Thursday, August 30, 2018

Misteri 'Batu Hidup' Di Kampung Pulau Sebang

Misteri 'Batu Hidup' Di Kampung Pulau Sebang

Lebih 10 batu besar di Kampung Pulau Sebang Selatan, Alor Gajah, Melaka, yang berbentuk seperti binaan batu Stonehenge di Wiltshire, England, didakwa memiliki misteri tersendiri kerana batu itu didakwa "hidup" oleh sesetengah penduduk kerana saiznya dikatakan semakin membesar sejak ia berada di situ berpuluh tahun lalu.

Batu hidup Pulau Sebang

Penduduk kampung sekitar yang ditemui percaya batu yang berbentuk seperti pedang di situ hidup, selain mendakwa ia sebagai kawasan perkuburan lama.

Mereka mendakwa batu itu pada asalnya adalah kecil, tetapi dari tahun ke tahun membesar hingga tinggi seperti sekarang.

Penduduk Kampung Pulau Sebang Selatan yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung itu, Yahya Mulop, 75, berkata cerita mengenai batu hidup itu juga disebarkan di kawasan kampungnya.

Malah, katanya, batu itu dan cerita yang disebarkan itu pernah dikaji ahli sejarah sebelum ini.

"Sekitar tahun 1988 ada kumpulan pengkaji sejarah datang ke sini untuk lakukan kajian terhadap dakwaan batu hidup ini yang dikatakan membesar sebelum kawasan batu hidup berkenaan dipagar dan kerja-kerja menggali dilaksanakan," katanya.

Katanya lagi, mendengar dakwaan bahawa kawasan itu adalah kubur lama, beliau meminta supaya kerja-kerja menggali dilakukan secara teratur termasuk mengikut Islam selain mengadakan majlis tahlil.

"Ketika mendengar ura-ura ia adalah pusara nenek moyang zaman dahulu, saya dan penduduk bimbang juga untuk menggalinya sebelum kerja menggali dilakukan secara kemas dan teliti dengan menyapu bersih permukaan batu hidup berkenaan.

"Selepas kerja menggali dijalankan, ahli pengkaji sejarah langsung tidak menemui sebarang tanda bahawa ia tanah perkuburan kerana tidak menemui apa-apa bukti seperti rambut atau tengkorak mahupun tulang manusia," katanya lagi.

Bagaimanapun, hasil galian itu kumpulan pengkaji sejarah terbabit menemui satu loceng dan menyifatkan kemungkinan batuan hidup itu adalah batu tanda peringatan orang zaman dahulu sebelum beberapa kawasan lain yang berdekatan dengannya juga turut dibersihkan.

"Batu hidup ini juga turut dipamerkan dalam Muzium Negara, namun pada tahun 1990 tiada lagi mana-mana pihak melakukan kajian lanjutan yang mana di Kampung Pulau Sebang Selatan kini mempunyai satu batu hidup paling tinggi adalah 11 kaki (3.3 meter)," katanya.

Yahya berkata saiz batu berkenaan mungkin dilihat seperti membesar berpunca daripada hakisan tanah yang kemudiannya menampakkan pangkal batu itu semakin tinggi.

Bagaimanapun, Kurator Perbadanan Muzium Melaka, Mohd Shukry Abdullah, ketika ditemui baru-baru ini mempunyai pandangan berbeza.

Katanya, kajian mengenai batu hidup atau dikenali sebagai megalith yang mempengaruhi serta merujuk kepada perkembangan tradisi dan budaya masyarakat pada zaman dulu sudah dilakukan bermula tahun 1928, sebelum disusuli kajian semula pada tahun 2011.

"Kewujudan dan kepercayaan terhadap batu megalith ini dipercayai sejak sebelum kedatangan Islam dengan masyarakat pada waktu itu percaya batu ini hidup, meninggi dan berkelip apabila disuluh cahaya pada waktu malam.

"Itu hanya dakwaan masyarakat zaman dulu, namun selepas kajian dilakukan mendapati cahaya berkenaan adalah disebabkan oleh ciri batu jenis granit yang mengandungi silika," katanya.

"Apabila bulan mengambang ia akan kelihatan bercahaya," katanya.

Megalith yang berasal dari perkataan Greek 'mega' membawa maksud besar dan 'lithos' iaitu batu, boleh didefinisikan sebagai batu besar yang didirikan di atas tanah secara bersendiri dan berpasangan.

Mohd Shukry berkata, megalith menggambarkan budaya yang dibawa oleh masyarakat Minangkabau dengan kebanyakan penemuan batu itu boleh didapati di sekitar Negeri Sembilan, Melaka, Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, antara lokasi tumpuan batuan megalith di Melaka adalah di Cherana Putih, Taboh Naning, selain terdapat juga di Melekek, Pulau Sebang dan Melaka Pindah, Alor Gajah.

"Dari segi pertanian, masyarakat dahulu percaya batu ini mampu memulihkan semangat tanaman mereka.

"Selain menjadi pemulih semangat padi, megalith juga dijadikan penutup keranda zaman dulu, selain tanda tanah perkuburan dan batu penanda sempadan bagi sesuatu kawasan," katanya.

Batu hidup Pulau Sebang

Pengurus Besar Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA), Drs Mohd Nasruddin Rahman, tidak menafikan kehidupan masyarakat dahulu kala menjurus kepada sesuatu kepercayaan hingga ia dijadikan tempat pemujaan oleh masyarakat animisme kerana ia kelihatan pelik.

"Sebenarnya, batu-batu ini tidak membesar tetapi ketinggiannya dilihat semakin bertambah mengikut masa disebabkan oleh hakisan tanah dan mendapan yang berlaku, megalith ini sememangnya wujud namun ia direpeh dan ditanam pada kedalaman yang kukuh.

"Kedudukan megalith rata-rata dijumpai yang besar diletakkan paling hadapan diikuti saiz yang lebih kecil di belakangnya menunjukkan ia sebagai ibu pemujaan atau sebagai pembuka kawasan terbabit selain sebagai tanda bilangan penduduk kawasan itu," katanya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: bharian

Wednesday, August 29, 2018

Lavida Coin Matawang Digital Milik Datuk Vida

Lavida Coin Matawang Digital Milik Datuk Vida

Siapa yang tidak kenal dengan Datuk Seri Vida, seorang ahli perniagaan selebriti yang sering menjadi bual bicara rakyat Malaysia dan terbaru, beliau memperkenalkan Lavida Coin (LVC) iaitu sejenis matawang kripto.

Lavida Coin Matawang Digital Milik Datuk Vida

Beliau telah melancarkan Skim Crypto Club dan Lavida Coin di Menara Felda Kuala Lumpur pada 11 Ogos 2018 yang lalu.

Selain dari Lavida Coin, Datuk Vida juga mengenalkan LAVIDAPAY iaitu satu ‘payment gateway‘ yang mempunyai sistem blockchain sendiri sebagai penyimpanan data.

Pihak beliau juga meletakkan Lavida Coin dengan nama julukan “Step Mother of Coin”.

CARA DAN LANGKAH-LANGKAH MEMBELI LAVIDA COIN

Untuk pengetahuan anda, matawang digital ini kebiasaannya dijual dalam 3 peringkat.

Peringkat pertama ianya dijual ketika pra pelancaran dan selalunya ianya lebih murah.

Dan sekarang, matawang Dato Seri Vida iaitu LAVIDA COIN ini dijual murah dengan harga USD0.66 dan juga USD0.86 untuk 1 coin.

Ini bermakna, kalau anda mahukan 100 Lavida Coin sebagai contoh, anda perlu keluarkan kos bajet sebanyak $0.66 x 100 = USD66 yang bersamaan dengan lebih kurang RM270 Malaysia. Jelas?

Buat masa ini (29 Ogos 2018), ianya masih diperingkat pra pelancaran, maka anda boleh beli Lavida Coin dengan harga yang sedemikian.

Peringkat yang kedua pula, jualan La Vida Coin ini mula dijual secara khalayak umum apabila ianya dilancarkan secara rasmi.

Saya tidak pasti berapakah harganya. Kebiasaannya sudah pasti ianya lebih mahal dari harga pra-pelancaran.

Jangan bimbang kalau ianya naik harga atau lebih mahal. Anda boleh beli Lavida Coin ini sama ada sebanyak 1, 2, 10, 50, 100, 100 atau lebih coin. Macam anda beli barang biasa. Anda boleh beli sedikit atau lebih ikut kepada bajet wang yang anda ada masing masing.

Anda ada RM100 sebagai contoh, anda belilah Lavida Coin mengikut harga pasaran. Jadi anda dapatlah Lavida Coin berapa yang anda patut dapat berdasarkan modal yang anda ada. Jelas?

Pakej pelaburan DSV yang ditawarkan untuk menggandakan Lavida Coin

Pakej Lavida Coin

Peringkat yang ketiga pula adalah ketika mana matawang Dato Seri Vida iaitu Lavida Coin mula dipasarkan dipasaran satu dunia ketika mana ianya mula masuk ke website Exchanger.

Ketika ini, satu dunia boleh beli di mana mana sahaja mengikut website exchanger di mana Lavida Coin dijual dan didagangkan.

Harga ketika itu akan berdasarkan permintaan semasa dunia. Boleh jadi naik, boleh jadi turun.

Maksudnya, lebih ramai yang beli dari yang menjual, maka harga Lavida Coin akan naik kerana banyaknya permintaan.

Kalau ramai yang menjual berbanding yang membeli, maka harga Lavida Coin akan turun kerana banyaknya jualan berbanding belian. Jelas?

Platform website khas untuk anda yang ingin membeli Lavida Coin;
  • Lavida Coin - sila klik LINK ini – kalau anda mahu membeli Lavida Coin sahaja, secara online.

Mudah cerita, anda berpeluang membeli Lavida Coin ini bila bila masa sahaja.

Namun kita tidak tahu akan prestasi masa hadapan nanti. Boleh jadi crypto currency Lavida Coin ini popular dan mendapat permintaan tinggi atau tidak.

Kalau kurang permintaan, maka harga akan lambat naik dan mungkin akan jadi lebih murah dari sekarang.

Kalau ianya mendapat permintaan tinggi dan popular, maka harga sudah tentu akan terus menerus meningkat naik dan menjadi lebih mahal dari sekarang.

Andalah yang kena buat keputusan samada mahu beli Lavida Coin dari sekarang atau tidak.

Untuk pengetahuan anda, Dato Seri Vida ada perkenalkan 2 program pelaburan utama.

Yang pertama anda boleh sertai PROGRAM PAKEJ PELABURAN dan satu lagi anda boleh BELI LAVIDA COIN sahaja.

Kalau anda sertai program pelaburan, maka anda kena beli pakej pakej yang mereka sediakan. Dan dari pakej pelaburan itu anda akan mendapat pulangan termasuk anda diberikan sekali dengan Lavida Coin.

Kalau anda mahu beli Lavida Coin sahaja secara terus tanpa sertai pelaburan pun boleh. Terpulang kepada pilihan anda.

LAVIDA COIN SATU PENIPUAN?

LavidaCoin - Evocoin

Satu kumpulan daripada Facebook yang aktif dalam mendedahkan skim penipuan wang di Malaysia menyatakan skim yang dianjurkan oleh Datuk Vida adalah bermasalah.

Menurut kumpulan itu (Ponzi Scheme Alert), skim ini bermasalah kerana ia hanyalah kesinambungan dariapada skim asal Evocoin Malaysia yang hampir lingkup.

Ponzi Scheme Alert juga mendakwa ia adalah Evocoin cuma ditukarkan namanya berikutan suntikan modal oleh Datuk Seri Vida.

Apa bukti Lavida Coin adalah jelmaan daripada Evocoin yang bermasalah? Lihat gambar di atas, tulisan di dinding facebook oleh Rahmad Mega.

Cuma Ingin Membantu Melalui LavidaCoin – Datuk Vida

Memetik Utusan Online, Datuk Seri Vida mendakwa beliau telah mencuba sendiri pelaburan matawang kripto sejak dua tahun lalu dan mendapati aktiviti tersebut menguntungkan.

“Saya tidak mungkin boleh membantu setiap orang dengan menghulurkan wang semata-mata, sebalinya saya mahu khalayak juga berpeluang menikmati rezeki speerti saya.

“Justeru saya berkongsi kaedah terkini melalui LavidaCoin yang bukan sahaja mudah malah tidak membebankan serta mampu menjana pendapatan yang lumayan," katanya.

Lavida Coin – Boleh Percaya Kah?

Pelbagai reaksi netizen apabila Datuk Seri Vida melancarkan skim crypto Lavida Coin.

Pesanan kami, berhati-hatilah. Belajarlah dari kesilapan orang lain. Usah dibuai ayat-ayat ‘dijamin’ dan ‘confirm naik’ atau ‘confirm untung’. Wallahu a'lam.

Ayuh kita baca ulasan yang dimuat naik di Facebook tuan Ikmal Nordin tentang Lavida Coin.

Saya dah teliti laman web Lavida Coin (https://www.lavidacoin.com), Kertas putih yang dimuatkan dalam laman web (Whitepaper) dan Kertas putih untuk platform blockchain yang lain.

Saya akan ulas berdasarkan 3 aspek: Aspek blockchain, model perniagaan Lavida Coin dan aspek hukum syar’i.

Kalau dah faham cara blockchain berfungsi boleh pergi poin 2 & 3:

1) Blockchain

Lavida Coin Matawang Digital Milik Datuk Vida

Ramai yang masih kabur-kabur tentang teknologi blockchain, jadi kena terangkan sikit apa maksudnya.

Blockchain ialah cara merekod data yang bergantung pada usaha ramai orang, yang tidak ada kaitan antara satu sama lain.

Kenapa nak buat teknologi ini? Sebab pencipta blockchain nak pintas semua kuasa tengah (centralized authority).

Contohnya bila kita beli barang pakai kad kredit, siapa yang akan sahkan transaksi itu?

Sama ada Visa atau Mastercard dan Visa dapat duit yang sangat banyak sebab jadi kuasa penentu.

Bila guna blockchain, ada beribu-ribu ‘pengesah’ yang buat kerja, jadi tidak perlu ada ‘raja yang paling atas’.

Nak faham blockchain mudah saja, tengok 2 perkataan ‘block’ dan ‘chain’.

Setiap transaksi adalah satu blok.

Contoh: Along bayar RM1 kepada Angah. Pemindahan RM1 daripada tangan Along ke tangan Angah akan direkod sebagai satu ‘block’.

Katakan Angah pula bayar RM1 kepada Alang. Ini lagi satu ‘block’.

Tapi block kedua ini bersambung dengan block sebelumnya, membentuk satu rantai (chain).

Setiap block akan tertakluk kepada rantai, jadi tak boleh buat sesuka hati.

Bila sudah sah yang duit berpindah tangan dalam blok pertama, blok kedua kena ikut.

Maksudnya Along dah tak ada duit itu. Ia bukan seperti fail pdf atau word yang mana bila kita copy dan hantar, fail tu masih ada pada kita.

Mudah kan?

Tapi nak buat benda ni agak teknikal. Ada algoritma tertentu, ‘proof of work’ (bukti yang menunjukkan setiap blok itu sahih), dan paling penting kena ada komuniti ‘pengesah’ yang dibayar upah setiap kali mereka sahkan satu-satu blok.

Ethereum, contohnya, ada lebih 27,000 ‘stesen’.

Dan kita kena bezakan antara matawang kripto dan platform yang mendokong matawang itu.

Ambil contoh Ethereum dan Ether.

Platform seperti Ethereum menyediakan ‘pasar’ dan undang-undang blockchain, tapi nama matawangnya Ether.

Selain daripada Ether ada beribu-ribu aplikasi yang menumpang dalam pasar Ethereum.

Aplikasi lain buat token dan dompet digital tapi guna kemudahan pasar yang disediakan oleh Ethereum.

2) Model perniagaan Lavida Coin

Setakat yang saya faham, Lavida Coin nak kumpul dana $1.5 BILLION untuk buat tiga projek:
  1. $1B untuk saluran hiburan.
  2. $100M untuk saluran pembayaran.
  3. $400M untuk masjid.

Untuk peringkat awal (Pre-mine), Lavida Coin nak jual 153 juta coin dan daripada pre-mine ini akan mendapat $120 juta.

Jadi kita andaikan dana awal ini untuk buat saluran pembayaran (payment gateway).

Yang lagi dua projek itu tak penting, sebab yang kita bincangkan sekarang ialah matawang LavidaCoin dan teknologi blockchain yang dicanang-canangkan.

Kita kena tanya soalan #1: Nak buat pasar ke, nak buat coin yang tumpang pasar orang?

Dan berdasarkan kertas putih ini rasanya LavidaCoin nak buat pasar (LAVIDAPAY), yang ada undang-undang blockchainnya yang tersendiri. Pasar ini akan menggunakan matawang LavidaCoin.

Bila nak buat pasar, kena tanya pula soalan #2: Mana undang-undangnya? Tak ada butir pun.

Kalau sekadar nak tumpang pasar orang, boleh cakap Lavida Coin akan guna protokol yang telah ditetapkan dalam pasar Ethereum.

Tapi bila nak buat gateway sendiri, kena ada butir-butir yang sangat terperinci.

Apa algoritma yang akan dipakai, apa kekerapan penghasilan blok, apa bahasa programmingnya dan lain-lain.

Cuba bandingkan kertas putih Lavida Coin dengan kertas putih Ethereum, jauh bezanya: Whitepaper – Ethereum

Nampak banyak kesamaran pada Lavida Pay dan Lavida Coin.

Kalau nak minta dana untuk blockchain butir-butir sebegini perlu ada, alasan ‘masih dalam perancangan’ tidak boleh diterima.

Dan kita kena tanya soalan #3: Kalau nak mudahkan transaksi secara online kenapa tak guna e-wallet sahaja?

Contohnya buat VidaPay yang menggunakan Ringgit Malaysia, boleh top-up menggunakan akaun bank dan semua transaksi dalam ringgit.

Kenapa nak buat matawang kripto? Dan sebahagian besar dananya pula bukan untuk coin itu tetapi untuk saluran hiburan.

Ada bau-bau ikan yang hanyir di situ (something smells very fishy).

3) Hukum Syar’i

Berkenaan isu hukum halal haram wang krypto ini saya rujuk kepada Ustaz Dr Zaharuddin Abd Rahman, Registered Shariah Adviser at Securities Commission of Malaysia:

Bitcoin (dan matawang kripto secara am)

harus sebagai simpanan (store of value) dan perantara pembelian (medium of exchange).

Tapi boleh berubah hukumnya menjadi HARAM bila;

Adanya gharar (ketidaktentuan). UZAR menyatakan gharar berlaku ketidaktentuan dalam proses transaksi, kerana pasar-pasarnya disekat.

Bagi saya gharar dalam Lavida Coin ini lebih besar lagi sebab proses blockchainnya pun tidak disebut.

Dalam bahasa mudah tak tahu pasarnya di mana, apa undang-undang di pasar itu pun tidak diketahui.

Apabila menyertai SKIM bitcoin atau crypto melalui skim ala-ala cepat kaya anjuran orang tengah atau syarikat pengantara yang menjanjikan keuntungan tetap atau lumayan, ini adalah HARAM dari sudut syariah dan juga undang-undang setempat.

Kos transaksi dan pemindahan tidak diketahui. Di dagangkan secara aktif dan kerap dengan tujuan mendapat untung mudah daripada nilai tukaran.

Pernyataan-pernyataan yang muncul daripada Dato’ Vida menunjukkan ‘untung cepat’ inilah motif utama untuk melabur dalam Lavida Coin, bukan sebagai medium tukaran atau simpanan, bukan untuk menyediakan alternatif kepada matawang fizikal.

KESIMPULAN

Banyak perkara yang memberi isyarat bahawa Lavida Coin ini bukan pelaburan yang ‘genuine’.

Kertas putihnya menyisihkan banyak maklumat yang penting dan kertas putih itu ibarat melontar-lontar kata-kata yang ‘trending’ dan berteknologi tinggi tanpa sebarang perbincangan yang serius.

Cukup banyak perkara yang ‘gharar’ (tidak tentu).

Kalau lihat laman web Lavida Coin ada beberapa perkara yang menambahkan syak; alamatnya di UK dan laman web itu seperti dibuat tergesa-gesa sehingga ada pernyataan yang tidak ada kena-mengena dengan kripto: “With a community of over 400 million users (and a majority age group being 18 to 29), wouldn’t you want to make sure you’re monitoring what people are posting on social networks?”

Oleh itu saya menasihatkan orang ramai untuk berhati-hati daripada melabur.

Saya tidak katakan ianya ‘scam’ tapi banyak kemusykilan padanya.

KATA AKHIR

Bagi yang was-was dengan Lavida Coin ini, bolehlah mendapatkan nasihat daripada Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum menyertai skim yang dianjurkan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: majalahlabur | moshed | myrujukan

Lelaki Bayar Nafkah 153 Juta Kepada Bekas Isteri Guna Duit Syiling

Lelaki Bayar Nafkah 153 Juta Kepada Bekas Isteri Guna Duit Syiling

Peguam kepada seorang lelaki mendakwa anak guamnya tidak berniat untuk cuba menimbulkan sebarang gangguan terhadap bekas isterinya apabila dia membayar 178 juta rupiah (RM49,849) yang diperintahkan mahkamah sebagai sebahagian daripada penyelesaian kes perceraian mereka dengan wang syiling.

Lelaki Bayar Nafkah 153 Juta Kepada Bekas Isteri Guna Duit Syiling

Dwi Susilarto tiba di mahkamah syariah Karanganyar di Jawa Tengah pada Khamis dengan mengangkut lebih 13 guni syiling bernilai 153 juta rupiah (RM43,044) yang beratnya ditimbang sekitar 890 kilogram menurut peguamnya, Sutarto. Bakinya dibayar dengan wang kertas.

Kekecohan hampir berlaku antara Susilarto dan peguam bekas isterinya yang enggan mengira wang yang diangkut menggunakan kereta sorong yang ditolak oleh lelaki berusia 54 tahun dan dua orang kawannya.

Walaupun bentuk pembayaran anak guamnya adalah luar biasa, Sutarto menegaskan bahawa Susilarto tiada sebarang niat jahat terhadap bekas isterinya, Hermi Setyowati.

"Tidak ada niat untuk timbulkan gangguan. Wang itu diperoleh daripada sumbangan rakan-rakan, simpanan tabung dan lain-lain," kata Sutarto memetik Detik.

Menurut laporan media, Setyowati berkata pembayaran itu adalah satu hinaan dan sindiran bahawa dia adalah seorang yang miskin.

Bagaimanapun, dia akhirnya menerima wang itu dan mahkamah mengarahkan kakitangannya untuk mengira wang tersebut.

Lelaki Bayar Nafkah 153 Juta Kepada Bekas Isteri Guna Duit Syiling

Menurut prosiding mahkamah, Susilarto memfailkan perceraian kerana mendakwa dia dan bekas isterinya tidak tinggal bersama selama sembilan tahun.

Mereka dilaporkan berkahwin mut'ah, sejenis perkahwinan kontrak bersifat sementara berdasarkan persetujuan antara kedua belah pihak.

Mahkamah syariah mengarahkan Setyowati dibayar 43 juta rupiah untuk perbelanjaan hidupnya tetapi selepas rayuan dibuat Mahkamah Syariah Jawa Tengah mendapati bahawa Susilarto harus membayar 178 juta rupiah kepadanya.

Pada 2013 seorang wanita Amerika membayar AS$50.12 kepada bekas suaminya dengan syiling yang dicampur dengan beras dan kacang.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar

Rakyat Malaysia Tak Perlu Lagi Bayar RM1 Di Hospital Kerajaan Tidak Benar!

Rakyat Malaysia Tak Perlu Lagi Bayar RM1 Di Hospital Kerajaan Tidak Benar!

Tular hantaran di Facebook kononnya bayaran RM1 tidak lagi digunakan di hospital kerajaan dan skim insurans dengan penolakan lima peratus dari gaji bulanan akan dimulakan tahun depan.

Caj RM1 hospital

Hantaran itu juga memaklumkan semua rakyat Malaysia akan dikenakan skim ini tanpa sebarang pengecualian dengan disertakan keratan akhbar tempatan bertajuk ‘Skim insurans kesihatan akan dilaksana Januari 2019’.

Mengulas lanjut mengenai dakwaan itu, Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan kenyataan yang tular dalam media sosial itu tidak benar dan spekulasi semata-mata.

Menurutnya, kenyataan yang mengatakan lima peratus daripada pendapatan bulanan akan ditolak bagi membiayai Skim Perlindungan Kesihatan B40 adalah tidak benar termasuk pemansuhan bayaran RM1 dan RM5 di fasiliti kesihatan kerajaan.

Untuk makluman, rakyat yang dikategorikan di bawah B40 akan dibiayai sepenuhnya di dalam skim ini atau diberikan subsidi penuh oleh kerajaan.

Dalam pada itu, perkhidmatan kesihatan dan perubatan di semua klinik dan hospital kerajaan adalah dikekalkan dan diteruskan seperti biasa.

Pihak KKM mengambil kesempatan ini untuk menyarankan masyarakat supaya tidak mempercayai spekulasi dan fitnah yang dikeluarkan segelintir pihak tertentu bagi mengelakkan kekeliruan serta salah faham.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani

Misteri Binaan Batu Stonehenge Belum Terungkai

Misteri Binaan Batu Stonehenge Belum Terungkai

Pelbagai misteri menyelubungi binaan batu Stonehenge di Wiltshire, England menyebabkan ahli arkeologi dan penyelidik terus menjalankan kajian bagi memecahkan bermacam teka-teki yang terselindung di sebalik pembinaan monumen aneh berkenaan.

Misteri Batu Stonehenge Belum Terungkai

Stonehenge terdiri daripada batuan raksasa yang disusun berdiri dan bertindih membentuk seakan huruf `'l', `n' dan `m' sehingga menjadi formasi satu bulatan.

Di bahagian monumen Stongehenge terdapat lingkaran parit yang memiliki diameter sekitar 115 meter dengan sebuah pintu gerbang di bahagian timur laut. Di bahagian luarnya pula terdapat kira-kira 59 lubang yang dikenal sebagai lubang Aubrey.

Sejak ribuan tahun, proses pembinaan Stonehenge membingungkan ramai penyelidik dan ahli kaji purba.

Tatkala melihat betapa anehnya binaan monumen purba itu, pelbagai persoalan menjengah ke kotak pemikiran - apakah tujuan ia dibina, apakah erti susunan dan reka bentuk batu itu, siapa yang membinanya serta bila ia dibangunkan?

Antara misteri yang terus menyelubungi Stonehenge selama ribuan tahun adalah proses pembinaannya yang nyata membingungkan ramai penyelidik dan ahli kaji purba.

Asal batu

Ini disebabkan batu biru raksasa yang digunakan untuk membangunkan Stonehenge dikatakan berasal dari pergunungan Prescelly, Wales yang terletak lebih 300 kilometer dari lokasi ia dibina.

Memikirkan ada kira-kira 80 batu digunakan untuk membina Stonehenge, malah beratnya melebihi puluhan tan setiap satu, pasti sukar mencari kaedah bagi memindahkan batu itu menyusuri lembah berbukit dan lautan sejauh Kuala Lumpur ke Johor Bahru.

Tambahan pula binaan itu dibangunkan lebih 4,000 tahun lalu tatkala zaman ketika itu digambarkan kuno dari segi sains dan teknologi justeru, bagaimana pembuatnya mengangkut batu yang amat berat itu sejauh ratusan kilometer?

Binaan Stonehenge di Wiltshire, England dibangunkan lebih 4,000 tahun lalu tatkala zaman ketika itu digambarkan kuno dari segi sains dan teknologi.

Persoalan itu terus diperdebatkan sehingga kini, namun jawapan yang benar-benar pasti bagi merungkai teka-teki itu masih menjadi misteri. Jawapan yang ada pula hanyalah teori yang terlintas di minda pengkaji dan penyelidik.

Ada ahli geologi mengemukakan pendapat batu itu sampai ke Wiltshire akibat dihanyutkan glasier pada zaman ais, sekali gus menyangkal teori yang dikemukakan lebih awal bahawa ia dibawa dari kawasan pergunungan dengan usaha dan tenaga manusia menyebabkan Stonehenge mengambil masa lama untuk disiapkan.

Malah, teori batu berat itu dibawa manusia merentasi bukit dan lautan untuk sampai ke lokasi pembinaan terbukti sukar dilaksanakan berdasarkan eksperimen yang dijalankan pada tahun 2001.

Dalam uji kaji menggunakan kayu balak dan tali itu, sukarelawan berjaya menarik batu berkenaan di atas kayu luncur di daratan tetapi apabila diangkut ke replika bot prasejarah bagi dipindah mengikut jalan laut merentasi Selat Bristol, batu itu tenggelam.

Misteri menyelubungi binaan batu Stonehenge di Wiltshire, England menyebabkan ahli arkeologi dan penyelidik terus menjalankan kajian.

Tenaga ratusan orang

Tanpa kayu peluncur itu, usaha mengangkat dan membawa batu raksasa yang beratnya mencapai puluhan tan itu memerlukan tenaga ratusan orang.

Kesukaran memecahkan misteri batu biru raksasa itu menyebabkan ada pihak mengemukakan teori mudah iaitu batu itu dipindahkan gergasi, makhluk asing selain menggunakan jin dan ilmu sihir.

Selain itu, tarikh sebenar monumen itu mula dibangunkan juga mencetuskan kontroversi. Sebahagian besar ahli arkeologi berpendapat tempat itu dibangunkan sekitar 2,500 Sebelum Masihi (SM) dan 2,000 SM. Sesetengah yang lain berpendapat ia dibina sekitar abad 3,100 SM.

Teori lebih menarik adalah proses pembinaan itu dilakukan selama kira-kira 2,000 tahun sebelum siap dan tugas membangunkannya diwarisi dari generasi ke generasi. Prosesnya dimulakan sekitar 3,100 SM dan siap pada 1,100 SM.

Tanah perkuburan

Pastinya pembinaan Stonehenge adalah suatu yang amat penting jika memikirkan penduduk sanggup menghabiskan seumur hidup mereka, malah selama puluhan generasi semata-mata untuk menyiapkannya. Tetapi persoalannya, apakah tujuan ia dibina?

Ada beberapa teori dikemukakan berhubung fungsi atau tujuan Stonehenge. Antaranya, lokasi itu dikatakan sebagai tanah perkuburan.

Stonehenge juga dikatakan pernah menjadi tugu peringatan kepada 400 bangsawan yang dibunuh pemerintah, Hengist pada tahun 472 kerana dianggap pengkhianat.

Teori lain mengatakan Stonehenge dibangunkan sebagai kuil pemujaan dukun, bahkan ramai yang percaya bahawa monumen itu berkait rapat dengan legenda Merlin, ahli sihir tersohor di kawasan itu.

Bagaimanapun pendapat itu disangkal beberapa penyelidik kerana praktik dan amalan dukun dikatakan masih belum wujud di England sehingga tahun 250 SM.

Tempat itu juga dikatakan candi pemujaan milik bangsa Romawi yang dipersembahkan untuk Dewa Caelus, selain dibangunkan untuk memuja langit.

Baru-baru ini, beberapa penyelidik dari Kanada tampil mengemukakan teori bahawa Stonehenge adalah simbol kepada kemaluan wanita berdasarkan struktur kedudukan batu itu yang dikatakan menyerupai struktur anatomi seksual wanita.

Teori lebih ilmiah pula mengatakan fungsi Stonehenge adalah sebagai lokasi mengkaji astronomi dan digunakan untuk mengira kedudukan bintang dan perhitungan kalendar.

Diceritakan, menerusi reka bentuk dan kedudukan batu itu, ahli astronomi purba mampu meramal dan menanda berbagai peristiwa penting dalam kalendar prasejarah seperti mengukur pergerakan matahari, bulan, bintang dan mampu menganggarkan waktu pertukaran musim.

Malah teori ala fiksyen mengaitkan lokasi monumen itu sebagai tapak pendaratan kapal angkasa makhluk asing.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: bharian

Tuesday, August 28, 2018

Tiada Anugerah Gelaran Tun, Tan Sri Dan Datuk Bagi Tahun 2018

Tiada Anugerah Gelaran Tun, Tan Sri Dan Datuk Bagi Tahun 2018

Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V tidak akan memperkenankan sebarang darjah kebesaran pada Hari Keputeraan baginda yang akan disambut pada 9 September ini, menurut sumber diraja.

Tiada Anugerah Gelaran Tun, Tan Sri Dan Datuk Tahun 2018 Ini

Difahamkan, Jabatan Perdana Menteri dan raja-raja di negeri lain telah dimaklumkan bahawa Sultan Muhammad V buat kali pertamanya akan meraikan Hari Keputeraan baginda tanpa upacara itu.

Sebelum ini, jawatankuasa 'vetting' yang dipengerusikan oleh perdana menteri termasuk Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Polis Negara akan mengkaji dan mencadangkan nama penerima darjah kebesaran terutamanya Tun, Tan Sri dan Datuk.

Mereka yang dianugerahkan darjah kebesaran tersebut secara kebiasaannya akan dimaklumkan secara rasmi sekurang-kurangnya dua minggu sebelum majlis tersebut berlangsung untuk membolehkan mereka membuat persiapan termasuk latihan di istana.

"Kali ini, tiada siapa daripada mereka yang dicadangkan menerima sebarang pemberitahuan rasmi.

"Pendek kata, tidak ada senarai gelaran kehormat pada tahun ini," kata sumber.

Setakat ini, masih tidak diketahui sebab di sebalik keputusan Agong tersebut dan tiada kenyataan dibuat oleh istana atau Pejabat Perdana Menteri.

Senarai penerima darjah kebesaran itu dirasakan "luar biasa panjang" pada tahun lepas iaitu sebanyak 1,518 orang.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar

KWSP: Waspada Penipuan Whatsapp, Sms Palsu Dan Emel

KWSP: Waspada Penipuan Whatsapp, Sms Palsu Dan Emel

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengingatkan ahli supaya berwaspada dengan pelbagai mesej palsu dan penipuan yang tersebar melaui media sosial, emel, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan WhatsApp.

Penipuan-KWSP

KWSP tidak melantik atau mengiktiraf mana-mana pihak ketiga untuk mengendalikan sebarang permohonan pengeluaran ahli.

Ahli yang ingin membuat pengeluaran boleh berurusan secara terus dengan KWSP tanpa sebarang pembayaran.

Ahli disarankan supaya berwaspada apabila menerima sebarang mesej melibatkan KWSP dan tidak terpengaruh dengan mesej palsu sebegini.

Ahli juga perlu mengelak daripada menghubungi nombor telefon yang tertera pada SMS/WhatsApp atau berurusan dengan penghantar mesej palsu tersebut.

KWSP memandang serius tindakan yang sengaja menyebarkan maklumat bertujuan menimbulkan kekeliruan dan keresahan ahli, serta mana-mana cubaan memancing data (phishing), menggunakan laman web palsu, yang bertujuan memperoleh maklumat akaun ahli KWSP secara penipuan.

Maklumbalas KWSP mengenai maklumat PALSU yang disebarkan;
  • Pembiayaan KWSP Kepada PFI Teratur.
  • Waspada Dengan Tawaran Menggunakan Logo KWSP.
  • KWSP: Mesej Whatsapp Mengenai Insentif Warga Emas RM2,500 Adalah Palsu.
  • KWSP Sangkal Dakwaan Sarawak Report.
  • Kenyataan Media KWSP-PNB Berkenaan Cadangan Pembelian Battersea Power Station.
  • KWSP: Dakwaan Mengubah Penamaan Adalah Palsu.
  • Jawapan KWSP Mengenai Tuduhan Membeli Pesawat Untuk MAS.
  • Jawapan KWSP Mengenai Isu KWSP-BNM-FOREX.
  • Tadbir Urus Pelaburan KWSP.
  • KWSP Bayar Dividen Sehingga Umur 100 Tahun.
  • Jangan Terpedaya Sindiket Penipuan Pengeluaran KWSP.
  • Tular Mengenai Penamaan Tidak Benar.
  • KWSP Tidak Lagi Pegang Saham Dalam FGV.
  • Mesej Audio Whatsapp Mengenai Pengeluaran Umur 55 Tahun.
  • Maklumbalas KWSP Mengenai Jawatan Kosong Palsu.
  • Pinjaman RM1.2 Bilion KWSP Melindungi Daripada Risiko Pertukaran Matawang Asing.
  • KWSP Teruskan Bayaran Dividen Umur Melebihi 75 Tahun.
  • Bantuan RM2,500 Setiap 6 Bulan Kepada Semua Pemegang/Pencarum KWSP.
  • Kenyataan Mengenai Pelaburan Patuh Shariah KWSP.
  • Holding Statement Berkenaan Pemilikan Saham Dalam Berjaya Sport Toto.
  • Whatsapp Berantai Mengenai Inisiatif Penambahbaikan Simpanan Persaraan.
  • Email/Whatsapp/Facebook Berantai Mengenai Bantuan Kematian KWSP.
  • Chain Email on Nomination Records Missing.
  • Chain Email on Nomination of Age 55 Members.
  • Chain Email on Nomination.
  • Chain Email on Dividends on Monthly Housing Withdrawals.

Anda boleh merujuk kenyataan balas KWSP terhadap maklumat palsu di pautan ini: http://www.kwsp.gov.my/portal/ms/web/kwsp/general/chain-email

Mesej dakwa insentif RM6,000 buat pencarum disahkan palsu

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengenal pasti sebuah mesej yang tular mendakwa pencarum yang bekerja antara 1990 dan 2018 layak mendapat insentif RM6,000.

Dalam satu kenyataan, KWSP menyebut, mesej yang tular itu dan kandungannya adalah palsu dan tidak berkaitan dengan agensi berkenaan.

“Mesej berkenaan juga mempunyai pautan ke laman sesawang palsu KWSP, meminta orang ramai menjawab kaji selidik bagi menyemak kelayakan mereka untuk menerima insentif berkenaan di laman sesawang palsu itu,” kata kenyataan itu.

Menurut EPF, pihaknya percaya ini adalah cubaan penipuan data peribadi pencarum untuk tujuan berunsur jenayah.

Pencarum digesa tidak menjawab sebarang kaji selidik atau memberikan data peribadi kepada pihak ketiga yang tidak disahkan dan tidak menyebarkan mesej tular berkenaan.

Untuk mendapatkan penjelasan dan maklumat lanjut, ahli mahupun orang awam boleh menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di talian 03-89226000 atau berkunjung ke mana-mana kaunter KWSP berdekatan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: kwsp

'Pemeluk Profesional' Dibayar RM157 Sejam Untuk Ceriakan Pelanggan

'Pemeluk Profesional' Dibayar RM157 Sejam Untuk Ceriakan Pelanggan

Tiada apa yang lebih baik melegakan daripada mendapat pelukan erat ketika anda melalui rasa sedih yang kadang-kadang, hanya dengan satu pelukan sudah mencukupi untuk membuatkan seseorang melupakan apa yang dilalui mereka.

'Pemeluk Profesional' Dibayar RM157 Sejam Untuk Ceriakan Pelanggan

Sesetengah orang mempunyai kelebihan seperti memberikan dakapan menyenangkan dan jika anda salah seorang daripada mereka, anda mungkin berpeluang menjana pendapatan daripadanya.

Memetik laporan Mirror UK, sebuah syarikat korporat melancarkan acara pembinaan pasukan pertama di dunia dalam kalangan rakan sekerja dakapan.

Syarikat tersebut mencari pendakap profesional untuk mengendalikan sesi tersebut dan mereka akan dibayar sehingga £30 (RM157) sejam.

Bengkel Mendakap Seorang Rakan Sekerja yang dijalankan oleh Team Tactics direka untuk mempromosikan ikatan dan pelepas tekanan yang menggunakan kaedah menenangkan jiwa dari Maghribi dan India.

Dakapan dan sentuhan kulit ke kulit menggalakkan pelepasan hormon gembira iaitu serotonin dan oksitosin yang mempengaruhi kelakuan sosial dan emosi.

Pengarah urusan Tina Benson berkata, "Pembinaan pasukan adalah perniagaan dan kami sentiasa mencari kaedah baharu untuk membantu pekerja di United Kingdom berasa lebih erat antara rakan sekerja.

"Kami tahu ini adalah perkara baharu dan mungkin tidak sesuai untuk semua orang, tapi sains memang sudah wujud dan kami hanya mengujinya!"

Sesi tersebut yang dilaksanakan ke atas empat dan 20 orang sekumpulan bermula dengan sesi berbual untuk berbincang tentang sikap negatif rakan mereka.

Pendakap profesional yang mengendalikan sesi tersebut perlu mempunyai pengalaman dengan peranan yang seakan sama dan latar belakang psikologi atau kelayakan berkaitan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar

Misteri Peta Piri Cetus Keanehan Antartika

Misteri Peta Piri Cetus Keanehan Antartika

Peta Piri tidak sepatutnya wujud di dunia ini. Begitulah tanggapan logik ramai pihak berikutan ketika peta purba misteri ini dihasilkan, iaitu sekitar abad ke-16, ketika manusia masih belum lagi menemui Antartika.

Misteri Peta Piri Cetus Keanehan Antartika

Bagaimanapun, sesuatu yang aneh dan membingungkan adalah peta itu memaparkan bentuk muka bumi Kutub Selatan beratus tahun lebih awal sebelum dijumpai manusia.

Bagaimana Antartika boleh tertera pada peta itu, sedangkan benua ini masih belum ditemui ketika peta itu dihasilkan?.

Adakah manusia pada zaman purba sudah berjaya sampai ke kawasan itu atau berjaya mencipta pesawat yang mampu terbang tinggi ke angkasa untuk melukis peta itu?

Itulah antara persoalan membingungkan apabila memikirkan teka-teki di sebalik kewujudan Peta Piri.

Misteri membabitkan Peta Piri yang memaparkan kawasan Amerika Selatan, pantai barat Eropah, Afrika Utara dan Antartika, terbongkar selepas dijumpai dalam Istana Topkapi, Istanbul, Turki, ketika bangunan itu ditukarkan menjadi muzium pada 1929.

Sejak dijumpai, misteri peta itu terus menjadi perhatian penyelidik yang bingung memikirkan bagaimana peta kuno itu menunjukkan Antartika yang sebelum ini direkodkan ditemui buat pertama kali pada 1820.

Peta itu dilukis Laksamana Turki, Hadji Muhiddin Piri Ibn Hadji Mehmed atau digelar Piri Reis pada 1513 dan tokoh itu menyatakan bahawa dia melukis peta itu berdasarkan beberapa peta purba yang ditemuinya.

Lebih membingungkan ialah terdapat bahagian peta Antartika yang kelihatan seakan bentuk pesisir Queen Maud Land sebelum diliputi ais selama ratusan tahun hingga kini.

Bentuk asal Queen Maud Land sebelum diliputi ais tebal hanya diketahui pada zaman moden, iaitu selepas peralatan seismografik moden dicipta. Bagaimanapun, Peta Piri lebih awal menunjukkan bentuk asal itu ratusan tahun lalu!?

Penemuan itu menyebabkan ramai pihak mengandaikan bahawa terdapat tamadun pada zaman kuno yang mengetahui kewujudan Antartika, lebih awal daripada rekod penemuan manusia moden pada abad ke-19, malah lebih awal sebelum kawasan Queen Maud Land diliputi ais.

Pelbagai persoalan mengenai peta itu menarik minat ramai penyelidik untuk mengkaji misteri yang terselindung di sebalik penghasilannya.

Bingung dengan misteri berkenaan menyebabkan Profesor Charles H Hapgood dan beberapa pelajarnya di Universiti New Hampshire, mula mengkaji dengan teliti Peta Piri dan beberapa peta purba lain.

Sebaik selesai, beliau menuliskan hasil kajian dalam bukunya, `Maps of the Ancient Sea Kings' yang antara lain mencadangkan pada zaman purba, sudah wujud satu tamadun hebat dari segi sains dan teknologi yang menjelajah seluruh dunia purba dan menghasilkan peta muka bumi pada zaman itu.

Teori Hapgood secara tidak langsung menyokong kewujudan Atlantis yang sering diceritakan sebagai tamadun futuristik yang memiliki pesawat terbang pada zaman purba.

Seorang lagi pengkaji, Gavin Menzies, turut bersetuju dengan teori Hapgood, tetapi berpendapat bahawa tamadun hebat itu adalah China.

Dalam bukunya `1421: The Year China Discovered America', Menzies menyatakan pada zaman dulu, China sudah menjelajah ke seluruh pelosok dunia dan menjumpai Antartika lebih awal daripada rekod penemuan moden pada 1820.

Misteri Peta Piri Cetus Keanehan Antartika
Buku `Maps of the Ancient Sea Kings' (kiri) dan wajah Laksamana Turki, Hadji Muhiddin Piri Ibn Hadji Mehmed atau digelar Piri Reis.

Menurutnya, manusia pertama menjumpai Antartika adalah bangsa China, iaitu Laksamana Hong Bo yang melakukan pelayaran ke Kutub Selatan antara 1421 hingga 1423.

Bagaimanapun, pihak yang mencurigai pandangan ini menafikan bahawa Antartika sudah ditemui dan dilakar dalam peta lebih awal dari 1820.

Sebaliknya, mereka berpandangan bahawa pada zaman purba, pembuat peta akan melukis satu kawasan daratan di bawah peta sebagai `tekaan' bahawa wujud satu dunia lain yang masih belum ditemui.

`Tekaan' itu kemudian secara kebetulan didapati benar-benar wujud di kawasan Antartika. Bagaimanapun jika secara kebetulan, bagaimana pula bentuk Queen Maud Land sebelum diliputi ais pada peta itu menyamai penemuan sains moden?

Teori lebih radikal mengenai Peta Piri dikemukakan penulis, Eric Von Daniken yang mendapati bahawa bentuk muka bumi peta itu sebenarnya dirakamkan dari angkasa dan menyamai bentuk peta yang dirakamkan dari udara Kaherah, Mesir.

Beliau mencadangkan bahawa peta itu dirakamkan dari UFO ketika makhluk asing datang melawat bumi pada zaman purba!

Info Peta Piri
  • Kini ditempatkan di Perpustakaan Istana Topkapi di Istanbul, Turki tetapi jarang dipamerkan kepada umum.
  • Dijumpai dalam Istana Topkapi ketika bangunan itu ditukarkan menjadi muzium pada 1929.
  • Dihasilkan pada 1513 oleh Laksamana Turki, Hadji Muhiddin Piri Ibn Hadji Mehmed atau digelar Piri Reis.
  • Menimbulkan misteri apabila terdapat lakaran muka bumi Antartika sedangkan kutub selatan itu hanya dijumpai pada 1820.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: bharian

Monday, August 27, 2018

Fathia Latiff Akui Merokok, Penat Hidup Hipokrit

Fathia Latiff Akui Merokok, Penat Hidup Hipokrit

Setelah agak lama mendiamkan diri, pelakon Fathia Latiff kembali menjadi buah mulut netizen apabila secara terbuka menghisap rokok ketika bersiaran langsung menerusi Instagram bersama rakan baiknya Zarina Anjoulie.

Fathia Latiff Merokok

Tindakannya itu mengundang kecaman netizen yang beranggapan kerana tidak sesuai dengan dirinya sebagai wanita bertudung.

Fathia menerusi Berita Harian mengatakan dia merasa terbeban hidup sebagai selebriti dan terpaksa berpura-pura dengan status dipegangnya itu.

Nak kutuk, caci, silakan!

Menurutnya, status selebriti dan dikenali ramai seolah mengongkong kemahuan dan kehendak dirinya bertinfak bebas tidak seperti orang lain.

Pun begitu, dia sedar peminat mahu dirinya berubah ke arah lebih baik namun dia juga manusia biasa, katanya lagi.

"Saya terbeban membawa status selebriti, malah nama Fathia Latiff itu seperti menyekat kehendak dan kemahuan diri. Saya tahu, orang luar mahu saya berubah menjadi baik, tetapi mereka lupa saya juga manusia biasa.

"Saya pernah cuba berubah, tetapi perasaan saya tidak tenteram apabila terpaksa bersikap hipokrit. Saya tidak mampu hidup berpura-pura. Penat rasanya hidup dalam penipuan.

"Hari ini, saya tidak mahu mempedulikan lagi cemuhan netizen. Selama mana mereka mahu mengutuk dan mencaci saya, silakan!"

Keluarga nasihat berhenti merokok

Tambah Fathia lagi, keluarganya sudah sedia maklum mengenai dirinya yang merokok dan selalu memberi nasihat kepadanya untuk menghentikan tabiat itu.

Namun, dia masih belum mampu berbuat demikian dan sedang berusaha menanganinya.

"Saya tidak malu mengakui, saya seorang perokok. Keluarga juga tahu saya merokok, malah sering menasihatkan saya supaya membuang tabiat buruk itu.

"Buat masa ini, saya masih belum mampu meninggalkan tabiat itu sepenuhnya, tetapi sedang berusaha mengurangkannya. Biarlah saya berhenti secara perlahan-lahan.

"Sebelum ini, apabila saya cuba berselindung, saya menjadi semakin memberontak. Saya tidak kisah jika ada yang anggap saya bukan gadis baik, asalkan saya tahu batasan hidup," katanya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: bharian