Wednesday, June 17, 2020

8 Pemain Yang Dianggap Pewaris Cristiano Ronaldo

8 Pemain Yang Dianggap Pewaris Cristiano Ronaldo

Persoalan yang bermain di fikiran peminat bola sepak dengan pemain Portugal ini sudah memasuki kemuncak kariernya, siapa pemain yang mampu menjadi pewaris atau pengganti bintang bola sepak dunia Cristiano Ronaldo?

Cristiano Ronaldo

Malah, 'tanda' sebagai pengganti Ronaldo yang diletakkan ke atas pemain muda ketika ini kadang-kadang dianggap boleh menjadi beban susulan standard yang cukup tinggi dicipta pemain itu.

Berikut adalah 8 pemain yang menjadi perbandingan dengan Cristiano Ronaldo ketika di awal kariernya.

1. JOAO FELIX

Pewaris Cristiano Ronaldo

Nama Felix, 20, melonjak bersama Benfica pada 2018-19 dan membantu kelab itu memenangi liga.

Dia juga menjadi pemain termuda yang pernah meledak hatrik dalam Liga Eropah pada usia 19 tahun selepas tiga kali menentang Eintracht Frankfurt.

Ia mendorong pengurus Atletico Madrid, Diego Simeone membayar £113 juta (RM609 juta) untuk mendapatkan khidmatnya.

Memiliki tanda 'pengganti Ronaldo' menjadikan penyerang itu sebagai sasaran pemain lain di Sepanyol, dan dia diketepikan selama sebulan selepas cedera pergelangan kaki yang dialami ketika menentang Valencia.

Namun, itu bukan penamat buat Felix di Atletico jika dia tetap cergas dan hanya perlu mengatasi masalah masa sebelum memenuhi potensinya.

2. FEDERICO MACHEDA

Pewaris Cristiano Ronaldo

Menjadi rakan sepasukan Ronaldo pada 2009, menyebabkan dia tidak dapat mengelak daripada dibandingkan dengan bintang Portugal itu.

Keadaan itu dilihat menjadi punca penyerang Itali itu mengakui dirinya mengalami histeria ketika beraksi di Liga Perdana Inggeris bersama Manchester United.

Kini, Macheda yang berusia 28 tahun sudah menemui semula sentuhan jaringan bersama Panathinaikos di Greece selepas menyertai beberapa kelab termasuk QPR, Doncaster dan Novara.

3. VINICIUS JUNIOR

Pewaris Cristiano Ronaldo

'Budak ajaib' dari Brazil ini belum mencapai tahap yang diharapkan di Real Madrid, sejak berpindah pada 2018.

Los Blancos membayar £39 juta (RM210 juta) kepada Flamengo untuk Vinicius Junior ketika dia berusia 16 tahun, sebelum secara rasmi menyertai kelab itu pada usia 18 tahun, usia minimum untuk perpindahan antarabangsa.

Setahun lalu, dia mempamerkan persembahan cemerlang bersama pasukan utama, meledak gol ketika menewaskan Barcelona 2-0 pada Mac.

Seakan sama dengan Ronaldo pada awal kerjayanya, pemain ini memiliki kepantasan dan pakar menggelecek.

4. ANTHONY MARTIAL

Pewaris Cristiano Ronaldo

Penyerang Perancis, Martial, 24, meletakkan dirinya sebagai orang yang paling dipercayai di Old Trafford dengan mengetuai barisan pilihan Ole Gunnar Solskjaer.

Malah, musim ini dia menunjukkan boleh menjadi lebih produktif, meledak 16 gol dalam semua pertandingan.

Dia mencipta nama bersama Monaco, sebelum menandatangani kontrak dengan United bernilai 58 juta pound (RM312 juta) pada 2015.

Jumlah itu bagaimanapun digambarkan oleh bekas pengurus Louis van Gaal sebagai bayaran yang "tidak masuk akal".

5. FRANCISCO TRINCAO

Pewaris Cristiano Ronaldo

Trincao dijangka menyertai Barcelona dan bergandingan dengan Lionel Messi pada Julai, selepas persetujuan perjanjian £28 juta (RM150 juta) dicapai pada Januari.

Memiliki ketinggian enam kaki, pemain antarabangsa Portugal bawah 20 (B-20) tahun itu berkongsi fizikal yang sama dengan Ronaldo dan mempunyai kemampuan terbaik dalam bola sepak.

Mampu bermain pelbagai posisi di bahagian serangan, dia juga memiliki kaki kiri yang istimewa dengan rembatan tepat dan kemahiran menggelecek.

Ketika kejuraan Eropah B-19 2018, dia memenangi anugerah kasut emas dengan Portugal menewaskan Itali 4-3 di pentas final selepas tambahan masa.

6. WILFRIED ZAHA

Pewaris Cristiano Ronaldo

Seakan tidak adil memanggil Zaha sebagai pemain yang gagal, memandangkan kedudukannya di Liga Perdana Inggeris ketika ini bersama Crystal Palace.

Namun, persembahannya di Manchester United dari 2013-15 adalah satu musibah.

Pemain terakhir yang ditandatangani Sir Alex Ferguson sebelum bersara, Zaha, 27, tidak pernah menjadi pemain yang benar-benar digemari David Moyes dan dihantar ke Cardiff City secara pinjaman sebelum dia kembali ke Selhurst Park.

Terdapat laporan Newcastle United merancang untuk menjadikan Zaha sebagai pemain pertama mereka yang menelan belanja besar selepas proses mengambil alih kelab itu selesai.

7. KYLIAN MBAPPE

Pewaris Cristiano Ronaldo

Bukan lagi dianggap sebagai 'pengganti Ronaldo', Mbappe adalah bintang yang mempunyai gaya tersendiri.

Pemain utama PSG berusia 21 tahun itu sudah menjaringkan 30 gol dalam 33 perlawanan musim ini, dan membantu Perancis memenangi Piala Dunia dilihat sebagai pewaris Ronaldo dan Messi untuk merangkul anugerah Ballon d'Or.

Namun, bekas penyerang Arsenal, Nicolas Anelka menganggap Mbappe mengingatkan dia kepada legenda Brazil, Ronaldo ketika Olimpik 1996.

"Dia mempunyai ciri-ciri pemain berkelas dunia dan dia harus menguruskannya dengan baik. Jika dia mengikuti karier Ronaldo, dia akan menjadi salah satu legenda yang melakar sejarah dalam sukan ini."

8. KAIO JORGE

Pewaris Cristiano Ronaldo

Chelsea, Juventus, dan Bayer Leverkusen antara kelab yang berpotensi buat bintang remaja sensasi Brazil, Jorge.

Pemain berusia 18 tahun ini dilaporkan adalah pemain terbaik yang pernah mereka lihat di Santos selepas Neymar, mempunyai kepantasan kaki yang hebat dan teknik luar biasa.

Pada Piala Dunia B-17 tahun lalu, dia menunjukkan memiliki kepakaran mencetak gol, menjaringkan lima gol untuk memenangi 'Kasut Gangsa'.

Namun, masih terlalu awal untuk mengatakan adakah dia benar-benar akan berkembang menjadi pengganti Ronaldo di masa depan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: bharian

Sunday, May 31, 2020

8 Penyerang Berbisa Yang Gagal Menyerlah Di EPL

8 Penyerang Berbisa Yang Gagal Menyerlah Di EPL

Mana-mana penyerang yang dikaitkan dengan perpindahan ke Liga Perdana Inggeris (EPL), mungkin perlu mengambil iktibar daripada apa yang terjadi kepada beberapa orang penyerang yang pada mulanya kelihatan amat berbisa menjaringkan gol.

Ini kerana, rekod cemerlang di Eropah atau Latin tidak menjamin perkara sama dapat diulangi di EPL, kerana tidak semuanya mampu menjadi Fernando Torres atau Sergio Aguero.

Berikut adalah 8 penyerang yang gagal menyerlah selepas menyertai EPL.

1. DIEGO FORLAN - Manchester United (2002-2004)

DIEGO FORLAN

Ia memerlukan 34 perlawanan untuk Forlan akhirnya membuka akaun jaringan di England, kemudian meledak gol kedua ketika menentang Southampton.

Dan ketika meraikan jaringan dengan membuka bajunya, dia mengalami kesukaran untuk memakainya semula sehingga terpaksa melakukan terjahan tanpa baju dan menanggalkan baju ketika meraikan jaringan akhirnya menjadi kesalahan kad kuning.

Forlan hanya menjaringkan 17 gol dalam 98 perlawanan untuk United.

2. FERNANDO MORIENTES - Liverpool (2005-2006)

FERNANDO MORIENTES

Bintang Sepanyol itu hanya semusim setengah di Anfield dan cuma sekadar meledak lapan gol dalam 41 penampilan Liga Perdana.

3. HERNAN CRESPO - Chelsea (2003-2008)

HERNAN CRESPO

Hernan Crespo pernah menjadi pemain termahal dunia tetapi mengalami kesukaran mendapatkan prestasi terbaiknya di Stamford Bridge.

Dia cukup menyerlah ketika bersama Parma dan Lazio, tetapi di Chelsea hanya mampu meledak 20 gol sepanjang tempoh lima tahun.

4. ANDRIY SHEVCHENKO - Chelsea (2006-2009)

ANDRIY SHEVCHENKO

Andriy Shevchenko menyertai Chelsea ketika kemuncak prestasinya bersama AC Milan, dan selepas hampir 200 gol diledak bersama gergasi San Siro itu, harapan tinggi diletakkan ke atas penyerang Ukraine ini.

Bagaimanapun, dia hanya menemui sasaran sembilan kali dalam 48 penampilan EPL.

5. ROBINHO - Manchester City (2008-2010)

ROBINHO

Perpindahan Robinho ke Manchester City mengejutkan dunia pada 2008. Dia membarisi skuad bintang Brazil dan bermain lebih 100 kali untuk Real Madrid sebelum disambar City yang mendapat suntikan dana besar daripada pemiliknya.

Namun, hanya 14 gol dijaringkan Robinho dalam dua musim sebelum dia menyertai AC Milan.

6. RADAMEL FALCAO - Manchester United (2014-2015) dan Chelsea (2015-2016)

RADAMEL FALCAO

Dua kelab Inggeris menjadi destinasi Falcao dan dia gagal di kedua-dua kelab itu.

Peledak Colombia itu tiba di England dengan reputasi sebagai penyerang elit, antara yang paling tajam di dunia ketika itu.

Hampir setiap perlawanan dia berjaya menjaringkan gol ketika di Porto dan Atletico Madrid, sebelum meledak 62 gol dalam 105 perlawanan untuk Monaco.

Namun di EPL, hanya lima gol dikutip dalam dua musim di Old Trafford dan Stamford Bridge.

7. ROBERTO SOLDADO - Tottenham (2013-2015)

ROBERTO SOLDADO

Bekas penyerang Real Madrid dan Sepanyol itu cukup tajam ketika bersama Valencia dan harapan tinggi diletakkan Spurs ke atasnya tetapi dia hanya membalasnya dengan tujuh gol dalam 52 aksi liga.

8. ALEXANDRE PATO - Chelsea (2016)

ALEXANDRE PATO

Bintang muda sensasi Brazil itu dijangka akan menguasai dunia, menjadi Ronaldo baharu dan mengukir nama dalam sejarah bola sepak.

Dia bermula baik di Internacional dan kemudian AC Milan, tetapi prestasinya menjunam dan dia kembali ke Brazil bersama Corinthians.

Chelsea menandatanganinya pada 2016 tetapi dia hanya bermain dua kali dan sekadar menyempurnakan satu gol penalti.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: bharian

Tuesday, April 28, 2020

Cristiano Ronaldo Bantu Syarikat Seluar Dalam Ketika Covid-19

Cristiano Ronaldo Bantu Syarikat Seluar Dalam Ketika Covid-19

Cristiano Ronaldo sekali lagi membuktikan sifat pemurahnya apabila membantu sebuah syarikat pengeluar seluar dalam dari Denmark yang jualannya terjejas susulan pandemik COVID-19 yang kini sedang melanda seluruh dunia.

Cristiano Ronaldo

Bintang sensasi Juventus yang miliki kekayaan dianggarkan bernilai 300 juta pound (RM1.6 bilion) tahun 2019 lalu bersetuju untuk tidak mengambil sebarang bayaran daripada JBS iaitu syarikat yang mengeluarkan seluar dalam jenama CR7.

Kapten Portugal itu adalah duta kepada seluar dalam CR7 dan menerima bayaran lumayan menerusi kontrak yang ditandatanganinya.

Seluar dalam jenama CR7 menyumbang 14 peratus keuntungan kepada syarikat berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif JBS, Michael Alstrup, berkata Ronaldo banyak membantu syarikat itu sepanjang krisis COVID-19.

"Wakil Ronaldo mengatakan yang tiada pembayaran minimum perlu dilakukan disebabkan pandemik COVID-19 tahun ini.

"Namun, Ronaldo sendiri menambah yang kami tidak perlu membayar apa-apa sehingga 2021.

"Kami sangat bertuah kerana kami yang memulakan jenama CR7 dan kami mempunyai hubungan yang baik dengan Ronaldo.

"Kami sudah melakukannya sejak 2013 dan mereka menganggap kami sebagai keluarga," katanya.

Alstup mengakui jualan seluarh dalam Ronaldo meningkat sejak dia berpindah daripada Real Madrid ke Juventus.

Ronaldo beli kereta RM46 juta ketika kuarantin

Bugatti Centodieci
Bugatti Centodieci.

Sebelum ini, Cristiano Ronaldo menghabiskan masa ketika tempoh kuarantin dengan membeli kereta edisi terhad Bugatti yang hanya dikeluarkan 10 unit di seluruh dunia berharga 8.5 juta pound (RM46 juta).

Bintang Juventus itu ketika ini menjalani kuarantin di kampung halamannya di Madeira memandangkan saingan bola sepak sedang ditangguhkan susulan penularan COVID-19.

Ronaldo mungkin membeli-belah sebagai terapi bagi membantu dia mengharungi situasi ketika ini dan akhbar Jerman, Bild melaporkan dia sudah menempah kereta mewah, Bugatti Centodieci.

Pembelian itu bakal menyaksikan Ronaldo menambah lagi koleksi kereta mewahnya selepas memiliki kereta seperti Bugatti Chiron dan Bugatti Veyron Grand Sport Vitesse.

Pengeluar kereta dari Perancis itu terkenal dengan penghasilan jentera mewah berprestasi tinggi dan model terbaharu mereka, Centodieci direka sebagai penghargaan kepada Bugatti EB110.

Kereta super itu dilengkapi enjin W16 dengan empat pengecas turbo 8 liter dan boleh memecut daripada 0 ke 62 batu sejam dalam tempoh 2.4 saat serta kelajuan maksimum 236 batu sejam (mph).

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: bharian

Tuesday, March 10, 2020

Basikal Trek Azizulhasni Bernilai RM13 Juta!

Basikal Trek Azizulhasni Bernilai RM13 Juta!

Basikal terbaharu skuad lumba basikal negara yang direka mengikut kesesuaian tiga pelumba negara iaitu Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Fadhil Zonis, diperbuat daripada bahan karbon fiber yang lebih keras tetapi ringan dengan menggunakan teknologi aerodinamik terkini untuk memastikan rintangan angin lebih rendah.

WX-R Vorteq RM300k
WX-R Vorteq.

Menerusi projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) Institut Sukan Negara (ISN) dengan syarikat dari United Kingdom, TOTALSIM Ltd., yang mempunyai kepakaran dalam kejuruteraan aerodinamik, akhirnya basikal tersebut berjaya dihasilkan dengan jumlah perbelanjaan bernilai RM13 juta!

Kerajaan Malaysia, melalui Program Podium mengambil langkah proaktif menggunakan teknologi terkini dalam perlumbaan trek untuk membantu pelumba Malaysia merealisasikan impian di Sukan Olimpik.

Syarat Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) menyatakan, jentera yang digunakan bagi Sukan Olimpik perlu berada di pasaran dan basikal model WX-R Vorteq ini sudah berada di pasaran sejak 1 Januari 2020 lalu dengan sebuah basikal berharga RM300,000, dan turut menarik minat pasukan dari Lithuania dan Greece.

WX-R Vorteq Azizulhasni

Basikal khas ini juga telah digunakan oleh pelumba negara pada Kejohanan Dunia di Berlin, Jerman, edisi 2020, dengan Azizulhasi mengutip dua gangsa dalam acara keirin dan pecut.

Azizulhasni atau lebih mesra dipanggil Jijoe, menjadi prospek utama membutirkan kilauan emas di Olimpik Tokyo selepas ketiadaan ikon badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang mengumumkan persaraannya, tahun 2019 lalu.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Wednesday, February 26, 2020

Menanduk Bola Digugur Dari Latihan Asas Bola Sepak

Menanduk Bola Digugur Dari Latihan Asas Bola Sepak

Persatuan Bola Sepak di England, Scotland dan Ireland Utara telah memperkenalkan garis panduan terbaharu mengenai larangan menjalankan latihan tandukan bola untuk kanak-kanak dan remaja, bagi semua peringkat kumpulan umur iaitu antara bawah enam tahun dan bawah 18 tahun.

Ronaldo-tanduk-bola
Gambar hiasan.

Persatuan Bola Sepak Wales berkata, garis panduan untuk jurulatih bola sepak kanak-kanak dalam pembelajaran menanduk bola, kini disemak semula dan hasil kajian dijangka dapat disiapkan pada akhir tahun 2020.

Dalam program pembangunan bola sepak baharu, latihan asas menanduk bola untuk kanak-kanak sekolah rendah kini tidak lagi dibenarkan, manakala latihan tandukan secara berperingkat akan diperkenalkan kepada kumpulan umur bawah 12 hingga bawah 16.

Selain itu, akan ada peraturan mengenai saiz bola yang berbeza untuk latihan dan perlawanan bagi setiap kumpulan umur.

Peraturan baharu juga bermakna aksi tandukan bola hanya dapat dilihat dalam perlawanan membabitkan kumpulan umur 12 tahun tetapi pada tahap ini, jurulatih perlu menerapkan corak permainan yang tidak membabitkan hantaran jauh.

Bagi mereka yang berusia 16 dan 17 tahun pula, mereka hanya dibenar menyertai satu sesi latihan tandukan saja dalam seminggu.

Peraturan baharu itu diperkenalkan berikutan satu kajian impak besar yang diumumkan pada Oktober 2019 lalu diterajui Universiti Glasgow, yang mendedahkan kesan kesihatan jangka panjang terhadap bekas pemain bola sepak profesional.

Kajian itu mendapati, bekas pemain bola sepak adalah tiga kali ganda berkemungkinan untuk meninggal dunia akibat penyakit otak.

Meskipun tiada sebarang bukti yang mengaitkan secara langsung tandukan boleh menyebabkan penyakit berkaitan kegagalan fungsi otak, garis panduan menanduk bola yang sudah dikemas kini itu diterbitkan hasil rundingan dengan badan pentadbir bola sepak Eropah (UEFA) dan Persatuan Bola Sepak England (FA).

Ia bertujuan bagi mengenai kemungkinan sebarang risiko pada masa akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif FA England, Mark Bullingham, berkata garis panduan yang dikemas kini itu akan membantu jurulatih dan guru mengurangkan latihan tandukan berulang dan tidak diperlukan dalam kerangka pembangunan bola sepak belia.

Kajian menunjukkan aksi tandukan jarang dipamerkan dalam perlawanan bola sepak peringkat muda.

Jadi, garis panduan itu adalah satu perkembangan bertanggungjawab terhadap kanak-kanak di semua peringkat usia tanpa menjejaskan keseronokan bermain bola.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Tuesday, February 11, 2020

Azizulhasni Awang Bongkar Rahsia, Kejayaan Hari Ini Kerana Bantuan Seorang 'Cina'

Azizulhasni Awang Bongkar Rahsia, Kejayaan Hari Ini Kerana Bantuan Seorang 'Cina'

Dengan status ranking nombor 1 keirin dunia ketika artikel ini ditulis, Azizulhasni Awang mendedahkan beliau pernah digugurkan daripada program pelapis di Sekolah Sukan Bukit Jalil ketika berusia 18 tahun.

Azizulhasni Awang dan Ng Joo Ngan
Azizulhasni bersama Ng Joo Ngan (kiri) dan jurulatihnya, John Beasley.

Bagaimanapun, dia diselamatkan oleh Ketua Jurulatih Kebangsaan ketika itu, Datuk Ng Joo Ngan, setelah legenda berbasikal itu membuat rayuan.

Menyifatkan kehadiran Ng Joo Ngan sebagai 'bantuan dari langit', "The Pocketrocketman" juga menyifatkan, ikon sukan berbasikal negara itu sebagai seorang 'figura ayah' buatnya.

"Ketika saya hampir lemas dengan ombak ujian yang membantai diri, saya menerima nafas baru. Ada bantuan dari langit. Sungguh tidak disangka.

"Seorang manusia yang tidak ada apa-apa kaitan dengan saya, datang menghulurkan bantuan. Insan itu adalah seorang yang saya panggil Uncle Joo Ngan," cerita Azizulhasni dalam entri di Facebook bertajuk 'Al-kisah seorang Cina'.

"Saya yang ketika itu menetap di asrama atlet, telah ditarik segala kemudahan yang diberikan. Bermaksud, asrama tempat penginapan ditarik, akses ke dewan makan juga di tarik balik dan begitu juga dengan kemudahan latihan. Ketika itu saya hilang segala-galanya."

"Saya juga tidak memberitahu emak berita ini. Saya tak nak emak risau dan sedih. Saya masih ingat yang saya berjanji dengan emak sebelum ke SSBJ yang saya akan menjadi atlet negara suatu hari nanti dan juga tidak abaikan pelajaran. Bayangkan kalau dia tahu, sudah tentu hancur lebur hatinya," ceritanya.

Kisah silam permulaan kehidupannya sebagai ahli sukan sebelum membina kemasyhuran sehingga disegani di peringkat dunia diceritakan secara bersiri dalam Facebook peribadinya sejak 25 hingga 31 Januari lalu.

Beliau mengakui Joo Ngan bukanlah jurulatihnya tetapi sanggup menawarkan tempat tinggal dan membuat rayuan agar beliau dikekalkan.

"Kerana murninya hati seseorang itu bukan bergantung kepada warna kulit, bangsa mahupun agama, Uncle (Joo Ngan) tampil menawarkan saya untuk tinggal di rumahnya buat sementara waktu.

"Saya rasa sungguh bersyukur dan terharu atas bantuan yang diberikan, juga tidak menyangka Uncle (Joo Ngan) merayu kepada pihak atasan supaya memberikan saya peluang kedua, tanpa pengetahuan saya," tulis Azizulhasni lagi.

Beliau juga mengakui pernah dihalau apabila cuba untuk makan di kantin SSBJ dan kantin Majlis Sukan Negara (MSN) apabila digugurkan daripada sekolah program pelapis di SSBJ.

Namun, takdir mengubah segala-galanya apabila beliau akhirnya mendapat tawaran menyertai pasukan elit setelah berjaya memenangi tiga emas dan satu perak dalam Kejohanan Berbasikal Trek Asia 2006.

"Untuk makluman anda semua, saya telah mencipta sejarah dalam arena sukan lumba basikal pada masa itu. Saya telah memenangi tiga pingat emas untuk kesemua acara individu saya iaitu Sprint, Keirin dan 1km ujian masa, manakala perak untuk acara Pecut Berpasukan, itupun kerana tayar salah seorang dari rakan pasukan pancit ketika perlumbaan final untuk pingat emas," katanya lagi.

Semoga kisah Azizulhasni ini dapat dijadikan motivasi buat semua pembaca yang menghadapi ujian dalam kehidupan masing-masing.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani

Friday, December 13, 2019

5 Pertandingan e-Sports Yang Menawarkan Hadiah Paling Lumayan

5 Pertandingan e-Sports Yang Menawarkan Hadiah Paling Lumayan

Kemunculan fenomena sukan elektronik atau 'e-sport' membuka satu dimensi baru dalam aktiviti sukan di seluruh, sehingga mampu melahir jagoan-jagoan maya yang bertanding merebut membuktikan mereka yang terbaik.

eSport Paling Lumayan

Isu sama ada anda menganggap mereka ini benar-benar seorang 'atlit' atau hanya sekadar penekan butang yang handal, kita ketepikan sebentar kerana kami tidak mahu berbicara tentang itu sekarang.

Dalam sukan bentuk tradisional, selain merebut ganjaran pingat - atlit juga diberikan ganjaran dalam bentuk wang tunai yang lumayan.

Sama seperti atlit tradisional, atlit e-sport juga ditawarkan peluang serupa - tetapi dalam sukan maya kompetetif manakah ganjaran terbesar ditawarkan pada mereka?

1. DOTA 2

Sebuah judul yang dikatakan sangat kompleks daripada mekanisme permainannya, DOTA 2 merupakan sambungan rasmi kepada modifikasi judul 'Defense of the Ancients', yang memulakan demam 'genre MOBA' atau 'multiplayer online battle arena' di seluruh dunia.

Boleh dimainkan secara berkumpulan atau secara solo, kejohanan DOTA 2 biasanya dilangsungkan dalam format 5 lawan 5, dengan setiap pemain membawakan kebolehan yang berbeza antara satu sama lain.

Kejohanan terbesar DOTA 2 dianjurkan sendiri oleh penerbitnya, Valve Corporation yang digelarkan sebagai 'DOTA 2 The International' menjadi kejohanan e-sport nombor satu di dunia, daripada segi jumlah ganjaran kepada pemenang.

Pada tahun 2018 saja, kejohanan ini menawarkan hadiah RM104.24 juta kepada barisan pemenang. Hanya dalam satu kejohanan!

Sekiranya dicongak kesemua tawaran hadiah kepada peserta pertandingan DOTA 2, jumlah terkumpul ganjaran dilaporkan sekitar RM172 juta, jauh meninggalkan CS-GO di belakang.

Walau demikian, diramalkan bagi tahun 2019 - takhta ini bakal bertukar tangan kepada judul 'Fortnite'.

2. Counter-Strike: Global Offensive

Judul paling tua di antara semua judul yang layak dalam senarai ini, Counter-Strike: Global Offensive atau CS:GO merupakan versi terbaru modifikasi permainan Half-Life yang menjadi tajuk rasmi kafe internet, semasa demam cybercafe berlangsung di negara kita.

Mempunyai format tradisional dengan dua pasukan iaitu pasukan keselamatan dan pasukan pengganas berentap, bagi memenuhi objektif masing-masing - prinsip kerjasama amat diperlukan dalam membentuk team CS:GO yang kukuh.

Pada tahun 2018, sebanyak 370 kejohanan CS-GO dianjurkan dan menjadi salah satu judul terpenting dalam kejohanan World Electronic Sports Games.

7 kejohanan menawarkan hadiah lebih RM4.2 juta setiap satu untuk pemenangnya, dengan jumlah keseluruhan tawaran ganjaran untuk judul ini berada pada tahap RM94.07 bagi tahun 2018.

3. Fortnite

Dikeluarkan oleh syarikat gergasi Epic Games serta membawakan sentuhan grafik yang segar semasa diterbitkan, 'Fortnite' membawa format judul yang serupa dengan PUBG namun mempunyai pendekatan lebih bersifat kartun.

Bagi mempromosikan Fortnite, Epic Games tidak takut mengeluarkan belanja besar dengan memperuntukkan RM418 juta bagi tempoh dua tahun daripada mula tahun 2018 sehinggalah akhir tahun 2019; sebagai ganjaran kepada pemenang kejohanan anjuran mereka.

Sehingga tahun 2018, beberapa kejohanan yang telah berlangsung membawa jumlah hadiah terkumpul sebanyak RM83.52 juta.

Ini bermakna, bagi tahun 2019, ganjaran untuk pemenang kejohanan Fortnite bakal merebut lebih RM300 juta keseluruhan. Lumayan kan?

4. League of Legends

Lebih dikenali dengan nama LoL, judul ini merupakan salah satu judul paling lama kekal bertahan sebagai sukan tradisi e-sport sejak mula diterbitkan lagi.

Dibangunkan berdasarkan indpirasi kepada modifikasi judul popular Warcraft 3 'Defense of the Ancient', LoL memberikan pemain seorang watak yang akan mengepalai satu pasukan dengan tujuan mengambil alih kubu lawan.

Berikutan usianya yang sudah panjang, siri pertandingan LoL juga sudah mempunyai format-format tertentu yang telah ditetapkan, malahan mempunyai kejohanan peringkat dunia yang dianjurkan setiap tahun.

Dalam kejohanan dunia yang dianjurkan oleh pengeluar LoL, Riot Games sendiri - tawaran wang tunai berjumlah RM27 juta ringgit.

Itu hanya untuk satu kejohanan. Sekiranya dikumpulkan kesemua pertandingan LoL yang ada untuk tahun 2018, jumlah wang tunai terkumpul untuk pemenangnya direkodkan sebanyak RM59.11 juta keseluruhannya.

5. PlayerUnknown's Battlegrounds

Sebuah permainan yang sangat popular serta kini mampu dimainkan dalam pelbagai format, selepas terbitnya versi mobil - PlayerUnknown's Battlegrounds atau PUBG merupakan permainan berbentuk 'Battle Royale' yang sangat popular, sehinggakan mempunyai barisan pemain daripada generasi muda sehinggalah ada yang bercucu lima.

PUBG mula dipandang serius sebagai sukan maya selepas PUBG Corporation mula mengambil serius kehendak peminat permainan itu untuk menjadikannya salah satu nama terbesar industri e-sport.

Dalam permainan itu, 100 orang pemain akan dijatuhkan serentak ke sebuah pulau maya dan pemain yang terakhir hidup, diangkat sebagai pemenang.

Oleh kerana formatnya yang mesra e-sport, populariti PUBG sebagai judul utama meningkat mendadak pada tahun 2018, hanya selepas setahun lebih dilancarkan.

Jumlah hadiah terkumpul bagi pertandingan PUBG tahun 2018 adalah RM28.18 juta.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Tuesday, October 29, 2019

Panduan Pemakanan Atlet, Sebelum, Semasa Dan Selepas Pertandingan

Panduan Pemakanan Atlet, Sebelum, Semasa Dan Selepas Pertandingan

Pertandingan sudah tiba, esok akan ada perlumbaan setelah semua atlet berlatih sejak sekian lama. Pepatah "eat to win" mesti diutamakan supaya apa yang kita makan mudah dicerna dan sesuai dengan tubuh badan di hari pertandingan.

Panduan Pemakanan Atlet

Makanan harus lebih banyak mengandung karbohidrat kompleks, rendah lemak dan protein, cukup vitamin dan mineral serta cukup air.

Namun, hindari makanan yang banyak mengandung lemak, bergas, berminyak dan sukar dihadam kerana makanan tersebut sukar dicerna, juga tidak memberi sumbangan untuk merangsang glikogen otot dan hati semasa pertandingan.

Pemberian karbohidrat pada saat pertandingan bertujuan untuk mencegah terjadinya hipoglikemi, mencegah kepenatan dan untuk mengekalkan kekuatan otot.

Pemakanan Atlet

Prestasi fizikal boleh ditingkatkan melalui pemakanan yang baik. Contohnya peningkatan pengambilan karbohidrat sebelum dan semasa latihan dapat meningkatkan kualiti latihan.

Atlet akan dapat berlatih dengan lebih lama dan melambatkan rasa kelesuan ketika latihan.

Contoh pengambilan makanan:
  • Sebelum = 4 jam sebelum pertandingan, Nasi dan Buah-buahan.
  • Semasa = 1.0 setiap 15 minit – 20 minit, minuman berkarbohidrat.
  • Selepas = 1.0 2 jam selepas pertandingan, Nasi, Kentang, Roti, Glukosa.

Makanan sebelum pertandingan

Semasa aktiviti fizikal yang giat, otot akan memilih sumber tenaga dari karbohidrat berbanding lemak. Ini kerana tenaga daripada karbohidrat lebih senang diperolehi tanpa perlu memerlukan bekalan oksigen yang banyak.

Sumber tenaga yang paling cepat diperolehi ialah glikogen yang di simpan dalam otot-otot.

Atlet yang menceburi acara marathon, berbasikal jarak jauh, mendayung, memerlukan bekalan karbohidrat yang lebih tinggi. Bekalan tersebut biasanya disimpan di otot dan hati.

Jangan makan terlalu kenyang sebab perut yang penuh dengan makanan berkecenderungan mengalami kecederaan terutama dalam sukan.

Ini disebabkan darah akan tertumpu di bahagian organ penghadaman dan kurang di bahagian otot dan otak yang diperlukan untuk aktiviti fizikal.

Amalkan makanan yang mengandungi karbohidrat kerana ia lebih mudah dan cepat dihadam daripada makanan yang mengandungi lemak.

Elakkan makan yang pedas dan minuman yang bergas, kerana akan mengganggu proses penghadaman. Atlet akan merasa tidak selesa semasa pertandingan kerana perut akan memulas dan menyebabkan sendawa (burping).

Cecair yang diminum harus senag diserap dan dihadam. Susu, kopi dan teh harus dielakkan sebelum pertandingan kerana minuman ini susah untuk dihadamkan. Air adalah minuman yang paling sesuai.

Seseorang atlet harus sekurang-kurangnya makan 2 – 3 jam sebelum sesuatu pertandingan. Ini membolehkan makanan dihadam dan perut tidak rasa penuh. Pada masa yang sama, atlet juga tidak harus rasa terlalu lapar sebelum pertandingan.

Pemakanan semasa pertandingan

Jangkamasa pertandingan yang lama akan mengakibatkan kehilangan air dan sesetengah mineral melalui proses perpeluhan. Sumber tenaga karbohidrat juga akan kehabisan. Adalah penting untuk menitik beratkan tiga nutrien tersebut semasa pertandingan.

Air

Seseorang atlet akan kehilangan air yang banyak terutamanya jika bertanding dalam keadaan cuaca yang panas. Air akan hilang melalui peluh dan akan mengakibatkan peningkatan kepekatan darah dan menurunkan kapasiti darah.

Penurunan kapasiti darah ini membawa akibat kepada jantung kerana jantung terpaksa mengepam lebih cepat lagi.

Banyak gejala yang buruk akan timbul seperti dihidrasi dan stres haba akan menyusul akibat kekurangan kandungan air dalam badan.

Meminum air yang banyak adalah pendekatan yang wajar kepada atlet tersebut. Air sejuk adalah diutamakan kerana ia memudahkan penyerapan berlaku di organ penghadaman.

Atlet seharusnya jangan menunggu sampai terjadi rasa haus/dahaga oleh kerana pada waktu terasa haus ini sudah menunjukkan adanya dehidrasi awal.

Pemakanan selepas pertandingan

Acara-acara yang mempunyai masa rehat yang cukup (selepas 3 jam atau pada hari berikutnya), atlet harus memberi tumpuan kepada pemakanan yang dapat membekalkan tenaga untuk menggantikan tenaga yang telah digunakan.

Makanan berkarbohidrat dalam bentuk cecair adalah sesuai untuk mereka. Atlet tidak perlu mengambil suplemen vitamin atau mineral yang banyak pada ketika ini.

Atlet digalakkan makan makanan yang seimbang dan pada masa yang betul.

Makanan seimbang

Makanan yang mengandungi jumlah protein, karbohidrat, lemak, vitamin, garam mineral dan air yang betul disebut sebagai makanan seimbang.

Kuantiti makanan yang diperlukan adalah berbeza antara seorang dengan orang yang lain. Keperluan makanan bergantung kepada umur, saiz dan aktiviti yang kita lakukan.

Makanan yang mengandungi karbohidrat, lemak dan protein sering disebut sebagai makanan bertenaga tinggi. Ini kerana makanan ini mempunyai nilai kalori yang tinggi.

Kebanyakan buah-buahan dan sayur-sayuran hijau mempunyai nilai kalori yang rendah. Makanan ini tidak membekalkan tenaga tetapi mengandungi banyak vitamin, mineral, air dan bertindak sebagai pelawas.

Karbohidrat

Penambahan simpanan karbohidrat dalam glikogen otot dan hati dikenali sebagai tokokan karbohidrat atau dikenali sebagai kompensasi glikogen.

Teknik ini biasanya digunakan untuk atlet acara tahan lasak seperti pelari marathon, lumba basikal lebuhraya dan trithlon.

Bekalan glikogen ke otot dan hati boleh ditingkatkan dalam mengurangkan latihan dan pada masa yang sama menambahkan pengambilan makanan yang kaya dengan karbohidrat.

Pengambilan karbohidrat yang berlebihan harus djalankan selama seminggu sebelum hari pertandingan.

Pengurangan volum dan intensiti latihan sekurang-kurangnya 48 jam sebelum hari pertandingan membolehkan badan menyingkirkan sebarang hasil buangan metabolik yang mungkin menjejaskan prestasi atlit tersebut.

Fasa tokokan karbohidrat ada tiga fasa iaitu:
  • Fasa 1: Hari 1 – 2 : Latihan berintensiti tinggi, pengambilan karbohidrat norma
  • Fasa 2: Hari 3 – 5 : Latihan dikurangkan, peningkatan pengambilan karbohidrat(70 %)
  • Fasa 3: Hari ke – 6 : Hari pertandingan, selepas pertandingan pemakanan seperti biasa.

Selain itu, makanan padat yang tinggi karbohidrat kompleks dan rendah serat, misalnya buah pisang dapat memulihkan glikogen serta menggantikan cairan, vitamin, mineral dan elektrolit yang terpakai selama pertandingan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: pemakanansukan