Wednesday, March 22, 2017

Hattan Tak Bayar Hutang Hampir RM1 Juta Punca Wanita Muflis?

Hattan Tak Bayar Hutang Hampir RM1 Juta Punca Wanita Muflis?

Industri hiburan minggu ini dikejutkan dengan pendedahan panas seorang wanita yang dikenali sebagai Noor Maszura Abu Bakar mendakwa telah ditipu oleh Datuk Hattan.

Datuk Hattan menipu

Ia menyebabkan dia diisytiharkan muflis dan berhutang hampir RM1 juta.

Pendedahan yang dibuat menerusi video berdurasi 20 minit itu, sekali gus membuatkan masyarakat mula berpandangan negatif terhadap Datuk Hattan.

Bagaimana, Datuk Hattan yang dihubungi, tampil mempertahan dirinya dengan menyifatkan dakwaan wanita itu adalah fitnah terhadapnya semata-mata dan satu laporan polis telah dibuat berhubung isu itu.

Pun begitu, konflik ‘tuduh-menuduh’ ini tidak berakhir di situ, apabila Noor Maszura atau mesra dipanggil Kak Zab pula mengambil pendekatan lebih berani mendedahkan bukti dokumen syarikat.

Ia jelas mempamerkan nama sebenar Datuk Hattan iaitu, Mohd Shukri bin Shahabuddin beserta tanda tangannya.

“Celah mana aku nak fitnah… nama kau memang terpampang dalam dokumen syarikat. Mohd Shukri bin Shahabuddin nama kau kan? Siap ada tanda tangan kau.

“Ni memang bukti-bukti syarikat tu memang dia yang punya dulu. Keluarkan nama dia, masukkan nama kami. Lepas tu dia buat pinjaman semua… Kata aku fitnah.. jangan buat cerita bodoh la beruk,” tulisnya.

Datuk Hattan menipu

Difahamkan, isu penipuan yang dialami Kak Zab ini telah pun berlarutan sejak 15 tahun lalu.

Terdahulu, Kak Zab menerusi satu video yang dimuat naik di laman sosialnya mendakwa Datuk Hattan telah menggunakan namanya dan suami, bekas vokalis kumpulan Baji, Abang Yusuf Abang Daud sebagai penjamin untuk pinjaman bank.

Kisah hitam itu bermula apabila, mereka suami isteri telah dilantik sebagai pengarah sebuah syarikat milik Datuk Hattan.

Dakwa Kak Zab, Datuk Hattan kemudian telah melakukan beberapa pinjaman antaranya pinjaman rumah dan kereta berjumlah hampir RM1 juta atas nama syarikat.

Dia bersama suami terjerat setelah Datuk Hattan dikatakan tidak membayar pinjaman itu sekali gus membuatkan Kak Zab dan suami diminta melangsaikan pinjaman itu sebagai penjamin.

BACA INI JUGA:

sumber: mynewshub

David Rockefeller Lelaki Paling Berkuasa Dunia Meninggal Pada Usia 101 Tahun

David Rockefeller Lelaki Paling Berkuasa Dunia Meninggal Pada Usia 101 Tahun

Billionaire David Rockefeller dilaporkan telah meninggal dunia dalam tidur di rumahnya yang terletak di Poncantico, New York pada umur 101 tahun.

David Rockefeller

David Rockefeller merupakan generasi terakhir sebuah keluarga yang sangat terkenal di Amerika Syarikat dan merupakan cucu kepada pengasas syarikat Standard Oil, John D Rockefeller.

Antara kata-katanya yang popular ialah, ” Sistem Kapitalisma di Amerika telah banyak membawa faedah kepada ramai orang berbanding sistem di negara-negara lain dalam sejarah dunia,” katanya.

“Masalahnya adalah melihat sistem ini dijalankan dengan cekap dan sejujur yang mungkin.”

David Rockefeller menghabiskan pelajarannya di Harvard pada 1936 dan menerima ijazah doktor falsafah dalam bidang ekonomi.

Beliau berkhidmat dalam perang dunia kedua sebelum mengembangkan kerjayanya dalam industri perbankan di Chase Bank yang kini dikenali sebagai JPMorgan Chase.

Dari segi pengaruhnya kepada dunia, ada laporan yang mengatakan David Rockefeller adalah satu-satunya penasihat kepada satu badan dunia yang misteri di mana ahlinya terdiri daripada golongan-golongan elit global yang dipanggil sebagai Bilderberg Group.

Namun, ada juga penentang beliau seperti Benjamin Fulford yang mengkritik Rockefeller tentang usaha kepada penubuhan sebuah kerajaan dunia.

David Rokefeller mengatakan pada 2007, “Saya tak rasa kita benar-benar memerlukan satu kerajaan dunia.”

“Kita memerlukan kerajaan di dunia yang bekerjasama, tetapi saya tidak rasa kita perlukan satu kerajaan dunia — atau, walaupun pun ia diperlukan — bagi mempunyai satu kerajaan dunia yang dipilih oleh penduduk di seluruh dunia.”

Sesetengah orang juga menggelarkan beliau sebagai “pentadbir dunia” (ruler of the world) di bawah undang-undang beliau.

David Rockefeller juga dilaporkan menjadi penasihat secara rahsia kepada setiap Presiden Amerika Syarikat sejak Eisenhower.

Namun belum ada fakta sebenar tentang kewujudan satu badan dunia misteri yang dijalankan secara rahsia ini.

Beliau juga sering menepis dakwaan yang mengaitkan beliau kepada ‘New World Order’ dan tidak pernah lagi mengakui perkara ini.

“Ada orang yang percaya kami adalah sebahagian dari satu usaha rahsia dan menjadikan saya sebagai sasarannya yang mana mereka mengatakan kami membina satu struktur ekonomi dan politik global tunggal — one world," kata David Rockefeller.

BACA INI JUGA:

sumber: moshed

Apa itu Selesema Burung H5N1?

Apa itu Selesema Burung H5N1?

Selesema burung ialah penyakit berjangkit yang boleh menjejaskan kesihatan dan menyebabkan kematian terutama kepada burung-burung domestik seperti ayam, angsa, itik dan ayam belanda.

h5n1

Virus avian influenza H5N1 ini telah mengakibatkan kematian haiwan ternakan dan kerugian kepada penternak ayam dan itik.

Apakah yang menyebabkan penyakit ini?

Selesema burung disebabkan oleh virus avian influenza (AI) yang biasanya boleh berjangkit kepada burung, kadang kala kepada babi dan jarang-jarang kepada kuda, anjing laut, ikan paus, manusia dan juga lain-lain binatang. Terdapat banyak jenis subtypes virus AI, misalnya H5N1.

Dari mana datangnya virus ini?

Virus ini telah wujud lebih dari se abad yang lalu dan wujud secara semulajadi dikalangan burung-burung liar yang selalunya tidak mengalami penyakit kesan dari virus tersebut.

Kenapa ketika ini selesema burung membimbangkan?

Subtype H5N1 yang mula-mula dikesan pada tahun 1997 tersebar dikalangan burung-burung di seluruh dunia pada masa kini.

Semenjak 2003 ianya telah merebak di Negara-negara Asia dan Eropah yang menyebabkan kadar kematian yang tinggi pada ayam itik dan burung liar.

Lebih 200 juta ekor ayam itik dan burung liar telah mati atau dibunuh disebabkan oleh virus ini semenjak tahun 1997.

Virus H5N1 juga boleh berjangkit kepada manusia dalam keadaan tertentu.

Dimanakah H5N1 telah dilaporkan?

Virus H5N1 telah dilaporkan di beberapa Negara tetapi pada masa ini aktif di China, Cambodia, Laos, Vietnam, Thailand, Indonesia, Kazakhstan, Mongolia, Russia, Turkey, Romania dan lain-lain negara.

Adakah penyakit selesema burung di Malaysia?

Malaysia bebas dari penyakit selesema burung sehingga Ogos 2004 apabila kes pertama dikesan di Kelantan.

Penyakit ini telah berjaya di benteras dengan segera dan Malaysia diiktiraf bebas dari penyakit ini pada 5 Januari 2005.

Kes terpencil sekali lagi dilaporkan kira-kira satu tahun kemudian di Kuala Lumpur.

Apakah tanda-tanda penyakit selesema burung pada unggas?
  • Murung dan kurang selera.
  • Batuk, bersin dan lelehan dari hidung.
  • Bengkak di kepala, balung, pial dan kaki.
  • Balung, pial dan kaki berubah warna kepada ungu.
  • Cirit berwarna kehijauan.
  • Pengeluaran telur jatuh.
  • Dalam kes yang teruk kematian mengejut berlaku dan kadar kematian tinggi.

Bagaimana penyakit selesema burung merebak?
  • Burung hijrah.
  • Pergerakan unggas yang terjangkit.

Bagaimana unggas mendapat jangkitan selesema burung?

Virus terdapat dalam najis, air liur dan lelehan dari hidung unggas yang terjangkit.

Unggas boleh dijangkiti apabila tersentuh dengan benda-benda ini, dengan unggas yang mati, makanan, air, peralatan, kenderaan dan lain-lain benda yang tercemar.

Apakah risiko jangkitan selesema burung kepada manusia?

Virus avian influenza biasanya tidak akan menjangkiti manusia tetapi orang boleh terjangkit apabila sentiasa bersentuhan rapat dengan unggas terjangkit dan najisnya.

Hanya 140 kes yang dilaporkan pada manusia, kebanyakkannya di Asia Tenggara (Vietnam, Thailand, Indonesia, Cambodia dan China) dengan 70 kematian, walaupun jangkitan ini tersebar luas pada unggas dan burung liar.

Bagaimana manusia boleh dijangkiti:
  • Melalui kontak dengan burung liar.
  • Melalui kontak binatang ternakan yang dijangkiti dan juga dari hasil binatang ternakan.
  • Pakaian, sarung kaki, kasut dan peralatan yang tercemar.
  • Semasa memberi makan dan minum kepada burung yang dijangkiti.

Tanda-tanda selesema burung pada manusia

Kanak-kanak yang terdedah dalam tempoh 2 hingga 8 hari akan menunjukkan tanda-tanda seperti berikut:
  • Demam.
  • Batuk.
  • Sakit tekak.
  • Sakit-sakit sendi.
  • Kesukaran bernafas.
  • Suara menjadi garau.
  • Bunyi gemersik (crackling) ketika bernafas.
  • Najis berdarah.
  • Jangkitan paru-paru.
  • Jangkitan mata (sakit mata).

Bagaimana Selesema Burung dikesan Pada Manusia?

Melalui ujian darah dan sampel akan diambil dari hidung dan tekak pesakit.

Bagaimana Selesema Burung dirawat? Adakah pengambilan antibiotik berkesan?

Pengambilan antibiotik tidak berkesan bagi penyakit viral. Penggunaan ubat antiviral seperti oseltamivir (dikenali sebagai Tamiflu) dan zanamavir boleh digunakan.

Ubat ini boleh mengurangkan virus ini dari membiak didalam badan dan boleh memperbaiki peluang untuk hidup, sekiranya ubat ini diberi dalam tempoh 48 jam.

Walau bagaimanapun, ubat oseltamivir tidak digalakkan untuk diberi kepada kanak-kanak dibawah umur 1 tahun.

Kebiasaannya ubat-ubat ini digunakan untuk influenza bermusim dan keberkesanannya dalam menentang selesema burung masih belum diketahui.

Perlukah kanak-kanak memakai penutup mulut bagi mengelakkan Selesema Burung?

Dinasihatkan untuk menggunakan penutup mulut jika berhubung rapat dengan mereka yang disahkan mempunyai Selesema Burung.

Bolehkah makan ternakan dan hasil ternakan ayam/burung dari kawasan yang mengalami wabak selesema burung?

Tiada bukti menunjukkan memakan daging ternakan dan telur yang dimasak dengan betul boleh menyebabkan jangkitan.

Virus ini akan mati jika dimasak, walau bagaimanapun, langkah-langkah pencegahan perlu diambil.

Virus H5N1 boleh didapati dalam telur sama ada di dalam (bahagian kuning dan putih) atau di kulit telur.

Telur dari kawasan ternakan yang dijangkiti virus ini tidak boleh dimakan mentah atau separuh masak.

Memasak daging, telur dan produk daging mengikut suhu yang betul boleh mengelakkan jangkitan silang berlaku.

Amalan pengendalian yang betul boleh mengelakkan penyakit bawaan makanan seperti salmonella:
  • Basuh tangan dengan air suam dan sabun selama 20 minit sebelum dan selepas mengendalikan ternakan dan telur ternakan.
  • Basuh papan pemotong dan lain-lain perkakas dapur dengan sabun dan air panas bagi mengelakkan daging atau telur mentah mencemari makanan lain.
  • Papan pemotong boleh dibersihkan dengan campuran larutan 1 sudu peluntur klorox dan 1 gelen air.
  • Masak daging dengan suhu sekurang-kurangnya165 darjah Fahrehheit. Pengguna boleh memasak dengan suhu yang lebih tinggi.
  • Telur hendaklah dimasak sehingga keras.
  • Caserols dan lain-lain masakan yang mengandungi telur hendaklah dimasak dengan suhu 160 darjah Fahrenheit.

Siapakah yang berisiko dijangkiti selesema burung?

Orang-orang yang bekerja dikalangan burung dan ayam itik, di rumah sembelih dan yang mengendali daging mentah dan baja (najis ayam) menghadapi risiko jangkitan.

Langkah-langkah pencegahan ialah:
  • Guna pakaian perlindungan yang lengkap (sarung tangan, gogal, kasut but, topeng, cover-all)
  • Sentiasa membasuh tangan
  • Kendali daging mentah dan produk dengan bersih

Adakah daging ayam selamat untuk dimakan?

Daging ayam itik dan telur yang dikeluarkan secara komersial di Negara ini adalah selamat untuk dimakan.

Kes yang terjadi di Negara kita adalah terhad kepada ayam yang lepas bebas.

Malah tidak ada bukti bahawa dengan memakan daging ayam itik dan telur boleh menyebabkan penyakit selesema burung, namun adalah wajar daging dan telur dimasak secukupnya.

Produk mentah perlu dikendalikan secara bersih terutama di tempat berlakunya wabak.

Apakah yang dilakukan oleh kerajaan kita?

Semenjak akhir tahun 2003, disebabkan ancaman dari burung hijrah dan penyeludupan di sempadan, survelan di Negara kita diperhebatkan untuk mengesan dan membasmi virus secepat mungkin.

Kawalan sempadan dan pemeriksaan veterinar di pintu masuk diperkukuhkan.

Apakah yang dilakukan oleh Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH)?

Selain dari memperketatkan pintu-pintu masuk negara, strategi kawalan penyakit ialah untuk mengesan virus AI dengan cepat dan mengambil tindakan segera untuk membasmi jangkitan dan mencegah wabak.

Langkah-langkah yang diambil untuk mengesan virus ialah:
  • Survelan klinikal dan virologikal di ladang-ladang ayam, itik, puyuh dan lain-lain ladang, burung yang diimport, kedai haiwan kesayangan, burung hijrah, zoo, aviary, ayam kampong, ayam sabung, kawasan sempadan, pasar, rumah sembelih dan lain-lain.
  • Sampel diambil secara berkala di semua premis ini untuk ujian di makmal.
  • Kadar kematian lebih dari 3% wajib dilaporkan ke JPH.
  • Larangan import dari Negara yang dijangkiti.
  • Siasatan serta merta jika ada laporan kematian pada unggas.

Apakah yang harus dilakukan oleh penternak ayam itik dan lain-lain premis unggas di dalam mencegah jangkitan selesema burung?
  • Kebersihan dan biosekuriti ladang sangat penting.
  • Penggunaan jaring kalis burung di bangsal ayam itik supaya burung liar tidak dapat masuk ke bangsal.
  • Beli stok ayam itik dari sumber yang boleh dipercayai.

Apakah yang perlu saya lakukan sebagai seorang awam untuk membantu ?
  • Lapor serta merta kepada JPH jika terdapat unggas yang sakit atau mati.
  • Jangan melupus sendiri unggas atau ayamitik yang mati.
  • Jangan memberi makanan kepada burung-burung liar.
  • Jangan impot atau membawa burung, daging ayam itik atau baja tanpa kebenaran dari pihak JPH.
  • Jangan membeli atau membawa balik burung haiwan kesayangan ke rumah tanpa pemeriksaan dari doktor veterinar.
  • Jika burung haiwan kesayangan anda sakit sila bawa ke doktor veterinar serta merta.
  • Jika iannya menunjukkan tanda-tanda penyakit seperti yang disebutkan diatas sila lapor ke JPH.
  • Lapor ke JPH jika anda mengetahui berkenaan penyeludupan burung atau daging secara haram.
  • Jangan menyertai pertandingan ayam laga atau apa-apa pertandingan burung yang haram.
  • Lapor ke JPH jika anda mengetahui berkenaan pertandingan ayam laga.

Mengapa Selesema Burung Berbahaya?

Walaupun selesema burung boleh menjangkiti manusia, tetapi tidak boleh merebak dari seorang ke seorang.

Walau bagaimanapun, virus ini boleh berubah mengikut masa. Jika ini berlaku akan menyebabkan epidemik yang teruk kerana imuniti semulajadi yang rendah di kalangan penduduk.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

15 Negara Asia Paling Tinggi Rasuah, Nombor 3 Sudah Dijangka!

15 Negara Asia Paling Tinggi Rasuah, Nombor 3 Sudah Dijangka!

Sebagai salah satu inisiatif dalam mengukur tahap aktiviti rasuah global, Transparency International telah membuat tinjauan kepada hampir 20,000 orang di 15 negara Asia Pasifik tentang rasuah di negara masing-masing.

paling rasuah

Laporan ini dibuat tepat pada masanya di mana kebanyakan kerajaan di Asia sedang menyediakan agenda mereka untuk menepati matlamat United Nations Sustainable Development Goals (SDGs).

SDG menetapkan keutamaan pembangunan pada tahun 2030, termasuk pengurangan jenayah kecurian dan rasuah.

Transparency International dalam laporannya menyatakan, hasil dari tinjauan mendapati satu dari empat orang memberi rasuah untuk mengakses perkhidmatan awam.

Tinjauan juga melihat agensi keselamatan sebagai perkhidmatan awam yang banyak menerima rasuah.

Secara keseluruhan, golongan miskin merupakan golongan yang paling banyak memberi rasuah.

Hanya satu dari lima orang yang mengatakan tahap rasuah di negara mereka semakin berkurangan, manakala dua dari lima orang mengatakan rasuah semakin meningkat.

Di China, hampir 75% dari tinjauan berpendapat rasuah semakin meningkat sejak tiga tahun lepas yang menunjukkan langkah-langkah yang telah diambil tidak berjaya membendung jenayah ini.

Rajah di atas menunjukkan hasil dari tinjauan pendapat yang dibuat kepada orang dewasa di 15 negara Asia tentang peningkatan rasuah di negara masing-masing.

Harus diingat ini adalah tinjauan pendapat dan bukan bermaksud statistik sebenar di negara-negara tersebut.

Hasil dari tinjauan menunjukkan pihak kerajaan dari Asia Pasifik perlu bertindak dan berusaha membendung perkara ini dan kerajaan perlu menepati janji mereka untuk memerangi rasuah dan juga komitmen mereka bagi mencapai matlamat United Nations Sustainable Development Goals (SDGs).

BACA INI JUGA: 5 Isteri Pemimpin Dunia Paling Boros Dalam Sejarah

sumber: moshed

35 Lokasi Dengan Air Paling Jernih Di Dunia

35 Lokasi Dengan Air Paling Jernih Di Dunia

Air yang jernih membiru dan bersih pastinya menjadi lokasi yang sangat menyeronokkan untuk mereka yang suka menyelam.

Kali ini kami bawakan 35 lokasi yang memiliki air yang jernih dan bersih. Ada yang boleh diminum terus tanpa perlu di masak!

1. Pulau Linapacan, Palawan, Filipina

Pulau Linapacan

Lokasinya di kawasan pedalaman menawarkan air yang jernih dan pantai yang bersih.

2. Maldives

Maldives

Kaya dengan hidupan laut dan terumbu karang. Menjadi pilihan ramai bagi yang ingin menikmati percutian menarik sebelum pulau-pulau di sini hilang di tenggelami air.

3. Dog Island, San Blas, Panama

Dog Island

Merupakan salah satu dari kawasan simpanan di bawah kepulauan Kuna (Kuna Island).

4. Cayo Coco, Cuba

Cayo Coco

Pernah dianugerahkan sebagai salah satu dari destinasi utama bagi peminat sukan skuba kerana kejernihan airnya.

5. Cala Macarelleta, Menorca, Sepanyol

Cala Macarelleta

Terletak di bahagian paling selatan Pulau Mediterranean di Menorca, Cala Macarelleta hanya boleh di jejaki dengan berjalan kaki atau dengan menaiki bot. Merupakan lokasi paling sunyi berbanding kawasan tumpuan pelancong lain di Sepanyol.

6. Sua Trench, Samoa

Sua Trench

Sua itu sendiri bermaksud kolam besar dalam bahasa Samoa. Kedalaman kolam semula jadi ini adalah 30 meter dengan air yang jernih.

7. Tasik Crater, Oregon

Tasik Crater

Kadar penglihatan di tasik ini adalah 43.3 meter, antara yang paling dalam boleh dilihat hingga ke dasar di dunia. Untuk ke tasik ini anda perlu melalui laluan berbatu. Perjalanan balik yang mendaki merupakan antara cabaran yang perlu dihadapi.

8. Pantai Bak Bak, Borneo

Pantai Bak Bak

Aanda boleh ke sini dengan menaiki kenderaan selama 3 jam 30 minit dari Kota Kinabalu, Sabah.

9. Jiuzhaigou Valley, Sichuan, China

Jiuzhaigou Valley

Diwartakan sebagai taman negara oleh Kerajaan China .

10. Semporna, Sabah, Malaysia

Semporna

Sabah masuk senarai bah! Semporna memang terkenal dengan kejernihan airnya. Semporna juga menjadi hub bagi peminat aktiviti skuba di sekitar Sabah.

11. Tasik Jenny, Wyoming

Tasik Jenny

Terletak hampir di kemuncak gunung Grand Teton, yang terkenal di kalangan pendaki. Walaupun motor bot di benarkan di tasik ini, kejernihan airnya masih terpelihara. Harapan kami ia kekal begitu hendaknya.

12. Rio Sucuri, Brazil

Rio Sucuri

Terletak di daerah Pantana, Brazil, sungai ini yang kaya dengan berbagai tumbuhan di dasarnya diwartakan sebagai sungai paling jernih di dunia. Anda juga berpeluang untuk melakukan aktiviti snorkeling jika ke sini.

13. Calanque de Sormiou, France

Calanque de Sormiou

Merupakan teluk dengan dinding batuan yang curam sepanjang 20km dari Marseille and Cassis. Selain dari air yang jernih dan pantai yang cantik, Calanque juga digemari oleh para pendaki.

14. Pulau Panari, Okinawa, Jepun

Pulau Panari

Juga di panggil pulau Aragusuku merupakan sebahagian dari kepulauan Yaeyama di Jepun. Dikenali sebagai lokasi terbaik untuk aktiviting menyelam dan kaya dengan berbagai hidupan laut dan terumbu karang sebesar saiz di Great Barrier Reef.

Dianggarkan terdapat lebih dari 400 jenis karang laut, 5 jenis penyu, ikan pari, jerung dan berbagai jenis hidupan laut tropika di sini.

15. Puerto Ayaro, Galapagos

Puerto Ayaro

Walaupun bandar ini memiliki populasi penduduk terpadat di Galapagos, namun ia masih menawarkan air yang jernih dan bersih. Iguana, singa laut, ikan pari dan berbagai spesis ikan dapat dilihat berkeliaran bebas di sini.

16. Tasik Tahoe, Nevada

Tasik Tahoe

Gambar di bawah telah di ambil di sekitar bukit bonsai, si bahagian timur pesisir tasik ini. Merupakan lokasi yang tidak begitu diketahui bukan saja oleh pelancong tapi juga penduduk tempatan di sini.

17. Cayos Cochinos, Honduras

Cayos Cochinos

Lokasinya adalah di bahagian tengah teluk Carribean, Honduras.

18. Primosten, Croatia

Primosten

Di Teluk Adriatic, utara Split, Primosten di wartakan sebagai pantai tercantik di Croatia.

19. St George, Bermuda

St George

Merupakan pulau jajahan Britain ini menawarkan air yang jernih di sekitarnya.

20. Hanauma Bay, Oahu, Hawaii

Hanauma Bay

Jika anda ke sini pada hujung minggu, ia dipenuhi oleh ramai pengunjung. Tapi pada hari biasa, anda berpeluang untuk menikmati air yang jernih dalam suasan damai.

21. Pupu Springs, New Zealand

Pupu Springs

Terletak di puncak Golden Bay, South Island, dianggarkan 14,000 liter air mengalir ke sini setiap saat pada musim bunga.

22. Calanque d’En-Vau, Perancis

Calanque d’En-Vau

Satu lagi teluk dengan air yang bersih di Peracis. Tebing di teluk ini lebih curam dari Sormiou, terpencil, sunyi dan airnya sangat jernih.

23. Rio Azul, Argentina

Rio Azul

Air yang jernih sehingga boleh diminum tanpa perlu di masak, hanya di Rio Azul berhampiran El Bolsón, Patagonia, Argentina.

24. Corfu, Greece

Corfu

Pada kurun 1900, mereka yang berkunjung ke sini adalah golongan bangsawan dan kerabat diraja Eropah. Kini Corfu dikunjungi ramai dan berbagai pakej ditawarkan oleh syarikat pelancongan di sini.

25. Aitutaki, Pulau Cook

Aitutaki

Pernah dianugerahkan sebagai pulau tercantik di dunia pada June 2010 oleh pengasas Tony Wheeler; Lonely Planet.

26. Koh Phi Phi Don, Thailand

Koh Phi Phi Do

Menjadi terkenal selepas penggambaran filem The Beach dilakukan di pulau sebelahnya iaitu pulau Koh Phi Phi Leh. Hari ini Koh Phi Phi dikunjungi ramai kerana airnya yang jernih.

27. Playa Blanca, Colombia

Playa Blanca

Mengambil masa 45 minit perjalanan dengan bot dari Cartagena, air di sini jernih dan biru berkilauan.

28. Tasik Biru (Blue Lake) New Zealand

Tasik Biru

Lokasi tasik ini adalah di Nelson Lakes National Park, bahagian Southern Alps of New Zealand.

29. Königssee, Jerman?

Königssee

Ramai yang masih tercari-cari di manakah sebenarnya lokasi ini dan siapakah fotografernya? Kemungkinan besar lokasinya adalah di Königssee, atau mungkin di sempadan antara Bavaria dan Austria.

30. Valle Verzasca, Switzerland

Valle Verzasca

Air yang jernih di sungai Verzasca ini mengalir di sepanjang 30km di lembah berbatu di Switzerland ini.

Empangan dengan nama yang sama telah dijadikan lokasi penggambaran filem James Bond – Goldeneye telah menyekat aliran air sungai ini hingga membentuk Lago di Vogorno.

31. Pulau Tioman, Malaysia

Pulau Tioman

Sekali lagi, salah satu dari lokasi di Malaysia masuk senarai. Lokasi di mana gambar ini diambil adalah di Kampung Genting, Pulau Tioman.

32. Belo Sur Mer, Madagascar

Belo Sur Mer

Ross Borden, fotografer yang mengambil gambar ini menceritakan lokasi terpencil ini ditemui hasil maklumat dari penduduk tempatan.

Beliau sangat teruja sewaktu menghabiskan 2 hari di sini, melihat cara hidup masyarakat asli di sini dan melihat berbagai hidupan laut dalam di tempat yang alamnya masih terpelihara bersih ini.

33. Tasik Marjorie, California

Tasik Marjorie

Tasik yang jernih dengan pemandangan menarik pada ketinggian 11,132 dari aras laut.

34. Bodrum, Turki

Bodrum

Wilayah Bodrum ini disenaraikan antara 7 keajaiban dari zaman purba. Air di sini sangat jernih hinggakan terasa seperti motorbot sedang terapung di udara.

35. Lokasi misteri

misteri

Lihatlah ikan pari yang terdampar di dasarnya dapat dilihat dengan jelas. Lokasi yang tak dapat di kesan. Mungkinkah kepulauan di sekitar Asia Tenggara?

BACA INI JUGA:

sumber: thevocket

Sambutan Hari Air Sedunia, World Water Day

Sambutan Hari Air Sedunia, World Water Day

Tanggal 22 Mac setiap tahun merupakan Sambutan Hari Air Sedunia, World Water Day, yang bermula pada tahun 1993, sebagai satu hari untuk memberi perhatian dan menyedari akan kepentingan air bersih terhadap penduduk dunia.

World Water Day

Pada hari sambutan hari air sedunia, negara-negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan melaksanakan rancangan yang telah dipersetujui bersama dalam menggalakkan aktiviti berkaitan sumber air dunia.

Sambutan Hari Air Sedunia juga memfokuskan segala isu berkaitan air dengan lebih berkesan selain memperbaiki dan merangka persedian dimasa hadapan.

Air merupakan sumber utama dalam pembangunan dan melalui sumber air, pelbagai perkhidmatan disediakan, menyokong pengurangan kemiskinan, mempertingkatkan pertumbuhan ekonomi dan kelestarian alam sekitar.

Dari makanan dan tenaga sehinggalah kesihatan manusia dan alam sekitar, air menyumbang kepada peningkatan kesejahteraan sosial dan pertumbuhan inklusif yang memberi kesan kepada kehidupan berbilion-bilion manusia diseluruh dunia.

Air yang menyelaputi lebih daripada 70 peratus permukaan bumi ini membuktikan betapa pentingnya air kepada semua hidupan dan alam.

Tanpa air, tiadalah kehidupan di dunia ini. Hanya setitik mampu merubah segalanya.

Oleh kerana itulah air amat penting sebagai sumber pembangunan yang mampan untuk manusia sejagat.

Sejarah Sambutan Hari Air Sedunia

Secara rasminya, sambutan hari air sedunia ini diajukan dalam agenda 21 pada pertemuan di Rio de Janeiro, Brazil pada tahun 1992 oleh badan PBB yang mengurus persekitaran dan pembangunan (UNCED - United Nations Conferece on Environment and Development).

Isu air terus berkembang dan menjadi perhatian serta mendapat sokongan dari masyarakat sehingga lah ke hari ini.

PBB dan anggotanya, menyeru penetapan Hari Air Sedunia ini dan menyarankan untuk dipromosi melalui perhimpunan aman.

Setiap tahun, sebuah pertubuhan dunia dalam isu air akan menyusun jadual sambutan diperingkat antarabangsa untuk sambutan Hari Air Sedunia.

Sejak 2003, UN-Water bertanggungjawab dalam menyebarkan tema, maklumat berkenaan dengan sambutan Hari Air Sedunia.

Sejak tahun 1997, WWC (World Water Council) berjaya mengajak ribuan peserta dalam pertemuan Forum Air Dunia, selama sebulan dalam sambutan Hari Air Sedunia.

Penyertaan pertubuhan dan NGO menekankan bahawa isu penyediaan air bersih bagi jutaan umat manusia dalam penggunaan air bersih bagi semua keluarga adalah sangat penting.

Tema Sambutan Hari Air Sedunia

Untuk sambutan Hari Air Sedunia, UN telah mengenal pasti cabaran yang akan datang dan menetapkan tema sambutan iaitu:
  • Hari Air Sedunia 2018 - 'Penyelesaian Mesra Alam Untuk Air' (Nature-based Solutions for Water)
  • Hari Air Sedunia 2017 - 'Sisa Buangan Air' (Wastewater)
  • Hari Air Sedunia 2016 - 'Air dan Pekerjaan' (Water and Jobs)
  • Hari Air Sedunia 2015 - 'Air dan Pembangunan Mampan'
  • Hari Air Sedunia 2014 - 'Air dan Tenaga'
  • Hari Air Sedunia 2013 - 'Kerjasama Air' (Water Cooperation)
  • Hari Air Sedunia 2012 - 'Air dan Keselamatan: Dunia Kehausan, Kita Kelaparan'
  • Hari Air Sedunia 2011 - 'Air untuk Bandar'
  • Hari Air Sedunia 2010 - 'Air yang Bersih untuk Dunia yang Sihat'
  • Hari Air Sedunia 2009 - 'Perairan Merentasi Sempadan'
  • Hari Air Sedunia 2008 - 'Pemulihan'
  • Hari Air Sedunia 2007 - 'Menangani Kekurangan Air'
  • Hari Air Sedunia 2006 - 'Air dan Budaya'
  • Hari Air Sedunia 2005 - 'Air untuk Kehidupan'
  • Hari Air Sedunia 2004 - 'Air dan Bencana'
  • Hari Air Sedunia 2003 - 'Air untuk Masa Hadapan'
  • Hari Air Sedunia 2002 - 'Air untuk Pembangunan'
  • Hari Air Sedunia 2001 - 'Air untuk Kesihatan'
  • Hari Air Sedunia 2000 - 'Air untuk Abad ke-21'
  • Hari Air Sedunia 1999 - 'Kehidupan Semua pada Aliran Air'
  • Hari Air Sedunia 1998 - 'Air Bawah Tanah - Sumber yang Tidak Kelihatan'
  • Hari Air Sedunia 1997 - 'Air Dunia: Adakah Ia Mencukupi?'
  • Hari Air Sedunia 1996 - 'Air Untuk Kota yang Dahaga'
  • Hari Air Sedunia 1995 - 'Air dan Wanita'
  • Hari Air Sedunia 1994 - 'Peduli pada Sumber Air adalah Kepentingan Semua Pihak'

Hargai Air

Kita semua memahami dan tahu akan kepentingan air kepada kehidupan. Hargailah air kerana ianya amat berharga.

Kita semua telah mengalami keperitan dan kesusahan apabila tiada bekalan air bersih untuk keperluan harian,

Begitu juga dengan bencana yang disebabkan oleh air yang memberi dugaan besar kepada sebahagian dari kita.

Oleh itu, elakkan pembaziran dan bersama menjaga kebersihan sumber air semulajadi serta alam sekitar.

Semoga kita semua tidak menghadapi sebarang masalah serius dalam pembekalan air bersih dan sumber air semulajadi akan terus kekal terpelihara.

Selamat menyambut Hari Air Sedunia.

BACA INI JUGA:

sumber: relaksminda | kompasiana

Tuesday, March 21, 2017

Sambutan Hari Kayu Sedunia, World Wood Day

Sambutan Hari Kayu Sedunia, World Wood Day

Sambutan Hari Kayu Sedunia, World Wood Day adalah acara yang disambut setiap tahun pada 21 Mac, pada hari yang sama bagi sambutan Hari Hutan Antarabangsa, untuk menyerlahkan kayu sebagai biomaterial mesra alam dan boleh diperbaharui.

Hari Kayu Sedunia

Sambutan Hari Kayu Sedunia juga adalah untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kayu dalam dunia yang mampan melalui biodiversiti dan pemuliharaan hutan.

Sambutan unik Hari Kayu Sedunia mengingatkan kita semua mengenai kepentingan dan nilai sebenar kayu dan bertanggungjawab dalam penggunaan sumber ini.

Hari Kayu Sedunia yang disambut pada tanggal 21 Mac ini, turut melambangkan permulaan musim bunga.

Sambutan Hari Kayu Sedunia telah dicadangkan oleh Culture Society Wood International (IWCS) dan mula disambut pada tahun 2013 di Tanzania.

Kejayaan sambutan Hari Kayu Dunia pertama, telah mendorong keperluan untuk menubuhkan Yayasan World Wood Day (organisasi bukan berasaskan keuntungan) pada tahun 2013.

Lokasi dan tema Sambutan Hari Kayu Sedunia;
  • 2017 - USA, Roots
  • 2016 - Nepal, Nature & Culture
  • 2015 - Turkey, Wood & Humanity
  • 2014 - China, Wood in a Changing Culture
  • 2013 - Tanzania, A Cultural Approach to Achieve Wood is Good

Sambutan Hari Kayu Sedunia peringkat tempatan juga di seluruh dunia turut mengambil bahagian.

Selamat menyambut Hari Kayu Sedunia.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

7 Kata-kata Terakhir Individu Terkenal Dunia

7 Kata-kata Terakhir Individu Terkenal Dunia

Bagi individu-individu terkenal, kata-kata terakhir sebelum mereka meninggal dunia akan terus dikenang dan dijadikan bahan cerita.

Berikut merupakan antara kata-kata terakhir insan-insan terkenal yang sempat dicatatkan.

Malcolm X
"Saudara-saudara! Saudara-saudara, Tolong! Ini adalah rumah Keamanan!"

Malcolm X

Malcolm X ialah seorang menteri Afrika-Amerika yang beragama Islam, juga seorang penceramah umum serta seorang aktivis hak-hak asasi manusia.

Dia telah dirujuk sebagai salah seorang Afrika-Amerika yang paling berpengaruh dalam sejarah sedangkan para musuh menuduhnya bersikap perkauman, penguasaan kulit hitam dan keganasan.

Pada tahun 1950an dan 1960an, Malcolm X telah menjadi ahli Nation of Islam, sebagai salah seorang pemimpin organisasi dan juga jurucakap mereka.

Kurang setahun apabila dia meninggalkan Nation of Islam, Malcolm X telah dibunuh semasa sedang memberikan ceramah di Manhattan Audubon Ballroom.

Pada masa itu, dia sedang memberikan ucapan semasa perjumpaan bagi Organization of Afro-American Unity.

Semasa sedang berucap, tiba-tiba berlaku kekalutan dikalangan penonton yang hadir.

Semasa Malcolm X dan para pengawalnya bergerak ke tempat yang lebih selamat, seorang lelaki telah bergerak ke depan dan menembak Malcolm X di bahagian dada.

Dua orang lagi menembaknya menjadikan kesemuanya 16 das tembakan dan mengikut catatan, Malcolm X menemui ajal sebelum badannya jatuh ke lantai.

Kata-kata terakhirnya telah dilafazkan ketika dia cuba mendamaikan keadaan dikalangan penonton.

L. Frank Baum
"Sekarang saya boleh menyeberangi Pasir Bergerak."

L. Frank Baum

L. Frank Baum (1856-1919) ialah seorang penulis, penyajak dan penulis lakon layar pentas dari Amerika Syarikat yang paling dikenali dengan The wonderful Wizard of Oz.

Frank telah menulis sebanyak 13 buah sambungan bagi cerita Land of Oz dan pernah menerbitkan sebanyak 55 buah novel, 82 buah cerita pendek serta lebih 200 buah puisi dan sajak.

Dalam karya-karya tulisannya, Frank selalu menceritakan yang Land of Oz sentiasa dikelilingi oleh gurun yang mempunyai magik.

Malah, gurun itu mempunyai 4 sukuan berbeza yang dinamakan sebagai Gurun Berbahaya, Gurun Pasir Bergerak, Gurun Yang Tak Dapat Dilintasi dan Gurun Buangan Besar Berpasir.

Ia digunakan sebagai satu literasi untuk menerangkan kenapa Oz langsung terkeluar daripada dunia sebenar.

Malah, sesiapa sahaja yang menjejakkan kaki ke gurun tersebut akan bertukar menjadi pasir.

Pada 5 Mei 1919, L. Frank Baum telah diserang strok dan meninggal dunia pada keesokan harinya, 9 hari sebelum hari lahirnya yang ke 63.

Frank telah membisikkan kata-kata terakhirnya itu kepada isterinya beberapa jam sebelum kematiannya.

"Sekarang saya boleh melintasi Pasir Bergerak" itu sebenarnya merujuk kepada karyanya dalam Land of Oz.

Oscar Wilde
"Kertas dinding saya dan saya sendiri sedang bertarung bersama-sama sehingga ke mati. Salah seorang daripada kami harus pergi."

Oscar Wilde

Oscar Wilde (1854-1900), ialah seorang penulis skrip pentas, penyajak dan juga seorang penulis. Dia banyak menulis untuk cerita-cerita pendek dan juga sebuah novel.

Oscar Wilde sangat terkenal kerana kebijaksanaannya dan dia telah menjadi salah seorang penulis skrip pentas paling berjaya semasa zaman akhir era Victoria.

Dia juga berjaya mencapai status selebriti pada penghujung kurun ke 19, namun kemudiannya menghadapi kejatuhan dramatik selain turut pernah dipenjarakan selama dua tahun selepas disabit kesalahan melakukan hubungan homoseksual.

Oscar Wilde meninggal dunia akibat meningitis cerebral pada 30 November 1900 ketika berusia 46 tahun.

Oscar meninggal dunia di Hotel Left Bank dan berjaya mengekalkan sikap positif sehingga ke saat-saat akhir hayatnya dan dengan kata-kata terakhirnya, membandingkan kehidupannya yang bermasalah dengan kertas dinding di bilik hotelnya.

Sejak itu, kertas dinding tersebut telah ditanggalkan dari situ dan telah dihias semula dengan salah satu gaya yang ada di dalam sebuah flat kepunyaannya di London.

George Harrison
"Saling mencintai."

George Harrison

Mungkin ramai yang mengenali siapa George Harrison (1943-2001), kerana bukan saja dirinya sendiri yang terkenal, malah dia adalah sebahagian daripada kumpulan yang sangat popular di seluruh dunia.

George ialah seorang penulis muzik rock, penyanyi, penulis lagu selain pemain gitar utama bagi kumpulan The Beatles.

George seringkali dirujuk sebagai 'ahli Beatle yang pendiam' dan selalu dihargai sebagai salah seorang yang merevolusikan muzik rock.

George telah menulis banyak lagu-lagu hit kumpulannya termasuklah 'Here Comes The Sun', 'Something' dan 'While My Guitar Gently Weeps'.

Pada penghujung tahun 1990an, George telah mendapat penyakit kanser tekak dan pernah menjalani pembedahan di klinik Mayo untuk mengeluarkan ketumbuhan kanser daripada salah satu paru-parunya.

Pada bulan Julai 2001, George telah menjalani rawatan radioterapi untuk tumor otak di sebuah klinik di Switzerland, namun akhirnya pada 29 November 2001, George menemui ajalnya.

Kata-kata terakhirnya seperti yang dicatatkan oleh isterinya ialah, 'Saling mencintai."

Bob Marley
"Duit tidak boleh membeli kehidupan."

Bob Marley

Bob Marley ialah utama, pencipta lagu dan gitaris sebuah kumpulan reggae, Bob Marley & The Wailers.

Sehingga ke hari ini, Bob Marley terus dikenali sebagai seorang penghibur muzik reggae yang paling dikenali dan disanjung tinggi dan dihargai kerana usahanya melebarkan muzik Jamaica ke seluruh dunia.

Pada bulan Julai 1977, semasa sedang medapatkan rawatan untuk kecederaannya selepas sebuah perlawanan bola sepak persahabatan, dia didapati menghidap 'acral lengtiginous melanoma', sejenis penyakit 'malignat melanoma' dan kakinya perlu dipotong.

Bob Marley sebaliknya enggan menerima rawatan tersebut menyebabkan melanoma itu merebak ke paru-paru dan otaknya.

Bob Marley meninggal dunia di Hospital Cedars of Lebanon di Miami pada pagi 11 Mei 1981, pada usia 36 tahun.

Kata-kata terakhirnya diucapkan kepada anaknya, Ziggy.

Album kompilasinya, Legend (1984), telah diedarkan tiga tahun selepas kematiannya dan telah menjadi album reggae yang paling laris jualannya dan telah terjual lebih 20 juta unit di seluruh dunia.

Steve Irwin
"Jangan bimbang, mereka biasanya tidak akan berenang ke arah belakang."

Steve Irwin

Steve Irwin dikenali ramai kerana dia adalah ikon dari Australia yang juga personaliti televisyen, pakar hidupan liar, selain seorang penyokong kuat pemuliharaan.

Dia telah mencipta rancangan dokumentari bersiri The Crocodile Hunter dan juga pemilik dan pengurus Zoo Australia di Beerwah, Australia.

Pada 4 September 2006, Steve Irwin telah mengalami kemalangan yang tidak disengajakan apabila dadanya tercucuk duri ikan pari semasa melakukan aktiviti snorkerling di Great Barrier Reef di Batt Reef yang terletak di luar pantai Port Douglas, utara Queensland.

Akibat kemalangan itu, Steve Irwin telah mengalami kerosakan dalaman yang teruk dimana arteri jantungnya dan saluran darah utamanya terkoyak.

Kejadian itu berjaya dirakamkan dan salinannya telah diserahkan kepada polis Queensland.

Kata-kata terakhirnya itu sebenarnya merujuk kepada situasi pada masa itu yang menunjukkan ikan pari tidak berkelakuan biasa.

Mozart
"Rasa kematian sedang berada di bibir saya. Saya merasakan sesuatu yang tidak wujud di dunia ini."

Mozart

Wolfgang Amadeus Mozart (1756-1791) ialah seorang penggubah lagu yang prolifik dan berpengaruh semasa zaman klasikal.

Dia telah menggubah lebih 600 buah lagu yang mana kebanyakannya dianggap sebagai kemuncak kepada muzik simfonik, piano dan korus.

Mozart ialah seorang kanak-kanak genius dan telah menulis karya muziknya yang pertama pada usia lima tahun.

Mozart meninggal dunia pada pukul 1 pagi, 5 Disember 1791, pada usia 35 tahun, namun punca kematiannya telah dibahaskan selama bertahun-tahun lamanya.

Mozart mempunyai sejarah masalah kesihatan dan pernah menderita cacar kecil, tonsillitis, pneumonia, tifoid, demam, rheumatism dan penyakit gusi.

Mozart juga dikatakan menderita beberapa simptom penyakit misteri sebelum kematiannya.

Sakitnya bermula dengan bengkak ditangan dan kakinya yang kemudian berlanjutan kepada kesakitan yang mendadak di bahagian perut, selain kerap muntah.

Dengan keadaannya itu, Mozart berpendapat bahawa dia telah diracun dan kekal terjaga dalam dua jam terakhir dalam hidupnya.

Tubuhnya membengkak dengan teruk sehinggakan dia tidak mampu untuk duduk di katil dan tidak mampu bergerak.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Sambutan Hari Puisi Sedunia, World Poetry Day

Sambutan Hari Puisi Sedunia, World Poetry Day

Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) secara rasmi telah mengisytiharkan tarikh 21 Mac setiap tahun sebagai sambutan Hari Puisi Sedunia, World Poetry Day sejak 1999.

Hari Puisi Sedunia

Selepas pengisytiharan itu, banyak negara maju terutama di Barat telah menyambut hari tersebut dalam usaha mengangkat puisi sebagai salah satu medium bagi meningkatkan lagi daya pemikiran dan tamadun rakyat di negara masing-masing.

Malah, dalam konteks dunia kepenyairan tanah air, usaha-usaha sebegitu sudah lama cuba dihidupkan oleh para aktivis seni dan budaya tetapi ia hanya diraikan dalam skala yang kecil tanpa sokongan bersepadu daripada semua pihak terutama kerajaan.

Sebagai contoh, acara Baca Puisi Usman Awang yang antaranya diusahakan oleh Lyna Usman Awang iaitu anak Sasterawan Negara (SN), Allahyarham Datuk Dr. Usman Awang yang pernah diadakan di Sekolah Chong Hwa, Kuala Lumpur pada tahun 2009.

Melalui aktiviti sebegitu, para pelajar di sekolah persendirian Cina itu didedahkan dengan sajak-sajak tulisan Usman Awang yang dipetik daripada buku antologi arwah yang bertajuk Sahabatku, sekaligus dideklamasikan oleh para pelajar dan guru terbabit.

Rata-rata aktivis sastera termasuk penyair dan ahli akademik tempatan menyokong penuh agar diwujudkan Hari Puisi Negara di negara ini sempena sambutan Hari Puisi Sedunia agar cabang bidang seni ini dapat memberi sumbangan kepada masyarakat.

SN Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh berpendapat, negara ini yang juga mempunyai ramai penyair dengan karya-karya seni mereka yang sarat dengan daya intelek yang tinggi tidak seharusnya dibiarkan terperam dan seterusnya hilang ditelan zaman begitu sahaja.

Hari Puisi Sedunia telah diraikan di banyak negara tetapi Malaysia sahaja yang masih belum mengikut jejak langkah mereka.

Jika terdapat pelbagai jenis sambutan seperti Hari Ibu, Hari Guru, malah sehingga Hari Ulang Tahun Perisytiharan Tapak Warisan Dunia boleh diwujudkan di negara ini, mengapa tidak Hari Puisi Negara tidak boleh diraikan bersama para penggiatnya?

Mesej penyair

Melalui sambutan acara Hari Sedunia, diharap ia akan membuka mata banyak pihak dalam usaha mengkaji nilai-nilai pemikiran dan mesej-mesej yang cuba diketengahkan oleh golongan penyair dalam karya-karya mereka yang selama ini kurang dipedulikan oleh masyarakat.

Melalui sambutan Hari Puisi Sedunia ini, ia akan menggalakkan masyarakat terutama generasi muda mendekati dunia kesusasteraan sekaligus mempelajari, mengkaji dan seterusnya menghayati nilai-nilai pemikiran terdapat melalui sajak.

Sambutan Hari Puisi Sedunia juga akan menggalakkan anak-anak muda menghargai nilai kata-kata yang mulia dan gaya-gaya bahasa indah yang terdapat dalam puisi supaya ia dihayati.

Nilai-nilai sebeginilah yang harus dipegang dan dijadikan ikutan oleh golongan ini.

Masyarakat, terutama generasi muda seharusnya mempunyai kesedaran dalam membina nilai-nilai kecemerlangan dalam diri mereka dan ia antaranya dapat dicungkil melalui medium-medium sastera termasuklah melalui dunia puisi.

Karya-karya atau tokoh-tokoh sastera terkemuka juga boleh dijadikan tema pada setiap tahun setiap kali acara sambutan seperti ini diadakan bagi memberi ruang kepada ahli-ahli masyarakat mendalami serta menghayati secara lebih dekat mesej yang disampaikan.

Melalui pengisian pelbagai acara dalam aktiviti sambutan Hari Puisi, ia juga mampu memberi impak kepada peningkatan rasa kecintaan kepada Bahasa Kebangsaan dan penyatuan dalam kalangan masyarakat.

Tradisi Hari Puisi telah terputus sejak sekian lama dengan dunia sastera, puisi dan persuratan seperti tercemar dan dicemari pula oleh bahasa-bahasa slaga yang ‘cacamarba’.

Kesemua acara itu juga wajar disatukan dalam satu penganjuran majlis yang lebih besar dan diketengahkan pula menerusi acara yang lebih menyeluruh sifatnya agar budaya menghayati karya-karya seni yang halus dan berfaedah dapat diterapkan dalam masyarakat.

BACA INI JUGA:

sumber: utusan

Apa Itu Down Syndrome?

Apa Itu Down Syndrome?

Down Syndrome atau Sindrom Down berlaku apabila seorang bayi menerima unsur genetik tambahan di dalam sel mereka dan mereka biasanya mempunyai kromosom tambahan dalam setiap sel dan ini boleh menjejaskan keseluruhan bahagian badan.

Down Syndrome

Kesemua kanak-kanak dengan Down Syndrome mempunyai masalah pembelajaran, tetapi keseriusannya bergantung kepada kanak-kanak itu sendiri.

Pada sesetengah daripada mereka, masalah ini ringan sahaja, tetapi pada yang lain ia mungkin masalah yang teruk.

Mereka juga mempunyai ciri-ciri fizikal tertentu, namun ia berbeza mengikut individu.

Jika bayi anda didiagnos dengan Down Syndrome, dia mungkin mempunyai:
  • Otot dan sendi yang longgar dan dia mungkin kelihatan lembik
  • Satu sahaja garisan pada tapak tangan
  • Mata sepet, mulut dan telinga yang kecil
  • Bahagian belakang kepala yang leper
  • Badan yang lebih kecil dan ringan semasa lahir berbanding bayi lain
  • Bentuk badan yang pendek dan gempal

Mengapakah sesetengah bayi dilahirkan dengan Down Syndrome?

Dalam kebanyakan kes Down Syndrome, sukar untuk difahami mengapa ia terjadi.

Risiko melahirkan bayi dengan Down Syndrome lebih tinggi bagi wanita yang mengandung pada usia yang lewat.

Oleh kerana ini melibatkan profil genetik, sesetengah keluarga mempunyai risiko yang lebih tinggi, manakala bagi yang lain pula ia merupakan satu perkara yang berlaku secara rawak.

Jika bayi anda menghidap Down Syndrome, jangan salahkan diri sendiri.

Perkara ini bukan disebabkan oleh apa-apa perkara yang anda lakukan sebelum atau semasa hamil.

Bolehkah Down Syndrome didiagnos sebelum kelahiran?

Ya, anda boleh membayar untuk mendapatkan ujian-ujian ini yang dijalankan di klinik-klinik atau hospital-hospital swasta.

Saringan ini termasuk gabungan ujian darah dengan imbasan ultrabunyi (ultrasound).

Ujian-ujian saringan ini tidak dapat memastikan dengan tepat jika bayi anda mempunyai Down Syndrome.

Ia hanya boleh memberitahu samada terdapat risiko tinggi mengalaminya.

Jika keputusannya menunjukkan bahawa bayi anda mungkin mengalami Down Syndrome, anda boleh memilih untuk menjalani ujian-ujian lanjut seperti amniosintesis dan ujian vilus korionik (chorionic villus sampling - CVS).

Ini dilakukan dengan cara memasukkan sebatang jarum halus ke dalam uterus (rahim) dan mengeluarkan sedikit sel untuk diuji di makmal.

Terdapat sedikit risiko jangkitan atau keguguran dengan ujian-ujian tersebut.

Jika doktor mencadangkan ujian ini dijalankan, beliau perlu menerangkan dengan jelas tentang risiko dan kebaikan ujian-ujian ini.

Untuk mendiagnos Down Syndrome selepas bersalin, doktor kepada bayi anda akan membuat pemeriksaan fizikal dan menguji darah bayi untuk mengesan kehadiran kromosom tambahan.

Adakah bayi saya akan mempunyai masalah kesihatan?

Jika bayi anda didiagnos dengan Down Syndrome, anda tentu sekali risau mengenai masa depannya, lebih-lebih lagi kanak-kanak sepertinya biasanya boleh mengalami masalah kesihatan.

Down Syndrome boleh menjejaskan setiap bahagian badan dan mungkin menjurus kepada:
  • Masalah dengan pergerakan otot, sendi dan tulang
  • Masalah penglihatan dan pendengaran
  • Mudah terkena jangkitan
  • Masalah penghadaman
  • Paru-paru tidak normal
  • Kecacatan jantung

Mereka yang mempunyai Down Syndrome juga mempunyai risiko yang lebih tinggi mendapat leukimia dan masalah lain yang berkaitan dengan darah.

Penting bagi anak mendapat penjagaan kesihatan yang baik sepanjang hayatnya supaya sebarang masalah dapat dikesan dan diuruskan dengan baik.

Dia harus kerap dibawa mendapatkan pemeriksaan kesihatan termasuk ujian-ujian pendengaran dan penglihatan.

Anak anda juga perlu mendapat perhatian daripada mereka yang pakar dalam masalah pembelajaran.

Bagaimana dengan masa depan anak saya?

Semua kanak-kanak Down Syndrome mempunyai masalah pembelajaran namun, tahap keseriusannya berbeza bergantung kepada individu tersebut.

Kebanyakan kanak-kanak Down Syndrome dapat mencapai tahap perkembangan seperti belajar berjalan, menggunakan tandas, bercakap, membaca dan menulis, tetapi mereka mengambil masa untuk melakukannya bergantung kepada kemampuan sendiri.

Demi memastikan anak anda mencapai potensinya ialah dengan memastikan dia mendapat penjagaan kesihatan yang baik serta menerima sokongan yang sepatutnya dari segi sosial dan pendidikan.

Anak anda mungkin memerlukan bantuan tambahan seperti terapi percakapan, fisioterapi dan pendidikan khas.

Seperti mana kanak-kanak lain, anak Down Syndrome perlukan kasih sayang dan perhatian daripada keluarga, dan dia perlukan sokongan untuk membantu perkembangannya.

Sesetengah kanak-kanak Down Syndrome dapat mengikuti pelajaran di sekolah biasa.

Individu dewasa dengan Down Syndrome juga dapat hidup dengan sihat dan aktif sehingga melepasi usia 50 tahun.

Di manakah saya boleh mendapatkan bantuan?

Bantuan yang paling dekat ialah pakar kanak-kanak atau doktor keluarga yang biasa memeriksa anak anda.

Anak anda juga mungkin akan diletakkan di bawah penjagaan kumpulan pakar di hospital atau klinik kerajaan berdekatan.

Pakar kanak-kanak yang memeriksa anak anda mungkin akan merujuk anda kepada Yayasan Kiwanis Down Syndrome.

Di sini terdapat kelas-kelas untuk membantu dalam perkembangan dan pembelajaran anak anda.

Di Malaysia, kanak-kanak Down Syndrome boleh didaftarkan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk mendapatkan sumber-sumber dan sokongan tambahan.

Membesarkan anak dengan Down Syndrome boleh jadi satu cabaran besar.

Ia mungkin bukan sesuatu yang anda jangkakan. Ada masa-masa yang sukar dan yang indah juga.

Tetapi anda akan dapat banyak sokongan daripada keluarga-keluarga lain yang telah mempunyai pengalaman positif dalam membesarkan anak-anak Sindrom Down mereka.

BACA INI JUGA:

sumber: babycenter