Friday, December 21, 2018

Berkat Membaca Al-Quran Yang Menakjubkan

Berkat Membaca Al-Quran Yang Menakjubkan

Ada seorang guru yang berpesan kepada anak muridnya, "Jangan engkau tinggalkan membaca Al-Quran, kerana semakin banyak engkau membacanya, engkau akan mendapati urusanmu akan bertambah mudah."

Berkat Membaca Al-Quran

Lalu anak murid itu mengikut apa yang dinasihatkan oleh gurunya, pada permulaan dia hanya mampu membaca 3 juz Al-Quran sehari.

Kemudian, dari hari ke hari jumlah helaian yang mampu dibacanya bertambah dan dia mendapati urusannya semakin dipermudahkan oleh Allah.

Lalu dia bertanya kepada gurunya, "wahai guru, aku mendapati jumlah helaian Al-Quran yang mampu aku baca semakin meningkat, sedangkan aku seorang yang sibuk dengan pekerjaanku."

Maka gurunya berkata, "waktu seharianmu menjadi berkat, kerana banyaknya engkau membaca Al-Quran, engkau terasa seakan-akan mampu melakukan banyak urusan walaupun waktu engkau singkat."

Subhanallah.

Melalui kisah tadi sudah membuktikan bahawa, apabila kita membaca Al-Quran waktu kita menjadi lebih berkat.

Secara logiknya, bila kita membaca banyak helaian al-Quran, ia akan mengambil masa yang lama bukan? Mesti hanya sedikit waktu yang berbaki, sehingga kita hanya mampu melakukan hanya sedikit urusan lain.

Tetapi, semakin banyak al-Quran kita baca, kita akan mendapati semakin banyak pula urusan yang mampu kita lakukan.

Bukan kerana waktu 24 jam itu bertambah, tetapi kerana berkatnya waktu dan kerana urusan kita dipermudahkan oleh Allah Sang Penjaga masa kita.

Rasulullah SAW bersabda; "Barangsiapa yang bangun di pagi hari, dan hanya dunia yang difikirkan olehnya, sehingga seolah-olah ia tidak melihat hak Allah keatas dirinya, maka Allah akan menanamkan 4 penyakit padanya:
  • Kebingungan yang tiada putusnya.
  • Kesibukan yang tidak ada hujungnya.
  • Keperluan yang tidak pernah merasa cukup.
  • Angan-angan yang tiada penghujungnya.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Thursday, December 20, 2018

Kenapa Enjin Diukur Dengan Kekuatan Unit 'Kuasa Kuda'?

Kenapa Enjin Diukur Dengan Kekuatan Unit 'Kuasa Kuda'?

Bagi peminat jentera-jentera pantas, antara perkara yang mereka akan kerap sebutkan adalah berkenaan istilah kuasa kuda atau 'horsepower', dengan singkatan yang biasa kita gunakan adalah 'hp. dan pernahkah anda terfikir mengapa 'kuasa kuda' digunakan sebagai unit ukuran standard kuasa enjin?

Enjin kuasa kuda

Jika anda membayangkan pasti ada kaitan dengan kuda, ya memang betul telahan anda itu. Persoalannya, mengapa kuda yang digunakan?

Sejarah awal kuasa kuda

Pada awal abad ke 18, kejayaan mencipta enjin stim membolehkan orang ramai mula menggantikan kuda yang sebelum itu digunakan sebagai pemacu atau penggerak peralatan, seperti alatan pertanian dan pengangkutan.

Pelbagai soalan timbul dari kalangan masyarakat berkenaan kemampuan enjin stim berbanding kuda, yang ketika itu sudah serasi dengan kerja-kerja mereka.

Benarkah enjin stim dapat menggantikan kerja kuda dan berapakah kemampuan enjin stim berbanding kudrat kuda yang sudah terbukti mampu membantu mereka?

Pelbagai usaha cuba dibuat bagi membantu menjelaskan isu ini kepada orang ramai. Hampir 50 tahun penggunaan enjin stim jenis terawal yang digelarkan enjin stim Newcomen digunakan tanpa ada satu pihak pun berjaya menyelesaikan masalah ini.

Seorang usahawan dan pencipta Scotland bernama James Watt berjaya memperkenalkan penambahbaikan terhadap enjin Newcomen dengan enjinnya sendiri, enjin stim Watt yang diperkenalkan pada tahun 1776.

Berdepan masalah serupa kerana kesukaran mahu memasarkan produknya dengan penerangan tentang kemampuan sebenarnya yang mudah difahami, James melakukan beberapa siri eksperimen untuk cuba menjawab ketidak fahaman orang ramai.

Konsep pengiraan kuasa kuda

Wujud satu kisah yang menceritakan mengapa James mencipta unit kuasa kuda. Selepas memperkenalkan enjin stim versi beliau kepada awam, datang seorang pelanggan berminat mahu menggunakan enjin tersebut di premis perniagaannya pada tahun 1782.

Ahli perniagaan itu adalah seorang pembuat arak, mahu memastikan mesin James mampu mengatasi kemampuan kuda-kuda yang dia gunakan setiap hari untuk mengisar gandum.

Bagi memastikan kebenarannya, James dipinjamkan dengan kuda terkuat dimiliki ahli perniagaan itu untuk melakukan perbandingan.

Dengan kuda tersebut, James mendapat anggaran seekor kuda mampu memusing roda pengisar gandum sebanyak 144 kali dalam satu jam.

Mengambil kira diamater roda itu, James melakukan pengiraan dan mendapat formula terawal yang menyamakan satu kuasa kuda bersamaan dengan 33,000 ft-lbf/min (foot pound force per minute).

Ini bermakna pengiraan James menganggap seekor kuda yang baik mampu mengangkat 33,000 pound (14,968 kg) dalam jarak 1 kaki dalam tempoh 1 minit. Dari situlah konsep 1 kuasa kuda mula digunakan.

James akhirnya mengambil keputusan membina mesin yang mempunyai kemampuan melebihi ukuran satu kuasa kuda yang dianggarkan itu, bagi membuktikan kekuatan enjin stimnya.

James Watt bukan orang pertama

Walaupun sehingga kini nama James Watt disebut sebagai individu yang memperkenalkan konsep kuasa kuda pada dunia, idea yang sama sebenarnya sudahpun cuba dibuktikan oleh beberapa individu lain sebelum James.

Thomas Savery, seorang jurutera dan pencipta Inggeris pernah menulis pada tahun 1702 berkenaan ideanya membandingkan kekuatan enjin stim ciptaannya dengan kemampuan beberapa ekor kuda, dengan menyamakan kapasiti enjinnya mampu menggantikan lapan, sepuluh atau lima belas ekor kuda serentak.

Jurutera sezaman beliau seperti John Smeaton pernah cuba melakukan pengiraan kemampuan seekor kuda dan mendapat hasil 22,916 ft-lbf/min, John Desaguliers mencadangkan 44,000 ft-lbf/min dan Thomas Tredgold 27,500 ft-lbf/min.

Pengiraan yang dilakukan oleh James Watt tidak banyak jauh bezanya dengan apa yang ditemui mereka, dengan nilai asal 32,400 ft-lbf/min dibundarkan kepada 33,000 bagi mewujudkan standard yang lebih mudah difahami semua.

Berikutan pengaruhnya kepada dunia penciptaan zamannya serta populariti enjin stim ciptaannya yang banyak memperbaiki kelemahan enjin stim generasi terdahulu, cadangan James Watt diterima dan konsep satu unit kuasa kuda yang dicadangkan beliau, terus digunakan untuk mengukur kekuatan sesebuah enjin sehingga kini.

KUASA KUDA BUKAN PENENTU KELAJUAN KERETA

Mesin Kuasa Kuda

Pertama, mari kita fahami dahulu beberapa definisi pantas mengenai tork (Nm) dan kuasa kuda (hp).

Dalam spesifikasi automotif, TORK ialah daya kilasan atau pusingan, manakala KUASA KUDA pula ialah seberapa pantas daya kilasan itu digunakan. Contohnya, memasang dan membuka nat tayar kereta menggunakan pemutar tayar (wheelbrace) dan pistol detar (rattle gun).

Faktanya, kedua-dua alatan itu menghasilkan tork yang sama untuk memasang dan membuka nat tayar tetapi, pistol detar dikatakan lebih berkuasa kerana kemampuan melakukan tugas memasang dan membuka nat tayar dengan pantas.

Banyak tork pada kelajuan putaran perlahan memberikan anda sejumlah kuasa yang menyamai kurang tork pada kelajuan putaran tinggi. Agak rumit bukan?

Isunya, pemahaman ukuran kuasa dan tork sebenarnya mudah sahaja, tetapi diberikan perhatian lebih setiap kali kita membuat perbandingan sesama kereta di pasaran.

Walhal, itu cuma menyentuh beberapa isu rumit di atas dan ada banyak perkara lain yang perlu diambil kira selain pengajaran fizik. Contohnya, ramai orang berminat dengan kuasa disebabkan pecutan.

Sebenarnya, apa perlu anda tahu ialah berat kenderaan yang memberikan kesan besar kepada seberapa pantas sesuatu kelajuan itu dihimpun.

Penggearan juga menjadi faktor besar, di mana keluk kuasa dan tork enjin berbeza daripada output puncak yang menjadi judul utama dan angka yang kerap dipetik pengeluar.

BAGAIMANA MENILAI PRESTASI?

Kiraan Kuasa Kuda

Jika anda berminat dengan pecutan, lihatlah pada angka 0-100kmj dan bukan kuasa atau kuasa kuda (hp). Ia seperti membaca nilai nutrisi yang anda dapat ketika makan sekeping sandwic dan bukan menganalisis sama ada gandum itu baru dituai atau tidak, yang digunakan untuk menghasilkan roti sandwic tersebut.

Maknanya, baru atau lama gandum yang dituai sebenarnya tidaklah penting berbanding nilai nutrisi dalam sandwic. Samalah seperti pecutan sesebuah kereta yang tiada kena mengena dengan kuasa kuda semata-mata.

Atau anda mungkin berminat dengan kuasa disebabkan kelajuan maksimum? Sudah tentu kuasa menjadi faktor utama, tetapi aerodinamik juga memainkan peranan besar.

Apabila anda menggandakan kelajuan, anda sedang meningkatkan empat kali seretan (drag) dan apabila meningkatkan kelajuan sebanyak tiga kali ganda, anda sebenarnya sudah melakukan enam kali seretan!

Bukankah kereta berkuasa 402hp sepatutnya mempunyai dua kali ganda kelajuan maksimum kereta 201hp? Tetapi rata-rata kelajuan maksimum ditulis lebih kurang sama sahaja bukan?

Menariknya, berat jarang menjadi isu besar apabila menilai perihal kelajuan maksimum walaupun kereta kita agak perlahan untuk mencapai tahap kelajuan maksimum.

Apa yang dipedulikan ialah kelajuan maksimum itu dapat dicapai juga akhirnya. Lambat atau perlahan sudah tidak penting. Sedangkan dalam dunia nyata, kereta berat dengan kelajuan maksimum tertinggi mungkin lebih perlahan berbanding kereta yang mampu memecut pantas dengan kelajuan maksimum rendah. Dalam pemahaman lain, kereta berkelajuan maksimum 200kmj boleh saja lebih perlahan berbanding kereta berkelajuan maksimum 160kmj.

Jadi, kuasa bukanlah jawapan muktamad bagi pecutan atau kelajuan maksimum. Hakikatnya, pecutan adalah tentang tork.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Catriona Gray, Ratu Cantik Filipina Dinobat Miss Universe 2018

Catriona Gray, Ratu Cantik Filipina Dinobat Miss Universe 2018

Ratu cantik dari Filipina, Catriona Gray, membanggakan negaranya apabila dinobatkan sebagai Miss Universe 2018 sekali gus menewaskan 93 peserta lain untuk gelaran itu tahun ini. Berkerjaya sebagai penyanyi pop dan model, Catriona adalah jelitawan keempat Filipina yang pernah merangkul gelaran Miss Universe.

Miss Universe 2018

Catriona, 24, dimahkotakan oleh Miss Universe 2017, Demi Leigh Nel-Peters, dari Afrika Selatan, di majlis yang penuh meriah di Bangkok, Thailand.

Dia adalah peserta yang menjadi kegemaran di media sosial, memenangi gelaran Miss Universe 2018 selepas menambat hati juri semasa di peringkat awal dengan gerakan "slow-mo twirl" atau juga dikenali sebagai “lava-wallk.”

Tempat kedua pula dimenangi peserta dari Afrika Selatan, Tamaryn Green, manakala peserta dari Venezuela, Isabella Rodríguez terpaksa berpuas hati di tempat ketiga.

Tran Tieu Vy dari Vietnam dan Kiara Ortega (Puerto Rico) pula masing-masing di tempat keempat dan kelima.

Miss Universe 2018

Peserta tuan rumah Sophida Kanchanarin berjaya memasuki senarai 10 teratas namun tidak berjaya mara ke peringkat seterusnya.

Menjelang peringkat akhir, bahang persaingan daripada penyertaan seorang peserta Sepanyol, Angela Ponce ternyata mengundang perhatian ramai.

Buat pertama kali dalam sejarah pertandingan Miss Universe, Angela - seorang transgender - dibenarkan bersaing untuk merebut gelaran itu.

“Saya bertanding kerana inilah perkara yang saya ingin lakukan sejak kecil.

"Saya ingin menunjukkan kepada semua transgender boleh jadi apa yang mereka mahu sama ada seorang guru, ibu, doktor ahli poltik atau Miss Universe,” katanya.

Miss Universe 2018
Angela Ponce.

Namun, malang untuk Angela, dia gagal untuk masuk ke kedudukan 20 teratas.

Miss Universe tahun ini adalah edisi ke-67 dan dihoskan pelawak serta personaliti televisyen AS, Steve Harvey.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

10 Pekerjaan Berisiko Tinggi Menyebabkan Kemurungan

10 Pekerjaan Berisiko Tinggi Menyebabkan Kemurungan

Menurut Dr. Deborah Legge, seorang kaunselor kesihatan mental dari Buffalo, Amerika Syarikat, ada beberapa aspek dalam setiap pekerjaan yang boleh menyumbang kepada kemurungan atau membuatkan penyakit itu bertambah buruk.

Pekerjaan Berisiko Tinggi

Berikut adalah 10 bidang kerjaya (daripada 21 kategori utama kerjaya) di mana para pekerjanya mempunyai risiko dan kebarangkalian tinggi untuk menghadapi kemurungan.

1. Pekerja pusat penjagaan (warga emas/kanak-kanak)

Pekerja di rumah atau pusat penjagaan mengungguli carta di mana hampir 11% daripada mereka yang berkecimpung dalam bidang ini melaporkan menghadapi kemurungan yang kronik.

Dr. Christopher Willard iaitu seorang pakar psikologi klinikal dari Tufts University memberitahu, tugas harian mereka di tempat kerja termasuklah memberi makan, memandikan dan menjaga orang lain yang "tidak mampu mengucapkan rasa berterima kasih atau memberikan penghargaan disebabkan mereka terlalu tua atau terlalu muda."

Keadaan ini membuatkan seseorang sangat tertekan kerana tidak banyak peneguhan positif diterima dari persekitaran.

Walau bagaimanapun, usah khuatir untuk memilih kerjaya-kerjaya ini jika anda berminat melakukannya atau cenderung ke arahnya.

Menurut Dr. Deborah, anda mampu mengawal kerjaya bertekanan tinggi ini jika anda sentiasa menjaga diri dengan baik dan cuba dapatkan bantuan yang sewajarnya.

Bagi pembaca yang sering berurusan dengan individu yang tergolong dalam kategori kerjaya ini, cubalah sesekali senyum dan ucapkan terima kasih sebagai tanda penghargaan.

2. Pekerja khidmat makanan

Pelayan di restoran atau kedai makan kebiasaannya menerima gaji yang tidak begitu tinggi dan perlu bekerja dengan teruk sambil terpaksa melayani pelbagai kerenah pelanggan tanpa henti-henti. Dilaporkan sekitar 10% pekerja dalam sektor ini menghadapi kemurungan kronik.

Dr. Legge menyatakan yang kerjaya ini jarang menerima ucapan terima kasih. Hal ini mungkin disebabkan pelanggan sendiri mengharapkan pelayan mengucapkan terima kasih kepada mereka.

Tidak dilupakan ada juga pelanggan yang selalu bersikap kasar dan biadap terhadap para pelayan. Apabila anda menggunakan banyak tenaga semasa bekerja ditambah dengan tekanan emosi sedemikian, agak sukar untuk mempunyai tenaga positif dan motivasi dalam diri.

3. Pekerja sosial

Pekerja sosial perlu berhadapan dengan pelbagai masalah luar seperti kanak-kanak yang didera atau keluarga yang sedang menghadapi krisis.

Persekitaran yang sedia ada negatif itu ditambah buruk pula dengan kerenah birokrasi yang sering menyulitkan keadaan.

Ada sejenis budaya kerja yang menyatakan jika anda ingin melakukan sesuatu kerja dengan baik, anda perlu bekerja dengan keras dan sentiasa membuat pengorbanan.

Disebabkan pekerja sosial sering dikelilingi mereka yang kurang bernasib baik, ia agak sukar untuk berhati keras dengan tidak banyak berkorban.

Golongan ini kerap dan amat mudah mengalami sindrom burnout (keletihan fizikal, emosi dan mental) akibat menerima tekanan berunsur negatif secara berpanjangan.

4. Pekerja bidang penjagaan kesihatan

Kategori ini termasuklah doktor, jururawat, ahli terapi dan pelbagai profesion lain yang melibatkan golongan yang "sentiasa memberi khidmat" sehingga diri sendiri terabai.

Pekerja dalam sektor ini sering mempunyai waktu bertugas yang panjang dan tidak menentu.

Adakalanya ke tandas pun tidak punya masa. Diselang-selikan pula dengan saat-saat genting di mana nyawa manusia lain berada dalam tangan mereka.

Kesimpulannya, tahap tekanan pekerja bidang penjagaan kesihatan adalah sangat tinggi. Mereka perlu berhadapan dengan pelbagai jenis sakit, trauma dan kematian. Tidak dilupakan mereka perlu berurusan dengan ahli keluarga pesakit yang meninggal dunia.

Kesemua faktor ini boleh menyumbang kepada kemurungan kerana ia boleh membuatkan minda mereka tertumpu kepada ruang lingkup pemikiran yang kecil bahawa dunia ini adalah suatu tempat yang sangat menyedihkan.

5. Karyawan (artis, penghibur, penulis)

Kerjaya dalam bidang ini kebiasaannya mempunyai pendapatan yang tidak tetap, masa kerja yang tidak menentu selain sering bersendirian mengasingkan diri daripada orang ramai.

Golongan kreatif seumpama ini juga mempunyai kadar gangguan mood yang tinggi iaitu sekitar 9% kes kemurungan yang dilaporkan.

Bagi orang lelaki, inilah kategori kerjaya yang membuatkan mereka berisiko tinggi untuk menghadapi episod kemurungan kronik.

Selama tempoh 25 tahun merawat pesakit dengan masalah kesihatan mental, Dr. Legge mendapati satu lagi penyakit yang sering terjadi pada penghibur dan artis adalah kecelaruan bipolar.

6. Perguruan

Beban kerja guru pada hari ini bukanlah seperti 20-30 tahun yang lalu. Guru kini bukan sahaja terlibat dalam sesi pembelajaran dan pengajaran semasa waktu sekolah, malah mereka juga perlu membawa pulang lambakan kerja untuk disiapkan di rumah selain terlibat dengan pelbagai rancangan serta aktiviti yang membabitkan pelajar.

Ditambah dengan ketiadaan bajet dari pihak atasan untuk menyediakan bahan pengajaran sewajarnya untuk anak-anak murid, mereka pula terpaksa berkorban wang poket sendiri semata-mata ingin melihat pelajar cemerlang dan berjaya.

Golongan akademik ini perlu berhadapan dengan pelbagai tekanan - melayani kerenah pelajar seramai 30-40 orang setiap kelas, memenuhi kehendak ibu bapa dan pada masa yang sama perlu mencapai sasaran serta standard yang ditetapkan pihak sekolah.

Tidak cukup dengan itu, apabila dibuka media sosial, dibaca pula pelbagai kecaman dan kata-kata kesat yang dilontarkan kepada mereka.

Hal-hal seperti ini boleh menyebabkan para guru sukar melakukan tugas mereka dengan sempurna sehinggakan terlupa apa tujuan utama mereka menyertai bidang kerjaya ini.

7. Pekerja sokongan pentadbiran

Pekerja dalam sektor ini boleh menderita akibat permintaan yang tinggi dan ketiadaan kawalan.

Mereka sering berada di barisan hadapan dan menerima pelbagai arahan dari semua arah serta dari semua peringkat.

Walau bagaimanapun, mereka sendiri merupakan pekerja peringkat bawahan yang tidak mempunyai kuasa untuk 'menepis' atau 'mengawal' arahan-arahan ini.

Selain terpaksa melayan pelbagai kerenah manusia yang ingin berlagak seperti seorang bos, kerjaya dalam bidang ini juga kurang diberikan penghargaan atas segala tugas yang disempurnakan (walaupun tugas-tugas itu telah memudahkan hidup orang lain).

8. Pekerja pembinaan dan penyelenggaraan

Tiada siapa yang suka jika mereka hanya dipanggil apabila terjadi sesuatu masalah. Namun, itulah yang perlu dihadapi oleh pekerja penyelenggaraan hampir setiap hari.

Mereka juga perlu bekerja pada masa yang tidak menentu, tidak mengira musim atau cuti dan seringkali perlu bekerja malam.

Bayaran yang diterima juga kebiasaannya dilaporkan tidak setimpal kerana tugas mereka adalah 'membersihkan tahi' yang orang lain lakukan.

Kerjaya ini juga mempunyai kadar keluar masuk pekerja yang tinggi. Situasi pekerja saling silih berganti ini menyebabkan mereka sering terpinggir. Persekitaran tempat kerja seperti ini boleh membahayakan kesihatan mental seseorang.

9. Akauntan dan penasihat kewangan

Tekanan. Tekanan. Tekanan. Kebanyakan orang tidak suka menguruskan wang simpanan atau akaun pelaburan sendiri kerana ia melibatkan nombor dan pelbagai kemungkinan yang sukar dibaca.

Jadi, bolehkah anda bayangkan jika anda menguruskan akaun bernilai ribuan atau jutaan ringgit yang dimiliki orang lain?

Ia merupakan satu tanggungjawab besar yang perlu digalas kerana melibatkan perihal kewangan orang lain dan pada masa yang sama ketiadaan kuasa untuk mengawal pasaran ekonomi.

Selain diselubungi rasa bersalah apabila klien mengalami kerugian, mereka mungkin terpaksa berhadapan dengan jeritan, cacian dan pelbagai ugutan.

10. Bidang jualan

Ramai jurujual yang memperolehi pendapatan mengikut komisyen. Ini bermakna, anda tidak tahu bilakah bayaran berikutnya akan dimasukkan ke akaun anda.

Mereka perlu bergerak ke sana ke mari dan adakalanya terpaksa berjauhan dengan rumah, keluarga dan rakan-rakan.

Jika mereka bekerja sendiri, faedah yang diterima juga agak terhad. Apabila diambil kira kesemua faktor ini, suasana kerja dalam sektor jualan boleh menjadi punca kepada tercetusnya kemurungan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Wednesday, December 19, 2018

Apa Sebenarnya Punca Penyakit Darah Tinggi?

Apa Sebenarnya Punca Penyakit Darah Tinggi?

Tekanan darah adalah pengiraan daya darah yang menolak dinding saluran darah. Jantung akan mengepam darah ke dalam saluran darah, yang membawa saluran darah ke seluruh badan.

Penyakit Darah Tinggi

Jika anda tidak tahu, hipertensi adalah nama lain untuk tekanan darah tinggi. Ia adalah berbahaya kerana menjadikan jantung berfungsi lebih keras untuk mengepam darah ke tubuh dan menyumbang kepada pengerasan arteri, strok, penyakit buah pinggang dan kegagalan jantung.

Ramai yang tidak tahu bahawa Hipertensi ini juga tergolong sebagai “pembunuh senyap” (silent killer).

Ia sering tidak menunjukkan sebarang tanda atau gejala dan ramai masih tidak menyedari mereka sebenarnya menghidapi penyakit hipertensi.

Apakah Bacaan Tekanan Darah Normal?

Bacaan tekanan darah yang normal adalah 120/80 dan ianya dibaca sebagai 120 per 80. Nombor di bahagian atas dipanggil sebagai sistolik dan nombor dibawah dipanggil diastolik.

Berikut adalah lingkungan tahap tekanan darah.
  • Normal: Kurang daripada 120, lebih 80 (120/80).
  • Meningkat: 120-129 / kurang daripada 80.
  • Tahap 1 tekanan darah tinggi : 130-139 / 80-89.
  • Tahap 2 tekanan darah tinggi : 140 dan ke atas / 90 ke atas.
  • Krisis tekanan darah tinggi : lebih tinggi daripada 180 / lebih tinggi daripada 120.

Apakah Punca Tekanan Darah Tinggi?

Jantung adalah otot yang mengepam darah ke seluruh badan. Darah yang mempunyai tahap oksigen yang rendah dipam ke arah paru-paru di mana bekalan oksigen diisi semula.

Darah yang kaya oksigen kemudiannya dipam oleh jantung ke seluruh badan untuk membekalkan otot dan sel. Mengepam darah akan menghasilkan tekanan.

Sekiranya seseorang mempunyai tekanan darah tinggi, bermakna dinding arteri menerima terlalu banyak tekanan secara berterusan. Penyebab hipertensi sering tidak diketahui.

Faktor Tekanan Darah Tinggi Berlaku

Penyempitan Arteri: Penambahan usia menyebabkan tekanan darah meningkat kerana arteri menjadi lebih keras dan sempit terutamanya di jantung, otak dan buah pinggang.

Penyakit buah pinggang kronik atau ‘Chronic Kidney Disease’ (CKD) adalah penyebab utama tekanan darah tinggi kerana buah pinggang tidak menapis cecair dan lebihan cecair ini akan membawa kepada tekanan darah tinggi.

Keadaan kesihatan yang sedia ada iaitu penyakit kardiovaskular, penyakit kencing manis, penyakit ginjal kronik, dan paras kolestral tinggi boleh menyebabkan hipertensi terutamanya apabila usia semakin tua.

Risiko adalah sama bagi lelaki mahupun perempuan, tetapi lelaki lebih mudah menderita hipertensi pada usia yang lebih muda namun, kecenderung lebih tinggi kepada wanita yang lebih berusia.

Beberapa punca lain yang mungkin menyebabkan hipertensi adalah:
  • Merokok.
  • Berat badan berlebihan atau obese.
  • Kurang aktiviti fizikal.
  • Pengambilan garam berlebihan.
  • Pengambilan alkohol berlebihan (melebihi 1 ke 2 minuman sehari).
  • Tekanan atau stres.
  • Genetik.

Apakah Tanda-Tanda Awal Tekanan Darah Tinggi?

Tahukah anda bahawa pola tekanan darah akan mengalami proses naik dan turun. Tekanan darah akan meningkat pada waktu tengah hari dan akan mencapai tahap terendah pada tengah malam.

Tekanan darah tinggi boleh diketahui melalui beberapa tanda seperti berikut:

1. Sakit kepala

Sakit kepala merupakan gejala paling umum dirasakan oleh penderita tekanan darah tinggi, biasanya berlaku secara mendadak dan tiba-tiba.

Oleh sebab itu, sekiranya anda mengalami sakit kepala tanpa sebab yang jelas, kemungkinan besar, ini adalah tanda-tanda anda mengalami tekanan darah tinggi.

Namun ramai dalam kalangan kita yang tidak sedar dan menganggap sakit kepala hanya disebabkan oleh kepenatan tubuh badan.

2. Mual dan muntah

Tanda penyakit tekanan darah tinggi seterusnya ialah mual dan muntah. Simptom ini kadang kala disalah maksud dengan gangguan pencernaan dalam perut dan juga akibat salah makan.

Namun, jika anda mengalami masalah ini, anda harus segera mendapatkan rawatan lanjut.

3. Pandangan kabur

Tekanan darah tinggi boleh menyebabkan gangguan penglihatan atau lebih tepatnya pandangan menjadi kabur.

Simptom ini biasanya akan datang secara bersamaan dengan munculnya gejala mual dan muntah.

Gangguan penglihatan ini muncul sebagai akibat terganggunya sirkulasi darah yang menuju ke bahagian mata dan juga saraf penglihatan.

Jika anda mengalami gejala ini disertai dengan gejala mual dan muntah maka sebaiknya anda segera melakukan pemeriksaan lanjut.

4. Sesak nafas

Sekiranya anda sudah mengalami sesak nafas, ini menandakan tekanan darah tinggi yang sudah kronik. Sesak nafas berpunca daripada jantung akibat tekanan darah tinggi.

Tekanan darah tinggi akan mengganggu pembuluh darah arteri sekali gus mempercepat denyutan jantung. Ini secara tidak langsung memberi kesan kepada jantung.

5. Hidung berdarah

Hidung berdarah merupakan satu daripada simptom tekanan darah yang tinggi. Sekiranya anda mengalami pendarahan pada hidung yang sukar untuk berhenti, maka anda perlu segera melakukan pemeriksaan kesihatan.

Anda perlu mengenal pasti punca berlakunya hidung berdarah kerana ia mungkin berpunca daripada pembuluh darah pecah di beberapa bahagian badan.

6. Kebas

Kebas merupakan salah satu daripada tanda bahawa anda mempunyai tekanan darah yang tinggi.

Kebiasaannya, tekanan darah tinggi menyebabkan pengaliran darah menjadi laju ke dalam tubuh sehingga menyebabkan rasa kebas.

Sekiranya anda sering merasa kebas-kebas di bahagian sendi, tangan dan juga kaki, anda perlu membuat rawatan lanjut.

Simptom ini juga merupakan tanda awal strok yang berpunca daripada hipertensi.

4 Cara Bagaimana Mengatasi Tekanan Darah Tinggi

Tekanan darah tinggi dapat dikawal dengan pelbagai cara antaranya termasuklah perubahan diet, pengambilan ubat dan senaman.

Walaupun tekanan darah dapat dikawal melalui diet, namun terdapat pelbagai cara mudah untuk diamalkan sendiri di rumah dan anda tidak perlu membuat pemeriksaan di hospital dan klinik.

Walau bagaimanapun, anda harus sentiasa memeriksa tekanan darah anda dan memberi perhatian kepada beberapa cara mengatasi tekanan darah tinggi.

1. Senaman fizikal harian

Doktor menyarankan pesakit yang mengalami tekanan darah tinggi untuk melakukan senaman ringan sekurang-kurangnya 30 minit.

Seperti yang kita sedia maklum, badan yang lemah dan kurang aktiviti akan menyebabkan sistem badan semakin lemah.

Dan ini akan membawa kepada berlakunya penyakit tekanan darah tinggi malah akan mengundang kemudaratan yang membawa kepada permasalahan yang lain.

2. Pengurangan tekanan

Tekanan bermula dari proses dalam tubuh yang membuat jantung anda berdenyut lebih cepat dan meningkatkan tekanan darah anda.

Oleh itu, mengawal tekanan dapat membantu memastikan kestabilan darah agar berjalan lancar dan sedikit sebanyak dapat mencegah dari berlakunya tekanan darah tinggi.

Anda juga dapat mengawal tekanan darah dengan mengamalkan latihan pernafasan secara perlahan.

Melalui senaman ini, anda akan menghantar isyarat bagi menenangkan sistem saraf anda yang membantu mengurangkan tekanan darah tinggi.

3. Tidur awal

Pastikan anda mendapatkan kualiti tidur malam yang mencukupi. Badan kita memerlukan tidur sekurang-kurangnya 4 hingga 5 jam bagi merehatkan tubuh badan yang bekerja dia siang hari.

Semua orang tahu bahawa jika badan mendapat rehat yang mencukupi, anda pasti dapat menjalani hidup dengan normal dan juga mengurangkan risiko berlakunya tekanan dalam darah.

4. Ubat-ubatan

Sekiranya anda masih tidak mampu mengawal tekanan darah dari meningkat, anda boleh mengambil ubat-ubatan bagi tujuan merawat.

Ubat-ubatan seperti vitamin tambahan bagi meningkatkan kesegaran tubuh badan dapat membantu proses untuk merawat tekanan darah tinggi daripada menjadi semakin parah.

Peringatan, jangan tunggu sehingga gejala timbul kerana ia mungkin telah terlambat.

KOMPLIKASI

Tekanan darah yang tinggi akan mengakibatkan bebanan kepada organ-organ dalam badan dan boleh menyebabkan kerosakan.

Di antara komplikasi/kesan akibat penyakit Hypertensi/Tekanan Darah Tinggi adalah seperti:

Otak:
  • Serangan Stroke/Angin Ahmar atau Stroke ringan dan sementara (Transient Ischaemic Attack).

Penyakit jantung seperti:
  • Coronary Heart Disease
  • Congestive Heart Failure
  • Left Ventricular Hypertrophy

Komplikasi pada mata:
  • Perdarahan dan kerosakan kepada kawasan yang sensitif dalam mata.
  • Keadaan yang dikenali sebagai Hypertensive Retinopathy.

Komplikasi pada buah pinggang:
  • Kegagalan fungsi buah pinggang (paras serum kreatinin tinggi, Microalbuminuria, Proteinuria).
  • Peripheral vascular disease seperti Aneurysm.
  • Kehilangan satu atau lebih denyut nadi.

RAWATAN

Hypertensi/Tekanan Darah Tinggi Peringkat 1
  • Rawatan tanpa ubatan adalah rawatan utama.
  • Anda perlu mengubahsuai gaya hidup.
  • Amalkan pemakanan sihat.
  • Kurangkan pengambilan garam dan kolesterol dalam makanan.
  • Lakukan aktiviti fizikal yang teratur.
  • Kurangkan berat badan jika berlebihan.
  • Atasi tekanan secara berkesan.
  • Berhenti merokok.
  • Periksa semula tekanan darah anda mengesahkan tiada Hypertensi/Tekanan Darah Tinggi.
  • Jika anda disahkan mengidap Hypertensive/Darah Tinggi, sila ikut nasihat yang diarahkan.
  • Dapatkan keterangan lanjut berkaitan Hypertesion/Tekanan darah tinggi.

Hypertensi/Tekanan Darah Tinggi Peringkat 2:
  • Gabungan rawatan tanpa ubatan beserta pemberian ubatan diperlukan bagi merawat Hypertensi/Tekanan Darah Tinggi Peringkat 2.
  • Amalkan gaya hidup sihat.
  • Berhenti merokok.
  • Mematuhi pengambilan ubat dan rawatan susulan.
  • Pengesanan komplikasi terutamanya:
  • Jantung.
  • Ginjal.
  • Mata.

Hypertensi/Tekanan Darah Tinggi Peringkat 3:
  • Rawatan dengan pemberian ubatan.
  • Kurangkan pengambilan garam dan kolesterol dalam makanan.
  • Dapatkan keterangan lanjut dari doktor
  • Hypertensi sistolik sahaja.
  • Rawatan dengan pemberian ubatan jika BP ≥ 160/100.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: policystreet

Aku Penat Melayan Kerenah Manusia

Aku Penat Melayan Kerenah Manusia

Dalam menempuh pancaroba dunia, ramai yang terhenti di tengah lara, berlumba-lumba mengejar yang tiada guna, ramai yang lupa dan alpa siapa diri sebenarnya.

Kerenah Manusia

Terkadang aku penat dengan segala kerenah manusia, sering tertanya mahu apa sebenarnya, tidak cukupkah rezeki yang melimpah, nikmat yang sentiasa ada, walhal tinggal di dunia cuma sementara, namun gaya seperti hidup selamanya.

Aku penat, mendengar segala bualan kosong manusia, yang lebih manis berbanding gula, sehingga terkadang aku sendiri terpesona dan terjatuh ke lembah dusta.

Aku penat, mempercayai manusia yang tak pernah setia, kasih dicurah seperti tiada harga, kesetiaan dibuang bagai sampah, agaknya itu resam dunia fana, yang penuh derita dan sengsara.

Aku penat melayan manusia hina, yang sikap sombong tak terkata, bongkak umpama durja, angkuh tak terkata.

Aku penat, aku mahu rehat, berhenti dan keluar daripada segala nista dunia, mahu mencari bahagia dan insan yang setia, sehingga akhirnya kembali menghadap-Mu Yang Maha Esa.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Kisah Kejayaan Starbucks Sebagai Kedai Kopi Utama Dunia

Kisah Kejayaan Starbucks Sebagai Kedai Kopi Utama Dunia

Starbucks Coffee, nama yang tidak asing lagi bagi masyarakat dunia, termasuklah yang ada di Malaysia kerana kopinya yang segar dengan aroma enak sememangnya menjadi kegemaran ramai namun, adakah anda tahu bagaimana syarikat kedai kopi ini bermula? Siapa yang bertanggungjawab menaikkan nama Starbucks sehingga dikenali ramai?

Minum Kopi

Umum tahu bahawa Starbucks Corporation adalah syarikat kedai kopi terbesar di dunia. Sehingga tahun 2016, Starbucks memiliki lebih daripada 28,000 rangkaian kedai merentasi 76 buah negara di seluruh dunia, di mana 13,000 daripadanya adalah di Amerika Syarikat.

Dari segi statistik, Starbucks berjaya menjana pendapatan sekitar $USD21.1 bilion untuk tahun 2015 sahaja, yakni 10 kali ganda lebih banyak berbanding pencabar terdekatnya, Costa yang hanya menjana $USD1.8 bilion.

74 peratus daripada pendapatan Starbucks diperolehi daripada jualan minuman, manakala sejumlah 19 peratus lagi adalah daripada penjualan barangan makanan termasuklah muffin, sandwich dan lain-lain.

Sehingga September 2018, Starbucks mempunyai seramai 300,000 pekerja, di mana sekitar 157,000 daripadanya bekerja di Amerika Syarikat.

Sejarah Kedai Kopi Starbucks

Starbucks sebenarnya diasaskan oleh 3 orang bekas pelajar University of San Francisco iaitu Jerry Baldwin, Zev Siegl dan Gordon Bowker.

Pelan awal mereka adalah untuk menjual biji kopi berkualiti tinggi bersama dengan peralatan pemanggang kopi, namun sama sekali tidak menyangka syarikat mereka itu bakal mencapai sebuah kejayaan yang luar biasa.

Kedai kopi Starbucks yang pertama telah dibuka pada 30 Mac 1971 di Seattle, Washington, terletak di 2000 Western Avenue dan hanya menjual biji kopi dan peralatan berkaitan sehingga tahun 1976.

Mereka kemudiannya berpindah ke 1912 Pike Place Market di mana mereka mula menjual kopi espresso pada tahun 1986.

Penglibatan Howard Schultz

Kisah Kejayaan Starbucks

Pada tahun 1981, Howard Schultz buat pertama kalinya memasuki kedai Starbucks dan pengalaman pertama merasai kopi Starbucks yang enak membuatkan beliau ingin mengetahui lebih lanjut tentang syarikat tersebut.

Tahun berikutnya, beliau menyertai Starbucks sebagai seorang pekerja biasa dan pada tahun 1983, Howard telah mengembara ke Itali dan berasa tertarik dengan kedai kopi di sana, yang mempunyai suasana yang indah, membuatkan pengalaman menghirup segelas kopi menjadi lebih romantis.

Pengalaman tersebut memberi idea yang bakal mengubah hidupnya, iaitu untuk membawa budaya kedai kopi Itali pulang ke Amerika Syarikat.

Sekembalinya ke Amerika Syarikat, beliau memulakan perniagaan kedai kopinya sendiri, iaitu Il Giornale.

Pada Ogos 1987, beliau telah membeli Starbucks daripada pemilik asal, melalui bantuan kewangan daripada para pelabur tempatan.

Howard secara agresif telah mengembangkan perniagaan tersebut dengan membuka lebih banyak outlet di luar Seattle.

Sehingga tahun 1989, Starbucks mempunyai sebanyak 46 kedai dan perlu memanggang sehingga 2 juta pound (sekitar 907,000 kilogram) kopi setahun demi memenuhi permintaan pelanggan.

Disebabkan populariti Starbucks yang semakin meningkat dengan pantas, Howard merasai tekanan untuk membuka lebih banyak outlet secepat mungkin bagi memenuhi permintaan yang ada.

Strategi Howard Mengembangkan Empayar Starbucks

Kisah Kejayaan Starbucks

Sehingga tahun 1992, Starbucks memiliki lebih daripada 135 outlet dan menjana pendapatan tahunan sehingga $USD72 juta.

Tahun yang sama, Howard membuka Initial Public Offering (IPO) bagi Starbucks di dalam NASDAQ Stock Exchange untuk meningkatkan lebih banyak pelaburan awam sebagai salah satu strateginya untuk berkembang dengan lebih pantas.

Nilai pasaran syarikat tersebut telah dianggarkan sekitar $USD271 pada waktu itu dan Howard telah menjual sebanyak 12 peratus saham syarikatnya pada nilai USD25 juta bagi mengumpul lebih banyak dana untuk menggandakan jumlah outletnya untuk 2 tahun berikutnya.

Pada tahun 1996, Starbucks akhirnya berjaya menembusi pasaran antarabangsa (di luar Amerika Utara) dengan membuka outlet pertamanya di Tokyo, Jepun, kemudian dalam tahun yang sama di Singapura.

2 tahun berikutnya, Starbucks telah membeli sebuah syarikat yang berpangkalan di United Kindom, iaitu Seattle Coffee Company dengan harga $USD83 juta.

Mereka menukar nama kesemua 65 outlet syarikat tersebut kepada Starbucks dan memulakan kemasukan kedai kopi tersebut ke pasaran United Kingdom.

Sekali lagi pada tahun 2003, Starbucks telah membeli Torrefazione Italia dan Seattle's Best Coffee dengan bayaran bernilai $USD72 juta.

Pengambil alihan ini memberi outlet tambahan sebanyal 150 kedai kepada Starbucks. Pada tahun 2007, Starbucks telah membuka outlet pertamanya di Rusia.

Pada tahun 2012, Starbucks telah membeli sebuah syarikat kedai minuman teh, Teavana pada harga $USD620 juta.

Sehingga tahun 2013, Starbucks mula mensasarkan pasaran seluruh dunia dengan fokus baharu untuk membuka lebih banyak outlet di negara-negara di Asia Selatan dan Amerika Selatan.

Kesimpulan

Starbucks bukan sahaja terkenal dengan minuman kopi yang bervariasi, malah mereka turut dikenali dengan produk-produk lain seperti sandwic, pastri, bekas minuman dan sebagainya.

Bermula dengan menjual biji kopi sejak tahun 1970an, kini Starbucks memperolehi keuntungan berbilion dolar setahun hasil kebijaksaan Howard Schultz dalam mengaplikasikan strategi perniagaan yang berkesan demi memenuhi permintaan pelanggan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Tuesday, December 18, 2018

Misteri Wajah Dirakam Dalam Ombak Di Tasik Erie

Misteri Wajah Dirakam Dalam Ombak Di Tasik Erie

Seorang jurugambar berjaya merakam satu wajah misteri menyeramkan yang muncul ketika dua ombak besar bertembung di bawah pancaran matahari di Tasik Erie, Ontario, Kanada.

Wajah misteri dalam ombak

Trevor Pottelberg, 42, yang merupakan pensyarah fotografi di Kanada berpendapat, wajah misteri itu mungkin roh kelasi yang terkorban semasa kapalnya karam di kawasan laut berhampiran.

Menurut laporan, gambar itu dirakam di kawasan Port Stanley sewaktu angin kencang meniup permukaan air sekali gus membentuk ombak.

“Saya merasakan ia roh seorang kelasi yang karam bersama kapal mereka.

"Ia kemudiannya dikejutkan dan bangkit semasa ribut kuat,” katanya.

Tasik Erie

Tasik Erie [i-e-ri] ialah tasik keempat terbesar (berdasarkan luas permukaan) daripada semua lima tasik besar Amerika Utara, serta kesebelas terbesar di dunia jika mengikut luas permukaan. Tasik ini mempunyai kedalaman 210 kaki (64 meter).

Sumber air utama tasik ini ialah Sungai Detroit, manakala takungan air di alir keluar melalui Sungai Niagara yang membekalkan tenaga hidroelektrik kepada kedua-dua negara Kanada dan Amerika Syarikat.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: kosmo

Semut Drakula Serangga Dengan Gigitan Paling Pantas Di Dunia!

Semut Drakula Serangga Dengan Gigitan Paling Pantas Di Dunia!

Satu spesies semut kini memegang gelaran makhluk paling pantas di dunia selepas memiliki keupayaan untuk menggigit selaju 320 kilometer sejam menurut kumpulan penyelidik Universiti Illinois, AS.

Serangga Paling Pantas Di Dunia

Serangga itu dinamakan sebagai semut Drakula dan ditemui buat kali pertama pada tahun 1994. Ia dinamakan Drakula kerana didapati gemar menghisap darah larva sendiri dan boleh dijumpai di Afrika, Australia dan Asia Tenggara.

Semut Drakula dikatakan mempunyai rahang luar biasa yang boleh menyentap pada kelajuan 5,000 kali ganda lebih pantas daripada kedipan mata manusia.

“Semut-semut ini sangat mengagumkan. Rahang yang sangat kuat itu umpama spring perangkap tikus,” kata penyelidik bersama Universiti Illinois, Profesor Andrew Suarez.

Kumpulan penyelidik itu menggunakan teknologi rakaman video paling canggih untuk mengukur kelajuan gigitan serangga itu.

Impak gigitan pantas itu boleh menyebabkan serangga buruan seperti lipan, pengsan serta-merta!

BACA INI JUGA:

sumber: kosmo

8 Jenis Hantu Dan Makhluk Mitologi Dalam Kepercayaan Masyarakat Dusun-Bundu Di Sabah

8 Jenis Hantu Dan Makhluk Mitologi Dalam Kepercayaan Masyarakat Dusun-Bundu Di Sabah

Suatu ketika dahulu ketika Sabah masih lagi memiliki hutan tebal dan bekalan elektrik belum lagi ada disekitar pedalaman tidak seperti sekarang, cerita hantu sangat sinonim untuk menakutkan kanak-kanak yang degil.

Masyarakat Dusun-Bundu
Gadis Dusun, Sabah.

Masyarakat Sabah juga sebenarnya sangat banyak kisah-kisah hantu (tombiruo) terutamanya oleh generasi tua yang sering diceritakan melalui lisan.

Berikut adalah antara jenis-jenis hantu masyarakat Dusun yang sangat popular suatu ketika dahulu namun tidak lagi diketahui oleh ramai generasi baru.

1. HANTU SIUT DALAN

Rupanya seperti manusia, bersaiz kecil, lebih kurang sebesar ibu jari. Suka merayau-rayau pada waktu hujan di malam hari.

Dapat diketahui kedatangannya apabila mendengar siulan perempuan yang lembut.

Suka berteduh di bawah rumah orang kampung dan apabila ia berada di bawah 'kulung' rumah orang, maka seisi rumah orang tersebut akan berasa panas.

Cara untuk menghalaunya adalah dengan menjatuhkan puntungan api di celah-celah lantai rumah ke bawah 'kulung' kerana dipercayai hantu itu meminta api dari pemilik rumah tersebut.

2. KUMOKODONG (PENANGGAL)

Kumokodong dalam versi kepercayaan Dusun Liwan-Bundu lebih kepada sejenis makhluk yang telah lama wujud dan bukanlah berasal dari organ manusia yang tercerai seperti mana yang dikenali sebagai Balan-balan.

Seperti balan-balan, ia hanya terdiri dari bahagian kepala berserta usus-usus yang terbang pada waktu malam untuk memangsa binatang ternakan seperti babi, ayam dan sebagainya untuk menghisap binatang-binatang tersebut.

Wanita yang sedang mengandung, datang bulan atau bersalin amat menarik perhatian makhluk ini untuk datang.

Ia takut kepada benda-benda yang tajam terutamanya duri dan juga takut apabila terhidu aroma limau nipis dan bawang putih.

3. HANTU TUNGA-NGA

Dapat dikenali melalui suaranya yang mirip bayi sedang menangis. Dipercayai gemar menculik kanak-kanak yang kerap menangis atau yang diabaikan oleh ibu bapa.

Rupanya seperti seekor biawak yang dapat berjalan dua kaki layaknya manusia dan juga kemerah-merahan pada hujung mulutnya.

Ia takut apabila mendengar paluan gong (kulintangan) dibunyikan dan juga bunyi piring atau tempayan pecah.

4. HANTU KALINDAHAU

Kalindahau mirip dengan pontianak iaitu mengenakan pakaian putih yang kotor dan kusam, serta berambut panjang.

Ia akan mengeluarkan lidahnya sampai ke tanah apabila sedang kelaparan atau untuk menakut-nakutkan kanak-kanak.

Ia akan berkeliaran di dalam hutan atau di tempat-tempat yang sunyi dan penuh dengan semak belukar pada waktu senja tatkala matahari kuning.

Dipercayai apabila terserempak dengan hantu ini, hendaklah berpatah balik dari arah yang ingin dituju dan tidak boleh memandang ke belakang kerana dikuatiri hantu ini akan mengejar dan membunuh orang berkenaan.

5. MONDOU

Makhluk mitologi yang dipercayai sangat ganas dan suka memakan daging manusia. Rupanya mirip seperti keluang yang dua kali lebih besar berbanding tubuh manusia, bertanduk panjang dan bergigi taring panjang.

Matanya yang berwarna merah akan menyala ketika sedang terbang waktu malam.

Ia juga dapat bertukar menjadi tujuh jenis binatang iaitu: kucing, anjing, babi, burung hantu, kelawar, kerbau dan lembu dan dipercayai akan mulai mengganas apabila rupanya berubah menjadiseekor lembu.

Menurut cerita orang-orang tua, makhluk ini pernah ditemui di daerah Tenom, Keningau dan Tambunan pada zaman dahulu kala.

Ia takut kepada bau kulit kura-kura atau kulit belangkas yang dibakar dan juga unggun api yang dinyalakan.

6. BUGANG

Bugang merupakan makhluk mitologi Dusun Liwan-Bundu yang juga dikenali sebagai naga bukit.

Saiznya lebih kurang seperti seekor burung helang dan memiliki kelebihan mengeluarkan api dari mulutnya. Apabila ia hinggap di sebatang pokok, maka serta-merta pokok itu akan terbakar dengan sendirinya.

Ia dipercayai takut dengan manusia dan akan mengeluarkan suara nyaring apabila menyedari kedatangan manusia kemudian terbang lari.

7. HANTU NARU SUSU

Kata "Naru Susu" berasal dari bahasa Dusun yang bererti "Berpayudara Panjang", merujuk kepada hantu ini yang memiliki payudara yang panjang dan runcing.

Ia dipercayai gemar menculik kanak-kanak kemudian memasukkan ke dalam payudaranya. Ia akan datang kepada sepasang suami isteri yang kerap bertengkar dan menculik anak mereka.

8. HANTU GONTUTUT

Hantu gontutut dipercayai merupakan jasad manusia yang berubah bentuk disebabkan memiliki dendam terhadap orang-orang yang masih hidup.

Ia akan berkeliaran pada waktu malam dalam bentuk rangka (tulang) manusia yang sudah tidak memiliki isi. Ia akan mengeluarkan bunyi seperti "tut tut tut" ketika sedang berjalan atau terbang.

Ia akan terus-menerus mengganggu orang-orang yang ia dendam sehingga mereka tidak merasa tenang dan akhirnya mati. Ia takut kepada cahaya terutama sinaran lampu.

p/s: Ini adalah untuk pengetahuan dan pembacaan semata-mata dan bukanlah sebagai kepercayaan 100%.

BACA INI JUGA:

sumber: 1