Wednesday, January 02, 2019

Apa Itu Gelatin Dan Kenapa Sangat Sukar Mencari Yang Halal?

Apa Itu Gelatin Dan Kenapa Sangat Sukar Mencari Yang Halal?

Perkataan gelatin berasal daripada bahasa Latin iaitu ‘gelatus’ yang bermaksud keras, adalah bahan semula jadi dan sejenis protein yang dihasilkan daripada rangkaian kolagen yang diperoleh daripada kulit, tulang atau ligamen (tulang rawan) haiwan seperti lembu, kerbau, ikan atau babi. Tiada gelatin yang dihasilkan daripada proses sintetik atau ubah suai kimia.

Apa Itu Gelatin

Gelatin untuk makanan boleh didapati sama ada dalam bentuk serbuk atau kepingan dan ia adalah hidrokoloid (mudah bersatu dengan air), boleh menyerap air sehingga 10 kali ganda daripada beratnya di dalam air.

Dalam Peraturan-peraturan Makanan 1985, gelatin dikategorikan sebagai kondisioner makanan – penstabil, pemekat, kanji ubah suai dan agen penggelan.

Kondisioner ialah apa-apa bahan yang ditambah pada makanan bagi maksud teknologi untuk mendapatkan makanan yang dihasratkan.

Menyentuh mengenai makanan, ramai yang gemarkan ais krim, coklat, dadih dan bermacam-macam produk prosesan yang berlemak. Rasanya sedap kerana lemaknya itu.

Bahan makanan seperti ini menggunakan ramuan yang biasanya diambil daripada protein haiwan dikenali sebagai gelatin yang kini menjadi satu industri besar.

Justeru, pada hari ini isu makanan halal juga banyak dikaitkan dengan penggunaan gelatin, bukan semata-mata kepada aspek penyembelihan ternakan sahaja.

Gelatin berkembang sejajar dengan kepesatan industri makanan, ubat-ubatan yang menggunakan bahan tersebut.

Jenis-jenis Gelatin

Kebanyakan kilang yang menghasilkan gelatin terletak berhampiran dengan rumah sembelih dan terdapat 2 jenis gelatin yang dibezakan melalui cara penghasilan iaitu sama ada menggunakan alkali atau asid.

1. Gelatin jenis A
  • Diperoleh dengan cara pengasidan.
  • Majoriti gelatin jenis ini diperoleh daripada kulit babi yang kolagennya masih muda.
  • Gelatin daripada sumber ikan juga dihasilkan daripada proses pengasidan ini.

2.  Gelatin jenis B
  • Diperoleh dengan cara menggunakan alkali atau air kapur.
  • Sumber untuk memproses gelatin ini adalah daripada lembu, kerbau atau kambing.
  • Gelatin jenis ini juga dikenali sebagai ‘beef bovine’ atau ‘bovine’.
  • Banyak dihasilkan daripada sumber lembu.
  • Gelatin jenis ini lebih sukar untuk dihasilkan kerana menggunakan kolagen yang matang.

Gelatin ‘Type A’ kebanyakannya didapati dari kulit babi. Gelatin ‘Type B’ pula didapati dari tulang-tulang dan kulit-kulit haiwan ‘bovine’ seperti lembu, kambing dan kerbau.

Alternatif kepada penggunaan gelatin adalah gam tumbuhan seperti carrageenan dan Arabic gum. Kebiasaannya digunakan dalam industri farmaseutikal bagi penghasilan kapsul dan soft gel.

Dikalangan negara Eropah, gelatin dikategorikan sebagai aditif makanan dan menggunakan E-number (E441).

Gelatin digunakan dalam industri makanan untuk pelbagai fungsi iaitu penebal, pengemulsi, pelekat, pengelak lembapan, pengikat dan agen pembuih. Kegunaannya sangat meluas dalam industri kerana fungsi tersebut.

Antara produk-produk yang mengandungi gelatin antaranya ialah:
  • Kapsul penyalut ubatan.
  • Kapsul lembut (Softgel) seperti kapsul minyak ikan.
  • Berbagai-bagai jenis Ubat Gigi.
  • Hampir ke semua Kosmetik Kecantikan.
  • Semua Minyak Wangi.
  • Sabun-sabun mandi dan pelembut fabrik.
  • Losen Badan, kaki dan tangan.
  • Konfeksioneri (coklat, gula-gula dan lain-lain).
  • Puding, kek dan pai.
  • Gummi jelli, Pastil berperisa.
  • Yogurt, keju dan butter.
  • Ais-krim.
  • Pencuci mulut segera.
  • Gula-gula getah (Chewing gum).
  • Produk-produk daging yang diproses.

Fungsi gelatin dalam produk

Fungsi Gelatin

Antara makanan yang sering mengandungi gelatin ialah seperti produk makanan secara am: berfungsi sebagai zat pengental, penggumpal, membuat produk menjadi elastik, pengemulsi, penstabil, pembentuk buih, pengikat air, penyalut nipis dan memperkayakan zat.

Produk daging proses dimana ia berfungsi untuk tujuan meningkatkan daya ikat air, konsistensi dan kestabilan produk sosej, kornet dan daging babi.

Produk seterusnya adalah dari produk susu proses dan ia berfungsi untuk memperbaiki tekstur, konsistensi dan kestabilan produk dan mengelakkan sineresis pada yoghurt, ais krim, dadih, keju cottage dan butter.

Produk bakeri dimana gelatin berfungsi untuk menjaga kelembapan produk, sebagai perekat bahan pengisi pada produk roti, kek dan pai.

Dalam produk minuman pula, gelatin akan berfungsi sebagai penjernih sari buah (juice), sirap, bir dan wine.

Sementara itu di dalam produk buah-buahan, gelatin akan berfungsi sebagai pelapis (melapisi pori-pori buah sehingga terhindar dari kekeringan dan kerosakan oleh mikrob) untuk menjaga kesegaran dan awetan buah.

Di dalam produk gula-gula dan produk sejenisnya, gelatin akan berfungsi untuk menetapkan konsistensi produk, menetapkan daya gigit dan kekerasan serta tekstur produk, menetapkan kelembutan dan daya melekat di mulut seperti gula-gula getah (Chewing gum).

Di dalam produk makanan bersos dan pengeluar kicap, ia digunakan bagi menghasilkan kekentalan yang lebih tinggi.

Bagi produk farmaseutikal dan bidang farmasi, gelatin digunakan sebagai pembentukan dan pengerasan serta kekentalan tekstur sarung kapsul dan ubat-ubatan.

Kandungan Gelatin

Gelatin sangat diperlukan dalam kepelbagaian bahan produk makanan, kerana nilai zatnya yang tinggi, terutama dengan tingginya kadar protein khususnya asid amino dan rendahnya kadar lemak.

Gelatin kering mengandungi kira-kira 84 - 86% protein, 8 - 12% air dan 2 - 4% mineral.

Dari 10 asid amino essensial yang diperlukan tubuh, gelatin mengandungi 9 asid amino essensial yang hampir tidak terkandung dalam gelatin iaitu triptofan.

Penggunaan gelatin sangat meluas kerana gelatin bersifat serba boleh iaitu boleh berfungsi sebagai bahan pengisi, pengemulsi (emulsifier), pengikat, pengendap dan mempertingkatkan zat.

Sifatnya juga fleksibel iaitu dapat membentuk lapisan tipis yang elastik, membentuk filem yang transparan, kukuh dan kuat, kemudian sifat penting lain iaitu daya pencernaannya yang tinggi.

Pengeluar utama gelatin

Berdasarkan statistik, penghasilan gelatin halal di peringkat global sekitar 0.7 peratus pada 2013 manakala jumlah populasi umat Islam di seluruh dunia adalah 1.7 bilion.

Dianggarkan 90,000 tan gelatin halal diperlukan setiap tahun bagi menampung keperluan industri makanan dan minuman, nutraseutikal, farmaseutikal serta kosmetik yang menggunakan bahan tersebut.

Kebanyakannya gelatin yang dihasilkan di luar negara berasal daripada haiwan iaitu sebanyak 43 peratus daripada kulit babi, kulit lembu (23 peratus), tulang babi dan lembu (18 peratus) dan sebanyak 16 peratus lain-lain sumber.

Penghasilan gelatin dunia adalah sekitar 450,700 tan setahun dan Eropah Barat menguasai pasaran menerusi penghasilan gelatin di peringkat dunia sebanyak 39 peratus, diikuti Eropah Timur (22 peratus), Amerika Utara (20 peratus), Amerika Latin (17 peratus) dan lain-lain negara sebanyak dua peratus.

Pasaran global gelatin dianggarkan bakal mencatat peningkatan sebanyak 6.5 peratus setiap tahun.

Daripada statistik tersebut, jelas menunjukkan bahawa gelatin secara umumnya tidak dikeluarkan oleh negara-negara Islam, sekali gus membuktikan agak sukar mencari gelatin halal.

Isu gelatin halal membimbangkan masyarakat Islam kerana datang daripada sumber yang meragukan.

Berdasarkan sejarah, penggunaan gelatin telah bermula sejak beratus-ratus tahun dahulu di negara-negara Eropah dan penggunaannya yang pelbagai dalam industri makanan, kosmetik, produk kesihatan dan perubatan.

Pada asalnya ia adalah produk yang semula jadi dan menyihatkan, mudah dihadam, rendah kalori dan tidak mengandungi kolesterol.

Selain itu, banyak penyelidikan telah membuktikan gelatin dapat membantu menyembuhkan penyakit-penyakit tulang dan sendi.

Isu panas

Namun, terdapat beberapa isu yang melingkari pengeluaran berkaitan gelatin iaitu mereka mengeluarkannya daripada sumber haram dan berpendapat dengan mengambil contoh bahawa anggur yang diperam menjadi arak tetapi diperam lama lagi telah menjadi cuka yang halal.

Selain itu, pengilang menghasilkan gelatin daripada sumber bovine tetapi tidak disembelih mengikut syarak dan gelatin daripada sumber bovine dan sembelih mengikut syarak, tetapi bercampur dengan yang haram.

Oleh itu, apakah pilihan yang ada kerana gelatin hadir dalam banyak sumber pada hari ini sama ada makanan atau bukan makanan?

Secara umumnya gelatin digunakan dalam beberapa industri iaitu makanan farmaseutikal dan industri fotografi.

Industri makanan yang biasanya menggunakan gelatin antaranya coklat, ais krim, dadih, jeli manakala dalam farmaseutikal antaranya tablet dan kapsul. Bahan kimia dalam fotografi juga menggunakan gelatin.

Kesukaran membuat gelatin halal

Setakat ini, agak sukar mencari pengganti kepada gelatin bukan halal kerana usaha pengeluaran gelatin halal pula berdepan dengan beberapa isu antaranya nisbah keluaran gelatin rendah iaitu untuk mengeluarkan 1500 tan metrik setahun, memerlukan sebanyak 15,000 tan metrik tulang.

Oleh kerana seekor lembu menghasilkan lebih kurang 30 kilogram (kg) tulang terpilih, maka 500,0000 ekor lembu atau kerbau diperlukan bagi pengeluaran gelatin sebanyak 1500 metrik tan setahun.

Sumber tulang boleh diperolehi daripada pelbagai sumber antaranya termasuk pusat sembelihan terutama pada musim korban Hari Raya Aidiladha boleh digunakan untuk gelatin.

Satu lagi masalah ialah tempoh masa mengeluarkan satu lot gelatin mengambil masa yang agak lama iaitu antara 60 hingga 80 hari.

Adalah mustahil untuk mengasingkan gelatin halal dan tidak halal dalam kilang yang sama dan peluang berlaku pencemaran antara gelatin halal dan tidak halal adalah sangat tinggi.

Walau bagaimanapun, terdapat sumber lain yang boleh dijadikan gelatin halal iaitu penggunaan ikan dan tumbuh-tumbuhan yang mungkin boleh dijadikan alternatif meskipun masih belum ada kilang yang membuat gelatin bersumberkan ikan sepenuhnya ketika ini.

Mengenai gelatin tumbuhan, sumber alternatif tersebut kebanyakan digunakan dalam pembuatan softgel dan kapsul keras penyalut ubatan.

Kebanyakan kilang ini menggunakan mesin yang sama untuk mengeluarkan produk menggunakan gelatin tidak halal.

Istihalah

Gelatin atau DNA yang diperolehi daripada babi boleh dianggap halal jika ia telah melalui proses transformasi, mengikut konsep Islam istihalah, kata Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Beliau mengulas pandangan ulama tersohor, Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi yang berpendapat gelatin haiwan termasuk babi adalah halal untuk digunakan.

Dr Asri berpandangan, isu ini bukan satu masalah besar kerana di kalangan ulama Islam sendiri tidak ada konsensus mengenai topik ini. Mereka mempunyai pandangan yang berbeza dalam hal ini, katanya.

Dr Mohd Asri menegaskan bahawa setiap orang Islam mempunyai hak untuk membaca, mendengar, menilai dan membuat keputusan untuk dirinya sendiri berdasarkan kepada hujah-hujah yang dibentangkan.

Islam adalah agama yang berfikiran terbuka yang sentiasa mengiktiraf fakta dan kebenaran.

Kemudian, orang Islam juga perlu berfikir tentang bagaimana untuk menjawab perbuatan mereka di hadapan Allah di akhirat, bukan hanya bertindak balas secara emosi, katanya.

Mengulas lanjut mengenai hujah Dr Yusuf, Dr Asri menjelaskan bagaimana sesuatu yang dianggap haram boleh menjadi halal sebenarnya jika menggunakan konsep 'istihalah'.

Istihalah ialah perubahan dan pertukaran sesuatu benda kepada suatu benda lain yang meliputi pertukaran hakikat dan bentuk benda tersebut.

Apabila sesuatu yang tidak bersih telah melalui satu proses yang membuatkan ia telah kehilangan ciri-ciri asalnya, ia tidak akan dinilai mengikut asalnya kerana ia telah benar-benar berubah, kata beliau sambil menambah bahawa bahan itu harus dinilai melalui ciri-ciri baru.

Penjelasan mudah; perubahan dalam sifat bahan setelah melalui proses tertentu ini disebut sebagai istihalah, katanya.

Dr Mohd Asri mengulas perkara berkenaan dilaman Facebooknya dengan mengambil contoh baja yang digunakan ketika menanam pokok pisang.

Buah pisang halal dimakan. Tidak dikatakan buah pisang itu bernajis sebab subur dengan baja najis, tulis beliau.

Beliau juga menggemukakan contoh arak yang bertukar menjadi cuka; ataupun, bangkai yang bertukar menjadi garam ataupun tanah.

Dr Asri berkata Majlis Fatwa Eropah, al-Qaradawi, Wahbah al-Zuhaili dan lain-lain juga memberikan pandangan mereka tentang DNA babi yang terdapat secara meluas dalam makanan dan barangan di dunia ini sekarang.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2 | 3 | 4 | 5

Monday, December 31, 2018

Perlukah Azam Baru Untuk Tahun Baharu?

Perlukah Azam Baru Untuk Tahun Baharu?

Kita telah meninggalkan tahun ini dengan pelbagai kenangan pahit dan manis serta suka dan duka. Ada orang mengenang tahun sebelumnya sebagai tahun kejayaan, kecemerlangan dan kebahagiaan tetapi, ada pula orang yang mengenang tahun itu sebagai tahun kegagalan, kejatuhan dan kesedihan mereka.

Azam Tahun Baru

Sesungguhnya hidup hanya satu ujian Allah. Sesiapa yang berhijrah daripada gelap kepada terang, daripada hidup yang keladak kepada hidup yang jernih, daripada hidup bergelumang dengan kemaksiatan kepada hidup penuh ketakwaan dan daripada Allah benci kepada Allah reda, inilah orang yang benar-benar berhijrah.

Hadapi cabaran hidup dengan ketakwaan. Orang yang bijak ialah orang yang belajar daripada pengalaman kehidupannya.

Apa-apa yang berlaku ke atas diri ini, kita akan fikir apa yang boleh kita belajar dan apakah mesej yang Allah hendak sampaikan.

Biarlah perkara yang lepas berlalu sebagai kenangan dan panduan kehidupan, teruskan hidup memacu azam untuk tahun baharu dengan berfikir yang baik-baik, berusaha yang baik-baik dan dengan izin-Nya mendapat hasil kehidupan yang baik-baik.

Manusia menjalani kehidupan melalui dua cara kehidupan. Pertama, ada orang hidup ‘Dari dalam ke luar’. Kedua, ada orang hidup ‘Dari luar ke dalam’.

Hasil kehidupan kita akan ditentukan oleh fikiran – emosi – tindakan – keputusan.

Orang yang hidup ‘Dari luar ke dalam’, dia akan melihat keputusan dahulu (badan sakit, kereta rosak, duit hilang dan lain-lain – luar).

Dia akan reaktif (tanpa fikir terus bertindak). Orang begini akan suka merungut, mengeluh, menyalahkan dan menyesal.

Apabila emosi kita negatif bolehkah kita berfikir dengan waras? Tentu tidak boleh menjadi orang yang baik, kerana kita asyik menghabiskan masa dengan fikiran negatif dan dengan fikiran negatif itu kita tidak boleh berfikir positif.

Ingatlah, kita memang tidak boleh mengawal apa yang berlaku di luar, tetapi kita boleh kawal respon yang berlaku di luar. Respons itu datang dari dalam (minda dan hati).

Orang yang hidup ‘dari dalam ke luar’ akan mulakan dengan fikiran. Apa-apa yang berlaku difikirkan dahulu, dia memilih manakah tindakan baik yang perlu dilakukannya atas perkara yang terjadi kepadanya.

Dia akan mulakan dengan fikiran positif – emosi positif – tindakan positif dan akhirnya dia akan mendapat hasil kehidupan positif (Ketenangan, Kebahagiaan, Kesihatan dan Kewangan).

Tetapi, orang yang berjaya dan bahagia, apabila berlaku perkara negatif, dia tidak memikirkan apakah kesan terhadap perkara negatif yang berlaku itu, tetapi dia hanya fokus kepada apa yang patut dilakukannya untuk menghadapinya secara positif. Orang yang berjaya – dia yang memandu hidupnya.

Bayangkan sebuah kereta kuda, mesti ada lima elemen;
  • Pertama, kuda yang mempunyai lima pancaindera dan deria rasa.
  • Kedua, pemandu.
  • Ketiga, tali yang menghubungkan kuda dengan pemandu.
  • Keempat, tempat duduk penumpang kereta kuda.
  • Kelima, penumpang.

Kuda adalah lambang kepada ‘nafsu’; tidak berguna hidup kalau berkiblatkan nafsu kerana kita tidak fokus kepada tujuan. Kehidupan kita akan musnah!

Pemandulah yang mengawal kuda (nafsu) dengan menggunakan tali (pegangan/keimanan).

Kalau pemandu pula degil tidak mengikut arahan penumpang, kita tidak akan sampai ke tempat tujuan. Kalau sampai pun ke destinasi, kita akan lambat kerana perjalanan kita tidak mengikut laluan yang betul seperti permintaan penumpang.

Tempat penumpang kereta kuda itu lambang kepada ‘fizikal’ kita. Kalau tidak menjaga fizikal dengan baik, kita akan sakit dan hasil kehidupan kita juga menjadi tidak baik atau negatif.

Penumpang ialah lambang ‘iman’ dan ‘akal’. Dalam kehidupan ini untuk berjaya dunia dan akhirat jangan nafsu memandu hidup kita, biarlah iman dan akal yang menentukan arah tuju kita dengan menggunakan hati dan minda.

Jika minda kecil, nafsu tinggi, masalah akan menjadi besar. Orang yang minda besar, nafsu rendah, masalah akan menjadi kecil.

Oleh sebab itu, kalau kita ada azam pun biarlah azam yang memberatkan timbangan ke akhirat; yang tidak dipacu oleh nafsu tetapi yang dipimpin oleh minda.

Carilah syurga di hati dengan tingkatkan ketakwaan kepada Allah dengan penuh keazaman.

Setiap orang, apabila munculnya tahun baharu akan ada azam baharu ironinya, apabila berakhirnya tahun, masih banyak lagi azam tahun tersebut yang belum tercapai. Perkara yang sama berlaku setiap tahun dan ia sesuatu yang klise.

Apa kata, kita tidak perlu berubah dengan meninggalkan sifat negatif dan menjadi positif, dengan mengikut perubahan tahun baharu dan berdasarkan azam baharu.

Ini kerana setiap hari kita adalah orang baharu yang mesti mempunyai fikiran, idea dan semangat yang sentiasa segar.

Barulah kita menjadi seorang yang konsisten dari segi fizikal dan spiritual pada setiap masa; bukan hanya bersemangat pada awal tahun, dan semangat itu semakin menurun menjelang pertengahan tahun.

Lebih ironi lagi sampai penghujung tahun semangat itu terus hilang dan banyak azam yang tercicir di tengah jalan.

Yang penting dalam kehidupan ini betulkan fokus kita dan pastikan tujuan hidup kita serta lihat aktiviti kita ke arah mana? Adakah aktiviti kita seimbang antara tujuan dengan tindakan?

Contohnya, kita berazam hendak kurus, tujuan untuk sihat, untuk senang dan rajin beribadah, (lihat akhlak kita sama atau tidak dengan tujuan?).

Kalau kita hendak kurus, sebab stres takut suami tinggal dan mencari orang lain, bermakna keegoan kita tinggi dan keyakinan diri kita rendah.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: utusan

'Kaum Kami Mangsa Di Malaysia'

'Kaum Kami Mangsa Di Malaysia'

Bagaimana sesebuah negara boleh maju seandainya bangsanya menganggap diri sebagai mangsa, malah berebut-rebut untuk menjadi mangsa dan mahu menjadi mangsa selama-lamanya? Fenomena ini pelik tetapi lumrah di Malaysia. Melayu gusar bumi yang dipijaknya menjadi milik orang (Cina), ekonominya dikuasai Cina dan kini kuasa politiknya semakin tergugat.

Bangsa Malaysia

Cina merungut dirinya dilayan bagai rakyat kelas kedua, disekat daripada mengembangkan potensinya dalam sistem negara yang didominasi Melayu-Muslim.

India pula mengeluh, teriakan protesnya tidak kedengaran – dianggap terlalu minoriti (apatah lagi berpecah belah sesama diri) oleh media tempatan, dan tiada nilai berita berbanding kaum orang asal dari lensa kamera media antarabangsa. Orang asal barangkali “bumiputera” yang lebih teruk kedudukannya ekonomi dan politiknya berbanding bukan bumiputera.

Sentimen ini berlegar-legar dalam satu kitaran untuk saling menebalkan prejudis masing-masing. Dari kaca mata Cina, kegusaran Melayu itu sekadar alasan untuk menutup “kemalasan” sendiri, dan mahu terus bergantung kepada “tongkat”.

Untuk Melayu pula, Cina umpama dapat betis mahu paha – tidak pernah bersyukur dengan kemurahan hati “tuan milik bumi ini”, malah menuntut lebih tanpa sehiris kesediaan untuk menerapkan dirinya ke dalam budaya masyarakat Melayu-Muslim.

Jurang lebar meninggalkan komuniti India yang terpinggir merasakan dirinya tidak memiliki apa-apa, lantas nothing to lose

jikalau bangkit menentang – menjelaskan pendekatan perjuangan mereka yang ada kalanya, nampak keras dan ganas, sebagai reaksi minoriti terhadap sang penguasa.

Orang asal yang diperah sumber semula jadinya, hanya mampu mendoakan agar trak besar tidak mencerobohi tanah adat mereka, memunggah balak dan kemudian meninggalkan mereka dalam habuk yang berterbangan.

Sentimen-sentimen ini terus menghantui Malaysia, sungguhpun kita bebas dari cengkaman kuasa Umno-BN pada 9 Mei 2018.

Kontroversi pengiktirafan UEC (Sijil Peperiksaan Bersama), ratifikasi Icerd, malah rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman yang berakhir dengan tragedi kematian seorang anggota Bomba, Muhammad Adib – kesemuanya menemui jalan buntu dalam perbincangan ke arah penyelesaian. Antara puncanya, masyarakat kita diselubungi sentimen “kaum kami mangsa dalam Malaysia”.

Persoalannya, tidakkah kita sebagai warga Malaysia harus khuatir, bahawa kitaran sentimen sebegini jikalau dibiarkan terus berkisar, bakal jadi pusaran deras yang akhirnya menenggelamkan Malaysia pada masa depan?

Hilang yakin diri

Biasanya “mangsa” merujuk kepada pihak yang dizalimi, ditindas malah dikorbankan, dan sebagaimana yang sedia maklum, ia dari pihak yang “lemah”.

Mentaliti “mangsa” ini akan menghakis keyakinan dalam diri satu bangsa. Memandang diri sebagai mangsa bermakna tidak yakin dengan kemampuan diri untuk melawan, atau bersaing dengan pihak yang lain.

Apabila sesuatu bangsa enggan menguji kemampuan diri, sudah tentu ia gagal membuktikan kemampuan diri.

Misalnya, pilihan raya tempatan ditolak di Malaysia dengan alasan bahawa kaum Cina akan menguasai bandar-bandar besar, dengan andaian bahawa Melayu-Muslim gagal menyaingi calon Cina di gelanggang pilihan raya PBT (pihak berkuasa tempatan).

Persoalannya, bagaimana Sadiq Khan boleh menjadi Datuk Bandar Muslim pertama di London pada tahun 2016, jikalau tiada pilihan raya tempatan?

Mengapa Muslim sebagai minoriti di United Kingdom mampu menampilkan keyakinan untuk memimpin di Barat, sebaliknya Muslim sebagai majoriti di Malaysia, sering rasa tergugat dengan demokrasi tempatan?

Sesungguhnya Sadiq Khan menjadi lambang kemegahan dunia Muslim, kerana kepimpinannya diiktiraf oleh masyarakat non Muslim di Barat.

Namun, tatkala masyarakat Muslim mengagumi dan berbangga dengan kehebatan Sadiq Khan, pernahkah masyarakat Melayu-Muslim merenung sejenak, bukankah ia juga mencerminkan “kehebatan” masyarakat non muslim untuk menobatkan seorang pemimpin dari kalangan minoriti yang berbeza anutan agama dengan majoriti?

Di sini bezanya antara bangsa yang berkeyakinan diri dengan bangsa yang melihat dirinya mangsa. Untuk masyarakat yang matang dan berkeyakinan, kaum majoritinya akan memilih pemimpin mereka tanpa dikaburi sentimen kaum dan agama yang sempit, dengan keyakinan bahawa sistem demokrasi yang utuh mampu mewujudkan persaingan untuk melahirkan pemimpin yang berkaliber.

Komuniti minoriti pula merasakan dirinya berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan kaum majoriti, diberi peluang yang sama rata untuk menonjolkan bakat dan kemampuan dirinya. Hak asasi mereka terjamin di bawah sistem demokrasi yang mantap.

Akhirnya, Kristian sebagai majoriti dalam masyarakat ditampilkan sebagai bangsa yang bukan sahaja tidak menindas komuniti minoriti, malah memberi hak kepada yang berhak, dan kedudukan yang sama rata sesama manusia.

Sementara Muslim sebagai masyarakat minoriti di kota London, membuktikan potensi dan pengaruhnya, dengan kepimpinan yang diiktiraf manusia sejagat. Warga kota London hidup bermaruah di depan mata antarabangsa.

Kuasa besar, jiwa besar?

Alangkah indahnya negara dan masyarakat sebegitu, yang mana warganya sudah tentu mengharungi liku-liku sebelum mengecapi apa yang ada pada hari ini.

Mustahil ia dicapai dalam jangka sekelip mata, sungguhpun dengan kepantasan teknologi 5G pada hari ini cuma, tepuk dada tanya selera, apakah ia matlamat yang dikongsi bersama dalam masyarakat Malaysia, untuk kita menuju ke destinasi ini pada masa depan?

Jikalau itulah destinasi yang dikongsi bersama, maka kita perlu menghentikan kitaran sentimen tersebut dari mana-mana titiknya, tanpa sehiris rasa apologetik bahawa diri kita sebagai pengecut yang “berganjak langkah”, atau pengkhianat yang menggadaikan kepentingan bangsa.

“Kuasa yang besar disusuli dengan tanggungjawab yang besar.” Demikianlah q uote dalam filem Spiderman. Bukan itu sahaja, bangsa yang bercita-cita untuk menggarap kuasa yang besar, seharusnya juga berjiwa besar.

Bagaimana seseorang pemimpin politik boleh menjadi negarawan di Malaysia, jikalau perjuangannya hanya disempitkan untuk satu-satu kaum tertentu?

Bagaimana seseorang pemimpin politik meraih penghormatan seluruh rakyat, andainya beliau hanya mampu menggertak dengan kuasa yang ada dalam tangan, dan bukannya memukau dengan aura ketokohannya?

Di sini kita terperangkap. Bukan sahaja tokoh, malah komuniti kaum tertentu menuntut kuasa yang lebih besar, tanpa kesediaan untuk menampilkan dirinya sebagai seorang tokoh atau bangsa yang beramanah, berjiwa besar dan bertanggungjawab.

Kuasa yang dihambat dipergunakan untuk mengayakan diri, mengugut mereka yang mendedah dan mempersoalkan penyelewengan diri, kemudian mengerah kaum diri untuk menutup skandal dan menegakkan benang basah atas semangat assabiyah.

Kegagalan ini menghakis asas moral kepimpinan Melayu, khususnya, lantas diambil kesempatan sesetengah komuniti minoriti yang lain untuk menghalalkan pendekatan protesnya yang keras.

Mereka memandang rendah bangsa Melayu lantaran pemimpin Melayu yang korup; mereka menolak budaya Melayu kerana prejudisnya bahawa bangsa ini tidak berusaha untuk memperbaiki kelemahan diri, sebaliknya menuntut hak istimewa untuk menutup kemalasan dirinya.

Semakin kaum bukan Melayu menolak kepimpinan dan kebudayaan Melayu, semakin kuat penolakan Melayu terhadap kaum lain.

Kitaran ini berlaku bertahun-tahun, malah berdekad-dekad. Pergeseran dan pergolakan sedemikian melahirkan ketidakpercayaan antara satu sama lain, yang kemudiannya berkembang menjadi kebencian dan permusuhan.

Kesemua sentimen ini bertakung bagai minyak tanah, yang menunggu masa untuk dinyalakan apabila ada pihak memetik api hasutan, sama ada kaum mahupun agama.

Apakah rakyat Malaysia mahu meneruskan ketegangan sedemikian, untuk dekad-dekad akan datang? Sejauh manakah Malaysia boleh pergi, andainya setiap warganya diselubungi sentimen “mangsa”, diperdayakan untuk bermusuhan sesama diri agar “pemangsa” sebenar tidak dikesan?

Bagaimana Malaysia mara ke depan, jikalau kaum majoritinya hilang keyakinan, dan kaum minoritinya pula hilang semangat kekitaan, kerana tidak merasakan bumi ini dimilikinya, sungguhpun “tanah tumpahnya darahku” keluar dari bibirnya setiap kali lagu kebangsaan didendangkan?

Yakinlah, mustahil masalah boleh diselesaikan dengan menimbulkan masalah yang lain. Jangan sesekali kita mengemis simpati dengan memainkan sentimen “kaum kami mangsa dalam Malaysia”, padahal ia hanya alasan untuk menyembunyikan kelemahan, kejahatan, kegagalan, dan prejudis dalam diri kita.

Kita menagih simpati dengan menampilkan diri kita sebagai mangsa, malah mangsa yang lebih kasihan berbanding mangsa lain.

Tidak pernah kita menggariskan tempoh bila ia harus dihentikan, kerana nampaknya tiada mana-mana pihak yang yakin dengan kemampuan dirinya.

Tiada mangsa yang akan berjaya. Bangsa yang berjaya adalah bangsa yang membebaskan dirinya dari sentimen “mangsa”. Tiada sesiapa yang harus menjadi mangsa di bumi ini, andainya kita ingin menjayakan Malaysia.

Nota: Penulis adalah LIM HONG SIANG, bekas editor Merdeka Review edisi bahasa Melayu dan penyunting buku Tsunami Cina: Retorik atau Realiti?

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

SBDJ Siri 8: Manusia Berkepala Anjing

SBDJ Siri 8: Manusia Berkepala Anjing

Imam Hamid mengedutkan dahinya hingga berlapis empat. Dia renung muka datuk. Dia renung muka saya hingga kepucatan yang di wajahnya hampir hilang.

Manusia Berkepala Anjing

“Mustahak ke?” soalnya agak ragu.

“Memang mustahak, perkara yang mahu diceritakan ni ada hubungannya dengan diri Pak Imam.”

“Dengan diri saya?”

“Iya,” datuk angguk kepala.

Tanpa banyak bicara Imam Hamid mengikut datuk dan saya ke rumah. Kami bertiga duduk bersila di anjung rumah. Macam selalu datuk bila berbual suka bersandar. Sebelah kakinya berdiri lutut.

Ini memang amalan datuk. Menurut datuk duduk begitu bukan duduk yang kosong. Duduk yang ada makna. Susah kalau musuh mahu menyerang, payah hantu syaitan mahu mengoda.

“Apa dia perkara yang mustahak tu?” Imam Hamid mula mendesak. Datuk tersenyum. Serentak dengan itu nenek pun meletakkan tiga cawan kopi di depan kami.

“Begini,” datuk menggeliat dan terus bercerita :

“Anjang Dollah sudah mati, pagi esok kita terpaksa uruskan mayatnya untuk di tanam. Dia mati dibunuh syaitan yang dibelanya.”

Imam Hamid terkejut. Kemudian dia senyum. Sepasang matanya merauti paras datuk. Saya cuma diam sahaja. Tidak baik campur orang tua-tua bercakap.

“Pemintaan saya diberkati Allah,” itu yang terhambur dari mulut Imam Hamid. Matanya bercahaya memandang muka saya.

“Dengan apa Pak Imam membinasakan kerja laknat tu,“ datuk terus bertanya. Imam Hamid gosok batang hidungnya beberapa kali.

“Dengan ayat Quran, kau harus tahu tidak ada kuasa yang dapat mengatasi kekuasaan Tuhan, lagi pun dalam Quran sudah lengkap semuanya. Kerja jahat memang tidak diberkati Tuhan.”

Itulah yang diberitahu oleh Imam Hamid pada datuk. Datuk angguk kepala. Imam Hamid pun terus bercerita pada datuk tentang diri Anjang Dollah.

Menurut Imam Hamid, Anjang Dollah memanglah dukun yang tidak bersih. Ia tidak mengamalkan ilmu kedukunannya untuk kebaikan manusia. Dia bekerja bergurukan syaitan. Kerjanya mengorek kubur perempuan mati beranak, suka ambil kain kapan rambut orang yang baru mati beranak.

“Agaknya dia dukun sihir Pak Imam,” dengan mendadak datuk bersuara.

Imam Hamid mengakuinya sambil berkata, ”Dia sudah dipengaruhi syaitan sehingga sanggup mengambil darah orang mati beranak untuk makanan syaitan yang dipeliharanya.”

“Siapa pula yang di belanya tu?” saya tanya. Datuk merenung marah pada saya.

“Hantu itu, adik perempuannya sendiri. Dia potong kepalanya dan hal tu tak dikesan oleh sesiapapun.”

“Dahsyatnya,” ujar datuk.

“Memang dahsyat dan aku menduga dia akan mengorek kubur anak aku. Jadi aku bersedia untuk menghantarkannya,” Imam Hamid berhenti bercerita.

Dia minta diri untuk pulang ke rumahnya. Mulai daripada malam itulah datuk mendapat tahu, bahawa Imam Hamid bukan sebarang orang. Dia banyak ilmu dunia dan akhirat.

Sifat orang terpuji pada diri Imam Hamid kerana dia tidak mahu menunjukkan kebolehannya di mata orang ramai. Inilah yang mengagumkan diri datuk.

Sebaik sahaja Imam Hamid pulang. Saya dan datuk tidak dapat tidur. Rumah datuk diganggu dengan bermacam-macam cara. Pintu rumah datuk terbuka dengan sendiri. Kelambu datuk terbakar.

Paling mengerikan bila rumah dibaling dengan batu dan kayu. Datuk tidak bertindak dia cuma membiarkan sahaja. Dia cukup tenang duduk di tengah rumah. Bila datuk mahu pergi ke perigi untuk mengambil air sembahyang. Dia terkejut. Ruang luas di anjung rumahnya penuh dengan daun buluh dan batang pisang.

“Syaitan, semuanya kerja syaitan,” keluh datuk.

Dia terus ke perigi. Saya juga ikut ke perigi. Kami sembahyang subuh bersama. Selesai sahaja datuk sembahyang semua daun pisang dan batang buluh hilang.

Pagi itu, kami berdua segera pergi ke tanah kubur. Sampai sahaja di kawasan tanah perkuburan, Imam Hamid dan beberapa orang kawannya sudah berada di situ.

Mayat Anjang Dollah sudah dimasukkan ke dalam guni. Dua orang anak muda sudapun mengandar guni yang berisi mayat Anjang Dollah.

Datuk segera mendapatkan Imam Hamid minta kebenaran untuk melihat mayat Anjang Dollah. Permintaan datuk itu tidak dihampakannya. Sebaik sahaja datuk melihat mayat Anjang Dollah dalam guni. Air mukanya segera berubah. Jadi cemas.

“Kenapa jadi macam itu ?” datuk dengan tiba-tiba bersuara.

“Itulah pembalasan yang dapat kita lihat, bila orang melakukan kerja-kerja yang bertentangan hukum Allah,” bisik Imam Hamid pada datuk.

Mayat Anjang Dollah pun dibawa ke rumah. Dia dimandi dan dikapan, akhirnya disemadikan di tanah perkuburan.

Cerita tentang Anjang Dollah pun padam dari jadi pokok perbualan orang-orang kampung. Datuk mula berkawan dengan Imam Hamid. Tujuan utama datuk berkawan ialah untuk menambahkan ilmu buat dirinya.

Orang yang selalu dibawa oleh datuk ke rumah Imam Hamid, saya sendiri. Kadang-kadang saya jadi bosan dan benci dengan perangai datuk itu. Bila saya memprotes, datuk cuma ketawa sahaja.

Dia berharap benar-benar supaya saya ambil tahu tentang kepandaian orang Melayu dalam beberapa bidang tertentu yang menurut datuk kebolehan dan kepandaian itu sudah mulai pupus. Pada dasarnya, saya setuju dengan apa yang diperkatakan oleh datuk itu.

“Aku tak mahu kau jadi dukun atau pawang,” kata datuk pada satu malam.

“Tak guna saya ikut datuk.”

“Ada gunanya.”

“Apa gunanya, sekadar untuk tahu sahaja tak lebih dari itu, aku mahu kau jadi doktor atau peguam.”

“Jadi dukun, sama juga tarafnya dengan doktor.”

“Itu pendapat yang salah,” dalih datuk.

Kerana malam itu terlalu dingin, saya minta pada datuk untuk tidur dalam biliknya. Permintaan saya itu diizinkan oleh datuk dengan syarat saya tidak dibenarkan mengusik semua perkakas datuk dalam biliknya. Pesan datuk itu saya akur.

Waktu saya menolak pintu bilik datuk, saya lihat jam di ruang tengah baru pukul sebelas malam. Sepatutnya saya tidur lebih awal dari itu kerana esoknya saya mesti pergi ke Kuala Lumpur untuk temuduga sebagai buruh hutan atau forest labourer.

Datuk sudahpun memberikan beberapa petua untuk temuduga tersebut. Antaranya, bila saya mahu melangkah harus dimulakan dengan kaki kanan. Tidak boleh berpatah balik.

Bila berhadapan dengan orang yang menemuduga kelak. Saya harus membengkokkan jari telunjuk saya sambil berkata:

“Aku tidak mematahkan jariku, tapi mematahkan hati orang yang menyoal. Biar dia simpati dan kasih pada diriku.”

Sebaik sahaja berkata begitu, saya disuruh salawatkan Nabi tiga kali sambil membaca ayat Kulya.

Semuanya saya lakukan dalam hati. Saya masuk ke dalam bilik datuk rebahkan badan atas katil. Tiba-tiba saya rasa katil bergerak. Saya bangun dan menoleh ke kanan. Badan saya mengeletar.

Seorang lelaki berbadan tegap, bermandikan peluh, berdiri di situ. Muka lelaki itu kelihatan hitam. Bila direnung lama-lama muka lelaki itu berubah menjadi muka anjing yang garang mula dari pangkal lehernya.

Lelaki itu menjelerkan lidah anjing dan cuba menjilat badan saya. Saya terus menjerit, serentak dengan itu datuk melompat ke dalam bilik dengan keris di tangan. Manusia berkepala anjing merenung muka datuk dan bersedia untuk menerkam padanya.

Datuk angkat tangan kiri separas dada. Tangan kanannya menunjuk ke arah manusia berkepala anjing. Jari manis dan jari kelingking datuk berkait antara satu sama lain. Manusia kepala anjing melompat ke sebelah kiri, kemudian hilang di balik dinding.

Serentak dengan itu juga tingkap bilik datuk terbuka kemudian bagaikan dihempas oleh sesuatu benda, papan tingkap memukul jenang, seluruh bilik bergegar. Barang-barang yang tersangkut di situ jatuh berserak ke lantai.

Datuk menerpa ke tepi tingkap. Dilihatnya bulan sedang mengambang. Angin tidak bertiup tetapi pokok rambutan gading di depan rumah bergerak. Beberap minit kemudian terdengar salakkan anjing bersahut-sahutan. Datuk meniup tingkap. Dia menyuruh saya pindah ke bilik lain yang dekat dengan bilik nenek.

“Jaga cucu kita ni baik-baik,” datuk beritahu nenek

“Awak na ke mana?”

“Aku nak selesai masalah baru ini di rumah Imam Hamid.”

“Awak nak pergi seorang.”

“Tentulah,” suara datuk keras.

Baru lima langkah datuk melangkah di halaman terdengar jeritan orang perempuan dari rumah Hussein Janggut. Datuk bergegas ke situ.

“Kenapa Sin?” datuk tercungap-cungap.

“Bilik anak dara saya di masuk orang berkepala anjing.”

“Kemudian apa jadinya?”

“Dia cuba membawa anak dara saya keluar dari rumah ni,” sungut Hussein Janggut parau.

Dalam beberapa detik sahaja rumah Husein Janggut mula dikerumuni orang kampung. Malam itu sahaja sekurang-kurangnya lima buah rumah yang ada anak dara telah didatangi oleh mahluk manusia berkepala anjing.

Seluruh kampung Paya Liam jadi gempar. Malam itu juga bentuk dibentuk jawatankuasa pengawal kampung. Seluruh isi perut kampung Paya Lima berazam mahu menangkap manusia aneh itu. Perkara itu segera dilaporkan kepada pihak polis.

Dua malam kemudian atas inisiatif Imam Hamid, orang lelaki Paya Lima dikumpulkan di surau. Mengadakan pembacaan Yassin untuk hindarkan manusia kepala anjing berluluasa di kampung tersebut.

Ibubapa yang mempunyai anak dara diminta supaya jangan membenarkan anak dara mereka berjalan waktu malam, terutama ketika bulan mula mengambang. Setiap anak dara disuruh membawa pisau atau parang bila mahu tidur. Pintu dan tingkap harus dikunci. Datuk dan Imam Hamid sungguh rungsing dengan kejadian itu.

Dalam sibuk-sibuk perkara manusia berkepala anjing, Imam Hamid menghilangkan diri dari kampung tersebut. Dengan itu beberapa tuduhan mula dilemparkan oleh orang-orang kampung pada Imam Hamid. Datuk bertindak tegas. Dia menolak semua tuduhan itu dengan alasan yang dapat diterima oleh orang-orang kampung.

“Cara yang paling selamat kita lakukan ialah berjaga pada setiap malam.”

Itu nasihat datuk pada orang-orang kampung. Beberapa orang dukun memberikan petua pada anak dara dan teruna supaya menaruh inai di jari manis.

Dukun-dukun juga menasihatkan setiap rumah harus menyimpan Quran dan membacanya pada setiap malam. Dengan itu akan melumpuhkan kegiatan manusia kepala anjing datang ke rumah yang ada anak dara dan teruna.

Dukun-dukun atau pawang mengesahkan bahawa manusia kepala anjing itu adalah manusia yang datangnya dari kampung berhampiran yang sedang mengamalkan ilmu salah. Dia sedang menuntut ilmu seri pandang yang antara lain memaksa penuntut ilmu menjadi anjing.

Dia akan menjadi manusia yang kacak dan cantik, bila dia sudah dapat memperkosa empat puluh orang gadis atau dapat menghisap darah anak teruna sebanyak empat puluh empat orang.

Kalau dia tidak dapat berbuat begitu, dia akan terus menjadi anjing berbadan manusia hingga hari kiamat. Kalau dia berjaya, dia akan dapat menguasai hantu syaitan yang akan memberikan kemewahan pada dirinya.

Malam itu, datuk pulang dari surau sesudah membaca Yassin. Waktu datuk mahu melintasi parit kecil yang memisahkan Kampung Paya Besar dengan Paya Lima, datuk terpandang pokok keduduk dan serunai laut tepi parit bergerak-gerak.

Datuk sembunyikan diri di balik pokok besar. Di langit bulan mula mengambang, makin kuat sinar bulan memanah bumi, makin kuat pokok-pokok kecil di situ bergerak.

Anjing mula bersuara keras. Datuk membuat keputusan untuk mengetahui apakah gerangan yang bergerak dalam hutan kecil itu. Bila bulan sudah cukup mengambang. Datuk melihat satu lembaga manusia bergerak dan berjalan macam anjing, mencium tanah dan pokok-pokok di situ.

“Syaitan,” sergah datuk.

Lembaga itu terus menyalak macam anjing. Dari merangkak lembaga itu tegak berdiri. Dengan tiba-tiba sahaja beberapa ekor anjing besar mengelilingi lembaga itu.

“Engkau rupanya memang aku cari selam ini,” suara datuk keras.

Bila dia melihat manusia berkepala anjing hitam itu dengan matanya yang bercahaya ke merah-merahan. Bulunya cukup tebal. Giginya putih tajam dan air lior melilih di muncungnya. Rupanya cukup mengerikan.

Manusia berkepala anjing itu mula menerkam pada datuk. Macam selalu datuk yang memang pandai bersilat itu mengelak dengan mudah. Perbuatan datuk itu menaikan darah manusia berkepala anjing itu.

Ia melolong dengan kuatnya. Empat ekor anjing hitam di sampingnya datang menyerang datuk. Anehnya semua anjing-anjing itu hilang entah ke mana, bila datuk membaca ayat Al-Kursi. Dengan itu menguatkan hati datuk, bahawa dia berhadapan dengan syaitan.

Sekarang, datuk berhadapan dengan manusia berkepala anjing satu sama satu. Tidak mudah bagi datuk untuk menewaskannya.

Manusia berkepala anjing tidak menyerang datuk, tapi dia menenung muka datuk dengan matanya yang bersinar tajam. Dua kali datuk jatuh terlentang.

Belumpun sempat manusia berkepala anjing menerkam padanya datuk segera bangun. Datuk pun menggunakan ilmu kebatinannya untuk menentang manusia kepala anjing. Di samping itu datuk juga menggunakan ayat-ayat al-Quran. Datuk mula terasa musuh yang ditentangnya beransur lemah.

Benarlah, manusia kepala anjing itu mula rebah ke bumi. Dengan sekilas pandang datuk sudah dapat mengenali manusia berkepala anjing.

“Aku kenal kau,” pekik datuk.

Serentak dengan itu tempat manusia berkepala anjing terus ghaib. Datuk menang dalam perjuangan ini. Tapi datuk memang tidak menduga manusia yang jadi kepala anjing itu, adalah manusia yang dikenalinya.

Dia pernah bercakap dengan orang itu. Memang di luar dugaan perkara itu boleh berlaku. Apakah orang itu melakukan semuanya kerana mahu membalas dendam?

Persoalan ini timbul dalam kepala datuk sepanjang malam.

Tamat siri 8/284

BACA: SBDJ Siri 7: Terkencing Dalam Seluar
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM

13 Berita Hiburan Paling Panas Di Malaysia 2018

13 Berita Hiburan Paling Panas Di Malaysia 2018

Begitu banyak perkembangan berlaku dalam dunia hiburan sepanjang tahun 2018 ini. Daripada khabar yang menggembirakan, mengejutkan dan menyedihkan terjadi melibatkan tokoh dalam dunia seni dan hiburan.

Berita Panas Malaysia 2018

Bagaimanapun, tidak mungkin untuk semua mereka disenaraikan dalam ruang yang terhad ini. Berikut adalah antara pencetus berita pilihan kami.

1. Farid Kamil

Farid Kamil Zahari didakwa menampar seorang anggota polis dan mencederakan orang awam ketika membuat laporan berhubung kemalangan jalan raya pada 11 Januari lalu.

Susulan kejadian, pelakon Anak Halal itu berdepan lima pertuduhan.

Nama Farid juga menarik perhatian ramai apabila mendakwa dia ditawarkan suapan RM5 juta untuk mengubah pendirian bagi menyokong bekas perdana menteri Najib Razak dan isteri, Rosmah Mansor.

2. Nur Sajat

Dia lebih diperhatikan kerana isu jantina berbanding kegiatan seni atau perniagaannya.

Pada 19 Disember, Nur Sajat didakwa di mahkamah atas tuduhan berkaitan Akta Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Media melaporkan nama sebenarnya ialah Muhammad Sajat Kamaruzzaman.

Sehari kemudian dia menafikan perkara itu dan menjelaskan nama yang tertera pada kad pengenalannya tiada perkataan “Muhammad”.

3. Siti Nurhaliza

Siti Nurhaliza Taruddin selamat melahirkan anak pertama , Siti Aafiyah pada 19 Mac lalu. Ia menamatkan penantian 11 tahun Siti Nurhaliza dan suami, Khalid Mohamad Jiwa.

4. Ellie Suriati Omar

Lupakan Ellie Suriati sebagai pelakon, kini dia seorang aktivis gerakan politik Melayu yang sering mendapingi pemimpin Umno, Lokman Noor Adam.

Dia juga terbabit secara langsung sebagai penyokong parti pembangkang dan pengkritik tegar kerajaan Pakatan Harapan (PH).

5. Michelle Yeoh

Pernah melakar nama sebagai pelakon Hollywood dan berpasangan dengan tokoh pemotoran, kali ini aktres kelahiran Ipoh itu menarik perhatian ramai kerana mendapat hak sebagai penerbit filem mengenai watak utama skandal 1MDB.

Filem itu berdasarkan buku tulisan Bradley Hope dan Tom Wright, Billion Dollar Whale.

Namun, ada pihak berpendapat Michelle bukanlah tokoh yang layak kerana sebelum ini dia menampilkan dirinya sebagai penyokong Najib Razak dan BN.

6. Aishah

Selepas menjuarai Gegar Vaganza 4, penyanyi Aishah terpaksa menunggu berbulan-bulan untuk mendapatkan haknya yang dijanjikan penaja.

Penantian itu turut melibatkan pertikaian dan dijangka akan berlanjutan ke kamar mahkamah.

7. Jalil Hamid

Di sebalik nama besar sebagai pelakon yang memenangi beberapa anugerah, serta bakatnya sebagai pelawak, Jalil ditawarkan bayaran yang tidak berpatutan.

Luahan Jalil juga membuka mata banyak pihak terhadap isu bayaran tidak setimpal yang diberi pihak penerbit kepada pelakon berpengalaman.

8. Yuna

Selesai memahat nama di peringkat antarabangsa, Yuna melangkah setapak lebih jauh dalam hidupnya apabila menjadi isteri kepada Adam Sinclair pada 26 Jan 2018.

Majlis diadakan Puncak Rimba Bentong, Pahang.

9. A Samad Said

Tokoh kesusasteraan itu menggesa Kementerian Pendidikan mengambil langkah lebih proaktif supaya menjadikan karya-karya sasterawan negara sebagai buku teks di semua peringkat sekolah.

Ia dianggap penting kerana untuk suatu ketika kedudukan seniman, budayawan dan sasterawan seakan terabai, terutama apabila mereka tidak memihak kepada kerajaan BN dulu.

10. Acapan

Pelakon komedi yang pernah berlakon dalam siri komedi Santan Berlada dan Pi Mai Pi Mai Tang Tu, Acapan meninggal dunia pada 14 September lalu.

Mendiang menghembuskan nafas terakhir pada usia 63 tahun dan pernah dilaporkan mengalami masalah buah pinggang sebelum ini.

11. Pak Ngah

Dunia hiburan kehilangan seorang lagi komposer besar, Suhami Mohd Zain atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah pada 25 September lalu.

Pejuang lagu irama Malaysia itu menghembuskan nafas terakhirnya di Batam, Indonesia sehari sebelum menyambut hari ulang tahun kelahirannya yang ke-60.

12. Zaibo

Pelakon dan pelawak Zainal Abidin atau lebih dikenali dengan nama Zaibo meninggal dunia pada usia 62 tahun pada 14 November lalu akibat penyakit kanser.

Allahyarham pernah membintangi drama seperti Spanar Jaya, Under One Roof (drama Singapura) dan filem Anna And The King, Magika, serta Awan Dania the Movie.

Zaibo disahkan menghidap kanser esofagus tahap empat pada tahun ini.

13. Saleem

Penyanyi Saleem, 56, meninggal dunia pada 14 Oktober lalu selepas dirawat di Unit Rawatan Rapi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia Kuala Lumpur.

Penyanyi lagu Suci Dalam Debu dan Selamat Tinggal Penderitaan itu terbabit dalam kemalangan pada 20 September mengakibatkan beberapa tulang rusuk patah, satu darinya mencederakan paru-parunya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

4 Pantang Larang Apabila Makan Suplemen Untuk Kesan Maksimum

4 Pantang Larang Apabila Makan Suplemen Untuk Kesan Maksimum

Anda baru sahaja melaburkan wang untuk vitamin untuk kesihatan yang lebih baik namun, masih tidak merasa manfaatnya setelah mengambil suplemen dan vitamin setelah beberapa lama.

Panduan Makan Suplemen

Mari kita ‘check-it-out‘ sama-sama senarai semak dan pantang larang tentang pemakanan suplemen ini kerana mungkin ada perkara yang kita terlepas pandang atau anggap remeh.

Beberapa Faktor Kenapa Vitamin Tidak Berkesan

Saya memang yakin ramai yang tahu tentang keberkatan amalan yang istiqamah. Dalam hal supplemen atau vitamin pun konsepnya sama.

Kita perlu beristiqamah atau konsisten bagi mendapatkan kesan optimum hasil dari pengambilan supplemen. Berapa lama kita perlu istiqomah itu?

Menurut pakar nutrisi, kita disarankan untuk makan suplemen ini secara konsisten sekurang-kurangnya selama 3 bulan untuk benar-benar mendapatkan keserasian dan kesan yang optimum.

Tambah pula, sel-sel tubuh kita kita hidup antara 90 ke120 hari.

Ada segelintir kumpulan pengamal vitamin yang merasakan mereka tidak mendapat apa-apa manfaat dari pengambilan vitamin atau suplemen.

Setelah diselidik, ada beberapa faktor yang menyebabkan perkara ini terjadi iaitu:

1. Memandang Remeh Pengambilan Air Kosong Seperti Yang Disarankan

Ramai yang ada masalah untuk amalkan minum air masak kosong dan lebih suka minuman yang bergula dan berperisa.

Air yang manis bukan sahaja meningkatkan kepekatan darah malah punca utama masalah kegemukan atau obesiti.

Kita disarankan mengamalkan banyak minum air masak apabila mengamalkan pengambilan vitamin supaya penyerapan vitamin oleh tubuh berlaku dengan lebih baik iaitu sekurang 3 liter sehari (lebih kurang 8 gelas).

Sebenarnya pengambilan air masak yang mencukupi ini bukan sahaja untuk pengambilan vitamin, tetapi memang disyorkan oleh pakar perubatan untuk kesihatan berkekalan.

Kekurangan pengambilan air akan menyebabkan sel tubuh keliru sama ada kita berasa lapar atau haus.

2. Elakkan Makan Vitamin Secara Banyak Sekali gus Dalam Satu Masa

Apabila kita makan semua sekali vitamin secara sekali gus, ini akan meningkatkan kepekatan darah kita hanya pada masa-masa tertentu sahaja.

Biasanya, ramai yang suka amalkan perkara ini apabila waktu hendak tidur sedangkan pada masa selepas itu kita akan kurang minum air.

Justeru, cubalah untuk agih-agihkan pengambilan vitamin anda mengikut kesesuaian dan keperluan tubuh agar kepekatan darah tidak meningkat secara mendadak pada satu-satu masa sahaja.

Ini untuk membantu buah pinggang tidak terlalu dibebankan untuk bekerja pada satu-satu masa tertentu sahaja.

3. Elakkan Pengambilan Vitamin Bersama Ubat

Sekiranya anda dalam pemantauan doktor atas masalah kesihatan, elakkan mengambil ubat serentak dengan pengambilan vitamin kerana ini akan menyebabkan darah bercelaru dan tidak dapat menyerap vitamin dengan baik.

Cuba sediakan jadual, sekiranya selepas makan pagi anda mengambil ubat doktor maka anda boleh amalkan vitamin pada waktu tengahari atau malam.

Namun, sekiranya anda perlu makan ubat secara berturutan, pagi dan petang, maka amalkan vitamin selepas anggaran masa 1 jam ke 2 jam selepas pengambilan ubat doktor.

4. Kurangkan Pengambilan Kafein Dalam Diet Harian

Tahukah anda pengambilan kafein boleh merosakkan vitamin yang sudah sedia ada dalam badan?

Maka pengambilan minuman yang berkafein tinggi seperti kopi secara berterusan, boleh membazirkan vitamin yang kita amalkan selama ini.

Kita mungkin tidak akan mendapat kesan seperti yang diharapkan sama sekali disebabkan penyerapan vitamin terjejas disebabkan pengambilan kafein secara berterusan.

Namun, bukan bermakna tidak boleh minum kopi. Boleh. Cuma hadkan kepada 1 cawan sehari atau jangan minum kopi sekurang-kurangnya 3 jam sebelum makan vitamin atau suplemen.

BAHAYA MAKAN UBAT BANYAK-BANYAK SERENTAK

Apabila menghidap sesuatu penyakit, kadangkala kita mungkin diberikan dengan lebih dari satu jenis ubat. Selain itu, mungkin ada antara kita yang ada mengambil vitamin atau suplemen tambahan setiap hari.

Timbul persoalan samada ubat-ubatan tersebut boleh diambil secara serentak atau tidak. Sebagai contoh, seorang pesakit darah tinggi tercedera dan luka dengan teruk. Doktor kemudiannya mempreskripsi ubat tahan sakit dan antibiotik.

Kini, selain dari ubat darah tinggi, pesakit itu perlu mengambil ubat tahan sakit dan antibiotik. Jadi bagaimana caranya untuk mengetahui cara yang betul untuk mengambil ubat-ubat tersebut?

Ubat-ubatan boleh memberi interaksi antara satu dengan lain apabila dua atau lebih ubat diambil pada satu-satu masa. Ia boleh menyebabkan kesan ubat bertambah, kesan sampingan menjadi teruk atau kesan sesuatu ubat berkurangan. Ia juga dipanggil sebagai interaksi ubat-ubat ( drug-drug interaction).

Interaksi ubat-ubat

Kebanyakan ubat akan diproses di dalam hati dengan bantuan enzim-enzim tertentu. Ia kemudian akan dipecahkan kepada molekul yang lebih kecil dan disingkirkan melalui buah pinggang.

Namun, sesetengah ubat berupaya mengganggu proses metabolisme dan penyingkiran ubat lain.

Sekiranya ubat A boleh menghalang enzim yang memproses ubat B di dalam hati, ia akan menyebabkan kepekatan ubat B di dalam darah menjadi tinggi.

Ini boleh menyebabkan risiko kesan sampingan berlaku lebih tinggi. Dalam situasi ini, dos ubat B akan dikurangkan untuk mengelakkan kesan sampingan.

Pada keadaan lain, sekiranya ubat A meningkatkan aktiviti enzim yang memproses ubat B, kepekatan ubat B dalam darah akan menjadi rendah. Ini akan menyebabkan ubat B kurang berkesan dan sekiranya ia berlaku, dos ubat B akan dinaikkan.

Interaksi ubat-ubat juga boleh berlaku dengan cara yang lain. Contohnya, menyebabkan perbezaan kadar serapan dari usus dan kadar penyingkiran melalui buah pinggang.

Interaksi ini boleh menyebabkan situasi kepekatan ubat menjadi tinggi atau rendah seperti yang diterangkan di atas.

Ubat-ubatan yang mempunyai kesan sampingan yang sama boleh menyebabkan kesan sampingan menjadi lebih teruk sekiranya diambil serentak.

Contohnya, ubat selsema yang boleh menyebabkan mengantuk, diambil dengan ubat tahan sakit yang juga menyebabkan mengantuk, kesannya akan lebih tinggi.

Sewaktu anda mengambil ubat dari ahli farmasi, mereka akan menyemak interaksi ubat-ubat ini sebelum mendispen ubat kepada anda.

Oleh itu, amat penting untuk anda mendapatkan ubat dari sumber yang betul dan ubat anda diperiksa sebelum sampai kepada anda.

Bagaimana untuk mengelakkan ia dari berlaku?

Sebagai pesakit, anda juga boleh memainkan peranan bagi mengelakkan interaksi ubat-ubat yang boleh mendatangkan kesan yang tidak diingini berlaku kepada anda.

Antara perkara yang anda boleh lakukan adalah:-

1. Sentiasa baca label dan patuh pada arahan pemakanan ubat. Selain dos, waktu pengambilan ubat juga perlu dipatuhi.

2. Baca sisipan ubat dalam bungkusan ubat yang diberi kepada anda. Beri perhatian pada amaran-amaran yang diberikan.

3. Beritahu ahli farmasi sekiranya anda ada mengambil ubat-ubatan lain, selain yang dipreskrib oleh doktor. Interaksi ubat-ubat boleh berlaku diantara ubat yang dipreskrib dan suplemen atau ubat tradisional.

4. Dapatkan rawatan dari satu klinik atau ambil semua ubat dari satu farmasi sahaja. Ini untuk memastikan rekod ubat-ubatan anda tepat dan mudah untuk disemak.

5. Simpan preskripsi ubat-ubatan anda dengan baik.

6. Rekodkan semua ubat yang anda ambil termasuk suplemen dan ubat tradisional beserta dengan dos yang terkini.

7. Elakkan dari membeli ubat dari sumber yang tidak sah.

Semoga perkongsian ini dapat membantu anda dalam memahami cara pengambilan ubat yang betul.

Interaksi ubat-ubat ialah satu perkara yang perlu diambil serius. Tanya ahli farmasi sekiranya anda tidak pasti.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Sunday, December 30, 2018

Safiey Illias Anggap Kemalangan Balasan Tuhan

Safiey Illias Anggap Kemalangan Balasan Tuhan

Usahawan kosmetik, Safiey Illias berkongsi kereta mewahnya yang dipandunya telah terlibat dalam kemalangan jalan raya dan apa yang menarik perhatian, kenyataan Safiey menganggap kemalangan itu terjadi kerana balasan Tuhan.

Safiey Illias Anggap Kemalangan

Melalui entrinya, Safiey memuat naik gambar kereta mewahnya yang remuk teruk di bahagian depan dan menganggap kemalangan itu terjadi kerana niatnya untuk memotong kemaluan dan menukar jantina.

Bagaimanapun di ruangan komen, pelbagai reaksi netizen dapat dilihat.

Selain ramai memintanya bertaubat, ada juga mendakwa usahawan itu hanya ‘propa’ kerana sudah banyak kali ingin berubah tapi akhirnya sebaliknya.

Safiey Illias Kemalangan

Rata-rata pengakuan Safiey itu juga membuatkan netizen terkejut kerana dia terlalu terbuka mengakuinya.

Apa pun harapnya Safiey jadikan pengalaman ini sebagai iktibar dan berfikir panjang sebelum bertindak.

BACA INI JUGA:

sumber: rotikaya

Ramalan Baba Vanga Tahun 2019, Donald Trump Diramal pekak Dan Tsunami Besar Di Asia

Ramalan Baba Vanga Tahun 2019, Donald Trump Diramal pekak Dan Tsunami Besar Di Asia

Seorang wanita buta, Baba Vanga, berasal dari Bulgaria terkenal kerana ramalan-ramalannya yang kebanyakannya menakutkan dunia, pernah membuat ramalan tentang Brexit, serangan menara berkembar WTC dan kebangkitan ISIS sekali lagi menjadi perhatian gara-gara ramalannya untuk 2019.

Baba Vanga 2019

Walaupun dia telah meninggal dunia lebih dari 12 tahun, dunia kini heboh dengan laporan beberapa ramalan yang kononnya dibuat untuk 2019.

Antara ramalannya untuk tahun depan, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump akan pekak dan trauma otak selepas mengalami penyakit misteri, lapor Mail Online.

Sementara itu Presiden Rusia Vladimir Putin diramal akan berdepan ancaman bunuh dari dalaman dan dalam masa yang sama negara itu akan menguasai dunia, tidak pasti dari segi ekonomi atau militari.

Untuk rekod Baba Vanga pernah meramalkan China mendominasi dunia pada tahun 2018 dan benar, negara itu memang menjadi negara paling unggul dari segi ekonomi dan industri.

Selain itu wanita ini juga meramalkan gempa bumi besar-besaran mengakibatkan tsunami besar akan melenyapkan sebahagian besar Asia termasuk Pakistan, India, China, Jepun dan Indonesia.

Manakala Eropah pula akan hancur kerana masalah ekonomi.

Vladimir Putin sekali lagi masuk dalam ramalannya apabila meteor raksasa dikatakan akan mendarat di Rusia pada 2019.

Baba Vanga yang meninggal dunia pada 1996 ketika usianya 85 tahun juga dikenali sebagai 'Nostradamus dari Balkan.' Dia hilang penglihatan secara misteri pada usia 12 tahun ketika banjir besar.

Ramalan Baba Vanga memang selalu membuatkan ramai yang bimbang. Ini kerana kebanyakannya mempunyai kaitan dengan nahas, kejadian luar biasa dan jarang berlaku.

Bagaimanapun sebahagiannya memang terbukti berlaku, namun ada juga ada yang tidak betul.

Pada tahun 1979, Baba Vanga yang dilaporkan pendapatannya meningkat 85 peratus kerana ramalannya memberitahu penulis Valentin Sidorov bahawa, Rusia akan menjadi 'penguasa dunia' setelah Eropah menjadi 'gurun'.

"Semua akan cair, seolah-olah ais, hanya satu yang tidak tersentuh; kemenangan Vladimir, kemenangan Rusia," katanya.

Mistikus itu juga dikatakan telah meramalkan Brexit dengan menyatakan, Eropah sebagaimana yang diketahui 'tidak akan ada lagi' pada akhir 2016.

Membuatkan ramai percaya kepadanya apabila meramalkan serangan 11 September pada tahun 2001, yang mana dia mengatakan 'dua burung besi' akan menyerang 'saudara-saudara Amerika'.

Tetapi dia menjangkakan Barack Obama akan menjadi 'presiden Amerika terakhir', menyebabkan beberapa orang percaya bahawa Donald Trump tidak akan dilantik, yang mana ramalan itu ternyata salah.

Bagaimanapun harus diingat bagi penganut agama Islam, mempercayai sesuatu ramalan atau perkara karut adalah dilarang dan haram hukumnya!

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar

Remaja Buat Eksperimen Suntik DNA Ayat Al-Quran Dan Bible

Remaja Buat Eksperimen Suntik DNA Ayat Al-Quran Dan Bible

Seorang 'penggodam-bio' dari bandar Grenoble, Perancis, digelar 'bodoh' kerana melakukan eksperimen aneh apabila menyuntik dirinya dengan DNA dari ayat-ayat dalam al-Quran dan Bible. Adrien Locatelli, yang dipercayai masih belajar di sekolah menengah memulakannya dengan memilih ayat-ayat dari al-Quran dan Bible yang mahu disimpan dalam tubuhnya dalam bentuk DNA.

DNA al-quran dan bible

Remaja ini menggantikan setiap karakter dari kedua-dua kitab dengan nukleotida, sebuah struktur pembentuk inti sel DNA dan RNA.

Dengan nukleotida itulah dia membuat sebuah sekuensi DNA berdasarkan teks-teks kitab tersebut.

Kemudian Locatelli menggunakan ExPASy Translate, sebuah laman yang menterjemahkan sekuensi nukleotida menjadi sekuensi protein.

Sekuensi protein itu digunakan untuk membuat salinan teks-teks kitab suci yang boleh disuntik.

Teks-teks al-Quran dan Bible yang sudah berubah bentuk menjadi DNA itu kemudian disuntikkan pada kedua-dua pahanya.

Tapi mengapa dia melakukannya?

Jawabnya, hanya kerana dia ingin mengetahui sama ada ia boleh dilakukan.

"Kajian baru-baru ini melaporkan bahawa adalah sesuatu yang mungkin untuk mengubah sebarang jenis maklumat kepada DNA bagi tujuan penyimpanan.

"Oleh kerana mengubah maklumat digital ke dalam DNA adalah mungkin, saya tertanya-tanya sama ada adakah mungkin teks dapat diubah ke dalam DNA dan menyuntikkannya dalam makhluk hidup," Locatelli menjelaskan tentang eksperimennya yang menjadi kontroversi.

"Ia adalah kali pertama seseorang menyuntik dirinya sendiri dengan makromolekul yang dihasilkan daripada teks.

"Ia sangat simbolik walaupun tidak mempunyai banyak tujuan," tambahnya.

Jadi apakah hasil eksperimen saintifik luar biasa ini?

Locatelli berkata kaki kirinya bengkak selama beberapa hari selepas suntikan, tetapi selain itu dia tidak melihat kesan lain.

Jika anda ingin tahu apakah ayat-ayat mahu disimpan dalam tubuhnya sebagai paten DNA, dia menterjemahkan petikan Bible dari Kejadian 1:1 hingga 11:9, tidak termasuk 2:10 hingga 2:14, 5, dan 7:1 hingga 7:5 kerana menganggap ia terlalu kontroversi.

Dari al-Quran dia menggunakan surah ke-13, Surah Ar-Ra'd.

Tidak jelas sama ada dia menyuntik ayat-ayat itu pada kaki berbeza atau menggunakan gabungan dua teks keagamaan untuk kedua-dua belah kaki.

Locatelli mendakwa eksperimen ini adalah yang pertama seumpamanya di dunia, tetapi komuniti saintifik tidak terlalu kagum dengannya.

Kebanyakan ahli mencemuh kedua-dua metodologi anak muda itu dan motivasinya untuk mempertaruhkan nyawanya.

"Kepada semua 'bio-hackers' dan sebagainya. Sila berhenti. Anda bodoh," kata pengasas sebuah syarikat yang meneliti ketahanan antibiotik, Isaac Stoner di Twitter yang menghubungkannya dengan kisah eksperimen Locatelli.

"OK, 2018 tidak dapat berakhir lagi. Ada pelajar sekolah menengah di Perancis menterjemahkan bahagian al-Quran dan Bible ke dalam urutan protein, membuat vektor rAAV dan peptida kitaran, menyuntikkannya ke paha dan kemudian menerbitkannya," tulis seorang profesor biokimia di Universiti of California, Los Angeles, Sri Kosuri.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar

S Legend, Ikan Koi Paling Mahal Di Dunia Bernilai AS1.8 Juta

S Legend, Ikan Koi Paling Mahal Di Dunia Bernilai AS1.8 Juta

S Legend atau lebih dikenali ikan koi warna putih dan merah menjadi ikan hidup paling mahal pernah dijual. Harga ikan sepanjang 101 sentimeter itu, bernilai AS$1.8 juta (RM7.27 juta) berbanding rekod dahulu bernilai lebih AS$1.3 juta (RM5.43 juta).

S Legend Koi

Ikan koi jenis Kohaku ini dari baka berkualiti, dibeli oleh seorang pengumpul dari Jepun ketika satu acara bidaan di pusat ternakan ikan Saki di Hiroshima.

Memiliki kualiti terbaik, ikan koi betina berusia sembilan tahun ini pernah memenangi hadiah pertama dalam pertunjukan ikan koi berprestij.

Peminat dan pengumpul koi kini dijangka terbang dari seluruh dunia untuk melihat ikan paling mahal itu.

S Legend Koi

Ikan koi mempunyai lebih 12 jenis di mana Kohaku adalah ikan koi yang paling popular dan paling berharga.

Jepun adalah pengeluar ikan koi terbesar di dunia dengan 90 peratus pengeluaran bertujuan untuk eksport. Pada tahun 2016, eksport Koi bernilai lebih daripada AS$35 juta (RM146 juta).

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: sinarharian