Monday, April 16, 2018

Siapa Sebenarnya Houthi Yang Menyerang Mekah Dan Diperangi Arab Saudi?

Siapa Sebenarnya Houthi Yang Menyerang Mekah Dan Diperangi Arab Saudi?

Puak Houthi adalah kelompok militan Syiah Zaidi yang aktif beroperasi di utara Yaman, juga disebut sebagai puak yang kuat dan digelar As-Shabab al-Muminin (Pemuda beriman), dinamakan sempena nama Badreddin Hussein al-Houthi, bekas komander Houthi, yang dilaporkan terbunuh semasa serangan tentera Yaman pada bulan September 2004.

Siapa Puak Houthi
Abdul Malik Badruddin Al-Houthi (kiri); Putera Mohammad Bin Salman (kanan).

Antara komander puak Houthi ialah Ali al-Qatwani, Abu Haider, Abbas Aidah dan Yousuf al-Madani (anak lelaki ipar Hussein al-Houthi) yang juga telah terbunuh oleh pasukan tentera Yaman.

Badreddin Hussein al-Houthi dikatakan pemimpin spiritual mereka.

Puak Houthi menegaskan mereka membela komuniti mereka dari tekanan kerajaan dan diskriminasi, tetapi kerajaan Yaman menyatakan Houthi mahu melaksana dan mengembangkan ajaran Syiah.

Houthi dilaporkan "berdoa dengan cara yang salah" dengan mengangkat lengan mereka, seperti kebiasaan antara Sunni di Yaman).

Selain itu, Puak Houthi juga memiliki sentimen anti-Amerika dan anti kerajaan Arab Saudi yang sangat tinggi.

Kerajaan Yaman juga menuduh Houthi mempunyai hubungan erat dengan kerajaan Iran, sebuah negara majoriti Syiah, namun mereka menafikan menyokong gerakan al-Qaeda.

Pemimpin Puak Houthi
  • Badreddin Hussein al-Houthi - Bekas pemimpin (terbunuh pada tahun 2004)
  • Abdul-Malik al-Houthi - Pemimpin
  • Yahia Badreddin al Houthi - Pemimpin Politik
  • Abdul-Karim al-Houthi - Komander quality kedudukan
  • Badr Eddin al-Houti - Pemimpin Spiritual
  • Abdullah ar-Ruzami - Bekas komander tentera (ditangkap pada tahun 2005)
  • Muhammad Abdus Salam

Pemberontakan 2010

Pada 22 Julai 2010, pemberontak Syiah Houthi yang telah berjuang dan berperang enam kali sejak 2004, telah melancarkan serangan terhadap penyokong kerajaan Yaman, seramai 20 orang terbunuh.

Seramai 50 orang telah terbunuh terutama di Harf Sufyan di wilayah Amran, kawasan yang dikuasai dan dikawal oleh puak penyokong kerajaaan, Bin Aziz.

Bagaimanapun, pemimpin Houthi mendakwa mereka berperang dengan kerajaan, bukan dengan puak yang lain.

Sejak Ogos 2009, ribuan penduduk telah berpindah dan terpaksa tinggal di dalam khemah yang disediakan oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Yaman dan PBB.

Professor Ahmed Abdul-Karim Saif dari Universiti Sana'a menyatakan, perang ini adalah diantara puak Houthi dengan puak lain yang menyokong kerajaan Yaman. Pemimpin puak, Bin Aziz, adalah penyokong Parti Kongress Rakyat Yaman.

Delegasi Qatar telah dihantar bagi menyelesaikan konflik puak atau konflik kaum tersebut dan membina serta membangunkan semula Saada. Penyelesaian konflik dengan bantuan Emir Qatar.

Presiden Salleh juga telah berunding dengan Emir Qatar dan Perjanjian Doha telah ditandatangani.

Kenapa Houthi menyerang Mekah?

Jawapannya kerana perang saudara di Yaman.

Situasi di Yaman menyaksikan Perang Saudara antara Houthi di bawah pimpinan Abdul Malik Badruddin Al-Houthi yang disokong Iran, dengan Presiden AbdRabu Mansour Hadi yang disokong Arab Saudi.

Dari segi teknikalnya, Presiden AbdRabu Mansour Hadi yang disokong Arab Saudi ialah pemerintah Yaman yang sah kerana beliau menang besar dalam pilihan raya 2012 selepas Ali Abdullah Saleh berundur sewaktu peristiwa Arab Spring.

Meskipun seorang Sunni, beliau memperoleh sokongan besar termasuklah daripada warga Syiah hinggakan peratus undian beliau mengatasi jumlah pengundi Sunni yang sedia ramai di Yaman.

Namun, Houthi menarik balik sokongan kepada beliau dan merampas kuasa pada awal tahun 2015 apabila AbdRabu cuba bertindak mengurangkan subsidi petrol dan mewujudkan desentralisasi kuasa yang dilihat bakal memiskinkan lagi wilayah Saada Houthi di utara kerana akan wujud kemungkinan isu agihan peruntukan kewangan yang tidak setara dari kerajaan pusat kelak.

Presiden AbduRabbu yang dipaksa meletak jawatan selepas ditahan Pemberontak Houthi telah bekerjasama dengan Arab Saudi untuk menuntut kembali kedudukan beliau sebagai Presiden Yaman yang sah.

Disebabkan Houthi mendapat sokongan kuat Tehran, maka AbdRabbu terpaksa mendapatkan sokongan Arab Saudi.

Lalu Arab Saudi di bawah Menteri Pertahanan Putera Mohammad Bin Salman mengambil pendirian campur tangan ketenteraan (Operasi 'Decisive Storm') di Yaman sejak Mac 2015.

Sekutu Saudi seperti UAE turut menjadi mangsa serangan Houthi apabila kapal tenteranya dibedil di pelabuhan Mocha, Yaman.

Lebih membebankan, Arab Saudi kini ketiadaan sokongan Qatar akibat pemulauan yang dilaksanakan Riyadh dan sekutunya.

Sebenarnya, perkembangan yang lebih bahaya berlaku sekitar pertengahan Julai 2017 lalu, apabila Houthi menyatakan bahawa mereka telah berjaya menembak peluru berpandu ke kemudahan minyak milik Saudi di pelabuhan Laut Merah di Yanbu.

Bahkan, Amerika Syarikat mengesahkan dakwaan ini. Hal ini membimbangkan kerana jarak antara Saada iaitu tempat di mana peluru berpandu tersebut dibedil Houthi di Yaman dengan Yanbu adalah sejauh 900 kilometer.

Ini bermakna, sistem persenjataan Houthi kini mampu menyerang mana-mana tempat dalam wilayah Arab Saudi – termasuklah dua kota suci umat Islam iaitu Mekah dan Madinah.

Dari mana pemberontak Houthi memperoleh lambakan peluru berpandu ini?

Jawapannya dari Iran yang menyalurkan peluru dan aset ini menerusi Pelabuhan Hodeiba di Barat Yaman.

Kenapa Iran membantu Houthi?

Iran menyokong Houthi kerana kepentingan strategiknya di Laut Merah dan Teluk Aden. Inilah sebabnya Iran telah menghantar pelbagai bantuan kewangan dan persenjataan besar-besaran kepada Houthi sejak 2004 lagi.

Banyak kali bantuan persenjataan Iran disekat atau dirampas oleh pihak berkuasa Yaman, bahkan sebelum dikuasai Houthi.

Disebabkan inilah Arab Saudi dan AbdRabu Mansour Hadi cuba untuk mengetatkan akses pelabuhan yang dimanipulasi Iran-Houthi.

Langkah yang paling wajar bagi menamatkan perang ini adalah dengan rundingan yakni menguatkuasakan kembali Resolusi PBB 2216 yang menuntut puak pemberontak Houthi untuk mengembalikan senjata kepada kerajaan dan kembali ke rundingan bersama AbdRabbu Mansour Hadi.

Namun, Houthi berkeras untuk menguasai Yaman melalui langkah bersenjata dan enggan menghadiri sebarang rundingan damai seperti pada April 2016.

Maka, campur tangan ketenteraan Arab Saudi dan sekutunya – yang juga berisiko ke atas nyawa orang awam – boleh difahami sebagai satu-satunya pilihan bukan sahaja untuk menghentikan perang saudara di Yaman, tetapi juga mencegah serangan Houthi ke atas wilayah Arab Saudi itu sendiri.

Akibatnya, nyawa orang awam di Mekah, Yaman dan Arab Saudi terus menjadi taruhan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: sinarharian | wikipedia

Sunday, April 15, 2018

Politik Adalah Untuk Memilih Parti Yang Paling 'Kurang Najisnya'

Politik Adalah Untuk Memilih Parti Yang Paling 'Kurang Najisnya'

Dalam persaingan politik kepartian yang sedang kita saksikan sekarang di Malaysia, sebenarnya bukanlah percaturan untuk memilih dan mengundi antara parti yang terbaik dalam kalangan yang terbaik.

Politik di malaysia

Sebaliknya, kita diberi ruang untuk memilih parti politik yang paling kurang mudarat di antara yang sangat mudarat. Itulah realiti yang ada.

Jika kita cuba 'beriman' dengan segala dakwaan dan janji mereka, maka itu sebenarnya satu kesilapan yang besar.

Cumanya, kita sedang mencari antara yang kurang temberang dalam kalangan yang temberang.

Sesiapa yang bersemangat mempercayai sepenuhnya apa yang dibawa mana-mana parti, maka dia akan kecewa.

Apa yang sedang kita saksikan dari ahli politik yang berserban sehingga yang ke kelab malam, berbohong itu seakan rukun mereka dalam berpolitik.

Tuntutan agama ialah kita hendaklah berpegang dan berdiri atas prinsip, sementara orang politik bicara mereka berubah berdasarkan musim undian dan kuasa yang ingin diperolehi.

Semalam mereka halalkan, hari ini mereka haramkan.

Semalam mereka nerakakan , hari ini mereka beri lebel syurga.

Semalam mereka bantah, hari ini mereka sokong.

Bukan sahaja berita media mereka putar, nas-nas agama juga mereka pusing mengikut kehendak semasa mereka.

Justeru, apa yang kita perlu lakukan ialah memilih yang paling kurang bahaya iaitu yang lebih dekat untuk mencapai urustadbir negara yang lebih cekap dan telus.

Memang, sepatutnya kita mencari yang paling cemerlang dalam kalangan yang terbilang untuk diberikan tanggungjawab pentadbiran negara.

Malangnya, yang tinggal kini ialah kita terpaksa mencari siapakah yang dijangka kurang merosakkan urustadbir negara jika diberikan kuasa.

Parti-parti yang kita lihat bergegar dengan pelbagai slogan dan manifesto itu, jika kita selami dalaman mereka, kesemuanya sarat dengan pelbagai ketidaktelusan dan kerakusan terhadap kuasa.

Individu-individu yang memimpin setiap parti itu mempunyai pelbagai kehendak dan kepentingan diri.

Walaupun kita tidak menafikan di sana ramai juga yang ikhlas dalam pelbagai parti yang ada namun, mereka itu 'ghuraba' (orang asing) dalam lautan cita-cita politik yang sering kali mempunyai 'kehendak peribadi' yang dihiasi dengan ungkapan 'demi kepentingan rakyat'.

Kepada Allah kita mengadu.

Semoga Allah pelihara kita dari ketaksuban yang bodoh.

Semoga Allah mengurniakan kita mata nurani yang dapat membuat pemilihan yang betul.

Kita kena memilih yang paling cekap dan amanah.

Jika tiada, yang mendekati kecekapan dan yang lebih dekat kepada amanah.

Jika tiada, yang paling kurang korupsi dan paling kurang dangkal dalam urustadbir.

Namun, dalam masa yang sama, kita tidak akan mempercayai segala slogan mereka dengan sepenuh hati.

Kita tahu di musim ini, bukan sahaja harta dunia mereka janjikan, syurga dan neraka pun mereka beri jaminan seperti mana mereka menjamin geran tanah di dunia!

Pohonlah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan solat.

Jadilah insan yang berprinsip dan dapat membezakan apa yang kita lihat di pentas kehidupan ini.

Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Dr. MAZA)
Mufti Perlis

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: 'Wang Nadi Politik Yang Menjengkelkan'

sumber: fb/DrMAZA

Rangka Dinosaur Terjual RM6 Juta!

Rangka Dinosaur Terjual RM6 Juta!

Dua rangka dinosaur iaitu Diplodocus dan Allosaurus berjaya dijual pada harga lebih 1.44 juta euro (RM6.9 juta) setiap satu menerusi satu acara lelongan di Paris, Perancis.

Rangka Dinosaur berharga RM6 Juta

“Seorang pembeli asing membeli kedua-dua rangka dinosaur itu,” menurut rumah lelongan Drouot.

Identiti pembeli itu tidak didedahkan kepada umum.

Diplodocus merupakan spesies herbivor yang boleh mencapai saiz sepanjang 12 meter daripada bahagian hidung hingga ekor dijual dengan harga 1.44 juta euro manakala rangka haiwan karnivor Allosaurus mencatat harga bidaan tertinggi sebanyak 1.41 juta euro (RM6.75 juta).

Kedua-dua dinosaur itu dipercayai hidup ketika zaman Jurasik akhir iaitu kira-kira 150 juta tahun lalu.

Hanya lima rangka dinosaur lazimnya akan dilelong di seluruh dunia pada setiap tahun dan pembelinya terdiri daripada pengumpul kaya atau pihak muzium di Eropah atau Amerika Syarikat.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Fosil Dinosaur Spesis Ganas Di Temui Di China

sumber: kosmo

Apa Akan Berlaku Jika DARURAT Disytiharkan?

Apa Akan Berlaku Jika DARURAT Disytiharkan?

Darurat ditakrifkan sebagai suatu keadaan yang mencemaskan atau menyusahkan (biasanya berlaku secara tiba-tiba atau dengan tidak disangka-sangka) seperti bahaya, kekurangan makanan dan lain-lain.

Apa Akan Berlaku Jika DARURAT Disytiharkan?

Darurat juga membawa maksud keadaan yang serba sulit seperti huru-hara, tidak aman dan sebagainya yang disebabkan oleh ancaman musuh dalam peperangan dan lain-lain.

Konsep darurat adalah sah dan diiktiraf dalam semua negara dan sistem undang-undang, namun akan menjadi titik hitam dalam mana-mana kerajaan atau negara yang mengalaminya.

Undang-undang darurat adalah peraturan yang digubal dan dikuatkuasakan ketika berlaku darurat sahaja.

Malaysia merupakan salah sebuah negara yang menyediakan peruntukan mengenai perisytiharan darurat di dalam perlembagaan selain India, Amerika Syarikat dan juga United Kingdom sekalipun negara-negara tersebut tidak mempunyai perlembagaan bertulis.

Ini kerana negara-negara tersebut mempunyai suatu akta iaitu Akta Parlimen yang memberi kuasa kepada pihak pemerintah untuk mengisytiharkan darurat sekiranya berlaku sesuatu situasi yang boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman dalam negara atau sekiranya kejadian-kejadian yang buruk dijangka atau telah berlaku.

Siapa Yang Boleh Mengisytiharkan Darurat?

Di Malaysia, perisytiharan darurat hanya dibawah kebenaran atau diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA), iaitu Ketua Negara Malaysia.

Berdasarkan peruntukan ini, darurat perlu diisytiharkan kalau baginda sebagai ketua negara setuju jika terdapat situasi kecemasan yang mengganggu-gugat keselamatan, ekonomi dan ketenteraman awam di dalam negara macam rusuhan, perang saudara, demonstrasi besar-besaran serta bencana alam seperti fenomena jerebu atau banjir, jika keadaan sudah tidak mampu dikawal.

Tetapi, pada tahun 1993, Tun Dr. Mahathir telah berjaya meminda Artikel 150(1) dengan memasukkan frasa di mana Perdana Menteri berhak menasihati YDPA sekiranya PM berpendapat yang bahaya boleh menimpa negara dan YDPA mestilah bertindak berdasarkan nasihat daripada PM.

Kemudian, pada tahun 2015 yang lalu, kerajaan Malaysia telah melaksanakan undang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN), memperkenalkan akta baru yang dikatakan boleh memberi kuasa sepenuhnya kepada Perdana Menteri untuk mengisytiharkan darurat.

Sejarah Darurat Di Malaysia

Dalam konteks Malaysia, beberapa perisytiharan darurat telah dibuat dalam negara setelah dikenal pasti mengancam keselamatan negara:

1. Ancaman komunis tahun (1948-1960) dan (1968-1978)

Perisytiharan darurat yang pertama ini dibuat semasa Malaysia masih lagi di bawah jajahan British.

Darurat ini juga dikatakan paling lama berlaku, ketika Chin Peng berunding dengan Tunku Abdul Rahman, menuntut supaya PKM diiktiraf sebagai parti politik yang sah. Tetapi ditolak oleh Tunku Abdul Rahman dan akhirnya, rundingan ini menemui kegagalan.

Selepas kegagalan rundingan itu, perjuangan PKM tetap diteruskan walaupun setelah Tanah Melayu merdeka pada 1957 dan Malaysia ditubuhkan pada 1963.

Walaupun darurat diisytiharkan tamat pada 31 Julai 1960, tetapi pengaruh PKM masih belum dapat dihapuskan sepenuhnya.

Akibatnya, berlaku sekali lagi pemberontakan bersenjata di Malaysia, maka berlakulah darurat kedua di Malaysia dari tahun 1968 sampai 1978. Pangkalan Rejimen ke-10 PKM sepanjang masa itu adalah di sempadan Thailand.

2. Pertikaian politik Sarawak (1966)

Perisytiharan darurat yang ketiga pula diisytiharkan pada tahun 1966 dan hanya melibatkan Negeri Sarawak.

Kesan yang berlaku adalah untuk menyelesaikan pertikaian politik yang membahayakan keselamatan di Sarawak.

Pertikaian politik ini berlaku disebabkan Datuk Stephen Kalong Ningkan yang tidak mahu meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri walaupun dia dikatakan sudah tidak dipercayai ahli-ahli Dewan Undangan Negeri tersebut.

3. Rusuhan kaum 13 Mei (1969)

Rasanya semua pun tahu pasal peristiwa rusuhan kaum yang meletus pada 13 Mei 1969, di mana Kuala Lumpur bermandi darah disebabkan salah faham yang berlaku.

4. Masalah politik di Kelantan (1977)

Pada tahun 1977 pula, krisis politik dan ketidaktentuan timbul dalam kerajaan negeri Kelantan, apabila berlaku krisis antara PAS – yang ketika itu berada dalam Barisan Nasional – tidak berpuas hati dengan layanan yang diberikan UMNO.

5. Darurat Bencana

Malaysia pernah mengumumkan darurat bencana jerebu sebanyak tiga kali.

Pertama kali pada 19 September 1997 di Sarawak, apabila bacaan IPU mencecah 600. Selepas itu Kuala Selangor dan Pelabuhan Klang pada 11 Ogos 2005 (IPU melebihi 500) dan terakhir di Muar dan Ledang, Johor pada 23 Jun 2013 (IPU melebihi 500).

BEZA DARURAT KESELAMATAN, DARURAT BENCANA DAN KEBURUKAN DARURAT Darurat

Apabila darurat diisytiharkan, selain daripada kerajaan persekutuan boleh mengambil alih semua hal pentadbiran dari kerajaan negeri atau agensi-agensi kerajaan, KERAJAAN juga boleh menangkap orang tanpa bicara, dan juga menyasarkan sesiapa saja yang dikatakan boleh mengganggu gugat keselamatan negara.

Darurat Keselamatan

Darurat bawah Perlembagaan Persekutuan hanya boleh diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong, seperti peruntukan dalam Perkara 150.

Ia contohnya dalam Darurat Mei 1969, Darurat Komunis 1948, Darurat Sarawak 1966 (pergelutan kuasa kerajaan negeri dengan Persekutuan) dan Darurat Kelantan 1977 (pergelutan kuasa pentadbir negeri dengan Persekutuan).

Hasil daripada darurat itu, pucuk pimpinan negara diambil alih tentera, apa-apa saja undang-undang boleh diluluskan, meskipun melanggar Perlembagaan Persekutuan dan pilihan raya boleh ditangguh.

Antara contoh undang-undang yang diluluskan semasa darurat adalah Ordinan Darurat 1969, yang membolehkan kerajaan membuat penahanan tanpa bicara.

Tempoh darurat tidak terhad. Darurat Sarawak 1966, darurat Mei 1969 dan darurat Kelantan 1977 hanya dibatal pada tahun 2011.

Dalam erti kata lain, perintah-perintah tersebut bertahan selama berpuluh tahun!

Susulan pengumuman pembatalan darurat tersebut oleh perdana menteri, Ordinan Darurat secara automatik dimansuhkan.

Darurat Bencana

Darurat bencana berbeza daripada darurat yang dijelaskan di atas. Darurat bencana dibuat secara pentadbiran dan eksekutif bawah Perkara 25 Arahan No 20 Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara MKN.

Selain itu, perdana menteri sebagai ketua kerajaan, boleh membuat pengumuman darurat bencana (selepas menerima nasihat Majlis Keselamatan Negara).

Contoh darurat bencana seperti berikut:

1. Darurat jerebu Sarawak 1997

2. Jerebu Pelabuhan Klang 2005 (Indeks Pencemaran Udara atau API lebih 500)

3. Jerebu Muar dan Ledang 2013 (API lebih 750)

Kesannya pula seperti berikut:

1. Penggemblengan dan kerahan bantuan akan diambil alih oleh kerajaan Persekutuan dan agensi-agensi atau Kementeriannya.

2. Pembiayaan pengurusan, pemulihan dan sebagainya akan ditanggung oleh kerajaan Persekutuan.

3. Kesemua aset dan jentera kerajaan seperti tentera, RELA, dana, bot, kenderaan dan sebagainya akan dikerahkan.

Mengapa kerajaan Persekutuan enggan mengisytiharkan darurat?

Terdapat beberapa alasan pokok melibatkan persepsi umum dan kos.

Dalam politik, persepsi umum penting untuk membolehkan rakyat terus menaruh keyakinan dan kepercayaan pada kerajaan.

Semua dalam kawalan?

Ayat-ayat seperti "semua dalam kawalan" merupakan jawapan dan respons yang lazim diberi oleh kerajaan.

Contohnya, isu seperti hutang 1MDB, hutang negara, kebocoran soalan UPSR, dan banjir pantai timur, bukankah semua ini dikatakan 'dalam kawalan'?

Tetapi adakah ia benar-benar 'dalam kawalan', terpulang kepada anda untuk menilai.

Perisytiharan darurat bukan saja menjejaskan kepercayaan orang awam, malah keyakinan pelabur asing juga akan terjejas.

Malah, terdapat beberapa negara yang mengisytiharkan darurat dan sampai sekarang tidak menarik balik status tersebut dan terus memerintah tanpa mengambil kira hak rakyat untuk demokrasi.

Mereka terus diperintah oleh junta tentera sehingga kini.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Apa Yang Anda Tahu Tentang Peperangan Gerila?

sumber: soscili | malaysiakini

Saturday, April 14, 2018

7 Fakta Menarik Tentang Belon Udara Panas

7 Fakta Menarik Tentang Belon Udara Panas

Menaiki belon udara panas pastinya suatu pengalaman indah, menyeronokkan dan sangat menarik bagi anda yang pernah menaikinya malah, aktiviti yang patut di cuba bagi mereka yang belum pernah merasainya.

7 Fakta Menarik Tentang Belon Udara Panas

Berikut beberapa fakta menarik tentang belon udara panas yang anda patut tahu.

1. Haiwan

Tahukah anda, haiwan merupakan penumpang pertama belon udara panas. Seekor ayam jantan, seekor itik dan seekor kambing biri-biri telah dipilih untuk diuji kesan penerbangan belon tersebut.

Kambing digunakan untuk menguji kesan ketinggian terhadap penghuni tanah, manakala ayam jantan dan itik sebagai haiwan kawalan.

Ketiga-tiga haiwan dibawa turun dengan selamat selepas diterbangkan sejauh 2.2 batu selama 8 minit.

2. Hujan

Belon udara panas tidak boleh diterbangkan pada hari hujan kerana ketinggian suhu dalam belon boleh mencapai takat didih dan menyebabkan kerosakan apabila terkena air hujan.

3. Musim Panas

Musim panas merupakan masa paling sukar untuk menerbangkan belon ini kerana bahagian dalam belon memerlukan suhu udara yang lebih tinggi berbanding suhu udara bahagian luar belon.

4. Juruterbang

Juruterbang pertama yang menerbangkan belon panas juga merupakan mangsa pertama yang terkorban.

Jean-Francois Pilatre De Rozier cuba menerbangkan belon itu melepasi sempadan English Channel.

Namun, pada minit ke 30, belon udara panas itu tiba-tiba meletup lalu membunuhnya.

5. Paras Tertinggi

Paras tertinggi yang pernah dicapai oleh belon udara panas ialah setinggi 68,986 kaki, dikemudi oleh Vijaypat Singhania, bersama pembantunya.

Mereka perlu memakai topeng oksigen untuk kekal bernafas semasa berada diparas tersebut.

6. Kru

Belon udara panas juga mempunyai kru untuk mengejarnya. Kru ini akan mengejar belon udara panas dari bawah dengan menggunakan kenderaan yang cukup besar untuk membawa pulang belon, penumpang dan juruterbang.

7. Paling Lama

Penerbangan paling lama direkodkan oleh Richard Branson yang mengemudi belon udara panas dari Jepun sehingga ke utara Kanada.

Dikatakan, belon udara panas tersebut juga memegang rekod penerbangan paling laju iaitu 245 batu sejam.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Berhati-hati Membeli Belon Mengandungi Gas Hidrogen Untuk Kanak-kanak

-SENTIASAPANAS.COM

Apa Itu Penyakit GERD, Simptom Dan Rawatannya

Apa Itu Penyakit GERD, Simptom Dan Rawatannya

GERD atau Pedih ulu hati boleh berlaku kepada sesiapa sahaja dan salah satu puncanya ialah makanan yang kita makan. Gerd boleh dirawat sehingga sembuh tetapi perubahan drastik cara hidup juga perlulah seiring.

Apa itu Penyakit GERD

Penyakit refluks gastroesofageal atau gastroesophageal reflux disease (GERD) merupakan satu keadaan yang lebih serius daripada refluks gastroesofageal atau gastroesophageal reflux (GER) yang biasanya dialami orang ramai.

Esofagus merupakan satu tiub yang mengangkut makanan dari dalam mulut ke dalam perut.

LES pula adalah satu gelungan otot di bahagian bawah esofagus yang bertindak sebagai satu injap tutup buka di antara esofagus dan perut.

GER berlaku apabila bahagian bawah sfinkter (pencerut) esofagus (LES) terbuka secara spontan beberapa kali atau tidak tertutup dengan betul, sehinggakan kandungan yang terdapat di dalam perut akan naik ke dalam esofagus.

GER juga dikenali sebagai refluks asid atau regurgitasi asid berpunca daripada jus pencernaan iaitu asid perut naik semula ke atas bersama-sama makanan yang dihadam.

Apabila refluks asid berlaku, pesakit boleh merasa makanan atau cecair di bahagian belakang mulut.

Apabila asid perut bertindak secara refluks tersentuh dengan lapisan esofagus, kemungkinan ia akan menyebabkan rasa seakan terbakar di dada atau tekak yang dipanggil pedih ulu hati atau senak.

Jika seseorang itu jarang mengalami GER, keadaan seperti itu adalah biasa dan ia tidak bermaksud orang itu mempunyai GERD.

Refluks yang berlaku secara kerap iaitu lebih daripada dua kali seminggu, adalah GERD dan boleh mengakibatkan masalah kesihatan yang lebih serius.

Sesiapa sahaja boleh mengalami GERD tanpa mengira faktor umur.

Apa simptom GERD?

Simptom utama GERD di kalangan orang dewasa adalah rasa pedih ulu hati yang kerap berlaku, juga dikenali sebagai senak iaitu satu kesakitan seakan terbakar di bahagian bawah tengah dada, bahagian belakang tulang dada dan di bahagian tengah abdomen.

Kebanyakan kanak-kanak di bawah umur 12 tahun dan juga sesetengah orang dewasa yang menghidap GERD mengalami rasa pedih ulu hati.

Golongan dewasa juga akan mengalami simptom-simptom seperti batuk yang kering, asma (lelah) atau kesukaran menelan.

Apa punca GERD?

Punca terjadinya Gerd antaranya:
  • Makan terlalu banyak atau terlalu cepat.
  • Tekanan.
  • Mengambil ubat-ubatan tertentu.
  • Merokok.
  • Makan makanan pedas.
  • Makanan berminyak dan berlemak.
  • Minum minuman beralkohol, berkarbonat dan berkafein.

Punca kenapa sesetengah orang menghidapi GERD masih belum diketahui dengan jelas.

Walaubagaimanapun, kajian menunjukkan di kalangan pesakit ini, LES akan berada dalam keadaan relaks (rehat) manakala bahagian lain esofagus terus berfungsi.

Keabnormalan anatomi seperti hernia hiatal juga menyumbang kepada GERD.

Hernia hiatal terjadi apabila bahagian atas perut dan LES bergerak ke atas diafragma iaitu dinding otot yang memisahkan perut dan dada.

Lazimnya, diafragma membantu LES menghalang asid daripada naik ke dalam esofagus. Apabila terdapat hernia hiatal, refluks asid akan berlaku dengan lebih mudah.

Hernia hiatal boleh terjadi ke atas sesiapa sahaja tanpa mengira usia dan kebiasaannya dialami oleh mereka yang sihat dan berumur lebih daripada 50 tahun.

Selalunya, hernia hiatal tidak menunjukkan sebarang simptom.

GERD di kalangan kanak-kanak

Adalah penting bagi kita untuk membezakan antara refluks fisiologi yang normal (GER) dan GERD di kalangan kanak-kanak.

Kebanyakan kanak-kanak yang menghidap GER adalah sihat dan ceria walaupun mereka kerap meludah atau muntah sementara bayi dengan GER selalunya akan berhenti daripada mengalami simptomnya apabila mereka berumur satu tahun.

Refluks yang berterusan selepas kanak-kanak berusia satu tahun mungkin merupakan GERD. Kajian menunjukkan GERD adalah biasa dan mungkin tidak diambil berat jika ianya berlaku di kalangan kanak-kanak.

Sebagai contoh, GERD boleh timbul sebagai regurgitasi yang berulang, rasa mual, pedih ulu hati, batuk, laryngitis atau masalah respiratori seperti ‘wheezing’, asma atau pneumonia.

Kanak-kanak dan bayi akan menunjukkan rasa tidak selesa atau melengkungkan bahagian belakang tubuh mereka secara kerap semasa atau sejurus selepas makan atau menyusu.

Bayi yang mempunyai GERD mungkin tidak mahu makan dan mengalami proses pertumbuhan yang lemah.

Berbincanglah dengan doktor atau pakar kanak-kanak (paediatrician) anda jika simptom-simptom yang berkaitan refluks berlaku secara kerap dan mendatangkan rasa tidak selesa buat anak anda.

Doktor anak anda juga boleh mencadangkan beberapa strategi yang mudah untuk mengelakkan refluks seperti memastikan bayi itu sendawa beberapa kali sewaktu menyusu atau menegakkan bayi itu selama 30 minit selepas menyusu.

Jika anak anda lebih tua, doktor boleh mencadangkan anak anda makan makanan dalam kuantiti kecil tetapi kerap dan mengelakkan makanan seperti:
  • Soda yang berkafein.
  • Coklat.
  • Peppermint.
  • Makanan pedas.
  • Makanan berasid seperti oren, tomata dan pizza.
  • Makanan berlemak dan bergoreng.

Anak anda juga boleh mengelakkan daripada mengambil makanan dua hingga tiga jam sebelum waktu tidur.

Perunding kesihatan anda juga mungkin akan mencadangkan agar anda menaikkan bahagian kepala katil anak anda dengan blok kayu yang diletakkan di bawah kaki katil. Bantal sahaja tidak mencukupi.

Jika tindakan ini tidak mendatangkan sebarang perubahan, mungkin perunding kesihatan akan menasihatkan anak anda mengambil ubat.

Bagaimana GERD dirawat?

Berundinglah dengan pakar kesihatan anda jika anda telahpun mempunyai simptom- simptom GERD atau telah mula mengambil antasid atau ubat refluks yang diperoleh dari kaunter selama lebih daripada dua minggu.

Pakar kesihatan anda mungkin akan merujuk kes anda kepada pakar gastroentologi atau pakar bedah gastroenterologi iaitu seorang doktor yang merawat penyakit-penyakit berkaitan perut dan usus.

Bergantung kepada tahap keseriusan GERD anda, rawatan yang dicadangkan mungkin akan melibatkan sama ada anda melakukan perubahan dalam cara kehidupan anda, mengambil ubat ataupun menjalani pembedahan.

Secara umumnya, di Malaysia pesakit-pesakit GERD amat jarang memerlukan pembedahan.

Rawatan melalui perubahan dalam cara hidup termasuklah:
  • Berhenti merokok jika anda merokok.
  • Elakkan makanan dan minuman yang memburukkan lagi simptom-simptom.
  • Kurangkan berat badan (jika perlu).
  • Makan dalam jumlah yang kecil dan secara kerap.
  • Pakai pakaian yang longgar.
  • Elakkan daripada berbaring untuk tiga jam selepas makan.
  • Naikkan kepala katil anda sebanyak enam hingga lapan inci dengan meletakkan blok kayu di bawah kaki katil. Penggunaan bantal sahaja tidak akan membantu.

Makanan yang perlu dielakkan oleh penghidap GERD

1. Makanan dan minuman asid

Buah-buahan sitrus, lemon, limau, sos tomato, serta minuman berkarbonat / berkarbonat berasid dan boleh menyebabkan masalah penghadaman.

2. Makanan pedas

Makanan pedas boleh menyebabkan masalah penghadaman bagi sesetengah orang. Oleh itu, jika anda mengalami masalah pencernaan, ia adalah disyorkan untuk memilih makanan yang lembut dan mengelakkan makanan yang kaya dengan rempah.

3. Produk tenusu

Laktosa menjadikan susu menjadi sukar untuk dicerna oleh badan. Apabila laktosa tidak dihadamkan dengan betul, perut akan menjadi kembung dan menghasilkan gas.

Selain itu, anda juga boleh mengalami cirit-birit malah, ada orang yang alah kepada susu atau intoleransi laktosa.

Tetapi anda disyorkan untuk tidak menjauhkan diri daripada produk tenusu.

Susu mengandungi kalsium yang penting untuk pertumbuhan dan kesihatan tulang. Tanpa kalsium yang cukup, osteoporosis boleh mengintip anda.

4. Makanan berlemak dan bergoreng

Lemak boleh melambatkan otot pencernaan dan menyebabkan otot pundi hempedu mengecut.

Di samping itu, makanan berlemak juga dianggap pengosongan perlahan perut, memburukkan lagi sembelit dan memburukkan atau menyebabkan cirit-birit.

5. Makanan dan minuman bergula

Fruktosa dan makanan atau minuman dengan pemanis tiruan lain boleh dijangka menyebabkan pencernaan yg terganggu.

Ini kerana pemanis tidak sepenuhnya dapat dicerna dan diserap sebelum ia sampai ke usus.

6. Alkohol

Alkohol tidak mengandungi protein, vitamin, atau lain-lain nutrien. Alkohol sebenarnya sangat berbahaya kepada lapisan perut dan hati metabolisme dan boleh menyebabkan gangguan pencernaan dan masalah kesihatan yang lain.

7. Minuman berkafein

Minuman yang mengandungi kafein seperti kopi, teh, soda dan coklat boleh merangsang saluran pencernaan.

Jika diambil secara berlebihan, ia juga boleh mengakibatkan cirit-birit atau memburukkan lagi masalah pencernaan anda.

Lemah Antibodi Tubuh dan Bakteria Helicobacter Pylori (H.pylori) Punca GERD?

Antara punca utama terjadinya gastrik atau pedih hulu hati ialah jangkitan bakteria dipanggil Helicobacter Pylori (H.pylori).

Bakteria ini khususnya terdapat pada lapisan perut dan menyebabkan radang berlaku pada lapisan berkenaan yang akhirnya menyebabkan seseorang pesakit itu mengalami serangan gastrik.

Kira-kira 10 hingga 20 peratus mereka yang mengalami gastrik akibat jangkitan bakteria ini berisiko untuk mendapat ulser perut.

Keadaan di mana radang yang berlaku pada permukaan lapisan perut menjadi besar dan semakin mendalam.

Ini menyebabkan pesakit mengalami sakit yang lebih teruk daripada biasa dan ada kala pendarahan berlaku serta pesakit mengalami muntah darah.

Satu hingga dua peratus daripada mereka pula berisiko untuk mendapat kanser perut.

Rawatan untuk jangkitan ini adalah pengambilan kombinasi ubat yang juga mengandungi antibiotik untuk membunuh kuman.

Selain itu, ubat lain yang terkandung dalam kombinasi itu dapat mengawal radang gastrik menjadi teruk atau memastikan ulser perut yang sudah terbentuk sembuh.

Ubat-ubat ini diberikan dalam bentuk pil sahaja dan mengambil tempoh rawatan seminggu ke dua minggu.

Dalam kebanyakan pesakit yang sudah manjalani rawatan ini, 80 peratus tidak akan mendapat jangkitan berulang.

Ulser perut yang sudah terbentuk bagi sesetengah pesakit pula biasanya akan sembuh sepenuhnya selepas lengkap menjalani rawatan itu.

Sehingga hari ini, masih lagi tidak ada vaksin yang boleh diberikan untuk mengelakkan jangkitan H.pylori ini.

Rawatan Alternatif GERD

Rawatan moden bagi penyakit pedih ulu hati sebahagiannya adalah dengan antibiotik. Ini adalah disebabkan antibodi tubuh tidak dapat melawan jangkitan bakteria.

Jadi, bagi pesakit pedih ulu hati terutamanya GERD, disamping ubata-ubatan yang dibekalkan oleh hospital, cubalah makan BADAM (Almond) dan Madu Lebah.

Makanlah 10 biji badam setiap hari manakala satu sudu madu lebah pagi dan petang.

Kedua-duanya adalah SUPERFOOD yang mampu membantu antibodi tubuh pulih bagi melawan virus dan bakteria.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Punca Rasa Sakit Atau Tidak Selesa Di Bawah Perut Bagi Wanita

sumber: utusan | SCD

Misteri Pemikiran Bawah Sedar Manusia

Misteri Pemikiran Bawah Sedar Manusia

Memori manusia mempunyai salinan yang dipanggil memori bawah sedar. Salinan memori ini boleh dipanggil semula namun tidak ramai yang sedar mengenai perkara ini.

Misteri Pemikiran Bawah Sedar Manusia

Secara umumnya, pemikiran manusia boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu pemikiran sedar dan pemikiran bawah sedar.

Pemikiran Sedar

Pemikiran sedar  biasanya lebih dikenali oleh manusia iaitu berkaitan dengan pemikiran yang dapat disedari dan dikawal oleh individu, sebagai contohnya tindakan seperti berjalan, makan, membaca dan lain-lain.

Semua tindakan melalui fikiran boleh dikategorikan kepada pemikiran sedar.

Berbanding dengan pemikiran sedar, pemikiran bawah sedar menunjukkan misteri yang ingin diketahui oleh orang ramai.

Pemikiran Bawah Sedar

Pemikiran bawah sedar ialah pemikiran yang menrefleksikan pemikiran dalaman seseorang, contohnya apabila berlakunya sesuatu yang akan mengancam keselamatan seseorang, dia akan melakukan sesuatu tindakan yang menyelamatkan diri yang tanpa melalui pemikiran sedar otak, atau seseorang melakukan sesuatu tindakan yang dilakukan setiap hari.

Dia tidak perlu memikirkan cara macam mana hendak melakukannya kerana pemikiran bawah sedarnya telah membantu melakukannya.

Pemikiran bawah sedar merupakan satu topik yang sangat hangat dalam psikologi.

Sejak dari tahun 1915, sudah ada penyelidik mengkaji perkaitan antara pemikiran sedar dan pemikiran bawah sedar.

Manusia sangat tertarik dengan misteri pemikiran bawah sedar yang menyimpan dan menunjukkan pemikiran dalaman seseorang kerana kita sendiri tidak dapat megetahui pemikiran dalam diri sendiri sepenuhnya.

Walaupun bidang psikologi telah berkembang pesat pada zaman ini tetapi kajian terhadap pemikiran bawah sedar masih dalam tahap kajian.

Tiada seorang pun mampu membuat kesimpulan seratus-peratus tentang pemikiran bawah sedar dan ia terus menjadi misteri kepada manusia.

Keburukan Pemikiran Bawah Sedar

Kajian tentang pemikiran bawah sedar telah membuktikan pengaruh pemikiran bawah sedar terhadap kehidupan dan kesihatan seseorang.

Melalui kajian terhadap pemikiran bawah sedar, penyelidik telah membuat satu penemuan yang menarik iaitu pemikiran seseorang akan terjejas oleh perkara yang akan ditemui olehnya.

Contohnya, seseorang yang berfikiran negatif sering menemui perkara yang kurang baik dan kesihatannya akan terjejas.

Dan sehingga ke hari ini, saintis masih lagi tercari-cari kebenaran bagaimana seseorang yang hilang ingatan mampu memanggil semula memori yang hilang ini.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:



-SENTIASAPANAS.COM

Arnab Binatang Paling Pantas Membiak Diantara Semua Binatang!

Arnab Binatang Paling Pantas Membiak Diantara Semua Binatang!

54 Menjadi 10 Juta Dalam Tempoh 10 Tahun! Arnab merupakan spesis yang sangat pantas membiak dan menurut rekod, 54 ekor arnab telah dibawa dan dibiakkan di Australia pada tahun 1859.

Arnab Binatang Paling Pantas Membiak Diantara Semua Binatang!

Hanya dalam tempoh 10 tahun, bilangan arnab ini telah mencecah 10 juta ekor.

Menurut saintis, angka itu adalah sesuatu yang luar biasa dan ini menunjukkan bahawa arnab paling sesuai dibiakkan untuk menjamin bekalan makanan segar sepanjang masa.

Walaupun ia bersaiz kecil, namun ia mampu berkembang biak dengan banyak dan cepat.

Keadaan itu boleh menjamin rantaian makanan untuk manusia bagi satu jangka masa yang panjang.

Arnab Binatang Paling Pantas Membiak Diantara Semua Binatang!

Kebiasaannya, kita cuma mengetahui arnab tidak bersaiz besar namun di United Kingdom, seorang pembiak baka arnab, Annette Edward telah berjaya membiakkan baka Continental Giant menjadi arnab terbesar di dunia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: 5 Binatang Paling Pemalas Di Dunia

-SENTIASAPANAS.COM

Friday, April 13, 2018

Misteri Pembunuhan Erdington Yang Sangat Membingungkan

Misteri Pembunuhan Erdington Yang Sangat Membingungkan

Pada 27 Mei 1974, Pekan Erdington, Birmingham, England dikejutkan dengan penemuan mayat seorang gadis berusia 20 tahun berdekatan Chester Road, dalam salah satu kes pembunuhan paling misteri di dunia.

Misteri Pembunuhan Erdington Yang Sangat Membingungkan

Gadis yang dikenali sebagai Barbara Forrest, seorang jururawat di Rumah Kanak-kanak Pype Hayes dan mayatnya ditemui dalam sebuah parit dan didapati telah dirogol sebelum dicekik sehingga mati.

Mayatnya hanya ditemui beberapa hari selepas kematiannya, tidak jauh dari lokasi tempat dia bekerja.

Siasatan mendapati, pada petang hari kematiannya, Barbara dikatakan telah berjumpa dengan teman lelakinya, Simon Belcher.

Mereka bertemu di bar dan Simon memberitahu polis dia menemani kekasihnya itu ke perhentian bas lebih kurang pukul 1 pagi. Dan itulah kali terakhir dia melihat kelibat Barbara.

Polis yang menyiasat kes ini akhirnya membawa kepada penahanan seorang lelaki bernama Michael Ian Thornton.

Barbara Forrest and Michael Thornton
Barbara Forrest dan Michael Thornton.

Michael tinggal berdekatan Chester Road dimana mayat Barbara ditemui dan Michael juga adalah rakan sekerja Barbara.

Michael ditahan apabila polis menemui kesan darah pada seluarnya, manakala ibunya turut memberi alibi palsu untuk melindungi anaknya.

Michael kemudiannya didakwa membunuh Barbara namun dibebaskan apabila pihak pendakwa gagal mengemukakan bukti kukuh.

Pembunuhan Barbara kemudian mengungkap satu peristiwa hitam yang berlaku 157 tahun sebelumnya yang turut terjadi di bandar yang sama, Erdington.

Satu ketika dahulu, pekan kecil ini pernah menjadi saksi sebuah tragedi yang rentetannya seakan serupa seperti yang menimpa Barbara.

Misteri Pembunuhan Berkembar

Mary Ashford and Barbara Forrest
Mary Ashford (kiri) dan Barbara Forrest.

Pukul 6.30 pagi pada 27 Mei 1817, seorang buruh dalam perjalanan ke tempat kerja apabila menemui pakaian wanita berlumuran darah berhampiran Penn's Mill.

Mayat seorang gadis ditemui dalam sebuah lubang yang dipenuhi air, dikenali sebagai Mary Ashford, berusia 20 tahun.

Selain kesan-kesan lebam pada mayat, pemeriksaan mendapati Mary telah diperkosa sebelum kematiannya.

Mary dikenali sebagai seorang gadis yang cantik dan ramai peminat.

Siasatan polis mendapati, sehari sebelum mayatnya ditemui pada 26 Mei, dia telah berkunjung ke Birmingham untuk menjual susu di pasar. Itu adalah rutin pekerjaan Mary.

Kemudian, Mary mengunjungi rakannya bernama Hannah untuk menukar baju bagi menghadiri majlis tari-menari pada malam itu. Mary dan Hannah pergi bersama ke majlis itu.

Di majlis itu, Mary ditemani seorang lelaki bernama Abraham Thornton, manakala rakannya Hannah ditemani lelaki bernama Benjamin.

Selesai majlis Mary pulang ditemani Thornton, manakala Hannah pulang ke rumahnya. Lebih kurang 4 pagi, Mary muncul dirumah Hannah untuk menyalin pakaian.

Ketika itu, Mary dengan ceria menceritakan dia sempat meluangkan waktu bersama Thornton. Mary keluar semula dan selepas beberapa jam mayatnya ditemui.

Dikatakan bahawa, Mary dilihat masih hidup adalah pada pukul 4.15 pagi berdasarkan keterangan saksi yang melihat Mary seorang diri pada waktu itu.

Siasatan segera dijalankan yang membawa kepada penahanan Abraham Thornton sebagai suspek utama.

Abraham ketika dalam tahanan memberitahu polis, dia menghabiskan waktu dengan Mary sehingga hampir pukul 4 pagi sebelum menemani Mary sehingga ke rumah Hannah. Menurutnya, itulah kali terakhir dia melihat Mary sebelum dia pulang.

Abraham juga mengaku melakukan hubungan seks dengan Mary atas dasar suka sama suka dan menafikan dia merogol Mary apatah lagi membunuhnya.

Abraham tetap didakwa dan dibicarakan namun saksi yang memberi keterangan lebih menyebelahinya dan kerana kekurangan bukti, Abraham dibebaskan.

Tragedi Misteri

Mary Ashford Killer
Lakaran pembunuh Mary.

Sama ada Barbara atau Mary, kedua-dua gadis ini bernasib malang apabila dibunuh.

Namun, apa yang pelik adalah kisah pembunuhan yang berjarak 157 tahun ini memiliki begitu banyak persamaan.

Mary dan Barbara mati pada usia yang sama, berusia 20 tahun dan berkongsi tarikh tarikh lahir yang sama. Kedua-dua kes berlaku pada hari Isnin, 26 Mei.

Kedua-dua mangsa juga telah dirogol.

Pada petang sebelum tragedi menimpa, kedua-duanya telah pergi ke rumah rakan masing-masing untuk menukar pakaian bagi menghadiri majlis tari-menari sempena sambutan perayaan Whit.

Dalam kes Mary, suspek ditahan bernama Abraham Thornton, manakala dalam kes Barbara, suspek bernama Michael Thornton. Kedua-duanya mempunyai nama yang sama iaitu 'Thornton' dan kedua-dua suspek juga akhirnya dibebaskan.

Lebih pelik lagi, beberapa hari sebelum menemui ajal, kedua-dua mangsa seakan-akan sudah tahu nasib mereka.

Seminggu sebelum dibunuh, Mary memberitahu ibu rakannya dia tidak berapa sedap hati dengan minggu yang akan datang.

Manakala Barbara pula beberapa hari sebelum dibunuh memberitahu rakan sekerjanya, "Ini bulan malang untuk saya. Saya cuma tahu, jangan tanya kenapa."

Lokasi mayat Barbara dan Mary ditemui hanya dalam lingkungan 274 meter.

Selepas juri menetapkan suspek tidak bersalah, ada anggota keluarga yang mempersoalkan keputusan itu.

Dalam kes Mary, abangnya William enggan menerima keputusan mahkamah dan mengemukakan rayuan untuk membuka semula perbicaraan.

Manakala dalam kes Barbara, kakaknya Erika juga enggan menerima keputusan juri dan memohon agar kes adiknya dibuka semula.

Sama ada kebetulan atau tidak, persamaan kes pembunuhan Mary dan Barbara masih menimbulkan tanda-tanya.

Dan sehingga ke hari ini, pembunuhan berjarak 157 tahun itu terus kekal misteri tanpa diketahui siapa pelakunya.

Siapa yang bunuh Mary dan Barbara?

BACA INI JUGA: Misteri Lelaki 'Tamam Shud'

-SENTIASAPANAS.COM

Sejarah Penciptaan Susu Kultur Yakult

Sejarah Penciptaan Susu Kultur Yakult

Anda pernah minum susu kultur? Sedap kan. Rasa susu ini memang disukai pelbagai lapisan masyarakat terutamanya oleh kanak-kanak tapi tahukah anda, kenapa susu ini diberi nama susu kultur? Siapa yang menciptanya? Bagaimana susu kultur dicipta?

Sejarah Penciptaan Susu Kultur Yakult

Dalam proses mencipta susu kultur, organisma halus dalam udara dan tidak dapat dilihat oleh mata kasar akan dicampurkan ke dalam susu.

Walaupun kuman dianggap sebagai unsur yang mendatangkan penyakit, tahukah anda ada beberapa versi kuman atau mikroorganisma ini membawa manfaat kepada kesihatan manusia.

Sejarah susu kultur

Sejarah Penciptaan Susu Kultur Yakult
Ilya Ilyich Metchnikoff.

Menyedari manfaat ini, seorang saintis Rusia, Ilya Ilyich Metchnikoff, memulakan kajian mengenai susu kultur sekitar tahun 1857.

Beliau mengemukan sebuah teori bahawa mikroorganisma baik mampu memanjangkan usia manusia.

Untuk membuktikan teori ini betul, Metchnikoff melakukan kajian terperinci lalu terhasillah sebuah tesis yang membuktikan teori mikrob asid laktik mampu memanjangkan usia manusia.

Tesis itu kemudiannya dibentangkan dalam persidangan perubatan sedunia dan seperti dijangka, penemuan itu dianggap mendahului zaman apabila majlis pemilih anugerah Nobel sepakat mengiktiraf penemuan ini.

Selepas penemuan itu, ramai saintis mula mengkaji sifat-sifat bakteria baik dan banyak tesis telah dihasilkan dengan pelbagai penemuan.

Pada peringkat permulaan, tiada seorang pun pernah terfikir untuk membiakkan bakteria-bakteria baik ini.

Namun akhirnya, ada beberapa orang saintis mula terfikir bagaimana cara untuk mengembangkan kebaikan kuman baik kepada tubuh manusia.

Mereka tahu cara terbaik untuk memasukkan bakteria baik ini dalam tubuh manusia adalah melalui makanan.

Malangnya, mereka belum menemui kaedah bagaimana cara memisahkan semua mikrob yang ada dalam asid laktik untuk mendapatkan mikrob yang kuat dan mampu menentang bakteria yang jahat.

Strain

Proses tapisan ini dalam bahasa saintifik disebut sebagai strain.

Proses ini memerlukan ketelitian dan kajian mendalam terutama pada sifat-sifat mikrob yang hendak dipilih, perlu kuat dan mampu hidup lama.

Jadi, usaha untuk memisahkan semua bakteria ini dan menapisnya memerlukan kajian yang teliti dan mendalam.

Dan inilah halangan besar yang sukar ditembusi saintis pada zaman tahun 1920an.

Dr. Minoru Shirota

Sejarah Penciptaan Susu Kultur Yakult
Dr. Minoru Shirota.

Kemudian, pada tahun 1930, difakulti perubatan Universiti Kyoto, Tokyo, Jepun, seorang doktor perubatan bernama Dr. Minoru Shirota bersungguh-sungguh menapis bakteria daripada Asid Laktik untuk mendapatkan strain yang kuat dan berguna pada tubuh manusia.

Tanpa sesiapa menyangka, Dr. Minoru berjaya menemui strain bakteria jenis Lactobacillus Casei.

Berita gembira itu disambut dengan semngat berkobar-kobar termasuklah bekas penyelia kajian ini bernama Profesor Kiyono.

Kehebatan penemuan Dr. Minoru ini memang sesuatu yang unggul dan tidak pernah berlaku di dunia sebelum ini.

Universiti Kyoto kemudiannya mendaftarkan strain yang baru ditemui itu sebagai Strain Shirota dengan nama penuh Lactobacillus Casei Strain Shirota.

Motivasi petani miskin

Persoalannya, kenapa Dr. Minoru Shirota begitu bersungguh-sungguh mendapatkan strain itu, sedangkan pengkaji sebelumnya, Profesor Kiyono pun masih belum berjaya mendapatkan strain Lactobacillus yang kuat sedangkan dia terlebih dahulu mengkaji Lactobacillus Casei?

Kesungguhan Dr. Minoru Shirota sebenarya banyak dimotivasikan oleh kisah tempat kelahirannya, Nagano,

Berdasarkan kepada fakta-fakta yang ditemui, Dr. Minoru Shirota dilahirkan disebuah kawasan yang kurang subur.

Disini, ramai petani miskin dengan hasil pertanian tidak menjadi dan mereka juga sering mendapat pelbagai penyakit.

Sejak kecil juga, Dr. Minoru Shirota selalu mendengar berita kematian ramai kanak-kanak yang mati akibat kuman Tifus dan Disentri.

Sebab itulah dia belajar bersungguh-sungguh untuk menjadi seorang doktor perubatan, untuk mengubati penyakit menular.

Ketika belajar disekolah perubatanlah, Dr. Minoru Shirota berjaya menemui punca penyakit iaitu mikro organisma atau kuman.

Berbekalkan semangat falsafah 'mencegah lebih baik daripada merawat', Dr. Minoru Shirota bersungguh-sungguh menjalankan kajian terhadap Lactobacillus Casei sehinggalah dia berjaya menemui strainnya sendiri.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Keajaiban Khasiat Susu Kambing

-SENTIASAPANAS.COM