Friday, July 06, 2018

Kenapa Golongan Kristian Evangelical Menyokong Jerusalem Sebagai Ibu Negara Israel?


Pada tahun 2016, semasa dalam perlumbaan untuk layak menjadi calon Presiden bagi parti Republican, Donald Trump pada mulanya dianggap tidak mampu memenangi undi mereka yang berfahaman kuat agama Kristian berbanding dengan lawannya ketika itu, Ted Cruz.

Kenapa Golongan Kristian Evangelical Menyokong Jerusalem Sebagai Ibu Negara Israel?

Melihat peluang untuk menang agak rendah, Donald Trump akhirnya berikrar akan menjadikan Jerusalem sebagai ibu negara Israel sekiranya dia berjaya menjadi calon Presiden parti Republican dan seterusnya Presiden Amerika Syarikat.

Hasil daripada ikrar tersebut, Donald Trump telah pun berjaya memenangi hampir 80% undi daripada golongan penganut Kristian evangelical, berbanding dengan calon lawannya dalam jawatan Presiden, Hillary Clinton.

HUBUNGAN JERUSALEM DENGAN KRISTIAN EVANGELICAL

Kita semua sudah tahu apa yang diumumkan oleh Donald Trump, bagaimanapun, tidak ramai yang mengerti mengapa pengumuman itu merupakan satu kemenangan besar pada golongan Kristian Evangelical.

Seorang pakar teologi bernama Dr. Diana Butler melalui laman Twitter, cuba menerangkan kesan tindakan Trump itu yang dilihat selari dengan kepercayaan kaum Kristian Evangelical.

Menurut beliau, golongan Kristian konservatif Evangelical sudah lama menunggu tibanya detik Jerusalem diangkat sebagai ibu negara Israel.

Ini kerana penganut berfahaman evangelical percaya tindakan ini perlu bagi mereka dapat menguasai beberapa lokasi penting di sana, bagi membolehkan pembinaan Temple kaum mereka bermula.

Pembinaan Temple ini dipercayai adalah detik permulaan kepada apa yang terkandung dalam Book of Revelations serta ramalan End of Times, yang mereka percayai akan berlaku.

Dr. Diana juga berkata penganut Kristian evangelical sudah terlalu lama menunggu peristiwa ini berlaku dengan ramai yang mahu perkara ini dipercepatkan.

Golongan ini dikatakan berharap berlakunya perang di Timur Tengah sebelum bermulanya apa yang dikatakan The Battle of Armageddon di mana Jesus Christ akan kembali ke bumi dan memusnahkan semua musuh Tuhan.

DONALD TRUMP SEBAGAI INDIVIDU YANG MEMENUHI RAMALAN

Dr. Diana Butler menyimpulkan bahawa bagi golongan Evangelical, apa yang berlaku ketika itu akan menjadi klimaks kepada sejarah peradaban mereka, sesuatu yang berkait dengan ramalan dalam kitab Bible.

Donald Trump bukan sahaja memenuhi ikrar beliau semasa berkempen, ikrar Trump sendiri dikatakan memenuhi ramalan kepercayaan mereka dari segi teologi.

Pandangan Dr. Diana Butler juga disokong oleh seorang pakar dari Virginia Tech Institute and State University, Professor Matthew Gabriele yang mempunyai kepakaran dalam bidang keganasan berunsurkan agama.

Beliau yang mengkaji unsur akhir zaman mengakui kenyataan Dr. Diana Butler benar dan berasas, berdasarkan kepercayaan golongan Kristian Evangelical.

Golongan Kristian Evangelical percaya dengan ramalan apa yang dikatakan kewujudan semula 'The Third Temple' selepas keruntuhan temple kedua yang berlaku pada tahun 70AD akibat serangan tentera Rom.

Semenjak itu, tidak wujud sebarang binaan temple dilakukan pada tapak asalnya.

Ramalan berkaitan The Third Temple ini wujud dalam bahagian Daniel, Matthew dan Revelations di dalam Bible serta dalam Epistle kedua Thessalonians dalam New Testament.

Menurut ramalan, mereka percaya pembinaan The Third Temple yang dikenali dengan nama 'Tribulation Temple' akan berlaku pada zaman Antichrist ketika dunia sedang menuju kemusnahan.

Selepas zaman tersebut, Jesus Christ akan naik menjadi pemerintah bumi selama 1000 tahun dan ramai penganut Kristian Evangelical mahukan perkara ini berlaku, secepat mungkin.

PERCANGGAHAN DI KALANGAN KRISTIAN EVANGELICAL SENDIRI

Bagaimanapun, bukan semua penganut Kristian Evangelical setuju dengan pendapat ini.

Seorang Professor bernama Gary M. Burge percaya penganut Kristian Evangelical boleh kekal dengan kepercayaannya dan menolak keputusan Donald Trump itu.

Dia yang juga seorang Kristian Evangelical, berpendapat tindakan Trump ini hanya akan mencetuskan huru-hara pada mereka yang terkesan dan mengkritik mereka yang mengaitkan Israel dalam Bible dengan Israel yang ada ketika ini, sebagai tidak berasas.

Menurut satu kajian yang dijalankan oleh Lifeway Research (pautan format PDF) berkenaan reaksi penganut Kristian Evangelical terhadap Israel, 69% percaya yang kaum Jewish mempunyai hak ke atas tanah Israel.

Sementara hanya 19% daripada mereka percaya orang Palestin mempunyai hak menuntut tanah di kawasan tersebut.

Apabila diselidik berkenaan pengaruh Bible ke atas pandangan mereka terhadap Israel, 52% daripada responden yang beragama Kristian Evangelical percaya kedudukan Israel sangat penting dalam memenuhi perkara-perkara yang telah diramal dalam kitab Bible.

Walaupun tidak dapat dinafikan Jerusalem adalah pusat kepada Israel lama yang diceritakan dalam kitab Bible, pandangan orang zaman dahulu tentang pusat atau ibu negara berbeza dengan apa yang kita amalkan sekarang.

Masyarakat Israel dulu kala mungkin hanya mempunyai satu bandar yang menempatkan istana dan tempat suci mereka, dengan hidup banyak berkisar di situ.

Bagaimanapun, kita tidak boleh menafikan peranan Jerusalem pada kehidupan rakyat Palestin.

Bahagian timur bandar itu merupakan tempat di mana penganut agama Islam atau Kristian tinggal.

Jerusalem atau Baitul Maqdis inilah di mana ditempatkan gereja serta masjid bagi kegunaan masyarakat yang menetap di situ.

Dari perspektif Islam pula, Baitul Maqdis merupakan bandar ketiga terpenting selepas Mekah dan Madinah kerana menjadi lokasi Masjid al-Aqsa, jadi tidak menghairankan tindakan Donald Trump ini mendapat tentangan kuat golongan beragama Islam, khasnya rakyat negara Palestin.

TINDAKAN TRUMP MENGUNDANG BENCANA

Kenapa Golongan Kristian Evangelical Menyokong Jerusalem Sebagai Ibu Negara Israel?

Menurut Professor Burge, kebanyakan pegawai kerajaan Amerika Syarikat yang percaya mengubah kedudukan kedutaan Amerika Syarikat satu tindakan bodoh, datang daripada mereka yang sudah hampir menamatkan perkhidmatan ataupun ditukarkan ke jawatan lain.

Professor Burge percaya hanya dengan meningkatkan suara bantahan dari kalangan mereka yang bekerja di sekeliling Donald Trump, barulah tindakan bantahan akan memberikan kesan.

Dikhuatiri kesan buruk tindakan ini mungkin sukar untuk dibaiki kemudian hari dan untuk itu, Professor Burge menyeru kepada golongan Kristian Evangelical supaya sama-sama membantah pendapat mereka yang taksub, mahu mempercepatkan kedatangan Jesus Christ.

Donald Trump dipercayai gemar mendengar pandangan Kristian Evangelical yang menjadi penasihatnya, jadi mereka yang mempunyai kesedaran perlu memegang tanggungjawab untuk menyedarkan Trump.

Bukan semua ramalan dalam kitab Bible perlu diambil secara literal tanpa mempedulikan pandangan yang berbeza, kata Professor Burge.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon