Friday, May 05, 2017

Kelebihan Dan Keistimewaan Bulan Sya'ban

Kelebihan Dan Keistimewaan Bulan Sya'ban

Perkongsian ini dipetik dari blog Dr.Asri yang menjawab persoalan penting mengenai sebilangan umat Islam yang menyatakan tentang kelebihan dan keistimewaan bulan Sya'ban.

Sya`ban

Soalan: al-Fadil Dr Asri yang dikasihi, sekarang kita berada dalam Bulan Syaaban. Apakah amalan yang patut kita lakukan. Saya dengar macam-macam pendapat. Ada kata banyak amalan Bulan Syaaban yang dibuat orang itu tidak ada dalil. Contohnya malam Nisfu Syaaban. Ada kata palsu. Ada kata memang ada dalil. Saya baca di internet pun macam-macam pandangan. Saya ingin beramal dengan amalan yang betul. Bolehkah Dr Asri huraikan? -Anisah, Bangi.

Jawapan Dr MAZA:

Saudari Anisah yang dikasihi, sikap saudari yang ingin memastikan ketepatan amalan amat dipuji. Agama ini bukan diikuti tanpa dipastikan kesahihan, atau diikuti tanpa faham. Agama berpaksikan dalil yang diiktiraf.

Sesuatu yang tidak berasaskan sumber yang sah iaitu al-Quran dan hadis-hadis yang sabit (authentic) tidak boleh disandarkan kepada Islam.

Dalam masa yang sama, tidaklah pula kita mudah menafikan sesuatu perkara dengan menyatakan ia bukan dari ajaran Islam, sebelum kita benar-benar pasti memang tidak wujud dalil dalam hal tersebut.

Mengenai soalan saudari, saya jawab berdasarkan perkara-perkara berikut;

1. Hadis-hadis yang berhubung kelebihan atau amalan pada Bulan Syaaban, ada yang sabit dan ada yang tidak. Bahkan terdapat juga amalan-amalan Bulan Syaaban yang diamalkan oleh sesetengah masyarakat itu, hanya ikutan yang tidak mempunyai apa-apa sumber. Ini seperti amalan sesetengah masyarakat yang membuat juadah khas Bulan Sya’ban dan seumpamanya. Banyak buku-buku yang dijual tentang kelebihan Rejab dan Syaaban itu tidak berasaskan hadis-hadis yang sahih.

2. Dalam sejarah ilmu hadis, ramai pemalsu hadis memang gemar membuat hadis-hadis palsu yang berkaitan dengan fadilat-fadilat. Ini seperti mereka mengada-adakan fadilat-fadilat bulan tertentu, surah tertentu dan seumpamanya. Mereka akan mengaitkannya pula dengan amalan tertentu seperti solat khusus, doa khusus, puasa khusus pada hari atau bulan yang dikaitkan dengan fadilat itu. Sebab itulah al-Imam Ibn al-Salah ( meninggal 643H) menyebut:

“Ada beberapa golongan yang membuat hadis palsu, yang paling bahaya ialah puak yang menyandarkan diri mereka kepada zuhud (golongan sufi). Mereka ini membuat hadis palsu dengan dakwaan untuk mendapatkan pahala. Maka orang ramai pun menerima pendustaan mereka atas thiqah (kepercayaan) dan kecenderungan kepada mereka. Kemudian bangkitlah tokoh-tokoh hadis mendedahkan keburukan mereka ini dan menghapuskannya. AlhamdulilLah”.( Ibn al-Salah, `Ulum al-Hadis, m.s. 99, Beirut: Dar al-Fikr al-Mu`asir).

3. Antara hadis palsu yang direka mengenai bulan-bulan, “Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadhan bulan umatku”. Ini adalah hadis palsu yang direka oleh Ibn Jahdam (meninggal 414H) (lihat: Ibn Qayyim al-Jauziyyah, al-Manar al-Munif fi al-Sahih wa al-Dha`if, m.s. 95, Halab: Maktab al-Matbu`at al-Islamiyyah).

Beliau adalah seorang guru sufi di Mekah. Dia juga dituduh membuat hadis palsu mengenai solat Raghaib iaitu solat pada jumaat pertama bulan Rejab( lihat: al-Imam al-Zahabi, Mizan al-`Itidal fi Naqd al-Rijal,. 5/173, Beirut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah).

Kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (wafat 751H), “Hadis-hadis mengenai solat Raghaib pada jumaat pertama bulan Rejab kesemuanya itu adalah palsu dan dusta ke atas Rasulullah s.a.w. Begitu juga semua hadis mengenai puasa bulan Rejab dan solat pada malam-malam tertentu adalah dusta ke atas Nabi s.a.w. Demikian juga hadis-hadis mengenai solat pada malam Nisfu Syaaban (kesemuanya adalah palsu). Solat-solat ini direka selepas empat ratus tahun munculnya Islam”. (Ibn al-Qayyim, al-Manar al-Munif, m.s. 95-98).

4. Namun tidak boleh dinafikan bahawa di sana juga terdapat hadis-hadis yang sahih mengenai kelebihan Bulan Sya’ban.

Antaranya apabila bertanya Usamah bin Zaid Nabi s.a.w mengapa baginda banyak berpuasa pada Bulan Syaaban, Nabi s.a.w menjawab, “Syaaban antara Rejab dan Ramadan, manusia lalai mengenainya. Padanya (Bulan Syaaban) diangkat amalan hamba-hamba Allah. Aku suka tidak diangkat amalanku, melainkan aku dalam keadaan berpuasa” (Riwayat al-Nasai, dinilai hasan oleh al-Albani dalam Silsilah al-Sahihah 4/522).

Aisyah r.aha juga menyebut, “Aku tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w berpuasa dalam bulan lain lebih daripada puasa Syaaban. Baginda pernah berpuasa Syaaban sepenuhnya, kecuali hanya beberapa hari (tidak puasa)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

5. Hadis-hadis yang disebut di atas dan riwayat-riwayat yang lain menunjukkan kita amat digalakkan berpuasa sunat pada Bulan Syaaban. Perbuatan berpuasa pada Bulan Syaaban adalah sunnah yang sabit daripada Nabi s.a.w. Amalan sebahagian masyarakat yang suka berpuasa pada Bulan Syaaban adalah amalan soleh.

6. Adapun Nisfu Syaaban, atau pertengahan Syaaban (15 haribulan), terdapat hadis yang sahih tentang kelebihannya di samping banyak hadis palsu mengenainya. Juga tidak terdapat hadis yang sabit mengenai amalan khusus seperti solat khas pada malam tersebut.

Kata al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) dalam kitabnya yang masyhur al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, “Solat yang dikenali dengan solat al-Raghaib iaitu dua belas rakaat ditunaikan antara Maghrib dan Isyak pada Jumaat pertama Bulan Rejab, juga Solat Malam Nisfu Syaaban sebanyak seratus rakaat; kedua-dua solat ini bidah lagi mungkar yang jelek. Jangan kamu terpengaruh disebabkan keduanya disebut dalam Kitab Qut al-Qulub dan Ihya ‘Ulum al-Din. Jangan juga terpengaruh dengan hadis yang disebut dalam dua kitab berkenaan kerana kesemuanya palsu. Jangan kamu terpengaruh dengan sesetengah imam yang keliru mengenai kedudukan hadis-hadis kedua solat berkenaan” (4/56. Beirut: Dar al-Fikr).

Al-Imam al-Syaukani (meninggal 1250H) menyebut dalam al-Fawaid al-Majmu’ah fi al-Ahadith al-Maudu’ah, “Telah diriwayatkan mengenai solat malam Nisfu Syaaban dari pelbagai riwayat, kesemuanya batil lagi palsu” (ms 72. Mekah: Maktabah Mustafa Baz).

7. Pun begitu tidak dinafikan ada hadis yang sahih Nabi s.a.w menyebut, “Allah melihat kepada hamba-hambaNya pada malam nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci) (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain. Al-Albani menilai sahih dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah 3/135).

Maka, sewajarnya apabila hal ini diberitahu oleh Nabi s.a.w, maka kita melakukan amalan-amalan yang soleh pada malam berkenaan dan mengelakkan apa yang Allah benci.

Syirik dan permusuhan antara muslim adalah sebab seseorang itu tidak diampunkan. Selain itu dua dosa tersebut, mudah-mudahan kita semua diampunkan.

8. Dr Yusuf al-Qaradawi ada mengulas tentang amalan malam Nisfu Syaaban dengan katanya, “Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam nisfu Syaaban, membaca doa tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam. Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid. Mereka membaca surah Yasin dan solat dua raka`at dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca do`a yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi`in dan tabi’ tabi`in). Ianya satu doa yang panjang, yang menyanggahi nas-nas (al-Quran dan Sunnah) serta bercanggahan dan bertentangan pula isi kandungannya…perhimpunan (malam nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bidah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas. Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bidah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bidah, dan setiap yang bidah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka” (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Fatawa Mu`asarah, 1/382-383, Beirut: Dar Uli al-Nuha, Beirut).

9. Namun begitu, janganlah kita terlalu cepat menghukum. Apa yang disebut oleh Dr al-Qaradawi itu adalah kaedah umum.

Sesuatu masyarakat atau seseorang individu mungkin mempunyai keuzuran yang tersendiri.

Kemungkinan mereka tidak tahu, atau mereka dihalang ilmu untuk sampai kepada mereka dan seumpamanya.

Kemungkinan besar jika mereka tahu, mereka tidak akan melakukan hal yang demikian. Tujuan mereka baik, cuma cara sahaja yang wajar dibaiki.

Galakan berdoa dan memohon keampunan pada malam Nisfu Syaaban ada asasnya. Cuma, penentuan cara sedemikian itu, tidak ditunjukkan oleh nas yang sahih.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA: Kelebihan Di Bulan Rejab

sumber: drmaza

Sambutan Hari Bidan Antarabangsa, International Midwives' Day

Sambutan Hari Bidan Antarabangsa, International Midwives' Day

Sambutan Hari Bidan Antarabangsa, International Midwives' Day disambut pada 5 Mei setiap tahun diseluruh dunia bagi mengenang jasa bakti bidan di seluruh dunia dalam meningkatkan mutu penjagaan kesihatan ibu dan anak.

International Midwives' Day

Kerajaan sentiasa mengambil pelbagai langkah untuk memastikan sasaran mengurangkan kadar kematian ibu semasa melahirkan anak dicapai, termasuk memperbaiki sistem penyampaian, meningkatkan bilangan pakar, jururawat dan bidan sama ada di hospital atau Klinik Kesihatan.

Kerjaya bidan sememangnya mendapat pujian kerana dengan kemahiran dan dedikasi mereka, dapat menurunkan kadar kematian ibu dengan begitu drastik selepas merdeka

Kadar kematian selamat di Malaysia telah dapat ditingkatkan kepada 98.6 peratus, di mana kelahiran-kelahiran tersebut adalah dibantu sama ada oleh pakar perubatan atau bidan.

Kehadiran dan kepakaran dimiliki bidan sememangnya amat dihargai kerana dapat membantu kelhiran selamat bayi-bayi yang bakal dilahirkan.

Selamat menyambut Hari Bidan.

BACA INI JUGA: Hospital Bersalin Paling Sibuk Di Dunia!

-SENTIASAPANAS.COM

Thursday, May 04, 2017

Nama 'Malacca' Tidak Lagi Digunakan Selepas Ini

Nama 'Malacca' Tidak Lagi Digunakan Selepas Ini

Kerajaan Negeri Melaka memaklumkan bahawa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka telah memutuskan nama 'Malacca' yang lazim digunakan dalam Bahasa Inggeris tidak lagi diguna pakai sebaliknya digantikan dengan nama 'Melaka'.

Melaka

Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Seri Naim Abu Bakar berkata sehubungan itu semua akhbar dan media sama ada Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris atau lain-lain bahasa hendaklah menggunakan nama 'Melaka' dalam penulisan atau sebutan pada setiap penerbitan mereka.

Penyelarasan ini adalah bertujuan untuk menyeragamkan penggunaan nama 'Melaka' sama ada dalam bentuk penulisan atau sebutan dalam semua media khususnya yang berbahasa Inggeris, katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri berharap penyelarasan penggunaan nama Melaka ini dihebahkan kepada semua pihak yang terlibat dan kerjasama pihak media dalam menyokong penggunaan nama Melaka amat disanjung tinggi dan dihargai oleh Kerajaan Negeri Melaka.

BACA INI JUGA:

sumber: sinarharian

15 Fakta Menarik Tentang Senyuman

15 Fakta Menarik Tentang Senyuman

Cuba amati antara wajah orang yang sentiasa ceria dan wajah orang yang sentiasa murung dan perhatikan juga mereka yang sentiasa tersenyum dan mereka yang tak pernah senyum ataupun payah untuk senyum apalagi untuk ketawa. Tentu sekali anda dapat melihat perbezaan.

Senyum

Wajah mereka yang ceria, sering tersenyum dan ketawa tentu sekali kelihatan berseri-seri dan tidak keterlaluan jika dikatakan nampak muda dari usianya yang sebenar.

Ada sesetengah dari kita bernasib baik kerana dianugerahkan ‘wajah senyum’ yang mana kalau dia marah sekalipun masih kelihatan seperti tersenyum.

Berikut adalah 15 fakta menarik mengenai senyuman.

1. Para saintis mendapati senyum dan ketawa nerupakan satu senaman berbentuk jogging dalaman di mana dapat merangsang seluruh tubuh dan mampu memberi manfaat berguna kepada sistem saraf otak dan juga hormon.

2. Pengkaji dan pengamal barat percaya, memulakan hari dengan senyuman bukan sahaja berupaya menceriakan hidup anda tetapi memberi banyak kebaikan kepada kesihatan. Apabila kita tersenyum, badan turut 'tersenyum' dan menganggap kita gembira. Kajian menunjukkan senyuman memperlahankan aliran darah yang melalui sinus ke otak.

3. Apabila darah yang 'sudah sejuk' ini sampai ke hipotalamus (bahagian yang mengawal suhu badan dan emosi) ia menghasilkan kesan 'gembira'. Selain itu, apabila kita tersenyum, kita hanya menggunakan 17 otot muka berbanding 43 ketika mengerutkan dahi.

4. Senyuman bukan sekadar reaksi gerak muka, tetapi turut mempunyai kaitan dengan penghasilan endorphin dalam otak yang mengurangkan kesakitan fizikal dan emosi menjadikan seseorang itu rasa lebih selesa dengan diri sendiri.

5. Kajian menunjukkan individu yang ketawa 100 kali dalam tempoh 24 jam mendapat manfaat kardiovaskular sama seperti bersenam 10 minit. Hal ini terjadi kerana apabila kita ketawa, tekanan darah dan kadar degupan jantung meningkat. Kemudian kedua-dua kadar ini akan turun iaitu lebih rendah daripada paras sebelum anda ketawa.

6. Anda juga perlu sedar bahawa kanak-kanak lebih banyak ketawa dari orang dewasa. Kanak-kanak berumur antara empat hingga enam tahun ketawa 400 kali sehari berbanding hanya 15 kali sehari di kalangan orang dewasa. Justeru, tidak hairan jika orang dewasa lebih mudah diserang penyakit serta mengalami masalah tekanan dan kemurungan.

7. Kajian yang dibuat oleh sekumpulan saintis dari Universiti Pusat Perubatan California menjelaskan terdapat dua jenis 'stress' iaitu stress yang baik dan stress yang tidak baik. Senyum dan ketawa dikategorikan sebagai stress yang baik. Stress yang tidak baik akan memberi tekanan kepada sistem ketahanan badan.

8. Dalam kajian di atas, dua kumpulan orang dewasa telah digunakan sebagai eksperimen. Kumpulan pertama dipertontonkan cerita-cerita lucu manakala kumpulan kedua diletakkan disebuah bilik tanpa berbuat apa-apa. Sampel darah diambil 10 minit sebelum dan selepas kajian dibuat.

Dari keputusan sampel darah tersebut, kumpulan pertama didapati peningkatan hormon semakin baik seperti hormon 'endorphins' dan hormon 'neurotransmitters' dan penurunan tahap hormon stress 'cortisol' dan 'adrenaline' .

9. Ketika kita ketawa, sel pembunuh tumor dan virus semulajadi dalam badan akan bertambah selaras dengan pertambahan Gamma-inteferon (protein melawan penyakit), sel T (yang penting untuk sistem pertahanan badan) dan sel B (yang menghasilkan antibodi melawan penyakit).

10. Senyuman juga mampu merendahkan tekanan darah, menambah kemasukan oksigen dalam darah dan ini secara tidak langsung merangsang proses penyembuhan. Banyak kajian terbukti bahawa tekanan emosi seperti kemurungan, kemarahan atau keresahan mempunyai kaitan dengan sakit jantung.

11. Senyuman yang diakhiri dengan ketawa mengaktifkan kimia badan dan secara tidak langsung merendahkan risiko penyakit jantung, tekanan darah tinggi, strok, atritis dan ulser.

Pusat Perubatan Universiti Maryland menjalankan kajian ke atas 300 responden dan mendapati 40 peratus orang yang menghidap penyakit jantung kurang ketawa berbanding orang yang sihat.

12. Senyuman dan ketawa antara senaman yang baik kerana ia membabitkan diafragma, abdomen, sistem pernafasan, muka, kaki dan otot belakang badan.

Ketawa 'mengurut' organ dalam abdomen dan menguatkan otot abdomen, merangsang kedua-dua belah otak dan meningkatkan keupayaan untuk belajar.

Ia melegakan ketegangan otot dan tekanan psikologi; membuatkan otak lebih peka serta bersedia menerima maklumat baru.

13. Ketawa juga dikatakan mampu memperbaiki fungsi usus, sekaligus meningkatkan pencernaan dan penyerapan nutrient dalam badan. Ada juga yang percaya ketawa boleh membakar kalori seperti kita bersenam beberapa minit.

14. Selain memberi pelbagai kebaikan kepada tubuh, dalam ajaran Islam sendiri mengatakan senyum itu satu sedekah. Senyum mampu menjadi penawar pada penyakit rohani yang kronik.

Senyum tidak perlu modal, cuma sekelumit rasa ikhlas yang bisa memaniskan senyuman itu.

Senyuman yang dilemparkan mampu menyerikan hari insan lain. Mungkin juga mampu menyejukkan hati yang sedang marah atau mampu juga untuk memulakan sesebuah ikatan.

15. Pujangga ada menyebut, "SENYUM ITU KELOPAK. KETAWA ITU BUNGA YANG SEMPURNA KEMBANGNYA."

Jadi, jangan lupa senyum, sekerat atau meleret tak kisahlah jangan senyum sinis dah lah. Tak baik tau.

Kalau ketawa, jangan pula keterlaluan, cukup sekadarnya.

BACA INI JUGA:

sumber: sayangsain

Sambutan Hari Bomba Sedunia

Sambutan Hari Bomba Sedunia

Sambutan Hari Bomba Sedunia disambut pada 4 Mei setiap tahun bagi menghargai tugasan anggota bomba dalam menghadapi cabaran pelbagai bencana, namun terus fokus terhadap peningkatan kualiti perkhidmatan.

Bomba

Tugas bomba tidak hanya tertumpu kepada kebakaran semata-mata tetapi turut terlibat dalam operasi penyelamatan berkaitan kes lemas, kemalangan jalan raya dan pelbagai bencana.

Anggota bomba sentiasa berkhidmat tanpa menghirau penat lelah mengharungi pelbagai cabaran bencana demi menyelamatkan nyawa dan harta benda.

Selain itu, usaha-usaha mendekati masyarakat dan melibatkan mereka dalam aktiviti kebombaan, sebagai langkah pro aktif bagi mencegah kebakaran daripada berlaku malah antara usaha yang telah dan sedang dilakukan bagi memperkasa pasukan bomba sukarela dan menubuhkan lebih banyak pasukan bomba komuniti.

Anggota Bomba yang berkhidmat perlu diberikan penghargaan dan bentuk penghormatan yang sewajarnya berikutan mereka berhadapan dengan pelbagai bahaya dan cabaran ketika melaksanakan tugas serta menggalas tanggungjawab.

Menghargai dan menghormati perkhidmatan ahli bomba tidak memadai sekadar hanya menganugerahkan medal, sijil dan cenderamata serta tidak mencukupi dengan ucapan dan surat pujian.

Sambutan Hari Anggota Bomba akan lebih bermakna jika acara sambutan diisi dengan acara-acara berunsur spirituil, berunsur ilmu, berupaya meningkatkan penghayatan masyarakat dan aprisiasi negara, serta dilengkapi dengan program-program yang dapat memberikan impak bermakna, berupaya membawa perubahan-perubahan substantif kepada perkhidmatan yang memberikan manfaat jangka panjang.

Menghargai dan menghormati khidmat anggota bomba hendaknya tidak terbatas kepada program-program berbentuk perbarisan, pameran, persembahan budaya atau jamuan.

Terdapat lima perkara yang perlu dilaksanakan iaitu;

Pertama, memperkasa program latihan dan tatacara operasi yang dapat meningkatkan tahap profesional anggota.

Kedua, mengenal pasti peralatan terkini yang diperlukan dalam menghadapi cabaran senario semasa untuk membolehkan perkhidmatan yang lebih efektif dapat diberikan.

Ketiga, dengan menilai prosedur operasi dan kelengkapan yang perlu dibekalkan untuk meminimumkan risiko para anggota ketika menjalankan tugas.

Keempat, merangka pakej perkhidmatan dan program kebajikan para anggota bukan sahaja semasa berkhidmat tetapi lebih penting pada usia tua persaraan, setimpal dengan tahap pengorbanan, beban tanggungjawab dan risiko yang dihadapi oleh anggota.

Kelima, meningkatkan kesedaran negara dan masyarakat akan pengorbanan ahli bomba agar negara dan masyarakat memberikan apresiasi yang lebih tinggi kepada ahli bomba semasa dalam perkhidmatan dan setelah bersara daripada perkhidmatan.

Pengorbanan
Ketika melaksanakan tugas, para anggota telah menunjukkan sifat pengorbanan, sifat keinsanan dan sifat kemanusiaan yang tinggi dengan melaksanakan tanggungjawab tanpa mengenali waktu dan lelah, berpanas, berembun, berhujan, meredah air, mengharung lumpur, mendaki bukit, memanjat bangunan, menghadapi bahaya serta menanggung risiko, sedaya mungkin menghulurkan pertolongan kepada mangsa bencana.

Semangat berkhidmat dan semangat pengorbanan anggota bomba merupakan satu amal makruf dalam usaha melaksanakan tanggungjawab fardu kifayah.

Selamat menyambut Hari Bomba Sedunia.

BACA INI JUGA: Gambar Keldai 'Bantu' Bomba Padamkan Api Jadi Viral

sumber: peraktoday

Ikatan Adik-Beradik Kekuatan Kumpulan Zero

Ikatan Adik-Beradik Kekuatan Kumpulan Zero

Daripada zero ke hero, tiga pemuda seibu sebapa ini bangkit dari kehidupan susah mereka dan kini menjadi diantara kumpulan pelawak pelapis Malaysia.

Kumpulan ZERO

Sharif, Syaiful dan Atu dari kumpulan Zero hanya beberapa langkah lagi untuk ke peringkat akhir Maharaja Lawak Mega (MLM) 2017.

Pernah menjuari Maharaja Lawak Mega 2014, kumpulan yang sinonim dengan tagline 'pantang mundur kecuali operasi' ini berharap detik manis itu akan berulang kembali dan akan memberikan persembahan sehabis baik demi gelaran juara.

Menurut abang sulung, Sharif, 29, Maharaja Lawak Mega sememangnya mengubah hidup mereka 360 darjah.

“Selepas sahaja bergelar juara, kami menerima pelbagai undangan persembahan untuk menjana lebih banyak pendapatan.

"Kami ingin berterima kasih pada pihak Astro yang membuka peluang kami bertapak dalam industri hiburan.

"Platform MLM ini amat bagus dan berjaya meletakkan kami bertahan sehingga ke hari ini. Harapan kami agar dapat memberikan yang terbaik buat peminat.”

Bagi adik bongsu, Atu, 25, baginya, mereka berharap dapat bergelar juara lagi untuk tahun 2017 ini dan akan memberikan persembahan yang terbaik.

Menurutnya lagi, hubungan adik-beradik memainkan peranan penting dalam membentuk keserasian.

Walaupun selalu bergaduh, tapi mereka bergaduh dengan kasih sayang.

Selalu meluangkan masa bersama-sama dan faham antara satu sama lain. Mungkin ikatan kekeluargaan itu antara penyebab kumpulan Zero nampak lebih istimewa.

BACA INI JUGA: Tahukah Anda Kenapa Manusia Ketawa?

sumber: rojakdaily


Sambutan Hari Star Wars Sedunia

Sambutan Hari Star Wars Sedunia

Sambutan Hari Star Wars disambut dan diraikan di seluruh dunia oleh peminat filem tersebut pada 4 Mei setiap tahun.

Star Wars

Festival terbesar bagi meraikan filem Star Wars bersama peminat sentiasa berlangsung meriah pada acara yang diadakan selama empat hari dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk seminar dan sesi bertemu dengan barisan pelakonnya.

Sambutan Hari Star Wars 2017 berlangsung di Orange Country Convention Center di Orlando, Amerika Syarikat, yang pertama kali diadakan di Denver pada 1999 turut pernah diadakan di London, Jerman dan Jepun.

Selamat menyambut Hari Star Wars.

BACA INI JUGA: 5 Perkara Terbaharu 'Star Wars Celebration' Anda Patut Tahu!

sumber: mstar

Wednesday, May 03, 2017

Blog Popular Dan Terbaik Malaysia April 2017

Blog Popular Dan Terbaik Malaysia April 2017

Assalaamualaikum, salam sejahtera semua pembaca, pengunjung dan rakan blogger, ketemu sekali lagi kita di dalam helaian senarai blog dan blogger terbaik di Malaysia bagi bulan April.

Blog terbaik April 2017

Senarai blog dan blogger terbaik yang tersenarai dibawah ini adalah pemilik blog mahupun website yang sudi mampir berkomentar di blog ini. Kenapa pengomen diberikan penghargaan?

Mungkin ramai pembaca masih tidak tahu kepentingan untuk komen di blog orang lain. Sebenarnya, selain dapat mempromosikan blog, ia juga dapat meningkatkan rangking Alexa yang membuat penarafan blog-blog paling popular di sesebuah negara dan juga di seluruh dunia.

Berkomentar di blog orang lain juga dapat menambah rakan online selain menyedut pengalaman mengenai banyak maklumat.

Melawat blog orang lain juga akan mendedahkan kita dengan informasi yang sangat banyak dan tidak mampu dibayangkan jumlahnya.

Tiada siapa yang mampu menjadi blogger yang baik dengan hanya melihat blog sendiri.

Kenapa saya kagum dengan blogger?

Untuk menghasilkan blog yang baik bukanlah mudah. Ia memerlukan pengalaman dan ilmu yang dipelajari selama bertahun-tahun.

Menulis, mengedit, copy paste (dengan berhemah) blog bukanlah semudah yang anda lihat. Ia memerlukan usaha yang tidak berbelah bahagi dan memakan masa serta menguji kesabaran yang sangat tinggi.

Menjadi seorang blogger yang baik juga bukannya senang. Perlu jujur, rajin, ikhlas, tak boleh (terlalu) sakit hati, tak boleh macam-macam-macam.

Seorang blogger pantang berputus asa. Seorang blogger yang mencintai blog tidak tidak akan berundur semata-mata kerana satu-dua rintangan. Cuma mungkin jumlah artikel yang diterbitkan sedikit berkurangan.

Seorang blogger menghabiskan banyak waktu untuk menyediakan artikel, apatah lagi jika isi kandungannya mampu memberi nilai tambah kepada kehidupan orang lain, sebagai penenang jiwa, penghibur hati yang duka, mencari lebih kegembiraan atau sedang membuat kertas kajian huhu..

Dan, seorang blogger amat memerlukan sokongan pembaca (baca peminat ~hehe). Sokongan rakan blogger yang lain dan segala sokongan yang anda sendiri, pembaca, perlukan seperti dalam kehidupan sehari-hari.

Semua blogger juga saling melengkapi, saling memeriahkan dunia blog.

Akhirnya, blogger yang selalu datang membuat komen sama seperti rakan anda yang selalu bertanya khabar. Mereka baik hati dan mesra.

***

Khusus buat rakan-rakan blogger, maaflah kerana ketandusan masa untuk blogwalking, tapi semua komen saya baca ye. Datang la selalu, terutamanya pengomen tegar ~KK~ :)

***

Jadi, pembaca semua, kini anda tahu serba sedikit siapa itu blogger kan. Jemputlah membaca blog-blog dibawah tu, banyak maklumat berguna.

Terima kasih kerana sudi membaca dan jumpa lagi.

SENARAI BLOG POPULAR & TERBAIK MALAYSIA APRIL 2017

1. Khir Khalid (KK) - Khirkhalid.com

2. Dedaun Comel - Dedauncomel.com

3. Hanafi Abdullah - Heroborneo.com

4. Mohd Aswad - Ppk.com

5. Seri - Ummiseri.com

6. Vita - Vitavitamin.blogspot.my

7. Lokman Hakim - Penggaliilmudunia.blogspot.com


BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

7 Negara Yang Menyekat Akses Ke Akaun Media Sosial

7 Negara Yang Menyekat Akses Ke Akaun Media Sosial

Media sosial memainkan peranan yang cukup besar dan punyai banyak kebaikan juga keburukan. Ada yang mudah terjebak menjadi mangsa jenayah seksual, peras ugut, skim penipuan internet dan tidak kurang juga yang menggunakan media sosial untuk menambah pendapatan dan berkongsi ilmu.

Media Sosial Banned

Seminit tanpa akses ke media sosial ibarat ibu hilang anak. Serba serbi tak kena dan terlalu banyak perkara serta berita yang kita rasakan telah terlepas.

Di Malaysia, kita masih lagi beruntung kerana akses ke akaun media sosial masih lagi dibenarkan oleh pihak kerajaan, berbanding negara-negara dibawah ini yang pernah atau menyekat terus akses internet.

Kami senaraikan 7 buah negara lain yang sering menyekat akses ke akaun media sosial.

1. Brazil

Brazil buat kali ketiga telah menyekat akses ke laman mesej popular telefon pintar, WhatsApp, pada bulan Julai 2016 yang lalu, dalam masa kurang setahun selepas syarikat yang membangunkan aplikasi itu gagal menyerahkan data pengguna kepada polis.

Presiden Mahkamah Agung Brazil, Ricardo Lewandowski, bertindak mengarahkan penutupan khidmat laman mesej itu selama empat jam.

Pertikaian berpanjangan dengan pihak berkuasa di Brazil itu bermula apabila mereka gagal mendapatkan akses kepada komunikasi suspek penjenayah kerana bertentangan dengan dasar Facebook yang melindungi hak peribadi dan kebebasan berkomunikasi penggunanya.

Kali terakhir disekat pada Mei sebelumnya apabila khidmat WhatsApp digantung selama sehari sebelum dibenarkan beroperasi semula selepas rayuan.

2. Turki

Perdana Menteri Turki Tayyip Erdogan pernah menyekat Twitter di negaranya selama dua minggu selepas rakaman audio tentang rasuah di dalam kerajaan mula tersebar. Erdogan percaya platform itu digunakan musuh untuk merosakkan reputasinya.

Pada 2015, ketiga-tiga platform sosial media iaitu Twitter, Facebook dan YouTube turut disekat selepas penyebaran gambar seorang pendakwa raya warga Turki yang diacukan pistol oleh seorang anggota kumpulan militan beberapa jam sebelum dibunuh dalam satu insiden tembakan.

Malah negara itu juga telah memperketatkan undang-undangnya bagi membolehkan laman sosial mudah disekat oleh pihak berkuasa.

3. Iran

Iran telah beberapa kali menyekat Facebook, Twitter dan YouTube sejak kes pemilihan presiden pada tahun 2009.

4. China

Negara ini telah menyekat Facebook, Twitter dan YouTube sejak 2009 selepas tunjuk perasaan oleh etnik Islam minoriti di Xinjiang.

Pihak berkuasa China juga menyekat proxy yang boleh melangkaui sekatan ini.

Laman web luar disekat, hanya laman sosial keluaran China seperti Weibo sahaja dibenarkan beroperasi.

5. Vietnam

Vietnam telah menyekat Facebook secara tidak rasmi sejak tahun 2009 dengan alasan, pihak kerajaan ingin menyekat rakyat daripada mengkritik polisi kerajaan atau berkongsi berita yang mampu membawa kepada tunjuk perasaan.

6. Korea Utara

Korea Utara bukan sahaja menyekat sosial media tetapi juga internet. Akses hanya diberikan dengan kebenaran dan untuk kegunaan kerajaan.

7. Ethiopia

Negara yang terletak di Afrika ini menyekat sosial media termasuk Facebook, Twitter, Instagram dan Viber di negaranya selepas berlaku kebocoran soalan peperiksaan.

Sekatan sementara itu juga bertujuan menghalang pelajar daripada terus hanyut dengan media sosial terutama saat menjelang peperiksaan.

Ethiopia menjadi antara negara Afrika pertama yang menyekat internet terutama blog anti kerajaan dan hak asasi manusia

BACA INI JUGA:

sumber: rojakdaily

Selaput Dara Bukan Simbol Kesucian Wanita

Selaput Dara Bukan Simbol Kesucian Wanita

Kita sering mendengar tentang istilah selaput dara sayangnya, pengetahuan kita terhadap perkara tersebut amat terbatas.

Selaput Dara
Gambar hiasan.

Malah ada kalahnya ia lebih banyak dipengaruhi oleh mitos berbanding fakta sebenar dan agar tidak terkeliru dengan mitos yang diuar-uarkan, fahamilah informasi di bawah ini.

Apa itu selaput dara?

Dalam istilah perubatan, selaput dara dikenali sebagai hymen. Selaput dara ini merupakan satu lipatan selaput lendir yang menutupi pintu bibir vagina perempuan.

Ia telah ada sejak bayi perempuan dilahirkan dan kedudukannya adalah diantara satu atau dua cm dari bibir luar vagina dan bentuknya bulat mengikut bentuk liang vagina.

Namun, ada juga selaput dara yang memiliki bentuk unik seperti bulan sabit (semilunar) dan mempunyai pemisah (septum).

Selaput ini amat tipis dan merupakan membran yang lembut dan secara biologisnya membrane ini tidak berfungsi, tetapi ia mempunyai 'beban yang berat' kerana dinilai sebagai bukti kegadisan seorang wanita.

Adakah semua wanita memiliki selaput dara?

TIDAK. Bukan semua wanita mempunyai selaput dara pada vaginanya. Terdapat beberapa kajian yang mendapati ada bayi perempuan lahir tanpa selaput dara.

Apa yang boleh menyebabkan selaput dara pecah?

Biarpun hanya sekadar lapisan lender, selaput dara sangat elastic dan tidak mudah rosak. Selaput dara hanya akan pecah apabila berlakunya hubungan seksual, rawatan perubatan yang dilakukan pada liang vagina, gangguan penyakit pada saluran vagina atau kemalangan dan aktiviti berat yang mempengaruhi alat kelamin wanita.

Ketebalan selaput dara berbeza di antara satu wanita dengan wanita lainnya. Ada wanita yang mempunyai selaput dara amat tipis dan mudah koyak oleh aktiviti-aktiviti tertentu seperti berenang, menunggang basikal dan memanjat.

Ini semua boleh memecahkan selaput dara meskipun dia belum pernah melakukan hubungan seks.

Sebaliknya, ada juga perempuan yang sudah berkahwin dan berhubungan seks berkali-kali tetapi selaput daranya masih utuh dan tidak koyak kerana selaput daranya begitu elastik.

Adakah selaput dara lambang keperawanan?

Salah satu faktor penyebab kerosakan selaput dara adalah hubungan seksual dan masyarakat menyatakan seseorang wanita adalah perawan jika belum pernah melakukan hubungan seksual.

Isu keperawanan yang berhubung dengan selaput dara ini juga berkaitan dengan pendarahan yang terjadi ketika selaput dara koyak. Inilah yang menjadi tanda keperawanan dan kesucian seorang wanita pada malam pertama.

Seorang wanita dikatakan tidak suci sekiranya tidak mengeluarkan darah ketika malam pertama namun, anggapn ini sebenarnya kurang tepat.

Perawan atau tidak seseorang gadis itu bukan hanya bergantung pada selaput dara.

Tidak semestinya wanita yang tidak mengeluarkan darah ketika malam pertama sudah tercemar kerana selaput dara ini bukan hanya boleh pecah ketika melakukan persetubuhan tetapi juga disebabkan beberapa sebab yang dinyatakan di atas.

Adakah selaput dara wajib mengeluarkan darah ketika malam pertama?

TIDAK. Ini kerana selaput dara selain terdiri daripada membran yang lembut, ia juga bersifat fleksibel. Mungkin sahaja selaput dara ini melentur sehingga tidak mengeluarkan darah sewaktu melakukan hubungan seksual buat kali pertama.

Malah, dalam beberapa kes didapati ada wanita yang tidak mempunyai selaput dara sejak lahir dan ada juga wanita yang memiliki selaput dara yang sangat tipis berbanding wanita-wanita lain sehingga ia tidak dapat mengeluarkan darah ketika melakukan hubungan seksual buat kali pertama.

Selain itu, fakta perubatan turut menunjukkan selaput dara hanya memiliki sedikit pembuluh darah. Semakin tipis selaput dara, semakin sedikit darah yang keluar sehingga hampir tidak kelihatan.

Bagi lelaki, janganlah menilai kesucian isteri mereka melalui darah yang dikeluarkan ketika mereka mengadakan hubungan seks untuk kali pertama.

Jangan terlalu tipikal dan kuno dalam menangani situasi ini, cubalah berfikiran lebih terbuka dan positif kerana di era millennium ini selaput dara bukanlah indicator utama dalam menentukan kesucian.

Mungkin tuduhan anda ada benarnya iaitu isteri anda sudah tidak suci lagi namun, mungkin juga wanita yang anda nikahi tidak mempunyai selaput dara atau daranya telah pecah disebabkan aktiviti-aktiviti harian yang telah dilakukannya.

Fikirlah dengan rasional. Jangan rosakkan ikatan perkahwinan dengan tuduhan melulu yang akhirnya memusnahkan rumah tangga yang dibina.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: virtualfriends

Sambutan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia, World Press Freedom Day

Sambutan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia, World Press Freedom Day

Sambutan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia, World Press Freedom Day disambut pada 3 Mei setiap tahun bagi menimbulkan kesedaran tentang pentingnya kebebasan akhbar.

World Press Freedom Day

Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah mengisytiharkan 3 Mei sebagai Hari Kebebasan Akhbar Sedunia bagi menimbulkan kesedaran tentang pentingnya kebebasan akhbar dan mengingatkan kerajaan-kerajaan akan tugas mereka untuk menghormati dan mendukung hak kebebasan bersuara seperti yang termaktub di bawah Artikel 19, Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat dan menandakan ulang tahun perisytiharan Windhoek, satu pernyataan tentang prinsip kebebasan akhbar yang dirangkumkan oleh para wartawan akhbar Afrika pada tahun 1991.

Bersempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia, UNESCO menganugerahkan Hadiah Kebebasan Akhbar Sedunia Guillermo Cano kepada individu, pertubuhan atau institusi yang layak, yang telah membuat sumbangan besar dalam mempertahankan dan/atau menggalakkan kebebasan akhbar di mana-mana di dunia, terutamanya apabila ianya dicapai melalui usaha yang berbahaya.

Mula diwujudkan pada 1997, hadiah ini dianugerah berdasarkan sokongan satu badan juri bebas yang terdiri dari 14 profesional akhbar.

Nama-nama dikemukakan oleh pertubuhan bukan kerajaan serantau dan antarabangsa yang bekerja untuk kebebasan akhbar, serta oleh negara-negara anggota UNESCO.

Hadiah ini dinamakan sempena nama Guillermo Cano Isaza, seorang wartawan Colombia yang dibunuh di hadapan pejabat akhbarnya, El Espectador, di Bogotá, pada 17 Disember 1986. Penulisan Cano telah menyinggung raja-raja dadah Colombia yang berkuasa.

UNESCO juga menyambut Hari Kebebasan Akhbar Sedunia setiap tahun dengan mengumpulkan profesional media, pertubuhan kebebasan akhbar dan agensi-agensi PBB bagi menilai keadaan kebebasan akhbar sedunia dan membincangkan penyelesaian bagi cabaran-cabaran.

Setiap persidangan berkisar pada tema yang berkaitan dengan kebebasan akhbar, termasuklah tadbir urus yang baik, liputan media untuk pengganasan, pengecualian dari hukuman dan peranan media dalam negara-negara pasca-konflik.

Selamat menyambut Hari Kebebasan Akhbar Sedunia.

BACA INI JUGA: Hilangkah Sudah Kebebasan Bersuara Di Malaysia?

sumber: wikipedia