Wednesday, June 26, 2019

3 Bisnes Paling Mudah Dan Menguntungkan Di Tahun 2023

3 Bisnes Paling Mudah Dan Menguntungkan Di Tahun 2023

Ramai yang cuba untuk berniaga ataupun menjalankan bisnes tetapi buntu dari segi idea. Bagi wanita misalnya, mereka selalunya memilih menjadi agen atau stokis produk kosmetik dan untuk lelaki, ramai buat perkhidmatan freelance, cuba-cuba masuk MLM dan sebagainya.

Panduan Bisnes

Apa-apapun ikhtiar yang digunakan, kita perlu sedar bahawa sebaik-baik cara untuk meningkatkan pendapatan adalah melalui berniaga.

Kali ini kami ingin kongsikan 3 idea bisnes kecil-kecilan yang boleh anda lakukan. Kesemua bisnes ini hanya memerlukan modal yang sedikit namun memberikan pulangan yang berlipat kali ganda. Tak percaya? Jom baca lebih lanjut.

1. Jual Air Minuman (Bisnes air balang)



Tahukah anda, berniaga air minuman adalah salah satu cara paling senang untuk mendapatkan keuntungan berlipat kali ganda.

Mana tidaknya, rata-rata peniaga air lazimnya akan dapat margin untung bersih sekitar 80%. Memang lumayan.

Selalunya orang jual satu air dengan harga RM1.00-1.50 secawan. Kalau bungkus pula, harganya RM 2.00-RM 2.50.

Selain di pasar malam, digalakkan dijual di sekitar kawasan sekolah. Senang kata, jual pada waktu 1-2 petang (waktu pelajar balik sekolah) dan pada waktu 5-6 petang (balik sekolah agama atau kelas tambahan). Pada waktu itu, nescaya ramai yang akan beli.

Menjual 300 cawan untuk satu sesi itu bukan perkara yang mustahil, sehari paling tidak kita akan dapat RM600 kasar.

Purata sehari anda akan dapat RM480, darab dengan 21 hari persekolahan sebulan = RM10,080

2. Berniaga Buah Potong

Buah-buahan potong ini memang digilai orang ramai terutamanya ketika cuaca panas, ditambah pula dengan serbuk asam masam-masam manis, pastinya orang berebut nak membelinya.

Yang bagusnya, kos memulakan perniagaan ini murah dan penyediannya sangatlah mudah. Cuma cari satu kotak polisterin besar dan isikan ais serta buah-buahan potong anda itu.

Kalau rasa susah nak dapatkan payung dan meja, beli sahajalah box makanan dan buat ala-ala jualan carboot.

Dicadangkan anda cari lokasi-lokasi atapun port yang sesuai untuk tarik lebih ramai pembeli, contohnya di depan kawasan sekolah, foodcourt, kawasan office dan sebagainya.

Disebabkan harga modal bergantung kepada harga buah di pasaran, untung biasanya adalah 50%-60% daripada modal.

Katakan RM1/plastik, kena target jual 600 plastik sehari. Puratanya anda akan dapat RM350 sehari x 30 hari = RM 10,500.

3. Jual Nasi Lemak Dengan Servis Delivery

Zaman sekarang, boleh dikatakan kedai-kedai yang menjual nasi lemak pada waktu pagi umpama cendawan tumbuh selepas hujan. Memang sangat banyak. Beraneka nasi lemak dijual seperti nasi lemak ayam, paru, sotong dan sebagainya.

Kedai-kedai ini memang sangat laku pada waktu pagi kerana orang ramai tidak sempat menyediakan sarapan untuk pergi kerja.

Jadi, solusinya adalah mereka beli sahaja nasi bungkus daripada kedai dan makan di pejabat. Tidak kurang juga ada yang turut membeli untuk hidangan sekeluarga.

Kedai-kedai nasi lemak sebegini sangat untung kerana orang ramai bukan sahaja membeli pada waktu pagi tetapi pada waktu petang pun turut menjadi tumpuan.

Sehari anda dapat buat jualan 150 bungkus dengan keuntungan biasa jualan nasi ialah 60%, jadi sehari bersih dalam tangan ialah RM360 × 30 hari = RM10,800.

Untuk mendapatkan pelanggan tetap, anda juga boleh menjalankan perkhidmatan menghantar nasi lemak rumah ke rumah.

Buat group WhatsApp dengan penduduk kawasan sekitar dan tetapkan waktu penghantaran sebelum pagi dan petang.

Kesimpulannya, berniaga memang mendatangkan keuntungan yang tidak disangka-sangka.

Tinggal lagi usaha dan komitmen daripada anda yang akan menentukan hala tuju bisnes. Nak seribu daya, tak nak seribu dalih.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Saturday, June 08, 2019

7 Jenama Pelopor Yang Mengubah Dunia

7 Jenama Pelopor Yang Mengubah Dunia

Bermula daripada makanan segera sehinggalah dunia fesyen dan telefon bimbit, beberapa jenama terkenal yang kita kenali hari ini bukan sekadar mempengaruhi perbelanjaan kita, mereka juga menentukan siapa diri ramai pengguna.

Jenama tersohor dunia

Berikut adalah 7 jenama yang berjaya mengubah dunia dan bagaimana mereka dapat melakukannya.

1. Amazon

Jeff Bezos sememangnya berjaya melakukan sesuatu dengan betul dari awal kewujudan Amazon.

Ketika beliau meletak jawatan dari Wall Street pada tahun 1994 untuk berpindah ke Seattle dan memulakan perusahaan penjualan online, dia memilih nama Cadabra.

Kemudian, dia menggantikan dengan nama Amazon setelah seseorang mencemuh Cadabra sebagai Cadaver (mayat).

“Amazon” sangat sesuai dalam banyak ciri. Bezos memilih nama tersebut dengan harapan laman webnya akan muncul di halaman pertama daftar carian (dulu berdasarkan urutan huruf).

Dia juga menyukai nama Amazon kerana ia mengandungi huruf “a” dan “z”. Ideanya adalah Amazon suatu hari akan menjual pelbagai produk ke seluruh dunia. Hari ini, itulah yang dilakukan Amazon.

2. Facebook

Berbeza dengan andaian orang ramai, pencipta Facebook, Mark Zuckerberg bukanlah mahasiswa IT di Harvard. Dia adalah mahasiswa Psikologi.

Laman sosial ini dulunya dicipta untuk para alumni bertemu (secara online) dengan satu sama lain atau mengatur temujanji.

Facebook, jejaring sosial yang dilancarkan beberapa tahun lalu benar-benar telah mengubah cara bersosial, temujanji, berbelanja dan hidup berbilion pengguna aktifnya.

3. GAP

Jenama ini mempelopori idea retail khusus dengan menumpukan satu kategori, harga yang berpatutan dan pilihan yang banyak. GAP kini membuat jenama jeans sendiri.

Kini, setiap orang di 90 negara dengan wang beberapa dolar atau ringgit mampu memiliki jenama pakaian ini.

4. HBO

Jenama saluran TV ini mula beroperasi pada akhir tahun 1972. Pada tahun 1975, HBO berjaya menarik perhatian ramai dan setiap orang menginginkan hiburan dari HBO.

Sehingga tahun 1982, 9.8 juta orang memiliki saluran HBO dan 13.4 juta penonton di tahun berikutnya.

Seiring waktu, persaingan semakin sengit tetapi, HBO berjaya menjadi pemenang dan mendefiniskan kembali pandangan pelanggannya tentang hiburan yang diinginkan.

Siri Sex and the City dan The Sopranos yang sangat berjaya telah melonjakkan populariti HBO ke seluruh dunia.

5. McDonald’s

Ray Kroc, penjual alat pembuat milkshake, tahu bahawa restoran makanan segera McDonald’s akan berjaya suatu hari nanti.

Menu yang standard, self-service, perisa tersendiri, francais, saham restoran untuk umum: semua itu ditawarkan oleh McDonald’s untuk pelanggannya.

6. Starbucks

Starbucks Coffee Co., yang bermula sebagai sebuah gerai di Seattle pada tahun 1971 kini telah memiliki 11,000 gerai di Amerika Syarikat dan 17,500 di 61 buah negara.

Rahsianya, Starbucks memperkenalkan kopi ke tahap di mana pelanggan kelas pertengahan sanggup membayar beberapa dolar untuk secawan kopi.

7. iPhone

iPhone menjadi pelopor smartphone yang bukan setakat membawa komputer dalam genggaman kita, tapi juga mengubah gadget menjadi simbol status di kalangan golongan menengah ke atas.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: usahawan

Tuesday, April 30, 2019

Pendapatan Kelapa Matag RM160K Setahun

Pendapatan Kelapa Matag RM160K Setahun

Golongan petani, terutamanya yang mengusahakan tanaman padi, disaran agar menanam pokok kelapa matag sebagai salah satu daripada sumber pendapatan kerana ia mudah diusahakan dan mampu memberikan pendapatan lumayan.

Kelapa Matag
Kelapa Matag.

Mengusahakan kelapa matag membolehkan para petani memperoleh pendapatan sampingan sehingga kira-kira RM163,000 bagi sehektar setahun.

Kelapa matag mampu menghasilkan buah sebanyak 25,000 biji bagi setiap hektar setahun dan akan mula berbuah selepas 2-3 tahun ditanam.

Pokok kelapa matag sekiranya diusahakan dengan baik mengikut kaedah yang betul mampu mendatangkan hasil selepas tiga tahun ditanam.

Kenali Kelapa Matag

Nama matag berasal dari pada “MA” (Malayan) dan “TAG” (Tangnan), merupakan kelapa hibrid yang dihasilkan daripada pendebungaan silang Kelapa Rendah Malaya dan Kelapa Tagnanan.

Ketinggian pokok MATAG boleh mencapai 15 meter. Daun, bunga dan buahnya berwarna sama ada hijau atau jingga pucat, bergantung kepada jenis pokok induk Kelapa Rendah Malaya.

Pokok Kelapa Matag menjadi buruan disebabkan oleh saiznya yang rendah dan buahnya banyak.

Bagi mendapatkan hasil kelapa hibrid MATAG sebenar, petani perlu memastikan benihnya tulen iaitu hasil pendebungan antara Tagnanan dengan MRD atau MYD atau istilah saintifiknya dipanggil Generasi F1.

Hasil Kelapa Matag

Jarak penanaman kelapa matag adalah mengikut jenis tanah tetapi lazimnya sekitar 8.1 meter x 8.1 meter dengan kadar kepadatan sebanyak 178 pokok sehektar.

Kelapa Matag lebih cepat mengeluarkan hasil berbanding dengan varieti kelapa 'Malayan Tall' sedia ada.

Berdasarkan laporan penilaian yang dibuat Jabatan Pertanian mendapati seluas lebih 67 hektar kelapa matag ditanam di Perak, Johor dan Selangor pada tahun 2009 dimana melibatkan sebanyak 17,000 pokok dibuat kajian.

Kajian tersebut menyatakan sebanyak 992,120 biji kelapa telah dihasilkan dengan produktiviti pengeluaran hasil kelapa matag sebanyak 9,532 biji/ha/tahun (umur pokok 7 tahun), sebanyak 12,941 biji/hektar/tahun (umur 8 tahun) dan sebanyak 23,757 biji/hektar / tahun (umur pokok 9 tahun).

Purata penghasilan bagi ketiga-tiga tahun tersebut adalah sebanyak 14,937 biji sehektar dalam setahun dan hasil pengeluaran terus meningkat saban tahun dengan penjagaan yang baik.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Sunday, April 07, 2019

Punca Kegagalan Google+ Sehingga Di Tamatkan Pada 2 April 2019

Punca Kegagalan Google+ Sehingga Di Tamatkan Pada 2 April 2019

Jaringan media sosial adalah salah satu medium perhubungan yang popular kerana ia menempatkan sejumlah pengguna di dalam satu halaman. Pengguna boleh mencari seseorang individu yang berdaftar pada halaman ini, untuk dijadikan sebagai rakan atau individu yang ingin anda ikuti.

Punca Kegagalan Google+

Kebolehan ini telah membenarkan ramai kenalan yang terpisah dipertemukan semula, sekaligus mewujudkan kembali hubungan persahabatan dengan individu tersebut. Ia juga memudahkan anda mengikuti seseorang yang ternama seperti penggiat seni, ahli politik, dan pelbagai individu lain dalam mendapatkan perkembangan terkini daripada mereka.

Perkhidmatan ini mula popular apabila perkhidmatan seperti Friendster dan MySpace wujud pada awal 2000-an. Kedua-dua perkhidmatan ini boleh dikatakan antara yang terawal dalam menawarkan sebuah jaringan sosial yang mudah digunakan oleh pengguna.

Friendster sangat terkenal atas paparannya yang kemas dan ringkas, manakala MySpace membenarkan pengguna mengubah tampilan profil melalui sejumlah fungsi kustomasi yang menarik.

Kedua-duanya aktif digunakan oleh pengguna sekitar 2003-2009, namun menemui era kejatuhan apabila mereka tidak dapat bersaing dengan sejumlah jaringan media sosial yang baru.

Facebook, Twitter, dan Instagram antara contoh laman media sosial yang berjaya pada saat ini. Ketiga-tiga laman ini mempunyai ciri-ciri yang unik dalam menyampaikan sesuatu perkara kepada pengguna.

Facebook digunakan secara meluas kerana ia adalah sebuah laman media sosial yang menyeluruh, dengan penyertaan sistem pemesejan pantas (IM), fungsi mewujudkan kumpulan dan adanya Facebook Page.

Twitter pula digunakan secara aktif kerana pengguna boleh membuat penghantaran tweet secara pantas di bawah 280 aksara.

Instagram sangat popular kerana ia memfokuskan kepada fungsi perkongsian gambar dan video secara ringkas.

Kenapa Google+ Diwujudkan?

Sebagai sebuah syarikat yang besar, Google juga ingin mengambil peluang ini dalam mewujudkan jaringan media sosial mereka tersendiri.

Sebelum adanya Google+, Google sebenarnya sudah mempunyai jaringan media sosial tersendiri yang dikenali Google Buzz. Ia telah dilancarkan pada tahun 2010 dan akhirnya ditutup pada tahun 2012 bagi memberi laluan kepada Google+.

Perkhidmatan ini membolehkan pengguna berkongsi kemaskini, gambar, dan video melalui bahagian Buzz yang ditempatkan di dalam Gmail.

Google telah melancarkan Google+ secara rasmi pada 28 Jun 2011 dengan ciri-ciri jaringan sosial yang bersifat menyeluruh.

Ketika awal pelancaran Google+, ia dilihat membawa potensi yang cukup besar kerana menawarkan sejumlah fungsi unik kepada pengguna.

Ia mengintegrasikan akaun Google, jadi pengguna tidak perlu mendaftar daripada mula untuk menggunakannya. Pendaftaran akaun Google+ juga kemudiannya diwajibkan pada tahun 2013 ketika ingin membuat komen pada halaman Youtube.

Antara fungsi unik yang hadir pada perkhidmatan ini ialah penyertaan sistem rakan berasaskan Circle. Ia membolehkan anda meletakkan sejumlah rakan-rakan anda pada sesebuah Circle, bagi memudahkan anda mengikuti kumpulan rakan-rakan ini.

Sebagai contoh, anda boleh meletakkan rakan-rakan di tempat kerja anda di dalam Circle “Acquaintance” – termasuk rakan-rakan anda yang kurang rapat.

Sekiranya anda mempunyai sekumpulan rakan-rakan rapat, anda boleh meletakkannya di dalam Circle “Friends” atau “Close Friends”.

Orang yang ditempatkan di dalam sesuatu Circle ini juga tidak akan mengetahui kedudukan mereka, apabila mereka diletakkan di dalam sesebuah Circle.

Google+ turut hadir dengan fungsi Communities bagi membenarkan anda mengikuti sesebuah komuniti. Fungsi ini menyerupai Facebook Group, namun ia lebih menggalakkan diskusi antara pengguna.

Anda boleh mengikuti sejumlah pembangunan produk melalui fungsi ini, selain membolehkan anda menghantar cadangan atau komen mengenai produk tersebut. Sejumlah pembangun aplikasi telah banyak memanfaatkan fungsi ini, terutama ketika aplikasi tersebut masih di dalam pembangunan.

Google+ juga menawarkan integrasi bersama Google Hangouts sebagai alternatif kepada fungsi Facebook Messenger.

Fungsi ini menawarkan fungsi permesejan setempat, dengan membolehkan anda menghantar teks, fail, gambar, dan video.

Anda juga boleh membuat panggilan suara dan video melalui fungsi ini, dengan membenarkan anda menjemput sehingga 25 orang rakan. Ia kerap digunakan ketika membuat video langsung kerana ia boleh di muat-naik terus kepada halaman Youtube.

Apabila pengguna berkongsi sesebuah status, pengguna boleh menekan butang “+1” untuk menyukai status tersebut. Fungsi ini menyerupai fungsi “Like” pada Facebook, namun ia akan dipaparkan dalam bentuk angka.

Apabila sesuatu status disukai oleh 300 orang, “+1” ini akan dipaparkan bersama angka “300”. Status yang dikeluarkan juga boleh dikongsi kepada pengguna lain, melalui fungsi “Sharing” yang dibekalkan.

Pengguna juga boleh memanggil pengguna lain atau mention dengan meletakkan anda meletakkan simbol “+” sebelum nama pengguna.

Punca Kejatuhan

Sehingga 2019, Google+ telah mencapai sekitar 395 juta pengguna aktif secara bulanan. Akaun yang telah berdaftar juga telah mencapai 2 bilion, namun masa penggunaannya berada pada angka yang rendah.

Mengikut jangkaan, pengguna Google+ hanya meluangkan masa hanya sekitar 3.3 minit di laman ini, berbanding 7.5 jam pada halaman Facebook.

Majoriti pengguna Google+ hanya melihat status dan notifikasi secara sekilas pandang, dan tidak lagi meneruskannya kerana tiada perkara menarik pada halaman tersebut.

Fungsi mengelirukan

Salah satu sebab yang mungkin menyumbang kepada kejatuhan Google+ adalah dari segi fungsi yang sedikit mengelirukan. Sistem perletakkan rakan berasaskan Circle walaupun dilihat berguna, ia sebenarnya telah membuatkan sesetengah pengguna keliru dengan fungsi ini pada mulanya.

Kebanyakan pengguna juga tidak mempunyai masa untuk mengasingkan rakan-rakan mereka di dalam kumpulan tertentu.

Google+ juga menggunakan elemen antaramuka yang berlainan berbanding perkhidmatan media sosial sedia ada. Mereka menggunakan sistem “+1” berbanding simbol yang lebih dikenalpasti oleh pengguna. Simbol seperti “thumbs up” atau “love” lebih membawa maksud suka, berbanding sistem angka berasaskan “+1” ini. Pengguna juga perlu menggunakan simbol “+” berbanding “@” ketika ingin memanggil (mention) pengguna lain.

Pengguna selesa dengan jaringan sosial sedia ada

Dengan populariti Facebook, Twitter, dan Instagram yang semakin meningkat, pengguna juga tidak mempunyai sebab untuk beralih ke laman media sosial yang baru.

Bilangan media sosial yang dimiliki pengguna sudah terlalu banyak, jadi mereka ingin mengecilkan jumlah akaun supaya lebih mudah untuk diuruskan.

Fungsi yang terdapat pada media sosial hari ini juga kebanyakannya sudah lengkap, jadi pengguna tidak perlu lagi untuk menggunakan perkhidmatan tambahan.

Memaksa pengguna mengintegrasikan akaun ke Youtube

Ada juga alasan pengguna yang tidak menggunakan Google+ ini kerana ingin menunjukkan rasa tidak puas hati kepada tindakan Google.

Pada tahun 2013, Google telah memaksa pengguna mengaktifkan akaun Google+ apabila ingin membuat komen di Youtube. Perkara ini sekaligus memerlukan akaun Google pengguna ‘dipaksa’ untuk diintegrasikan dengan fungsi Google+.

Walau bagaimanapun, tindakan ini telah diubah pada tahun 2015 setelah menerima komen negatif daripada pengguna.

Tiada arah tuju

Google+ telah melalui pelbagai fasa perubahan sepanjang hayatnya – termasuk dari segi fungsi dan perlaksanaannya. Pada tahun 2014, salah seorang pengasas Google+ iaitu Vic Gundotra telah keluar daripada pembangunan laman ini.

Sejak daripada itu, pengurusan Google+ telah diolah beberapa kali dalam menjadikan perkhidmatan ini lebih relevan kepada pengguna.

Namun disebabkan perubahan ini, beberapa fungsi menarik telah dikeluarkan, seperti kebolehan Google+ Photos dan Games.

Agak mengecewakan, fungsi Hangouts on Air juga telah dikeluarkan daripada Google+ dan dipindahkan ke fungsi YouTube Live.

Pada tahun 2015, Google+ telah difokuskan kepada kandungan berasaskan komuniti kerana ia lebih diguna pakai oleh pengguna di sana. Perkara ini telah membuatkan Google+ ini kelihatan kurang yakin dengan masa depan dan hala tuju perkhidmatan mereka.

Selamat Tinggal Google+

Google telah mengumumkan tarikh 2 April 2019 sebagai tarikh penamatan Google+ ini. Segala kandungan yang telah dikongsikan oleh pengguna hanya boleh dimuat-turun sehingga 31 Mac 2019.

Selepas daripada tarikh ini, segala kandungan di Google+ mungkin tidak lagi dapat diakses – seperti mana perkhidmatan goo.gl yang telah ditamatkan pada Mac lalu.

Seperti kebanyakan syarikat lain, Google juga mempunyai produk yang tidak berjaya. Google+ ini hanyalah dari salah satu contoh daripada sejumlah produk Google yang telah ditamatkan riwayatnya.

Pada tahun 2019 ini sahaja, Google telah menamatkan perkhidmatan Inbox by Gmail, goo.gl, Allo, dan Google+ ini bagi membolehkan mereka memfokuskan kepada pembangunan produk yang lain.

Dengan kegagalan Google+ ini, ia telah menambah sebuah lagi produk untuk ditempatkan di laman Google Cemetery.

Google+ telah berjaya berkhidmat kepada pengguna dalam tempoh tujuh tahun, sejak ia diperkenalkan pada tahun 2011. Ia adalah sebuah laman media sosial yang mempunyai potensi yang besar, namun gagal mendapat sambutan pengguna atas perlaksanaannya yang kurang menyenangkan.

Ia mempunyai fungsi yang sedikit mengelirukan, tiada arah tuju, dan pengguna juga tidak mempunyai sebab untuk beralih ke sebuah jaringan sosial yang baru.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: amanz

Wednesday, February 20, 2019

Sejarah Dan Kisah Hebat Penciptaan Jam Tangan Rolex

Sejarah Dan Kisah Hebat Penciptaan Jam Tangan Rolex

Kalau sebut tentang jam tangan, pasti jenama pertama yang muncul di minda anda adalah Rolex, jenama yang telah tertanam di dalam minda kebanyakan masyarakat di dunia sehingga sukar untuk dipercayai bahawa jam tangan ini telah wujud sebelum Hans Wilsdorf memulakan syarikat itu pada awal tahun 1900-an.

Amazing Rolex

Ia kini berdiri megah sebagai pembuat jam paling berpengaruh, secara konsisten berada di kedudukan teratas senarai syarikat-syarikat paling terkemuka di dunia.

Rolex bukan sahaja mengeluarkan sejumlah jam tangan, tetapi pakar-pakar menganggarkan bahawa syarikat ini menghasilkan kira-kira 1 juta jam tangan setahun, mungkin lebih daripada mana-mana pembuat jam mewah yang lain.

Bagaimanakah Rolex boleh menjadi pelopor kepada seni penghasilan jam?

Menurut Ben Clymer, pengasas dan editor eksekutif premier Hodinkee, Rolex telah membina jenamanya dengan inovasi luar biasa, mencipta nama untuk kualiti produk berkualiti tinggi dan salah satu sokongan selebriti yang paling terkenal pada abad ke-20.

Sejarah Rolex

Hans Wilsdorf, pengasas Rolex Watch Company dilahirkan di Switzerland pada 22 Mac, 1881. Pada usia 19 tahun, Hans mula bekerja sebagai wartawan bahasa Inggeris dengan Messrs.

Firma itu adalah pengeksport jam tangan dan dengan inilah Hans diperkenalkan kepada perniagaan pembuatan jam. Menjelang tahun 1903, beliau berpindah dan menetap di London, bekerja untuk pembuat jam tangan yang lain.

Setelah mendapat pengalaman daripada pekerjaan ini dan pekerjaannya yang terdahulu serta meningkatkan keyakinan dirinya, Hans menubuhkan firma sendiri.

Dengan bantuan kewangan dari abang iparnya, Alfred Davis, syarikat "Wilsdorf and Davis" ditubuhkan.

Pada mulanya syarikat itu hanya terhad kepada pembuatan jam tangan poket kerana tanggapan umum pada ketika itu adalah jam tangan tidak cukup maskulin.

Malah, memasukkan mekanisme jam ke dalam sarung yang kecil adalah sesuatu yang hampir mustahil pada ketika itu.

Isu lain adalah sarung yang diperlukan haruslah tidak dapat ditembusi. Disebabkan oleh kelembapan debu, peluh pada pergelangan tangan menyebabkan masalah kepada pengguna.

Hans Wilsdorf dan Alfred Davis berhasrat mencari penyelesaian untuk perkara yang sama. Selama bertahun-tahun, jenama itu mendedikasikan semua sumber dan pengetahuan mereka untuk mencipta jam tangan yang sempurna.

Inovasi menakjubkan oleh Rolex

Dan status Rolex bukanlah satu kebetulan. Inovasi sebenar dalam bidang pembuatan jam adalah faktor yang mendorong Rolex berada di mana mereka berada sekarang.

Untuk menguatkan status mereka, Rolex telah mencipta sarung kalis air pertama, jam automatik pertama, jam dengan tarikh pertama dan kemungkinan jam kronograf pertama di dunia.

Sebelum jam menjadi barangan berharga seperti mana yang kita lihat pada hari ini, ia hanyalah satu alat untuk memberitahu masa. Inovasi-inovasi seperti ini telah menjadikan jam lebih berguna.

Jam automatik membuatkan pemakai tidak perlu lagi memutarkannya setiap malam, sarung kalis air membenarkan penyelam menyelam dengan memakai jam mereka dan jam kronograf membolehkan pemandu kereta lumba mencatatkan masa pusingan dengan lebih tepat.

"Semua invoasi ini juga membuatkan jam lebih mudah untuk dipakai setiap hari. Anda tak boleh membasuh tangan jika memakai jam, tanpa sarung kalis air," kata Clymer.

Reputasi untuk kualiti Rolex

Di samping inovasi-inovasi dalam pembuatan jam pada separuh pertama tahun 1900-an, Rolex membina reputasi untuk kebolehpercayaan.

Untuk membolehkan semua inovasi ini berfungsi dan untuk jam tangan ini beroperasi sebagai alat dengan tujuan penciptaannya, jam tangan Rolex harus menjadi yang terbaik.

Adalah penting untuk diingati bahawa jam Rolex bukan hanya barangan mewah seperti yang dilihat pada hari ini.

Jika anda seorang penyelam tentera laut dan anda mahukan alat yang boleh bertahan selama-lamanya bagi menyelam pada sedalaman 100 meter, anda akan membeli Rolex.

"Kerana ia sememangnya berfungsi dengan baik dan tahan lama," kata Clymer.

Teknik pemasaran yang menjadi

Hans_Wilsdorf_Rolex
Hans Wilsdorf.

Inovasi dan kualiti adalah sangat penting, namun ia tidak akan memberikan apa-apa hasil jika pelanggan berpotensi tidak menyedari kehadiran Rolex.

Pada tahun 1927, Hans Wilsdorf bertemu dengan Mercedes Gleitze, wanita pertama yang berenang di Selat Inggeris dan manusia pertama yang berenang di Selat Gibraltar, lalu memintanya memakai jam tangan Rolex Oyster yang baru, lengkap dengan sarung kalis air.

Mercedes Gleitze bersetuju dan memakai jam tersebut pada lehernya semasa percubaan untuk berenang. Gambar Mercedes yang diambil terpapar di muka hadapan akhbar setiap hari dengan jam tangan Rolex di lehernya.

Walaupun Mercedes tidak melengkapkan percubaan itu, status selebriti Mercedes Gleitze telah melonjakkan nama Rolex hingga disedari orang ramai.

Rolex dapat menggunakan peluang ini untuk memberitahu bahawa jam tangan itu terus bertahan walaupun selepas tenggelam dalam air sejuk selama berjam-jam.

Ini telah meningkatkan kesedaran orang ramai tentang jenama Rolex dan juga pendapat orang ramai mengenai kualiti Rolex.

Rolex terus menggunakan imej wanita berenang sambil memakai jam tangan mereka dalam pengiklanannya, sehingga pada tahun 2010.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Saturday, December 29, 2018

Shopee Laman Web e-Dagang Terbesar Asia Tenggara

Shopee Laman Web e-Dagang Terbesar Asia Tenggara

Muncul tiga tahun lewat berbanding Lazada bukan alasan buat Shopee untuk mengatasi serta memintas Lazada serta penawaran laman e-dagang terbesar di Asia Tenggara dan lebih hebat, mereka juga berjaya menjadi lamana e-dagang paling dominan di hampir setiap negara di Asia Tenggara termasuk Malaysia, Indonesia dan Vietnam.

Laman Web e-Dagang Terbesar

Berjaya mengutip lebih 12 juta tempahan sempena jualan 12.12 serta 11 juta tempahan pada jualan 11.11 sekali gus berjaya menunjukkan orang ramai lebih berminat untuk berbelanja di platform ini berbanding beberapa laman web pencabar yang lain.

Mengulas dari segi populariti, ramai yang menjangkakan Shopee mampu bergerak dengan lebih jauh lagi melihat kepada jumlah penggunanya yang semakin ramai dimana mereka berjaya mendominasi pasaran e-dagang di Vietnam mengalahkan The Gioi Di Dong serta Tokopedia dan Bukalapak di Indonesia.

Difahamkan, rahsia disebalik peningkatan pengguna Shopee adalah pengalaman pembelian yang sangat mudah.

Tidak dilupakan juga promosi yang berterusan berjaya membuatkan orang ramai semakin tertarik untuk membeli-belah di laman ini berbanding beberapa laman penjualan yang lain.

Melihat kepada trend pengguna yang mudah berbelanja serta mengakses laman mereka melalui telefon pintar, Shopee sejak dari awal lagi memfokuskan kepada penawaran terbaik buat pengguna telefon pintar berbanding desktop.

Berbincang mengenai barangan yang sering menjadi rebutan di Shopee, difahamkan platform ini berjaya didominasi oleh ruangan health & beauty serta mobile & accessories dimana orang ramai lebih cenderung mendapatkan barangan penjagaan kulit, kosmetik serta telefon pintar.

Setakat suku pertengahan 2018 sahaja, laman ini telah pun mengutip sebanyak 158.5 juta tempahan bernilai $2.7 bilion (RM11.28 bilion).

Mengulas lanjut mengenai pelan strategik Shopee menjelang 2019, pengarah urusan Shopee bercadang untuk memfokuskan kepada peningkatan rangkaian produk dalam meningkatkan lagi jumlah bilangan pengguna.

Gabungan kerjasama dengan beberapa syarikat terkemuka juga bakal dipertingkatkan agar platform ini terus kekal releven dalam menawarkan barangan yang menepati citarasa pengguna.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thevocket

Monday, December 10, 2018

Panduan Membeli Produk Dari Alibaba Untuk Elak Penipuan

Panduan Membeli Produk Dari Alibaba Untuk Elak Penipuan

Alibaba merupakan laman web e-commerce terbesar di dunia yang memiliki direktori yang komprehensif yang menggabungkan ramai pembekal dari Asia dengan pembeli di serata dunia dan terdapat berjuta-juta produk yang ditawarkan di dalam laman web ini. Mari saya terangkan cara selamat beli produk dari Alibaba.

Panduan Membeli Produk Alibaba

Mudah saja nak beli dari Alibaba, anda hanya perlu taip produk di kotak Search ataupun browse di bahagian kategori. Contohnya jika anda nak cari kasut, taip saja kasut dan pasti akan keluar beribu pembekal kasut.

Terdapat beberapa perkara harus diambilkira apabila mencari barang dalam Alibaba. Mari kita lihat contoh barang iaitu kasut kasual yang dicari dalam Alibaba.

Harga Seunit

Perkara yang pertama sekali kita biasa nak tahu adalah harga. Contohnya; harga sepasang kasut adalah USD5-6 FOB (Free On Board) yang bermaksud penjual akan menanggung kos berkaitan penghantaran produk ke pelabuhan. Pembeli hanya membayar kos sebenar penghantaran produk dari pelabuhan sehingga destinasi.

Kuantiti Pesanan Minimum (MOQ)

MOQ ataupun Minimum Order Quantity adalah jumlah pesanan minimum yang sanggup diterima pengilang.

Namun begitu, ada juga pengilang yang boleh diajak berunding untuk menurunkan MOQ. Anda boleh cuba.

Kaedah Pembayaran

Setelah anda tahu harga dan MOQ, seterusnya anda perlu tahu tentang kaedah pembayaran. Terdapat beberapa cara pembayaran dan setiapnya memiliki kelebihan dan keburukan.

1. Upront TT (Bank Transfer)

Risiko kepada pembeli sangat tinggi. Di sini pembekal akan menerima pembayaran sebelum pengeluaran produk dimulakan.

Kaedah ini sangat berisiko untuk pembeli dan biasanya tidak digalakkan terutama bagi pembelian pertama kali lebih-lebih lagi bila berurusan dengan pembekal yang tidak dikenali.

Sekiranya anda ditipu, peluang untuk mendapatkan kembali wang anda sangat tipis.

2. Letter of Credit

Cara pembayaran ini selamat dan adil untuk kedua pihak. Akan tetapi kaedah ini rumit dan biasanya hanya syarikat besar yang menggunakannya.

3. Western Union

Risiko tinggi di pihak pembeli. Ia merupakan kaedah pembayaran yang sangat berisiko dan tidak digalakkan. Kaedah ini boleh digunakan jika anda pernah berurusniaga atau kenal dengan pembekal.

4. Paypal

Cara ini selamat. Paypal sangat popular digunakan kerana ia mudah, risiko rendah dan ada perlindungan.

Walaupun ia popular di kalangan pembeli, ia tidak popular bagi pembekal kerana kerumitan untuk mengeluarkan wang dan cukai tinggi.

5. Escrow

Escrow sangat selamat digunakan dan melindungi pembeli dan pembekal. Apabila menggunakan Escrow, wang pembeli akan ditahan oleh pihak ketiga dan hanya akan dibayar kepada pembekal setelah pembeli mengesahkan penerimaan barang.

Membeli dari Alibaba adalah selamat namun antara masalah yang timbul di dalam mencari pembekal:

1. Orang tengah

Di dalam Alibaba terdapat beriru-ribu pembekal/pengilang dan tidak semua pengilang itu adalah pengilang sebenar.

Ada orang tengah yang mengambil kesempatan dengan menaikkan harga produk pengilang sebenar dan ia boleh melambatkan proses pembelian.

2. Scammer

Orang tengah mungkin hanya menambahkan kos anda dengan meletakkan caj yang lebih tinggi. Scammer pula mengambil kesemua wang anda tanpa belas kasihan.

Walaupun Alibaba telah berusaha membuang scammer dari laman web mereka, anda perlu sentiasa berhati-hati kerana mungkin ada pembekal yang tidak jujur.

3. Kualiti

Banyak produk yang diiklankan sebagai berkualiti dan premium. Namun hakikatnya kualiti yang dikatakan itu berkualiti tidak seperti yang kita harapkan.

Oleh itu bagi mengelakkan diri daripada ditipu, antara langkah yang perlu anda ambil adalah:

1. Pembekal yang sah atau verified supplier

Alibaba memiliki program pengesahan tersendiri yang melibatkan level tertentu. Anda perlu pilih pembekal yang disahkan saja. Adalah lebih baik untuk memilih pembekal yang mempunyai level Gold Membership.

2. Tanya soalan dan follow up

Sentiasa bertanya soalan dan follow up dengan pembekal yang telah anda senaraipendekkan. Tanya lesen perniagaan dan nombor telefon. Minta gambar kilang dan juga sampel produk. Jangan segan dan takut untuk bertanya apa saja yang timbul di fikiran.

3. Minta sampel

Sebelum anda membuat pembelian sebenar, anda perlu minta sampel terlebih dahulu supaya anda dapat tengok dengan mata sendiri kualiti barang sebenar. Jika anda rasa pembekal menimbulkan banyak keraguan seeloknya jangan beli.

Apabila anda ingin hantar email kepada pembekal, antara perkara yang perlu ditanya adalah:

1. MOQ

Jika MOQ terlalu tinggi anda boleh cuba bertanya jika dapat dikurangkan.

2. Sampel

Anda perlu minta sampel supaya dapat lihat contoh produk. Ada sampel yang perlu dibayar dan ada yang percuma.

3. Harga Pengeluaran

Paling penting adalah berapa harga produk seunit. Biasanya di dalam Alibaba, pembekal meletakkan harga seunit di dalam lingkungan seperti $2-5.

4. Tempoh pengeluaran

Anda perlu tanya berapa lama kilang ambil masa untuk siapkan satu-satu order.

5. Kaedah Pembayaran

Anda dah tahu cara selamat beli produk dari Alibaba.

Semoga anda berjaya!

BACA INI JUGA:

sumber: sambalserai