amerika menjadi ekonomi terbesar di dunia.

Kerajaan pusat adalah lemah, membolehkan golongan kapitalis (pemilik kilang) menguasai ekonomi.

Untuk memaksimakan untung, pekerja kilang dipaksa untuk bekerja 12 hingga 14 jam, malah ada yang sampai 16 jam sehari. Tiada hari cuti.

Pekerja kanak-kanak ialah perkara biasa. Tiada undang-undang yang mewajibkan kanak-kanak bersekolah.

Maka, para pekerja kilang mula memperjuangkan idea bekerja 8 jam sehari (‘eight hours labor, 8 hours recreation, 8 hours rest’).

Untuk memperjuangkan hak tersebut, mereka mogok dan berarak di jalan. Selalunya mereka akan dipukul dan ditembak oleh polis upahan kapitalis seperti ‘Pinkerton Guards’.

Kemuncak konflik antara kapitalis dan pekerja ialah Peristiwa Haymarket (Haymarket Affair) yang berlaku pada 3-4 Mei 1886.

Semasa pekerja berarak di Haymarket Square (di Chicago) menuntut bekerja hanya 8 jam sehari, golongan anarkis (golongan ekstremis yang ingin menggulingkan kerajaan) meletupkan bom dan mengorbankan beberapa anggota polis dan orang awam.

Lanjutan daripada peristiwa tersebut, ramai pemimpin kesatuan pekerja telah ditangkap dan dihukum bunuh.

2 tahun kemudian (1888), Persatuan Buruh Amerika (American Federation of Labor) menjadikan 1 Mei sebagai tarikh peringatan Peristiwa Haymarket. Pekerja kilang hanya akan bekerja 8 jam sahaja pada hari tersebut sebagai tanda protes.

Second International (gabungan sosialis sedunia) menyambut tindakan tersebut. Maka pada tahun seterusnya (1889), 1 Mei ditetapkan sebagai Hari Pekerja Antarabangsa (International Workers Day).

Nasib buruh di Amerika hanya berubah dengan munculnya presiden yang bernama Teddy Roosevelt (1901-1909). Roosevelt yang berwatak ‘strongman’ dengan beraninya menguatkuasakan waktu bekerja 8 jam sehari untuk buruh wanita, mengharamkan pekerja kanak-kanak, dan mengenakan kawalan undang-undang ke atas syarikat-syarikat besar (‘trust’).

Presiden Taft yang mewarisi Roosevelt telah memecahkan syarikat-syarikat gergasi seperti Standard Oil (milik John D. Rockefeller) dan U.S. Steel (milik J.P. Morgan) kepada syarikat-syarikat kecil demi membanteras monopoli kapitalis terhadap ekonomi.

Roosevelt dipengaruhi oleh pemikiran progresif ‘New Liberalism’ yang dibawa oleh pemikir seperti Herbert Croly.

Berbeza dengan ‘Old Liberalism’ atau ‘Classical Liberalism’ yang melarang kerajaan bercampur tangan dalam ekonomi, pendukung ‘New Liberalism’ melihat kerajaan berperanan untuk menegakkan keadilan di antara kapitalis dan pekerja.

Mereka melihat ideologi liberal yang dogmatik hanya akan menghakis keyakinan orang ramai terhadap sistem politik demokrasi dan sistem ekonomi pasaran dan memberi ruang kepada gerakan kiri yakni sosialis, komunis dan anarkis untuk ‘menunggang’ (hijack) isu-isu yang berkaitan dengan kebajikan buruh.

Presiden sebelum Roosevelt iaitu McKinley mati dibunuh oleh pengganas anarkis, jadi tindakan Roosevelt adalah penting untuk membendung pengaruh anarkis.

Di Malaysia, sambutan Hari Pekerja juga ada kaitan dengan anjakan paradigma dalam pemikiran pemimpin. Hari Pekerja tidak diiktiraf sehingga 20 Mei 1972 apabila Tun Dr. Ismail mengumumkan 1 Mei sebagai Hari Pekerja dan sebagai cuti umum.

Sebelum itu, idea sambutan Hari Pekerja ditentang kerana kerajaan mengamalkan ekonomi laissez faire dan dikhuatiri 1 Mei akan ‘ditunggang’ oleh golongan kiri (sosialis dan komunis).

Lihat keratan akhbar Berita Harian bertarikh 25 Februari 1960 di bawah.

Sejarah Hari Pekerja

Pengumuman Tun Dr. Ismail dibuat kerana pemikiran Tun Abdul Razak (Perdana Menteri 1970-1976) berbeza dengan elit lama di era Tunku Abdul Rahman.

Semasa Tun Razak belajar di London, beliau menghadiri kuliah Harold Laski di London School of Economics dan menyertai Persatuan Fabian (Fabian Society) dan juga Parti Buruh (Labour Party).

Pengalaman Tun Razak mendedahkan beliau kepada idea-idea sosialisme. Walaupun Tun Razak bukan seorang sosialis, namun idea sosialisme mengenai keadilan sosial, kesamarataan dan hak buruh telah melekat pada Tun Razak dan mempengaruhi halatuju pemerintahan beliau (rujuk Abdul Rahman Abdul Aziz, Pembangunan 1960-an: Daripada Kata-kata Tun Abdul Razak Hussein, 2014, halaman 10-11).

Maka tidak hairanlah Tun Razak lebih akomodatif dengan tuntutan sambutan Hari Pekerja yang dikaitkan dengan gerakan kiri.

Jadi, anda dapat bercuti pada hari ini bukan kerana ihsan golongan kapitalis, tetapi atas perjuangan golongan buruh terdahulu untuk membela nasib diri.

Kerana merekalah pekerja menjadi golongan yang mempunyai pelbagai hak, bukan setakat hamba kapitalis.

BACA INI JUGA: Sambutan Hari Pekerja (Buruh) Antarabangsa, International Workers' Day

sumber: thevocket

Kisah Pegawai Bank Malaysia Yang Mencuri 1 Sen Sehingga Jadi Jutawan!

Kisah Pegawai Bank Malaysia Yang Mencuri 1 Sen Sehingga Jadi Jutawan!

Pada tahun 1990 dulu, ada seorang pegawai bank di Malaysia yang mencuri 1 sen duit pelanggan sehinggalah dia menjadi seorang jutawan!

Mencuri 1 sen

Pada yang tak pernah dengar, hari ini kami nak ceritakan kisah pegawai bank ini yang berjaya memiliki pelbagai kereta mewah dengan hanya mencuri 1 sen dari bank. Apa dia buat? Macam mana 1 sen boleh menjadikan dia jutawan?

Bank Negara Malaysia pun kena tipu

Semuanya bermula apabila Aman Shah Ahmad yang berusia 24 tahun pada ketika itu diambil bekerja di Hock Hua Bank Jalan Raja Laut, KL, sebagai seorang esekutif muda dengan pendapatan kira-kira RM1,800 sebulan.

Bekas pelajar jurusan perakaunan dari Institut Teknologi Mara ini merupakan seorang pekerja bank yang agak cekap sebenarnya sehinggakan dia diberi kepercayaan menguruskan akaun-akaun pelangan.

Pada mulanya memang tak ada apa yang berlaku, tetapi semuanya berubah apabila dia dihantar oleh pihak bank mengikuti kursus komputer.

Dari sinilah dia mula belajar tentang selok belok computer banking dan tanpa orang lain sedari dia telah membuat satu perancangan yang sangat licik sehinggakan Bank Negara Malaysia pun kena tipu.

Dengan jawatan barunya sebagai sebagai Ketua Jabatan pemprosesan Sistem Pemindahan Elektronik Untuk Dana dan Sekuriti (SPEED) di Hock Hua Bank, dia telah mengemukakan arahan palsu melalui sistem tersebut dengan memperdaya pengurusan Bank Negara sendiri.

Melalui arahan ini, dia secara senyap-senyap mengambil duit pelanggan dan memindahkannya ke akaun Bank Bumiputra miliknya sendiri tanpa ada pihak yang sedar.

Aman Shah juga telah mencipta satu program, di mana sistem ini akan mengambil 1 sen dari setiap akaun pelanggan di Hock Hua Bank.

Satu sen atau 5 sen sekalipun kalau hilang dalam bank mana korang perasankan, tapi kalau dah banyak sangat klien yang kena macam itu memang boleh kayalah dia.

Bayangkanlah, dalam masa beberapa tahun bekerja dengan bank dah boleh songlap duit sampai RM4.01 juta! Beli 6 bijik kereta mewah dan selamba pergi pamerkan di Plaza Bukit Bintang!

Korang tahu tak apa yang dia buat dengan duit-duit tu? Dengan duit yang banyak tadi Aman Shah telah berhenti daripada Hock Hua Bank dan membuka syarikatnya sendiri, Agensi Pengiklanan Bistro dekat Kuala Lumpur.

Bukan setakat itu saja, dia juga telah membeli enam buah kereta mewah, Lamborghini Countach bernilai RM1.3 juta, Mercedes Benz 300SL (RM502,000), Mercedes Benz 300E (RM192,000), Porsche 928 S4 (RM638,000), Porsche Carrera (RM350,000) dan BMW 329i (RM68,000).

Yang lebih memeranjatkan, dua keretanya iaitu Lamborghini Countach dan Porsche Carrera tiba di Malaysia melalui penghantaran khas menggunakan kapal terbang dari London, manakala BMW329i adalah kereta terpakai.

Bagi melindungi harta beliau yang luar biasa, Aman Shah sengaja meletakkan kereta-kerata mewah yang dimiliki di pusat pameran dekat Plaza Bukit Bintang dan akan mengambilnya bila dia rasa nak pakai.

Semua kereta mewah ini pula dibeli secara tunai dengan tiga daripadanya tidak didaftarkan dan tidak dibayar cukai import, manakala dua lagi didaftarkan atas namanya sendiri manakala sebuah lagi atas nama teman wanitanya.

Muncul di TV3

Kelemahan Aman Shah ialah dia lupa diri, dengan beraninya dia telah menghadiri satu program bual bicara Sekapur Sirih pada 3 Jun 1990 di TV3.

Kali ini nasib tidak menyebelahinya apabila bekas pengurusnya di Hock Hua Bank kebetulan sedang menonton rancangan itu.

Memang terperanjatlah ketuanya bila dia mendapat tahu yang Aman Shah sekarang sudah kaya raya dan memiliki banyak kereta mewah.

Dia sangat hairan bagaimana bekas pekerjanya dengan gaji RM1,800 mampu memiiki pelbagai jenis supercar walaupun tak sampai setahun dia meninggalkan bank tersebut.

Dengan syak wasangka yang tinggi, pengurus itu tadi telah melakuan satu audit dalaman dan mendapati kira-kira RM4.01 juta telah lesap daripada pengetahuan bank.

Bila pihak bank mendapat tahu tentang kecurian, laporan polis telah dilakukan di Balai Polis Campbell pada 8 Jun 1990.

Tak lama selepas itu, pihak polis berjaya mengesan Aman Shah dan tangkapat telah dilakukan di sebuah Kondominium yang terletak di Bangsar. Ibarat pelanduk yang lupakan jerat, akhirnya Aman Shah ditangkap dan didakwa di mahkamah.

Tak mampu bayar ikat jamin

Kereta mewah Aman Shah

Melalui kenyataan pengarah siasatan jenayah Bukit Aman ketika itu, Datuk Shamsuri Arshad berkata bahawa penipuan ini telah dilakukan dengan sangat teliti apabila dia berjaya memindahkan wang pelanggan bank ke dalam akaunnya selepas berjaya memecahkan kod keselamatan yang direka khas untuk sistem perbankan di Malaysia.

Akhirnya Aman Shah telah dibawa ke mahkamah dan didakwa mengikut Sekyen 420 Kanun Keseksayan yang membawa kepada 10 tahun penjara dan denda. Dia juga menghadapi empat pertuduhan menipu dengan jumlah keseluruhan mencecah RM4.01 juta.

Yang peliknya, ketika perbicaraan berlangsung, hakim telah menetapkan ikat jamin sebanyak RM200,000 dengan dua orang penjamin tetapi dia mengakui tidak mampu untuk membayar wang jaminan tersebut.

Mungkin kerana dirinya yang tidak beringat dan suka berbelanja mewah, akhirnya dia gagal diikat jamin dan dihantar ke Penjara Pudu sehingga perbicaraan selesai. Aman Shah akhirnya didapati bersalah dan dihukum penjara 5 tahun di atas kesalahan pecah amanah.

***

Sebenarnya kisah ini agak popular sekitar tahun 1990 dahulu tetapi kami tidak tahu pula apa yang terjadi terhadap Aman Shah pada hari ini.

Untuk pengetahuan, Bank Hock Hua ini pun dah tak ada lagi sekarang apabila ianya telah digabungkan dengan Public Bank pada tahun 2000.

Kesimpulanya, janganlah jadikan pencuri sebagai kerjaya kerana walaupun 1 sen yang diambil, ianya tidak berkat sebab duit itu hak orang lain.

Mungkin penjenayah boleh terlepas dengan hukuman dunia, tetapi di akhirat nanti semuanya akan di hisab.

BACA INI JUGA: Perompak Cantik Tapi Teramatlah Bodoh!

sumber: soscili

Saturday, May 06, 2017

'Jelly' Smartphone Android Paling Kecil Di Dunia

'Jelly' Smartphone Android Paling Kecil Di Dunia

Kurang lebih 7 tahun yang lepas mendiang Steve Jobs pernah mengeluarkan kenyataan bahawa telefon pintar dengan skrin lebih 4-inci sebagai terlalu besar dan tidak sesuai untuk digunakan atas sebab memerlukan pengguna menggunakan kedua-dua tangan untuk mengaksesnya.

Jelly Smartphone Android

Mungkin ada benarnya juga apa yang dikatakan Steve Jobs. Dalam pada itu, seiring dengan kemajuan teknologi, penyediaan skrin yang besar dan warna yang memukau semakin digilai majoriti pengguna.

Disebalik trend yang diikuti ramai, muncul syarikat Jelly yang berpendapat skrin bersaiz besar terlalu mainstream lalu memihak untuk melawan arus dengan menjadi smartphone android terkecil dengan saiz skrin 2.54-inci. Lebih kecil dari iphone versi pertama.

Dari segi spesifikasi Unihertz Jelly hadir dengan penyediaan RAM 1 GB dan 8 GB ruang storan. Jelly menggunakan kamera belakang 8-megapixel dan kamera hadapan 2-megapixel.

Smartphone ini mungkin menjadi pilihan segelintir pengguna yang mahukan telefon yang kecil serta dikuasakan dengan OS Android.

Apa yang paling mengejutkan adalah kapasiti baterinya yang bersaiz 950mAh.

Bateri yang sangat kecil berbanding smartphone keluaran jenama lain dan dikatakan mampu bertahan sehingga tiga hari. Wow!

Smartphone Jelly mula dijual di Kickstarter dengan harga $70 (~RM302.92) dan akan mula dilepaskan kepada umum sekiranya mereka berjaya mencapai target penjualan mereka.

BACA INI JUGA:

sumber: thevocket

9 Makanan Tidak Perlu Dalam Diet Dan Wajib Dielakkan

9 Makanan Tidak Perlu Dalam Diet Dan Wajib Dielakkan

Jika anda ingin menjadi lebih sihat dengan diet harian, elakkan makan makanan yang diproses dan ambil lebih banyak makanan segar.

Makan diet

Sesetengah orang mungkin sedang berusaha untuk menambahkan berat badan, manakala sesetengah yang lain terpaksa menjaga setiap makanan yang disuap kerana ingin menurunkan berat badan.

Terdapat lebih kurang 9 contoh jenis makanan dan minuman yang anda perlu elakkan dalam diet harian bagi mendapatkan pemakanan sihat dan seimbang.

Jika anda menghadapi masalah untuk tidak mengambil makanan ini sekaligus, cuba usaha untuk tidak mengambil makanan ini satu persatu bagi mengurangkan pengambilannya secara perlahan-lahan.

Jika anda menggantikan makanan ini dengan makanan yang lebih berkhasiat dan segar, anda boleh mengurangkan risiko terhadap beberapa penyakit dan masalah kesihatan.

1. Minuman bergas (solf drinks)

Seperti yang kita semua tahu, soft drinks adalah sejuk, segar, manis dan boleh menyebabkan ketagihan.

Kebanyakan soft drinks mengandungi kandungan kafein yang tinggi. Penggemar minuman jenis ini mungkin secara tidak sedar mencetuskan kebergantungan dan ketagih terhadap air bergas.

Minuman bergas ini hampir tidak mempunyai khasiat. Oleh itu, ia perlu dibuang jauh-jauh daripada diet harian anda.

Tambahkan pengambilan air, teh serta jus buah-buahan jika anda memerlukan gula.

2. Minuman kedai kopi

Seperti minuman bergas, sesetengah penggemar kafein mungkin memenuhi keperluan mereka dengan minuman kopi.

Sama ada kopi ‘O’ atau kopi susu rendah kalori. Kebanyakan kopi di kedai hari ini mengandungi creamer, gula dan penambah perisa yang lain.

Jika anda memerlukan kafein, pesan kopi ‘O’, tanpa menambah susu, creamer atau gula.

3. Produk kaya tepung

Anda patut mengelakkan roti putih dan produk mengandungi tepung yang diperkaya.

‘Tepung yang diperkaya’ menunjukkan tepung tersebut telah di ‘bleached’ dan kehilangan khasiat berharga.

Sebaliknya untuk langkah yang lebih bijak, anda bolehlah membeli roti penuh gandum dan pasta.

4. Roti, kek dan pastry

Roti keju yang besar dan muffin bersaiz penumbuk anda bukanlah pilihan baik untuk diet harian. Saiz makanan seperti ini kadangkala di luar kawalan anda.

Kebanyakan makanan ini mengandungi tepung yang diperkaya, gula dan lemak tepu tinggi.

Jika anda membaca label makanan, pastikan anda memeriksa sama ada makanan tersebut mengandungi minyak yang dihidrogenkan dari marjerin atau tidak.

Sekalipun ada tertulis ‘tanpa lemak tepu’ pada label makanan, periksa kandungan nutrisi makanan tersebut.

Sesetengah pengeluar makanan mempromosikan makanan mereka dengan mengatakan kurang lemak. Jika anda ragu-ragu, periksa kandungan bahan yang digunakan.

5. Makanan dan Minuman pek segera (instant)

Sekarang ini di mana-mana sahaja dapat kita lihat pelbagai jenis makanan dan minuman segera.

Makanan dan minuman jenis ini yang paling banyak dibeli oleh kebanyakan daripada kita disebabkan jadual harian yang padat. Oleh itu, anda memerlukan sesuatu yang mudah dan pantas.

Makanan dan minuman segera ini juga mempunyai rasa yang sedap dan lazat, tetapi adakah anda sedar bahawa kebanyakan makanan segera ini mempunyai kandungan garam dan penambah perisa yang tinggi?

Manakala minuman segera pula mengandungi kandungan gula dan creamer yang tinggi?.

Dengan pengambilan makanan dan minuman segera ini, anda tidak boleh mengawal kandungan garam, gula, dan krimer ke dalam badan.

Pengambilan makanan dan minuman jenis ini boleh memudaratkan tubuh badan dalam jangka masa panjang.

Oleh itu, anda perlu tahu mengawal makanan dan minuman seperti ini atau lebih baik cuba elak kerana kebanyakannya juga mengandungi kandungan kalori tinggi.

6. Makanan dalam tin

Kebanyakan makanan dalam tin mengandungi penambah perisa dan garam yang sangat tinggi. Walaupun makanan dalam tin sangat berguna ketika kecemasan atau darurat, tetapi jangan jadikan ia sebagai makanan harian anda.

7. Makanan goreng

Setiap makanan goreng mengandungi kalori tersembunyi. Sesetengah restoran mungkin menggunakan minyak yang mengandungi lemak tepu atau makanan digoreng dengan mentega atau telur yang banyak. Oleh itu, anda perlu mengurangkan pengambilan makanan bergoreng.

Jika sesekali teringin makan makanan bergoreng, anda bolehlah menggoreng sendiri makanan tersebut supaya boleh memilih sendiri minyak yang baik dan menyesuaikan dengan resepsi.

8. Makanan segera

Siapa yang tidak suka burger dan kentang goreng bukan? Memang sedap, tapi anda perlu mengelakkan makanan segera daripada diet harian.

Kebanyakan makanan segera ini digoreng di dalam minyak dan jarang mempunyai vitamin serta mineral yang diperlukan tubuh badan.

Hadkan pengambilan makanan segera kepada satu hingga dua kali sahaja setiap bulan.

9. Snek buah

Kenapa anda makan snek buah padahal anda boleh makan buah yang sebenar?

Walaupun sesetengah jenama snek buah mungkin menambah vitamin dan mineral yang diperlukan tubuh badan ke dalam snek buah mereka, snek seperti ini juga mengandungi gula dan perisa tambahan.

Pilihlah buah semula jadi dan segar daripada buah-buahan yang diproses seperti ini.

BACA INI JUGA: Bahaya Diet Tinggi Protein Untuk Mengurangkan Berat Badan

sumber: sinarharian

Sambutan Hari Hol Negeri Pahang

Sambutan Hari Hol Negeri Pahang

Sambutan Hari Hol negeri Pahang yang disambut pada 7 Mei setiap tahun merupakan cuti umum bagi negeri Pahang dan mungkin ada diantara kita yang masih tidak mengetahui apa sebenarnya Hari Hol ini kan?

Hari Hol

Definisi Hol bermaksud kenduri arwah yang diadakan setahun sekali dan dalam konteks ini, Hari Hol di Pahang merupakan hari bagi memperingati kemangkatan keluarga diraja di negeri ini.

Hari Hol diisytiharkan sebagai cuti umum di Pahang bermula pada tahun 1974, bagi memperingati kemangkatan Sultan Pahang keempat, Sultan Abu Bakar, ayahanda Sultan Ahmad Shah.

Serentak dengan hari pemakaman Sultan Abu Bakar itu, semua Jabatan kerajaan negeri, Persekutuan dan swasta diarah bercuti selama sehari.

Majlis tahlil dan bacaan Yasin

Hari Hol bertujuan membolehkan majlis tahlil dan bacaan Yasin diadakan untuk memperingati kerabat diraja negeri.

Kebiasaannya pada hari itu, keluarga diraja Pahang dan rakyat akan mengadakan majlis tahlil dan bacaan Yasin di Makam Diraja Pekan selain di masjid serta surau di seluruh negeri.

Namun, bagi sesetengah masyarakat Islam di negeri ini, walaupun Hari Hol disambut oleh golongan diraja, mereka juga menyambutnya dengan mengadakan majlis tahlil dan bacaan Yasin bagi memperingati ibu bapa atau keluarga yang telah pergi.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Sejarah Bagaimana Orang-orang Melayu Menyelamatkan Raja Mereka

sumber: keyboardbercakap

Cara Mengatasi Tablet Tak Boleh 'On'

Cara Mengatasi Tablet Tak Boleh 'On'

Sekarang zaman serba canggih termasuklah tablet yang asyik di usung ke sana ke mari. Memang canggih dan sudah menjadi satu kerpeluan diperlukan sebagai cara memudahkan perhubungan walau di mana kita berada.

Tablet Jammed

Yang berjenama terkenal ada, tak berapa nak terkenal pun banyak. Tapi fungsinya sama sahaja, cuma mungkin bezanya pada kualiti.

Masalahnya, apabila tablet kita tak boleh nak 'ON' secara tiba-tiba, apa nak buat? Hantar ke kedai nanti kena 'charge' berpuluh-puluh ringgit pula kan.

Terutamanya tablet baru, takkan dah rosak pula. Sudah la mahal, takkan nak beli baru pula. Mungkin begitu dalam hati bila menghadapi masalah begini.

Cara ON Tablet Jammed

Kalau anda menghadapi masalah tablet tak boleh ON, penyelesaiannya sangat mudah.

Mula-mula sambungkan charge kepada Tablet. Lepas tu tekan butang ON/OFF sambil touch pada screen (tekan pada screen) tapi jangan kuat sangat. Nati 'bocor' pula screen tu.

Kira dalam 30 saat. Lepas tu akan nampak tablet dapat di ON semula.

Begitu juga kalau tablet "jammed", cuma tekan butang ON/OFF dan tekan screen sampai off.

Kalau masih tak hidup juga, sila hantar kepada penjual untuk dibaiki. :)

Selamat mencuba.

BACA INI JUGA: Cahaya Telefon Bimbit Boleh Menyebabkan Buta!

sumber: amalsukacantik

Friday, May 05, 2017

5 Sebab Perut Buncit Mengikut Fakta Saintifik

5 Sebab Perut Buncit Mengikut Fakta Saintifik

Kadang-kadang orang berbadan kurus pun boleh ada perut yang buncit. Pelik betul. Agaknya sebab apa ya?

Perut Buncit

Ramai mengimpikan perut yang kempis. Biar badan gempal tak apa, asalkan perut maintain kempis. Barulah cantik pakai baju macam mana pun.

Lagi parah bila orang yang berbadan kurus sering disalah ertikan kerana disangka mengandung apabila memiliki perut buncit.

Bukan main masing-masing mencari petua kempiskan perut. Semua pakat salin dan simpan untuk dijadikan rujukan namun, masih juga tidak berhasil.

Ada baiknya kita cari tahu tentang puncanya dahulu agar mudah untuk mengelak daripada perkarayang tidak sepatutnya. Jika asyik mengamalkan petua tapi tidak tahu apa puncanya, memang tak akan menjadilah pun.

Jom kami rungkaikan 5 punca dan sebab perut buncit mengikut fakta saintifik perubatan.

1. Sindrom Usus Terganggu

Perut kadang-kadang kembung, kadang-kadang kempis sehingga menyebabkan kesakitan, sembelit dan cirit-birit?

Sebenarnya situasi ini normal dan berlaku ke atas semua orang. tak lain dantak bukan, ia berkait dengan fungsi dan keterjejasan sistem usus seseorang.

Apabila usus seseorang terjejas, ia secara tidak langsung akan mengembungkan perut. Perut akan menjadi sangat buncit terutamanya pada sebelah petang.

Ini pastinya mengganggu keselesaan harian seseorang malah membuatkan penampilan seseorang nampak tidak cantik, lebih-lebih lagi ketika memakai baju yang mengikut bentuk tubuh kan?

Oleh itu, cuba elak makan makanan yang berasaskan serat bijian seperti roti bijian penuh (wholemeal), oats, muesli, biskut penghadaman, bar bijirin dan semua bijirin sarapan pagi seperti Coco Crunch mahupun Cornflakes! Biskut biasa, roti putih biasa dan kek adalah dibolehkan.

Elak makanan serat bijian tadi selama tiga bulan berturut-turut untuk bantu perut anda kempis kembali.

2. Masalah Kembung Perut

Mungkin anda termakan gas terlalu banyak tanpa sedar sampaikan anda kentut melebihi 15 kali setiap hari.

Harus jelas, manusia normal dan sihat akan kentut 14 kali sehari namun jika ia melebihi dari angka itu, pasti anda bermasalah.

Oleh itu, kurangkan makan makanan karbohidrat yang lambat dihadam seperti kekacang, brokoli, kobis, buah prun, epal, dan segala hidangan yang mengandungi gula tidak asli seperti sorbitol yang biasanya terdapat dalam minuman beralkohol seperti wine.

Selain lambat hadam, semua makanan itu tadi akan mengeluarkan gas sulfur apabila berada di dalam perut. Gas tersebut akan berjalan hingga ke dalam usus menjadikan perut kembung dan kelihatan buncit.

Jelas seorang pakar, seseorang harus makan dengan perlahan, kunyah sehabis mungkin makanan itu agar ia hancur, senang dihadam untuk disalurkan terus ke usus.

3. Penyakit Seliak

Penyakit ini berkait dengan reaksi tubuh si mangsa terhadap sumber yang terkandung dalam barli, gandum dan rai (gandum hitam).

Sila elak mengambil sebarang makanan yang bersumberkan elemen tadi seperti pasta, roti, pai dan beberapa jenis sos dan kuah perasa.

Kebiasaannya, masalah ini menyerang kanak-kanak namun dewasa yang berada pada umur pertengahan juga berisiko.

Jika anda mengalami simptom seperti cepat penat, hilang berat badan tanpa sebab dan sering sakit di bahagian abdomen, lekas berjumpa doktor.

Sebaik anda disahkan menghidap penyakit seliak ini, ada baiknya anda berhenti makan segala makanan yang mengandungi gluten.

Untuk keterangan lanjut berkenaan Penyakit Seliak atau Coeliac Disease ini, www.coeliac.org.uk.

4. Kembung Perut Berkala

Kembung perut berkala boleh terjadi ketika datang bulan atau saat berada pada tahap awal kehamilan. Ia berpunca daripada hormon progesteron yang sedang aktif dan meningkat dalam tubuh.

Apa yang tidak seronok tentang ini, mood akan bertukar dari seronok menjadi murung, berasa tidak selesa, tertekan malah menggangu pergerakan harian kerana berasa senak.

Lebih parah, ia juga boleh menyebabkan sebelit untuk sesetengah orang tahu?

Walau bagaimanapun, senaman seperti berjalan selama 30 minit sehari boleh bantu menghilangkan kembung perut tersebut.

Jangan lupa, minum banyak air putih, makan buah dan sayur-sayuran untuk halang sembelit.

5. Kanser Ovari

Sukar sebenarnya untuk mengesan simptom kanser ovari tetapi keadaan perut yang buncit boleh menjadi tali pengukurnya. Selain perut buncit, penghidap juga akan sentiasa berasa senak dan sakit di bahagian abdomen.

Kata pakar ovari, “Antara simptom utama untuk mengenal pasti kemunculan kanser ovari adalah dengan melihat perubahan pada saiz abdomen (perut) serta menghidap kembung perut.

Selain itu, mangsa juga mungkin dapat merasai kesakitan di bahagian abdomen, tidak selera makan dan kesukaran membuang air kecil.

Simptom ini tidak semestinya tepat, namun seseorang harus peka akan perubahan yang berlaku pada diri.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: 3 Bahan Yang Mampu Kempiskan Perut Buncit Dalam Masa Satu Minggu

sumber: wanista

Sambutan Hari Tanpa Diet Antarabangsa, International No Diet Day

Sambutan Hari Tanpa Diet Antarabangsa, International No Diet Day

Sambutan Hari Tanpa Diet Antarabangsa, International No Diet Day disambut pada 6 Mei setiap tahun untuk meningkatkan kesedaran mengenai potensi bahaya diet.

International No Diet Day

Sambutan Hari Tanpa Diet ini adalah saranan untuk kita menerima seadanya keadaan tubuh, termasuk lemak dan saiz bentuk badan sendiri.

Hari Tanpa Diet ini juga adalah untuk menggalakkan gaya hidup sihat dengan memberi tumpuan kepada kesihatan dan menerima hakikat saiz tubuh sendiri selain meningkatkan kesedaran mengenai potensi bahaya diet akibat kegagalannya.

Hari Tanpa Diet Antarabangsa mula disambut di UK pada tahun 1992, sebelum negara-negara lain di seluruh dunia mula meraikannya, terutama di Amerika Syarikat, Kanada, Australia, New Zealand, India, Israel, Denmark dan Brazil.

Sejak tahun 1998, dua badan antarabangsa, Acceptance Association (ISAA) dan Pertubuhan Kebangsaan untuk Wanita (NOW) telah bergabung untuk menaja sambutan Hari Tanpa Diet ini.

ISAA adalah penganjur sambutan Hari Penerimaan Saiz Antarabangsa, yang disambut pada 24 April, manakala NOW adalah penganjur kempen Cintai Tubuh Anda yang disambut pada musim gugur.

Pertubuhan ini juga mengkritik diet sebagai "imej palsu" akibat pengaruh fesyen, kecantikan dan manipulasi industri diet yang mempergunakan imej wanita dengan saiz badan tertentu sebagai lambang kecantikan.

Pada Hari Tanpa Diet Antarabangsa disambut, simbol yang digunakan adalah reben biru muda.

Selamat menyambut Hari Tanpa Diet.

BACA INI JUGA: 10 Makanan Untuk Turunkan Berat Badan

-SENTIASAPANAS.COM

10 Tempat Menarik Lokasi Percutian Di Semporna

10 Tempat Menarik Lokasi Percutian Di Semporna

Pulau Semporna dikelilingi banyak pulau yang menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negara, merupakan salah satu daerah yang terletak di Borneo, Sabah.

Berikut adalah informasi tentang pulau-pulau di Semporna yang menarik untuk dilawati sendirian mahupun bersama keluarga sempena cuti-cuti Malaysia.

1. Pulau Mabul

PuLau MaBuL

Pulau Mabul terletak di pesisir pantai tenggara Sabah. Pulau ini kecil, melengkung dan terdapat banyak jenis batu karang yang menjadi tumpuan pelbagai jenis ikan marin.

Dasar yang tidak dalam amat sesuai untuk melakukan aktiviti scuba diving.

Pulau ini juga terletak berhampiran dengan Pulau Sipadan iaitu kira-kira 20 minit perjalanan dengan bot.

Terdapat pelbagai hidupan eksotik di kawasan scuba seperti sotong kurita, cephalopods, udang geragau, ketam dan rumpai laut.

2. Pulau Sipadan

Pulau Sipadan

Pulau Sipadan merupakan satu-satunya pulau samudera di Malaysia daripada batu kapur dengan ketinggian 600 meter dari dasar laut.

Pulau Sipadan terkenal sebagai pilihan bagi aktiviti menyelam skuba (scuba diving) dan antara yang terbaik di dunia.

Mengikut keputusan undian umum yang dikeluarkan oleh organisasi tunggal bagi pengundian 7 keajaiban terbaik dunia (New 7 Wonders of Nature votes committee), Pulau Sipadan telah tersenarai antara 77 bentuk muka bumi yang ajaib dan terbaik dunia.

3. Pulau Bohey Dulang

Pulau Bohey Dulang

Untuk sampai ke Bohey Dulang, pelancong boleh menggunakan perkhidmatan bot yang disediakan di pekan Semporna dan mengambil masa sekitar 30 minit untuk sampai ke destinasi.

Keindahan hiking dan pemandangan dari atas menjadi tarikan utama menarik para pelancong untuk datang.

4. Pulau Kapalai

Pulau Kapalai

Kapalai adalah salah sebuah pulau percutian yang terkenal di Malaysia, ia lebih dikenali sebagai pulau resort selaman skuba.

Pulau Kapalai, hanya terletak 15 minit jauh perjalanan dari Pulau Sipadan, merupakan sebuah pulau terindah yang telah diterokai sejak 200 tahun yang lalu, namun kini ia lebih popular dengan kecantikan pasir pantainya yang putih bersih.

Berikutan hakisan pasir pantai oleh ombak dan peningkatan aras laut yang semakin ketara, aras ketinggian pulau ini semakin lama dilihat semakin merosot, kini rumah perkampungan terapung hanya terletak diatas lebihan Terumbu Karang Ligitan sahaja.

Semua bangunan dan resort yang dibina kini hanya mempunyai tiang pasak dibawah air sahaja.

5. Pulau Mataking

Pulau Mataking

Pulau Mataking terletak di Laut Celebes dan merupakan lokasi bagi para penyelam dimana lokasi yang menarik akan menantik penyelam didasar lauti Pulau Mataking.

Terletak hanya 40 minit perjalanan dengan bot dari Pulau Semporna Sabah. Pulau ini mempunyai kemudahan penginapan yang bertaraf bintang dan mewah melengkapi chalet yang menghadap ke laut memberi pandangan yang indah ketika senja menjelang.

Saiz pulau tersebut kira-kira 40 ekar dan terletak di pinggir pelantar benua yang dikelilingi oleh pinggiran terumbu karang keras dan lembut. Pemandangan Tempat ini memang cantik dan suasana yang sungguh tenang.

Perairan di sini yang didiami oleh spesies eksklusif karang seperti staghorn, otak dan banyak lagi. Ikan daun, sweetlips, ikan gobi dan yu paus sekali-sekala berkeliaran di kawasan ini kerana ia di laluan penghijrahan mereka.

Pulau ini terlindung oleh pokok-pokok eksotik. perlindungan ini adalah di mana burung dan rama-rama memilih untuk berehat. ketam kelapa berlari sekitar sibuk di pasir putih.

6. Pulau Pom Pom

Pulau Pom pom

Pulau ini terletak di dalam lilitan 2.3 km di garisan air pasang dan terdapat terumbu karang sepanjang 4 km panjang di dasarnya. Pulau ini adalah pasir rata dengan ketinggian maksimum kurang daripada 2m di atas garis HT .

Pulau ini mempunyai pantai karang pasir berwarna putih dan merupakan tapak lokasi penting untuk Green dan Hawksbill sejenis penyu bersarang dan bertelur.

Pulau ini tidak mempunyai kampung, kesan manusia yang minimum, tiada pencemaran dan merupakan salah satu destinasi menyelam yang popular di daerah Semporna.

7. Pulau Bodgaya

Pulau Bodgaya

Pulau Bodgaya terletak di pantai timur negeri Sabah di Malaysia. Pulau ini adalah pulau yang terbesar di dalam sebahagian daripada Taman Marin Tun Sakaran.Pulau ini mempunyai keluasan 7.96 km2.

Pulau Bodgaya bersama-sama dengan Pulau Bohey dulang dan terumbu sekitar adalah sisa-sisa gunung berapi yang telah pupus.

8. Pulau Sibuan

Pulau Sibuan

Pulau ini pernah menjadi tumpuan diver a.k.a penyelam sebelum Pulau Sipadan dan pulau-pulau lain menjadi terkenal.Pulau ini terletak di dalam rangkaian Taman Marin Tun Sakaran.

9. Pulau Bum Bum

Pulau Bum-Bum

Antara Pulau yang mempunyai ramai penduduk dan pada hari ini sudah ada pembangunan di lakukan di sekitar pulau tersebut.

Walaupun Pulau Bum Bum Bukan sebuah pulau pelancongan tetapi airnya masih lagi sejernih cristal clear.

Pemandangan yang cantik terdapat di sekitar Pulau Bum-Bum dan percutian anda ke Semporna tidak akan lengkap jika tidak ke sini.

10. Pulau Timba-Timba

Pulau Timba-Timba

Tidak banyak maklumat yang dapat di selitkan, tetapi jika anda berminat dengan aktiviti seperti "Hoping Island", Pulau Timba-Timba antara kawasan wajib yang anda lawati.

BACA INI JUGA:

sumber: groupsempornamari