Thursday, January 09, 2014

Isu Kalimah Allah, Paderi Andrew Hanya Perlu Patuhi Keputusan Mahkamah!


Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini meminta pengarang majalah mingguan Katolik ‘The Herald’, Paderi Lawrence Andrew supaya menghormati keputusan mahkamah berhubung penggunaan kalimah Allah dalam kitab Injil berbahasa Melayu.

Tun-Dr-Mahathir-Isu-Kalimah-Allah

Beliau menegaskan paderi itu perlu menghormati sensitiviti masyarakat Islam di negara ini sebagaimana umat Islam menghormati agama lain.

“Yang rujuk kes ini ke mahkamah adalah mereka tapi bila mahkamah buat keputusan mereka tak peduli. Apa jadi kalau masyarakat tak hormat keputusan mahkamah?

“Penggunaan kalimah Allah di Sabah dan Sarawak telah lama, tak apalah, tapi di sini apa sebab tiba-tiba nak gunakan?” soal Dr Mahathir ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan ucap tama pada seminar Pengarah-pengarah Korporat Tabung Haji (TH) di Kelana Jaya di sini.

Beliau mengulas kenyataan Andrew 27 Dis lepas bahawa gereja Katolik di Selangor akan terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguannya dalam bahasa Melayu meskipun Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menghantar notis peringatan mengenai larangan penggunaan kalimah itu oleh bukan Islam.

Kenyataan beliau telah menimbulkan bantahan pelbagai pihak dan umat Islam terutama di Selangor dan semalam Andrew menegaskan tidak akan memohon maaf seperti yang didesak oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Umno Selangor dan Perkasa atas pendiriannya itu.

(Baca: Realiti Nama Tuhan Dalam Agama Kristian)

Dr Mahathir mengingatkan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang aman walaupun mempunyai rakyat pelbagai agama serta kaum, dan ini perlu dikekalkan dengan mengelak melakukan perkara yang menyentuh sensitiviti agama lain.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai bantahan pengwujudan cawangan Hard Rock Cafe di Putrajaya, bekas perdana menteri itu berkata timbul sebarang masalah jika premis hiburan diwujudkan di Putrajaya kerana ia bukan bandar keagamaan tetapi sebuah bandar pentadbiran.

“Manusia ini berkehendakkan hiburan. Kalau kata tak boleh minum arak dalam Putrajaya saya pun tak ada apa-apa, tapi sampai tak ada hiburan ini susahlah,” katanya.

Media melaporkan kemungkinan cawangan Hard Rock Cafe dibuka di Putrajaya, bandar pentadbiran cetusan ilham Dr Mahathir, susulan perbincangan mengenainya antara Presiden Perbadanan Putrajaya Tan Sri Aseh Che Mat dan ahli perniagaan Tan Sri Syed Yusof Syed Nasir.

Ditanya sama ada beliau bersetuju jika Hard Rock Cafe diwujudkan di Putrajaya, Dr Mahathir menjawab: “Bukan bersetuju Hard Rock Cafe tu. Saya bersetuju supaya ada hiburan di situ. Tapi kalau kita nak larang jual arak itu terpulang kepada mereka (pihak berkenaan).”

Aseh bagaimanapun dilaporkan sebagai menjelaskan tiada permintaan rasmi dikemukakan mengenai cadangan pembukaan pusat hiburan itu.

Terdahulu dalam ucapannya, Dr Mahathir berkata TH adalah sebuah entiti unik yang tiada tandingan di dunia dalam soal mengumpul wang rakyat untuk membolehkan mereka menunaikan ibadat haji.

Sumber: BERNAMA

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon