Thursday, May 03, 2018

Apa Sebenarnya Keistimewaan Gelaran Dato'


Di Malaysia, terlalu banyak gelaran seperti Dato', Tan Sri, Datuk Seri dan Datuk di berikan kepada individu tertentu yang banyak berjasa kepada negara sama ada dalam bidang politik, sukan, hiburan, akademik mahupun ekonomi.

Apa Sebenarnya Keistimewaan Gelaran Dato'
Gambar hiasan.

Dunia hiburan turut tidak terkecuali, semakin ramai selebriti yang diberi pengiktirafan ini termasuk Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Sheila Majid, Datuk Sharifah Aini, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Michelle Yeoh, Datuk Yusof Haslam, Datuk M Daud Kilau, Datuk DJ Dave dan Datuk AC Mizal.

Menariknya, bukan sahaja selebriti di negara kita, malah pengurniaan ini turut diberikan kepada selebriti antarabangsa termasuk Datuk Shah Rukh Khan dan Datuk Rossa,

Tidak kiralah pengurniaan berkenaan dari negeri mana sekali pun, gelaran itu pastinya memberi semangat kepada mereka untuk lebih berjaya lagi.

Berbicara mengenai pengurniaan kepada golongan selebriti, teringat akan kisah seniman terkenal yang terpaksa hidup dalam kesempitan walaupun bergelar Datuk!

Gelaran itu nyata tidak membantu dirinya untuk hidup lebih selesa malah, turut berdepan dengan golongan yang menuntut sumbangan dan bantuan sedangkan mereka sendiri turut mengharapkan belas daripada orang lain ketika terdesak untuk membeli bekalan ubat-ubatan.

Jangankan menghulurkan bantuan, malah ada di kalangan Datuk ini juga turut menerima bantuan kerajaan seperti Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M), Baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Persoalannya, adakah gelaran itu hanya untuk pengiktirafan dan penghargaan semata-mata? Adakah ianya wajar diterima walaupun boleh menyebabkan diri mereka dimalukan sedemikian rupa?

Berikut merupakan pandangan Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez, sebagai wakil industri mengenai perkara ini.

Semakin hari, ramai golongan selebriti yang menerima anugerah dan gelaran Datuk. Apa pandangan anda?

Sejujurnya, ia adalah satu perkara yang perlu dibanggakan kerana masih ada yang nampak akan kerja-kerja individu berkenaan walaupun bergelar artis.

Bagi penerima pula, mereka harus bersyukur dengan pengiktirafan itu dan berusaha sebaik mungkin untuk lebih berjaya lagi di masa akan datang.

Adakah gelaran Datuk ini penting bagi golongan selebriti?

Sebenarnya, isu ini agak sensitif untuk dibincangkan secara terbuka, ia adalah pengiktirafan sesebuah kerajaan atau negeri kepada individu yang dirasakan banyak melakukan sesuatu yang istimewa untuk pihak berkenaan.

Namun, ia hanyalah satu penghormatan yang harus dihargai namun, tidak bermakna yang belum dapat penghargaan seumpama ini tidak boleh berjaya. Mereka perlu berusaha dan melakukan sesuatu perkara dengan cara yang lebih kreatif untuk berjaya.

Bagaimana pula dari segi karier? Adakah gelaran ini dapat 'membantu' golongan selebriti?

Ya, mungkin sedikit sebanyak pengiktirafan ini dapat membantu mereka dalam industri contohnya, mungkin pandangan atau saranan mereka dalam hal berkaitan industri atau kerja yang dilakukan akan dipertimbangkan.

Namun, penerima gelaran ini akan lebih dihormati tetapi, tidak bermakna mereka yang belum diberi pengiktirafan itu tidak diendahkan.

Adakah gelaran Datuk ini boleh memberikan keistimewaan kepada seseorang selebriti itu termasuk dalam mendapatkan peluang pekerjaan, tender atau projek dalam industri?

Kerja seseorang selebriti itu bukan dinilai daripada pangkat mereka malah, hal yang berkaitan kerja adalah bergantung kepada tahap profesional seseorang dan keupayaannya melakukan sesuatu.

Sebenarnya, apa-apa gelaran itu tidak membantu sekiranya kita tiada kemahiran.

Malah, penerima gelaran perlu memastikan agar hasil kerjanya tidak 'memalukan' diri sendiri dan gelaran yang diperoleh.

Mereka juga perlu bekerja lebih keras lagi agar setiap perkara yang dilakukan dapat menjaga imej serta nama baik pemberi anugerah itu.

Bagaimana pula dengan seniman yang terpaksa meneruskan kehidupan dalam serba kekurangan walaupun bergelar Datuk? Adakah mereka tidak seharusnya menerima tawaran berkenaan?

Tidak dinafikan, ramai dalam kalangan seniman yang bergelar Datuk terpaksa hidup dalam kesempitan.

Kita bersimpati dengan nasib dan kehidupan mereka kerana apabila sudah berusia, mereka tidak mampu untuk bekerja lagi. Hanya mengharapkan bantuan daripada anak-anak, itu pun kalau anak-anak senang.

Kalau susah juga, terpaksalah mereka hidup dalam kesederhanaan.

Namun, apa boleh buat, tiada peruntukan bulanan untuk mereka yang bergelar Datuk namun, sekiranya mereka meminta sumbangan ataupun jatuh sakit, Ahli Jawatankuasa (AJK) Persatuan Karyawan Malaysia akan datang menghulurkan bantuan dan sumbangan.

Pun begitu, sesiapapun tiada hak melarang mereka daripada menerima gelaran berkenaan kerana ia adalah hak peribadi.

Malah, pengurniaan itu adalah berdasarkan pengiktirafan dan pencapaian mereka kepada industri dan bidang diceburi. Mereka ada hak untuk terima ataupun tolak.

Namun, boleh katakan bahawa gelaran itu tidak menjamin kepada kehidupan yang lebih baik. Kita tidak boleh lari daripada realiti hidup di mana kehidupan ini tidak boleh harapkan gelaran semata-mata.

Gelaran ini turut mencipta kontroversi apabila ada segelintir pihak yang mempertikaikan penglibatan selebriti dalam pengurniaan. Ada juga yang mempersoalkan adakah gelaran itu diiktiraf ataupun tidak.

Sebenarnya, penghormatan itu bukan hanya dalam bidang industri semata-mata. Ada sebilangan artis yang aktif berkhidmat untuk negeri masing-masing, ada yang membuat kerja-kerja amal secara peribadi dan kerjasama dengan kerabat diraja.

Jadi, kita sendiri tak tahu dan tidak nampak apakah keistimewaan yang mereka lakukan untuk pihak berkenaan.

Usahlah kita pertikai di mana, bagaimana dan siapa yang memberi kerana ia dilihat lebih menjurus kepada masalah hati. Jasa yang mereka lakukan mungkin tidak kita ketahui dan belajarlah untuk terima kejayaan orang lain.

Ada baiknya jika ia dilihat sebagai rezeki masing-masing. Mungkin suatu hari nanti, kita akan menerima gelaran ini atas usaha kita sendiri.

Siapa tahu kan? Tidak kiralah ia diiktiraf mahupun tidak, kita perlu memandangnya dari sudut positif. Setiap kerja yang dilakukan pasti ada imbuhannya dan kita perlu menerimanya atas nama rezeki.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: sinarharian

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon