Wednesday, August 29, 2018

Misteri Binaan Batu Stonehenge Belum Terungkai


Pelbagai misteri menyelubungi binaan batu Stonehenge di Wiltshire, England menyebabkan ahli arkeologi dan penyelidik terus menjalankan kajian bagi memecahkan bermacam teka-teki yang terselindung di sebalik pembinaan monumen aneh berkenaan.

Misteri Batu Stonehenge Belum Terungkai

Stonehenge terdiri daripada batuan raksasa yang disusun berdiri dan bertindih membentuk seakan huruf `'l', `n' dan `m' sehingga menjadi formasi satu bulatan.

Di bahagian monumen Stongehenge terdapat lingkaran parit yang memiliki diameter sekitar 115 meter dengan sebuah pintu gerbang di bahagian timur laut. Di bahagian luarnya pula terdapat kira-kira 59 lubang yang dikenal sebagai lubang Aubrey.

Sejak ribuan tahun, proses pembinaan Stonehenge membingungkan ramai penyelidik dan ahli kaji purba.

Tatkala melihat betapa anehnya binaan monumen purba itu, pelbagai persoalan menjengah ke kotak pemikiran - apakah tujuan ia dibina, apakah erti susunan dan reka bentuk batu itu, siapa yang membinanya serta bila ia dibangunkan?

Antara misteri yang terus menyelubungi Stonehenge selama ribuan tahun adalah proses pembinaannya yang nyata membingungkan ramai penyelidik dan ahli kaji purba.

Asal batu

Ini disebabkan batu biru raksasa yang digunakan untuk membangunkan Stonehenge dikatakan berasal dari pergunungan Prescelly, Wales yang terletak lebih 300 kilometer dari lokasi ia dibina.

Memikirkan ada kira-kira 80 batu digunakan untuk membina Stonehenge, malah beratnya melebihi puluhan tan setiap satu, pasti sukar mencari kaedah bagi memindahkan batu itu menyusuri lembah berbukit dan lautan sejauh Kuala Lumpur ke Johor Bahru.

Tambahan pula binaan itu dibangunkan lebih 4,000 tahun lalu tatkala zaman ketika itu digambarkan kuno dari segi sains dan teknologi justeru, bagaimana pembuatnya mengangkut batu yang amat berat itu sejauh ratusan kilometer?

Binaan Stonehenge di Wiltshire, England dibangunkan lebih 4,000 tahun lalu tatkala zaman ketika itu digambarkan kuno dari segi sains dan teknologi.

Persoalan itu terus diperdebatkan sehingga kini, namun jawapan yang benar-benar pasti bagi merungkai teka-teki itu masih menjadi misteri. Jawapan yang ada pula hanyalah teori yang terlintas di minda pengkaji dan penyelidik.

Ada ahli geologi mengemukakan pendapat batu itu sampai ke Wiltshire akibat dihanyutkan glasier pada zaman ais, sekali gus menyangkal teori yang dikemukakan lebih awal bahawa ia dibawa dari kawasan pergunungan dengan usaha dan tenaga manusia menyebabkan Stonehenge mengambil masa lama untuk disiapkan.

Malah, teori batu berat itu dibawa manusia merentasi bukit dan lautan untuk sampai ke lokasi pembinaan terbukti sukar dilaksanakan berdasarkan eksperimen yang dijalankan pada tahun 2001.

Dalam uji kaji menggunakan kayu balak dan tali itu, sukarelawan berjaya menarik batu berkenaan di atas kayu luncur di daratan tetapi apabila diangkut ke replika bot prasejarah bagi dipindah mengikut jalan laut merentasi Selat Bristol, batu itu tenggelam.

Misteri menyelubungi binaan batu Stonehenge di Wiltshire, England menyebabkan ahli arkeologi dan penyelidik terus menjalankan kajian.

Tenaga ratusan orang

Tanpa kayu peluncur itu, usaha mengangkat dan membawa batu raksasa yang beratnya mencapai puluhan tan itu memerlukan tenaga ratusan orang.

Kesukaran memecahkan misteri batu biru raksasa itu menyebabkan ada pihak mengemukakan teori mudah iaitu batu itu dipindahkan gergasi, makhluk asing selain menggunakan jin dan ilmu sihir.

Selain itu, tarikh sebenar monumen itu mula dibangunkan juga mencetuskan kontroversi. Sebahagian besar ahli arkeologi berpendapat tempat itu dibangunkan sekitar 2,500 Sebelum Masihi (SM) dan 2,000 SM. Sesetengah yang lain berpendapat ia dibina sekitar abad 3,100 SM.

Teori lebih menarik adalah proses pembinaan itu dilakukan selama kira-kira 2,000 tahun sebelum siap dan tugas membangunkannya diwarisi dari generasi ke generasi. Prosesnya dimulakan sekitar 3,100 SM dan siap pada 1,100 SM.

Tanah perkuburan

Pastinya pembinaan Stonehenge adalah suatu yang amat penting jika memikirkan penduduk sanggup menghabiskan seumur hidup mereka, malah selama puluhan generasi semata-mata untuk menyiapkannya. Tetapi persoalannya, apakah tujuan ia dibina?

Ada beberapa teori dikemukakan berhubung fungsi atau tujuan Stonehenge. Antaranya, lokasi itu dikatakan sebagai tanah perkuburan.

Stonehenge juga dikatakan pernah menjadi tugu peringatan kepada 400 bangsawan yang dibunuh pemerintah, Hengist pada tahun 472 kerana dianggap pengkhianat.

Teori lain mengatakan Stonehenge dibangunkan sebagai kuil pemujaan dukun, bahkan ramai yang percaya bahawa monumen itu berkait rapat dengan legenda Merlin, ahli sihir tersohor di kawasan itu.

Bagaimanapun pendapat itu disangkal beberapa penyelidik kerana praktik dan amalan dukun dikatakan masih belum wujud di England sehingga tahun 250 SM.

Tempat itu juga dikatakan candi pemujaan milik bangsa Romawi yang dipersembahkan untuk Dewa Caelus, selain dibangunkan untuk memuja langit.

Baru-baru ini, beberapa penyelidik dari Kanada tampil mengemukakan teori bahawa Stonehenge adalah simbol kepada kemaluan wanita berdasarkan struktur kedudukan batu itu yang dikatakan menyerupai struktur anatomi seksual wanita.

Teori lebih ilmiah pula mengatakan fungsi Stonehenge adalah sebagai lokasi mengkaji astronomi dan digunakan untuk mengira kedudukan bintang dan perhitungan kalendar.

Diceritakan, menerusi reka bentuk dan kedudukan batu itu, ahli astronomi purba mampu meramal dan menanda berbagai peristiwa penting dalam kalendar prasejarah seperti mengukur pergerakan matahari, bulan, bintang dan mampu menganggarkan waktu pertukaran musim.

Malah teori ala fiksyen mengaitkan lokasi monumen itu sebagai tapak pendaratan kapal angkasa makhluk asing.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: bharian

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon