Sunday, August 27, 2017

England, Negara Samseng Bola Sepak Paling Ganas Di Dunia

Loading...

Jika di Brazil bola sepak diibaratkan sebagai agama, di England bola sepak adalah satu kegilaan walaupun pasukan negara ini hanya pernah memenangi Piala Dunia sekali pada tahun 1966.

England Hooligan

Sekadar menjadi juara dunia hanya sekali, England yang merupakan tempat kelahiran permainan bola sepak moden tentulah tidak memiliki rekod yang boleh dibanggakan sangat.

England juga tidak mencatatkan rekod yang cemerlang dalam pertandingan peringkat kelab Eropah, walaupun kejohanan Liga Inggeris ditonton melalui televisyen oleh sebilangan besar penduduk dunia.

Walaupun terkenal gah dengan Liga Bola Sepak Inggeris (EPL), England turut memegang satu rekod bola sepak yang tidak menjadi kebanggaan kerajaan dan persatuan bola sepaknya.

England mempunyai penyokong bola sepak paling ganas di dunia dengan perlawanan antara dua kelab di stadium sering sahaja diiringi dengan pertempuran antara penyokong di luar stadium, yang kerap kali berakhir dengan kematian.

Penyokong Fanatik

Setiap kelab bola sepak di England mempunyai penyokong fanatik. Jika mereka menyokong sesebuah kelab, sokongan yang bermula daripada zaman kanak-kanak akan kekal hinggalah ke akhir hayat mereka.

Tidak ada penyokong yang berpaling tadah, walau bagaimana teruk sekalipun prestasi pasukan yang mereka sokong.

Bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair adalah penyokong setia kelab Newcastle dari dulu hingga sekarang.

Sebilangan besar mereka bukan sahaja memakai jersi pasukan pada setiap hari perlawanan, tetapi juga mempunyai tatu lambang kelab yang diabadikan di lengan atau bahu.

Mereka bukan sahaja memiliki tiket bermusim bagi semua perlawanan di gelanggang sendiri, tetapi juga sanggup mengambil cuti dan berbelanja besar untuk menghadiri perlawanan di tempat jauh.

Sebilangan penyokong datang ke stadium bukan sekadar untuk memberikan sokongan moral kepada pasukan mereka, tetapi membawa pisau dan rantai untuk membelasah para penyokong pasukan lawan.

Selepas minum bir selama berjam-jam sebelum perlawanan, bayangkanlah apa yang boleh berlaku di luar stadium. Dunia mengenali mereka dalam bahasa Inggeris sebagai footbal hooligan atau samseng bola sepak.

England adalah negara samseng bola sepak yang paling ganas di dunia anehnya, kumpulan-kumpulan samseng bola sepak yang bermusuhan di peringkat kelab ini, bersatu padu untuk menyokong pasukan England di peringkat antarabangsa.

Senarai panjang yang mengandungi gambar dan nama semua ketua dan anggota-anggota kumpulan samseng bola sepak England telah dibekalkan kepada polis Perancis.

Polis England menyimpan rekod penjenayah bola sepak itu selepas Akta Penyokong Bola Sepak dikuatkuasakan pada 1989 untuk membanteras keganasan yang semakin berleluasa di dalam dan luar stadium.

Di bawah undang-undang itu, mahkamah boleh mengeluarkan perintah melarang samseng bola sepak daripada menjejakkan kaki di mana-mana kawasan stadium di England. Mereka juga dihukum penjara jika ditangkap semasa bergaduh.

Malangnya, polis England hanya menyimpan senarai mereka yang pernah ditangkap atau dihadapkan ke mahkamah.

Hooligan, Samseng Bola Sepak

Siapa sebenarnya samseng-samseng bola sepak ini?

Beberapa tahun lalu, beberapa buku yang memberikan jawapan kepada banyak pertanyaan mengenai samseng bola sepak telah diterbitkan.

Kesemua buku itu ditulis oleh bekas samseng bola sepak yang telah menjalani hukuman penjara atas kesalahan terlibat dalam keganasan.

Ada di antara buku-buku itu telah dicetak beberapa kali kerana laris.

Buku yang mendedahkan maklumat paling menarik ialah Everywhere We Go yang ditulis oleh dua beradik - Dougie dan Eddy Brimson - yang menjadi kepala samseng kumpulan penyokong kelab Watford.

Mereka menafikan tanggapan umum kononnya samseng bola sepak ini hanya terdiri daripada golongan berpendapatan rendah.

"Orang-orang yang terlibat dalam keganasan bola sepak datang daripada pelbagai lapisan. Mereka menjadikan bola sepak sebagai saluran untuk mencari kelegaan daripada tekanan seharian di tempat kerja atau rumah.

"Saya kenal ramai orang yang berpendapatan tinggi dan golongan profesional yang terlibat secara langsung sama ada dalam mengendalikan kumpulan atau kegiatan ganas bola sepak.

"Sebenarnya, pada hari ini tidak ramai penganggur menyaksikan bola sepak kerana tiket masuk sangat mahal."

Dougie dan Eddy Brimson juga menjelaskan sebab-sebab mereka dan para pengikut mereka menjadi samseng bola sepak.

"Orang bergaduh kerana mereka suka bergaduh. Bola sepak hanya menjadi alasan untuk mereka bergaduh.

"Mereka menggunakan bola sepak sebagai alasan untuk membelasah orang lain kononnya untuk mempertahankan maruah pasukan, bandar atau negara mereka."

Dougie dan Eddy Brimson juga menafikan anggapan media kononnya samseng bola sepak tidak berminat sangat terhadap permainan itu, tetapi datang ke stadium semata-mata untuk bergaduh.

"Mereka ini sanggup berjalan jauh, berdiri atau duduk dalam hujan atau salji, semata-mata kerana menyokong pasukan mereka.

"Mereka sebenarnya sangat cinta dan setia kepada kelab mereka.

"Keganasan bola sepak adalah seperti menghisap rokok. Jika anda cuba sekali dan tidak suka, anda tidak akan melakukannya lagi. Tetapi jika anda cuba dan suka, amat sukar untuk berhenti.

"Tidak guna bertanya kenapa mereka terlibat dalam perbuatan ganas itu. Jika anda bertanya kaki judi atau kaki arak soalan yang sama, jawapannya juga adalah sama. Mereka suka berbuat begitu."

Samseng-samseng bola sepak ini juga terdiri daripada pelbagai kaum, tetapi sebilangan besar adalah orang kulit putih.

Seorang lagi bekas ketua kumpulan penyokong kelab Manchester United, Mickey Francis dalam bukunya Guvnors (nama kumpulan samseng bola sepak itu) menceritakan betapa media dan masyarakat telah berlaku tidak adil kerana menganggapnya penjenayah walaupun dia tidak pernah mencuri, merompak atau terlibat dalam dadah.

"Apa yang saya lakukan hanyalah bergaduh. Saya suka bergaduh kerana saya dibesarkan dalam masyarakat yang ganas. Saya tidak mempunyai belas kasihan terhadap sesiapa yang dibelasah."

Barangkali, keganasan bola sepak di England ini menggambarkan suatu perubahan sikap orang Inggeris yang pada suatu masa dulu berbangga dengan gelaran English gentlemen.

Orang Inggeris selepas 80-an semakin kasar dan ganas.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: 25 Tahun Liga Bola Sepak England (EPL)

sumber: utusan

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon