Saturday, May 11, 2019

Apa Maksud Bromance? Adakah Sama Dengan Gay?

Apa Maksud Bromance? Adakah Sama Dengan Gay?

Bromance atau juga disebut sebagai 'cinta antara saudara' adalah hubungan bukan seksual antara dua orang lelaki, merupakan sebentuk keintiman homososial tetapi berbeza dengan hubungan homoseksual atau gay.

Maksud Bromance
Gambar hiasan.

Di negara seperti Korea dan Amerika, istilah bromance mungkin sudah tidak asing didengar, tetapi di negara lain, yang belum biasa dengan istilah ini, sehingga boleh menimbulkan pandangan negatif.

Persahabatan Antara Lelaki, Itulah Bromance

Bromance merupakan persahabatan dua lelaki normal yang sudah terjalin lama sehingga membuatkan satu sama lain kenal lebih rapat dan tidak boleh dipisahkan.

Mereka faham dan tahu cara kehidupan antara satu sama lain, sehinggakan kepada perkara yang sangat peribadi.

Jadi, tidak hairanlah jika ramai yang tersalah anggap memandang hubungan bromance sebagai hubungan percintaan antara dua orang lelaki.

Walhal, bromance adalah hubungan personal bukan-seksual, persahabatan yang tidak dilandasi ketertarikan seks songsang seperti gay.

Biasanya, hubungan bromance terjalin kerana meminati hobi atau perkara yang sama dan menganggap rakan lelakinya lebih memahami mereka berbanding kekasih wanita masing-masing.

Kalau ada hubungan yang berlandaskan ketertarikan seksual, pasti hubungan itu dinamakan hubungan lawan jenis dan perlu diingatkan sekali lagi, bromance berbeza dengan gay!

Jalinan hubungan gay lebih khusus kerana melibatkan perasaan kasih sayang, cinta dan rasa ingin saling memiliki, sedangkan bromace adalah hubungan yang diperlukan oleh lelaki untuk saling meluahkan perasaan dan sebagainya.

Akan tetapi, kerana anggapan serong masyarakat, bromance lebih jarang dianggap sebagai persahabatan antara dua orang lelaki dibandingkan persahabatan antara dua orang wanita.

Beza Bromance Dan Brotherhood

Brotherhood adalah persahabatan lebih dari dua orang lelaki dan biasanya dalam sebuah kumpulan, manakala bromance pula adalah hubungan yang dijalin antara dua orang lelaki sahaja.

Tetapi, jangan pula menyamakan brotherhood dengan kumpulan muzik lelaki. Ianya juga berbeza.

Dengan menjalin hubungan bromance, mereka mempunyai wadah untuk saling berbincang tentang pelbagai perkara khusus tentang dunia lelaki.

Ini kerana, memang hanya lelaki yang boleh memahami lelaki, kerana jika berbicara dengan wanita, isteri atau kekasih, pastinya berbeza.

Jadi, jangan memberi penilaian negatif terhadap persahabatan antara dua orang lelaki, kerana mereka rapat bukan disebabkan dorongan seksual, tetapi dua sahabat yang saling berkongsi kehidupan seperti keluarga sendiri.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Apa Itu Notis Perlucutan Hak Yang Dikenakan Terhadap Najb?

Apa Itu Notis Perlucutan Hak Yang Dikenakan Terhadap Najb?

Dalam hantaran Facebook, Najib Razak berkongsi soalan yang dikatakan daripada seorang sahabat berkenaan notis pelucutan hak terhadapnya, isterinya Rosmah Mansor, tiga anak mereka dan 13 individu serta syarikat.

Apa itu Notis Perlucutan Hak
Notis Perlucutan Hak terhadap Najib-Rosmah.

Bekas perdana menteri itu berkata soalan itu memeningkan dan beliau tidak dapat menjawabnya.

"Ada seorang sahabat yang hantar soalan ini kepada saya tapi saya tak tahu bagaimana untuk jawab.

"(Soalannya berbunyi) DSN (Datuk Seri Najib) telah didakwa mahkamah menerima wang RM2.6b 1MDB. DSN telah didakwa mahkamah memulangkan wang RM2.6b 1MDB. Tetapi PH (Pakatan Harapan) nak lucut hak harta DSN dan keluarga yang PH tuduh dibeli dengan wang RM2.6b 1MDB yang telah dipulangkan.

"Macam mana ni?"

Artikel ini akan cuba membantu sahabat Najib tersebut dan juga pihak lain untuk lebih memahami isu yang diperkatakan itu.

Apa itu notis pelucutan hak?

Jabatan Peguam Negara telah memfailkan notis usul berhubung pelucutan hak terhadap ratusan barangan yang dirampas daripada Najib, Rosmah, dan 16 individu lain termasuk anak mereka Riza Aziz, Nor Ashman, dan Nooryana Najwa, serta ibu Jho Low, Goh Gaik Ewe.

Ia bagi merampas lebih RM18 juta dalam beberapa akaun bank, wang tunai RM537,000 dalam pelbagai mata wang, 263 beg tangan mewah, 14 jam tangan, 27 pasang kasut, 27 buah kenderaan model Nissan Urvan, dan rumah Goh di Pulau Pinang.

Notis usul sama turut difailkan terhadap Obyu Holdings Sdn Bhd, yang dikaitkan dengan rakan Najib, Bustari Yusof.

Adakah barangan itu dibeli dengan wang RM2.6 bilion?

Barangan tersebut disita untuk siasatan terhadap skandal 1MDB, tetapi pihak berkuasa belum mengesahkan sama ada ia berkaitan dengan wang RM2.6 bilion.

Bagaimanapun, harus dimaklumkan pertuduhan terhadap Najib bukan saja berkaitan isu RM2.6 bilion.

Dalam pertuduhan berkaitan 1MDB terhadapnya, Najib juga didakwa menyalahgunakan kuasa dan pengaruh dalam kerajaan dan 1MDB untuk mendapatkan habuan berjumlah RM60 juta, RM90.9 juta dan RM49.9 juta - secara berasingan - sebelum dan selepas beliau menerima dan "mengembalikan" wang RM2.6 bilion.

Adakah Najib memulangkan keseluruhan RM2.6 bilion?

Skandal RM2.6 bilion merujuk kepada AS$681 juta yang dipindah ke akaun bank peribadi Najib pada Mac dan April 2013.

Nilai jumlah tersebut pada masa itu ialah RM2.08 bilion, bagaimanapun ketika skandal itu muncul kali pertama pada 2015, kadar tukaran mata wang menunjukkan nilainya pada RM2.6 bilion.

Daripada AS$681 juta, Najib telah memulangkan AS$620 juta (RM2.03 bilion).

Dengan baki AS$61 juta itu, Najib didakwa mengagihkannya kepada lima penerima, iaitu Umno (RM20 juta); Umno Batu Kawan (RM100,000); Lim Soo Peng (RM246,000); ORB Solutions Sdn Bhd (RM2 Juta) dan Semarak Consortium Sdn Bhd (RM303,000).

Selepas diagihkan, baki RM162.4 juta kemudian didakwa dipindah ke salah satu akaun Ambanknya.

Apa kata Najib berkenaan barangan yang disita?

Najib mendakwa polis mengambil langkah pelucutan hak terhadap aset dengan jumlah keseluruhan RM711 juta itu kerana pemulangan barangan akan membuktikan dirinya tidak bersalah.

Beliau berkata tempoh maksimum setahun untuk penyitaan akan tamat dalam masa sepuluh hari, iaitu pada 18 Mei 2019, bermakna polis perlu memulangkan kembali barangan itu.

Najib sekali lagi mengatakan barangan itu ialah hadiah dan derma, antaranya daripada tetamu kehormat luar negara.

Siapa individu-individu, yayasan dan syarikat yang dinamakan itu selain Najib dan keluarganya?

1. Mohd Kyizzad Mesran

Tidak banyak yang diketahui tentang Mohd Kyizzad. Dia pernah berkhidmat di Jabatan Perdana Menteri di bahagian pengurusan aset.

2. Senijauhar Sdn Bhd

Senijauhar Sdn Bhd adalah sebuah syarikat yang mempunyai kaitan dengan Umno Johor.

Menurut Suruhanjaya Syarikat Malaysia, para pengarahnya adalah Pengerusi Umno Johor, Hasni Mohamad; ketua Umno Kluang, Jais Sarday, dan Adun Semarang, Samsolbari Jamali.

Ketika dihubungi, Hasni berkata syarikat itu ditubuhkan untuk menguruskan aset Umno Johor termasuk 27 kenderaan Nissan Urvan yang dirampas oleh pihak berkuasa tahun lalu. Van-van berkenaan digunakan oleh Skuad Sayang Wanita Umno negeri.

Katanya, syarikat itu masih belum menerima notis pelupusan hak untuk van-van berkenaan.

3. Aiman Ruslan

Tidak banyak yang diketahui mengenainya kecuali beliau pernah berkhidmat dengan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

The Edge, yang memetik notis pelucuthakan, berkata kenderaan Nissan X-Trail 4WD yang didaftarkan atas nama wanita itu telah disita pada 13 Ogos 2018 dan tidak jelas bagaimana beliau dikaitkan dengan Najib.

4. Yayasan Rakyat 1Malaysia

Yayasan Rakyat 1Malaysia adalah yayasan yang dipengerusikan Najib yang menyenaraikan matlamatnya sebagai membantu rakyat Malaysia yang kurang bernasib baik melalui pendidikan dan sukan.

Mengikut notis pelucuthakan itu, RM6.87 juta dirampas dari yayasan itu pada 16 Ogos tahun 2018 lalu.

Wall Street Journal sebelum ini melaporkan bahawa Yayasan Rakyat 1Malaysia telah digunakan untuk menyalurkan sumbangan berjuta-juta ringgit daripada Kumpulan Genting sebagai balasan kepada 1MDB yang membeli aset kuasa kumpulan itu pada harga yang melambung.

Laporan itu berkata, ini adalah cara tidak langsung untuk 1MDB menyalurkan wang untuk digunakan pada pilihan raya umum ke-13.

5. Yayasan Semesta

Mengikut notis pelucuthakan itu, RM4,757.02 dirampas dari akaun bank Yayasan Semesta di Petaling Jaya pada 17 Januari tahun 2019.

Yayasan Semesta berdaftar di Petaling Jaya dan beroperasi dari sebuah masjid tempatan dan tidak jelas bagaimana yayasan ini dikaitkan dengan Najib.

6. Yayasan Mustika Kasih

Menurut notis pelucuthakan, sebanyak RM100,000 telah dirampas dari Yayasan Mustika Kasih pada 17 Januari tahun 2019.

Yayasan itu sebelum ini bekerjasama dengan kerajaan dan yayasan lain untuk membantu orang ramai untuk menunaikan umrah dan tidak jelas bagaimana yayasan ini dikaitkan dengan Najib.

7. Rembulan Kembara Sdn Bhd

Syarikat itu dahulunya dikenali sebagai Goldfin Group Sdn Bhd dan berpangkalan di Pulau Pinang.

Sebagai Goldfin Group, ia adalah antara beberapa syarikat swasta yang menyumbang kepada Dana Kesejahteraan Kanak-kanak Antarabangsa yang dilancarkan oleh Rosmah pada Februari 2013. Dana itu ditubuhkan berikutan lawatannya ke Gaza.

RM35,510 dirampas dari akaun bank Rembulan Kembara pada 11 Mac tahun 2019.

8. Goh Gaik Ewe

Goh adalah ibu ahli perniagaan Jho Low yang kini menjadi buruan. Banglo keluarga itu di Pulau Pinang adalah antara barangan yang disenaraikan dalam notis pelucuthakan dan RM852,515 juga dirampas dari akaunnya.

9. Ng Chong Hwa

Lebih dikenali sebagai Roger Ng, bekas ahli perbankan Goldman Sachs yang juga sekutu Jho Low yang telah diekstradisi ke Amerika Syarikat untuk menghadapi tuduhan pengubahan wang haram.

RM1.45 juta telah dirampas dari akaun banknya pada 11 Mac tahun 2019.

10. Lim Hwee Bin

Lim adalah isteri Ng dan menurut Bloomberg, penyiasat sedang menyiasat pemindahan AS$17.5 juta kepadanya, sejurus selepas penjualan bon 1MDB pada Mei 2012 dan RM429,234 yang disita berjaya dirampas dari akaunnya pada tahun 2019.

11. Kee Kok Thiam

Menurut The Edge, Kee telah ditugaskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Nik Faisal Ariff Kamil untuk memasukkan wang tunai ke dalam akaun AmBank Najib.

Beliau juga dihubungi oleh Jho Low untuk membantu mengatur layanan VIP untuk Nawaf Obaid, adik kepada Tarek Obaid dari PetroSaudi International dan RM1.52 juta telah dirampas dari akaunnya pada 11 Mac tahun 2019.

12. Tan Vern Tact

Tan adalah pengarah eksekutif di Utama Banking Group Bhd (UBG) dan pengarah bukan eksekutif di Loh & Loh dan Putrajaya Perdana.

Syarikat-syarikat ini dikaitkan dengan Jho Low dan RM6.44 juta dirampas dari akaunnya pada 11 Mac tahun 2019.

13. Geh Choh Hun

Geh adalah orang kepercayaan Low. Beliau mempengerusikan Kelab Kebajikan 1Malaysia Pulau Pinang, yang aktif dalam menganjurkan makan malam dan mengagihkan sumbangan wang tunai kepada beberapa pertubuhan, termasuk NGO dan tiga kumpulan media tempatan Cina, semasa pilihan raya umum 2013.

RM133,388 telah dirampas dari akaunnya pada 11 Mac tahun 2019.

14: Obyu Holding Sdn Bhd

Obyu Holdings dimiliki oleh Bustari Yusof, adik bekas menteri kerja raya, Fadillah Yusof. Bustari adalah orang kepercayaan rapat Najib.

Menurut Bernama, AGC sedang berusaha untuk menyita dari Obyu Holdings sebanyak 11,990 unit barang kemas, jam tangan 401 utas dan 16 unit aksesori jam tangan, cermin mata 234 unit dan 306 beg tangan serta wang tunai berjumlah RM114,164,393.44 dalam pelbagai denominasi.

Semakan di mahkamah mendapati kes berkenaan telah dibawa di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Jenayah.

Bagaimanapun, tarikh kes itu akan didengar di mahkamah mana belum ditetapkan lagi.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Realiti Sedih Pelukis Anime Di Jepun

Realiti Sedih Pelukis Anime Di Jepun

'Anime' adalah label yang digunakan di seluruh dunia, merujuk kepada animasi yang datang khas dari Jepun, kerana hasil kerja yang dihasilkan individu-individu berbakat dari sana yang nyata sangat kreatif termasuklah dari segi penghasilan jalan cerita.

Anime Jepun

Watak serta dunia fantasi yang mereka hasilkan mampu menguasai pemikiran masyarakat dunia, termasuklah kita di Malaysia.

Namun, hakikat sebenar proses pembikinan 'anime' ini memerlukan pengorbanan yang cukup besar daripada individu-individu yang terlibat.

Dalam kita teruja menonton karya yang mereka berjaya hasilkan, inilah kisah sebenar disebalik tabir kehidupan pengkarya anime.

Mungkin di negara kita ramai artis meletakkan impian untuk menjadi seorang pengkarya di Jepun, sebagai impian mereka dalam karier namun mereka yang berada di Jepun menghasilkan anime setiap hari menghadapi dilema yang nampaknya tidak kesudahan.

Industri anime di Jepun merupakan sebuah perniagaan yang sangat besar dengan nilai pasaran RM76 bilion setahun.

Malangnya, penggiat seni yang berkecimpung dalam bidang tersebut kebiasaannya dibayar dengan gaji yang sangat rendah, lebih layak dikatakan tidak sepadan dengan hasil kerja mereka.

Perkara ini seolah menjadi satu kebiasaan, sehingga karier dalam industri anime terkenal sebagai salah satu industri yang digelarkan sebagai 'black labor' berikutan gaji rendah ditawarkan dan tempoh kerja yang sangat panjang.

Ketidak seimbangan pendapatan di antara pengkarya dan peniaga

Statistiknya, sejak tahun 2002 sehingga kini, jumlah untung yang dijana daripada penghasilan anime semakin meningkat naik ekoran pasaran dunia yang semakin menerima karya mereka.

Walaupun begitu, pembahagian keuntungan ini tidak berlaku dengan seimbang apabila studio yang bersusah payah menghasilkan episod-episod untuk tontonan orang ramai, hanya mendapat secara purata kurang 10% daripada jumlah kutipan keseluruhan.

Oleh kerana syarikat-syarikat produksi memegang hak cipta penerbitan, penjualan produk serta hak pengedaran, lebih 90% daripada jumlah keuntungan hanya berlegar kepada syarikat-syarikat yang mengawal hak cipta sesuatu anime.

Atas sebab tersebut, studio-studio yang mendapat kontrak untuk penghasilan anime selalunya terpaksa membayar gaji yang sangat rendah kepada pekerja-pekerja. Berapa rendah? Sangat rendah dan agak mengejutkan.

Pendapatan yang tidak setimpal dengan usaha

Kita sudah sedia maklum Jepun merupakan salah sebuah negara di mana kos sara hidup mereka sangat tinggi.

Sukar untuk dibayangkan bagaimana seorang pengkarya anime yang bertindak sebagai animator atau pelukis latar belakang mampu menyara hidup dengan pendapatan yang agak rendah.

Kebiasaannya, seorang pekerja animator di Jepun dibayar sebanyak 200 yen (RM7.50) untuk setiap lukisan mewakili satu panel anime.

Secara purata bagi artis yang berkebolehan tinggi, mereka mampu menyiapkan lebih kurang 20 panel sehari menjadikan pendapatan mereka sekitar 4,000 yen (RM150) sehari atau 120,000 yen sebulan (RM4460). Ini bermakna, dalam satu tahun, purata pendapatan artis anime di Jepun adalah sekitar 1.44 juta yen.

Berapakah purata pendapatan keseluruhan pekerja di Jepun secara amnya? 3.54 juta yen setahun!

Apa yang lebih menyedihkan, kebanyakan studio anime terletak di barat Tokyo yang meletakkan standard 907 yen sejam sebagai gaji minimum untuk sebarang jenis pekerjaan.

Sekiranya kita mengambil pendapatan sehari penggiat anime sebanyak 4,000 yen bekerja selama 10 jam - ini menjadikan pendapat sejam artis anime sebanyak 400 yen jauh lebih rendah berbanding gaji minima di Tokyo.

Waktu kerja yang panjang

Kes-kes kemurungan sudah menjadi satu perkara biasa dilaporkan berlaku di kalangan penggiat seni anime Jepun. Pekerja yang melakukan kerja lebih masa sehingga mencecah 100 jam sebulan hanya untuk mendapatkan pendapatan lebih juga sudah kerap kedengaran.

Purata waktu bekerja sehari untuk industri anime di Jepun adalah 11 jam sehari dengan empat hari cuti setiap bulan dan pada 'waktu-waktu lapang', sesebuah studio anime masih mengekalkan temph kerja 6 hari seminggu, 10 jam sehari.

Hendak tahu satu fakta yang lebih memeranjatkan? Pengalaman tidak memberikan keistimewaan dalam industri anime di Jepun.

Seorang pengarah teknikal anime bernama Taiki Nishimura memberitahu, selepas dia berkecimpung dalam bidang ini selama lebih 20 tahun, pendapatannya masih lagi pada purata yang serupa seperti apa yang disenaraikan di atas.

Beliau memberitahu berikutan pendapatan yang rendah, ada kalanya beliau terpaksa bekerja dalam dua anime dalam satu masa.

Walaupun begitu, untuk mendapatkan pendapatan yang mencukupi, Taiki terpaksalah melupakan waktu rehatnya bekerja tanpa henti siang malam.

Menurut Taiki, ramai di antara rakan-rakan sekerjanya yang terpaksa mengambil langkah begitu bagi memastikan wang sewa rumah mencukupi dan beliau sendiri bernasib baik sudah memiliki kediaman sendiri.

Jadi, kepada peminat-peminat anime Jepun, sekiranya selepas ini anda tonton episod-episod kegemaran, ingatlah penat lelah mereka yang berusaha sekeras mungkin menyiapkan setiap karya kepada anda.

Mungkin anda akan mendapati ada kalanya lukisan yang dibuat tampak haru-biru dan sekadar dilakukan tangkap muat.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Friday, May 10, 2019

Linda Rafar Tampil Mohon Maaf Selepas Di Dakwa Fitnah Jururawat

Linda Rafar Tampil Mohon Maaf Selepas Di Dakwa Fitnah Jururawat

Pelakon Linda Rafar akhirnya tampil memohon maaf secara terbuka dalam isu pertelingkahannya dengan seorang jururawat tidak lama dulu sempena bulan Ramadhan, kerana tidak mahu menyimpan dendam terhadap mana-mana pihak yang didakwa pernah memfitnahnya.

LINDA RAFAR mohon maaf

“Ketika sidang akhbar terakhir, saya berasa marah, dikhianati, dihina dan sedih kerana pemergian ibu tidak menghentikan buli siber terhadap saya. Hati saya penuh kemarahan.

“Peguam saya menghantar notis kepada ratusan orang yang memfitnah tetapi hati saya tidak tenang.

“Sempena bulan Ramadhan ini, saya mengambil kesempatan untuk memohon maaf jika saya ada menyakitkan hati sesiapa. Saya juga memaafkan mereka yang memohon maaf," katanya di Instagram.

Menurut Linda, tiada siapa yang hebat di atas muka bumi ini dan tidak salah jika ada pihak terlebih dahulu memohon maaf atas sesuatu isu.

Selain kepada pihak yang didakwa memfitnahnya, Linda juga dipercayai membuat permohonan maaf kepada jururawat tersebut.

Sementara itu, NGO Delegation of Nurses (DON) dalam kenyataan di Facebook rasmi mereka memaklumkan perbicaraan antara seorang selebriti dengan seorang jururawat dianggap selesai.

DON yang menjadi pemudah cara kepada jururawat itu berkata kedua-dua pihak setuju menyelesaikannya di luar mahkamah.

Antara persetujuan yang dicapai ialah selebriti tersebut akan membuat permohonan maaf melalui Instagram miliknya atas tindakan menularkan gambar jururawat tersebut dahulu, kata DON.

Tidak Ikhlas Minta Maaf

Bagaimanapun, seorang doktor tampil mempertikai permohonan maaf tersebut kerana menurutnya tidak merujuk secara langsung kepada jururawat yang terlibat.

“Malangnya bila saya baca permohonan maaf di Instagram milik selebriti tu, dia masih punya ego melangit.

“Langsung tak sebut spesifik pada jururawat yang difitnahnya. Perkataan jururawat pun tak ada. Itu macam minta maaf nak sambut hari raya," katanya menerusi Facebook.

Dia yakin itu bukan permohonan maaf terbuka seperti yang dipersetujui pihak jururawat tersebut dan meminta DON memandang serius perkara itu.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Mahu Tukar 2 Tayar Baharu, Pasang di Depan atau Belakang?

Mahu Tukar 2 Tayar Baharu, Pasang di Depan atau Belakang?

Jika tukar dua tayar kereta, anda akan pasang pada roda depan atau belakang? Logiknya, kita pasti memilih untuk letak di depan kerana beranggapan beban berat lebih bertumpu di depan (untuk kereta jenis pacuan roda depan - FWD). Lagipun bunga tayar belakang lebih lambat haus. Betul?

Tayar baru depan atau belakang

Kami temui satu video tentang sama ada dua tayar baharu 'perlu dipasangkan di bahagian depan atau belakang'.

Sekadar Trend atau Fakta Mekanikal?

Berdasarkan video berdurasi 1 minit 52 saat di bawah, jelas menunjukkan jika tayar baharu dipasang di depan, kenderaan anda akan mudah hilang kawalan atau oversteer, terutama ketika memandu atas jalan basah.

Jadi, anda dinasihatkan agar menukar keempat-empat tayar dan jika mahu juga tukar dua tayar atas faktor bajet, pastikan tayar baharu dipasangkan pada roda belakang.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:



sumber: pandulaju

Dosa Dari Masjid Yang Melahirkan Generasi Pendendam

Dosa Dari Masjid Yang Melahirkan Generasi Pendendam

Sebahagian besar masjid di negara ini mempunyai simpanan wang yang teramat banyak dan ia kemudian hanya digunakan untuk membaik pulih bangunan masjid, tukar permaidani dan hal-hal seumpamanya.

Masjid Kosong

Memang itulah yang kamu dapat apabila masjid-masjid ditadbir oleh cikgu pencen, polis pencen dan individu yang berasakan masjid itu adalah milik peribadi mereka.

Yang polis pencen, sibuk nak tangkap pencuri wang tabung. Maka sibuklah dia memastikan ciri-ciri keselamatan masjid. Merata-rata dipasangnya CCTV. Keliling masjid dipasang pagar besi. Pantang ada pintu dan tingkap.

Masuk masjid kadang-kadang dah rasa macam masuk lokap. Mentang-mentanglah awak bekas polis.

Yang cikgu pencen pula sibuk dengan hal-hal keceriaan. Karpet mesti macam hotel lima bintang. Lampu cantik mesti ada di sekeliling pagar.

Pendingin udara wajib ada, sementara kipas gergasi dipasang sebagai persediaan sekiranya penyaman udara bermasalah.

Takut sangat panas semasa beribadat sedangkan panas api neraka terlebih panasnya apabila kamu salah uruskan wang orang ramai.

Kemudian, cikgu-cikgu pencen tidak lain kerjanya ialah mengherdik budak-budak yang baru belajar ke masjid.

Jubal lawa, oud harum

Yang kanak-kanak dimarahi kerana bising. Yang remaja dijerkah kerana bacaannya salah. Yang tua sedikit dipersalah kerana tidak duduk muzakarah.

Maklumlah, cikgu pencen, dah terbiasa marahkan budak sampai ke tua tak habis panasnya.

Orang yang tidak pergi masjid pula bukannya dipujuk, malah diperlekeh seolah-oleh sebelah kakinya dah masuk neraka.

Apabila budak tabligh datang nak tolong ajak orang kampung kamu ke masjid, kamu buat muka masam. Menyampah, kata kamu. Busuk, kata kamu.

Walhal kamu tidak tahu yang kebanggan budak-budak tabligh itu ialah memakai jubah yang paling lawa. Menyimbah minyak wangi oud paling mahal pada badan pula adalah kemegahan.

Kamu sendiri pun pakai minyak wangi Mydin. Itupun yang diwakafkan di masjid-masjid.

Kami tahu kamu akan segera mengatakan bahawa sebagai ejen orang kafir, tulisan kali ini mesti mahu mencari salah bangsa Melayu Islam.

Dan setelah menyerang bahasanya, kali ini - kata kamu - kami sibuk pula mahu mencari salah orang masjid.

Nak kata apa lagi, kamu semua memang jenis begitu.

Mesti rayu sumbangan

Nampak sampah di jalan, bukannya kamu pakat-pakat bersihkan sebaliknya kamu ambil gambar, letak di media sosial dan kamu maki.

Sampah itu kamilah. Tidak berguna kepada kamu. Menyusahkan dan menyesakkan.

Seperti yang kami katakan dulu, ada antara masjid di bandar-bandar besar mempunyai simpanan wang sumbangan orang ramai hingga berjuta-juta ringgit.

Wang itu tidak berkurangan kerana saban hari - dan yang paling penting - sebahagian AJK masjid akan merayu sumbangan.

Mahu kenduri sambut Maal Hijarah, minta sumbangan. Orang minta buat tahlil arwah pun kamu minta duit.

Pendek kata agenda paling utama sesetengah masjid ialah menambah wang simpanan masing-masing.

Yang dipertikaikan cuma, ke mana wang itu dibelanjakan?

Betullah kamu pandai mencari dana, namun mengapa wang itu hanya dibelanjakan untuk keceriaan bangunan masjid?

Keceriaan budak-budak yang mahu bersekolah, bagaimana? Adakah kamu tidak tahu berita betapa hari ini anak-anak kita yang sedang belajar di universiti ada antara mereka mengikat perut kerana tidak cukup makan?

Mengapa tidak boleh wang yang sebegitu banyak dijadikan biasiswa? Jangan biarkan mereka berhutang dengan sesiapa. Jangan biarkan mereka selamanya menjadi hamba sesiapa. Kita ini orang Islam!

Duit untuk siswa

Atau jika payah sangat, bayar saja mana-mana kedai makan berhampiran tempat budak-budak itu belajar. Suruh mereka sediakan makanan setiap hari kepada pelajar-pelajar yang tidak mampu.

Tapi, siapkan makanan tu, mahal sikitlah. Janganlah kangkung goreng tiap-tiap malam. Buatlah hidangan yang macam kamu sendiri yang mahu makan.

Biar budak-budak itu senang belajar dan tidak perlu bersusah hati memikirkan perut masing-masing atau bayarkan saja hutang PTPTN mereka.

Seperti yang kami katakan dulu, apabila kamu berbaik dengan budak-budak itu, nanti merekalah yang akan kembali memenuhi masjid kamu.

Jika kamu lakukan semua ini, nanti kita akan dapati lahir satu generasi yang selalu bersyukur, bukan jenis pendendam macam yang kita ada hari ini.

Disebabkan semasa belajar mereka miskin, apabila bekerja mereka membalas dendam dengan berbelanja macam tidak dilihat tuhan.

Kamu dapat wang percuma dan selama mana ada ayat al-Quran yang mengatakan betapa besarnya kelebihan bersedekah, selama itulah akan ada mereka yang murah hati memberikannya.

Budak-budak Bangladesh yang gaji entah berapa sen itu pun tidak pernah lokek untuk memberi sumbangan setiap kali tabung masjid lalu di depan mereka.

Sedangkan kamu apabila dapat wang daripada mereka, segera menyimpannya untuk dijadikan modal berbangga-bangga. Masjid aku banyak duit. Masjid aku cantik.

Budak curi RM2 kamu pukul setengah mati. Sakit sangat hati kamu apabila budak yang entah kebulur tidak makan atau sang bapa kebingungan menanggung keluarga mencuri seringgit dua wang yang memang sepatutnya menjadi hak mereka itu.

Tak malukah ada masjid kaya sedangkan ahli kariahnya meminta-minta? Kamu mahu jawab apa dengan tuhan nanti?

Kita orang beragama. Kita berbangga sebagai Muslim yang sederhana, Muslim yang tidak membunuh orang. Muslim yang taat dengan perintah benar tuhan.

Namun di mana mahu kita letak muka apabila orang tidak Islam mula mempertikaikan cara kita menguruskan wang sumbangan orang ramai?

Sepatutnya masjid-masjid yang mempunyai wang yang banyak bertindak melakukan sesuatu bagi membantu masyarakat di sekeliling.

Jika tidak pandai, gajikan mereka yang ahli. Tahulah mereka bagaimana mahu membelanjakan wang masjid itu.

Jangan bimbang ditipu kerana selama mana kamu menyimpan wang sumbangan orang ramai tanpa membelanjakannya kepada yang hak, maka selama itulah kamu sedang ditipu syaitan.

Selamat berpuasa kepada semua pembaca yang beragama Islam. Semoga mendapat keberkatan bersama bulan ini, seperti yang dijanjikan tuhan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

SBDJ Siri 68: Puja Lidah Anak Dara

SBDJ Siri 68: Puja Lidah Anak Dara

“Cuba kau tengok Tamar, apa yang jatuh atas lantai,” cukup lembut Datuk mengeluarkan perintah. Dengan rasa jijik saya segera mematuhi cakap Datuk. Saya periksa ulat-ulat yang ada atas lantai.

Toyol jadi-jadian

“Bukan ulat tok,” beritahu saya terketar-ketar.

“Kalau bukan ulat, apa bendanya?”

“Benang putih yang sudah reput dan bercerai-cerai, kalau dikumpulkan jumlahnya dekat tiga buku benang.”

“Sebenarnya, penglihatan kita sudah disihir. Benang nampak macam ulat,” Datuk terus renung ke muka isteri Haji Salim.

Datuk juga menyuruh isteri Haji Salim mencari tiga pucuk pisang tanduk yang belum kembang penuh.

Isteri Haji Salim menyediakan bahan-bahan tersebut. Tubuh Haji Salim diletakkan atas pucuk pisang tersebut, manakala kepalanya di lapik dengan badan kukur kelapa.

Mata kukur yang bergigi seratus dicabut. Diikat pada ibu kaki kanan dan kiri Haji Salim.

Tubuh Haji Salim tidak menggeletar lagi. Ia terbaring kaku, macam orang pengsan. Beberapa minit kemudian, Haji Salim membuka mata.

Mukanya yang pucat kembali menjadi merah. Pucuk pisang yang melapik badannya terus kecut dan layu, seperti kena api.

Haji Salim terus duduk. Bengkak di lengannya terus surut. Wajah Datuk direnung oleh Haji Salim seketika, seolah-olah mengucapkan ribuan terima kasih. Datuk terus memeluk tubuh Haji Salim erat-erat.

“Kita sedar kita kena sihir, tapi tak terdaya melawannya. Pengaruh syaitan tu cukup kuat. Kita jadi lupa dengan beberapa ayat Quran yang perlu dibaca bila terasa diri disihir orang,” beritahu Haji Salim pada Datuk dalam keadaan suara yang terputus-putus.

Datuk terus menepuk-nepuk belakang Haji Salim sambil berkata:

“Rawatlah luka awak tu. Kalau tak boleh pergi saja ke klinik kerajaan.”

“Rasanya, boleh dibuat cara kampung.”

“Buatlah mana yang patut. Asalkan luka awak sembuh.”

“Saya cuba. Dengan izin Allah, tetap sembuh.”

Saya cuma tersenyum sahaja mendengarkan perbualan Datuk dengan Haji Salim.

Isteri Haji Salim juga tersenyum. Senyumnya tentu lebih lebar daripada saya. Suaminya sudah beransur pulih.

Datuk juga menceritakan pada Haji Salim tentang usahanya mencari rumah Dukun Pendekar yang mencari guru pada Daud. Haji Salim anggukkan kepala.

“Saya tidak mampu melawannya. Ilmu batinnya yang diapit syaitan cukup kuat,” terang Datuk dengan wajah kesal.

“Berusaha dan berikhtiarlah. Kalau dibiarkan ramai orang yang jahanam.”

“Tengoklah, sebelah malam nanti saya pergi lagi ke pondoknya.”

“Kalau begitu, biar saya ikut sama.”

“Tak payahlah, diri awak belum cukup baik.”

“Apa yang boleh saya tolong?”

“Awak doakan kejayaan saya.”

“Saya berjanji.”

Datuk terus bersalam dengan Haji Salim. Kami meninggalkan rumah Haji Salim.

Waktu saya sampai di kaki tangga rumah Datuk, matahari sudah pun berada di kaki langit.

Beberapa ekor burung gagak berterbangan menuju ke sarang. Kelawar mula mengembangkan kepak mahu memulakan tugas mencari rezeki.

Saya renung ke langit, cukup bersih. Saya lihat keluang terus terbang berkawan-kawan mencari bunga durian.

Cara kebetulan waktu itu musim durian berbunga di kampung saya. Terdengar sayup-sayup tembakan senapang kampung berlaras satu, berturut-turutan.

Dan fahamlah saya tembakan itu dilepaskan oleh beberapa orang Cina yang datang dari Sitiawan dan Air Tawar yang suka makan daging keluang.

“Cepat mandi. Maghrib dah tiba, kita nak pergi ke surau sekarang. Kau lambat, kau tinggal,” sergah Datuk dari anjung rumah.

Ia sudah siap mandi dan mengenakan pakaian yang rapi.

“Malam ini, ada guru agama dari Jabatan Agama Islam mengajar rukun haji dan mandi mayat,” sambung Datuk lagi.

Tanpa membuang masa saya terus mandi. Tergesa-gesa sarungkan kain pelekat dan baju Melayu. Kepala saya terus diserkup dengan ketayap putih.

TINGGAL

Saya meninggalkan surau kira-kira jam sebelas lebih. Lepas makan malam, saya terus masuk ke bilik tidur. Datuk terus membaca Quran di ruang tengah.

Mungkin badan terlalu letih, saya terus terlelap.

Saya terjaga, bila Datuk menyentap kaki kanan saya agak kuat dari biasa. Tanpa fikir panjang, saya terus duduk.

“Cepat sangat Subuh datang.”

“Bukan Subuh. Baru pukul tiga pagi. Bangun ikut aku.”

“Ke mana tok?”

“Bangun, jangan banyak cakap.”

Saya terus bangun dan tukar pakaian. Kemudian terus mengikut Datuk menuju ke pondok lama di tengah sawah.

Berjalan, dalam keadaan yang agak gelap dalam suasana yang dingin memang terasa sukar sekali.

Dua tiga kali saya terjatuh kerana tersepak tunggul dan ranting kayu.

“Melangkah dengan teliti,” beritahu Datuk bila kami sampai di halaman pondok lama. Semua pintu dan tingkap pondok tertutup rapat.

Dari celah-celah papan dinding yang susunannya tidak teratur dan rapat, terlihat cahaya pelita minyak tanah.

Saya dan Datuk mengintai ke dalam pondok melalui celah-celah papan dinding.

Ada dua tubuh bengkok terkapar atas lantai, macam angka lima yang jaraknya tidak jauh dari pelita minyak tanah. Mereka memakai baju dan seluar hitam.

Saya kenal mereka. Lelaki yang meletakkan tangannya atas leher sambil mengeluarkan dengkur yang kecil itu ialah Daud.

Manakala lelaki yang merapatkan kepala lututnya dengan pangkal dagu dan tidak berdengkur itu ialah Kamal, guru pada Daud.

Tidak jauh dari pelita minyak tanah, di sebelah kanan terdapat beberapa keping daging kering yang nipis, diletakkan atas daun pisang.

Sekali pandang daging itu bentuknya macam paru goreng. Tidak jauh dari daging kering terdapat dupa yang diisi dengan bara. Dupa itu mengeluarkan asap yang nipis bersama bau kemenyan.

“Apa benda yang macam daging kering tu tok?”

“Cuba kau kira, berapa jumlah daging kering tu,” selesai mendengar cakap Datuk itu, saya terus menghitung daging kering tersebut.

“Ada tujuh keping tok.”

“Maknanya, mereka sudah memotong tujuh lidah anak dara sunti.”

“Ah…,” keluh saya cemas.

Badan saya mula terasa seram sejuk. Perkara-perkara yang buruk dan menakutkan mula terbayang dalam kepala.

“Mereka baru lepas memuja lidah,” bisik Datuk ke telinga saya.

Datuk terus menggaru pangkal pipi kanannya yang digigit nyamuk. Seekor katak puru melompat tidak jauh dari kaki saya. Beberapa ekor nyamuk mula menggigit cuping telinga saya.

Angin pukul tiga pagi terus bertiup garang. Dedaun rumbia berlaga sama sendiri, begitu juga dengan daun kelapa.

Dahan dan ranting kering terus gugur ke bumi. Bunyi dedaun rimba, daun kelapa dan ranting yang jatuh itu bila berpadu menimbulkan bunyi yang tidak menentu.

Sesekali terdengar macam bunyi suara bayi menangis. Bila diteliti terdengar seperti bunyi orang mengeluh menahan kesakitan. Ada masanya pula macam bunyi orang ketawa.

Disebabkan saya tahu punca dari semuanya itu adalah dari dedaun dan ranting jatuh yang ditiup angin, hati saya tidaklah cemas sangat tetapi debarnya tetap ada.

Tiba-tiba saya lihat Kamal bangun. Ia membuka seluarnya dan bertelanjang bulat. Saya menutup muka bila ia menghalakan anunya yang hodoh ke arah saya.

“Sial, haram jadah,” kutuk saya.

Datuk tersenyum melihat telatah saya. Tiba-tiba saya terdengar bunyi air, saya membuka mata.

Ya Allah, kenapa begitu buruk benar perangai Kamal. Ia kencing berdiri dalam pondok yang jadi tempat tidurnya.

Kamal sarung seluarnya kembali. Ia duduk sambil mengutip ulat-ulat tokak yang jatuh atas lantai, ditaruh ke dalam tokaknya kembali.

“Masuklah kenapa mengintai, perbuatan tu tak baik,” cara mendadak sahaja Kamal bersuara.

Saya tahu, kata-kata itu ditujukan pada Datuk dan saya. Cepat-cepat bahu Datuk saya cuit.

“Jangan silap, dia bukan bercakap dengan kita. Dia bercakap dengan orang lain.”

“Ah, dengan siapa tok.”

“Kau cakaplah.”

Cakap Datuk itu memang tepat, saya lihat salah satu lidah yang ada di depannya bergerak-gerak. Lidah itu berpusing-pusing di depan Kamal sebentar.

Kemudian lidah itu terus terdampar atas dupa. Bara dalam dupa terus padam. Kepulan asap bertambah tebal keluar dari dupa.

Dari gumpalan asap itu, saya lihat ada kepala manusia berawang-awangan. Dari mulutnya terjelir lidah yang panjang dan menitik darah segar ke dalam dupa.

Kepala yang botak licin dengan dua mata terpelohong ke dalam berpusing-pusing atas dupa.

Berhenti bila mata yang berlubang itu menentang mata Kamal. Daud terus berdengkur, tidak tahu apa yang berlaku pada sisinya.

“Kamu lapar?” tanya Kamal.

Lidah yang terjulur dari kepala yang licin itu tersentap ke dalam. Dari matanya yang terpelohong ke dalam memancarkan cahaya bara yang menyilaukan pandangan saya.

Perlahan-lahan Kamal mengangkat kakinya tokak itu ke arah bara. Beberapa detik kemudian, lidah dari kepala botak terjulur kembali.

Kali ini lebih panjang dan lebar dari tadi. Lidah yang merah segar itu terus menjilat-jilat tokak di kaki Kamal, macam lidah kucing menjilat susu yang tumpah.

Beratus-ratus ekor ulat dari tokak Kamal berlari atas lidah dan hilang ditelan oleh kepala licin.

Perkara itu berlangsung kira dua tiga minit sahaja. Semua ulat-ulat di tokak Kamal hilang. Kamal menarik kakinya kembali.

Tanpa dikejutkan oleh sesiapa, Daud terus bangun dan melukakan ibu jari kakinya dengan pisau lipat. Darah merah memancut dari ibu kaki.

Sebelum darah itu menitik ke atas lantai, Daud menghalakan ibu jari pada lidah dari kepala botak.

Keadaan Daud dan Kamal berbeza sekali. Ulat di tokak Kamal dijilat dengan lidah tetapi darah Daud terus disedut dengan rakusnya oleh kepala di atas dupa. Masa darahnya disedut, Daud tetap senyum.

“Tarik kaki kamu,” Kamal mengeluarkan arahan.

Cepat-cepat Daud menyentap kakinya. Kepala licin di atas dupa berpusing lagi. Asap kian tebal dan menghitam.

Asap yang menebal di dupa mula menipis.

Kepala manusia yang menggerunkan itu masih berada di situ. Kali ini ia tidak berpusing.

Kepalanya yang botak licin mula ditumbuhi oleh rambut yang hitam lebat dan panjang sampai ke atas lantai.

Dan rambut itu seolah-olah menjadi tiang untuk kepala tanpa badan itu berada dalam keadaan tegak.

“Lidah anak dara sunti masih belum cukup 44. Kalau tak cukup apa yang kamu tuntut tidak akan menjadi. Kamu tidak akan menjadi kaya-raya.

"Kamu tidak akan dapat harta karun. Kamu tak boleh hidup sampai dunia kiamat,” terdengar suara parau yang keras. Tidak tahu dari arah mada datangnya.

Tetapi yang pasti, mulut dari kepala yang kaku atas dupa itu bergerak-gerak. Matanya nampak berkedip-kedip sekali sekala.

“Apa yang kamu dapat sekarang cuma separuh sahaja. Pantangnya kamu tidak boleh kena air dan pasir yang timbul di tengah sungai. Semua pantang itu menjadi tawar bila dapat 44 lidah anak dara sunti,” bergema lagi suara parau yang keras. Kamal termenung dan merenung muka Daud.

Kamal terus mengangkat kedua belah tapak tangannya ke dahi. Ia menyembah kepala di atas dupa sambil berkata:

“Kami dalam bahaya di sini, Mahaguru.”

“Aku tahu, kamu harus pindah. Cari mangsa di tempat lain.”

“Ya Mahaguru.”

“Kamu sekarang di intip musuh.”

“Ha…,” Kamal terus melompat seketika.

Kemudian duduk kembali dengan tenang.

Asap dalam dupa berhenti. Kepala yang ada di situ terus hilang.

Apa yang saya lihat sekarang, ialah keping lidah yang terawang-awang dan kembali terkapar di atas lantai bersama lidah-lidah kering yang lain.

“Sebelum mereka menyerang kita, elok kita balik,” kata Datuk.

Kami tergesa-gesa pulang. Waktu kami meniti atas batas bendang, kami melihat sejenis cahaya yang memanjang memancar di atas bumbung pondok lama. Cahaya itu bergumpal-gumpal di situ dan bentuknya macam kepala ribut.

“Syaitan,” tutur Datuk sebaik sahaja sampai ke kawasan kebun getah.

Saya menoleh melihat cahaya yang sudah bertukar rupa. Kali ini muncul dari tulang bumbung pondok lama.

Bentuk cahaya itu sebesar telur ayam, merah menyala dalam jumlah antara sepuluh hingga dua puluh biji.

Cahaya bulat itu kelihatan bergolek-golek atas atap rumbia. Kemudian bertukar jadi memanjang dan tajam menuju ke dada langit dalam bentuk ekor ikan pari.

Sekali pandang macam bunga api dengan berbagai-bagai warna.

Bila cahaya yang menuju ke dada langit itu hilang, saya dapati api membakar daun-daun getah yang kering di sekeliling saya.

Api itu terus marak. Katak dan cengkerik bertempiaran lari menyelamatkan diri.

“Jangan peduli dengan api tu,” kata Datuk lalu menarik tangan saya untuk merempuh api.

Saya keberatan untuk melakukannya. Saya bimbang kalau kaki seluar saya disambar api, badan saya pasti terbakar.

“Ikut aku, jangan banyak fikir,” tambah Datuk lagi dengan nada suara yang keras.

Badan saya mula berpeluh. Bahang api membuat saya jadi tidak tentu arah. Api terus marak, kiri kanan, depan dan belakang penuh dengan api.

“Kita tersepit tok, kita boleh mati di sini tuk!” kata saya.

“Kalau Allah berkehendakkan kita hidup, kita tetap selamat.

“Tapi saya bimbang.”

“Apa yang kau bimbangkan,” sergah Datuk sambil menjegilkan sepasang matanya. Saya terus terdiam.

Di langit, bulan sabit mula muncul. Awan putih berarak tenang di langit biru. Angin dinihari terus bertiup menggugurkan dedaun getah yang sudah tua.

Peluh dingin terus menguasai sekujur tubuh saya. Pejam celik saya menatap wajah Datuk dalam keadaan yang selamba.

Api kian menghampiri diri saya dan Datuk. Perlahan-lahan Datuk membongkokkan badan mengambil sekepal tanah.

Dengan tenang tanah yang dikepal itu terus diserakkan ke arah api yang mengelilingi kami.

“Biasanya dengan cara ini dapat menahan perbuatan syaitan,” kata Datuk sambil merenung ke arah saya yang sedang menyapu peluh di dahi dengan telapak tangan.

Tiba-tiba Datuk kelihatan resah. Api tidak juga padam malah kian meninggi.

Gegendang telinga saya menangkap suara orang ketawa yang dibawa oleh angin dinihari.

“Terlalu kebal ilmunya Tamar.”

“Apa yang mesti tok buat.”

“Sabar. Allah memberkati orang yang berusaha.”

“Hum….,” keluh saya separuh kecewa.

Datuk membongkok lagi. Kalau sebentar tadi ia mengepal tanah dengan tangan kanan, kali ini ia mengepal tanah dengan tangan kiri dan tanah itu terus diserakkannya dari arah kiri membawa ke kanan.

Saya terkejut, api yang menjulang terus menjadi kecil dan akhirnya padam.

“Kita tak boleh tunggu lama di sini,” Datuk terus menarik tangan kanan saya.

Sepasang bibir Datuk terus bergerak-gerak. Apa yang dibacanya saya tidak tahu.

“Jangan tengok,” suara Datuk meninggi, bila ia melihat saya enggan melangkah dan masih merenung ke arah dedaun getah kering yang bertaburan atas tanah.

Saya merasa pelik kerana tidak terdapat kesan abu atau dedaun kering yang rentung dimamah api.

“Langkah cepat,” Datuk mendesak dan perintahnya itu saya patuhi.

Kami terus melangkah dalam nirai getah. Langkah Datuk terlalu cepat. Saya tercungap-cungap mengikutnya dari belakang.

GUGUR

Angin dinihari terus bertiup menggugurkan dedaun getah tua. Suara kokok ayam sayup-sayup terdengar.

Suara burung tukang muncul sekali sekala bersama dengan laungan anjing.

Suasana demikian membekalkan rasa cemas dan bimbang dalam diri saya.

Dua tiga kali perasaan saya tersentak, bila beberapa ekor katak puru yang memburu serangga melompat berhampiran kaki seluar saya.

Memang timbul niat mahu memijaknya supaya katak-katak itu mati, tetapi bila teringat pesan Datuk yang melarang membunuh binatang tanpa sebab, hasrat itu segera saya batalkan.

“Berhenti,” kata Datuk.

Saya pun berhenti melangkah. Angin dinihari yang bertiup membekalkan rasa sejuk ke seluruh tubuh.

Datuk meletakkan telapak tangan kanan ke atas kening kirinya untuk beberapa saat. Dahinya nampak berkedut.

Dari kening kiri Datuk ubah telapak tangannya ke atas dada sebelah kanan.

Perlahan-lahan Datuk menjatuhkan tangan kanan dan sepasang mata lembutnya meratah wajah saya.

“Kenapa tok?”

“Daging dada aku bergerak-gerak.”

“Apa alamatnya tuk?”

“Mengikut petua orang tua-tua, ada bahaya yang tidak diduga,” suara Datuk lemah.

Sebaik sahaja berhenti bercakap, saya terlihat seketul benda putih sebesar telur ayam melayang-layang di udara.

Paling mencemaskan hati saya, benda putih itu menuju ke arah saya dan Datuk.

“Ambil daun getah kering, kepitkan ke celah ketiak dan meniarap serta berlindung di balik pokok yang kecil,” Datuk mengeluarkan arahan.

Kelam kabut saya mencari daun getah kering dan mematuhi dengan apa yang dikatakan oleh Datuk.

Benang putih itu berputar-putar atas kepala kami sambil mengeluarkan suara macam dengung kumbang yang amat kuat.

Bila suara dengung itu berkurangan benda putih itu mengeluarkan cahaya api dan jatuh kira-kira sepuluh kaki di depan saya dan Datuk. Di tempat benda itu jatuh segera terbakar.

Sebelum api itu melarat Datuk segera mengepal tanah dan melemparkan ke arah api tersebut. Api segera padam.

“Mari kita lihat apa bendanya, Tamar.”

“Takut tok, barangkali bom tangan.”

“Kau merepek Tamar,” ujar Datuk bersama ketawa kecil.

Saya dan Datuk pun mengatur langkah menuju ke tempat benda putih itu jatuh.

Belum pun saya dapat memastikan benda tersebut, Datuk segera menutupnya dengan kain merah dan membungkusnya.

“Apa bendanya tu tok?”

“Nanti sampai di rumah kamu boleh tengok.”

“Di sini ada pantang larangnya tok?”

“Ah, kamu memang banyak mulut. Tanya itu, tanya ini. Apa kamu tak boleh diam.”

Saya segera menutup mulut dengan telapak tangan. Tidak berani menentang biji mata Datuk yang terbeliak bagaikan memancarkan cahaya yang panas.

Saya terus mengekornya dari belakang dengan meninggalkan perdu pohon getah yang tertegun kaku.

Dahan getah yang berlapis terus bergerak bila disentuh angin lalu mengeluarkan suara macam budak menangis.

Entah mengapa, setiap kali saya melangkah dada saya terus berdebar. Macam ada sesuatu yang memperlihatkan gerak geri saya dan Datuk.

Saya dongak ke langit, awan tetap bersih, bulan sabit tetap ada. Lolongan anjing tetap berterusan.

“Tamar,” jerit Datuk sekuat hati.

Saya lihat Datuk rebah ke bumi sambil memegang bahu kanannya. Datuk cuba bangun ternyata ia tidak mampu berbuat demikian. Saya jadi tidak tentu arah. Tidak tahu apa yang patut saya lakukan.

“Ada orang menendang aku cara curi Tamar.”

“Siapa orangnya?”

“Aku tak tahu,” suara Datuk tersangkut-sangkut macam menahan kesakitan yang amat sangat.

“Jangan dekat aku Tamar. Kau berdiri di situ, buka seluar kamu, kau telanjang di situ. Angkat kaki kanan kamu separas lutut,” kata Datuk bila saya mahu bergerak menghampirinya.

“Sejuk tok, saya malu anu saya kena angin.”

“Hei, ikut cakap aku, kalau kamu mahu hidup.”

“Ah,” keluh saya sambil melucutkan seluar.

Bila saya berdiri dalam keadaan bogel, bulu roma di betis dan paha terus berdiri akibat dirempuh angin dinihari.

Badan saya menggeletar. Tidak sanggup saya merenung bahagian tubuh saya yang terdedah.

Datuk terus mengguling-gulingkan badannya di tanah. Saya tidak tahu, kenapa Datuk melakukan semuanya itu.

Satu hal yang pasti setelah berguling sebanyak lima kali, Datuk dapat bangun dan berdiri dengan baik sekali.

Gembira hati saya, Datuk yang kelihatan tenang sambil menekan pangkal belikatnya dengan kedua belah tangan.

Kami mengatur langkah kembali. Ketika itu juga, kami terdengar bunyi tapak kaki orang berlari dengan memijak daun-daun getah yang kering.

“Jangan pedulikan,” bisik Datuk dengan lembut.

Saya terus melangkah. Bila sampai di pohon getah yang tumbang, kami melihat ada benda putih baring atas batang tersebut.

“Jangan toleh sampai dua kali,” Datuk mengingatkan saya.

“Baik tok.”

Bila sampai dekat pokok kabung (enau) saya lihat rambut perempuan berjuntai di pelepah kabung.

Rambut itu mencecah bumi. Rambut itu nampak kasar dan keras dan warnanya agak perang.

Dari celah-celah rambut itu ternampak batang tubuh seorang perempuan dalam keadaan yang bogel, berkulit putih tanpa mata dan dahi.

“Jangan renung,” kata Datuk.

“Baik tok,” balas saya.

“Semuanya syaitan,” rungut Datuk dan meneruskan perjalanan tanpa mahu menoleh ke kiri dan ke kanan.

Kawasan pokok kabung (enau) terus kami tinggalkan di belakang. Kini kami membelok ke kanan melintasi sebuah danau kecil.

Tiba-tiba saya lihat dari permukaan danau yang berair cetek muncul berpuluh-puluh tangan yang berbulu.

Semua tangan-tangan itu menghala ke arah kami. Saya didatangi rasa cemas kembali. Datuk segera mengambil sehelai rumput serunai laut. Rumput itu diramas hingga hancur.

Sebelum rumput yang hancur itu dicampakkan ke dalam danau yang berair cetek Datuk membaca sesuatu.

Aneh sekali, bila rumput itu jatuh ke dalam danau berair cetek, tangan-tangan yang terkapai di permukaan danau terus hilang.

“Ingat, kerja kita belum selesai. Mungkin esok mungkin lusa kita bertemu lagi,” tiba-tiba Datuk dan saya terdengar suara dari arah kanan.

Bila kami menoleh, seorang lelaki berdiri di situ. Bau tokak yang busuk dan hapak mula mencucuk lubang hidung kami.

“Orang tu datang lagi tuk,” bisik saya pada Datuk.

“Aku tahu Tamar. Dia menggunakan semua ilmunya untuk menewaskan.”

“Jadi, apa yang mesti kita buat tok.”

“Kalau Allah mengizinkan kita berjaya, tentu kita menang.”

Datuk merenung ke arah lelaki yang berdiri dalam jarah sepuluh kaki darinya.

Saya segera berlindung di belakang Datuk. Bau busuk dan hapak dari tokak lelaki itu membuat tekak saya menjadi loya dan terasa mahu muntah.

“Aku berpegang pada kata orang tua-tua. Musuh jangan dicari. Kalau musuh datang elakkan diri tetapi sudah beralah dan mengelak musuh datang juga, aku tidak menolak lawan,” tutur Datuk dengan nada suara yang lembut pada lelaki itu.

Lelaki itu tersenyum lalu membelakangi Datuk dan saya. Beberapa detik kemudian lelaki itu terus ghaib.

Saya dan Datuk merasa aman dan mempercepatkan langkah. Datuk mahu sebelum azan Subuh dilaungkan, kami mesti berada di rumah.

Tanpa diduga Datuk berhenti melangkah. Ia pusingkan badannya ke belakang. Sepasang mata tajamnya merenung batang tubuh saya sambil ketawa kecil. Saya resah dan serba salah.

“Kau telanjang Tamar?”

“Ha, telanjang,” kata saya tersipu-sipu sambil menutup anu saya dengan kedua belah telapak tangan.

Datuk terus ketawa. Seluar yang terletak di bahu kanan segera saya turunkan.

Sesungguhnya, saya lupa dengan seluar dan diri saya yang telanjang akibat diresapi rasa takut dan cemas melulu.

“Pakai seluar tu cepat. Tak malu dah besar telanjang,” usik Datuk.

Saya terus sarung seluar ke badan serta meneruskan perjalanan.

Peristiwa yang lucu itu meninggalkan kesan dalam diri saya hingga kini.

Setiap kali saya melihat kanak-kanak telanjang, saya pasti teringatkan peristiwa lalu yang membuat saya senyum sendirian.

SAMPAI

Waktu saya dan Datuk sampai di kaki tangga terdengar suara azan Subuh yang mendayu-dayu.

Saya terus pergi ke perigi untuk membersihkan badan dan Datuk pula menuju ke sungai dengan tujuan yang sama seperti apa yang saya lakukan.

Lepas menunaikan sembahyang Subuh tanpa minum kopi dan makan kuih saya terus tidur.

Tidak mampu rasanya saya menahan kelopak mata yang terasa amat berat.

Saya dikejutkan oleh nenek kira-kira pukul dua belas tengah hari.

Bila saya bangun dan mahu melangkah menuju ke dapur untuk membasuh muka, saya terasa pening.

Pandangan saya berpinar-pinar. Lantai yang saya pijak terasa turun naik dan berpusing-pusing. Saya hilang pedoman dan terus jatuh atas lantai.

Nenek berlari dari dapur menghampiri saya. Tanpa membuang masa ia menyandarkan badan saya ke dinding.

Badan saya diurutnya, dua tiga kali. Saya tersedak dan sendawa beberapa kali.

Dari jendela, nenek memanggil Datuk yang sedang menjemur jala di halaman. Datuk segera naik ke rumah.

“Kenapa?” tanya Datuk.

“Cucu awak ni, bangun tidur terus pening dan jatuh atas lantai."

Tamat siri 68/284

BACA: SBDJ Siri 67: Pelihara Ulat Tokak
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM

Thursday, May 09, 2019

Tapak Kaki Manusia Tertua Di Benua Amerika Berjaya Ditemui

Tapak Kaki Manusia Tertua Di Benua Amerika Berjaya Ditemui

Sekumpulan saintis percaya bahawa mereka telah berjaya menemui satu fosil kesan tapak kaki manusia dipercayai paling tua di benua Amerika yang telah ditemui di Chile.

Tapak kaki tertua Amerika

Kesan tapak kaki itu dianggarkan berusia kira-kira 15,600 tahun, ditemui pada tahun 2010 di tapak ekskavasi Pilauco di bandar Osorno.

Pada awalnya, saintis berpendapat ia kesan tapak kaki sejenis haiwan, namun kajian mendalam mendapati ia milik seorang lelaki.

Mereka membuat penelitian pada ukuran lengkungan dan cetakan saiz tapak kaki serta kelembapan tanah di sekitar tapak arkeologi tersebut.

Pengkaji daripada Universiti Austral di Buenos Aires, Argentina, Dr. Karen Moreno berkata, mereka turut menemui tulang haiwan berhampiran tapak arkeologi itu termasuk rangka gajah primitif.

“Sedikit demi sedikit, kita berjaya menemui tapak dengan bukti kewujudan manusia di Amerika Selatan. Ini adalah yang paling tua di benua Amerika,” katanya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Negara Dengan Waktu Berpuasa Paling Panjang Di Dunia Melebihi 18 Jam

Negara Dengan Waktu Berpuasa Paling Panjang Di Dunia Melebihi 18 Jam

Tempoh berpuasa paling lama di dunia adalah di Greenland yang menunjukkan waktu puasa terpanjang adalah 21 jam 42 minit di wilayah autonomi Denmark itu yang terletak antara Atlantik Utara dan Lautan Artik.

Waktu puasa terpanjang

Penduduk Islam di negara pulau itu hanya mempunyai tempoh 2 jam 18 minit untuk berbuka dan kembali berpuasa.

Hari pertama berpuasa di negara itu adalah selama 19 jam 35 minit dan hari terakhir adalah selama 21 jam 42 minit.

Selain itu, negara yang mempunyai tempoh berpuasa paling lama adalah Iceland iaitu selama 19 jam 33 minit pada hari pertama dan 21 jam 39 minit pada hari terakhir.

Ia kemudiannya disusuli dengan Finland yang mempunyai tempoh berpuasa selama 18 jam 54 minit pada hari pertama dan 20 jam 21 minit pada hari terakhir Ramadan.

Waktu berpuasa di Estonia adalah antara 18 dan 20 jam manakala tempoh berpuasa di Sweden adalah antara 18 dan 19 jam 52 minit.

Selain itu, tempoh berpuasa di Latvia adalah antara 18 dan 19 jam 41 minit.

Tempoh berpuasa paling pendek di dunia pula adalah di New Zealand iaitu selama 11 jam 10 minit.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: sinarharian

Pixel 3a, Smartphone Mampu Milik Terbaharu Google

Pixel 3a, Smartphone Mampu Milik Terbaharu Google

Google, bersempena dengan acara Google I/O 2019 telah mengumumkan telefon pintar terbaharu mereka, mengeluarkan model kelas pertengahan serta ditawarkan dengan harga mampu milik buat para pengguna. Model yang diumumkan adalah Google Pixel 3a dan Pixel 3a XL.

Google Pixel 3a
Google Pixel 3a.

Dari segi spesifikasi, Google Pixel 3a hadir dengan skrin 5.6-inci OLED FHD+ manakala Google Pixel 3a XL dilengkapkan dengan skrin 6.0-inci OLED FHD+.

Kedua-dua model ini berkongsi spesifikasi yang sama dengan menggunakan processor Snapdragon 670, RAM 4GB beserta 64GB ruang storan. Kedua-dua model ini turut disertakan dengan headphone jack.

Mengekalkan identiti Google Pixel, model ini turut hadir dengan hanya satu kamera pada bahagian belakang.

Kamera 12-Megapixel f/1.8 digunakan pada bahagian belakang manakala kamera 8-megapixel digunakan pada bahagian hadapan.

Berdasarkan percubaan The Verge, model ini nampaknya berjaya menawarkan kualiti imej seakan Google Pixel 3 yang pastinya menjadi sebab utama orang ramai memilih untuk mendapatkan model ini.

Menariknya, Google turut menjanjikan penawaran kemaskini Android versi terbaru selama tiga tahun.

Dalam erti kata lain, pengguna pastinya tidak akan menyesal dalam menantikan kemaskini terbaru dan ianya ditawarkan dengan pantas bersama model Pixel 3 dan Pixel 3 XL.

Disebalik penawaran spesifikasi yang menarik, kualiti kamera yang baik serta kemaskini yang pantas Google berjaya menawarkannya dengan harga mampu milik dimana Google Pixel 3a mula dijual dengan harga $399 (~RM 1655) manakala Google Pixel 3a XL ditawarkan dengan harga $479 (~RM 1988).

Model ini hadir dengan tiga pilihan warna terdiri daripada Just Black, Clearly White dan Purple-ish.

Buat pengguna Malaysia yang berminat untuk mendapatkannya, pastinya mereka perlu mendapatkan melalui pihak ketiga yang membawanya ke Malaysia memandangkan tiada pengedar rasmi buat Google di Malaysia.

Walau bagaimanapun, berdasarkan apa yang ditawarkan model ini nampaknya berbaloi untuk dimiliki.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thevocket