Thursday, January 30, 2020

Novel Coronavirus: WHO Akui Ditahap Berbahaya!

Novel Coronavirus: WHO Akui Ditahap Berbahaya!

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah dikritik dengan cara mereka mengendalikan wabak coronavirus (2019-nCOV) yang melanda China, dengan amaran bahawa risiko jangkitan wabak yang melanda peringkat serantau dan global adalah pada paras tertinggi.

Novel Coronavirus

Sangat tinggi di China, tinggi di peringkat serantau dan tinggi di peringkat global, kata laporan WHO.

Dalam satu laporan lain, WHO menjelaskan bahawa mereka telah menyatakan 'dengan tidak tepat' bahawa risiko pada peringkat global adalah 'sederhana'.

Walau bagaimanapun, penilaian terbaharu tidak akan mengubah apa-apa terutamanya berkenaan dengan pengumuman darurat antarabangsa.

WHO sebelum ini menghentikan pengumuman coronavirus sebagai darurat kesihatan disebabkan bimbang dengan komuniti antarabangsa.

Sebelum ini, Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, yang mengunjungi China telah diajukan beberapa soalan mengenai pendirian WHO.

Ini adalah kecemasan di China tetapi ia belum menjadi kecemasan kesihatan global, katanya.

Virus yang dikenal pasti di bandar Wuhan di China pada 31 Disember 2019 lalu telah menjangkiti beribu-ribu orang di seluruh dunia dan menyebabkan kematian – semuanya di China.

ADAKAH 2019-nCoV SENJATA BIOLOGI?

Saintis telah memberi amaran pada tahun 2017 lagi bahawa sesuatu perkara buruk akan terjadi jika terdapat kebocoran di makmal yang dibina bagi mengkaji beberapa patogen berbahaya di dunia.

Mail Online melaporkan bahawa China telah membina satu makmal bagi membuat beberapa kajian pada 2017 dan merancang untuk membina lima ke tujuh makmal lagi.

Tujuan makmal ini dibina adalah untuk mengkaji virus lain termasuk Ebola dan SARS.

Tim Trevan, seorang perunding biokeselamatan Maryland, memberitahu Nature bahawa beliau risau dengan budaya China yang tidak bersifat terbuka, akan memberi kesan buruk kepada makmal tersebut dengan merujuk bahawa 'institusi ini tidak selamat untuk merasa bebas'.

Difahamkan bahawa kerisauan beliau mempunyai asas apabila dilaporkan virus SARS telah berjaya 'melarikan diri' beberapa kali dari makmal di Beijing, menurut Nature.

Dalam masa yang sama makmal Biokeselamatan Kebangsaan Wuhan rupanya terletak kira-kira 20 batu dari Huanan Seafood Market.

Pasar basah ini dilaporkan sebagai punca utama kepada penyebaran virus ini, kerana budaya masyarakat China yang suka memakan semua benda telah dipercayai menjadi akibat kepada virus ini menular.

Para saintis percaya bahawa virus tersebut telah disebarkan melalui haiwan kepada manusia sebelum merebak kepada manusia dan manusia.

Tetapi, 'pada masa ini tidak ada sebab untuk menyatakan syak wasangka' bahawa makmal itu mempunyai kaitan dengan wabak tersebut, lapor ahli mikrobiologi Universiti Rutgers Dr Richard Ebright.

Manakala Dr. Guyan Yi, Pengarah Makmal Utama Penyakit Berjangkit di Universiti Hong Kong menyatakan kebimbangan bahawa situasi di Wuhan sudah 'tidak terkawal' dan berpotensi menjadi 10 kali lebih buruk daripada sebelum ini.

"Saya telah mengalami begitu banyak ketakutan. Kebanyakan virus dikawal, tetapi kali ini saya takut."

Dr. Guan Yi dan pasukannya adalah antara saintis pertama yang berjaya menjejak virus SARS beberapa tahun yang lalu dan telah menggesa kerajaan China untuk menutup semua pasar yang menjual daging haiwan eksotik.

Walau bagaimanapun, disebabkan kelemahan dalam undang-undang penjualan produk hidupan liar, sesetengah pasar masih menjual produk yang dilarang kepada orang ramai.

Semasa temu bual dengan Caixin, salah satu cawangan berita terbesar di China, Guan menyatakan ketakutan beliau bahawa mangsa yang dijangkiti dengan virus ini mungkin akan meningkat.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Friday, January 24, 2020

5 Tips Mencegah Jangkitan Virus Influenza

5 Tips Mencegah Jangkitan Virus Influenza

Masih ada dikalangan rakyat Malaysia yang keliru dalam membezakan antara influenza dan demam selesema biasa, yang hakikatnya flu lebih berbahaya malah dapat menimbulkan pelbagai komplikasi berbanding selesema biasa kerana boleh membawa maut.

Mencegah Jangkitan Influenza

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan kira-kira 1 bilion kes influenza berlaku setiap tahun dan daripada angka itu, antara tiga hingga lima juta dalam kategori serius hingga mengakibatkan 650,000 kematian di seluruh dunia.

Kebiasaannya, influenza lebih berbahaya kepada wanita hamil, kanak-kanak dibawah usia lima tahun, dewasa melebihi 65 tahun dan individu bermasalah kesihatan seperti asma, penyakit pulmonari obstruktif kronik, diabetes, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung.

Flu atau influenza adalah jangkitan hidung, tekak dan paru-paru yang disebabkan oleh virus influenza dan ia mudah berjangkit serta merebak terutama ketika cuaca sejuk.

Tidak seperti di negara beriklim sederhana, di negara tropika seperti Malaysia, musim puncak bagi influenza berlaku dari Oktober hingga Januari dan April hingga Jun setiap tahun dengan jangkitannya berlaku sepanjang tahun.

Secara umumnya, virus influenza boleh terbahagi kepada beberapa jenis:
  • Jenis A: Boleh menjangkiti manusia dan haiwan, epidemik sangat teruk dan berbahaya.
  • Jenis A (H1N1): Boleh menjangkiti manusia dan haiwan, kadangkala pandemik (seperti pada 2009 dan 2013) dan amat berbahaya.
  • Jenis B: Boleh menjangkiti manusia kerana ia sering berlaku dan kesannya berubah-ubah di mana ada kalanya tidak teruk, ada kalanya berbahaya dan tidak pandemik.
  • Jenis C: Boleh menjangkiti manusia. Ringan, jarang berlaku dan bukan epidemik.

Mudah Tersebar

Virus influenza boleh berjangkit melalui pembawaan udara dan mudah berlaku di negara bercuaca sejuk.

Virus influenza tersebar melalui pembawaan udara terutamanya di tempat sesak dan tertutup, manakala ia juga berlaku melalui hubungan secara langsung dengan titisan cecair yang tersebar semasa batuk dan bersin serta tangan yang tercemar.

Virus influenza yang paling biasa adalah virus influenza A dan Influenza B. Ia adalah penyakit berjangkit yang disebarkan melalui titisan udara sama ada melalui percakapan, bersin dan batuk.

Dipercayai, virus Influenza ini boleh disebarkan dalam jarak kira-kira dua meter dari individu pembawa.

Kenali gejala Influenza

Orang yang dijangkiti akan mengalami demam tinggi, batuk, sakit otot dan kelesuan yang teruk. Kebanyakan pesakit akan mengalami kekurangan air dalam badan.

Perkara Perlu Dibuat Jika Dijangkiti Virus Influenza

Doktor akan memberi ubat anti virus dan rawatan simptomatik lain seperti paracetamol, ubat batuk dan antihistamin.

Pesakit juga akan disarankan until menghabiskan ubat antiviral yang diberikan.

Ujian

Jangkitan influenza hanya boleh disahkan melalui sampel cecair hidung, namun adakalanya ujian saringan sedemikian tidak 100 peratus tepat.

Tempoh pulih

Pemulihan biasanya berbeza bagi setiap individu. Biasanya ia mengambil masa seminggu untuk pulih, tetapi anda mungkin masih merasa lemah sehingga beberapa minggu.

Punca kes meningkat di Malaysia

Malaysia terletak di khatulistiwa, oleh itu tiada musim Influenza yang jelas, sekali gus bermakna negara ini akan terdapat virus influenza sepanjang tahun.

Dipercayai, akhir tahun adalah musim kemuncak rakyat Malaysia melancong dan melawat negara lain dan pada masa itulah mereka akan membawa virus ini masuk ke dalam negara.

Berikut antara 5 tips yang boleh diikuti supaya tidak dijangkiti virus influenza:

1. Jaga kebersihan

Sering kali kita terlihat, ramai orang yang menutup mulut atau hidungnya ketika bersin dan juga batuk.

Tetapi, perlu diingatkan juga supaya mencuci tangan dengan sabun dan air bersih yang mengalir supaya kuman di telapak tangan tidak tersebar di merata tempat.

Secara tidak langsung dapat mengelakkan virus influenza ini dijangkiti.

2. Pakai topeng muka

Tutup mulut atau hidung dengan tisu kering apabila batuk atau bersin. Selain itu, pakai topeng muka supaya titisan cecair dari mulut dan hidung tidak tersebar ke orang lain.

3. Jauhi tempat sesak

Apabila terkena jangkitan selesema ataupun flu, jauhkan diri daripada tempat yang sesak, elakkan diri daripada mendekati orang-orang yang batuk atau selesema dan hindari bersentuhan dengan orang luar negara atau pelancong asing yang dijangkiti influenza atau flu burung.

Memakai penutup muka (face mask) dapat mengelakkan titisan cecair dari mulut dan hidung tersebar pada orang lain.

4. Pemakanan dan diet sihat

Jamah hidangan mengikut piramid makanan seimbang dan tidak membeli makanan luar yang terdedah di persekitaran kotor.

Selain itu, galakkan diri untuk lebih aktif bergerak dan berpeluh dalam kehidupan seharian.

5. Vaksin flu

Ibu bapa perlu prihatin terhadap anak-anak yang berumur di bawah lima tahun kerana kelompok itu lebih berisiko berbanding kategori yang lain.

Kanak-kanak yang sedang membesar memerlukan lebih banyak udara, makanan dan minuman mengikut kuantiti pembesaran serta pertumbuhan diri.

Cara paling berkesan untuk mengubatinya ialah melalui vaksinasi kerana ia lebih selamat dan berkesan untuk kanak-kanak, malah pendekatan itu sudah digunakan sejak lebih 60 tahun.

Mencegah itu lebih baik

Kelompok remaja dan dewasa dinasihatkan supaya sentiasa sedar dan menjaga kesihatan agar tidak dijangkiti virus influenza.

Apabila imuniti badan rendah, kita senang dijangkiti penyakit. Imuniti badan boleh rendah jika kita kurang rehat, stres, pemakanan dan diet yang tidak seimbang serta waktu tidur yang tidak cukup.

Sehubungan itu, ibu bapa dan penjaga perlu ingat jika keimunan kanak-kanak dibawah lima tahun dan warga tua berusia 65 tahun ke atas ini pada tahap rendah, akan lebih senang dijangkiti demam, juga batuk dan selesema.

Jadi, amalkan gaya hidup sihat, dapatkan vaksin supaya kita dapat kurang komplikasi dan tidak mudah dijangkiti virus influenza.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar

Thursday, January 23, 2020

Fungsi Pundi Hempedu Dan Penyakit Batu Karang

Fungsi Pundi Hempedu Dan Penyakit Batu Karang

Pundi hempedu adalah organ yang terletak di bawah hati yang berfungsi sebagai tempat untuk menyimpan hempedu yang dihasilkan oleh hati dan sangat penting untuk penyerapan dan pencernaan lemak.

Pundi Hempedu

Apabila makanan yang sedang dicerna melalui bahagian atas usus kecil (duodenum), hormon yang dipanggil Cholecystokinin dilepaskan bagi merangsang pembebasan hempedu.

Hempedu mengandungi air, kolesterol, lemak, garam hempedu, protein dan bilirubin (merupakan satu produk akhir sel darah merah).

Kolesterol, garam hempedu serta bilirubin adalah tiga komponen utama yang menentukan pembentukan batu karang hempedu.

Apakah itu batu karang hempedu?

Anatomi hempedu
Anatomi hati, pundi hempedu dan duodenum.

Penyakit batu karang hempedu adalah masalah yang sering dihadapi penduduk Malaysia. Ia dikaitkan dengan peningkatan pengambilan makanan berlemak. Perkhidmatan radiologi yang semakin maju membolehkan lebih ramai pesakit didiagnosa dengan penyakit ini.

Penyakit ini agak unik kerana ia melibatkan 3 organ badan iaitu hati, pundi hempedu dan pankreas. Tanda dan gejala klinikal penyakit ini adalah berbeza-beza bergantung samada aliran hempedu terhalang.

Pembedahan laparoskopi dapat memulihkan pesakit dengan lebih cepat dan membolehkan pesakit malakukan aktiviti seharian.

Batu karang hempedu adalah formasi seperti batu yang terbentuk di dalam pundi hempedu dan ditemui dalam pelbagai bentuk, warna dan ketekalan. Ia terbentuk apabila salah satu daripada tiga komponen utama dalam hempedu (kolesterol, garam hempedu dan bilirubin) wujud secara berlebihan menyebabkan ketidakseimbangan cecair.

Lama-kelamaan batu karang hempedu ini menjadi bertambah besar atau semakin banyak. Batu karang hempedu boleh terperangkap sepanjang duktus sistk atau duktus hempedu sesama apabila ia keluar dari pundi hempedu.

Batu karang hempedu juga boleh terbentuk di hati, duktus hepatik atau duktus hempedu. Batu karang hempedu dikelaskan berdasarkan komponen kimia dalam batu kolesterol, batu pigmen dan batu bercampur. Majoriti batu karang hempedu adalah batu bercampur.

Terdapat beberapa faktor yang boleh mempengaruhi pembentukan batu karang hempedu iaitu:

Jantina

Wanita berisiko dua kali ganda daripada lelaki. Ini adalah disebabkan oleh jumlah hormon estrogen yang berlebihan dalam kalangan wanita. Keadaan tertentu seperti kehamilan, terapi penggantian hormon dan pil perancang keluarga mendedahkan mereka kepada estrogen yang berlebihan.

Estrogen yang berlebihan meningkatkan tahap kolesterol dalam hempedu, seterusnya mengganggu keseimbangan cecair hempedu.

Estrogen yang berlebihan juga mengurangkan pengecutan pundi hempedu menyebabkan stasis hempedu dan pembentukan batu karang hempedu.

Berat badan

Obesiti merupakan satu lagi faktor risiko kerana paras kolesterol yang tinggi dalam darah.

Diet

Pemakanan yang tinggi lemak dan kolesterol merupakan satu lagi faktor risiko.

Umur

Individu berumur 60 tahun dan ke atas mempunyai insiden batu karang hempedu yang lebih tinggi.

Diabetes

Penghidap Diabetes mempunyai jumlah asid lemak yang lebih tinggi iaitu trigliserida dan kolesterol darah.

Ubat kolesterol

Ubat yang mengurangkan tahap kolesterol dalam darah juga meningkatkan jumlah kolesterol yang dirembeskan ke dalam hempedu.

Anemia hemolitik

Sel darah merah dimusnahkan kerana masalah tertentu. Heme, komponen sel darah merah yang dimetabolismekan ke bilirubin.

TANDA DAN GEJALA

Batu karang Hempedu
Contoh batu karang yang terkumpul dalam hempedu.

Kebanyakan batu karang hempedu tidak menyebabkan tidak menunjukkan tanda atau gejala. Ia dikesan semasa pemeriksaan rutin dijalankan.

Sebahagian kecil batu karang hempedu boleh menyebabkan gejala seperti rasa sakit yang berpanjangan selama beberapa minit di bahagian kanan atas abdomen. Rasa sakit ini disebut ‘gallstone colic’. Gejala ini biasanya disertai dengan loya dan muntah.

Ia berkurang dengan sendirinya tetapi boleh berlaku semula sekali-sekala. Keradangan pundi hempedu atau jangkitan hempedu statik dipanggil cholecystitis akut dan ia boleh menyebabkan demam.

Batu karang hempedu yang menghalang aliran hempedu dari hati ke duodenum boleh menyebabkan hati dipenuhi dengan hempedu yang berlebihan. Hempedu yang berlebihan akan melimpah ke peredaran sistemik lalu menyebabkan jaundis atau mata, kulit dan membran mukus menjadi kekuningan.

Bagi kes yang teruk pemendapan bilirubin yang berlebihan dalam kulit menyebabkan gatal. Gejala lain termasuklah sakit perut, loya dan muntah. Jangkitan hempedu statik mempunyai gejala lain seperti demam dan disebut sebagai Ascending Cholangitis. Jika tidak dirawat, boleh membawa maut.

Batu karang hempedu di bahagian hujung duktus hempedu sesame akan menghalang aliran enzim pankreas dari pankreas kerana duktus hempedu sesame dan duktus pankreas berkongsi laluan ke dalam duodenum yang dipanggil ‘Ampulla of Vater’.

Aliran enzim pankreas yang tersekat boleh menyebabkan radang pankreas, atau Pankreatitis Akut. Ia menyebabkan sakit teruk di tengah bahagian atas abdomen hingga ke belakang.

DIAGNOSA

Jika individu mengalami gejala yang disebutkan di atas, penyakit ini disahkan dengan menggunakan kaedah berikut:

Ujian darah

Penyiasatan ini penting untuk menentukan status penyakit. Penyiasatan darah tertentu seperti bilangan sel, ujian fungsi hati dan serum amilase penting untuk mengesahkan jangkitan, halangan dan pankreatitis.

X-Ray Perut

Sepuluh peratus batu hempedu adalah radiolegap, iaitu boleh dilihat di sinaran x. Ditemui secara kebetulan semasa menjalankan ujian untuk tujuan lain. Sinaran x bukan alat utama untuk mendiagnosa penyakit ini.

Ultrabunyi

Merupakan teknik pengimejan yang mudah, cepat dan tidak berbahaya yang biasa digunakan untuk mendiagnosis penyakit batu karang hempedu. Ia juga boleh menentukan jika terdapat halangan pada aliran hempedu.

Walau bagaimanapun, batu karang hempedu sukar dikesan terutamanya jika saluran diseliputi oleh udara dalam usus.

Imbasan tomografi berkomputer atau CT scan

Merupakan satu teknik pengimejan yang tidak berbahaya menggunakan sinaran x untuk menghasilkan keratan rentas imej badan. CT scan membantu mengesahkan keputusan ultrabunyi terutama dalam menilai duktus hempedu sesama yang terhalang.

Endoskopi songsang cholangio-pancreatography atau ERCP

Ini adalah satu prosedur endoskopik dengan penggunaan tambahan fluoroscopy atau media kontras disuntik melalui duktus hempedu dan imej adalah digambarkan oleh X-Ray.

Peranannya sebagai alat diagnostik telah berkurangan dengan adanya bukan invasif teknik pengimejan. Usa semasa ERCP adalah terutamanya terapeutik untuk membuang batu di duktus hempedu.

RAWATAN

Rawatan batu karang hempedu bergantung kepada gejala dan lokasi. Kebanyakan batu karang hempedu yang asimptomatik tidak memerlukan rawatan. Walau bagaimanapun, pembedahan diperlukan bagi keadaan tertentu. Sila berbincang dengan pakar jika anda mengalami keadaan seperti ini.

Pesakit dengan batu karang hempedu simptomatik perlu dimasukkan ke wad, diberikan ubat pelalian, ubat pencegah kejang dan antibiotik sekiranya terdapat tanda jangkitan.

Apabila gejala semakin reda, pesakit dinasihatkan untuk menjalani cholecystectom iaitu prosedur membuang pundi hempedu. Ia dilakukan secara terancang.

Pembedahan ini dilakukan menggunakan pendekatan laparoskopi atau pembedahan lubang kunci. Kamera dan instrumen pembedahan dimasukkan ke dalam rongga abdomen melalui 3 atau 4 hirisan kecil di perut selebar 0.5 cm hingga 1.0 cm.

Pembedahan laparoskopi mengurangkan kesakitan dan pesakit pulih dengan cepat serta kembali melakukan aktiviti seharian.

Kadang-kala cholecystectomy dilakukan menggunakan kaedah konvensional terbuka terutama semasa kecemasan atau apabila pakar bedah menghadapi kesukaran semasa melakukan pembedahan laparoskopi.

Jika cholecsytitis akut tidak berkurang dengan antibiotik, cholecystectomy kecemasan dilakukan, biasanya menggunakan kaedah terbuka.

Apabila pesakit mengalami jaundis berkiatandengan halangan biliary, mereka menjalani rawatan yang sama seperti rawatan batu karang hempedu.

Walau bagaimanapaun, selepas gejala jangkitan dan kolik telah berkurang, mereka akan menjalani ERCP untuk membuang batu yang menghalang biliary. Ia biasanya ini dilakukan pada sesi perawatan yang sama.

ERCP juga boleh dilakukan sebagai prosedur kecemasan jika antibiotik gagal memulihkan pesakit atau pesakit terlalu sakit untuk pembedahan.

Dalam keadaan seperti ini, plastic stent dimasukkan untuk melegakan halangan dan memastikan hempedu mengalir ke dalam duodenum. Cholecystectomy boleh dilakukan apabila pesakit semakin sembuh.

Kadang-kala batu biliary yang terhalang dibuang semasa cholecystectomy terbuka. Walau bagaimanapun pembedahan akan membuka duktus hempedu.

Oleh itu, untuk memastikan bahawa duktus hempedu sembuh tanpa penyempitan yang tidak normal atau stenosis, tiub getah bentuk T diletakkan dalam duktus hempedu sesama. Tiub ini akan dikeluarkan selepas 6 minggu.

Rawatan menggunakan kaedah tanpa pembedahan juga boleh digunakan untuk merawat penyakit batu karang hempedu.

Penggunaan ubat atau terapi oral mempunyai peranan terhad kerana kurang berkesan dan kejadian berulang yang tinggi. Ia hanya digunakan dalam situasi apabila pesakit mempunyai risiko tinggi untuk menjalani pembedahan atau anestetik.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: myhealth

Friday, January 17, 2020

Apa Itu Coronavirus (SARS), Punca, Simptom Dan Rawatannya

Apa Itu Coronavirus (SARS), Punca, Simptom Dan Rawatannya

Coronavirus adalah sebahagian daripada keluarga virus yang boleh menyebabkan jangkitan kepada manusia daripada selesema biasa (pneumonia) sehinggalah kepada Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS).

Coronavirus SARS

Sebahagian daripada virus berkenaan menyebabkan jangkitan tidak serius manakala ada juga yang boleh menyebabkan jangkitan teruk seperti Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS).

Oleh itu, jika anda berada di tempat yang disyaki ada penularan gejala pneumonia, atau ada amaran perjalanan di sesuatu lokasi, langkah-langkah pencegahan termasuklah mengelak bersentuhan dengan haiwan, mengunjungi pasar haiwan atau memakan produk haiwan.

SARS

Severe acute respiratory syndrome (SARS atau kadang-kala severe Asian respiratory syndrome) adalah sejenis pneumonia. Ia pertama kali dikesan di Wilayah Guangdong, Republik Rakyat China pada November 2002.

SARS diketahui disebabkan oleh SARS Coronavirus (SARS-CoV), sejenis Coronavirus yang jarang ditemui.

Sementara itu, Jepun mengesahkan kes pertama akibat jangkitan daripada wabak Coronavirus, pada Januari 2020. Seorang lelaki berusia 30 tahun dari Kanagawa, disahkan positif terhadap virus itu.

Mangsa dikatakan pernah melawat Wuhan, China, tempat penularan gejala pneumonia yang dipercayai disebabkan Coronavirus baharu yang belum pernah ditemui sebelum ini.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sudah mengumumkan bahawa virus baharu itu boleh merebak dan mengingatkan hospital di seluruh dunia untuk berjaga-jaga.

Sebahagian daripada virus Coronavirus menyebabkan jangkitan tidak serius manakala ada juga yang boleh menyebabkan jangkitan teruk seperti Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS).

SARS dipercayai disebabkan oleh virus dari keluarga korona berdasarkan pengecaman DNA virus dari contoh bahan pesakit SARS.

Adakah SARS Berbahaya?

Dalam kebanyakan kes, jangkitan Coronavirus adalah ringan namun, dalam keadaan tertentu seperti di kalangan warga tua dan pesakit-pesakit yang menghidapi penyakit kronik serta kurang daya tahan (immuno compromised), komplikasi boleh berlaku umpamanya pada sistem pernafasan dan buah pinggang.

Rencana yang diterbitkan dalam The Lancet mengenal pasti Coronavirus sebagai kemungkinannya agen punca SARS.

Apakah itu "Severe Acute Respiratory Syndrome" (SARS)?

SARS adalah sejenis penyakit pernafasan akut teruk yang boleh mengakibatkan penyakit radang paru-paru (atypical pneumonia).

Apakah tanda dan gejala SARS?

Tanda dan gejala SARS adalah demam panas secara mendadak (lebih 38 °C atau lebih 100.4 °F) dalam tempoh 10 hari setelah mengunjungi kawasan atau negara yang mempunyai jangkitan SARS dan satu atau lebih masalah pernafasan seperti batuk, sesak atau sukar bernafas.

Tanda dan gejala SARS yang lain adalah sakit tekak, sakit otot dan sakit kepala.

Apakah punca SARS?

Punca sebenar penyakit ini masih belum diketahui, namun ahli sains telah mengesan sejenis "coronavirus" baru yang tidak dikenali dalam tubuh pesakit SARS.

Walaupun "coronavirus" disyaki menjadi punca utama penyakit SARS, kajian ke atas virus-virus lain yang mungkin menjadi penyebab SARS masih terus dijalankan.

Bolehkah ia berjangkit dan bagaimana ia merebak?

Ya, SARS adalah sejenis penyakit berjangkit yang berbahaya, merebak melalui titisan cecair dari hidung dan mulut.

Pesakit SARS yang bersin atau batuk akan mengeluarkan titisan cecair di udara dan individu yang berdekatan akan menyedutnya.

Penyakit ini berkemungkinan boleh merebak melalui udara atau apabila titisan cecair dari pesakit SARS mencemari benda-benda di sekelilingnya (seperti telefon dan tombol pintu).

Berapa lamakah seseorang itu akan jatuh sakit setelah dijangkiti SARS?

Tempoh pengeraman/inkubasi (incubation period) adalah di antara 2-7 hari, namun ada juga laporan yang menyatakan tempoh pengeraman selama 10 hari.

Siapakah yang berisiko dijangkiti SARS?

Individu-individu yang berisiko adalah mereka yang baru kembali dari kawasan atau negara yang mempunyai jangkitan SARS.

Kes SARS yang dilaporkan di kebanyakan negara adalah terutamanya di kalangan anggota kesihatan yang tidak mengamalkan langkah-langkah kawalan jangkitan dan mereka yang berhubung rapat secara langsung dengan pesakit SARS (seperti tinggal serumah dengan pesakit SARS).

Negara-negara manakah yang mempunyai jangkitan SARS?

Sejak Februari 2003, Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah melaporkan berlakunya sejenis wabak radang paru-paru yang teruk dan mengkategorikan negara China, Hong Kong, Taiwan, Vietnam, Kanada, Singapura, Amerika Syarikat dan United Kingdom (London) sebagai "kawasan yang mempunyai jangkitan".

("Kawasan yang mempunyai jangkitan" bermaksud kawasan atau negara yang mempunyai rangkaian jangkitan di kalangan penduduk tempatan sebagaimana dilaporkan oleh Pihak Berkuasa Kesihatan Awam Kebangsaan).

Adakah Malaysia mempunyai kes SARS?

Ya. Kes pertama SARS di Malaysia melibatkan kematian yang dilaporkan pada 5 April 2003. Kes ini dilaporkan mendapat jangkitan dari negara China.

Bagaimana SARS didiagnosa?

Buat masa sekarang, tiada sebarang ujian yang khusus untuk mendiagnosa jangkitan SARS.

SARS didiagnosa melalui tanda dan gejala yang wujud, rekod kunjungan ke tempat-tempat yang berisiko tinggi atau berhubung rapat dengan pesakit SARS.

Bolehkah SARS dirawat?

Setakat ini masih belum ada rawatan yang khusus tetapi dengan rawatan sokongan dari hospital, ramai pesakit boleh sembuh.

Adakah vaksin untuk mencegah SARS?

Tiada vaksin untuk mencegah SARS.

Apa yang perlu saya lakukan untuk melindungi diri dan orang lain?

Patuhi langkah-langkah pencegahan berikut:
  • Jangan mengunjungi negara atau kawasan yang mempunyai jangkitan SARS.
  • Elakkan diri dari berhubung rapat dengan pesakit SARS. Sekiranya anda perlu berhubung dengan pesakit, anda dinasihatkan untuk mengamalkan kebersihan diri yang baik dan menggunakan penutup hidung dan mulut (protective mask) yang sesuai.
  • Jauhi kawasan yang sesak.
  • Elakkan berada di kawasan berdebu.
  • Jarakkan diri daripada orang yang mengalami demam, batuk atau bersin.
  • Amalkan kebersihan diri yang sempurna sepanjang masa iaitu: Tutup mulut anda dengan tisu apabila anda batuk atau bersin dan basuh tangan dengan air dan sabun terutama sekali apabila anda menyentuh mata, mulut dan hidung.
  • Kerap membasuh tangan dengan air bersih mengikut cara yang betul, iaitu mengikut 7 langkah membasuh tangan atau menggunakan bahan pembersih (hand sanitizer).

Apa yang perlu anda lakukan sekiranya anda mensyaki diri anda dijangkiti SARS?

Individu-individu yang mempunyai tanda dan gejala SARS (seperti demam melebihi 38 °C atau melebihi 100.4 °F dan mengalami satu atau lebih masalah pernafasan seperti batuk-batuk dan kesukaran bernafas) dalam tempoh 10 hari selepas mengunjungi negara atau kawasan jangkitan SARS, perlu segera ke hospital atau klinik kerajaan berdekatan untuk rawatan yang selanjutnya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: wikipedia

Friday, January 03, 2020

Bahaya Kurang Atau Terlebih Garam Dalam Badan Yang Ramai Tidak Tahu

Bahaya Kurang Atau Terlebih Garam Dalam Badan Yang Ramai Tidak Tahu

Garam adalah bahan yang sangat biasa digunakan dalam masakan seharian, dan pengambilan garam penting kepada kesihatan jika diambil dalam jumlah berpatutan. Garam biasa dalam bentuk hablur atau kristal halus.

Bahaya dan kebaikan Garam

Tanpa garam, sesuatu hidangan akan menjadi tidak enak dimakan dan tawar serta tidak menyelerakan. Garam digunakan oleh manusia sejak zaman dulu, terutama untuk mengawet makanan.

Garam diletakkan dalam makanan yang berbentuk nyata serta tersembunyi, dan kebanyakan makanan proses mengandungi jumlah kandungan garam yang tinggi.

Malangnya, kebanyakan orang ramai tidak sedar atau tidak peduli mereka memakan garam secara berlebihan, sehinggalah ditimpa musibah penyakit.

Kira-kira 75 peratus daripada garam dalam diet seharian datangnya dari makanan terproses.

Di samping itu makanan seperti roti, bijirin serta makanan manis juga mengandungi garam walaupun tidak berasa masin dan ini antara faktor mempengaruhi kesukaran seseorang mengurangkan garam sedia ada pada sesuatu makanan.

Garam biasa juga dikenali sebagai sodium klorida yang berasal dari laut dan lombong garam.

Selain garam biasa, sumber sodium dalam makanan atau minuman proses juga dilabel dengan nama seperti sodium benzoate, sodium nitrat, sodium bikarbonat dan monosodium glutamat (MSG).

Bahaya Terlebih Makan Garam

Garam biasanya mengandungi tidak kurang dari 95 peratus natrium klorida (NaCl) dengan kandungan sodium (natrium) sebanyak 40 peratus dan garam biasanya dikaitkan dengan masalah tekanan darah tinggi.

Kajian sains menunjukkan dengan mengurangkan pengambilan garam, tekanan darah seseorang individu boleh dikurangkan dan dikawal dengan lebih baik.

Sebagai contoh, pengurangan garam secara sederhana dalam tempoh empat minggu atau lebih boleh mengurangkan tekanan darah dengan nyata dalam kalangan individu dewasa yang mempunyai tekanan darah normal atau tinggi.

Kajian meta analisis yang dilaporkan dalam British Medical Journal (BMJ) pada 2009 menunjukkan, pengurangan pengambilan garam dalam sehari boleh mengurangkan paras tekanan darah dan secara tidak langsung mengurangkan risiko penyakit jantung, serangan jantung dan strok.

Berdasarkan kajian oleh Scientific Advisory Committee on Nutrition pada 2003, ada bukti saintifik terkini menunjukkan pengambilan garam yang tinggi dalam kalangan kanak-kanak juga mempengaruhi tekanan darah dan risiko beberapa penyakit seperti osteoporosis, penyakit asma, kanser dan obesiti.

Kajian di Malaysia menunjukkan pengambilan garam adalah tinggi iaitu 8.7gram sehari berbanding saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu kurang lima gram sehari.

Sumber Garam Dalam Makanan

Garam diambil dalam jumlah tinggi apabila seseorang mengambil makanan proses seperti makanan tin, kicap, sos, ikan masin, ikan bilis, bebola ikan, bebola daging, bebola udang, makanan sejuk beku, daging proses seperti burger, nuget, sosej, jajan, kerepek dan keropok.

Seseorang yang mempunyai paras sodium (natrium) tinggi di dalam darah berisiko menghidap hipertensi atau darah tinggi, seterusnya berisiko mendapat serangan sakit jantung dan strok.

Berdasarkan Survei Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2011, dianggarkan 32.7 peratus atau 5.8 juta orang dewasa berumur 18 tahun ke atas di Malaysia menghidap hipertensi.

Manakala Kajian Beban Penyakit (Burden of Disease Study) di Malaysia pada 2014 menunjukkan, penyakit yang menjadi penyumbang utama kepada kematian rakyat Malaysia adalah penyakit hipertensi atau tekanan darah tinggi.

Hipertensi boleh menyebabkan pelbagai komplikasi jangka masa panjang seperti penyakit strok, sakit jantung koronari, kegagalan jantung, kerosakan buah pinggang dan kerosakan mata.

Masalah utama hipertensi adalah, ia tidak mempunyai tanda pada peringkat permulaannya. Oleh itu, seseorang perlu kerap membuat pemeriksaan tekanan darah di klinik atau pusat kesihatan.

Jika seseorang tidak mengendahkan tekanan darahnya dan hanya mendapatkan rawatan setelah terkena komplikasi seperti serangan jantung atau strok, ia merugikan diri sendiri.

Garam Semulajadi

Ada ahli sains berpendapat, bahaya garam kerana kandungan sodiumnya tinggi dan kerana itu makan buah-buahan secara kerap membantu menurunkan tekanan darah kerana buah-buahan kaya dengan garam galian kalium atau potassium.

Potassium akan menseimbangkan nisbah garam galian sodium dan potassium dalam tubuh dan mengelak masalah tekanan darah tinggi atau hipertensi.

Pengambilan gula berlebihan dan karbohidrat terproses yang mengandungi karbohidrat halus (refine carbohydrate) juga punca masalah hipertensi kerana ia menyebabkan saluran darah arteri menjadi keras atau atherosklerosis.

Kajian oleh National Institute of Health, Amerika Syarikat pada 1997 menunjukkan, pengawalan darah tinggi boleh dilakukan dengan cara pemakananan betul.

Kajian ini dipanggil kaedah pemakanan 'DASH' yang bermaksud 'Dietary Approach to Stop Hypertension' yang bermaksud pendekatan pemakanan untuk mengawal darah tinggi.

Kaedah itu membabitkan pengambilan makanan rendah lemak tepu (dari sumber haiwan) di samping makan buah-buahan, sayur-sayuran dan makanan hasil tenusu rendah lemak.

Hasil kajian ini mendapati tekanan darah dapat diturunkan dengan baik seakan-akan makan ubat darah tinggi.

Hasilnya mula dilihat selepas dua minggu mengamalkan pemakanan dengan cara ini dan kesannya sehingga lapan minggu tanpa mengira jantina, kaum atau tekanan darah asal.

Pemakanan dengan kaedah DASH memberikan serat tinggi, zat kalsium, magnesium dan potassium yang terbukti menurunkan tekanan darah. Ia juga rendah dengan lemak tepu dan lemak 'trans'.

Secara umumnya, memakan makanan asli dan bukan makanan proses akan membantu mengurangkan garam berlebihan dalam pemakanan seharian, oleh itu ia mampu mengawal tekanan darah dengan lebih baik.

Bahaya Kurang Garam Dalam Badan

Selain bahaya terlebih garam, kekurangan garam potassium dalam badan juga tidak baik untuk tubuh kita dan keadaan ini dipanggil Hypokalemia.

Antara penyebab masalah ini adalah:
  • Masalah buah pinggang.
  • Pengambilan alkohol berlebihan.
  • Sering muntah-muntah.
  • Cirit birit.
  • Penggunaan ubat darah tinggi jenis diuretics (mengeluarkan air dari badan)
  • Kekurangan asid folik.
  • Terdapat masalah dengan hormon aldosterone.
  • Terdapat masalah dalam sistem pencernaan.

Garam diperlukan dalam badan untuk fungsi-fungsi yang berikut:
  • Menseimbangkan cecair dalam badan.
  • Mengekalkan kepekatan/konsentrasi cecair dalam badan.
  • Berfungsi sebagai rangsangan elektrik dalam saraf dan otot.
  • Menseimbangkan asid dan alkali dalam badan untuk proses pencernaan.
  • Membina plasma darah dan cecair limfa.

Untuk mengetahui yang mana satukah punca masalah yang anda hadapi, pemeriksaan lanjut adalah diperlukan.

Hyponatremia pula adalah istilah bagi tahap garam biasa dalam darah terlalu rendah sedangkan garam adalah elektrolit yang membantu kawalan jumlah air dalam sel tubuh.

Akibatnya, pesakit akan berasa loya dan muntah, sakit kepala, keliru, tidak bertenaga, otot kejang, sawan dan koma.

Dan tahukah anda dari mana sumber terbaik untuk mendapatkan garam yang selamat untuk tubuh? MSG atau lebih kita kenali sebagai 'Ajinomoto'!

MSG adalah garam natrium asid glutamik yang dijadikan penambah rasa makanan dan digunakan secara efektif sejak sekian lama untuk menonjolkan rasa terbaik masakan.

Jadi, bersederhanalah dalam pemakanan. Itu yang terbaik.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: hmetro

Monday, December 30, 2019

Berapa Banyak Kalsium Diperlukan Untuk Kesihatan Dan Menambah Ketinggian Badan?

Berapa Banyak Kalsium Diperlukan Untuk Kesihatan Dan Menambah Ketinggian Badan?

Menurut pakar nutrisi, 3 tahun pertama selepas seseorang remaja itu akil baligh merupakan waktu yang paling sesuai untuk menambah ketinggian. Pengambilan kalsium harus dititik beratkan pada waktu ini bagi memastikan tumbesaran tulang yang pesat dan sekaligus merangsang perkembangan dan ketinggian anak-anak remaja kita.

Keperluan Kalsium

Pengambilan ini perlulah kerap sehigga mencapai umur 20 tahun, kerana Kalsium adalah mineral yang paling banyak diperlukan oleh tubuh kita, dengan 99% kalsium berada pada tulang dan gigi dan selebihnya berada di dalam darah dan sel-sel tubuh.

Keperluan harian kalsium adalah:
  • 800 mg untuk dewasa di atas 25 tahun
  • 1.000 mg setelah usia 50 tahun.
  • 1.200 mg Ibu hamil dan menyusu

Keperluan kalsium kanak-kanak dan remaja meningkat sesuai usia:
  • Bayi berumur sehingga 5 bulan : 400 mg
  • Bayi 6 bulan - 1 tahun : 600 mg
  • Kanak-Kanak 1 - 10 tahun : 800 mg
  • Remaja 11 -24 tahun: 1.200 mg

Fungsi kalsium bagi tubuh

Pembentukan dan pemeliharaan tulang dan gigi. Kanak-kanak memerlukan kalsium untuk pertumbuhan tulang dan gigi mereka. Kekurangan kalsium dapat mengakibatkan pertumbuhan tulang anak tidak sempurna dan menderita penyakit rickets.

Orang dewasa memerlukan kalsium untuk terus-menerus menguatkan sistem tulang dan giginya. Mineral di tulang dan gigi kita diganti 100% setiap tujuh tahun sekali.

Mencegah osteoporosis. Bila tidak mendapat cukup kalsium dari makanan, tubuh akan mengambilnya dari “bank kalsium” pada sendi tangan, kaki dan tulang panjangyang lain. Kekurangan pengambilan kalsium dalam jangka masa yang lama akan mengakibatkan tubuh mengambilnya dari tulang-tulang padat.

Hal ini mengakibatkan tulang keropos dan mudah patah (osteoporosis). Bila seorang wanita dari umur 20 tahun setiap harinya mengamalkan kalsium 400 mg lebih rendah daripada yang diperlukan, pada umur 55 tahun tulang keropos adalah sebanyak 1/3.

Penyimpanan glikogen. Kalsium berperanan dalam proses penyimpanan glikogen. Bila tidak ada kalsium, tubuh akan merasa lapar terus-menerus atas sebab tidak dapat menyimpan glikogen.

Melancarkan fungsi otot, otak dan sistem saraf. Otot, otak dan sistem saraf memerlukan kalsium agar dapat berfungsi secara optimum. Kekurangan kalsium dapat menyebabkan kejang otot dan gangguan fungsi otak dan sistem saraf.

Punca kehilangan kalsium dalam badan

Minum berlebihan dan melakukan olahraga yang berat juga akan membuang banyak kalsium dan magnesium dari tubuh. Oleh itu tambahkan pengambilan kalsium setelah bekerja dan berolah raga berat dan jangan minum berlebihan.

Terlalu banyak kalsium juga membahayakan tubuh.Tubuh tidak dapat menyerap kalsium bila tidak memiliki cukup magnesium dan fosforus.

Magnesium dan fosforus mengubah bentuk kalsium sehingga dapat diserap tubuh. Kalsium dan magnesium diedarkan oleh tubuh melalui albumin dalam darah.

Terlalu banyak kalsium akan membuat magnesium terdesak dari albumin sehingga tidak tersalur ke dalam darah dan tubuh akan kekurangan magnesium.

Bila tidak cukup mendapat magnesium, ginjal tidak dapat memproses kalsium sehingga terjadi endapan batu ginjal. Selain fosforus dan magnesium, vitamin D, zinc dan zat besi juga diperlukan dalam pengolahan kalsium.

Pengambilan kalsium, magnesium, fosforus, vitamin D, zinc dan zat besi harus seimbang agar tubuh tetap sehat.

Supplement kalsium pilihan saya adalah Ostematrix kerana ia lengkap dgn unsur kalsium, magnesium, dan Vitamin D. Vitamin D dan Magnesium penting bagi memastikan penyerapan kalsium dalam darah lebih efektif.

Bagi mengalakkkan pertumbuhan tulang anda perlu mengelakkan pengambilan kafein, garam, gula, makanan bergoreng (minyak berlebihan) kerana ia akan mengganggu proses penyerapan kalsium untuk tubuh.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Saturday, December 28, 2019

Apa Itu Virus Influenza, Punca, Simptom Dan Rawatannya

Apa Itu Virus Influenza, Punca, Simptom Dan Rawatannya

Influenza atau flu sering dianggap sebagai selesema biasa, malah ramai yang masih keliru antara kedua-duanya, namun hakikatnya flu adalah jauh lebih berbahaya kerana dapat menimbulkan pelbagai komplikasi berbanding selesema biasa kerana boleh menyebabkan kematian.

Virus Influenza

Di negara Barat, influenza berkait dengan musim sejuk, dengan jumlah kes dan kematian akibat flu akan meningkat ketika musim sejuk.

Namun, sebaliknya di Malaysia, sebagai negara tropika, ia adalah penyakit tidak bermusim dan boleh berlaku pada bila-bila masa.

Kebiasaannya, jenis influenza H1N1 dan H3N2 menjangkiti manusia dan dikenali sebagai influenza bermusim.

Jenis-jenis Influenza

Secara umumnya, virus influenza boleh terbahagi kepada beberapa jenis dan dikategorikan sebagai influenza A, B dan C;
  • Jenis A : Boleh menjangkiti manusia dan haiwan, epidemik sangat teruk dan berbahaya.
  • Jenis A (H1N1): Boleh menjangkiti manusia dan haiwan, kadangkala pandemik (seperti pada 2009 dan 2013) dan amat berbahaya.
  • Jenis B: Boleh menjangkiti manusia kerana ia sering berlaku dan kesannya berubah-ubah di mana ada kalanya tidak teruk, ada kalanya berbahaya dan tidak pandemik.
  • Jenis C: Boleh menjangkiti manusia. Ringan, jarang berlaku dan bukan epidemik.

Virus influenza tersebar melalui pembawaan udara terutamanya di tempat sesak dan tertutup, manakala ia juga berlaku melalui hubungan secara langsung dengan titisan cecair yang tersebar semasa batuk dan bersin serta tangan yang tercemar.

Jangkitan influenza ini hanya boleh disahkan melalui sampel cecair hidung, namun adakalanya ujian saringan sedemikian tidak 100 peratus tepat.

Simptom

Tanda dan gejala influenza tidak sama dengan selesema biasa, kerana flu biasanya lebih serius dan mungkin memerlukan pesakit berehat daripada tugas harian.

Gejala influenza pada kebiasaannya muncul secara tiba-tiba. Pesakit biasanya menghidap demam yang tinggi, batuk, sakit kerongkong, berhingus, sakit otot dan badan, sakit kepala dan keletihan. Gejala ini juga boleh membawa kepada kemurungan.

Kesan Terhadap Tubuh

Komplikasi yang disebabkan influenza antara lain termasuk pneumonia (jangkitan paru-paru), sinus dan telinga.

Jangkitan ini juga boleh memburukkan penyakit kronik sedia ada seperti asma, kegagalan jantung atau kencing manis.

Komplikasi ini boleh membawa maut dan menyebabkan pesakit dimasukkan ke hospital untuk rawatan.

Malangnya, jangkitan virus pernafasan akut yang boleh membawa maut seperti influenza sering diabaikan oleh rakyat di Malaysia.

Jangkitan influenza perlu diawasi kerana membawa banyak kesan buruk namun masih ramai yang bersikap sambil lewa terhadap penyakit itu.

Walaupun komplikasi influenza lebih teruk terhadap kumpulan berisiko tinggi seperti warga tua lebih 60 tahun, kanak-kanak lima tahun ke bawah, wanita hamil dan penghidap penyakit jangkitan paru-paru atau penyakit jantung, orang dewasa yang sihat juga tidak terlepas daripada jangkitan influenza.

Ada virus yang lebih teruk daripada influenza seperti virus korona yang menyebabkan penyakit MERS dan SARS.

Influenza dan selesema agak sukar dibezakan secara klinikal. Doktor tidak akan terus mengatakan ia sebagai influenza sebab ia sukar dibezakan.

Jika simptom atau kesakitan yang dialami amat teruk, pengamal perubatan hanya boleh syak saja kerana kebiasaannya tiada ujian di klinik untuk mengesan influenza sebaliknya ia perlu diuji di makmal.

Rawatan

Rawatan influenza adalah menerusi ubat antivirus. Sekiranya doktor di klinik dapat me­ngesan virus yang menyebabkan influenza, antivirus boleh diberikan terus kepada pesakit.

Berbeza dengan demam biasa, hanya parasetamol diberi untuk mengurangkannya dalam tempoh kurang seminggu.

Untuk individu sihat, influenza boleh sembuh dalam masa beberapa hari sehingga kurang dari dua minggu tetapi sebilangan akan mendapat komplikasi.

Siapa Berisiko Dijangkiti?

Influenza akan memberi kesan buruk kepada mereka yang dalam kelompok berisiko tinggi namun semua orang ada potensi dijangkiti.

Mereka yang berisiko tinggi akan dijangkiti dengan lebih teruk manakala individu sihat mungkin secara umumnya akan dapat kesan yang lebih ringan, tapi bergantung kepada respon imun badan masing-masing.

Kesan virus Influenza bergantung kepada status kesihatan seseorang secara umum. Kalau kita sihat, gejalanya tidak akan teruk, selain bergantung sama ada kita ada antibodi atau tidak terhadap influenza.

Terdapat dua cara penghasilan antibodi sama ada individu pernah dijangkiti influenza sebelum ini atau dengan pengambilan vaksinasi.

Vaksin influenza di negara ini biasanya diberi kepada golongan dewasa yang berisiko tinggi, berbanding di Amerika Syarikat yang mengesyorkan vaksinasi influenza rutin kepada semua individu berusia enam bulan ke atas, kecuali yang ada masalah tidak membenarkan mereka mengambil vaksin.

Di Malaysia, bila disebut influenza, masih terlalu kurang tahap kesedaran terhadapnya atau kita tidak menganggapnya sebagai sesuatu yang serius, mungkin disebabkan kurangnya penyebaran data mengenai virus berbahaya ini.

Salah satu faktor juga adalah, tiada ujian makmal di klinik yang boleh mendapat keputusan penyakit ini serta merta, selalunya darah akan diambil terlebih dahulu sebelum diuji di makmal, yang dalam beberapa hari baru dapat keputusan ujian.

Langkah Pencegahan

Sebenarnya, influenza memberi implikasi tinggi dan serius, maka pengambilan vaksin adalah penting sebagai langkah pencegahan.

Kekurangan pengambilan vaksin influenza disebabkan kurangnya maklumat dari pihak berkuasa terhadap risiko dijangkiti influenza sedangkan penyakit ini memberi kesan serius terhadap mereka yang dijangkiti hingga boleh membawa maut.

Boleh dikatakan ramai yang tidak sedar atau tidak tahu langsung mengenai influenza dan perbezaannya dengan selesema biasa sehingga mengabaikan langkah pencegahan termasuk pengambilan vaksin influenza.

Bagaimanapun, vaksin influenza memberi perlindungan selama satu tahun saja.

Oleh kerana virus influenza mudah tersebar, maka pengamal perubatan di klinik kesihatan perlu memberi maklumat yang tepat dan jelas kepada masyarakat.

Disebabkan virus ini sentiasa menjalani mutasi, kandungan vaksin juga berubah setiap tahun. Oleh itu, kita disyorkan untuk mengambil vaksin ini setiap tahun untuk perlindungan yang optimum.

Orang awam boleh mendapatkan nasihat daripada doktor klinik kerajaan atau swasta.

Selain itu, kebersihan yang baik boleh membantu mencegah demam dan menghalang penyebaran virus influenza. Ia termasuk mengelak bersentuhan dengan individu yang dijangkiti demam atau selesema.

Orang ramai juga perlu sentiasa mengamalkan amalan mencuci tangan dengan sabun dan mengelakkan memegang bahagian hidung atau mata tanpa membasuh tangan.

Berikut antara 5 tips yang boleh diikuti supaya tidak dijangkiti virus influenza:

1. Jaga kebersihan

Sering kali kita terlihat, ramai orang yang menutup mulut atau hidungnya ketika bersin dan juga batuk.

Tetapi perlu diingatkan juga supaya mencuci tangan dengan sabun dan air bersih yang mengalir supaya kuman di tapak tangan tidak tersebar di merata tempat.

Secara tidak langsung dapat mengelakkan virus influenza ini dijangkiti.

2. Pakai topeng muka

Tutup mulut atau hidung dengan tisu kering apabila batuk atau bersin. Selain itu, pakai topeng muka supaya titisan cecair dari mulut dan hidung tidak tersebar ke orang lain.

3. Jauhi tempat sesak

Apabila terkena jangkitan selesema ataupun flu, jauhkan diri daripada tempat yang sesak.

Juga elakkan diri daripada mendekati orang-orang yang batuk atau selesema dan hindari bersentuhan dengan orang luar negara atau pelancong asing yang dijangkiti influenza atau flu burung.

4. Pemakanan dan diet sihat

Jamah hidangan mengikut piramid makanan seimbang dan tidak membeli makanan luar yang terdedah di persekitaran kotor.

Selain itu, galakkan diri untuk lebih aktif bergerak dan berpeluh dalam kehidupan seharian.

5. Vaksin flu

Ibu bapa perlu prihatin terhadap anak-anak yang berumur di bawah lima tahun kerana kelompok itu lebih berisiko berbanding kategori yang lain.

Kanak-kanak yang sedang membesar memerlukan lebih banyak udara, makanan dan minuman mengikut kuantiti pembesaran serta pertumbuhan diri.

Cara paling berkesan untuk mengubatinya ialah melalui vaksinasi kerana ia lebih selamat dan berkesan untuk kanak-kanak, malah pendekatan itu sudah digunakan sejak lebih 60 tahun.

Kesimpulan

Kelompok remaja dan dewasa dinasihatkan supaya sentiasa sedar dan menjaga kesihatan agar tidak dijangkiti virus influenza.

Bila imuniti badan rendah, kita senang dijangkiti penyakit. Imuniti badan boleh rendah jika kita kurang rehat, stres, pemakanan dan diet yang tidak seimbang serta waktu tidur yang tidak cukup.

Sehubungan itu, ibu bapa dan penjaga perlu ingat, jika keimunan kanak-kanak dibawah lima tahun dan warga tua berusia 65 tahun ke atas ini pada tahap rendah, akan lebih senang dijangkiti demam, juga batuk dan selesema.

Jadi, amalkan gaya hidup sihat, dapatkan vaksin supaya kita dapat mengurangkan komplikasi dan tidak mudah dijangkiti virus influenza.

Mencegah itu lebih baik daripada mengubati.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Tuesday, December 10, 2019

Apa Itu Penyakit Polio?

Apa Itu Penyakit Polio?

Polio atau poliomyelitis adalah penyakit akibat jangkitan virus polio yang merosakkan sistem saraf pusat dan lazimnya menjangkiti kanak-kanak berusia di bawah 5 tahun yang belum mendapat pelalian, namun virus ini juga boleh menjangkiti orang dewasa.

Penyakit Polio

Virus liar polio (wild polio virus – WPV) masih endemik di tiga buah negara (Afghanistan, Pakistan dan Nigeria) dan beberapa buah negara lain juga dijangkiti virus ini kerana pergerakan manusia, kerana selagi terdapat negara yang menyebarkan WPV, semua negara masih berisiko dijangkiti.

Agen penyebab

Poliovirus jenis 1, 2 dan 3 (genus Enteroviruses). WPV jenis 2 telah dibasmi semenjak tahun 1988.

Cara jangkitan

Jangkitan berlaku dari orang ke orang melalui transmisi faecal-oral, yang bermaksud kontaminasi dengan najis dari individu yang dijangkiti.

Namun, wabak polio jarang berlaku disebabkan oleh makanan atau air yang tercemar kerana 95% kes yang dijangkiti tidak akan mengalami gejala.

Jangkitan virus polio biasanya berlaku dalam saluran gastrousus (GI) dan merebak ke kelenjar limfa setempat. Dalam kes tertentu ia merebak ke sistem saraf pusat.

Tempoh pengeraman

7 hingga 14 hari sebelum gejala timbul. Ia boleh berlaku seawal 3 hari.

Tanda dan Gejala

Seramai 95% kes tidak menunjukkan gejala dan tubuh membentuk antibodi memberi perlindungan sepanjang hayat. Manakala 5% lagi menunjukkan tanda dan gejala selesema dan kemudiannya pulih semula.

Kurang dari 1% kes yang dijangkiti virus polio menyebabkan penyakit lumpuh yang menjejaskan sistem saraf.

Tanda dan gejala ringan yang terdapat dalam 5% pesakit yang dijangkiti adalah demam, malaise (letih dan lesu), sakit kepala, loya dan muntah.

Pesakit boleh menjadi lumpuh sekiranya virus ini menyerang sistem saraf pusat. Pesakit akan mengalami sakit otot dan kaku di bahagian leher dan belakang. Lumpuh biasanya tidak simetri (bukan pada kedua-dua belah anggota) dan pesakit mengalami demam sebelum lumpuh peringkat awal. Kaki lebih kerap terjejas berbanding tangan.

Komplikasi

Otot pernafasan dan/atau otot menelan menjadi lumpuh sehingga boleh mengancam nyawa. Kelumpuhan anggota badan adalah kekal.

Rawatan

Tiada rawatan khusus. Rawatan diberikan semasa fasa akut sehingga ke peringkat komplikasi lumpuh. Peralatan pernafasan diperlukan bagi pesakit yang mengalami kelumpuhan otot pernafasan.

Terapi fizikal dilakukan untuk memaksimumkan fungsi otot selepas menjadi lumpuh bagi mencegah kecacatan lain yang muncul lewat.

Pelalian Pencegahan

Jenis vaksin: terdapat dua jenis vaksin polio iaitu Oral Polio Vaccine (OPV) yang dititiskan ke dalam mulut dan Inactivated Polio vaccine (IPV) yang diberi secara suntikan.

Bilangan dos: 3 dos prime dan 1 dos tambahan.

Jadual: diberi ketika berumur 2, 3, dan 5 bulan dengan dos tambahan pada umur 18 bulan (Jadual Imunisasi Kebangsaan di Malaysia).

Kontraindikasi: Tiada

Pengembara: Mereka yang hendak mengembara ke negara yang endemik atau sedang mengalami jangkitan WPV, dinasihatkan untuk mendapatkan pelalian polio selewat-lewatnya 4 minggu sebelum berlepas.

Langkah berjaga-jaga khusus: Individu yang mempunyai sistem imuniti yang rendah (immunocompromised) hendaklah mengambil vaksin IPV.

Vaksin OPV yang mengandungi virus polio yang dinyahaktifkan boleh bertukar menjadi aktif dan menyebabkan penyakit kepada mereka yang immunocompromised ini.

Panduan mencegah jangkitan:
  • Basuh tangan dengan sabun dan air bersih selepas menggunakan tandas.
  • Pastikan sanitari baik, gunakan tandas dengan sistem kumbahan yang baik.
  • Didihkan air minuman atau minum air yang dibotolkan atau air berkarbonat. (pastikan pembalut penutup botol tidak rosak).
  • Makan makanan yang tidak memerlukan banyak pengendalian. Kupas kulit buah-buahan. Elakkan salad atau ulam-ulaman (sayuran yang tidak dimasak).
  • Memakan hidangan bufet sebaik sahaja dihidang.
  • Elakkan makan makanan berbungkus yang dijual di tepi jalan.

SEJARAH POLIO YANG MELANDA EROPAH DAN AS DAHULU

Pada awal abad ke-20, wabak polio menyerang masyarakat di Eropah dan Amerika Syarikat. Ratusan ribu orang dijangkiti dengan angka kematian mececah ribuan orang. Belum lagi dikira mereka yang mengalami kecacatan seumur hidup.

Semua yang mengalami selesema akan sentiasa berharap agar ianya bukan polio. Selepas penemuan vaksin pertama pada tahun 1955, dan seterusnya vaksin kedua pada tahun 1960, mimpi ngeri tersebut berakhir.

Lihat sahaja dua tahun lepas (2016), semasa virus Zika yang berasal daripada Afrika mula masuk ke Malaysia, semua orang, khususnya ibu mengandung, risau dan takut jika terkena jangkitan yang boleh membuatkan bayi cacat. Begitulah mungkin perasaan yang dialami dahulu semasa wabak polio merebak, atau mungkin lebih.

Masyarakat dan profesional harus berinteraksi

Walaupun vaksin telah terbukti secara saintifik di atas kertas dan realiti bahawa ia sangat berkesan dalam mencegah penyakit yang berkaitan serta selamat digunakan, mungkin ada sebahagian dalam kalangan masyarakat tidak mampu memahaminya.

Golongan profesional kesihatan, khususnya, perlu mencari titik temu dengan golongan ini. Ia bukan masalah saintifik, sebaliknya isu sosial.

Di sinilah interaksi antara dua pihak mula berperanan. Segala kebimbangan dan salah faham harus dijelaskan. Dalam masa yang sama, penjelasan tersebut harus sampai kepada mereka yang berkaitan.

Persepsi dan keyakinan kepada sains pun mungkin sedikit sebanyak terjejas dengan kemunculan golongan pseudosains yang jelas tidak saintifik.

Keraguan terhadap syarikat-syarikat farmaseutikal besar daripada Eropah dan Amerika Syarikat juga mungkin membuatkan orang takut dan berwaspada.

Melihat kepada pengurangan pada liputan vaksin serta kemunculan semula kes-kes seperti campak, batuk kokol dan difteria, tindakan perlu diambil. Jika tidak dibendung, tidak mustahil wabak akan berlaku semula.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Sunday, November 17, 2019

Panduan Membuang Asid Urik Berlebihan Dalam Badan Secara Semulajadi

Panduan Membuang Asid Urik Berlebihan Dalam Badan Secara Semulajadi

Asid urik adalah sisa buangan bertoksik yang terhasil dari penguraian purin, iaitu sebatian semulajadi yang terkandung dalam makanan tertentu dan juga tisu badan. Kebanyakan asid urik yang dalam badan larut dalam darah, melalui buah pinggang dan disingkirkan melalui air kencing.

Asid Urik Punca Gout

Jika badan kita menghasilkan terlalu banyak asid urik atau mengeluarkan asid urik, keadaan ini dikenali sebagai hyperuricemia.

Individu yang terlebih berat badan boleh mengalami lebih banyak asid urik yang sering terkurung di bahagian bawah badan.

Tahap asid urik yang tinggi di dalam badan boleh menyebabkan beberapa masalah kesihatan. Ia boleh membawa kepada pembentukan kristal pepejal dalam sendi yang menyebabkan kesakitan yang dipanggil gout.

Ia juga boleh menyebabkan batu karang dan kegagalan buah pinggang dalam kes-kes yang teruk.

Jumlah asid urik dalam badan kita boleh dikesan melalui ujian darah dan oleh itu, adalah penting untuk melakukan pemeriksaan rutin.

Cara mudah dan selamat untuk mengurangkan asid urik dalam badan adalah dengan mengubah pemakanan dan juga gaya hidup.

9 petua semulajadi berikut boleh membantu dalam mengurangkan asid urik dalam badan seterusnya merendahkan risiko masalah kesihatan yang tidak diingini.

Untuk mengawal kadar asid urik dalam badan, elakkan mengambil makanan yang tinggi kandungan purin.

Antara makanan yang tinggi purin termasuk daging, makanan laut, organ dalaman dan kekacang.

1. MINUM BANYAK AIR

Air diperlukan untuk menyingkirkan asid urik yang terhasil di dalam badan kerana apabila badan terhidrat dengan baik, kristal pepejal sukar terbentuk.

Disarankan minum sekurang-kurangnya 3-4 liter air sehari untuk mengeluarkan asid urik dari badan.

Kita boleh masukkan air kelapa, air lemon, teh hijau dan sebagainya untuk meningkatkan pengambilan air keseluruhan.

2. MAKANAN TINGGI SERAT

Kajian dari University of Maryland mencadangkan agar kita menambah lebih banyak makanan tinggi serat dalam diet harian untuk mengawal tahap asid urik dalam darah.

Serat pemakanan menyerap asid urik yang berlebihan dalam darah dan membantu ia untuk disingkirkan dari badan kita.

Sumber serat yang baik adalah buah-buahan, sayur-sayuran, dan bijirin.

3. PENGAMBILAN MAKANAN TINGGI ANTIOKSIDAN

Satu kajian yang dijalankan oleh University of Maryland menunjukkan pengambilan lebih banyak antioksidan seperti ceri, blueberries dan strawberi boleh mengurangkan kepekatan asid urik.

Beri berwarna gelap mengandung flavonoid yang dipanggil antocyanins yang membantu dalam mengurangkan keradangan dan kekakuan.

Makanan beralkali seperti tomato dan lada juga membantu mengimbangi tahap asid di dalam badan kita.

4. VITAMIN

Vitamin C membantu dalam penyingkiran asid urik. Sumber Vitamin C dalam buah-buahan sitrus, lada paprika, kubis, amla (gooseberry India) dan jambu akan membantu mengurangkan asid urik.

5. JUS LIMAU

Disyorkan juga sekurang-kurangnya minum jus limau dua kali sehari untuk mengeluarkan asid urik yang berlebihan.

Limau mengandungi asid sitrik yang membantu melarutkan asid urik.

6. KURANGKAN PENGAMBILAN GULA

Gula mengganggu proses penyingkiran asid urik dari badan dan dalam satu kajian menyebut bahawa, pengambilan harian 300 ml minuman manis meningkatkan risiko gout sebanyak 13%.

7. KURANGKAN KAFEIN

Kafein dan produk-produk yang mengandungi kafein seperti kopi, teh dan alkohol menghalang perkumuhan asid urik dari aliran darah.

Ia juga boleh menyebabkan badan mengalami dihidrasi.

8. CUKA EPAL

Campurkan satu sudu teh cuka epal organik dalam segelas air dan minum setiap hari.

Cuka epal mengandungi asid asetik yang bertukar menjadi alkali dalam badan, bertindak seperti pembersih semulajadi dan penyahtoksik.

Cuka epal juga mengandungi asid malic yang membantu dalam memecahkan dan mengeluarkan asid urik dari badan.

Selain itu, ia mengurangkan keradangan dan bengkak pada sendi yang membolehkan fleksibiliti sendi yang lebih baik.

9. SADERI

Biji saderi kaya dengan asid lemak Omega-6 dan minyak diuretik lain dan sebagai diurektik yang kuat, ia membantu dalam membersihkan cecair berlebihan dengan merangsang buah pinggang untuk menyingkirkan asid urik.

Ia menjadikan darah beralkali dan juga merendahkan keradangan dalam badan.

Disyorkan mengambil setengah sudu teh biji saderi kering sekali sehari disertai dengan pengambilan air yang banyak.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Friday, November 15, 2019

4 Tanda Asid Urik Tinggi Dalam Badan

4 Tanda Asid Urik Tinggi Dalam Badan

Asid urik tinggi dalam badan biasanya tidak menyebabkan sebarang tanda dan gejala fizikal. Keadaan ini dikenali sebagai asymptomatic hyperuricemia. Walau bagaimanapun, sesetengah orang yang mempunyai tahap asid urik yang tinggi mungkin mengalami gejala akibat kesan asid urik yang berlebihan pada badan mereka.

Cara Kawal Asid Urik

Sebagai contoh, hyperuricemia boleh menyebabkan gout (keradangan sendi) dan penyakit buah pinggang seperti batu karang dan kegagalan buah pinggang.

Berikut adalah tanda-tanda yang mungkIn dialami:

1. Simptom gout

Gout berlaku disebabkan reaksi imunologi terhadap pengumpulan kristal asid urik pada sendi.

Simptom sakit gout termasuk:
  • Kesakitan yang melampau di sendi yang bertambah buruk sebagai tindak balas kepada tekanan.
  • Keradangan (pembengkakan, kehangatan dan kelembutan) yang minimum
  • Demam
  • Mengelupas kulit di sekeliling sendi.

Tahap asid urik melebihi 10mg/dL meningkatkan risiko terjadinya gout.

2. Simptom batu karang

Batu karang boleh berlaku pada orang yang menderita paras asid urik yang tinggi dan batu-batu karang ini mungkin tidak disedari sehingga ia tersangkut di dalam ureter, menyebabkan kesakitan yang teruk, kencing yang lebih kerap dan menyakitkan, air kencing berdarah, atau loya dan muntah.

Walaupun batu karang disebabkan asid urik biasanya dijumpai pada pesakit gout, penyakit ini juga dikesan pada kira-kira 20% pesakit yang mempunyai paras asid urik yang tinggi tetapi tiada gout.

Simptom batu karang termasuk:
  • Sakit atau sakit berdenyut-denyut di bahagian bawah belakang dan sebelah abdomen atau pangkal paha.
  • Air kencing berdarah dan berbau.
  • Sakit ketika buang air kecil.
  • Demam jika terdapat jangkitan.

3. Simptom kegagalan buah pinggang

Salah satu tanda asid urik tinggi yang paling teruk ialah kegagalan buah pinggang, yang menunjukkan tanda seperti:
  • Kurang buang air kecil.
  • Sesak nafas.
  • Bengkak pada kaki.
  • Kekeliruan.
  • Mengantuk, keletihan.
  • Sakit dada.

Kegagalan buah pinggang boleh berlaku pada pesakit-pesakit leukemia, limfoma Hodgkin dan limfoma Non-Hodgkin disebabkan oleh kadar asid urik.

Ini biasanya akibat kemoterapi, yang membunuh sel-sel malignan dan mengeluarkan asid urik bersama-sama dengan kandungan dalamannya.

4. Penyakit lain

Walaupun kajian telah mencadangkan bahawa paras asid urik tinggi dikaitkan dengan hipertensi dan penyakit jantung, ia masih dalam penentuan sama ada mengurangkan kadar asid urik akan membalikkan keadaan ini.

Rawatan Untuk Asid Urik Tinggi Dalam Badan

Sekiranya anda didiagnosis dengan hyperuricemia, doktor anda mungkin menasihatkan perubahan diet (kurangkan makanan tinggi purin) dan atau menetapkan ubat-ubatan yang merawat penyakit asas yang mungkin menyumbang kepada tahap asid urik yang tinggi atau yang secara langsung mengawal metabolisme badan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: doktorvitamin

Thursday, November 14, 2019

10 Penyakit Utama Pembunuh Lelaki Di Malaysia

10 Penyakit Utama Pembunuh Lelaki Di Malaysia

Dikatakan bahawa, kebanyakan penyakit sebagai pembunuh utama di Malaysia secara meluas adalah disebabkan oleh pengambilan makanan, tetapi dari jumlah ini, apakah penyakit-penyakit utama yang paling banyak menyebabkan kematian golongan lelaki?

Penyakit Lelaki
Gambar hiasan.

Menurut kajian, dibawah ini adalah penyakit-penyakit utama yang paling banyak memberikan risiko kepada golongan lelaki di Malaysia.

1. Penyakit jantung

Lelaki secara kebiasaannya akan mengalami penyakit jantung 10–15 tahun lebih awal berbanding wanita. Oleh itu, lelaki mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk mati pada umur yang lebih muda berbanding wanita akibat penyakit jantung.

2. Kanser

Kanser paru-paru adalah yang paling banyak membunuh kaum lelaki dan kebanyakkannya boleh dihalang. 90% kanser paru-paru adalah disebabkan oleh rokok. Bagi lelaki yang merokok di luar, harus lebih berhati-hati disebabkan ini.

3. Kecederaan

Walaupun jika diikutkan, ia tidak dikategorikan sebagai satu penyakit, kecederaan tidak sengaja seperti kemalangan jalan raya adalah antara pembunuh tertinggi bukan sahaja di Malaysia, tetapi di seluruh dunia.

4. Strok

Strok terjadi apabila pengaliran darah ke kawasan otak terganggu sama ada oleh darah beku yang menyekat arteri atau saluran darah yang pecah. Disebabkan kebanyakan mangsa tidak sedar apabila diserang, itulah sebabnya ia sering dipanggil pembunuh senyap atau silent killer.

5. Penyakit paru-paru

Jangkitan paru-paru adalah penyakit maut di Malaysia. Ini adalah masalah kesihatan yang sangat serius kerana mereka sering terdedah kepada pelbagai jenis virus selesema dalam cuaca tropika yang tipikal.

Penyakit paru-paru adalah berbeza daripada kanser paru-paru di mana masalah ini melibatkan keradangan paru-paru yang menyebabkan kematian atau komplikasi lain.

6. Diabetes

Antara penyakit yang paling banyak didengar di Malaysia, penyakit ini di masa kini perlu diberi perhatian kerana jumlah mangsa yang semakin meningkat.

7. Influenza dan pneumonia

Penyakit ini adalah sangat berbahaya kerana ramai yang menganggap selesema sebagai masalah biasa dan mereka tidak menyedari bahawa ia adalah antara punca kematian tertinggi di Malaysia. Ini memyebabkan jumlah mangsa penyakit ini yang terus melonjak.

8. Penyakit buah pinggang

Penyakit ini berlaku apabila buah pinggang menjadi rosak dan hilang keupayaan untuk menapis darah. Penyakit buah pinggang sering berlaku secara perlahan-lahan dan hanya akan dapat dikesan sehingga buah pinggang hampir gagal berfungsi. Dua penyebab utama penyakit buah pinggang adalah kencing manis dan tekanan darah tinggi.

9. Penyakit Alzheimer

Penyakit Alzheimer adalah penyakit degeneratif progresif otak yang tidak boleh diubati. Orang yang mempunyai penyakit ini lama-kelamaan bukan hanya akan kehilangan ingatan, tetapi juga penurunan dalam keupayaan untuk berfikir dan memahami.

10. HIV/AIDS

Tidak dapat dinafikan lagi, jangkitan virus HIV/AIDS adalah salah satu pembunuh utama di Malaysia dan juga diseluruh dunia. Jumlah mangsa yang maut akibat penyakit ini juga telah meningkat setiap tahun.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: sicanggi

Wednesday, November 13, 2019

10 Penyakit Utama Di Malaysia Dan Puncanya

10 Penyakit Utama Di Malaysia Dan Puncanya

Kata orang, mencegah lebih baik daripada mengubati. Jika sudah terkena penyakit baru tersedar, mungkin masih ada masa untuk memulihkannya tapi bagaimana pula kalau sudah kronik? Tidak kira wanita mahupun lelaki, anda perlu menitikberatkan penjagaan kesihatan.

Penyakit Utama Di Malaysia
Gambar hiasan.

Jika tidak peka dengan pemakanan yang seimbang dan gaya hidup yang sihat, anda mudah terkena penyakit yang berbahaya. Sikap acuh tidak acuh kepada tanda-tanda penyakit boleh mengundang bahaya.

Sebelum terlambat apa kata kita kenali penyakit yang sering dihidap masyarakat tempatan.

1. Sakit jantung

Punca: Keturunan, tekanan (stres), merokok, alkohol, kurang aktiviti senaman, masalah kegemukan dan tabiat pemakanan yang tidak sihat.

Serangan sakit jantung berlaku apabila terdapat kerosakan pada otot jantung, ekoran daripada pengurangan pengaliran darah yang membawa oksigen dan nutrien kepada sel-sel jantung.

Biasanya bermula apabila terdapat satu plak bekuan kolesterol yang tertanggal daripada dinding saluran darah dan tersangkut pada bahagian kapilari darah yang lebih sempit dan akhirnya menyebabkan pengaliran darah tersumbat.

Apabila sel-sel otot jantung kurang bekalan makanan dan oksigen, ia akan menjadi semakin merosot dan akhirnya mati dan berhenti berfungsi.

Keadaan seperti itu akan menyebabkan serangan sakit jantung secara tiba-tiba.

2. Penyakit sekatan pernafasan kronik (COPD)

Penyakit pulmonari (paru-paru) obstruktif (saluran pernafasan tersekat akibat bengkak atau parut) kronik (keadaan yang berterusan untuk jangka masa lama) bukan sekadar batuk perokok.

Antara simptom COPD yang paling ketara adalah nafas tercungap-cungap, pengeluaran kahak yang keterlaluan dan batuk yang kronik, lebih dari sebulan.

Punca: Berpunca daripada peningkatan tindak balas keradangan tisu paru-paru akibat pendedahan berpanjangan kepada pencemaran udara, asap rokok, penggunaan ketuhar dan pemanas kayu atau arang batu dalam rumah.

3. Kencing manis

Punca: Seringkali dikaitkan dengan pengumpulan asid yang banyak di renal. Rembesan insulin yang kurang daripada pankreas yang tidak terkawal disebabkan oleh gaya pemakanan yang tidak sihat.

Penyakit kencing manis atau diabetes merujuk kepada satu golongan penyakit yang mempengaruhi bagaimana badan mengawal gula atau glukosa darah.

Jika seseorang itu mempunyai kencing manis, tidak kira apa jenisnya, bermakna dia mempunyai terlalu banyak glukosa yang terapung di dalam darahnya.

Keadaan kencing manis jenis yang serius adalah kencing manis jenis 1 dan jenis 2.

4. Strok

Punca: Tekanan darah tinggi, merokok, kencing manis, kolesterol dan obesiti.

Serangan strok berlaku apabila salah satu saluran darah utama di otak tersumbat. Saluran darah yang membeku atau pecah akan menyebabkan pemberhentian bekalan darah kepada sel-sel otak yang akhirnya menyebabkan kematian tisu saraf otak yang mengawal fungsi badan tertentu.

Serangan strok biasanya tidak membawa apa-apa rasa sakit sebelum serangan berlaku.

Ia berlaku secara tiba-tiba dan pesakit itu akan pengsan dan kemungkinan besar menjadi lumpuh pada bahagian tertentu badan.

5. Kanser pankreas

Punca: Merokok, diabetes, faktor genetik, radang atau infeksi pada pankreas, obesiti.

Pankreas adalah organ dalam perut yang terletak secara horizontal dan di dalamnya terdapat sel eksokrin pankreas yang menghasilkan cairan pencernaan.

Manakala sel endokrin pankreas menghasilkan hormon insulin dan glukagon yang mengatur tingkat gula darah dalam tubuh.

Kanser pankreas ialah sel yang bersifat kanser terbentuk di dalam pankreas.

6. Kanser prostat

Punca: Penyebabnya tidak diketahui, namun beberapa penelitian ada menunjukkan hubungan antara diet tinggi lemak dan peningkatan kadar hormon testosteron.

Kanser prostat adalah suatu tumor ganas yang tumbuh di dalam kelenjar prostat. Penyakit ini biasa menyerang lelaki berusia 70 tahun ke atas.

Kanser prostat jarang menyerang lelaki yang berusia di bawah umur 40 tahun.

7. Tekanan darah tinggi

Punca: Usia, genetik, obesiti, tidak bersenam, merokok, banyak garam dalam tubuh, sedikit vitamin D dalam darah, terlalu banyak minum alkohol dan stres.

Tekanan darah tinggi atau hipertensi adalah keadaan cairan darah dalam tubuh menekan dinding arteri dengan cukup kuat hingga akhirnya menyebabkan masalah kesihatan seperti penyakit jantung.

Tekanan darah ditentukan dengan jumlah darah yang dipamkan oleh jantung.

8. Batu karang

Punca: Kurang air, genetik, penyakit sistinuria, kencing manis, darah tinggi, masalah hiperurisemia, kesan sampingan ubat, pemakanan dan kurang bergerak.

Batu karang atau renal stone membawa maksud terdapat batu di buah pinggang atau salur kencing seseorang. Batu ini terbentuk apabila terdapat mendakan mineral dalam air kencing.

Selalunya kaum lelaki lebih cenderung untuk mendapat penyakit ini, namun kaum wanita juga tidak terkecuali dari mendapat penyakit ini.

9. Obesiti

Punca: Genetik, kerosakan salah satu bahagian otak, pola makan berlebihan, kurang bersukan, pengaruh emosi dan lingkungan persekitaran.

Obesiti dapat ditakrifkan sebagai seseorang yang mempunyai berat badan yang berlebihan. Dalam erti kata lain, obesiti ialah badan yang tidak ideal dengan ketinggian.

10. Gout

Punca: Pengambilan makanan yang mengandungi banyak nukleus (daging, ginjal, limpa, jantung), kekacang dan makanan laut (kerang, udang, sotong dan sebagainya), mengalami penyakit kulit yang sentiasa menggelupas dan kering, menghidap penyakit darah yang berlebihan.

Gout adalah sejenis penyakit disebabkan berlebihan asid urik di dalam badan. Asid urik adalah bahan kumuhan berasal dari sejenis protein yang dipanggil purin. Badan kita membuang bahan kumuhan ini melalui air kencing (urin).

Bagi penghidap gout, asid urik yang berlebihan tidak dibuang dan berkumpul di dalam sendi.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: nona

Friday, November 08, 2019

Perkara Asas Insuran Medical Card Anda Wajib Tahu

Perkara Asas Insuran Medical Card Anda Wajib Tahu

Ramai orang selalu merasakan bahawa mereka tidak akan jatuh sakit ataupun ditimpa kemalangan pada usia muda, dan sebab itulah statistik mendapati ramai yang berhutang akibat bil yang tinggi apabila dimasukkan ke dalam hospital.

Kenapa Medical Card

Pihak insuran pula hanya akan menerima pelanggan yang sihat kerana bila sakit, anda mungkin langsung tiada guna lagi bagi syarikat insurans ini.

Jadi, jika anda seorang yang bijak, ambillah polisi medical card kerana apabila anda perlu dirawat di hospital.

Anda tidak akan fikir lagi tentang bayaran yang perlu dibuat untuk mendapat rawatan perubatan atau di mana untuk mendapatkan rawatan terbaik dengan harga berpatutan, atau berapakah kos satu malam di hospital yang perlu dibayar.

Semasa kecemasan, kemampuan membayar bil perubatan pasti menjadi persoalan penting yang bermain di minda anda.

Walau bagaimanapun, dengan Medical card, anda tidak perlu risau tentang perkara tersebut. Anda hanya perlu hadir ke panel hospital untuk rawatan segera.

Oleh itu, sebelum mengambil polisi insurans Medical card, ada beberapa perkara asas yang anda wajib ketahui.

Perkara Anda Kena Faham Supaya Tidak 'Tertipu' Dengan Medical Card

1. Jenis Coverage – Tahunan Atau Seumur Hidup?

Ada 2 jenis coverage yang terdapat pada Medical Card yang perlu anda tahu untuk bezakan, iaitu perlindungan seumur hidup (life time coverage) atau perlindungan tahunan (annual coverage).

Menurut ramai ejen takaful yang berpengalaman, apabila ditimpa penyakit, situasi yang biasa berlaku adalah seseorang tidak dapat menampung jumlah kos perubatan kerana telah mencapai had perlindungan tahunan, contohnya RM 100,000/tahun.

Menurut akhbar tempatan bertarikh Mei 2017, rawatan kanser paling minima di hospital swasta adalah RM20,000 dan ia boleh mencecah hingga ratusan ribu ringgit.

Jadi, apabila keadaan bertambah buruk, seseorang perlu menampung dengan wang sendiri walaupun mempunyai Medical Card.

Jangan keliru, ejen takaful kadang-kadang suka sebut angka yang besar-besar.

"Bro, jangan risau. Medical Card ni cover sampai RM500,000."

Biasanya, itu had seumur hidup. Kalau had tahunan cuma RM100,000 dan kalau kita jatuh sakit, bila habis saja had tu, kita terpaksa keluar dari hospital swasta walaupun had seumur hidup masih berbaki RM400,000.

Limit tahunan sangat penting berbanding limit seumur hidup kerana itulah kos yang bakal ditanggung oleh medical card.

Manakala had bilik pula memberikan keselesaan bilik dan hospital yang bakal kita duduki nanti.

Jadi, pastikan anda mendapat perlindungan life time coverage (perlindungan seumur hidup).

2. Co-Takaful/Co-Payment atau Full Payment?

Co-Takaful ialah peratusan yang perlu ditanggung sendiri setiap kali claim. Contoh, 10% dari bil setiap kali masuk wad dan setiap kali follow up.

Biasanya ada limit antara RM300 ke RM1,000 setiap kali masuk wad atau follow up.

Maksudnya, jika bayaran pendahuluan yang diminta pihak hospital adalah sebanyak RM300, pihak insurans tidak akan membayar jumlah ini dan perlu ditanggung sendiri oleh pesakit.

Co-Payment pula ialah peratusan yang perlu ditanggung dari bil-bil lain (selain caj bilik) yang dikenakan bila client naik taraf bilik wad melebihi had bilik.

Teliti terma dan syarat dalam Medical Card sama ada ianya menawarkan pelan yang ada co-payment.

Walaupun harganya nampak murah, tapi ia mungkin akan menyusahkan anda apabila ditahan wad nanti.

Jadi, kalau masa kecemasan tak bawa cash, susahlah. Tapi, kalau anda rasa lebih jimat begitu, terpulang.

3. Renewal – Yearly Atau Guaranteed?

Bagi Medical Card yang diperbaharui setiap tahun (Yearly Renewable), pembaharuan bergantung kepada claim review setiap tahun.

Kalau pernah claim banyak, maksudnya ada kemungkinan akan kena caj tambahan, syarat pengecualian, dan sebagainya hingga ia boleh menghilangkan faedah Medical Card anda.

Malah, ia mungkin menyukarkan anda untuk memperbaharui polisi tahunan anda (kemungkinan besar polisi akan dibatalkan) atau sukar memohon Medical Card baru dari melalui syarikat lain.

Maka, pastikan perkara ini dijelaskan secara terperinci oleh ejen.

Medical Card yang jenis Guaranteed Renewal lebih terjamin kerana syarikat tidak boleh menamatkan Medical Card anda sesuka hati atau menambah sebarang caj melainkan bila anda tak bayar atau lifetime limit dah habis.

Jadi, walaupun pernah claim banyak kali untuk penyakit yang sama atau penyakit berisiko tinggi, anda tak perlu risaukan sebarang caj 'tersembunyi' atau polisi tiba-tiba tidak disambung.

4. Harga Hospital/Wad

Kalau terjadi sesuatu, hospital mana yang paling selesa untuk dirujuk? Berapa harga wad bilik di hospital tersebut? Adakah harga tersebut bersesuaian dengan kawasan tempat tinggal anda?

Jika Medical Card cover BILIK RM150, anda perlu faham jika anda masuk bilik RM200, perbezaan RM50 anda perlu bayar sendiri dan TAK BOLEH claim. Pilihlah yang bersesuaian.

Ini adalah persoalan yang berbaloi untuk anda renungkan kerana faktor lokasi memainkan peranan penting juga.

Selain itu, kena realistik untuk memikirkan sama ada jumlah coverage tersebut tahan inflasi.

Jadi, adakah harga bilik wad yang ditawarkan masih relevan untuk tempoh 10 tahun dari sekarang?

Oleh itu, sila dapatkan penjelasan dari agen insurans, berapa kadar bayaran wad yang akan ditanggung sehari apabila anda (jika) masuk wad.

5. Polisi Boleh Ubah Atau Tetap

Akhir sekali, jangan lupa semak sama ada polisi Medical Card anda adalah tetap atau boleh ubah.

Jangan lupa teliti betul-betul pada bahagian Portfolio Withdrawal Condition kerana sesetengah orang mungkin tak faham bab ni.

Klausa Portfolio Withdrawal Condition ini membenarkan syarikat insurans untuk menarik balik produk dari pasaran dengan memberi notis 30 hari.

Walaupun menjanjikan guaranteed renewal, ia membolehkan syarikat tersebut untuk berhenti menanggung claim yang terlalu banyak. Dalam erti kata lain, tak salah untuk mereka 'lepaskan diri'!

6. Medical Card Stand Alone atau Rider

Medical card takaful biasanya ditawarkan sebagai rider dalam polisi takaful hayat yang bermaksud, ia adalah pilihan tambahan yang boleh diambil bersama polisi pelaburan.

Maksud kedua, ia akan ada cash value (nilai tabungan/keuntungan) selepas beberapa tahun kita mencarum.

Biasanya dalam tahun pertama sehingga tahun ketiga, nilai tabungan kita masih rendah. Jadi kita tetap perlu bayar caruman on time.

Medical Card Standalone pula ditawarkan secara bersendirian. Maksudnya, kita hanya boleh mendapat polisi medical card tanpa sebarang polisi pelaburan atau simpanan.

Ia lebih murah sebab kita hanya membayar caruman medical card sahaja, cuma kekurangannya ia tiada cash value (nilai tabungan/keuntungam) yang menyebabkan jika kita terlewat bayar maka polisi akan luput (lapse).

7. Hospital panel (kena ikut lokasi kita tinggal)

Sila dapatkan penjelasan lanjut dari agen insurans anda.

8. Ada waiver atau tak

Kalau tak ada pun, boleh back up dengan coverage Critical illnes dalam polisi income protection.

9. Elaun hospital

Tak ada pun, tidak menjejaskan kecuali bekerja sendiri.

KESIMPULAN

Maaf, tiada istilah Medical Card terbaik, tetapi yang ada adalah "paling sesuai". Jadi, kalau sudah ada Medical Card, buka balik polisi tu. Baca dan faham apa yang dilindungi.

Jangan asyik bertangguh, sebab Medical Card biasanya akan kecualikan perlindungan untuk sakit yang sudah ada dalam rekod kita selama 5 tahun kebelakangan – tak kiralah rekod pada hospital kerajaan, hospital swasta atau klinik.

Sebaiknya, Medical Card ini diambil semasa umur muda sebab bayaran premium bulanannya murah.

Harganya tidak akan berubah walaupun harga semasanya telah naik banyak kali bila umur kita semakin meningkat. Maksudnya, lagi awal kita bermula, lagi murah kita bayar. Barulah jimat!

Jadi, masa anda bertanya depan agen insurans tu, jangan lupa senarai semak ini di smartphone anda.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: majalahlabur