Tuesday, March 21, 2017

Sambutan Hari Puisi Sedunia, World Poetry Day


Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) secara rasmi telah mengisytiharkan tarikh 21 Mac setiap tahun sebagai sambutan Hari Puisi Sedunia, World Poetry Day sejak 1999.

Hari Puisi Sedunia

Selepas pengisytiharan itu, banyak negara maju terutama di Barat telah menyambut hari tersebut dalam usaha mengangkat puisi sebagai salah satu medium bagi meningkatkan lagi daya pemikiran dan tamadun rakyat di negara masing-masing.

Malah, dalam konteks dunia kepenyairan tanah air, usaha-usaha sebegitu sudah lama cuba dihidupkan oleh para aktivis seni dan budaya tetapi ia hanya diraikan dalam skala yang kecil tanpa sokongan bersepadu daripada semua pihak terutama kerajaan.

Sebagai contoh, acara Baca Puisi Usman Awang yang antaranya diusahakan oleh Lyna Usman Awang iaitu anak Sasterawan Negara (SN), Allahyarham Datuk Dr. Usman Awang yang pernah diadakan di Sekolah Chong Hwa, Kuala Lumpur pada tahun 2009.

Melalui aktiviti sebegitu, para pelajar di sekolah persendirian Cina itu didedahkan dengan sajak-sajak tulisan Usman Awang yang dipetik daripada buku antologi arwah yang bertajuk Sahabatku, sekaligus dideklamasikan oleh para pelajar dan guru terbabit.

Rata-rata aktivis sastera termasuk penyair dan ahli akademik tempatan menyokong penuh agar diwujudkan Hari Puisi Negara di negara ini sempena sambutan Hari Puisi Sedunia agar cabang bidang seni ini dapat memberi sumbangan kepada masyarakat.

SN Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh berpendapat, negara ini yang juga mempunyai ramai penyair dengan karya-karya seni mereka yang sarat dengan daya intelek yang tinggi tidak seharusnya dibiarkan terperam dan seterusnya hilang ditelan zaman begitu sahaja.

Hari Puisi Sedunia telah diraikan di banyak negara tetapi Malaysia sahaja yang masih belum mengikut jejak langkah mereka.

Jika terdapat pelbagai jenis sambutan seperti Hari Ibu, Hari Guru, malah sehingga Hari Ulang Tahun Perisytiharan Tapak Warisan Dunia boleh diwujudkan di negara ini, mengapa tidak Hari Puisi Negara tidak boleh diraikan bersama para penggiatnya?

Mesej penyair

Melalui sambutan acara Hari Sedunia, diharap ia akan membuka mata banyak pihak dalam usaha mengkaji nilai-nilai pemikiran dan mesej-mesej yang cuba diketengahkan oleh golongan penyair dalam karya-karya mereka yang selama ini kurang dipedulikan oleh masyarakat.

Melalui sambutan Hari Puisi Sedunia ini, ia akan menggalakkan masyarakat terutama generasi muda mendekati dunia kesusasteraan sekaligus mempelajari, mengkaji dan seterusnya menghayati nilai-nilai pemikiran terdapat melalui sajak.

Sambutan Hari Puisi Sedunia juga akan menggalakkan anak-anak muda menghargai nilai kata-kata yang mulia dan gaya-gaya bahasa indah yang terdapat dalam puisi supaya ia dihayati.

Nilai-nilai sebeginilah yang harus dipegang dan dijadikan ikutan oleh golongan ini.

Masyarakat, terutama generasi muda seharusnya mempunyai kesedaran dalam membina nilai-nilai kecemerlangan dalam diri mereka dan ia antaranya dapat dicungkil melalui medium-medium sastera termasuklah melalui dunia puisi.

Karya-karya atau tokoh-tokoh sastera terkemuka juga boleh dijadikan tema pada setiap tahun setiap kali acara sambutan seperti ini diadakan bagi memberi ruang kepada ahli-ahli masyarakat mendalami serta menghayati secara lebih dekat mesej yang disampaikan.

Melalui pengisian pelbagai acara dalam aktiviti sambutan Hari Puisi, ia juga mampu memberi impak kepada peningkatan rasa kecintaan kepada Bahasa Kebangsaan dan penyatuan dalam kalangan masyarakat.

Tradisi Hari Puisi telah terputus sejak sekian lama dengan dunia sastera, puisi dan persuratan seperti tercemar dan dicemari pula oleh bahasa-bahasa slaga yang ‘cacamarba’.

Kesemua acara itu juga wajar disatukan dalam satu penganjuran majlis yang lebih besar dan diketengahkan pula menerusi acara yang lebih menyeluruh sifatnya agar budaya menghayati karya-karya seni yang halus dan berfaedah dapat diterapkan dalam masyarakat.

BACA INI JUGA:

sumber: utusan

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon