Friday, June 19, 2020

Tentera China Dan India Bertarung Sampai Mati Di Sempadan Yang Menjadi Rebutan!

Tentera China Dan India Bertarung Sampai Mati Di Sempadan Yang Menjadi Rebutan!

20 tentera India maut dalam pertempuran dengan askar China di sebuah kawasan sempadan yang dipertikaikan, dan puluhan lagi didakwa telah ditawan, sekali gus meningkatkan perbalahan selama dua minggu antara dua gergasi Asia di Himalaya barat.

Tentera China Dan India Berperang

Kementerian luar negeri China mengesahkan terdapat "konfrontasi fizikal yang ganas" di kawasan sempadan.

Namun, China tidak mendedahkan jumlah askarnya yang terkorban bagaimanapun, Kementerian Luar India berkata, askar kedua-dua pihak telah terkorban.

Sumber pemerintah India mengatakan pasukan itu bertempur dengan menggunakan batang besi serta batu dan tidak ada tembak menembak.

Kematian tersebut adalah yang pertama kali berlaku sejak pertembungan besar sempadan terakhir pada tahun 1967 antara jiran bersenjata nuklear itu, juga dua negara paling ramai penduduk di dunia.

China dan India telah membuat tuduhan mengenai siapa yang harus dipersalahkan dalam pertempuran yang berlaku di padang pasir salju di Ladakh, yang terjadi setelah para komandan tentera mengadakan pertemuan untuk menyelesaikan keadaan.

Sejak awal Mei 2020 lalu, ratusan tentera saling berhadapan di tiga lokasi, masing-masing saling menuduh menuduh pihak lain menceroboh.

Pada malam Isnin, sekumpulan tentera datang dan melakukan letupan di Lembah Galwan, kata tentera India dalam satu kenyataan, sambil menambah pada masa ini kedua-dua pihak mahu melepaskan diri.

Kedua-dua pihak telah membincangkan untuk menamatkan pertikaian tetapi pada suatu peringkat, sumber pemerintah India mengatakan, tentera China telah menyerang sekumpulan tentera India termasuk seorang pegawai.

Tentera China menyerang dengan tongkat besi, sehingga komandan itu cedera parah dan ketika itulah tentera India menyerbu dan menyerang dengan batu.

Menurut sumber tentera, pasukan keselamatan terbabit saling melayangkan tumbukan dan membaling batu manakala tentera China menyerang dengan batang kayu berpaku ketika pertempuran yang berlarutan selama lebih enam jam.

Terdahulu, India memaklumkan tiga anggota mereka terkorban dan seramai 17 lagi yang cedera parah dan terdedah kepada suhu di bawah sifar maut beberapa jam kemudian.

Keangkuhan

Sementara itu, Beijing mendakwa tentera India telah membuat tindakan provokasi dengan melintasi sempadan sebanyak dua kali dan turut menyerang anggota keselamatan mereka hingga menyebabkan kecederaan fizikal yang serius.

Tetapi, jurucakap Kementerian Luar India, Anurag Srivasta berkata, pertempuran itu berlaku susulan cubaan China untuk mengubah status quo di sempadan itu secara unilateral.

Perdana Menteri India, Narendra Modi menyatakan pengorbanan 20 anggota tentera India yang maut di sempadan tidak akan menjadi sia-sia.

"Pada kami, perpaduan dan integriti negara adalah paling penting. India mahukan keamanan, namun akan bertindak balas jika berdepan provokasi," tegasnya.

Sementara itu, akhbar tabloid, Global Times di China menyelar sikap angkuh India menegaskan, "Beijing enggan menukar isu sempadan menjadi konfrontasi dengan New Delhi".

Penganalisis tentera dan politik pula berpendapat India-China tidak mahu menyemarakkan lagi konflik tersebut.

"Pemimpin kedua-dua negara tidak mahu perang tercetus, namun mereka enggan melepaskan tuntutan wilayah mereka," kata felo kanan di Carnegie Endowment for International Peace di Washington, Dr Ashley J Tellis.

Amerika Syarikat (AS) yang turut terlibat konflik dengan China berharap penyelesaian damai terhadap isu itu dan akan memantau perkembangan krisis itu.

PBB juga senada AS dan menggesa kedua-dua belah pihak bertelagah supaya mengambil langkah meredakan ketegangan tersebut.

'Garis Kawalan Sebenar'

Bulan Mei 2020 lalu, tentera China berhadapan dengan tentera India di beberapa sempadan terpencil di banjaran Himalaya, sejauh lebih 1,000 kilometer.

Sejak itu, kedua-dua tentera negara itu mengerahkan ribuan anggota untuk mempertingkatkan kawalan di sepanjang sempadan yang juga dikenali sebagai 'Garis Kawalan Sebenar', lokasi tepat yang boleh dikaburi.

Penganalisis India berkata, China meningkatkan kekuatannya dengan trak, penggali, kapal pengangkut pasukan, artileri dan kenderaan perisai serta negara itu kini menduduki wilayah India.

Namun, pasukan tentera dari kedua-dua negara terbabit yang berkawal di bahagian atas dan bawah gunung mendapat perintah tegas untuk tidak menembak satu sama lain, menurut penganalisis keselamatan.

Bagaimanapun, ia tidak menghalang mereka untuk membaling batu atau bertempur dengan senjata kasar atau bertumbuk.

Pegawai ketenteraan India mendakwa tentera mereka dibunuh oleh tentera China dengan cara membaling batu.

Menurut penganalisis dasar luar, China lebih tegas meningkatkan usaha untuk mempertahankan tuntutan wilayahnya termasuk di banjaran Himalaya.

Sebelum ini, China telah menenggelamkan sebuah kapal nelayan Vietnam di Laut China Selatan, menyerbu pelantar minyak luar pesisir Malaysia, mengancam Taiwan dan memperketatkan cengkaman mereka di wilayah semi-autonomi Hong Kong.

Pertembungan dengan India disifatkan sesuai dengan corak ketegasan China yang lebih luas, kata Pengarah Projek India di Institusi Brooking di Washington apabila mengatakan bahawa ia adalah cetusan keempat sejak pemimpin 'kuku besi' negara tembok besar itu, Xi Jinping, berkuasa pada akhir tahun 2012.

INFO:
  • India dan China tidak pernah bersetuju tentang sempadan 'Garis Kawalan Sebenar'. Kedua-dua belah pihak menggunakan cadangan garisan sempadan yang berbeza dihasilkan Britain kepada China pada abad ke-19 untuk menyokong tuntutan mereka.
  • Pada tahun 1962, Perang China-India tercetus selepas Beijing membuat tuntutan ke atas wilayah pertikaian di Himalaya dan disusuli pertempuran berdarah pada 1967.
  • Pada tahun 1975, empat tentera India maut dalam insiden serangan hendap di garisan pemisah di Arunachal Pradesh.
  • Pada tahun 2017, konflik berlarutan selama 72 hari selepas pasukan tentera China mara ke dataran tinggi Doklam di sempadan China-India-Bhutan.
  • Pada 9 Mei 2020, krisis baharu tercetus selepas beberapa tentera China dan India cedera selepas saling berbalas tumbukan dan membaling batu di Naku La di negeri Sikkim yang bersempadan Bhutan, Nepal dan China.
  • Beijing mendakwa ia telah mencapai konsensus positif dengan India tentang usaha meredakan ketegangan di sempadan, namun tentera China didakwa tidak berganjak dari beberapa bahagian di Lembah Galwan dan utara tebing Tasik Pangong Tso selepas mereka dikerah ke kawasan itu.
  • Hubungan China-India semakin tegang selepas New Delhi membatalkan status khas di negeri Jammu dan Kashmir pada Ogos 2019 yang turut mencetuskan konflik dengan Pakistan.
  • Keputusan itu menyaksikan wilayah Ladakh yang sebahagiannya dituntut Beijing menjadi wilayah dibahagikan yang ditadbir India.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2 | 3

Kenapa Astaxanthin Digelar 'Raja Antioksidan'?

Kenapa Astaxanthin Digelar 'Raja Antioksidan'?

Kebanyakan masyarakat kita pada pada hari ini sudah lebih peka terhadap penjagaan kesihatan serta pengambilan makanan-makanan seimbang, sihat dan berkhasiat bagi memastikan tubuh terus kekal sihat sehingga ke hari tua.

Astaxanthin Super Antioksidan

Malah, ramai semakin sedar bahawa kesihatan adalah harta paling bermakna dalam hidup dan menjadi tugas kita untuk menghargai serta menjaganya.

Tidak hanya tertumpu kepada diet dan senaman, kini terdapat pelbagai sumber makanan semula jadi seperti sayur-sayuran dan buah-buahan yang banyak manfaat untuk kesihatan.

Kelebihan itu menjadikan ia baik untuk merawat luka secara semula jadi selain mencegah penyakit kronik seperti diabetes, bersifat anti kanser serta merawat sakit mata!

Malahan, ia dapat melindungi tubuh daripada radikal bebas yang merosakkan sel dalam badan.

Apa Itu Astaxanthin?

Astaxanthin mempunyai kandungan antioksidan paling tinggi yang baik untuk kesihatan, tapi pernahkah anda mendengar tentang astaxanthin? Kedengaran cukup asing bukan?

Tetapi sebenarnya ia juga mempunyai pelbagai manfaat yang cukup baik untuk kesihatan manusia.

Dalam bahasa mudahnya, astaxanthin semula jadi adalah karotenoid atau pigmen merah yang memberi warna kepada kebanyakan makanan yang kita jamah setiap hari.

Menurut Pakar Pemakanan Optixanthin, Audrey Chin, astaxanthin dapat dijumpai pada tumbuh-tumbuhan dan haiwan tetapi ia paling banyak ditemui pada rumpai laut, khususnya mikroalga Haematococcus pluvialis dan fitoplankton (unsur halus yang menjadi makanan ikan).

Atas sebab itu katanya, beberapa jenis hidupan laut yang berwarna merah atau merah jambu mempunyai astaxanthin seperti salmon, udang, ketam dan udang kara.

Astaxanthin Super Antioksidan

Perbandingan beberapa jenis makanan dengan astaxanthin dalam aspek pelindap kejutan oksigen tunggal (salah satu jenis radikal bebas).

Astaxanthin 'raja antioksidan', 6,000 kali lebih baik berbanding vitamin C

Astaxanthin juga mengandungi antioksidan yang mampu melindungi sel dalam badan serta meningkatkan fungsi dan sistem imunisasi tubuh manusia.

Ini menjadikan astaxanthin yang mengandungi kadar antioksidan yang cukup tinggi berpotensi untuk melindungi kesihatan mata dan otak, mencegah penyakit kronik, selain kesihatan kulit dan otot.

Maka tak hairanlah apabila astaxanthin mendapat jolokan sebagai 'raja antioksidan' memandangkan ia 6,000 kali lebih efektik berbanding vitamin C.

Malah, terdapat pelbagai kajian telah dilakukan oleh saintis terhadap astaxanthin dan mendapati ia berpotensi dalam memberi pencegahan dan rawatan kepada pelbagai jenis penyakit.

Berikut adalah beberapa kebaikan astaxanthin untuk tubuh manusia;

1. Menjaga kesihatan mata

Tahap kesihatan mata seseorang boleh terjejas disebabkan pelbagai faktor seperti peningkatan usia dan bagi penghidap diabetes yang tidak dikawal turut boleh menyebabkan penglihatan terjejas seperti ulser mata, katarak dan glaukoma iaitu tekanan tinggi di dalam bebola mata serta kerosakan pada urat mata (retina).

Itu belum lagi disebabkan oleh penggunaan komputer dan telefon pintar yang terlalu lama turut boleh menyebabkan kerosakan mata.

Astaxanthin adalah nutrien paling bagus untuk mata yang dapat memperbaiki otot mata, meningkatkan ketajaman penglihatan serta memperbaiki peredaran darah.

2. Menjaga kesihatan otak

Ramai tidak menyedari bahawa penjagaan kesihatan otak juga sama penting bagi manusia dan penggunaan astaxanthin dapat memberi pelbagai manfaat terutamanya kepada warga emas.

Sebagai antioksidan, astaxanthin berpotensi untuk mencegah pembentukan penyakit alzheimer yang biasanya dialami oleh individu yang sudah lanjut usia.

Tidak hanya itu, ia turut boleh membantu meningkatkan daya ingatan serta mengurangkan tekanan yang boleh memberi kelebihan kepada pelajar sekolah ketika menghadapi peperiksaan penting.

3. Sindrom metabolik

Sindrom metabolik adalah keadaan merangkumi tekanan darah tinggi, gula dalam darah dan tahap kolestrol.

Situasi ini biasanya berlaku disebabkan kurangnya perhatian terhadap menjaga kesihatan sekali gus meningkatkan risiko penyakit berkaitan kardiovaskular seperti jantung dan diabetes.

Astaxanthin dapat membantu mengawal peningkatan ketiga-tiga sindrom metabolik itu serta mengurangkan kadar trigliserida serta meningkatkan kolesterol high-density lipoprotein (HDL atau kolesterol baik) pada orang dengan kolesterol tinggi.

4. Menjaga otot

Bagi yang suka bersenam dan sering melakukan aktiviti bersukan, astaxanthin sangat membantu dalam meningkatkan prestasi fizikal anda.

Senaman berat seperti berenang, berlari dan mengangkat berat akan meningkatkan hormon stres (corsitol) serta peningkatan pelepasan radikal bebas dalam badan. Ia menyebabkan keletihan serta sakit otot semasa dan selepas latihan.

Astaxanthin dapat membantu meningkatkan daya tahan, stamina fizikal dan mengurangkan kesakitan otot yang dihadapi seseorang ketika melakukan aktiviti sukan.

Bagi warga emas yang ototnya sudah lemah, astaxanthin boleh membantu menguatkan otot mereka.

Manusia terdedah sumber radikal bebas setiap hari

Manusia memerlukan astaxanthin, memandangkan ramai daripada kita sentiasa terdedah dengan pelbagai sumber radikal bebas setiap hari.

Jumlah radikal bebas yang masuk ke dalam tubuh secara konsisten termasuk sumber luaran seperti pencemaran alam sekitar, asap rokok, radiasi, ubat tertentu serta sumber dalaman yang dihasilkan badan kita boleh menyebabkan kerosakan sel jika tidak terkawal.

Oleh itu, pengambilan makanan yang kaya dengan antioksidan sangat bagus untuk kesihatan tubuh.

Proses ini disebut sebagai pengoksidaan dan kajian turut membuktikan bahawa radikal bebas ini dapat dikaitkan berlakunya penyakit kronik seperti penyakit jantung, artritis dan barah.

Antioksidan adalah satu-satunya bahan yang dapat menghentikan radikal bebas ini daripada menyebabkan kerosakan kepada sel.

Tubuh secara semula jadi menghasilkan antioksidan untuk meneutralkan dan melawan bahaya radikal bebas ini.

Namun malangnya, antioksidan yang dihasilkan tubuh tidak mencukupi untuk menampung pelbagai radikal bebas yang terdedah kepada kita.

Atas sebab itulah kita perlu memilih sumber alternatif untuk mendapatkan antioksidan yang lebih baik.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar

SBDJ Siri 156: Misteri Senjata Lama

SBDJ Siri 156: Misteri Senjata Lama

Suasana bising dan jeritan dari dalam rumah menarik perhatian Tuk Siak. Tanpa membuang masa Tuk Siak masuk ke ruang rumah. Dia terpegun melihat si baju hitam menyerang datuk bertalu-talu. Mata liar merenung ke kiri dan ke kanan. Dia mencari saya yang bersembunyi di balik pintu.

SBDJ siri 139

Saya memberanikan diri lalu keluar dari tempat persembunyian. Bagi menarik perhatian Tuk Siak, saya ketuk daun pintu dengan buku lima beberapa kali.

Usaha saya itu berhasil. Tuk Siak segera memberikan isyarat dengan mengangkat tangan kanannya separas hidung, menyuruh saya meyembunyikan diri kembali. Saya patuh dengan permintaannya itu.

Dari balik pintu saya lihat Tuk Siak bergegas meninggalkan ruang rumah. Datuk terus mempertahankan diri dari menjadi korban lembing.

Si baju hitam tidak memberikan kesempatan untuk datuk berhenti bagi menghilangkan penat. Ternyata si baju hitam cukup handal.

Tumbukan datuk tidak memberikan apa-apa kesan pada dirinya. Saya tidak tahu bagaimana mahu memberhentikan pertarungan tersebut.

Saya menarik nafas, bila melihat Tuk Siak muncul kembali di ruang rumah. Kali ini dia ditemani oleh Haji Bagus.

"Kenapa jadi begini?" suara Haji Bagus meninggi tetapi, tidak dipedulikan oleh datuk dan si baju hitam. Mereka terus berjuang.

Melihat keadaan datuk yang kepenatan itu, Haji Bagus dan Tuk Siak segera mengatur langkah untuk membantu datuk.

Mereka rapat ke arah si baju hitam dan cuba memberkasnya. Sayangnya hasrat mereka tidak direstui oleh datuk.

"Jangan Abang Aji, jangan Tuk Siak. Biar saya selesaikan sendiri."

"Tapi, budak yang kamu lawan tu, lain macam aje nampaknya. Perkara macam ni tak boleh main-main. Ini merbahaya, dia macam kena rasuk hantu," jawab Haji Bagus yang sudah dua tiga kali cuba merampas lembing dari tangan si baju hitam.

"Tak apa, biar saya selesaikan," balas datuk tenang.

Tuk Siak hanya mengigit jari. Dia jadi bingung bila berdepan dengan perkara seperti ini. Mahu ditolong, tak boleh. Mahu dibiarkan takut ada nyawa melayang.

Si baju hitam terus menyerang tanpa mengenal rasa penat. Kekuatannya bagaikan tenaga seekor singa.

Setelah puas mengelak dan bertahan, datuk segera menukar taktik. Kali ini datuk menyerang si baju hitam bertalu-talu.

Mereka terus bertarung bagaikan Hang Tuah dengan Hang Jebat. Si baju hitam cukup tangkas.

Setelah hampir satu jam bertarung, datuk mula keletihan. Tetapi, si baju hitam masih bertenaga.

"Andi Kamarool," pekik datuk sekuat hati sambil menghentakkan tumit kaki kiri atas lantai.

Si baju hitam menoleh ke kanan, pada masa itu datuk datang menerkam dari arah kiri. Bahu kanan si baju hitam ditumbuk dengan sekuat hati.

Lembing di tangan terlucut dan si baju hitam tersungkur di lantai. Datuk segera menanti dan bersedia melepaskan buah silat, jika si baju hitam bangun untuk melakukan serangan kepadanya.

KILAT

Saya kira pertarungan berakhir, bila si baju hitam tersungkur, pada kenyataannya tidak demikian.

Lembing yang terjatuh atas lantai terus tegak berdiri, melompat-lompat. Kemudian berpusing-pusing dan terus berada di awang-awangan.

Ulunya seperti ada tangan ghaib yang memegangnya. Mata lembing terus bergerak mencari sasaran dan kaki Haji Bagus menjadi pilihan.

Bagaikan kilat mata lembing itu menghala ke arah Haji Bagus. Cepat-cepat Haji Bagus merebahkan badannya ke atas lanai. Mata lembing terpacak di tiang seri dan tercabut dengan sendiri.

Mata lembing yang berada di awang-awangan itu terus mencari sasaran. Tuk Siak jadi pilihan. Orang tua itu berjaya mengelak dengan berselindung di belakang daun pintu.

Daun pintu tembus, nasib baik Tuk Siak merendahkan badan, kalau dia berlindung sambil berdiri sudah pasti tempurung kepalanya ditembusi lembing. Otaknya akan bersemburan dan melekat pada papan pintu.

Keadaan benar-benar gawat. Penduduk kampung tidak tahu apa yang berlaku di dalam rumah pusaka.

Haji Bagus terus meniarap, tidak berani bangun. Tuk Siak diam di tempat persembunyian. Hanya datuk sahaja yang berdiri di tengah ruang rumah lama itu.

Lembing yang berada diawang-awangan itu terus menggila. Sasarannya kali ini, tidak lain tidak bukan adalah datuk. Bahagian tubuh datuk yang dipilihnya, ialah bahagian dada.

Setelah dua tiga kali mengelak dari serangan lembing berhantu itu, datuk mula penat. Saya lihat datuk, mula bergerak ke arah ibu tingkap.

Datuk berdiri di situ dengan mendada, seolah-olah merelakan rongga dadanya dirobek oleh mata lembing lama.

Tetapi, tangan kanannya bergerak lembut membuka ikatan kain cindai hitam yang membelit pingangnya.

Mata lembing lama yang berkarat tetap menyala ke dada datuk, mencari sasaran yang baik di dada.

Saya lihat datuk tenang, kain cindai sudah pun berada di tangannya.

Haji Bagus dan Tuk Siak resah sekali. Datuk saya lihat membaca sesuatu sambil membetulkan kedudukan tubuhnya. Kedudukan sepasang kakinya juga dibetulkan.

Kalau dilihat dengan teliti ternyata datuk tidak berdiri dengan betul, bahagian tubuh sebelah kanan direndahkan atau disengetkan ke kiri. Telapak kaki kirinya tidak memijak lantai, kecuali bahagian pangkal tumit.

"Ahhhhh..." terdengar suara parau.

Entah dari mana dan serentak dengan itu lembing bermata karat terbang ke arah dada datuk.

Dan secepat kilat datuk mengelak, mata lembing terbenam di papan ibu tingkap. Dengan tangkas datuk membelitkan kain cindai ke mata lembing yang berkarat.

Aneh sungguh, mata lembing tercabut sendiri lalu jatuh atas lantai. Tanpa membuang masa datuk membalut dan mengikat mata lembing berkarat dengan kain cindai.

Sepanjang usaha membalut itu dengan sedaya upaya saya lihat datuk cuba mengelakkan mana-mana bahagian tubuhnya dari menyentuh atau terkena ulu lembing.

"Kamu tak apa-apa?" tanya Tuk Siak sebaik saja dia melihat datuk bersila di lantai.

"Tak apa-apa," jawab datuk tenang sambil menarik dan melepaskan nafas dengan perlahan-lahan. Baji datuk basah diresapi peluh.

"Kenapa dibiarkan di sini," Haji Bagus membongkok di depan lembing karat dan cuba memegang ulunya.

Bagaikan kilat datuk menerpa ke arah Haji Bagus dan terus menolaknya ke belakang. Haji Bagus terlentang.

"Kenapa kamu tolak aku?"

"Maaafkan saya Abang Aji, sekejap lagi saya terangkan," datuk segera mengangkat Haji Bagus.

Tuk Siak tercengang. Saya kira dia kurang senang dengan sikap datuk yang agak kasar itu. Tetapi, dia tidak berani bersuara.

"Carikan saya kain buruk Tu Siak," pinta datuk.

"Oh, tunggu sekejap aku cari."

Tuk Siak segera turun di bahagian dapur. Beberapa minit kemudian Tuk Siak muncul di sisi datuk dengan segumpal kain buruk di tangan.

"Nah," hulurnya kepada datuk.

"Terima kasih Tuk Siak," datuk segera mengambil kain tersebut.

Dan dengan kain itu datuk memegang ulu lembing yang dibuat dari teras cengal. Datuk menatang lembing lama lalu diletakkan ke tempat asalnya.

Tuk Siak dan Haji Bagus hanya memandang saja gelagat datuk itu. Datuk keluar dari bilik menyimpan senjata lama.

"Sekarang aku faham, kenapa kamu tak bagi aku pegang ulu lembing," bisik Haji Bagus sebaik saja datuk berdiri di depannya.

"Senang hati saya, bila Abang Aji dah tahu perkara ini. Tak perlu saya menerangkannya lagi," sahut datuk sambil senyum.

Datuk melangkah ke arah si baju hiam yang tergolek di atas lantai. Haji Bagus dan Tuk Siak ikut sama. Kami segera mengelilingi si baju hitam yang terlentang.

Saya merenung ke arah cahaya matahari yang sudah menguasai hampir separuh ruang rumah. Angin yang masuk ikut tingkap si sebelah kanan memberikan sedikit keselesaan.

Ternyata keselesaan itu tidak disenangi oelh datuk. Dia menyuruh saya menaikkan ibu tingkap dan perintahnya itu segera saya patuhi.

Selesai menjalankan perintah datuk saya kembali bergabung dengan Haji Bagus, Tuk Siak dan datuk merenung si baju hitam.

Saya lihat kaki dan tangan si baju hitam mula bergerak, tersentak-sentak macam kaki kucing yang ditikam dengan jarum peniti.

"Sudah sedar," kata Tuk Siak.

"Serentak datuk dan Haji Bagus anggukkan kepala. Perlahan-lahan si baju hitam tersedar dari tidur. Dia gosok kedua belah kelopak matanya.

Renung kiri, renung kanan sambil mengedutkan dahinya. Wajah saya ditatapnya agak lama. Kemudian berubah ke wajah Tuk Siak, datuk dan Haji Bagus.

Lebih dari lima kali dia menatap wajah kami silih berganti, macam ada sesuatu yang tidak kena pada dirinya.

Si baju hitam lunjurkan sepasang kaki, dia meraba rambut dan telinganya. Dia menumbuk kosong ke kiri dan ke kanan beberapa kali.

Tarik nafas sambil mengeliat. Saya lihat wajahnya agak tenang dan damai.

"Saya ni di mana?" pertanyaan itu diajukan kepada Haji Bagus.

"Sekarang kamu mengucap, kemudian baca Fatihah dan cuba ingat di mana kau berada sekarang," datuk yang memberikan jawapan, bukannya Haji Bagus.

"Cuba kau ingat baik-baik, kau di mana sekarang Andi," sambung datuk.

Buat beberapa ketika si baju hitam merenung sambil mengigit bibir bawah. Hujung mata sebelah kanannya saya lihat kian mengecil.

"Saya... di mana saya berada?" si baju hitam menyoal dirinya sendiri.

"Di mana?" tingkah Tuk Siak.

"Kita datang nak bersihkan rumah tapi, macam mana saya boleh terbaring disini?"

"Humm..." saya bersuara.

Datuk segera menepuk belakang si baju hitam lima kali berturut-turut. Si baju hitam bersin dan batuk.

"Mata lembing tertanggal tu sudah aku letakkan ke tempat asalnya. Sekarang kamu ceritakan pada aku apa yang kamu rasakan semasa lembing itu berada di tangan kau," desak datuk.

Si baju hitam meraba kelopak mata kanannya dua tiga kali.

"Tak payahlah," katanya.

"Tak boleh begitu," sanggah Haji Bagus.

"Ada baiknya kamu bercerita barangkali ada faedahnya untuk kami di sini," sahut Tuk Siak.

"Ceritakanlah Andi demi kebaikan orang lain," datuk terus mendesak.

Si baju hitam terus melagakan gigi atas dengan gigi bawah beberapa kali. Dia tersenyum panjang, macam ada sesuatu mencuit perasaannya. Sikapnya itu menimbulkan pelbagai tanggapan dalam hati datuk.

"Kamu tak mahu menceritakannya?" Datuk tenung sepasang anak mata hitamnya.

"Tidak tapi..."

Si baju hitam tidak meneruskan kata-katanya. Datuk segera memegang pergelangan tangan kanannya.

"Kenapa Andi," datuk mendekatkan bibir ke cuping telinga kanannya.

"Seram dan menakutkan," kata si baju hitam.

"Tak mengapa, teruskan. Aku ada dekat kamu," bisik datuk lagi.

Mendengar kata-kata datuk itu, si baju hitam segera meletakkan telapak tangan kirinya atas bahu kanan datuk.

Dengan tenang datuk menggosok lengan kanan si baju hitam dua tiga kali sebelum telapak tanan kiri si baju hitam diletakkan ke atas lantai.

"Ceritakan Andi," desak datuk dan kali ini desakan datuk berhasil.

Tanpa tangguh-tangguh, si baju hitam pun memulakan cerita. Katanya di saat ulu lembing berada di genggamannya, tiba-tiba saja perasaan jadi marah. Badan terasa panas.

Apa yang dilihat semuanya membosankan dan dia bersedia mahu memusnahkan apa saja yang berada di depan mata.

Dan ruang rumah secara mendadak menjadi padang yang cukup luas.

PADANG

Dari setiap sudut padang bermunculan tentera kulit putih (Belanda) lengkap dengan peralatan perang.

Tentera kulit putih memuntahkan peluru meriam ke arah kawasan perkampungan dan sebahagian daripada mereka meluru ke arahnya sambil melepaskan tembakan bertalu-talu. Ternyata dia tidak mampan oleh peluru tentera kulit putih.

Tentera kulit putih mengubah taktik. Mereka mengenakan benet di hujung senapang lalu menikam tubuhnya. Ternyata kulitnya tidak ditembusi oleh besi.

Kalau tadi dia hanya bertahan saja tetapi, kali ini dia mula bertindak. Dia menyerang, menikam apa saja.

Dalam saat-saat tertentu lembing bagaikan terbang di udara. Dia yang memegang ulu lembing turut berada di udara. Bergerak kesana ke sini mencari sasaran.

Akibatnya, beratus-ratus tentera kulit putih bergelimpangan atas padang.

"Masa saya asyik membunuh orang kulit putih dengan lembing, entah macam mana datang seorang lelaki Melayu.

"Saya tak tahu dari mana arah dia datang. Dia datang ke arah saya sambil membaca ayatul Kursi.

"Belum sempat saya bertanya, apa tujuan dia datang ke tempat saya, lelaki tua itu melepaskan pemnumbuk ke bahu kanan saya.

"Tangan saya yang memegang lembing terus menjadi lemah. Saya jatuh tersungkur atas padang," si baju hitam berhenti bercakap.

Dia menelan air liur. Semua yang berada di sisinya mendengar penuh khusyuk.

Saya jadi seronok mendengar ceritanya dan berharap dia akan terus bercerita.

"Telinga saya terus diasak dengan suara orang membaca surah Al-Falaq dan Al-Ikhlas. Bila saya buka mata, saya tak lagi berada di padang. Tetap, berada di sini. Inilah membuat saya jadi bingung," sambung si baju hitam dengan wajah jujur.

NAFAS

Dia menarik nafas sambil merenung ke arah Tuk Siak dan Haji Bagus. Si baju hitam senyum ke arah saya dan senyumannya itu saya balas.

Bila saya menoleh ke arah Tuk Siak dan Haji Bagus, saya lihat mereka kerutkan kening dan serentak mereka merenung ke arah bilik yang menyimpan senjata lama.

Datuk pula terus sandarkan badan ke dinding. Sepasang kakinya dilunjurkannya. Datuk cuba menenangkan perasaannya dengan menarik dan melepaskan nafas secara teratur dan perlahan.

Kerana bosan dengan suasana yang agak beku itu, saya bangun dan meninggalkan datuk dan kawan-kawannya yang sedang berdepan dengan si baju hitam.

Saya berdiri di depan tingkap melihat beberapa ekor burung merbah jambul melompat di dahan jambu air dalam sinaran matahari pagi yang kian meninggi.

Sengaja saya hulurkan muka keluar, agar angin pagi menyentuh kulit muka. Sayup-sayup saya terdengar kuang melalak di kaki bukit.

"Saya nak tanya sikit Tuk Siak..." kerana datuk tidak meneruskan kat-katanya mendorong saya mengalih pandangan ke arahnya.

Kerana memikirkan ada perkara yang menarik bakal diturutkan oleh datuk, Haji Bagus dan Tuk Siak, memaksa saya bergabung dengan mereka semula.

"Tanya apa?" Tuk Siak tatap wajah datuk.

Saya perkemaskan sila. Si baju hitam masih seperti tadi, masih memikir-mikirkan perkara yang sudah dilaluinya.

"Tuk Siak tahu, siapa yang punya lembing puaka tadi?" susul datuk.

Saya lihat kelopak mata Haji Bagus dan Tuk Siak pejam celik. Tetapi apa yang jelas di wajah Tuk Siak terpamer kesungguhannya menyorot masa silam.

"Aku tak ingat. Kamu bagaimana? Agaknya kamu tentu ingat tuan punya lembing tu," Tuk Siak tatap muka Haji Bagus yang masih berkerut iu.

"Sekarang pergi ambil lembing itu semula, nama tuannya ada tertulis di situ," Haji Bagus pun merenung semula ke arah bilik yang menyimpan senjata lama.

Mendengar kata-kata Haji Bagus itu, datuk segera menerpa ke arah bilik tersebut dan keluar dengan lembing puaka di tangan.

Haji Bagus dan Tuk Siak nampak cemas sekali. Dengan hati-hati datuk meletakkan lembing puaka di atas lantai. Si baju hitam segera menjauhkan diri.

"Tak merbahaya?" kata Tuk Siak.

"Dengan izin Allah, tak bahaya," balas datuk.

"Namanya tertulis di situ, nanti aku baca," Haji Bagus bergerak ke arah lembing puaka lalu bertinggung di situ.

Dia membaca tulisan jawi yang terpahat kepada buluh kering.

"Tuan punya lembing tu, namanya Usman Ali Akhbar."

"Agaknya pahlawan," kata datuk.

"Iya," angguk Haji Bagus.

"Habib Usman Ali Akhbar inilah yang memimpin orang-orang kampung menentang Belanda di Muara Jambi. Dengan lembing inilah dia membunuh beratus-ratus askar Belanda, dia tak lut peluru," Tuk Siak mula meriwayatkan tentang manusia bernama Habib Usman Ali Akhbar.

"Malangnya, Habib Usman dikhianati oleh anak Jambi sendiri. Dia ditikam dengan ranting jambu batu yang ditajamkan bahagian hujungnya.

"Habib ditikam dari belakang semasa dia mengambil wuduk untuk sembahyang zuhur di tepi sungai," Tuk Siak menamatkan cerita dengan wajah yang sedih.

Haji Bagus meraba hujung dagunya sambil menganggukkan kepala beberapa kali.

Apa yang diungkapkan Tuk Siak terbayang dalam kepala Haji Bagus.

Walaupun dia tidak pernah bertempur melawan Belanda bersama Habib Usman Ali Akhbar tetapi, dia turut mengusung jenazah pahlawan itu ke tanah perkuburan.

"Kamu masa tu dah merantau," Haji Bagus tepuk bahu datuk.

"Macam mana dengan nasib pembunuhnya?" Si baju hitam mula bersuara.

"Orang yang membunuhnya sempat melarikan diri dan dia mendapat perlindungan dari pemerintah Belanda di daerah ini.

"Si pengkhianat bangsa itu di bawa ke Jakarta dan dijadikan pengawal rumah Gabenor Belanda tapi, akhirnya dia mati juga dibunuh Belanda, " sambung Tuk Siak.

Matanya tidak berkedip merenung muka datuk dan saya. Selanjutnya Tuk Siak menyatakan semua senjata pahlawan yang gugur itu dikumpulkan di tanah lapang untuk ditanam.

Tujuan berbuat demikian bagi mengelakkan senjata itu dirampas oleh pemerintah Belanda.

Sebuah lubang digali sedalam paras dada orang dewasa. Semua senjata itu dihumban ke dalam lubang.

Semasa lubang itu mahu ditimbus, seorang tua (ayah kepada Tuk Siak) menghalang kerja-kerja itu diteruskan. Dia mengarahkan supaya senjata dalam lubang dikeluarkan kembali.

Sudah tentu arahan orang tua itu ditentang. Pihak yang mahu menanam senjata merasakan kerja mereka itu sia-sia belaka.

Mereka menyalahkan orang tua itu kerana tidak memberitahu perkara tersebut lebih awal. Akhirnya berlaku pertengkaran hebat.

Malah, ada yang menuduh orang tua itu tali barut Belanda. Sebagai orang tua yang sudah masak dengan asam garam kehidupan, suasana tegang itu dapat dikendurkannya. Senjata yang berada dalam lubang segera dikeluarkan.

Dengan nada suara yang lembut orang tua itu memberitahu, jika senjata itu ditanam akan membawa padah kepada tanaman kampung.

Daun-daun pokok berguguran, dahan menjadi rapuh. Putik buah-buahan gugur. Buah pinang dan kelapa busuk di pokok.

Padi di sawah tidak akan menjadi, tanah tempat senjata ditanam menjdai hitam. Begitulah bisa dan panasnya senjata pahlawan yang gugur.

BINCANG

Setelah mengadakan perbincangan, keputusan yang diambil semua senjata pahlawan yang gugur ditempatkan di sebuah bilik khas dan dikunci.

Dua orang dilantik untuk meneruskan kerja-kerja tersebut dan mereka tidak akan memberitahu sesiapa pun tempat mereka menyimpan senjata lama. Perkara itu menjadi rahsia mereka berdua saja.

"Siapa orang berdua tu?" tanya datuk tanpa sabar, sebaik Tuk Siak menamatkan ceritanya. Haji bagus dan Tuk Siak segera berpandangan.

"Siapa orangnya?" Si baju hitam terus berdiri untuk beberapa minit kemudian duduk kembali sambil menyandarkan badannya ke dinding.

"Orang berdua itu, aku dan Tuk Siak. Orang di kampung ini sampai sekarang tak tahu kerja itu kami yang buat. Mereka percaya senjata lama itu bergerak sendiri.

"Orang yang menjadi 'kepala' dalam hal ini, ayah Tuk Siak sendiri," Haji Bagus membuka rahsia.

"Sudahlah tu kawan, usah panjangkan kisah ayah kita. Dia mati syahid kerana menentang Belanda," sambil ketawa Tuk Siak menghalang hasrat Haji Bagus untuk menceritakan kehebatan dan kebolehan ayahnya kepada datuk.

"Saya setuju dengan Tuk Siak," kata datuk.

Dan cerita tentang ayah Tuk Siak, mati di situ. Tetapi, hati kecil saya tetap berazam. Bila ada waktu terluang, saya akan memujuk Tuk Siak agar sudah menceritakan kisah diri ayahnya kepada saya.

"Kamu tahu, susahnya menjaga senjata lama ni," keluh Tuk Siak.

"Kenapa?" biji mata datuk terbeliak.

"Setiap malam Selasa, terutama bila akan sampai waktu subuh, senjata lama yang ada dalam bilik tu berlaga sama sendiri, macam bunyi orang berperang. Kadang-kadang terdengar orang menjerit, meraung kesakitan," Tuk Siak batuk kecil.

Secara mendadak saja saya terasa seram. Si baju hitam nampak macam biasa saja, yang nampak resah sedikit ialah Haji Bagus.

"Sekarang ni, perkara macam tu ada lagi?" saya dan datuk tersentak.

Diluar dugaan si baju hitam berani mengemukakan pertanyaan yang sedemikian. Kerana ada yang minat dengan ceritanya, Tuk Siak memperkemaskan silanya.

"Masa Belanda mula berambus dari Tanah Jambi, bunyi suara orang menjerit dan meraung menjadi-jadi. Begitulah juga dengan bunyi senjata berlaga.

"Bagi mengelakkan perkara-perkara yang tak baik terjadi, orang-orang kampung mengadakan pembacaan surah yasin, setiap malam selama setahun, akhirnya kejadian aneh itu hilang begitu saja.

"Cuma hari ini aku melihat kejadian pelik di depan mata aku, agaknya penunggu senjata lama marah kerana kita kacau dia," Tuk Siak menamatkan ceritanya. Semua yang mendengar termangu-mangu.

RENUNG

Berita yang dipaparkan oleh Tuk Siak itu membuat datuk termenung panjang. Datuk renung ke kiri dan kanan dan akhirnya menuju ke bilik senjata lama.

Bilik yang penuh misteri itu direnungnya sambil telapak tangan kanannya memukul jenang pintu bilik berkali-kali.

Bila datuk menghentakkan kaki kirinya ke lantai, tiga kali berturut-turut, terdengar sesuatu yang aneh dari dalam bilik.

Bila diamati, ternyata bunyi itu adalah bunyi keris yang dicabut lebih dari lima puluh bilah.

"Sekarang."

Datuk bersuara dalam nada yang agak tinggi. Semua biji mata tertumpu ke arahnya. Masing-masing berdebar menanti, apakah kata-kata selanjut yang bakal datuk katakan.

"Tuk Siak dan Abang Aji dah dengar bunyi ganjil tu," sambung datuk.

Serentak Tuk Siak dan Haji Bagus anggukkan kepala. Datuk pun segera merapatkan daun pintu bilik dan terus di kunci.

Dengan tenang datuk meninggalkan bilik rahsia. Dia datang kepada kami.

Si baju hitam yang tadi hanya duduk saja, kini sudah bangun. Sudah berani melangkah ke mana saja yang diingininya di ruang rumah.

Haji Bagus menuju ke tingkap, berdiri di situ merenung ke arah bukit. Dia melihat helang terbang rendah, berlegar-legar di puncak bukit mencari tikus atau katak.

Tuk Siak tak berubah dari tempat asal. Sedangkan datuk ke hulu ke hilir didepannya, gerak geri datuk itu membayangkan dia sedang berusaha menyelesaikan persoalan yang sedang dihadapinya.

Datuk menuju ke tiang seri, berdiri di situ dengan menyandarkan bahu kanannya kepada tiang tersebut.

"Memang dah jadi perangai orang Melayu..." cetus datuk tiba-tiba, tetapi aneh sungguh perangainya.

Dia tidak meneruskan kata-kata sebaliknya menoleh ke kiri dan ke kanan. Dahinya dikerutkan dan kening kanannya terangkat beberapa kali.

Dengan mengejut datuk bergegas ke pintu menghulurkan separuh badannya

keluar manakala sepasang matanya merenung ke dada langit. Dia melihat kepulan awan yang bergerak.

Tentu saja perbuatannya itu menimbulkan seribu tanda-tanya dalam diri Haji bagus dan Tuk Siak.

"Apa yang kamu cari," soal Haji Bagus.

Datuk tidak menjawab tetapi melangkah kembali ke tiang seri dan bersandar seperti tadi. Kali ini kakinya disilangkan. Kaki kiri menindih kaki kanan.

"Apa yang membimbangkan kamu," susul Haji Bagus lagi.

"Tak ada apa apa, sekadar beringat-ingat."

"Tadi kamu bercakap sesuatu, kenapa cakap tu, tak kamu teruskan. Aku nak dengar buah butirnya," Tuk Siak pula bersuara.

Kali ini datuk tidak boleh berdalih lagi. Dia harus melenyapkan rasa sangsi di hati Tuk Siak dan Haji Bagus.

Seperti biasa datuk menghadapi situasi dengan tenang dan sabar.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 156/284

BACA: SBDJ Siri 155: Lembing Puaka
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Pelajar UMS Panjat Pokok Cari Line Internet, Tak Hairan Sebab Telco Malaysia Hanya Setanding Bangladesh!

Pelajar UMS Panjat Pokok Cari Line Internet, Tak Hairan Sebab Telco Malaysia Hanya Setanding Bangladesh!

Video tular seorang pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Veveonah Mosibin, yang terpaksa memanjat pokok di kampungnya di Pitas, Sabah demi mendapatkan talian Internet untuk menduduki peperiksaan dalam talian sepatutnya menjadikan 'kemaluan' pengendali telco di Malaysia.

Veveonah Mosibin
Veveonah Mosibin.

Video yang dimuat naik pada 13 Jun 2020 lalu dan boleh anda tonton di platform YouTube, Veveonah M, menerima lebih 484,303 tontonan ketika artikel ini ditulis dan dibanjiri reaksi serta komen positif selain turut dikongsi oleh UMS.

Kita bangga dan ucapkan tahnia dengan usaha gigih Veveonah tetapi sangat memalukan buat Malaysia kerana video ini  sedang tular di seluruh dunia dengan pelbagai reaction dari YouTuber.

Menerusi video yang dimuat naik, Veveonah yang berasal dari Kampung Sapatalang, meluahkan rasa gembira dengan sokongan dan motivasi yang diterimanya susulan perkongsian video tersebut.

"Hari ini adalah antara hari paling bersejarah, sebenarnya hari ini saya berasa sangat gembira dan teruja. Saya telah mempunyai lebih 1,330 subscribers.

"Saya sangat menghargai sokongan anda. Terima kasih sebab sokong saya punya video termasuk pihak universiti sendiri yang berkongsi video tersebut. Saya akan cuba untuk balas komen dan hasilkan lebih banyak video yang menarik," katanya.

Sebelum ini, Veveonah memuat naik video berdurasi 11 minit bertajuk, "24 hours on tree challenge" (cabaran 24 jam di atas pokok) memaparkan pengalaman dirinya yang perlu memanjat pokok demi mendapatkan capaian internet yang cukup kuat untuk menjawab peperiksaan dalam talian.

Pada awalnya, pelajar Asasi Sains itu telah membina sebuah pondok kecil berhampiran rumahnya untuk tujuan tersebut, namun pondok itu rosak disebabkan hujan beberapa jam sebelum peperiksaan bermula.

Berbekalkan kelambu, dua telefon bimbit, power bank, alat tulis serta makanan, Veveonah berjaya menjawab dua kertas peperiksaan sepanjang berada di atas pokok itu.

Sistem Internet Malaysia Setaraf Bangladesh dan Ethiopia! Projek Pendigitalan Kebangsaan Ketinggalan 20 Tahun

Tentu masih ramai ingat program berimpak tinggi yang membekalkan sekolah dengan komputer percuma. Ia sebahagian Pelan Pendigitalan Kebangsaan. Banyak publisiti diberi dalam usaha memperkasakan kegunaan komputer dalam pembelajaran.

Projek pendigitalan kebangsaan itu juga bertujuan menyenangkan pembelajaran dalam talian. Hasrat murni itu patut dipuji.

Malangnya, sistem pada masa itu belum tersedia. Ia gagal mengambil kira infrastruktur jalur lebar yang belum maju ketika itu (dan masih ditahap sama ketika ini), terutama di luar bandar.

Ditambah pula kurang perhatian diberi kepada kos pengendalian yang tinggi, tidak hairanlah komputer akhirnya terbengkalai hingga menjadi antara buangan elektronik bermasalah dan perlu ditangani dengan baik.

Dan ketika penularan COVID-19 mencengkam dunia, sektor pendidikan tidak terlepas daripada gangguan.

Dalam menyampaikan pelajaran, sangat rumit untuk mengamal penjarakan fizikal. Keperluan jalur lebar menjadi lebih terdesak.

Kelajuan memuat turun dan memuat naik maklumat menjadi lebih kritikal apabila pembelajaran dalam talian menjadi normal baharu.

Boleh dikatakan semua universiti menggunakan platform dalam talian, selain sebahagian sekolah. Di kawasan bandar, tidak banyak masalah, tetapi ia terserlah di luar bandar.

Sungguhpun jalur lebar banyak berubah sejak pengalaman pahit program Komputer Untuk Sekolah, pakar jalur lebar berpendapat sistemnya belum mampu menepati keperluan melonjak tinggi.

Bukan hanya sektor pendidikan memerlukan sokongan jalur lebar jitu, sebaliknya sektor seperti perdagangan, penghantaran makanan pesanan dan perbankan, semuanya memerlukan sokongan jalur lebar.

Beberapa tahun lalu, Akademi Sains Malaysia (ASM) membangkitkan isu jalur lebar untuk diberi perhatian. Malangnya, cadangan itu tidak diambil berat.

Menurut penilaian dunia terkini mengenai sistem internet sejagat, kedudukan negara tidak begitu memberangsangkan.

Kita di tangga 40 bersama Bangladesh dan Ethiopia, manakala antara negara di kedudukan teratas, termasuk Korea Selatan, Singapura dan Taiwan.

Apa yang sangat menyedihkan, ini berlaku 20 tahun sejak negara melancar projek berhasrat tinggi Koridor Raya Multimedia (MSC), iaitu kira-kira masa sama Korea Selatan melancar projek multimedia mereka.

Tambah menyedihkan, 20 tahun dulu kita berjaya menundukkan Korea Selatan dalam bola sepak melayakkan negara ke Sukan Olimpik di Munich.

Memang malu kerana kita masih terkebelakang berbanding Korea Selatan dalam sistem jalur lebar.

Bagaimanapun, masih belum terlewat melakukan sesuatu. Namun, kita harus bertindak segera.

Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan tidak lama lagi perlu mengagihkan kewangan lebih bagi menaik taraf infrastruktur jalur lebar negara. Kita juga perlu menentukan pelaksanaannya cekap, tanpa apa-apa ketirisan. Tanpa rasuah!

Kita tidak boleh kekal di tangga bawah dalam kerangka pencapaian jalur lebar sejagat, jika ingin bersaing di persada dunia. Pendidikan sudah menjadi perdagangan antarabangsa yang kian berkembang.

Dilaporkan setiap tahun, negara berjaya meraih pendapatan hingga RM40 bilion daripada pelajar luar negara.

Ini dijangka meningkat ekoran ramai pelajar luar negara berhasrat beralih daripada destinasi tradisi pembelajaran di Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Malaysia dan Korea Selatan disebut destinasi pilihan pelajar luar negara dan bagi menarik perhatian, kita perlu menaik taraf sokongan jalur lebar kerana kini pengajaran dilakukan secara dalam talian.

Jika jaringan jalur lebar mampu menandingi negara terbaik di dunia, pembelajaran akan lebih mesra dan mudah.

Sekarang, universiti sering menghadapi masalah sokongan jalur lebar kurang memuaskan di luar bandar. Malah, sekolah di luar bandar pun bermasalah mengendali kelas dalam talian.

Memang diakui, pelajar dan guru mesti dilatih menggunakan pelbagai platform dalam talian. Ini tidak sulit jika jaringan kita efisien.

Ramai mengakui banyak manfaat dapat diraih, manakala kos pengajaran lebih murah kerana kurang keperluan perjalanan.

Sekolah daif di luar bandar akan dapat berjalan lebih teratur dan lancar. Semua pelajaran dapat dipancarkan terus ke rumah masing-masing.

Seperti budaya kerja dari rumah, pembelajaran dari rumah sudah mula diterima sebagai normal baharu.

Ia juga sesuai kepada ibu bekerja. Impak sosial positif sangat ketara kerana keuntungan bagi pengurusan keluarga tidak ternilai harganya.

Memang diakui, melabur menaik taraf jaringan jalur lebar negara sungguh menguntungkan dan mampu menyediakan manfaat untuk masyarakat di luar jangkaan.

Cuma persoalannya, bila?

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Tidak Sah Solat Baca Al-Fatihah Dalam Hati

Tidak Sah Solat Baca Al-Fatihah Dalam Hati

Membaca Surah Al-Fatihah merupakan salah satu daripada rukun-rukun solat dan kita memang akan membaca ummul kitab itu tatkala menunaikan solat, namun dari segi lafaz berkenaan kadangkala kurang jelas didengari di telinga sendiri. Bahkan, ada segelintir orang pula membaca surah berkenaan hanya dalam hati.

Membaca Al-Fatihah

Bagaimanakah cara yang betul melafazkan Surah al-Fatihah? Adakah cukup sekadar berbisik dan bacaan itu hanya didengari di telinga sendiri?

Rukun Qauli

Sebelum menjawab kemusykilan itu, ayuh kita fahami dahulu bahawa bacaan Surah al-Fatihah tersebut termasuk dalam rukun qauli, iaitu bacaan-bacaan yang wajib dalam solat.

Rukun Qauli merangkumi takbiratul ihram, Surah al-Fatihah, tasyahud akhir dan salam.

Ketika menunaikan solat, setiap umat Islam disyaratkan melafazkan setiap rukun qauli tersebut dengan suara yang dapat didengari oleh diri sendiri jika keadaan pendengaran kita baik dan tiada halangan untuk mendengarnya seperti bunyi bising.

Bagaimanapun, jika keadaan adalah sebaliknya yang mana pendengaran kita kurang baik seperti mengalami masalah tuli atau ada halangan lain sebagai contoh bunyi bising, maka tidak diwajibkan untuk kita mendengar bacaan berkenaan.

Pun begitu, kita tetap wajib melafazkannya dengan suara yang boleh didengari ketika pendengaran kita dalam keadaan baik atau keadaan tidak bising.

Dan tidak sah bacaan setiap rukun qauli apabila ia tidak dilafazkan dengan suara yang dapat didengari oleh dirinya sendiri.

Ia termasuklah jika rukun-rukun qauli yang disebutkan di atas hanya sekadar dibaca di dalam hati, menyebabkan solat yang dikerjakan tidak sah.

Rukun qauli berasal daripada perkataan 'qaul' yang bermaksud kata-kata, adalah rukun berasaskan sebutan dan bacaan yang memerlukan seseorang melafazkan bacaan sekadar didengari telinga sendiri ketika takbiratulihram, membaca Surah al-Fatihah, membaca tahiyat akhir, selawat ke atas Nabi dalam tahiyat akhir dan melafazkan salam.

Sekiranya lima rukun qauli tidak dipenuhi, maka tidak sah solat seseorang itu.

Syarat sah rukun qauli pula menyenaraikan kewajipan menyebut bacaan makhrajnya tepat, meneliti tasydid (baris sabdu) dan menjaga bacaan supaya tidak terputus di pertengahan ayat atau kalimat.

Menurut artikel Al-KafiLi Al-Fatawi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, dalam mazhab al-Syafie, rukun qauli seperti Surah al-Fatihah wajib dibaca dengan bacaan yang didengari diri sendiri.

Dalam kitab I'anah al-Talibin menyatakan yang bermaksud: "(Dan wajib mendengar) iaitu takbiratulihram itu oleh orang yang bersolat itu sendiri, sekiranya pendengarannya baik dan tiada dihalang dengan benda yang mendatang contohnya bunyi bising (seperti seluruh rukun qauli) daripada al-Fatihah, tasyahhud akhir dan bagi salam."

Semoga ALLAH menerima segala amal ibadah yang kita lakukan.

(Sumber: JAKIM & Pejabat Mufti Wilayah)

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Thursday, June 18, 2020

Ujian Menunjukkan Pesakit Covid-19 Yang Sembuh Tidak Sebarkan Virus

Ujian Menunjukkan Pesakit Covid-19 Yang Sembuh Tidak Sebarkan Virus

Pemantauan yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan mendapati pesakit COVID-19 yang sudah sembuh masih kekal menunjukkan keputusan positif dalam jangka masa yang panjang meskipun apabila mereka disahkan sembuh.

Covid-19 tidak berjangkit

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ujian rt-PCR sememangnya sangat sensitif dalam mengesan kehadiran protein virus.

Bagaimanapun, Dr Noor Hisham berkata walaupun dikesan positif, mereka tidak bergejala, tidak jatuh sakit atau menyebarkan penyakit ini kepada keluarga terdekat.

Hasil kajian kultur yang dilakukan berulang kali menunjukkan virus COVID-19 gagal dibiakkan.

Justeru, KKM membuat kesimpulan bahawa keputusan positif COVID-19 bagi pesakit yang sudah sembuh adalah berpunca daripada virus atau fragmen virus (deoxyribonucleic acid atau DNA) yang sudah mati.

Penemuan serupa juga turut dilaporkan dari beberapa negara misalnya Korea, China, Singapura dan Jerman.

Kajian di China menunjukkan bahawa kebolehjangkitan berlaku 2.3 hari sebelum bermula gejala dan berada pada tahap tertinggi 0.7 hari sebelum pesakit menunjukkan gejala.

Kebolehjangkitan menurun ke tahap yang sangat rendah selepas tujuh hari, manakala kajian di Taiwan mendapati selepas lima hari pesakit dijangkiti COVID- 19, mereka tidak menyebarkan jangkitan kepada kontak rapat yang terdedah kepada pesakit ini.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: bharian

Ketahui Bahaya Jika Tubuh Kurang Terdedah Kepada Cahaya Matahari

Ketahui Bahaya Jika Tubuh Kurang Terdedah Kepada Cahaya Matahari

Kita bertuah kerana tinggal di Malaysia yang mempunyai cahaya matahari sepanjang tahun. Sepatutnya masyarakat kita tiada masalah tentang pendedahan kepada cahaya matahari, tetapi kehidupan zaman sekarang yang mana kita lebih banyak berteduh di rumah, kereta dan pejabat menyebabkan majoriti masyarakat kita terutamanya kaum wanita mempunyai masalah kurang pendedahan kepada bahaya matahri.

Manfaat Cahaya Matahari

Kajian terbaru menunjukkan pendedahan yang secukupnya kepada cahaya matahri adalah penting kepada kesihatan dan akan membantu kita lebih sihat, hidup sihat lebih lama dan lebih gembira.

Ya, cahaya matahari boleh membuatkan kita lebih gembira kerana ia merangsang mood dan mengurangkan stres. Cahaya matahari juga membantu melindungi kita daripada pelbagai masalah kesihatan seperti serangan jantung, asthma, kegemukan (obesiti), multiple sclerosis dan kekurangan Vitamin D yang boleh mengganggu syahwat (libido) dan meningkatkan mood.

Pendedahan kepada cahaya matahri akan membuatkan tubuh kita menghasilkan lebih bahan nitrik oksida (NO) yang akan membantu saluran darah mengekalkan keterbukaannya iaitu mengurangkan masalah penyempitan saluran darah. Ini akan melindungi sistem kardiovaskular dan mencegah penyakit serangan jantung dan strok.

Oleh itu pendedahan kepada cahaya matahri membantu seseorang mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular akibat masalah atherosklerosis.

Ia juga membantu meningkatkan paras serotonin iaitu neurotransmitter otak yang penting untuk meningkatkan mood gembira dan mengurangkan tekanan stres.

Baik Untuk Salur Darah

Menurut ahli sains di Karolinska Institutet, Sweden, masalah kurang pendedahan kepada cahaya matahari adalah sama risikonya kepada kesihatan seperti merokok.

Berdasarkan kajian mereka, seorang yang tidak merokok, tetapi tidak mendapat pendedahan kepada cahaya matahari secukupnya maka jangka hayat hidup yang sama seperti perokok yang mendapat pendedahan cahaya matahari yang cukup.

Seorang lagi ahli sains, iaitu Dr Richard Weller daripada Edinberg University telah mencadangkan bahawa nasihat untuk mendapatkan pendedahan cahaya matahari yang secukupnya adalah sangat penting terutama kepada warga tua yang lebih banyak duduk di rumah.

Pasukan kajian beliaulah yang telah membuat kajian dan cadangan bahawa pendedahan kepada cahaya matahari boleh membantu mengurangkan tekanan darah tinggi dan mengurangkan risiko strok dan serangan jantung.

Ini adalah kerana individu yang mempunyai pendedahan yang secukupnya kepada cahaya matahari akan menyebabkan saluran darah mengembang dan ini akan menyebabkan tekanan darah menurun.

Anti-radang

Saintis daripada Cambridge University pula mencadangkan bahawa pendedahan kepada cahaya matahari secukupnya akan mengubah kelakuan gen dalam sel dengan menunjukkan ekpressi gen 28% daripada susunan genetik dari musim ke musim.

Pengkaji melaporkan aktiviti anti keradangan gen meningkat semasa musim panas, oleh itu cahaya matahari adalah faktornya dan kajian ini menunjukkan pendedahan kepada cahaya matahari akan mengurangkan respon keradangan dalam tubuh.

Cahaya matahari akan membantu tubuh seseorang kekal kurus dan sihat berdasarkan kajian oleh pengkaji daripada Edinburg University dan Southampton University.

Ini adalah kerana kajian mereka menunjukkan radiasi cahaya ultraungu (UV) daripada cahaya matahari boleh menghalang perkembangan masalah obesiti dan penyakit diabetes mellitus jenis 2.

Mempengaruhi Kegembiraan

Manusia secara umumnya akan merasa lebih gembira apabila terdedah kepada cahaya matahari. Ini menurut kajian adalah kerana gelombang cahaya utama dalam cahaya matahari akan merangsang saraf mata atau retina yang mengawal kawalan waktu tubuh kita.

Oleh itu ia juga mengawal pengeluaran hormon dalam tubuh seperti melatonin yang mana jika ia tidak dirembeskan secukupnya oleh tubuh akan mengakibatkan seseorang mengalami masalah kemurungan dan susah hendak tidur dan untuk jangkamasa panjang boleh menyebabkan masalah penyakit degenerasi otak seperti penyakit Alzheimer dan penyakit Parkinson.

Mengurangkan risiko Kanser

Kajian ada menunjukkan seseorang yang berkulit cerah lebih mudah mendapat kanser kulit jika terdedah secara berpanjangan dan kerap kepada cahaya matahri yang terik.

Tetapi kajian epidemiologi juga menunjukkan masyarakat yang mempunyai pendedahan kepada cahaya matahari lebih lama akan mempunyai jangkahayat yang lebih lama walaupun kadar penyakit kanser kulit adalah lebih tinggi.

Mengelakkan pendedahan langsung kepada cahaya matahari dan menggunakan krim pelindung cahaya matahari (sunblock) boleh menjadi faktor risiko yang baru kepada penyakit jantung koronari.

Walau bagaimanapun, adalah tidak dicadangkan kita berjemur berjam-jam di bawah cahaya matahari terik. Penggunaan krim pelindung cahaya matahari sepatutnya digunakan bila perlu secara berkala sahaja kerana kita masih perlu didedahkan dengan cahaya matahari yang secukupnya.

Kita masih perlukan penghasilan Vitamin D yang secukupnya kerana ia penting untuk memastikan panjang 'telomere' sihat dalam sel.

Panjang telomere ini yang menentukan panjang umur seseorang individu berdasarkan kajian sains terkini.

Secara umumnya bolehlah kita katakan bahawa cahaya matahari merupakan asas penting kepada kesihatan dan juga ia boleh mengancam kesihatan jika kita terdedah kepada cahaya matahari yang terik terlalu lama. Keseimbangan yang sederhana itu penting untuk mendapatkan faedah kesihatan yang baik.

Kajian menunjukkan penyakit kanser kulit jenis 'Cutaneous Malignant Melanoma' adalah sejenis kanser kulit yang serius yang terjadi hampir tiga suku kes-kes kanser kulit yang menyebabkan kematian.

Kajian terbaharu menunjukkan, mengelakkan pendedahan kepada cahaya matahari akan mengurangkan risiko selar matahari (sunburn) tetapi ia akan meningkatkan risiko kanser kulit.

Pendedahan kepada cahaya matahari secara optima pada waktu diantara pukul 8am ke 10am akan memberikan pendedahan yang ideal dan lebih sihat.

Selepas pukul 11am sehingga 4pm di Malaysia, pendedahan kepada cahaya matahari terik adalah perlu di minimakan. Apabila waktu selepas zuhur, cahaya matahari akan ditapis oleh atmosfera yang mana UVB di tapis lebih banyak berbanding UVA.

Kajian menunjukkan UVA boleh merosakkan kulit dan menyebabkan kulit berkedut dan kelihatan tua. UVB pula adalah cahaya matahari yang penting untuk penghasilan Vitamin D dibawah kulit. Ia lebih banyak di waktu pagi sehingga ke sebelum tengahari yang panas terik.

Secara umumnya, dapatkanlah pendedahan kepada cahaya matahari secara optimum dengan mendedahkan kulit kita kepada cahaya matahari pagi seboleh yang mungkin untuk mendapat kesihatan yang terbaik.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: drnorman

Maksud Halal Dan Toyyiban Dalam Islam

Maksud Halal Dan Toyyiban Dalam Islam

Prinsip asas yang dilandaskan oleh Islam berkenaan pemakanan adalah prinsip boleh guna atau harus guna atas setiap benda. Semua yang diciptakan oleh Allah diatas muka bumi ini atau di dalam perut bumi boleh digunakan oleh manusia demi menjamin kelansungan hidup.

Halal Toyyiban

Tiada satu pun yang dicegah atau diharamkan kecuali apa yang telah termaktub dalam nas-nas dalam AlQuran dan hadis-hadis sahih yang diperjelaskan oleh Nabi Muhammad SAW.

Ini adalah seperti Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 29 yang bermaksud, "Dialah Allah yang menjadikan segala yang ada dibumi untuk kamu."

Makanan adalah untuk menyediakan khasiat, zat atau nutrien yang secukupnya kepada tubuh manusia.

Budaya pemakanan zaman moden sekarang banyak menjurus kepada pelbagai masalah kesihatan. Islam amat mengalakkan penjagaan kesihatan dengan pelbagai nas dari sumber Al-Quran dan Hadis Nabi Muhammad SAW.

Setiap hari kita akan berdoa kepada Allah agar dikurniakan kesihatan yang baik semasa solat atau diluar solat. Ini jelas membuktikan penjagaan kesihatan amat diutamakan dalam Islam.

Faktor pemakanan yang betul dan sihat adalah amat penting untuk mendapat kesihatan yang terbaik.

Terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada kesihatan yang baik , tetapi faktor pemakanan yang sihat adalah faktor yang utama sebagaimana satu hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud, "Perut itu tempat penyakit dan berpantang itu adalah penyembuh yang utama."

Maksud berpantang disini adalah pemilihan makanan yang tertentu iaitu makanan yang menyihatkan amat penting untuk mencegah penyakit. Dengan makanan kita akan menguatkan tubuh fizikal dengan penjanaan tenaga dari makanan.

Makanan yang tidak sihat juga menjadi punca kepada pelbagai jenis penyakit. Manusia makan untuk kelangsungan hidup, bukan hidup untuk makan, tetapi kadangkala tidak kita sedari ramai manusia yang makan untuk 'mati'.

Ini adalah kerana banyak makanan yang kita makan menyebabkan kita mendapat penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, sakit jantung, strok, obesiti, kanser dan sebagainya.

Faktor pemakanan adalah berkait langsung dengan setiap amalan kebaikan sepertimana yang telah dinyatakan dalam surah Al-Mukminun ayat 51 yang bermaksud, "Wahai Rasul, makanlah dari yang baik-baik dan beramallah dengan amalan yang soleh."

Produk Halal Tidak Semestinya Baik Untuk Kesihatan

Islam amat menekan pemakanan HALAL dan 'TOYYIBAN' iaitu makanan yang halal lagi baik dan apakah maksud 'toyyiban' ini sebenarnya?

Dari aspek sumber makanan hendaklah makanan itu kita beli atau kita perolehi dari sumber yang halal untuk mendapat keberkatan dari Allah. Oleh kerana itu makanan dari sumber duit yang haram, seperti hasil judi atau rasuah dan sebagainya adalah tidak baik dan tidak berkat.

Disamping faktor ini, maksud 'toyyiban' juga bermaksud baik dari sudut menjaga kesihatan. Kerana makanan yang memudaratkan kesihatan akan menyebabkan tubuh badan kita menjadi rosak dalam jangka masa panjang.

Badan yang sakit dan tidak sihat akan mengganggu kita melaksanakan tanggungjawab kita sebagai muslim dari aspek ibadah dan pekerjaan seharian.

Makanan halal mungkin akan dilihat melalui persijilan halal oleh pihak berkuasa, tetapi tidak semua makanan yang halal itu 'toyyib' dari sudut kesihatan.

Contohnya, makanan ringan (junk food) adalah halal kerana dibuat dari gandum dan bahan-bahan halal, tetapi dari aspek kesihatan makanan ini tidak sihat dan akan memudaratkan kesihatan kerana tidak mengandungi zat-zat cukup dan hanya mempunyai kalori semata-mata.

Gula pasir juga adalah makanan yang HALAL tetapi kajian menunjukkan gula pasir adalah memudaratkan kesihatan jika diambil berlebihan untuk jangka masa panjang. Oleh itu gula pasir tidak boleh kita kategorikan sebagai makanan 'toyyiban'.

Oleh kerana itu makanan yang baik hendaklah kedua-dua aspek ini dipenuhi iaitu makanan halal dan ianya menyihatkan.

Mungkin kerana inilah apabila perkataan 'halal' disebut dalam AlQuran, akan disambung dengan perkataan 'toyyiban', dengan ini jelaslah keperluan kita umat Islam menitik beratkan faktor makanan yang menyihatkan ini dalam pemilihan makanan seharian kita.

Makanan proses yang kaya dengan gula, tepung gandum, lemak 'trans', pengawet, perwarna, perasa tiruan dan garam berlebihan adalah contoh makanan yang tidak sihat. Makanan proses amat sinonim dengan kehidupan kita sekarang.

Restoran makanan segera tumbuh bagai cendawan, membawa satu budaya yang kurang sihat dalam masyarakat kita hari ini. Makan tersedia dan makanan segera yang diproses seperti mee segera, makanan tin, makanan sejuk beku, pelbagai jenis biskut, kerepek dan sebagainya amat banyak di pasaran.

Semua jenis makanan ini jika terlalu kerap diambil akan membawa kepada pelbagai jenis penyakit sebagaimana yang telah terbukti dari kajian sains yang telah banyak dilaporkan dalam jurnal-jurnal perubatan. Oleh kerana itu meninggalkan makanan seperti ini juga dituntut oleh Islam demi kesihatan yang baik.

Nabi Muhammad SAW adalah contoh terbaik pemakanan yang halal lagi menyihatkan. Makanan Rasulullah adalah makanan segar seperti buah-buahan seperti kurma segar, tembikai, madu, labu, buah tin dan minyak zaitun.

Baginda juga makan roti yang dikisar sendiri dari gandum dan barli yang kaya dengan serat penuh (wholemeal).

Didalam Al-Quran banyak kali disebut 'buah-buahan' dalam banyak surah-surahnya. Makanan syurga juga adalah terdiri dari pelbagai jenis buah-buahan. Kenapa buah-buahan ini selalu di sebut dalam AlQuran? Sudah pasti ada banyak kelebihannya dari sudut kesihatan.

Sekarang dengan ribuan kajian yang dilaporkan dalam jurnal-jurnal perubatan tentang khasiat buah-buahan menjaga kesihatan yang baik, terbuktilah bahawa apa yang dinyatakan oleh Al-Quran sejak 1400 tahun dahulu lagi.

Satu lagi aspek yang penting dalam soal pemakanan seharian adalah jumlah makanan yang kita makan setiap hari.

Rasulullah tidak melampau dalam jumlah makanan yang dimakan sebagaimana sabdanya dalam satu hadis yang bermaksud:

"Kami adalah kaum yang makan apabila lapar dan berhenti sebelum kenyang."

Islam amat menekankan konsep bersederhana dalam mengambil makanan dan amat mengeji perbuatan membazir dalam pemakanan. Melampau dan berlebih-lebihan semasa makan akan menyebabkan masalah kesihatan yang serius dan juga masalah obesiti.

Oleh itu, makan secara sederhana amat selari dari aspek kesihatan dan tuntutan Islam.

Sebagai muslim yang sejati, pemakanan yang halal dan toyyiban adalah panduan yang amat baik untuk kita amalkan setiap hari untuk mendapat keberkatan rezeki dari Allah dan mendapat kesihatan yang terbaik. Insyaallah.

#Penulis ialah Dr Norman Mohd Norawi, Pakar Kecantikan (Aesthetic), Anti Penuaan dan Perubatan Regeneratif.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Cara 'Apply' Pas My30, Perjalanan Tanpa Had Di Lembah Klang

Cara 'Apply' Pas My30, Perjalanan Tanpa Had Di Lembah Klang

Pas perjalanan tanpa had My30, membolehkan pengguna menggunakan perkhidmatan-perkhidmatan pengangkutan awam di Lembah Klang di bawah seliaan Prasarana Berhad seperti MRT, LRT, Monorail, BRT, Bas RapidKL dan Bas Feeder MRT tanpa had setiap hari dengan hanya membayar RM30 sahaja sebulan.

Apply Pas My30

Pas My30 adalah salah satu inisiatif yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) pada 5 Jun 2020 lalu.

Tujuan pengenalan pas My30 ini adalah untuk mengurangkan kesan COVID-19 terhadap rakyat Malaysia melalui pengurangan kos pengangkutan awam yang perlu dibayar setiap hari.

Pelaksanaan pas My30 diharap mampu memberikan penjimatan yang berganda terutamanya kepada pengguna pengangkutan awam yang menggunakan perkhidmatan tersebut setiap hari.

Pas My30 hanya boleh dilanggan menerusi MyKad atau MyTentera yang mempunyai fungsi Touch n Go atau kad konsesi MyRapid bagi individu atau pelajar yang berumur 12 tahun ke bawah sahaja.

Tempoh pelaksanaan pas My30 adalah bermula daripada 15 Jun 2020 sehingga 31 Disember 2020.

SYARAT LAYAK DAPAT PAS MY30

Terdapat beberapa syarat kelayakan yang dikenakan sekiranya pengguna ingin memohon pas perjalanan tanpa had pas My30.

Syarat kelayakan yang telah ditetapkan ialah:
  • Warganegara Malaysia sahaja.
  • Memiliki MyKad dan MyTentera yang sah.
  • Bagi pengguna berumur 12 tahun dan ke bawah, mereka boleh menggunakan kad konsesi MyRapid untuk mendapatkan keistimewaan ini.

DOKUMEN PERLU DISEDIAKAN SEBELUM MELANGGAN PAS MY30

Sebelum pengguna melanggan Pas My30, pengguna perlu memastikan cip Touch 'n Go di dalam MyKad atau MyTentera berfungsi dengan baik.

Cip Touch 'n Go pengguna boleh dipastikan berfungsi dengan baik atau tidak melalui langkah-langkah berikut:
  • Pengguna perlu membuat tambah nilai di mana-mana pusat tambah nilai Touch 'n Go seperti stesen minyak, kedai serbaneka, Kaunter Khidmat Pelanggan Rapid KL, dan sebagainya.
  • Jika proses tambah nilai ini berjaya, ini bermakna cip Touch 'n Go di dalam MyKad atau MyTentera tersebut berfungsi dengan baik.
  • Pengguna juga boleh membuat semakan di mana-mana kaunter Touch 'n Go atau Kaunter Khidmat Pelanggan RapidKL.
  • Sekiranya cip Touch 'n Go di dalam MyKad atau MyTentera tidak berfungsi, pengguna perlu ke mana-mana pusat Jabatan Pendaftaran Negara sebelum melanggan pas My30.

PERKARA PENTING SELEPAS MELANGGAN PAS MY30
  • Pengguna mungkin menghadapi masalah setelah melanggan pas My30 seperti kerosakan MyKad atau MyTentera rosak dan tidak boleh dibaca selepas melanggan pas My30.
  • Sekiranya perkara ini berlaku, pengguna perlu membawa MyKad ke pusat Jabatan Pendaftaran Negara untuk proses penggantian kad baharu.
  • Pengguna juga boleh menuntut pemulangan baki sekiranya ada di dalam pas My30 terbabit.
  • Proses pemulangan baki pas My30 boleh dilakukan dengan melampirkan dokumen-dokumen sokongan ke portal https://www.myrapid.com.my/

Berikut dokumen-dokumen yang diperlukan untuk proses pemulangan baki pas My30:
  • Nombor MFG MyKad.
  • Nombor akaun bank.
  • Nama bank.
  • Resit langganan pas My30.
  • Resit bayaran gantian MyKad daripada JPN.
  • Slip pulangan nilai TNG dari JPN/ Penamatan dari TNG (hanya untuk MyKad).

Pemulangan baki pas My30 tersebut akan ditukar kepada nilai wang ringgit dan sekiranya MyKad atau MyTentera pelanggan rosak tetapi masih boleh dibaca, baki hari pas My30 yang telah dilanggan akan dipindahkan ke kad generik Touch 'n Go pelanggan.

Setelah pas My30 tamat tempoh, pelanggan harus memperbaharui pas My30 di dalam MyKad atau MyTentera yang baharu.

CARA-CARA MELANGGAN PAS MY30

Bagi individu yang berminat untuk memohon My30 ini boleh mengikuti langkah-langkah permohonan seperti berikut:
  • Pengguna perlu membawa MyKad atau MyTentera ke mana-mana kaunter khidmat pelanggan RapidKL.
  • Pengguna perlu memaklumkan kepada staf khidmat pelanggan Rapid KL tersebut untuk membuat permohonan pas My30.
  • Berikan MyKad atau MyTentera untuk pendaftaran dan tambah nilai.
  • Pembayaran kali pertama untuk My30 ialah RM40. Sebanyak RM0.50 akan ditolak untuk cas tambah nilai.
  • Baki RM9.50 disimpan di dalam sistem Touch 'n Go pengguna dan baki ini tidak akan ditolak lagi di dalam sistem melainkan pengguna menggunakannya untuk transaksi selain di rangkaian RapidKL seperti di tol, kedai serbaneka, pusat membeli-belah dan sebagainya.
  • Pas My30 akan diaktifkan sebaik sahaja pengguna menyentuh pas di pintu masuk rangkaian RapidKL.
  • Pengguna perlu sentiasa memastikan nilai minimum RM5.00 sentiasa ada di dalam MyKad atau MyTentera Touch 'n Go.
  • Nilai minimum RM5.00 tidak perlu ditambah setiap bulan sekiranya pengguna tidak menggunakan nilai tersebut untuk pembayaran lain.

PEMBAHARUAN LANGGANAN PAS MY30

Bagi pembaharuan langganan pas My30 pada bulan-bulan seterusnya, berikut merupakan perkara yang perlu diambil perhatian bagi pengguna yang ingin melakukan pembaharuan pas My30:
  • Pembaharuan pas My30 secara automatik boleh dilakukan di kaunter khidmat pelanggan RapidKL dan hab bas terpilih.
  • Selepas pas berjaya diaktifkan untuk pembaharuan secara otomatik, pengguna boleh menambah nilai MyKad atau MyTentera Touch 'n Go di mana-mana premis atau kedai-kedai yang menawarkan khidmat tambah nilai Touch 'n Go untuk bulan-bulan seterusnya.
  • Pengguna perlu memastikan nilai di dalam pas tidak kurang dari RM35.00 setiap bulan.

LOKASI KAUNTER KHIDMAT PELANGGAN RAPIDKL

Pengguna yang ingin melanggan atau membuat pembaharuan pas My30 boleh pergi ke Kaunter Pelanggan RapidKL di:
  • Semua stesen LRT.
  • Semua stesen MRT.
  • Semua stesen Monorel.
  • Semua stesen BRT.

Hab bas terpilih:
  • Pasar Seni.
  • Seksyen 2, Shah Alam.
  • Sri Nilam.
  • Greenwood.
  • Terminal Kajang.

SOALAN-SOALAN LAZIM (FAQ)

Berapa lamakah pas My30 akan berada dipasaran?
  • Pelanggan boleh melanggan pas My30 bermula 15 Jun 2020 sehingga 31 Disember 2020 yang mana selepas itu My100 dan My50 akan diperkenalkan.

Bolehkah saya melanggan pas My30 menggunakan kad Touch 'n Go?
  • Tidak. Pas My30 hanya boleh dilanggan menggunakan MyKad atau MyTentera yang mempunyai fungsi Touch 'n Go sahaja.

Apakah tempoh sah pas My30?
  • Tempoh sah pas My30 adalah 30 hari berturut-turut termasuk hujung minggu dan cuti am. Pengguna boleh memilih tarikh yang sesuai untuk pengaktifan pas dan tarikh pengaktifan pas My30 bergantung kepada sentuhan pertama pas di pintu masuk rangkaian RapidKL.

Bolehkah pas My30 dipindah milik?
  • Tidak. Pas My30 diaktifkan menggunakan kad MyKad atau MyTentera. Oleh itu, pas ini tidak boleh dipindah milik.

Adakah saya perlu sentiasa memastikan nilai minimum Touch 'n GO sentiasa mencukupi di dalam MyKad atau MyTentera?
  • Ya. Pengguna perlu sentiasa memastikan nilai minimum Touch 'n GO sentiasa mencukupi di dalam MyKad atau MyTentera iaitu RM5.00.

Bolehkah saya menggunakan pas My30 di rangkaian Rapid Penang atau Rapid Kuantan?
  • Buat masa ini, pas My30 hanya sah untuk perjalanan tanpa had di rangkaian RapidKL rel dan bas di Lembah Klang sahaja.

Bolehkah saya menggunakan pas My30 di KTM Komuter atau ERL?
  • Buat masa ini, pas My30 hanya sah untuk perjalanan tanpa had di rangkaian RapidKL rel dan bas di Lembah Klang sahaja.

Saya adalah pelanggan (Smart 7/ Smart 30 / My100 / My50). Bolehkah saya melanggan pas My30 dalam pada masa yang sama?
  • Pelanggan boleh melanggan pas My30 sekiranya langganan pakej Smart menggunakan kad generik Touch 'n Go.
  • Jika langganan pakej Smart pelanggan menggunakan MyKad atau MyTentera, pelanggan perlu memastikan tempoh sah pakej Smart tamat dan pelanggan bolehlah melanggan pas My30.

INFO LANJUT MENGENAI PAS MY30

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: semakanonline

Potensi Halia Hitam Lumayan Di Tanam

Potensi Halia Hitam Lumayan Di Tanam

Halia Hitam atau nama saintifiknya Kaempferia parviflora, merupakan sejenis tanaman cekur yang sangat bernilai tinggi dan digunakan secara tradisional sebagai aphrodisak dan tonik serta mempunyai ciri-ciri antiradang, antigastrik dan antiobesiti yang telah dibuktikan melalui kajian saintifik.

Kunyit Hitam
Halia Hitam.

Tumbuhan herba ini terdiri daripada kumpulan halia yang didapati di bahagian timur laut Thailand dan sangat popular di kalangan kaum lelaki kerana ia dikenali sebagai viagra semula jadi dan telah disahkan tiada kesan sampingan.

Di samping itu, halia hitam dikatakan dapat memberi kekuatan dan tambahan tenaga.

nota: Halia hitam dengan nama saintifknya Kaempferia parviflora, adalah berbeza dengan Kunyit Hitam (Curcuma Caesia).

Potensi Herba

Kebimbangan terhadap kesan sampingan akibat penggunaan bahan kimia sintetik dan tanggapan positif terhadap produk berasaskan bahan semula jadi menyebabkan peningkatan dalam industri penanaman herba.

Permintaan terhadap produk berasaskan bahan semula jadi meningkat secara mendadak dan pengusaha seluruh dunia berlumba-lumba untuk menghasilkan pelbagai produk yang didakwa berasaskan bahan semula jadi.

Produk ini dihasilkan untuk pelbagai tujuan seperti penjagaan kesihatan tambahan (suplement), ubat-ubatan, kosmetik dan penjagaan diri.

Di Amerika contohnya, permintaan terhadap produk kosmeseutikal sahaja meningkat hampir 11% setiap tahun dan nilainya pada tahun 2008 mencapai USD7 bilion.

Di Malaysia, industri pasaran produk berasaskan herba dianggar bernilai lebih daripada RM4.5 bilion dan dijangka akan terus meningkat.

Kajian

Hasil kajian di Thailand menunjukkan halia hitam mempunyai kandungan antioksida yang sangat tinggi, antidiabetik, meningkatkan kepadatan sperma dan antidepresi yang sesuai untuk kesihatan dan telah lama digunakan untuk tujuan perubatan.

Walaupun permintaan produk herba terus meningkat kebelakangan ini, penghasilan produk berasaskan halia hitam masih dipandang sepi berikutan kekurangan bahan tanaman untuk penghasilan secara berskala besar.

Peluang ini membolehkan MARDI untuk memperkenalkan tanaman halia hitam yang merupakan tanaman berpotensi dan bernilai tinggi yang perlu dieksploitasi dengan kadar segera.

Produk berasaskan halia hitam ini boleh diaplikasi dalam bentuk makanan kesihatan, makanan tambahan herba, (campuran produk bersama kopi) kosmetik dan farmaseutikal yang telah banyak dihasilkan di Thailand.

Berasaskan penemuan terdahulu oleh penyelidik Thailand, halia hitam didapati selamat untuk dimakan malah terbukti keberkesanannya serta mempunyai nilai yang tinggi dan dijangka mampu memberi keuntungan lumayan.

Ia berpotensi sebagai tanaman yang dapat memberi pulangan yang tinggi kepada negara jika dihasilkan pada skala yang besar dan selari dengan R&D yang dilakukan.

Pembangunan produk berasaskan herba dan nilai tambahnya, bukan sahaja akan menggalakkan pertumbuhan industri herba, tetapi juga menyediakan peluang penjagaan kendiri kepada orang ramai.

Permasalahan dalam pengeluaran produk halia hitam ialah tidak ramai yang mengetahui khasiat dan kebaikannya.

Secara saintifiknya, khasiat halia hitam telah dibuktikan oleh kajian yang telah dilaporkan di dalam beberapa jurnal.

Namun begitu, kekurangan bahan tanaman ini di Malaysia menyebabkan ia sangat sukar untuk diperoleh dan merupakan faktor utama halia hitam tidak popular seperti tanaman lain.

Malah, aktiviti R&D di Malaysia masih tidak menghasilkan banyak produk berasaskan tanaman halia hitam walaupun banyak institusi penyelidikan dan universiti yang mengetahui potensi besar tanaman ini.

Kesukaran untuk mendapatkan rizom sebagai bahan utama dalam penghasilan produk merupakan masalah utama.

Harga rizom yang terlalu mahal mencecah sehingga RM6,000/kg telah menyukarkan pengusaha industri herba untuk mengeksploitasi dan memperkenalkan tanaman ini dalam pasaran industri herba.

(Sumber: Buletin Teknologi MARDI)

HALIA HITAM BERHARGA RM200 SEKILO!

Rizom Halia Hitam
Halia Hitam.

Tumbuhan herba ini terdiri daripada kumpulan halia yang didapati secara meluas ditanam di Thailand berbanding di negara ini.

Mungkin faktor itulah yang menyebabkan ramai dalam kalangan masyarakat kurang mengenali apatah lagi mengetahui khasiatnya.

Situasi itu turut diakui pembekal dan pengedar anak benih pokok buah-buahan dan herba, Othman Saidon.

Katanya, dari segi fizikal tanaman itu hampir serupa dengan halia biasa, namun bentuk ubinya berbeza dan berwarna ungu hitam walaupun saiz seakan-akan sama.

"Ketika ini sukar memperoleh benih halia hitam kerana ia tidak terdapat di pasaran atau nurseri. Biasanya saya mendapatkan benihnya dari Thailand pada RM200 sekilogram.

"Halia hitam mempunyai nilai komersial yang tinggi kerana rizom (akar berisi) dan daunnya digunakan sebagai bahan bagi tujuan pengeluaran produk kesihatan, kosmetik, makanan tambahan dan perubatan," katanya.

Othman berkata, berbanding di Thailand, penghasilan produk berasaskan halia hitam di pasaran tempatan sangat terbatas berikutan kekurangan bahan tanaman itu dan hanya segelintir pengusaha yang menanamnya secara berskala besar.

Tidak hairanlah di negara gajah putih itu terdapat produk berasaskan halia hitam yang diaplikasikan dalam pelbagai bentuk makanan kesihatan tambahan selain kosmetik.

"Kekurangan halia hitam di negara ini menyebabkan ia sangat sukar untuk diperoleh dan menjadi faktor utama ia tidak popular seperti pokok herba lain antaranya tongkat ali dan kacip fatimah."

Beliau turut mengakui halia hitam mudah ditanam sama ada di atas tanah, dalam pasu atau menggunakan beg semaian.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2