Thursday, December 22, 2016

Kebahagiaan Akan Tertangguh Selagi Kita Membandingkan Hidup Dengan Orang Lain

Kebahagiaan Akan Tertangguh Selagi Kita Membandingkan Hidup Dengan Orang Lain

Tahu apa antara perkara yang paling sukar dalam hidup ini? Mencapai kebahagiaan. Lebih-lebih lagi bila kita mula membandingkan hidup kita dengan hidup orang lain.

Mencari kebahagiaan

Pernah tak terfikir kenapa sangat sukar untuk kita hidup tanpa sedetik pun terbit perasaan dihati, membandingkan hidup kita dengan orang lain?

Ini sebenarnya satu soalan yang sukar dijawab. Sememangnya sudah menjadi lumrah manusia untuk berbanding-banding.

Tabiat yang akhirnya nanti akan berakhir dengan perasaan sedih dan rasa tidak adil setelah melihat kehidupan orang lain, walaupun sebenarnya anda telah mempunyai kehidupan yang baik

Anda selalu tidak sedar bahawa perbandingan akan membuatkan kita mempersoalkan apa yang telah kita ada.

Selalunya, anda selalu melihat rumput dihalaman tetangga lebih hijau daripada rumput halaman rumah sendiri.

Pernahkah anda mempersoalkan mengapa orang lain yang biasa-biasa cara belajarnya, mendapat markah lebih tinggi dari yang anda walaupun telah berusaha lebih?

Anda sering tertanya-tanya mengapa orang lain yang rupa parasnya tidak secantik anda, lebih mudah bertemu jodoh, berbanding kita yang masih tidak kunjung-kunjung tiba.

Mengapa orang yang cantik dan kacak lebih diberi perhatian untuk berkawan, dan yang kurang paras rupa sentiasa disisihkan?

Mengapa suami orang lain boleh bertolak ansur dan setia, tetapi suami anda yang sentiasa panas baran dan kasar?

Tidakkah anda berasa sakit hati dan merasa tidak adil?

Yang pasti, kita akan selamanya kalah dengan kehidupan orang lain. Sebab itulah kita tidak bahagia.

Sebab kita lazimnya akan membandingkan hidup kita dengan benda yang salah.

Kita akan membandingkan keadaan dan situasi kita yang terburuk, dengan keadaan mereka yang terbaik. Dari sudut pandangan apa yang kita lihat dan apa yang kita anggap pada ketika itu.

Kita hanya melihat pada kelebihannya sahaja tanpa kita menilai kekurangannya yang lain. Kita tertipu.

Sebenarnya, kebanyakan perkara yang ditonjolkan orang kepada dunia luar adalah berbeza dengan realiti yang sebenarnya.

Manusia cenderung untuk hanya menunjukkan kegembiraan, kehebatan dan kesempurnaannya sahaja.

Sebagai contoh, bila ada seseorang bertanya khabar kita, berapa kerapkah kita memberi respons dengan mengatakan, “Aku rasa hampir-hampir nak gila!” “Aku tak tahan dengan hidup..”, berbanding dengan kita lebih mengambil keputusan untuk mengigit lidah dan tersenyum sambil mengatakan, “Alhamdulillah semuanya OK.”

Perbandingan akan meletakkan fokus anda kepada orang yang salah. Anda akan fokus kepada kehidupan orang lain, bukannya fokus terhadap hidup anda sendiri.

Jadi bagaimana anda mahu bahagia jika anda cemburu dengan kehidupan orang lain.

Kita sering lupa bahawa setiap orang mempunyai jalan kehidupan tersendiri dan cara tersendiri untuk melaluinya.

Oleh itu, hanya fokuskan terhadap perjalanan hidup kita sendiri. Sebab anda hanya boleh mengawal kehidupan seorang sahaja – iaitu anda!

Orang bijak hanya membandingkan hidup mereka dengan diri mereka sendiri

Hidup bukan pertandingan. Hidup adalah perjalanan. Setiap orang adalah berbeza. Walau saudara kembar sekali pun. Tidak akan sama.

Perjalanan kita tiada kaitan dengan orang lain. Hanya kita yang menentukan apa yang kita mahu dan dimana kita mahu pergi.

Daripada membandingkan hidup anda dengan kehidupan orang lain, lebih baik tanamkan tabiat dalam diri anda untuk membandingkan hidup diri anda sendiri.

Kehidupan diri anda dimasa kini dan kehidupan diri anda dimasa dahulu.

Lihat sebanyak mana anda telah dewasa, apa pencapaian anda, dan perkara apakah yang telah kita buat setakat ini dalam mencapai matlamat hidup kita.

Siapa diri kita sekarang adalah hasil daripada keputusan yang kita buat semalam. Kita sentiasa dalam proses membesar. Sentiasa belajar menjadi matang.

Kerana kehidupan kita akan sentiasa berkembang.

Mungkin kita boleh tuliskan dalam diari apa yang telah kita belajar dan apa masalah yang telah berjaya kita atasi. – boleh menjadi rujukan berguna pada suatu masa nanti.

Kembangkan nilai dalaman seperti suka memberi senyuman, bersedekah dan menyebarkan kebaikan disekeliling kita.

Insyaa-Allah, ia akan menguatkan nilai positif dalam diri kita dan kita akan menjadi lebih kuat, lebih baik dari sebelumnya.

Jadilah jiwa yang suka mengambil pelajaran dari kehidupan.

Kekurangan itu adalah OK (tiada orang yang akan sempurna sampai bila-bila).

Satu perkara yang ramai diantara kita semua tidak perasan adalah kita semua hidup didalam masyarakat yang gilakan kesempurnaan dan glamour – membuatkan kita terikut-ikut tanpa sedar.

Kita membaca majalah. Kita membelek surat khabar. Kita menonton drama. Kita melayari laman media sosial.

Dari semua itu, semuanya hanya memaparkan wajah yang cantik, kisah rumahtangga yang bahagia dan kisah-kisah kehidupan yang sempurna sahaja.

Jadi, jangan terperangkap.

Satu perkara penting yang harus kita hadam supaya tidak terjatuh dalam perangkap membandingkan hidup adalah, Satu gambar tidak menceritakan keseluruhan kisah.

Kebanyakan kisah kejayaan yang kita baca tidak menceritakan kegagalan mereka (kecuali untuk menceritakan bagaimana mereka berjaya mengatasinya).

Tiada yang akan sempurna sampai bila-bila. Belajar menerimanya. Memang kita perlu sentiasa improve tetapi jangan berharap untuk menjadi sempurna.

Kamu insan yang istimewa dipilih Allah

Membandingkan hidup kita dengan hidup orang lain adalah satu kebodohan. Tetapi mencari inspirasi dan belajar dari kisah kehidupan orang lain adalah satu kebijaksanaan.

Jangan risau. Bertenang dan sentiasalah senyum. Setiap orang mempunyai jalan hidup tersendiri yang telah Allah lakarkan indah diatas pentas kehidupan.

Pasti semuanya bersesuaian dengan kehidupan kita. Cuma kita terlalu naïf dan lemah untuk menilai dengan sebaik-sebaik penilaian terhadap semua takdir kita.

“Janganlah kamu berasa lemah dan jangan pula kamu bersedih hati kerana kamulah orang yang paling tinggi darjatnya jika kamu oarng orang yang beriman”. Surah ali-imran ayat 139

Bila tiba masanya nanti kita akan tersenyum memikirkan kembali hikmah yang Allah tunjukkan.

Cuma buat masa ini kita hanya perlu bersabar dan jangan mempersoalkan serta membandingkan hidup kita dengan hidup orang lain.

Allah itu Maha Adil. Kita semua istimewa dipandangan-Nya.

BACA INI JUGA: Cinta Toksik, Bila Manis Menjadi Pahit

Sumber: Akuislam

Wednesday, December 14, 2016

9 Perkara Yang Anda Akan Menyesal Dalam Masa 10 Tahun Akan Datang

9 Perkara Yang Anda Akan Menyesal Dalam Masa 10 Tahun Akan Datang

'Kalaulah dulu..' Perkataan ini selalu menjadi butir-butir sebutan tatkala menyesal bila kita tidak membuat keputusan yang tepat pada waktu yang lalu.

Penyesalan

Sebenarnya ada beberapa perkara silap yang kebanyakan orang lakukan dalam kehidupan, termasuklah anda. Tetapi anda mungkin tidak sedar akan perkara-perkara ini.

Kesannya? Mungkin anda akan merasa menyesal dalam masa 10 tahun akan datang.

Anda akan merasa betapa hidup anda telah tersia-sia dengan tindakan kurang bijak sebelum ini dan terpaksa membayar ‘yuran kebodohan’ seumur hidup anda.

Hidup adalah sekali dan orang yang bijak akan menjalani kehidupan ini sebaik yang mungkin.

Apakah perkara-perkara yang akan membuatkan kita semua menyesal itu?

1. Hidup dalam kepura-puraan untuk membuat orang lain kagum

Pernahkah anda merasa ingin menukar kereta disaat semua sahabat dan keluarga anda berlumba-lumba membeli kereta baru dan menunjuk-nunjuk kepada kita?

Pernah anda dipersenda kerana memakai henfon yang buruk dan ketinggalan zaman? Saya tahu, bukan mudah berurusan dengan gelojak emosi disaat ego kita seakan dicabar.

Tarik nafas, bertenang dan ingat ini - Jika wajah yang selalu anda tunjukkan kepada dunia adalah topeng semata-mata, pada suatu masa nanti tiada apa lagi yang tinggal disebalik wajah kepura-puraan itu.

Kerana anda menghabiskan terlalu banyak masa (dan wang) menumpukan persepsi orang lain terhadap anda, atau orang lain yang anda ingin jadi, sehinggakan kita sendiri terlupa bahawa siapa diri kita yang sebenarnya.

Jadi jangan takut terhadap penilaian orang lain terhadap kita. Hanya anda dan Allah sahaja yang tahu apa yang terkandung dalam hati kita dan siapa diri kita yang sebenarnya.

Oleh itu, kita tidak perlu menjadi sempurna di mata orang lain.

Apa yang terbaik adalah membiarkan orang lain yang kagum dengan bagaimana kita boleh menyesuaikan diri dan menerima kekurangan pada diri kita.

Sebab bukan semua orang mampu menerima diri sendiri seadanya.

2. Anda pasti menyesal apabila membiarkan orang lain mempengaruhi cita-cita anda

Cabaran terbesar dalam kehidupan kita adalah mencari siapa diri kita yang sebenarnya dan cabaran kedua terbesar pula adalah untuk menerima dan gembira dengan apa yang kita temui itu.

Bahagian terbesar daripada proses ini adalah keputusan kita untuk terus bertahan dengan matlamat dan impian hidup kita.

Ada orang yang tidak bersetuju dengan anda? Bagus.

Ia bermakna anda seorang yang berpendirian dan menentukan haluan sendiri.

Kadangkala, perkara yang kita buat itu dianggap gila oleh orang lain, tetapi bila kita mendapati diri kita teruja dan bahagia dengan keputusan kita itu, anda akan tahu anda sedang membuat perkara yang betul.

Benar, kadangkala apa yang kita hajatkan itu tidak tercapai.

Tetapi pasti ada hikmahnya. Yang penting, kita berusaha sehabis daya dahulu mengejar impian kita.

3. Pada suatu masa nanti, kita akan menyesal bila kita bersifat Ego & lebih mementingkan diri sendiri pada masa lalu

Kehidupan yang diisi dengan kasih sayang dan sifat baik adalah asas yang terbaik dalam membina hati yang bahagia.

Pasti mereka yang pernah pernah hadir dalam kasih sayang dan kemurahan hati anda, akan mengingati bagaimana anda membuatkan mereka berasa sangat istimewa walaupun masa itu telah lama berlalu.

Jadi ukirlah nama anda pada hati, bukan pada batu.

Apa yang kita buat untuk diri sendiri akan mati bersama kita, dan apa yang kita buat untuk orang lain dunia akan mengingati.

Jadi sebar-sebarkanlah kebaikan.. :)

4. Kita akan menyesal bila masih terikat dengan masa silam dan mengelak perubahan serta perkembangan dalam kehidupan

Jika mahu lihat masa lalu maka lihatlah pada masa sekarang. Jika anda mahu melihat gambaran pada masa hadapan, maka lihatlah kita pada masa sekarang.

You must let go of the old to make way for the new; the old way is gone, never to come back.

Jika anda menyedari hal ini, dan menyusun langkah ke arahnya, Insyaa-Allah anda akan meletakkan diri anda dalam jalan kejayaan yang panjang.

Masa silam yang gelap bukanlah bermakna tiada harapan lagi kepada kita. Tidak.

Belajarlah daripada masa silam dan lepaskan ia pergi. People are constantly changing and growing. 

Jadi, jangan buat diri kita terikat dengan bayangan seseorang dari masa silam.

“Saya fikir cara untuk lupakan kenangan silam yang menyedihkan hati hanyalah dengan mewujudkan lebih banyak kenangan manis yang menggembirakan hati.

Semakin banyak kenangan manis dalam ingatan, maka semakin kurang signifikan kenangan pahit tersebut.

Hakikatnya, kenangan pahit itulah yang menjadikan kita lebih kuat dan tabah.

Bagi manusia biasa seperti kita, ternyata kita tak boleh delete kenangan pahit tersebut namun kita mampu meletakkan memori tersebut ke sudut minda yang paling dalam.

Salah satu caranya ialah dengan berkongsi kisah sedih tersebut dengan orang lain.

Mungkin kenangan pahit itu terperangkap dalam minda separa sedar kita, sehinggakan kita merasakan bahawa kenangan itu sering menghantui diri kita.

Dengan menceritakan kenangan itu kepada orang lain, penjara minda kita seolah-olah terbuka lalu membebaskan banduan kenangan silam yang menyedihkan itu, bagaikan burung yang dilepaskan dari dalam sangkar, terbang bebas di angkasa lalu masuk ke dalam awan dan terus hilang.

Setelah itu, memori pahit itu akan terperosok jauh ke dalam minda dan tidak akan menghantui kita lagi.”

(Muhammad Syaman)
“Kami jelaskan yang demikian itu supaya kamu jangan berduka cita kepada apa yang telah hilang daripada kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira kepada apa yang diberikan kepada kamu. Allah tidak suka orang yang sombong dan membangga diri.” Surah Al-Hadid, ayat 23

5. Penyesalan terhebat adalah apabila kita mudah patah hati dalam menghadapi kesukaran dan musibah

Sebenarnya tiada kegagalan, cuma hanyalah hasil yang kita kurang senangi.

Walaupun sesuatu perkara itu tidak menjadi seperti yang kita jangkakan, jangan mudah patah hati dan putus asa.

Belajar apa yang boleh daripadanya dan move on. Siapa yang meneruskan kehadapan satu langkah setiap masa akan menang pada akhirnya.

Kerana kita perlu menempuh ranjau-ranjau yang panjang dan lama terlebih dahulu sebelum boleh mencapai kejayaan akhir.

Ia adalah satu proses yang berlaku dengan langkah kecil, keputusan dan perbuatan yang sentiasa terbina diantara satu sama lain dan akhirnya akan membawa kepada kejayaan yang gemilang.

Patah hati adalah proses.

Dengan patah hati, Allah nak kita ubati hati kita dengan cara kembali kepada Dia semula. Mungkin kita sudah terlalu jauh daripadaNya?

Dan mereka tersungkur di atas muka mereka sambil menangis dan mereka bertambah khusyu’. (Al-Isra’ :109)

It hurts. But you are strong.

Bangkit dan berjalan walau dengan air mata. :’)

6. Cuba untuk terlalu sempurna dalam setiap perkara

Life should be touched, not strangled.

Kadangkala kita perlu bertenang dan menikmati kehidupan tanpa bimbang akan perkara yang remeh. Jangan terlalu perfectionist.

Belajar untuk melepas sedikit sebelum kita sendiri tersepit. Tarik nafas panjang-panjang. Apabila kabus menghilang, dan kita akan dapat melihat lagi gunung dan pokok, maka ambillah langkah ke hadapan.

Kita tidak perlu tahu secara tepat tempat yang dituju di sesebuah kawasan yang besar. Semua perkara dalam kehidupan ini adalah dalam susunan yang sempurna.

Ia cuma mengambil sedikit masa untuk menyambungkan kesemua titik-titik dalam kehidupan.

Let it be, Let it flaw.

7. Tidak berusaha sehabis mungkin untuk sesuatu yang kita layak mencapainya

Jadilah seorang yang cukup kuat untuk melepaskan dan cukup bijak untuk menunggu apa yang anda layak.

Kadangkala kita akan jatuh kebawah terlebih dahulu sebelum dapat berdiri lebih tinggi daripada sebelumnya.

Kadangkala mata kita perlu dibasuh dengan air mata agar dapat melihat sebarang kemungkinan dihadapan kita dengan pandangan yang lebih jelas lagi.

Jangan berhenti!

8. Kita akan menyesal bila sentiasa menunggu esok

Masalah yang sering berlaku adalah, kita sentiasa beranggapan bahawa kita mempunyai lebih masa daripada yang sebenarnya.

Pada suatu hari nanti anda akan tersedar dan pada masa itu tiada lagi masa untuk membuat perkara yang kita nak sangat buat.

Pada waktu itu, sama ada anda telah mencapai matlamat yang anda impikan, atau hanya ada sedozen senarai alasan mengapa anda tidak berjaya.

Masa adalah perkara yang berharga. jangan bazirkan ia pada orang yang tak tahu hargai kita. jangan terhegeh pada orang yang tak sudi memandang.

9. Anda malas dan anda kuat berangan-angan kosong

Dunia tidak berhutang kepada kita apa-apa pun, malah kita sebaliknya yang berhutang kepada dunia.

Jadi berhenti berangan-angan kosong dan mulakan langkah membuat sesuatu. Ambil tanggungjawab penuh terhadap kehidupan kita – kawal dengan sebaiknya.

Anda adalah penting dan diperlukan. Terlalu lewat untuk hanya duduk-duduk dan menunggu seseorang untuk melakukan sesuatu pada suatu masa nanti.

Suatu masa itu nanti adalah sekarang; dan seseorang yang dunia perlukan adalah anda.

Penutup

Ini adalah hidup anda; anda yang menentukan apa yang berhak dan terbaik untuk anda.

Pengalaman hidup adalah guru yang terbaik, namun orang yang bijak mengambil setiap pembelajaran dari kehidupan orang lain dan mengelakkan diri dari jatuh ke lubang yang sama.

Keep learning, adapting and growing.

Anda mungkin masih belum sempurna, tetapi Insyaa-Allah anda adalah lebih baik daripada anda yang semalam.

BACA INI JUGA: Jika Tidak Mengambil Risiko Anda Akan Menyesal Seumur Hidup

Sumber: Akuislam

Friday, December 09, 2016

Mengapa Allah Mendatangkan Bahagia Sesaat Tapi Derita Berpanjangan?

Mengapa Allah Mendatangkan Bahagia Sesaat Tapi Derita Berpanjangan?

Kebahagiaan datang hanya sesaat, tetapi mengapa penderitaan datang itu dirasakan sangat lama dan berterusan hadir dalam setiap saat hidup kita?

Derita

Sebenarnya dalam kepedihan ada pengalaman berharga.
Dalam kepahitan ada kesembuhan yang menguatkan.
Dalam kekacauan sekali pun ada ketabahan dan usaha untuk keluar dari semua masalah itu.
Kehidupan ini adalah seperti satu pakej sebenarnya.

Bahagia dan menderita itu saling membelakangi, seperti dua sisi duit syiling. Bila kebahagiaan datang, penderitaan ada pada sisi sebelah lagi yang tertutup.

Tetapi pada saat penderitaan itu datang, bahagia juga berada di sisi sebelah lagi yang tertutup.

“Sesungguhnya sesudah kesulitan ada kemudahan” (QS. Al-Insyirah : 6)

Hanya orang yang bijaksana akan dapat melihat sisi syiling itu dari sudut syiling itu berdiri, dapat melihat keduanya.

Lupakan penderitaan, berjuanglah untuk mengubah keadaan dengan sepenuh tenaga untuk “membalikkan” keadaan.

Mereka yang memiliki sense of humor dapat melihat sesuatu dari sudut yang indah.

Menjadikan kesedihan menjadi gelak tawa. Membuat air mata kepedihan menjadi air mata bahagia.

Tiada harapan yang bersinar lebih terang di kala kegelapan, melainkan harapan yang dipancarkan oleh keimanan kita kepada Allah SWT. Keimanan kita.

Ya, itulah dia harapan yang akan menyuluh jalan keluar di kala kelemahan dan derita.

Mahukan kebahagiaan, maka marilah pada Tuan Punya Kebahagian, iaitu Allah.

Maka yang penting adalah doa, keimanan yang mantap, berusaha dan jangan putus asa dalam mencari kebahagiaan!

Yakin kepada Allah SWT. Berputus asa samalah dengan kita tidak lagi meyakini-Nya. Sebab itu, Allah amat membenci mereka yang berputus asa.

Rahmat Allah sudah sangat luas.

Justeru di manakah ruang kita hendak berputus asa kepada-Nya?

Kita langsung tiada alasan untuk berputus asa hakikatnya.

Ujian adalah lumrah. Tetapi jangan berputus asa. Bersabarlah. Usaha dan usaha lagi.

BACA INI JUGA: 'Kisah Disebalik Gambar Yang Menyayat Hati Ini'

Sumber: Akuislam

Friday, November 18, 2016

Bagaimana Membuat Orang Lain Menghormati Kita?

Bagaimana Membuat Orang Lain Menghormati Kita?

Daripada contoh dibawah, dapat kita simpulkan bahawa kebanyakkan orang dikalangan kita terpaksa mengorbankan kewibawaan atau haraga dirinya demi kesenangan orang lain.

Hormat

Mereka tidak pandai untuk mengatakan “tidak” dan oleh kerana itu mereka terus menderita dan memendam rasa.

Cuba perhatikan kejadian ini:

1. Hanafi mempunyai seorang rakan karib yang selalu meminjam barang – barang kepunyaannya dan tidak pernah mengembalikannya. Hanafi tidak berani meminta kembali barang – barang itu. “Jika saya berterus – terang, dia tentu akan tersinggung, sedangkan dia adalah kawan baik saya,” keluhnya

2. Di pejabat Johan mempunyai seorang teman yang pandai memujuk. Dia selalu meminta Johan membuat kerjanya. Johan tidak pernah menolak dan selalu memenuhi pujukan kawannya itu. Walaupun dia sedar kebaikannya telah dipergunakan oleh kawannya untuk kerja sambil lewa di pejabat.

Bila ditanyakan kenapakah dia tidak berterus terang, Johan menjawab, “Saatnya belum tiba. Saya tidak berani”

Orang Lain Tidak Menghormati Kita?

Tidak semua orang dapat berubah. Jangan memberikan peluang kepada sesiapa pun sebelum orang itu memberikan alasan yang wajar.

Jika kita telah memberikan peluang kepada mereka, maka mereka akan berfikir bahawa apa yang mereka lakukan itu adalah betul.

Ini boleh menyebabkan “penyelewengan” yang berlanjutan. Pada tahap ini, kita kita telah dianggap sebagai orang yang lemah dan tidak lagi dihormati.

Mereka tidak menghormati kita.

Jangan meminta maaf ketika meminta sesuatu yang wajar

Contohnya, tiga jam selepas memaksa anaknya mengemas bilik, seorang ibu berkata, “Mak mintak maaf sebab suruh along kemaskan bilik.”

Jangan! Mereka harus menghormati kita sebagai ibu dan bila kita menyuruh membuat perkara betul,

Jangan pindahkan tanggungjawab kita kepada orang lain

Contohnya, “Tadi bos kata suruh kau perlu…” atau “Adik, ayah suruh adik ke kedai beli beras..”

Pernyataan seperti ini akan membuatkan kewibawaan kita akan hilang dan sekaligus menjadi seorang pembawa maklumat yang tidak dihargai.

Kita hendaklah berusaha memasukkan unsur – unsur yang mantap dalam berkomunikasi.

Berikut adalah perkara yang perlu dilakukan supaya orang lain menghormati diri kita;

1. BERTERUS TERANG

Nyatakan perasaan dan harapan kita secara jelas.

Orang yang pasif kerapkali beranggapan bahawa orang lain pasti ingin tahu apa yang diharapkannya, walaupun dia tidak memberitahunya.

Perkara ini akan menimbulkan banyak masalah sebenarnya.

2. FIKIRKAN SEGALANYA DALAM–DALAM

Berfikir dengan sedalam – dalamnya sebelum bertindak dalam sesuatu masalah.

Dengan memikirkan terlebih dahulu segala-galanya secara matang, kita boleh menyelesaikan setiap masalah dengan lebih sempurna dan masuk akal.

3. HADAPI SETIAP PERSOALAN & MASALAH DENGAN SEGERA

Jika kita cuba menghindarinya, kita akan menjadikan setiap masalah bertambah serius, sehingga semakin sukar untuk diselesaikan.

Tetapi jika kita berani menghadapinya sejak dari awal lagi, segala masalah akan dapat diatasi.

4. KLASIFIKASIKAN MASALAH SECARA CERMAT

Sering kali kita membuat sesuatu masalah itu seolah-olah masalah besar. Menghadapinya secara berlebihan, sehingga terjebak dalam kobaran emosi.

Hadapilah setiap masalah dengan teliti, kita akan mampu untuk menguasai diri. Seterusnya dapat menyelesaikan masalah secara positif.

5. PISAHKAN KEMARAHAN DENGAN KETEGASAN

Jika ketegasan kita dipenuhi sifat amarah, perkara ini adalah bukan menyelesaikan masalah.

Malah boleh menyebabkan tugas atau kewajipan kita akan terbengkalai.

Jika kita gagal bersifat tegas dalam keadaan yang tenang, kemungkinan besar reaksi kita adalah terlalu agresif.

Dari sudut lain, jika kita marah, maka orang lain akan menunjukkan kecenderungan bersifat defensif (menolak).

Akibatnya, masalah yang ada itu akan menjadi sukar untuk diselesaikan.

Oleh itu, kita jangan terjerat oleh perasaan emosional yang berlebihan daripada orang lain terhadap apa yang kita katakan, agar kita tidak mudah untuk naik angin.

Ketegasan dalam ketegangan amat berkesan mempengaruhi persepsi seseorang terhadap kita.

6. MANFAATKAN KAWASAN KEKUASAAN KITA

Pasukan bola sepak sering menang di gelanggang sendiri. Begitu jugalah dengan ketegasan.

Memang sukar untuk menghadapi seorang rakan bila sedang berada di rumah atau pejabatnya.

Oleh kerana itu, berusahalah untuk tegas di kawasan kekuasaan kita sekiranya keadaan memungkinkan.

Ia memberikan suatu keuntungan yang tidak ketara tetapi mantap.

7. JANGAN BERPURA–PURA MENGGERTAK

Budak kecik sekali pun tahu jika kita hanya berpura-pura menggertaknya. Untuk menegakkan kepercayaan orang terhadap kita, nyatakan hujah-hujah yang masuk akal serta akibat-akibat yang akan terjadi jika semua itu tidak dilakukan.

Nyatakan pernyataan kita itu dengan serius dan bersungguh-sungguh. Orang lain akan menghormati kita jika mereka yakin kita serius.

Kita juga akan lebih disukai jika sanggup berkorban, namun dalam hal ini tiada maknanya jika kita dipergunakan.

***

Hormat dan menghormati adalah penting dalam kehidupan kita.

Anda pernah mengalami situasi ini dan ada cara lain untuk ditambah sebagai penyelesaian masalah ini?

BACA INI JUGA: 26 Sifat Sombong Yang Kita Sering Amalkan!

Sumber: Akuislam

Wednesday, September 21, 2016

6 Tips Bagaimana Anda Bakal Disayangi Dan Dihormati Orang Bawahan

6 Tips Bagaimana Anda Bakal Disayangi Dan Dihormati Orang Bawahan

Majunya sebuah syarikat bukan kerana seorang sahaja tetapi ia melibatkan majikan dan para pekerja. Jadi, penting suasana bekerja yang selesa dari segi fizikal, emosi dan lain-lain agar timbul rasa belonging bersama syarikat.

Good bos
Gambar hiasan.

Di bawah ini 6 tips yang boleh menyebabkan anda disayangi para pekerja.

1. Marah Depan Orang Ramai

Marah staf anda di hadapan orang lain (bukan staf) adalah satu perbuatan yang tidak profesional. Tidak kira kita berada dalam sektor kerajaan mahupun swasta, tindakan memaki hamun (marah) staf kita di hadapan pelanggan (orang lain) bakal menimbulkan perasaan tidak puas hati staf anda.

Kesan yang lebih buruk, ia akan menyebabkan pelanggan kurang selesa dengan anda. Silap hari bulan, kalau anda di bidang korporat/perniagaan, boleh lari pelanggan anda tadi.

2. Marah Depan Staf Lain

Harus ingat bahawa setiap manusia yang lahir di muka bumi ini lahir dengan emosi dan perasaan. Tindakan kita memarahi staf di hadapan rakan mereka akan memalukan staf tersebut.

Tindakan itu boleh menyebabkan dia rasa ‘down’ dan tertekan. Sekaligus menyebabkan staf kita tadi hilang motivasi untuk bekerja. Lebih teruk lagi, jika dia berdendam.

Sebagai manusia, anda pasti tidak mahu di’sumpah laknat’ oleh insan lain kan? Jadi berpada-padalah ya.

3. Sebar Aib Staf Sendiri

Oh. NO NO. Never ever do that. Jangan sesekali kita sebagai ketua (majikan) menyebar aib staf sendiri. Tidak kira kepada orang dalam atau orang luar. Baik buruk staf kita, itu staf kita.

Seharusnya, yang buruk itu kita jadikan tauladan, agar ia tidak berulang. Bukan dijaja ke sana ke mari seumpama sambal belacan. Kenapa? Yang disebar itu, lama-lama sampai jua ke telinga staf tadi?

Akibatnya, anda sendiri tanggunglah ya, wahai majikan yang budiman. Nak tanya, kita sendiri pun semestinya tidak mahu orang sebar aib kita, kan?

4. Tuduh Tanpa Penjelasan

Opss! Setiap yang berlaku pasti ada puncanya. Maka siasatlah terlebih dahulu puncanya. Semestinya jalan yang paling tepat adalah bertanya sendiri kepada staf tadi. Barulah nampak kita (majikan) pandai mengurus situasi dan menyelesaikan masalah.

5. Ungkit-Mengungkit

Kesalahan lampau staf itu biarlah berlalu. Perbuatan ungkit-mengungkit inilah yang banyak menyebabkan orang yang sedang berhijrah (berubah) kembali kepada diri asalnya (kejahilan).

Maka, berlapang dada ya wahai majikan semua. Ingat, kalau staf kita punya masa silam, mereka juga punya masa hadapan. Seperti kita juga, sebelum kita berada di kerusi majikan, pastinya kita pernah berada di kerusi staf. Maka, berpada-padalah.

6. Banding-Membandingkan

Lazimnya begitulah, kita suka banding-membandingkan antara A dan B. Sebagai manusia, kita pasti akan sentiasa mencari yang terbaik. Sehingga kita lupa, bahawa setiap yang lahir itu punya kehebatan dan kebolehan tersendiri.

Maka, apa yang perlu kita buat sebagai majikan adalah menyediakan peluang agar kelemahan dan kekurangan staf kita dapat diolah menjadi keistimewaan dan kelebihan serta kekuatan buat kita dan organisasi.

Baiklah. Cukup 6 tip ini. Moga anda menjadi majikan yang disayangi dan dihormati oleh staf kerana siapa diri anda, bukan kerana kuasa yang anda ada semata-mata.

BACA INI JUGA:

Sumber: Thevocket

Tuesday, September 20, 2016

3 Perkara Ajaib Dalam Hidup

3 Perkara Ajaib Dalam Hidup

Masa adalah antara banyak perkara yang Allah bersumpah dengannya. Ini membuktikan bahawa masa adalah perkara yang sangat penting namun berapa ramai di kalangan kita yang lalai dan leka dalam menjaga masanya?

3_PERKARA

Masa berlalu dengan sia-sia tanpa dimanfaatkan dengan sebaik mungkin, akhirnya apabila sudah terlewat, barulah menyesal sehingga meminta untuk diundurkan masa, ibarat kata pepatah, ‘Sudah terhantuk baru hendak terngadah.’

Ada 3 perkara dalam hidup yang tidak boleh kembali
  • Waktu
  • Kata-kata
  • Kesempatan

Ada 3 perkara yang mampu menghancurkan hidup seseorang
  • Kemarahan
  • Keangkuhan
  • Dendam

Ada 3 perkara yang tidak akan hilang
  • Harapan
  • Keikhlasan
  • Kejujuran

Ada 3 perkara yang paling berharga
  • Kasih sayang
  • Cinta
  • Kebaikan

Ada 3 perkara dalam hidup yang tidak pernah pasti
  • Kekayaan
  • Kejayaan
  • Mimpi

Ada 3 perkara yang membentuk watak seseorang
  • Komitmen
  • Ketulusan
  • Kerja keras

Ada 3 perkara yang membuat kita berjaya
  • Tekad
  • Kemahuan
  • Fokus

Ada 3 perkara yang tidak pernah kita tahu
  • Rezeki
  • Umur
  • Jodoh

Ada 3 perkara dalam hidup yang pasti
  • Tua
  • Sakit
  • Kematian

Mudah-mudahan dengan beberapa tips ini akan memberikan garis panduan kepada kita semua untuk menjadikan masa yang digunakan lebih berkualiti.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Sunday, September 18, 2016

Bagaimana Minda Seorang Yang Selalu Gagal Berfungsi?

Bagaimana Minda Seorang Yang Selalu Gagal Berfungsi?

Apakah rahsia di sebalik setiap kejayaan? Apakah ciri-ciri yang membuat seseorang itu berjaya? Dan apakah ciri-ciri ini bertentangan dengan ciri-ciri seseorang yang gagal?

Kejayaan

Tahukah anda bagaimana seseorang mampu berjaya dalam hidup, iaitu gagal terlebih dahulu dalam hidup mereka!

Mari kita hayati ringkasan kata-kata nasihat tentang seorang yang berjaya vs seorang yang gagal.

Seorang yang berjaya sentiasa ada kerja yang nak dibuat.
Seorang yang gagal sentiasa ada alasan yang diberi.

Seorang yang berjaya sentiasa berkata “biar saya buat kerja ini untuk awak”.
Seorang yang gagal sentiasa berkata “ini bukan kerja aku”.

Seorang yang berjaya sentiasa melihat jawapan terhadap setiap masalah.
Seorang yang gagal sentiasa melihat masalah terhadap setiap jawapan.

Seorang yang berjaya berkata “perkara ni susah, tapi tak mustahil dilakukan”.
Seorang yang gagal berkata “perkara ni tak mustahil dilakukan tapi ia terlalu susah”.

Seorang yang berjaya melakukan kesilapan akan berkata “aku dah silap”.
Seorang yang gagal melakukan kesilapan akan berkata “ini bukan silap aku”.

Seorang yang berjaya sentiasa memberikan komitmen.
Seorang yang gagal sentiasa memberikan janji-janji.

Seorang yang berjaya menyimpan azam & cita-cita.
Seorang yang gagal menyimpan angan-angan tanpa usaha.

Seorang yang berjaya berkata “Aku mesti lakukan sesuatu”.
Seorang yang gagal berkata “Sesuatu mesti dilakukan”.

Seorang yang berjaya sentiasa melihat peluang dalam masalah.
Seorang yang gagal sentiasa melihat masalah dalam peluang.

Seorang yang berjaya melakukan sesuatu hingga terjadi.
Seorang yang gagal membiarkan sesuatu terjadi.

Seorang yang berjaya belajar daripada kegagalannya.
Seorang yang gagal hanya meratapi kegagalannya.

Seorang yang berjaya menyaksikan keceriaan.
Seorang yang gagal menyaksikan kesedihan.

BACA INI JUGA:

Sumber: Panduanpercuma

Thursday, September 08, 2016

Sikap Emosi Adalah Peribadi Yang Jauh Dari Kejernihan Hati

Sikap Emosi Adalah Peribadi Yang Jauh Dari Kejernihan Hati

Keramahan itu menyenangkan. Tidak hanya bagi orang lain yang melihatnya, tapi juga bagi diri kita. Keramahan akan menambah tenaga diri dalam menjalin hubungan dengan orang lain.

Heliza Helmi
Gambar hiasan.

Demikianlah jika batu dihantukkan dengan batu, nescaya salah satu atau keduanya akan ada yang terbelah.

Akan tetapi, jika batu dihantukkan dengan tanah liat, nescaya batu itu akan melekap dan menyatu dengan tanah liat.

Di dalam Al-Qur'an Allah telah menyatakan bahawa dengan bersikap lemah lembut dan penuh kasih sayang, mampu menakluk hati yang keras.

"Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik, dan bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik. Sesungguhnya Allah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dia-lah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk." Surah An-Nahl, ayat 125.

Kita boleh merasakan apabila sedang kesal atau marah, lalu berjumpa dengan orang yang bijaksana, baru menatap wajahnya yang jernih, hati kita sudah merasa sejuk.

Belum lagi perhatian yang tulus serta keramahan dari tutur katanya yang penuh berisi.

Sikap ini berkesan meredam emosi kita, bahkan mungkin sahaja kita akan berubah fikiran dan menyesali perbuatan yang sebelumnya kita anggap benar.

Ternyata, pokok pangkal kesusahan itu tidak terletak pada masalah yang sedang dihadapi, namun terletak pada sikap kita ketika menghadapi masalah tersebut.

Sikap emosional tidak dapat menyelesaikan masalah dengan baik, sebaliknya ia akan lebih memberatkan masalah yang dihadapi.

Sikap emosional sebenarnya berakar daripada peribadi yang jauh dari kejernihan hati.

Akibatnya, suasana hati akan lelah, tegang dan jauh dari ketenangan serta kebahagiaan.

Keadaan seperti ini jelas memberi pengaruh pada perilaku. Mengapa? Kerana reaksi apapun yang kita tampilkan, tidak akan jauh berbeza dengan suasana hati.

Sikap emosi [2]

Kerana itu, cubalah untuk menghadapi hidup ini dengan penuh semangat. Tunjukkan selalu wajah yang ceria dan jernih. Tersenyum dengan wajar dan tulus.

Temuilah orang lain dengan sikap sopan dan santun. Sapalah mereka dengan penuh keramahan dan penghormatan.

Bila demikian, nescaya kita akan menemui bahawa beban yang selama ini menghimpit hati, akan terasa jauh lebih ringan dan lapang.

Selain itu, semangat untuk menghadapi persoalan pun akan berlipat-ganda, terlebih lagi bila orang lain membalas keramahan kita.

Semua itu akan menjadi tenaga tambahan dalam menghadapi pelbagai masalah yang menghadang.

Keramahan itu menyenangkan. Tidak hanya bagi orang lain yang melihatnya, tapi juga bagi diri kita.

Bukankah kita menginginkan kebahagiaan dalam hidup? Maka, marilah kita mulakan dari sikap yang paling murah dan ringan, tapi cepat dirasakan hasilnya.

Selamat berbahagia bagi sesiapapun yang mahu bersikap ramah, sekalipun terhadap orang yang berbuat tidak baik kepadanya.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Sunday, July 10, 2016

Cara Mudah Hindari Semut Masuk Ke Dalam Rumah

Cara Mudah Hindari Semut Masuk Ke Dalam Rumah

Nampak macam tak beberapa yakin, tapi tak salah mencuba tips kali ini yang dipetik daripada akaun Facebook Aini Yusof Lee

Semut kerana gula.jpg

Mari kita ikuti perkongsian ini.

Sejak 2 bulan lepas baby indah ni suka campak botol susu, habis melekit-lekit lantai dengan susu dia.

Semut pun mula la datang entah dari mana, satu kerja pulak nak sapu keluar semut semut ni dan nak mop lantai banyak kali. Nak racun semut-semut ni memang tak smpai hati..

Akhirnya saya pergi beli sekilo gula. Setengah kilo letak dalam pinggan, letak kat koridor.

Saya pesan kat semut, "Setengah kilo aku bagi korang, setengah kilo lagi aku punya, dalam rumah tu tempat aku, luar rumah ni tempat korang, nanti dah habis aku beli lagi, kita kongsi."

Tak payah tunggu lama. Lepas seminggu semut habis berjemaah keluar. Dah dekat sebulan gula dalam pinggan ni tak habis habis lagi dan semut pun tak ada dah dalam rumah.

Korang boleh cuba juga, berkesan..

BACA INI JUGA: Doa Memanggil Ikan Untuk Kaki Pancing

Sumber: Lamankongsi

Sunday, June 26, 2016

Lupa Bayar Di Kedai Mamak Namun Dua Bulan Selepas Itu..

Lupa Bayar Di Kedai Mamak Namun Dua Bulan Selepas Itu..

Saya ada dua cerita. Saya minum dengan kawan-kawan. Kedai tu memang selalu saya minum. Mereka kenal saya. Satu hari. Saya datang lagi sekali. Salah seorang dari staf kedai tu hulurkan RM10 pada saya.

Manusia+Jujur.jpg

“Duit apa?” Saya tanya pada dia. Dia geleng. Dia tak boleh berbahasa melayu. Dia panggil kawan dia untuk cakap dengan saya.

“Dia cakap, ini duit awak. Dua bulan lepas duit awak terjatuh bawah kerusi. Dia ambil simpankan kerana masa tu awak dah balik” kawan dia cakapkan.

Saya tak tercakap apa-apa. Jujurnya pemuda ini. Duit itu bukan besar sangat. Tapi dia simpankan dalam tempoh yang lama. Kerja di kedai mamak gaji RM3 sejam. Dia susah tetapi dia kerja bukan kerana duit.

Satu kisah lain.

Aib+Orang+Lain

Sedap berborak saya dan kawan-kawan terlupa bayar minum dan makan di mamak tersebut. Beberapa hari kemudian baru teringat. Pergi kedai tu..

“Saya terlupa bayar minum beberapa hari lepas.”

Mamak tu cakap, “Saya tahu.”

“Kenapa tak panggil saya?”

“Tak mahu malukan abang depan kawan-kawan, saya tahu abang datang sini balik.”

Tengok. Mulianya hati dia kan. Sampai macam tu jaga aib orang lain. Sedangkan beberapa antara kita dengan sengaja mencari jalan mengaibkan orang tertentu.

Jangan aibkan orang lain.

BACA INI JUGA: Sembunyikan Aib Orang, Allah Sembunyikan Aib Kita

Sumber: Baharuddin Mohamed/Lamankongsi

Sunday, June 12, 2016

Motivasi Bagi Mereka Yang Hidup Tertekan Dengan Dunia

Motivasi Bagi Mereka Yang Hidup Tertekan Dengan Dunia

Allah SWT menciptakan kehidupan sebagai ujian, tidak akan ada seorang manusia pun yang tidak akan diuji oleh-Nya.

Ujian Dunia.jpg
Gambar hiasan.

Sekarang, yang sering terjadi kepada kita adalah, kita sering membanding-bandingkan kehidupan kita dengan orang lain dan kita fikir mereka tidak diuji.

Kita mungkin akan berkata, "Wow, kehidupan aku sangat susah. Tapi dia mampu menjana pendapatan RM50,000 sebulan, dia bebas masalah, dia tidak diuji."

Inilah sifat manusia. Malah saya dan anda juga pasti pernah melaluinya.

Tetapi realitinya, orang kaya raya sekalipun mempunya masalah mereka sendiri, begitu juga orang-orang miskin.

Persoalannya, adakah mereka menghadapi masalah yang sama? Semestinya tidak!

Tetapi biasanya, orang-orang miskin akan berfikir, "Bagaimana orang-orang kaya akan menghadapi masalah sedangkan mereka mempunyai harta yang banyak?"

Hakikatnya, masalah yang dihadapi oleh orang-orang yang kaya itu sama banyaknya dengan masalah yang dihadapi oleh orang-orang miskin.

Inilah konsep keadilan yang ada pada Allah SWT. Tidak semestinya anda yang mempunyai harta yang banyak atau mempunyai sahabat yang ramai, bermaksud akan terlepas dari masalah.

Jadi, Allah SWT menciptakan pelbagai jenis ujian yang berbeza-beza sesuai dengan tahap kesenangan yang diberikan kepada setiap hamba-hamba-Nya.

Adalah salah jika pada pemikiran kita, dengan melihat kesenangan pada kehidupan orang lain dan kita berkata, "Jika aku mempunyai sesuatu sepertinya, aku akan melakukan itu dan ini".

Itu tidak masuk akal. Ini kerana, jika anda mempunyai sesuatu seperti orang tadi, Allah SWT akan memberikan ujian yang lain kepada anda.

Tidak sama ujiannya seperti orang yang mempunyai sesuatu tadi. Dan anda mungkin gagal dalam ujian-Nya. MasyaAllah.

Allah SWT memberikan kepada kita apa sahaja yang Dia mahu. Kita akan ditanyakan oleh Allah SWT ke jalan manakah telah kita habiskan harta yang telah diberikan.

Jika Dia berikan kita kesihatan, kita akan ditanya, bagaimana kita gunakan kesihatan itu? Adakah untuk melakukan ibadah? Atau adakah digunakan nikmat kesihatan itu untuk melakukan maksiat?

Tetapi, jika kita sentiasa sakit, Allah SWT menarik nikmat kesihatan itu daripada kita, maka kita tidak akan ditanyakan tentang itu. Mudahkan?

Contoh lain, Allah SWT memberikan kita nikmat kekayaan, harta, duit yang banyak, jadi soalan yang akan ditanyakan oleh Allah SWT, bagaimana cara kita mendapatkan kekayaan itu? Dengan cara halalkah? Kemana pula kita belanjakan harta itu? Bayar zakat atau tidak dengan menggunakan harta itu?

Tetapi, jika Allah SWT tidak memberikan kita harta kekayaan, kita ini golongan yang fakir miskin, maka Allah SWT tidak akan bertanya mengapa anda tidak mempunyai harta kekayaan.

Begitulah pertanyaan Allah SWT kepada kita di Hari Penghakiman nanti. Semuanya jelas.

Jadi, tidak perlulah kita melihat kesenangan pada kehidupan orang lain dan kita bertanya pula kepada diri sendiri mengapa Allah SWT tidak menjadikan kehidupan kita senang seperti kehidupan orang lain.

Kita seharusnya berasa syukur dan selesa dengan kehidupan yang telah Allah SWT berikan kepada kita andai kita adalah golongan orang yang susah dan miskin kerana kekayaan juga adalah ujian dari Allah SWT. Itu adalah pasti.

Kesalahan terbesar yang akan kita lakukan dalam kehidupan kita adalah kita mengeluh dengan nikmat yang kecil atau sedikit (bagi kita) yang telah Allah SWT berikan kepada kita.

"Mengapa aku tidak senang seperti dia?", "Mengapa Allah jadikan aku miskin tetapi dia kaya?", "Mengapa anak aku tidak secantik, atau tidak secerdik anak dia?"

Inilah contoh-contoh soalan yang selalu kita persoalkan yang mana ini sedikit pun tidak memberi manafaat kepada kita malah menambah kemurkaan Allah SWT kepada kita kerana tidak bersyukur. Ini bererti kita gagal dalam ujian-Nya.

Rasulullah SAW sendiri sentiasa berdoa kepada Allah SWT, meminta penjagaan dari lidah yang sentiasa mengeluh.

Orang-orang yang sentiasa mengeluh, merekalah orang-orang yang tertipu, kerana mereka mula menyalahkan dunia kerana keadaan mereka.

Kita tidak menyedari bahawasanya Allah SWT memberikan kesusahan ini kepada kita supaya kita mengambil kesempatan, mengambil peluang untuk mengubah perkara-perkara yang biasa menjadi sesuatu yang istimewa disisi Allah SWT.

Sama-samalah kita fikirkan. InsyaAllah.

BACA INI JUGA: Jika Tidak Mengambil Risiko Anda Akan Menyesal Seumur Hidup

-SENTIASAPANAS.COM

Friday, May 20, 2016

Nasib Rama-rama Yang 'Cantik' Dan Ulat Yang 'Hodoh'

Nasib Rama-rama Yang 'Cantik' Dan Ulat Yang 'Hodoh'

Suatu hari, seorang pemuda melalui sebuah taman. Disatu ranting pohon, dia terlihat seekor rama-rama yang tersangkut pada sarang labah-labah.

Rama-rama dan Ulat

Rama-rama itu sedang berusaha untuk melepaskan diri. Sayapnya dikibarkan, ia cuba menarik dirinya agar terlepas dari sarang itu tetapi gagal.

Akhirnya rama-rama tidak berdaya dan hanya menanti maut menjadi hidangan labah-labah.

Pemuda itu kasihan dengan kejadian yang berlaku kepada rama-rama. Pemuda itu lantas membantu melepaskan rama-rama dari sarang labah-labah tersebut.

"Wahai rama-rama, engkau sudah bebas sekarang. Terbanglah dan hiasi ruang udara ini dengan sayapmu yang cantik," kata pemuda itu sambil tersenyum melihat rama-rama yang akhirnya berjaya terbang bebas di udara.

Seminggu kemudian, pemuda itu sekali lagi melalui jalan yang sama. Diperhatikannya, sarang labah-labah masih ada.

Kali ini ada mangsa baru terperangkap, seekor ulat kecil yang hodoh dan menggelikan.

Pemuda itu sekadar memerhatikan usaha ulat itu sebelum berkata, "Nasib kau la ulat, jadi makanan labah-labah hari ini."

Pemuda itu berlalu pergi, meninggalkan ulat malang tersebut tanpa rasa belas kasihan.

Moral cerita

Tahukah anda, berapa ramai diantara kita yang mempunyai sifat seperti pemuda di atas?

Membantu orang yang 'cantik' terlebih dahulu dan membiarkan mereka yang 'hodoh' seperti ulat tanpa sebarang bantuan?

Ada kalanya kita lebih suka melihat seseorang itu kerana rupa, harta dan kedudukannya.

Sebaliknya tidak memperdulikan malah memandang rendah pada insan-insan yang serba kekurangan.

BACA INI JUGA: 'Maafkan Saya Bro' Kisah Lelaki Bohong Demi Keluarga

-SENTIASAPANAS.COM

Friday, April 22, 2016

Rahsia Seguni Padi

Rahsia Seguni Padi

Disebuah desa, hidup dua orang adik-beradik. Abang yang sudah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak. Manakala adik lelakinya masih bujang.

Rahsia Seguni Padi

Adik-beradik ini bersama-sama mengusahakan sebidang sawah peninggalan orang tua mereka. Hasilnya mereka bahagi sama rata.

Suatu malam, ketika adik duduk keseorangan, dia terfikir tentang pemberian bahagian padi antara dirinya dan abangnya.

"Pembahagian ini tidak adil. Mana boleh sama banyak, sepatutnya abangku yang mendapat lebih kerana dia perlu menanggung isteri dan anak-anaknya," ujar adik tersebut.

Lalu pada waktu malam, dia mengangkat seguni padi secara diam-diam lalu dituangkan ke dalam bekas simpanan padi.

Tanpa adik itu sedari, abangnya juga berfikiran sama dengannya.

"Adikku hidup seorang diri.

"Jika ada apa-apa yang berlaku dengannya, tiada siapa yang akan membantu dia sedangkan saya masih ada isteri dan anak-anak yang membantu.

"Sepatutnya dia mendapat lebih bahagian daripada saya," ujar abang tersebut.

Dan abang ini juga secara diam-diam membawa seguni padi ke rumah adiknya.

Perkara ini berlaku bertahun-tahun lamanya tanpa disedari kedua-dua adik beradik ini.

Cuma, mereka sering tertanya-tanya mengapa simpanan padi mereka tidak pernah berkurangan.

Sehinggalah pada suatu malam, kedua-duanya terserempak ketika masing-masing membawa seguni padi untuk diletakkan seperti biasa.

Disitulah segalanya terjawab.

Mereka saling bertangisan dan menyedari betapa mereka amat menyayangi antara satu sama lain hingga tidak kisah jika bahagian mereka berkurangan demi untuk saudara sendiri.

Moral cerita

Sebenarnya, beginilah sifat adik-beradik yang harus ditanamkan. Sayangnya, pada zaman ini, hartalah yang selalu membawa pertengkaran dikalangan adik-beradik hingga terputus silaturahim.

Ingatlah, Allah tidak akan membiarkan kita kekurangan apabila kita selalu berusaha untuk mencukupkan keperluan orang lain.

BACA INI JUGA: Tahukah Anda Kenapa Manusia Ketawa?

-SENTIASAPANAS.COM

Thursday, March 10, 2016

'Tanpa Sijil SPM 7A, Abang Juga Boleh Berjaya'

'Tanpa Sijil SPM 7A, Abang Juga Boleh Berjaya'

Kepada adik-adik yang dapat keputusan SPM teruk, ini kisah abang. Tanpa Sijil SPM 7A, Abang Juga Boleh Berjaya.

Shazli Sapardin

Adik, dulu keputusan SPM abang pun barai juga. Tetapi abang tak mengalah begitu sahaja. Abang fikir, jika ada ilmu matematik, sejarah, geografi, sains ini semua abang tak pandai, mungkin ada kemahiran lain yang abang pandai.

Abang pernah tanam pokok, buat kerja-kerja kimpalan, berniaga burger. Tetapi bila abang terlibat dalam kemalangan motosikal, abang tak boleh buat kerja berat dah.

Jadi, mak abang bantu abang belajar komputer di Cosmopoint supaya bila sudah tamat belajar nanti, abang boleh buat kerja-kerja kerani ke apa ke di pejabat.

Tetapi dalam masa yang sama, abang belajar sambil-sambil dengan software Adobe Photoshop, Illustrator bagai.

Habis dua tahun belajar, abang dapat kerja sunting gambar dengan sebuah syarikat Cina yang buat signboard, gaji RM1,200 sahaja.

Sambil-sambil itu, abang belajar membaiki mesin printer gergasi yang digunakan untuk mencetak iklan billboard di tepi jalan itu. Setahun lebih abang bekerja, dapatlah menyimpan duit sedikit untuk kahwin.

Dua tahun abang kerja di syarikat itu, ada boss syarikat jual mesin printer menawarkan abang menjadi juruteknik printer mereka. Abang terima sebab dia tawarkan gaji RM2,500 sebulan.

Alhamdulillah, setahun lebih bekerja dengan syarikat baru ini, abang dapat beli kereta Proton Wira terpakai dan dapat beli sebuah rumah di Shah Alam. Harga rumah pada masa itu murah saja, RM147,000.

Abang suka kerja dengan syarikat kedua ini sebab abang dapat belajar membaiki pelbagai model printer dan memang minat dengan bidang ketukangan ini.

Walaupun dulu doktor pernah berpesan yang abang tidak boleh buat kerja berat sebab dalam tulang dan kaki ada besi titanium. Tulang patah akibat kemalangan dulu.

Selepas itu, rezeki abang dimurahkan lagi, rezeki anak kot. Abang dapat tawaran pula menjadi Technical Manager sebuah syarikat pembuat ink untuk printer itu yang juga menjual printer saiz gergasi.

Bos syarikat itu menawarkan gaji RM4,000, telefon dan talian percuma, kad petrol tanpa had, kad Touch & Go, kereta syarikat. Syukur alhamdulillah.

Kereta Proton Wira, abang jual. Lepas itu abang beli DSLR. Belajar sendiri di internet dan selalu pergi kenduri kahwin belajar ambil gambar.

Weekday tetap kerja, cuma kerja abang ini tak perlu sentiasa berada di pejabat. Sebab jika printer klien breakdown, abang pergi tengok kakitangan yang repair.

Kalau ada kerosakan besar, abang yang kena uruskan. Jadi, banyak masa abang yang terluang.

Abang belajar macam mana nak shoot gambar yang terbaik. Setahun abang belajar sendiri dan abang mula beranikan diri ambil job wedding.

Sekarang, abang dah jadi wedding photographer yang sudah boleh berdikari sendiri. Abang berhenti kerja manager syarikat pada tahun 2007 dan kini jurufoto sepenuh masa.

Tanpa sijil SPM 7A, abang berjaya kahwin, beli rumah dan terbaru kereta kuning ini. Abang beli dengan titik peluh sendiri dari duit upah ambil gambar orang kahwin. Nombor plate tak sempat nak tempah, guna sajalah WYB1779.

Ingatlah adik, 7A bukan penentu masa depan. Allah pemberi rezeki kepadamu dan dia beri dalam apa jua cara. Doa dan tawakal sentiasa dan jangan malas. -Shazli Sapardin

BACA INI JUGA: 9 Azam Baru Setiap Tahun Yang Selalu Dibuat Oleh Orang Berjaya

Sumber: Pixelperfext

Tuesday, March 08, 2016

Perkara Menyentuh Hati Tentang Seorang Isteri

Perkara Menyentuh Hati Tentang Seorang Isteri

Seorang penceramah mengadakan permainan kecil kepada tetamu di sebuah dewan yang sudah berkeluarga dan meminta satu orang tampil ke depan.

Isteri+Solehah

"Tulis 10 nama yang paling rapat dengan anda," kata penceramah tersebut.

Lelaki itu kemudiannya menulis 10 nama, ada nama jiran, orang tua, rakan sekerja, sahabat baik, anak dan juga isterinya.

"Sekarang, sila pilih hanya 7 diantaranya yang anda ingin hidup bersama."

Lelaki itu memadam 3 nama dari senarai yang ditulisnya tadi.

"Sekarang, buang 2 nama lagi."

Lelaki itu memadam 2 nama lagi dari senarai itu.

"Buang 2 nama lagi.."

Lalu tinggal 3 nama, iaitu nama orang tua, anak dan isterinya.

Suasana dewan menjadi hening, mereka fikir semuanya sudah selesai memilih nama dan tiada lagi yang perlu dipilih lagi.

Tiba-tiba penceramah berkata, "Padam dua nama!"

Lelaki tersebut menjadi bingung. Kemudian dengan berat hati memadam nama ibu serta nama anaknya dan lelaki itu menjadi sayu, air matanya mula bergenang.

Lalu penceramah itu bertanya, "Kenapa engkau memilih orang tuamu yang telah melahir dan membesarkanmu, atau anak yang sangat engkau sayangi, sedangkan isteri itu dapat kau cari lagi?"

Semua orang di dalam dewan terpaku menunggu jawapan lelaki itu.

Lalu lelaki itu menjawab, "Apabila tiba masanya, orang tua saya akan pergi meninggalkan kami semua, anak pula apabila sudah dewasa akan berkahwin dan pasti akan meninggalkan saya juga."

"Sedangkan yang benar-benar akan menemani saya dalam hidup ini hanyalah isteri saya."

"Orang tua dan anak, bukan saya yang memilih, tapi Tuhan yang menganugerahkannya."

"Sedangkan isteri, sayalah yang memilih dia dari sekian ramainya wanita yang ada di dunia ini."

Semoga kita semua dapat mengambil hikmah dari cerita diatas.

Sayangilah isteri anda.

BACA INI JUGA: 22 Alasan Mengarut Pasangan Di Malaysia Bercerai

-SENTIASAPANAS.COM

Wednesday, March 02, 2016

Kenapa Bijak Dan Punyai Bakat Belum Cukup Untuk Anda Berjaya?

Kenapa Bijak Dan Punyai Bakat Belum Cukup Untuk Anda Berjaya?

Cuba anda fikirkan orang yang paling berjaya yang anda tahu. Sekurang-kurangnya 2-3 orang yang paling anda rapat. Sekarang fikirkan beberapa perkataan yang paling menggambarkan orang itu.

Bijak+Berbakat

Apa yang terlintas di fikiran? Pintar? Sangat terurus? Yakin? Berdisiplin? Sentiasa berinspirasi?

Jika anda seperti orang kebanyakan, anda mungkin gambarkan sebahagian besarnya mempunyai sikap yakin, berdisiplin dan sentiasa memberi inspirasi.

Dalam erti kata lain, sifatnya lebih terarah kepada sikap, tabiat orang itu, daripada pengetahuan atau kemahiran mereka yang mereka ada.

Lain-lain perkataan yang memberi maksud yang lebih kurang sama adalah termasuk rajin, berani, merendah diri, dan punyai berpengaruh yang tinggi.

Kisah Program Latihan Dale Carnegie Yang Dihadiri Oleh Warren Buffet

Latihan ini adalah salah satu daripada beberapa siri sesi preview yang diadakan oleh Dale Carnegie di dalam program “Skill for Success” di bandar New York .

Kursus ini adalah salah satu daripada beberapa program latihan Dale Carnegie yang ditawarkan di seluruh dunia.

Buat anda yang mungkin tidak tahu, Dale Carnegie merupakan seorang penulis buku ‘bestseller’ “How to Win Friends and Influence People.”

Dale-Carnegie

Warren Buffett berkata beliau telah menghadiri kelas Dale Carnegie ini ketika dia masih kecil, dan ia mengubah hidupnya dan mengatasi rasa takut pada pengucapan awam.

Bersama dengan kira-kira 40 peserta yang lain, beliau menghadiri sesi preview “Skill for Success”. Salah satu ilmu yang beliau bawa pulang adalah bahawa pentingnya sikap yang betul untuk anda hadapi cabaran hidup dan bisnes setiap hari, lebih penting dari apa kelayakan anda di atas kertas (sijil) dan kemahiran anda.

Untuk menggambarkan perkara ini, pengajar latihan Dale Carnegie iaitu Marc Fowler, membacakan senarai 21 objek secara rawak, beliau kemudiannya memberitahu awal-awal bahawa setiap objek yang melambangkan maksud yang berbeza-beza. Dan beliau meminta peserta yang lain dapat membaca senarai yang disebutkan tadi tanpa ada kesilapan!

Malangnya, seperti dijangkakan, tiada siapa yang angkat tangan, dan berani untuk menawarkan diri!

Your Attitude Is Holding You Back,” Kata Fowler

Beliau kemudian menerangkan maksud setiap 21 objek tersebut dan meminta kami mengingati objek dan maksudnya secara berpasangan.

Hampir setiap pasangan membuktikan prestasi mereka meningkat dengan pantas dari kali pertama mereka akan cuba.

Malah ada 2-3 pasangan tampil ke hadapan untuk menerangkan setiap objek dan maksudnya dengan betul! Dan mereka dapat terangkan dengan penuh yakin.

Jelas sekali, disini kita tahu, tidak semua cabaran begitu mudah untuk diatasi. Tetapi melalui latihan ini, ia mengajar kita, sekurang-kurangnya, mengatakan “Ya, saya boleh”! Cuba dahulu, dan ‘adjust’ kemudian!

Fowler tidak pernah memberi tahu secara khusus bahawa kita tidak boleh bekerja secara berpasangan, mendengar semula senarai itu, atau meneka.

Jika kita akan mempunyai sikap yang lebih positif, kita mungkin telah menyedari bahawa strategi ini boleh menjadi laluan untuk kejayaan – kegagalan yang tidak dapat dielakkan.

Sikap Dan Tabiat Dalam Hidup Lebih Penting Dari Pengetahuan Dan Kemahiran Yang Anda Ada

Dale-Carnegie

Pengajaran ini juga mempunyai beberapa implikasi penting di tempat kerja. Fowler juga berkata kepada kami, sesetengah majikan sering mengutamakan pekerja berdasarkan pengetahuan serta kemahiran yang mereka ada.

Mereka lebih mengutamakan calon pekerja yang mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang cukup, serta kemahiran yang boleh memenuhi apa yang dimahukan oleh syarikat.

Tetapi mereka lupa, dengan mempunyai sikap yang betul juga membantu pekerja untuk mendapat pengetahuan dan kemahiran, setelah bekerja dengan kita. Namun begitu, tidaklah dinafikan pengetahuan dan kemahiran juga penting.

Malah, Fowler memberitahu, “Semangat (sikap) yang dimanfaatkan dengan cara yang salah boleh menjadi sia-sia. Kunci kepada kejayaan, katanya, adalah sikap, kemahiran yang betul serta pengetahuan.

Berbalik kepada cerita latihan tadi, jika kita mencuba dengan melulu tanpa usul periksa, kemungkinan kita akan menjawab dengan salah.

Namun selepas itu, kita boleh rancang sesuatu strategi, mungkin dengan bekerja dalam satu pasukan, adakan sesi visualisasi boleh atasi masalah. Sehinggalah kita dapat menjawab kesemuanya dengan betul.

Kata kuncinya, cuba dahulu! Andaikata masih kurang tepat, kita rancang strategi bagaimana untuk kurang kesilapan sehinggalah berjaya menjawab dengan betul!

BACA INI JUGA: Kenapa Perlu Mencemburui Orang Yang Berbakat?

Sumber: Majalahniaga.com

Tuesday, February 02, 2016

Hidup Senang Bebas Hutang Gaya Dave Ramsey

Hidup Senang Bebas Hutang Gaya Dave Ramsey

Membina masa hadapan menggunakan wang adalah seperti membina rumah. Anda tidak boleh membina bumbung sehingga anda sudah ada tiangnya, dan anda tidak boleh bina tiang sehingga anda sudah ada tapaknya.

Bebas Hutang

7 langkah kecil ini ditulis oleh Dave Ramsey, seorang pakar kewangan peribadi terkenal di Amerika Syarikat.

Langkah-langkah ini bukan sahaja akan membantu anda keluar daripada hutang, malah akan menggalakkan anda menabung dan bersedekah.

Kita semua bermula dengan keupayaan berbeza. Bermulalah walau apa sahaja status kewangan anda sekarang dan berusahalah untuk mencapai tahap yang anda ingini.

Mengetahui ‘bagaimana’ hanya membantu anda sebanyak 20%. Perubahan tingkah laku dan disiplin berterusan akan menyumbang 80% kepada kejayaan perubahan kewangan anda. Anda boleh lakukannya!

1. Mulakan Dana Kecemasan Sebanyak RM1000

Dana kecemasan adalah untuk perkara-perkara tidak dijangka berlaku. Kereta rosak, paip bocor, brek ‘tak makan’, ibu sakit, atau apa-apa sahaja kecemasan, sekurang-kurangnya anda sudah ada sedikit dana untuk bantu diri sendiri.

RM1000 terlalu sedikit? Tambahkan sendiri ikut keperluan anda. Tepuk dada tanya selera.

2. Selesaikan Semua Hutang Kecuali Pinjaman Perumahan

Senaraikan semua hutang anda, kecuali pinjaman rumah. Penyelesaian pinjaman dengan baki terendah, terutamanya yang melibatkan institusi kewangan, patut menjadi keutamaan nombor satu.

Jangan risau tentang kadar bunga melainkan jika ada dua pinjaman dengan baki bayaran yang sama. Kalau itu kesnya, bayar pinjaman dengan kadar bunga tertinggi dahulu.

3. Buat Simpanan Perbelanjaan 3 Hingga 6 Bulan

Ini adalah langkah untuk membina dana kecemasan penuh. Simpanan yang bersamaan dengan perbelanjaan selama 3 hingga 6 bulan, dapat menjauhkan anda daripada membuat hutang (kecemasan) baru.

Senaraikan perbelanjaan bulanan anda dan darab dengan bilangan bulan yang anda ingini.

Contoh, jika perbelanjaan bulanan anda adalah RM3000, dan anda mahu buat simpanan 3 bulan, jumlah simpanan yang anda perlukan adalah RM9000.

4. Melabur Sekurang-kurangnya 15% Pendapatan Untuk Dana Persaraan

Anda tidak pernah terlalu muda untuk bersedia menghadapi persaraan. Tanpa pembayaran pinjaman bulanan dan dengan dana kecemasan yang mencukupi, anda sudah boleh mula meletakkan 15% pendapatan anda untuk mendapatkan persaraan yang anda ingini.

Pelaburan hartanah, saham, saham amanah, komoditi, ASB, Tabung Haji – adalah di antara pilihan pelaburan yang ditawarkan di pasaran.

Pilih yang sesuai dengan anda. Rancang dana persaraan anda kepada beberapa bakul berbeza.

Pelaburan beberapa ratus RM sebulan sekarang dapat menjadikan anda jutawan pada masa hadapan.

5. Perbelanjaan Pendidikan Anak

Perbelanjaan pendidikan dan perumahan semakin hari semakin bertambah. Bersedialah. Mula menyimpan sekarang, jadi anda akan bersedia sebaik sahaja anak anda tamat tingkatan lima.

6. Habiskan Pinjaman Perumahan Segera

Secara purata, mereka yang merancang untuk menghabiskan pinjaman perumahan segera dapat melakukannya dalam masa lima hingga tujuh tahun.

Seronoknya apabila sudah tiada lagi hutang yang mengganggu kebebasan hidup anda! Gunakan lebihan duit untuk membayar hutang rumah, lebih-lebih lagi sekiranya terma pinjaman rumah anda adalah daily rest.

Bukan sahaja anda mendapat kebebasan segera, tetapi anda juga berupaya berjimat kadar faedah sehingga ratusan ribu ringgit!

7. Bina Kekayaan dan Bersedekah

Ini adalah langkah terakhir dan yang paling menyeronokkan. Anda sudah berupaya untuk hidup bebas dan bersedekah dengan senang hati!

Bina kekayaan, jadi pemurah dan wariskan kekayaan anda untuk generasi masa hadapan.

BACA INI JUGA: Apa Itu Matawang Digital Bitcoin?

Sumber: Mynewshub.cc

Sunday, January 24, 2016

Terima Kasih Sahabat

Terima Kasih Sahabat

Kadang-kadang sahabat yang suka belanja kita makan, bukan kerana mereka berharta, tapi kerana mereka meletakkan persahabatan melebihi duit.

Terima Kasih Sahabat

Kadang-kadang sahabat yang rajin bekerja, bukan kerana mereka tunjuk pandai, tapi kerana mereka memahami maksud tanggungjawab.

Kadang-kadang sahabat yang memohon maaf terlebih dahulu selepas pergaduhan, bukan kerana mereka salah, tapi kerana mereka menghargai orang disekeliling mereka.

Kadang-kadang sahabat yang sukarela membantu kita, bukan kerana mereka berhutang apa-apa, tapi kerana mereka melihat kita sebagai seorang sahabat.

Kadang-kadang sahabat yang selalu sms kita, bukan kerana mereka tiada perkara lain untuk dilakukan, tapi kerana mereka ingat pada kita.

Yang pasti, suatu hari kita nanti, kita dan sahabat pasti akan terpisah, namun kita akan teringat segala kenangan yang pernah ada.

Hari berganti minggu, minggu berganti bulan dan bulan berganti tahun, hingga hubungan itu menjadi asing.

Suatu hari, anak dan cucu kita akan melihat gambar dan bertanya..

"Siapa mereka semua ini?"

Dan kita akan tersenyum dengan linangan air mata yang tiada kelihatan, kerana hati terusik, dan dengan hati yang sayu lalu berkata..

"Dengan merekalah saya ada hari yang paling indah dalam hidup saya.."

Terima kasih sahabat..

BACA INI JUGA: Pahala Siapakah Sebanyak Bintang Dilangit?

-SENTIASAPANAS.COM

Tuesday, January 19, 2016

Ditolak 6 Universiti Kerana Terlalu Berbakat!

Ditolak 6 Universiti Kerana Terlalu Berbakat!

Ujang pernah bercita-cita menyambung pelajaran di Institut Pengajian Tinggi terutamanya di Institut Teknologi Mara (ITM).

Ujang

Sebenarnya ia adalah hasil dorongan daripada bekas guru pendidikan seninya, Cikgu Ahmad Rashidi Hassan.

Walaupun sudah berjaya sebagai kartunis dan mempunyai peminat yang ramai, pesanan bekas gurunya tersemat kukuh dalam fikirannya.

Ujang pernah memohon masuk dalam jurusan seni halus. Pemohonan masuk ke ITM dibuka sebanyak dua kali setahun. Setiap kali itu juga Ujang memohon namun ditolak.

Akhirnya selepas permohonan kali keenam, barulah Ujang dipanggil untuk temuduga bertulis.

“Aku akan pastikan kali ini aku berjaya.”

Ujian pun bermula.

“Semua calon diminta melukis mengikut tajuk yang diberikan. Masa ujian bermula sekarang.”

Selepas sesi penilaian, Ujang berjumpa dengan pensyarah penilai, “Saya boleh diterima encik?”

“Skil kamu tinggi. Bakat kamu besar. Tetapi saya cadangkan kamu belajar di tempat lain.”

“Kenapa pula?”

“Kamu akan bosan nanti. Di sini kamu akan diajar semula perkara-perkara asas seni dan lukisan. Garisan, bulatan, empat segi. Pendek kata, semua yang asaslah.”

“Tetapi saya sudah banyak kali mohon. Ini kali keenam.”

“Mungkin tempat kamu memang di tempat lain. Maafkan saya.”

Ujang balik dengan perasaan hampa. “Apa punya penilai. Kata aku bagus tetapi ditolak.”

Ujang [2]

Selepas enam kali memohon dan ditolak, Ujang berhenti berharap. Kesemua surat jawapan daripada ITM diposkan kembali.

“Biar mereka tahu aku protes. Puas hati aku!”

Siapa dia diatas? Dialah kartunis Ujang.

Jadi, janganlah bersedih kalau tidak dapat masuk "U" atau tak dapat benda macam yang kita mahukan.

InsyaAllah, kalau kita tak berhenti berdoa dan berusaha, ada benda lebih baik sedang menunggu kita di hujung sana.

BACA INI JUGA: 3 Rahsia Kejayaan Hebat Henry Ford

Sumber: Thevocket.com

Thursday, January 14, 2016

3 Tips Hebat Oleh Tiga Jutawan Selebriti Malaysia

3 Tips Hebat Oleh Tiga Jutawan Selebriti Malaysia

Siapa tidak kenal tiga individu hebat ini, Dato’ Aliff Syukri, Dato Seri Vida dan Puan Rita Sosilawati, nama-nama ini sudah pasti dalam majoriti masyarakat Malaysia tidak kira lapisan masyarakat.

3 Jutawan

Nama-nama mereka ini gah dimainkan di media kerana cara pemasaran unik yang mereka pilih membuatkan nama mereka dikenali ramai.

Ketiga-tiga individu ini terkenal dengan tagline masing masing, "Terlajak Laris' bagi Dato’ Aliff Syukri, "Qu Puteh, Qu Puteh, Barulah Puteh" bagi Dato Seri Vida dan "Nampak Lawa, Nampak Lawa Dia Pakai NV" bagi Puan Rita Sosilawati.

Namun, ada yang menyatakan rasa tidak senang hati dengan gelagat mereka ini, tetapi tahukan kita bahawa ini adalah strategi pemasaran mereka untuk berjaya seperti sekarang!

Mereka ini bukanlah individu yang sombong, mereka juga melakukan kerja-kerja amal, kalau dilihat Dato’ Aliff Syukri, dia membuka pengajian pondok di Kelantan, jika dilihat ruang makan di rumahnya, begitu mewah tetapi apabila makan beliau lebih suka bersila atas lantai.

Bagaimanakah ketiga-tiga individu ini boleh berjaya dalam masa yang sama? Sedangkan ketiga-tiga mereka ini menjadikan produk kecantikan sebagai perniagaan utama?

Khairul Hakimin Muhammad, telah berkongsikan 3 tips berguna yang telah diguna pakai oleh tiga individu hebat ini untuk berjaya, dan apa yang menarik, mereka tidak pun cuba menjatuhkan satu sama lain sebaliknya berbincang bersama-sama untuk melihat perniagaan masing-masing berjaya bersama-sama.

3 Jutawan [2]

Jom kita baca tips yang amat berguna ini yang ditulis oleh beliau.

Terlajak puteh nampak. Saya juga antara yang tak ketinggalan melihat rancangan ini. Mahu juga terkinja-kinja menonton kekayaan tiga insan yang sentiasa menjadi buah mulut rakyat Malaysia.

Mereka ini tidaklah setaraf dengan beberapa ikon kesayangan negara seperti Siti Nurhaliza, Tony Fernandez, Tan Sri Mokhtar, Emma Maembong, Shaheizy Sam mahupun Dato M Daud Kilau, tetapi semua gerak geri dan kata-kata yang keluar dari mulut mereka ini jadi satu alat pemasaran yang luar biasa.

Mari kita ambil pendekatan positif melihat titik persamaan antara ke tiga-tiga taikun kosmetik negara ini.

Antaranya ialah:

1. Jatuh

Datuk Alif

Mereka pernah jatuh dengan sangat teruk. Tetapi bangkit dengan semangat luar biasa. Lihat satu demi satu, Datuk Alif pernah dihina kerana hanya mempunyai sijil SPM dan berniaga di pasar malam. Keanehan manusia ini dari awal sememangnya ditentang habis-habisan di media sosial.

Dengar suara sahaja “terlajaaak larrrrissss” memang buat kita terus nak tukar channel. Tetapi gimik suara dan pendekatan iklan luar biasa beliau akhirnya membawa duit ke poketnya sendiri.

Ada sahaja gimik iklan yang tak masuk akal. Kalau dari Bangi nak ke KL tu hangin sungguh ada papan-papan billboard tulis Wajah Kosmetik Yang Dipercayai.

Kau gila nak letak muka lelaki dengan alat-alat solek jadi aksesori dalam gambar tu? Tapi Datuk Alif buat. Dan dia berani terus buat dan berjaya!

Bagi Puan Rita Sosilawati pula, kisah kematian ibunya yang cukup tragis dan menggemparkan negara. Sebut sahaja tentang ibu beliau, pasti semua ingat.

Dan kita pula tak pernah terfikir bagaimana wanita ini mahu kembali bangkit untuk meneruskan legasi ibunya dengan wajah ibunya yang sering kali muncul di sebalik produk-produk tersebut.

Orang kata, yang melemahkan kita itulah yang akan menguatkan kita. Akhirnya Puan Rita bangkit dan kini mempunyai rangkaian kosmetik antara yang paling kukuh di Malaysia.

Sekali pasang tv keluar pula wajah wanita ini. Dulu saya sendiri pernah kata, dah kenapa stesen tv3 ini dah kena beli dengan perempuan ini ke macammana. Sekejap sekejap keluar, Qu Puteh Qu Puteh.

Bagi lelaki kacak yang tak pernah putih seumur hidup seperti saya ini, ini satu pertandingan antara hidup dengan mati. Menyampah nengoknya. Itu dululah..

Kini, saya lihat strategi mempasakkan perkataan itu dalam kepala rakyat Malaysia(walau ejaannya pun tak betul) tetap berjaya.

Anak saya sendiri pun pandai sebut Qu Puteh Qu Puteh Barulah Putih! Hebat Dato Seri Dr. Vida.

Beliau ini juga mempunyai kisah tragis yang sangat besar dalam hidupnya apabila dua anak lelakinya meninggal dunia akibat kebakaran rumahnya sendiri.

Dato Seri Dr. Vida kembali bangkit dan membangunkan produknya dengan membawa semangat anak-anaknya untuk terus berjaya dan membantu anak-anak yang lain.

2. Bersama

Puan Rita Sosilawati

Jika kalian lihat Instagram ke tiga-tiga taikun ini, kalian akan perasan satu perkara yang berlaku diluar kotak pemikiran kita sendiri.

Logiknya mereka ini adalah pesaing di dalam industri yang sama. Tetapi, mereka kerap kali berjumpa dan bermesyuarat.

Setiap kali ke tiga-tiga ini bergambar dan gambarnya dipampang di dalam insta masing-masing, saya terus terfikir strategi perniagaan bangsa cina yang sangat hebat.

Antaranya ialah:

Mereka akan berbincang produk mana sesuai dengan syarikat mana.

Mereka akan membuat keputusan syarikat mana dengan gimik pemasaran yang bagaimana.

Mereka akan membahagikan produk laris dengan kesesuaian pemilik syarikat mana.

Kau orang nampak tak? Mereka tidak bersaing, malah mereka saling menguat antara satu sama lain.

Ini yang sedang dibuat oleh sebuah syarikat penerbitan Indie (bukan Hindi) dan saya sangat suka cara mereka. Mereka bangkit bersama. Bantu kawan-kawan lain dan berjaya bersama-sama.

Dalam industri hari ini, memang sudah tak boleh untuk bergerak sendiri. Dengan mudah kalian akan tumbang jika ada pesaing yang sama hebat dengan kalian. Maka cara paling baik ialah dengan bersama.

3. Kreatif dan Bina Pengaruh

Dato Seri Dr Vida

Mereka sentiasa menunjuk kekayaan dan kekuasaan. Ini yang orang melayu pantang. Takut kena curi, takut orang kata riak, takut mata syaitonirojim.

Waima Dato Seri Dr Vida yang mempunyai beberapa koleksi mahkota juga kalian tegur baik punya.

Ya salah satu kegemaran rakyat Malaysia ialah menegur-negur perbuatan orang lain. Anak jiran kampung sebelah yang kau tak kenal pun kau boleh cerita kisah dia dari lahir sampailah dia kahwin.

Ok, kita sambung. Mereka bertiga ini (pada fikiran saya) tidak menunjuk-nunjuk pada zahirnya. Tetapi kekuasaan mereka pada media sangat kuat. Maka, segala apa yang diceritakan akan jadi bahan untuk ditunjuk dan dikongsi kepada semua.

Kadang-kadang post itu hanya untuk memberitahu yang mereka sangat sukakan sesuatu pada masa lalu, dan kini sudah pun mendapatinya (rujuk kepada post Dato Aliff dengan kereta Rolls Royce).

Sama juga dengan kita, nak sangat makan kat kedai kak leha dangdut, jadi hari tu kawan kita belanja dan kita pun selfie gitu.

Lebih kurang sahaja sebenarnya cuma mood kau orang tak sebanyak orang yang memang kaya dengan cas-cas positif di kepala.

Untuk kuat dalam arus media, kau kena kreatif. Kau kena pastikan orang sentiasa positif dengan apa yang kau ‘tunjuk’.

Lihat akaun sosial media mereka bertiga ini, semuanya ada tag line dengan ‘background’ kemewahan mereka.

Semua itu adalah strategi pemasaran untuk mendapatkan pengaruh. Jika kalian perasan, ada produk mereka yang sama, ada juga yang memang niche. Dan yang niche itulah kekuatan mereka masing-masing.

Ingat kawan-kawan, pengaruh dibina dengan kuasa, harta dan kata-kata. Zaman ini mudah sahaja, kalian ada kepakaran dan buat dengan betul-betul, kalian akan (atau pasti) akan berpengaruh dengan sayap yang cukup lebar.

Saya pernah bersembang dengan salah seorang jurujual mereka, sama ada benar atau tidak, katanya salah seorang dari tiga taikun ini jualannya pada setiap jam ialah sebanyak RM1,200. Setiap jam Bro!

Kau kali dengan 24 jam, dapat RM28,000 sehari. Kali lagi dengan 30 hari, jualan sebulan ialah RM864,000 woi..

Gunakanlah media sosial untuk meraih kebaikan, bukan dengan membuka aib dan berkata tidak baik. Stay positif kawan!

Kawan-kawan, bab riak takbur bagai itu bukan hal kita pun. Mereka dapat apa yang mereka inginkan. Kita pun takat dapat sebut kau riak kau riak kau riak!

Itu sahaja, kau sebut kau riak tu ada dapat mahkota? Ada dapat rolls Royce? Ada? Ada boleh taja TRW? Sudah-sudahlah jadi penunggang agama. Cewah..

Nak hidup dan jadi orang hebat kena harungi satu perjalanan susah, kalau tengok kaki pun tak nampak kerana perut membesar bagai juara tak adalah susah benar hidup kita tu.

Kena harungi satu fasa kehidupan yang ala-ala baru nak bernafas semula dek kerana kegagalan itu ini. Gitu.

Kau faham ke tak faham ni sebenarnya? Ha Barulah dapat hidup senang..

Bak kata Imam Ghazali, Untuk dapat sesuatu yang kau suka, kena sabar dengan apa yang kau benci.

Yang kau suka itu kesenangan.

Yang kau benci itu kesusahan.

Yang buat kau senang hari ini ialah perjalanan susah kau masa lalu. Mereka ini Tuhan uji dengan ujian paling berat untuk mereka terima.

Tuhan juga hanya uji mereka yang sesuai sahaja dengan ujian-ujiannya. Tak semua dapat ujian macam tu kawan, jadi reda dan berusahalah untuk kita juga berjaya.

Tak semestinya kita kena berjaya macam depa, kalau kita pun sama je habis takkan nak tukar Bapa Brownies Kebangsaan cakap, Qu Brown Qu Brown Barulah Brownies. Tak, semua tu tak semestinya sama.

Kawan-kawan..

Ada orang memang berjaya dengan jadi cikgu. Walau tak dapat rumah besar, dia dapat 10,000 anak murid yang sentiasa panggil dia cikgu sampai dia mati.

Ada orang memang berjaya jadi doktor, walau dia tak kaya raya, tapi dia punya saham akhirat merawat pesakit pasti sebesar-besar gunung yang melimpah-limpah kebaikannya.

Ada orang memang berjaya jadi penulis, mungkin dia juga tak kaya raya macam depa. Tapi penulisan dia buat jiwa kaya, buat orang terkesan dan mahu jadi baik. Cewah. Ha ha ha. Nak jugak.

Masa saya kecil dulu saya selalu tanya emak, apa yang emak nak dari aye (saya)? Emak saya kata, tanya diri sendiri nak jadi apa, emak nak awak jadi baik. Itu sahaja.

Bukan susah nak jadi baik. Kaya miskin senang susah semua boleh jadi baik. Kita pun boleh jadi baik.

Nak jadi baik mula dengan hati, kemudian otak, kemudian perlakuan dan perkataan. Senang woi.

Ha, yang duk kata riak riak takbur takbur sesuka hati ni tanya balik dalam hati masing-masing, “aku ni baik sangat ka sampai Tuhan beri aku seketul hati yang senangnya tuduh orang begitu begini, yang lancar sahaja cakap itu ini dan yang mudahnya bersangka-sangka..”

Ada eloknya kita belajar melihat mereka berjaya daripada kita hanya berjaya cakap-cakap mahu kaya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com