Thursday, May 02, 2019

Yakuza Dan Sisi Gelap Industri Hiburan Jepun


Pada Ogos tahun 2011, dunia komedi dikejutkan dengan media-media yang memaparkan kepada umum mengenai persahabatan antara pelawak popular, Shimada Shinsuke dan Hashimoto, ketua kumpulan yakuza Kyokushin Rengo-kai di Osaka, menyebabkan Shimada mengumumkan persaraannya dari dunia hiburan.

Yakuza Japan Entertainment

Kenapa jika ada hubungan dengan Yakuza, hatta pelawak komedi terkenal pun terpaksa melepaskan jawatannya?

Persoalannya hanya boleh dijawab dengan melihat kembali kepada salah satu kes popular yang berlaku dalam industri dunia hiburan Jepun.

Rola, kontrak hamba seks dan dadah

Rola, seorang model dan artis yang meningkat naik dengan jayanya, ditambah pula dengan kacukan Bengali-Jepun serta mempunyai susur galur Rusia, menjadikan Rola selebriti tarento (selebriti luar Jepun) yang terkenal di Jepun.

Kehebatan kariernya mencerminkan betapa inilah kejayaan yang diidam-idamkan oleh ramai artis yang sedang meniti tangga untuk ke puncak.

Namun, tidak semuanya baik disebalik kejayaan luar biasa ini. Majalah mingguan, Shukan Bunshun melaporkan bahawa Rola telah dikunci dengan kontrak yang nampaknya seperti kontrak perhambaan dengan agensinya, Libera Production.

Rola memberitahu bahawa dia diperas ugut, kewangannya disekat dan penggunaan dadah dalam kariernya.

Rola juga melaporkan dalam media bahawa dia mempersoalkan mengenai ke mana hilangnya wang yang sepatutnya diterima, termasuklah wang kebajikan amal.

Perkara seperti ini, iaitu agensi mengambil kesempatan terhadap wanita muda dalam dunia hiburan adalah tidak mengejutkan, kerana mereka adalah sasaran yang paling mudah diperkotak katikkan.

Dalam kes Rola, jika dia mahu berhenti dari agensi tersebut agak sukar kerana agensinya dari awal lagi telah memegang segala aset dan maklumatnya.

Bila-bila masa sahaja maklumat buruk mengenainya boleh disebarkan serta agensi lain diminta menyekat dia daripada diterima masuk oleh mereka semua.

Hakikatnya, pihak polis memang sedaya upaya menghalang operasi yakuza, namun dalam sektor hiburan, ia adalah operasi polis paling gagal untuk dikawal.

Tugas ejen dalam Agensi Bakat di Jepun

Rola Yakuza Jepun
Rola.

Dunia hiburan Jepun sekali lagi pernah digemparkan apabila wanita Jepun pertama yang dinobatkan sebagai Miss International sejak 5 dekad yang lalu, Ikumi Yoshimatsu mengeluarkan suatu kenyataan akhbar.

Kenyataan itu menyatakan bahawa syarikat produksi yang pernah dia tolak tawaran untuk berkhidmat itu terkait dengan yakuza, telah buat pelbagai perkara kepadanya.

Ia termasuklah diganggu oleh seorang pengurus sewaktu berada dalam sesi rakaman rancangan televisyen.

Pihak produksi itu juga dilaporkan menghantar pengintip ke rumahnya dan surat ugutan kepada keluarganya.

Pendedahan Ikumi Yoshimatsu ini telah mendapat sokongan ramai termasuk isteri Shinzo Abe, Perdana Menteri Jepun.

Apa yang mengejutkan lagi, salah seorang ketua Yakuza yang pernah terlibat dalam kerja-kerja agensi bakat ini telah mendedahkan satu dokumen dan temu ramah mengenai kerja-kerja kotor yang dibuat oleh penjenayah dalam agensi seperti ini.

Satu temu ramah telah dibuat antara media, The Daily Beast bersama Kazuo Kasaoka, ketua kumpulan Matsurua-Gumi (Kobe).

Dalam temu ramah itu, dia telah mendedahkan segala tindakan ejen agensi bakat termasuklah ejen yang pernah menarik Miss International Jepun tadi. Ejen tersebut bernama Ikuo Suho.

Menurut Kasaoka, Suho adalah “kepala besar bagi industri hiburan Jepun” ada melakukan tiga perkara ini:

1. Suho akan menggunakan mana-mana kumpulan yakuza untuk membantunya menyelesaikan masalah.

2. Suho akan bekerjasama dengan pengintip, untuk mempergunakan kumpulan yakuza atau kumpulan bersayap kanan bagi menghancurkan karier selebriti yang menentang mereka.

3. Suho sendiri pernah terlibat dalam menjalankan aktiviti parti liar yang dipenuhi seks dan dadah untuk syarikat produksi dan penaja.

Sisi gelap industri hiburan Jepun

Industri hiburan Jepun termasuk J-Pop sentiasa berkembang sehingga semakin merapati kehebatan industri anime.

Ia menawarkan impian kepada anak muda untuk menjadi idola namun, impian ini telah ditunggang oleh kumpulan jenayah termasuk yakuza hingga mereka terpaksa menjadi hamba seks, dadah dan jenis-jenis perhambaan yang lain.

Pihak berkuasa sudah cuba membendung perkara ini sebaik mungkin. Undang-undang anti-intipan sudah pun dilaksanakan.

Mungkin ia mampu membendung budaya pengintipan ejen agensi bakat terhadap selebriti yang bekerja dibawahnya.

Namun, undang-undang masih terlalu lemah dan mempunyai ruang untuk dieksploitasi.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon