Saturday, June 29, 2019

SBDJ Siri 82: Harta Karun Di Kaki Changkat

SBDJ Siri 82: Harta Karun Di Kaki Changkat

“Kita berjaga-jaga, mungkin orang betul mungkin tidak,” Datuk mengingatkan. Ia terus bangun. Bersedia menghadapi seribu kemungkinan. Rasa bimbang itu berakhir dengan kemunculan dua anggota polis serta kawan Alang Abdul Rauf yang telah diperintahkan pergi ke balai polis.

Toyol jadi-jadian

Saya ketawa sendirian, masalah yang menghantui diri saya dan orang-orang lain di tanah kubur sudah terjawab.

Kedua anggota polis itu merungut kerana terhidu bau busuk. Setelah Alang Abdul Rauf mengadakan perbincangan dengan anggota polis kedua-dua mayat yang tidak reput itu terus diusung keluar dari kawasan tanah perkuburan.

“Pagi esok saya uruskan untuk ditanam di kawasan baru,” beritahu Alang Abdul Rauf pada ketua balai Polis.

Tidak ada bantahan dari ketua balai tetapi, kedua-dua mayat itu terpaksa disimpan di hospital Batu Gajah sementara menanti hari siang.

Semua yang terlibat dengan kerja-kerja menggali mayat di tanah perkuburan lama terus pulang ke rumah masing-masing.

DATANG

Pagi itu, lebih kurang pukul lapan, kawan-kawan Alang Abdul Rauf yang menggali kubur malam tadi datang.

Alang Abdul Rauf segera menyuruh pergi ke kawasan tanah perkuburan yang baru untuk menggali lubang bagi menanam mayat yang tidak reput yang ditemui malam tadi.

“Semuanya pergi dulu, aku ke balai dulu menyelesaikan semua urusan, tunggu di sana sampai mayat tiba, boleh jadi aku tumpang jeep polis yang bawa mayat ke situ,” terang Alang Abdul Rauf.

Kawan-kawannya mengangguk tanda setuju mematuhi cakapnya.

Sebaik-baik saja kawan-kawan Alang Abdul Rauf pergi saya dan Datuk serta Alang Abdul Rauf pun berangkat ke balai polis. Saya terkejut, bila melihat orang ramai berkumpul d depan balai.

Semuanya mahu melihat mayat tidak reput yang baru saja dikeluarkan dari hospital. Kebanyakannya meninjau dari jauh kerana tidak sanggup menghidu bau busuk.

“Mana lagi satu mayat,” soal Alang Abdul Rauf pada ketua balai yang berdiri tidak jauh dari jeep.

“Yang lagi satu sekejap lagi sampailah, kami pakai dua jeep,” jelas ketua balai.

Alang Abdul Rauf renung muka Datuk. Saya beredar dari situ menuju ke tanah lapang. Hidung saya tidak tahan menghidu bau busuk dari mayat dalam jeep.

“Begini saja, boleh tak Datuk sarjan hantar mayat ni ke masjid, di sana ada orang menanti untuk menguruskannya mayat ini mahu dimandikan dan dikapankan sebelum ditanam,” ujar Alang Abdul Rauf dengan wajah yang tenang.

“Kalau begitu, biar saya suruh drebar hantar mayat ke masjid.”

“Itulah yang baiknya, Datuk sarjan.”

Waktu jeep itu mula bergerak, beberapa orang yang tidak menghiraukan bau busuk rapat ke jeep.

Mereka menyelak kain penutup mayat, sebaik sahaja kain itu terbuka, muka mereka terus pucat tidak berdarah.

Tanpa berkata sepatah pun mereka terus menjauhkan diri dari jeep. Ada di antaranya yang muntah.

Jeep yang membawa mayat tidak reput dan berbau busuk itu meninggalkan kawasan balai menuju ke masjid.

Datuk, Alang Abdul Rauf dan saya tidak ikut serta. Kami menanti mayat yang lagi satu. Orang ramai masih lagi menunggu di kawasan balai polis. Mereka bagaikan tahu ada mayat yang akan tiba.

Sepuluh minit kemudian jeep yang membawa mayat kedua pun tiba. Sebaik saja jeep itu berhenti, orang ramai terus menghampirinya. Semuanya bersuara mengatakan mayat yang baru sampai itu berbau wangi.

Dalam keadaan yang agak kelam-kabut itu ada tangan yang membuka kain penutup mayat.

Mana yang sempat melihat rupa mayat itu terus memberitahu kawan-kawannya yang lain tentang wajah mayat yang bersih, tenang dalam keadaan tersenyum.

Cerita itu cukup cepat merebak. Orang kian ramai datang ke kawasan balai polis. Masing-masing mahu melihat rupa mayat yang tidak reput dan mengeluarkan bau wangi yang harum.

Dalam keadaan yang tidak menentu itu, ketua balai menyuruh Alang Abdul Rauf, Datuk dan saya masuk ke perut jeep. Perintahnya itu segera kami patuhi.

Sebelum jeep bergerak Datuk dan Alang Abdul Rauf bersalaman dengan ketua balai polis yang berbadan tegap, memiliki raut muka yang agak garang, berkulit hitam tetapi, setiap kali bercakap nada suaranya lembut dan bersopan sekali.

Ketika jeep bergerak perlahan-lahan, keluar dari kawasan balai polis, orang ramai terus mengikutinya hingga sampai ke pintu pagar. Mereka bagaikan tidak puas menatap dan mencium bau wangi dari mayat yang tidak reput itu.

Dalam keghairahan orang ramai yang mahu melihat mayat tidak reput, pemandu jeep terus menekan minyak dan jeep terus meluncur laju.

Orang ramai yang berkerumun di tepi pagar dan terus di gayut rasa kecewa dan hampa yang memanjang.

SELESAI

Sebelum masuk waktu Zuhur, urusan mengebumikan dua mayat yang tidak reput itu pun selesai tetapi, kisahnya menjadi buah bibir orang-orang sekitar Batu Gajah.

Dan ceritanya pula berbeza dengan cerita yang sebenar. Sudah ditokok tambah untuk menyedapkan sesiapa saja yang mendengarnya.

Datuk yang sudah tahu cerita sebenarnya hanya tersenyum. Begitu juga dengan Alang Abdul Rauf.

Seronoknya, ada di antara tukang-tukang cerita itu yang tidak tahu peristiwa tersebut telah dilalui oleh Datuk dan Alang Abdul Rauf serta kawan-kawannya.

Mereka pun bercerita di depan Datuk dan Alang Abdul Rauf, kononnya, kedua-dua mayat yang tidak reput itu telah memberitahu pada orang yang menemui mereka (mayat), tentang harta karun yang tertanam di satu tempat yang disebut sebagai Cangkat.

Cangkat yang dimaksudkan oleh mereka itu ialah sebuah kawasan tanah yang kedudukannya agak tinggi dengan keadaan tanah sekitarnya dan telah dibangunkan hospital, pejabat kerajaan, kem tentera serta kawasan perumahan.

Di kawasan kaki Cangkat itulah kononnya ada harta karun yang nilainya berjuta-juta ringgit.

Akibat percayakan cakap-cakap yang tidak bertanggung jawab itu, beberapa orang telah masuk ke kawasan tersebut dan menggali tanah di kawasan kaki bukit itu.

Akibatnya, mereka telah diberkas oleh polis kerana menceroboh tanah kerajaan yang sudah di pagar untuk dibangunkan beberapa projek yang berfaedah untuk orang ramai.

Walaupun ada yang ditangkap dan dikenakan denda tetapi, masih terdapat juga orang yang berani menceroboh dan menggali tanah di kawasan tersebut.

Mereka cukup yakin dan percaya dengan cerita yang sengaja di adakan-adakan oleh pihak yang suka menyebar khabar-khabar angin.

“Satu hari nanti mereka sedar, apa yang mereka dengar bukannya cerita yang betul,” kata Datuk pada Alang Abdul Rauf yang kurang senang dengan cerita-cerita yang sampai ke telinganya.

“Cerita mayat wangi dan busuk ini, dah merebak sampai ke Pulau Pinang, entah siapa yang menyebarnya,” keluh Alang Abdul Rauf.

“Mulut manusia tak ada sesiapa yang boleh menahannya,” sanggah Datuk.

Mereka ketawa sambil melihat matahari petang yang kian condong dari anjung rumah.

“Esok, aku balik Alang,” kata Datuk.

Alang Abdul Rauf sambil berhenti menggulung rokok daun bersama tembakau jawa. Muka Datuk direnungnya.

Hati saya cukup gembira dengan keputusan yang Datuk buat. Saya sudah bosan tinggal di rumah orang lama-lama.

“Tak apalah, kalau dah begitu hajat awak, Maghrib ni kita berjemaah di masjid Batu Gajah,” tutur Alang Abdul Rauf sambil meletakkan rokok nipah ke bibir.

“Kenapa tak jemaah di surau kampung ni, Alang?”

“Ada guru agama dari Selekoh, Bagan Datuk nak bersyarah hal agama, aku rasa elok kita pergi,” balas Alang Abdul Rauf.

“Elok juga tu, kalau begitu elok kita mandi dan bersiap tak lama lagi sampailah waktu Maghrib,” suara Datuk riang.

Datuk menyuruh saya mandi dulu. Kemudian dia pula menyusul dan diikuti oleh Alang Abdul Rauf.

Akhirnya kami pun menuju ke masjid Batu Gajah. Sebaik saja sampai di masjid salah seorang para jemaah memberitahu Datuk bahawa guru agama itu memang dijemput khas dari Selekoh dan namanya memang terkenal di negeri Perak.

Selepas menunaikan waktu Maghrib guru agama itu pun menyampaikan ceramah agamanya hingga sampai waktu Isyak.

Setelah menunaikan fardu Isyak para jemaah pun beransur pulang. Alang Abdul Rauf pun mengajak Datuk pulang tetapi, permintaan Alang Abdul Rauf itu tidak dapat ditunaikan oleh Datuk. Alang Abdul Rauf terkejut.

Setelah diterangkan oleh Datuk tujuan sebenarnya, Alang Abdul Rauf segera faham dan masuk ke masjid kembali.

Mereka duduk dekat guru agama yang sedang bersiap-siap untuk pergi ke rumah imam masjid tempat ia bermalam.

“Ada apa hajat?” tanya guru agama itu.

“Saya cuma nak bertanya tentang hal-hal agama dan macam-macam hal lain yang ada hubungannya dengan makhluk Allah,” ujar Datuk.

“Silakan, mana yang saya tahu, saya terangkan, mana yang saya tak tahu, saya tanya pada orang yang lebih tahu kemudian saya beritahu pada awak,” terang guru agama itu dengan jujur dan ikhlas.

Datuk dan Alang Abdul Rauf berpandangan. Datuk pun memberikan syarat pada Alang Abdul Rauf untuk mengemukakan pertanyaan.

Alang Abdul Rauf pun menerangkan pada guru agama tentang peristiwa mayat yang ditemuinya, satu berbau busuk dan satu berbau wangi tetapi kedua-dua mayat itu tidak reput.

Guru agama itu mendengar dengan khusyuk keterangan dari Alang Abdul Rauf.

“Kata orang, mayat yang tak reput tu menunjukkan masa hidupnya si mati hafiz Quran,” cara mendadak saja Imam masjid yang duduk di sebelahnya mengeluarkan pendapat.

Guru agama terkenal itu diam. In merenung muka Alang Abdul Rauf dan Datuk berkali-kali.

“Saya juga pernah dengar orang kata macam tu, seseorang yang boleh mengingati ayat Quran dari awal hingga akhir boleh membaca dengan betul masa hidupnya, bila mati mayatnya tak reput.

Itu kata orang-orang, entah benar entahkan tidak. Allah saja yang menentukannya,” jelas guru agama terkenal dengan jujur.

Tiba-tiba saja imam masjid yang berada di sebelahnya tersenyum memandang Alang Abdul Rauf.

“Rauf,” katanya.

"Kau nak tanya tentang mayat yang aku kapankan pagi tadi?”

Alang Abdul Rauf anggukkan kepala. Imam masjid renung muka guru agama sambil berkata, “Begini tuan guru, biar saya bercerita tetapi ini cerita saja, entahkan betul entahkan tidak, saya tak berani nak kata.”

“Ceritakan, barangkali cerita itu ada faedahnya untuk orang yang hidup, boleh dijadikan panduan,” guru agama itu memberikan kerjasama pada imam masjid.

Imam masjid itu bercerita, mayat yang tidak reput dan berbau wangi itu adalah mayat seorang lelaki yang buta tetapi boleh membaca Quran dengan lancar.

Semasa hayatnya menjadi guru agama pada anak-anak raja di istana serta menjadi kadi dan imam masjid, ketika kawasan Batu Gajah ini mula diterokai. Orang itu berasal dari Kelantan.

“Mana tuk Imam tahu semuanya ni?” tanya guru agama.

“Arwah ayah saya yang menceritakan pada saya. Ayah saya adalah anak muridnya masa ayah saya hidup dulu. Ayah saya selalu menziarahi kuburnya,” jelas imam itu.

“Lagi apa cerita ayah awak tentangnya,” soal Datuk.

“Kata ayah saya, orang tu masa mudanya belajar agama di tanah suci,” jelas imam itu sambil merenung wajah guru agama yang duduk di sisinya.

Serentak Alang Abdul Rauf dan Datuk anggukkan kepala.

“Macam mana dengan mayat yang lagi satu, berbau busuk dan mukanya menakutkan? Mayat siapa agaknya, Pak Imam tentu tahu ceritanya,” Datuk mengajukan pertanyaan.

Saya lihat Pak Imam terdiam sejenak, macam memikirkan sesuatu.

“Saya tak tahu,” katanya pendek.

Datuk dan Alang Abdul Rauf berpandangan. Rasa kecewa jelas terbayang di wajah mereka.

Saya lihat guru agama yang duduk di depan kami, meraba-raba hujung serbannya berkali-kali. Sesekali ia kelihatan merenung ke ruang masjid yang luas.

“Kata orang,” guru agama itu mula bersuara.

Alang Abdul Rauf dan Datuk memperkemaskan sila masing-masing.

Pak Imam juga menumpukan seluruh perhatiannya pada guru agama. Matanya tidak berkedip merenung ke arah bibir guru agama tersebut.

“Mayat tak reput, berbau busuk dan muka pula berbulu ini pernah saya dengar ceritanya.

"Kata orang, mayat yang macam itu, menandakan si mati itu masa hidupnya orang yang alim tahu hal-hal agama, hafaz Quran, tetapi banyak mengamalkan perbuatan yang bertentangan dengan hukum agama,” sambung guru agama itu.

“Maksud tuan guru macam mana?” tanya Datuk.

Terdengar suara cicak menjerit dari tulang bumbung masjid. Bunyi dedaun yang berlaga sesama sendiri jelas kedengaran akibat dirempuh angin malam.

“Begini, dia menjalankan semua yang disuruh agama tetapi, dia juga melakukan perkara yang ditegah, umpamanya dia jadi dukun atau bomoh dan bersahabat dengan syaitan.”

“Begitu,” sahut Alang Abdul Rauf.

“Ya, ada orang alim dan dihormati jadi tukang ramal memberi nombor ekor pada orang ramai dengan mengguna ayat-ayat Quran, jadi tukang tilik, ada juga yang memutuskan ubat dengan cara berjamu, pada hal dia tahu cara itu bertentangan dengan ajaran agama tetapi dilakukannya juga,” terang guru agama itu dengan wajah yang tenang.

Kami semua termangu mendengar kata-katanya.

“Bukankah jadi dukun dan bomoh itu baik, menolong sesama manusia,” ungkah Alang Abdul Rauf.

Sepasang mata guru agama tertancap ke wajah Alang Abdul Rauf. Datuk nampak resah dan saya mula menggeliat.

“Tengok caranya. Kalau kita mengamalkan petua yang tidak bertentangan dengan agama, tidak menjadi salah, kalau sudah sampai menurun panggil roh Datuk nenek, berjamu itu dan ini, tentu tak elok, apa lagi minta tolong pada keramat itu dan ini, syirik jadinya,” cukup tenang guru agama itu memberikan penjelasan. Senyum sentiasa bermain di bibirnya.

“Allah itu maha pemurah, yang baik kamu minta, yang baik diberinya, kalau yang jahat kamu minta yang jahat juga dibaginya tetapi, kita sebagai makhluk yang berakal tentu dapat memilih mana yang baik dan yang buruk,” makin ghairah guru agama itu meluahkan keterangan yang diketahuinya.

“Hum, begitu,” Alang Abdul Rauf bersuara sambil anggukkan kepala.

“Iblis, tidak pernah berhenti berusaha merosakkan anak Adam, janganlah terkejut, kalau ada orang alim jadi tukang tilik, mencari nombor ekor dengan ayat Quran dan macam-macam lagi, padahal mereka tahu apa yang mereka lakukan itu bertentangan dengan ajaran agama tetapi, kenapa perkara itu dilakukan juga?” guru agama itu mengemukakan pertanyaan, matanya merenung muka saya, muka Datuk dan Alang Abdul Rauf seolah-olah mengharapkan jawapan dari pertanyaan yang diajukannya itu.

Imam masjid duduk dekat guru agama tersebut tetap membatu seperti tadi. Sesekali kelihatan ia menguap panjang sambil memejam-celikkan matanya. Saya tahu imam masjid itu mula terasa mengantuk.

Kerana tidak ada sesiapa pun yang mahu memberikan jawapan pada pertanyaannya itu, wajah guru agama itu nampak seakan-akan kecewa sedikit.

“Mereka dikuasai iblis,” mendadak saja imam masjid bersuara.

Saya lihat guru agama itu anggukkan kepala. Ia senyum lagi, sinar matanya yang bersinar tertumpu ke wajah saya.

“Orang yang tidak terdaya melawan nafsu, selalu jadi mainan iblis. Seorang dukun atau bomoh biasanya mempunyai keinginan dan nafsu yang tinggi, ingin memperlihatkan kebolehan diri sendiri pada orang lain, bila sudah ada orang percaya, mulalah kenakan bayaran.

"Pada mulanya murah, kemudian mahal. Bila sampai saat begini, iblis mencelah lalu memperkuda keinginan dan nafsunya.

"Kalau dia sedar betapa lemah dirinya dan betapa besar pula kuasa Allah, dia tidak akan melakukan semuanya,” satu keterangan dari guru agama yang amat mengesankan bagi saya.

Apakah keberkesanan itu terpancar juga dalam hati Datuk dan Alang Abdul Rauf. Hanya Allah saja yang tahu.

Entah mengapa malam itu, guru agama itu kian rancak mahu memberi semacam kursus agama singkat.

Guru agama itu mengingatkan kami supaya setiap kali bangun dari tidur mengucap dua kalimah syahadat sebelum melakukan sesuatu.

“Kamu tahu, bila kita terjaga dari tidur, iblis sudah pun mengikat diri kita dengan tiga rantai dan kita perlu memutuskan rantai itu terlebih dahulu sebelum kita meneruskan kehidupan.

"Apabila tidak diputuskan rantai, iblis terus mengikat diri kita sepanjang hari yang boleh mendorongkan kita melakukan sesuatu yang dimurkai Allah,” tercetus kata-kata dari guru agama itu.

Saya lihat imam masjid membeliakkan biji matanya. Datuk kemaskan silanya, begitu juga dengan Alang Abdul Rauf.

“Bagaimana caranya kita nak memutuskan rantai tu, tuk guru,” saya bagaikan mendapat satu kekuatan untuk mengajukan pertanyaan padanya.

Datuk menjeling tajam pada saya tetapi Alang Abdul Rauf menepuk bahu saya sambil berbisik memuji keberanian saya itu.

“Rantai pertama diputuskan dengan mengucapkan dua kalimah syahadat, sebaik saja terjaga dari tidur. Rantai kedua diputuskan dengan mengambil air sembahyang dan rantai ketiga diputuskan dengan mendirikan solat Subuh,” ujar guru agama itu.

Wajahnya nampak berseri-seri tanda kepuasan. Matanya masih merenung ke arah saya.

Alang Abdul Rauf terus menegakkan ibu jari kelingkingnya, beri semangat pada saya untuk mengemukakan sebarang pertanyaan lagi pada guru agama tersebut.

Saya gelengkan kepala sambil ekor mata melirik pada Datuk yang tertunduk merenung lantai.

“Rantai tu ada di bahagian mana tubuh kita tuk guru?” Alang Abdul Rauf mengemukakan pertanyaan.

Guru agama itu meraba-raba hujung hidungnya dengan jari kelingking berkali-kali.

“Pertama, iblis merantai hati dan niat kita, kemudian merantai fikiran dan mata kita, bila iktikad hidup dipesongkan sejak subuh, cubalah kita bayangkan bagaimana mudahnya iblis menguasai diri kita sepanjang hari,” guru agama itu menarik nafas dalam-dalam.

Matanya merenung ke arah jam yang terlekap di tiang seri masjid.

Dua tiga kali saya menggosok kelopak mata hingga berair sambil menguap. Saya mula terasa mengantuk.

Pak Imam yang duduk berdekatan dengan guru agama kelihatan tersengguk-sengguk dua tiga kali. Alang Abdul Rauf tersenyum panjang melihat telatah Pak Imam tersebut.

Tiba-tiba Pak Imam membeliakkan biji matanya sambil menggeliat dan terus berdiri.

“Dah pukul sebelas,” terpancut kata-kata dari mulut guru agama.

“Ya,” tingkah Abdul Rauf.

“Kalau begitu eloklah kita balik,” Pak Imam terus memotong.

Datuk dan saya berpandangan. Alang Abdul Rauf pula turut berdiri.

Guru agama masih lagi duduk bersila dengan sepasang tangannya bergerak lembut menyusun beberapa buah kitab yang berserak di depannya.

Semua kitab tersebut disumbatkannya ke dalam beg bimbit yang dibuat dari kulit kambing.

“Dah mengantuk?” guru agama itu mengajukan pertanyaan pada Alang Abdul Rauf.

“Macam mana tak mengantuk embun jantan pun dah turun,” sambung guru agama itu lagi bila melihat kami tidak menjawab pertanyaannya.

Guru agama itu segera bangun dengan diikuti oleh Datuk.

“Macam mana Pak Imam, bolehkah saya balik?” guru agama itu tujukan pertanyaan untuk Pak Imam yang selalu saja menggosok kelopak matanya.

“Boleh, tak salah asalkan tuk guru mahu.”

“Kalau begitu, lain kali saja kita bercerita panjang. Saya tak pandai cerita tentang politik dunia dan dalam negeri, saya cuma tahu cerita tentang agama saja, semua perkara yang dah di ceritakan itu saya ambil dari hadis yang sahih dan ada juga dari hadis yang daif".

Walaupun sudah mahu pulang tetapi, guru agama itu seperti mahu melanjutkan ceramah yang tidak termasuk dalam jadualnya. Ia berdiri sambil merenung wajah-wajah kami yang ada di depannya.

“Terima kasih tuk guru, saya cuma nak tanya sikit saja tadi tak sangka boleh berpanjangan sampai pukul sebelas malam,” Alang Abdul Rauf melahirkan rasa terkilannya.

“Tak apa, saya memang suka begitu, orang tanya sikit saya jawab panjang-panjang, sebabnya bila ada orang bertanya saya menjawab secara tak langsung mempertajamkan ingatan saya pada ilmu yang saya pelajari.

"Kalau saya tak dapat jawab ertinya ilmu saya tak cukup lagi dan saya mesti belajar lagi.”

Guru agama itu terus merendah diri. Pak Imam tetap tersengih. Datuk dan Alang Abdul Rauf tunduk merenung lantai, kagum dengan sikap guru agama yang mengamalkan resmi padi, makin tunduk makin berisi.

Saya terkejut bila saya melihat guru agama itu menghulurkan tangan pada Datuk, pada Alang Abdul Rauf dan saya untuk bersalam.

Memang, dia guru agama yang rendah diri dan hati, bisik hati saya kerana sebelum ini, saya pernah berhadapan dengan beberapa orang guru agama.

Mereka tidak akan menghulurkan tangan untuk bersalam dengan orang lain, melainkan orang yang ingin bersalam itu menghulurkan tangan terlebih dahulu barulah mereka mahu bersalam.

“Kita jumpa lagi lain kali tuk guru, maaf lahir batin,” kata Datuk.

Guru agama tersenyum tangan Datuk tetap digenggamnya erat-erat.

“Kalau diizinkan Allah dan umur kita panjang, kita tetap berjumpa, amalkan kata-kata saya yang baik dan buangkan mana yang difikirkan tidak baik.”

“Saya tak faham tuk guru.”

“Saya beritahu awak apa yang saya tahu, kemudian awak cari dan tambahlah ilmu, saya ni walaupun boleh memberi ceramah tetapi saya masih juga belajar, ilmu Allah tak ada sempadannya.”

“Saya faham tuk guru,” nada suara Datuk merendah.

Guru agama tersenyum kemudian merenung muka Alang Abdul Rauf. Mereka berbalas senyum.

“Rajin-rajin sembahyang dan ikut perintah Allah,” secara mendadak saja guru agama itu menjatuhkan telapak tangan kanannya ke bahu kiri saya, dituruti dengan tepukan yang bertalu-talu penuh kemesraan.

Alang Abdul Rauf, Datuk dan Pak Imam ketawa melihat keadaan saya yang tergamam.

“Anak awak ke?” Guru agama tujukan pertanyaan pada Datuk.

“Tidak,” jawab Datuk.

“Cucu?” Soal guru agama.

“Ya cucu saya,” Datuk anggukkan kepala.

Guru agama berhenti menepuk bahu saya. Ia terus mendekati Datuk dan Pak Imam, kemudian ia mengajak kami keluar dari perut masjid.

“Dia budak yang cerdik, asuhlah dia dengan agama sebelum melepaskan dirinya ke mana-mana, bila dirinya sudah ada asas agama kita tidak bimbang walaupun merantau ke kaki langit, dadanya sudah berisi dengan akidah Islam,” demikian guru agama itu menyatakan pada Datuk sebaik saja berada di luar masjid.

Saya faham, ungkapan yang diluahkannya itu adalah untuk diri saya. Datuk mendengar penuh teliti dengan nasihat yang diluahkan oleh guru agama itu.

Angin yang bertiup membuat badan saya terasa dingin. Kepala saya dongakkan ke langit, melihat awan-gemawan dan bintang-bintang yang berserakan.

Dalam saat yang sama terdengar lolongan anjing sayup-sayup datangnya dari arah pekan Batu Gajah.

“Membentuk diri seseorang supaya teguh beramal dan mengingati Allah, mestilah bermula dari kecil, macam kata orang tua-tua membentuk buluh dari rebungnya,” lanjut guru agama itu dan semua yang mendengarnya anggukkan kepala, macam itik air bertemu kawan.

Lagi sekali Datuk, Alang Abdul Rauf dan saya bersalaman dengan guru agama itu.

Kami berpisah, guru agama dan Pak Imam menghala arah selatan, saya, Alang Abdul Rauf serta Datuk menuju ke arah utara.

Tamat siri 82/284

BACA: SBDJ Siri 81: Di Cakar Kucing Hutan
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM

SF90 Stradale, Kereta Ferrari Paling Pantas Pernah Di Cipta

SF90 Stradale, Kereta Ferrari Paling Pantas Pernah Di Cipta

Syarikat automotif dari Itali kali ini kembali lagi dengan sebuah model terbaharu daripada mereka iaitu SF90 Stradale yang mana model ini merupakan kereta terpantas pernah dihasilkan jenama Ferrari.

SF90 Stradale Kereta Ferrari Paling Pantas
SF90 Stradale.

Mengulas dari segi enjin, Ferrari SF90 Stradale dilengkapkan dengan enjin V8 dengan 986 kuasa kuda dan apa yang membuatkan model ini unik adalah ianya dilengkapkan dengan teknologi plug-in hybrid.

Penyertaan tiga motor elektrik pada model ini membolehkan Ferrari SF90 Stradale menghasilkan 217 kuasa kuda tambahan daripada enjin V8 yang dilengkapi dengan 760 kuasa kuda.

Berdasarkan percubaan, model ini mampu memecut 0-100km/h dalam jangka masa 2.5 saat sahaja serta mampu bergerak dalam mood elektrik sepenuhnya sejauh 25km. Had kelajuan maksimum yang direkodkan pada model ini adalah 340km/h.

Ferrari pada kali ini turut menawarkan rekaan dalaman yang lebih moden dengan penyertaan skrin 16-inci pada harga USD$1.46 juta.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thevocket

10 Pembelian Syarikat Internet Paling Mahal Di Dunia

10 Pembelian Syarikat Internet Paling Mahal Di Dunia

Pada kemuncak gelembung dotcom, harga saham bagi syarikat-syarikat internet berjaya mencapai tahap tertinggi dengan persaingan sengit menyaksikan banyak syarikat yang lebih besar membuat pembelian melibatkan kes-kes pengambilalihan yang tidak masuk akal.

Syarikat Internet Termahal

Senarai 10 pengambilalihan terbesar dalam sejarah Internet adalah seperti berikut.

1. Broadcast.com

Bermula sebagai AudioNet pada tahun 1995, syarikat radio melalui laman web ini mencatat rekod yang tinggi dan sangat berjaya. Ia telah diambil alih oleh Yahoo dengan pembelian saham bernilai USD$5.7 bilion.

2. Netscape

Netscape pada awalnya merupakan pelayar dominan dalam industri dotcom walau bagaimanapun, kedudukannya akhirnya tunduk kepada Internet Explorer.

Ia diambil alih oleh AOL dengan nilai USD$4.2 bilion pada tahun 1998, namun dibubarkan pada tahun 2003.

Legasi Netscape terus bangkit selepas tahun 1998 dan kini dikenali sebagai Mozilla.

3. Geocities

Pada kemuncaknya, Geocities merupakan syarikat yang menawarkan khidmat simpanan data dalam bentuk maklumat dan gambar yang ada pada sesebuah laman web dan merupakan yang paling popular di internet.

Ditubuhkan pada akhir 1994, kemudiannya diambil alih oleh Yahoo dengan nilai USD$3.7 bilion pada tahun 1997.

Seperti kebanyakan pengambilalihan yang dibuat pihak Yahoo, Geocities tidak memberi keuntungan dan ditutup pada akhir tahun 2009.

Pada waktu ini, hanya Geocities di Jepun masih bertahan.

4. WebEx

Salah satu perintis yang mempelopori kerjasama perniagaan dalam talian, WebEx menghasilkan satu perisian pertama dengan keupayaan melayari internet secara luar talian.

Ia dibeli oleh CISCO pada tahun 2007 dengan nilai USD$3.2 bilion.

5. Skype

Walaupun ia bukan perintis protokol internet untuk komunikasi, Skype telah merevolusikan komunikasi di internet dengan protokol hak milik berprestasi tinggi.

Berpengkalan di Sweden dan dibangunkan oleh pemaju dari Estonia, ia telah diambil alih oleh Ebay pada tahun 2005 dengan nilai USD$2.5 bilion.

Ebay kemudian menjual 70% daripada sahamnya kepada sebuah konsortium dengan harga USD$2.75 bilion.

6. Ask.com

Sebuah enjin carian soal jawab ini pernah popular di internet sehingga berjaya dijual kepada InterActiveCorp dengan nilai USD$1.85 bilion.

Tidak lama selepas itu, InterActiveCorp menyedari bahawa ia telah membeli syarikat yang tidak aktif.

Teknologi tersebut kemudiannya disalur keluar kepada pihak ketiga yang tidak dikenalpasti.

7. CNET Networks

Sejak diasaskan pada tahun 1994, CNET Networks mempunyai pengaruh yang besar ke atas media internet.

Ia telah diambil alih oleh CBS Corporation pada tahun 2008 dengan nilai USD$1.8 bilion.

Pada waktu itu, CNET dapat menarik seramai 200 juta pelawat dalam satu bulan.

8. Overture Services Inc.

Overture Services Inc. atau GoTo.com ialah salah satu syarikat pertama yang berjaya dalam perkhidmatan pengiklanan berbayar.

Yahoo merupakan salah satu pelanggan terbesar Overture dan ia diambil alih dengan nilai USD$1.63 bilion pada tahun 2003.

Perkhidmatan tersebut kini dikenali sebagai Yahoo Search Marketing.

9. Youtube

Agak munasabah untuk diperkatakan bahawa Youtube telah mengubah dunia internet ke arah baru dan ia telah menjadi satu cabang budaya masa kini.

Sejak dilancarkan pada tahun 2005, Youtube menjadi popular dan dalam tempoh setahun, 65,000 video baharu dapat ditonton setiap hari.

Seperti yang diramalkan, ia menarik banyak minat dan akhirnya diambil alih oleh Google dengan nilai USD$1.65 bilion.

Youtube kini berada di tangga ketiga teratas dari segi jumlah kunjungan di internet.

10. Paypal

Syarikat pembayaran secara online ini telah ditubuhkan pada tahun 2000 dan menjelang tahun 2002, Paypal menawarkan kaedah pembayaran pilihan kepada lebih daripada 50% pengguna Ebay.

Oleh sebab itu, Ebay mengambil alih Paypal dengan nilai USD$1.5 bilion.

Walaupun menghadapi banyak saingan, Paypal masih terus berurusniaga dan hampir memonopoli segala urusan pembayaran dalam talian.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: usahawan

Friday, June 28, 2019

Sajat Lapor Polis Selepas Gagal Tukar Jantina

Sajat Lapor Polis Selepas Gagal Tukar Jantina

"Niat saya nak tolong orang, tapi orang pula buat macam ni pada kita," demikian kata seorang wanita yang mendakwa dia dianiaya selepas cuba membantu proses penukaran jantina usahawan dan penyanyi, Sajat.

Sajat Tukar Jantina

Kata Yusmiliati Mohamed Yusof, pada awalnya dia menawarkan diri bagi membantu Sajat - atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruzzaman - mengubah status jantina asal pada kad pengenalannya.

Menurutnya, dia menawarkan perkhidmatan itu untuk sejumlah bayaran.

Kata Yusmiliati, dia mula berkenalan dengan Sajat melalui orang ketiga pada sekitar Jun 2017.

"Dia yang ketika itu ditemani pembantu, Ashaari Maznan, menyatakan hasratnya kepada saya untuk membuat permohonan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi menukar jantina pada kad pengenalan aslinya, iaitu daripada lelaki kepada perempuan.

"Saya katakan kepada dia yang saya boleh bantu dengan jumlah bayaran perkhidmatan yang dipersetujui," katanya.

Direman, didakwa di mahkamah

Yusmiliati ditemui pada sidang media berhubung isu terbabit di pejabat Persatuan Pekerja Perfileman Malaysia (Profima) di Kuala Lumpur.

Turut hadir, peguam Yusmiliati, Ahmad Faiq Azizan dan Mohd Amirul Ramli.

Bagaimanapun, menurut Yusmiliati, pada 30 September dan 13 Oktober 2017, JPN menghantar salinan surat kepada mereka menyatakan bahawa permohon tersebut ditolak.

"Alasan JPN ialah pemohon gagal melampirkan salinan surat doktor yang mengesahkan dia seorang khunsa," katanya.

Yusmiliati mendakwa susulan keputusan itu, ahli perniagaan terbabit yang turut terkenal sebagai penyanyi melemparkan pelbagai tuduhan selain membuat laporan polis ke atasnya pada 29 Ogos 2018.

Tindakan Sajat, katanya, menyebabkan dia ditahan reman selama empat hari di Balai Polis Ampang dan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Saya kemudian didakwa di Mahkamah Majistret Ampang dan kes itu masih dalam proses," katanya yang mengaku tidak bersalah atas semua tuduhan dan minta dibicarakan.

Justeru, Yusmiliati menggesa Sajat membuat permohonan maaf dan sekiranya gagal, kata Yusmiliati, dia akan memulakan proses tindakan undang-undang ke atas personaliti terbabit.

"Saya nak Sajat dan Ashaari membuat satu permohonan maaf kepada saya dalam masa 48 jam dari tarikh hari ini," katanya.

Menurut Yusmiliati dia mahu permohonan maaf itu dibuat secara bertulis dan dialamatkan kepada peguamnya.

Dia juga mahu Sajat dan pembantunya memuat naik rakaman video permohonan maaf terbuka mereka di laman sosial.

Sajat Enggan Minta Maaf

Nampaknya Sajat enggan mengendahkan tempoh 48 jam yang diberikan kepadanya untuk memohon maaf secara terbuka bagi mengelakkan dia disaman, sebaliknya usahawan barangan kecantikan dan penyanyi itu berpendapat tiada sebab untuknya memenuhi tuntutan wanita terbabit yang mendakwa dia dianiaya.

Bagi Sajat, dia menganggap dirinya tidak bersalah seperti didakwa Yusmiliati Mohamed Yusof yang membuat sidang media siang tadi berhubung isu menukar status jantina pada kad personaliti terbabit.

“Saya tak akan minta maaf. Kenapa saya kena minta maaf pula?” katanya ketika dihubungi.

Mengulas tuntutan tersebut, Sajat berkata, dia atau peguamnya tidak menerima sebarang notis mengenai perkara itu.

“Saya rasa wanita itu nak kenakan saya. Dia sebut nama saya pada sidang media tanpa pengetahuan saya. Saya rasa dia nak aibkan saya," katanya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

SBDJ Siri 81: Di Cakar Kucing Hutan

SBDJ Siri 81: Di Cakar Kucing Hutan

Di bawah sinar lampu gasolin yang cerah, saya tatap wajah Datuk yang nampak tenang menarik dan melepaskan nafas. Alang Abdul Rauf terus menggosok batang cangkul dengan sepasang telapak tangannya. Kawan-kawannya terus menggali kubur dengan rancak sekali. Bau wangi terus menguasai tanah perkuburan.

Toyol jadi-jadian

Saya terus mendekati Datuk.

“Bau apa yang wangi tu tuk?”

“Ada mata tengok, ada telinga dengar.”

Jawapan yang Datuk hamburkan itu amat mengecewakan diri saya. Suara cengkerik dan katak terus berlarutan. Angin yang bertiup membekalkan rasa dingin ke seluruh tubuh.

Bunyi mata pencebak dan cangkul berlaga dengan tanah jelas kedengaran. Suara burung hantu dan jampuk sayup-sayup kedengaran.

Salah seorang dari kawan Alang Abdul Rauf menghampiri kami. Badannya nampak peluh dan saya terhidu bau hangit yang meloyakan tekak. Saya paling hidung saya ke arah lain. Tetapi bau hangit itu tetap memburu hidung saya.

“Lap peluh kamu.”

Alang Abdul Rauf mencampakkan kain padanya. Orang itu terus menyapu peluh yang melekat di badan. Ia tersenyum ke arah saya. Ia bagaikan tahu yang saya tidak menyenangi dirinya.

“Dah jumpa tulang orang mati?” Alang Abdul Rauf mengajukan pertanyaan padanya.

Orang itu tidak menjawab, dia mencapai botol air sejuk di hujung lutut Alang Abdul Rauf.

Saya lihat buah halkumnya bergerak kencang ketika ia meneguk air dari dalam botol. Kulit perutnya juga turun bergerak-gerak.

Sebahagian dari air yang tidak masuk ke mulutnya terus jatuh atas dada bidangnya yang berbulu lebat. Ia berhenti minum. Botol diletakkan kembali dekat hujung lutut Alang Abdul Rauf.

“Kali ni bukan jumpa tulang,” katanya sambil menyapu kesan air yang melekat di bibirnya.

Saya angkat kepala merenung muka Datuk yang kelihatan terkejut. Alang Abdul Rauf menujah-nujah permukaan tanah dengan ranting kayu.

“Kalau bukan tulang, kamu jumpa apa?” tanya Datuk.

“Mayat tak reput.”

“Mayat tak reput?” Alang Abdul Rauf terus berdiri.

“Ya bau wangi ini, datangnya dari mayat tu,” orang itu tersenyum.

Muka Alang Abdul Rauf nampak resah. Datuk terus menggigit kuku di jari. Saya teraba-raba batang leher beberapa kali. Badan terasa seram.

“Aku dah agak bau wangi tu dari kubur yang digali, waktu aku menolong kamu menggali tadi, makin jauh dikorek makin kuat bau tu menyumbat hidungku,” Alang Abdul Rauf bersuara lemah. Ia merenung muka Datuk sejenak.

“Aku berhenti mengorek tadi kerana pinggang aku terasa sakit dan terus duduk dekat kawan aku ni tapi, bau wangi tu sampai ke sini,” tambah Alang Abdul Rauf sambil menggeliat beberapa kali.

“Eloklah kita tengok,” Datuk mengeluarkan cadangan.

Alang Abdul Rauf mengekori langkah mereka yang tenang menuju ke kubur yang jaraknya dari tempat saya dan Datuk, kira-kira sepuluh kaki. Datuk dan Abdul Rauf jenguk ke lubang kubur.

Kawan Abdul Rauf yang berbadan tegap bercekak pinggang merenung ke arah kawannya yang sedang berhempas-pulas mengorek kubur yang lagi satu.

Tiba-tiba saya bagaikan dipaksa untuk melihat ke dalam kubur dan tanpa memberitahu Datuk dan Alang Abdul Rauf, saya jenguk lubang kubur. Saya menarik nafas.

Apa yang saya lihat ialah mayat seorang lelaki dalam keadaan yang baik. Wajahnya nampak bersih dalam keadaan yang tersenyum.

Alang Abdul Rauf segera menyuruh kawannya mengambil kain untuk menutup mayat dalam lubang kubur. Perintah Alang Abdul Rauf segera dipatuhi.

“Sekarang kamu pergi ke balai polis, laporkan perkara ni pada tuk sarjan,” kara Alang Abdul Rauf pada kawannya.

Tanpa sebarang bantahan kawannya terus meninggalkan kami, meredah malam menuju ke arah jalan raya pergi ke balai polis. Embun jantan yang gugur dari langit terasa menyentuh muka.

Saya mula menguap, bau tanah kubur yang baru dikorek memang kurang menyenangkan hidung saya. Sesekali saya tercium bau kapur barus dan bau air mawar. Saya tidak tahu, apakah bau tersebut tercium oleh Datuk dan Alang Abdul Rauf.

Bunyi dedaun yang disentuh angin bagaikan bunyi tapak kaki orang memijak daun getah di musim kemarau. Bunyinya bersambung-sambung.

“Dah kurang bau wanginya,” ujar Alang Abdul Rauf pada Datuk yang sedang meraba-raba misainya.

Mulut Datuk tetap bergerak. Entah apa yang dibacanya saya sendiri pun tidak tahu.

“Ya, tapi bau ni takkan hilang terus,” sanggah Datuk.

“Mana awak tahu?”

“Bukankah bau tu datang dari mayat, waktu begini bau kurang, menjelang subuh dan pagi baunya bertambah harum dan kuat,” jelas Datuk lagi.

“Eh, macam mana awak tahu semuanya ni?” Alang Abdul Rauf tatap muka Datuk di bawah sinar lampu gasolin yang memancar terang.

Saya terus merenung ke arah kawan Alang Abdul Rauf yang sedang menggali kubur yang lagi satu.

Sesekali saya terdengar suara mereka ketawa berselang seli dengan suara batuk. Barang kali kawan Alang Abdul Rauf yang itu tidak menghadapi masalah.

Kalau ada masalah terus mereka datang ke sini, kata hati saya sambil menggaru pangkal leher yang gatal akibat digigit nyamuk.

“Awak tahu, makin terasa cuaca sejuk, makin kuat baunya, saya dah tahu, sebabnya dalam cuaca yang sejuk udara tidak dapat bergerak dengan lancar, sentiasa berpusing-pusing sebelum bergerak lebih jauh,” saya lihat Datuk bersuara dengan tenang dan penuh keyakinan.

Apakah cakap Datuk itu memang benar atau sengaja di ada-adakan bagi menyenangkan hati Alang Abdul Rauf?

Saya lihat Alang Abdul Rauf anggukkan kepala. Setuju dengan apa yang diucapkan oleh Datuk.

Saya menggeliat, menghilangkan rasa lenguh di pinggang. Rasa seram tetap menguasai seluruh badan saya.

“Pak Alang, ke mari.”

Serentak kami memandang ke arah suara memanggil nama Alang Abdul Rauf. Dua orang lagi kawan Alang Abdul Rauf yang bersandar pada sebatang pokok terus mendekati Datuk. Saya lihat muka keduanya sangat pucat.

“Kamu kenapa? Diam tak bercakap,” Alang Abdul Rauf menyoal kedua-dua orang kawannya dengan wajah bersahaja.

PUTUS

Suara burung hantu dan jampuk masih berterusan. Laungan anjing tidak pernah putus. Tetapi, deru angin malam bertambah lemah.

“Kamu tengok apa yang dia orang mahu. Tolong dia orang, kalau ada apa-apa masalah datang bagi tahu aku di sini,” Alang Abdul Rauf mengeluarkan perintah.

“Baiklah Pak Alang,” kedua-duanya meninggalkan kami.

“Mari kita duduk di sana,” Alang Abdul Rauf meluruskan jari kelingkingnya ke arah sebatang pokok kayu condong.

“Boleh juga, Datuk.

“Mari.”

Kami bertiga terus menuju ke pokok condong. Duduk di situ. Datuk dan Alang Abdul Rauf duduk berdekatan hingga berlaga bahu. Saya duduk berdepan dengan mereka. Saya lihat Datuk resah tidak menentu.

Dalam saat yang sama saya bagaikan terasa ada sesuatu yang bergerak di ruang kosong, antara saya dengan Alang Abdul Rauf. Saya rasa benda yang bergerak dan tidak dapat dilihat itu seperti kaki gajah.

Dedaun kering dan reranting kecil nampak bergerak dan terbenam di bumi macam dipijak sesuatu. Meninggalkan tapak yang besar. Bentuknya macam tapak kaki manusia yang berjari empat.

Alang Abdul Rauf segera bangun. Sebaik saja Alang Abdul Rauf berdiri. Ia terus jatuh terlentang macam ditolak sesuatu. Baju Melayu yang dipakainya terkoyak bagaikan kena rentap oleh tangan manusia.

Saya segera menghampiri Alang Abdul Rauf. Dadanya bercalar bagaikan dicakar oleh kuku kucing hutan. Muka Alang Abdul Rauf berkerut menahan kesakitan.

Datuk segera bertindak, merentap daun gelenggang yang berbunga tunggal di kanannya. Daun itu digosoknya dengan kedua belah telapak tangan hingga hancur dan mengeluarkan air.

Kemudian, air dan daun gelenggang itu disapu ke dada Alang Abdul Rauf. Darah berhenti keluar dan bekas kena cakar itu nampak kering.

“Aduh!”

Saya terus berguling di tanah. Bahu kanan saya bagaikan ditikam dengan pisau belati. Pedih dan sakitnya hingga tidak terkata.

Dalam pandangan yang berpinar-pinar itu, saya lihat Datuk bergerak ke sana dan ke sini sambil mengembangkan tangannya. Menepis ke kiri dan ke kanan. Tidak tahu apa yang Datuk tepiskan.

Saya tidak nampak ada orang yang menyerangnya. Pokok-pokok kecil sekitar pokok condong jadi rata akibat dipijak oleh Datuk.

Alang Abdul Rauf mula bertenaga. Duduk bersila di tanah sambil melagakan jari telunjuk dengan ibu jari berkali-kali seperti orang membilang tasbih.

Pandangan saya jadi gelap dan saya terdengar suara orang membaca Quran. Saya mengikut pembacaan itu dalam hati sambil menyerahkan diri pada Allah yang maha besar.

Saya terdaya membuka kelopak mata. Saya toleh ke kanan, saya lihat Alang Abdul Rauf sedang membaca ayat-ayat suci.

Datuk yang tertiarap di bumi bangun perlahan-lahan. Sekujur tubuhnya berpeluh dan baju yang dipakainya penuh dengan tanah kubur.

Alang Abdul Rauf berhenti membaca ayat-ayat suci dan membantu Datuk. Saya masih lagi terkapar menahan rasa sakit.

Datuk menghampiri saya lalu menampar bahu saya yang sakit. Lagi sekali saya terus pengsan. Tidak tahu berapa lama saya tidak sedarkan diri. Bila saya sedar saya rasa bahu saya tidak sakit lagi.

Datuk terus mengikat ranting kering dengan kain hitam. Ranting kering itu ikat bersusun. Ranting kering yang sudah diikat itu terus dipijak hingga terbenam dalam bumi. Suasana terasa amat sepi sekali.

“Syaitan kacau kita,” Alang Abdul Rauf.

“Saya tahu,” balas Alang Abdul Rauf.

“Apa ikhtiar kita?”

“Usah bimbang, kuasa Allah tak ada sesiapa yang dapa menentangnya,” balas Alang Abdul Rauf penuh keyakinan.

“Aghhhhh..”

Serentak saya dan Alang Abdul Rauf serta Datuk menoleh ke kanan. Kami terbangun.

Dari celah pepohon di atas perkuburan kami terlihat satu lembaga yang amat menggerunkan, lembaga tanpa badan itu bagaikan muncul dari pohon.

Kami berpandangan sama sendiri. Mata saya kembali tertumpu pada lembaga tersebut. Keadaannya amat menakutkan.

Mulutnya cukup lebar hingga bertemu dengan telinga. Bibir bawahnya nipis di pagar dengan gigi yang halus dan putih, macam gigi ikan haruan. Biji matanya agak tersorok jauh ke dalam, memancarkan sinar yang garang.

Datuk menarik nafas dengan kencang sekali. Alang Abdul Rauf toleh kiri dan toleh kanan. Kulit mukanya nampak pucat.

Perhatian saya masih tertumpu pada lembaga tanpa badan. Rambutnya yang kusut masai menutup dahinya yang luas dan terdapat bekas jahitan hingga ke pangkal leher.

Kulit pipinya nampak lembik ke kanan dan ke kiri bersama gerak darah segar. Hidungnya rasa sama dengan kulit pipi. Bila matanya yang kebiru-biruan menatap muka saya, seluruh badan saya menggeletar.

Bibir Alang Abdul Rauf membaca ayat Kursi, lembaga itu membuka mulutnya lebar-lebar serta menjelirkan lidahnya yang panjang macam lidah cicak. Setiap kali lidahnya bergerak, keluar air lendir berwarna putih.

Alang Abdul Rauf terus membaca ayat-ayat suci. Saya terdengar bunyi ombak yang kuat.

Aneh sekali, macam mana suara ombak boleh terdengar di tanah kubur sedangkan laut berpuluh-puluh batu jaraknya. Dalam gemuruh bunyi ombak itu lembaga yang berada di depan kami terus hilang.

Suasana kembali tenang. Tiada deru ombak, tiada lembaga putih tanpa kepala di depan mata.

Tetapi, keresahan tetap terbayang di wajah Alang Abdul Rauf dan Datuk. Mata mereka sentiasa saja mengawasi kiri dan kanan. Bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang buruk.

“Rasanya tak ada apa-apa yang nak ganggu kita,” Datuk renung muka Alang Abdul Rauf. Perlahan-lahan Alang Abdul Rauf anggukkan kepala.

“Tapi, rasanya ada baik kita tinggalkan tempat ini,” suara Alang Abdul Rauf lemah.

Matanya tertumpu ke arah kawan-kawannya yang sudah berhenti menggali kubur.

“Kita ke sana, tengok apa yang dia orang dapat,” tambah Alang Abdul Rauf.

“Mari,” Alang Abdul Rauf cuit bahu Datuk.

“Boleh juga,” balas Datuk.

Sebelum melangkah saya merenung arah kubur yang sudah digali. Teringin rasa hati mahu melihat mayat yang tidak reput dan berbau wangi. Tidak mungkin saya pergi ke situ sendiri tanpa ditemani oleh Datuk dan Alang Abdul Rauf.

“Mari,” Datuk tarik tangan saya.

Sinar lampu gasolin terus menerangi kawasan kubur. Sayang, sinar lampu tersebut tidak mampu menerangi jalan yang bakal kami lalui. Terpaksa menggunakan lampu picit.

Bila sudah hampir dengan kubur yang digali oleh kawan-kawan Alang Abdul Rauf lampu picit tidak perlu digunakan lagi kerana sinar lampu gasolin yang terpasang di tempat mereka bekerja cukup terang.

Apa yang menghairankan saya, kawan-kawan Alang Abdul Rauf yang berhenti rehat dan menggali kubur itu menutup hidung mereka dengan kain yang diikat ke belakang.

Saya tersenyum melihat cara mereka yang sekali gus mengingatkan saya pada filem cowboy dalam adegan rompakan.

“Awak ada tercium bau busuk?” tanya Datuk pada Alang Abdul Rauf.

“Ada, dahlah busuk hapak pula,” Alang Abdul Rauf seperti merungut.

LUBANG

Kian hampir dengan kawan-kawan Alang Abdul Rauf, makin kuat bau busuk itu menyucuk lubang hidung. Saya tidak dapat menggambarkan bau busuk itu.

Saya bagaikan mahu muntah tetapi, saya berusaha menahannya dengan menekan ibu jari ke pangkal dagu hingga terasa sakit.

“Dari mana bau busuk ini?” Alang Abdul Rauf menyoal kawan-kawannya.

Salah seorang dari kawan Alang Abdul Rauf meluruskan jari telunjuknya pada tanah kubur yang bertimbun.

“Dah jumpa tulang mayat?” tambah Alang Abdul Rauf.

Serentak kawan-kawannya gelengkan kepala. Datuk dan saya hanya berdiam diri saja.

“Kita tak boleh lambat, kita mesti selesaikan segera,” Alang Abdul Rauf bersuara dalam nada yang penuh kesal.

Kawan-kawannya berpandangan sama sendiri. Angin tetap bertiup. Suara lolong anjing kian menjadi-jadi. Suara jampuk dan burung hantu tetap rancak bersenandung riang.

Saya menggaru batang leher dua tiga kali. Datuk memetik beberapa daun pokok yang berdekatan. Saya tidak tahu kenapa Datuk memetik dedaun tersebut.

“Mari kita korek,” Alang Abdul Rauf ambil cangkul dari salah seorang kawannya.

“Kami bukan tak mahu korek, kami tak tahan dengan bau busuk,” kawan Alang Abdul Rauf menerangkan dengan penuh jujur.

Alang Abdul Rauf melepaskan ulu cangkul yang dipegangnya. Sepasang matanya merenung tajam pada Datuk. Datuk segera menghampirinya dan menyerahkan daun pada Alang Abdul Rauf.

“Buat apa?” tanya Alang Abdul Rauf.

“Gulung dan sumbatkan dalam lubang hidung, tentukan nafas boleh keluar, kalau tidak awak mati lemas,” ujar Datuk.

Alang Abdul Rauf segera mematuhi cakap Datuk.

“Memang, tak ada bau busuk,” katanya dengan suara yang meninggi.

Kawan-kawannya segera menerkam ke arah Datuk. Mereka mengambil daun dari Datuk. Digulung dan disumbat ke lubang hidung. Kemudian Alang Abdul Rauf terus menggali kubur di bawah sinar lampu gasolin.

Saya berdiri di tepi kubur, entah apa malangnya daun yang saya sumbat ke lubang hidung kerap kali jatuh. Bila daun itu jatuh. Bau busuk segera masuk ke lubang hidung.

Tetapi, entah mengapa saya tidak merasa jemu atau penat mengambil daun yang jatuh dari lubang hidung untuk disumbatkan kembali.

Kalau tadi Datuk tidak mahu melibatkan diri dalam urusan menggali kubur, kali ini ia terus ambil cangkul dan mengais-ngais tanah sekitar kubur.

Alang Abdul Rauf dan kawan-kawannya menyambung kembali kerja yang terhenti.

Saya tetap berada di sisi Datuk. Ke mana ia bergerak, di situlah saya berada. Saya tidak mahu bila ada kejadian buruk yang berlaku, saya terpisah dari Datuk.

Saya kurang ilmu dan kurang pengalaman ditambah pula dengan usia yang masih hijau.

Jadi, saya memerlukan seseorang yang boleh jadi tempat saya berlindung. Buat saat ini, saya kira orang yang paling layak sekali ialah Datuk.

Salah seorang dari kawan Alang Abdul Rauf melompat dari dalam kubur ke tebing. Tanpa berkata sesuatu ia terus mengambil lampu gasolin lalu diletakkan betul-betul di tepi lubang kubur. Cahaya dari lampu gasolin itu menyinari seluruh perut kubur.

“Mayatnya tak reput juga,” suara Alang Abdul Rauf lantang.

Saya terus menerpa ke tebing kubur. Rasa takut hilang diatasi oleh rasa ingin melihat dengan apa yang dikatakan oleh Alang Abdul Rauf.

Datuk juga mencangkung di tepi kubur melihat mayat yang dikatakan tidak reput itu.

Alang Abdul Rauf bersama dua orang kawannya naik ke tebing kubur. Manakala kawan yang lain berada dalam kubur.

Orang yang berada dalam kubur segera mengangkat mayat tersebut dengan hati-hati sekali.

“Kita sambut mayat tu baik-baik,” Alang Abdul Rauf keluarkan arahan.

Saya ditolak oleh Datuk ke kanan. Saya tahu, Datuk tidak mahu saya berdiri dekatnya. Boleh menghalang kerjanya dan kawan-kawan Alang Abdul Rauf yang mahu menyambut mayat itu.

Saya merasa beruntung, bila saya berubah tempat ke kanan, saya dapat melihat gerak-geri mereka dengan jelas sekali. Setiap pergerakan mereka tidak terlepas dari pandangan saya.

Mereka mengangkat mayat itu dengan berhati-hati sekali. Begitu juga dengan pihak yang menyambutnya tetap berhati-hati dan berjaga. Mereka bagaikan tidak mengizinkan mayat yang tidak reput itu terjatuh atau sebagainya.

Mayat itu selamat sampai di atas. Diletakkan di tanah yang bersih dengan beralaskan kain bekas tepung gandum yang sudah dicantumkan.

Ketika melihat mayat yang terbujur di depan mata, entah macam mana daun yang saya sumbatkan ke dalam kedua-dua lubang hidung terjatuh.

Saya jadi resah dan terus menekup mulut menahan rasa mahu muntah. Sekarang sudah pasti, bau busuk yang meloyakan tekak itu datangnya dari mayat yang terbujur di depan saya.

Di bawah sinar lampu gasolin yang memancar itu, saya lihat kuku dan jejari mayat itu membelit bahagian dadanya. Wajah mayat itu amat menyeramkan.

“Jangan tengok,” salah seorang kawan Alang Abdul Rauf berbisik pada saya.

“Belum pernah saya tengok mayat macam ini. Badan saya jadi seram sejuk. Kalau orang dewasa macam saya rasa satu macam, apa lagi kamu,” tambah orang itu.

Saya diam, cakapnya memang benar tetapi, keinginan saya yang tinggi tidak mengizinkan hati saya mematuhi cakapnya.

“Jangan tengok Tamar," kata Datuk.

“Tutup saja mayat itu dengan kain,” ujar Alang Abdul Rauf.

Dan mayat yang menakutkan itu pun ditutup dengan kain. Datuk duduk dan sandarkan badan pada sebatang pohon.

Alang Abdul Rauf dan kawan-kawannya terus mencari kayu untuk dijadikan pengusung untuk membawa mayat itu keluar dari kawasan perkuburan.

Tiba-tiba saya terpandang kain penutup mayat bergerak macam ditolak sesuatu dari dalam. Kemudian kain di hujung kaki mayat itu juga bergerak.

Saya segera mendekati Datuk. Saya lihat Datuk tenang. Saya pandang ke arah mayat kembali. Kali ini saya lihat mayat itu terus duduk mencangkung dengan kain menutup tubuh. Saya jadi cemas.

“Mayat itu duduk tuk.”

“Kau jangan mengarut, orang dah mati macam mana boleh bangun atau bergerak.”

“Kalau tak percaya cuba tuk tengok.”

Datuk segera renung ke arah mayat tersebut. Datuk tersenyum lalu menepuk kepala saya beberapa kali. Perlahan-lahan Datuk gelengkan kepala seraya berkata, “Aku tak nampak mayat itu bangun, tetap baring macam tadi.”

“Saya nampak tuk.”

“Tengok mayat tu duduk mencangkung,” tambah saya sambil merenung ke arah mayat.

Dua tiga kali saya gosok kelopak mata. Mayat itu tetap mencangkung.

Aneh kenapa pandangan Datuk dan saya berbeza pada mayat itu. Apakah mata saya sudah rosak? Fikir saya sambil menggosok-gosok mata.

“Kamu mengantuk,” tambah Datuk.

“Tidak,” balas saya.

“Renung muka aku, Tamar.”

Saya terus renung muka Datuk. Saya terdengar suara Datuk membaca Bismillah dan dituruti dengan pembacaan ayat Alhamdulillah hingga akhir.

Sebaik saja pembacaan itu tamat, telapak tangan Datuk menyapu sepasang kelopak mata saya tiga kali berturut-turut. Pandangan saya jadi berpinar-pinar.

Lampu gasolin yang tergantung saya lihat jadi dua, begitu juga dengan kawan-kawan Alang Abdul Rauf. Semuanya nampak kembar. Kelopak mata saya pejam celikkan berkali-kali.

“Kau nampak mayat tu duduk mencangkung lagi?”

Pertanyaan Datuk itu tidak saya jawab. Saya arahkan sepasang mata pada mayat. Ternyata mayat yang saya lihat sebentar tadi duduk mencangkung tetap baring kaku. Muka Datuk saya tatap sejenak.

“Pelik. Memang sah, saya nampak mayat tu duduk mencangkung macam mana pula sekarang dia baring,” kata saya dengan rasa takjub. Datuk menggaru pangkal keningnya berkali-kali.

“Apa yang kamu lihat tadi bukannya mayat tetapi syaitan yang menyerupai mayat,” jelas Datuk.

“Kalau begitu kita balik saja tuk, saya tak suka melihat benda-benda yang ganjil.”

“Sabar, kita tunggu sampai semua urusan mereka selesai.”

Saya menarik nafas dalam-dalam. Kata-kata Datuk itu terus saya patuhi. Kalau saya membantah, pasti Datuk menyuruh saya pulang sendirian.

Mana mungkin saya berani berjalan seorang diri di kawasan kubur yang telah membekalkan saya dengan berbagai-bagai peristiwa yang tidak menyenangkan.

Malam kian larut, rasa dingin kian hebat mencengkam kulit tubuh. Lolongan anjing sudah pun berhenti tetapi, suara jampuk dan burung hantu tetap kedengaran tetapi tidaklah serancak tadi.

Angin tidak lagi bertiup. Titisan embun tetap berlanjutan. Dedaun kering di permukaan tanah kubur melahirkan bunyi bila dirayapi oleh serangga liar yang berjalan malam.

Beberapa orang rakan Alang Abdul Rauf sandarkan badan ke pangkal pokok. Ada di antara mereka yang terlelap dan berdengkur.

Suasana di tanah perkuburan lama itu terasa amat sepi sekali. Datuk dan Alang Abdul Rauf kelihatan tidak mengantuk.

CAKAP

Tiba-tiba suasana sepi dan hening di tanah perkuburan lama itu diganggu oleh bunyi ranting patah macam dipijak oleh manusia, serentak dengan itu juga terdengar bunyi suara orang bercakap yang sukar difahami maksudnya.

Ada cahaya menyuluh ke arah pokok besar di kawasan perkuburan. Agak sukar menentukan dari arah mana cahaya itu datang.

Saya lihat muka Datuk dan Datuk pandang muka Alang Abdul Rauf dengan rasa yang cemas.

Secara mendadak saja rakan-rakan Alang Abdul Rauf yang terlena di pangkal pokok segera bangun, mereka bagaikan digerakkan oleh sesuatu yang aneh. Mata mereka nampak merah dan muka membayangkan rasa takut.

“Kenapa?” tanya Datuk.

“Saya mimpi mayat ini bangun dan mahu mencekik leher saya,” kata kawan Alang Abdul Rauf yang bertahi lalat di pipi kiri.

Bila ditanya pada kawan-kawannya yang lain, semuanya mengakui mengalami mimpi yang sama.

Bagaimana perkara macam ini boleh terjadi? Lima orang mengalami mimpi yang sama, hati kecil saya bersuara.

Alang Abdul Rauf menyuruh rakan-rakannya membasuh muka dengan air yang dibawa (air itu diisi dalam botol besar, yang bertujuan untuk dibuat air minuman).

Cakap Alang Abdul Rauf segera dipatuhi. Suara orang bercakap dan bunyi tapak kaki memijak reranting kering kian kuat.

Tamat siri 81/284

BACA: SBDJ Siri 80: Mayat Berbau Wangi
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM

Hulurkan Sumbangan Anda Bagi Membantu Pembinaan Masjid Serendah RM10

Hulurkan Sumbangan Anda Bagi Membantu Pembinaan Masjid Serendah RM10

Perbadanan BaitulMal Negeri Sembilan mengalu-alukan orang ramai untuk menghulurkan sumbangan serendah RM10 atau seikhlas hati bagi membantu projek pembinaan Masjid Jamek Tunku Besar Tampin, dengan kebenaran dan kerjasama pihak Majlis Agama Islam Negeri Sembilan-Perbadanan Wakaf Negeri Sembilan dengan Jawatankuasa Pembinaan Baru Masjid Jamek Tunku Besar Tampin.

Wakaf Masjid

Perbadanan BaitulMal Negeri Sembilan dalam kenyataan memberitahu, pembinaan masjid baharu itu memerlukan kos sebanyak RM8 juta untuk disiapkan.

Peluang ini terbuka kepada umat Islam yang ingin berwakaf bersama kami dengan mendirikan masjid demi manfaat semua pihak terutamanya masyarakat Islam di Tampin dan daerah sekitarnya.

Umat Islam yang berminat boleh membuat sumbangan terus ke akaun:
  • Bank Islam: 0502-1010-0370-87 (Pembinaan Masjid Baru Masjid Jamek Tunku Besar Tampin)
  • Sila catatkan penerima: Sumbangan Masjid Jamek Tunku Besar Tampin

Atau boleh juga disalurkan terus ke akaun:
  • AmBank Islamic: 009-202-200795-1 (Majlis Agama Islam Negeri Sembilan)
  • Sila catatkan penerima: Sumbangan Masjid Jamek Tunku Besar Tampin

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi lawati laman web; www.wakafnegerisembilan.com

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: utusan

Produk Kecantikan, Perniagaan Yang Melahirkan Paling Ramai Jutawan Di Malaysia

Produk Kecantikan, Perniagaan Yang Melahirkan Paling Ramai Jutawan Di Malaysia

Kecantikan adalah aset dan lambang kewanitaan. Sifat wanita itu pula yang cemburu apabila melihat wanita lain yang seusia dengannya tetapi masih cantik adalah merupakan perkara biasa dan tidak dapat dinafikan yang wanita pada zaman sekarang agak prihatin terhadap kecantikan mereka dan mahu sentiasa kelihatan anggun dan awet muda.

Jutawan Produk Kecantikan
Gambar hiasan.

Ini semua kerana mereka mahu orang yang tersayang menjadi lebih sayang kepada mereka, bimbang pasangan mereka akan mencari wanita yang lebih baik agaknya.

Setiap wanita mengimpikan kulit yang halus mulus, putih bersih dan gebu agar dapat menyerlahkan kejelitaan mereka dan tampak lebih menawan. Ada juga yang mahukan diri mereka kelihatan ramping seperti pada zaman usia muda mereka.

Untuk mendapat kecantikan yang diingini, ada yang sanggup berhabis wang sampai beribu-ribu ringgit setiap bulan khusus untuk membeli produk-produk kecantikan diri yang terdapat dalam pasaran.

Malah, perniagaan barangan kecantikan diri ini, sememangnya telah lama bertapak di negara kita.

Syarikat-syarikat yang menawarkan produk kecantikan diri ini terlalu banyak dan adakalanya kita seperti sedang menyaksikan satu gelombang besar dalam industri perniagaan barangan kecantikan diri dengan penubuhan syarikat-syarikat yang menjual produk kecantikan dan penghasilan jualan bagi satu-satu perniagaan itu ada kalanya mencecah jutaan ringgit setahun.

Penubuhan syarikat-syarikat yang menawarkan produk kecantikan diri ini secara tidak langsung memberi peluang kepada pengedar-pengedarnya untuk mengubah kehidupan mereka.

Ada pengedar yang telah berjaya memperoleh pendapatan lima angka dan ramai lagi yang akhirnya telah berjaya bebas daripada cengkaman beban kewangan.

Namun kini, terdapat juga produk kecantikan diri yang mengandungi bahan beracun yang tidak diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Masyarakat perlu lebih peka dan berhati-hati kerana ada dalam kalangan pengasas produk ini yang lebih mengutamakan keuntungan syarikat semata-mata dan kurang memberi penekanan kepada kesucian produk dan hanya memandang sebelah mata terhadap kesan sampingan produk ke atas pengguna.

Terdapat beberapa faktor yang boleh dikaitkan dengan kejayaan jutawan produk kecantikan diri ini, antaranya:-

1. Wujudnya sistem sokongan kerajaan yang berperanan memberikan sumber-sumber maklumat, memberi peluang-peluang perniagaan dan dana-dana bantuan kerajaan seterusnya membantu memberi impak yang positif kepada penglibatan usahawan produk kecantikan diri ini.

2. Ekonomi negara Malaysia yang stabil dan kewujudan sistem francais menggalakkan peningkatan usahawan dalam bidang ini.

3. Produk kecantikan antarabangsa yang ada dalam pasaran memerlukan kos yang tinggi untuk dimiliki, tetapi produk usahawan tempatan pula sememangnya direka untuk di sasarkan kepada semua golongan termasuk pertengahan dan bawahan.

4. Produk kecantikan usahawan tempatan kebanyakannya adalah berasaskan herba dan barangan yang halal. Dengan pembinaan kilang tempatan pula, kapasiti dan operasi pengeluaran produk dapat dipertingkatkan.

4. Kisah silam usahawan tempatan yang hidup mereka susah ketika zaman kanak-kanak menjadi pembakar semangat untuk mereka terus berusaha mengubah kehidupan yang lebih baik tanpa mengenal erti putus asa.

5. Dugaan yang hebat sebelum dan selepas memulakan perniagaan menjadikan mereka cekal dalam mengharungi onak dan duri dalam bidang perniagaan ini.

6. Taraf penghidupan yang tinggi daripada segi ekonomi, contohnya memiliki kereta dan rumah mewah, mendapat pendapatan bulanan 5–6 angka menjadi daya penarik untuk seseorang itu menceburi bidang perniagaan produk kecantikan diri.

Kesimpulan

Wanita dan kecantikan sangat sinonim. Kedua-duanya tidak akan terpisah dan tidak boleh dipisahkan. Sebut sahaja tentang kecantikan kita pasti akan mengaitkannya dengan wanita.

Kecantikan juga secara tidak langsung telah membantu para usahawan produk kecantikan memajukan perniagaan mereka.

Ada sesetengah antara mereka ini yang telah pun bergelar jutawan kosmetik.

Untuk menjadi jutawan, corak minda dan jiwa mereka telah berubah. Untuk menjadi jutawan, mereka menekankan aspek disiplin dan juga perancangan yang bijak.

Untuk menjadi jutawan, ia tidak datang sekelip mata malahan perlu disertakan dengan usaha-usaha yang lain.

Kebanyakan mereka, walaupun sudah bergelar jutawan, tetapi tidak lupa pada asal-usul.

Dalam melihat kejayaan wanita yang terlibat dalam perniagaan kecantikan, selalunya kita hanya melihat kisah kejayaan mereka.

Tetapi pastinya di sebalik cerita kejayaan akan ada terselit liku-liku kepayahan dalam mengharungi hidup dan perniagaan.

Syabas diucapkan kepada yang telah berjaya, namun bagi yang masih merangkak, jadikanlah cerita-cerita hebat mereka sebagai pedoman kejayaan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: usahawan

Perang Yaman Konflik Antara Sunni-Syiah?

Perang Yaman Konflik Antara Sunni-Syiah?

Yaman menjadi negara terbaharu di Asia Barat yang ditimpa malapetaka selepas Syria dan Iraq terjerumus ke dalam kancah peperangan apabila kumpulan pemberontak Houthi menawan ibu negara itu, Sanaa, pada September 2014.

Perang Yaman

Krisis di Yaman agak rumit dan melibatkan banyak pihak yang bersengketa termasuk pemberontak Houthi, kerajaan Yaman, al-Qaeda, bekas Presiden Yaman, Ali Abdullah Saleh dan parti al-Islah.

Punca Konflik Yaman

Punca sebenar tercetusnya pergolakan ini masih samar, namun faktor konflik geopolitik antara Arab Saudi dan Iran, persengketaan antara Syiah dan Ahli Sunnah Wal Jamaah serta ketidakpuasan hati dalam soal politik dan ekonomi mungkin menyumbang kepada ketidakstabilan di Yaman.

Yaman, sebuah negara yang pernah menjadi antara pusat peradaban tertua di dunia tetapi kini antara negara termiskin dan termundur.

Memahami konflik Yaman

Krisis terbaharu yang tercetus di Yaman menambahkan keadaan tidak stabil Asia Barat ketika Iraq dan Syria masih bergolak.

Selama ini, AS dan kuasa-kuasa Barat lebih memberikan tumpuan memerangi al-Qaeda di Semenanjung Arab (AQAP) di Yaman berbanding kumpulan Houthi yang mewakili minoriti Syiah di kawasan Yaman Utara.

Namun, bagi kebanyakan rakyat Yaman, kumpulan Houthi merupakan watak yang lebih penting daripada AQAP kerana mampu mengubah landskap politik di negara tersebut.

Asia Barat tidak boleh lari daripada isu pergelutan antara Arab Saudi dan Iran untuk memperluaskan pengaruh geopolitik masing-masing di rantau tersebut, keadaan sama berlaku di Iraq dan Syria.

Arab Saudi dan Iran dikatakan terlibat menghulurkan bantuan kewangan dan senjata kepada pihak yang bersengketa.

Dalam kes di Yaman, Arab Saudi secara jelas menyokong kerajaan Yaman yang sekular dan pro-Amerika Syarikat (AS), manakala Iran pula menyalurkan bantuan kewangan dan senjata kepada pemberontak Houthi kerana mempunyai fahaman yang sama iaitu Syiah.

Peningkatan mendadak kekuatan persenjataan kumpulan Houthi sejak Oktober 2013 menguatkan lagi dakwaan ini.

Namun, Iran menafikan tuduhan ini dan menyatakan sokongan kepada Presiden Yaman, begitu juga dengan pemberontak Houthi yang menafikan tuduhan ini dan tidak mahu meminta pertolongan Iran.

Sekiranya benar Yaman menjadi medan perang proksi antara dua kuasa besar di rantau itu, maka amat malanglah kerana Yaman yang merupakan negara termiskin di dunia Arab bakal menuju kehancuran.

Walaupun miskin, Yaman sebenarnya amat penting bagi rantau tersebut, kerana kedudukannya yang strategik kerana terletak di sebelah selat Bab al-Mandab yang menghubungkan Laut Merah dengan Teluk Aden yang menjadi laluan kapal-kapal tangki minyak.

Arab Saudi dan Mesir bimbang keselamatan di laluan itu terancam sekiranya pejuang Houthi menguasai Yaman.

Sengketa Sunni-Syiah

Selain itu, persengketaan antara Syiah dan Ahli Sunnah Wal Jamaah mungkin antara faktor tercetusnya perang di Yaman.

Meskipun, Yaman tidak mempunyai sejarah permusuhan antara dua aliran dalam Islam itu, perkembangan semasa di Syria dan Iraq mungkin mempengaruhi hubungan antara Syiah dan Ahli Sunnah Wal Jamaah di negara itu.

Kehadiran al-Qaeda yang anti Syiah di Yaman sejak 2009 mungkin telah mencetuskan permusuhan antara sekta.

Ramai pemerhati sebelum ini melihat krisis di Yaman lebih kepada pergelutan politik dalaman dan perseteruan antara kabilah, kerana pejuang Houthi tidak mahu kelihatan merampas kuasa tetapi memberontak bagi mendapatkan lebih hak politik dan ekonomi.

Namun, dengan pejuang Houthi kini menguasai hampir keseluruhan negara tersebut, matlamat perjuangan kumpulan pemberontak itu mungkin bukan sekadar mahu menuntut hak politik dan ekonomi, tetapi mahu menggulingkan kerajaan dan melaksanakan undang-undang Syiah seperti yang didakwa.

Apa yang lebih membimbangkan, situasi di negara itu mungkin merebak ke negara-negara Arab lain terutama Arab Saudi yang berjiran dan mempunyai kekeluargaan dengan Yaman.

Siapa Pemberontak Houthi?

Houthi merupakan kumpulan pemberontak yang juga dikenali sebagai Ansarullah yang bermaksud "penolong agama Allah."

Anggota kumpulan ini merupakan kabilah di Yaman yang menjadi pengikut Zaidiyah iaitu mazhab dalam Syiah yang paling mirip dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Kumpulan pemberontak ini mendapat namanya daripada Hussein Badreddin Houthi yang mengetuai kebangkitan pertama kumpulan ini pada Jun 2004 dalam usaha untuk memperluaskan kuasa autonomi mereka di wilayah Saada di Yaman Utara.

Wilayah itu diperintah hampir 1,000 tahun oleh kerajaan imamah Syiah Zaidiyah yang mendakwa keturunan Nabi Muhammad SAW.

Pemerintahan imamah itu tumbang selepas berlaku revolusi Yaman pada 1962 dan sejak itu, wilayah tersebut terpinggir dari segi pembangunan dan ekonomi. Kerajaan Yaman juga mempunyai pengaruh yang kurang di kawasan itu.

Permulaan Konflik

Pemberontakan kali pertama kumpulan Houthi pada 2004 tercetus selepas Hussein yang merupakan ketua ulama pembangkang melancarkan perang bagi mempertahankan komuniti Syiah Zaidiyah daripada pencerobohan kerajaan.

Dalam konflik itu, kerajaan Arab Saudi membantu Yaman bagi menjamin kestabilan sempadan supaya pemberontakan itu tidak merebak ke wilayahnya.

AS yang merupakan sekutu Yaman didakwa turut membantu dengan melancarkan 28 serangan udara ke atas pemberontak.

Pada 2010, pemberontak Houthi dan kerajaan Yaman di bawah bekas Presiden, Ali Abdullah mencapai kata sepakat untuk menamatkan pertempuran melalui gencatan senjata.

Syiah Zaidiyah

Hussein dilahirkan di Marran, Saada pada 1956. Bapanya, Badreddin al-Tabatabai merupakan seorang ulama Syiah Zaidiyah.

Pelopor kumpulan Houthi ini bersama keluargnya termasuk bapa dan adiknya, Abdul Malik pernah menetap lama di Qom, Iran.

Dia dikatakan mempunyai hubungan baik dengan pemimpin tertinggi Iran, Ali Khamenei dan hubungan mereka dikatakan sama dengan pemimpin Hezbollah, Hassan Nasrallah.

Hussein merupakan pengikut Syiah Zaidiyah Jurudiyah yang mirip dengan Syiah Isna Asriyah atau Syiah 12 yang terdapat di Iran.

Sebelum penyatuan Yaman Utara dan Selatan pada 1990, beliau menubuhkan Persatuan Pemuda (Itihad al-Syabab) pada 1986 bagi mendoktrin pemuda memahami Syiah Zaidiyah yang mirip dengan Syiah 12 berbanding mazhab Zaidiyah yang tidak ketara perbezaan dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Selepas penyatuan Yaman Utara dan Yaman Selatan, Persatuan Pemuda berubah menjadi parti politik dengan nama Parti al-Haq yang kemudian berjaya menduduki Parlimen Yaman dari 1993 hingga 1997.

Pada masa sama, Hussein menubuhkan gerakan bersenjata yang dikenali sebagai al-Syabab al-Mukminin bagi menentang pencerobohan AS di Iraq dan campur tangan di Yaman.

Hussein mengetuai al-Syabab al-Mukminin melancarkan pemberontakan terhadap kerajaan Yaman pada 2004.

Namun, beliau terbunuh bersama 20 pengikutnya dalam serangan tentera Yaman di Marran, Saada pada September 2004.

Selepas kematian Hussein, adik-adiknya; Abdul Malik, Yahia dan Abdul Karim mengetuai kumpulan tersebut yang kemudian dikenali sebagai Houthi.

Pemberontakan Houthi

Walaupun militan Houthi mengadakan gencatan senjata dengan kerajaan Yaman pada 2010, pertempuran kecil masih meletus antara kumpulan itu dengan tentera kerajaan dan AQAP yang mempunyai pengaruh kuat di kawasan selatan dan timur negara itu.

Kumpulan Houthi mula menawan Sanaa sejak 21 September 2014 kerana menentang pembentukan kerajaan peralihan yang diterajui sebahagian besar oleh pengikut bekas Presiden, Ali Abdullah yang digulingkan oleh rakyat pada 2012.

Mereka juga menuntut kerajaan Yaman meminda Perlembagaan yang diluluskan bagi membahagikan negara itu kepada enam wilayah persekutuan.

Konflik tersebut semakin memuncak apabila pemberontak Houthi menyerang Istana Presiden Yaman, Abd. Rabbuh Mansur Hadi di Sanaa pada 20 Januari lalu.

Abd. Rabbuh kemudian melarikan diri bersama pengawal keselamatannya selepas dibenarkan keluar dengan selamat dari kediaman itu untuk berlindung di Arab Saudi.

Walaupun Abd. Rabbuh bersetuju untuk memenuhi tuntutan pemberontak sebagai syarat gencatan senjata, militan Houthi yang disokong oleh bekas Presiden, Ali Abdullah terus mara dan mengepung kediaman Perdana Menteri, Khalid Bahah beberapa jam selepas itu.

Krisis yang semakin meruncing itu menyebabkan Abd. Rabbuh meminta pertolongan daripada Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang pro-AS untuk membantu mempertahankan kerajaannya.

Ekoran itu, 10 negara Arab termasuk Arab Saudi, Qatar, Kuwait, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu melancarkan serangan besar-besar di Yaman bagi menghancurkan militan Houthi pada 25 Mac lalu.

Antara kawasan yang menjadi sasaran serangan ialah pangkalan tentera udara al-Anad di utara Aden dan Istana Presiden Yaman di Sanaa.

Serangan itu membunuh beberapa komander kumpulan militan tersebut termasuk Abdel Khaleq Badereddine al-Houthi, Yousef al-Madani dan Yousef al-Fishi.

Serangan tentera bersekutu yang diketuai Arab Saudi itu telah membunuh sekurang-kurangnya 160 orang manakala lebih 500 orang cedera.

Sejak Mac lalu sahaja, hampir 400 orang terbunuh manakala 2,100 cedera dalam konflik tersebut.

Pada 14 April lalu, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan resolusi mengenakan sekatan senjata terhadap militan Houthi dan menggesa pemberontak itu berundur dari kawasan yang ditawan.

Sehingga hari ini, pakatan negara Arab terus menggempur pemberontak Houthi yang semakin terdesak dan kini dilaporkan berlindung di kawasan pergunungan.

Tentera bersekutu menegaskan serangan itu akan diteruskan sehingga pemberontak menyerah diri kepada kerajaan Yaman.

Negara Yang Tersepit

Yaman, sebuah negara antara yang termiskin dalam rantau Arab kini menjadi semakin sengsara akibat konflik di antara pihak yang sedang bertelagah.

Jutaan rakyat Yaman kini berhadapan dengan tiga tragedi kerakusan tangan manusia, konflik bersenjata berat yang dahsyat, kebuluran dan malnutrisi serta penularan wabak kolera, difteria dan H1N1.

Rekod yang dicatatkan oleh World Humanitarian Organization (WHO) menunjukkan:
  • Sejumlah lebih 22 juta atau 75% penduduk Yaman ketika ini memerlukan bantuan kemanusiaan segera.
  • Lebih 2 juta terpaksa melarikan diri dan kehilangan tempat tinggal (Internally displaced Person).
  • Lebih 16 juta tidak mendapat akses kepada bantuan perubatan dan air bersih.
  • 11 juta kanak-kanak turut menjadi mangsa di mana 1.5 juta daripadanya berhadapan dengan malnutrisi akut dan 400,000 sedang kritikal!
  • 18 juta penduduk Yaman berhadapan dengan krisis makanan dengan 8.4 juta tidak tahu bilakah hidangan makanan seterusnya akan dapat mereka nikmati.
  • 1 juta kes kolera dilaporkan sehingga Disember 2017 disebabkan oleh penggunaan air yang tidak bersih dan sehingga kini telah membunuh hampir 2,500 orang.
  • Dilaporkan setiap 10 minit yang berlalu, seorang kanak-kanak meninggal dunia akibat kebuluran dan juga penyakit-penyakit lain yang tidak dapat dirawat dengan sempurna kerana kekurangan fasiliti dan juga ubat-ubatan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: utusan

Thursday, June 27, 2019

Skandal Seks Bill Clinton-Monica Lewinsky Yang Terus Segar Sehingga Ke Hari Ini

Skandal Seks Bill Clinton-Monica Lewinsky Yang Terus Segar Sehingga Ke Hari Ini

Sepanjang lipatan sejarah AS, bukan sekali dua Oval Office dilanda ribut taufan skandal yang menyelubungi Presiden namun, apabila berbicara tentang skandal seks Bill Clinton, ia masih memberi impak kepada Washington sehingga hari ini walaupun selepas berpuluh tahun ia terjadi.

Skandal Seks Clinton-Lewinsky

Skandal panas ini bermula apabila Monica Lewinsky, 22, seorang wanita kelahiran San Francisco, California, memulakan pekerjaan sebagai pelatih di pejabat Ketua Staf Rumah Putih pada musim panas 1995 dan baru saja menamatkan pengajian dari Kolej Lewis dan Clark.

Beberapa bulan selepas itu, pentadbiran Rumah Putih berhadapan dengan sekatan penutupan kerajaan persekutuan berikutan pertelagahan antara Rumah Putih dengan Kongres berkenaan soal belanjawan.

Maka, kebanyakan tugas harian di Rumah Putih yang seharusnya dikendalikan kakitangan awam kini dikendalikan oleh pelatih-pelatih seperti Lewinsky.

Ini menyebabkan mereka perlu berada di Sayap Barat dan berinteraksi dengan semua orang termasuk Clinton sendiri.

Dalam siri dokumentari The Clinton Affair, Monica Lewinsky mendedahkan dia sudah menyimpan hati terhadap Bill Clinton walaupun mengakui ia perkara yang salah.

Satu insiden yang masih segar di ingatannya ialah pada satu ketika, seluar dalamnya terlondeh sedikit antara satu hingga dua inci.

Staf-staf lain tidak menyedari perkara itu tetapi ada seorang individu perasan iaitu Clinton.

Monica Lewinsky mengakui dia seharusnya segera memperbetulkan seluarnya tetapi tidak melakukannya kerana suka dengan perhatian yang diberi presiden kelahiran Hope, Arkansas itu.

Dan sejak itulah, kedua-duanya mula mengintai peluang bersama dan ia direalisasikan pada malam 15 November 1995.

Dalam siri tersebut, Monica Lewinsky mendedahkan perlakuan seksual mereka tidak pernah dilakukan di Oval Office sebaliknya, hubungan seks mereka dilakukan di sebuah pejabat bersebelahan Oval Office yang berperanan sebagai pejabat peribadi presiden.

‘Hubungan cinta kita…’

Pada akhir bulan yang sama, Monica Lewinsky mula bekerja di Pejabat Hal Ehwal Perundangan, membolehkannya terus berada di Rumah Putih.

Untuk mengelakkan hubungan sulit ini diketahui ramai, kedua-duanya cuba mewujudkan satu situasi bersifat kebetulan seperti tersalah masuk pejabat atau mengadakan tugasan yang tidak ada bagi membolehkan mereka bertemu.

Keadaan ini dibantu apabila dia mempunyai pas lencana biru yang membolehkannya berada di semua kawasan Rumah Putih.

Selain itu, Monica Lewinsky juga sentiasa ingat dari arah mana dia masuk atau keluar dari pejabat peribadi Bill Clinton, bagi memastikan tidak wujud situasi ganjil antaranya dengan staf jika mereka menemuinya berhampiran dengan pejabat itu.

Tetapi bak kata pepatah, kalau angin tak bertiup, masakan pokok bergoyang, kisah hubungan cinta terlarang Clinton-Lewinsky ini mula dihidu ramai termasuk staf Rumah Putih sendiri.

Ini kerana mereka merasa pelik bagaimana Clinton boleh mengenali staf bawahan seperti Monica Lewinsky dan sentiasa berhubung rapat dengannya tanpa sebarang sebab.

Bila mengenang detik itu, Monica Lewinsky mengakui ada masanya, dia amat naif dan tidak sedar dengan permainan kuasa yang dimainkan Bill Clinton ke atasnya.

Ini kerana bagi wanita muda sepertinya, dia seharusnya memanfaatkan masa cuti bersama keluarga dan rakan-rakan, tetapi dia tetap berada di Rumah Putih pada hujung minggu hanya semata-mata menunggu panggilan Bill Clinton kerana mabuk asmara.

Akhirnya, hubungan sulit ini sudah mula diketahui dalam persekitaran politik Washington D.C ketika itu.

Berita begini bukan saja dianggap berpotensi menjejaskan reputasi bersih Bill Clinton tetapi juga berpotensi menjejaskan peluangnya memenangi penggal kedua sebagai Presiden Amerika Syarikat.

Maka pada April 1996, Lewinsky dipindahkan ke Pentagon dan dalam siri dokumentari tersebut, dia mengakui suasana di Pentagon terlalu keras dan berdisiplin berbanding suasana di Rumah Putih yang dilihat formal tetapi santai.

Apabila berita pemindahan itu diketahui Bill Clinton, beliau berjanji akan memindahkan Monica Lewinsky kembali ke Rumah Putih sekiranya berjaya memenangi pemilihan semula 1996.

Janji tersebut ditunaikan dan tidak lama selepas itu, dia kembali semula ke Rumah Putih dan hubungan kedua-duanya terus berlaku sehinggalah tahun 1997.

Selalunya, hubungan sulit begini hanya diketahui oleh segelintir orang sahaja yang boleh dipercayai dan memegang prinsip biar pecah di perut, jangan pecah di mulut.

Dalam kes Monica Lewinsky, individu yang mengetahui hubungan cinta terlarangnya dengan Bill Clinton ialah rakan sekerja dan kenalan rapat bernama Linda Tripp.

Dari situ, Linda berkongsi kisah tersebut dengan seorang ejen buku yang dikenali sebagai konservatif anti-Clinton bernama Lucianne Goldberg dan di sinilah bermulanya episod mimpi ngeri Clinton dan Lewinsky.

Apabila mengetahui apa yang berlaku, Lucianne mendesak Linda merakam semua perbualan telefonnya dengan Lewinsky walaupun perbuatan tersebut dianggap salah di sisi undang-undang.

Laporan Starr dan perbicaraan pemecatan

Melalui hubungan Lucianne ini juga, rakaman perbualan Linda Tripp dan Monica Lewinsky turut diketahui oleh pasukan peguam Paula Jones.

Paula Jones ialah seorang bekas kakitangan kerajaan yang memfailkan saman terhadap Clinton pada tahun 1991 kerana kesalahan seksual semasa beliau menjadi Gabenor Arkansas.

Akibatnya, Monica Lewinsky disepina untuk memberi keterangan dalam perbicaraan pada Disember 1997.

Enggan membiarkan hubungan sulit mereka diketahui orang ramai, presiden mencadangkan Monica Lewinsky berbohong di kandang saksi dan itulah yang dilakukannya dalam keterangan bersumpah, “Saya menafikan saya mempunyai hubungan seksual dengan Bill Clinton.”

Tatkala semua ini berlaku, pentadbiran Bill Clinton turut dihantui oleh siasatan berkenaan kontroversi Whitewater.

Skandal ini tercetus berikutan wujud laporan salah laku membabitkan pelaburan yang dibuat oleh Bill Clinton dan isterinya Hillary Rodham Clinton dalam Syarikat Pembangunan Whitewater.

Penyiasat yang diberi tugas menyiasat skandal berkenaan ialah bekas hakim Mahkamah Rayuan, Kenneth Starr.

Semasa mereka masih sibuk menyiasat Whitewater, Kenneth turut mendapat tahu rakaman yang dihasilkan Linda Tripp yang mendorongnya untuk menyuruh Linda memakai mikrofon tersembunyi yang disediakan ejen Biro Siasatan Persekutuan (FBI) semasa berbual dengan Monica Lewinsky.

Pendedahan ini juga membuka pintu yang seluas-luasnya kepada Kenneth bagi meluaskan lagi skop siasatan termasuk skandal seks membabitkan Bill Clinton.

Maka tidak hairanlah apabila Monica Lewinsky disepina oleh pihak berkuasa, mereka menyatakan lebih elok untuknya bekerjasama.

Ini kerana sekiranya dia didapati berbohong semasa memberi keterangan, maka dia melanggar keterangan sumpahnya dan boleh didakwa di mahkamah.

Apabila Bill Clinton diminta memberi keterangan di mahkamah oleh pasukan guaman Jones pada Januari 1998, beliau tetap mengulangi bahawa tidak wujud sebarang hubungan antaranya dengan Monica Lewinsky.

Tetapi semua penafian itu tidak boleh menutup kisah cinta terlarang ini dari diketahui orang ramai.

Pada bulan yang sama, portal berita dalam talian konservatif, Drudge Report, menyiarkan laporan hubungan sulit Bill Clinton dengan identiti Monica Lewinsky didedahkan sehari kemudian.

Kisah tersebut diteruskan oleh media arus perdana beberapa hari kemudian dan mencetuskan skandal di peringkat nasional.

Dan seperti biasa, Bill Clinton masih berpegang teguh dengan kenyataan ini semasa mengadakan sidang media sambil ditemani oleh Hilary, "Saya tidak mempunyai sebarang hubungan seksual dengan perempuan itu, Cik Lewinsky.”

Namun, ada satu perkara yang tidak diketahui Bill Clinton: Monica Lewinsky menyimpan beberapa bukti hubungan cinta terlarang mereka termasuk sehelai gaun berwarna biru yang mengandungi sampel DNA beliau.

Pakaian tersebut langsung tidak dicuci oleh Monica Lewinsky atas nasihat Linda dan ia menjadi salah satu bahan keterangan utama siasatan Starr.

Pakaian itu juga menjadi bukti kukuh hubungan sulit Clinton-Lewinsky benar-benar berlaku dan bukan satu omongan kosong seperti yang didakwa bekas gabenor Arkansas itu.

Bukti tersebut sudah cukup untuk memaksa Bill Clinton mengakui di hadapan jemaah juri bahawa beliau mengadakan sentuhan fizikal intim dan tidak sepatutnya dengan bekas pelatih Rumah Putih itu tetapi tidak menepati definisi hubungan seksual yang digunakan oleh peguam-peguam Jones.

Pada malam 17 Ogos 1998, Clinton turut tampil di televisyen kebangsaan dan membuat permohonan maaf secara terbuka atas tingkah lakunya itu.

Tetapi pada masa yang sama, beliau turut menegaskan tidak pernah menyuruh individu yang terlibat dengan skandal itu untuk berbohong atau melakukan sesuatu yang salah di sisi undang-undang.

Laporan Starr

Pada September 1998, laporan siasatan Starr setebal 445 muka surat diserahkan kepada Kongres untuk langkah seterusnya.

Laporan ini mendedahkan secara terperinci hubungan sulit Clinton-Lewinsky termasuk 11 perkara yang boleh membawa kepada pemecatan Clinton sebagai Presiden Amerika Syarikat.

Laporan yang dikenali sebagai Laporan Starr itu kemudiannya dijadikan sebagai laporan terbuka oleh Kongres dan dijadikan dalam bentuk buku seterusnya menjadi buku paling laris jualan pada tahun tersebut.

Pada Oktober 1998, Kongres mengundi untuk meneruskan perbicaraan pemecatan Bill Clinton.

Dua bulan selepas itu, Kongres turut meluluskan dua usul punca pemecatan Bill Clinton iaitu bersumpah bohong dan menghalang proses keadilan.

Dalam sejarah Amerika Syarikat, Bill Clinton merupakan presiden kedua selepas Andrew Jackson yang perlu mengharungi sesi perbicaraan pemecatan jawatan presiden.

Tetapi seperti Andrew Jackson, Bill Clinton terselamat selepas mengharungi perbicaraan selama 21 hari dan dibebaskan pada Februari 1999.

Bagaimanapun pada April 1999, Bill Clinton dikenakan dakwaan menghina mahkamah kerana memberi keterangan menyeleweng berkenaan status hubungannya dengan Monica Lewinsky dan didenda Hakim Susan Webber Wright sebanyak $90,000.

Lesen guamannya di Arkansas juga digantung selama lima tahun dan kemudiannya oleh Mahkamah Agung Amerika Syarikat.

Kesan skandal

Di sebalik semua ini, Bill Clinton berjaya menamatkan penggal kedua sebagai presiden dan meninggalkan Rumah Putih dengan sokongan paling tinggi berbanding mana-mana presiden Amerika Syarikat.

Semasa prosiding pemecatan berlangsung, beliau turut menyelesaikan kes samannya dengan Jones dengan membayar pampasan sebanyak $850,000 tetapi menafikan sebarang salah laku wujud antara mereka berdua.

Bill Clinton juga masih aktif dalam politik sehingga ke hari ini termasuk membantu kempen calon-calon Parti Demokrat dan menyumbang dalam kempen amal yang bukan berasaskan keuntungan.

Tetapi, terima kasih kepada skandal ini juga mengakibatkan Naib Presidennya ketika itu, Al Gore tewas kepada George W. Bush semasa pemilihan presiden 1999.

Ini berikutan keengganan Parti Demokrat membenarkan Clinton berkempen untuk Al Gore di negeri-negeri tertentu seperti Arkansas dan New Hampshire kerana bimbang impak skandal itu terhadap kempen mereka.

Akibatnya, beliau kehilangan undi penting di negeri-negeri ini dan menurut sesetengah penganalisis, jika Bill Clinton turun berkempen sekalipun, belum tentu ia dapat menjamin kemenangan selesa Al Gore dan wujud kemungkinan peratusan undi yang diterima beliau merosot teruk.

Sementara itu, wanita yang berada di tengah-tengah skandal ini pula menjadi antara wanita paling dikenali untuk satu dekad seterusnya.

Pada Mac 1999, Monica Lewinsky ditemubual Barbara Walters untuk program 20/20 ABC dan ditonton 70 juta penonton, satu rekod bagi sebuah program berita.

Selain itu, dia juga berpeluang menghasilkan buku biografi bertajuk Monica’s Story yang berkisar tentang kisah hidupnya termasuk hubungan sulitnya dengan Bill Clinton.

Selepas cuba berkecimpung sebagai pereka beg tangan dan personaliti televisyen, dia kemudian menyambung pengajian di Sekolah Ekonomi London dalam jurusan psikologi sosial dan berjaya meraih ijazah Master of Science pada tahun 2006.

Sepanjang dekad pertama abad ke-21, Monica Lewinsky memilih untuk mengelak dari menjadi tumpuan ramai.

Tidak ramai tahu impak dari hubungan sulit dan siasatan mendalam terhadap kehidupannya hampir-hampir mendorongnya untuk membunuh diri dan menghidap kecelaruan stres pasca-trauma (PTSD). Ini didedahkan dalam siri dokumentari sama.

Tetapi, secara perlahan-lahan dia bangkit dan pada tahun 2014, menulis satu esei panjang untuk majalah Vanity Fair bertajuk ‘Shame and survival’ berkisar tentang kehidupannya dan impak hubungan sulit yang dihadapinya.

Selain aktif sebagai penyumbang rencana Vanity Fair, Lewinsky juga aktif sebagai aktivis anti-buli siber kerana mahu membantu mangsa buli lain menghadapi situasi memalukan seperti dihadapinya sebelum ini.

Sehingga ke hari ini, Bill Clinton juga masih belum memohon maaf secara peribadi terhadap Monica Lewinsky berkaitan episod gelap yang hampir memusnahkan karier politiknya dan kehidupan masing-masing.

Pada awal tahun 2018 lepas, Bill Clinton dikritik ramai pihak selepas menyatakan tidak berhutang permohonan maaf dengan Monica Lewinsky semasa ditemubual koresponden Today untuk NBC News, Craig Melvin.

Bila ditanya sama ada Bill Clinton seharusnya memohon maaf secara peribadi terhadapnya, dalam eseinya Monica Lewinsky merasakan ia seharusnya dilakukan kerana itu akan menjadikannya individu yang lebih baik di mata masyarakat.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots