Thursday, January 22, 2015

Kronologi Tuntutan Gereja Guna Kalimah Allah

Kronologi Tuntutan Gereja Guna Kalimah Allah

Mahkamah Persekutuan Putrajaya dijadual mendengar permohonan semakan semula kehakiman mengenai isu kalimah Allah oleh pihak gereja hari ini.

Allah itu Satu

Berikut adalah kronologi kes Gereja Roman Katolik menggunakan kalimah 'Allah' bagi merujuk kepada "Tuhan" dalam edisi bahasa Malaysia majalah mingguan terbitannya, 'The Herald'.

2009:

16 Feb - Gereja Roman Katolik diketuai Ketua Paderi Murphy Pakiam memfailkan permohonan semakan semula kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mendapatkan perisytiharan bahawa keputusan Kementerian Dalam Negeri melarangnya menggunakan kalimah 'Allah' dalam majalah mingguan itu adalah bercanggah dengan undang-undang.

The Herald, yang diterbitkan dalam empat bahasa, menggunakan kalimah 'Allah untuk merujuk kepada Tuhan dalam edisi bahasa Malaysianya untuk bacaan penganut Katolik di Sabah dan Sarawak.

Gereja Roman Katolik, antara lain, memohon perisytiharan bahawa:

1. Ia mempunyai hak di sisi perlembagaan untuk menggunakan kalimah 'Allah' dalam The Herald kerana adalah menjadi haknya, seperti agama selain Islam, untuk mengamalkan agama masing-masing secara aman.

2. Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan tidak memberi kuasa kepada responden untuk melarang pemohon daripada menggunakan kalimah 'Allah' dalam The Herald.

3. Ia mempunyai hak di sisi perlembagaan untuk menggunakan kalimah 'Allah' dalam penerbitan mingguan itu, sama seperti ia mempunyai hak untuk bebas bersuara dan memberi pendapat.

4. Ia mempunyai hak di sisi perlembagaan untuk menggunakan kalimah 'Allah' dalam The Herald, sama seperti hak untuk bebas beragama dan mengurus hal ehwal agama sendiri.

5. Ia mempunyai hak di sisi perlembagaan untuk menggunakan kalimah 'Allah' dalam The Herald, sama seperti hak untuk memberi pendidikan tentang Katolik dan Kristian.

6. Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 tidak memberi kuasa kepada responden untuk melarang pemohon menggunakan kalimah 'Allah' dalam The Herald.

7. Kalimah 'Allah' bukan eksklusif untuk Islam.

31 Dis - Mahkamah Tinggi, ketika meluluskan permohonan semakan semula kehakiman oleh Gereja Roman Katolik itu, mengisytiharkan bahawa keputusan Kementerian Dalam Negeri melarang The Herald menggunakan kalimah 'Allah' dalam penerbitan bahasa Malaysianya, yang khusus untuk bacaan penganut Kristian di Sabah dan Sarawak, adalah salah di sisi undang-undang, batal dan tidak sah.

Mahkamah itu memutuskan bahawa The Herald mempunyai hak di sisi perlembagaan untuk menggunakan kalimah 'Allah dalam majalah mingguannya bagi mengembangkan agama Kristian, bukan agama Islam.

Hakim berkenaan berkata menurut Perkara 11(4) Perlembagan Persekutuan, adalah salah bagi orang bukan Islam menggunakan kalimah 'Allah' untuk menyebar agama mereka kepada orang Islam.

Tetapi, tidak menjadi kesalahan bagi orang bukan Islam menggunakan kalimah 'Allah' untuk menyebarkan agama mereka kepada orang bukan Islam, katanya.

Hakim itu seterusnya berkata menurut Perkara 11 dan 12 Perlembagaan Persekutuan, The Herald mempunyai hak di sisi perlembagaan untuk menggunakan kalimah itu bagi tujuan keagamaan dan pendidikan dalam kalangan penganut Kristian.

Katanya menteri berkenaan gagal mengemukakan bukti bahawa penggunaan kalimah itu akan mengancam keselamatan negara dan mencetuskan salah faham serta kekeliruan dalam kalangan umat Islam.

2010:

4 Jan - Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan memfailkan rayuan di pejabat pendaftar Mahkamah Rayuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi itu.

6 Jan - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menangguhkan pelaksanaan perintah terdahulu yang membenarkan majalah itu menggunakan kalimah 'Allah' berikutan persetujuan Kementerian Dalam Negeri dan Ketua Paderi Roman Katolik atas alasan untuk kepentingan negara.

2013:

10 Sept - Mahkamah Rayuan mendengar rayuan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi.

14 Okt - Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohamed Apandi Ali sebulat suara meluluskan rayuan kerajaan untuk melarang The Herald daripada menggunakan kalimah 'Allah'.

Mahkamah itu mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009 yang membenarkan The Herald menggunakan kalimah 'Allah'.

Hakim Mohamed Apandi, yang mengetuai panel tiga anggota, berkata mahkamah mendapati kalimah 'Allah' tidak pernah menjadi bahagian penting dalam amalan kepercayaan agama Kristian.

Katanya dengan mengambil fakta sejarah dan keagamaan, beliau tidak menemukan sebarang sebab munasabah kenapa Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur "berkeras" untuk menggunakan kalimah 'Allah' dalam penerbitan mingguan itu.

11 Nov - Gereja Roman Katolik memfailkan permohonan untuk merayu kepada Mahkamah Persekutuan dan mengemukakan 26 persoalan undang-undang yang melibatkan tiga bidang iaitu persoalan undang-undang, isu pentadbiran dan sama ada mahkamah mempunyai kuasa untuk membuat keputusan tentang isu perbandingan agama.

2014:

5 Mac - Pendengaran permohonan Gereja Roman Katolik untuk mendapat kelulusan merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan melarang The Herald daripada menggunakan kalimah 'Allah' dalam penerbitannya; Mahkamah Persekutuan menangguhkan penghakimannya ke suatu tarikh yang akan ditetapkan.

23 Jun - Mahkamah Persekutuan, dalam keputusan majoriti 4-3, menolak permohonan gereja itu untuk mendapatkan kelulusan merayu bagi penarikan balik larangan kerajaan tentang penggunaan kalimah 'Allah' bagi merujuk kepada Tuhan dalam edisi bahasa Malaysia The Herald.

Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, yang mempengerusikan panel tujuh anggota, memutuskan bahawa 28 persoalan mengenai undang-undang pentadbiran, undang-undang perlembagaan dan persoalan umum yang dikemukakan gereja itu, tidak memenuhi syarat asas mengikut Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, untuk diberi kelulusan untuk merayu.

Katanya Mahkamah Rayuan secara betul menggunakan ujian objektif berhubung keputusan menteri berkenaan melarang penggunaan kalimah 'Allah' dalam The Herald.

Arifin berpendpat hakim Mahkamah Tinggi tidak sepatutnya melayan gereja berkenaan untuk mencabar kesahan atau kuasa dari segi perlembagaan pelbagai enakmen negeri yang bertujuan mengawal dan menyekat penyebaran doktrin dan kepercayaan agama bukan Islam dalam kalangan umat Islam.

19 Sept - Gereja Roman Katolik memfailkan permohonan semakan semula kehakiman terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang tidak memberi kelulusan kepadanya untuk merayu berhubung larangan Menteri Dalam Negeri tentang penggunaan kalimah 'Allah'.

Permohonan itu dibuat berdasarkan tiga asas utama, termasuk isu undang-undang tertentu yang menjadi bahagian penting dalam permohonan untuk mendapatkan kelulusan itu, mengikut skop Perkara 3 dan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

Sumber:
http://www.rakyatnews.my/index.php/umum/kronologi-tuntutan-gereja-guna-kalimah-allah

Monday, June 23, 2014

Kalah!? Siapa Suruh Bawa Kalimah Allah Ke Mahkamah!

Kalah!? Siapa Suruh Bawa Kalimah Allah Ke Mahkamah!

Mahkamah Persekutuan Isnin menolak kebenaran bagi Gereja Katolik merayu kepada mahkamah itu untuk menarik balik larangan kerajaan terhadap penggunaan kalimah ‘Allah’ yang dirujuk sebagai Tuhan dalam penerbitan mingguan The Herald versi Bahasa Malaysia.

Isu Kalimah Allah

Beberapa buah NGO pro Kristian seperti Lawyers For Liberty dikesan meroyan dalam akaun Twitter bila Mahkamah Persekutuan membuat keputusan menolak kebenaran bagi Gereja Katolik merayu kepada mahkamah itu untuk menarik balik larangan kerajaan terhadap penggunaan kalimah ‘Allah’ yang dirujuk sebagai Tuhan dalam penerbitan mingguan The Herald versi Bahasa Malaysia.

Mereka secara terbuka membantah keputusan tersebut walaupun tahu Mahkamah Persekutuan adalah badan perundangan tertinggi negara, apa keputusan yang dibuat disini adalah muktamad.

Puak-puak ini meroyan kerana dipercayai keputusan ini akan turut mempengaruhi penerbitan-penerbitan seumpamanya yang lain, tidak terhad kepada The Herald sahaja.

Memandangkan ia diputuskan oleh Mahkamah tertinggi, maka keputusan ini juga menjadi undang-undang dalam negara kita (law of the land). Itu yang mereng sekejap tu.

Pada penulis, pihak-pihak yang kecewa dengan keputusan ini tidak sepatutnya meroyan, sebab siapa yang mula bawa kes ini ke Mahkamah? Bukan orang Islam pun, tapi pihak gereja sendiri. Jadi kalau ada pihak yang nak dipersalahkan, patutnya diri sendiri, bukan orang lain.

Ikut amalan sebelum ini kan elok dah. Nak buat tu buatlah, tapi senyap-senyap dan dikalangan komuniti Kristian saja, bila nak tunjuk besar kepala dengan nak ‘meresmikan’ penggunaan kalimah Allah itu disisi undang-undang kononnya, inilah akibat.

Bila dah dibawa ke Mahkamah, maka akur sajalah kepada sebarang kebarangkalian. Ikut pemerhatian penulis, sejak mula kes ini dibicarakan, Mahkamah memang sentiasa adil kepada kesemua pihak terlibat. Ada masa Mahkamah memihak kepada Gereja, dan ada masa yang lain Mahkamah memihak kepada orang Islam.

Cuma bezanya, Mahkamah yang membuat keputusan memihak orang Islam ini adalah Mahkamah yang lebih tinggi seperti Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, terima sajalah hakikat.

Isu Kalimah Allah [2]

Penulis juga percaya, dengan keputusan ini pihak-pihak bertelagah dalam isu berkaitan Islam vs agama lain seperti perebutan hak jagaan anak dan sebagainya, tidak akan lagi sebarangan nak membawa kes berkaitan ke Mahkamah. Kalau bawa ke Mahkamah sekalipun, besar kemungkinan tidak akan sampai ke peringkat Mahkamah Persekutuan macam sekarang.

Sebab kalau dah sampai di Mahkamah Persekutuan dan keputusan tidak menyebelahi mereka macam sekarang, bukan pasangan berkenaan saja terlibat, tapi semua pasangan yang ada isu sama selepas itu, akan turut terikat dengan keputusan tersebut.

Jadi jangan pelik kenapa pembangkang begitu bimbang dan melatah bila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak minta pihak yang bertelagah dalam 2 isu perebutan hak jagaan anak pasangan bertukar agama merujuk kes berkenaan sehingga ke Mahkamah Persekutuan – walhal itulah langkah yang betul untuk dilakukan.

Oh ya, penulis juga berharap ada pihak berkepentingan yang melaporkan perbuatan Lawyers For Liberty ini supaya tindakan menghina Mahkamah boleh diambil.

[Sumber]

Wednesday, May 07, 2014

Kenapa Kalimah ALLAH Hanya Layak Untuk Umat Islam?

Kenapa Kalimah ALLAH Hanya Layak Untuk Umat Islam?

Kalimah suci ALLAH layak digunakan oleh umat Islam sahaja berikutan ia sememangnya berasal dari kitab al-Quran dan tidak pernah disebut dalam Bible asli, kata ahli akademik Filologi Islam dan Pengajian Semitik Universiti Airlangga, Surabaya, Jawa Timur, Prof Dr Menachem Ali.

Kalimah ALLAH Layak Untuk Umat Islam

Beliau berkata, bagi merungkai kekeliruan penggunaan kalimah ALLAH, semua pihak seharusnya merujuk kembali pada konteks asal kandungan kitab suci masing-masing dan perkara itu harus segera diselesaikan bagi mengelakkan ketegangan agama.

Hasil kajiannya selama lebih 12 tahun dalam bidang berkaitan menunjukkan bahawa Bible asli yang berasal pada zaman Greek tidak menggunakan kalimah ALLAH untuk merujuk istilah ‘Tuhan’ dalam agama Kristian, katanya kepada pemberita pada ‘Seminar Kalimah ALLAH dan Kristologi Nusantara’ anjuran Universiti Teknologi Mara di sini hari ini.

Prof Dr Menachem menjelaskan bahawa kajiannya juga menunjukkan teks asli New Testament bagi Bible tidak pernah menyebut kalimah ALLAH namun ia (ALLAH) hanya muncul bagi teks terjemahan yang maksudnya diragui berikutan terdapat pergeseran semantik bahasa dan makna mengikut tempat pada abad pertengahan dahulu.

“Mengambil contoh di Indonesia, terjadi kesalahfahaman dalam terjemahan kini yang ALLAH sepatutnya menunjukkan pada nama Tuhan namun dalam bahasa Indonesia, ALLAH hanya sebagai gelar dan ini menjadi persoalan besar dan harus dibincangkan semua ilmuwan agama dan membuat kesepakatan bahawa ALLAH adalah nama khas,” katanya.

Prof Dr Menachem memuji kerajaan Malaysia dalam menangani isu ini namun melihat usaha itu perlu disertai dengan perbincangan terbuka bagi menjelaskan sebab larangan penggunaan kalimah ALLAH dalam terjemahan Bible versi Bahasa Melayu.

Beliau berkata, pemahaman secara mendalam mengenai asal usul kalimah suci itu bagi semua ilmuwan agama amat penting dalam merungkai hak penggunaannya.

“Istilah ALLAH sangat penting untuk difahami semua komuniti agama baik Muslim atau bukan Muslim, yang harus kenal betul kerana jika tidak, akan terjadi kesalahfahaman bahkan timbul persoalan tidak berhujung pada sesuatu yang bersifat kebaikan.” katanya. –BERNAMA

BACA INI JUGA: Siapa Untung Jika Umat Islam Dan Kristian Bergaduh?

Thursday, February 20, 2014

Pope Benedict XVI Bantah Guna Kalimah Allah!

Pope Benedict XVI Bantah Guna Kalimah Allah!

Pope Benedict XVI iaitu ketua tertinggi penganut Kristian Katolik di seluruh dunia pada ucapannya kepada orang berbangsa Arab tidak pun menggunakan kalimah Allah untuk menggambarkan Tuhan.

May Al-Rab Bless You

Pada awalnya sebuah laman berita antarabangsa dikenali sebagai Commonweal melalui penulisnya Michael Peppard menyatakan dalam satu artikel bertajuk “Pope Benedict : ‘May Allah Bless You All”.

Penggunaan kalimah Allah oleh Pope Benedict dipersoalkan oleh banyak pihak yang mendengar ucapan itu, mengatakan Pope tidak menggunakan kalimah Allah.

Dalam artikel tulisan Michael itu, dikatakan hanya ada satu perkataan yang digunakan oleh Pope untuk menggambarkan Tuhan iaitu Allah.

Bagaimanapun, Michael mengakui kesilapannya dan kemudian menukar artikel berkenaan kepada perkataan sebenar yang digunakan pemimpin tertinggi Kristian Katolik itu.

Teks ucapan itu yang diterjemahkan dari bahasa Itali ke Bahasa Arab boleh dibaca di laman web Vatican City berbunyi:

“Pope berdoa untuk semua penceramah berbahasa Arab, Semoga Tuhan memberkati kamu semua,”


Perkataan atau istilah yang digunakan oleh Pope Benedict ialah bukan ALLAH tetapi Al-Rab yang bermaksud Tuhan atau Lord.

Perkara ini berlaku pada 10 Oktober 2012 dan didedahkan di laman blog akarimomar.wordpress.com.

Pope sendiri bertegas membetulkan laporan di portal antarabangsa yang memetik ucapannya di Dataran St Peters itu dan tersilap meletakkan istilah yang digunakan.

Menurut pentadbiran kerajaan Vatican, jika Pope menyebut nama suci Allah dalam ucapannya, ia seolah-olah telah menaikkan syiar Islam di pusat pentadbiran tertinggi Kristian itu.

Laporan dalam laman blog itu telah dibantah oleh pentadbiran Vatican City sendiri.

Jadi, mengapa tokoh agama Kristian Katolik di Malaysia beriya-iya mahu menggunakan kalimah Allah sebagai Tuhan dalam agama mereka dan membelakangkan Pope Benedict sebagai pemimpin tertinggi?

Tidakkah nanti seolah-olah mereka akan dilihat seperti menegakkan syiar Islam atau sebenarnya mereka henda mempengaruhi penganut Islam agar sama-sama menyertai agama Kristian.

Ucapan Pope Benedict XVI di Dataran St Peters di Vatican itu ialah satu BUKTI bahawa Pope TIDAK BERSETUJU dengan penggunaan nama suci Allah untuk tujuan merujuk kepada Tuhan dalam ajaran Kristian.

Ianya juga mengesahkan bahawa God terjemahannya ialah Tuhan dalam bahasa Melayu dan Rabb dalam bahasa Arab. BUKANNYA Allah, nama khas dan KHUSUS untuk umat Islam.

Sumber: Mynewshub

Thursday, February 06, 2014

"SKMM Cepat Tutup FB Anti Kristian Tetapi Tidak FB Anti Islam!"

"SKMM Cepat Tutup FB Anti Kristian Tetapi Tidak FB Anti Islam!"

Pertubuhan Pribumi Perkasa Kebangsaan (Perkasa) mempersoalkan tindakan pantas Suruhanjaya Komunikasi Media Multimedia (SKMM) menutup laman Facebook yang dikatakan menghina agama Kristian tetapi lambat bertindak apabila ia berkaitan agama Islam.

FB Anti Islam

Menurut Setiausaha Agung Perkasa Syed Hassan Syed Ali, agak menghairankan apabila SKMM tidak bertindak biarpun laporan polis dibuat terhadap beberapa laman sesawang dan Facebook yang menghina umat Islam di negara ini.

“Perkasa ingin bertanya kepada SKMM, mengapa begitu cepat bertindak terhadap akaun Facebook menghina Kristian tetapi tiada satu pun tindakan diambil terhadap Facebook yang menghina kesucian Islam walau sudah banyak aduan dibuat,” kata Syed Hassan dalam satu kenyataan lewat petang tadi di Kuala Lumpur.

Perkasa turut menuntut SKMM agar tidak bersikap memilih dalam mengambil tindakan terhadap aduan yang dibuat kerana agak mengecewakan apabila melihat begitu banyak penghinaan terhadap kesucian Islam sedangkan pihak bertanggungjawab seperti SKMM hanya memandang ringan mengenai isu tersebut.

(Baca: Top 10 Peperangan Yang Bermula Dengan Pembohongan Amerika Syarikat)

“Perkasa menunggu pula reaksi daripada pertubuhan yang memperjuangkan hak kebebasan bersuara mengapa tidak menyelar SKMM kerana menyekat kebebasan bersuara apabila laman Facebook tersebut ditutup.

“Adakah mereka juga memilih untuk membuat kritikan? Apabila Islam dihina dan kita menggesa tindakan diambil maka ia dilihat sebagai melanggar kebebasan bersuara?” katanya.

Menurut Syed Hassan, Perkasa tetap dengan pendirian menghina agama bukanlah kebebasan bersuara.

“Perbuatan menghina sesuatu agama bukanlah kebebasan bersuara. Penghina terhadap sesuatu agama wajar dihukum dengan hukuman yang keras,” katanya.

Hari ini SKMM dilaporkan mengambil tindakan menutup beberapa laman sesawang dan Facebook anti Kristian.

Menurut Pengerusi SKMM Mohamed Sharil Tarmizi, penutupan itu termasuk laman “Semenajung Malaysia Anti Sabah and Sarawak”.

“Kami menghubungi Facebook (pentadbir) dan beberapa laman berkenaan ditutup,” katanya seperti dilapor Malaysiakini.

Katanya, siasatan SKMM terhadap laman Facebook berkenaan masih berterusan.

PAS Sabah membuat laporan polis terhadap laman Facebook yang didaftarkan atas nama “Semenanjung Malaysia Anti Sabah and Sarawak” yang menghina penganut Kristian dan Malaysia Timur.

(Baca: Kena Orang Islam, Tak Apa. Kena Pada Bukan Islam, Heboh 1 Malaysia!)

Gambar menghina penganut Kristian termasuk seekor katak dipaku ke salib menimbulkan kemarahan warga Sabah dan Sarawak.

Dua ahli politik Sarawak mengeluarkan kenyataan bagi meredakan kemarahan penduduk Borneo terhadap sentimen anti Kristian dan anti Malaysia Timur di Semenanjung sambil memberi amaran terhadap cadangan berpisah daripada Malaysia yang disifatkannya sebagai pengkhianat.

Menteri Kabinet Sarawak Tan Sri Dr James Masing berkata tidak perlu perbincangan untuk berpisah daripada Malaysia sebagaimana yang pernah dibangkitkan dalam laman Facebook oleh warga Sabah dan Sarawak.

Sumber: Mynewshub

Monday, January 27, 2014

Salahkan UMNO, Anwar Dicabar Pinda Enakmen Agama Selangor

Salahkan UMNO, Anwar Dicabar Pinda Enakmen Agama Selangor

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Datuk Addul Rahman Dahlan mempertikaikan tindakan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim yang cuba menyalahkan Umno dan kerajaan Barisan Nasional berhubung kemelut kalimah Allah.

Anwar dan isu kalimah Allah

Menurutnya Anwar ketika menyampaikan ucapannya di Taginambur, Kota Belud semalam banyak menyentuh isu semasa termasuk kalimah Allah yang kononnya angkara Umno. Sedangkan semua isu tersebut berlaku di Selangor yang ditadbir oleh kerajaan pakatan rakyat.

“Saya hanya ingin maklumkan kepada Datuk Seri Anwar bahawa naskah Al-Kitab yang dirampas berlaku di negeri Selangor, yang di tadbir oleh parti beliau iaitu Pakatan Rakyat. Agensi yang merampas adalah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) iaitu agensi negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat.

“Enakmen negeri yang melarang penggunaan kalimah Allah di Selangor diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Selangor yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat. Sultan yang bertitah mengenai larangan penggunaan kalimah Allah ialah DYMM Sultan Selangor, Sultan negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat,” katanya.

Rahman turut mengatakan sekiranya Anwar merasakan isu tersebut menghantui pemikirannya, dia sepatutnya memecat semua pegawai yang terlibat atau sekurang-kurangnya segera mengadap DYMM Sultan Selangor dan meminta baginda menarik kembali titah larangan yang dikeluarkan sebelum ini.

(Baca: Anwar Ke Jepun Atas Jemputan Anak Pengasas Yakuza?)

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum ini bertitah bahawa penggunaan kalimah Allah hanya tertakluk kepada umat Islam sahaja, mengikut peruntukan di dalam Jadual kepada Seksyen 9 Bahagian 1 Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 yang diwartakan pada 1988.

“Jawapannya senang sahaja. Datuk Seri Anwar tidak berani. Dia lebih berani nak berceramah di Kota Belud dan cuba mengabui mata rakyat dan lepas tangan sambil menuduh orang lain. Apa pun masih tidak lewat untuk Datuk Seri Anwar untuk menujukkan keberaniannya,” ujar beliau lagi.

Tidak cukup dengan itu, beliau turut mencabar Anwar untuk meminta kerajaan Selangor membawa usul bagi meminda Enakmen Agama Bukan Islam Selangor (1988) dalam persidangan dewan undangan negeri yang akan bersidang tidak lama lagi.

“Tidak ada alasan untuk pindaan itu tidak diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri kerana Pakatan Rakyat mempunyai majoriti dua pertiga di Dewan tersebut. Lagi pun tiga Ahli Yang Berhormat DAP dari Selangor telah berjanji untuk membawa usul pindaan itu. Saya harap Datuk Seri Anwar tidak menekan mereka untuk menarik balik hajat mereka itu.

“Samada DYMM Sultan Selangor akan berkenan meluluskan pindaan itu atau tidak bukan persoalannya. Yang penting Datuk Seri Anwar ada peluang untuk membuktikan bahawa beliau serius untuk membenarkan penggunaan kalimah Allah di Selangor yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat,” jelas beliau lagi.

[Sumber]

Nik Aziz Kata, "Jangan Guna Kalimah ALLAH Ganti God"

Nik Aziz Kata, "Jangan Guna Kalimah ALLAH Ganti God"

*Tonton video di bawah sehingga ke penghujung mengenai pendirian terkini Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkaitan penggunaan kalimah Allah yang nyata berubah berbanding sebelum ini.

Nik-aziz-bantah-kalimah-Allah

Masyarakat bukan Islam di negara ini tidak boleh sesekali menggunakan kalimah ALLAH sebagai menggantikan perkataan God sebagaimana yang terdapat dalam kitab mereka khususnya Bible, tegas Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menurutnya, perkataan God dalam kitab itu lebih tepat diterjemah kepada perkataan ‘tuhan’ bukannya ALLAH sebagaimana desakan sesetengah pihak.

“Tetapi yang menjadi masalah sekarang kerana ada orang mahu God diterjemah kepada ALLAH, ini tidak betul, God maknanya Tuhan, ia bukan bermakna ALLAH, ALLAH lain, tuhan lain, tuhan terlalu banyak, ada orang bertuhankan harta.

“Tuhan yang sebenar adalah ALLAH, tetapi God dalam bahasa Inggeris itu tidak boleh diterjemah kepada ALLAH, sebaliknya tuhan. Nama apa tuhan?

“ALLAH nama sebenarnya. Nabi Isa bukan tuhan, Siti Maryam tidak tuhan, (Malaikat) Jibril tidak tuhan, ALLAH itu nama-Nya, sifatNya ada 99, orang tidak boleh kenal ALLAH melainkan melalui nama-nama-Nya,” katanya ketika menyampaikan Kuliah Jumaat di Medan Ilmu.

(Baca: Realiti Nama Tuhan Dalam Agama Kristian)

Menurutnya, masyarakat Arab jahiliyah di Makkah menggunakan kalimah ALLAH sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW lagi, malah sekarang orang Cina pun selalu menyebut Alhamdulillah, Insya ALLAH selaligus membuktikan kalimah ALLAH sudah jadi sebutan untuk semua tanpa mengira Islam atau kafir.

Bagaimanapun katanya, walaupun kini kalimah ALLAH itu menjadi lafaz ‘biasa’ dalam kegiatan seharian masyarakat termasuk orang bukan Islam, namun ia tidak boleh disamakan dengan tuhan yang dirujuk dalam fahaman agama mereka.

Dalam pada itu, Nik Abdul Aziz enggan mengulas lanjut mengenai isu kalimah ALLAH sebaliknya hanya mengulangi sokongannya terhadap keputusan Majlis Syura Ulama Pas pada Januari tahun lalu.

Isu kalimah ALLAH hangat kembali berikutan tuntutan Pengarang The Herald, Paderi Lawrence Andrew yang berkeras mahukan semua gereja Katolik di Selangor menggunakan kalimah ALLAH dalam perhimpunan mingguannya sebelum mengundang kemarahan umat Islam.

Mesyuarat Majlis Syura Ulama Pas pada 13 Januari tahun lalu sebulat suara memutuskan ALLAH adalah kalimah suci iaitu ALLAH Yang Esa, tunggal, tidak beranak dan tidak diperanakkan.

Majlis Syura Ulama ketika itu turut menegaskan bahawa kalimah ALLAH adalah kalimah khusus dan tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa dunia kerana tidak menepati kehendak sebenar kalimah tersebut, begitu juga sebaliknya.

Sumber: Sinar Harian Online