Friday, July 15, 2016

Pakar Barat Sahkan Hang Tuah Pernah Memerintah Singapura!?


Akhbar Berita Harian Singapura baru-baru ini melaporkan, pulau itu mungkin sebuah pusat pelabuhan utama bagi Empayar Melaka pada abad ke-15 yang ditadbir seorang laksamana dan beliau dipercayai ialah Hang Tuah sendiri.

Hang Tuah Pernah Memerintah Singapura

Kewujudan Laksamana Hang Tuah pernah dipersoal akibat ketiadaan bukti arkeologi. Namun pakar Barat di Universiti Nasional Singapura (NUS) ini yakin bukan sahaja Hang Tuah wujud, malah pernah memerintah Singapura.

Laksamana berkenaan dikatakan tidak sahaja berkuasa memerintah ketika itu dan mentadbir pelabuhan tersebut, bahkan mengetuai angkatan laut Kesultanan Melayu Melaka yang menjadikan Singapura sebagai pangkalannya.

Sebagai Laksamana, Hang Tuah menjadikan pulau yang pernah disebut Temasek sebelum diubah Sang Nila Utama kepada Singapura; menjadi tempat tinggalnya, kata pakar sejarah dan arkeologi Singapura, Prof. Dr. John Miksic.

Baru-baru ini, kewujudan Hang Tuah sekali lagi dipersoalkan pihak tertentu kerana konon tiadanya bukti arkeologi yang mengaitkan kehidupan dirinya, seperti yang panas dilaporkan oleh pelbagai media Malaysia sekitar Mei lalu.

Ia memetik laporan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia sebagai mengesahkan bukti arkeologi mengaitkan kewujudan Laksanama Hang Tuah masih lagi belum ditemui untuk disahkan muktamad secara rasmi.

Walaupun akur dengan ketiadaan bukti tersebut, Miksic tetap percaya bahawa Hang Tuah wujud malahan pernah bermastautin agak lama di Singapura berdasarkan bukti surat-menyurat yang ditemui di Pulau Okinawa, Jepun.

“Hang Tuah pasti ada. Jawatannya sebagai Laksamana ada. Gelarannya sebagai Sri Bija Diraja, kita ketahui pasti ada. Orang yang namanya Hang Tuah belum dapat diperkuat dengan data dari sumber selain Sejarah Melayu.

“Namun tidak ada alasan untuk percaya bahawa orang dengan nama itu tidak ada,” ujarnya merujuk watak Hang Tuah sering disebut dalam banyak sumber asing dari China dan Jepun, selain kitab terkenal Sejarah Melayu.

“Itu yang paling menentukan, sebab ternyata pada akhir abad ke-15, Laksamana dari Singapura itu berhak mengirim surat rasmi atas namanya sendiri kepada mana-mana raja asing. Surat itu bahkan masih ada lagi di Okinawa.

“Banyak surat di Okinawa yang dikirimkan dari Laksamana Melaka, tanpa nama, hanya gelarannya yang disebut. Tapi dia yang berhak bertindak atas nama Sultan,” tambah Profesor Jabatan Pengajian Asia Tenggara NUS itu.

Prof. Dr. John Miksic

Prof. Dr. John Miksic (atas) memegang peta lama bertarikh 1825, menunjukkan benteng pertahanan lama kerajaan Kesultanan Singapura pernah wujud abad ke-14 mengelilingi Bukit Larangan atau kini Fort Canning Hill. – Foto Berita Harian Singapura

Miksic yang fasih berbahasa Melayu mula mengajar di NUS sejak 1987, dan sebelum itu, pernah menjadi pensyarah di Universiti Gadjah Mada, institusi terkenal di wilayah istimewa Yogyakarta, Indonesia, selama enam tahun.

Memberi perincian Singapura sebagai pusat pelabuhan Empayar Kerajaan Melaka, beliau menegaskan ia jelas dilaporkan perwira angkatan armada Laksamana Zheng He atau juga disebut Cheng Ho dari China pada 1435.

Menurut Miksic, setelah tertubuhnya Kesultanan Melaka sekitar tahun 1400, Singapura yang sudah wujud lebih awal daripada Melaka tetap ada, bahkan langsung tidak musnah akibat serangan hebat oleh tentera Majapahit.

Sebelum ini, sejarah menyatakan Singapura musnah akibat serangan itu, yang dilakukan agar dapat menangkap sultan terakhir Singapura, Sultan Iskandar Shah dan dibuktikan bukan sahaja dari segi sejarah, malah arkeologi.

Ia menunjukkan bahawa Singapura, atau ketika itu lagi masih dipanggil sebagai Temasek, merupakan sebuah pelabuhan maritim antarabangsa yang sudah memainkan peranan penting dalam hubungan luar negara.

Singapura juga pusat transit kapal laut dan sangat strategik dalam struktur kerajaan Melaka – tempat bagi orang dari Jawa atau Sumatera contohnya datang ke Singapura sebelum menuju ke tempat lain seperti India atau China.

Angkatan laut Kesultanan Melaka pula ditempatkan di Singapura disebabkan kedudukan pulau ini lebih strategik dan terlindung berbanding dengan Melaka yang agak terbuka dan mudah diserang dari arah laut atau darat.

Selain melindungi perairan Selat Melaka dan sekitarnya, angkatan tentera tersebut turut dikerah membasmi kegiatan lanun yang dikatakan cukup berleluasa menjarah banyak kapal dagang asing di perairan Singapura.

Hang Tuah ujar Miksic juga mempunyai kuasa memerintah Singapura seumpama pemimpin tempatan bertaraf gabenor dalam sistem pentadbiran moden atau amir jika merujuk kepada zaman khalifah Islam di Timur Tengah.

“Terbukti beliau perlu ke istana kalau ada upacara atau ada tugas lain, yang bererti harus bertemu raja, sultan atau bendahara, misalnya.

"Tetapi hari-hari tempat tinggalnya di Singapura,” kata Miksic.

BACA INI JUGA: Manuskrip Tok Pulai Chondong Bongkar Rahsia Keris Tuah Dan Jebat!

Sumber: Agensi/Mynewshub/HAA

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon