Thursday, January 22, 2015

Kronologi Tuntutan Gereja Guna Kalimah Allah

Kronologi Tuntutan Gereja Guna Kalimah Allah

Mahkamah Persekutuan Putrajaya dijadual mendengar permohonan semakan semula kehakiman mengenai isu kalimah Allah oleh pihak gereja hari ini.

Allah itu Satu

Berikut adalah kronologi kes Gereja Roman Katolik menggunakan kalimah 'Allah' bagi merujuk kepada "Tuhan" dalam edisi bahasa Malaysia majalah mingguan terbitannya, 'The Herald'.

2009:

16 Feb - Gereja Roman Katolik diketuai Ketua Paderi Murphy Pakiam memfailkan permohonan semakan semula kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mendapatkan perisytiharan bahawa keputusan Kementerian Dalam Negeri melarangnya menggunakan kalimah 'Allah' dalam majalah mingguan itu adalah bercanggah dengan undang-undang.

The Herald, yang diterbitkan dalam empat bahasa, menggunakan kalimah 'Allah untuk merujuk kepada Tuhan dalam edisi bahasa Malaysianya untuk bacaan penganut Katolik di Sabah dan Sarawak.

Gereja Roman Katolik, antara lain, memohon perisytiharan bahawa:

1. Ia mempunyai hak di sisi perlembagaan untuk menggunakan kalimah 'Allah' dalam The Herald kerana adalah menjadi haknya, seperti agama selain Islam, untuk mengamalkan agama masing-masing secara aman.

2. Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan tidak memberi kuasa kepada responden untuk melarang pemohon daripada menggunakan kalimah 'Allah' dalam The Herald.

3. Ia mempunyai hak di sisi perlembagaan untuk menggunakan kalimah 'Allah' dalam penerbitan mingguan itu, sama seperti ia mempunyai hak untuk bebas bersuara dan memberi pendapat.

4. Ia mempunyai hak di sisi perlembagaan untuk menggunakan kalimah 'Allah' dalam The Herald, sama seperti hak untuk bebas beragama dan mengurus hal ehwal agama sendiri.

5. Ia mempunyai hak di sisi perlembagaan untuk menggunakan kalimah 'Allah' dalam The Herald, sama seperti hak untuk memberi pendidikan tentang Katolik dan Kristian.

6. Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 tidak memberi kuasa kepada responden untuk melarang pemohon menggunakan kalimah 'Allah' dalam The Herald.

7. Kalimah 'Allah' bukan eksklusif untuk Islam.

31 Dis - Mahkamah Tinggi, ketika meluluskan permohonan semakan semula kehakiman oleh Gereja Roman Katolik itu, mengisytiharkan bahawa keputusan Kementerian Dalam Negeri melarang The Herald menggunakan kalimah 'Allah' dalam penerbitan bahasa Malaysianya, yang khusus untuk bacaan penganut Kristian di Sabah dan Sarawak, adalah salah di sisi undang-undang, batal dan tidak sah.

Mahkamah itu memutuskan bahawa The Herald mempunyai hak di sisi perlembagaan untuk menggunakan kalimah 'Allah dalam majalah mingguannya bagi mengembangkan agama Kristian, bukan agama Islam.

Hakim berkenaan berkata menurut Perkara 11(4) Perlembagan Persekutuan, adalah salah bagi orang bukan Islam menggunakan kalimah 'Allah' untuk menyebar agama mereka kepada orang Islam.

Tetapi, tidak menjadi kesalahan bagi orang bukan Islam menggunakan kalimah 'Allah' untuk menyebarkan agama mereka kepada orang bukan Islam, katanya.

Hakim itu seterusnya berkata menurut Perkara 11 dan 12 Perlembagaan Persekutuan, The Herald mempunyai hak di sisi perlembagaan untuk menggunakan kalimah itu bagi tujuan keagamaan dan pendidikan dalam kalangan penganut Kristian.

Katanya menteri berkenaan gagal mengemukakan bukti bahawa penggunaan kalimah itu akan mengancam keselamatan negara dan mencetuskan salah faham serta kekeliruan dalam kalangan umat Islam.

2010:

4 Jan - Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan memfailkan rayuan di pejabat pendaftar Mahkamah Rayuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi itu.

6 Jan - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menangguhkan pelaksanaan perintah terdahulu yang membenarkan majalah itu menggunakan kalimah 'Allah' berikutan persetujuan Kementerian Dalam Negeri dan Ketua Paderi Roman Katolik atas alasan untuk kepentingan negara.

2013:

10 Sept - Mahkamah Rayuan mendengar rayuan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi.

14 Okt - Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohamed Apandi Ali sebulat suara meluluskan rayuan kerajaan untuk melarang The Herald daripada menggunakan kalimah 'Allah'.

Mahkamah itu mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009 yang membenarkan The Herald menggunakan kalimah 'Allah'.

Hakim Mohamed Apandi, yang mengetuai panel tiga anggota, berkata mahkamah mendapati kalimah 'Allah' tidak pernah menjadi bahagian penting dalam amalan kepercayaan agama Kristian.

Katanya dengan mengambil fakta sejarah dan keagamaan, beliau tidak menemukan sebarang sebab munasabah kenapa Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur "berkeras" untuk menggunakan kalimah 'Allah' dalam penerbitan mingguan itu.

11 Nov - Gereja Roman Katolik memfailkan permohonan untuk merayu kepada Mahkamah Persekutuan dan mengemukakan 26 persoalan undang-undang yang melibatkan tiga bidang iaitu persoalan undang-undang, isu pentadbiran dan sama ada mahkamah mempunyai kuasa untuk membuat keputusan tentang isu perbandingan agama.

2014:

5 Mac - Pendengaran permohonan Gereja Roman Katolik untuk mendapat kelulusan merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan melarang The Herald daripada menggunakan kalimah 'Allah' dalam penerbitannya; Mahkamah Persekutuan menangguhkan penghakimannya ke suatu tarikh yang akan ditetapkan.

23 Jun - Mahkamah Persekutuan, dalam keputusan majoriti 4-3, menolak permohonan gereja itu untuk mendapatkan kelulusan merayu bagi penarikan balik larangan kerajaan tentang penggunaan kalimah 'Allah' bagi merujuk kepada Tuhan dalam edisi bahasa Malaysia The Herald.

Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, yang mempengerusikan panel tujuh anggota, memutuskan bahawa 28 persoalan mengenai undang-undang pentadbiran, undang-undang perlembagaan dan persoalan umum yang dikemukakan gereja itu, tidak memenuhi syarat asas mengikut Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, untuk diberi kelulusan untuk merayu.

Katanya Mahkamah Rayuan secara betul menggunakan ujian objektif berhubung keputusan menteri berkenaan melarang penggunaan kalimah 'Allah' dalam The Herald.

Arifin berpendpat hakim Mahkamah Tinggi tidak sepatutnya melayan gereja berkenaan untuk mencabar kesahan atau kuasa dari segi perlembagaan pelbagai enakmen negeri yang bertujuan mengawal dan menyekat penyebaran doktrin dan kepercayaan agama bukan Islam dalam kalangan umat Islam.

19 Sept - Gereja Roman Katolik memfailkan permohonan semakan semula kehakiman terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang tidak memberi kelulusan kepadanya untuk merayu berhubung larangan Menteri Dalam Negeri tentang penggunaan kalimah 'Allah'.

Permohonan itu dibuat berdasarkan tiga asas utama, termasuk isu undang-undang tertentu yang menjadi bahagian penting dalam permohonan untuk mendapatkan kelulusan itu, mengikut skop Perkara 3 dan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

Sumber:
http://www.rakyatnews.my/index.php/umum/kronologi-tuntutan-gereja-guna-kalimah-allah

Monday, June 23, 2014

Kalah!? Siapa Suruh Bawa Kalimah Allah Ke Mahkamah!

Kalah!? Siapa Suruh Bawa Kalimah Allah Ke Mahkamah!

Mahkamah Persekutuan Isnin menolak kebenaran bagi Gereja Katolik merayu kepada mahkamah itu untuk menarik balik larangan kerajaan terhadap penggunaan kalimah ‘Allah’ yang dirujuk sebagai Tuhan dalam penerbitan mingguan The Herald versi Bahasa Malaysia.

Isu Kalimah Allah

Beberapa buah NGO pro Kristian seperti Lawyers For Liberty dikesan meroyan dalam akaun Twitter bila Mahkamah Persekutuan membuat keputusan menolak kebenaran bagi Gereja Katolik merayu kepada mahkamah itu untuk menarik balik larangan kerajaan terhadap penggunaan kalimah ‘Allah’ yang dirujuk sebagai Tuhan dalam penerbitan mingguan The Herald versi Bahasa Malaysia.

Mereka secara terbuka membantah keputusan tersebut walaupun tahu Mahkamah Persekutuan adalah badan perundangan tertinggi negara, apa keputusan yang dibuat disini adalah muktamad.

Puak-puak ini meroyan kerana dipercayai keputusan ini akan turut mempengaruhi penerbitan-penerbitan seumpamanya yang lain, tidak terhad kepada The Herald sahaja.

Memandangkan ia diputuskan oleh Mahkamah tertinggi, maka keputusan ini juga menjadi undang-undang dalam negara kita (law of the land). Itu yang mereng sekejap tu.

Pada penulis, pihak-pihak yang kecewa dengan keputusan ini tidak sepatutnya meroyan, sebab siapa yang mula bawa kes ini ke Mahkamah? Bukan orang Islam pun, tapi pihak gereja sendiri. Jadi kalau ada pihak yang nak dipersalahkan, patutnya diri sendiri, bukan orang lain.

Ikut amalan sebelum ini kan elok dah. Nak buat tu buatlah, tapi senyap-senyap dan dikalangan komuniti Kristian saja, bila nak tunjuk besar kepala dengan nak ‘meresmikan’ penggunaan kalimah Allah itu disisi undang-undang kononnya, inilah akibat.

Bila dah dibawa ke Mahkamah, maka akur sajalah kepada sebarang kebarangkalian. Ikut pemerhatian penulis, sejak mula kes ini dibicarakan, Mahkamah memang sentiasa adil kepada kesemua pihak terlibat. Ada masa Mahkamah memihak kepada Gereja, dan ada masa yang lain Mahkamah memihak kepada orang Islam.

Cuma bezanya, Mahkamah yang membuat keputusan memihak orang Islam ini adalah Mahkamah yang lebih tinggi seperti Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, terima sajalah hakikat.

Isu Kalimah Allah [2]

Penulis juga percaya, dengan keputusan ini pihak-pihak bertelagah dalam isu berkaitan Islam vs agama lain seperti perebutan hak jagaan anak dan sebagainya, tidak akan lagi sebarangan nak membawa kes berkaitan ke Mahkamah. Kalau bawa ke Mahkamah sekalipun, besar kemungkinan tidak akan sampai ke peringkat Mahkamah Persekutuan macam sekarang.

Sebab kalau dah sampai di Mahkamah Persekutuan dan keputusan tidak menyebelahi mereka macam sekarang, bukan pasangan berkenaan saja terlibat, tapi semua pasangan yang ada isu sama selepas itu, akan turut terikat dengan keputusan tersebut.

Jadi jangan pelik kenapa pembangkang begitu bimbang dan melatah bila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak minta pihak yang bertelagah dalam 2 isu perebutan hak jagaan anak pasangan bertukar agama merujuk kes berkenaan sehingga ke Mahkamah Persekutuan – walhal itulah langkah yang betul untuk dilakukan.

Oh ya, penulis juga berharap ada pihak berkepentingan yang melaporkan perbuatan Lawyers For Liberty ini supaya tindakan menghina Mahkamah boleh diambil.

[Sumber]

Wednesday, May 07, 2014

Kenapa Kalimah ALLAH Hanya Layak Untuk Umat Islam?

Kenapa Kalimah ALLAH Hanya Layak Untuk Umat Islam?

Kalimah suci ALLAH layak digunakan oleh umat Islam sahaja berikutan ia sememangnya berasal dari kitab al-Quran dan tidak pernah disebut dalam Bible asli, kata ahli akademik Filologi Islam dan Pengajian Semitik Universiti Airlangga, Surabaya, Jawa Timur, Prof Dr Menachem Ali.

Kalimah ALLAH Layak Untuk Umat Islam

Beliau berkata, bagi merungkai kekeliruan penggunaan kalimah ALLAH, semua pihak seharusnya merujuk kembali pada konteks asal kandungan kitab suci masing-masing dan perkara itu harus segera diselesaikan bagi mengelakkan ketegangan agama.

Hasil kajiannya selama lebih 12 tahun dalam bidang berkaitan menunjukkan bahawa Bible asli yang berasal pada zaman Greek tidak menggunakan kalimah ALLAH untuk merujuk istilah ‘Tuhan’ dalam agama Kristian, katanya kepada pemberita pada ‘Seminar Kalimah ALLAH dan Kristologi Nusantara’ anjuran Universiti Teknologi Mara di sini hari ini.

Prof Dr Menachem menjelaskan bahawa kajiannya juga menunjukkan teks asli New Testament bagi Bible tidak pernah menyebut kalimah ALLAH namun ia (ALLAH) hanya muncul bagi teks terjemahan yang maksudnya diragui berikutan terdapat pergeseran semantik bahasa dan makna mengikut tempat pada abad pertengahan dahulu.

“Mengambil contoh di Indonesia, terjadi kesalahfahaman dalam terjemahan kini yang ALLAH sepatutnya menunjukkan pada nama Tuhan namun dalam bahasa Indonesia, ALLAH hanya sebagai gelar dan ini menjadi persoalan besar dan harus dibincangkan semua ilmuwan agama dan membuat kesepakatan bahawa ALLAH adalah nama khas,” katanya.

Prof Dr Menachem memuji kerajaan Malaysia dalam menangani isu ini namun melihat usaha itu perlu disertai dengan perbincangan terbuka bagi menjelaskan sebab larangan penggunaan kalimah ALLAH dalam terjemahan Bible versi Bahasa Melayu.

Beliau berkata, pemahaman secara mendalam mengenai asal usul kalimah suci itu bagi semua ilmuwan agama amat penting dalam merungkai hak penggunaannya.

“Istilah ALLAH sangat penting untuk difahami semua komuniti agama baik Muslim atau bukan Muslim, yang harus kenal betul kerana jika tidak, akan terjadi kesalahfahaman bahkan timbul persoalan tidak berhujung pada sesuatu yang bersifat kebaikan.” katanya. –BERNAMA

BACA INI JUGA: Siapa Untung Jika Umat Islam Dan Kristian Bergaduh?

Thursday, February 20, 2014

Pope Benedict XVI Bantah Guna Kalimah Allah!

Pope Benedict XVI Bantah Guna Kalimah Allah!

Pope Benedict XVI iaitu ketua tertinggi penganut Kristian Katolik di seluruh dunia pada ucapannya kepada orang berbangsa Arab tidak pun menggunakan kalimah Allah untuk menggambarkan Tuhan.

May Al-Rab Bless You

Pada awalnya sebuah laman berita antarabangsa dikenali sebagai Commonweal melalui penulisnya Michael Peppard menyatakan dalam satu artikel bertajuk “Pope Benedict : ‘May Allah Bless You All”.

Penggunaan kalimah Allah oleh Pope Benedict dipersoalkan oleh banyak pihak yang mendengar ucapan itu, mengatakan Pope tidak menggunakan kalimah Allah.

Dalam artikel tulisan Michael itu, dikatakan hanya ada satu perkataan yang digunakan oleh Pope untuk menggambarkan Tuhan iaitu Allah.

Bagaimanapun, Michael mengakui kesilapannya dan kemudian menukar artikel berkenaan kepada perkataan sebenar yang digunakan pemimpin tertinggi Kristian Katolik itu.

Teks ucapan itu yang diterjemahkan dari bahasa Itali ke Bahasa Arab boleh dibaca di laman web Vatican City berbunyi:

“Pope berdoa untuk semua penceramah berbahasa Arab, Semoga Tuhan memberkati kamu semua,”


Perkataan atau istilah yang digunakan oleh Pope Benedict ialah bukan ALLAH tetapi Al-Rab yang bermaksud Tuhan atau Lord.

Perkara ini berlaku pada 10 Oktober 2012 dan didedahkan di laman blog akarimomar.wordpress.com.

Pope sendiri bertegas membetulkan laporan di portal antarabangsa yang memetik ucapannya di Dataran St Peters itu dan tersilap meletakkan istilah yang digunakan.

Menurut pentadbiran kerajaan Vatican, jika Pope menyebut nama suci Allah dalam ucapannya, ia seolah-olah telah menaikkan syiar Islam di pusat pentadbiran tertinggi Kristian itu.

Laporan dalam laman blog itu telah dibantah oleh pentadbiran Vatican City sendiri.

Jadi, mengapa tokoh agama Kristian Katolik di Malaysia beriya-iya mahu menggunakan kalimah Allah sebagai Tuhan dalam agama mereka dan membelakangkan Pope Benedict sebagai pemimpin tertinggi?

Tidakkah nanti seolah-olah mereka akan dilihat seperti menegakkan syiar Islam atau sebenarnya mereka henda mempengaruhi penganut Islam agar sama-sama menyertai agama Kristian.

Ucapan Pope Benedict XVI di Dataran St Peters di Vatican itu ialah satu BUKTI bahawa Pope TIDAK BERSETUJU dengan penggunaan nama suci Allah untuk tujuan merujuk kepada Tuhan dalam ajaran Kristian.

Ianya juga mengesahkan bahawa God terjemahannya ialah Tuhan dalam bahasa Melayu dan Rabb dalam bahasa Arab. BUKANNYA Allah, nama khas dan KHUSUS untuk umat Islam.

Sumber: Mynewshub

Thursday, February 06, 2014

"SKMM Cepat Tutup FB Anti Kristian Tetapi Tidak FB Anti Islam!"

"SKMM Cepat Tutup FB Anti Kristian Tetapi Tidak FB Anti Islam!"

Pertubuhan Pribumi Perkasa Kebangsaan (Perkasa) mempersoalkan tindakan pantas Suruhanjaya Komunikasi Media Multimedia (SKMM) menutup laman Facebook yang dikatakan menghina agama Kristian tetapi lambat bertindak apabila ia berkaitan agama Islam.

FB Anti Islam

Menurut Setiausaha Agung Perkasa Syed Hassan Syed Ali, agak menghairankan apabila SKMM tidak bertindak biarpun laporan polis dibuat terhadap beberapa laman sesawang dan Facebook yang menghina umat Islam di negara ini.

“Perkasa ingin bertanya kepada SKMM, mengapa begitu cepat bertindak terhadap akaun Facebook menghina Kristian tetapi tiada satu pun tindakan diambil terhadap Facebook yang menghina kesucian Islam walau sudah banyak aduan dibuat,” kata Syed Hassan dalam satu kenyataan lewat petang tadi di Kuala Lumpur.

Perkasa turut menuntut SKMM agar tidak bersikap memilih dalam mengambil tindakan terhadap aduan yang dibuat kerana agak mengecewakan apabila melihat begitu banyak penghinaan terhadap kesucian Islam sedangkan pihak bertanggungjawab seperti SKMM hanya memandang ringan mengenai isu tersebut.

(Baca: Top 10 Peperangan Yang Bermula Dengan Pembohongan Amerika Syarikat)

“Perkasa menunggu pula reaksi daripada pertubuhan yang memperjuangkan hak kebebasan bersuara mengapa tidak menyelar SKMM kerana menyekat kebebasan bersuara apabila laman Facebook tersebut ditutup.

“Adakah mereka juga memilih untuk membuat kritikan? Apabila Islam dihina dan kita menggesa tindakan diambil maka ia dilihat sebagai melanggar kebebasan bersuara?” katanya.

Menurut Syed Hassan, Perkasa tetap dengan pendirian menghina agama bukanlah kebebasan bersuara.

“Perbuatan menghina sesuatu agama bukanlah kebebasan bersuara. Penghina terhadap sesuatu agama wajar dihukum dengan hukuman yang keras,” katanya.

Hari ini SKMM dilaporkan mengambil tindakan menutup beberapa laman sesawang dan Facebook anti Kristian.

Menurut Pengerusi SKMM Mohamed Sharil Tarmizi, penutupan itu termasuk laman “Semenajung Malaysia Anti Sabah and Sarawak”.

“Kami menghubungi Facebook (pentadbir) dan beberapa laman berkenaan ditutup,” katanya seperti dilapor Malaysiakini.

Katanya, siasatan SKMM terhadap laman Facebook berkenaan masih berterusan.

PAS Sabah membuat laporan polis terhadap laman Facebook yang didaftarkan atas nama “Semenanjung Malaysia Anti Sabah and Sarawak” yang menghina penganut Kristian dan Malaysia Timur.

(Baca: Kena Orang Islam, Tak Apa. Kena Pada Bukan Islam, Heboh 1 Malaysia!)

Gambar menghina penganut Kristian termasuk seekor katak dipaku ke salib menimbulkan kemarahan warga Sabah dan Sarawak.

Dua ahli politik Sarawak mengeluarkan kenyataan bagi meredakan kemarahan penduduk Borneo terhadap sentimen anti Kristian dan anti Malaysia Timur di Semenanjung sambil memberi amaran terhadap cadangan berpisah daripada Malaysia yang disifatkannya sebagai pengkhianat.

Menteri Kabinet Sarawak Tan Sri Dr James Masing berkata tidak perlu perbincangan untuk berpisah daripada Malaysia sebagaimana yang pernah dibangkitkan dalam laman Facebook oleh warga Sabah dan Sarawak.

Sumber: Mynewshub

Monday, January 27, 2014

Salahkan UMNO, Anwar Dicabar Pinda Enakmen Agama Selangor

Salahkan UMNO, Anwar Dicabar Pinda Enakmen Agama Selangor

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Datuk Addul Rahman Dahlan mempertikaikan tindakan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim yang cuba menyalahkan Umno dan kerajaan Barisan Nasional berhubung kemelut kalimah Allah.

Anwar dan isu kalimah Allah

Menurutnya Anwar ketika menyampaikan ucapannya di Taginambur, Kota Belud semalam banyak menyentuh isu semasa termasuk kalimah Allah yang kononnya angkara Umno. Sedangkan semua isu tersebut berlaku di Selangor yang ditadbir oleh kerajaan pakatan rakyat.

“Saya hanya ingin maklumkan kepada Datuk Seri Anwar bahawa naskah Al-Kitab yang dirampas berlaku di negeri Selangor, yang di tadbir oleh parti beliau iaitu Pakatan Rakyat. Agensi yang merampas adalah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) iaitu agensi negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat.

“Enakmen negeri yang melarang penggunaan kalimah Allah di Selangor diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Selangor yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat. Sultan yang bertitah mengenai larangan penggunaan kalimah Allah ialah DYMM Sultan Selangor, Sultan negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat,” katanya.

Rahman turut mengatakan sekiranya Anwar merasakan isu tersebut menghantui pemikirannya, dia sepatutnya memecat semua pegawai yang terlibat atau sekurang-kurangnya segera mengadap DYMM Sultan Selangor dan meminta baginda menarik kembali titah larangan yang dikeluarkan sebelum ini.

(Baca: Anwar Ke Jepun Atas Jemputan Anak Pengasas Yakuza?)

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum ini bertitah bahawa penggunaan kalimah Allah hanya tertakluk kepada umat Islam sahaja, mengikut peruntukan di dalam Jadual kepada Seksyen 9 Bahagian 1 Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 yang diwartakan pada 1988.

“Jawapannya senang sahaja. Datuk Seri Anwar tidak berani. Dia lebih berani nak berceramah di Kota Belud dan cuba mengabui mata rakyat dan lepas tangan sambil menuduh orang lain. Apa pun masih tidak lewat untuk Datuk Seri Anwar untuk menujukkan keberaniannya,” ujar beliau lagi.

Tidak cukup dengan itu, beliau turut mencabar Anwar untuk meminta kerajaan Selangor membawa usul bagi meminda Enakmen Agama Bukan Islam Selangor (1988) dalam persidangan dewan undangan negeri yang akan bersidang tidak lama lagi.

“Tidak ada alasan untuk pindaan itu tidak diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri kerana Pakatan Rakyat mempunyai majoriti dua pertiga di Dewan tersebut. Lagi pun tiga Ahli Yang Berhormat DAP dari Selangor telah berjanji untuk membawa usul pindaan itu. Saya harap Datuk Seri Anwar tidak menekan mereka untuk menarik balik hajat mereka itu.

“Samada DYMM Sultan Selangor akan berkenan meluluskan pindaan itu atau tidak bukan persoalannya. Yang penting Datuk Seri Anwar ada peluang untuk membuktikan bahawa beliau serius untuk membenarkan penggunaan kalimah Allah di Selangor yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat,” jelas beliau lagi.

[Sumber]

Nik Aziz Kata, "Jangan Guna Kalimah ALLAH Ganti God"

Nik Aziz Kata, "Jangan Guna Kalimah ALLAH Ganti God"

*Tonton video di bawah sehingga ke penghujung mengenai pendirian terkini Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkaitan penggunaan kalimah Allah yang nyata berubah berbanding sebelum ini.

Nik-aziz-bantah-kalimah-Allah

Masyarakat bukan Islam di negara ini tidak boleh sesekali menggunakan kalimah ALLAH sebagai menggantikan perkataan God sebagaimana yang terdapat dalam kitab mereka khususnya Bible, tegas Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menurutnya, perkataan God dalam kitab itu lebih tepat diterjemah kepada perkataan ‘tuhan’ bukannya ALLAH sebagaimana desakan sesetengah pihak.

“Tetapi yang menjadi masalah sekarang kerana ada orang mahu God diterjemah kepada ALLAH, ini tidak betul, God maknanya Tuhan, ia bukan bermakna ALLAH, ALLAH lain, tuhan lain, tuhan terlalu banyak, ada orang bertuhankan harta.

“Tuhan yang sebenar adalah ALLAH, tetapi God dalam bahasa Inggeris itu tidak boleh diterjemah kepada ALLAH, sebaliknya tuhan. Nama apa tuhan?

“ALLAH nama sebenarnya. Nabi Isa bukan tuhan, Siti Maryam tidak tuhan, (Malaikat) Jibril tidak tuhan, ALLAH itu nama-Nya, sifatNya ada 99, orang tidak boleh kenal ALLAH melainkan melalui nama-nama-Nya,” katanya ketika menyampaikan Kuliah Jumaat di Medan Ilmu.

(Baca: Realiti Nama Tuhan Dalam Agama Kristian)

Menurutnya, masyarakat Arab jahiliyah di Makkah menggunakan kalimah ALLAH sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW lagi, malah sekarang orang Cina pun selalu menyebut Alhamdulillah, Insya ALLAH selaligus membuktikan kalimah ALLAH sudah jadi sebutan untuk semua tanpa mengira Islam atau kafir.

Bagaimanapun katanya, walaupun kini kalimah ALLAH itu menjadi lafaz ‘biasa’ dalam kegiatan seharian masyarakat termasuk orang bukan Islam, namun ia tidak boleh disamakan dengan tuhan yang dirujuk dalam fahaman agama mereka.

Dalam pada itu, Nik Abdul Aziz enggan mengulas lanjut mengenai isu kalimah ALLAH sebaliknya hanya mengulangi sokongannya terhadap keputusan Majlis Syura Ulama Pas pada Januari tahun lalu.

Isu kalimah ALLAH hangat kembali berikutan tuntutan Pengarang The Herald, Paderi Lawrence Andrew yang berkeras mahukan semua gereja Katolik di Selangor menggunakan kalimah ALLAH dalam perhimpunan mingguannya sebelum mengundang kemarahan umat Islam.

Mesyuarat Majlis Syura Ulama Pas pada 13 Januari tahun lalu sebulat suara memutuskan ALLAH adalah kalimah suci iaitu ALLAH Yang Esa, tunggal, tidak beranak dan tidak diperanakkan.

Majlis Syura Ulama ketika itu turut menegaskan bahawa kalimah ALLAH adalah kalimah khusus dan tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa dunia kerana tidak menepati kehendak sebenar kalimah tersebut, begitu juga sebaliknya.

Sumber: Sinar Harian Online

Friday, January 10, 2014

Contoh Kalimah ‘Allah’ Dalam Bible Bahasa Melayu

Contoh Kalimah ‘Allah’ Dalam Bible Bahasa Melayu

Di laman sosial, hari ini sudah mula tersebar petikan kandungan Bible berbahasa Melayu dengan beberapa bahagian kalimah Allah digunakan di dalamnya.

Contoh Kalimah ‘Allah’ Dalam Bible Bahasa Melayu

Dalam beberapa ayat Bible itu, disifatkan sebagai ‘Allah’ itu menurunkan anaknya yang jelas dalam Islam bahawa Allah SWT itu tidak beranak dan tidak diperanakkan.

Dalam petikan ini, ia memetik bahagian Yohanes verse ke 16 dan 17 yang mengandungi penerangan berkenaan ‘Allah’ dan anaknya jelas digunakan dalam konteks agama Kristian.

Jika Bible ini dibaca oleh pelajar sekolah menengah atau rendah beragama Islam tanpa didikan atau peringatan daripada guru agama atau keluarga, mereka akan mudah terpedaya sekaligus terpengaruh dengan ideologi Kristianiti.

(Baca: Realiti Nama Tuhan Dalam Agama Kristian)

Secara tidak langsung, kita boleh mengetahui apakah niat sebenar di sebalik keinginan mereka yang hendak sangat menggunakan kalimah Allah dalam Bible dan dicetak pula dalam Bahasa Melayu.

Jika Bible menggunakan kalimah ‘Allah’ dan dicetak dalam Bahasa Inggeris, umat Islam Melayu tidak akan mengambil kisah kerana ketidakfahaman dan jelas ayatnya terpesong.

Lebih-lebih lagi apabila menceritakan kononnya Allah ada anak yang dinamakan sebagai ‘Son’.

Tetapi, jika mereka cetak Bible dengan Bahasa Melayu dan disertakan dengan kalimah Allah, kedengarannya begitu dekat dengan rakyat berbangsa Melayu dan beragama Islam kerana Tuhan dalam agama Islam ialah Allah SWT yang satu.

Contoh Kalimah ‘Allah’ Dalam Bible Bahasa Melayu

Dengan majoriti penduduk di Malaysia adalah berbangsa Melayu, jadi lebih mudah Kristian itu disebarkan kepada orang Melayu beragama Islam jika ia dicetak dalam Bahasa Melayu dan ada kalimah ‘Allah’ di dalamnya.

Perlu diingat, penyebaran agama bukan bermula dari kandungan ajaran dan ritualnya, sebaliknya ia akan bermula daripada menanam kefahaman mengenai ideologinya kemudian baru agamanya.

Sumber: Mynewshub

The Herald dan Paderi Andrew Biadap – Dr Mahathir

The Herald dan Paderi Andrew Biadap – Dr Mahathir

Tun Dr. Mahathir Mohamad mempersoalkan niat sebenar Pengarang The Herald, Paderi Lawrence Andrew yang terus menyakitkan hati umat Islam apabila berdegil mahu gereja-gereja Katolik di Selangor menggunakan kalimah Allah.

Paderi Lawrence Andrew biadap

Sambil membidas sebarang perbuatan tidak menghormati keputusan mahkamah, Dr. Mahathir menegaskan, paderi tersebut perlu mengutamakan sensitiviti masyarakat berbilang kaum dan agama bagi mengelakkan berlaku huru-hara termasuk pembunuhan seperti di negara luar.

“Penggunaan kalimah Allah di Sabah dan Sarawak, telah lama (digunakan) tak apalah, tapi di sini (Semenanjung) apa sebab tiba-tiba nak digunakan?

“Kita suruh belajar Bahasa Kebangsaan pun tak belajar, nak bercakap Bahasa Kebangsaan pun tak, tiba-tiba dalam perkara ini nak guna sangat Bahasa Kebangsaan, pasal apa, ada niat apa?” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama dalam Seminar Pengarah Korporat Keenam sempena Ulang Tahun Ke-50 Tabung Haji di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Datuk Ismee Ismail.

(Baca: Realiti Nama Tuhan Dalam Agama Kristian)

Dr. Mahathir mengulas kenyataan Andrew yang tetap tidak berganjak daripada pendirian supaya gereja Katolik di Selangor menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguan yang menggunakan bahasa Melayu.

Dr. Mahathir berkata, isu pengunaan Kalimah Allah dirujuk ke mahkamah oleh pihak gereja namun apabila keputusan dibuat, mereka tidak mempedulikan.

“Kita jangan menyakitkan hati orang. Tapi dia (Andrew) sengaja, dah mahkamah kata jangan pun, (dia) tak peduli. Ini tak menghormati mahkamah,” katanya.

Tegasnya, paderi tersebut perlu sedar selama ini terdapat banyak kesalahan yang dilakukan orang bukan Islam tidak ditegur oleh umat Islam kerana menghormati sensitiviti serta atas dasar kebebasan beragama.

Malah, Dr, Mahathir turut mengakui, sewaktu bergelar Perdana Menteri, beliau tidak menegur kesalahan orang bukan Islam yang membina empat rumah ibadat dalam satu kawasan kecil disebabkan mahu menjaga sensitiviti.

“Di Malaysia kita tengok, orang bukan Islam bebas mengamalkan agama mereka sebaliknya di sesetengah negara bukan Islam, masjid tidak boleh didirikan,” katanya.

Justeru katanya, Andrew digesa menghormati keputusan mahkamah terhadap penggunaan kalimah Allah di dalam Bible versi bahasa Melayu.

“Sama ada boleh digunakan atau tidak perkataan Allah dalam agama adalah perkara lain, yang harus kita utamakan adalah sensitiviti masyarakat,” jelasnya.

Sumber: Utusan

Thursday, January 09, 2014

Isu Kalimah Allah, Paderi Andrew Hanya Perlu Patuhi Keputusan Mahkamah!

Isu Kalimah Allah, Paderi Andrew Hanya Perlu Patuhi Keputusan Mahkamah!

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini meminta pengarang majalah mingguan Katolik ‘The Herald’, Paderi Lawrence Andrew supaya menghormati keputusan mahkamah berhubung penggunaan kalimah Allah dalam kitab Injil berbahasa Melayu.

Tun-Dr-Mahathir-Isu-Kalimah-Allah

Beliau menegaskan paderi itu perlu menghormati sensitiviti masyarakat Islam di negara ini sebagaimana umat Islam menghormati agama lain.

“Yang rujuk kes ini ke mahkamah adalah mereka tapi bila mahkamah buat keputusan mereka tak peduli. Apa jadi kalau masyarakat tak hormat keputusan mahkamah?

“Penggunaan kalimah Allah di Sabah dan Sarawak telah lama, tak apalah, tapi di sini apa sebab tiba-tiba nak gunakan?” soal Dr Mahathir ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan ucap tama pada seminar Pengarah-pengarah Korporat Tabung Haji (TH) di Kelana Jaya di sini.

Beliau mengulas kenyataan Andrew 27 Dis lepas bahawa gereja Katolik di Selangor akan terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguannya dalam bahasa Melayu meskipun Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menghantar notis peringatan mengenai larangan penggunaan kalimah itu oleh bukan Islam.

Kenyataan beliau telah menimbulkan bantahan pelbagai pihak dan umat Islam terutama di Selangor dan semalam Andrew menegaskan tidak akan memohon maaf seperti yang didesak oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Umno Selangor dan Perkasa atas pendiriannya itu.

(Baca: Realiti Nama Tuhan Dalam Agama Kristian)

Dr Mahathir mengingatkan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang aman walaupun mempunyai rakyat pelbagai agama serta kaum, dan ini perlu dikekalkan dengan mengelak melakukan perkara yang menyentuh sensitiviti agama lain.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai bantahan pengwujudan cawangan Hard Rock Cafe di Putrajaya, bekas perdana menteri itu berkata timbul sebarang masalah jika premis hiburan diwujudkan di Putrajaya kerana ia bukan bandar keagamaan tetapi sebuah bandar pentadbiran.

“Manusia ini berkehendakkan hiburan. Kalau kata tak boleh minum arak dalam Putrajaya saya pun tak ada apa-apa, tapi sampai tak ada hiburan ini susahlah,” katanya.

Media melaporkan kemungkinan cawangan Hard Rock Cafe dibuka di Putrajaya, bandar pentadbiran cetusan ilham Dr Mahathir, susulan perbincangan mengenainya antara Presiden Perbadanan Putrajaya Tan Sri Aseh Che Mat dan ahli perniagaan Tan Sri Syed Yusof Syed Nasir.

Ditanya sama ada beliau bersetuju jika Hard Rock Cafe diwujudkan di Putrajaya, Dr Mahathir menjawab: “Bukan bersetuju Hard Rock Cafe tu. Saya bersetuju supaya ada hiburan di situ. Tapi kalau kita nak larang jual arak itu terpulang kepada mereka (pihak berkenaan).”

Aseh bagaimanapun dilaporkan sebagai menjelaskan tiada permintaan rasmi dikemukakan mengenai cadangan pembukaan pusat hiburan itu.

Terdahulu dalam ucapannya, Dr Mahathir berkata TH adalah sebuah entiti unik yang tiada tandingan di dunia dalam soal mengumpul wang rakyat untuk membolehkan mereka menunaikan ibadat haji.

Sumber: BERNAMA

Monday, January 06, 2014

Siapa Untung Jika Umat Islam Dan Kristian Bergaduh?

Siapa Untung Jika Umat Islam Dan Kristian Bergaduh?

Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan kebebasan beragama. Hakikat ini tidak mungkin dapat dinafikan oleh sesiapa kecuali mereka yang mempunyai agenda jahat serta hipokrit.

Perang Agama

Biarpun agama rasmi negara adalah Islam, namun tempat ibadat agama lain tidak pernah dihalang untuk didirikan asalkan tidak menyalahi undang-undang dan tidak mengganggu ketenteraman penganut agama lain.

Satu-satunya had yang dikenakan kepada agama lain ialah aktiviti dakwah mereka tidak boleh diperluaskan di kalangan umat Islam.

Di Malaysia, negeri dengan penganut terbesar agama Kristian ialah Sabah dan Sarawak yang terdiri dari suku kaum bumiputera.

Oleh kerana mereka lebih selesa dengan bahasa suku masing-masing serta lebih dekat dengan budaya kaum pribumi Melayu, maka bahasa yang digunakan dalam amalan Kristian mereka juga cenderung ‘meniru’ atau merujuk sebutan dalam agama Islam yang diamalkan oleh orang Melayu.

Justeru, penganut Kristian di sana merujuk kepada Tuhan sebagai ‘Allah’ iaitu ‘Father’ atau ‘Lord’ dalam kitab injil di seluruh dunia. Selama ini, rujukan kepada Tuhan Kristian sebagai ‘Allah’ tidak pernah menjadi isu kerana ia tidak pernah dilakukan di tempat lain melainkan Sabah dan Sarawak.

Rata-rata masyarakat Kristian di Semenanjung yang menggunakan injil berbahasa Inggeris selesa dengan merujuk kepada Tuhan mereka sebagai ‘Father’ atau ‘Lord’ iaitu bapa kepada ‘Jesus’.

Malah, pada hari ini, suku kaum di Sabah dan Sarawak yang beragama Kristian juga cukup maklum bahawa secara rasminya, seluruh dunia Kristian mengiktiraf panggilan Tuhan Kristian sebagai ‘Father’ atau ‘Lord’ dan ‘Allah’ adalah Tuhan yang Esa bagi umat Islam.

Kebebasan agama dengan had-had tertentu, serta sifat saling menghormati dan memahami antara agama ternyata mampu memastikan negara terus aman, stabil dan makmur. Namun, ini bukan bermakna negara ini tidak pernah diuji langsung.

Kita pernah melalui beberapa tragedi berdarah seperti 13 Mei tetapi tragedy itu bukan berpunca dari agama. Ia berpunca dari perbalahan kaum.

Tragedi Memali dan Sauk pula adalah masalah ekstremisme umat Islam yang melibatkan sesama Islam, bukan antara umat Islam dengan agama lain.

Pendek kata, ‘pertelingkahan antara agama’ tidak pernah timbul di Malaysia.

Malangnya, akhir-akhir ini pihak Kristian nampaknya begitu ‘seronok’ atau teruja sekali cuba menimbulkan pertelingkahan antara agama.

Entah kenapa, tiba-tiba penganut Kristian di Semenanjung, khasnya di Selangor ingin sangat menggunakan kalimah ‘Allah’ bagi merujuk kepada Tuhan mereka.

Seolah-olah panggilan ‘Father’ atau ‘Lord’ sudah tamat tempoh atau tidak lagi relevan, pemimpin agama Kristian termasuk para politikus pembangkang bermati-matian memperjuangkan penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam aktiviti agama Kristian di Semenanjung.

Tindak tanduk pemimpin agama itu dalam memperkatakan isu ini memperlihatkan seolah-olah ia ia satu jihad utama dalam Kristian.

Mereka sanggup naik turun mahkamah, menunjuk degil mencabar kerajaan dan mengundang pertelingkahan dengan umat Islam semata-mata untuk menggantikan perkataan ‘Father’ atau ‘Lord’ kepada ‘Allah’.

Alasan mereka untuk berbuat demikian tidaklah diketahui. Malah pemimpin Kristian dan juga politikus yang menjuarai isu ini di pihak mereka juga, tidak dapat menjelaskan kenapa nama Tuhan mereka perlu diganti.

Kita tidak faham kenapa penganut Kristian perlu menimbulkan ketegangan dan mencabar undang-undang?

Kenapa tidak kekalkan saja amalan dan nama yang digunakan sebelum ini sedangkan ia ternyata tidak membawa apa-apa masalah kepada sesiapa?

Mungkinkah penganut Kristian hari ini sudah tidak lagi mampu mengenali Tuhan sendiri kerana ia tidak bernama?

Mungkinkah agama Kristian yang mereka anuti tidak pernah menekankan soal hormat-menghormati dan toleransi?

Mungkinkah agama Kristian membolehkan mereka berdakwah dengan cara licik dan menipu?

Mungkinkah agama Kristian tidak mengutamakan keamanan dan menggalakkan penganutnya mencetuskan ketegangan?

Kita tidak perlukan jawapan yang panjang dari pemimpin agama Kristian tetapi kita hanya ingin tahu “apakah kesannya kepada penganut Kristian jika tidak menggunakan kalimah ‘Allah’ bagi merujuk kepada Tuhan mereka?”

Hanya satu jawapan dan kita akan berpuas hati.

Jika penganut dan pemimpin agama Kristian tidak mampu menjawab maka tidak salah jika kita menganggap mereka sebagai membawa agenda jahat untuk menyebar dakwah Kristian secara licik di kalangan umat Melayu.

Atau, jika ini tidak benar, maka pastinya para pemimpin agama Kristian di Malaysia sengaja ingin mencetuskan ketegangan agama.

Benarkah ini yang penganut Kristian inginkan? Jika benar, siapakah akan untung dari perbalahan ini? Para peniaga Cina? Padri-padri Kristian?

Siapakah yang akan terjejas jika ketegangan ini akhirnya membawa kepada keganasan? Para peniaga Cina? Padri-padri Kristian?

Sesungguhnya, Islam adalah agama keamanan. Namun, Islam juga menyeru umatnya mempertahankan diri sekiranya diserang.

Islam mengajar umatnya bertolak ansur dan hormat-menghormati kerana itu umat Islam tidak pernah mengganggu atau mencabar penganut Kristian.

Tetapi, penganut Kristian yang sengaja memprovokasi dan mencabar umat Islam dan kerajaan Islam dengan berdegil untuk menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam aktiviti dan risalah agama mereka, tanpa sebab-sebab yang konkrit yang membawa apa-apa kebaikan kepada sesiapa.

Tidak semena-mena, pada hari ini penganut Kristian di Malaysia telah memperlihatkan kepada dunia bahawa Kristian itu adalah sebenarnya agama yang sangat jahat!

BACA INI JUGA: Sakit Hati Melihat Kebaikan Dan Gembira Melihat Bencana

Sumber: Isuhot.com

Sunday, January 05, 2014

Hentikan Polemik Menyakiti Hati Dan Perasaan Umat Islam

Hentikan Polemik Menyakiti Hati Dan Perasaan Umat Islam

Polemik penyalahgunaan kalimah suci 'Allah' masih lagi berterusan pada ketika ini sejak keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 14 Oktober 2013 diumumkan.

Hentikan Polemik Menyakiti Hati Dan Perasaan Umat Islam

Pelbagai pihak memberi komentar positif dan negatif terhadap penghakiman tersebut dan tidak kurang juga yang mengkritik seolah-olah mereka terlibat secara langsung di dalam perbicaraan kes tersebut sama ada di peringkat Mahkamah Tinggi ataupun Mahkamah Rayuan.

Polemik ini 'diberatkan' lagi sesetengah pihak apabila Jabatan Agama Islam Selangor membuat siasatan ke atas sebuah premis di Petaling Jaya dan dilaporkan menyita 'Bible' berbahasa Melayu baru-baru ini.

Timbul pelbagai persoalan yang dibangkitkan di kalangan awam dan perkara ini perlu dijelaskan mengikut undang-undang tanpa mengambil kira faktor politik kepartian.

(Baca: Realiti Nama Tuhan Dalam Agama Kristian)

Seharusnya di dalam isu-isu Islam, politik kepartian diketepikan demi memartabatkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan selaras dengan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan dan sumpah Yang di-Pertuan Agong memelihara Islam pada setiap masa di dalam Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan.

Sebagai seorang peguam yang beramal di Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah saya berasa terpanggil untuk memberi sedikit penjelasan berkaitan hal ini. Penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam bagi merujuk kepada agama bukan Islam mereka adalah dilarang melalui Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam di Kalangan Orang Islam.

Setakat ini semua negeri di Malaysia telah pun meluluskan enakmen ini melainkan Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Sebenarnya enakmen-enakmen ini berakar-umbi dari Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Parlimen bagi Wilayah Persekutuan dan Dewan-Dewan Undangan Negeri bagi negeri-negeri boleh mengadakan undang-undang bagi menghad dan mengawal pengembangan agama bukan Islam di kalangan orang Islam.

Dalam hal yang demikian undang-undang telah dibuat termasuklah melarang penggunaan perkataan dan istilah yang berasaskan Islam dari digunakan oleh orang bukan Islam.

Perkara yang menjadi kesalahan dan boleh diambil tindakan undang-undang ialah orang bukan Islam merujuk perkataan dan istilah tersebut seperti Allah, Kaabah, Baitullah, solat, iman dan lain-lain lagi kepada perkara yang menjadi kepercayaan mereka.

Bukanlah yang dilarang itu orang Islam mengucapkan kalimah dan istilah tersebut dalam konteks yang betul iaitu mengikut jurisprudens Islam.

Berbalik kepada serbuan yang dilakukan oleh JAIS dan penyitaan Bible tersebut pelbagai pihak mempertikaikan keabsahan dan keperlembagaan serta bidangkuasa JAIS melakukan perkara tersebut.

Mungkin tidak ramai yang memahami keunikan undang-undang ini. Undang-undang ini bukanlah merupakan undang-undang syariah tetapi ia undang sivil yang digubal oleh Dewan Undangan Negeri. Kesalahan-kesalahan yang wujud di dalam enakmen ini pula akan didakwa dan dibicarakan di mahkamah sivil bukan mahkamah syariah.

Namun begitu dalam melakukan siasatan dan mengambil tindakan Seksyen 10 enakmen tersebut memperuntukkan hanya 'orang yang diberi kuasa' sahaja yang boleh melakukan siasatan dan tindakan.

(Baca: 24 Protokol Zionis Untuk Menguasai Dunia Terbongkar! )

Orang yang diberi kuasa ini mestilah orang yang diwartakan sebagai orang diberi kuasa oleh Majlis Kerja Negeri. Bagi Negeri Selangor orang yang diwartakan sebagai orang yang diberi kuasa menurut Seksyen 10 tersebut antara lainnya ialah Setiausaha Majlis Agama Islam, Ketua Penguatkuasa Agama JAIS, semua pegawai hal ehwal Islam JAIS dan pegawai polis berpangkat Inspektor ke atas.

Dengan pewartaan tersebut adalah amat jelas momokan bahawa JAIS tidak mempunyai bidangkuasa melakukan siasatan adalah tersasar dari realiti perundangan yang sebenar.

Perkara ini dikuatkan lagi dengan laporan polis yang dibuat oleh JAIS melalui Mohd Shahzihan Ahmad iaitu Ketua Penguatkuasa Agama sebagaimana yang termaktub di dalam warta. Malah pihak polis turut mengiringi semasa siasatan dan sitaan dibuat.

Adalah salah jika kita mengatakan enakmen syariah digunakan kepada orang bukan Islam dalam hal ini. Sebenarnya segala undang-undang substantif dan prosedural yang terpakai adalah undang-undang sivil.

Oleh itu Akta Keterangan 1956, Kanun Prosedur Jenayah dan enakmen tersebut hendaklah terpakai kepada mereka sama seperti perbicaraan kesalahan-kesalahan lain di mahkamah sivil. Enakmen Tatacara Jenayah Mahkamah Syariah tidak terpakai di dalam kes sebegini.

Larangan

Dalam hal ini tidak timbul keraguan mengenakan undang-undang Islam kepada orang bukan Islam. Malah persoalan kebebasan beragama juga tidak timbul kerana orang bukan Islam tersebut mestilah membuktikan penggunaan kalimah-kalimah tersebut adalah bahagian yang mendasar (integral part) dalam agama mereka sebagaimana yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya lewat tahun lepas.

Pada 14 Oktober 2013 Mahkamah Rayuan telah mengenepikan perintah yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi dan membenarkan rayuan perayu-perayu.

Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa menteri tidak bertindak salah di dalam mengenakan syarat-syarat penerbitan tersebut.

Larangan yang dibuat oleh menteri berkaitan penggunaan kalimah Allah bagi merujuk kepada agama Kristian juga diputuskan tidak bertentangan dengan Perlembagaan.

Kalimah Allah juga bukan merupakan suatu yang mendasar di dalam agama Kristian.

Sebenarnya dalam banyak kes mahkamah adalah konsisten menentukan perkara mendasar di dalam sesebuah agama bagi melihat sama ada hak mengamalkan agama tersebut diceroboh atau sebaliknya.

Sebagai contoh di dalam kes In the State of West Bengal v Ashutosh Lahiri AIR 1995 SC 464, Mahkamah India memutuskan bahawa penyembelihan semasa Aidiladha adalah suatu yang mendasar kepada umat Islam namun menyembelih lembu bukanlah suatu yang mendasar kerana lembu tersebut boleh diganti dengan kambing atau unta.

Oleh hal yang demikian melarang orang Islam menyembelih lembu di India sempena Aidiladha tidak menafikan hak beragama orang Islam.

Dalam kes Meor Atiqurrahman bin Ishak v Fatimah Sihi (2006) 4AMR 577 Mahkamah Persekutuan Malaysia pula memutuskan memakai serban bukanlah suatu yang mendasar di dalam Islam kerana ia tidak diwajibkan.

Maka perkara yang sama berlaku di dalam kes kalimah Allah ini kerana Mahkamah langsung tidak diberikan bukti bahawa kalimah Allah ini wujud di dalam kitab suci agama Kristian malah terdapat paderi Kristian sendiri yang tidak bersetuju penggunaan kalimah Allah untuk orang Kristian.

Ini adalah intipati asas mahkamah mencapai keputusan bahawa kalimah Allah bukanlah perkara yang mendasar di dalam agama Kristian.

Sebagai salah seorang peguam yang mengendalikan kes ini saya sering ditanya kenapa isu penyalahgunaan kalimah Allah ini diselesaikan melalui saluran undang-undang dan tidak melalui dialog dan hujah.

(Baca: Top 10 Peperangan Yang Bermula Dengan Pembohongan Amerika Syarikat)

Jawapan saya adalah mudah, semua saluran perlu digunakan oleh ahlinya. Para peguam melalui saluran perundangan, ulama melalui dakwah, pihak berkuasa melalui kekuasaannya malah setiap orang dari kita mempunyai tanggungjawab yang sama.

Saluran undang-undang adalah saluran yang terakhir dan pemfailan kes ini di mahkamah bukanlah dimulakan oleh orang Islam tetapi pihak Titular Roman Catholic Archibishop of Kuala Lumpur.

Saluran perbincangan memang terbuka luas malah ia telah sedang dan akan dilakukan oleh sesetengah NGO Islam melalui beberapa wadah tertentu.

Namun perbincangan sebegini biasanya tidak menarik perhatian media mungkin kerana ketiadaan nilai sensasi dan berita berbanding kes-kes di mahkamah.

Kegusaran umat Islam jika kalimah Allah ini terus digunakan oleh orang bukan Islam bagi merujuk agama mereka adalah berasas.

Sudah pasti umat Islam tidak selesa melihat nama-nama suci ini diletakkan di tempat yang tidak sesuai. Kegusaran umat Islam yang merupakan majoriti warganegara di Malaysia mestilah diambil kira demi memelihara keamanan dan ketenteraman awam.

Sumber: Utusan

Friday, November 08, 2013

“Sesungguhnya Allah Adalah Al Masih Putra Maryam”

“Sesungguhnya Allah Adalah Al Masih Putra Maryam”

Tokoh Maal Hijrah bagi tahun 1435 / 2013 Dr Zakir Naik telah menjelaskan bahawa Allah ialah nama khas merujuk kepada Allah S.W.T yang satu dan tidak boleh diterjemahkan sebagai unsur lain.


Beliau dalam satu ceramah di Putrajaya sempena sambutan Ma’al Hijrah di Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin berkata jika ada pihak yang cuba mentafsirkan Allah sebagai unsur lain adalah haram dan salah di sisi Islam.

Rakaman video petikan soalan berkenaan dimuatnaik di laman YouTube semalam melalui saluran YouTube sebTV dan TV Sunnah.

Beliau menjawab soalan penonton yang bertanya, “Adakah boleh penganut Kristian menggunakan kalimah Allah dalam Bible terjemahan bahas Melayu?”

Menurut beliau, kalimah Allah memang telah digunakan dalam kitab suci agama lain sejak lama dahulu antaranya kitab suci agama Hindu, Kristian dan Sikh.

“Pertamanya, biar saya jelaskan perkataan atau kalimah Allah ini ialah nama khas untuk Allah S.W.T. Dalam kebanyakan agama terbesar di dunia sekarang dalam kitab suci mereka anda akan menemui nama Allah tertulis di dalamnya.

“Allah tidak hanya disebut di dalam Al-Quran. Jika anda membaca Bible (Kitab suci Kristian) dalam “Gospel of Mathew” Jesus (Nabi Isa A.S) berkata Eli, Eli, Lama Sabachtani? (Oh God, Oh God, Why Have You Forsaken me?) dalam bahasa Hebrew, jika bahagian itu diterjemahkan ke bahasa Arab ialah Allah, Allah, La Ma Tarakhtani? Bahasa Hebrew dan Arab adalah saling berkait rapat,” katanya dalam ceramah berkenaan.

Menjawab soalan penonton itu, Dr Zakir berkata jika penganut Kristian bersetuju dengan konsep asal seperti apa yang diceritakan di dalam Bible yang asal mereka boleh menggunakan kalimah Allah itu.

“Jika mereka percaya dan yakin Allah itu hanya satu seperti yang dijelaskan dalam Surah Al-Ikhlas yang bermaksud Allah itu Maha Esa, jika mereka mahu menggunakan perkataan Allah untuk maksud yang betul TETAPI… jika mereka tafsirkan Allah itu Jesus maka mereka telah melakukan perbuatan mungkar.

“Allah telah berfirman dalam Surah Al-Ma’idah ayat ke-72 yang bermaksud, "Sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: “Sesungguhnya Allah adalah Al Masih putra Maryam"… Jadi untuk menggunakan kalimah Allah untuk merujuk kepada Jesus (Nabi Isa A.S) adalah haram,” kata Dr Zakir.

Beliau berkata maklumkan kepada penganut Kristian, ketika Jesus diikat di salib, Jesus sendiri menangis memohon bantuan Allah tetapi kenapa mereka tidak mahu mempercayai kewujudan Allah.

Dr Zakir sekali lagi dengan tegas mengatakan jika penganut Kristian ingin menggunakan kalimah Allah untuk menggambarkan Allah sebagai Jesus (Nabi Isa) untuk menyebarkan Kristian kepada umat Islam ia adalah satu kesalahan di sisi Islam.

Dr Zakir yang mendapat pendidikan tinggi sebagai seorang doktor merupakan penceramah dalam topik Islam dan Perbandingan Agama serta beliau adalah pengasas Yayasan Penyelidikan Islam yang turut memiliki sebuah stesen televisyen Peace TV yang berpengkalan di Dubai, UAE.

[Sumber]

Wednesday, October 23, 2013

Allah Bermaksud Tuhan, Semua Jenis Tuhan?

Allah Bermaksud Tuhan, Semua Jenis Tuhan?

Sarjana agama terkemuka dari Amerika Syarikat Reza Aslan turut sepakat dalam kritikan terhadap larangan penggunaan kalimah Allah di Malaysia dan mengatakan keputusan Mahkamah Rayuan minggu lalu merupakan satu keputusan politik.

Reza Aslan
Reza Aslan.

Dalam satu wawancara bersama radio BFM, Reza (gambar) menegaskan, penganut Kristian menggunakan kalimah Allah yang membawa maksud Tuhan dalam bahasa Arab dan ianya bukanlah satu ancaman kepada Islam.

"Pengganas Taliban meletakkan bom bersama Al-Quran dan membawanya ke sebuah masjid di Pakistan pada Hari Raya Korban. Inilah ancaman kepada Islam," katanya.

Minggu lalu, seorang Gabenor di Afghanistan terbunuh selepas sebutir bom yang diletakkan berhampiran Al-Quran meletup semasa beliau sedang menyampaikan ucapan Aidiladha.

Reza yang menulis buku “No God But God: The Origins, Evolution, and Future of Islam” hairan dengan keputusan Mahkamah Rayuan di Malaysia kerana kalimah Allah merupakan istilah merujuk kepada Tuhan, “sebarang jenis Tuhan”.

"Allah daripada perkataan Al-Ilah. Itulah asal perkataannya. Al-Ilah bermaksud Tuhan. Allah bukan nama Tuhan. Sesiapa yang fikir Allah adalah nama Tuhan bukan sahaja silap tetapi bertentangan dengan Al-Quran itu sendiri.

"Ini bukan satu interpretasi. Ia fakta sejarah," katanya.

Minggu lalu, tiga panel Mahkamah Rayuan dalam penghakimannya menetapkan "kalimah itu bukan perkara asas dalam kepercayaan dan amalan Kristian serta penggunaannya akan mencetuskan kekeliruan di kalangan umat Islam".

Keputusan itu mencetuskan perdebatan di antara sarjana sementara masyarakat Islam antarabangsa melahirkan rasa hairan atas kecelaruan yang terjadi.

Reza turut tertawa kecil mengenangkan keputusan mahkamah sambil berkata, "bagaimana anda boleh membacanya dan tidak tertawa?"

Selepas mahkamah mengumumkan keputusan itu, Reza dalam kiriman Twitter menulis, "Bagaimana Malaysia boleh menjadi bodoh? Di Malaysia melarang penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam, saya rasa Amerika telah melarang perkataan 'twerking' kepada mereka yang berumur 17 tahun".

"Larangan itu bukan sahaja menyebabakan penganut Kristian tidak boleh menggunakan kalimah itu tetapi turut memberi ancaman kepada Islam.

"Rakyat Malaysia (orang Islam) sangat bodoh jika mereka mendengar penganut Kristian menggunakan kalimah Allah, mereka pula yang menjadi Kristian. Maksud saya kebodohan kenyataan itu terserlah," katanya dalam temubual itu.

Reza mengulangi pendirian sarjana dan penulis Islam bahawa penganut Kristian dan Yahudi di Semenanjung Arab sebelum kedatangan Nabi Muhammad merujuk Tuhan mereka sebagai Allah.

"Mengapa? Sebab mereka berbahasa Arab. Bukannya kerana kalimah Allah merujuk spesifik kepada Tuhan tetapi ia dalam bahasa Arab yang merujuk kepada Tuhan. Ia bukan satu pandangan. Ia fakta," katanya.

"Jika ada Imam yang memberitahu Tuhan mempunyai nama. Mereka sesat. Allah bukanlah nama Tuhan. Umat Islam tidak memiliki kalimah itu."

Reza yang merupakan Profesor sejarah Islam berkata keputusan Mahkamah Rayuan telah menjadikan Malaysia bahan tertawa serata dunia.

"Ini melihatkan umat Islam di Malaysia perlu dilindungi oleh mahkamah kerana mereka tidak mampu berfikir sendiri. Kami mentertawakan anda.

"Ia satu pencabulan kepada kemodenan, Perlembagaan dan demokrasi sebuah negara Islam seperti Malaysia," katanya.

[Sumber]

Kalimah “Allah” Digunakan Untuk Pengaruhi Melayu Masuk Kristian?

Kalimah “Allah” Digunakan Untuk Pengaruhi Melayu Masuk Kristian?

Perdebatan mengenai isu kalimah Allah berterusan hari ini apabila pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Islam Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) mendakwa kalimah Allah digunakan untuk pendakwah Kristian mengembangkan agama mereka kepada umat Islam.

Isu Kalimah Allah
NGO Islam: Kalimah “Allah” digunakan 
untuk pengaruhi Melayu masuk Kristian.

Menurut Isma, isu kalimah Allah adalah usaha pihak Kristian untuk mengkristiankan orang Melayu melalui penerbitan mereka.

"Jadi ia bukan isu orang bukan Islam boleh sebut atau tidak nama Allah. Akan tetapi isunya adalah, ada terbitan-terbitan bahasa Melayu yang diterbitkan oleh gereja yang kita rasa ia disasarkan kepada orang Islam," kata Naib Presiden 1 Isma, Muhammad Fauzi Asmuni.

Menurut Muhammad Fauzi ini dapat dibuktikan apabila pihak Kristian berkeras mahu menukar perkataan Tuhan kepada Allah dalam penerbitan berbahasa Melayu mereka.

"Dalam terbitan bahasa Inggeris, mereka tidak menukarkan God kepada Allah. Dalam terbitan bahasa Cina atau India, dia tak nak tukar pun perkataan itu kepada Allah, tetapi dikekalkan perkataan yang sama.

“Hanya dalam terbitan bahasa Melayu sahaja mereka mahu tukarkan perkataan God kepada Allah. Oleh itu, apabila kita membincangkan isu ini, kita kaitkan bahawa ia adalah satu misi kristianisasi," katanya dalam wawancara khas yang diterbitkan oleh Isma dan diedarkan kepada media hari ini.

Menurut Isma, isunya adalah penerbitan yang disasarkan kepada orang Melayu, di dalamnya ada perkataan Allah yang menggantikan perkataan ‘God’ bagi Kristian.

Beliau seterusnya mempersoalkan, mengapa mereka mahu menukar perkataan God kepada Allah?

Menurut Isma, orang Kristian sudah ada nama tuhan mereka sendiri dalam Old Testament, New Testament, dalam Injil dan Taurat yang lama, ada yang disebut sebagai Yehuwa, Yahweh, Adonai, Elohim dan sebagainya.

"Itu nama-nama tuhan mereka, mengapa mereka tidak kembali kepada nama-nama itu? Itu satu persoalan, dan mereka nak tukar juga God kepada Allah," katanya.

Katanya, jika mereka hendak menyelaraskan bahasa Inggeris dengan bahasa Melayu, perkataan God sepatutnya diterjemahkan kepada tuhan.

"Allah bukan bahasa Melayu, ia bahasa Arab, atau ada setengah yang berkata ia nama khusus dalam bahasa Arab. Mereka bukan betul-betul bertujuan untuk selaraskan bahasa. Ia bukan setakat isu itu," katanya.

Beliau membangkitkan pengalaman yang berlaku di benua India pada kurun ke-19, apabila Kristian datang ke sana, mereka terjemahkan Bible ke dalam bahasa Benggal.

"Masyarakat di Benggal ada tuhan tempatan. Tuhan orang tempatan bernama Ishwar. Mereka pun terjemahkan God kepada Ishwar. Mengapa terjemahkan God kepada Ishwar?

"Jadi maknanya, memang satu strategi untuk mengkristiankan orang tempatan mereka akan menggunakan nama tuhan orang tempatan," dakwa beliau.

Memang orang Kristian sendiri mengakui bahawa masalah mereka dalam kristianisasi, adalah masalah linguistik, dakwanya.

"Apabila mereka tukar kepada Ishwar, maka orang tempatan berasa kitab yang dibaca itu kitab mereka dan mereka tidak menolak pada peringkat awal. Mereka akan terus membaca," kata Muhammad Fauzi.

Dalam membacakan keputusan Mahkamah Rayuan baru-baru ini, Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohamed Apandi Ali, salah seorang daripada tiga hakim yang membenarkan rayuan Putrajaya melarang Herald menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya itu menyebut dalam penghakimannya bahawa terdapat arahan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 5 Disember 1986 melarang penerbitan bukan Islam menggunakan empat perkataan iaitu Allah, kaabah, solat dan Baitullah.

Herald memulakan penerbitannya sejak 1994 dan KDN boleh memberikan peringatan dan surat tunjuk sebab kepada penerbit jika gagal mematuhi arahan itu.

[Sumber]

Tuesday, October 22, 2013

Sidang Injil Borneo KL Nekad Pertahan Kalimah Allah!

Sidang Injil Borneo KL Nekad Pertahan Kalimah Allah!

Mahkamah Rayuan Putrajaya menetapkan majalah minggun The Herald dilarang menggunakan kalimah Allah sebagai rujukan kepada tuhan bagi agama Kristian dalam penerbitan Bahasa Malaysia.

Isu Kalimah Allah

Sebelum ini, Kerajaan Persekutuan mengemukakan rayuan terhadap keputusan kontroversi Mahkamah Tinggi yang membenarkan kalimah suci itu digunakan The Herald.

Isu Kalimah Allah

Keputusan panel tiga diketuai Hakim Datuk Seri Mohamed Apandi Ali berpendapat, kalimah suci itu jika dibenarkan penggunaannya akan mencetuskan kekeliruan dalam masyarakat.

(Baca: Realiti Nama Tuhan Dalam Agama Kristian)

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam berkata, keputusan Mahkamah Rayuan berhubung penggunaan kalimah Allah tidak melibatkan amalan penganut Kristian di Sabah dan Sarawak.

Najib berkata perkara yang terkandung dalam resolusi 10 perkara peringkat kabinet pusat itu akan dikekalkan di kedua-dua negeri.

“Baru-baru ini apabila Mahkamah Rayuan membuat keputusan mengenai kalimah Allah, ia tidak menyentuh sama sekali mengenai amalan Kristian di Sabah dan Sarawak, malah 10 points agreement masih dikekalkan,” katanya.

Namun bagi Sidang Injil Borneo Kuala Lumpur (SIBKL), mereka tetap akan menggunakan kalimah Allah

” Tidak kira apa pun yang akan terjadi, kami di KBM tetap akan menggunakan kalimah Allah, memuji, menyembah & mengasihi Allah Bapa, Anak Allah & Roh Allah,” kata mereka dalam Facebook.

Anda lihat dan nilaikanlah sendiri gambar-gambar di bawah, ia diambil dari laman web mereka sendiri iaitu di http://www.sibkl.org.my

Isu Kalimah Allah
Isu Kalimah Allah
Isu Kalimah Allah
Isu Kalimah Allah

[Sumber]

Realiti Nama Tuhan Dalam Agama Kristian

Realiti Nama Tuhan Dalam Agama Kristian

Penegasan penganut agama Kristian terhadap pemakaian istilah Allah sebagai kata ganti nama “God” dalam kitab-kitab terjemahan dan upacara-upacara keagamaan mereka hanya membuka kelemahan mereka kepada tatapan umum bahawa masyarakat Kristian tidak tahu nama sebenar Tuhan mereka.

YESUS IS gOD

Ajukanlah kepada sesiapa sahaja dalam kalangan penganut Kristian termasuk para paderi, nescaya pelbagai jawapan akan terpacul dari mulut mereka.

Sebahagian daripada mereka akan merujuk kepada Jesus atau Yesus sebagai Tuhan dan segelintirnya merujuk kepada Jeremiah, segolongan lagi merujuk kepada Allah.

Terdapat juga penganut Kristian yang merujuk kepada Yahweh, Yehuwa, Yahova atau Jehovah. Ini kerana tidak terdapat satu pun istilah yang menepati dan merujuk kepada Tuhan dalam Bible penganut Kristian. Bible mereka yang terlalu kerap disunting tidak memaparkan nama Tuhan yang wajar disebut dalam ritual keagamaan Kristian.

Justeru, untuk mengelakkan kesukaran dan kekeliruan, penganut Kristian mengambil keputusan untuk meminjam nama Tuhan yang sering digunakan oleh masyarakat setempat.

Sebagai contoh yang diperakui sendiri oleh para pemimpin Kristian Malaysia antaranya Joseph Masilamany yang mengemukakan pendapat bahawa;

“Penggunaan perkataan “Allah” untuk merujuk kepada Tuhan dalam kalangan penganut agama Kristian telah diamalkan dengan meluas untuk beberapa generasi di banyak Negara dan bukan bertujuan menyinggung perasaan atau mengelirukan masyarakat Islam.”

Penyunting akhbar mingguan Katholik tempatan iaitu Paderi Lawrence Andrews dan Setiausaha Agung Majlis Gereja-Gereja Malaysia, Rev. Herman Shastri menyokong kenyataan tersebut. Paderi Lawrence dilaporkan mendakwa bahawa;

“Istilah ”Allah” yang digunakan oleh orang Kristian atau dalam tulisan mereka tidak bermaksud menggusarkan masyarakat Islam atau mencetuskan kekeliruan. Kami mengikut Bible. Bible dalam bahasa Melayu menggunakan “Allah” sebagai terjemahan istilah “God” dan “Tuhan” sebagai terjemahan untuk istilah “Lord”.” (The Sun: 24 Disember 2007)

Beliau seterusnya mendakwa bahawa;

“Mulai awal abad ke-19, para penganut Katholik di Malaya telah pun memiliki buku-buku doa dalam bahasa Melayu dan perkataan “Allah” telah digunakan sebagai terjemahan kepada istilah “God”.

Beliau turut menyatakan bahawa;

“Para penganut Katholik Malta juga menggunakan perkataan “Allah” untuk merujuk kepada Tuhan dan demikian juga masyarakat Kristian di Indonesia, Pakistan dan Asia Barat.”

Menurut Rev. Herman Shastri;

“Para penganut Kristian yang tinggal di Negara-Negara majoriti Muslim menggunakan kalimah “Allah” apabila merujuk kepada Tuhan dalam upacara doa umum (liturgy) mereka. Biarpun pihak berkuasa tidak membenarkan penggunaan perkataan-perkataan tertentu, pihak gereja akan terus memakainya kerana perkara ini bersangkut-paut dengan buku-buku suci kami.”

Selain itu, merujuk kepada sebuah buku bertajuk KEBENARAN YANG MEMBIMBING KEPADA HIDUP YANG KEKAL yang diterjemahkan oleh Kumpulan Siswa-Siswa Alkitab (Bible) Indonesia, cetakan tahun 1973, kumpulan penulis buku ini menceritakan tentang usaha mereka untuk menghapuskan semua bentuk “bidaah” yang wujud dalam masyarakat dan amalan Kristian di seluruh dunia.

Pihak Kristian sendiri mengakui bahawa mereka mengalami masalah besar untuk menentukan nama Tuhan mereka yang sebenar.

Menurut mereka, nama Tuhan mereka sebagaimana yang terkumpul dan tercatat dalam kitab-kitab suci yang berada di tangan mereka hanya mencatatkan perkataan “YHWH” (diRomankan dari huruf-huruf bahasa Hebrew yang berbunyi “Yod, He, Vau, He” atau “Yet, Huv, Wah, Huv”).

Bahasa Hebrew jarang menggunakan huruf-huruf vokal untuk memudahkan cara pembacaan dan bahasa ini hanya fasih dibaca oleh mereka yang bertutur dalam bahasa tersebut.

Justeru, pihak pemimpin agama Yahudi (Rabbi) tidak dapat mengagak bentuk sebutan sebenar perkataan “YHWH” itu. Rabbi-Rabbi Yahudi mengharamkan mana-mana individu Yahudi dari menyebut perkataan “YHWH” tersebut kerana ketidakpastian yang timbul.

Sehubungan dengan itu, sebagai alternatif, mereka memasukkan perkataan “Adonai ” atau adakalanya “Elohim” untuk diganti sebut apabila ternampak perkataan “YHWH” dalam kitab mereka. Menurut Rabbi Yahudi, menyebut “YHWH” tanpa mengetahui cara sebutannya yang betul akan mengundang dosa.

Dalam “New Testament” atau “Perjanjian Baru” pula yang bahasa asalnya adalah bahasa Greek, nama Tuhan disebut dengan perkataan “Kyri.os” yang diterjemahkan dalam bahasa Inggeris sebagai “Lord” dan perkataan “The.os” yang diterjemahkan dalam bahasa Inggeris sebagai “God”.

Justeru, realiti nama sebenar Tuhan dalam kedua-dua Old Testament dan New Testament (Perjanjian Lama dan Baru) yang terkandung dalam Bible menjadi suatu ketidakpastian sehingga kini. Ia kekal sebagai satu misteri sebagaimana agama mereka sendiri yang penuh dengan misteri-misteri yang tidak boleh dihuraikan oleh penganutnya.

Selepas abad ke-16, terdapat usaha-usaha daripada pihak sarjana Kristian untuk menyelesaikan masalah ini dengan memperkenalkan cara sebutan terbaik kepada perkataan “YHWH”. Segelintir membacanya dengan sebutan “YaHWeh” dengan memasukkan huruf vokal “a” dan “e”. Sesetengahnya pula menyebutnya dengan sebutan “YeHuWaH. Walaupun begitu, tanpa alasan yang kukuh, sebutan “YaHWeh” dan “YeHuWaH” tersebut bertukar menjadi Jehovah dalam beberapa mazhab Kristian seperti Protestant dan Jehovah Witnesses.

Justeru, untuk mengelakkan sebarang kekeliruan, mazhab Kristian lain cuba dengan sedaya upaya mengelak daripada menggunakan perkataan tersebut. Sebagai langkah selamat mereka menggunakan apa saja nama yang biasa digunakan masyarakat setempat bagi menggambarkan identiti Tuhan.

Isu sebegini sewajarnya tidak timbul jika tiada sebarang percanggahan fakta mengenai nama Tuhan dalam Bible agama Kristian. 

Dalam Bible (versi King James), Tuhan sebagaimana dalam kitab suci mereka telah beberapa kali memperkenalkan namaNya untuk dikenali oleh masyarakat penganut Kristian dan Yahudi. Sebagai contoh pernyataan di bawah yang dipetik daripada Old Testament;

Exodus, 6 : 2 & 3 (Bible Versi King James)

“6:2 And God spake unto Moses, and said unto him, I am the LORD: 6:3 And I appeared unto Abraham, unto Isaac, and unto Jaco, by the name of God Almighty, but by my name JEHOVAH was I not known to them”.

Kesimpulannya, pernyataan tersebut menjelaskan bahawa sebelum zaman Nabi Musa, Tuhan hanya dikenali dengan nama “God”, yang merupakan terjemahan bahasa Inggeris terhadap versi asal pernyataan dalam gospel Exodus yang bahasa asalnya adalah bahasa Hebrew yang menggunakan perkataan “YHWH” sebagai kata ganti nama diri Tuhan.

Bermula dengan Nabi Musa, Tuhan mula memperkenalkan namaNya sebagai “YHWH”. Tetapi setelah diterjemahkan dan dipersetujui oleh sekumpulan sarjana Kristian, dalam versi King James ini mereka menukarkan “YHWH” dengan nama “Jehovah”. Hakikatnya, menurut sarjana Katholik, nama Jehovah itu sendiri tidak pernah dikenali pada zaman-zaman sebelum ini.

Sehubungan itu, sewajarnya pihak gereja di Malaysia menggunakan perkataan “Jehovah” atau “YaHWeH” atau “YeHuWa” atau “YHWH” dan banyak lagi nama yang disabitkan dengan Tuhan mereka yang sememangnya tercatat dalam kitab asal mereka dalam bahasa Hebrew dan Greek. 

Istilah “Allah” merujuk kepada Tuhan yang mempunyai kualiti-kualiti yang sewajarnya dipenuhi terlebih dahulu untuk melayakkan setiap sesuatu yang cuba mendakwa dirinya sebagai Allah. Semua ciri yang sewajibnya wujud pada Allah, sewajarnya menepati ciri-ciri yang disebut dalam surah Al-Ikhlas.

Imam Turmudzi, Imam Hakim dan Imam Ibnu Khuzaimah telah meriwayatkan sebuah hadis melalui Abul ’Aliyah, yang ia terima daripada Ubay ibnu Ka’b, bahawasanya orang-orang Musyrik telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w.: “Ceritakanlah kepada kami Rabbmu.” Maka Allah menurunkan firmanNya seperti dalam surah Al-Ikhlas;

”Katakanlah: ”Dialah Allah Yang Maha Esa”. Allah, Tuhan yang bergantung kepadaNya segala sesuatu. Dia tiada beranak dan tiada pula diperanakkan. Dan tiada yang setara denganNya”. (Al-Ikhlas : 1 - 4).

Selain itu, Professor Dr. Syed Tawfik Ali al-Attas telah melontarkan komentar yang amat bernas berhubung dengan penggunaan istilah ”Allah” dari aspek semantik. Beliau menegaskan bahawa cara untuk mempengaruhi pemikiran adalah melalui bahasa dan bahasa memberikan kesan terhadap cara seseorang berfikir. Kita telah diperingatkan oleh dakwaan penganut-penganut Kristian bahawa;

“Bible bahasa Melayu menggunakan “Allah” untuk “God” dan “Tuhan” untuk “Lord”.”

 Makna-makna bagi istilah tersebut dalam Bible bahasa Melayu yang mereka rujuk adalah jelas salah dan seolah-olah mereka ingin menunjuk dan mengajar orang-orang Melayu mengenai peristilahan yang betul dalam bahasa Melayu.

Bahasa Melayu menterjemahkan istilah “Tuhan” untuk merujuk kepada “God” dan bukan istilah “Lord”. Orang Melayu memahami bahawa apabila istilah “ilah” digunakan, ia merujuk kepada istilah Inggeris “God” dan istilah Melayu “Tuhan”, dan apabila istilah Arab “rabb” digunakan, ia merujuk kepada istilah Inggeris “Lord”.

Justeru, apabila kalimah syahadah diterjemahkan dalam bahasa Melayu, bunyinya adalah “tiada Tuhan melainkan Allah” yang diterjemahkan dalam bahasa Inggeris sebagai “there is no God except Allah”. Sekiranya istilah “God” diterjemahkan sebagai “Allah”, maka terjemahan tersebut akan berbunyi “Tiada Allah melainkan Allah” (“There is no Allah but Allah”), yang merupakan satu percanggahan. Terjemahan yang sebegitu janggal bukan sahaja mengeruh dan menimbulkan masalah, malah akan mengundang perselisihan dan rasa bingung.

Walau bagaimanapun, Paderi Lawrence sememangnya sarat dengan percanggahan. Beliau menggunakan rangkai kata “bahasa Malaysia” merujuk kepada bahasa yang digunakan dalam terbitan mingguan mereka untuk memenuhi keperluan “ramai penganut Katholik yang bertutur dalam bahasa Malaysia” di Negara ini.

Beliau kemudiannya berhujah dengan menggunakan peristilahan yang terdapat hanya dalam bahasa Melayu dan bergantung kepada fakta dan ketetapan siasah dalam medan siasah yang diputuskan oleh Jemaah Menteri bahawa bahasa Melayu dirujuk sebagai “bahasa Malaysia”.

Menurut Professor Dr Syed, apabila seseorang itu merujuk kepada satu bahasa yang mencerminkan faham-faham maknawi ajaran-ajaran atau kelaziman akidah yang tertentu (dalam hal ini bahasa Melayu) dia tidak seharusnya melalaikan pengertian penting bahasa tersebut bernisbah kepada bahasa-bahasa yang lain. Bahasa Melayu khusus bernisbah kepada orang-orang Melayu.

Menurut Professor Dr. Syed, bahasa Melayu adalah satu bahasa yang faham-faham utamanya adalah berkenaan dengan hakikat insan dan nisbah antara yang kudus dengan yang nista yang telah dilahirkan dari rahim agama Islam dan kebudayaan Melayu. Budaya Melayu itu sendiri terhasil daripada agama Islam. Oleh itu, jika peristilahan dari agama lain mengenai faham-faham utama diterjemahkan dalam bahasa Melayu, ia wajib mencerminkan kelaziman Melayu yang berpunca daripada agama Islam. (Utusan Malaysia: 6 Januari 2008).

Analisis Perbandingan Konsep Tauhid dan Konsep Unitarian Aliran Eastern Church

Biarpun pelbagai penjelasan telah dikemukakan, pihak gereja begitu tegas dalam penggunaan kalimah Allah. Antara yang telah lama menggunakan istilah Allah adalah Gereja Timur yang sering dikaitkan sebagai gereja yang meyakini unitarian iaitu Tuhan adalah satu.

Pihak Gereja Timur sering mendakwa bahawa terdapat perbezaan yang jelas berhubung dengan konsep ketuhanan yang dipraktikkan oleh para penganut Kristian Roman Katholik di Negara Barat dengan para penganut Kristian di Negara Arab.

Kebanyakan penganut Kristian di Negara Arab mempraktikkan agama Kristian Timur atau dikenali sebagai Eastern Church yang berpusat di Iskandariah atau Alexandariah. Para penganut Kristian Arab ini meyakini konsep ketuhanan mereka adalah unity iaitu tuhan adalah satu atau dirujuk sebagai esa.

Konsep unity merujuk kepada maksud konsep ketuhanan iaitu Allah (Tuhan) itu tidak mempunyai ciri Bapa, Anak dan “Hantu Suci” (Father, Son and Holy Ghost).

Konsep Tuhan yang satu atau unity ini didakwa selari dengan konsep Allah yang Esa seperti yang dianuti dan diyakini oleh Muslim. Walau bagaimanapun, kenyataan atau dakwaan ini wajar diperhalusi untuk mengetahui kebenaran dan ketelusan konsep unity dan konsep tauhid.

The Encyclopedia of Christianity mendefinisikan maksud Eastern Church sebagai;

“Eastern Church is a relative term that goes back to the division of the – Roman Empire in 395 and denotes the church that developed in the eastern branch and that engaged in – mission beyond its borders. After the schism it came to be synonymous with Orthodoxy, in distinction from the Latin church of the West.” (Fahlbusch E. & Bromiley G.W:867)

Secara umum, Eastern Churches adalah mana-mana gereja (churches) yang lahir dan tumbuh di luar empayar Rom seperti Parsi, Syria, Armenia, Mesir, Etiopia dan India.

Apabila ditelusuri dengan lebih mendalam, tiada satu pun Eastern Church yang mempunyai akidah yang sama atau selaras dengan Islam dalam konsep ketuhanan. John Meyendorff, seorang pakar modern Orthodox menjelaskan di dalam bukunya Christ in Eastern Christian Thought bahawa;

“The true concept of God is Trinitarian. A little ealier we mentioned the Cyrillian christological formula – ‘One of the Holy Trinity suffered in the flesh.’ – A formula sung at every liturgy as part of the hymm ‘Only Begotten Son’.” (Meyendorff J.:181)

Sergeǐ Nikolaevich Bolgakov turut menjelaskan di dalam The Orthodox Church bahawa;

“There is one fundamental Christian dogma confessed by St. Peter in the name of all Apostles and thus in the name of the Church: “Thou are the Christ, the Son of the living God.” This same dogma served as the subject of the Apostles at the time of Pentecost. Jesus Christ is the eternal Word, the Son of God, Who has taken upon Himself human nature, without division or confusion, true God and true man, Who came into the world to save mankind, died on the Cross, rose again from the dead, ascended into heaven and is seated at the right hand of the Father, and Who will come again to this world for the Last Judgment and for His eternal reign. Concerning this article of faith there is no different whatever between Orthodoxy and the belief of Catholicism or those Anglicanism – at least Anglo-Catholicism-or those of orthodox Protentantism.” (Bulgakov S.N.:100-101)

Berasaskan penjelasan-penjelasan tersebut, umumnya, kesemua Eastern Church percaya kepada ketuhanan Jesus Christ dan hanya berbeza pendapat dalam beberapa perkara berkaitan dengan bentuk ketuhanan Jesus. Sebagai contoh dalam persoalan sama ada Jesus adalah sepenuhnya Tuhan sahaja atau sepenuhnya Tuhan pada masa yang sama sepenuhnya manusia.

Pernyataan-pernyataan tersebut jelas menunjukkan bahawa semua aliran Kristian sama ada Catholics, Protestants atau Eastern Churches adalah berkonsepkan trinitirian dan bukannya unitarian dalam hal ketuhanan. 

Oleh itu, kenyataan yang menjelaskan bahawa keyakinan penganut Kristian di Negara Arab lebih menekankan konsep ketuhanan yang esa adalah tidak absah. Malah konsep keyakinannya adalah selaras dengan ketuhanan penganut Kristian di Negara Barat yang meyakini triniti. Apatah lagi, konsep unitarian ini sebenarnya berkembang pesat di Negara-Negara Eropah dan dibawa masuk ke Negara-Negara Arab. Justifikasi yang meletakkan keyakinan yang berasal dari Negara Arab adalah senada dengan keyakinan Islam adalah tidak wajar.

Selain itu, terdapat sebuah aliran gereja di Negara Mesir dan Syria yang dikenali sebagai Kristian Koptik atau Coptic Orthodox Church of Alexandria (Iskandariah).

Gereja ini merupakan gereja terbesar bagi penganut Kristian di Mesir. Gereja ini juga sering dikaitkan sebagai mempraktikkan ketuhanan yang satu atau unity. Namun begitu, para penganut Coptic Church berfahaman bahawa Jesus Christ adalah tunggal, Tuhan sebenar dan manusia sebenar. Jesus Christ mempunyai sifat Tuhan dan juga sifat manusia (Otto Friedrich August Meinardus:54).

Pemahaman dan keyakinan ini dikenali sebagai miaphysitism, iaitu istilah yang berlawanan dengan dyophysitsm yang menjadi keputusan Council of Chalcedon. Walaupun menolak keputusan Council of Chalcedon, jelas di sini Coptic Orthodox Church of Alexandria telah menganggap Jesus Christ mempunyai sifat ketuhanan.

Oleh itu, penganut-penganut Kristian di Negara Arab yang menggunakan kalimah Allah untuk merujuk kepada Tuhan yang esa adalah tidak absah dan amat bertentangan dengan konsep tauhid Islam walaupun mereka mendakwa bahawa unitarian lahir dalam Negara Arab yang memahami maksud unity berbanding trinity.

Allah S.W.T. menegur kesilapan dan kesalahan pemahaman ahli kitab di tanah Arab yang meyakini bahawa Isa al-Masih atau Jesus Christ adalah lebih daripada sekadar nabi dan juga pemahaman bahawa tuhan itu tiga (trinity). Firman Allah S.W.T. di dalam Al-Quran;

“Wahai Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani)! Janganlah kamu melampaui batas dalam perkara agama kamu dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar; sesungguhnya Al-Masih Isa Ibni Mariam itu hanya seorang Pesuruh Allah dan Kalimah Allah yang telah disampaikanNya kepada Mariam dan (dia juga tiupan) roh daripadaNya. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasulNya, dan janganlah kamu mengatakan: (Tuhan itu) tiga. Berhentilah (daripada mengatakan yang demikian) supaya menjadi kebaikan bagi kamu. Hanyasanya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa, Maha Suci Allah daripada mempunyai anak. Bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi dan cukuplah Allah menjadi Pengawal (Yang Mentadbirkan sekalian makhlukNya).” [al-Nisa’ 4:171]

Ayat di atas memperlihatkan bahawa fahaman triniti bukanlah sesuatu yang asing bagi masyarakat Kristian di tanah Arab pada ketika itu. Justeru, dakwaan yang menyatakan unitarian lahir di dalam Negara Arab adalah wajar diselidiki.


Walau bagaimanapun, agama Kristian menegaskan bahawa trinity itu merupakan satu bentuk kewujudan Tuhan dalam tiga individu yang bersatu sebagai Tuhan yang satu.

“YaHWeH” yang merupakan Tuhan pertama dalam trinity, wujud dalam bentuk spiritual, tanpa bentuk dan daging. Manakala individu kedua dalam trinity iaitu Jesus Christ adalah Tuhan yang mengambil bentuk manusia yang mempunyai dua sifat. 

Sifat pertamanya adalah berupa ketuhanan dan sifat keduanya berupa manusia. Manakala, Holy Ghost (Ruhul Qudus) pula wujud dalam bentuk roh dan sering digambarkan dalam mana-mana potret lukisan trinity sebagai burung merpati putih yang terbang dengan cahaya yang bersinar di belakangnya sebagai simbol keamanan atau sebagai puting beliung yang melambangkan simbol kekuatan. Gospel Matthew, 3:16 mengukuhkan kenyataan ini;

“3:16 And Jesus, when he was baptized, when up straightway out of the water: and, lo, the heavens were opened unto him, and he saw the Spirit of God descending like a dove, and lighting upon him”.

Kesimpulannya, Tuhan dalam konsep trinity wujud dalam tiga bentuk yang bercanggahan dengan Tuhan Yang Maha Esa sebagaimana yang diyakini oleh Yahudi dalam kitab Perjanjian Lama mereka yang merupakan sebahagian daripada Bible.

Realiti Sejarah Penggunaan Kalimah Allah

Apabila ditelusuri aspek sejarah, tidak dapat dinafikan bahawa penggunaan kalimah Allah ini telah lama digunakan dalam kalangan bangsa Arab sebelum penurunan al-Qur’an lagi mahupun perlantikan nabi Muhammad s.’a.w. sebagai nabi dan rasul. Ini bererti dalam aspek sejarah masyarakat Arab, Timur Tengah dan Asia Barat, istilah Allah telah lazim digunakan oleh setiap individu biarpun agama anutannya bukan ajaran Islam.

Penggunaan kalimah Allah itu merujuk kepada Tuhan yang satu iaitu tuhan yang diyakini sebagai tuhan sembahan masyarakat ketika itu. Bahkan penggunaan kalimah Allah adalah milik sejagat. Tidak terhad hanya kepada etnik atau kaum tertentu.

Apabila nabi Muhammad s.’a.w dilantik sebagai nabi dan rasul dan al-Qur’an diwahyukan, penggunaan kalimah Allah terus diguna pakai dalam mengekalkan pengertian Tuhan yang satu iaitu kalimah yang telah lazim diyakini dan difahami oleh manusia sejagat waktu itu.

Kalimah Allah juga merupakan istilah Arab yang digunakan oleh umat manusia Arab, Bani Israel (Yahudi, Nasrani, Najran dan sebagainya waktu itu dan juga dalam penulisan kitab suci mereka waktu itu) sebagai merujuk Tuhan yang disembah dan istilah yang selamat bagi tujuan mengekalkan pengertian Tuhan yang satu.

Pun begitu, al-Qur’an telah memuliakan kalimah Allah dengan menegaskan bahawa kalimah Allah adalah merujuk kepada Allah yang Maha Esa, Allah itu mutlak dan abadi, Allah itu tidak memperanakkan dan tidak diperanakkan dan Allah tidak disetarai oleh siapa pun dan apapun (Surah al-Ikhlas). 

Ini merupakan sifat-sifat asas Allah yang wajib difahami dan diyakini oleh umat Muslim selain daripada 99 sifat Allah yang lain (Asma’ al-Husna).

Tuntasnya, kalimah Allah digunakan sebagai istilah yang paling selamat untuk terus mengekalkan dan menyatakan konsep ketauhidan yang telah ditegaskan al-Qur’an dan ajaran Islam.

Ini bererti al-Qur’an dan Islam telah menegaskan kualiti kalimah Allah dengan prinsip dan sifat asas yang sempurna bagi Allah yang Maha Esa.

Keadaan ini adalah amat berbeza di sebelah nusantara khususnya Tanah Melayu. Ini kerana Islam disebarkan dengan roh Islam. Ini bererti kalimah Allah yang diguna pakai sebagai merujuk Allah yang Maha Esa itu adalah dalam bentuk yang telah dimurnikan dan ditegaskan oleh al-Qur’an sebagai Yang Maha Esa. Roh Islam telah mewarnai dakwah Islam waktu itu.

Worldview masyarakat Muslim nusantara khususnya Tanah Melayu adalah berpaksikan hakikat roh Islam. Justeru, worldview masyarakat Muslim Tanah Melayu adalah berbeza sama sekali dengan masyarakat Arab.

Atas alasan ini, walaupun kalimah Allah telah lazim digunapakai di sebelah Arab tetapi persekitarannya adalah berbeza dengan Tanah Melayu-Malaysia.

Umat Muslim Malaysia telah ditanamkan dengan budaya dan pemikiran yang jelas dan murni bahawa kalimah Allah adalah milik ajaran Islam dengan merujuk kepada Allah yang Maha Esa dan bukannya Allah triniti dan sebagainya. 

Sensitiviti ini yang wajar difahami dan dipelihara agar maslahah umat Muslim di Malaysia terus dipelihara dan ketenangan dan keharmonian dapat dicapai dalam masyarakat majmuk Malaysia. Justeru, keputusan Kerajaan seperti yang dinyatakan dalam kertas kerja bertajuk “Hujah Menolak Penggunaan Kalimah ‘Allah’ oleh Kristian” tulisan Mohd Aizam bin Mas’od (rujuk lampiran) adalah amat relevan.

Sehubungan itu, ‘penjenamaan semula’ kalimah Allah yang cuba dibawa oleh pihak gereja dan Kristian adalah bukan lagi merujuk kepada kualiti konsep ketauhidan Allah sebagai Yang Maha Esa. Tetapi ia turut merujuk kepada konsep triniti yang jauh berbeza dengan uniti dan apatah lagi tauhid. Kualiti tauhid telah tiada dalam penjenamaan kalimah Allah dalam ajaran Kristian kini. 

Atas faktor ini telah menyebabkan kualiti kalimah Allah terjejas dan tercalar. Penyelewengan penggunaan kalimah Allah telah mengakibatkan istilah tersebut turut terheret kepada pengertian yang lemah dan tidak sempurna. Iaitu Tuhan disetarakan dengan makhluk. Tuhan tidak lagi Yang Esa tetapi Yang Tiga walaupun Tiga tadi dikatakan sebagai Yang Satu. Namun ia adalah berbeza walaupun kalimah Allah digunakan sebagai merujuk konsep kepercayaan Kristian.

‘Peniruan’ penggunaan kalimah Allah yang tidak original ini hanya menjejaskan pengertian tauhid dalam kalimah Allah yang ditegaskan oleh al-Qur’an dan ajaran Islam. Analogi yang sama diguna pakai dan sebagai contohnya; dalam memperlihatkan jenama Calvin Klein yang asli dan yang tiruan.

Kualiti adalah amat berbeza walaupun jenama tiruan seolah-olah mampu menyamai jenama asal dan tidak dapat dibezakan oleh individu awam tetapi individu pakar dapat merasai perbezaan ketara.

Bahkan jenama tiruan boleh ditolak dan disaman hanya kerana menghasilkan suatu produk yang tidak setaraf dan merosakkan imej yang asli.

Tegasnya penggunaan kalimah Allah yang digunakan oleh pihak gereja dan Kristian tidak menggambarkan keaslian maksud kalimah Allah tetapi telah berubah kepada maksud dan falsafah ajaran Kristian. Ini menjejaskan keaslian kalimah Allah yang telah sedia difahami dan diyakini umat Muslim Malaysia.

Realiti Tauhid

Kalimah Allah digunakan dalam konsep ketauhidan Islam adalah dengan tujuan penegasan bahawa Allah adalah yang Maha Esa. Tiada penyekutuan. Allah juga digunakan bagi menghindari daripada pengertian yang tidak sewajarnya bagi Allah.

Perkara yang tidak wajar itu adalah:
  1. Tuhan yang tidak beridentiti umpama tuhan dalam kepercayaan pantheisme yang meletakkan tuhan adalah segala-galanya dan segala-galanya itu adalah tuhan. Ini memperlihatkan tiada perbezaan antara tuhan dan makhluk. Tiada beza antara tuhan adalah pemilik segalanya dan segalanya adalah milik tuhan.
  2. Tuhan sebagai entiti yang tidak mutlak. Tuhan tidak memiliki identiti yang jelas. Kabur dan tidak dapat dijelaskan dengan rencam.
  3. Tuhan yang disifatkan dengan sifat makhluk iaitu bergender, makan, minum dan sebagainya.
  4. Tuhan sebagai jelmaan iaitu tuhan dijelmakan dalam bentuk objek, patung dan umpamanya bagi memudahkan komunikasi antara mahkluk yang menyembahnya.
  5. Tuhan yang diangkat iaitu tuhan yang ditarafkan statusnya sama seperti tuhan.

Berasaskan ketidakwajaran tersebut memperlihatkan bahawa Allah adalah kalimah yang mutlak bermaksud Tuhan yang satu dan satu-satunya (Cowan, 24).

Atau dalam erti kata lain, Tuhan dalam bentuk nama dan identiti khas terkandung dalam pengertian Allah iaitu Esa.

Sekiranya tuhan digunakan sebagai merujuk kepada Allah bererti, istilah tersebut boleh diubah menjadi tuhan (t kecil) atau Tuhan (T besar), tuhan-tuhan (ramai) atau tuhan (satu) dan penambahan nama terbitan seperti ketuhanan dan sebagainya.

Analogi ini boleh diguna pakai dalam istilah god dengan meletakkannya sebagai satu, ramai, umum, khas dan bahkan ‘memperempuankannnya (godmother) atau melelakikannya (godfather) dan sebagainya.

Ini berbeza dengan kalimah Allah yang tidak boleh dijadikan umum, banyak atau ramai atau sedikit dan sebagainya. Tuntasnya, istilah Allah tidak boleh dimanupulasikan dalam apa metode sekalipun dalam bahasa asalnya (Ahmad Deedat, 1981, 33). 

Ini bererti dari aspek linguistik, istilah Allah adalah ‘superior’ daripada apa jua istilah, apa jua bahasa sebagai satu bentuk memelihara dan mempertahankan secara dalaman (in built) pengertian keEsaan dan keunikan satu-satunya Tuhan yang layak diyakini dan disembah.

Sehubungan itu, sekiranya Allah yang ingin diguna pakai oleh pihak gereja dan Kristian sebagai merujuk kepada pengertian triniti bererti “Tuhan yang satu sebagai tiga” atau ‘Tiga dalam satu’ yang merujuk Allah tuhan bapa (To be Omnipotent implies that God is transcendent (the Father), Allah tuhan anak (To be a Sustainer of mankind implies that God is incarnate (the Son) dan Allah tuhan Roh Kudus (To be Omnipresent implies that God is immanent (the Holy Spirit) yang dikatakan tidak bercanggah dengan konsep keMahaEsaan Allah menurut Islam bahkan memutlakkan keEsaan Allah itu (Joachim Ng 1987, 11) wajar diperhalusi.

Ini kerana kelogikan triniti sentiasa dipersoalkan. Umpamanya sekiranya Allah dalam penjelmaan anak, siapa pula yang menjaga perjalanan alam semesta sedangkan alam ini sentiasa diketahui dalam pengurusan Allah. 

Persoalan kritikal seperti ini tidak dapat dihuraikan oleh agama Kristian dan gereja dengan rencam kerana penjelmaan Tuhan sebagai anak bukanlah secara simbolis tetapi secara realiti dengan berjasad manusia. “His (Jesus) resurrection from the dead, more than anything else convinced His disciples that He was indeed the Son of God” (B.C Ang 1980, 99).

Tuntasnya, tauhid dan pengEsaan Allah yang sebenarnya tidak memadai dengan hanya menyatakan perakuan bahawa Allah yang disembah itu adalah Allah yang satu. Pengertian Maha Esa bukanlah hanya bersifat kuantitatif iaitu dari aspek bilangan Tuhan tidak melebihi satu tetapi wajar dari aspek kualitatif iaitu memperlihatkan bahawa sifat-sifat dan identiti Allah adalah tersendiri dan sama sekali tidak setaraf dan setara dengan makhluk-makhluk ciptaanNya walau dalam apa bentuk dan cara sekalipun. 

Ini bererti bahawa mentauhidkan Allah adalah dengan memelihara pengertian dan konsep ketuhanan daripada sebarang bentuk dan cara sama ada dari aspek teori, amali, lahir atau batin yang boleh menjejaskan pengertian keEsaan dan keunikan Allah.

Terjemahan Dan Penggunaan Kalimah ’Allah’ Yang Hakiki

Secara umum, Syariah merujuk kepada maksud memelihara agama. Menurut kaedah fiqh, kemudaratan adalah wajar dicegah. Justeru, pencegahan adalah lebih baik daripada isu penggunaan kalimah Allah ini terus berkembang.

Saya menyatakan bahawa penggunaan kalimah Allah oleh pihak gereja di dalam kitab-kitab pengajaran agama Kristian terbitan gereja-gereja ini mendorong kitab tersebut dibaca dengan mudah oleh individu Muslim.

Kebimbangan ini adalah berasaskan seandainya individu Muslim tersebut kurang mendapat pendidikan agama dan mempunyai sikap toleransi beragama yang amat tinggi, kitab-kitab ini boleh mencetuskan kekeliruan akidah Muslim tersebut dan mendorong mereka untuk berpendapat bahawa Tuhan adalah sama.

Istilah “Allah” dan bukannya “Tuhan” digunakan oleh umat Islam untuk mengelakkan dari makna-makna lain yang tidak dikehendaki seperti Tuhan yang tidak beridentiti daripada fahaman pantheisme iaitu Tuhan adalah segala-galanya dan segala-galanya adalah Tuhan, Tuhan sebagai entiti yang tidak mutlak dan kabur daripada pandangan idealist, Tuhan sebagai sifat makhluk yang mempunyai jantina dan perlu memenuhi kehendak-kehendak biologi seperti makan, minum dan berkeluarga, Tuhan yang mempunyai kehendak sosial seperti berkawan, berkelompok, berpolitik dan beragama, Tuhan sebagai satu bentuk manifestasi atau jelmaan iaitu yang dijelmakan dalam bentuk objek-objek yang dapat dilihat dan Tuhan yang asalnya bukan Tuhan diangkat menjadi Tuhan seperti harta benda, kekayaan, sanjungan dan kedudukan. Semua sifat-sifat ini bukan ciri ketuhanan yang dikehendaki.

Umat Islam wajib melafazkan perakuan keimanannya secara formal, iaitu “La Ilaha illa Allah” yang bermaksud “Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah” dan “Muhammadur Rasulullah”, yang bermaksud “(Nabi) Muhammad itu Pesuruh Allah”.

Umat Islam tidak melafazkan perakuan tersebut sewenang-wenangnya seperti “Tuhan yang saya sembah adalah Allah” atau “Allah adalah Tuhan saya”. 

Ini menjelaskan bahawa seseorang Muslim tegas membuat perakuan ketuhanan mereka dalam bentuk negatif iaitu menegaskan perakuan kewujudan satu Tuhan yang Esa yang dinamakan dan dirujuk sebagai Allah di atas penafian tuhan-tuhan lain.

Unsur penafian tuhan-tuhan lain ini adalah tunjang konsep ketuhanan dalam Islam iaitu ketauhidan. Ini merupakan intipati tauhid iaitu penegasan tentang pengesaan Allah dalam konsep ketuhanan Islam yang dititikberatkan dalam akidah Islam.

Istilah Allah secara mutlak daripada Al Quran bererti “Tuhan yang satu dan satu-satunya” yang merupakan satu nama khas dan bukan ganti nama. Allah tidak boleh digunakan dalam bentuk atau makna-makna lain. Perkataan “Tuhan” sebagai bukan nama khas adalah “Ilah” dan bukannya Allah.

Allah adalah nama khas bagi Tuhan yang identitinya adalah keesaan. Penggunaan perkataan Tuhan boleh diumumkan dan boleh dibanyakkan dengan menggantikan “T” besar kepada “t” kecil. Sebagai contoh, adalah dengan memanusiakan pengertiannya seperti ”godfather”, “godmother” atau mewanitakannya dengan “goddess” atau memperkecilkannya dengan “godling”.

Ini adalah jelas bahawa istilah “Allah” merupakan kata nama khas. Justeru, kalimah tersebut tidak boleh dimanipulasikan daripada bahasa asalnya (Ahmad Deedat, 1981: 33).

Istilah Allah adalah lebih agung daripada semua istilah dan bahasa kerana ia mempertahankan dan memelihara makna keesaan dan keunikan satu-satunya Tuhan yang layak disembah.

Selain itu, istilah Allah adalah mushtaq iaitu kata nama khas. Ini kerana sekiranya istilah Allah digandingkan dengan istilah “Ya” dalam bahasa Arab yang bermaksud kata seruan “Wahai”, istilah Allah tetap kekal.

Huruf “alif”, “lam” dan “lam” sebagai konotasi nama khas tidak boleh dibuang. Ia tidak boleh disebut sebagai “Ya Lahu”. Ini berbeza dengan kalimah “Al-Rahman” yang meupakan antara sifat Allah iaitu pengasih/penyayang.

Apabila ia digandingkan dengan istilah “Ya”, alif lam makrifah (kata nama khas) wajar dibuang dan menjadikannya sebagai “Ya Rahman”. Ini membuktikan bahawa istilah Allah adalah kata nama khas atau mushtaq. (Ibn Manzur, t.t.)

Surah Al-Ikhlas membahaskan mengenai konflik yang berlaku di kalangan masyarakat penganut agama ketika itu. Masing-masing mendakwa bahawa agama mereka menyembah Allah.

Persoalannya siapakah sebenarnya Allah yang dituturkan dan disembah oleh agama-agama tersebut; Adakah ia tepat dan benar dengan konsep “Allah” yang dirujuk sebagai Tuhan sembahan mereka? 

Imam Ibn Kathir menukilkan kata-kata Ikrimah berhubung dengan faktor sabab al-nuzul (sebab penurunan ayat) tersebut;

Ikrimah: “Ketika orang Yahudi mengatakan: “Kami menyembah U’zair anak Allah”. Orang Nasrani menyatakan: “Kami menyembah Al-Masih anak Allah”. Majusi mengatakan: “Kami menyembah matahari dan bulan”. Orang Musyrikin pula mengatakan: “Kami menyembah berhala”. Lalu Allah s.w.t . menurunkan ke atas Rasulullah s.a.w. surah Al-Ikhlas yang bermaksud: “Katakanlah wahai Muhammad bahawa Allah itu Esa, Allah itu tempat bergantung segala makhlukNya, Allah itu tidak beranak dan tidak diperanakkan dan Allah itu tiada bagiNya sekutu”.

Perbincangan tersebut, membuktikan bahawa maksud kalimah Allah yang digunapakai oleh para penganut bukan Muslim adalah amat berbeza dengan maksud kalimah Allah yang dijelaskan oleh Islam. 

Islam menegaskan ketauhidan Allah. Manakala agama-agama lain mempunyai konsep yang berbeza iaitu keyakinan terhadap ketuhanan tuhan yang satu yang dimulai dengan angka sifar dan dilanjutkan dengan angka yang berikutnya.

Justeru, adalah tidak wajar sekiranya kalimah Allah ini digunakan dengan sewenang-wenangnya tanpa memahami realiti maksud kalimah ini yang merujuk kepada zat Allah yang Agung dan Maha Esa.

Penggunaannya amat wajar dipantau dan dipelihara oleh kerajaan untuk mengelak daripada kekeliruan di kalangan individu Muslim dengan nama Allah Yang Maha Esa dan Yang Maha Agung.

Kesimpulan

Berasaskan perbincangan-perbincangan tersebut, ternyata bahawa pihak Kristian menggunakan metode penghujahan bahasa.

Namun, oleh kerana kita menghujahkan hakikat bahawa bahasa dan fikiran adalah saling mencerminkan satu sama lain, sebarang istilah dari satu tradisi pemikiran, apabila diterjemahkan perlulah membayangkan tradisi pemikiran yang asal, jika tidak makna sebenar peristilahan yang diterjemahkan akan menjadi kacau bilau.

Dalam hal ini, mereka menghujahkan bahawa menurut tradisi pemikiran Katholik, istilah “God” diterjemahkan dalam bahasa Melayu sebagai “Allah”, satu kalimah yang mencerminkan tradisi pemikiran Islam.

Justeru itu, makna sebenar istilah asal “God”, seperti tergambar dalam tradisi pemikiran Katholik dengan sengaja sedang dikelirukan.

Tuntasnya, pihak Kristian tidak memiliki hak atau keizinan untuk menterjemahkan peristilahan yang terdapat dalam satu tradisi pemikiran akidah agama dengan menggunakan ungkapan-ungkapan tradisi pemikiran akidah agama yang lain, khususnya ungkapan-ungkapan yang merujuk kepada siapa itu Tuhan yang tidak ada faham tasdiqnya dalam tradisi agama Kristian.

Rasa hormat perlu diperlihatkan kepada istilah-istilah penting dan erti-erti maknawi yang mencerminkan agama Islam dalam bahasa Melayu, persisi sikap orang Islam yang menghormati istilah dan faham dasar agama Kristian. 

Masyarakat Muslim Malaysia tidak merujuk tempat pemujaan non-muslim sebagai masjid, tetapi sebagai gereja, kuil, candi dan sebagainya.

Masyarakat turut tidak menganggap pemimpin sembahyang berkumpulan non-Muslim sebagai imam, melainkan selaku paderi, sami dan seterusnya.

Namun, atas dasar toleransi beragama, masyarakat Muslim Malaysia tidak menafikan hak mana-mana golongan penganut agama lain menterjemahkan buku suci masing-masing dalam bahasa Melayu.

Cuma, seandainya ada yang hendak berbuat demikian, maka golongan tersebut mestilah memiliki ilmu dan keahlian mengenai bahasa Melayu, cukup berdaya cipta dan kreatif untuk menggunakan peristilahan yang benar-benar mencerminkan tradisi pemikiran akidah agama masing-masing.

Sehubungan dengan itu, adalah wajar bagi pihak gereja Roman Katholik dan seumpamanya untuk bersikap lebih teliti, waspada, berhati-hati dan memahami sensitiviti warga Muslim Malaysia dan dunia.

Secara umumnya dan ilmiahnya, adalah harus kepada non-Muslim menggunakan kalimah Allah kerana kalimah tersebut adalah milik umat manusia sejagat. 

Persoalan di sini bukannya boleh atau tidak boleh non-Muslim menggunakan kalimah Allah. Namun, sejauh mana telusnya penggunaan kalimah Allah oleh pihak gereja dan Kristian yang secara halusnya cuba memplagiat kalimah Allah dengan maksud tidak lagi menjaga kualiti kalimah tersebut sebagaimana yang ditegaskan Islam dan al-Qur’an tetapi dengan maksud cenderung kepada memperlihatkan falsafah ajaran Kristian. 

Ini dilihat telah mencabuli hak worldview Islam di Malaysia dan sekaligus boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian. Perkara ini wajar dipertahankan agar kalimah Allah tidak digunakan dengan maksud yang berbeza daripada worldview Islam.

Umat Muslim Malaysia wajar memahami perpaduan dan keharmonian nasional adalah penting. Namun, jati diri tidak boleh digadai dan dijual beli. Akidah Tauhid adalah dasar dan tunjang umat Muslim yang wajib dipertahankan.

Umat Muslim wajar mengetahui perbezaan adalah penting dan memahami bahawa perbezaan wajar wujud dalam penggunaan kalimah Allah. Umat Muslim wajar memahami mengapa kalimah Allah dipertahankan adalah kerana kemampuan kalimah Allah dan konsep ketuhanan Islam memelihara kesucian ketauhidan Allah dan bukannya atas sebab keangkuhan dan etnosentrik mereka.

Tuntasnya, perpaduan dan keharmonian di Malaysia masih mampu dijayakan dalam keadaan wujudnya perbezaan agama yang ada dengan syarat wujudnya sikap saling ‘hormati perbezaan dan halusi persamaan’.

Ini bererti, slogan yang menyatakan bahawa One God, Many Paths bukanlah satu-satunya metode yang baik untuk menyelesaikan masalah perpecahan agama dan sekaligus mampu memupuk perpaduan etnik demi kesejahteraan Malaysia.

Tetapi sikap saling menghormati dan memahami mengapa umat Muslim itu memilih untuk berbeza dalam penggunaan kalimah Allah yang sewajarnya hanya digunakan oleh Muslim dan bukannnya pihak gereja dan Kristian itu yang perlu diperhalusi.

Sekaligus juga, adalah wajar memperjelaskan mengapa umat Muslim Malaysia begitu beriya-iya mempertahankan kalimah Allah hanya eksklusif kepada mereka walhal realitinya kalimah Allah adalah untuk umat manusia sejagat.

Wajar juga dijelaskan mengapa baru sekarang pula pihak gereja dan Kristian begitu beriya-iya untuk menggunakan kalimah Allah dalam maksud yang berbeza dengan realiti maksud kalimah dan kualiti kalimah Allah sebagaimana yang dijelaskan dalam perbincangan ini.

“Perbezaan adalah suatu rahmat dan bukannya suatu yang keramat”.

RUJUKAN
  • Al-Qur’an al-Karim
  • The Holy Bible Containing Old Testament and New Testament, Grand Rapids.
  • The Book of Mormon: Another Testament of Jesus Christ, Utah, U.S.A.
  • Abdullah Yusuf Ali, The Meaning of the Holy Qur‘an, Brentwood, Maryland: Amana Corporation.
  • Ahmad Deedat (1981), Atnatu; a Novel Concept of God, Durban: Islamic Propagation Centre.
  • Aliran (1980), One God, Many Paths, Penang.
  • Amriah Buang (Prof) (2009), Mengapa Kalimah Allah?”, Interactive Muslimah Association.
  • Ang, B.C (1980), One God, Many Paths, Aliran:Penang.
  • Bulgakov S.N (1988). The Orthodox Church (Translation by Pravoslavie), St. Vladimir's Seminary Press.
  • Chandra Muzaffar (1980), One God, Many Paths, Aliran: Penang.
  • Chandra Muzaffar (1987), Islamic Resurgence in Malaysia, Petaling Jaya: Fajar Bakti.
  • Enakmen Ugama Bukan Islam (1988), (Kawalan dan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam).
  • Fahlbusch E. & Bromiley G.W. The Encyclopedia of Christianity, Wm. B. Eerdmans Publishing.
  • Ibn Kathir (t.t.), Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, Beirut: Dar al-Kitab.
  • Ibn Manzur (t.t.), Lisan al-‘Arab, Beirut.
  • Jakim (2009), Kalimah Allah, bukan bermakna "God Semata-mata, Cawangan Aqidah, Bahagian Penyelidikan JAKIM.Perlembagaan Persekutuan
  • James Hastings (1913), Encyclopedia of Religion and Ethics, Edinburgh: T&T Clark.
  • James Ng (1987) “Knowing what the Trinity is”, The Sunday Mail, March1, 1987.
  • Khadijah Mohd Khambali @ Hambali (1993), “Konsep Trinity Menurut Kristian: Analisis Ilmiah: dalam Jurnal Usuluddin, Bil. 2, Kuala Lumpur: Akademi Islam, Universiti Malaya.
  • Mangalam (1980) “A Hindu Views”, One God, Many Paths, Aliran: Penang.
  • Meyendorff J (1995). Christ in Eastern Christian Thought, St. Vladimir's Seminary Press.
  • Otto Friedrich August Meinardus (2007), Two Thousand Years of Coptic Christianity, American Univ in Cairo Press.
  • S.P Subramaniam (1980), ‘A Hindu View”, One God, Many Paths, Aliran: Penang.
  • T.C The (1980), “A Buddhist View’, One God, Many paths, Aliran: Penang.
  • The Star, 28 December 2007.
  • The Sun, 24 December 2007.
  • Utusan Malaysia, 6 Januari 2008.

PERBEZAAN PENGGUNAAN KALIMAH ALLAH DALAM AGAMA ISLAM DAN AGAMA KRISTIAN

PROF MADYA DR KHADIJAH MOHD HAMBALI
JABATAN AKIDAH DAN PEMIKIRAN ISLAM,
AKADEMI PENGAJIAN ISLAM,
UNIVERSITI MALAYA

BACA INI JUGA: Tahukah Anda Maksud Sebenar Kalimah 'Allah'?

-Sentiasapanas.com