Monday, June 15, 2020

SBDJ Siri 154: Cicak Hitam Dalam Bilik


Beduk di masjid pun dipalu orang, tidak lama kemudian suara azan maghrib bergema ke seluruh kampung. Kami segera bangun. Haji Bagus bergegas ke ruang dapur. Tidak lama kemudian dia kembali menemui kami.

SBDJ siri 139

"Saya dah suruh orang rumah masak lebih, saya suruh sediakan makanan yang sedap untuk kamu semua," Haji Bagus renung muka saya dan si baju hitam.

"Niat nak bermalam di rumah lama," celah datuk sambil ketawa.

"Begitu, walau macam mana pun makan malam di rumah saya dulu," terdengar nada suara Haji Bagus bersahaja.

Datuk tersenyum sambil menggosok hujung hidungnya berkali kali. Kami pun menuju ke muka pintu, si baju hitam turun dulu, diikuti oleh saya, datuk dan diakhiri oleh Haji Bagus. Azan terus bergema.

"Dimana kamu jumpa budak baju hitam tu, kalau tak silap aku kenal dia. Budak tu dah lama ghaib dari sini.

"Katanya menuntut ilmu batin dengan Munah Supandi. Bermacam ikhtiar dibuat oleh emak bapanya, dia tak juga mahu balik. Tiba-tiba dia mengikut kamu pula Mat Diah," suara bisikan Haji Bagus ke telinga datuk dapat saya dengar agak jelas.

"Nanti lepas sembahyang Isyak, lepas kita makan boleh saya cerita. Panjang ceritanya," itu jawapan yang datuk berikan.

Ternyata jawapan itu amat menyenangkan Haji Bagus. Buktinya, dia tidak mengemukakan pertanyaan selanjutnya.

KERUMUN

Malam itu, selesai sembahyang maghrib dan isyak, datuk dikerumuni oleh para jemaah yang kebanyakan usianya lebih tua ari datuk, dan yang seusia dengan datuk ada kira-kira lima enam orang saja.

Para remaja yang muda buat tidak kisah dengan apa yang berlaku di masjid. Mereka tercengang dan berbisik sesama sendiri sambil melemparkan renungan yang sinis ke arah datuk. Tindak tanduk para jemaah muda itu dapat dikesan oleh Haji Bagus.

"Orang ni, anak jati kampung ni. Berpuluh-puluh tahun duduk di Tanah Melayu. Arwah orang tuanya mewakafkan tanahnya untuk mendirikan masjid tempat kita berjemaah.

"Orang tuanya juga mewakafkan tanahnya untuk dijadikan kubur," kata-kata Haji Bagus itu membuat para jemaah muda buka mata. Mereka merenung ke arah datuk dengan penuh rasa kagum.

"Rumah besar sebelah masjid yang selalu kita gunakan untuk majlis nikah kawin, berkhatan dan macam-macam lagi majlis...." secara mendadak saja seorang tua turut bersuara dari arah kanan saya. Semua biji mata tertumpu ke arah lelaki tua itu.

"Dia beranak di situ, rumah dan pinggan mangkuk yang kita gunakan bila kenduri kendara milik orang tuanya yang diwakafkan untuk kita semua.

"Dia balik ke kampung macam berdagang di rantau orang, ada tanah, ada rumah tapi bukan haknya," sambung orang itu penuh semangat. Datuk hanya gelengkan kepala.

"Saya balik ke sini kerana saya rindukan pada kampung laman, rindu pada saudara-mara, terutama golongan tua yang ada pertalian darah dengan saya," secara mengejut datuk bersuara. Semua yang ada dalam masjid anggukkan kepala.

"Budak yang pakai baju hitam, seluar hitam, ada hubungan apa dengan awak," tanya seorang anak muda dalam lingkungan usia tiga puluhan.

"Eh, berbudi bahasa sedikit, hormatilah orang tua," sergah haji kepada anak muda itu.

"Dia cucu saya. Tak suka saya tengok dia biadap begitu dengan orang tua," tambah Haji Bagus, bila dia melihat datuk terpampan dengan tindak tanduknya.

Penjelasan yang diluahkan oleh Haji Bagus membuat datuk menarik nafas panjang. Membayangkan kelegaan yang amat sangat.

"Maafkan saya," kata cucu Haji Bagus dengan wajah sedih.

Datuk segera mendekatinya, dua tiga kali datuk gosok belakang cucu Haji Bagus.

"Aku maafkan kamu," bisik datuk ke telinganya.

"Orang muda jangan cepat naik darah. Kalau cepat naik darah, nanti ramai musuh dari sahabat," tambah datuk.

Anak muda mulut celupar terus anggukkan kepala.

"Terima kasih kerana nasihat yang berguna," kata anak muda itu sambil merenung lantai masjid.

Para jemaah mula bercakap sesama sendiri. Mereka memuji anak muda mulut celupar yang mahu mengakui kesilapan sendiri.

"Untuk pengetahuan jemaah semua, budak ini..." datuk menuding jari telunjuk ke arah si baju hitam.

"Dia tiada pertalian darah dengan saya tapi, dia adalah sahabat seagama dengan saya. Cerita bagaimana saya berkenalan dengannya, rasanya tidak elok saya ceritakan di sini. Walau apapun, dia adalah saudara Isalam tuan-tuan semua," sambung datuk dengan wajah yang tenang dan di akhiri dengan senyum.

Semua wajah para jemaah berada dalam bola mata datuk.

"Tak apalah, kalau begitu kita lupakan saja," terdengar suara seorang jemaah.

"Saya bersetuju, eloklah kita bersurai," sahut yang lain.

"Saya tak puas hati, kalau tidak di terangkan dengan sebenar," tingkah yang lain pula.

Saya lihat datuk resah semacam. Sudah ada dua kumpulan yang berbeza pendapat didalam masjid yang berpunca dari rasa tidak puas hati.

Jika perkara ini di biarkan tergantung (tanpa penyelesaian) pastikan akan menimbulkan hal yang tiada diingini.

Mungkin ada yang menaruh prasangka yang buruk terhadap saya dan datuk. Saya kira datuk tidak akan membiarkan bengkak menjadi bisul.

RAMALAN

Ternyata ramalan saya tidak meleset. Datuk berbisik sesuatu pada si baju hitam. Selesai saja datuk berbisik, si baju hiam melangkah ke depan. Berdiri di tengah-tengah jemaah.

Saya lihat ada jemaah yang tercengang-cengang, malah ada yang merenung pintu masjid.

Barangkali sebagai persiapan untuk lari, sekiranya terjadi sesuatu yang tidak diingini.

Si baju hitam bagaikan mengetahui apa yang berada dalam hati para jemaah. Dia pun menghiasi wajah seriusnya dengan senyum.

Haji Bagus tetap berhati-hati dan melihat gerak-geri su baju hitam dengan penuh teliti sekali.

"Apa yang dikatakan oleh orang tu memang benar. Kami tidak ada pertalian darah keluarga. Tetapi, kami mempunyai ikatan saudara seIslam yang cukup kuat," dengan tenang si baju hitam memulakan percakapan.

"Saya tahu apa yang ada dalam hati perut tuan-tuan semua. Tuan-tuan yang ada di sini kenal saya, kalau tak kenal saya tapi kenal ibu bapa saya, saudara-mara yang lain," sambung si baju hitam.

Di bawah sinar lampu gasolin, dia menatap wajah para jemaah. Bagaikan minta simpati.

"Malah, ada kawan-kawan yang sama-sama main gasing dengan saya di dalam masjid ni, buat tak kenal dengan saya. Sebabnya saya jahat.

"Menuntut ilmu dengan bomoh wanita. Kerana malu emak bapak saya tinggalkan kampung ni..." si baju hitam tidak meneruskan ucapannya.

Wajahnya nampak sedih sekali. Dia tundukkan muka renung lantai masjid. Dia menarik nafas dalam-dalam. Kemudian menelan air liur.

Semua yang ada dalam masjid terdiam dan berpandangan sesama sendiri.

"Tahukah tuan-tuan, saya disuruh oleh tuk bomoh membunuh orang ini," jari telunjuk si baju hitam menghala ke arah batang tubuh datuk.

Ada yang gelengkan kepala sambil mengucap panjang. Datuk tersenyum sambil anggukkan kepala membenarkan apa yang dikatakan oleh si baju hitam.

"Tetapi, ilmu yang ada pada diri saya belum cukup, dikalahkan dengan cara zahir dan batin. Saya terpaksa ikut dia dan berjanji untuk jadi orang baik-baik. Saya nak bertaubat.

"Kalau tuan-tuan semua sangsi dan masih renung serong dengan saya, susahlah saya. Dengan perkataan lain, tuan-tuan mahu selama-lamanya saya berkawan dengan iblis.

"Dimanakah letak dan rasa tanggongjawagb seorang Islam, jika tidak sanggup memberi maaf dan bimbingan kepada orang Islam yang sesat untuk kembali ke jalan Allah," nada suara si baju hitam agak tinggi. Dia merenung ke arah datuk.

"Orang ini memberitahu saya," lagi sekali jari telunjuk si baju hitam menuding ke arah datuk.

"Katanya, Allah amat sayang kepada orang yang sedar dan mahu mengaku kesilapan sendiri. Ajaran Islam tidak menolak pengikutnya yang mahu memilih jalan yang baik," sambung si baju hitam.

Saya lihat dia tersedu. Datuk menepuk bahu kirinya meminta dia bertenang.

"Sabar, kalau mereka tidak mahu menerima kamu, ada kampung lain yang mahu menerima. Bukankah Islam itu berada di mana-mana. Anggaplah ini cubaan pertama kamu," anak telinga saya masih dapat mendengar suara datuk berbisik dengan si baju hitam.

Dengan segera si baju hitam panggungkan kepala. Dia senyum ke arah para jemaah. Dia bagaikan mendapat kekuatan baru.

"Sekarang semua sudah jelas, terimalah dia kembali. Kita tunjukkan kepadanya jalan yang harus di laluinya, sesuai sebagai seorang Islam," secara mengejut datuk bersuara.

Saya perhatikan orang yang berada dalam masjid diam terpaku.

SALAM

Paling mengejutkan saya, tanpa diminta atau disuruh para jemaah mengerumuni si baju hitam. Bersalaman sebagai tanda persaudaraan seagama.

Malah, ada yang secara terang-terangan bersedia melupakan perbuatan si baju hitam terhadap diri mereka. Masing-masing mengharapkan si baju hitam segera bertaubat.

"Syukurlah, kamu sudah sedar," seorang tua dalam lingkungan tujuh puluhan memeluk si baju hitam.

"Dulu aku nasihatkan kamu, kamu marahkan aku. Kamu ajak aku berlawan. Sekarang kamu sendiri dapat buat kesimpulan samada nasihat aku dulu betul atau silap," sambung lelaki tua itu lalu melepaskan sepasang tangan yang memeluk si baju hitam.

Akhirnya, semua para jemaah meninggalkan masjid.

Tanpa diduga, beberapa orang jemaah yang ada pertalian darah keluarga dengan Haji Bagus dan datuk, turut mengiringi kami pulang ke rumah Haji Bagus.

Saya tidak tahu kenapa mereka berbuat demikian, mungkin diluar pengetahuan saya, Haji Bagus memang ada menjemput mereka.

Walau apapun, kedatangan sebilangan kecil para jemaah itu memaksa isteri Haji Bagus menyediakan makan malam lebih daripada yang di hadkan.

Sesungguhnya, malam itu keadaan rumah Haji Bagus bagaikan kenduri kesyukuran.

Haji Bagus terpaksa bertungkus lumus membantu isterinya membawa dan menyusun hidangan.

Melihat kepada keadaan hidangan yang disusun, saya kira isteri Haji Bagus bagaikan tahu yang suaminya akan mengundang tetamu.

Bila hidangan sudah lengkap tersedia, Haji Bagus meminta datuk membaca doa selamat. Permintaan itu segera di patuhi oleh datuk.

"Silakan, kita makan apa yang ada sikit sama sikit," kata Haji Bagus sebaik saja datuk selesai membaca doa.

"Langkah kanan kita malam ni, hajat hati nak bertanya keadaan saudara mara kita di Perak, tiba-tiba dapat nasi pula," salah seorang tetamu bersuara, matanya melirik tajam ke arah hidangan yang tersedia.

"Tuah orang, rezeki kita," sahut yang bersongkok baldu merah, memakai baju melayu potongan teluk belanga, berkain pelikat dengan corak kotak besar.

"Musuh jangan dicari, rezeki jangan di tolak, makanlah apa yang ada," ulang Haji Bagus lagi.

Jemaah yang hadir segera menjamah nasi.

Selesai makan, badan terasa segar, mata bertambah terang. Borak pun makin panjang. hampir jam sebelas lebih para tetamu yang tidak diundang itu angkat punggung dari rumah Haji Bagus. Pulang ke rumah masing-masing.

Bila malam kian larut membuat badan terasa dingin. Tetapi, Haji Bagus masih bercerita lagi dengan datuk.

Peliknya, datuk tetap melayaninya, walau pun dia tahu saya dan si baju hitam mula resah semacam.

"Bagaimana kalau kami tidur di rumah lama," datuk bersuara.

Ternyata pertanyaan itu kurang menyenangkan Haji Bagus. Dia segera mengedutkan dahi. Dua tiga kali Haji Bagus menggaru hujung dagunya dengan jari kelingking.

Dari gerak-gerinya, saya yakin Haji Bagus agak keberatan mahu memenuhi permintaan datuk.

"Aku fikir, tidur sahaja di rumah aku. Malam esok baru tidur di rumah lama," penuh diplomasi Haji Bagus bercakap.

"Lagi pun tempat tidur telah disiapkan," campur Hajjah Mimah, isteri Haji Bagus yang terjengul di pintu dapur yang memisahkan ruang dapur dengan ruang tengah.

Saya dan datuk bertukar pandangan. Si baju hitam hanya tunduk merenung lantai. Entah apa yang di fikirkannya, sukar untuk saya ramalkan.

"Usah banyak cerita, tidur saja di sini. Lepas sembahyang subuh kita pergi ke situ, tengok keadaan dalam rumah, kita bersihkan dulu, sebelum tidur.

"Maklumlah rumah lama tidak diduduki macam-macam benda boleh menumpang. Entahkan ada ular bertelur, kala menumpang. Entahkan ada lipan singgah. Bila dah dibersihkan dan dah selamat bolehlah kamu tidur di situ," Haji Bagus bersuara lagi.

Ketika itu saya sudah tidak mampu untuk menegakkan kelopak kulit mata. Tanpa rasa segan dan silu saya pun merebahkan badan ke atas lantai.

Saya tidak peduli apa kata datuk atau Haji Bagus. Saya sudah mengantuk sangat. Dalam hal ini, ternyata saya tidak kesaorangan.

Si baju hitam sudah dua tiga kali tersengguk-sengguk tetapi, dia tetap duduk dan berusaha menjegilkan sepasang biji matanya.

Datuk masih belum memberi kata putus sama ada mahu terus bermalam di rumah Haji Bagus atau bermalam di rumah lama?

Haji Bagus terus menanti kata muktamad dari datuk.

"Bagaimana mahu tidur di rumah pusaka?"

"Bila dua orang membuat permintaan, ertinya saya terpaksa mengalah. Jadi malam ini saya tidur di sini," itu kata pemutus dari datuk dan Haji Bagus tersenyum manakala isterinya tersengih.

Penuh rasa bangga kerana tetamu tidak menghampakan harapan mereka.

TIDUR

Maka datuk pun dianjurkan di bilik depan, dekat anjung. Si baju hitam di bilik tengah. Sedangkan saya disuruh tidur di bilik tepi, dekat pintu dapur.

Sudah tentu saya kurang gembira bila di tempatkan di situ. Sebabnya saya berjauhan dengan datuk.

Bermacam-macam sangkaan yang buruk-buruk tumbuh dalam kepala saya. Wajarkah, saya minta bilik lain.

Kalau itu saya lakukan, ertinya saya sudah keterlaluan. Jadi, dengan hati separuh rela, saya mesti bermalam di bilik tepi.

"Semuanya sudah sedia, bila rasa mengantuk masuklah," dengan senyum Haji Bagus bersuara.

"Saya tak boleh tahan lagi, mata dah rasa berat. Biar saya masuk dulu."

"Silakan," sahut datuk.

"Saya harap semuanya dapat tidur dengan nyenyak, subuh esok kita berjemaah bersama sama."

"Saya pun berharap macam tu, " riang benar nada suara datuk.

Haji Bagus pun melangkah, lalu masuk ke ruang dapur. Memang bilik tidurnya terletak di situ. Tingkapnya menghadap sebuah danau kecil.

Macam selalu, tidak kira berada di mana, datuk yang suka tidur lewat, memulakan tugasnya membaca Quran sebelum tidur untuk sejam dua.

Kemudian dia bangun untuk melakukan sembahyang Tahajud. Tidur kembali dan bangun menjelang subuh untuk membaca Quran dan sembahyang subuh.

Bagaimana caranya untuk menyatakan kepada datuk yang saya tidak mahu tidur dalam bilik tepi?

Sementara itu, saya lihat si baju hitam keluar masuk bilik. Dia nampak resah dan cemas semacam.

Macam ada sesuatu yang dibimbangkannya. Kelakuan si baju hitam disedari oleh datuk.

Tindak-tanduknya membuat hati saya bertambah berat untuk tidur sendirian di bilik tepi.

"Ada apa Andi?"

Si baju hitam tersengih, berdiri kaku di depan datuk. Kedua belah tangannya di luruskan ke bawah dengan sepasang matanya tertumpu ke wajah datuk.

"Cakap, apa dia masalah kamu," desak datuk lalu menutup Quran kecil lalu disimpan dalam beg khas.

"Cakap apa dia masalah kamu," ulang datuk.

Si baju hitam terus membisu merenung lantai. Cara yang di perlihatkan oleh si baju hitam itu sudah pasti tidak disenangi oleh datuk. Saya terus didakap keresahan.

"Kenapa diam? Cakap terus-terang dengan aku sebelum darah aku naik," datuk mula mengertak.

Matanya mula nampak merah. Wajah datuk juga nampak serius.

"Ada cicak hitam besar dalam bilik saya," suara si baju hitam bagaikan berbisik.

Saya segera mengigit bibir. Secara mendadak saja bulu tengkuk saya mula meremang.

"Pelik, mana ada cicak hitam," datuk bagaikan merungut.

"Besar mana?" tanya saya.

"Sebesar kucing hitam."

"Apa kamu buat dengannya," soal datuk.

"Saya tak buat apa-apa, dia duduk dekat pelita minyak tanah. Bila saya cuba dekat, cicak itu menjulurkan lidahnya ke arah saya," lanjut si baju hitam.

Wajahnya nampak cemas sekali. Saya pun melihat jam dinding yang tergantung. Sudah pukul satu pagi.

"Syaitan," keluh datuk sambil menggenggam penumbuk.

Serentak dengan itu, terdengar lolongan anjing sayup-sayup. Suasana malam yang sepi memudahkan anak telinga saya menangkap bunyi desiran angin malam yang menyentuh dedaun pokok di luar rumah.

Saya juga mendengar bunyi telapak kaki orang berlari di bawah rumah. Mahu rasanya saya beritahu datuk tetapi, bukan masanya.

Dan saya kira datuk juga mengetahui keadaan di luar rumah.

"Tak apa biar aku tengok."

Datuk pun segera bangun. Cara datuk agak luar biasa. Mula-mula dia luruskan sepasang kakinya, kemudian kaki kanannya didirikan.

Dia meletakkan telapak tangan kiri ke atas tempurung kepala lutut kanan. Datuk pejamkan mata seperti orang bertafakur selama beberapa minit.

Bila matanya dibuka semula, datuk terus 'berselawat' sebanyak tiga kali berturut-turut.

Selesai selawat datuk tarik nafas dalam-dalam, tiga kali berturut-turut.

Matanya merenung kearah dinding tanpa berkedip. Dengan sekelip mata, datuk terus bangun berdiri bagaikan pendekar.

"Mari kita tengok," suara datuk meninggi, lalu dia menyuruh si baju hitam berjalan dulu.

Baru lima langkah berjalan, Haji Bagus muncul dengan lampu suluh ditangan.

"Apa halnya abang haji," datuk bertanya.

"Saya terdengar bunyi orang perempuan menangis," Haji Bagus renung muka datuk sejenak.

Sudah tentu, apa yang Haji Bagus ungkapkan itu membuat kami bertiga terkejut dan tercengang.

"Pelik, tak ada orang perempuan bersama kami, macam mana pula abang haji boleh dengar suara orang perempuan," kata datuk.

"Saya juga fikir macam tu, pelik dari mana datangnya suara orang perempuan tu," Haji Bagus mula resah. Dengan lampu suluh dia menyuluh ke setiap ruang rumah.

"Andi Kamarool jumpa cicak hitam besar dalam biliknya, agaknya suara cicak tu macam suara orang perempuan," beritahu datuk.

"Pelik," Haji Bagus gelengkan kepala.

"Ini yang membuat saya pening kepala abang haji."

"Usah bimbang, kalau begitu mari kita tengok."

"Jum," balas datuk.

SELIT

Kami pun melangkah menuju ke bilik Andi Kamarool. Kerana tidak mahu menjadi orang terakhir, saya segera menyelit antara datuk dengan Haji Bagus. Si baju hitam terpaksa berada di belakang.

Dengan terketar-ketar Haji Bagus menolak daun pintu yang tertutup. Sebaik saja bilik terbuka, tidak ada apa yang dapat dilihat.

"Tadi pelita elok menyala, kenapa sekarang dah padam," tutur si baju hitam.

"Agaknya cicak hitam yang padamkan," sahut saya.

"Eh kamu banyak cakap pula, tak boleh diam," datuk memarahi saya.

Haji Bagus berdehem dua tiga kali. Tanpa banyak cakap cahaya dari lampu picit bergerak dari sudut ke sudut bilik.

"Aduh," jerit Haji Bagus.

Serentak dengan itu lampu suluh ditangannya terlucut, macam ada kuasa yang memukul pergelangan tangan Hai Bagus, bila dia menyuluh ke arah tiang di sebelah kiri bilik. Haji Bagus mengerang menahan rasa sakit.

"Ada benda yang memukul tangan saya, keras macam kayu," itu yang dinyatakan Haji Bagus kepada datuk.

Dengan segera datuk memegang tangan Haji Bagus lalu diurutnya dua tiga kali.

"Bagaimana rasanya tuan haji."

"Dah tak terasa sakit lagi."

"Hati-hati kita dalam bahaya," datuk mengingatkan.

Haji Bagus segera mengambil lampu suluh di atas lantai. Lagi sekali Haji Bagus menyuluh ke arah tiang, di sudut kiri bilik.

"Lihat," kata Haji Bagus.

Semua biji mata tertumpu ke arah cahaya merah saga yang melawan sinar lampu suluh Haji Bagus.

Mungkin kerana terkejut atau tergamam dengan apa yang dilihatnya menyebabkan lampu suluh ditangan Haji Bagus terjatuh untuk kali keduanya.

Datuk segera mengambil lampu suluh yang tersadai di lantai. Tetapi malangnya lampu suluh itu tidak berfungsi dengan serta merta.

"Ambil lampu gasolin dan gantungkan di sini."

Saya segera menurut kata Haji Bagus itu mengambil lampu gasolin di ruang tengah.

"Sangkutkan pada palang pintu."

Arahan Haji Bagus saya patuhi. Bila cahaya dari lampu gasolin menyimbah ke seluruh sudut bilik, semuanya tergamam tidak berkata sepatah pun.

Semuanya terkejut bila melihat seekor cicak ganjil, berwarna hitam duduk terperuk di sudut bilik.

"Ini binatang yang kamu katakan Andi?" datuk ajukan pertanyaan kepada si baju hitam.

"Iya."

"Bala apa yang datang ke rumah aku," Haji Bagus merungut.

"Sabar tuan haji, dengan izin Allah yang jahat tetap hancur, yang baik tidak binasa," balas datuk.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 154/284

BACA: SBDJ Siri 153: Dendam Bomoh Wanita
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon