Saturday, July 06, 2019

Benarkah Harga Tokek Gecko Sangat Mahal Dan Mampu Menyembuhkan AIDS?

Benarkah Harga Tokek Gecko Sangat Mahal Dan Mampu Menyembuhkan AIDS?

Beberapa tahun yang lepas, reptilia yang lebih dikenali dengan nama panggilan Tokek Gecko menjadi sumber kekayaan baharu bagi mereka yang mahu menjadi kaya dengan cara yang pantas. Semuanya bermula dengan kepercayaan bahawa enzim dari air liur Tokek Gecko ini dapat menyembuhkan AIDS, barah dan juga selesema H1N1.

Tokek mahal
Tokek Gecko.

Internet kemudiannya dipenuhi dengan lambakan artikel, rangkaian perbualan dan forum yang memaparkan perbincangan mengenai keuntungan lumayan yang boleh diperolehi melalui penjualan Tokek Gecko.

Artikel di internet memaparkan stok, bagi memenuhi permintaan yang melonjak naik daripada pelanggan yang mudah ditipu yang kebanyakannya dari Malaysia dan Singapura.

Bagi mereka yang percaya, Tokek Gecko boleh bernilai di antara beberapa ribu hingga beberapa juta ringgit seekor.

Apabila perdagangan ini disiasat oleh rangkaian pemantauan hidupan liar dikenali sebagai Traffic, rupa-rupanya gembar-gembur dalam talian hanyalah sembang kosong dan semua pengiklan haiwan tersebut langsung tidak menjual Tokek Gecko.

Adakah ini scam internet yang sangat besar?

Pengarang laporan "The Trade in Tokay Geckos (Gekko gecko) In South-East Asia: With A Case Study On Novel Medicinal Claims In Peninsular Malaysia" berpendapat sedemikian.

Mereka menyatakan bahawa penemuan mereka menyokong dakwaan oleh peniaga persendirian yang juga bersetuju dengan pendapat tersebut.

Sebelum penipuan besar-besar ini berlaku, Tokek Gecko berharga tidak lebih daripada RM76 di perdagangan haiwan peliharaan antarabangsa namun pada akhir tahun 2009, pihak berkuasa di seluruh Asia Tenggara mula merampas spesismen hidup yang didagangkan secara haram.

Akhbar-akhbar dilimpahi dengan laporan bahawa menangkap atau menternak cicak ini menjadi pendapatan sampingan yang baharu dan sangat lumayan bagi orang kampung.

Penyiasatan oleh Traffic dengan bertemu ramai peniaga, yang kebanyakannya bertaburan di seluruh negeri Kedah dan Kelantan, yang mengakui bahawa setiap Tokek Gecko dijual mencecah harga puluhan ribu ringgit.

Seorang peniaga mendakwa bahawa semasa puncak perdagangan (di antara 2009 dan 2011), beliau menjual 100 Tokek Gecko seminggu kepada pembeli di Singapura, Malaysia dan juga Eropah, sebagai rawatan kanser.

Dia mengenakan bayaran sebanyak RM19,000 bagi seekor Tokek Gecko dan menyatakan bahaya mengenai perdagangan ini, termasuk ditangkap dan dirompak ketika urusan jual beli.

Beliau berkata bahawa, sindiket yang pernah menjadi majikannya telah kehilangan lebih RM100,000 kepada peniaga Thai dan Laos yang cerdik.

Sifat tamak telah membuatkan perniagaan ini semakin pesat membangun, ditambah pula dengan harga yang melonjak naik.

Juga dikhabarkan bahawa Tokek Gecko lebih besar, yang mana beratnya 400 gram atau lebih, boleh menghasilkan "enzim" yang mampu menyembuhkan AIDS.

Tokek-tokek ini dikatakan bernilai lebih RM3 juta setiap seekor dam untuk menjadikan seekor Tokek Gecko mencapai berat ini, ada peniaga sengaja menyuntik silikon atau memaksa haiwan ini memakan kepingan logam.

Ini kerana, para penyelidik berasa ragu jika Tokek Gecko mampu mencapai berat itu secara semulajadi.

Traffic juga tidak menemui apa-apa yang menyokong kredibiliti dakwaan tersebut dan apa yang dapat dipastikan adalah, berlaku ketidaktentuan yang besar dalam harga jualan Tokek Gecko.

Sesetengah penjual meletakkan harga RM580 seekor dan ada yang menjual dengan harga RM50,000.

Ini menunjukkan bahawa tiada nilai pasaran sebenar bagi "komoditi" ini, yang mana seterusnya menyokong teori bahawa ia sememangnya tidak bernilai dan hanya bermula dengan satu penipuan licik.

Tokek Gecko yang dijual untuk penghasilan ubat-ubatan baru nampaknya diperoleh daripada hutan liar di Thailand, Laos dan Myanmar, yang kemudianya diangkut melalui jalan darat ke Malaysia.

Satu laporan berita memperincikan bagaimana lebih daripada 1,000 Tokek ditemui di dalam bonet kereta.

Namun kini, kita boleh menarik nafas lega kerana zaman kegemilangan ubat ajaib Tokek Gecko telah berakhir.

Dakwaan perubatan tersebut langsung tidak berasas dan Tokek Gecko hanyalah seekor cicak yang mempunyai rupa bentuk serta warna yang menarik.

Bermula tahun 2011, Tokek Gecko menjadi salah satu haiwan yang dilindungi di Malaysia dan memerlukan lesen untuk pemilikan dan perdagangan, selepas ia dimasukkan ke dalam Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang baru.

Walaupun populasi setempat yang berkurangan (di Bangladesh) dianggap disebabkan oleh perdagangan Tokek Gecko untuk ubat baru, namun bagi skala serantau, jumlah haiwan yang ditangkap dari hutan untuk tujuan ini nampaknya agak kecil.

Memandangkan terdapat pelbagai jenis dan banyak spesies haiwan ini, perdagangan Tokek Gecko untuk ubat-ubatan baru tidak mungkin menimbulkan ancaman serius kepada populasi Tokek liar.

Tokek Gecko telah lama diperdagangkan untuk perubatan tradisional, yang mana sekitar 15 juta ekor Tokek kering telah dieksport ke Taiwan sejak 2004, 71% daripadanya berasal dari Thailand dan yang lain dari Jawa, Indonesia.

Pada tahun 2011, penghantaran sebanyak 1.2 juta ekor Tokek Gecko yang ditangkap secara haram berjaya dipintas dari Jawa dalam perjalanan ke Hong Kong.

Tidak seperti perdagangan perubatan baru yang kebanyakannya berlaku di Semenanjung Malaysia dan Singapura, perdagangan untuk perubatan tradisional di negara-negara Asia Timur, seperti China, Hong Kong, Vietnam dan Taiwan, berada pada skala yang sangat besar.

Tokek Gecko digunakan dalam perubatan Cina tradisional untuk merawat penyakit kulit, asma, kencing manis dan kanser.

Ujian klinikal pada tikus telah menunjukkan bahawa terdapat sumber dari Tokek Gecko mempunyai ciri-ciri anti-tumor.

Walau bagaimanapun, pakar telah mengkritik kajian ini kerana melakukan ujian dengan kawalan yang tidak baik, saiz sampel yang tidak mencukupi dan memindahkan keputusan berdasarkan satu spesies (Gekko japonicas) kepada yang lain (Tokek Gecko).

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menyatakan bahawa tidak terdapat bukti saintifik bahawa Tokek dapat menyembuhkan AIDS atau kanser dan tidak ada maklumat mengenai keselamatan terhadap pendedahan kepada Tokek Gecko.

Namun, perdagangan Tokek Gecko untuk perubatan baru seolah-olah sedang berkembang pesat.

Walaupun secara meluas dianggap sebagai spesies biasa, beberapa kajian populasi sebenarnya telah dilakukan terhadap Tokek Gecko, yang mempunyai penampilan menarik, berwarna biru-kelabu, dengan bintik-bintik yang berkisar dari kemerahan-oren hingga kuning keputihan.

Status pemuliharaannya belum dinilai oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam.

Namun, daripada sedikit kajian yang telah dilakukan, bilangan reptilia ini secara umum telah didapati menurun. Ini berlaku di Jawa, Indonesia dan utara-timur Thailand, dan pada masa lalu, di tanah besar China.

Di Nepal, Tokek Gecko dianggap sangat jarang dan di Vietnam, ia disenaraikan sebagai spesies terancam. Status haiwan ini masih belum didokumentasikan di negara lain.

Lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk mengukur tahap perdagangan dan jumlah Tokek Gecko yang ditangkap dari hutan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

SBDJ Siri 86: Lidahnya Keluar

SBDJ Siri 86: Lidahnya Keluar

Katak aneh terus membesarkan badannya. Sama besarnya dengan raga rotan di sisinya. Suaranya garang dan menakutkan sesekali suaranya kedengaran seperti suara budak yang berumur enam bulan menangis.

Toyol jadi-jadian

Melihat keadaan yang tidak pernah saya lihat itu membuat saya ketakutan dan terus meninggalkan guru silat sendirian.

Saya terus memeluk tubuh Datuk yang sedang membaca Quran. Entah apa malangnya diri saya. Datuk terus menolak hingga saya tersungkur di sisinya.

Tanpa menghiraukan kesakitan yang saya tanggung, Datuk terus membaca Quran tanpa mempedulikan tempias hujan yang sudah membasahi sebahagian dari bajunya.

“Tolong, tolong katak serang aku.”

Suara guru silat bertempik dalam suasana gemuruh hujan dan angin malam yang amat hebat. Datuk merenung ke wajah saya sambil menutup Quran.

“Mari ikut aku, tengok apa yang jadi,” Datuk terus bangun dan melangkah menuju ke ruang dapur. Tanpa banyak cakap saya menurut saja.

“Ya Allah, apa dah jadi,” kata saya dengan kedua belah kepala lutut menggigil.

Biji mata saya terbeliak merenung ke arah guru silat yang terlentang di lantai. Mukanya terdapat kesan-kesan air kental yang berbuih.

Selalunya air seperti itu hanya terdapat dari mulut katak. Guru silat menggolek ke kiri dan ke kanan macam orang kesakitan.

“Jangan pegang dia,” Datuk melarang bila saya mahu menjamah bahu kiri guru silat.

Saya terlihat bahagian depan baju guru silat terkoyak dan ada kesan kena cakar tapi, anehnya, bahagian yang kena cakar itu tidak mengeluarkan darah. Daging dan tulang dada guru silat jelas kelihatan.

“Kita mesti tolong dia tuk.”

“Biarkan di situ, dia sebenarnya tidak apa-apa, cuma penglihatan kita saja yang nampak dirinya teruk.”

“Tapi, ini bukan main-main tuk.”

“Eh, Tamar kamu faham cakap aku tak?” Datuk terus memekik dan darah saya tersirap.

Rupanya tindakan saya memanaskan darah Datuk yang dingin di malam yang gemuruh dengan hujan, petir dan halilintar.

“Mana raga burungnya Tamar?” tanya Datuk.

“Itu,” jari telunjuk saya tertuju ke arah raga buluh di tepi tiang seri. Datuk terus menuju ke situ sambil menarik lengan kanan saya.

“Kau tengok, apa yang ada di dalam Tamar.”

Saya jenguk ke dalam raga. Apa yang menakjubkan hati dan perasaan saya bila terlihat burung puyuh duduk di tengah raga buluh dalam keadaan kesejukan. Matanya merenung lembut pada saya seolah-olah minta dikasihani.

“Apa yang kamu nampak di dalamnya Tamar?”

“Burung puyuh, tuk.”

“Jadi, kau tak nampak katak? Bukan begitu Tamar.”

“Ya, tuk,” saya anggukkan kepala.

Saya mula merenung ke setiap sudut dapur, mencari katak aneh yang tidak di undang. Usaha saya tidak berhasil tetapi, saya masih dapat melihat kesan air liur katak yang melekat di lantai.

Apa yang telah saya alami bersama guru silat sebentar tadi, saya ceritakan pada Datuk.

Panas juga hati saya melihat sikap Datuk. Dia seperti tidak kisah dengan apa yang saya katakan.

Datuk seolah-olah menganggap apa yang saya sampaikan padanya satu cerita dongeng yang tidak wujud.

Datuk lagi sekali mendekati raga rotan yang berisi burung puyuh. Kali ini, dia bertindak di luar apa yang saya fikirkan.

Datuk terus menangkap burung puyuh. Diangkat tinggi-tinggi melepasi kepalanya. Kemudian di susupnya ke celah kangkang sebanyak tiga kali berturut. Akhirnya, kepala burung puyuh di ludah lima kali berturut-turut.

Datuk terus mendekati tingkap. Berdiri di situ dalam rimbasan tempias hujan yang menggila, lampu dalam rumah terus padam.

Kilat terus mencabar dengan hebatnya. Dari pancaran cahaya kilat itu, saya dapat melihat wajah Datuk yang serius, rambutnya agak menggerbang disentuh angin malam menggila.

Bersama pancaran kilat dan tempias hujan serta hembusan angin, Datuk mencampakkan burung puyuh keluar.

Sebaik sahaja burung puyuh itu terlepas dari tangannya terdengar bunyi petir yang amat kuat, dituruti dengan bunyi suara orang ketawa dan menangis memanjang.

“Mana katak sial, biar aku lanyak sampai mampus,” guru silat terus bangun.

Calar di wajah dan dadanya terus hilang. Bajunya yang koyak di bahagian dada sudah bercantum kembali. Lampu yang padam menyala semula.

“Bersabar, jangan turutkan perasaan,” Datuk menenangkan perasaan guru silat.

Saya menghela nafas panjang. Datuk mengajak guru silat duduk di ruang tengah rumah.

“Duduk di sini, kita ikhtiar untuk menyelesaikan semuanya,” tambah Datuk. Guru silat terus anggukkan kepala. Setuju dengan apa yang dikatakan oleh Datuk.

Hujan lebat, petir dan halilintar mula berkurangan tetapi rasa dingin tetap menguasai diri saya. Datuk memperkemaskan silanya.

Datuk menyuruh saya merapatkan semua tingkap yang terbuka. Perintahnya, saya patuhi dengan perasaan cemas dan takut.

Megah juga rasa hati, bila semua daun tingkap berhasil saya rapatkan dengan baiknya. Saya terus mendekati Datuk dan guru silat. Bersila macam mereka.

“Belum pernah saya mengalami perkara macam ini,” ujar guru silat. Matanya liar merenung ke kiri dan ke kanan.

“Ini juga satu pengalaman dalam hidup kamu.”

“Saya faham. Apa yang patut kita buat."

“Tak ada apa yang patut kita buat. Sekarang kita tidur dan lupakan semua yang terjadi.”

“Haaaaaaaa,” mulut guru silat terlopong dengan rasa cemas. Datuk tersenyum panjang.

Keadaan yang agak tenang itu berkocak kembali, diganggu oleh tendangan yang kuat. Bomoh tua terpacak di ambang pintu. Tidak terdapat kesan air hujan di pakaiannya meskipun hujan turun dengan lebat. Kedatangan bomoh tua yang tidak diduga itu mencemaskan perasaan kami.

“Ada apa hal datang waktu begini?” soal Datuk.

“Mencari burung puyuh saya yang hilang," jawabnya.

“Burung puyuh?” ulang guru silat dan bersedia untuk menyambung kata-katanya kembali tetapi, tidak diteruskan kerana Datuk mengenyitkan mata ke arahnya dua kali berturut-turut.

“Kami tak nampak burung tu di sini,” Datuk memberikan jawapan.

Terbayang keraguan dan kesangsian di wajah bomoh tua. Tanpa mengucapkan sesuatu bomoh tua terus meninggalkan kami sambil menjeling ke arah daun pintu yang terkopak. Tugas membaiki pintu yang terkopak dilakukan oleh guru silat.

“Pelik juga saya memikirkan apa yang terjadi,” rungut guru silat.

Datuk tidak memberikan sebarang pendapat berhubung dengan rungutan yang diluahkan oleh guru silat.

Datuk terus menyandarkan badannya ke dinding sambil mengedutkan dahi. Hujan dan petir terus berhenti sama sekali.

Kokok ayam mula terdengar sayup-sayup. Saya terus merebahkan badan dan kelopak mata terasa amat berat.

Bila saja mahu terlelap, saya terdengar suara guru silat dalam keadaan yang cemas. Kelopak mata segera saya buka lebar-lebar.

Datuk saya lihat masih tersandar di dinding dengan kedua belah kelopak matanya tertutup rapat. Saya renung ke arah guru silat.

Tanpa mengucapkan sesuatu, guru silat meluruskan telunjuknya pada benda yang tergantung di tulang bumbung rumah.

Apa yang saya lihat ialah sekujur tubuh manusia tergantung di situ dengan tali terjerut di lehernya.

Saya lihat kaki orang yang tergantung itu bergerak-gerak, macam berjalan di awang-awangan. Bila saya renung ke mukanya, darah saya tersirap badan saya menggeletar.

Saya segera memejamkan mata, tidak sanggup saya melihat lidahnya yang terjelir keluar dengan sepasang biji matanya tersembul, bahagian mata hitamnya bagaikan mahu tercabut dan terbuai-buai sedangkan bahagian mata putihnya seperti melekat pada kedua belah pipinya. Sepasang tangannya bergerak ke kanan dan ke kiri.

Dalam keadaan yang serba tidak kena itu, saya terdengar bunyi benda jatuh, bila saya buka kelopak mata dan melihat ke arah benda yang jatuh itu, saya terlihat orang yang tergantung sudah berada di lantai, bangun perlahan-lahan seperti menerkam ke arah guru silat.

Dan guru silat yang selama ini saya kagumi kehandalannya mengatur langkah dan buah silat ternyata tidak sanggup menentang makhluk yang menuju ke arahnya.

Guru silat terus cabut dan melanggar dinding rumah, dinding rumah terkopak dan guru silat tercampak ke tanah bersama jeritan yang memanjang di malam yang sudah mendekati waktu subuh.

Anehnya, bila guru silat jatuh ke tanah, manusia yang terjatuh di lantai terus hilang. Saya sudah tidak terdaya mahu bergerak, saya cuba menjerit tetapi suara saya tidak keluar.

Dalam keadaan yang berhempas-pulas untuk mendekati Datuk itu, saya lihat Datuk terjaga sambil mengucap beberapa kali.

“Aku tertidur dan mimpi yang bukan-bukan,” kata Datuk lalu menggesel-gesel kelopak matanya. Renung kiri, renung kanan mencari guru silat.

“Mana dia guru silat Tamar?”

“Terjun ke tanah ikut dinding.”

“Kenapa ikut dinding, bukankah pintu ada,” Datuk segera merenung ke arah dinding yang terlopong.

Saya hampir mahu ketawa melihat telatah Datuk yang agak terkejut dengan peristiwa tersebut.

Terdengar suara guru silat mengeluh di tanah. Datuk dan saya segera mendapatkan guru silat yang menggeliat menahan kesakitan.

Waktu saya dan Datuk menghampiri guru silat, terdengar azan subuh. Langit subuh kelihatan cerah dan bersih.

“Kau luka?” tanya Datuk.

“Tak ada, cuma pangkal paha saya yang sakit.”

“Kenapa kamu pecahkan dinding?”

“Entah,” guru silat menjawab pendek dan terus membongkok dan meluruskan badannya beberapa kali hingga mulutnya mengeluarkan sendawa yang panjang macam orang kekenyangan. Saya ketawa dengan telatahnya.

Dengan terjengket-jengket guru silat melangkah mengikut Datuk menuju ke perigi mengambil air sembahyang.

Setelah sembahyang subuh, Datuk terus mandi embun dan guru silat membuka beberapa langkah bunga silat dengan tujuan untuk menguatkan tubuhnya.

WARUNG

Lebih kurang pukul tujuh pagi, kami bertiga menuju ke sebuah warung untuk sarapan. Datuk hanya minum kopi pekat dan sepotong pulut udang.

Beberapa orang pelanggan yang datang ke warung menegur guru silat. Salah seorang lelaki menegurnya berbadan tegap. Berjambang tanpa misai.

“Dah banyak malam kau duduk di rumah lama, pusaka orang tua kamu, wah kamu memang berani,” ujar lelaki itu sambil menepuk bahunya. Guru silat ketawa kecil.

“Rumah orang tua sendiri, apa yang ditakutkan,” guru silat membalas cakap kawannya.

Datuk dan saya berpandangan. Saya merasakan macam ada sesuatu rahsia yang tersembunyi di rumah yang kami duduk. Muka kawan guru silat saya renung.

“Kalau sampai tiga orang duduk di situ, tak hairanlah kalau kami tak mengalami apa-apa kejadian buruk,” tambah guru silat dengan nada suara separuh meninggi.

Ekor matanya menjeling lembut ke arah saya dan Datuk. Saya meraba pinggir bibir yang mulai dirayapi tunggul misai sulung.

Sambil meraba itu, saya membayangkan bila misai saya tumbuh dengan suburnya, akan saya bentuk menjadi misai yang menarik macam misai seniman P. Ramlee yang berbentuk huruf M.

Bila saya tersenyum, misai saya akan mengembang cantik. Pasti, ada orang yang memuji dan mengagumi misai milik saya itu.

Saya senyum sendirian melayani angan-angan yang bermain dalam tempurung kepala.

“Kau hati-hatilah, rumah lama memang ada penunggu. Lebih-lebih lagi kalau rumah tu ada orang mati berdarah,” sambung kawan guru silat dan membunuh angan-angan yang berlegar-legar dalam kepala saya.

Hati saya bertambah yakin pasti ada sesuatu yang luar biasa berlaku di rumah tersebut tetapi, guru silat sengaja tidak mahu menceritakan pada saya dan Datuk.

Perbuatannya itu membuat saya kurang percaya dan yakin atas kebaikan yang diperlihatkannya pada saya dan Datuk.

Siapa tahu, guru silat yang kelihatan baik itu sebenarnya berniat kurang baik terhadap saya dan Datuk.

Mungkin ia mengundang saya dan Datuk datang ke kampungnya untuk mengubat adik iparnya hanya sebagai alasan untuk memperdayakan kami.

“Aku nak tengok berapa lama kamu boleh duduk di rumah orang tua kamu,” kawan guru silat ketawa kecil.

“Dengan izin Allah, aku boleh duduk beberapa lama yang aku suka,” balas guru silat sambil merenung muka Datuk.

“Cakap dia betul, kalau diizinkan Allah tidak ada yang ganggu kami,” cara mengejut Datuk meningkah cakap guru silat. Saya lihat wajah kawan guru silat segera berubah.

Mungkin perubahan itu terjadi, kerana ia tidak menduga Datuk yang sejak tadi membatu mahu ikut campur dalam percakapan di warung.

Kawan-kawan si guru silat menanti wajah Datuk sejenak, macam mencari sesuatu di wajah Datuk.

“Mungkin, pak cik betul, mungkin tidak, kadang-kadang manusia selalu bercakap macam pak cik untuk menutup kelemahan diri sendiri, cuba berlagak berani dalam takut.”

Dengan tenang kawan guru silat meluahkan kata-kata yang saya kira agak keterlaluan untuk seorang tua seperti Datuk.

Kagum juga saya melihat telatah Datuk, tidak memperlihatkan rasa marah. Malah dengan sopan bahu kawan guru silat itu ditepuknya berkali-kali.

Guru silat terus menghirup kopi dengan tenang tanpa mahu merenung ke arah pelanggan yang masuk ke warung kopi.

Entah mengapa, guru silat bertindak demikian. Kebanyakan pelanggan yang datang menegurnya dengan hormat tetapi tidak dijawabnya. Sesekali guru silat itu melepaskan keluhan kecil dengan wajah yang tidak damai.

“Semua orang di sini kenal saya, maklumlah kampung halaman sendiri,” guru silat seperti mengeluh dan kata-katanya itu sampai ke telinga kawannya.

“Itu kenyataan,” sahut kawannya.

Guru silat mengedutkan keningnya. Muka kawannya ditatap lagi dengan sinai mata yang garang.

Kawannya terus menghulurkan tangan sambil berkata:

“Maafkan aku kalau apa yang aku katakan tadi menyinggung perasaan kamu, aku tahu kamu tak suka kisah lama diungkit-ungkit kembali.”

“Ya, tapi aku tak terdaya menutup mulut orang.”

“Kau hadapilah semuanya dengan tenang, aku nak balik.”

“Nanti sebelah petang kalau ada masa aku datang ke rumah kamu,” kawannya terus menepuk bahunya dua kali berturut-turut. Dan kawannya meninggalkan warung.

Guru silat melihat dengan tenang ke arah motosikal yang terletak di tepi jalan. Guru silat melambaikan tangan ketika kawannya memandu motosikal ke arah pekan Bukit Mertajam.

Bila motor kawannya hilang dari pandangan, guru silat segera merenung ke arah Datuk.

“Macam mana, kalau kita balik,” guru silat mengajukan pertanyaan pada Datuk.

Saya segera minum sisa air kopi dalam cawan.

“Ya, kita balik,” sahut Datuk.

“Pak Achin, tolong kira berapa semuanya,” teriak guru silat pada pemilik warung.

Pemilik warung segera menghampirinya.

“Seringgit lima kupang semuanya,” kata pemilik warung.

Guru silat keluarkan wang dan saku. Dengan senyum pemilik warung menerima wang tersebut. Mereka berjabat tangan sejenak.

“Jangan lupa esok datang lagi minum di sini.”

“lnsya-Allah, kalau panjang umur kami datang,” Datuk menjawab.

Pemilik warung tersengih sambil merenung ke muka guru silat.

“Apa rumah lama tu dah tak buat kacau lagi?” pemilik warung mengajukan pertanyaan.

Muka guru silat yang tadi dihiasi dengan senyum segera bertukar menjadi resah dan cemas.

“Tak ada perkara lain yang Pak Achin nak tanya?”

“Bukan apa-apa, cuma nak tahu aje.”

“Entah, saya tak tahu,” suara guru silat keras. Pemilik warung tercengang.

Guru silat segera menarik tangan Datuk keluar dari warung. Saya terpaksa mengikut. Lebih kurang sepuluh rantai meninggalkan warung, Datuk segera menyoal guru silat.

“Apa rahsia yang ada di rumah kamu?”

“Hum,” guru silat berhenti melangkah.

“Tak ada apa-apa,” katanya selamba.

“Mustahil, kalau tak ada apa-apa tentu orang tak menyebutnya, usahlah merahsiakan semuanya dari aku,” tambah Datuk lagi.

Guru silat merenung ke arah kiri jalan raya agak sepi dengan sebarang kenderaan.

“Bapa saudara saya...,” guru silat berhenti bercakap.

“Kenapa dengan bapa saudara kamu?”

“Gantung diri di rumah tu,” guru silat membuka rahsia.

“Puncanya?” Datuk mendesak.

“Saya sendiri, tak tahu.”

Hati saya terasa lapang. Guru silat sudah menyelesaikan keraguan yang menyelubungi diri saya.

Tetapi perasaan seram tetap menguasai hati kecil saya membuat saya enggan melangkah pulang ke rumah arwah orang tua guru silat. Datuk terus menggosok pangkal telinga kanannya sambil mengedutkan dahi.

“Jangan berhenti, terus jalan,” kata Datuk bila melihat guru silat mahu memberhentikan langkahnya.

Saya terus meraba pangkal kening yang mula ditumbuhi peluh-peluh halus. Matahari terus bersinar garang. Langit cerah dengan gumpal awan yang putih bersih.

“Saya tak suka mengingati semua yang terjadi tetapi, orang lain yang memaksa saya untuk mengingati semua kisah pahit itu,” sepasang kelopak mata guru silat bergerak lemah. Air mukanya membayangkan rasa kesal yang amat pahit.

“Sudahlah, usah fikirkan semuanya itu,” Datuk terus memujuknya.

“Saya cuba melupakannya tetapi, bila ada peristiwa macam ini, hati saya terasa sakit.”

“Sabarlah,” tingkah Datuk.

Setelah itu perjalanan jadi rancak. Tidak ada perkara yang mahu diperkatakan. Masing-masing melayani perasaan yang bersarang di tempurung kepala.

“Kita tak usah balik ke rumah,” satu cadangan yang tidak diduga datang dari guru silat. Mengejutkan hati dan perasaan saya serta Datuk.

“Habis kita nak ke mana?” soal saya tanpa sabar.

“Ke rumah adik saya,” jawab guru silat secepat kilat.

“Bagus juga, kalau begitu aku setuju,” balas Datuk.

Kami pun berbelok ke kanan menuju ke rumah adik guru silat. Sebaik saja, sampai dekat pokok ara besar. Bomoh tua muncul di depan kami. Wajahnya nampak cemas tetapi dipaksanya tersenyum.

Muka kami ditentangnya sejenak. Direnung ke atas, ke bawah berkali-kali, bagaikan meragui diri kami.

“Nak ke mana?” Bomoh tua bertanya sambil melipat lengan baju kanannya separas siku. Hujung seliparnya menekan rerumput hijau di gigi jalan.

“Kamu dipanggil untuk mengubatnya?” Bomoh tua mengajukan pertanyaan.

Biji matanya menatap tubuh Datuk dan atas ke bawah, dan bawah ke atas macam mencari sesuatu di tubuh Datuk yang terpaku di depannya.

“Kami tak dipanggil. Sebagai abang saya mesti menengok adik ipar saya,” jelas guru silat.

“Bukankah adik ipar awak dalam jagaan saya.”

“Ya saya tahu,” guru silat angguk kepala.

“Kau tahu pantang-larangnya?”

“Apa pantang-larangnya?” Guru silat seperti terkejut.

“Kamu tak boleh tengok adik ipar waktu matahari belum condong.”

“Hum...,” guru silat seakan-akan mengeluh dan terus merenung muka Datuk dan saya.

Dari kerutan di dahi Datuk, saya dapat menduga rasa hairan dan terkejut bersarang dalam dadanya.

Saya kira belum pernah Datuk menemui dukun dan bomoh yang ada pantang-larang untuk melihat orang sakit. Datuk menentang biji mata bomoh tua dengan tepat.

“Tengok saudara sendiri pun tak boleh,” Datuk mengecilkan mata kanan.

Guru silat terus termenung, terkejut dengan pantang-larang yang tidak pernah difikirkannya selama ini.

“Berubat dengan saya, ikut syarat saya,” suara bomoh tua bertambah keras.

Datuk terus mendekati guru silat. Mereka berbisik sejenak. Bomoh tua kelihatan resah.

“Biarlah, saya langgar syarat. Saya nak tengok adik ipar saya,” ternyata kata-kata yang diucapkan oleh guru silat itu menimbulkan semacam kemarahan pada bomoh tua.

Mukanya jadi merah dan nafasnya tercungap-cungap, bila melihat Datuk dan guru silat meneruskan perjalanan.

“Eh, nanti dulu,” jerit bomoh tua.

Laungannya tidak diperhiraukan. Kami terus melangkah dalam panas yang kian terik. Angin ketika itu, tidak terasa bertiup. Badan saya terus berpeluh.

“Eh nanti dulu,” pekik bomoh tua lagi.

Laungannya tidak kami pedulikan. Kami terus melangkah.

“Padah buruknya, adik ipar kamu yang terima,” kata-kata itu membuat guru silat berhenti melangkah lalu menoleh belakang merenung bomoh tua yang sedang membuka sepasang tangannya dengan lebar, macam burung membuka sayap.

“Jangan pedulikan, teruskan hajat kita,” bisik Datuk pada guru silat.

“Tapi, saya bimbang.”

“Jangan bimbang, dia manusia biasa macam kita,” Datuk memberikan semangat dan memaksa guru silat meneruskan langkah yang terhenti. Guru silat menurut saja arahan Datuk.

Dua tiga kali saya mengesat peluh yang memercik di dahi, begitu juga dengan Datuk yang tidak putus-putus melurut rambut di pangkal telinga kanannya dengan tapak tangan kiri.

Suara bomoh tua sudah tidak kedengaran lagi dan kami merasakan perjalanan terasa aman dan damai. Tidak ada gangguan dari sesiapa.

Saya merasa bertuah dalam cuaca yang terik itu, terasa hembusan angin menyentuh kulit muka. Rambut yang terjuntai atas dahi terbuai-buai.

Kami memasuki sebuah lorong kecil yang di kiri kanannya ditumbuhi dengan pepohon senduduk yang merimbun.

Dari kanan lorong saya terdengar bunyi sesuatu yang bergerak aras dedaun kening. Bila di renung tidak ada sesuatu yang dapat saya lihat.

“Aduh,” jerit guru silat serentak dengan itu saya lihat guru silat terjatuh atas tanah.

Saya jadi cemas tetapi, Datuk bertindak cepat membangunkan guru silat serta memberi rawatan mengejut padanya.

Saya menjeling ke kanan, sepasang kaki yang dibalut dengan seluar kelabu tegak kaku di depan saya. Dan bahagian atas lutut terdapat kain pelekat dua warna, putih dan biru dalam bentuk kotak kecil.

Warna putih dalam kotak dikelilingi oleh garis-garis biru halus. Keadaan kain itu, seperti orang mengikat kain samping.

“Aku terpaksa bertindak untuk menjaga nama baik dan pantang-larang aku,” cepat-cepat saya dongakkan kepala.

Mata saya dengan mata bomoh tua bertembung. Dengan tenang bomoh tua mengapit rokok daun ke bibir. Perlahan-lahan ia mengalih pandangan matanya pada guru silat.

“Kau jangan tunjuk pandai di sini,” bomoh tua seperti mengherdik Datuk yang dalam keadaan terpinga-pinga.

“Apa salah dia tuk bomoh?” tanya guru silat.

Malang sungguh nasib guru silat, pertanyaan ikhlas dijawab dengan buah silat dari kanan tetapi, guru silat yang sudah bersedia terus membuang dan menepis buah silat dari bomoh tua.

Tindakan itu memanaskan lagi hati bomoh tua yang memang sudah panas.

Mungkin, ia merasai dirinya tercabar.

Bomoh tua terus membalas dengan pukulan buah silat yang kencang. Satu pergaduhan di bawah pancaran matahari pagi terjadi di depan mata saya dan Datuk.

Dua manusia yang memang handal dalam bidang mempertahankan diri bertarung dengan hebat seolah-olah pertarungan itu tidak akan berhenti selagi salah seorang daripada yang bertarung itu rebah atau tewas.

“Ah,” jerit bomoh tua, serentak dengan itu rumput di kiri kanan lorong terus layu, macam terkena bahang api yang amat kuat.

Guru silat masih dalam bentuk kekuda pertahanan silat yang cukup kejap.

Siku kanannya rapat ke dada dengan genggaman penumbuk harimau jantan, manakala tangan kanannya ke depan dengan telapak tangan terkembang, macam ekor ikan menolak arus air.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 86/284

BACA: SBDJ Siri 85: Katak Ganjil
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM

Friday, July 05, 2019

Polisi Insurans Jika Diculik Makhluk Asing

Polisi Insurans Jika Diculik Makhluk Asing

Bukan sahaja insurans nyawa, kereta dan kediaman yang ada dijual kepada pengguna, syarikat insurans turut menjual dan menawarkan polisi pelik yang akan melindungi pelanggan jika diculik benar-benar oleh makhluk asing.

Insuran Makhluk Asing
Gambar hiasan.

Agensi Saint Lawrence dari Florida, Amerika Syarikat berjaya menjual 6,000 polisi setakat ini dan perlindungan itu bernilai RM41 juta.

Syarat untuk membuat tuntutan insurans jika diculik makhluk asing pula kedengaran agak kelakar.

Sesiapa yang diculik makhluk asing harus kembali ke bumi dan mendapat pengesahan daripada 'penculiknya'.

Anda perlu kembali bersama tandatangan makhluk asing yang diberi kuasa membuat pengesahan!

Lucu, tapi benar-benar wujud.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Lapangan Terbang Antarabangsa Daxing, Terminal Udara Terbesar Di Dunia Seluas 140 Padang Bola

Lapangan Terbang Antarabangsa Daxing, Terminal Udara Terbesar Di Dunia Seluas 140 Padang Bola

China bakal membuka lapangan terbang gergasi terbesar di dunia bernilai berbilion dolar dan apa yang lebih unik, ia menyerupai bentuk tapak sulaiman sempena meraikan ulang tahun ke-70 penubuhan negara itu.

Daxing Airport terbesar di dunia
Daxing Airport.

Kerja pembinaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Daxing di Beijing itu secara rasmi berakhir kelmarin (1/7/2019) dan sedia untuk dibuka secara rasmi pada 30 September depan.

Sambutan majlis tersebut akan menyaksikan Presiden Xi Jinping memberi tabik hormat ketika perarakan tentera di samping perasmian hab futuristik tersebut.

Lapangan terbang tersebut terletak 46 kilometer di selatan Dataran Tiananmen dan akan beroperasi pada kapasiti penuh pada tahun 2025.

Ia dilengkapi empat landasan dan berpotensi menerima sehingga 72 juta penumpang pada setiap tahun.

Menjelang 2040, hab tersebut dijangka diperluaskan lagi kepada lapan landasan termasuk satu untuk kegunaan tentera selain boleh menampung sehingga 100 juta penumpang setiap tahun, sekali gus menjadikan ia terminal tunggal terbesar di dunia.

Pada masa ini, Lapangan Terbang Atlanta di Amerika Syarikat (AS) boleh menerima lebih 100 juta penumpang, namun di dua terminal.

Menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa, pengangkutan udara kini berkembang pesat di China memandangkan taraf hidup meningkat seiring dengan keinginan rakyat untuk melancong dan ia dijangka mengatasi AS dengan menjadi pasaran penerbangan terbesar di dunia menjelang pertengahan 2020.

Beijing akan menyaksikan 1.6 bilion penerbangan setiap tahun bermula 2037 dan jumlah itu lebih satu bilion berbanding 2017.

Sejak tahun 2016, Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing semakin sesak dengan jumlah penumpang melebihi 90 juta dan angka itu meningkat kepada lebih 100 juta pada 2018.

Ibu negara China yang mempunyai populasi sehingga 21 juta penduduk dijangka menerima 170 juta penumpang pada 2025 yang mana ketibaan itu akan dibahagikan antara dua lapangan terbang di ibu negara.

Seluas 140 padang bola

Pada keluasan 700,000 meter persegi atau bersamaan 140 padang bola sepak, struktur baharu tersebut akan menjadi salah satu terminal lapangan terbang terbesar di dunia.

Bangunan itu direka arkitek Anglo-Iraq, Zaha Hadid yang meninggal dunia pada 2016 bersama anak syarikat kejuruteraan Aeroports de Paris.

Rekaan bahagian dalamnya menonjol dengan garis aliran, melengkung dan penggunaan cahaya yang menembusi ke tingkat paling bawah menerusi bukaan bumbung bangunan.

Di bawah terminal yang menelan kos AS$17.5 bilion (RM72.3 bilion) itu terdapat stesen kereta api dan kereta api bawah tanah yang membolehkan penumpang tiba di pusat bandar dalam tempoh kira-kira 20 minit.

Saluran CCTV melaporkan, gabungan SkyTeam termasuk Delta Air France dan KLM akan berpindah ke lapangan terbang baharu tersebut bersama rakan kongsi mereka, Eastern Airlines dan China Southern Airlines.

Syarikat penerbangan terbesar, Air China, dijangka meneruskan operasi mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing yang menerima ketibaan 101 juta penumpang pada tahun 2018 lalu.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: sinarharian

Tarian Nambuyunan Pelajar Malaysia Juara World Cup Dance 2019

Tarian Nambuyunan Pelajar Malaysia Juara World Cup Dance 2019

Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Stella Maris, Kota Kinabalu, mengharumkan nama negara apabila meraih pingat emas menerusi kategori Children Duet/Trio National Folklore dalam acara World Cup Dance 2019 di Altice Forum, Braga, Portugal, pada 28 Jun 2019 lalu.

Malaysia Juara World Cup Dance 2019

Gandingan Muhammad Fakhrul Afif, 12, Ahmad Mikail Damsal Abdul Hakim, 12, dan Oscar Neil Gelibat, 10, dinobatkan juara menerusi tarian etnik tempatan, Nambuyunan.

Mohd Fakhrul Afif yang mempersembahkan tarian etnik Brunei (Sabah) turut memenangi pingat emas bagi Kategori Solo Children National Folklore dan dianugerahkan Outstanding Boy Award Gala Night Dance World Cup.

Guru Bahasa Inggeris sekolah berkenaan, Razalie Azizul atau lebih mesra disapa Sir Tom berkata, kerja keras muridnya serta sokongan padu sekolah membuahkan hasil.

“Terharu dan bangga kerana pihak sekolah bekerja keras bagi membiayai kos penerbangan dan penginapan mereka di sana.

“Pihak sekolah mengadakan konsert bagi meraih sumbangan untuk menampung perbelanjaan mereka.

“Kos membabitkan lebih RM20,000. Oleh itu, kami adakan konsert selain mendapat sumbangan daripada orang perseorangan dan badan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

World Cup Dance 2019 adalah pertandingan tahunan pelbagai genre tarian dan disertai lebih 20,000 penari dari seluruh dunia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:


sumber: hmetro

Sejarah Bacaan At-Tahiyyat, Perbualan Antara Allah SWT Dan Nabi SAW

Sejarah Bacaan At-Tahiyyat, Perbualan Antara Allah SWT Dan Nabi SAW

At-Tahiyyat adalah doa yang sangat penting dan sering di baca kerana kita mengulanginya di dalam solat harian dan jika anda tahu kisah disebalik ayat ini, ia sebenarnya amat menyentuh hati, kerana adalah sebahagian daripada perbualan antara Pencipta kita Allah SWT dan yang kita kasihi Nabi Muhammad SAW semasa perjalanan Isra' Mi’raj.

Perbualan Allah dan Nabi Muhammad SAW

Ketika Nabi Muhammad SAW bertemu Allah SWT, dia tidak berkata, 'Assalamualaikum'.

Apa yang seseorang akan berkata apabila dia bertemu Allah? Kita tidak mengucapkan selamat sejahtera kerana semua sumber kesejahteraan adalah melalui Dia.

Jadi Nabi Muhammad SAW berkata: "Attahiyyaatul Mubaarakatus Solawaatut toyibaatulillah" (Segala pujian, segala doa dan ibadah hanyalah untuk Allah).

Allah menjawab: "Assalamu Alaika Ayyuhannabiyyu 'Warahmatullahi Wabarokaatuh" (Salam sejahtera ke atas kamu, Wahai Nabi dan Allah memberi rahmat dan keberkatan).

Untuk ini, Nabi Muhammad SAW menjawab: "Assalamu 'Alaina Wa'ala 'Ibadillahis So'lihin" (Selamat sejahtera kepada kami dan kepada semua hamba yang baik kepada Allah).

Nabi Muhammad SAW mengatajan "kami" dalam jawapan (dan pada semua hamba yang baik kepada Allah).

Dan mendengar perbualan ini antara Allah dan Rasul-Nya, para malaikat yang lalu berkata:

"Ash'had'u'al Laa ilahaillallah Wa Ash'hadu Anna Muhammadun Abd'uhu Wa Rasuuluh" (Aku bersaksi bahawa tiada siapa yang berhak disembah melainkan Allah Dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan Rasul-Nya).

SubhaanAllah!

Keterangan

Kisah ini ada disebutkan dalam Tafsir al-Samarqandi (tafsir surah al-Baqarah ayat 285) dan tafsir al-Tha'labi (tafsir surah al-Isra' ayat 1).

Kita kini memahami kepentingan perbualan ini dalam doa harian dan bagaimana solat telah ditetapkan kepada kita.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: madrasahsunnionline

SBDJ Siri 85: Katak Ganjil

SBDJ Siri 85: Katak Ganjil

“Biarkan mereka datang,” kata bomoh dalam keadaan tidak sedar. Saya merenung menerusi tingkap dan pintu yang terbuka sendiri. “Beri jalan,” suara bomoh lembut. Saya terasa papan rumah seperti dipijak orang. Angin malam kian kuat terus masuk ke rumah. Beberapa helai daun mempelam melayang ke rumah.

Toyol jadi-jadian

Datuk tidak melakukan sesuatu. Ia melihat apa yang terjadi dengan perasaan tenang tetapi penuh persediaan kewaspadaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang tidak baik.

Guru silat bangun lalu berdiri tidak jauh dari arah rusuk kanan bomoh tua. Saya pula mengisut perlahan-lahan menuju ke tepi dinding.

Berusaha mahu menjarakkan diri dengan Datuk, guru silat dan bomoh tua, andainya bomoh tua kemasukan roh datuk nenek dan tidak sedarkan diri, mengamuk atau membaling tempat bara api, saya boleh mengelakkan diri dengan terjun menerusi pintu yang terbuka.

Bomoh tua yang bercakap seorang diri itu, memperlahankan suaranya, sesekali ia menumbuk lantai, suaranya seperti orang yang kena cekik. Lagi sekali bomoh tua itu rebah atas lantai.

Suasana dalam rumah menjadi sunyi. Bomoh tua terus bangun. Gosok kelopak matanya berkali-kali, macam orang baru bangun tidur. Renung kiri, kanan dengan sinar mata yang garang.

“Eh, kamu kenapa datang dekat aku, tengok sekarang datuk nenek aku dah lari, kamu tolak dia, sekarang dia dah merajuk,” bomoh terus marah-marah dengan guru silat.

Saya tergamam, tidak ada sesiapa pun yang berdiri dekatnya, sebelum guru silat menghampirinya.

“Saya tak nampak apa-apa,” mulut celopar saya bertanya.

“Kamu tahu, biji mata kamu semuanya tak nampak dia, kecuali aku. Batin aku dengan batin roh Datuk nenek aku sudah bersatu,” kemarahan bomoh tua meluap-luap.

Tidak terduga oleh saya perkara tersebut boleh jadi begitu.

Supaya keadaan tidak menjadi kacau-bilau, Datuk segera minta maaf. Nasib baik bomoh tua mahu memaafkannya.

Saya segera terfikir kenapa banyak sangat upacara yang mesti dijalankan untuk mengubati orang yang sedang sakit.

Apakah bomoh tua itu tidak terfikir cara yang dilakukannya itu menambahkan beban orang yang memang sudah sakit itu. Saya jadi bosan dengan keadaan yang sedang saya hadapi.

Saya juga terfikir, perkara itu sahaja dilakukan untuk melambat-lambatkan tugasnya. Bila sudah larut malam baru kerja itu dijalankan dengan sempurna. Ini satu taktik, kata hati saya.

Bomoh itu, menjalankan upacaranya kembali. Kali ini isteri si sakit duduk di depannya.

“Akulah panglima raja Melayu,” suara bomoh berubah, parau dan garang. Isteri si sakit tunduk.

“Siapa nama panglima?” Soal isteri si sakit.

“Datuk Maharajalela, panglima Perak yang datang untuk menyempurnakan hajat anak cucu.”

“Terima kasih kerana panglima sudi datang ke rumah kami.”

“Hum... aku faham, aku dahaga dan lapar.”

“Tunggu, panglima.”

Isteri si sakit pun meletakkan setalam hidangan di depan bomoh tua yang menjelma menjadi Datuk Maharajalela.

Saya segera rapat pada Datuk yang duduk tidak jauh dari bomoh yang sudah berada di zaman lampau itu.

Saya lihat dalam talam itu ada dua butir telur ayam, sebutir sudah direbus dan sebutir tidak. Ada dua cawan, satu berisi kopi, satu berisi air biasa. Ada dua kepal pulut, satu berwarna kuning dan satu berwarna putih.

Asap kemenyan terus menguasai ruang rumah. Dalam berbisik guru silat memberitahu saya, barang-barang ini memang menjadi syarat setiap kali bomoh tua itu menjalankan tugasnya dan barang-barang itu sentiasa berubah, mengikut malam bomoh tua itu datang.

Isteri si sakit tahu, kalau bomoh tua datang malam Selasa, persediaannya cuma dua biji pisang. Satu masak dan satu tidak. Malam Jumaat, persediaannya seperti yang saya lihat sekarang.

Biasanya, setelah selesai menjalankan upacara tersebut, bomoh tua akan memberitahu pada orang yang diubatinya siapa pula yang akan mendampinginya pada malam berikut dan apa kegemaran orang yang mendampinginya itu mesti disediakan.

Semua makanan yang dihidangkan itu dimakan oleh bomoh tua yang sudah diresapi roh panglima itu. Semuanya dimakan separuh saja.

Tekak saja menjadi loya bila melihat bomoh tua itu makan. Air liurnya meleleh, macam orang kena sawan babi. Sesiapa pun tidak sudi makan sisa makanan yang ditinggalkannya itu.

Membazir dan jadi habuan ayam. Itu pun kalau ayam tersebut sudi. Fikir saya. Datuk terus termenung sambil mengerutkan dahinya. Bomoh tua itu selesai makan.

“Apa hajat cucu,” bomoh tua bersuara.

“Suami saya sakit, sudah ramai panglima yang datang tapi sakitnya tak kurang juga, sekarang saya minta tolong pada Pahlawan Perak.”

“Hummmmmmm,” bomoh tua itu tunduk.

“Sakit suami kau kena buatan orang, dua tiga hari lagi sembuhlah dia, beri aku kemenyan dan daun kunyit.”

Isteri si sakit serahkan barang yang dikehendaki. Bomoh tua membelek-belek barang tersebut dan diserahkan pada isteri si sakit.

“Kemenyan tu usap ke muka tujuh senja, daun kunyit potong kecil dan diberikan ia makan pada setiap pagi. Faham cakap aku.”

“Faham.”

“Ada apa-apa lagi yang nak minta.”

“Tak ada apa-apa, kalau tak kurang saya panggil panglima lagi.”

“Boleh, lain kali aku nak datang dengan Tok Janggut dari Kelantan, sediakan makanannya, ayam percik sama nasi dagang. Aku nak balik.”

Bomoh tua itu jatuh ke lantai kembali, kemudian bangun dan tersenyum, seolah-olah tidak ada sesuatu yang dilakukan. Ia bersalam dengan kami.

Bomoh tua itu bertanya pada isteri si sakit apa yang terjadi. Isteri si sakit pun menceritakan apa yang terjadi. Bomoh tua pun anggukkan kepala. Senyumnya bertambah lebar merenung ke arah kami.

“Kamu dah banyak kali tengok aku mengubat orang, tapi aku rasa pelik kenapa malam ini baru kamu nak tolong aku?” Bomoh tua ajukan pertanyaan pada Datuk.

“Saya nak belajar,” jawab Datuk.

“Hisss kamu, dah tua-tua nak belajar, hati dah tumpul otak tak boleh terima pelajaran lagi. Aku belajar sejak kecil tahu.”

“Saya faham,” kata Datuk menahan rasa malu yang amat sangat.

Bomoh tua tersenyum. Pintu dan tingkap yang terbuka tertutup rapat kembali. Saya tidak sedar, waktu bila tingkap dan pintu rapat.

“Boleh saya sentuh tubuh si sakit,” Datuk minta izin dari bomoh tua. Ia anggukkan kepala.

Senyumnya tidak juga berakhir di kelopak bibir. Saya tahu, senyum itu tidak jujur. Senyum menyindir.

Datuk rapat pada si sakit. Pergelangan tangan si sakit di rabanya berkali-kali. Datuk minta segelas air sejuk pada isteri si sakit.

Segelas air sejuk berada dalam tangan Datuk. Mulut Datuk bergerak lancar. Datuk serahkan gelas berisi air itu pada si sakit. Datuk suruh si sakit minum air tersebut.

Baru sekali teguk saja, si sakit itu terus tersedak, air di mulut bersemburan dan terkena muka bomoh tua.

“Ini semua kerja syaitan, si sakit disihir orang,” Datuk renung muka bomoh tua.

Saya lihat bomoh tua tersengih sambil mengesat kesan air di mukanya.

“Tidak ada harapan nak baik,” ujar bomoh tua.

“Jangan cakap macam tu, kalau Allah izinkan semuanya elok, kalau janjinya sudah sampai kita tak boleh buat apa-apa,” suara Datuk merendah. Bomoh tua gelengkan kepala.

“Kalau kamu dah pandai sangat, kamu ubat sendiri. Aku tak mahu campur,” bomoh tua meledakkan kemarahannya.

“Jangan begitu sama-sama kita berusaha menolong orang yang sakit,” Datuk memujuk.

Tetapi, pujukan itu tidak berjaya melembutkan hatinya.

“Minta maaf, kalau saya katakan yang kita boleh berusaha, marilah sama kita menolongnya,” rayu Datuk.

“Tidak, kamu uruskan aku nak tengok sejauh mana kamu sanggup”, bomoh tua itu seolah-olah mencabar Datuk.

Saya lihat Datuk termenung panjang. Macam ada sesuatu yang difikirkannya.

“Minta maaf, menurut petua datuk nenek saya, orang yang sakit ini disihir dengan menggunakan anak kucing hitam. Kemudian akan disusuli dengan menggunakan burung but-but. Orang yang mengambil upah membuat kerja ini bukan sebarang orang.”

Datuk mengeluarkan apa yang ia tahu, mengikut petua denyut nadi dan gerak darah dalam urat saraf. Bomoh tua menjuihkan bibirnya ke depan.

Datuk tidak terhenti setakat itu saja. Ia terus melanjutkan kata-katanya:

“Kerja pertama dah berjalan, hasilnya perut si sakit bengkak, dalam dua tiga minggu lagi kerja kedua akan dijalankan, kalau kita tak sekat kerja kedua ini, hanya Allah yang dapat menentukan hidup mati si sakit,” ujar Datuk.

Suaranya kali ini bertambah keras penuh dengan keyakinan. Bomoh tua kerutkan dahi.

“Macam mana caranya, orang tu buat kerja,” tiba-tiba saja bomoh tua soal Datuk. Mahu menguji sejauh mana kebolehan dan kemampuan Datuk.

“Perut anak kucing hitam itu dibelah, isi perut anak kucing itu dibalutkan dengan kain putih dan dimasukkan ke dalam perutnya semula lalu ditanam sekitar kawasan rumah. Bila terlangkah pada orang yang ditujukan, sebulan kemudian perut orang itu buncit, bila kain dalam perut anak kucing reput, orang yang kena tuju tu, tamat riwayat,” jelas Datuk.

Guru silat menggaru pangkal dagunya berkali-kali. Wajahnya nampak resah. Ekor mata saya masih tertumpu ke arah bomoh tua yang menjentik-jentik lantai dengan jarinya.

Isteri si sakit termenung sedangkan si sakit yang terbaring mengerdipkan kelopak matanya berkali-kali.

“Bagaimana dengan adik ipar saya?” mendadak saja guru silat bertanya.

Bomoh tua berdehem panjang, bagaikan memberitahu yang pertanyaan itu harus ditujukan pada dirinya, bukan pada Datuk. Perbuatan guru silat itu menjatuhkan martabat dirinya.

“Adik ipar awak baru dikenakan peringkat awal, saya yakin kain pembalut perut anak kucing hitam tu belum hancur lagi, kita masih boleh berusaha.”

“Kalau sudah sampai peringkat kedua bagaimana?” desak guru silat.

Datuk lagakan gigi atas dengan gigi bawah berkali-kali.

“Peringkat kedua, perut burung but-but dibelah, semua isi perutnya dikeluarkan, dimasukkan kembali bersama tanah biasa lalu dijahit, ini cukup merbahaya, bila perut burung but-but hancur, perut adik ipar awak juga pecah.”

“Dahsyat, bagaimana kita nak mengatasinya,” cemas sekali guru silat bersuara.

“Kita mohon pertolongan pada Allah,” jawab Datuk menenangkan perasaan guru silat.

Lagi, sekali saya merenung ke bomoh tua yang sikapnya agak berubah dari tadi. Tidak memperlihatkan sikap marah-marah dan sombong.

“Bagaimana kalau semua kerja ni awak ambil,” terdengar suara bomoh tua.

Datuk segera mendekatinya. Perlahan-lahan Datuk genggam tangannya erat-erat.

“Marilah kita bekerjasama untuk menolong orang yang sakit,” kata Datuk.

Bomoh tua geleng kanan kepala seraya berkata:

“Awak uruskan cara awak, saya cara saya, kita tengok siapa handal.”

“Bukan itu niat saya.”

“Sudahlahhhh...” bomoh tua terus bangun. Meninggalkan rumah adik ipar guru silat. Hilang dalam kepekatan malam yang garang.

Saya terus mengerutkan dahi melihat sikap bomoh tua yang di luar dugaan. Guru silat merenung wajah Datuk dan Datuk membalas senyuman tersebut dengan segaris senyum. Tetapi, rasa cemas dan bimbang tergambar di wajah isteri si sakit.

“Agaknya, dia dah tak mahu nak mengubat aku,” tanya si sakit (adik ipar guru silat) dengan nada kehampaan.

Guru silat menarik nafas panjang.

Datuk meraba dagunya berkali-kali. Isteri si sakit merenung lantai.

Di luar, terdengar sayup-sayup suara pungguk. Desiran angin yang melanggar dedaun jelas kedengaran. Sesekali terdengar lolongan anjing yang panjang.

Saya melagakan gigi atas dengan gigi bawah beberapa kali.

“Bersabarlah,” kata Datuk sambil memandang muka guru silat dan si sakit.

Isteri si sakit menarik nafas kelegaan. Sepasang mata hitamnya meraut paras saya.

“Berapa lama saya harus bersabar, tak tahan rasanya saya menderita begini,” tiba-tiba saja si sakit bersuara.

“Bersabarlah, saya cuba berusaha. Saya rasa, saya dapat tahu siapa yang membuatnya, beri saya masa tiga hari dan dengan izin Allah, saya berjaya,” Datuk memberikan pengakuan.

Kata-kata yang Datuk hamburkan itu membuat guru silat tersenyum lagi. Si sakit cuba tersenyum dan isterinya anggukkan kepala. Di wajahnya terpamer seribu harapan pada Datuk.

“Saya cuma berusaha dan yang menentukan semuanya adalah Allah, kita mohon pertolongan pada Allah. Niat kita baik, setiap kerja yang baik diberkati Allah,” Datuk menambah.

“Saya faham, kita cuma berusaha yang menentukan semuanya adalah kuasa Allah,” sahut guru silat. Datuk anggukkan kepala.

Saya terus menggosok mata dua tiga kali. Terasa amat mengantuk sekali. Guru silat terus menguap panjang.

“Bagaimana, kita balik dulu,” guru silat bersuara sambil melunjurkan kaki kanannya.

Kemudian, ia terus memicit pangkal pahanya berkali-kali. Deru angin malam di luar bertambah kuat.

“Terpulang, kalau nak balik pun elok juga,” balas Datuk.

“Kalau begitu, biarlah kami balik dulu,” guru silat memberitahu isteri si sakit.

Isteri si sakit pun anggukkan kepala.

Guru silat segera bangun melangkah tenang menuju ke pintu dengan diikuti oleh Datuk dan saya.

Sebaik saja saya berdiri di halaman rumah terdengar bunyi kucing mengiau panjang. Dengan pertolongan cahaya lampu, saya cuba mencari kucing yang mengiau. Tidak nampak bayang kucing dan hati saya mula berdebar.

“Kenapa tercegat, macam patung,” guru silat menepuk bahu kiri saya dua kali.

Datuk terus merenung ke arah saya. Guru silat melihat langit yang hitam.

“Macam nak hujan, tak ada sebiji bintang pun di langit,” guru silat seperti merungut. Datuk dongak ke langit.

“Langit gelap belum tentu nak hujan,” balas Datuk sambil memulakan langkah pulang.

Baru dua puluh tapak melangkah, guru silat mematikan lampu picitnya. Perbuatannya itu menimbulkan keraguan dalam diri saya. Cepat-cepat saya memegang bahagian tepi baju Datuk.

“Kenapa?” Datuk bersuara.

“Saya macam terdengar benda terbang atas kepala” suara guru silat cemas.

“Angin,” kata saya.

“Bukan angin, macam ada benda lain,” sahut guru silat lalu menyerahkan lampu picit pada Datuk.

BURUNG

Angin malam terus bertiup sesekali kilat memancarkan cahayanya dituruti dengan bunyi guruh.

Datuk menyuluh ke kiri dan ke kanan. Saya terdengar bunyi benda terbang macam burung mengelilingi kepala saya berkali-kali.

“Burung keliling kepala saya tuk."

Datuk pun menyuluh ke arah kepala saya. Datuk terkejut melihat seekor burung berpusing-pusing atas kepala saya sambil mengeluarkan bunyi yang tidak pernah saya dengar.

Guru silat segera mendekati saya dan bersedia untuk menangkap burung yang tidak diketahui jenisnya.

“Aduh burung cakar mata saya" jerit guru silat.

Datuk suluh muka guru silat. Saya terkejut melihat pipi guru silat berdarah. Datuk kesat darah di pipi guru silat dengan sapu tangan.

Burung yang tidak diketahui jenisnya itu terus melakukan serangan pada guru silat tetapi, kali ini guru silat sudah bersedia untuk menepis serangan burung tersebut dengan tangannya.

“Jangan tahan dengan tangan, nanti lengan kamu dicakarnya, cari kayu,” Datuk mengeluarkan arahan.

Guru Silat segera mencapai dahan kayu dan bersedia untuk memukul burung aneh yang mahu menyerangnya.

Buat beberapa saat, suasana menjadi tenang. Burung aneh, tidak melakukan sebarang serangan.

“Jalan, jangan tunggu, burung tu tak datang lagi,” suara Datuk meninggi. Saya dan guru silat segera mematuhinya.

Berjalan malam dalam keadaan cemas memang tidak menyeronokkan, setiap benda yang didengar membuat bulu roma berdiri.

Dua tiga kali langkah saya terhenti akibat diganggu oleh bunyi ranting kering yang patah akibat dirempuh angin.

Dalam keadaan yang tidak begitu selesa, saya terasa pipi kanan ditampar oleh kepak burung dan dituruti dengan cakaran kilat. Saya mula terasa pipi pedih dan berdarah.

“Burung tu, serang saya tuk.”

“Padamkan lampu, agaknya dia tak boleh tengok cahaya,” kata guru silat.

Datuk segera memadamkan lampu picit. Atas arahan Datuk, kami berbuat demikian.

“Kita berjalan semula, agaknya burung tu tak ganggu kita lagi,” suara guru silat tertahan-tahan.

Agaknya, ia sudah tidak sanggup lagi duduk bertinggung. Tidak ada bantahan dari Datuk tetapi, Datuk mengingatkan kami yang ia akan menyalakan lampu picit di tangan bila difikirkan perlu.

Ternyata perjalanan kami lancar sekali.

Sebaik saja sampai di kaki rumah tempat saya dan Datuk menginap, secara mendadak saja seekor burung puyuh hinggap di anak tangga ketiga, sambil mengembang-ngembangkan kepaknya.

Sesekali membuka mulutnya macam minta makan. Guru silat menerpa ke arah burung puyuh tersebut untuk menangkapnya.

“Jangan,” Datuk melarang.

“Kenapa? Bukankah dia nak datang menyerah diri.”

“Belum tentu burung puyuh tu betul-betul burung puyuh barangkali benda lain yang menyerupainya."

“Ahh,” guru silat seperti mengeluh.

Matanya merenung ke arah Datuk dengan seribu tanda tanya. Datuk hanya menjawab dengan sebuah senyuman.

Burung puyuh terus meniti di anak tangga sambil melebarkan kedua belah kepaknya. Sesekali, berbunyi bertalu-talu.

Suara burung puyuh itu ternyata berjaya memikat hati guru silat yang selama ini dikenali sebagai peminat burung puyuh. Matanya, tidak berkedip melihat telatah burung puyuh malam di anak tangga.

“Suaranya bagus, boleh jadi pemikat, gerak jalannya boleh jadi jaguh sabung puyuh,” guru silat seperti meratap kehebatan si puyuh malam yang dilihatnya.

“Aku tahu, aku juga pernah jadi peminat puyuh tapi, puyuh yang kita tengok ini, belum tentu puyuh betul,” Datuk menahan keinginan yang bersarang dalam dada si guru silat.

Si guru silat yang mempunyai berpuluh-puluh anak murid itu kecewa dengan sikap Datuk.

Cepat-cepat Datuk mengeluarkan kain ikat kepala berwarna merah dari dalam saku bajunya. Kain itu dikibaskannya ke arah burung puyuh malam tiga kali berturut-turut. Burung puyuh itu bersuara nyaring dan melawan kibasan kain ikat kepala Datuk.

“Kau lihat sendiri,” kata Datuk setelah burung puyuh itu hilang dengan serta-merta bila Datuk mahu menyerkupnya dengan kain ikat kepala.

Guru silat kedutkan dahi sambil menarik nafas panjang. Matanya merenung ke kiri dan ke kanan terasa sedikit rasa cemas dan bimbang.

“Sudah, mari kita naik,” Datuk terus menarik tangan guru silat.

Saya mengikutnya dari belakang. Bila pintu rumah dibuka, lagi sekali kami dikejutkan dengan kehadiran burung puyuh malam di tengah rumah.

Saya lihat mata burung puyuh itu memandang tepat ke arah saya semacam ada cahaya kemerah-merahan di biji matanya. Saya jadi cemas.

“Jangan diganggu biarkan di situ,” Datuk mengingatkan saya dan guru silat. Serentak saya bersama guru silat anggukkan kepala.

Saya terkejut bila burung puyuh malam itu menerkam ke arah kaki guru silat, tanpa mempedulikan ingatan Datuk, guru silat terus menangkap burung puyuh tersebut.

“Biar kita tangkap dan pelihara, apa yang terjadi kita tanggung sendiri,” guru silat renung muka Datuk.

“Terpulanglah pada kamu tapi, lagi sekali aku ingatkan, berhati-hatilah dengan burung itu.”

“Saya faham.”

Guru silat terus membawa burung puyuh ke ruang dapur. Dimasukkan ke dalam raga buluh dan ditutup dengan papan. Diletakkan atas para dapur.

Datuk hanya menggeleng-gelengkan kepala takjub dengan keberanian guru silat yang sanggup menanggung apa saja kesusahan.

“Kita yakin, burung itu burung puyuh biasa,” bisik guru silat meyakinkan Datuk.

Tanpa mengucapkan sesuatu Datuk tersenyum sambil meraba-raba misainya. Datuk mengambil air sembahyang dan terus membaca Quran. Guru silat duduk bersila di tengah ruang rumah.

KATAK

Di luar hujan mula turun dengan selebat-lebatnya bersama dengan bunyi halilintar dan petir. Saya yang kedinginan terus membungkus tubuh dengan kain pelekat.

Bunyi jam tua yang tergantung di tiang seri rumah jelas kedengaran. Saya renung ke arah jam tua. Sudah pukul dua pagi.

“Ribut di luar,” kata guru silat.

“Ya, saya terdengar bunyi dahan patah,” kata saya.

“Jarang ribut kuat macam ni, saya bim...,” guru silat tidak dapat meneruskan kata-katanya diganggu oleh halilintar yang amat kuat. Telinga saya jadi berdesing.

Saya segera bangun. Datuk dekat guru silat. Gegaran dan halilintar dan petir membuat semua tingkap rumah terbuka.

Tempias air hujan masuk mencurah-curah dalam rumah. Semua tikar basah tetapi, Datuk tetap meneruskan pembacaan ayat-ayat suci dengan khusyuk sekali.

Cahaya kilat terus menyambar ke dalam, membuat saya jadi resah tidak menentu.

“Burung puyuhku,” guru silat segera bangun dan saya bagaikan ditolak sesuatu kuasa mengikutnya ke ruang dapur.

Guru silat membuka penutup raga perlahan-lahan. Saya yang menggigil kesejukan terus menjenguk ke raga.

“Ya, Allah,” guru silat bersuara, mukanya pucat.

“Kenapa?”

“Kau lihat sendiri Tamar.”

“Tak mahu, masa penutup dibuka tadi, saya dah perasan yang burung itu, bertukar menjadi katak.”

“Ajaib,” guru silat mengeluh.

Dan memang diduga sama sekali, di tengah suasana hujan yang menggila bersama petir dan halilintar, katak yang berada dalam raga terus melompat keluar.

Bentuknya agak menakutkan, sepasang biji matanya tersembul, memancarkan cahaya kemerahan bercampur kebiru-biruan.

Di bawah bahagian mulutnya, terdapat warna hijau bercampur putih, kelihatan lembik dan bergerak tanpa berhenti.

Mulutnya luas dan tapak kakinya macam tapak kaki itik serta berkuku panjang dan tajam. Kulit seluruh badannya lembik seolah-olah dagingnya berada di luar.

Dari celah pelipat kakinya keluar air kental, tidak ubah macam air liur.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 85/284

BACA: SBDJ Siri 84: Belah Perut Burung
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM

Thursday, July 04, 2019

10 Letupan Bom Nuklear Terkuat Pernah Terjadi Di Dunia

10 Letupan Bom Nuklear Terkuat Pernah Terjadi Di Dunia

Ada dua jenis bom nuklear iaitu bom atom dan bom hidrogen, dan menurut beberapa pakar nuklear, kekuatan letupan dan kesan kemusnahan bom hidrogen mempunyai potensi 1,000 kali ganda lebih kuat berbanding bom atom.

Sebagai contoh, apabila bom atom digugurkan di Hiroshimo dan Nagasaki, Jepun, semasa Perang Dunia Kedua pada 1945, lebih 200,000 orang terbunuh.

Apa yang menakutkan adalah, bom hidrogen menyebabkan letupan, yang bermaksud gegaran, letupan, kepanasan dan radiasi dengan jangkauan yang jauh lebih besar berbanding bom atom.

Bom atom yang digugurkan di Nagasaki membunuh semua orang dalam radius 1.6 kilometer, manakala jangkauan bom hidrogen adalah lapan hingga 16 kilometer persegi.

Berikut adalah 10 letupan bom hidrogen paling kuat di dunia yang pernah disaksikan.

1. TSAR BOMBA

Negara: Kesatuan Soviet
Kekuatan: 50-58 megatan
Tahun: 1961

Letupan TSAR BOMBA

Pada 30 Oktober 1961, Kesatuan Soviet meletupkan bom nuklear paling besar yang pernah diuji dan dihasilkan dalam sejarah.

Ujian tersebut dikenali sebagai Tsar Bomba, menghasilkan letupan dengan kekuatan antara 50 dan 58 megatan, dua kali ganda lebih kuat berbanding letupan nuklear kedua paling kuat pernah diuji.

Kekuatan letupan itu juga adalah 3,000 kali ganda lebih kuat berbanding bom atom yang digugurkan di Hiroshima.

Cahaya daripada letupan Tsar Bomba dapat dilihat dari jarak sejauh sehingga 997 kilometer.

Letupan sekuat itu mampu menghasilkan bola api dalam radius 16.5 kilometer persegi dan kecederaan melecur tahap tiga (membunuh tisu kulit) dalam radius 10,567 kilometer persegi.

2. SOVIET TEST #219

Negara: Kesatuan Soviet
Kekuatan: 24.2 megatan
Tahun: 1962

Pada 24 Disember 1962, Kesatuan Soviet sekali lagi menjalankan ujian nuklear yang dikenali sebagai Ujian #219 di Novaya Zemlya.

Bom tersebut menghasilkan letupan sekuat 24.2 megatan dan mampu menghancurkan apa sahaja dalam radius 9.2 kilometer persegi dan menyebabkan kecederaan melecur tahap tiga dalam radius 5,827 kilometer persegi.

Tidak ada rakaman video atau gambar ujian nuklear itu disiarkan.

3–5. SOVIET TESTS #173, #174 dan #147

Negara: Kesatuan Soviet
Kekuatan: 20 megatan
Tahun: 1962

Dari 5 Ogos hingga 27 September 1962, Kesatuan Soviet menjalankan beberapa ujian nuklear di Novaya Zemlya.

Ujian nuklear dengan nama kod ujian #173, #174 dan #147 merupakan bom nuklear ketiga, keempat dan kelima terkuat pernah diletupkan dalam sejarah.

Ketiga-ketiga bom nuklear itu menghasilkan letupan sekuat 20 megatan atau 1,000 kali ganda lebih kuat daripada bom Trinity iaitu bom nuklear pertama yang diletupkan oleh AS pada 16 Julai 1945.

Bom nuklear sekuat 20 megatan mampu menghancurkan apa sahaja dalam radius 4.8 kilometer sehingga menjadi debu.

6. CASTLE BRAVO

Negara: Amerika Syarikat
Kekuatan: 15 megatan
Tahun: 1954

Castle Bravo adalah ujian pertama dalam siri ujian Castle dan merupakan bom nuklear terkuat pernah diletupkan oleh AS sehingga hari ini.

Pada asalnya, Castle Bravo dijangka menghasilkan letupan sekuat enam megatan tapi menghasilkan letupan sekuat 15 megatan.

‘Awan cendawan’ impak daripada letupan itu meledak setinggi 34,747 kilometer.

Kesilapan tentera AS membuat kiraan saiz letupan tersebut menyebabkan radiasi kepada 665 penduduk Kepulauan Marshall dan kematian seorang nelayan Jepun yang berada 128 kilometer dari tapak letupan akibat keracunan radiasi.

7. CASTLE YANKEE

Negara: Amerika Syarikat
Kekuatan: 13.5 megatan
Tahun: 1954

Castle Yankee merupakan ujian nuklear kedua terkuat dalam siri ujian Castle yang dilaksanakan di Bikini Atoll, Kepulauan Marshall pada 5 Mei 1954.

Walaupun pada asalnya, ujian tersebut dijangka menghasilkan letupan sekuat antara enam hingga 10 megatan, Castle Yankee menghasilkan letupan sekuat 13.5 megatan.

Empat hari kemudian, debuan akibat letupan itu sampai ke Mexico City yang terletak kira-kira 11.5 kilometer dari Bikini Atoll.

8. SOVIET TEST #123

Negara: Kesatuan Soviet
Kekuatan: 12.5 megatan
Tahun: 1961

Pada 23 Oktober 1961, Kesatuan Soviet menjalankan ujian nuklear #123 menggunakan bom nuklear sekuat 12.5 megatan di Novaya Zemlya.

Bom nuklear pada saiz tersebut mampu memusnahkan apa sahaja dalam radius 5.46 kilometer persegi dan menyebabkan kecederaan melecur tahap tiga dalam radius 3.39 kilometer persegi.

Rakaman video atau gambar ujian nuklear tersebut pernah disiarkan oleh Kesatuan Soviet.

9. CASTLE ROMEO

Negara: Amerika Syarikat
Kekuatan: 11 megatan
Tahun: 1954

Letupan Castle romeo

Castle Romeo merupakan nuklear kedua yang diletupkan oleh AS dalam siri ujian Castle yang dilakukan pada 1954, yang dilakukan di Bikini Atoll, Kepulauan Marshall.

Castle Romeo merupakan ujian ketiga terkuat dalam siri tersebut dan mempunyai kekuatan 11 megatan.

Castle Romeo merupakan nuklear pertama yang diuji di atas tongkang besar di lautan berbanding terumbu memandangkan AS menghadapi kekurangan pulau yang boleh digunakan untuk ujian nuklear.

Letupan dengan kekuatan 11 megaton mampu memusnahkan apa sahaja dalam radius 4.94 kilometer persegi menjadi debu.

10. IVY MIKE

Negara: Amerika Syarikat
Kekuatan: 10.4 megatan
Tahun: 1952

Pada 1 November 1952, tentera AS meletupkan Ivy Mike di Pulau Elugelab, Kepulauan Marshall, Lautan Pasifik.

Ivy Mike merupakan bom hidrogen pertama yang dihasilkan di dunia dengan kekuatan 10.4 megatan yang bersamaan dengan 700 kali ganda lebih kuat berbanding bom atom pertama yang digugurkan di Hiroshima dan Nagasaki, Jepun dalam Perang Dunia Kedua.

Letupan Ivy Mike sangat kuat sehingga ia mengewapkan Pulau Elugelab dan meninggalkan kawah sedalam 50 meter.

‘Awan cendawan’ akibat letupan nuklear itu mampu bergerak sehingga 48 kilometer ke dalam atmosfera.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: utusan

Kisah Warga Bangladesh Dan Pemandu Grab Yang Meruntun Hati

Kisah Warga Bangladesh Dan Pemandu Grab Yang Meruntun Hati

Apabila bercakap sahaja tentang warga Bangladesh yang bekerja di negara ini, pasti ramai yang akan mengaitkan mereka dengan masalah bau badan yang kurang menyenangkan, lalu seorang pengguna Facebook, Fadhli Sahar, yang merupakan seorang pemandu perkhidmatan e-hailing, Grab, baru-baru ini berkongsi kisahnya.

Kisah pemandu Grab dan Bangladesh

Ceritanya, rakan Fadhli mendapat tempahan Grab dengan tambang berharga RM40. Dia pada mulanya enggan mengambil tempahan tersebut kerana pernah dinasihatkan rakan supaya menolak tempahan daripada penumpang warga Bangladesh kerana khuatir bau badan mereka yang kuat itu akan melekat dalam keretanya.

Begitu pun, Fadhli tetap mengambil tempahan tersebut. Penumpang yang diambilnya merupakan tiga orang warga Bangladesh yang baru balik kerja.

Sebaik mereka masuk ke dalam kenderaan Fadhli, bau badan mereka yang kuat itu mengganggu pemanduan Fadhli dan menyebabkan dia sesekali menutup hidungnya dengan baju dan membuka tingkap keretanya.

Salah seorang daripada lelaki tersebut bertanya kepada Fadhli.

“Abang okey?”

“Ya, saya okey,” jawab Fadhli.

Lelaki Bangladesh itu kemudian menceritakan, sudah tiga tempahan mereka dibatalkan oleh pemandu sebaik sahaja melihat mereka.

Sebaik sahaja tiba di destinasi, lelaki tersebut menghulurkan sekeping not RM100 kepada Fadli dan enggan mengambil wang baki. Katanya, belanja anak-anak makan.

Fadhli tersentuh kerana tidak menyangka hati lelaki tersebut cukup mulia. Akui Fadhli, lelaki Bangladesh itu telah mengajarnya sesuatu tentang kehidupan. Mereka juga manusia yang ada hati dan perasaan.

Bagi Fadhli, siapa pun penumpang Grab, ambillah mereka kerana itu merupakan tugas anda.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Iran Negara Ke 10 Miliki Senjata Nuklear!

Iran Negara Ke 10 Miliki Senjata Nuklear!

Iran memberikan amaran bahawa Israel boleh ‘hancur dalam tempoh setengah jam’ jika Amerika Syarikat (AS) menyerang negara itu, selepas mengakui pihaknya melanggar perjanjian nuklear yang ditandatangani pada 2015 apabila menghasilkan uranium melebihi daripada paras yang sepatutnya.

Iran cipta senjata nuklear

Pengumuman itu dilaporkan agensi berita IRNA yang memetik kenyataan Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif ketika ketegangan antara negara ini dengan AS terus memuncak.

Ketika ditanya oleh media adakah Iran sudah melanggar perjanjian tersebut, Mohammad Javad menjawab ‘ya’.

Namun, Mohammad Javad tidak menyatakan berapa jumlah uranium yang digunakan untuk menghasilkan senjata nuklear sudah dihasilkan setakat ini.

Selain itu, agensi perisikan Israel, Mosad menuduh Iran merupakan dalang dalam beberapa siri serangan di Teluk Parsi baru-baru ini.

Ketua Mosad, Yossi Cohen berkata, perkara itu berdasarkan hasil risikan dan maklumat yang diperoleh dari sumber Israel serta Barat.

Katanya, serangan yang dilancarkan terhadap kapal tangki minyak di Teluk Oman dan loji minyak di Arab Saudi serta Baghdad, Iraq sebelum ini mendapat ‘kelulusan daripada kepemimpinan Iran’.

Israel sebelum ini didakwa sengaja mencetuskan propaganda yang ‘melaga-lagakan’ AS dengan Iran berhubung pembangunan program senjata nuklear sebagai langkah untuk menutup ‘cerita’ mengenai penghasilan senjata nuklear oleh rejim Zionis.

Sehingga kini, Israel tidak pernah mendedahkan mengenai angkatan senjata nuklearnya yang dianggarkan mempunyai kekuatan maksimum.

Untuk pengetahuan, Uranium adalah sejenis unsur logam yang radioaktif, berwarna kelabu keperakan dengan

simbol U dan nombor atom 92, digunakan untuk menghasilkan tenaga nuklear yang berbahaya, senjata nuklear dan sebagainya.

Dengan memiliki jumlah Uranium yang mencukupi, ini bermakna negara Iran kini bebas mencipta senjata nuklear tanpa sebarang halangan dari mana-mana pihak.

Dalam pada itu, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) mengesahkan Iran sudah menghasilkan uranium melebihi perjanjian yang dipersetujui sebelum ini.

AS pula menegaskan, strategi untuk ‘meletakkan tekanan maksimum’ terhadap negara ini akan diteruskan.

Terdahulu, Presiden AS, Donald Trump memberi amaran Teheran kini ‘bermain dengan api’ kerana melanggar perjanjian yang ditetapkan.

Sementara itu, CNN melaporkan, Pejabat Pengarah Perisikan Kebangsaan AS menyenaraikan kumpulan Hezbollah sebagai cabaran utama dalam keselamatan global.

Kumpulan itu juga didakwa mampu mengukuhkan kedudukannya ‘untuk menyerang mana-mana kepentingan AS di seluruh dunia’.

Iran didakwa membiayai Hezbollah dengan menyalurkan dana dan senjata untuk kumpulan itu melancarkan serangan.

SENARAI NEGARA MEMILIKI SENJATA NUKLEAR

5 negara yang diketahui atau disyaki memiliki senjata nuklear kadangkala disebut sebagai kelab nuklear.

Diketahui memiliki senjata nuklear (Kelab Nuklear):
  1. Amerika Syarikat
  2. Rusia
  3. United Kingdom
  4. Perancis
  5. China

Diketahui memiliki senjata nuklear (Bukan Kelab Nuklear):
  1. India
  2. Pakistan
  3. Korea Utara
  4. Iran (Bakal memiliki senjata nuklear)

Disyaki memiliki senjata nuklear:
  1. Israel

Berkongsi senjata nuklear (dengan Amerika Syarikat):
  1. Kanada
  2. Belgium
  3. Turki
  4. Itali
  5. Jerman
  6. Belanda

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: utusan