Monday, December 31, 2018

Perlukah Azam Baru Untuk Tahun Baharu?


Kita telah meninggalkan tahun ini dengan pelbagai kenangan pahit dan manis serta suka dan duka. Ada orang mengenang tahun sebelumnya sebagai tahun kejayaan, kecemerlangan dan kebahagiaan tetapi, ada pula orang yang mengenang tahun itu sebagai tahun kegagalan, kejatuhan dan kesedihan mereka.

Azam Tahun Baru

Sesungguhnya hidup hanya satu ujian Allah. Sesiapa yang berhijrah daripada gelap kepada terang, daripada hidup yang keladak kepada hidup yang jernih, daripada hidup bergelumang dengan kemaksiatan kepada hidup penuh ketakwaan dan daripada Allah benci kepada Allah reda, inilah orang yang benar-benar berhijrah.

Hadapi cabaran hidup dengan ketakwaan. Orang yang bijak ialah orang yang belajar daripada pengalaman kehidupannya.

Apa-apa yang berlaku ke atas diri ini, kita akan fikir apa yang boleh kita belajar dan apakah mesej yang Allah hendak sampaikan.

Biarlah perkara yang lepas berlalu sebagai kenangan dan panduan kehidupan, teruskan hidup memacu azam untuk tahun baharu dengan berfikir yang baik-baik, berusaha yang baik-baik dan dengan izin-Nya mendapat hasil kehidupan yang baik-baik.

Manusia menjalani kehidupan melalui dua cara kehidupan. Pertama, ada orang hidup ‘Dari dalam ke luar’. Kedua, ada orang hidup ‘Dari luar ke dalam’.

Hasil kehidupan kita akan ditentukan oleh fikiran – emosi – tindakan – keputusan.

Orang yang hidup ‘Dari luar ke dalam’, dia akan melihat keputusan dahulu (badan sakit, kereta rosak, duit hilang dan lain-lain – luar).

Dia akan reaktif (tanpa fikir terus bertindak). Orang begini akan suka merungut, mengeluh, menyalahkan dan menyesal.

Apabila emosi kita negatif bolehkah kita berfikir dengan waras? Tentu tidak boleh menjadi orang yang baik, kerana kita asyik menghabiskan masa dengan fikiran negatif dan dengan fikiran negatif itu kita tidak boleh berfikir positif.

Ingatlah, kita memang tidak boleh mengawal apa yang berlaku di luar, tetapi kita boleh kawal respon yang berlaku di luar. Respons itu datang dari dalam (minda dan hati).

Orang yang hidup ‘dari dalam ke luar’ akan mulakan dengan fikiran. Apa-apa yang berlaku difikirkan dahulu, dia memilih manakah tindakan baik yang perlu dilakukannya atas perkara yang terjadi kepadanya.

Dia akan mulakan dengan fikiran positif – emosi positif – tindakan positif dan akhirnya dia akan mendapat hasil kehidupan positif (Ketenangan, Kebahagiaan, Kesihatan dan Kewangan).

Tetapi, orang yang berjaya dan bahagia, apabila berlaku perkara negatif, dia tidak memikirkan apakah kesan terhadap perkara negatif yang berlaku itu, tetapi dia hanya fokus kepada apa yang patut dilakukannya untuk menghadapinya secara positif. Orang yang berjaya – dia yang memandu hidupnya.

Bayangkan sebuah kereta kuda, mesti ada lima elemen;
  • Pertama, kuda yang mempunyai lima pancaindera dan deria rasa.
  • Kedua, pemandu.
  • Ketiga, tali yang menghubungkan kuda dengan pemandu.
  • Keempat, tempat duduk penumpang kereta kuda.
  • Kelima, penumpang.

Kuda adalah lambang kepada ‘nafsu’; tidak berguna hidup kalau berkiblatkan nafsu kerana kita tidak fokus kepada tujuan. Kehidupan kita akan musnah!

Pemandulah yang mengawal kuda (nafsu) dengan menggunakan tali (pegangan/keimanan).

Kalau pemandu pula degil tidak mengikut arahan penumpang, kita tidak akan sampai ke tempat tujuan. Kalau sampai pun ke destinasi, kita akan lambat kerana perjalanan kita tidak mengikut laluan yang betul seperti permintaan penumpang.

Tempat penumpang kereta kuda itu lambang kepada ‘fizikal’ kita. Kalau tidak menjaga fizikal dengan baik, kita akan sakit dan hasil kehidupan kita juga menjadi tidak baik atau negatif.

Penumpang ialah lambang ‘iman’ dan ‘akal’. Dalam kehidupan ini untuk berjaya dunia dan akhirat jangan nafsu memandu hidup kita, biarlah iman dan akal yang menentukan arah tuju kita dengan menggunakan hati dan minda.

Jika minda kecil, nafsu tinggi, masalah akan menjadi besar. Orang yang minda besar, nafsu rendah, masalah akan menjadi kecil.

Oleh sebab itu, kalau kita ada azam pun biarlah azam yang memberatkan timbangan ke akhirat; yang tidak dipacu oleh nafsu tetapi yang dipimpin oleh minda.

Carilah syurga di hati dengan tingkatkan ketakwaan kepada Allah dengan penuh keazaman.

Setiap orang, apabila munculnya tahun baharu akan ada azam baharu ironinya, apabila berakhirnya tahun, masih banyak lagi azam tahun tersebut yang belum tercapai. Perkara yang sama berlaku setiap tahun dan ia sesuatu yang klise.

Apa kata, kita tidak perlu berubah dengan meninggalkan sifat negatif dan menjadi positif, dengan mengikut perubahan tahun baharu dan berdasarkan azam baharu.

Ini kerana setiap hari kita adalah orang baharu yang mesti mempunyai fikiran, idea dan semangat yang sentiasa segar.

Barulah kita menjadi seorang yang konsisten dari segi fizikal dan spiritual pada setiap masa; bukan hanya bersemangat pada awal tahun, dan semangat itu semakin menurun menjelang pertengahan tahun.

Lebih ironi lagi sampai penghujung tahun semangat itu terus hilang dan banyak azam yang tercicir di tengah jalan.

Yang penting dalam kehidupan ini betulkan fokus kita dan pastikan tujuan hidup kita serta lihat aktiviti kita ke arah mana? Adakah aktiviti kita seimbang antara tujuan dengan tindakan?

Contohnya, kita berazam hendak kurus, tujuan untuk sihat, untuk senang dan rajin beribadah, (lihat akhlak kita sama atau tidak dengan tujuan?).

Kalau kita hendak kurus, sebab stres takut suami tinggal dan mencari orang lain, bermakna keegoan kita tinggi dan keyakinan diri kita rendah.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: utusan

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon