Rabu, Julai 03, 2019

SBDJ Siri 84: Belah Perut Burung


Loading...

Terasa lucu sekali, bila nenek yang sudah tua itu, masih bertanya pada saya, kalau Datuk terpikat pada wanita lain atau bercerita mahu kahwin lain.

Toyol jadi-jadian

"Datuk tu baik, ke mana-mana dia tak pernah lupa dengan nenek, nama nenek selalu dipujinya di depan kawan-kawan," ujar saya pada nenek. Ia tersenyum.

Pipinya yang sudah berkedut kelihatan berpenyokong ke dalam dan bibirnya kelihatan seperti menajam, melindungi giginya yang sudah hampir separuh tercabut dari gusi.

"Kenapa nenek tanya macam tu?"

"Kamu tahu Tamar, orang lelaki kalau badannya sihat, sampai umur seratus tahun pun nafsu dan keinginannya tetap kuat," sanggah nenek.

Saya diam, tidak kuasa melawan cakapnya. Kalau dilawan mungkin boleh melukakan perasaannya.

Malam itu, hampir pukul dua belas baru saya masuk ke bilik tidur dan Datuk tetap dengan kegemarannya membaca Quran dan melakukan sembahyang sunat tengah malam sebelum masuk tidur.

Kali ini, saya dengan Datuk agak lama berada di kampung. Hampir enam bulan tidak ke mana-mana.

Datuk tetap dengan kegemarannya memburu binatang pada sebelah petang. Waktu pagi dihabiskan di kebun getahnya. Menanam anak-anak getah di celah pepohon getah yang sudah tua.

Menurut Datuk, bila anak-anak getah itu membesar dan boleh ditoreh. Pokok-pokok getah yang tua dan tidak mengeluarkan susu akan ditebang. Dalam seminggu cuma dua pagi saja saya menolong Datuk.

Saya ada tugas lain yang diberikan Datuk, saya disuruh mengurus kebun pisang. Menjual buah pisang dan menjual getah dari para penoreh di kebunnya adalah urusan saya. Saya kira taraf dengan seorang kerani.

Walaupun saya tidak dibayar gaji tetap tetapi, pada setiap bulan saya menerima wang antara tiga puluh hingga empat puluh sebulan, bergantung pada hasil penjualan getah dan pisang.

Dengan wang itu, saya boleh ke mana-mana dan berjaya membeli sebuah basikal lumba.

Saya berhasrat mahu menjadi seorang jaguh lumba basikal yang terkenal. Demi hasrat tersebut, pada setiap petang saya kayuh basikal keliling kampung, berlagak sebagai seorang juara.

Kawan-kawan rapat dan karib terus mengagumi dan memuji saya kerana berani kayuh basikal lumba dengan laju. Bila dipuji begitu, saya terasa yang diri saya ini memang benar-benar seorang juara.

Anehnya, kehebatan dan kebolehan saya setakat keliling kampung saja. Tidak berani masuk gelanggang. Mimpi untuk jadi juara tetap datang dalam tidur saya.

Datuk kurang senang melihat saya keliling kampung dengan basikal lumba, dia bimbang kalau perbuatan saya itu boleh menimbulkan fitnah atau mendorong saya mengusik anak dara kampung.

Bagi menghindar kejadian yang tidak diingini terjadi, Datuk mengesyorkan supaya saya mengikuti ilmu persilatan dengan seorang jaguh silat yang tinggal kira-kira sepuluh batu dari kampung kami.

Apa yang Datuk utarakan itu segera saya patuhi.

"Aku mahu kamu pergi ke tempat kamu belajar silat dengan basikal," kata Datuk dengan senyum. Terasa agak berat mahu kayuh basikal lumba ke tempat silat.

Belajar silat kira-kira pukul sembilan malam dan tamat kira-kira pukul sebelas atau dua belas kemudian, kayuh basikal sepuluh batu pulang ke rumah.

Bagaimana kalau sedang saya asyik kayuh basikal dalam gelap, tiba-tiba harimau muncul di tengah jalan.

Apa yang mesti saya lakukan? Menentangnya atau lari saja. Macam-macam yang saya fikirkan bila Datuk menyuruh saya kayuh basikal ke tempat belajar silat.

"Sulit tuk," saya membantah.

"Apa yang sulitnya Tamar," Datuk beliakkan biji mata.

"Jumpa gajah atau harimau tengah malam, hancur tulang-tulang saya dipatah-patahkannya."

"Kerana itu aku suruh kamu belajar silat, biar berani dan boleh mempertahankan diri bila diserang binatang atau manusia."

"Cara Datuk mengajar saya supaya jadi berani ganjil sekali," nada suara saya agak keras.

Datuk terus menggosok pangkal hidungnya berkali-kali sambil merenung basikal lumba yang saya sandarkan ke perdu pokok kelapa.

"Bagaimana kalau kau setuju aku belikan motosikal untuk kamu, asalkan kamu mahu belajar jadi manusia berani," satu peluang yang terbaik dari Datuk, tidak wajar dilepaskan begitu saja.

"Saya setuju tuk."

"Ada syaratnya Tamar."

"Syarat? Apa syaratnya tuk," saya terkejut.

"Mudah saja. Kau belajar dulu enam bulan, lepas itu baru aku belikan motosikal, itu pun bila kamu dah lulus ujian memandu." tersenyum simpul Datuk memandang ke arah saya.

Mudah sungguh ia mengeluarkan syarat tetapi, bebannya terasa amat berat sekali untuk saya laksanakan.

Setelah difikirkan dengan teliti dan masak-masak, saya terima dengan syarat yang diajukan pada saya. Senyum Datuk bertambah lebar.

Petang itu juga, Datuk membawa saya menemui guru silat. Melihat bentuk tubuhnya yang tegap, misai melintang dan penuh janggut serta jambang menghiasi wajah membuat saya gementar.

Saya membayangkan kalau pembukanya yang datang gagal saya tepis, pasti saya jatuh terlentang ke bumi.

Kalau hinggap dirusuk, sudah pasti tulang rusuk patah tetapi, kerana mahukan motosikal. Semua rintangan sanggup saya hadapi.

Tanpa diduga sedang asyik berborak di halaman rumah pendekar, secara mengejut pendekar melepaskan satu penumbuk kencang ke arah saya.

Kerana pernah belajar beberapa langkah silat tumbukan itu berhasil saya tepiskan.

"Dah tahu rupanya," puji pendekar sambil memintal misai lebatnya.

Telapak tangannya yang lebar itu terus menepuk bahu saya berkali-kali. Datuk tersenyum.

Datuk mana yang tidak merasa bangga bila cucu kesayangan dipuji di depan mata. Saya bersyukur pada Allah SWT kerana menghadiahkan kegembiraan padanya.

Setelah berbincang lebih kurang setengah jam. Kami pun meninggalkan rumah pendekar tersebut.

Dua hari kemudian, saya pun memulakan latihan. Saya berharap kali ini, Datuk tidak akan pergi ke mana-mana.

Biarlah Datuk duduk terus di kampung meneruskan kebiasaan yang diminatinya. Saya sudah bosan mahu mengikuti Datuk ke mana-mana.

Apa yang saya bimbangkan selama ini benar-benar terjadi. Ketika saya pulang dari belajar silat, saya terserempak dengan seekor harimau yang baring melintang di jalan raya.

Saya terus melakukan brek kecemasan. Saya tercampak atas tanah. Harimau yang terkejut terus bangun, membuka mulutnya lebar-lebar sambil menjilat tubuhnya dengan tenang.

Saya cuba bangun tetapi, saya rasakan sepasang tempurung lutut saya jadi lemah. Saya jadi lembik dan jatuh lagi.

Saya serahkan hidup atau mati saya pada keadaan. Entah macam mana, saya jadi berani dengan tiba-tiba.

Saya berhasil bangun dan mengangkat basikal lumba yang tersadai atas rumput. Harimau liar itu bergerak di depan saya.

Saya ikuti pergerakannya dengan teliti. Saya tentang matanya yang bersinar dalam gelap. Bila harimau bergerak ke arah saya. Saya undur perlahan-lahan basikal lumba saya jadikan benteng pertahanan.

Bila harimau itu menerkam ke arah saya terlebih dahulu terkena basikal lumba sebelum melakukan serangan ke atas saya.

Saya bersyukur bila harimau itu tidak menerkam ke arah saya. Harimau itu cuma mengaum panjang sebanyak dua kali. Kemudian masuk ke hutan di sebelah kanan.

Saya terus lompat atas basikal lumba dan mengayuhnya dengan laju tanpa menoleh ke belakang.

Apa yang saya alami tidak saya ceritakan pada Datuk. Biarlah peristiwa itu menjadi kenangan diri yang paling berharga buat saya.

DATANG

Suatu hari guru silat datang menemui Datuk. Saya jadi cemas kalau guru silat tersebut membawa berita yang kurang menyenangkan tentang diri saya pada Datuk. Saya terus mengintip perbualan mereka dari bawah rumah.

"Saya nak mengajak awak ke Permatang Pauh," terdengar suara guru silat.

"Ada apa di sana?" soal Datuk.

"Adik ipar saya sakit, isterinya, adik saya menulis surat minta saya balik tengok keadaan suaminya yang teruk."

"Kalau kamu mengajak aku ke sana untuk mengubatnya, aku minta maaf, aku tak pandai."

"Tidak terniat dalam hati, saya cuma nak ajak awak berjalan saja, adik ipar saya tu, sekarang ni diubat dan dijaga oleh bomoh, manalah tahu kalau awak nak berkenalan dengannya."

Mereka berhenti bercakap sebentar. Sama-sama menikmati, air kopi dan kuih yang dihidangkan.

Saya masih tidak mahu bergerak dari bawah rumah. Saya mahu mengikuti dan mendengar keputusan yang bakal diambil oleh Datuk. Saya yang berada di bawah rumah terus berdebar.

"Apa sakit adik ipar kamu tu?" Datuk minta penjelasan.

"Pada mulanya, dia demam, tidak berapa lama lepas itu, perutnya terus buncit macam orang mengandung, sudah puas dibawa berubat ke mana-mana tapi tak mahu hilang."

"Tak bawa ke hospital," soal Datuk lagi.

"Sudah, doktor sendiri tidak tahu apa jenis penyakit yang ditanggungnya."

"Berubat dengan bomoh tu, macam mana?"

"Menurut isterinya ada kurang sikit, bomoh tu memang handal, namanya terkenal di tempat saya hingga ke Selatan Siam."

"Kalau begitu aku ingin nak belajar darinya. Bila kamu nak balik ke Permatang Pauh."

"Dua hari lagi."

"Kalau aku dengan cucu aku pergi, tak menyusahkan diri kamu," tambah Datuk.

Saya yang berada di bawah rumah tergamam sejenak. Saya mengambil keputusan keluar dari bawah rumah. Naik ke atas rumah lalu berdiri di muka pintu.

Guru silat angkat tangan pada saya bersama segaris senyum yang memanjang. Saya juga angkat tangan.

"Tak jadi hal, rumah peninggalan orang tua saya besar, sekarang ni kosong, awak boleh duduk di situ.

"Setakat makan minum awak berdua selama dua tiga hari, kaum kerabat saya boleh tanggung," balas guru silat penuh semangat.

Datuk termenung. saya terus duduk di sisinya. Guru silat garu pangkal keningnya dua tiga kali.

"Biar kami bawa beras, ikan dan apa yang patut," dengan wajah selamba Datuk menuturkan kata-kata.

Guru silat gelengkan kepalanya dua tiga kali sambil tidak berkata.

"Untuk menyenangkan awak," balas Datuk.

"Susah dengan awak ni, selalu memikirkan tentang diri orang lain, tidak mahu menyusahkan orang lain dalam hidup awak," guru silat bersuara diakhiri dengan ketawa memanjang. Datuk hanya tersenyum saja.

Guru silat minta diri untuk pulang. Datuk dan saya menghantarnya hingga ke kaki tangga.

Terasa di hati ingin melarang Datuk supaya jangan pergi ke Permatang Pauh tetapi, apa yang ada dalam hati saya, tidak terdaya mahu saya luahkan. Takut kena marah.

BERANGKAT

Masa yang di janji pun tiba. Kami bertiga pun berangkat ke Permatang Pauh dengan menaiki bas. Sebelum sampai ke tempat yang dituju kami terpaksa singgah di beberapa buah bandar, bertukar bas.

Kami sampai di Permatang Pauh, kira-kira pukul dua petang. Kampung asal guru silat memang menarik. Dikelilingi sawah yang sayup mata memandang.

Saya terpesona melihat matahari petang yang memancarkan cahaya kekuningan ke atas bebuah padi yang sedang menguning emas.

Kali ini, saya merasa beruntung dan bertuah. Datuk tidak mengongkong kebebasan diri saya. Satu perubahan yang amat mengejutkan dari Datuk. Saya boleh pergi ke mana-mana dalam kawasan kampung guru silat.

Dua hari berada di tempat tersebut, saya sudah berkenalan dengan beberapa orang pemuda yang sebaya dengan saya di kampung itu.

Saya berkawan dengan Zubir, Usman dan Abdul Fatah. Mereka membawa saya melawat ke Bukit Bendera, Batu Feringhi dan beberapa tempat yang menarik.

Kadang-kadang mereka mengajak saya mandi laut di kawasan yang sekarang sudah didirikan hotel Rasa Sayang.

Sebelum itu, di sekitar kawasan tersebut terdapat perkampungan dan rumah orang Melayu. Secara kebetulan pula ayah saudara Zubir tinggal di tempat tersebut, menjadi nelayan pantai.

Semua yang saya alami itu, merupakan satu pengalaman baru dan membuat saya ingin tinggal lebih lama di tempat tersebut.

Abdul Fatah mencadangkan supaya saya bekerja di Pelabuhan Pulau Pinang seperti dirinya.

Cadangan itu saya tolak, tetapi Zubir berjanji untuk mencarikan saya pekerjaan di Kebun Bunga yang selalu menjadi tumpuan para pelancong kerana bunga dan monyetnya yang jinak.

Cadangan Zubir memang menarik hati saya. Harapan untuk memperoleh kerja tersebut amat cerah kerana abangnya menjadi pegawai dan diberi kuasa memilih orang untuk bekerja di tempat tersebut.

Jawapan saya pada cadangan itu, "Nanti aku fikirkan, kemudian aku beritahu kamu keputusannya."

"Bila aku boleh dapat tahu?"

"Biar aku balik dulu ke kampung, kemudian aku tulis surat pada kamu."

"Kalau begitu aku daftarkan nama kamu dulu."

"Ya, kalau baik apa yang kamu fikirkan patut," balasku.

Jawapan itu memberikan kegembiraan pada tiga sahabat baru. Awal-awal lagi mereka sudah bermuafakat untuk menyewa rumah di sebuah kampung Melayu yang letaknya tidak jauh dari Persiaran Gurney.

Kalau tidak silap saya, kampung itu disebut Kelawai. Kata mereka saya amat sesuai untuk tinggal di sebuah rumah sewa bersama mereka.

Kebebasan yang diberikan oleh Datuk itu, membuat saya tidak berminat untuk mengikuti Datuk pergi ke rumah adik ipar guru silat yang terlantar sakit. Hal itu kurang menyenangkan hati Datuk.

"Tamar, petang ni usah ke mana-mana ikut aku," ujar Datuk dengan tenang di tengah rumah peninggalan orang tua guru silat. Saya berhenti dari menyikat rambut dan terus termenung.

Saya dapat membayangkan kehampaan kawan-kawan, bila saya tidak dapat menyertai mereka perti ke Padang Kota seperti yang dijanjikan.

Saya terlepas peluang untuk berdiri di tepi feri sambil menikmati deru ombak dan melihat matahari hampir terbenam di permukaan laut seperti yang selalu kami lakukan ketika menyeberangi selat kecil yang memisahkan bumi Pulau Pinang dengan Tanah Besar.

"Saya dan janji dengan kawan tuk."

"Tuk nak ajak saya tengok orang sakit tu."

"Ya."

"Kalau begitu, biar saya beritahu kawan-kawan yang saya tak dapat pergi ke sana, nanti dia orang tertunggu-tunggu saya."

"Pergi cepat."

Saya terus menemui kawan-kawan. Ternyata mereka agak terkejut dengan berita yang saya sampaikan.

Akhirnya, mereka dapat menerimanya setelah saya terangkan keadaan yang sebenar.

Saya terharu bila mereka membatalkan hasrat yang sudah dirancang tanpa penyertaan saya. Kagum saya dengan semangat setia kawan yang diberikan itu.

LIHAT

Hasrat Datuk saya tunaikan. Ia gembira dan malam itu lebih kurang pukul sepuluh saya sudah pun berada di rumah adik ipar guru silat.

Terharu saya melihat seorang lelaki terlentang di lantai dengan perut yang membukit.

Di depan lelaki itu digantung tali belati yang diikat pada alang rumah. Bila lelaki itu mahu duduk ia terpaksa menggunakan tali belati itu sebagai tempat berpaut.

Satu pemandangan dan keadaan yang amat mengharukan perasaan saya. Bila lelaki itu sudah duduk, isterinya segera meletakkan tiga bantal di belakangnya untuk dijadikan tempat bersandar. Tanpa bantuan bantal dan tali tersebut, lelaki itu tidak mampu duduk.

Menurut isteri lelaki itu, suaminya jarang makan dan minum tetapi, perutnya tetap membesar.

Bercakap tidak boleh banyak, kalau bercakap suaminya akan mengalami sesak nafas dan penat ada kalanya terus pengsan.

"Sudah enam bulan lebih," kata bomoh yang merawat adik ipar guru silat pada Datuk.

Saya lihat Datuk anggukkan kepala kemudian terus bertanya.

"Bagaimana, ada harapan nak sembuh."

"Entahlah, saya cuma berusaha kalau diizinkan Allah sembuhlah dia," bomoh itu merendah diri.

"Dah lama awak berikhtiar?" tanya Datuk lagi.

"Baru lagi, perkara ini diberitahu pada saya dah lambat, kalau cepat, barangkali saya dapat berusaha lebih baik lagi." dengan tenang bomoh yang berusia lebih tua dari Datuk memberi penerangan.

Datuk termenung panjang. Kemudian merenung ke arah adik ipar guru silat yang terlentang. Datuk menarik nafas panjang.

Guru silat yang berada di sisinya terus membisu. Isteri suami malang menatap sayu ke arah suaminya.

"Minta maaf, masuk malam ni dah tiga malam saya ikut awak mengubat, orang sakit ni, macam mana kalau saya turut menolong awak," Datuk cuba memberikan khidmatnya. Bomoh yang duduk di sebelahnya terus tunduk.

Saya kira, permintaan Datuk tidak akan diperkenankan. Mana ada bomoh yang suka kerjanya diganggu atau mahu bekerjasama dengan orang lain.

"Boleh," satu jawapan yang amat mengejutkan dari si Bomoh.

Muka Datuk nampak berubah. Begitu juga dengan muka guru silat. Datuk segera bangun dan mendekati si sakit.

Datuk pegang tangan pesakit merasai denyut nadinya. Datuk kembali duduk di sisi bomoh. Buat beberapa minit, tidak ada percakapan yang terjadi di antara kami.

"Awak setuju tak, kalau saya katakan sakit orang ni memang teruk," Datuk renung muka bomoh.

Tiada jawapan yang Datuk terima dari bomoh tersebut. Cara mendadak saja bomoh bangun lalu duduk bersandar di dinding sambil melunjurkan sepasang kakinya. Songkok hitam diletakkan atas lantai.

"Tentulah teruk, kalau dah sampai hospital sendiri tak tahu nak buat apa," tiba-tiba saja bomoh tersebut bersuara.

Songkok atas lantai diambilnya lalu diletakkan atas kepalanya kembali. Datuk segera menghampirinya. Saya perhatikan Datuk memperlihatkan sikap mahu bersahabat dengannya.

"Apa pandangan tuk bomoh, saya memang jahil dalam hal macam ini," kata Datuk merendah diri.

Bomoh itu senyum. Dua tiga kali ia meraba bahagian tepi songkoknya.

"Awak memang sikit pun tak tahu?"

Bomoh itu bertanya lagi. Datuk anggukkan kepala.

"Hum, saya sangka awak tadi ada isi, berlagak macam orang pandai rupanya kosong," tambahnya lagi bersama senyum yang lebar. Datuk hanya diam sahaja.

"Kalau dah tak tahu apa-apa, jangan banyak cerita tengok saja apa yang aku buat," nada suara bomoh itu mula meninggi.

Ia terus memicit-micit pangkal pahanya. Guru silat yang duduk dekat Datuk tetap anggukkan kepala.

"Awak tahu, orang ni kena buatan manusia, dia disihir," tiba-tiba sahaja bomoh itu berdiri, sambil mengepal-ngepal penumbuk. Ia berjalan ke kiri dan ke kanan dalam rumah.

"Kamu semua tahu puncanya?" tanya bomoh dengan suara keras biji matanya separuh terbuka. Kerana tidak ada sesiapa yang menjawab pertanyaannya, muka bomoh jadi merah.

Ia terus menjerit, "Kamu tahu puncanya?"

"Tak tahu," pekik Datuk.

Pekikan Datuk itu mengejutkan bomoh itu sendiri. Ia jadi tersentap. Tidak jegilkan biji mata. Tidak tunjuk wajah yang marah. Wajah dan gerakan tubuhnya serta-merta bertukar menjadi lembut dan sopan.

"Puncanya bukan apa-apa," bomoh tua memperkemaskan silanya.

Guru silat dan Datuk tumpukan perhatian ke arahnya.

"Puncanya, yang si sakit ni tak mahu dengar cakap dan nasihat orang. Itu saja sebabnya," sambung bomoh tua.

Biji matanya bulat menatap wajah Datuk.

Saya lihat guru silat renung ke arah Datuk.

Beberapa saat kemudian, guru silat terus merapati Datuk. Mereka berbisik. Entah apa yang mereka bisikkan saya sendiri pun tidak tahu.

Bomoh tua lunjurkan kaki kiri sambil menggaru pangkal telinganya berkali-kali.

"Kalau kamu tau sikit-sikit cara nak mengubatnya beritahu aku jangan sembunyi-sembunyi," kata-kata itu ditujukan untuk Datuk oleh bomoh tua.

Datuk seperti orang terkejut. Guru silat singgung pangkal paha Datuk dengan kepala lutut.

"Saya tak tahu, saya cuma nak tengok saja, kalau boleh saya nak tumpang belajar," balas Datuk dengan tenang. Bomoh tua tersenyum.

"Kalau begitu, kamu jadi pembantu aku, setuju?"

"Setuju," jawab Datuk tegas.

"Bagus, ke mari dekat aku."

Datuk bangun lalu mendekati bomoh tua. Bomoh tua bangun lalu memegang tangan Datuk erat-erat.

Datuk ditarik mendekati orang yang sakit. Mereka duduk bersimpuh menghadapi orang sakit.

SILAT

Tiba-tiba bomoh tua itu membuka silat. Menendang ke kiri dan ke kanan. Tendangan itu semuanya mengarah ke arah Datuk.

Cepat-cepat Datuk mengelak dan menepis dengan tangkasnya. Bomoh tua berhenti bersilat. Ia ketawa. Saya terasa macam ada sesuatu yang ganjil tentang cara bomoh tua itu mengubati orang.

"Maafkan aku, aku cuma menguji diri kamu," kata bomoh tua dengan wajah yang tenang.

Tetapi, Datuk tetap berwajah serius. Seolah-olah tidak dapat menerima dengan apa yang dilakukan oleh bomoh tua tersebut padanya.

"Bukan masanya untuk menguji, kita mengubat orang sakit," Datuk membantah.

Bomoh tua menarik wajah masam. Kurang senang dengan teguran Datuk itu. Guru silat di sebelah saya juga nampak resah.

"Habis sekarang masa untuk apa?" ia menyoal Datuk dengan nada suara yang keras. Datuk tetap bersikap tenang.

"Masa untuk mengubat orang," balas Datuk.

"Kamu bercakap perkara yang betul, tapi kamu harus tahu ini cara aku. Aku nak panggil roh Datuk nenek membantu," jawab bomoh tua.

"Cara yang salah, bertentangan dengan agama," tiba-tiba saja guru silat bersuara. Datuk nampak resah.

"Ini urusan aku, kau jangan campur," bomoh tua jadi marah.

Ia suruh Datuk bangun dan beredar ke tempat lain. Datuk patuh pada permintaannya.

Bomoh terus duduk bersila. Menabur kemenyan dalam tempat perasap. Kedua belah tangannya diletakkan atas kedua kepala lututnya.

Bomoh tua goyangkan badan ke kiri dan ke kanan. Tiba-tiba ia jatuh terlentang atas lantai, macam nangka masak gugur dari pokok. Ia bangun perlahan-lahan.

Ketika itu semua tingkap di rumah adik ipar guru silat terbuka sendiri. Langsir bergerak-gerak kencang ditolak angin.

Saya mula cemas..

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 84/284

BACA: SBDJ Siri 83: Bunuh Jembalang
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon