Wednesday, January 02, 2019

Apa Itu Gelatin Dan Kenapa Sangat Sukar Mencari Yang Halal?


Perkataan gelatin berasal daripada bahasa Latin iaitu ‘gelatus’ yang bermaksud keras, adalah bahan semula jadi dan sejenis protein yang dihasilkan daripada rangkaian kolagen yang diperoleh daripada kulit, tulang atau ligamen (tulang rawan) haiwan seperti lembu, kerbau, ikan atau babi. Tiada gelatin yang dihasilkan daripada proses sintetik atau ubah suai kimia.

Apa Itu Gelatin

Gelatin untuk makanan boleh didapati sama ada dalam bentuk serbuk atau kepingan dan ia adalah hidrokoloid (mudah bersatu dengan air), boleh menyerap air sehingga 10 kali ganda daripada beratnya di dalam air.

Dalam Peraturan-peraturan Makanan 1985, gelatin dikategorikan sebagai kondisioner makanan – penstabil, pemekat, kanji ubah suai dan agen penggelan.

Kondisioner ialah apa-apa bahan yang ditambah pada makanan bagi maksud teknologi untuk mendapatkan makanan yang dihasratkan.

Menyentuh mengenai makanan, ramai yang gemarkan ais krim, coklat, dadih dan bermacam-macam produk prosesan yang berlemak. Rasanya sedap kerana lemaknya itu.

Bahan makanan seperti ini menggunakan ramuan yang biasanya diambil daripada protein haiwan dikenali sebagai gelatin yang kini menjadi satu industri besar.

Justeru, pada hari ini isu makanan halal juga banyak dikaitkan dengan penggunaan gelatin, bukan semata-mata kepada aspek penyembelihan ternakan sahaja.

Gelatin berkembang sejajar dengan kepesatan industri makanan, ubat-ubatan yang menggunakan bahan tersebut.

Jenis-jenis Gelatin

Kebanyakan kilang yang menghasilkan gelatin terletak berhampiran dengan rumah sembelih dan terdapat 2 jenis gelatin yang dibezakan melalui cara penghasilan iaitu sama ada menggunakan alkali atau asid.

1. Gelatin jenis A
  • Diperoleh dengan cara pengasidan.
  • Majoriti gelatin jenis ini diperoleh daripada kulit babi yang kolagennya masih muda.
  • Gelatin daripada sumber ikan juga dihasilkan daripada proses pengasidan ini.

2.  Gelatin jenis B
  • Diperoleh dengan cara menggunakan alkali atau air kapur.
  • Sumber untuk memproses gelatin ini adalah daripada lembu, kerbau atau kambing.
  • Gelatin jenis ini juga dikenali sebagai ‘beef bovine’ atau ‘bovine’.
  • Banyak dihasilkan daripada sumber lembu.
  • Gelatin jenis ini lebih sukar untuk dihasilkan kerana menggunakan kolagen yang matang.

Gelatin ‘Type A’ kebanyakannya didapati dari kulit babi. Gelatin ‘Type B’ pula didapati dari tulang-tulang dan kulit-kulit haiwan ‘bovine’ seperti lembu, kambing dan kerbau.

Alternatif kepada penggunaan gelatin adalah gam tumbuhan seperti carrageenan dan Arabic gum. Kebiasaannya digunakan dalam industri farmaseutikal bagi penghasilan kapsul dan soft gel.

Dikalangan negara Eropah, gelatin dikategorikan sebagai aditif makanan dan menggunakan E-number (E441).

Gelatin digunakan dalam industri makanan untuk pelbagai fungsi iaitu penebal, pengemulsi, pelekat, pengelak lembapan, pengikat dan agen pembuih. Kegunaannya sangat meluas dalam industri kerana fungsi tersebut.

Antara produk-produk yang mengandungi gelatin antaranya ialah:
  • Kapsul penyalut ubatan.
  • Kapsul lembut (Softgel) seperti kapsul minyak ikan.
  • Berbagai-bagai jenis Ubat Gigi.
  • Hampir ke semua Kosmetik Kecantikan.
  • Semua Minyak Wangi.
  • Sabun-sabun mandi dan pelembut fabrik.
  • Losen Badan, kaki dan tangan.
  • Konfeksioneri (coklat, gula-gula dan lain-lain).
  • Puding, kek dan pai.
  • Gummi jelli, Pastil berperisa.
  • Yogurt, keju dan butter.
  • Ais-krim.
  • Pencuci mulut segera.
  • Gula-gula getah (Chewing gum).
  • Produk-produk daging yang diproses.

Fungsi gelatin dalam produk

Fungsi Gelatin

Antara makanan yang sering mengandungi gelatin ialah seperti produk makanan secara am: berfungsi sebagai zat pengental, penggumpal, membuat produk menjadi elastik, pengemulsi, penstabil, pembentuk buih, pengikat air, penyalut nipis dan memperkayakan zat.

Produk daging proses dimana ia berfungsi untuk tujuan meningkatkan daya ikat air, konsistensi dan kestabilan produk sosej, kornet dan daging babi.

Produk seterusnya adalah dari produk susu proses dan ia berfungsi untuk memperbaiki tekstur, konsistensi dan kestabilan produk dan mengelakkan sineresis pada yoghurt, ais krim, dadih, keju cottage dan butter.

Produk bakeri dimana gelatin berfungsi untuk menjaga kelembapan produk, sebagai perekat bahan pengisi pada produk roti, kek dan pai.

Dalam produk minuman pula, gelatin akan berfungsi sebagai penjernih sari buah (juice), sirap, bir dan wine.

Sementara itu di dalam produk buah-buahan, gelatin akan berfungsi sebagai pelapis (melapisi pori-pori buah sehingga terhindar dari kekeringan dan kerosakan oleh mikrob) untuk menjaga kesegaran dan awetan buah.

Di dalam produk gula-gula dan produk sejenisnya, gelatin akan berfungsi untuk menetapkan konsistensi produk, menetapkan daya gigit dan kekerasan serta tekstur produk, menetapkan kelembutan dan daya melekat di mulut seperti gula-gula getah (Chewing gum).

Di dalam produk makanan bersos dan pengeluar kicap, ia digunakan bagi menghasilkan kekentalan yang lebih tinggi.

Bagi produk farmaseutikal dan bidang farmasi, gelatin digunakan sebagai pembentukan dan pengerasan serta kekentalan tekstur sarung kapsul dan ubat-ubatan.

Kandungan Gelatin

Gelatin sangat diperlukan dalam kepelbagaian bahan produk makanan, kerana nilai zatnya yang tinggi, terutama dengan tingginya kadar protein khususnya asid amino dan rendahnya kadar lemak.

Gelatin kering mengandungi kira-kira 84 - 86% protein, 8 - 12% air dan 2 - 4% mineral.

Dari 10 asid amino essensial yang diperlukan tubuh, gelatin mengandungi 9 asid amino essensial yang hampir tidak terkandung dalam gelatin iaitu triptofan.

Penggunaan gelatin sangat meluas kerana gelatin bersifat serba boleh iaitu boleh berfungsi sebagai bahan pengisi, pengemulsi (emulsifier), pengikat, pengendap dan mempertingkatkan zat.

Sifatnya juga fleksibel iaitu dapat membentuk lapisan tipis yang elastik, membentuk filem yang transparan, kukuh dan kuat, kemudian sifat penting lain iaitu daya pencernaannya yang tinggi.

Pengeluar utama gelatin

Berdasarkan statistik, penghasilan gelatin halal di peringkat global sekitar 0.7 peratus pada 2013 manakala jumlah populasi umat Islam di seluruh dunia adalah 1.7 bilion.

Dianggarkan 90,000 tan gelatin halal diperlukan setiap tahun bagi menampung keperluan industri makanan dan minuman, nutraseutikal, farmaseutikal serta kosmetik yang menggunakan bahan tersebut.

Kebanyakannya gelatin yang dihasilkan di luar negara berasal daripada haiwan iaitu sebanyak 43 peratus daripada kulit babi, kulit lembu (23 peratus), tulang babi dan lembu (18 peratus) dan sebanyak 16 peratus lain-lain sumber.

Penghasilan gelatin dunia adalah sekitar 450,700 tan setahun dan Eropah Barat menguasai pasaran menerusi penghasilan gelatin di peringkat dunia sebanyak 39 peratus, diikuti Eropah Timur (22 peratus), Amerika Utara (20 peratus), Amerika Latin (17 peratus) dan lain-lain negara sebanyak dua peratus.

Pasaran global gelatin dianggarkan bakal mencatat peningkatan sebanyak 6.5 peratus setiap tahun.

Daripada statistik tersebut, jelas menunjukkan bahawa gelatin secara umumnya tidak dikeluarkan oleh negara-negara Islam, sekali gus membuktikan agak sukar mencari gelatin halal.

Isu gelatin halal membimbangkan masyarakat Islam kerana datang daripada sumber yang meragukan.

Berdasarkan sejarah, penggunaan gelatin telah bermula sejak beratus-ratus tahun dahulu di negara-negara Eropah dan penggunaannya yang pelbagai dalam industri makanan, kosmetik, produk kesihatan dan perubatan.

Pada asalnya ia adalah produk yang semula jadi dan menyihatkan, mudah dihadam, rendah kalori dan tidak mengandungi kolesterol.

Selain itu, banyak penyelidikan telah membuktikan gelatin dapat membantu menyembuhkan penyakit-penyakit tulang dan sendi.

Isu panas

Namun, terdapat beberapa isu yang melingkari pengeluaran berkaitan gelatin iaitu mereka mengeluarkannya daripada sumber haram dan berpendapat dengan mengambil contoh bahawa anggur yang diperam menjadi arak tetapi diperam lama lagi telah menjadi cuka yang halal.

Selain itu, pengilang menghasilkan gelatin daripada sumber bovine tetapi tidak disembelih mengikut syarak dan gelatin daripada sumber bovine dan sembelih mengikut syarak, tetapi bercampur dengan yang haram.

Oleh itu, apakah pilihan yang ada kerana gelatin hadir dalam banyak sumber pada hari ini sama ada makanan atau bukan makanan?

Secara umumnya gelatin digunakan dalam beberapa industri iaitu makanan farmaseutikal dan industri fotografi.

Industri makanan yang biasanya menggunakan gelatin antaranya coklat, ais krim, dadih, jeli manakala dalam farmaseutikal antaranya tablet dan kapsul. Bahan kimia dalam fotografi juga menggunakan gelatin.

Kesukaran membuat gelatin halal

Setakat ini, agak sukar mencari pengganti kepada gelatin bukan halal kerana usaha pengeluaran gelatin halal pula berdepan dengan beberapa isu antaranya nisbah keluaran gelatin rendah iaitu untuk mengeluarkan 1500 tan metrik setahun, memerlukan sebanyak 15,000 tan metrik tulang.

Oleh kerana seekor lembu menghasilkan lebih kurang 30 kilogram (kg) tulang terpilih, maka 500,0000 ekor lembu atau kerbau diperlukan bagi pengeluaran gelatin sebanyak 1500 metrik tan setahun.

Sumber tulang boleh diperolehi daripada pelbagai sumber antaranya termasuk pusat sembelihan terutama pada musim korban Hari Raya Aidiladha boleh digunakan untuk gelatin.

Satu lagi masalah ialah tempoh masa mengeluarkan satu lot gelatin mengambil masa yang agak lama iaitu antara 60 hingga 80 hari.

Adalah mustahil untuk mengasingkan gelatin halal dan tidak halal dalam kilang yang sama dan peluang berlaku pencemaran antara gelatin halal dan tidak halal adalah sangat tinggi.

Walau bagaimanapun, terdapat sumber lain yang boleh dijadikan gelatin halal iaitu penggunaan ikan dan tumbuh-tumbuhan yang mungkin boleh dijadikan alternatif meskipun masih belum ada kilang yang membuat gelatin bersumberkan ikan sepenuhnya ketika ini.

Mengenai gelatin tumbuhan, sumber alternatif tersebut kebanyakan digunakan dalam pembuatan softgel dan kapsul keras penyalut ubatan.

Kebanyakan kilang ini menggunakan mesin yang sama untuk mengeluarkan produk menggunakan gelatin tidak halal.

Istihalah

Gelatin atau DNA yang diperolehi daripada babi boleh dianggap halal jika ia telah melalui proses transformasi, mengikut konsep Islam istihalah, kata Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Beliau mengulas pandangan ulama tersohor, Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi yang berpendapat gelatin haiwan termasuk babi adalah halal untuk digunakan.

Dr Asri berpandangan, isu ini bukan satu masalah besar kerana di kalangan ulama Islam sendiri tidak ada konsensus mengenai topik ini. Mereka mempunyai pandangan yang berbeza dalam hal ini, katanya.

Dr Mohd Asri menegaskan bahawa setiap orang Islam mempunyai hak untuk membaca, mendengar, menilai dan membuat keputusan untuk dirinya sendiri berdasarkan kepada hujah-hujah yang dibentangkan.

Islam adalah agama yang berfikiran terbuka yang sentiasa mengiktiraf fakta dan kebenaran.

Kemudian, orang Islam juga perlu berfikir tentang bagaimana untuk menjawab perbuatan mereka di hadapan Allah di akhirat, bukan hanya bertindak balas secara emosi, katanya.

Mengulas lanjut mengenai hujah Dr Yusuf, Dr Asri menjelaskan bagaimana sesuatu yang dianggap haram boleh menjadi halal sebenarnya jika menggunakan konsep 'istihalah'.

Istihalah ialah perubahan dan pertukaran sesuatu benda kepada suatu benda lain yang meliputi pertukaran hakikat dan bentuk benda tersebut.

Apabila sesuatu yang tidak bersih telah melalui satu proses yang membuatkan ia telah kehilangan ciri-ciri asalnya, ia tidak akan dinilai mengikut asalnya kerana ia telah benar-benar berubah, kata beliau sambil menambah bahawa bahan itu harus dinilai melalui ciri-ciri baru.

Penjelasan mudah; perubahan dalam sifat bahan setelah melalui proses tertentu ini disebut sebagai istihalah, katanya.

Dr Mohd Asri mengulas perkara berkenaan dilaman Facebooknya dengan mengambil contoh baja yang digunakan ketika menanam pokok pisang.

Buah pisang halal dimakan. Tidak dikatakan buah pisang itu bernajis sebab subur dengan baja najis, tulis beliau.

Beliau juga menggemukakan contoh arak yang bertukar menjadi cuka; ataupun, bangkai yang bertukar menjadi garam ataupun tanah.

Dr Asri berkata Majlis Fatwa Eropah, al-Qaradawi, Wahbah al-Zuhaili dan lain-lain juga memberikan pandangan mereka tentang DNA babi yang terdapat secara meluas dalam makanan dan barangan di dunia ini sekarang.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2 | 3 | 4 | 5

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon