Wednesday, June 17, 2020

SBDJ Siri 155: Lembing Puaka


Saya benar-benar resah dan cemas. Tidak ada seorang pun yang berani melangkah bendul bilik. Datuk bagaikan terpukau, tidak dapat berbuat apa-apa. Kelopak matanya pejam celik merenung ke arah binatang ganjil di sudut bilik.

SBDJ siri 139

Saya terus berdoa, supaya datuk tidak akan menyuruh saya melangkah bendul untuk mendekati binatang ganjil itu.

Datuk angkat tangan kanan separas pinggang, beri isyarat supaya kami undur dua tapak ke belakang.

Isyarat yang di beri segera dipatuhi. Haji Bagus, si baju hitam dan saya undur dua tapak ke belakang.

Datuk juga turut berbuat demikian. Suasana malam yang sepi membuat hembusan dan tarikan nafas kami jelas kedengaran.

"Tamar."

"Ya tuk."

"Ubah kedudukan lampu gasolin, sangkutkan sebelah kiri palang, biar cahayanya tertumpu ke arah cicak hitam, aku nak tengok gerak-gerinya."

Arahan datuk segera saya patuhi.

"Apa lagi yang kau nak suruh kami buat, Mat Diah, cakaplah," cukup tenang Haji Bagus bersuara tetapi, nada suaranya membayangkan kecemasan.

"Bertenang Abang Aji."

"Iya," angguk Haji Bagus.

Saya lihat wajah si baju hitam pucat lesi. Dia nampak cemas dan resah. Sekejap renung ke kanan, sekejap renung ke kiri.

Apa yang pasti setiap gerak-geri datuk tetap menjadi perhatiannya.

"Maju."

Datuk angkat tangan. Kami maju dua tapak ke depan dan berhenti sebaik saja sampai ke paras bendul.

"Nampak dengan jelas," tanya datuk.

"Nampak," jawab kami serentak.

Saya lihat, badan cicak ganjil itu sama ukurannya dengan badan kucing siam yang cukup dewasa.

Berwarna hitam. Matanya tertonjol keluar macam mata udang. Memancarkan cahaya merah kemerahan.

Lidahnya dianggarkan dua kaki. Ekornya keras macam akar kayu dan mempunyai dua warna, separuh hitam separuh putih. Bau hanyir macam bau darah.

Sekadar untuk menguji sama ada cicak ganjil itu ganas atau tidak, datuk mencampakkan segumpal kain buruk ke arahnya.

Bagaikan kilat ekornya menyambar kain buruk itu lalu disumbatkan kedalam mulut dan lidahnya yang panjang mula merewang-rewang ke kiri dan ke kanan menyambar apa saja yang sempat ditelan.

Datuk mencampakkan lampu suluh milik Haji Bagus ke arahnya. Lampu suluh disambut dengan pantas oleh ekornya lalu disumbat ke mulut.

Cicak ganjil yang duduk diam mula menggerakkan badannya. Mula merangkak ke arah kami.

Pada mulanya dia menuju ke arah datuk tetapi, akhirnya mengubah haluan ke arah si baju hitam.

Si cicak melibaskan ekornya ke arah si baju hitam, mujurlah si baju hitam sempat mengelak dan ekor cicak yang terkena dinding mengakibatkan papan dinding terbelah dua.

Si cicak bertambah berang. Kali ini si cicak mengunakan lidahnya yang panjang. Setiap kali lidahnya mahu menjamah pakaian si baju hitam, cicak ganjil segera menarik lidahnya masuk ke mulut dan cicak itu berguling-guling atas lantai macam ada sesuatu yang mencucuk kulitnya.

Saya segera renung ke arah datuk. Rupa-rupanya secara diam-diam datuk sedang melawan cicak itu dengan cara tersendiri.

Datuk membaca beberapa potong ayat Quran dan menghembuskan ke arah cicak, setiap kali dihembus cicak itu seperti kepanasan.

Tanpa diduga, cicak yang besar bertukar menjadi macam cicak biasa. Pada saat itu, terdengar bunyi suara perempuan menangis dan meratap yang tidak diketahui biji butirnya.

"Jangan ke mana-mana, kita tunggu sebentar sebelum keluar," beritahu datuk.

Kami pun mematuhi cakapnya. Setelah sepuluh minit menanti, tidak ada apa yang terjadi. Tempat cicak ganjil segera diperiksa.

Di situ, Haji Bagus menemui tulang jari telunjuk manusia dan beberapa helai rambut. Di samping dua ekor belalang, seekor berwarna kuning dan seekor berwarna merah. Datuk tidak pula mengusik barang-barang tersebut.

"Untuk keselamatan si Andi, eloklah dia sama Tamar dan saya tidur sebilik," datuk renung muka Haji Bagus.

"Eloklah begitu, untuk keselamatan," sahut Haji Bagus lalu merapatkan daun pintu bilik.

"Esok kita selesaikan kerja yang belum selesai," datuk memberikan janji pada Haji Bagus.

MELANGKAH

Dengan tenang Haji Bagus menuju ke bilik tidurnya. Tanpa membuang masa, saya dan si baju hitam segera masuk ke bilik datuk.

Sebaik saja mahu meletakkan kepala atas bantal, terdengar suara datuk bercakap dengan Haji Bagus.

"Kenapa Abang Aji berpatah balik?"

"Hati tak berapa sedap, kenapa kita tak ambil barang-barang dalam bilik tu?"

"Tak payah ambil malam ni Abang Aji, siang esok saja kita ambil."

"Tak merbahayakah biarkan barang-barang tu di situ?"

"Dengan izin Allah. Kita selamat."

"Kalau dah begitu kata kamu, senanglah hati aku."

"Usah bimbang Bang Aji, pergilah tidur."

"Baiklah."

Terdengar bunyi telapak kaki Haji Bagus memijak papan lantai menuju ke bilik tidur. Tak lama kemudian berkumandang suara datuk membaca al-Quran.

Si baju hitam yang terbaring di sisi saya, keadaanya tetap seperti tadi, resah semacam. Apa yang dibuat semua tidak kena.

Sekejap dia duduk, sekejap dia baring. Sekejap meniarap, sekejap menelentang.

"Kenapa?" tanya saya yang merasa terganggu dengan tindak tanduknya itu.

"Badan aku Tamar."

"Kenapa dengan badan kamu?"

"Sekejap terasa panas, sekejap terasa sejuk, hati aku rasa tak tentu arah."

"Mahu aku cakap dengan datuk."

"Tak payah, aku boleh mengatasinya."

"Terpulanglah pada kamu," kata saya dengan putus asa.

Mungkin kerana terlalu mengantuk, saya tidak dapat mengikut tindak-tanduk si baju hitam selanjutnya. Saya terus tertidur.

Saya terjaga, bila ibu jari kaki kiri direntap oleh datuk dengan kuat sekali. Saya toleh ke kiri dan saya lihat si baju hitam tersenyum panjang.

Dia sudah mandi dan mengenakan pakaian lengkap untuk ke masjid.

"Bangun, pergi mandi. Boleh kita sama-sama jemaah di masjid," si baju hitam bersuara.

Hati saya meradang dengan sikapnya itu. Cuba mahu mengajar saya. Sial! Kutuk saya dalam hati sambil menunjuk buku lima ke arahnya.

"Cepat bangun. Apa yang dimenungkan, pergi mandi kita jemaah di masjid," sampuk datuk yang kurang senang dengan cara saya melayani karenah si baju hitam.

Saya tidak ada pilihan, terpaksa bangun menuju ke perigi dalam dingin subuh yang menyengat.

Kerana tidak tahan dengan cuaca sejuk, saya basahi tubuh dengan dua gayung air saja.

Si baju hitam senyum lagi, bila dia lihat saya dalam keadaan menggeletar menyarungkan kain dan baju ke tubuh.

Sakit benar rasa hati saya dengan sikapnya itu. Kalau tidak ada datuk di sini, sudah pasti saya lepaskan penumbuk sulung ke dahinya.

"Sudah siap?" tanya datuk.

"Sudah," jawab saya serentak dengan si baju hitam.

"Kalau begitu tunggu apa lagi. Jum kita ke masjid."

"Jum," balas si baju hitam. Dan kami pun keluar dari rumah menuju ke masjid.

Sudah rama para jemaah menanti dan saya disuruh oleh Tuk Siak melaungkan azan subuh. Sudah pasti permintaan itu tidak saya hampakan. Atas permintaan para jemaah datuk pun menjadi imam.

Selesai sembahyang para jemaah di hadapkan dengan ceramah agama yang disampaikan oleh seorang ulama terkenal dari Kedah.

Sebelum ulama yang diundang khas itu pulang, datuk sempat berkenalan dengannya.

Ulama dari Kedah itu memberitahu datuk, dia menetap di Mekah dan pulang ke kampung halaman (Pokok Sena) dua tahun sekali.

Setiap kali pulang ke tanah air, dia akan menjelajah ke setiap negeri di Semenanjung. Kemudian ke Pattani (Selatan Siam) ke Sabah, Sarawak, Brunei, Selatan Filipina, ke Pulau Jawa dan ke Sumatera.

Dia memberi ceramah agama secara percuma di setiap masjid yang dikunjunginya. Dia berbuat demikian semata-mata untuk mengembangkan dan menanam rasa cinta umat Islam pada agama yang dianuti.

Menurutnya, berdakwah demi mengukuhkan ajaran Islam adalah tanggungjawab setiap orang Islam yang berilmu.

Orang Islam yang tidak mahu berdakwah sesama Islam dan bukan Islam, bukanlah orang Islam yang benar-benar memikul tanggungjawab sebagai orang Islam.

Ulama itu juga berpesan kepada datuk supaya melakukan kebaikan kepada makhluk Allah yang terdiri dari manusia, binatang, tumbuh-tumbuhan dan lain-lain lagi.

Di samping itu juga berusaha mengembangkan syiar Islam walau dengan cara apa sekalipun, ketika masih hidup, kerana perbuatan itu dihitung di alam akhirat kelak.

Terlalu banyak yang dicakapkan oleh ulama dari Kedah kepada datuk dalam waktu yang terhad itu dan datuk begitu khusyuk mendengarnya.

Setelah menikmati sebungkus nasi lemak, secawan kopi serta sebiji pisang emas badan terasa segar.

Tidak dapat saya pastikan sama ada si baju hitam mengambil sarapan atau tidak.

Tetapi, datuk tetap macam biasa, tidak akan mengisi tali perutnya dengan makanan yang berat-berat pada sebelah pagi. Segelas air suam sudah mencukupi baginya.

Para jemaah yang sudah kenyang, seorang demi seorang meninggalkan masjid. Saya masih lagi tersandar di dinding masjid.

Malas benar rasanya mahu bangun. Perut rasa kurang enak, menggelodak semacam.

Kerana tidak mahu ditegur oleh datuk, saya segera beredar dari ruang makan masjid menuju ke ruang serambi. Berdiri di situ dalam keadaan serba tidak kena.

"Kenapa kamu, muka berkerut semacam?" Datuk renung muka saya.

"Sakit perut tuk."

"Hum, itulah akibatnya. Kalau dapat makan semua nak disumbat dalam perut," rungut datuk bersama kerlingan yang cukup tajam.

Apa yang terdaya saya lakukan hanyalah tersengih, macam kerang busuk.

"Saya nak ke jamban tuk."

"Hum, pergi cepat," balas datuk lalu disambut dengan senyuman oleh si baju hitam.

Haji Bagus dengan beberapa jemaah yang berada di serambi masjid turut senyum panjang.

Dalam keadaan tersipu-sipu kerana malu, saya pun melangkah ke bilik air yang terletak di sudut masjid.

RANCANGAN

Seperti yang dirancang sebelumnya, acara pertama pagi ialah melihat sekitar kawasan rumah lama.

Acara kedua yang disusun ialah membersihkan luar dalam. Saya dan si baju hitam sudah bersedia untuk melakukannya.

"Tunggu dulu," kata datuk.

Saya dan si baju hitam tidak jadi melangkah. Kami berpandangan sesama sendiri dan merenung serentak kearah datuk yang berdiri dekat rimbunan pepokok kecil.

"Kamu tahu apa yang dia nak buat Andi?"

"Aku tahu Tamar."

Begitulah perangai datuk, walau dimana berada. Dia tetap melakukan kebiasaannya mandi embun yang kemudiannya dituruti dengan latihan gerak badan (iaitu silat ringan) hingga badan berpeluh.

Bila amalan itu selesai dilaksanakan, barulah dia makan pagi ala kadar (yang di sediakan oleh isteri Haji Bagus.

Saya kira semuanya diatur oleh Haji Bagus, bila dia melihat datuk tidak makan di masjid tadi).

Walaupun di pelawa oleh Haji Bagus, saya tetap menolak dengan senyuman. Meskipun hati kecil ingin menjamahnya.

Bila pelawaan itu diajukan kepada si baju hitam, ternyata dia tidak menolak. Saya lihat begitu bersemangat sekali dia makan kuih tepung bungkus dan minum kopi.

"Bagaimana Abang Aji? Boleh saya mulakan sekarang."

Dari anjung rumah Haji Bagus dongakkan muka ke langit menatap matahari pagi yang kian meninggi.

"Bolehlah tapi, hati-hati maklumlah rumah lama."

"Saya faham maksud cakap Bang Aji tu," datuk mula bangun dan melangkah ke pintu lalu berhenti di situ.

"Abang Aji tak ikut sama?"

"Kamu pergilah dulu, sekejap lagi aku datang."

"Baiklah, jum kita pergi sekarang, Tamar."

Datuk merenung ke arah saya dan si baju hitam. Kami pun segera bangun.

Sampai saja di depan dirumah pusaka, kami tidak terus masuk. Terpaksa berlegar-legar di depan pintu yang tidak berkunci.

Datuk terus menemui Tuk Siak yang berada di perkarangan masjid .

"Boleh saya masuk ke rumah ni," kata datuk kepada Tuk Siak.

Saya lihat Tuk Siak yang sedang membersihkan halaman masjid gelengkan kepala sambil menatap wajah datuk.

"Ah kamu, kenapa begitu sekali. Bukankah rumah ini peninggalan orang tua kamu."

"Betul rumah peninggalan orang tua saya tapi, sudah diwakafkan dan ada penjaganya. Saya mesti minta kebenaran dulu," balas datuk tenang.

Dan Tuk Siak yang berusia lebih dari setengah abad itu lagakan gigi bawah denga gigi atas berkali-kali.

"Iya, kamu bercakap perkara yang benar. Aku izinkan kamu masuk. Nah! Ambil ini," Tuk Siak segera menyerahkan sejambak kunci kepada datuk.

"Buat apa? Bukankah pintunya tidak berkunci," ujar datuk sambil mengerutkan kening dan dahi.

Tuk Siak segera menepuk bahu kanan datuk berkali-kali, ekor matanya merenung ke arah saya dan si baju hitam.

Datuk saya lihat seperti kebingungan. Sejambak kunci dari Tuk Siak sudah berada di telapak tangannya.

"Memang pintunya tak berkunci tetapi, ada biliknya yang berkunci. Bilik yang berkunci tu pula ada rahsianya. Inilah kelebihan diri kamu.

"Tahu adat dan budi bahasa. Pergilah masuk, kalau ada apa-apa masalah panggil aku, aku nak jemur sejadah," tutur Tuk Siak lalu meninggalkan datuk yang sudah memulakan langkah menuju ke muka pintu rumah papan besar yang bertiang banyak.

Bahagian dapur rumah lama tidak menggunakan tiang. Terletak diatas tanah yang bersimen.

Sekeliling kawasan dapur disimen setinggi lebih kurang satu kaki. Keadaannya nampak kemas dan kejap sekali. Tidak terdapat lumut menempel pada simen. Nampak bersih dan cantik.

Setelah memberi salam dan membaca beberapa potong ayat al-Quran dengan hati-hati datuk menolak pintu.

"Masuk," perintah datuk.

Saya dan si baju hitam meluru ke dalam rumah. Tanpa menunggu arahan selanjutnya dari datuk, saya terus membuka tingkap. Cahaya matahari pun menerpa ke lantai dan setiap liku ruang dapur. Semuanya nampak bersih dan teratur.

Pinggan mangkuk, kuali dan periuk belanga diselimuti dengan kain kuning bagi meneglakkan dari terkena debu dan habuk.

GANJAK

Dari ruang dapur kami berganjak ke tangga menuju ke ruang bahagian atas. Berada di bahagian atas yang luas hati terasa lapang.

Saya segera membuka tingkap di sebelah kiri ruang. Cahaya matahari menyimbah masuk. Ruang yang luas itu, jika diadakan jamuan boleh memuatkan lebih dua ratus orang.

Di sebelah kiri ruang yang luas itu, terdapat dua bilik yang berkunci, begitu juga disebelah kanan tetapi, sebuah saja bilik yang berkunci. Bilik yang tidak berkunci, sebelah pintunya terbuka separuh.

"Rumah besar. Tapi sayang, tak ada orang yang duduk," kata saya kepada si baju hitam.

Dia anggukkan kepala. Dan datuk yang mendengar kata-kata saya itu cuma tersenyum saja.

"Berkuap panas," saya merungut.

"Kalau nak angin, pergi buka ibu tingkap," datuk renung muka si baju hitam.

"Barulah terasa sejuk," tambahnya lagi.

Kali ini anak matanya memandang ke muka saya.

"Di mana ibu tingkapnya tuk," soal saya.

"Di sana."

Datuk pun menudingkan jari telunjuknya ke dinding ruang di depan saya. Dengan tenang saya melangkah ke situ.

Saya jadi bingung, tidak ada tanda-tanda di situ ada tingkap, kecuali jerjak besi sebesar ibu jari kanak-kanak tingginya hampir sepuluh kaki.

Saya menghitung jerjak besi itu dari kanan ke kiri. Jumlahnya lebih dari dua puluh bilah semuanya.

Saya terus meraba papan berlidah yang menjadi dinding ruang. Ternyata saya masih gagal mencari ibu tingkap yang datuk katakan itu.

Hati kecil saya terus bertanya, bagaimana rupa bentuk ibu tingkap itu? Adakah dia berbentuk bulat, bujur atau leper.?

"Kenapa teraba-raba, buka sajalah," suara datuk keras.

"Saya tak jumpa tuk."

"Yang kamu jamah tu, itulah ibu tingkap. Kamu tengok bahagian tengah papan berlidah. Di situ ada tanda bulat sebesar ibu jari, kau tekan benda itu sehingga berlubang.

"Kemudian, kamu tengok bahagian tepi sebelah kanan, ada buluh kecil sebesar ibu jari kaki orang tua, panjangnya kira-kira sejengkal. Dalam buluh tu ada tali, bawa buluh tu keluar dari kawasan jerjak besar," begitu datuk memberikan panduan. Semuanya saya ikut.

"Tunggu aku datang," kata datuk bila dia melihat saya berjaya mengeluarkan buluh tersebut.

Datuk pun mendekati saya lalu mengambil buluh dari tangan saya. Dia mengeluarkan dua utas tali dari dalam buluh.

"Ini kamu pegang dan ini untuk aku, bila aku kata 'lepas' kamu lepaskan tali serentak dengan tali yang aku pegang," datuk memberikan penerangan dan saya mendengarnya dengan teliti sekali.

"Tamar."

"Iya, tuk."

"Bersedia sekarang."

"Iya, tuk," saya pun memperkemaskan diri.

"Lepaskan."

Tali ditangan saya lepaskan. Dinding dari papan berlidah terangkat ke atas setinggi lebih dari tujuh kaki.

Bahagian bawah yang terjulur, penuh dengan ukiran awan larat yang sungguh menarik. Begitu juga dengan bahagian papan dinding sebelah tepi yang tidak terangkat. Penuh dengan ukiran.

Angin pun berebut-rebut masuk ke ruang yang luas. Badan kami terasa dingin sekali. Sejuk rasa mata memandang dedaun yang menghijau dari ruang rumah.

"Ini kebolehan dan kesenian orang kita, bila papan dinding yang terangkat itu di jatuhkan, tidak seorang pun tahu itulah ibu pintu, ukiran-ukiran yang kita tengok terus hilang.

"Hanya tukang rumah yang betul-betul mahir saja yang boleh membuatnya. Biasanya tukang rumah jenis itu, mahirnya semula jadi atau di pelajari dari keturunan mereka yang sebelumnya memang pandai membuat rumah orang-orang besar atau istana raja sejak zaman dulu," datuk memberi penerangan. Saya dan si baju hitam anggukkan kepala.

"Dulu, diruang ini aku belajar berzanji, berkhasidah dan belajar Quran," sambung datuk lagi sambil merenung ke kiri dan ke kanan ruang.

Datuk menarik dan melepaskan nafas. Buat beberapa saat dia termenung panjang. Barangkali dia mengingati zaman lalu yang indah yang tidak mungkin dapat di kecapinya lagi. Tiba-tiba datuk mengigit bibir.

"Dulu, kalau ada pembesar datang melawat kampung, semua orang kampung duduk disini. Mereka menyampaikan masalah kepada pembesar dan selalunya bila sudah berbincang, mereka makan beramai-ramai di sini," ujar datuk lagi. Dia masih bernostalgia dengan zaman yang hilang.

"Sudahlah, kenapa mesti dikenang," datuk mengeluh sendirian.

Dia bagaikan menyesali diri sendiri dan marah-marah dengan zaman lampaunya. Saya dan si baju hitam hanya melihat saja telatah datuk yang agak melucukan itu.

"Mari kita periksa, barang-barang yang ada dalam bilik berkunci. Sebelum tu kita tengok dulu apa yang ada dalam bilik tak berkunci, mari."

Saya dan si baju hitam terus mengekori datuk menuju ke arah pintu bilik yang terbuka separuh itu.

Dengan perlahan-lahan datuk menolak daun pintu, setelah memastikan tidak ada apa-apa merbahaya menanti, datuk pun melangkah ke dalam bilik. Saya dan si baju hitam turut sama.

Harapan untuk melihat sesuatu yang baru dalam bilik itu tidak berhasil, kecuali longgokan akhbar dan majalah lama yang tersusun rapi. Kami segera keluar dari bilik tersebut.

"Sekarang bilik mana yang nak kita buka," ujar datuk dalam nada suara yang ragu.

"Bagaimana kalau kita buka bilik di depan kita ni," si baju hitam mengesyorkan kepada datuk.

"Boleh, aku setuju, mari," datuk menarik tangan si baju hitam menuju ke bilik yang di maksudkan itu.

Saya terus mengekori dari belakang hingga sampai ke tempat yang dihajati.

KUNCI

Tanpa berkata-kata apa-apa, datuk terus membuka kunci pintu bilik. Daun pintu ditolak dengan tenang. Datuk jengukkan kepala ke dalam bilik seketika.

Bila sudah dipastikan keadaan selamat, barulah datuk menyuruh saya dan si baju hitam pula menjengok ke dalam kamar.

"Kamu tengok sendiri apa yang di dalamnya," kata datuk.

Saya dan si baju hitam menggigit bibir. Di depan mata kami tersusun pedang, lembing, sundang, perisai yang jumlahnya beratus-ratus bilah.

Makin lama senjata-senjata lama itu direnung, saya terasa seram. Mendadak saja bulu roma dan bulu tengkuk saya berdiri. Macam ada sesuatu yang tidak kena di dalam bilik tersebut.

"Siapa yang punya semua ini tuk?" saya menyoal.

"Semua ini, senjata orang-orang kampung yang pernah digunakan semasa menentang Belanda dulu."

"Kenapa mereka tak simpan sendiri tuk?"

"Nak simpan macam mana, tuan punya senjata ni, semuanya dah jadi arwah. Senjata mereka sengaja dikumpul dan disimpan di sini.

"Kalau nak tahu berapa ramai orang kampung yang mati, kira saja senjata yang ada di sini," terang datuk.

"Begitu, boleh saya kira jumlahnya tuk."

"Jangan," datuk melarang.

Datuk pun membongkokkan badannya lalu mengambil sebilah sundang yang matanya sudah berkarat.

"Kamu berdua tengok, darah musuh yang sudah sebati dengan mata sundang," lanjut datuk sambil menayangkan mata sundang yang berkarat di depan mata saya dan si baju hitam.

Datuk terus membelek-belek tulisan jawi yang terukir atas kepingan buluh kuning. Buluh kuning selebar dua jari dan sepanjang kira-kira empat inci itu diikat kepada ulu sundang.

"Kalau kamu nak tengok senjata lama silakan. Tetapi, hati-hati bila memegangnya," kata-kata itu datuk tujukan kepada si baju hitam yang begitu minat sekali dengan senjata lama itu.

Kata-kata datuk itu amat mengembirakan hati si baju hitam. Tanpa mahu membuang masa, dia terus menagmbil sebilah lembing. Mata dan hulu lembing digosoknya berkali-kali. Kemudian lembing itu di timang- timang dan dikucup berkali-kali. Kelakuan si baju hitam agak aneh ketika itu.

Entah macam mana, saya terpandangkan sepasang mata si baju hitam bertukar menjadi merah. Mukanya berpeluh. Wajahnya nampak bengis sekali. Urat-urat di belakang tangan dan di lengan mula timbul.

Datuk yang asyik membelek-belek sundang, tidak menyedari perubahan yang terjadi pada diri si baju hitam.

Belum pun sempat saya memberitahu datuk tentang keanehan diri si baju hitam, dia (si baju hitam) terus melompat lalu menikam dinding rumah dengan lembing bertalu-talu.

Tidak memadai dengan itu, dia terus melompat keluar dari bilik. Saya dan datuk dirempuh dengan keras. Kami jatuh terlentang, nasib baik tidak jatuh atas senjata lama.

Bila berada di ruang rumah yang luas itu, si baju hitam terus membuka silat. Ia bagaikan orang gila. Lembing di tangan terus saja ditikam sesuka hati.

Datuk tercengang dengan kejadian yang tidak diduga sama sekali itu. Datuk menyuruh saya menurunkan ibu tingkap. Dalam keadaan terketar-ketar suruhan datuk saya lakukan.

Si baju hitam terus bersilat. Gerak-gerinya datuk awasi. Sekiranya si baju hitam menyerang saja, pasti datuk bertindak.

Saya bersyukur pada Allah, perintah datuk dapat saya lakukan dengan sempurna.

"Sekarang kamu sembunyikan diri di balik pintu. Dia tak boleh ke mana-mana, ibu tingkap sudah kita tutup. Kalau dia mengamuk hanya dalam rumah ni saja, tidak sampai keluar mencederakan orang," beritahu datuk kepada saya.

"Tapi tuk."

"Jangan banyak kerenah, pergi sembunyikan diri dibalik pintu. Ingat jangan usik senjata lama," pesan datuk.

Tanpa membuang masa, datuk terus melompat ke ruang tengah rumah. Sebaik saja datuk di situ, mata lembing melayang ke arah dada datuk.

Nasib baik datuk dapat mengelak dan mata lembing melekat di dinding. Hulunya bergoyang.

Belum sempat datuk mengambil lembing, si baju hitam terlebih dahulu berjaya mencabutnya dari dinding.

"Andi Kamarool, serahkan lembing itu pada aku," tutur datuk.

Si baju hitam yang sudah naik minyak, tidak menghiraukan permintaan datuk, malah dia bertindak lebih ganas lagi.

Dengan lembing di tangan dia menyerang datuk dari arah rusuk. Ditikamnya bertubi-tubi. Datuk terpaksa mengelak ke kiri dan ke kanan.

Ada seketika datuk melompat, setiap kali melepaskan tikaman, si baju hitam terus menjerit.

Anehnya, setiap kali si baju hitam menjerit, senjata lama yang berada dalam bilik khas bagaikan melompat. Keris bagaikan mahu keluar dari sarungnya.

Semuanya yang berlaku di depan mata membuat saya menggeletar sendiri. Tidak tahu bagaimana mahu saya gambarkan perasaan ketika itu.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 155/284

BACA: SBDJ Siri 154: Cicak Hitam Dalam Bilik
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon