Friday, November 08, 2013

“Sesungguhnya Allah Adalah Al Masih Putra Maryam”


Tokoh Maal Hijrah bagi tahun 1435 / 2013 Dr Zakir Naik telah menjelaskan bahawa Allah ialah nama khas merujuk kepada Allah S.W.T yang satu dan tidak boleh diterjemahkan sebagai unsur lain.


Beliau dalam satu ceramah di Putrajaya sempena sambutan Ma’al Hijrah di Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin berkata jika ada pihak yang cuba mentafsirkan Allah sebagai unsur lain adalah haram dan salah di sisi Islam.

Rakaman video petikan soalan berkenaan dimuatnaik di laman YouTube semalam melalui saluran YouTube sebTV dan TV Sunnah.

Beliau menjawab soalan penonton yang bertanya, “Adakah boleh penganut Kristian menggunakan kalimah Allah dalam Bible terjemahan bahas Melayu?”

Menurut beliau, kalimah Allah memang telah digunakan dalam kitab suci agama lain sejak lama dahulu antaranya kitab suci agama Hindu, Kristian dan Sikh.

“Pertamanya, biar saya jelaskan perkataan atau kalimah Allah ini ialah nama khas untuk Allah S.W.T. Dalam kebanyakan agama terbesar di dunia sekarang dalam kitab suci mereka anda akan menemui nama Allah tertulis di dalamnya.

“Allah tidak hanya disebut di dalam Al-Quran. Jika anda membaca Bible (Kitab suci Kristian) dalam “Gospel of Mathew” Jesus (Nabi Isa A.S) berkata Eli, Eli, Lama Sabachtani? (Oh God, Oh God, Why Have You Forsaken me?) dalam bahasa Hebrew, jika bahagian itu diterjemahkan ke bahasa Arab ialah Allah, Allah, La Ma Tarakhtani? Bahasa Hebrew dan Arab adalah saling berkait rapat,” katanya dalam ceramah berkenaan.

Menjawab soalan penonton itu, Dr Zakir berkata jika penganut Kristian bersetuju dengan konsep asal seperti apa yang diceritakan di dalam Bible yang asal mereka boleh menggunakan kalimah Allah itu.

“Jika mereka percaya dan yakin Allah itu hanya satu seperti yang dijelaskan dalam Surah Al-Ikhlas yang bermaksud Allah itu Maha Esa, jika mereka mahu menggunakan perkataan Allah untuk maksud yang betul TETAPI… jika mereka tafsirkan Allah itu Jesus maka mereka telah melakukan perbuatan mungkar.

“Allah telah berfirman dalam Surah Al-Ma’idah ayat ke-72 yang bermaksud, "Sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: “Sesungguhnya Allah adalah Al Masih putra Maryam"… Jadi untuk menggunakan kalimah Allah untuk merujuk kepada Jesus (Nabi Isa A.S) adalah haram,” kata Dr Zakir.

Beliau berkata maklumkan kepada penganut Kristian, ketika Jesus diikat di salib, Jesus sendiri menangis memohon bantuan Allah tetapi kenapa mereka tidak mahu mempercayai kewujudan Allah.

Dr Zakir sekali lagi dengan tegas mengatakan jika penganut Kristian ingin menggunakan kalimah Allah untuk menggambarkan Allah sebagai Jesus (Nabi Isa) untuk menyebarkan Kristian kepada umat Islam ia adalah satu kesalahan di sisi Islam.

Dr Zakir yang mendapat pendidikan tinggi sebagai seorang doktor merupakan penceramah dalam topik Islam dan Perbandingan Agama serta beliau adalah pengasas Yayasan Penyelidikan Islam yang turut memiliki sebuah stesen televisyen Peace TV yang berpengkalan di Dubai, UAE.

[Sumber]

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon