Apr 27, 2015

Misteri Lelaki 'Tamam Shud'

Dinihari 1 Disember 1948, mayat seorang lelaki lengkap memakai sut bertali leher ditemui tersandar pada batu di pesisir pantai Somerton, Adelaide, Australia.

Tamam Shud

Semasa ditemui, terdapat kesan pendarahan teruk pada bahagian belakang kepala mangsa.

Tapi yang peliknya, semua label pada pakaian mangsa telah pun dikoyakkan. Lebih merumitkan, tiada sebarang identiti ditemui bersama mangsa. Bersama mangsa hanyalah sekotak rokok, gula-gula getah dan sedikit duit.

Berdasarkan keadaan, siasatan awal polis menjurus kemungkinan mangsa mati akibat dibunuh. Ketika ditemui juga, puntung rokok telah dinyalakan di sisi mangsa.

Namun, tidak lama kemudian, penemuan mayat ini menjadi semakin menarik dan misteri sehingga menggemparkan Australia.

Siasatan polis dan DNA yang dijalankan gagal mengesan identiti lelaki disebalik sut tersebut.

Pelbagai persoalan mula timbul. Siapa namanya? Bagaimana nyawa lelaki misteri itu boleh berakhir di tepi pantai? Apa punca kematiannya?

Disebabkan buntu, bedah siasat dilakukan untuk mencari punca sebenar kematian. Hasil bedah siasat mendapati saluran darah dan otak mangsa seperti tersumbat. Limpa mangsa juga disyaki gagal berfungsi. Petunjuk ini menandakan kemungkinan mangsa mati kerana diracun.

Penemuan ini membuatkan pihak penyiasat semakin buntu. Jika benar mangsa diracun hungga mati, kenapa doktor tidak menemui racun dalam perut mahupun badan mangsa?

Tidak lama kemudian, pihak polis berjaya tampil dengan beberapa kemungkinan identiti mangsa. Tapi ia tidak bertahan lama apabila kemungkinan itu ternyata salah.

Ada satu ketika, pihak polis menyangka mangsa adalah E.C Johnson. Namun, mereka dikejutkan dengan kehadiran E.C Johnson beberapa hari kemudian bagi mengesahkan yang dia masih hidup.

Menjelang pertengahan Januari 1949, kes kematian lelaki bersut semakin dingin, polis menemui pula petunjuk baru. Mereka menemui sebuah beg pakaian yang ditinggalkan di sebuah stesen kereta api. Dilaporkan, beg itu ditemui pada hari kematian lelaki misteri itu dijumpai.

Tamam Shud [2]

Lebih menarik, sama seperti tanda-tanda yang ditemui pada mangsa, semua label pakaian dalam beg itu telah dikoyakkan. Yang kekal hanyalah sehelai kemeja yang mempunyai tanda nama di bahagian kolar baju, dieja dengan 'T.Keane'.

Tetapi, rakan Thomas Keane menafikan mayat tersebut adalah rakan mereka. Sekali lagi pihak penyiasat buntu dan kes ini semakin menyepi. Dan kemudian, keadaan menjadi semakin pelik.

Musim panas tahun yang sama, pegawai penyiasat menemui satu poket rahsia dalam seluar si mati. Dalam poket itu terdapat satu cebisan kertas yang bertulis 'Tamam Shud' yang membawa maksud 'pengakhiran' dalam bahasa Parsi.

Pegawai dari perpustakaan mengesahkan cebisan kertas itu datangnya daripada sebuah buku puisi berjudul The Rubaiyat yang ditulis oleh Omar Khayyam.

Siasatan terus dijalankan. Seterusnya, ia membawa kepada penemuan salinan buku tersebut dalam sebuah kereta yang tidak berkunci. Pihak polis berharap buku ini akan menjadi petunjuk utama buat mereka.

Dimuka hadapan buku tersebut terdapat salinan nombor telefon yang mengarahkan siasatan kepada seorang jururawat pula.

Jururawat yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan dan mempunyai seorang anak dipanggil untuk membantu siasatan. Jururawat wanita ini bersetuju memberi kerjasama tetapi dengan syarat.

Pihak berkuasa tidak boleh mendedahkan identitinya selain mengaitkannya dengan kes pembunuhan. Mungkin kedengaran tidak masuk akal, tetapi pihak berkuasa bersetuju dengan permintaan jururawat tersebut.

Hasil siasatan, jururawat itu mengaku, empat tahun sebelum kejadian kematian misteri tersebut, dia ada menghadiahkan senaskah buku The Rubaiyat kepada seorang lelaki dengan nama Albert Boxall.

Dari situ, pihak polis yakin identiti lelaki tersebut adalah Albert. Tapi, sekali lagi siasatan ini menemui jalan buntu. Albert Boxall masih hidup. Lelaki itu telah datang ke balai polis beberapa hari kemudian untuk mengesahkan yang dia masih hidup.

Sebagai bukti, Albert Boxall membawa bersamanya buku yang dihadiahkan oleh jururawat dengan perkataan 'Tamam Shud' masih lagi jelas di dalamnya.

Tamam Shud [3]

Sejak itu, kes pembunuhan lelaki 'Tamam Shud' terus misteri dan di label sebagai satu kes pembunuhan misteri yang sempurna. Bukti-bukti yang ada masih gagal menjelaskan identiti seterusnya menyelesaikan kes kematian lelaki ini.

Pihak polis sendiri masih gagal memutuskan sama ada mangsa mati dibunuh dengan racun atau mangsa sebenarnya mati membunuh diri.

Sehingga ke hari ini, persoalan terus timbul. Siapa sebenarnya lelaki 'Tamam Shud' ini?

Jika benar mangsa dibunuh, apakah senjata yang digunakan? Siapa dalang yang berjaya melakukan jenayah ini dengan begitu sempurna?

BACA INI JUGA: Tetamu Misteri Hotel Fairmont

-SENTIASAPANAS.COM

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

3 comments

Assalammualaikum.. SP,

memang benar2 misteri kematian lelaki nie.. sehinggakan pihak polis tidak dapat membuktikan siapakah pesalanya...

mselim3

Wa'alaikumsalam. Mungkin hanya sherlock Holmes yg mampu menyelesai misteri ni..

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon