Friday, July 05, 2019

SBDJ Siri 85: Katak Ganjil


“Biarkan mereka datang,” kata bomoh dalam keadaan tidak sedar. Saya merenung menerusi tingkap dan pintu yang terbuka sendiri. “Beri jalan,” suara bomoh lembut. Saya terasa papan rumah seperti dipijak orang. Angin malam kian kuat terus masuk ke rumah. Beberapa helai daun mempelam melayang ke rumah.

Toyol jadi-jadian

Datuk tidak melakukan sesuatu. Ia melihat apa yang terjadi dengan perasaan tenang tetapi penuh persediaan kewaspadaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang tidak baik.

Guru silat bangun lalu berdiri tidak jauh dari arah rusuk kanan bomoh tua. Saya pula mengisut perlahan-lahan menuju ke tepi dinding.

Berusaha mahu menjarakkan diri dengan Datuk, guru silat dan bomoh tua, andainya bomoh tua kemasukan roh datuk nenek dan tidak sedarkan diri, mengamuk atau membaling tempat bara api, saya boleh mengelakkan diri dengan terjun menerusi pintu yang terbuka.

Bomoh tua yang bercakap seorang diri itu, memperlahankan suaranya, sesekali ia menumbuk lantai, suaranya seperti orang yang kena cekik. Lagi sekali bomoh tua itu rebah atas lantai.

Suasana dalam rumah menjadi sunyi. Bomoh tua terus bangun. Gosok kelopak matanya berkali-kali, macam orang baru bangun tidur. Renung kiri, kanan dengan sinar mata yang garang.

“Eh, kamu kenapa datang dekat aku, tengok sekarang datuk nenek aku dah lari, kamu tolak dia, sekarang dia dah merajuk,” bomoh terus marah-marah dengan guru silat.

Saya tergamam, tidak ada sesiapa pun yang berdiri dekatnya, sebelum guru silat menghampirinya.

“Saya tak nampak apa-apa,” mulut celopar saya bertanya.

“Kamu tahu, biji mata kamu semuanya tak nampak dia, kecuali aku. Batin aku dengan batin roh Datuk nenek aku sudah bersatu,” kemarahan bomoh tua meluap-luap.

Tidak terduga oleh saya perkara tersebut boleh jadi begitu.

Supaya keadaan tidak menjadi kacau-bilau, Datuk segera minta maaf. Nasib baik bomoh tua mahu memaafkannya.

Saya segera terfikir kenapa banyak sangat upacara yang mesti dijalankan untuk mengubati orang yang sedang sakit.

Apakah bomoh tua itu tidak terfikir cara yang dilakukannya itu menambahkan beban orang yang memang sudah sakit itu. Saya jadi bosan dengan keadaan yang sedang saya hadapi.

Saya juga terfikir, perkara itu sahaja dilakukan untuk melambat-lambatkan tugasnya. Bila sudah larut malam baru kerja itu dijalankan dengan sempurna. Ini satu taktik, kata hati saya.

Bomoh itu, menjalankan upacaranya kembali. Kali ini isteri si sakit duduk di depannya.

“Akulah panglima raja Melayu,” suara bomoh berubah, parau dan garang. Isteri si sakit tunduk.

“Siapa nama panglima?” Soal isteri si sakit.

“Datuk Maharajalela, panglima Perak yang datang untuk menyempurnakan hajat anak cucu.”

“Terima kasih kerana panglima sudi datang ke rumah kami.”

“Hum... aku faham, aku dahaga dan lapar.”

“Tunggu, panglima.”

Isteri si sakit pun meletakkan setalam hidangan di depan bomoh tua yang menjelma menjadi Datuk Maharajalela.

Saya segera rapat pada Datuk yang duduk tidak jauh dari bomoh yang sudah berada di zaman lampau itu.

Saya lihat dalam talam itu ada dua butir telur ayam, sebutir sudah direbus dan sebutir tidak. Ada dua cawan, satu berisi kopi, satu berisi air biasa. Ada dua kepal pulut, satu berwarna kuning dan satu berwarna putih.

Asap kemenyan terus menguasai ruang rumah. Dalam berbisik guru silat memberitahu saya, barang-barang ini memang menjadi syarat setiap kali bomoh tua itu menjalankan tugasnya dan barang-barang itu sentiasa berubah, mengikut malam bomoh tua itu datang.

Isteri si sakit tahu, kalau bomoh tua datang malam Selasa, persediaannya cuma dua biji pisang. Satu masak dan satu tidak. Malam Jumaat, persediaannya seperti yang saya lihat sekarang.

Biasanya, setelah selesai menjalankan upacara tersebut, bomoh tua akan memberitahu pada orang yang diubatinya siapa pula yang akan mendampinginya pada malam berikut dan apa kegemaran orang yang mendampinginya itu mesti disediakan.

Semua makanan yang dihidangkan itu dimakan oleh bomoh tua yang sudah diresapi roh panglima itu. Semuanya dimakan separuh saja.

Tekak saja menjadi loya bila melihat bomoh tua itu makan. Air liurnya meleleh, macam orang kena sawan babi. Sesiapa pun tidak sudi makan sisa makanan yang ditinggalkannya itu.

Membazir dan jadi habuan ayam. Itu pun kalau ayam tersebut sudi. Fikir saya. Datuk terus termenung sambil mengerutkan dahinya. Bomoh tua itu selesai makan.

“Apa hajat cucu,” bomoh tua bersuara.

“Suami saya sakit, sudah ramai panglima yang datang tapi sakitnya tak kurang juga, sekarang saya minta tolong pada Pahlawan Perak.”

“Hummmmmmm,” bomoh tua itu tunduk.

“Sakit suami kau kena buatan orang, dua tiga hari lagi sembuhlah dia, beri aku kemenyan dan daun kunyit.”

Isteri si sakit serahkan barang yang dikehendaki. Bomoh tua membelek-belek barang tersebut dan diserahkan pada isteri si sakit.

“Kemenyan tu usap ke muka tujuh senja, daun kunyit potong kecil dan diberikan ia makan pada setiap pagi. Faham cakap aku.”

“Faham.”

“Ada apa-apa lagi yang nak minta.”

“Tak ada apa-apa, kalau tak kurang saya panggil panglima lagi.”

“Boleh, lain kali aku nak datang dengan Tok Janggut dari Kelantan, sediakan makanannya, ayam percik sama nasi dagang. Aku nak balik.”

Bomoh tua itu jatuh ke lantai kembali, kemudian bangun dan tersenyum, seolah-olah tidak ada sesuatu yang dilakukan. Ia bersalam dengan kami.

Bomoh tua itu bertanya pada isteri si sakit apa yang terjadi. Isteri si sakit pun menceritakan apa yang terjadi. Bomoh tua pun anggukkan kepala. Senyumnya bertambah lebar merenung ke arah kami.

“Kamu dah banyak kali tengok aku mengubat orang, tapi aku rasa pelik kenapa malam ini baru kamu nak tolong aku?” Bomoh tua ajukan pertanyaan pada Datuk.

“Saya nak belajar,” jawab Datuk.

“Hisss kamu, dah tua-tua nak belajar, hati dah tumpul otak tak boleh terima pelajaran lagi. Aku belajar sejak kecil tahu.”

“Saya faham,” kata Datuk menahan rasa malu yang amat sangat.

Bomoh tua tersenyum. Pintu dan tingkap yang terbuka tertutup rapat kembali. Saya tidak sedar, waktu bila tingkap dan pintu rapat.

“Boleh saya sentuh tubuh si sakit,” Datuk minta izin dari bomoh tua. Ia anggukkan kepala.

Senyumnya tidak juga berakhir di kelopak bibir. Saya tahu, senyum itu tidak jujur. Senyum menyindir.

Datuk rapat pada si sakit. Pergelangan tangan si sakit di rabanya berkali-kali. Datuk minta segelas air sejuk pada isteri si sakit.

Segelas air sejuk berada dalam tangan Datuk. Mulut Datuk bergerak lancar. Datuk serahkan gelas berisi air itu pada si sakit. Datuk suruh si sakit minum air tersebut.

Baru sekali teguk saja, si sakit itu terus tersedak, air di mulut bersemburan dan terkena muka bomoh tua.

“Ini semua kerja syaitan, si sakit disihir orang,” Datuk renung muka bomoh tua.

Saya lihat bomoh tua tersengih sambil mengesat kesan air di mukanya.

“Tidak ada harapan nak baik,” ujar bomoh tua.

“Jangan cakap macam tu, kalau Allah izinkan semuanya elok, kalau janjinya sudah sampai kita tak boleh buat apa-apa,” suara Datuk merendah. Bomoh tua gelengkan kepala.

“Kalau kamu dah pandai sangat, kamu ubat sendiri. Aku tak mahu campur,” bomoh tua meledakkan kemarahannya.

“Jangan begitu sama-sama kita berusaha menolong orang yang sakit,” Datuk memujuk.

Tetapi, pujukan itu tidak berjaya melembutkan hatinya.

“Minta maaf, kalau saya katakan yang kita boleh berusaha, marilah sama kita menolongnya,” rayu Datuk.

“Tidak, kamu uruskan aku nak tengok sejauh mana kamu sanggup”, bomoh tua itu seolah-olah mencabar Datuk.

Saya lihat Datuk termenung panjang. Macam ada sesuatu yang difikirkannya.

“Minta maaf, menurut petua datuk nenek saya, orang yang sakit ini disihir dengan menggunakan anak kucing hitam. Kemudian akan disusuli dengan menggunakan burung but-but. Orang yang mengambil upah membuat kerja ini bukan sebarang orang.”

Datuk mengeluarkan apa yang ia tahu, mengikut petua denyut nadi dan gerak darah dalam urat saraf. Bomoh tua menjuihkan bibirnya ke depan.

Datuk tidak terhenti setakat itu saja. Ia terus melanjutkan kata-katanya:

“Kerja pertama dah berjalan, hasilnya perut si sakit bengkak, dalam dua tiga minggu lagi kerja kedua akan dijalankan, kalau kita tak sekat kerja kedua ini, hanya Allah yang dapat menentukan hidup mati si sakit,” ujar Datuk.

Suaranya kali ini bertambah keras penuh dengan keyakinan. Bomoh tua kerutkan dahi.

“Macam mana caranya, orang tu buat kerja,” tiba-tiba saja bomoh tua soal Datuk. Mahu menguji sejauh mana kebolehan dan kemampuan Datuk.

“Perut anak kucing hitam itu dibelah, isi perut anak kucing itu dibalutkan dengan kain putih dan dimasukkan ke dalam perutnya semula lalu ditanam sekitar kawasan rumah. Bila terlangkah pada orang yang ditujukan, sebulan kemudian perut orang itu buncit, bila kain dalam perut anak kucing reput, orang yang kena tuju tu, tamat riwayat,” jelas Datuk.

Guru silat menggaru pangkal dagunya berkali-kali. Wajahnya nampak resah. Ekor mata saya masih tertumpu ke arah bomoh tua yang menjentik-jentik lantai dengan jarinya.

Isteri si sakit termenung sedangkan si sakit yang terbaring mengerdipkan kelopak matanya berkali-kali.

“Bagaimana dengan adik ipar saya?” mendadak saja guru silat bertanya.

Bomoh tua berdehem panjang, bagaikan memberitahu yang pertanyaan itu harus ditujukan pada dirinya, bukan pada Datuk. Perbuatan guru silat itu menjatuhkan martabat dirinya.

“Adik ipar awak baru dikenakan peringkat awal, saya yakin kain pembalut perut anak kucing hitam tu belum hancur lagi, kita masih boleh berusaha.”

“Kalau sudah sampai peringkat kedua bagaimana?” desak guru silat.

Datuk lagakan gigi atas dengan gigi bawah berkali-kali.

“Peringkat kedua, perut burung but-but dibelah, semua isi perutnya dikeluarkan, dimasukkan kembali bersama tanah biasa lalu dijahit, ini cukup merbahaya, bila perut burung but-but hancur, perut adik ipar awak juga pecah.”

“Dahsyat, bagaimana kita nak mengatasinya,” cemas sekali guru silat bersuara.

“Kita mohon pertolongan pada Allah,” jawab Datuk menenangkan perasaan guru silat.

Lagi, sekali saya merenung ke bomoh tua yang sikapnya agak berubah dari tadi. Tidak memperlihatkan sikap marah-marah dan sombong.

“Bagaimana kalau semua kerja ni awak ambil,” terdengar suara bomoh tua.

Datuk segera mendekatinya. Perlahan-lahan Datuk genggam tangannya erat-erat.

“Marilah kita bekerjasama untuk menolong orang yang sakit,” kata Datuk.

Bomoh tua geleng kanan kepala seraya berkata:

“Awak uruskan cara awak, saya cara saya, kita tengok siapa handal.”

“Bukan itu niat saya.”

“Sudahlahhhh...” bomoh tua terus bangun. Meninggalkan rumah adik ipar guru silat. Hilang dalam kepekatan malam yang garang.

Saya terus mengerutkan dahi melihat sikap bomoh tua yang di luar dugaan. Guru silat merenung wajah Datuk dan Datuk membalas senyuman tersebut dengan segaris senyum. Tetapi, rasa cemas dan bimbang tergambar di wajah isteri si sakit.

“Agaknya, dia dah tak mahu nak mengubat aku,” tanya si sakit (adik ipar guru silat) dengan nada kehampaan.

Guru silat menarik nafas panjang.

Datuk meraba dagunya berkali-kali. Isteri si sakit merenung lantai.

Di luar, terdengar sayup-sayup suara pungguk. Desiran angin yang melanggar dedaun jelas kedengaran. Sesekali terdengar lolongan anjing yang panjang.

Saya melagakan gigi atas dengan gigi bawah beberapa kali.

“Bersabarlah,” kata Datuk sambil memandang muka guru silat dan si sakit.

Isteri si sakit menarik nafas kelegaan. Sepasang mata hitamnya meraut paras saya.

“Berapa lama saya harus bersabar, tak tahan rasanya saya menderita begini,” tiba-tiba saja si sakit bersuara.

“Bersabarlah, saya cuba berusaha. Saya rasa, saya dapat tahu siapa yang membuatnya, beri saya masa tiga hari dan dengan izin Allah, saya berjaya,” Datuk memberikan pengakuan.

Kata-kata yang Datuk hamburkan itu membuat guru silat tersenyum lagi. Si sakit cuba tersenyum dan isterinya anggukkan kepala. Di wajahnya terpamer seribu harapan pada Datuk.

“Saya cuma berusaha dan yang menentukan semuanya adalah Allah, kita mohon pertolongan pada Allah. Niat kita baik, setiap kerja yang baik diberkati Allah,” Datuk menambah.

“Saya faham, kita cuma berusaha yang menentukan semuanya adalah kuasa Allah,” sahut guru silat. Datuk anggukkan kepala.

Saya terus menggosok mata dua tiga kali. Terasa amat mengantuk sekali. Guru silat terus menguap panjang.

“Bagaimana, kita balik dulu,” guru silat bersuara sambil melunjurkan kaki kanannya.

Kemudian, ia terus memicit pangkal pahanya berkali-kali. Deru angin malam di luar bertambah kuat.

“Terpulang, kalau nak balik pun elok juga,” balas Datuk.

“Kalau begitu, biarlah kami balik dulu,” guru silat memberitahu isteri si sakit.

Isteri si sakit pun anggukkan kepala.

Guru silat segera bangun melangkah tenang menuju ke pintu dengan diikuti oleh Datuk dan saya.

Sebaik saja saya berdiri di halaman rumah terdengar bunyi kucing mengiau panjang. Dengan pertolongan cahaya lampu, saya cuba mencari kucing yang mengiau. Tidak nampak bayang kucing dan hati saya mula berdebar.

“Kenapa tercegat, macam patung,” guru silat menepuk bahu kiri saya dua kali.

Datuk terus merenung ke arah saya. Guru silat melihat langit yang hitam.

“Macam nak hujan, tak ada sebiji bintang pun di langit,” guru silat seperti merungut. Datuk dongak ke langit.

“Langit gelap belum tentu nak hujan,” balas Datuk sambil memulakan langkah pulang.

Baru dua puluh tapak melangkah, guru silat mematikan lampu picitnya. Perbuatannya itu menimbulkan keraguan dalam diri saya. Cepat-cepat saya memegang bahagian tepi baju Datuk.

“Kenapa?” Datuk bersuara.

“Saya macam terdengar benda terbang atas kepala” suara guru silat cemas.

“Angin,” kata saya.

“Bukan angin, macam ada benda lain,” sahut guru silat lalu menyerahkan lampu picit pada Datuk.

BURUNG

Angin malam terus bertiup sesekali kilat memancarkan cahayanya dituruti dengan bunyi guruh.

Datuk menyuluh ke kiri dan ke kanan. Saya terdengar bunyi benda terbang macam burung mengelilingi kepala saya berkali-kali.

“Burung keliling kepala saya tuk."

Datuk pun menyuluh ke arah kepala saya. Datuk terkejut melihat seekor burung berpusing-pusing atas kepala saya sambil mengeluarkan bunyi yang tidak pernah saya dengar.

Guru silat segera mendekati saya dan bersedia untuk menangkap burung yang tidak diketahui jenisnya.

“Aduh burung cakar mata saya" jerit guru silat.

Datuk suluh muka guru silat. Saya terkejut melihat pipi guru silat berdarah. Datuk kesat darah di pipi guru silat dengan sapu tangan.

Burung yang tidak diketahui jenisnya itu terus melakukan serangan pada guru silat tetapi, kali ini guru silat sudah bersedia untuk menepis serangan burung tersebut dengan tangannya.

“Jangan tahan dengan tangan, nanti lengan kamu dicakarnya, cari kayu,” Datuk mengeluarkan arahan.

Guru Silat segera mencapai dahan kayu dan bersedia untuk memukul burung aneh yang mahu menyerangnya.

Buat beberapa saat, suasana menjadi tenang. Burung aneh, tidak melakukan sebarang serangan.

“Jalan, jangan tunggu, burung tu tak datang lagi,” suara Datuk meninggi. Saya dan guru silat segera mematuhinya.

Berjalan malam dalam keadaan cemas memang tidak menyeronokkan, setiap benda yang didengar membuat bulu roma berdiri.

Dua tiga kali langkah saya terhenti akibat diganggu oleh bunyi ranting kering yang patah akibat dirempuh angin.

Dalam keadaan yang tidak begitu selesa, saya terasa pipi kanan ditampar oleh kepak burung dan dituruti dengan cakaran kilat. Saya mula terasa pipi pedih dan berdarah.

“Burung tu, serang saya tuk.”

“Padamkan lampu, agaknya dia tak boleh tengok cahaya,” kata guru silat.

Datuk segera memadamkan lampu picit. Atas arahan Datuk, kami berbuat demikian.

“Kita berjalan semula, agaknya burung tu tak ganggu kita lagi,” suara guru silat tertahan-tahan.

Agaknya, ia sudah tidak sanggup lagi duduk bertinggung. Tidak ada bantahan dari Datuk tetapi, Datuk mengingatkan kami yang ia akan menyalakan lampu picit di tangan bila difikirkan perlu.

Ternyata perjalanan kami lancar sekali.

Sebaik saja sampai di kaki rumah tempat saya dan Datuk menginap, secara mendadak saja seekor burung puyuh hinggap di anak tangga ketiga, sambil mengembang-ngembangkan kepaknya.

Sesekali membuka mulutnya macam minta makan. Guru silat menerpa ke arah burung puyuh tersebut untuk menangkapnya.

“Jangan,” Datuk melarang.

“Kenapa? Bukankah dia nak datang menyerah diri.”

“Belum tentu burung puyuh tu betul-betul burung puyuh barangkali benda lain yang menyerupainya."

“Ahh,” guru silat seperti mengeluh.

Matanya merenung ke arah Datuk dengan seribu tanda tanya. Datuk hanya menjawab dengan sebuah senyuman.

Burung puyuh terus meniti di anak tangga sambil melebarkan kedua belah kepaknya. Sesekali, berbunyi bertalu-talu.

Suara burung puyuh itu ternyata berjaya memikat hati guru silat yang selama ini dikenali sebagai peminat burung puyuh. Matanya, tidak berkedip melihat telatah burung puyuh malam di anak tangga.

“Suaranya bagus, boleh jadi pemikat, gerak jalannya boleh jadi jaguh sabung puyuh,” guru silat seperti meratap kehebatan si puyuh malam yang dilihatnya.

“Aku tahu, aku juga pernah jadi peminat puyuh tapi, puyuh yang kita tengok ini, belum tentu puyuh betul,” Datuk menahan keinginan yang bersarang dalam dada si guru silat.

Si guru silat yang mempunyai berpuluh-puluh anak murid itu kecewa dengan sikap Datuk.

Cepat-cepat Datuk mengeluarkan kain ikat kepala berwarna merah dari dalam saku bajunya. Kain itu dikibaskannya ke arah burung puyuh malam tiga kali berturut-turut. Burung puyuh itu bersuara nyaring dan melawan kibasan kain ikat kepala Datuk.

“Kau lihat sendiri,” kata Datuk setelah burung puyuh itu hilang dengan serta-merta bila Datuk mahu menyerkupnya dengan kain ikat kepala.

Guru silat kedutkan dahi sambil menarik nafas panjang. Matanya merenung ke kiri dan ke kanan terasa sedikit rasa cemas dan bimbang.

“Sudah, mari kita naik,” Datuk terus menarik tangan guru silat.

Saya mengikutnya dari belakang. Bila pintu rumah dibuka, lagi sekali kami dikejutkan dengan kehadiran burung puyuh malam di tengah rumah.

Saya lihat mata burung puyuh itu memandang tepat ke arah saya semacam ada cahaya kemerah-merahan di biji matanya. Saya jadi cemas.

“Jangan diganggu biarkan di situ,” Datuk mengingatkan saya dan guru silat. Serentak saya bersama guru silat anggukkan kepala.

Saya terkejut bila burung puyuh malam itu menerkam ke arah kaki guru silat, tanpa mempedulikan ingatan Datuk, guru silat terus menangkap burung puyuh tersebut.

“Biar kita tangkap dan pelihara, apa yang terjadi kita tanggung sendiri,” guru silat renung muka Datuk.

“Terpulanglah pada kamu tapi, lagi sekali aku ingatkan, berhati-hatilah dengan burung itu.”

“Saya faham.”

Guru silat terus membawa burung puyuh ke ruang dapur. Dimasukkan ke dalam raga buluh dan ditutup dengan papan. Diletakkan atas para dapur.

Datuk hanya menggeleng-gelengkan kepala takjub dengan keberanian guru silat yang sanggup menanggung apa saja kesusahan.

“Kita yakin, burung itu burung puyuh biasa,” bisik guru silat meyakinkan Datuk.

Tanpa mengucapkan sesuatu Datuk tersenyum sambil meraba-raba misainya. Datuk mengambil air sembahyang dan terus membaca Quran. Guru silat duduk bersila di tengah ruang rumah.

KATAK

Di luar hujan mula turun dengan selebat-lebatnya bersama dengan bunyi halilintar dan petir. Saya yang kedinginan terus membungkus tubuh dengan kain pelekat.

Bunyi jam tua yang tergantung di tiang seri rumah jelas kedengaran. Saya renung ke arah jam tua. Sudah pukul dua pagi.

“Ribut di luar,” kata guru silat.

“Ya, saya terdengar bunyi dahan patah,” kata saya.

“Jarang ribut kuat macam ni, saya bim...,” guru silat tidak dapat meneruskan kata-katanya diganggu oleh halilintar yang amat kuat. Telinga saya jadi berdesing.

Saya segera bangun. Datuk dekat guru silat. Gegaran dan halilintar dan petir membuat semua tingkap rumah terbuka.

Tempias air hujan masuk mencurah-curah dalam rumah. Semua tikar basah tetapi, Datuk tetap meneruskan pembacaan ayat-ayat suci dengan khusyuk sekali.

Cahaya kilat terus menyambar ke dalam, membuat saya jadi resah tidak menentu.

“Burung puyuhku,” guru silat segera bangun dan saya bagaikan ditolak sesuatu kuasa mengikutnya ke ruang dapur.

Guru silat membuka penutup raga perlahan-lahan. Saya yang menggigil kesejukan terus menjenguk ke raga.

“Ya, Allah,” guru silat bersuara, mukanya pucat.

“Kenapa?”

“Kau lihat sendiri Tamar.”

“Tak mahu, masa penutup dibuka tadi, saya dah perasan yang burung itu, bertukar menjadi katak.”

“Ajaib,” guru silat mengeluh.

Dan memang diduga sama sekali, di tengah suasana hujan yang menggila bersama petir dan halilintar, katak yang berada dalam raga terus melompat keluar.

Bentuknya agak menakutkan, sepasang biji matanya tersembul, memancarkan cahaya kemerahan bercampur kebiru-biruan.

Di bawah bahagian mulutnya, terdapat warna hijau bercampur putih, kelihatan lembik dan bergerak tanpa berhenti.

Mulutnya luas dan tapak kakinya macam tapak kaki itik serta berkuku panjang dan tajam. Kulit seluruh badannya lembik seolah-olah dagingnya berada di luar.

Dari celah pelipat kakinya keluar air kental, tidak ubah macam air liur.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 85/284

BACA: SBDJ Siri 84: Belah Perut Burung
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon