Tuesday, May 07, 2019

SBDJ Siri 65: Darah Dalam Mulut Gadis

SBDJ Siri 65: Darah Dalam Mulut Gadis

Haji Salim menggigit bibir. Matanya merenung wajah saya dan Datuk sebentar. Ia menarik nafas panjang sambil menepuk pangkal lengan Datuk. “Bagaimana kalau kebolehan yang ada pada awak dan saya disatukan untuk menentang perkara jahat.”

Toyol jadi-jadian

“Saya juga terfikir ke arah itu tapi..” Datuk tidak meneruskan kata-katanya.

Saya lihat Datuk kerutkan kening macam ada sesuatu masalah besar yang bermain dalam kepala.

“Apa masalah yang awak fikirkan?” mendadak Haji Salim mengajukan pertanyaan.

“Dari mana harus kita mulakan kerja ni, inilah yang saya fikirkan.”

“Mudah saja.”

“Mudah macam mana?"

“Kita tahu, ada orang yang memuja syaitan dan syaitan yang dipuja tu mula bergerak dan kita harus menentangnya.”

“Banyak persediaan yang mesti kita adakan Haji.”

“Kita adakan,” tingkah Haji Salim tenang.

Datuk meraba pangkal leher berkali-kali. Sinar matahari petang yang lembut masuk ke ruang tempat kami duduk melalui jendela yang terbuka. Haji Salim terus memicit ibu jari kanan perlahan-lahan.

Datuk bangun dan berdiri di muka jendela, melihat beberapa ekor burung gagak yang terbang rendah sambil berbunyi.

Haji Salim juga bangun mengambil sebilah keris. Mata keris itu dilurutnya dengan limau nipis. Air limau menitis atas kain pelekat yang dipakai.

“Aduh,” jerit saya sekuat hati.

Cara tiba-tiba saya terasa batang leher ditekan oleh sepasang tangan yang kasar dan berbulu tebal.

Makin kuat saya bergerak, makin kejap tangan berbulu itu menekan leher membuat saya susah bernafas.

Datuk dan Haji Salim segera menghampiri saya. Aneh, bila mereka berada dekat saya, tangan kasar yang berbulu, melepaskan leher saya.

Semua yang berada di ruang itu bergerak dengan sendiri. Lembing yang tersusun di atas tempatnya bergerak lagi, macam dilanggar sesuatu.

“Benda sial tu, masih ada lagi di sini,” nada suara Datuk meninggi.

Matanya, merenung ke setiap penjuru ruang. Haji Salim terus menghampiri saya, melihat bahagian tengkuk saya yang disentuh oleh tangan ghaib.

“Leher cucu kamu lebam dan bercalar,” Haji Salim memberitahu Datuk dengan wajah yang sedikit cemas.

“Tak apa, benda tu mencabar kita,” balas Datuk.

“Kalau selalu dicabar, padahnya kita yang menanggung,” rungut Haji Salim penuh kesal.

Haji Salim terus mengurut tengkuk saya. Rasa sakit dan sengal terus berkurangan. Saya dapat menggerakkan leher saya ke kiri dan ke kanan dengan aman.

Rasa pedih dari kesan tercalar itu masih dapat saya rasakan. Datuk dan Haji Salim kembali di tempat asal.

Benda-benda yang berada di ruang tersebut terus bergerak. Datuk dan Haji Salim tidak ambil kisah dengan semuanya itu, seolah-olah tidak ada apa yang berlaku di situ. Mereka terus merancang untuk melakukan sesuatu.

“Huuuupppp…,” jerit Haji Salim sambil melompat.

Seekor belalang kunyit yang besar hinggap di pangkal lengan Haji Salim. Mata belalang itu kelihatan bersinar-sinar merenung ke arah Datuk dan saya.

Haji Salim cuba menangkap belalang tersebut. Usahanya tidak berjaya, setiap kali ia cuba mengangkat tangan, belalang itu terbang ke tempat lain.

Bila Haji Salim diam, belalang itu datang padanya. Hinggap di mana suka. Ada masanya di pangkal hidung, di telinga atau di kening.

Tindak tanduk belalang kunyit itu memang tidak menyenangkan Haji Salim. Ia jadi marah.

“Belalang sial,” jerit Haji Salim bila belalang kunyit itu hinggap di cuping telinganya untuk kali yang kelima. Ia bangun dan terus mengambil batang penyapu.

Belalang itu terbang ke arah dinding dan hinggap di situ. Haji Salim angkat penyapu dan hayun ke dinding.

Belum pun sempat penyapu menjamah dinding, belalang itu terus terbang dan hinggap di batang hidungnya.

Marah Haji Salim kian menjadi-jadi, mukanya kelihatan kemerah-merahan, sinar matanya nampak garang sekali.

“Sudah, jangan dilawan nanti awak penat sendiri,” kata Datuk.

“Sial betul.”

“Ada cara menghalaunya, ambilkan saya sebiji cili kering, sebiji bawang besar dan limau nipis,” kata Datuk dengan tenang.

“Nak buat apa?”

“Saya nak menumis sambal belalang kunyit?”

“Ah…,” Haji Salim terkejut.

Wajah Datuk direnungnya tepat. Ia mahu memastikan apakah Datuk bercakap benar atau sekadar untuk bergurau senda.

“Kau bergurau dalam masa orang cemas begini?”

“Tidak,” Datuk bangun menuju ke ruang dapur.

Tiba-tiba belalang yang terbang ke sana ke mari dalam ruang, terus menghilang tanpa dapat dikesan.

“Dah hilang,” kata saya.

Langkah Datuk terus mati. Haji Salim letakkan penyapu atas pelantar. Kami merenung ke setiap sudut tidak bergerak lagi. Suasana terasa sepi sekali.

“Aku harap dia keluar terus dari sini,” keluh Datuk lalu melangkah dan berdiri di muka jendela.

Melihat langit petang yang cerah, beberapa ekor burung gagak kelihatan terbang dengan bebas sambil berbunyi.

“Biar kami balik dulu,” kata Datuk.

Saya pun segera bangun mengikut langkah Datuk menuju ke muka pintu.

“Boleh saya gunakan petua awak untuk menghalau belalang tu, kalau-kalau ia datang lagi,” Haji Salim berlari mendapatkan Datuk. Saya lihat Datuk tersenyum.

“Boleh, saya dapat petua tu dari orang tua-tua yang terdahulu. Kata mereka itulah petua menghalau hantu syaitan seperti pelesit dan jembalang,” terang Datuk dengan tenang. Haji Salim anggukkan kepala.

PULANG

Saya dan Datuk meninggalkan rumah Haji Salim. Matahari terus beransur condong.

Burung-burung gagak berkeliaran melompat dari dahan ke dahan sambil berbunyi dalam nada suara yang nyaring.

Lebih kurang dua puluh langkah kaki melangkah, saya menoleh ke arah rumah Haji Salim.

Saya lihat Haji Salim masih tercegat di muka pintu, melambai-lambaikan tangan ke arah saya dan Datuk.

“Ada masanya petua orang tua-tua tu boleh dipakai, kau sendiri tengok. Lepas aku cakap begitu belalang tu terus ghaib entah ke mana,” beritahu Datuk kepada saya.

Macam selalu, bila Datuk berkata demikian, saya cuma anggukkan kepala sahaja.

Kira-kira sepuluh minit perjalanan, akhirnya saya dan Datuk sampai ke rumah.

Saya terus menuju ke bilik dapur. Saya lihat nenek sedang duduk memilih antah beras.

Tanpa membuang masa, saya terus duduk di sisi nenek dan terus membantunya memilih antah beras.

Saya mampu bertahan di sisi nenek cuma kira-kira lima minit sahaja. Memilih antah beras memang membosankan dan tidak layak untuk dikerjakan oleh orang lelaki.

Saya terus bangun untuk pergi ke ruang anjung rumah. Baru mahu melangkah nenek terus bersuara.

“Kau dan Datuk singgah di mana? Hingga lambat balik. Air kopi yang disediakan semuanya sudah sejuk.”

“Singgah rumah Haji Salim,” sahut Datuk dari atas.

Saya senyum memandang ke arah nenek. Saya lihat nenek tersenyum.

Saya terus masuk ruang anjung. Tukar baju dan seluar. Saya ambil gasing dan tali di bawah meja. Kemudian melompat ke halaman rumah. Hasrat hati saya mahu pergi mencari kawan untuk diajak main gasing.

“Tamar.”

“Ya tok.”

“Kau mahu main gasing dengan kawan-kawan.”

“Ya tok.”

“Jangan main lama-lama, dekat Maghrib mesti balik. Aku tak mahu kau merayau ke mana-mana. Keadaan tidak begitu aman.”

“Saya pergi main kejap aje tok.”

“Pergilah.”

“Baik tok,” saya terus melompat keriangan.

Kemudian terus berlari menuju ke rumah beberapa orang kawan.

Menjelang waktu Maghrib baru saya pulang. Tetapi kepulangan saya, tidak segembira waktu saya pergi tadi.

Gasing kesayangan saya terbelah dua dipangkah oleh kawan. Mahu menangis rasanya, melihat gasing yang dibuat dari batang limau terkopak dua dan pakunya tercabut lalu hilang.

“Esok aku buat yang baru,” kata saya menghiburkan hati.

MENETAP

Sudah dua hari Haji Salim tidak datang ke rumah. Sudah dua hari orang-orang kampung terhindar dari gangguan perkara-perkara yang ganjil. Semuanya berada dalam keadaan aman.

Selama dua hari juga, Datuk tidak membincangkan perkara kubur lama di hujung kampung dengan nenek atau saya.

Datuk lebih banyak membisu dan membuat amalan pada waktu malam.

Pada sebelah siangnya, Datuk banyak menghabiskan dengan membuat lukah atau memburu ayam hutan.

Berdasarkan pada tindak tanduknya itu, saya menganggap Datuk dan Haji Salim telah berjaya membanteras perbuatan terkutuk itu dengan cara kebatinan.

Kalaulah anggapan saya itu benar, saya memang gembira.

Dua minggu kemudian, kira-kira pukul sepuluh malam, Haji Salim datang ke rumah Datuk dengan membawa sundang.

Datuk yang sedang membaca surah Yasin terkejut dengan kedatangan Haji Salim.

“Bukankah sudah saya pesan, kita tak boleh berpandangan muka, bertegur selama tiga minggu. Apa awak sudah lupa.

"Kalau macam ini awak, usaha kita akan jadi sia-sia, kita buat perkara bodoh,” suara Datuk keras.

Pertama kali saya lihat Datuk bersikap kasar terhadap Haji Salim.

Datuk berdiri di muka pintu tanpa mahu menjemput Haji Salim naik ke anjung.

Andang daun kelapa yang di bawah oleh Haji Salim menerangi sebahagian daripada halaman rumah. Cahaya andang itu juga menjalar hingga ke ruang anjung.

“Maafkan saya, ada masalah besar,” tambah Haji Salim yang memakai kain pelekat petak besar, berbaju putih tebal yang sudah bertukar warna menjadi agak kekuning-kuningan, bersongkok putih yang tepinya sudah bertahi lalat.

“Apa masalahnya?”

“Cucu saudara saya, hilang.”

“Lelaki ke perempuan.”

“Perempuan, baru anak dara sunti.”

“Haaa…,” Datuk mengeluh.

Wajahnya mula resah. Kemarahan yang merajai wajahnya sebentar tadi terus hilang.

“Sudah dicari ke belum?” tanya Datuk.

“Saya sudah puas mencarinya, bila tak terdaya baru saya jumpa awak. Saya ingat pesan yang awak buat pada saya dulu, saya terpaksa melanggarnya. Saya sudah terpaksa.”

“Sudah terpaksa tak apalah,” suara Datuk terus lembut.

Datuk terus menjemput Haji Salim naik ke anjung. Jemputan Datuk itu segera ditunaikan. Andang daun kelapa di padam dan disandarkan pada pangkal tiang.

Tanpa dijemput saya datang ke anjung. Duduk bersimpuh dekat Datuk.

“Kita pergi ke kubur lama,” Haji Salim mengemukakan cadangan.

“Jangan terburu-buru, kita cari,” balas Datuk.

“Di mana kita nak cari, sudah puas mencarinya. Saya dah putus asa.

"Sudahlah cucu saudara saya tu tak ada ayah, ada emak lumpuh pula, entah apalah nasibnya,” Haji Salim tunduk merenung lantai.

Saya jadi hiba. Badan saya terasa sejuk dijamah angin malam yang membawa suara katak dan cengkerik bersahut-sahutan. Bunyi burung hantu di hujung dahan jelas kedengaran.

“Jangan putus asa, mari kita ikhtiar untuk kali terakhir kumpulkan orang-orang kampung,” Datuk renung muka Haji Salim.

“Orang-orang kampung tunggu dekat dewan sementara menanti awak datang. Saya tahu ini semua kerja orang yang memuja kubur, mereka dendam dengan saya,” keluh Haji Salim.

“Sudahlah tu, mari kita ke dewan,” Datuk terus bangun meninggalkan ruang anjung.

Haji Salim juga berbuat demikian. Sampai di halaman, Haji Salim menghidupkan api andang daun kelapa.

Datuk terus menyuluh ke kiri dan ke kanan dengan lampu picit. Saya masih lagi berdiri di anjung rumah. Tidak tahu apa yang harus saya lakukan.

Apakah saya harus mengikuti mereka atau tinggal bersama nenek di rumah.

“Kau jangan ikut Tamar,” kata nenek.

“Ha….saya nak ikut,” saya terus melompat, memburu Datuk dan Haji Salim yang berada dalam jarak 30 kaki dari saya.

Datuk dan Haji Salim tidak menoleh ke arah saya, mereka terus melangkah dengan rancak.

Walau bagaimanapun, mereka tahu saya mengikuti mereka di belakang.

Cahaya obor daun kelapa Haji Salim terus menerangi permukaan jalan, bunga-bunga api dari obor daun kelapa berterbangan di udara ditolak angin malam. Siulan cengkerik dan bunyi katak tidak pernah putus.

Kami sampai ke dewan, terdapat kira-kira antara enam hingga sepuluh orang kampung yang duduk bertenggek pada bibir simen dan semuanya saya kenal.

Beberapa dari mereka menyedut rokok daun bertembakau jawa. Bau asap dari rokok daun bertembakau jawa itu membuat nyamuk tidak berani dekat pada orang-orang kampung yang ada di situ.

“Kau Daud, duduk dekat rumah budak tu, kau tentu tahu waktu bila budak itu hilang,” Datuk mengajukan pertanyaan pada seorang lelaki yang berbadan kurus.

“Budak perempuan tu memang selalu mandi di sungai waktu Maghrib nak tiba, saya sudah tegur tapi dia tak peduli.”

“Bukan itu, aku nak tahu waktu bila ia hilang Daud.”

“Begini, petang tadi saya nampak dia ke sungai. Maghrib dia tak balik, emaknya menangis dan suruh saya mencarinya.”

“Kau pergi cari?”

“Saya cari tapi tak jumpa, saya minta tolong jiran lain. Semuanya sia-sia. Kemudian baru saya beritahu Haji Salim,” Daud berhenti bercakap. Wajahnya sedih.

Dan orang-orang kampung yang ada di situ mengakui keterangan Daud itu.

Mereka terlibat dalam usaha mencari gadis sunti yang hilang itu.

Mereka juga memberitahu Datuk, mustahil gadis sunti itu dihanyutkan oleh arus sungai kerana air sungai begitu cetek sekali.

Mahu dikatakan gadis itu dilarikan oleh orang jahat juga tidak masuk di akal. Belum ada orang jahat yang muncul di kampung.

“Ah, semuanya ni perbuatan orang yang memuja kubur,” tiba-tiba Haji Salim bersuara lantang dan bersedia untuk mengeluarkan beberapa ungkapan lagi.

“Sudah haji, dalam sesuatu hal kalau kita terlalu menurut perasaan akan membawa padah buruk pada diri kita,” tingkah Datuk.

Orang-orang kampung yang ada di situ anggukkan kepala, seolah-olah setuju dengan apa yang Datuk katakan itu.

“Begini saja, kita cari malam ni juga,” Datuk mengemukakan cadangan.

Ternyata tidak semua orang-orang kampung yang ada di situ mahu menerima cadangan Datuk.

“Siapa mahu ikut saya,” tanya Datuk lagi.

Cuma tiga orang sahaja yang mengangkat tangan tanda setuju, manakala yang lain tidak mengangkat tangan termasuklah Daud, jiran terdekat keluarga gadis sunti yang hilang.

“Kenapa Daud?” soal Haji Salim.

“Kerja sia-sia. Susah mencari orang hilang waktu malam. Kami dah buat tadi,” sahut Daud.

“Habis apa yang patut kita lakukan?” Soal Haji Salim.

“Kita cari siang esok, lagi mudah.”

“Tak apalah, siapa yang tak mahu boleh pulang. Siapa yang mahu ikut, bersedia,” Datuk mengeluarkan arahan.

Kumpulan Daud terus meninggalkan kawasan dewan.

Bila saya hitung, ternyata cuma tiga orang sahaja orang kampung yang mahu menyertai kami.

Di campur dengan diri saya, Datuk dan Haji Salim, jumlah kami menjadi enam orang sahaja.

“Kita pecahkan enam orang ni, menjadi tiga kumpulan. Tamar ikut Borhan, Salleh ikut Haji Salim, Hassan ikut saya.” Datuk mula mengatur gerakan.

Saya segera berdiri di belakang Borhan yang sudah pun menyalakan obor daun kelapa.

“Saya yakin dengan pertolongan Allah yang Maha Besar, budak perempuan yang hilang tu akan kita jumpa juga,” kata Datuk lalu mengajak kami pergi ke tebing sungai.

Ia menyuruh kami mencari kesan-kesan yang ditinggalkan oleh budak perempuan yang hilang itu.

Seluruh kawasan tempat gadis sunti mandi, habis kami jajahi. Pokok besar, pokok kecil semuanya kena pijak dan diselongkar. Tidak ada sesuatu kesan pun yang dapat kami temui.

Haji Salim cacakkan andang daun kelapa ke tanah. Ia terus duduk di atas sebatang pokok yang tumbang.

Langit waktu itu kelihatan cerah. Gumpalan awan putih bergerak perlahan-lahan arah barat daya.

Bulan yang sedang mengecil terus di pagar oleh bintang-bintang yang sedang mengerdip. Embun malam terasa menjamah rambut.

“Begini, Tamar dan Borhan cari sebelah sana, terus hingga sampai ke kaki bukit. Haji Salim sama Salleh dari sebelah sini hingga ke hilir sungai. Saya sama Hassan cari dari seberang sungai hingga sampai ke kawasan bendang,” Datuk mengeluarkan atur cara dari pertimbangan akal fikirannya.

Tidak ada bantahan. Semuanya berpecah mengikut arahan yang di tetap.

Saya jadi gementar, usia Borhan dengan saya jaraknya antara lima dan enam tahun sahaja. Tidak ada pengalaman.

Dan orang-orang yang mengikut Datuk dan Haji Salim lebih beruntung lagi.

Datuk dan Haji Salim orang tua yang banyak pengalaman, tidak mudah gementar bila berhadapan dengan kecemasan.

Saya dan Borhan bertengkar kecil, masing-masing tidak mahu jadi kepala.

Borhan mahu saya jadi kepala, sedangkan saya keberatan kerana itu merupakan tugas yang berat. Akhirnya Borhan mengalah.

“Tak apa, kalau kau tak mahu apa boleh buat, marilah,” Borhan terus meredah hutan kecil.

Saya tersenyum tetapi, saya ditugaskan untuk membawa obor daun kelapa. Kami terus meredah hutan.

Angin malam yang bertiup membuat badan saya terasa amat dingin. Beberapa batang ranting kering dan daun kering berjatuhan ke bumi akibat dirempuh angin.

Bunyi katak dan cengkerik terus rancak kedengaran di samping bunyi tolongan anjing liar yang ditingkah oleh bunyi kelawar yang terbang malam mencari makanan.

Semua lubang, semua perdu pokok dan rimbunan lalang kami jenguk. Beberapa ekor katak dan belalang berlompatan, bagaikan marah kerana tempat mereka diganggu.

Sesekali, kaki saya terpijak lopak. Dedaun yang saya langgar merempuh batang leher lalu, menjatuhkan air embun yang lekat di hujungnya pada kulit tengkuk. Terasa cukup sejuk.

Tiba-tiba saya tersepak sesuatu yang lembut dalam rumpun lalang. Bila saya bergerak, terasa benda lembut itu memaut pergelangan kaki saya.

Benda lembut sejuk itu merayap hingga ke buah betis saya.

Dada saya berdebar, badan terasa seram sejuk. Lolongan anjung kian jelas kedengaran. Suara cengkerik dan katak kian bertambah rancak.

Angin terus menggugurkan ranting-ranting kering yang bunyinya amat menakutkan.

“Kenapa berdiri di situ Tamar.”

“Ada…,” saya tidak dapat meneruskan kata-kata. Badan saya terus menggeletar.

Malam yang dingin terasa panas hingga memercikkan peluh-peluh halus di dahi.

“Kenapa muka kamu pucat Tamar?”

“Ahhh..Ahhh ada…,” mulut saya terus terlopong. Benda lembut sejuk itu terus meraba buah betis saya.

Melihat saya dalam keadaan yang cemas itu, Borhan menghampiri saya dan terus merampas obor dari tangan saya.

Ia terus menyuluh ke arah rumpun lalang. Biji mata Borhan terbeliak. Tangannya terus menggeletar dan obor terus bergerak tidak tentu arah menurut getaran tangannya.

“Mayat Tamar,” suara Borhan separuh menjerit. Mukanya kelihatan berubah.

Mujurlah, rasa cemas itu sekejap saja menguasai dirinya. Beberapa minit kemudian, ia kembali tenang. Ia menarik tangan saya dari rumpun lalang.

Saya angkat kaki kanan tetapi tidak berdaya. Kaki saya bagaikan ditarik oleh sesuatu. Jari-jemari manusia saya rasa mula merayap dari buah betis menurun ke buku lali.

“Mayat pegang aku Borhan.”

“Nanti aku lepaskan.”

Borhan pacakkan atas bumi. Dari cahaya obor itu saya melihat mayat seorang gadis terlentang.

Biji matanya terbeliak, mulutnya ternganga, penuh dengan darah beku. Rambutnya mengerbang.

Perkara yang benar-benar mencemaskan perasaan saya bila saya melihat jari jemari mayat itu memaut pergelangan kaki saya. Macam diarahkan oleh sesuatu untuk berbuat demikian.

Dengan ekor mata saya menjeling ke arah jari-jemari mayat dan kaki kanan saya.

Rupa-rupanya telapak kaki kanan saya memijak pangkal lengan mayat itu.

Tidak hairanlah bila saya menggerakkan kaki, tangan dan jari-jemarinya turut sama bergerak.

Biji matanya yang terbeliak dengan rambut yang terhurai pada mayat tersebut memang menakutkan.

Saya rasa matanya bagaikan melihat diri saya hingga ke jantung hati. Kakinya terkangkang keras.

Kain batik lusuh yang dipakainya terselak hingga ke pangkal paha dan baju kebaya pula terkoyak di bahagian dada. Saya kira ada perlawanan antara orang yang menyerang dengan mangsanya.

Borhan terus menatap mayat itu. Tanpa diduga, Borhan menutup kedua belah matanya dengan telapak tangan.

“Mayat tu bergerak,” katanya.

“Bergerak,” pekik saya lalu membuka langkah seribu.

Habis pokok besar dan kecil saya redah, tidak terasa sakit walau sedikit pun.

Melihat saya lari, Borhan juga ikut lari lintang pukang di malam yang gelap melanggar apa sahaja yang menghalang.

Anehnya, kami sampai serentak ke tempat mula datang tadi. Kami tidak dapat berkata apa-apa, cuma tercungap-cungap macam ikan kekurangan air.

Tidak sampai lima minit kami berada di situ Haji Salim, Hassan, Salleh dan Datuk pun tiba.

Mereka tercengang melihat kami tercungap-cungap dengan wajah yang pucat.

“Ada orang jumpa?” tanya Datuk.

“Adaa…,” jawab Borhan sambil menyandarkan badannya pada saya.

Tiba-tiba ia terus rebah. Haji Salim terus mendekatinya.

“Pengsan,” kata Haji Salim.

Semua yang ada di situ segera memberi pertolongan pada Borhan. Akhirnya, Borhan pulih dari pengsan. Datuk memberikan rawatan dengan secukupnya pada Borhan. Mukanya yang pucat lesi, kembali merah.

“Apa yang kau jumpa Borhan?” Datuk terus menyoal Borhan.

Tangan Datuk terus memicit setiap sendi tubuh Borhan. Air embun yang gugur terus menyentuh rambut kami. Dua tiga orang menguap panjang.

“Cucu saudara Haji Salim, si Timah sudah mati,” suara Borhan lemah.

Haji Salim terus termenung panjang. Matanya merenung pokok-pokok hutan yang tegak kaki di malam yang dingin.

Lolongan anjing sudah tidak kedengaran lagi. Diganti dengan suara burung hantu dan jampuk. Bunyi katak dan cengkerik tetap hebat macam tadi.

Datuk dan Haji Salim mengadakan rundingan. Kemudian Datuk minta saya dan Borhan menunjukkan rumpun lalang tempat mayat itu dijumpai.

Kali ini saya jadi kepala jalan. Saya tidak merasa takut atau gentar kerana ada Datuk dan Haji Salim.

Kami sampai ke rumpun lalang. Haji Salim terus mengangkat tubuh cucu saudaranya yang sudah kaku.

Usianya sekitar tiga belas tahun. Datuk merenung mayat gadis malang itu dengan tenang.

“Lidahnya dipotong orang,” beritahu Datuk pada Haji Salim.

“Memang tak salah agakan saya.”

“Kita berusaha mencari orang yang membuat kerja laknat itu.”

“Ya, kematian cucu saudara saya harus dibalas,” nada suara Haji Salim keras.

Saya, Hassan, Salleh dan Borhan hanya mendengar sahaja dengan apa yang dikatakan oleh Datuk dan Haji Salim.

Ketika mayat itu berada di pangkuan Haji Salim, saya tidak berani merenungnya.

Mayat gadis sunti yang malang itu dibawa ke rumah ibunya. Diletakkan di ruang depan.

Siang esok mayat gadis malang itu akan diuruskan pengebumiannya, begitu mengikut rancangan Haji Salim yang disampaikan pada Datuk.

Lebih kurang pukul empat pagi, saya dan Datuk meninggalkan rumah ibu gadis yang malang itu. Haji Salim terus membaca Quran dekat cucu saudaranya.

“Biar kami balik dulu Haji,” kata Datuk pada Haji Salim.

Waktu itu, sudah pukul empat pagi, bintang timur sudah pun muncul di kaki langit. Udara terasa bertambah dingin.

“Tak apalah, esok datang awal. Kalau boleh biarlah sebelum pukul lapan pagi,”jawab Haji Salim pendek.

Ia terus membaca Quran dekat jenazah cucu saudaranya. Saya dan Datuk meninggalkan rumah gadis sunti yang malang.

TANAM

Sudah dua minggu, jenazah gadis sunti yang malang itu disemadikan di tanah perkuburan Islam di Jalan Parit.

Saya masih ingat, waktu orang-orang kampung meratakan tanah kubur, kira-kira pukul sebelas pagi, cuaca begitu baik, matahari memancar keras.

Tanpa diduga oleh sesiapa pun, dalam cuaca panas yang terik itu, hujan turun dengan selebatnya.

Pakaian orang kampung yang ada di situ semuanya basah kuyup.

Beberapa orang kampung meramalkan bahawa, hujan panas yang turun waktu orang menanam jenazah membawa alamat yang kurang baik pada orang yang masih hidup.

Tamat siri 65/284

BACA: SBDJ Siri 64: Orang Berjubah Hitam
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM

Monday, May 06, 2019

Kenapa Semakin Ramai Orang Latin Memeluk Islam?

Kenapa Semakin Ramai Orang Latin Memeluk Islam?

Populasi masyarakat Latin di Amerika Syarikat yang semakin meningkat di mana etnik Hispanik kini menjadi minoriti terbesar di negara itu, ia juga diikuti oleh bilangan orang Islam Latin yang semakin ramai dan ini bukan sekadar hasil daripada Arab Amerika yang berhijrah ke Amerika Syarikat.

Latin muslim

Menurut organisasi seperti Whyislam.org, orang Latin adalah salah satu segmen yang paling pesat berkembang di kalangan masyarakat Islam.

Kira-kira 6% daripada umat Islam AS kini terdiri daripada orang Latin dan seperlima daripada jumlah orang yang baru memeluk Islam di seluruh Amerika Syarikat, adalah orang Latin.

Persatuan Muslim Amerika di Amerika Utara, yang berpusat di Miami Utara, mengatakan bahawa Hispanik Selatan Florida khususnya adalah lokasi utama kepada peningkatan jumlah Muslim Latin.

Dan ini bukanlah sesuatu yang mudah, menurut Marina Gonzalez, seorang jururawat Amerika-Nicaragua di Miami yang memeluk Islam 11 dan memakai hijab kerana pada permulaan, keluarganya berhenti daripada bercakap dengannya.

"Mereka memanggil saya ahli Taliban. Ibu saya tidak suka keluar dengan saya kerana saya memakai hijab," kata Marina.

Namun kini ibunya memahami semuanya. Apabila beliau melawat rumah ibu bapanya, mereka akan menutup TV apabila Marina sedang solat, membuatkan beliau sangat gembira.

Bagi Najib Sowma pula, nama asalnya adalah Dario sebelum beliau memeluk Islam dan kini, beliau merupakan ahli utama masjid Al-Ihsaan di South Miami, yang mengakui ibunya berasa amat terkejut di awalan pemelukan Islam beliau.

"Kini ibu saya sudah mempunyai pandangan yang lain. Sebelum saya memeluk Islam dan saya sekarang, ibu saya melihat perbezaan yang sangat ketara pada perwatakan saya," kata Najib.

Sejarah Islam Sepanyol

Sekiranya anda merasakan ia adalah satu kejutan bahawa ramai orang Latin yang berpindah dari budaya Katolik yang kebanyakannya menjadi agama Arab pada awalnya, mungkin ia tidak sepatutnya mengejutkan.

Ini kerana, seperti orang Afrika-Amerika pada tahun 1960-an, kaum Latin telah menemui hubungan sejarah dan budaya mereka sendiri dengan Islam dan dunia Arab.

Dan inilah yang memulakan definisi bahasa Latin sebagai bahasa Sepanyol.

"Bahasa kami dipupuk oleh lebih daripada 4,000 perkataan yang berasal dari bahasa Arab. Setiap perkataan dalam bahasa Sepanyol yang bermula dengan 'al,' misalnya, seperti alcalde, alcantarilla, almohada," kata Wilfredo Ruiz.

Dia adalah seorang Muslim kelahiran Puerto Rico yang memeluk Islam dan merupakan seorang peguam untuk bahagian Florida Selatan Majlis Hubungan Amerika-Islam.

Ini kerana umat Islam Arab memerintah Sepanyol selama 800 tahun semasa Zaman Pertengahan dan menjadikan Semenanjung Iberia sebagai salah satu tamadun paling maju pada ketika itu.

Satu milenium kemudian, Wilfredo mengatakan bahawa masa lalu adalah bahagian yang tidak dapat dielakkan dari DNA Hispanik.

Menurut Wilfredo, perkara paling menakjubkan yang didapati oleh kebanyakan orang Latin yang memeluk agama Islam adalah pertalian budaya mereka terhadap budaya Islam.

Ia seperti menemui semula masa lalu seseorang, satu tempoh lampau yang tersembunyi daripada hidup mereka.

Beliau juga menegaskan bahawa orang Latin dan Arab sangat menghargai keluarga dan tradisi lanjutan seperti memberikan layanan kepada orang yang tidak dikenali.

Dalam istilah agama, orang Latin seperti Marina Gonzalez mengatakan Islam menyediakan bentuk ibadat yang lebih sederhana dan lebih langsung daripada Katolik.

Mereka juga merasakan lebih banyak struktur daripada yang mereka lihat di gereja-gereja evangelis yang mana ramai orang Latin sertai pada hari ini.

"Hubungan yang saya miliki dengan Tuhan kini adalah lebih baik daripada sebelumnya," kata Marina Gonzalez.

Lebih menarik kepada golongan wanita

Islam Sepanyol

Lebih ramai wanita Latin memeluk Islam berbanding lelaki Latin walaupun Islam sering dipersoalkan oleh ramai pihak tentang pengasingan dan ketidakadilan terhadap wanita.

Tetapi, wanita Latin seperti Liliana Parodi, warga Amerika-Peru yang memeluk Islam lebih awal, mengatakan ia adalah perkara hipokrit untuk Gereja Katolik yang dikuasai lelaki yang melarang paderi wanita, kawalan kelahiran dan perceraian.

Malah, masyarakat Latino "ultra-macho", yang mana rangkaian televisyen Sepanyol masih menggambarkan wanita sebagai "spitfire sexpots", untuk mengkritik kepercayaan baharu mereka.

"Saya beritahu mereka, "lihat diri anda sendiri. Perkara yang menyedihkan adalah apabila mereka melihat wanita sebagai objek," kata Liliana Parodi.

Beberapa tahun yang lalu, imej bangsa Muslim Latin dicalar oleh Jose Padilla, yang dikenali sebagai "Dirty Bomber" yang telah disabitkan kesalahan kerana membantu aktiviti pengganas.

Tetapi, bagi Wilfredo Ruiz, seorang ketua angkatan laut, ramai yang telah berubah sejak itu dan orang-orang Latin semakin berani untuk memeluk Islam.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

'Hero Sebenar' Avengers: Endgame

'Hero Sebenar' Avengers: Endgame

Semua sedia maklum kemasukan terakhir francais Avengers, Endgame, sedang hangat ditayangkan di pawagam dan sudah memecah pelbagai rekod pecah panggung seperti kutipan terpantas $100 juta dan kutipan terpantas $150 juta.

Avengers Endgame

Tatkala peminat beremosi melihat adiwira kesayangan mereka mengucapkan selamat tinggal kepada Marvel Cinematic Universe (MCU), terdapat beberapa detik dalam filem berkenaan yang dianggap kemuncak kepada pelbagai plot yang menjadi teras Infinity Saga.

Harmoni

Harmoni atau lebih tepat kewujudan harmoni dua entiti dalam satu tubuh bukanlah satu perkara yang dapat dicapai dalam kamus kehidupan Dr Bruce Banner dan The Hulk.

Sejak terdedah kepada sinaran gamma melampau yang membawa kepada kewujudan Hulk, bukan sekali dua Banner berusaha membuang apa yang dianggap satu sumpahan yang mengganggu peluang mendapatkan kehidupan normal.

Tetapi, selepas melihat ia sebagai tidak berhasil, beliau cuba mengawal transformasinya sekali gus membolehkan Hulk muncul pada masa-masa yang diperlukan saja seperti melawan jentera perang Chitauri dalam filem Avengers.

Tetapi, semua itu berakhir apabila Banner gagal pulih seperti biasa dan Hulk mendominasi beliau dalam tempoh dua tahun selepas Avengers: Age of Ultron.

Seperti diceritakan beliau kepada Thor dalam Thor: Ragnarok, dahulu kedua-duanya dapat mengawal transformasi.

Tetapi, dengan The Hulk sebagai pemandu, jika Banner bertukar semula kepada Hulk, beliau tidak akan kembali normal seperti biasa.

Dan itulah harga yang dibayarnya demi menyelamatkan penduduk Asgard dari menjadi makanan haiwan kesayangan Hela, Fenris, sekali gus membantu mereka meninggalkan Asgard.

Keadaan ini berterusan sehinggalah Hulk dikerjakan sampai lembik oleh Thanos dan walaupun berjaya dihantar pulang ke bumi oleh Heimdall, trauma dari serangan Thanos nyata memberi kesan kepada Hulk dari segi emosi.

Hulk diakui antara makhluk paling kuat dalam MCU dan berupaya menjadikan orang seperti Loki atau Abomination seperti patung mainan dan ini mewujudkan mentaliti bahawa dirinya kebal dan tidak boleh dikalahkan.

Tetapi, dengan kekalahan memalukan di tangan Thanos, Hulk enggan keluar pada saat yang diperlukan Banner untuk melawan Children of Thanos.

Walaupun cuba dipaksa keluar, Hulk enggan berbuat demikian dan memaksa Banner menggunakan sut perisai Hulkbuster untuk melawan angkatan perang Thanos dalam Avengers: Infinity War dan menahan Mad Titan itu dalam babak-babak awal Endgame.

Dalam tempoh lima tahun selepas Decimation (peristiwa Thanos memetik jari menggunakan Infinity Gauntlet), masa tersebut digunakan kedua-duanya untuk mencari titik persamaan dan berbaik semula.

Atas sebab itulah, apabila Kapten Steve Rogers (Captain America), Natasha Romanoff dan Scott Lang mencari Banner, mereka terkejut melihat penampilan barubya.

Dari segi luaran, ia memang The Hulk tetapi bezanya, Banner yang kini mengawal tindak tanduknya.

Beliau sendiri mengakui semasa melihat transformasi barunya itu, dia seakan-akan tidak percaya bahawa ia berlaku.

Tetapi, apabila kedua-duanya memilih kewujudan harmoni bersama, ia bukan saja menghapuskan terus reputasi Hulk sebagai raksasa yang tidak berakal malah menjadikannya sebagai antara selebriti pujaan ramai.

Dan ia juga membantu Banner terus mempraktikkan pengetahuannya membantu kempen Avengers melawan Thanos dalam Endgame.

‘Kuat itu bukan saja pada fizikal tetapi juga pada hati’

Teringat kita pada dialog antara Rogers dengan Dr Abraham Erskine, arkitek Projek Rebirth dalam Captain America: The First Avenger.

Pada malam sebelum eksperimen dijalankan, Erskine mendedahkan satu sebab mengapa beliau memilih Rogers berbanding calon-calon lain yang dicadangkan Kolonel Chester Phillips: hati.

Calon-calon lain memang diakui mempunyai kekuatan dan kelajuan fizikal tetapi dari segi keazaman dan kesediaan untuk berkorban, tiada siapa boleh mengatasi Rogers termasuk kesanggupannya merebahkan badan di atas bom palsu semasa ujian pemilihan diadakan.

Dan siapa sangka, kekuatan hati itu juga membolehkannya memegang dan menghayun tukul kesayangan Thor, Mjolnir semasa melawan Thanos.

Ia sebenarnya merupakan satu jenaka dalam Age of Ultron di mana semua anggota Avengers cuba mengangkat Mjolnir.

Semua anggota Avengers dari Tony Stark (main tipu guna sarung tangan sut dan bantuan James ‘Rhodey’ Rhodes) hingga Banner sendiri gagal mengangkat Mjolnir.

Hanya Rogers sahaja yang dapat mengangkat sedikit sebelum akhirnya mengaku kalah.

Menurut Thor, hanya orang yang dianggap layak sahaja yang boleh menghayun Mjolnir dan itu direalisasikan dalam Endgame di mana Rogers menggabungkan perisai dan Mjolnir semasa menyerang Thanos bertubi-tubi termasuk serangan kilat yang sinonim dengan Thor.

Permainan senjata Cap dengan Thanos ini juga turut mengimbas dialog antara Rogers dengan Red Skull (Johann Schmidt) semasa membebaskan tawanan perang tentera Bersekutu di kemudahan HYDRA di Austria.

Skull menegaskan pencapaian Erskine melalui Serum Tentera Supernya terhadap dirinya dan Cap menjadikan mereka lebih hebat daripada manusia biasa.

Tetapi berbeza dengan Skull, Rogers menggunakan kekuatan barunya itu sebagai sumber kebaikan termasuk membantu orang-orang yang tidak berdosa.

Dan itu menjadikan dirinya layak menggunakan Mjolnir, satu penghormatan yang dipegang oleh beberapa orang seperti Thor dan Vision.

‘Berkorban apa saja…’

Tema pengorbanan bukan sesuatu yang baru dalam MCU dan ia sudah dapat dilihat sejak Iron Man (2008) lagi.

Tema sebegini digunakan bukan saja untuk menaikkan elemen emosi sesebuah filem tetapi juga mengukuhkan lagi peranan protagonis yang menjadi teras utama sesebuah filem.

Iron Man misalnya mengorbankan watak Yinsen bukan sekadar membantu Stark melarikan diri dari kem pengganas di Gulmira tetapi juga memulakan perjalanannya sebagai adiwira yang kita kenali sebagai Iron Man.

Sementara Rogers pula bersedia mengorbankan dirinya dengan menjunamkan pesawat Valkyrie HYDRA ke dalam laut bagi mengelakkan ia digunakan sebagai pesawat pengebom ke atas Amerika Syarikat.

Pengorbanan tersebut menjadi batu loncatan kepada dirinya bergelar seorang Avenger pada era moden.

Dalam Endgame, Cap sedar bagi menewaskan Thanos, suka atau tidak setiap Avengers perlu berkorban apa saja demi menewaskan Mad Titan itu walaupun ianya amat berisiko.

Sebab itulah, sebelum mereka kembali ke masa silam untuk mencuri batu-batu Infiniti, beliau hanya mengungkapkan kalimah ini, “Whatever it takes (Lakukan apa sahaja).”

Ini kerana batu-batu ini merupakan satu-satunya peluang menewaskan Thanos dan memulihkan semula kerosakan yang ditinggalkan Mad Titan itu dan harga yang dibayar amat besar bagi memulihkan semula keadaan.

Satu daripada pengorbanan yang dilakukan Avengers ialah bila Romanoff dan rakan karibnya Clint ‘Hawkeye’ (Ronin Barton) saling berlawan semata-mata untuk mengorbankan diri demi mendapat Batu Roh (Soul Stone).

Impak dari perbuatan wanita bergelar Black Widow itu nyata memberi impak psikologi kepada semua anggota Avengers termasuk Barton sebaik pulang daripada misi mendapatkan batu-batu Infiniti.

Tetapi, pengorbanan Romanoff berbaloi kerana pada akhirnya, mereka berjaya menggunakan batu-batu tersebut untuk mengembalikan hidupan yang bertukar menjadi habuk semasa Infinity War.

Hero-hero yang pulih ini juga menjadi sokongan kepada Avengers bila berhadapan dengan angkatan perang Thanos dari Ravagers sehinggalah pahlawan-pahlawan Asgard diketuai Valkyrie, tetapi ia masih tidak boleh mengatasi pengorbanan yang paling besar.

‘Akulah Iron Man'

Dialog ini tidak asing bagi peminat siri filem Iron Man dari Iron Man (2008) hinggalah Iron Man 3 (2013).

Dalam filem pertama, kenyataan ini lebih bersifat deklarasi bahawa dia sememangnya seorang adiwira bergelar Iron Man kepada media.

Sementara filem ketiga pula menjadikan ia satu soalan bahawa adakah dia tetap Iron Man walaupun tanpa kelibat sut perisai yang sinonim dengan dirinya.

Naratif filem ketiga itu mengembalikan semula keyakinan Stark bahawa beliau ialah Iron Man dan bersedia berhadapan dengan apa sahaja halangan kerana baginya, tiada yang mustahil.

Dan bagi menambah elemen mistik di sebalik kenyataan ini, kita juga perlu melihat perjalanan spiritualnya sebagai adiwira dari Iron Man (2008) hinggalah Endgame.

Sebelum dikenali sebagai adiwira, Stark memang seorang ahli perniagaan yang tiada kompas moral dan terlalu mementingkan diri sendiri.

Tetapi selepas diculik oleh Ten Rings dan hidup dalam tahanan selama beberapa bulan, ia sebenarnya mengubah dirinya menjadi seorang yang berani, berazam dan tidak teragak-agak bertindak atas nama kebaikan.

Sejak itu, beliau mengharungi pelbagai insiden yang mematangkan dirinya sebagai insan yang lebih baik dari The Avengers (2012) hinggalah Spiderman: Homecoming dan ia sebenarnya menyediakan Stark untuk detik ini.

Untuk pertarungan terakhir antara Thanos dengan Avengers dan sekutu mereka, semua sedar matlamat utama Mad Titan ialah mendapatkan semula sarung tangan Infiniti yang mengandungi batu-batu Infiniti untuk mengulangi peristiwa Decimation.

Maka, ini mendorong ramai adiwira bertarung habis-habisan dari Barton hinggalah Spiderman untuk memastikan Thanos tidak mendapat batu-batu itu.

Di sebalik cubaan berani mereka, ia masih tidak berhasil dan ramai merasakan bila dia menyarung semula sarung tangan itu, akan ada ulangan Decimation seperti dalam Infinity Wars.

Tetapi tanpa pengetahuan Thanos, batu-batu tersebut berjaya dirampas Stark dan diaktifkan dengan satu niat: penghapusan Thanos dan angkatan perangnya.

Dan pada masa itu jugalah, kalimah epik itu diungkapkan, “And… I.. am… Iron Man (Dan… akulah… Iron Man)."

Dan peristiwa Decimation berulang cuma bezanya ia hanya berlaku ke atas Thanos dan angkatan perangnya.

Tetapi, harga yang dibayar Stark untuk petikan jarinya itu ialah nyawanya sendiri, satu kehilangan yang amat menyedihkan ramai pihak dari Pepper Potts (isteri Stark pasca-Decimation) hinggalah Avengers sendiri.

Namun, kalimah yang dilafazkannya itu bukan sekadar satu deklarasi semata-mata kepada Thanos.

Tetapi ia juga merupakan manifestasi sikap tidak mementingkan diri Stark yang menyerlahkan lagi sisi keperwiraannya dan memenuhi janjinya terhadap Yinsen untuk tidak membazirkan kehidupannya selepas melarikan diri daripada tahanan Ten Rings 11 tahun lepas.

Stark tidaklah sehebat Thor, Captain Marvel atau Cap, tetapi dari segi keperibadian, beliau juga mempunyai hati yang besar bersesuaian dengan tarafnya sebagai seorang Avengers.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Doa Orang Berpuasa Di Kabulkan Allah

Doa Orang Berpuasa Di Kabulkan Allah

Ketika memasuki Ramadan, Rasulullah SAW selalu memperbanyakkan amalan kebaikan, lebihkan bersedekah, lebihkan mengerjakan amal-amal soleh terutama yang sunat seperti melakukan solat sunat Rawatib dan sunat-sunat yang lain.

Doa orang berpuasa

Amalkan juga sikap suka senyum ketika bertemu dengan kaum muslimin, menyambung silaturrahim, mengunjungi kaum kerabatnya, bersikap lemah lembut, senang memberi dan berkorban untuk orang lain dan Nabi SAW mengkhususkan bulan Ramadan untuk memperbanyakkan bacaan al-Quran.

Elakkan pembaziran dan bersederhana ketika berbelanja membeli makanan.

Apa istimewanya Ramadhan?

1. Sabda nabi SAW, “Orang yang berpuasa pada bulan Ramadhan denganpenuh keimanan dan penuh harapan maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.”

Tetapi yang Nabi SAW maksudkan adalah dosa-dosa kecil sahaja yang akan diampuni. Ada pun dosa besar memerlukan taubat yang khusus dan kalau dosa tersebut terlibat dengan manusia maka terlebih dahulu kesalahan tersebut dimaafkan oleh mangsa baharulah Allah akan ampunkan dosa tersebut.

2. Nabi SAW bersabda, “Di syurga terdapat sebuah pintu yang bernama al-Rayyan. Orang–orang yang berpuasa akan masuk melalui pintu itu. Jika mereka telah masuk maka pintu itu akan dikunci sehingga orang–orang selain mereka tidak dapat masuk ke dalamnya.”

3. Nabi SAW bersabda, “Orang yang berpuasa satu hari ketika berjuang pada jalan Allah, wajahnya akan dijauhkan Allah dari neraka sejauh 70 kali musim luruh.”

4. Allah anugerahkan malam Lailatul Qadar yang lebih baik dari seribu bulan.

5. Allah gandakan pahala amalan pada bulan Ramadhan. Nabi SAW bersabda; Setiap amalan anak Adam pasti dilipatgandakan. Satu kebaikan akan dibalas dengan sepuluh kali kebaikan sehingga 700 kali ganda, bahkan sehingga gandaan tertentu sesuai kehendak Allah.

Allah berfirman: “Kecuali puasa, kerana puasa itu milik-Ku dan Akulah yang akan memberikan balasannya.”

6. Nabi SAW bersabda, “Ketika sedang berbuka, seseorang yang berpuasa memiliki satu doa yang tidak akan ditolak oleh Allah.” Maka jangan lepaskan peluang ini berdoalah kepada Allah.

7. Segala syaitan dirantai, pintu syurga dibuka dan pintu neraka ditutup. Oleh itu, marilah sama-sama kita menjaga puasa bukan sahaja menahan makan dan minum, bahkan daripada segala maksiat mata, telinga dan mulut serta lain-lain anggota.

Banyakkan membaca al-Quran, melakukan solat sunat dan bersedekah. Semoga Allah menjadikan Ramadhan kali ini sebagai Ramadhan yang terbaik atau mungkin yang terakhir bagi kita sebelum berjumpa Allah

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar

Kereta Bugatti Termahal Dunia Milik Cristiano Ronaldo

Kereta Bugatti Termahal Dunia Milik Cristiano Ronaldo

Bugatti La Voiture Noire, kereta paling mahal pernah dicipta setakat tahun 2019, kini milik bintang dunia, Cristiano Ronaldo selepas dilaporkan berbelanja mewah apabila membeli kereta Bugatti bernilai £10 juta (RM54 juta).

Bugatti La Voiture Noire

Menurut Mirror.Daily, model Bugatti La Voiture Noire merupakan kereta paling mahal yang pernah dihasilkan dalam sejarah, dengan rekaan unik itu buat pertama kalinya dipamerkan sewaktu Pertunjukan Motor Geneva 2019 pada Mac lalu.

Sebelum ini, Ronaldo juga telah membeli sebuah Bugatti Veyron 16.4 Grand Sport bagi meraikan kejayaan Portugal mengungguli Piala Eropah 2016.

Ronaldo juga memiliki koleksi kereta mewah seperti Lamborghini Aventador LP 700-4, Ferrari 599 GTO, Porsche Cayenne Turbo, Mercedes-Benz C220 CDI, Bugatti Veyron dan Aston Martin DB9.

Bugatti La Voiture Noire

Malah, minat bintang Juventus itu terhadap jentera mewah berkelajuan tinggi merupakan hobinya sejak dahulu lagi.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar

SBDJ Siri 64: Orang Berjubah Hitam

SBDJ Siri 64: Orang Berjubah Hitam

Suara di sekitar kubur lama kembali sepi. Tidak ada terdengar suara orang perempuan dan suara kanak-kanak menangis. Lelaki yang menatang kanak-kanak itu meletakkan kanak-kanak itu atas kubur. Kanak-kanak itu kembali menangis dan terus diam bila lelaki itu menyumbat susu ke dalam mulutnya.

Toyol jadi-jadian

“Aku yakin kanak-kanak itu, bukan kanak-kanak betul,” beritahu Datuk pada Haji Salim.

“Tapi, macam mana ia boleh menangis tuk,” tanya saya.

“Itu bukan suara kanak-kanak tu Tamar.”

“Habis suara siapa tok?”

“Suara itu datang dari dalam kubur.”

Saya terus diam. Dengan serta merta bulu tengkuk saya mula meremang. Tetapi mata saya terus tertumpu ke arah kubur lama.

Saya lihat lelaki itu mengeluarkan pisau lalu menikam kanak-kanak tersebut. Suara jeritan kanak-kanak itu melalak.

Saya lihat darah dari perut kanak-kanak itu mercik. Membasahi pergelangan tangan lelaki yang menikamnya.

Suara ketawa dari orang yang mengelilingi kubur lama itu mula terdengar.

Bila suara ketawa itu berakhir, terdengar suara orang perempuan menggilai bersahut-sahutan dari angkasa.

Orang-orang yang mengelilingi kubur lama bertepuk tangan menyambut hilai ketawa dari udara.

Lebih kurang lima minit suara ketawa dan menggilai itu berbalas-balas. Lepas itu suasana di situ terasa sepi.

Orang lelaki yang menikam kanak-kanak itu terus berdiri. Ia mendepangkan kedua belah tangannya. Kain hitam yang dipakainya mengembang lebar macam sayap kelawar.

“Hai ratu, raja dahulu. Aku tahu kuburmu kubur Seri Banian, waris terdekat dari Selendang Delima. Khabarkan pada kami di mana harta keturunan kamu disimpan,” suara lelaki itu meninggi.

Tidak ada jawapan yang terdengar. Lelaki itu mengulangi perkataan itu untuk kali yang kedua. Tiada jawapan yang diterima.

Lelaki berjubah hitam itu berjalan atas kubur. Suara lolongan anjing terdengar sayup-sayup. Burung hantu terus menyanyi dengan semahu-mahunya.

Angin bertiup dengan kencang. Pokok-pokok di belakang kami bergegar macam ada orang yang menggoyangkannya. Ada lembaga besar dan tinggi melintas di depan kami.

“Jangan tegur apa yang kamu lihat,” Datuk memberi pesan.

Saya dan Haji Salim anggukkan kepala. Lelaki yang berdiri di atas kubur berhenti berjalan.

Berdiri di depan seorang lelaki yang berpakaian macamnya. Lelaki itu melompat dan melutut di depannya.

“Semua harta itu ada di dalam kubur kami. Kamu tidak boleh mengambilnya kalau tidak memenuhi syarat,” orang berlutut bersuara.

“Apa syaratnya?”

“Kami mahu lidah dara sunti, bukannya kanak-kanak, syarat kedua kami mahu mengacau penduduk di sini dan syarat ketiga kamu semua harus datang ke sini pada setiap tengah malam Jumaat,” selesai sahaja orang itu berkata-kata ia terus rebah. Tidak ada orang yang mahu menolong membangunkannya.

Orang yang mengelilingi kubur lama terus ketawa. Mereka bertepuk bila melihat orang yang rebah bangun dan terus duduk bersimpuh di depan lelaki yang berdiri.

“Syarat dari siapa?” tanya lelaki yang berdiri.

“Syarat dari aku, raja terawal yang memerintah negeri ini. Berasal dari utara,” suara perempuan yang halus dan lunak.

Ia membuka kain hitam yang menutup kepalanya.

Dengan pertolongan cahaya api, wajahnya mudah dilihat. Orangnya berkulit putih berambut panjang separas bahu.

Orang lain yang mengelilingi kubur terus bertepuk tangan, macam orang tidak sedarkan diri.

Datuk terus mengarah saya dan Haji Salim supaya rapat ke kubur. Kami terus merangkak dengan perlahan-lahan.

Berhenti merangkak bila berada di belakang orang-orang yang mengelilingi kubur lama itu.

Malam yang kian jauh memburu pagi itu, terasa amat dingin sekali. Pokok kecil yang tumbuh sekitar kawasan itu nampak bergoyang disentuh angin.

Cengkerik dan katak puru terus melompat tetapi, nyamuk tidak ada yang datang menyerang kami. Mungkin nyamuk takut dengan sinaran api yang marak itu.

“Bukan orang sini,” bisik Datuk pada Haji Salim.

“Aku rasa pun begitu,” jawab Haji Salim sambil merapatkan dadanya ke tanah.

Saya menggaru cuping telinga. Saya terasa terlalu sukar untuk bernafas dalam keadaan meniarap. Bau tanah menyucuk lubang hidung.

Kalau ada semut yang merayap di pipi, tak boleh ditampar. Semut itu harus ditangkap dan diletakkan atas daun-daun kering.

“Apa yang mereka buat tok?” tanya saya pada Datuk.

“Memuja kubur.”

“Tujuannya untuk apa tok.”

“Ada bermacam-macam, mungkin mereka mahu mencari harta karun mungkin mereka mahu mengamalkan ilmu salah.”

“Apa yang harus kita buat tok?”

“Menghalau mereka dari sini, mereka tak boleh dibiarkan begitu, nanti kita yang susah. Syaitan yang dipuja tu akan ganggu kita semua.”

Saya terdiam. Tidak ada pertanyaan yang mahu saya kemukakan pada Datuk.

Biji mata saya arahkan pada dua orang yang berada di tengah kubur. Saya lihat orang yang duduk berlutut sudah berdiri.

Ia mengeluarkan botol besar dari dalam kain hitamnya. Botol itu diserahkan pada orang di depannya.

Bila lelaki itu mendapat botol, tanpa membuang masa botol itu diketuknya pada batu nisan.

Serpihan botol itu diambilnya dan diserahkan pada orang yang baru bangun dari melutut itu.

“Untuk raja,” katanya.

“Terima kasih, kau pula harus melutut,” orang yang berdiri segera melutut.

Dan orang yang dipanggil sebagai raja itu menutup kembali kepalanya dengan kain hitam.

“Apa yang aku mahu adalah darah kamu semua,” orang yang dipanggil raja itu terus bersuara.

Ia menyerahkan kembali serpihan kaca pada orang yang berdiri. Salah seorang daripada orang yang mengelilingi kubur lama itu bangun. Ia meletakkan baldi kecil di depan orang yang melutut.

Dengan tenang orang yang melutut itu melukakan lengan tangan kirinya. Ia membiarkan darahnya menitis dalam baldi.

Perbuatan yang sama juga dilakukan oleh orang-orang yang mengelilingi kubur lama.

Bila semuanya sudah menitiskan darah dalam baldi. Orang dipanggil raja itu terus minum darah.

Bila selesai berbuat demikian, baldi itu diserahkan pada orang lain untuk menikmati rasa darah dalam baldi.

Bila upacara ganjil itu selesai. Darah yang masih ada dalam baldi dicurahkan pada batu nisan. Orang-orang yang mengelilingi kubur lama terus bertepuk tangan.

“Makan,” kata orang yang dipanggil raja.

Semua orang yang mengelilingi kubur lama mengeluarkan daun keladi dari celah ketiak lalu diletakkan di depan.

Orang yang dipanggil raja itu mengeluarkan sesuatu dari dalam kain hitam dan meletakkan atas daun keladi yang tersusun di depan orang-orang yang mengelilingi kubur lama.

“Makan,” katanya.

Orang-orang yang mengelilingi kubur lama terus membongkok dan menyuapkan sesuatu dari daun keladi ke mulut. Upacara itu berlangsung kira-kira lima minit sahaja.

“Apa lagi yang kamu mahu?” tanya orang yang dipanggil raja dan terus duduk.

Belakangnya disandarkan kepada batu nisan. Matanya menatap wajah-wajah orang yang mengelilingi kubur lama.

“Ilmu yang bertentangan dengan hukum agama, hukum akal, tidak mengenal belas sesama manusia,” jawab orang-orang yang mengelilingi kubur lama itu serentak.

“Baik, setiap kamu yang ada di sini harus membawa lidah anak dara sunti, kemudian bila lidah itu sudah ada di sini, aku tawarkan untuk memperdaya semua manusia,” cukup tenang orang dipanggil raja itu memberikan jawapan.

Datuk dan Haji Salim terus diserang rasa gelisah. Mereka tahu kalau semua orang yang mengelilingi kubur lama itu mematuhi permintaan manusia yang dipanggil raja itu, padahnya akan menimpa gadis-gadis sunti yang tidak berdosa.

“Ini sudah merbahaya,” rungut Datuk.

“Memang merbahaya,” jawab Haji Salim.

Saya hanya menggigit bibir. Pelik juga saya memikirkan, kenapa Datuk dan Haji Salim tidak mahu bertindak dengan segera.

Selain daripada itu, bila mereka merompak waktu malam, tubuh mereka sukar dilihat dengan mata kasar.

Penjelasan Datuk itu diakui oleh Haji Salim.

Bila semuanya sudah mengenakan kesah darah di batu nisan ke tubuh, mereka duduk di tempat asal kembali dan terus bertepuk tangan.

Orang yang pengsan di batu nisan tidak ada siapa yang mahu ambil tahu. Akhirnya orang itu sedar sendiri.

Ia membuka kain hitam yang menutup kepalanya. Dan wajahnya saya lihat berbeza sekali.

Kalau tadi kulitnya putih lembut dengan rambut panjang, kali ini kulit wajahnya menjadi sawo matang dan keras, rambutnya digunting pendek macam tentera yang baru selesai menjalani latihan, di pusat latihan tentera di Port Dickson. Ia melangkah longlai ke tepi kubur lama lalu duduk di situ.

Saya menguap panjang sebanyak dua kali. Rasa mengantuk kian terasa. Rasa dingin kian hebat menggigit kulit tubuh.

Tanpa diduga, Haji Salim terbatuk dengan kuat. Semua orang yang mengelilingi kubur segera bangun.

Mereka terus membakar andang daun kelapa. Seluruh kawasan kubur terang benderang.

Kain hitam yang membungkus kepala mereka jatuhkan. Semuanya berambut pendek dengan wajah yang bengis.

Dalam keadaan yang cemas begitu, Datuk terus melompat dan berdiri tidak jauh dari mereka.

“Maksiat,” pekik Datuk. Haji Salim dan saya terus berdiri di kiri dan kanan Datuk.

Pada mulanya kumpulan berjubah hitam itu mahu menentang kedatangan kami.

Tetapi, bila mereka melihat Haji Salim melambaikan tangan ke arah hutan tebal, seolah-olah memanggil orang lain keluar dari hutan tebal, membuat kumpulan itu berpandangan sama sendiri.

“Apa yang kamu buat di sini,” tanya Datuk.

Tiada ada jawapan yang diterima. Semua anggota kumpulan itu melangkah setapak ke belakang.

“Tinggalkan,” saya terdengar suara dari sebelah kanan.

Serentak dengan itu anggota kumpulan tersebut terus menghilangkan diri, meredah pokok-pokok yang terdapat di sekitar kawasan tersebut.

Haji Salim terus mengejar mereka dengan harapan salah seorang daripada mereka dapat ditangkap.

Usaha Haji Salim itu gagal. Kumpulan berjubah hitam itu cukup cekap berlari dalam gelap.

Apa yang mereka bawa seperti tempat perasap, daun kelai, baldi dan botol semuanya sempat disambat untuk dibawa lari bersama.

Haji Salim kembali mendapatkan saya dan Datuk yang berdiri di atas kubur. Haji Salim tercungap-cungap.

Dengan pertolongan cahaya api, saya dapat melihat peluh menitik dari muka ke atas bajunya.

“Penat,” Haji Salim merungut.

“Sepatutnya, jangan dikejar tadi,” balas Datuk.

“Itulah silap saya, sekarang apa yang harus kita buat. Kalau kumpulan itu mengamuk, susah kita dibuatnya.”

“Bertenang, masih ada masa untuk kita berusaha.”

“Caranya?”

“Nanti kita fikirkan.”

Datuk terus menepuk bahu Haji Salim. Tanpa banyak cakap kami pun meninggalkan kawasan tanah kubur lama itu.

Seperti yang diduga, ketika kami menyeberang sungai mahu pulang ke rumah, hujan turun dengan lebatnya.

Titik-titik hujan yang kasar itu disertai dengan kilat dan bunyi guruh.

Seluruh pakaian kami habis basah kuyup. Saya menggeletar dan dua kali buang air kecil.

Berjalan dalam hujan waktu malam memang menyeksakan. Sama ada suka atau tidak saya mesti menjalaninya dengan perasaan yang sabar.

“Singgah dulu, kita sembahyang Subuh bersama,” kata Haji Salim bila sampai ke kawasan rumahnya.

“Tak payahlah, rumah kita pun tak jauh lagi,” Datuk menolak permintaan Haji Salim dengan tenang.

Haji Salim menuju ke rumahnya. Saya dan Datuk meneruskan perjalanan.

Hari masih gelap, hujan terus gugur bersama kilat dan bunyi guruh sambung-menyambung.

Memang dalam suasana demikian memang seronok tidur, fikir saya. Entah apa yang Datuk fikirkan ketika berjalan dalam hujan itu, saya sendiri pun tidak tahu. Saya dan Datuk pun sampai di rumah.

“Pergi mandi tukar baju basah tu,” perintah Datuk.

“Baik tok,” saya pun masuk ke bilik air.

Datuk terus menuju ke perigi. Baru dua gayung air menjirus badan, saya terdengar pintu bilik air diketuk orang bertalu-talu.

“Siapa tu?”

“Aku.”

“Aku tu siapa?”

“Nenek kaulah, kenapa kau mandi di rumah Tamar. Kenapa tak mandi di telaga.”

“Tok yang suruh nek.”

“Cucu dengan Datuk sama saja. Adakah patut suruh cucu mandi di rumah,” rungut nenek. Saya tersenyum sendirian dalam bilik air.

Lepas mandi saya terus ganti pakaian. Tidak lama lagi waktu Subuh akan tiba.

Nenek melarang saya masuk ke bilik tidur. Ia tahu, kalau saya masuk bilik tidur, sembahyang Subuh pasti tidak saya lakukan.

“Apa yang kau orang dapat di kubur lama Tamar?”

“Itu kena tanya tok,” saya renung muka nenek.

Dalam waktu yang sama Datuk masuk ke rumah. Ia berdiri di depan nenek sebentar.

“Awak nak tahu apa kami dapat di kubur lama?”

“Apa dia?”

“Jumpa orang buat kerja maksiat.”

“Kerja maksiat.”

“Ya.”

Datuk pun masuk ke ruang tengah. Tiba-tiba terdengar suara Datuk menjerit. Saya dan nenek menerpa ke ruang tengah.

Saya lihat Datuk membongkok mengambil sesuatu dan mencampakkan ke luar ikut tingkap.

“Apa dia tok?”

“Daging orang dalam daun keladi, aku campakkan ke tanah.”

“Kenapa tok tak tanam.”

“Ah, tak usah banyak tanya,” suara Datuk keras.

Kerana azan Subuh sudah kedengaran, saya dan Datuk meneruskan sembahyang Subuh.

Lepas sembahyang saya ikut Datuk bersenam. Hujan masih lagi turun, tetapi tidak selebat tadi. Pagi itu, Datuk tidak mandi embun.

Lebih kurang pukul sembilan pagi, hujan berhenti terus. Matahari kembali bersinar.

Datuk dan saya berehat di anjung rumah. Dari jauh kelihatan bayang seorang lelaki berbaju putih berseluar hitam datang ke arah kami. Langkahnya cukup laju.

Sampai di halaman ia terus memberi salam. Datuk membalasnya dengan penuh hormat.

“Silakan naik,” pelawa Datuk.

Orang itu tidak menjawab. Ia terus mengurut-urut janggut sejemput di bawah dagu.

Satu hal yang pasti, orang itu tidak berani menentang mata Datuk. Setiap kali Datuk merenung matanya ia segera mengalihkan pandangannya ke arah lain.

“Rasanya kita pernah berjumpa tapi, di mana saya tak ingat,” Datuk bersuara dengan nada riang.

Belum pun selesai Datuk berkata-kata. Orang itu memalingkan mukanya ke kiri dan terus melangkah tanpa mahu menoleh lagi ke rumah Datuk.

Akhirnya, hilang dalam sinar matahari yang kian garang. Datuk termenung sejenak. Dahinya kelihatan berkerut macam mengingati sesuatu.

Datuk menumbuk lantai sambil berkata:

“Aku ingat.”

“Apa yang tok ingat.”

“Orang itu pernah datang jumpa aku di rumah ni waktu malam, masa itu ia memakai jubah sambil membilang tasbih,”

“Siapa orangnya tok?”

“Namanya aku tak tahu, tapi ia pernah memberi amaran pada aku kerana menolong perempuan yang aku jadikan anak angkat.”

Saya anggukkan kepala. Wajah Sariyah dan ibunya terbayang di ruang mata saya. Sudah lama mereka tidak datang menemui Datuk.

Rasa kesal terus juga bermain di hati saya. Kenapa Datuk mesti menerima akibatnya setelah melakukan sesuatu yang bertujuan untuk kebaikan.

Saya segera menggigit bibir bawah. Rasa geram terus meluap-luap di dalam dada. Kalau diturutkan kata hati, mahu rasanya saya membawa kayu dan memukul batang leher lelaki jahanam itu.

Dalam saya berperang dengan perasaan itu cara mendadak Haji Salim datang. Ia membawa sebilah keris. Datuk mengajak ia naik. Haji Salim menolak.

“Ada apa hajat?” tanya Datuk.

“Nak mengajak pergi ke kubur lama.”

“Apa pula sebabnya?”

“Hati saya berkata-kata tak puas rasanya kalau tak melihat apa yang ditinggalkan oleh orang-orang maksiat itu.”

“Kalau begitu, eloklah kita pergi.”

Datuk pun turun. Saya juga ikut turun. Tanpa memberitahu nenek Datuk terus menuju ke kawasan kubur lama.

Kerana hujan lebat pada sebelah malam, kesan air hujan masih terasa di daun kayu dan bumi pun agak lembap sepanjang perjalanan menuju ke tempat tersebut.

Biasanya, air sungai tidak naik. Tetapi, pagi itu air sungai naik kira-kira dua kaki. Airnya pula mengalir keruh. Kami terpaksa meranduk air yang keruh itu.

Tidak banyak perkara yang Datuk bualkan sepanjang perjalanan itu. Ia asyik membaca sesuatu.

Sebabnya saya berani berkata begitu, sepanjang perjalanan itu mulut Datuk sentiasa bergerak-gerak sahaja.

Setelah melawan arus sungai, kami pun sampai ke seberang dan terus memanjat tebing. Dari situ bergerak menuju ke kubur lama.

Apa yang saya lihat di situ ialah puntung-puntung kayu dan abu yang lembap. Kesan darah di batu nisan sudah tidak kelihatan lagi. Semuanya hilang kena air hujan.

Datuk dan Haji Salim terus memeriksa seluruh kawasan kubur lama. Mereka terjumpa dengan serpihan tembikar tempat perasap serta beberapa ketul kemenyan yang bertaburan.

Haji Salim mengambil ketul kemenyan itu. Ditelitinya sebentar, kemudian dicampakkan dalam semak.

“Kita balik saja,” saya terdengar suara Datuk.

“Ya, tak ada guna membuang masa di sini,” sahut Haji Salim.

Kami pun melangkah meninggalkan kawasan kubur lama. Bila sampai dekat sungai kami terdengar suara orang perempuan memanggil nama Haji Salim dan Datuk bertalu-talu. Datuk dan Haji Salim buat tidak kisah dengan panggilan itu.

“Jangan dijawab,” Datuk mengingatkan saya.

“Kenapa tok.”

“Itu suara syaitan.”

“Suara syaitan,” ulang saya sambil meraba pangkal tengkuk.

GANGGU PENDUDUK

Sudah seminggu lebih penduduk kampung Mandi Upih didakap keresahan. Setiap senja dan Subuh rumah mereka didatangi orang-orang berjubah hitam yang tidak dikenali.

Orang-orang yang berjubah hitam itu mengetuk pintu, terutama waktu sembahyang Maghrib.

Kalau pintu tidak dibuka ketukannya terus berlanjutan. Kalau dibiarkan papan pintu akan pecah.

Bila dibuka, orang yang membuka hanya melihat belakang manusia berjubah hitam dalam tempoh beberapa saat sahaja. Kemudian orang berjubah hitam itu terus hilang.

Kalau yang membuka pintu itu orang lelaki, ia tidak melihat manusia berjubah hitam tetapi, ia akan melihat wanita cantik memakai pakaian serba kuning dengan wajah yang menawan.

Kalau direnung lama-lama, wajah yang menawan itu akan bertukar menjadi hodoh.

Gigi yang putih menjadi merah, macam darah. Kiri kanan gigi akan tumbuh siung.

Hidung yang mancung jadi berlubang dengan beberapa ekor ulat, begitu juga dengan biji mata.

Sebelum menghilangkan diri perempuan itu akan ketawa. Dari mulutnya akan keluar bau yang amat busuk. Tidak ubah macam bau bangkai.

Malang bagi orang luar atau saudara mara yang datang ke rumah saudara mara di kampung itu waktu Maghrib.

Mereka terpaksa membaca ayat fatihah dan ayat ‘Qulhuallah’ serta dua kalimah syahadat dengan lantang.

Bila pembacaan itu betul dan lancar, baru saudara atau adik-adik membuka pintu dan mempersilakan masuk.

Kalau tidak boleh membaca anak sendiri pun tidak akan dibuka pintu. Mereka berbuat demikian, kerana mematuhi nasihat dari Haji Salim.

Akibat dari undang-undang yang tidak bertulis, kanak-kanak yang belum ke sekolah sudah lancar membaca ayat-ayat tersebut.

Kesannya memang baik. Sejak undang-undang itu dilancarkan, orang-orang jubah hitam mula berkurangan mengacau para penduduk di situ waktu Maghrib.

Meskipun kegiatan kumpulan jubah hitam itu berkurangan tetapi, Datuk tidak puas hati.

Ia mahu menghancurkan dan melenyapkan kumpulan itu dari mengacau para penduduk.

Jadi, tidaklah menghairankan kalau ada setiap masa Datuk berusaha dengan pelbagai cara untuk menghancurkan kumpulan itu.

Hari itu, seorang lelaki mengunjungi rumah Datuk. Tetamu yang jadi kenalan baik Haji Salim itu dipersilakan masuk ke rumah. Ia ditemani oleh Haji Salim.

“Apa hajatnya,” soal Datuk.

Teman Haji Salim yang berasal dari Kampung Matang Aceh itu tunduk merenung lantai.

Kemudian ia mengangkat mukanya perlahan-lahan merenung muka Datuk dan Haji Salim.

“Silakan,” gesa Haji Salim.

“Saya disuruh oleh Ketua Kampung Matang Aceh menemui awak.”

“Sebabnya.”

“Ada anak dara sunti di kampung mati dicekik orang waktu senja dan lidahnya dipotong,” kata teman Haji Salim.

“Dah repot pada polis.”

“Sudah.”

“Bila perkara itu terjadi.”

“Dua hari yang lalu.”

“Jumpa saya nak buat apa?”

“Minta ikhtiar supaya perkara macam itu jangan berulang lagi.”

Datuk menarik nafas panjang. Datuk renung muka Haji Salim. Mereka berbalas senyum, macam ada sesuatu rahsia besar yang tersembunyi dalam pancaran senyuman mereka.

“Baliklah, jaga kampung,” nasihat Datuk.

Teman Haji Salim minta diri dan pulang.

Haji Salim cuma menghantarnya hingga ke kaki tangga sahaja. Kemudian ia naik ke rumah Datuk kembali. Datuk di anjung.

“Saya yakin, perbuatan itu dilakukan oleh orang yang kita lihat di kubur lama,” Haji Salim meluahkan perasaannya.

Datuk anggukkan kepala. Lama juga Datuk dan Haji Salim bertukar-tukar fikiran dan pendapat.

Akhirnya, mereka meninggalkan rumah untuk pergi ke surau untuk menunaikan sembahyang Asar.

Lepas sembahyang Asar, Datuk tidak pulang ke rumah. Ia singgah di rumah Haji Salim. Haji Salim membawa Datuk melawat ke bahagian tempat ia menempah keris.

Datuk terkejut besar, bila ia melihat beberapa bilah lembing yang di bahagian hujung matanya terlekat buah limau nipis manakala ulu lembing dilumur dengan tanah liat yang berwarna kuning.

“Buat apa ni Haji?”

“Ini caranya membunuh orang yang tidak makan besi tajam.”

“Kenapa kita mesti membunuh?"

"Kalau kumpulan jubah hitam itu berniat jahat, jawabnya mata lembinglah.”

Datuk ketawa mendengar cakap Haji Salim.

Sebenarnya, ia juga ada petua tersendiri bagi mengalahkan orang yang tidak mampan oleh peluru dan senjata tajam.

Petua yang diamalkan itu mesti diiringi dengan pembacaan ayat-ayat suci. Hal itu tidak pula dinyatakan oleh Datuk pada Haji Salim.

“Aku yakin, orang-orang itu tak payah dicari, mereka akan datang mencari kita. Aku rasa orang itu ada dekat kita,” ujar Datuk lagi.

Haji Salim renung kiri kanan, macam mencari sesuatu. Ia tidak nampak ada manusia di situ, selain diri saya, Datuk dan dirinya.

“Awak bergurau.”

“Tidak, saya yakin orang itu ada di sini.”

Selesai sahaja Datuk bercakap, ulu lembing yang tersusun itu terangkat sendiri macam ada orang yang mengangkatnya.

Ulu lembing itu tersusun kembali seperti asal, ketika itu juga Haji Salim terlihat bayang-bayang manusia melintas di depannya.

“Awak menggunakan pancaindera yang keenam,” kata Haji Salim.

“Tidak, saya menggunakan gerak rasa dan hati. Sejak masuk tadi saya terasa ada orang bersembunyi di sini, tapi sukar untuk dilihat,” jelas Datuk.

Haji Salim tersenyum lalu menepuk pangkal lengan kanan Datuk.

“Kebolehan yang ada pada awak dan pada saya kita satukan untuk menentang perkara jahat.”

Tamat siri 64/284

BACA: SBDJ Siri 63: Nisan Berdarah
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM

Sunday, May 05, 2019

Kisah Kemiskinan Shah Rukh Khan Sebelum Menjadi Pelakon

Kisah Kemiskinan Shah Rukh Khan Sebelum Menjadi Pelakon

Tidak perlu lagi diperkenalkan siapakah jejaka kacak di dalam gambar di bawah ini. Sebut sahaja namanya, sudah membuatkan kita terbayang-bayang lakonan romantiknya di dalam Kuch Kuch Hota Hai ataupun Mohabbatein.

Kisah kemiskinan Shah Rukh Khan
Shah Rukh Khan.

Shah Rukh Khan atau SRK. Nama yang cukup popular di dunia Bollywood serta di dalam industri perfileman dunia dan secara khususnya mendapat tempat istimewa di hati para peminatnya di Malaysia.

Namun, sedikit yang mengetahui sejarah kehidupan beliau yang hebat ini bermula dengan kisah lampau yang telah mencorakkan beliau antara pelakon yang paling berjaya di dunia Bollywood.

Shah Rukh Khan akan berumur 54 tahun pada 2 November 2019 nanti dan beliau dilahirkan di dalam keluarga Islam di New Delhi.

Beliau telah berkahwin dengan Gauri Khan dan mempunyai 3 orang anak. Shah Rukh Khan merupakan pelakon, pengarah dan juga pernah menjadi pengacara televisyen.

Ayahnya bernama Meer Taj Mohammed Khan dan ibunya bernama, Lateef Fatima berasal dari Peshawar. Ayahnya mempunyai beberapa perniagaan seperti restoran dan hidup sederhana di apartment yang disewanya.

Beliau membesar di kejiranan Rajendra Nagar di Delhi dan bersekolah di St. Columbus. Di sini, beliau aktif dalam bidang sukan, drama dan juga seorang pelajar yang cemerlang dari segi akademik. Malah, beliau juga dianugerahkan Sword of Honour, iaitu anugerah tahunan St. Columbus bagi pelajar contoh sekolah.

Selepas itu, beliau menghadiri Kolej Hansraj dari tahun 1985 sehingga 1988 dan telah mendapat ijazah di dalam bidang ekonomi. Kemudian, beliau meneruskan pengajian dalam bidang Sarjana di Jamia Millia Islamia, namun beliau berhenti separuh jalan kerana minatnya dalam bidang lakonan begitu mendalam.

Namun, beliau telah dikejutkan dengan tragedi malang apabila ayahnya telah meninggal dunia disebabkan kanser pada tahun 1981. 10 tahun kemudian, ibunya turut meninggalkannya akibat komplikasi penyakit diabetes.

Akibat kematian kedua ibubapanya, kakak Shah Rukh Khan iaitu Shahnaz telah mengalami tekanan perasaan dan Shah Rukh Khan telah bertindak menjaganya. Kini, kakaknya masih lagi tinggal bersama Shah Rukh Khan dan keluarganya di rumahnya di Mumbai.

Akibat ketiadaan tempat bergantung, Shah Rukh Khan telah kehabisan duit dan bagi menyara hidup, beliau telah bekerja di tempat konsert dengan bayaran Rs.50 iaitu kira-kira RM3.40.

"Ketika saya datang ke Mumbai untuk berlakon, saya tiada tempat untuk tidur dan juga tiada wang." - Shah Rukh Khan

Beliau bermula dengan watak kecil di dalam filem dan drama. Beliau dibayar Rs.25,000 atau RM1700 sahaja untuk lakonannya di dalam filem yang bertajuk "Kabhi haan Kabhi naa".

Di hari pembukaan filem itu, beliau sendiri yang menjual tiket filem itu kepada orang ramai. Ketika itu, beliau hanya tidur di tepi pantai ataupun di perhentian bas kerana tiada tempat tinggal.

Namun, pada tahun 1992, hidupnya berubah. Selepas 5 tahun berusaha keras di dalam industri filem, filem "Deewana" telah menjadi filem box office dan telah memenangi Pelakon Debut atau Baru Terbaik untuk FilmFare.

Beliau berkata, "Saya berlakon kerana takutkan kemiskinan berbanding dengan minat lakonan."

Shah Rukh Khan telah berlakon di dalam filem-filem yang tidak diingini oleh pelakon lain namun tuah manusia siapa yang tahu, satu persatu filem yang dilakonkannya menjadi hits.

Hari ini, Shah Rukh Khan digelar "King Khan" dan merupakan pelakon Bollywood paling kaya dalam sejarah.

Pada tahun 2016, beliau mendapat bayaran sebanyak $33 juta ataupun RM145.55 juta, meletakkan beliau di tangga ke 86 dalam 100 selebriti paling kaya tahun 2016 lalu.

Dari RM3 kepada RM145.55 juta, siapa sangka hidup beliau berubah kerana tindakan yang berani itu.

Cerita Shah Rukh Khan ini mengajar kita bahawa, kejayaan dan kegagalan adalah sebahagian rencah kehidupan. Kedua-duanya tidak kekal dan percayalah kepada usaha anda.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Misteri Hantu Tindih Dalam Masyarakat Di Seluruh Dunia

Misteri Hantu Tindih Dalam Masyarakat Di Seluruh Dunia

Ditindih lembaga hitam ketika tidur adalah kejadian misteri yag sering berlaku di kalangan masyarakat yang dalam kajian sains dan paranormal Barat dinamakan kelumpuhan tidur (Sleep Paralysis), merujuk kepada ketidakmampuan kita untuk bergerak ketika sedang tidur, bukan sekadar tidak mampu menggerakkan badan, malah tidak mampu bersuara dan mengalami halusinasi seram serta mimpi yang menakutkan.

Misteri Hantu Tindih
Gambar hiasan.

Untuk pengetahuan anda, tidur mempunyai banyak tahap dan kelumpuhan tidur terjadi dalam keadaan separuh tidur, sedang nyenyak tidur ataupun terjaga.

Fasa tidur Rapid Eye Movement (mata berkedip dengan pantas) adalah tahap tidur yang paling lena.

Ketika ini, jantung berdegup perlahan, otot berada dalam keadaan yang sangat lemah, manakala otak melakukan hal-hal yang 'mengarut' serta diluar kawalan.

Pada tahap inilah mimpi terjadi dan kita dapat 'merasainya' dengan jelas sekali.

Kita mahu menjerit dan melepaskan diri dari jelmaan-jelmaan menakutkan, namun setiap sendi dan anggota tubuh tidak mampu digerakkan.

Ini terjadi kerana otak kita sebenarnya masih dalam keadaan tidur tapi tubuh ingin bangun,

Ketiadaan hubungan (disconnection) antara otak dan tubuh inilah yang menyebabkan tubuh kita terasa lumpuh).

Sleep Paralysis Diseluruh Dunia

Bagaimanapun, anda jangan terkejut kerana misteri ditindih ketika tidur turut terjadi di dalam masyarakat lain.

Di Fiji, mereka percaya ia dilakukan oleh Kana Tevoro iaitu roh seseorang yang baru muncul kerana ada perkara penting hendak diberitahu kepada orang yang ditindih, juga masyarakat yang ditinggalkannya.

Apabila melihat kejadian itu, orang yang berada berdekatan dengan mangsa akan menjerit, 'Kania! Kania!' (Makan! Makan!) untuk memanjangkan lagi tempoh kerasukan.

Tujuannya supaya mereka dapat berhubung dengan roh tadi dan bertanya mengapa ia kembali ke dunia.

Misteri hantu tindih turut berlaku di kalangan masyarakat Thailand (Phi Am), Mexico (Se me subio el muerto), Jepun (Kanashibari), Korea (Gawi nulim), Mongolia (Khar darakh), Vietnam (Made), Filipina (Bangungut) dan sebagainya.

Di Newfoundland, South Carolina dan Georgia pula, masyarakat di sana mengatakan gangguan itu disebabkan oleh syaitan bernama Hag.

Manakala di New Guinea, mereka percaya ia dilakukan oleh Suk ninmyo, iaitu pokok yang dianggap suci dan hidup dengan memakan semangat manusia.

Mengikut kepercayaan masyarakat ini, pokok tersebut mencari mangsanya pada waktu malam ketika mereka sedang tidur.

Malangnya, ada mangsa yang terjaga ketika semangat mereka dimakan, menyebabkan badannya tidak dapat digerakkan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Tragedi Kematian Omayra Sanchez, Gambar Menyedihkan Yang Memenangi Anugerah Foto Terbaik

Tragedi Kematian Omayra Sanchez, Gambar Menyedihkan Yang Memenangi Anugerah Foto Terbaik

Pada tahun 13 November 1985, Gunung Berapi Nevado del Ruiz meletup mengakibatkan letusan lahar gunung berapi yang mengalir merentasi pekan Armero, Colombia, yang kali terakhir meletus secara kecil-kecilan pada tahun 1845, membuatkan tidak ada sebarang amaran dapat dikeluarkan kepada penduduk sekitar kawasan Armero.

Tragedi-omayra-sanchez
Omayra Sanchez.

Jika ada amaran pun, mesej itu sampai lambat kerana tidak ada jalinan hubungan yang wujud, kerana ketika hari kejadian bekalan elektrik telah terputus terlebih dahulu akibat hujan lebat.

Sehari sebelum berlakunya letusan besar itu, sudah terdapat tanda-tanda awal tragedi akan berlaku apabila asap hitam mula keluar dari kawasan gunung. Penduduk hanya diberitahu supaya tidak bimbang.

Amaran pengkaji bumi yang sudah mengesan berlaku pergerakan sejak September tidak diendahkan oleh kerajaan Colombia. Tepat pada jam 9:09 malam, Gunung berapi Nevado del Ruiz meletus menyebabkan kematian lebih 22 ribu penduduk di situ.

Omayra yang pada ketika itu berada di rumahnya bersama keluarga yang semakin bimbang akibat batu-batu arang yang semakin kerap menimpa atap rumah mereka.

Mereka dapat mendengar dari jauh bunyi yang semakin menghampiri dan dalam sekelip mata, tiba-tiba sahaja segalanya musnah dibawa arus lahar yang panas.

Ayah dan makciknya meninggal di tempat kejadi sementara Omayra terselamat tetapi badannya tersekat di siling rumah mereka. Ibunya pula bernasib baik pada waktu itu bekerja di luar kawasan.

Pasukan penyelamat mengalami kesukaran untuk masuk ke kawasan itu bagi menyelamatkan mangsa, kerana lahar itu dipenuhi lumpur yang membuatkan suasana pesrsekitaran menjadi amat sukar untuk dinavigasi tanpa tersekat.

Bagaimanapun, Omayra berjaya ditemui tetapi pasukan penyelamat tidak berjaya mengeluarkan dia dari celahan batu dan konkrit yang menyepit beliau.

Penyelam yang memeriksa mendapati hanya dengan memotong kaki beliau yang pada ketika itu dalam keadaan melutut, Omayra dapat dibebaskan tetapi, dengan situasi yang kurang sesuai, besar kemungkinan Omayra akan mati jika kakinya dipotong kerana jangkitan kuman.

Cubaan untuk menarik Omayra keluar juga tidak berjaya kerana setiap kali ditarik, air berlumpur akan kembali bertakung pantas yang mampu membuatkan beliau lemas.

Tidak pula dipastikan sama ada Omayra tahu atau tidak, dia sedang memijak makciknya sendiri yang tenggelam dalam lumpur di bawahnya.

Pihak perubatan mengambil keputusan, jalan terbaik adalah dengan membiarkan saja Omayra di situ serta berharap agar bantuan peralatan datang untuk menyelamatkan beliau.

Omayra pun terus hidup di dalam lumpur dengan hanya kepala dan tangannya kelihatan. Sepanjang dia masih hidup, Omayra kekal positif, menyanyi, makan serta mahu ditemubual oleh wartawan, bagaimanapun, ada kalanya beliau jadi takut, kemudian menangis dan meminta pertolongan Tuhan.

Sifat Omayra mula berubah pada hari ketiga sehingga mengalami halusinasi, meracau-racau hendak ke sekolah kerana mahu mengambil peperiksaan matematik.

Wajah Omayra pada ketika itu bertukar. Matanya menjadi merah, kulitnya membengkak dan tangannya bertukar keputihan.

Pada jam 10:05 pagi, selepas hampir 60 jam Omayra meneruskan hidup menunggu penyelamat datang, beliau meninggal dunia pada 16 November 1985 kerana penyakit gangrene dan hypothermia, akibat terlalu lama berada di dalam air.

Banyak pihak meletakkan beban kesalahan pada kerajaan Colombia yang gagal menyediakan fasiliti amaran dan keselamatan yang lengkap. Kemudahan asas seperti alat bantuan penyelamat juga tidak diperolehi, menyukarkan sebarang kerja menyelamat apatah lagi dalam situasi di kelilingi lumpur.

Kerajaan Colombia pula mengakui kelemahan mereka pada ketika itu diburukkan lagi ketika itu kerajaan mereka terpaksa menghadapi serangan pemberontak kerajaan, yang membuatkan wakil kerajaan terpaksa memfokuskan kepada perihal keselamatan negara.

Frank Fournier, seorang jurugambar Perancic sempat menemui Omayra sehari sebelum dia meninggal dan merakamkan detik-detik akhir Omayra Sanchez yang diterbitkan 6 bulan kemudian dalam satu siri gambar yang diberikan tajuk "The Agony of Omayra Sanchez." Gambar itu memenangi anugerah World Press Photo of The Year bagi tahun 1986.

Tragedi-omayra-sanchez-yang-menyedihkan

Tragedi itu telah membunuh hampir 75% penduduk (22 ribu) daerah Armero dan penduduk pekan Armero yang masih hidup, memulakan semula kehidupan mereka ke sebuah lokasi lain di bahagian utara beberapa kilometer dari Armero yang dinamakan sebagai Armero Guayabal.

Bandar Armero ditinggalkan dengan sesetengah lokasi masih lagi diselimuti lumpur. Gunung berapi Nevado del Ruiz dikhabarkan masih aktif dan jika pemanasan global terus berlaku, dianggarkan tragedi serupa mampu berulang sekali lagi.

Omayra Sanchez kini menjadi simbol masyarakat Colombia, sebagai peringatan kepada kecuaian kerajaan Colombia dalam menangani krisis yang sebenarnya mampu dielakkan.

Begitulah kisah tragedi kematian manusia terbesar melibatkan insiden lahar gunung berapi yang berlaku satu masa dulu pada tahun 1985.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

SBDJ Siri 63: Nisan Berdarah

SBDJ Siri 63: Nisan Berdarah

Saya terus menekup mata, bila kawannya yang memegang parang mengangkat parangnya tinggi-tinggi dan terus menjatuhkan atas lengan penjual. Semua orang di situ mengeluh, ada pula yang memalingkan muka ke arah lain. Tidak sanggup melihat darah dan lengan yang terputus dua.

Toyol jadi-jadian

“Yaaaakkk,” saya terdengar suara pemegang parang, lepas itu saya tidak terdengar apa-apa.

Semuanya sunyi sepi. Bila saya terdengar suara tepukan tangan orang ramai, saya segera menjatuhkan telapak tangan yang menutup mata saya.

Aduh, sungguh mengagumkan, lengan penjual ubat tidak putus dua. Tidak ada darah yang menitik atas muka tunggul.

Wajah penjual ubat kelihatan tenang sambil menggosok lengannya dengan sejenis minyak yang dipamerkan di situ.

Sedang penjual ubat asyik menggosok minyak di lengan, pemukul gendang mengambil tombak bermata kapak, lalu mengapak belakang penjual ubat dengan sekuat hati.

Semuanya tidak mendatangkan kesah, penjual ubat tersenyum bahagian belakangnya terus digosok dengan minyak.

Dalam beberapa minit sahaja, orang yang berkumpul di situ berebut-rebut membeli minyak tersebut yang harganya lima puluh sen sebotol.

Bila orang ramai selesai membeli ubatnya. Ia memperlihatkan kekuatan kulit tubuhnya yang tidak mampu dilukakan dengan senjata tajam.

Ia menikam perutnya dengan pedang. Ternyata pedang itu tidak mampu menembusi kulit perutnya.

“Orang Melayu mana ada kuat macam saya,” ujarnya dalam bahasa pasar yang tunggang-langgang.

Ia merenung satu-satu wajah orang Melayu yang ada di situ. Kemudian, ia mencabar orang Melayu yang ada di situ menunjukkan kekuatan.

Seorang Cina tempatan menghampiri penjual ubat. Cina tempatan itu menasihatkan penjual ubat dari Taiwan, supaya jangan berbuat demikian.

Perbuatan itu boleh menyinggung perasaan orang Melayu di tempatnya.

Penjual ubat dari Taiwan itu, tidak mengendahkan nasihat Cina tempatan tersebut. Ia terus mencabar dan mencabar.

“Eh, lu jangan ingat orang Melayu tak kuat,” saya segera menoleh ke kanan.

Saya lihat Haji Salim melangkah garisan putih yang ada di situ. Ia menyingsingkan lengan bajunya. Penjual ubat dari Taiwan terus ketawa.

Orang ramai yang ada di situ resah. Mereka bimbang, kalau sesuatu yang tidak diingini akan terjadi.

Cina tempatan segera menghampiri Haji Salim, bahu Haji Salim dipegangnya dengan lembut sekali.

“Haji tolong jangan gaduh, dia bukan Malaysia punya orang, dia tak tahu punya adat,” pujuk Cina tempatan.

“Saya tahu, fasal dia bukan orang Malaysia, saya mahu tunjuk sama dia orang Malaysia juga kuat,” balas Haji Salim. Saya mula terasa kecut dan cemas.

“Pak Haji tak usah Pak Haji, ini merbahaya,” pujuk saya pula.

“Tak apa Tamar,” balas Haji Salim dengan tenang. Ia menyuruh saya keluar gelanggang.

Penjual ubat dari Taiwan tersenyum sinis melihat saya dan Haji Salim.

“Sekarang kalau lu boleh kasi luka, gua beri lu lima ratus, kalau gua kasi luka lu berapa lu kasi,” penjual dari Taiwan menyoal Haji Salim.

Saya lihat muka Haji Salim selamba sahaja. Sesekali memberi isyarat tangan pada Cina tempatan supaya bersabar dan bertenang.

“Tak usah kasi apa-apa, gua tak mahu lu punya wang dan gua punya wang tak mahu kasi sama lu,” ujar Haji Salim dan terus meletakkan lengannya atas tunggul kayu.

“Nanti lu punya tangan putus macam mana?”

“Tak apa.”

“Betul ni.”

“Betul, semua orang boleh jadi saksi.”

“OK, kita mula.”

“Ayuh.”

Penjual ubat dari Taiwan pun mengambil parang bermata lebar. Lengan Haji Salim ditetaknya dengan sekuat hati. Ia terkejut, lengan Haji Salim tidak putus dua atau pun berdarah.

“Silakan, tetaklah seberapa banyak yang kamu suka,” kata Haji Salim.

Muka penjual ubat jadi merah padam. Tanpa membuang masa, ia terus menetak sebanyak tiga kali berturut-turut.

Semuanya tidak mendatangkan kesan. Penjual ubat itu merenung orang yang mengelilinginya.

“Sekarang lu kasi pukul saya punya tangan,” penjual ubat bersuara.

“Jangan marah kalau luka,” balas Haji Salim.

“Tak marah, gua kuat.”

“Silakan.”

Penjual ubat dari Taiwan itu terus duduk mencangkung. Lengan kanannya diletakkan atas tunggul kayu khas.

Ia menarik dan menahan nafas, perutnya kelihatan kempis, kiri kanan pipinya kelihatan kembung, macam monyet menyembunyikan makanan dalam mulut.

Haji Salim mengambil parang bermata lebar. Berdiri dengan tenang dekat penjual ubat itu.

Kedua belah bibir Haji Salim kelihatan bergerak-gerak. Saya kira ia sedang membaca ‘Bismillah’ untuk melakukan pekerjaan itu.

Semua biji mata orang ramai tertumpu pada Haji Salim yang memakai serban putih, berseluar kuning dengan baju putih berbutang lima.

Ada di antara orang ramai itu berbisik sama sendiri. Mereka bagaikan tidak percaya lelaki yang bertubuh kurus dengan janggut sejemput itu boleh mencederakan lengan penjual ubat dari Taiwan.

Dalam keadaan orang ramai yang termangu-mangu itu. Haji Salim pun menjatuhkan parang bermata lebar ke atas penjual ubat.

“Wahhhhh….,” suara penjual ubat meninggi.

Mukanya kelihatan berkerut menahan kesakitan. Urat-urat hijau nampak menonjol menolak kulit.

Dalam saat-saat begitu, bahagian daging yang membengkak itu menjadi merah dan akhirnya bertukar menjadi hitam kebiru-biruan. Kawan penjual ubat segera menyapukan minyak.

Hasilnya tidak ada apa-apa. Makin disapu dengan minyak, makin besar bengkaknya dan penjual ubat beransur lemah.

Ia tidak terdaya menggerakkan tangan yang kena tetak itu. Ia cuba bangun, usahanya itu gagal juga.

Haji Salim segera menghampirinya. Bahu penjual ubat itu disentuhnya dengan jari kelinding kiri.

“Lu bangun,” kata Haji Salim.

Penjual ubat itu terus bangun tetapi, lengan yang kena tetak itu kelihatan terkulai dan terus bengkak. Mukanya terus berpeluh.

Haji Salim terus menjamah jari telunjuk kanan penjual ubat. Jari itu direntapnya hingga berbunyi.

Beberapa minit kemudian bengkak yang membatas di lengan beransur kurang dan akhirnya terus pulih seperti sediakala.

Kesan mata parang masih kelihatan seperti satu garisan di lengan penjual ubat.

Orang ramai yang menyaksikan peristiwa itu tercengang. Beberapa orang anak muda menghampiri Haji Salim, mereka bertanya sesuatu pada Haji Salim yang berbadan kurus itu.

“Lu memang kuat,” penjual ubat itu merenung muka Haji Salim.

“Ini semua tuhan punya kuasa,” jawab Haji Salim pendek.

Penjual ubat itu segera menghulurkan wang lima ratus ringgit pada Haji Salim. Dengan wajah yang tenang Haji Salim menolak.

“Tak mahu.”

“Apa fasal, kita sudah janji.”

“Saya bukan mahu lawan itu macam, saya panas hati bila lu cakap orang Melayu tak ada kuat dan tak boleh lawan sama lu.”

“Saya sudah banyak tempat pergi, belum ada orang Melayu berani lawan, jadi saya ingat orang Melayu memang tak kuat.”

“Lu silap, orang Melayu tak suka tunjuk-tunjuk kuat itu macam, tapi kalau sudah lu cakap besar, saya mahu cuba.”

“Lu betul punya haji, bukan main-main punya haji, badan kurus tapi hati banyak kuat.”

“Sudahlah kawan.”

“Sekarang saya tak mahu cakap itu macam lagi, lu serupa saya punya saudara,” penjual ubat itu terus bersalam dengan Haji Salim.

Penjual ubat itu terus mengemaskan semua bahan-bahan perniagaan. Disumbatkan ke dalam kereta Morris Minor berwarna hitam.

“Kita kawan, tak mahu lawan-lawan,” kata penjual ubat itu dan terus masuk ke kereta. Ia meninggalkan tempat itu menuju arah ke Tapah.

Saya dan Haji Salim meninggalkan tempat tersebut. Kami menuju ke tempat motosikal yang diletakkan berhampiran dengan warung penjual kopi.

Bila sahaja Haji Salim memegang motosikalnya, cina tempatan yang menegah ia beradu kekuatan tadi datang menghampirinya.

“Terima kasih, lu sudah ajar itu orang. Dia cakap tak baik, macam dia saja yang kuat.

"Lagi satu, dia cakap selalu kata Melayu tak kuat, dia macam suruh Melayu sama Cina gaduh,” kata Cina tempatan itu.

“Tak apa, saya ingat dia mesti terus balik Taiwan dan tak mahu datang ke sini lagi.”

“Saya harap juga begitu, dia bukan Cina Malaysia, dia tak tahu kita di sini, tak kira Melayu, Cina India semua mahu hidup baik-baik dan satu hati.”

“Sudahlah, lu siapa nama?”

“Saya nama Lim Kim Seng, lu siapa nama?”

“Haji Salim.”

“Baik, terima kasih.”

“Sama-sama.”

NAIK

Cina tempatan itu meninggalkan saya dan Haji Salim, ia menuju ke arah kiri jalan.

Saya lihat ia naik basikal menuju ke arah kawasan perlombongan yang tidak berapa jauh dari pekan Temoh.

Bila Haji Salim menghidupkan enjin motosikal, beberapa orang pemuda menghampirinya.

Mereka terus menghulurkan tangan untuk bersalam dengan Haji Salim. Enjin motosikal terus dimatikan.

Haji Salim terus berdiri di tengah kumpulan para pemuda yang berjumlah antara lima hingga tujuh orang.

“Kami mahu menuntut ilmu dari Pak haji,” salah seorang daripada pemuda itu menyampaikan hasrat hati.

Saya, mereka tidak pandang langsung. Saya bagaikan tidak wujud di situ. Haji Salim merenung wajah mereka satu-satu dengan tenang.

“Minta maaf, aku bukan orang handal,” jawab Haji Salim.

“Tak usah jadi harimau menyembunyikan kuku, kami sudah lihat kemampuan tuan haji tadi,” balas jurucakap pemuda itu.

“Semuanya dengan izin Allah. Kalau mahu mencari sesuatu kau pelajarilah isi Quran. Ingat, sebelum itu kau harus mengenali Allah lebih dahulu.”

“Maksud Pak Haji.”

“Kalau diizinkan oleh Allah semua perkara boleh berlaku. Tetapi kalau kamu tidak mengenalinya, bagaimana kamu mahu minta pertolongan dariNya.”

“Kami mahu mengenali Allah dengan pertolongan tuan haji.”

“Carilah ilmu itu. Tetapi, bukan pada saya. Ingat, menuntut ilmu atau belajar itu memang dituntut oleh agama Islam. Hukumnya fardu kifayah.”

Haji Salim menepuk baju pemuda yang menjadi jurucakap kumpulan itu. Saya lihat pemuda itu resah tidak menentu sambil merenung wajah kawan-kawannya yang lain.

“Tamar kita pergi sekarang,” kata Haji Salim pada saya.

Ia terus menghidupkan enjin motosikal. Ia duduk atas motosikal dan Haji Salim mengangkat tangan kanannya sebagai tanda selamat jalan.

Akhirnya, bahagian depan warung dan kumpulan pemuda itu kami tinggalkan. Kami terus menuju ke Kampung Haji Ariff.

Sepupu Haji Salim menyambut kami. Tengah hari itu, kami makan di rumah sepupunya.

Kira-kira pukul empat, kami kembali ke kampung dengan membawa benih durian dari jenis yang baik.

Dekat waktu senja kami pun sampai di rumah. Haji Salim memberikan saya dua pokok benih durian.

“Kau tanam dekat rumah.” Kata Haji Salim.

“Masa kau menanamnya, bacalah Bismillah dan selawatkan nabi tiga kali.”

“Ya Pak Haji, saya faham.”

Saya pun meninggalkan rumah Haji Salim menuju ke rumah nenek. Waktu itu, hari sudah beransur gelap.

Saya melangkah dengan cepat sekali. Sampai dekat pokok besar, langkah saya tidak serancak mula melangkah tadi.

Hati saya berdebar. Saya menoleh ke kiri. Saya terpandang tubuh manusia berdiri di balik pokok besar.

Kerana pandangan pertama tidak berapa jelas. Saya memandang untuk kali kedua. Saya lihat Datuk berdiri di situ. Bila saya panggil namanya, Datuk terus menghilangkan diri.

Rasa cemas mula menguasai diri saya. Mustahil waktu menjelang Maghrib Datuk mahu berada di situ? Kalau Datuk, bila namanya dipanggil, dia pasti menyahut.

Aneh, kenapa setelah namanya disebut Datuk menghilangkan diri. Timbul pertanyaan dalam diri saya.

Saya terus renung ke arah pokok besar untuk kali yang ketiga. Di tempat saya melihat Datuk berdiri tadi, diganti oleh seorang perempuan yang memakai serban putih.

Perempuan itu menggamit saya, menyuruh saya menghampirinya.

Kali ini, saya sudah dapat memutuskan bahawa apa yang saya lihat itu bukannya manusia. Tetapi, syaitan yang menyerupai manusia.

Saya terus membaca ayat al-kursi. Sampai tamat ayat itu saya baca, perempuan yang memakai serba putih masih juga tersenyum.

Kerana takut yang terlalu kuat menguasai diri, saya terus berlari dengan sekuat hati. Benih durian saya campakkan.

Sampai di rumah saya lihat nenek dan Datuk berada di muka pintu menanti kepulangan saya. Mereka tidak bertanya bila melihat muka saya pucat.

Datuk menyuruh saya mandi. Baju yang saya pakai dilarangnya untuk dibawa masuk ke rumah.

Saya tidak bertanya kenapa Datuk dan nenek melarang saya membawa masuk baju ke rumah.

Apa yang saya alami sebentar tadi, tidak saya nyatakan pada Datuk. Saya kira, peristiwa itu adalah kecil dan tidak wajar di beritahu pada mereka.

Mungkin apa yang saya lihat itu memang betul, mungkin tidak. Sebabnya, bila seseorang itu sudah dikuasai rasa takut, tunggul pun disangka hantu.

Selepas makan malam, apa yang saya alami bersama Haji Salim di Temoh itu, saya ceritakan pada Datuk.

Aneh, saya tidak nampak Datuk merasa terkejut dengan apa yang telah saya alami itu.

“Kerana itu, aku suruh kau ikut dia. Kau harus sedar Tamar, orang yang berilmu tidak pernah mahu menunjukkan ilmunya pada sebarang orang dan sebarang tempat.”

“Untuk apa ilmu itu, kalau tidak ditunjukkan pada orang tok?”

“Ilmu bukan untuk ditunjuk pada sesiapa, ilmu untuk menolong orang dan untuk kegunaan sendiri.”

“Saya faham.”

Datuk tersenyum mendengar cakap saya itu. Bagaikan faham, bila saya berkata begitu, ertinya saya tidak mahu mendengar ceramahnya.

“Bila aku mahu menerangkan sesuatu, kau cuba melarikan diri dari mendengarnya,” rungut Datuk.

Saya terus bangun masuk ke bilik. Saya menatap majalah hiburan sambil berbaring di atas katil.

Saya terdengar suara Datuk membaca Yasin dengan lantangnya. Makin lama makin sayup terdengar suara Datuk.

Dan akhirnya saya tidak terdaya untuk menahan sepasang kelopak mata saya dari bercantum.

KUBUR

Saya merasa pelik, bila Haji Salim sembahyang Maghrib di rumah Datuk. Lepas sembahyang Maghrib mereka membaca Quran. Bagi nenek perkara itu merupakan sesuatu yang ganjil.

“Ada apa rancangan. Haji Salim dengan Datuk kamu?” tanya nenek.

“Petang ni, petang apa nek?”

“Petang Jumaat dan malam ni malam Jumaat.”

“Nek tahu Datuk dan Haji Salim nak pergi ke kubur lama tengah malam ini.”

“Kubur lama? Nak buat apa?”

“Itu kenalah tanya Datuk.”

Nenek terdiam. Matanya, tajam merenung muka saya. Saya pasti, nenek tidak akan bertanya pada Datuk berhubung dengan hal tersebut.

Bukan perangai nenek mahu mengambil tahu tentang gerak-geri seorang suami.

“Untuk apa Datuk dan Haji Salim pergi ke situ Tamar,” begitu lembut suara nenek.

Renungan matanya, cukup redup meraut seluruh paras saya.

“Dia orang nak tengok, kerana orang puja kubur lama.”

“Nak tangkap orang tu ke?”

“Entahlah, saya pun tak tahu.”

“Bagus juga tu, menghalangkan orang membuat maksiat,” balas nenek.

Ia terus bangun menuju ke dapur. Tentu nenek membuat air kopi untuk Haji Salim dan Datuk.

Lebih kurang pukul dua belas malam. Datuk dan Haji Salim berhenti membaca Quran. Datuk terus menepuk bahu saya dengan kasar.

“Orang baca Quran tak ikut sama, tersengguk-sengguk, macam burung hantu,” kata Datuk. Haji Salim ketawa sambil menghirup air kopi.

Saya lihat ada enam cawan kosong di situ. Ini bererti Datuk dan Haji Salim terpaksa berhenti dari membaca Quran sebanyak enam kali, kerana minum kopi.

“Haji Salim ni mengikut petua Datuk. Biasanya Datuk kalau minum kopi ia tidak akan menggunakan cawan yang sama. Ia akan menukarkan cawan setiap kali menuang air kopi yang baru.”

Cara itu Datuk lakukan, bila ia mahu melaksanakan sesuatu tugas yang dianggapnya terlalu berat dan sukar.

“Sudah sampai masanya untuk kita berangkat,” Datuk renung muka Haji Salim.

Perlahan-lahan Haji Salim anggukkan kepala tanda setuju.

Datuk terus sarungkan baju hitam serta seluar hitam ke tubuh. Kepalanya dililitkan dengan kain kuning sebesar dua jari.

Haji Salim tidak menukarkan pakaiannya. Ia memakai seluar Melayu berkaki besar.

Bajunya dari kain batik Jawa yang terpamer lukisan wayang kulit. Songkok putihnya terletak kemas di kepala. Golok pendek terselit di pinggang.

“Kalau kau nak ikut Tamar, mari,” suara Datuk merendah.

Kain pelikat saya gantikan dengan seluar kuning. Baju T merah saya tukarkan dengan baju Melayu cekak musang.

Datuk menyelitkan rotan semambu yang panjangnya kira dua depa ke celah ketiak.

Ada tugas baru yang Datuk berikan pada saya. Saya disuruh membawa lampu suluh.

Tanpa banyak cakap kami pun turun dari rumah. Berdiri di halaman rumah sebentar.

“Kita melangkah sekarang,” Datuk mengeluarkan arahan.

Kami pun melangkah menuju ke arah kubur lama. Datuk mengarahkan pada saya, jangan memasang lampu kecuali arahannya sendiri.

Memang tidak selesa berjalan dalam belukar waktu tanpa menggunakan lampu.

Dua tiga kali saya tersepak tunggul dan akar kayu. Saya tidak berani membuat bantahan.

Malam itu, keadaan langit cerah. Gumpalan awan hitam nampak berarak lembut menuju ke arah barat daya.

Saya kira tidak lama lagi hujan pasti turun. Hal itu saya bisikkan pada Haji Salim.

“Mengikut pengalaman aku yang sudah-sudah, hujan akan turun menjelang subuh,” balas Haji Salim perlahan-lahan.

Datuk terus meredah hutan.

Sesekali kelihatan cahaya kilat menangkap di kaki langit.

Deru angin malam terus juga menampar-nampar gegendang telinga. Terdengar ngiau kucing jantan mencari kucing betina.

Suara jampuk dan burung hantu terdengar sayup-sayup. Begitu juga dengan suara anjing menyalak sesuatu di malam yang dingin.

Angin malam yang menyentuh kulit muka dan leher membuat saya terasa seram.

Selalunya, kalau berjalan malam saya terasa takut. Tetapi malam itu rasa takut itu tidak terjadi dalam diri saya.

Apa yang ada ialah rasa berani dan tabah. Cara kebetulan pula saya berjalan di tengah. Di depan saya Datuk, di belakang saya Haji Salim.

Haji Salim terus menyuluh ke arah pangkal pokok yang bergoyang dalam suluhan lampu picit.

Serentak dengan itu terdengar suara ngauman yang memanjang.

Belum pun sempat Datuk bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan, satu lembaga menerpa ke arah Datuk bersama ngauman yang cukup kuat. Datuk rebah ke bumi.

“Rimau Kumbang Haji,” pekik Datuk.

Haji Salim mendekati Datuk. Dengan tangkas, ia menendang badan harimau yang mahu menggigit lengan Datuk.

Dengan sekali tendang sahaja harimau itu terpelanting dan terus hilang. Kesannya tidak dapat dicari.

“Bangun,” kata Haji Salim.

“Ke mana dia pergi.”

“Biarkan dia.”

“Pelik,” rungut Datuk sambil bangun.

Perjalanan diteruskan lagi. Kami bertiga menyeberangi anak sungai. Airnya terasa cukup sejuk sekali.

Haji Salim menyuruh saya melangkah perlahan-lahan. Ia tidak mahu air sungai yang diranduk itu mengeluarkan bunyi.

Langit sudah kelihatan tidak cerah lagi. Di mana-mana kelihatan awan hitam bertompok-tompok.

Angin terus bertiup agak kencang dari tadi. Dahan-dahan mati terus jatuh, bunyinya macam orang berlari. Semuanya Datuk dan Haji Salim buat tidak kisah.

Kami sampai ke tebing dan terus memanjatnya. Dari situ kami mula tercium bau kemenyan yang cukup hebat dibawa angin.

“Jalan perlahan ke arah kubur lama,” perintah Haji Salim.

“Ya,” jawab Datuk pendek.

Lebih kurang satu rantai mahu sampai ke kubur lama, kami melihat cahaya api di atas kubur. Kami juga terdengar suara orang bercakap yang disertai dengan suara tahlil.

Datuk menyuruh saya dan Haji Salim merangkak seperti dirinya. Kami pun merangkak menuju ke arah kubur lama.

Lebih kurang dua kaki mahu sampai ke kawasan kubur lama, Datuk menyuruh saya dan Haji Salim duduk sambil merenung ke arah kubur lama.

Dengan pertolongan cahaya api dari pinggir kubur itu, saya dapat melihat dengan jelasnya kira-kira sepuluh orang sedang mengelilingi kubur yang berbatu nisan tinggi dan besar.

Mereka semuanya memakai kain hitam dan kepala mereka juga bertudung dengan kain hitam.

Di bahagian kepala nisan terdapat tempat perasap dengan bara yang merah menyala.

Ada orang yang melemparkan kemenyan ke dalam tempat bara.

Saya tidak dapat memastikan dengan tepat, apakah orang yang duduk sebelah kanan atau sebelah kiri yang melemparkan kemenyan ke dalam tempat bara itu.

Ada orang yang ditugaskan untuk menjaga api di pinggir kubur. Orang itu memegang kayu panjang untuk menolak tunggul-tunggul kayu ke dalam api.

Dengan itu api tersebut terus menyala sambil mengeluarkan bunga-bunga api yang halus terbang ke atas.

Salah seorang daripada mereka terus bangun, menatang seorang kanak-kanak kecil.

Kanak-kanak itu didekatkan pada api tersebut. Tiba-tiba kanak-kanak itu menangis.

“Pulangkan pada aku, dia anakku,” terdengar suara perempuan.

“Aku boleh pulangkan, tetapi….,” suara orang yang menatang kanak-kanak itu adalah orang lelaki.

“Tapi apa?” tanya orang perempuan.

“Biar aku potong lehernya.”

“Untuk apa?”

“Ini janji kita dulu.”

“Nanti ibunya marah, aku cuma menjaganya saja.”

“Jadi, ini bukan anak kamu, kamu curi dari ibunya.”

“Ya.”

“Dia hak aku,” suara orang lelaki itu meninggi.

Tamat siri 63/284

BACA: SBDJ Siri 62: Puja Kubur
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM