Wednesday, June 26, 2019

Bacalah 8 Nasihat Henry Ford Ini Jika Mahu Berjaya Dalam Bisnes


Kereta pertama telah dicipta sebelum Henry Ford, tetapi dia tidak pernah berputus asa dan mengimpikan bahawa sebuah kereta mampu digunakan oleh semua orang dan dia tidak pernah berhenti bergerak maju ke hadapan, apabila akhirnya berjaya mencipta enjin pertamanya, 'Quadricycle', selepas berhadapan dengan banyak kegagalan.

Nasihat terbaik Henry Ford

Bagaimana Henry Ford akhirnya berjaya mencapai impian? Jawapannya mudah, dia percaya, menetapkan dirinya dan tidak berhenti untuk mencapainya.

Rahsia kejayaan Henry Ford terletak pada hakikat bahawa dia menyukai pekerjaannya, taksub dengan realisasi rancangan dan impiannya.

Kali ini, kami ingin kongsikan 8 nasihat yang sangat bermanfaat dari Henry Ford, bagaimana untuk menghadapi cabaran untuk menjadi orang yang berjaya.

1- Minta Nasihat Daripada Orang Lain

Menurut Henry Ford, salah satu kesilapan yang beliau lakukan sepanjang bergelar usahawan adalah tidak mendengar nasihat beberapa individu yang dipercayainya.

Ramai orang termasuk anaknya telah memberi nasihat dan amaran mengenai kereta keluaran syarikat lain yang semakin popular.

Dia mengenepikan nasihat ini dan memandang rendah kepada potensi syarikat lain dan tidak membuat inovasi pada kereta keluaran syarikatnya.

Akibatnya, walaupun dia masih lagi antara lelaki terkaya di dunia, namun syarikatnya Ford Motor Company tidak lagi menjadi pemimpin dalam industri automobile sebaliknya jatuh di tangga ketiga berbanding syarikat lain.

Jika dia tidak begitu selesa dengan kedudukan sedia ada dan kekal menjalankan inovasi bagi produknya, pasti mereka masih mendahului rekaan inovasi syarikat lain dan menjadi ikutan dalam industri.

Dia mulai faham sesiapa yang berhenti belajar akan menjadi sangat tua dan akan ketinggalan tidak kira usia.

2- Cipta Untuk Semua

Ramai usahawan yang berjaya telah mengungguli kelasnya yang tersendiri dan mereka memberi fokus untuk mencipta atau menjual produk bagi golongan kelas atasan sahaja.

Sebaliknya, Henry Ford telah mencipta produk mampu milik yang boleh dimiliki oleh semua orang jika mereka berusaha mahu membelinya.

Malah, dia turut menaikkan gaji para pekerjanya untuk membolehkan mereka akhirnya mampu untuk membeli kereta yang mereka sendiri telah buat, menyebabkan pekerjanya setia bekerja dengan syarikat Ford.

3- “Whether you think you can, or you think you can’t — you’re right”

Ini adalah falsafah kegemaran yang dipetik daripada Henry Ford sendiri. Dia sememangnya percaya bahawa kejayaan yang dicapai semuanya bermula dengan minda.

Falsafah ini merupakan prinsip dan ideologi yang dipegang oleh beliau dalam bisnes. Ramai usahawan baik lelaki atau wanita percaya yang apa sahaja yang anda fikir akan dapat dimanifestasikan dalam realiti.

Jadi, untuk berjaya, perkara pertama yang kita harus lakukan adalah mengubah ‘minda’ untuk jadi positif agar kita juga berjaya mendapat keputusan yang bagus.

4- Melabur Dengan Relevan

Apa yang membuatkan Henry Ford adalah satu nama yang berjaya adalah, dia mengusahakan idea bisnesnya dengan lebih besar dan memastikan ia berjaya.

Setiap kali dia mahu memajukan syarikatnya, dia akan melaburkan wang untuk membesarkan kilangnya terlebih dahulu, kerana kilang yang besar akan mampu menampung keperluan pengeluaran dan permintaan produk yang lebih tinggi.

Jika dia masih beroperasi di kilang lama dan beroperasi pada skala kecil pasti dia tidak akan berjaya malah, dia juga turut mempelbagaikan perkhidmatan syarikatnya selain daripada menjual kereta.

Walaupun kos untuk membesarkan kilang dan operasi syarikat adalah sangat tinggi namun dia sanggup mengambil risiko dan melabur bagi perkara yang berpotensi untuk mendatangkan keuntungan.

5- Lakukan Sesuatu Dengan Penuh Minat

Minat adalah kata kunci bagi setiap kejayaan orang lain yang kita dengar. Sama ada anda lakukan sesuatu yang anda minati atau lakukan sesuatu dengan penuh minat.

Jika mendapati anda tiada minat untuk meneruskannya, maka anda harus berhenti dan lakukan sesuatu yang lain. Tiada fasa yang mudah dalam bisnes dan hanya dengan minat yang tinggi anda dapat bersabar semasa menghadapi detik-detik kesukaran dan meneruskannya.

6- Semuanya Mungkin Jika Anda Mahukannya

Henry Ford adalah bukti di mana jika ada kemahuan, pasti ada jalan. Dia telah membina empayar automobil ternama di dunia. Semuanya bermula daripada usahanya sendiri daripada bawah. Dia bukanlah berasal daripada seorang yang kaya dan mempunyai harta yang banyak.

Dia berusaha mencari pelabur dan mengembangkan bisnes sedia ada setiap tahun perlahan-lahan. Dia turut membuat kajian dan belajar daripada usahawan terkenal yang lain dan buat inovasi untuk produk syarikatnya.

Ternayata, dia seorang inovator yang sangat mementingkan perkembangan dan kemajuan insan. Dia melayan pekerjanya dengan baik dan memahami kesukaran mereka kerana dia sendiri pernah berada dalam situasi yang sama.

7- Sentiasa Kekalkan Prestasi Kerja Yang Berkualiti

Henry Ford pernah berkata yang kualiti adalah melakukan sesuatu perkara dengan betul walaupun tiada orang melihatnya.

Jadi, sentiasa memberi hasil kerja yang terbaik walaupun majikan, rakan sekerja, ahli keluarga dan orang lain tidak melihatnya, itulah kualiti kerja bagus yang sebenar. Ini juga akan menjadi satu tabiat yang bagus bagi seorang usahawan yang ingin berjaya.

8- Jangan Cari Kesalahan, Cari Penyelesaian

Sememangnya senang untuk kita menyalahkan orang lain di atas kesilapan kita sendiri. Henry menasihatkan, antara kemahiran mahal yang anda boleh pelajari adalah bertanggungjawab dengan kesilapan diri sendiri.

Sebaiknya, cari jalan penyelesaian untuk menyelesaikan masalah dengan baik. Dengan itu, barulah anda dapat menjadi seorang yang benar-benar berjaya pada masa akan datang.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: majalahniaga

1 comment

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon