Wednesday, April 18, 2018

Apa Itu Penyakit Bipolar? Sakit Mental Atau Kemurungan?


Bipolar adalah salah satu jenis penyakit mental yang mengundang pelbagai masalah kepada pesakit sehingga mengakibatkan mereka bertindak agresif tanpa disedari dan dianggap sebagai salah satu gangguan saraf otak yang akan menyebabkan seseorang itu mengalami perubahan yang keterlaluan pada emosi, tenaga dan keupayaan mereka.

Apa Itu Penyakit Bipolar

Contohnya, pernahkah anda berasa terlalu gembira secara tiba-tiba tanpa disedari? Atau pernahkah anda berasa terlalu sedih dan murung secara tiba-tiba?

Pernahkah emosi anda melonjak keghairahan untuk berbelanja sehingga melebihi kemampuan diri sendiri?

Mungkin anda beranggapan perasaan itu adalah perkara biasa yang dialami oleh setiap individu tetapi tahukah anda perasaan yang tiba-tiba melonjak keterlaluan dan diluar kebiasaan tergolong di dalam gangguan mental jenis ‘bipolar’?

Ramai antara masyarakat negara ini menganggap simpton itu sekadar ‘tiada mood’ yang dialami setiap manusia tetapi masyarakat kita harus didedahkan bahawa hal tersebut merupakan tanda-tanda gejala bipolar yang mampu menjejaskan hubungan bersama keluarga, teman dan pasangan, prestasi kerja serta pelajaran.

Mania atau kemurungan adalah faktor penyebab seseorang pesakit itu hilang rasional berfikir dan biasanya gejala bipolar akan menyerang individu pada penghujung umur remaja dan awal dewasa.

Namun, penyakit mental ini juga mampu menyerang seseorang yang lebih tua dan kanak-kanak.

Setakat ini masih belum ada lagi saintis perubatan yang berjaya mengetahui punca sebenar gangguan bipolar ini secara tepat tetapi mereka percaya bahawa penyakit ini di dorong pelbagai faktor yang bertindak bersama mencetuskan permasalahan di dalam otak.

Mengikut kajian, ramai di antara mereka yang menderita akibat bipolar adalah disebabkan keturunan.

Sekiranya, seseorang itu mempunyai latar belakang keluarga yang pernah mempunyai sejarah bipolar, jelaslah bahawa mereka antara golongan yang berisiko tinggi untuk menghidapinya.

Bipolar mempunyai beberapa perubahan emosi berangkai atau episod misalnya, daripada terlalu gembira akan bertukar kepada sedih dan kemurungan kemudian, kembali kepada rasa gembira semula dan ia adalah emosi dianggap ‘normal’.

Perubahan ini bergantung pada tenaga dan kelakuan pesakit dan emosi ini digelar ‘episod mania’ dan kemurungan.

Bipolar agar sukar untuk dikesan kerana selalunya pesakit akan berkelakuan normal dan dilihat gembira serta progresif.

Ia dianggap sebagai sifat yang positif kerana secara tidak langsung telah menyembunyikan permasalahan sebenar yang dihidapi pesakit.

Hakikatnya, pesakit itu sebenarnya berhadapan dengan pelbagai perubahan emosi yang berulang.

Berikut merupakan antara faktor yang boleh dikenalpasti sama ada seseorang itu merupakan pesakit Bipolar.

Gejala Mania

1. Tenaga meningkat dan berkemampuan melakukan banyak aktiviti.

2. Terlalu gembira atau sedih.

3. Sering resah.

4. Banyak berfikir, bertutur laju dan idea berubah-ubah.

5. Sukar menumpukan perhatian.

6. Sukar untuk tidur dan tidur dalam tempoh yang singkat sudah mencukupi.

7. Mudah percaya dengan perkara yang tidak realistik.

8. Lemah pertimbangan.

9. Suka berbelanja besar.

10. Perubahan kelakuan yang berpanjangan.

Gejala Kemurungan

1. Kesedihan, keresahan dan rasa kosong berpanjangan.

2. Rasa diri tidak berguna pesismis.

3. Rasa bersalah dan tidak berdaya.

4. Hilang minat pada aktiviti digemari termasuk melakukan hubungan seks.

5. Rasa tidak bertenaga dan cepat penat.

6. Sukar menumpukan perhatian.

7. Sukar mengingat dan membuat keputusan.

8. Mudah resah dan terganggu.

9. Tidur terlalu banyak dan tidak boleh tidur.

10. Selera berubah sama ada naik secara mendadak atau turun tanpa disedari.

11. Sentiasa sakit tetapi bukan disebabkan kecederaan fizikal.

12. Timbul keinginan untuk membunuh diri.

Namun, selain daripada dua gejala bipolar di atas pesakit juga berkemungkinan mengalami episod mania yang ringan atau ‘hipomania’.

Sekiranya penghidap hipomania ini mendapat sokongan keluarga boleh memilih untuk tidak dimasukkan ke hospital tetapi haruslah menjalani rawatan ‘mood stabilizer’ bertujuan mendapatkan bantuan psikososial dan psikoterapi jika diperlukan.

Apakah bipolar ini mempunyai kaedah rawatan yang mampu menyembuhkan pesakit tersebut sepenuhnya?

Menurut Ketua Pakar Psikiatrik dan Ketagihan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr Amer Siddiq, keadah perubatan sebenarnya masih belum menjumpai rawatan yang mampu menyembuhkan bipolar sepenuhnya.

Bipolar merupakan penyakit yang berpunca daripda otak dan oleh itu tiada penawar yang tepat dijumpai lagi.

Setakat ini rawatan yang disediakan untuk penderita Bipolar adalah kaedah rawatan untuk episod mania dan kemurungan.

Kajian telah membuktikan bahawa rawatan yang digunapakai amat efektif untuk mengelakkan pesakit tersebut bertindak agresif.

Biasanya, pesakit mudah risau dengan kesan sampingan ubat-ubatan yang dibekalkan oleh doktor dan kami akan sentiasa memantau dari masa kesemasa dalam pengambilan ubat-ubatan tersebut.

Disoal mengenai kaedah rawatan mana yang lebih berkesan untuk jangka masa panjang iaitu farmakologikal atau bukan farmakologikal?

Atau adakah kedua-dua kaedah rawatan tersebut lebih berkesan sekiranya digabungkan bersama?

Jelas Dr Amer, kaedah yang lebih berkesan adalah digabungkan bersama dalam rawatan penyakit bipolar.

Walau bagaimanapun, penting untuk pesakit mengikut jadual perubatan dan rawatan yang sudah ditetapkan oleh doktor mereka sehingga sesi rawatan selesai sepenuhnya.

Mungkin proses ini akan mengambil masa yang agak lama sedikit tetapi membantu mereka pada masa akan datang untuk menjalani kehidupan normal seperti biasa.

Stigma masyarakat sekeliling sememangnya memainkan peranan yang amat besar kerana pesakit biasanya akan berasa lebih paranoid mengenai hal tersebut.

Hal itu mendorong pesakit untuk tidak meneruskan rawatan yang sedang dijalani mereka kerana dianggap akan memberi kesan kepada diri mereka di masa akan datang.

Bagi penghidap gejala bipolar kemurungan, ia akan memberi kesan terhadap fizikal pesakit itu misalnya sakit jantung, rendah tahap imun dan sakit-sakit badan.

Percayakah anda bahawa ada diantara penghidap bipolar ini masih menjalani kehidupan harian mereka seperti biasa?

Bahkan, selebriti-selebriti dunia yang mengalami penyakit bipolar ini masih dapat meneruskan karier seni mereka dengan begitu aktif dan berkembang di persada dunia.

Berikut merupakan contoh selebriti yang menghidapi ‘Bipolar’ tetapi karier seni mereka masih berdiri gah dan terus bersinar.

1. Demi Lovato

Siapa yang tidak mengenali Demi Lovato, gadis berasal Amerika Syarikat yang mempunyai bakat besar sebagai seorang penari, penyanyi dan pelakon di persada antarabangsa.

Lovato atau nama sebenar, Dementria Devonne lahir pada 20 Ogos 1992 melalui era kegemilangan sejak ditawarkan berlakon di dalam Filem ‘Camp Rock’ dan ‘Sonny Munroe’.

Selain itu, bakat beliau dalam dunia nyanyian tidak boleh disangkal lagi apabila album kedua Lovato bertajuk ‘Here We Go Again’ menduduki tempat pertama di Billboard 200.

Namun, disebalik kejayaan yang diperolehi gadis berusia 23 tahun ini, dia sebenarnya sedang bergelut dengan penyakit bipolar.

Menariknya, beliau tidak malu untuk mengakui kepada dunia bahawa dia adalah salah seorang pesakit bipolar berbanding artis lain yang tampak segan dengan penyakit itu.

Menurut laporan media, Lovato pernah mengalami zaman sekolah yang begitu teruk sekali kerana sering menjadi mangsa buli teman-temannya.

Hal ini berlanjutan terlalu lama membuatkan beliau berasa amat tertekan.

Berkemungkinan kerana inilah menyebabkan Lovato diserang bipolar.

Akuinya, pada awalnya bukan mudah untuk mengawal penyakitnya itu apatah lagi sebagai seorang ikon dunia, perubahan emosi yang terjadi secara tiba-tiba amat menganggu diri lebih-lebih lagi sedang berhadapan dengan peminat-peminatnya.

Menariknya, Lovato kini bangga menjadi salah seorang penderita penyakit bipolar kerana berjaya membuktikan penyakit itu tidak pernah menghalang dirinya terus berkarya.

Hal ini sudah cukup menunjukkan dia seorang gadis yang kuat dan tabah kerana mampu menangani penyakit mental tersebut.

2. Catherine Zeta Jones

Masih ingatkah kita dengan filem ‘The Legend Of Zorro’ yang dibintangi pelakon wanita terkenal, Catherine Zeta Jones?

Isteri kepada aktor Michael Douglas ini lahir pada 25 September 1969 di Wales Britania Raya.

Dia berjaya mencipta nama sebagai pelakon dengan semangat yang tidak putus sehingga berjaya berada di puncak kegemilangan sebagai pelakon wanita Hollywood yang disegani.

Bahkan, bakatnya diiktiraf kerana berjaya merangkul kemenangan dalam Academy Award suatu ketika dahulu.

Namun, disebalik kejayaan hebat pelakon wanita ini, dia sedang berusaha gigih dalam menangani penyakit bipolar yang dihidapinya.

Ramai yang menyangka bahawa pelakon ini diserang bipolar kerana tahun demi tahun, persaingan dalam dunia lakonan semakin bertambah dan membuatkannya menjadi tertekan.

Pada tahun 2012, Catherine disahkan menderita penyakit bipolar.

Bukan itu sahaja, dalam masa yang sama dia secara tiba-tiba turut dihujani dengan pelbagai masalah lain.

Antaranya, apabila suaminya disahkan menghidapi penyakit kanser, berhadapan dengan tindakan undang-undang mengenai royalti filem dan banyak lagi.

Hal ini sekaligus menyebabkan Catherine berasa terlalu tertekan.

Sejak disahkan menghidap penyakit tersebut, karier lakonan Catherine semakin menjunam, ditambahkan pula dengan sikap media-media barat yang mempropagandakan isu berkenaan.

Dia dilihat seperti ‘dibuli’ di media sosial sehingga membuat keputusan menutup kesemua akaun laman sosialnya untuk seketika.

Semangat yang kuat dimiliki Catherine untuk menjalani rawatan psikiatrik akhirnya membuahkan hasil apabila dia mula merasakan bahawa tahap mentalnya semakin pulih.

Dia juga bersedia untuk kembali ke dunia lakonan disamping masih meneruskan rawatan psikiatrik agar emosinya sentiasa dikawal.

Kini, Catherine dilihat sudah lebih berkeyakinan untuk tampil di hadapan masyarakat umum dan berjaya membuktikan biarpun dia merupakan salah seorang penderita bipolar tetapi masih berjaya dalam karier pilihannya.

3. Mariah Carey

Bintang pop Mariah Carey pada April 2018 akhirnya mendedahkan dirinya menderita gangguan bipolar dalam sebuah wawancara, dan mengakui telah didiagnos pada tahun 2001 dan hanya kemudiannya selepas pendedahan ini mula mengambil ubat-ubatan.

Mariah memberitahu majalah hiburan People, bahawa diagnosis mengenai hal itu diterima ketika berada di hospital, berikutan mengalami kemurungan emosi dan fizikal. Ketika itu, dia sedang dikritik teruk menerusi filem Glitter.

Dia memberitahu, pada mulanya dia tidak mahu mempercayainya dan hanya akhir-akhir ini rasa terbuka untuk menerima rawatan.

"Saya hidup dalam penafian dan memencilkan diri. Saya juga kerap berasa takut jika seseorang mendedahkan tentang diri saya.

"Ia suatu beban yang sangat berat untuk ditanggung dan saya tidak mampu melakukannya lagi. Saya mencari dan menerima rawatan.

Saya dekati mereka yang positif di sekeliling saya dan saya kembali melakukan perkara yang saya cintai – menulis dan menghasilkan lagu,” ujar Mariah.

Pelantun lagu Vision of Love itu berkata, dia mengambil ubat-ubatan bagi gangguan jenis bipolar II, iaitu gangguan yang dikategori sebagai 'mengalami perubahan mood yang kurang serius antara kemurungan dan hiperaktif'.

"Dalam tempoh yang lama, saya sangkakan saya mengalami gangguan tidur yang teruk.

"Namun, ia bukan insomnia yang biasa dan saya tidaklah terjaga dan mengira biri-biri untuk kembali tidur.

Saya ketika itu hanya bekerja, bekerja dan bekerja. Saya mudah tersinggung dan sering ketakutan jika mengecewakan orang lain. Rupa-rupanya saya mengalami sejenis mania,” ujarnya.

Mariah mendedahkan perkara itu kepada umum selepas sekian lama mengalami pelbagai dugaan dalam hidupnya.

Ini termasuk perceraiannya dengan pengacara dan pelawak Nick Cannon, selain pertunangan profil tinggi pada 2016 dengan usahawan bilionair Australia, James Packer.

Tambahnya, dia kini mengambil ubat-ubatan yang ‘tidak terlalu menjadikan dirinya rawa penat atau malas’ dan sedang dalam proses menghasilkan album baharu yang bakal dilancarkan tahun ini.

"Saya dalam tempat yang terbaik sekarang, iaitu saya selesa bercakap tentang cabaran saya dengan gangguan bipolar II ini.

“Saya amat berharap kita akan sampai ke satu keadaan bebas stigma dan seseorang itu tidak lagi perlu menghadapi situasi seumpamanya bersendirian,” ujarnya.

Bipolar sukar disembuhkan

Ketiga-tiga ikon dunia ini harus dijadikan contoh buat penderita bipolar supaya tidak segan meminta bantuan dari pakar psikiatrik jika merasakan diri anda merupakan salah seorang penderita bipolar.

Hakikatnya, bipolar merupakan salah satu penyakit mental yang sukar disembuhkan dan jika ianya berhasil disembuhkan, tidak mustahil akan diserang kembali.

Meskipun demikian, penderita bipolar haruslah kuat semangat mencari serta menjalani rawatan yang sewajarnya agar emosi yang terganggu itu mampu dikawal sebelum ianya memuncak dan bertindak di luar kawalan.

Paling penting sekali, jangan mudah melatah.

Malangnya, pemikiran rakyat Malaysia sudah dididik supaya meletakkan satu stigma yang negatif terhadap pesakit mental.

Jika kita tidak bersama-sama membantu mereka, tidak mustahil jumpa pesakit mental di negara kita akan terus meningkat.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Apa Sebenarnya Penyakit Mental, Jenis, Punca Dan Rawatannya

sumber: malaysiandigest

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon