Wednesday, September 25, 2019

Apa Itu Bulan Sukan Negara (BSN)?

Apa Itu Bulan Sukan Negara (BSN)?

Bulan Sukan Negara, BSN 2019, adalah satu kempen dari Kementerian Belia dan Sukan (KBS), bagi menggalakkan aktiviti bersukan kepada rakyat Malaysia, yang akan dilancarkan pada 1hb Oktober 2019 di Kuala Lumpur dan untuk peringkat kebangsaan pelancarannya pada 12hb Oktober 2019.

Bulan Sukan Negara (BSN)

BSN 2019 dengan hashtag kempen #BSN19 akan berlangsung selama bulan oktober tersebut.

Beberapa agensi kementerian, swasta, NGO serta persatuan-persatuan turut serta bakal menganjurkan acara-acara diperingkat masing-masing seperti acara olahraga dan padang, briskwalk 5km, senamrobik, zumba, senitari, sepakraga dan berbagai lagi.

Untuk maklumat lebih lanjut, sila layari portal rasmi BSN 2019 di, bulansukannegara.my

Objektif BSN 2019

Objektif utamanya adalah untuk:
  • Membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat.
  • Memupuk semangat sukan.
  • Membangunkan ekonomi negara.
  • Meningkatkan pengetahuan sukan.
  • Pengiktirafan kepada rakyat.

Kumpulan Sasaran BSN 2019

Terdiri dari semua golongan masyarakat, keluarga dan kanak-kanak, wanita, belia, warga emas, serta OKU.

Sementara lokasi adalah di mana-mana sama ada di luar bandar, pusat kesihatan, institut pengajian, tempat kerja serta kawasan perumahan.

Sasaran Aktiviti:
  • 5 jam penyertaan.
  • 3M – Mudah, Murah, Menarik.
  • Semua bentuk pergerakan fizikal (aktiviti sukan, kecergasan dan rekreasi).

Maksud Logo Bulan Sukan Negara

Logo Bulan Sukan Negara bukan hanya sekadar akronim (BSN), akan tetapi ia terdiri daripada bentuk organik yang mewakili suasana yang mesra dan santai dalam sukan:
  • Bentuk tepi bulat dan tajam mewakili kuasa, kestabilan dan profesionalisme.
  • Warna yang dipilih untuk logo adalah biru, merah dan kuning yang sama dengan Bendera Malaysia.
  • Biru mewakili perpaduan negara dalam sukan, merah mewakili tenaga, manakala kuning mewakili keadilan.
  • Ini adalah warna yang merangkumi sukan Malaysia yang berwarna-warni.
  • Keharmonian konsep bentuk logo ini menunjukan kesatuan belia berorientasikan, seperti seni graffiti.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Thursday, July 11, 2019

Sejarah Bola Sepak Piala Dunia Wanita FIFA

Sejarah Bola Sepak Piala Dunia Wanita FIFA

Piala Dunia Wanita FIFA adalah sebuah kejohanan bola sepak antarabangsa untuk wanita yang disertai oleh pasukan wanita kebangsaan daripada kalangan ahli FIFA dan diadakan empat tahun sekali sejak tahun 1991, sebelumnya dikenali sebagai Kejohanan Dunia Wanita yang telah diadakan di China.

Piala Dunia Wanita FIFA
AS juara FIFA 2019.

Format terkini kejohanan ini menyaksikan terdapat 24 slot di mana 1 slot dirizabkan kepada pasukan tuan rumah dan 23 slot lagi ditawarkan kepada pasukan kebangsaan yang akan melalui fasa kelayakan yang diadakan selama lebih kurang tiga tahun.

Pusingan akhir kejohanan ini kemudian diadakan di negara yang telah ditetapkan sebagai tuan rumah selama sebulan.

Setakat ini, lapan edisi kejohanan Piala Dunia Wanita FIFA telah diadakan dan dimenangi oleh empat pasukan kebangsaan berbeza, termasuklah pasukan Amerika Syarikat, yang mengalahkan pasukan Norway dengan jaringan 2-1 dalam edisi pertama.

Juara semasa dimenangi oleh pasukan Amerika Syarikat, selepas memenangi kejuaraan kali keempat mereka dalam kejohanan Piala Dunia Wanita FIFA 2019.

Format

Pusingan akhir menyaksikan 12 hingga 24 buah pasukan kebangsaan bertanding dalam masa sebulan di negara tuan rumah.

Ianya mempunyai dua peringkat iaitu; peringkat kumpulan dan kalah mati. Dalam peringkat kumpulan, pasukan akan dibahagikan kepada empat kumpulan yang setiap satunya terdiri daripada empat pasukan.

Setiap kumpulan akan bermain menggunakan format round-robin di mana setiap pasukan dijadualkan beraksi sebanyak 3 perlawanan menentang pasukan lain dalam kumpulan yang sama.

Bagi perlawanan terakhir kumpulan, ianya dijalankan pada masa serentak bagi mengekalkan kesaksamaan di antara kesemua pasukan dalam kumpulan itu.

Pada tahun 2019, yang menggunakan format 24 pasukan, dua pasukan teratas dalam setiap kumpulan serta empat pasukan terbaik yang menduduki kedudukan ketiga setiap kumpulan akan layak ke pusingan kalah mati. Mata akan diberikan kepada pasukan dalam setiap kumpulan.

Sejak tahun 1994, tiga (3) mata diberikan kepada pasukan yang memenangi perlawanan, satu (1) mata kepada pasukan yang seri manakala tiada mata (0) diberikan kepada pasukan yang kalah.

Dalam pusingan kalah mati pula, pasukan akan melawan pasukan yang telah ditetapkan sebanyak satu perlawanan sahaja, di mana masa tambahan atau sepakan penalti akan diadakan jika perlawanan berkesudahan seri selepas masa penuh.

Keputusan Pemenang Perlawanan Akhir
  • 1991: Amerika Syarikat 2–1 Norway
  • 1995: Norway 2–0 Jerman
  • 1999: Amerika Syarikat 0–0 China (Penalti 5–4)
  • 2003: Jerman 2–1 Sweden (Gol Emas)
  • 2007: Jerman 2–0 Brazil
  • 2011: Jepun 2–2 Amerika Syarikat (Penalti 3–1)
  • 2015: Amerika Syarikat 5–2 Jepun
  • 2019: Amerika Syarikat 2-0 Belanda

Saksikan aksi AS menewaskan Belanda pada final FIFA 2019.

BACA INI JUGA:



sumber: wikipedia

Wednesday, June 26, 2019

Ronaldo Bayar Tips £18,000 Kepada Pekerja Hotel Elak Gangguan Paparrazzi

Ronaldo Bayar Tips £18,000 Kepada Pekerja Hotel Elak Gangguan Paparrazzi

Cristiano Ronaldo dilaporkan membayar tips sebanyak £18,000 (RM95,000) kepada kakitangan hotel untuk menjauhkan keluarganya daripada lensa jurugambar persendirian atau ‘paparrazzi’ ketika mereka bercuti di Greece baru-baru ini.

Ronaldo 18,000 tips

Superstar Juventus dan kapten Portugal itu menginap di bilik hotel yang berharga £7,000 (RM37,000) satu malam.

Ronaldo yang menikmati percutian musim panas bersama teman wanita, Georgina Rodriguez dan empat anaknya menetap di hotel resort lima bintang terbabit di Costa Navarino untuk kali kedua selepas menetap di tempat sama tahun 2018 lalu.

Tiada sebarang foto berjaya dirakam sepanjang keluarga itu menetap di tempat peranginan terbabit yang terletak kira-kira 271 kilometer dari Athens.

Akhbar Sepanyol melaporkan, Ronaldo yang gembira dengan keadaan itu memberi tips kepada 10 orang pekerja hotel terbabit sebanyak £18,000 (RM95,000).

Ia juga disebabkan tahap kualiti perkhidmatan diberikan mereka terutamanya keberkesanan menjauhkan paparazzi daripada merakam percutian keluarganya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: hmetro

Friday, June 21, 2019

Faiq Bolkiah Pemain Bola Sepak Terkaya Dunia Bernilai USD$20 Bilion

Faiq Bolkiah Pemain Bola Sepak Terkaya Dunia Bernilai USD$20 Bilion

Apabila anda fikir tentang pemain bola sepak terkaya dunia, minda anda serta-merta tertumpu kepada Cristiano Ronaldo, Lionel Messi dan Neymar – bukan seorang remaja dalam barisan simpanan Leicester City.

Pemain Bola Sepak Terkaya

Dia adalah Faiq Bolkiah, dilahirkan pada 9 Mei 1998, anak saudara Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah yang dianggarkan memiliki kekayaan AS$20 bilion, menurut laporan akhbar Britain, Metro.

Pemain sayap Foxes berbakat itu bermain di England agak lama, memulakan kariernya di AFC Newbury sebagai remaja.

Pada 2009, Southampton menambah Faiq ke akademi mereka yang sering diperkatakan.

Biarpun tidak diajukan sebarang kontrak, Arsenal menawarkan putera Brunei itu menjalani ujian bersama mereka pada 2013.

Faiq beraksi dengan Gunners dalam Piala Lion City 2013 dan menjaringkan satu gol dalam pertandingan itu.

Menyedari kemampuannya, Chelsea menawarkannya kontrak dua tahun yang terus ditandatanganinya namun selepas hanya setahun, Faiq keluar untuk menyertai Leicester dengan kontrak tiga tahun, sehingga 30 Jun 2019.

Walaupun dilahirkan di Los Angeles, Amerika Syarikat, Faiq memilih untuk bermain dengan Brunei dan telah mewakili negaranya sembilan kali dan menjaringkan satu gol.

Untuk menjelaskan kekayaan Faiq, anda perlu melihat bapanya Jefri.

Adik Sultan Brunei itu dilaporkan membelanjakan secara kasarnya 10 bilion pound dalam masa 15 tahun sebagai ketua agensi Brunei Investment.

Dan, pada suatu ketika, Jefri terang-terangan membelanjakan 35 juta pound sebulan untuk kereta, jam tangan dan pena emas putih.

Bapa pemain sayap Leciester itu juga dipercayai memiliki hingga 2,300 kereta termasuk Bentley, Ferrari dan Rolls-Royce.

Malah, apabila Jefri meraikan hari jadi ke-50, dia menerbangkan Michael Jackson untuk datang dan mengadakan sebuah konsert peribadi.

Selain membina sebuah stadium khusus bagi acara itu, dia membayar Raja Pop itu, £12.5 juta (RM67.79 juta).

Dengan semua kekayaannya, ramai mungkin tertanya-tanya mengapa Faiq sanggup bermain bola sepak lagi?

Dalam satu temu bual yang jarang diperoleh, Faiq mendedahkan, “Saya telah bermain bola sepak seawal yang saya boleh ingat dan sejak usia muda, saya sentiasa seronok keluar ke padang dan ada bola di kaki saya.

“Ibu bapa sentiasa menyokong dan membantu saya mencapai impian untuk menjadi seorang pemain bola sepak.”

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: utusan

Monday, June 17, 2019

Sejarah Lagu Liverpool 'You’ll Never Walk Alone'

Sejarah Lagu Liverpool 'You’ll Never Walk Alone'

Anda pastinya mengenali lagu ini jika anda adalah peminat setia pasukan bolasepak Liverpool FC kerana lagu ini mempunyai sejarah yang panjang, terutamanya dalam seni teater Broadway. Lagu ini merupakan salah satu lagu dalam teater Broadway yang berjudul Carousel, yang ditulis oleh Oscar Hammerstein II dan Richard Rodgers, pada tahun 1945.

Lagu Liverpool

Drama Carousel ini diadaptasi daripada skrip teater Liliom, karya Ferenc Molnar, iaitu penggiat seni teater di Austria-Hungary pada tahun 1909.

Drama ini mengisahkan Andreas Zavocky yang dikenali sebagai Liliom (dalam Bahasa Hungary bermaksud budak jahat) yang bercinta dengan penjaga karosel (kuda pusing dalam sarkis) bernama Julie Zeller.

Dalam drama yang berlatarbelakangkan Great Depression dan kesukaran hidup, menceritakan bagaimana Liliom yang terlibat dengan kegiatan jenayah untuk meneruskan hidup dan mahu meninggalkan Julie, namun terpaksa bertahan apabila mengetahui Julie mengandung.

Liliom kemudiannya mendapat idea untuk meninggalkan kekasihnya, iaitu merompak dan menikam diri sendiri.

Dan kemudian, Liliom melihat penderitaan Julie dan rohnya terseksa melihat pengorbanan kekasihnya membesarkan anaknya.

Persembahan teater ini mendapat tempat dihati ramai orang, terutamanya mereka yang bercinta atau berkahwin dengan tentera yang ketika itu sedang dalam perbatasan dalam Perang Dunia Kedua, dan lagu You’ll Never Walk Alone menjadi popular di Amerika.

Kemudian pada tahun 1963, lagu ini dinyanyikan semula oleh kumpulan popular dari Merseyside sebelum The Beatles menempa nama, iaitu Gerry and The Pacemakers.

Gerry and The Pacemakers, merupakan kumpulan irama Merseybeat (yang sealiran dengan The Beatles sebelum popular), menyanyikan lagu ini dan mendapat tempat di hati pengurus pasukan Liverpool ketika itu, Bill Shankly.

Bill Shankly merasakan lagu itu mempunyai semangat bersatu-padu dan menyatukan seluruh peminat bolasepak Liverpool, memilih lagu tersebut sebagai lagu tema Liverpool dan lagu itu dimainkan di Anfield kali pertama pada tahun 1963.

Penyanyi kumpulan tersebut Gerry Marsden juga merupakan peminat pasukan Liverpool teruja dengan permintaan Bill Shankly dan ia dimainkan di Wembley pada tahun 1965 ketika Liverpool menewaskan Leeds United 2-1 dalam perlawanan akhir Piala FA.

Semenjak itu, lagu You’ll Never Walk Alone versi Gerry and The Pacemakers dimainkan di Anfield setiap kali bermulanya perlawanan di situ.

Oleh kerana populariti pasukan Liverpool, pasukan lain seperti Celtic juga menggunakan lagu tersebut dalam kejohanan Cup Winners Cup pada tahun 1966, sebelum menjadi juara Eropah pada tahun 1967.

Lagu ini juga digunakan oleh Borussia Dortmund di Jerman selepas tahun 1966, FC Twente, Feyenoord, dan SC Cambuur di Belanda, sebelum St Pauli di Jerman juga menggunakan lagu ini pada 1970an.

Lagu ini juga digunakan oleh FSV Mainz 05, kelab di mana Juergen Klopp, jurulatih Liverpool bermain dan pernah menjadi pengurus di situ (sekarang faham kenapa Klopp memilih Liverpool).

Selain itu, pasukan lain seperti FC Tokyo, Bali United, PAOK di Greece dan banyak lagi pasukan bolasepak menggunakan lagu ini sebagai anthem pasukan mereka.

Lagu ini juga pernah dicover oleh kumpulan punk rock Britain, The Adicts, Johnny Cash, Elvis Presley, Perry Como, penyanyi jazz dan soul terkemuka Ray Charles, Olivia Newton John, Pink Floyd (menerusi lagu Fearless dalam album Meddle pada tahun 1971), The Lettermen dan Nina Simone.

Lagu yang ditulis untuk pementasan teater Broadway, yang melalui zaman perang dunia, hari ini menjadi popular dalam pop culture terutamanya dalam bolasepak.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Friday, June 14, 2019

10 Atlet Sukan Paling Kaya 2019

10 Atlet Sukan Paling Kaya 2019

Bintang Barcelona Lionel Messi berada di kedudukan teratas dalam senarai 100 atlet yang menerima gaji tertinggi, dilaporkan menerima gaji 99.8 juta paun (RM528.6 juta) sepanjang 12 bulan lalu, termasuk wang kemenangan (72.3 juta paun) dan sokongan atau insentif 27.5 juta paun.sekali gus mengatasi pesaing terdekatnya Cristiano Ronaldo.

Atlet Sukan Paling Kaya 2019

Sementara itu penyerang Juventus Ronaldo berada di tempat kedua dengan pendapatan sebanyak 85.6 juta paun, diikuti Neymar (82.5 juta paun) sekali gus menjadikan pemain bola sepak menguasai tiga kedudukan teratas dalam senarai Forbes.

Paul Pogba satu-satunya pemain dari Liga Perdana Inggeris yang tersenarai dalam 100 atlet menerima gaji tertinggi 2019.

Petinju Mexico, Canelo Alvarez berada di tempat keempat dengan 73.8 juta paun diikuti bintang tenis Roger Federer dengan 73.3 juta paun.

Ia diikuti dengan bintang bola keranjang Russel Wilson, Aaron Rodgers dan LeBron James, Steph Curry serta Kevin Durant melengkapkan senarai dalam ranking 10 tertinggi.

Selain itu, jaguh tenis dunia Amerika Syarikat Serena Williams merupakan satu-satunya atlet wanita yang berada dalam kelompok 100 tertinggi dengan berada di tangga ke-63 (22.9 juta paun).

Juara dunia F1, Lewis Hamilton dan Anthony Joshua berkongsi kedudukan ke-13 manakala penyerang Manchester United Paul Pogba merupakan satu-satunya pemain Liga Perdana Inggeris yang menerima gaji paling banyak dengan berada di kedudukan ke-44.

Top 10 highest-paid athletes in 2019
  1. Lionel Messi - £99.8m (Football)
  2. Cristiano Ronaldo - £85.6m (Football)
  3. Neymar - £82.5m (Football)
  4. Canelo Alvarez - £73.8m (Boxing)
  5. Roger Federer - £73.3m (Tennis)
  6. Russell Wilson - £70.3m (Football)
  7. Aaron Rodgers - £70.1m (Football)
  8. LeBron James - £69.9m (Basketball)
  9. Stephen Curry - £62.7m (Basketball)
  10. Kevin Durant - £51.3m (Basketball)

Zlatan Ibrahimovic terkaya di AS 2019

Atlet terkaya AS 2019

Sementara itu, Zlatan Ibrahimovic muncul sebagai pemain Major League Soccer dengan bayaran tertinggi iaitu AS$7.2 juta (RM29.9 juta) setahun, menurut perangkaan yang dikeluarkan Persatuan Pemain-pemain MLS.

Bintang Sweden berusia 37 tahun itu yang menyertai Los Angeles Galaxy musim lalu menerima gaji lebih dua kali ganda daripada AS$3.5 juta (RM14.5 juta) yang dibayar kepada bekas rakan sepasukan Manchester United, Wayne Rooney yang turut menyertai MLS pada 2018.

Wayne Rooney menerima AS$3.5 juta daripada kontraknya dengan DC United, menurut perangkaan MLSPA, yang memperincikan gaji dan pampasan untuk semua pemain MLS di bawah kontrak pada 1 Jun 2019.

Sejak tiba di Los Angeles Ibrahimovic menjaringkan 33 gol dalam 39 perlawanan dan membantu 19 jaringan.

Pemain dengan bayaran kedua tertinggi tahun 2018 lalu adalah bekas rakan sepasukan Ibrahimovic di Galaxy iaitu Giovani Dos Santos. Penyerang Itali itu menerima AS$6.5 juta (RM27 juta).

Dua pemain Amerika Syarikat di Toronto Michael Bradley dan Jozy Altidore di kedudukan berikutnya, masing-masing dengan pendapatan AS$6.43 juta (RM26.7 juta) dan AS$6.33 juta (RM26.3 juta).

Penyerang Los Angeles FC Carlos Vela, yang mendahului senarai penjaring terbanyak musim ini di tangga kelima dengan AS$6.3 juta (RM26.2 juta) meletakkannya di depan bekas pemain Jerman yang menyertai Chicago Fire Bastian Schweinsteiger (AS$5.6 juta atau RM23.3 juta).

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2 | 3

Lee Chong Wei Legenda Badminton Malaysia Akhirnya Bersara

Lee Chong Wei Legenda Badminton Malaysia Akhirnya Bersara

SEBAK! Itulah reaksi jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei apabila mengumumkan persaraannya dalam sukan badminton pada Khamis {13/6/2019), dengan keputusan untuk bersara itu diambil selepas mengambil kira nasihat doktor susulan pemeriksaan perubatan terbaharu terhadap penyakit kanser hidungnya di Taiwan sebelum ini.

Lee Chong Wei Legenda Malaysia
Lee Chong Wei.

Chong Wei mengumumkan keputusan yang sukar itu dalam satu sidang media khas yang diadakan di Kementerian Belia dan Sukan di Putrajaya.

"Terima kasih kepada semua jurulatih saya selama ini terutama Datuk Misbun Sidek dan semua yang telah membantunya selama ini," jelasnya dalam nada sebak.

"Saya tidak pasti sama ada beliau ada di sini atau tidak. Ada beberapa jurulatih ada di sini, terima kasih Hendrawan dan Tey Seu Bock. Begitu juga dengan tenaga sokongan yang mengikut saya ke mana saya pergi, fisioterapi.. (terus menangis dalam tempoh seminit),"

Selain cuba ditenangkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, ada juga wartawan yang menjerit dengan sahutan 'ayuh sang juara'.

Bagaimanapun, Chong Wei tidak dapat menyambung ucapannya dan hanya mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia sebelum sidang media bersambung dengan sesi soal jawab.

Pada masa sama, Chong Wei berkata dia sudah membincangkan keputusannya itu dengan isterinya, Datin Wong Mew Choo.

"Dia menasihatkan saya berehat. Saya berehat dan turut berbincang dengan (Menteri Belia dan Sukan) Syed Saddiq.

"Saya berkata, selepas Hari Raya, saya akan bersara. Kesihatan saya lebih penting," katanya.

Chong Wei bersara selepas 19 tahun berbakti kepada arena sukan badminton negara dan merupakan legenda, ikon dan idola kepada rakyat Malaysia

Seluruh rakyat Malaysia mengucapkan jutaan terima kasih kepada jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei di atas sumbangan beliau kepada negara, yang mengumuman persaraannya selepas 19 tahun berjuang dalam arena badminton dunia.

Penglibatannya dalam arena sukan negara telah menjadi contoh teladan yang baik kepada seluruh atlet lain tidak kira jenis sukan yang diceburi.

Dengan pencapaian yang beliau kecapi, Lee Chong Wei selayaknya digelar "The living legend" di dalam sukan badminton negara.

Kronologi kejayaan Lee Chong Wei

Berikut kronologi kejayaan dicapai jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei sepanjang 19 tahun berkecimpung dalam arena badminton:

2003:
  • Naib juara Terbuka Malaysia, Satelit India.

2004:
  • Juara Terbuka Malaysia, Terbuka Taiwan.
  • Naib juara Terbuka Singapura.

2005:
  • Juara Terbuka Malaysia, Terbuka Denmark.
  • Meraih pingat gangsa Kejohanan Dunia di Amerika Syarikat.

2006:
  • Juara Terbuka Malaysia, Terbuka Switzerland dan Kejohanan Asia.
  • Naib juara Terbuka Taiwan, Terbuka Macau, Terbuka Hong Kong.
  • Meraih dua pingat emas Sukan Komanwel di Melbourne, Australia.

2007:
  • Juara Terbuka Indonesia, Terbuka Filipina, Terbuka Jepun, Terbuka Perancis.
  • Naib juara Terbuka China, Terbuka Hong Kong.

2008:
  • Juara Terbuka Malaysia, Siri Super Masters Akhir.
  • Meraih pingat perak Sukan Olimpik di Beijing, China.
  • Naib juara Terbuka Jepun, Terbuka Macau, Terbuka China.
  • Meraih gelaran ketujuh Kejohanan Grand Prix Kebangsaan.

2009:
  • Juara Terbuka Malaysia, Terbuka Switzerland, Terbuka Indonesia, Grand Prix Emas Terbuka Malaysia, Terbuka Macau, Terbuka Hong Kong, Siri Super Masters Akhir.
  • Naib juara Terbuka Korea dan All-England.

2010:
  • Juara Terbuka Malaysia, Terbuka Korea, All-England, Terbuka Indonesia, Grand Prix Emas Terbuka Malaysia, Terbuka Macau, Terbuka Jepun, Terbuka Hong Kong, Siri Super Akhir.
  • Meraih dua pingat emas Sukan Komanwel di New Delhi, satu perak Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China.

2011:
  • Juara Terbuka Malaysia, All-England, Terbuka India, Grand Prix Emas Terbuka Malaysia, Terbuka Indonesia, Terbuka Perancis.
  • Naib juara Terbuka Korea, Terbuka Jepun, Terbuka Denmark.
  • Meraih pingat perak Kejohanan Dunia di London.

2012:
  • Juara Terbuka Korea, Terbuka Malaysia, Grand Prix Emas Terbuka Malaysia, Terbuka Jepun, Terbuka Denmark.
  • Naib juara All-England, Terbuka India, Terbuka Hong Kong.
  • Meraih pingat perak Sukan Olimpik London 2012.

2013:
  • Juara Terbuka Korea, Terbuka Malaysia, Terbuka India, Terbuka Indonesia, Terbuka Jepun, Terbuka Hong Kong, Siri Super Akhir.
  • Naib juara All-England, Terbuka Denmark.
  • Meraih pingat perak Kejohanan Dunia di Guangzhou, China.

2014:
  • Juara Terbuka Malaysia, All-England, Terbuka India dan Terbuka Jepun.
  • Naib juara Terbuka Korea, Terbuka Singapura.
  • Meraih pingat perak Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark.

2015:
  • Juara Grand Prix Emas Terbuka Amerika Syarikat, Grand Prix Terbuka Kanada, Terbuka Perancis, Terbuka China dan Terbuka Hong Kong.
  • Meraih pingat perak Kejohanan Dunia di Jakarta.

2016:
  • Juara Malaysia Masters, Terbuka Malaysia, Kejohanan Asia, Terbuka Indonesia dan Terbuka Jepun.
  • Meraih pingat perak Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil.

2017:
  • Juara All-England dan Terbuka Hong Kong.
  • Naib juara Terbuka Malaysia, Terbuka Jepun dan Siri Super Akhir.

2018:
  • Meraih satu pingat emas dan satu pingat perak Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: bernama


Monday, June 10, 2019

Khabib Nurmagomedov Atlet Dengan Bayaran Tertinggi Di UFC

Khabib Nurmagomedov Atlet Dengan Bayaran Tertinggi Di UFC

Bintang seni bela diri campuran (MMA), Khabib Nurmagomedov kini merupakan atlet yang menerima bayaran paling tinggi di UFC selepas memperbaharui kontrak dengan organisasi itu untuk kemunculannya di UFC 242, September 2019 nanti.

Khabib Nurmagomedov UFC
Khabib Nurmagomedov.

Memetik laporan MMAFighting, pengurusnya, Ali Abdelaziz berkata, dia dan Khabib teruja dan berpuas hati dengan kontrak baharu itu, sambil menyifatkannya sebagai adil dan telus.

"Kami sangat gembira. Kami dijaga dengan baik. Kami tidak minta lebih dari itu. Kami sangat bersyukur. Rundingan paling mudah yang pernah saya lakukan.

"Ia adil, telus. Ini adalah salah satu tawaran terbesar dalam sejarah UFC," katanya seperti dipetik portal MMAFighting.

Khabib, 30 tahun, akan mempertahankan kejuaraan lightweight yang disandangnya dengan juara lightweight interim, Dustin Poirier pada acara yang dijadualkan berlangsung pada 7 September 2019 di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Menurut Abdelaziz, antara sebab Khabib menerima bayaran sedemikian adalah kerana dia (Khabib) merupakan petarung MMA yang paling hebat ketika ini dan belum pernah tewas.

"Pendapat saya sekarang, Khabib adalah petarung 'pound-for-pound' paling hebat yang pernah kita lihat. Dia tidak pernah kalah. Dia menguasai setiap pusingan terhadap hampir kesemua lawannya. Tidak ada (dadah), tiada apa-apa.

"Inilah sebabnya dia atlet yang menerima bayaran paling tinggi di UFC hari ini. Percayalah. Dia adalah atlet dengan bayaran tertinggi di UFC hari ini.

"Dan saya katakan sekali lagi kerana saya melihat segala-galanya. Mereka sudah tunjukkan kepada saya. Khabib atlet dengan bayaran tertinggi di UFC dan kami gembira. Kini masa untuk bertarung," katanya lagi.

Khabib kini sedang berehat dari sebarang aksi pertarungan MMA selain digantung perlawanan susulan insiden pergaduhan yang berlaku di UFC 229 pada Oktober tahun 2018 lalu.

Petarung dari Dagestan, Rusia itu didenda sebanyak AS$500,000 dan digantung perlawanan selama sembilan bulan, manakala pesaingnya Conor McGregor pula didenda AS$50,000 dan digantung perlawanan enam bulan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani