Jun 12, 2016

Motivasi Bagi Mereka Yang Hidup Tertekan Dengan Dunia

Allah SWT menciptakan kehidupan sebagai ujian, tidak akan ada seorang manusia pun yang tidak akan diuji oleh-Nya.

Ujian Dunia.jpg
Gambar hiasan.

Sekarang, yang sering terjadi kepada kita adalah, kita sering membanding-bandingkan kehidupan kita dengan orang lain dan kita fikir mereka tidak diuji.

Kita mungkin akan berkata, "Wow, kehidupan aku sangat susah. Tapi dia mampu menjana pendapatan RM50,000 sebulan, dia bebas masalah, dia tidak diuji."

Inilah sifat manusia. Malah saya dan anda juga pasti pernah melaluinya.

Tetapi realitinya, orang kaya raya sekalipun mempunya masalah mereka sendiri, begitu juga orang-orang miskin.

Persoalannya, adakah mereka menghadapi masalah yang sama? Semestinya tidak!

Tetapi biasanya, orang-orang miskin akan berfikir, "Bagaimana orang-orang kaya akan menghadapi masalah sedangkan mereka mempunyai harta yang banyak?"

Hakikatnya, masalah yang dihadapi oleh orang-orang yang kaya itu sama banyaknya dengan masalah yang dihadapi oleh orang-orang miskin.

Inilah konsep keadilan yang ada pada Allah SWT. Tidak semestinya anda yang mempunyai harta yang banyak atau mempunyai sahabat yang ramai, bermaksud akan terlepas dari masalah.

Jadi, Allah SWT menciptakan pelbagai jenis ujian yang berbeza-beza sesuai dengan tahap kesenangan yang diberikan kepada setiap hamba-hamba-Nya.

Adalah salah jika pada pemikiran kita, dengan melihat kesenangan pada kehidupan orang lain dan kita berkata, "Jika aku mempunyai sesuatu sepertinya, aku akan melakukan itu dan ini".

Itu tidak masuk akal. Ini kerana, jika anda mempunyai sesuatu seperti orang tadi, Allah SWT akan memberikan ujian yang lain kepada anda.

Tidak sama ujiannya seperti orang yang mempunyai sesuatu tadi. Dan anda mungkin gagal dalam ujian-Nya. MasyaAllah.

Allah SWT memberikan kepada kita apa sahaja yang Dia mahu. Kita akan ditanyakan oleh Allah SWT ke jalan manakah telah kita habiskan harta yang telah diberikan.

Jika Dia berikan kita kesihatan, kita akan ditanya, bagaimana kita gunakan kesihatan itu? Adakah untuk melakukan ibadah? Atau adakah digunakan nikmat kesihatan itu untuk melakukan maksiat?

Tetapi, jika kita sentiasa sakit, Allah SWT menarik nikmat kesihatan itu daripada kita, maka kita tidak akan ditanyakan tentang itu. Mudahkan?

Contoh lain, Allah SWT memberikan kita nikmat kekayaan, harta, duit yang banyak, jadi soalan yang akan ditanyakan oleh Allah SWT, bagaimana cara kita mendapatkan kekayaan itu? Dengan cara halalkah? Kemana pula kita belanjakan harta itu? Bayar zakat atau tidak dengan menggunakan harta itu?

Tetapi, jika Allah SWT tidak memberikan kita harta kekayaan, kita ini golongan yang fakir miskin, maka Allah SWT tidak akan bertanya mengapa anda tidak mempunyai harta kekayaan.

Begitulah pertanyaan Allah SWT kepada kita di Hari Penghakiman nanti. Semuanya jelas.

Jadi, tidak perlulah kita melihat kesenangan pada kehidupan orang lain dan kita bertanya pula kepada diri sendiri mengapa Allah SWT tidak menjadikan kehidupan kita senang seperti kehidupan orang lain.

Kita seharusnya berasa syukur dan selesa dengan kehidupan yang telah Allah SWT berikan kepada kita andai kita adalah golongan orang yang susah dan miskin kerana kekayaan juga adalah ujian dari Allah SWT. Itu adalah pasti.

Kesalahan terbesar yang akan kita lakukan dalam kehidupan kita adalah kita mengeluh dengan nikmat yang kecil atau sedikit (bagi kita) yang telah Allah SWT berikan kepada kita.

"Mengapa aku tidak senang seperti dia?", "Mengapa Allah jadikan aku miskin tetapi dia kaya?", "Mengapa anak aku tidak secantik, atau tidak secerdik anak dia?"

Inilah contoh-contoh soalan yang selalu kita persoalkan yang mana ini sedikit pun tidak memberi manafaat kepada kita malah menambah kemurkaan Allah SWT kepada kita kerana tidak bersyukur. Ini bererti kita gagal dalam ujian-Nya.

Rasulullah SAW sendiri sentiasa berdoa kepada Allah SWT, meminta penjagaan dari lidah yang sentiasa mengeluh.

Orang-orang yang sentiasa mengeluh, merekalah orang-orang yang tertipu, kerana mereka mula menyalahkan dunia kerana keadaan mereka.

Kita tidak menyedari bahawasanya Allah SWT memberikan kesusahan ini kepada kita supaya kita mengambil kesempatan, mengambil peluang untuk mengubah perkara-perkara yang biasa menjadi sesuatu yang istimewa disisi Allah SWT.

Sama-samalah kita fikirkan. InsyaAllah.

BACA INI JUGA: Jika Tidak Mengambil Risiko Anda Akan Menyesal Seumur Hidup

-SENTIASAPANAS.COM

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

1 comments so far

Perkongsian yang amat menarikkk

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon