Thursday, May 04, 2017

Sambutan Hari Bomba Sedunia

Loading...

Sambutan Hari Bomba Sedunia disambut pada 4 Mei setiap tahun bagi menghargai tugasan anggota bomba dalam menghadapi cabaran pelbagai bencana, namun terus fokus terhadap peningkatan kualiti perkhidmatan.

Bomba

Tugas bomba tidak hanya tertumpu kepada kebakaran semata-mata tetapi turut terlibat dalam operasi penyelamatan berkaitan kes lemas, kemalangan jalan raya dan pelbagai bencana.

Anggota bomba sentiasa berkhidmat tanpa menghirau penat lelah mengharungi pelbagai cabaran bencana demi menyelamatkan nyawa dan harta benda.

Selain itu, usaha-usaha mendekati masyarakat dan melibatkan mereka dalam aktiviti kebombaan, sebagai langkah pro aktif bagi mencegah kebakaran daripada berlaku malah antara usaha yang telah dan sedang dilakukan bagi memperkasa pasukan bomba sukarela dan menubuhkan lebih banyak pasukan bomba komuniti.

Anggota Bomba yang berkhidmat perlu diberikan penghargaan dan bentuk penghormatan yang sewajarnya berikutan mereka berhadapan dengan pelbagai bahaya dan cabaran ketika melaksanakan tugas serta menggalas tanggungjawab.

Menghargai dan menghormati perkhidmatan ahli bomba tidak memadai sekadar hanya menganugerahkan medal, sijil dan cenderamata serta tidak mencukupi dengan ucapan dan surat pujian.

Sambutan Hari Anggota Bomba akan lebih bermakna jika acara sambutan diisi dengan acara-acara berunsur spirituil, berunsur ilmu, berupaya meningkatkan penghayatan masyarakat dan aprisiasi negara, serta dilengkapi dengan program-program yang dapat memberikan impak bermakna, berupaya membawa perubahan-perubahan substantif kepada perkhidmatan yang memberikan manfaat jangka panjang.

Menghargai dan menghormati khidmat anggota bomba hendaknya tidak terbatas kepada program-program berbentuk perbarisan, pameran, persembahan budaya atau jamuan.

Terdapat lima perkara yang perlu dilaksanakan iaitu;

Pertama, memperkasa program latihan dan tatacara operasi yang dapat meningkatkan tahap profesional anggota.

Kedua, mengenal pasti peralatan terkini yang diperlukan dalam menghadapi cabaran senario semasa untuk membolehkan perkhidmatan yang lebih efektif dapat diberikan.

Ketiga, dengan menilai prosedur operasi dan kelengkapan yang perlu dibekalkan untuk meminimumkan risiko para anggota ketika menjalankan tugas.

Keempat, merangka pakej perkhidmatan dan program kebajikan para anggota bukan sahaja semasa berkhidmat tetapi lebih penting pada usia tua persaraan, setimpal dengan tahap pengorbanan, beban tanggungjawab dan risiko yang dihadapi oleh anggota.

Kelima, meningkatkan kesedaran negara dan masyarakat akan pengorbanan ahli bomba agar negara dan masyarakat memberikan apresiasi yang lebih tinggi kepada ahli bomba semasa dalam perkhidmatan dan setelah bersara daripada perkhidmatan.

Pengorbanan
Ketika melaksanakan tugas, para anggota telah menunjukkan sifat pengorbanan, sifat keinsanan dan sifat kemanusiaan yang tinggi dengan melaksanakan tanggungjawab tanpa mengenali waktu dan lelah, berpanas, berembun, berhujan, meredah air, mengharung lumpur, mendaki bukit, memanjat bangunan, menghadapi bahaya serta menanggung risiko, sedaya mungkin menghulurkan pertolongan kepada mangsa bencana.

Semangat berkhidmat dan semangat pengorbanan anggota bomba merupakan satu amal makruf dalam usaha melaksanakan tanggungjawab fardu kifayah.

Selamat menyambut Hari Bomba Sedunia.

BACA INI JUGA: Gambar Keldai 'Bantu' Bomba Padamkan Api Jadi Viral

sumber: peraktoday

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon