Friday, August 02, 2019

Keistimewaan Kelapa Pandan, Sedap Diminum Dan Lumayan Jika Ditanam

Keistimewaan Kelapa Pandan, Sedap Diminum Dan Lumayan Jika Ditanam

Kelapa Pandan Wangi ialah kelapa jenis rendah yang diperkenalkan dari Thailand pada tahun 1971. Di Thailand kelapa ini dipanggil sebagai 'Makprow Nam Horm' dan di peringkat antarabangsa dikenali sebagai 'aromatic dwarf'.

Kelapa Pandan

Keistimewaan kultivar kelapa pandan wangi ialah isi dan buahnya berbau wangi pandan dan sesuai untuk diminum dan dimakan segar.

Ketinggian pokok kelapa pandan boleh mencapai 6 meter. Tandan dan buah berwarna hijau dan buahnya kecil berbentuk bulat bersegi tiga dibahagian bawah.

Penanaman kelapa pandan ini boleh dijalankan secara kepadatan tinggi dengan jarak tanaman 6 meter x 6 meter.

Ia mula mengeluarkan hasil apabila mencapai umur 3-4 tahun selepas ditanam di ladang. Ketika berumur 3 tahun pengeluarannnya hanya 40-50% dan mencapai 100% apabila berumur 4 tahun.

Pokok kelapa pandan wangi mengeluarkan 12-18 jambak bunga setahun. Purata bilangan buah setandan di antara 10-15 biji tetapi boleh berkurangan pada musim kemarau atau jika kawasan dibanjiri air.

Setahun (tahun ke 13) ia boleh mengeluarkan 130-175 biji buah kelapa muda sepokok. Dalam satu hektar (208 pokok) jumlah pengeluaran boleh mencapai 36,000-49,000 buah kelapa muda setahun. Kandungan air bagi sebiji ialah lebih kurang 330 ml.

Anak kelapa pandan wangi boleh dikenali melalui bau pandan pada hujung akar yang dihancurkan.

Melihat tandan buah-buah kelapa muda biasanya boleh dipetik pada umur 6 1/2 bulan selepas persenyawaan.

Kaedah yang digunakan ialah dengan melihat tandan buah serta saiz buah kecil (T-2) dan pembentukan seludang (T-3) di atas tandan buah kecil tersebut.

Tandan kelapa pandan muda yang dipetik (T-1), tandan buah kelapa kecil (T-2) dan seludang (T-3) adalah selari atau terletak di atas satu sama lain.

Petua Memilih Kelapa Pandan

Sekiranya anda ingin membeli anak benih kelapa pandan dan tidak yakin sama ada benih yang dijual itu benih kelapa pandan atau tidak, ada satu petua yang boleh anda lakukan.

Patahkan sedikit bahagian hujung akar muda daripada anak pokok yang hendak dibeli.

Gentil bahagian akar yang dipatahkan tadi dengan menggunakan ibu jari dan jari telunjuk sehingga hancur dan hidu baunya.

Sekiranya benih itu benar benih kelapa pandan anda pasti dapat menghidu bau harum daun pandan.

Selain bahagian akar, bahagian daun anak pokok benih kelapa pandan juga boleh dilakukan perkara yang sama tetapi biasanya pengusaha tapak semaian tidak membenarkan kerana akan mencacatkan anak benih.

Bau harum pandan lebih kuat di bahagian daun berbanding bahagian akar.

Anggaran Pendapatan

Pendapatan Kelapa

Berbuah sekitar 3 tahun hingga empat tahun. Jangka hayat dalam lingkungan 25 tahun atau lebih bergantung pada penjagaan. Dalam setahun, satu hektar kelapa pandan boleh menghasilkan buah sebanyak 28,000 hingga 30,000 ribu biji.

Manakala anggaran harga borong sebiji kelapa pandan ialah RM2.50-3.00 dan untuk harga pasaran harga sebiji boleh mencecah RM5 hingga RM12 sebiji.

Andaikata 28,000 biji kelapa di darab dengan rm3.00 sebiji = rm84,000 bahagi 12 bulan, anggaran pendapatan adalah RM7,000 sebulan. Lumayan tak? Tepuk dada tanya selera.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: zonjuly

Saturday, July 20, 2019

Kegunaan Dan Manfaat Pokok Pulai, Selain Dianggap Disukai Jin

Kegunaan Dan Manfaat Pokok Pulai, Selain Dianggap Disukai Jin

Pokok Pulai atau di sebut pokok Tombirog di Sabah, merupakan salah satu spesies pokok kayu lembut yang mampu hidup sehingga ratusan tahun dengan mencecah ketinggian sehingga 40 meter dan mempunyai diameter batang antara 140–170cm.

Pokok Pulai berhantu
Pokok Pulai.

Pokok pulai biasanya terdapat di pertengahan lapisan kanopi hutan. Ia mempunya ‘crown’ yang berbentuk pagoda. Batang pokok Pulai mempunyai ‘buttress’ dan permukaan yang bergalur serta berwarna kelabu-gelap.

Walau bagaimanapun, permukaan batang pokok ini adalah licin semasa muda dan akan bertambah kasar dan retak ketika membesar.

Kayu pokok Pulai adalah lembut dan berwarna kuning-pucat. Daun-daunnya berbentuk oval, tebal, berkilat dan berwarna hijau gelap di permukaan atas dan hijau-pucat di permukaan bawah.

Bunga pokok ini amat harum dan berwarna putih. Buahnya berbentuk sepasang ‘pod’ berbulu perang dan mempunyai banyak biji.

Biji-biji pokok Pulai berwarna perang gelap, permukaan licin, berbentuk oval dan leper, serta disebarkan melalui angin.

Kegunaan

Kayu lembut Pulai sesuai digunakan untuk membuat rakit kerana keapungan kayu tersebut. Ia juga digunakan sebagai lantai papan rumah, mancis dan perabot ringan.

Untuk perubatan, lateks kulit batang pokok ini boleh digunakan untuk merawat abses dan bisul.

Habitat

Pokok Pulai adalah sebuah tumbuhan tropika yang sering terdapat di kawasan hutan, paya, bukit, tanah lom atau tanah berpasir setinggi 200 meter.

Pokok pulai tumbuh asli di Semenanjung Malaysia, Borneo, Sumatera, Jawa dan Singapura.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: tamantuguproject

Thursday, June 20, 2019

Cara Mengakarkan Dahan Pokok Melalui Keratan Batang Guna Cecair Penggalak Akar

Cara Mengakarkan Dahan Pokok Melalui Keratan Batang Guna Cecair Penggalak Akar

Pokok sebenarnya boleh dibiakkan melalui banyak cara, antaranya melalui kaedah keratan batang dan kelebihan kaedah ini ialah, pokok yang dibiakkan lebih cepat membesar berbanding menggunakan kaedah semaian benih.

Panduan Mengakarkan Dahan

Selain itu, pokok yang terhasil kebiasaannya mempunyai ciri-ciri yang sama dengan pokok induk sebab itu, kita perlu mengambil keratan batang dari pokok yang sihat dan mempunyai ciri-ciri yang kita mahu.

Terdapat banyak jenis pokok boleh dibiakkan dengan manggunakan keratan batang.

Contohnya, pokok mulberry, bunga raya, bunga kertas, bunga ros, bunga melor, moringa, roselle dan banyak lagi sebenarnya.

Anda cubalah biakkan mana-mana pokok dengan kaedah ini dan lihat pokok mana yang boleh, pokok mana yang tidak.

Secara umumnya terdapat tiga jenis keratan batang iaitu:
  1. Keratan kayu lembut.
  2. Keratan kayu sederhana keras.
  3. Keratan kayu keras.

Sila rujuk gambar di bawah untuk lebih pencerahan:

Jenis keratan dahan

Selalunya kita menggunakan tanah sebagai medium untuk menanam keratan batang, tetapi kali ini saya akan kongsikan kaedah yang tidak memerlukan tanah.

Langkah-langkahnya adalah seperti berikut:
  • Bancuh 3ml Liguano dengan 500 ml air.
  • Ambil keratan yang sudah dipilih daipada pokok yang kita mahu, sihat dan bebas penyakit, berdiameter 1-1.5 cm.
  • Potong dahan sekurang-kurangnya 6 inci panjang.
  • Seeloknya keratan dipotong waktu pagi atau selepas hujan. Gunakan pisau atau gunting yang bersih dan tajam semasa membuat kerja-kerja pemotongan keratan dahan.
  • Bersihkan keratan dan hiris hujungnya secara serong untuk meluaskan permukaannya.
  • Rendam keratan dalam larutan Liguano tadi.
  • Sungkupkan seluruh keratan dengan botol atau beg plastik. Buat sedikit lubang untuk membenarkan udara mengalir
  • Siram keratan dengan larutan Liguano setiap hari pada awal pagi dan petang.
  • Letakkan keratan di bawah cahaya matahari separa teduh apabila tunas daun mula keluar.
  • Apabila akar mula keluar, sudah boleh pindahkan ke pasu!
Rendam keratan

Apa itu Liguano?

Liguano ialah penggalak tumbesaran tanaman yang diperkaya dengan hormon sitokinin yang membantu tumbuhan berkembang lebih cepat, kuat dan sihat.

Anda juga boleh menggunakan sebarang penggalak akar lain yang dirasakan bersesuaian.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Sunday, June 16, 2019

Bonsai Betik Boleh Buat Anda Jutawan?

Bonsai Betik Boleh Buat Anda Jutawan?

Saya tertarik dengan satu video di youtube mengenai bonsai betik yang dikatakan mampu dijual dalam harga yang mahal oleh peminat tegar bonsai. Betul ke? Tidak mustahil kan. Macam-macam cara orang buat duit sekarang.

Papaya Bonsai
Gambar hiasan.

Kali ini saya ingin kongsikan cara buat bonsai betik supaya berbuah rendah dan hanya di tanam dalam pasu, memang unik dan menarik sebagai perhiasan di halaman rumah anda.

Cara-caranya:

Bonsai Betik

Sediakan sepokok betik yang sudah tumbuh dalam pasu untuk dijadikan bonsai betik. Untuk pengetahuan anda, jangka hayat betik lebih kurang 10 tahun bergantung pada penjagaan. Kalau mahu buat pelaburan jangka panjang mungkin kurang sesuai sebab hayatnya yang pendek.

Bonsai Betik

Gunakan wayar aluminium yang boleh di beli di kedai hardware untuk melilit batang pada pokok betik yang ingin dijadikan bonsai.

Bonsai Betik

Hati-hati ketika membuat lilitan pada pokok kerana batang pokok betik mudah patah, sekali patah kena tunggu berbulan-bulan untuk tunas baru tumbuh semula.

Bonsai Betik

Buat dengan penuh kasih sayang mengikut citara rasa dan design anda.

Bonsai Betik

Ambil masa untuk bentuk design anda sendiri, jika tak boleh jangan paksa, buat lagi selepas beberapa hari hingga desihn kesukaan anda menjadi.

Bonsai Betik

Pokok betik amat lembut dan senang untuk buat design yang anda inginkan, hati-hati jangan sampai patah.

Bonsai Betik

Siap bonsai betik.

Bonsai Betik

Anda boleh alihkan ke pasu yang lebih besar.

Selamat mencuba!

BACA INI JUGA:

sumber: myinfoberita

Saturday, June 08, 2019

Potensi Lumayan Tanaman Buah Naga

Potensi Lumayan Tanaman Buah Naga

Buah naga atau lebih dikenali sebagai buah pitaya mempunyai bentuk ganjil dengan kulit luar berwarna merah dan ‘sayap’ seperti seekor naga menjadikannya berlainan dengan buah-buah tempatan lain yang ditanam di Malaysia.

Potensi Buah Naga
Buah Naga.

Malah, bentuk unik buah naga yang berasal daripada keluarga cactacea tergolong dalam spesies kaktus itu kini semakin mendapat tempat dalam kalangan petani moden.

Jenis

Buah naga mempunyai dua jenis iaitu Hylocereus undatus (isi putih) dan Hylocereus polyrhizus (isi merah) yang kaya pelbagai khasiat, sementara isinya dipenuhi dengan taburan biji-biji berwarna hitam boleh dimakan dan tekstur isinya lembut seperti tembikai. Rasanya pula seperti buah kiwi.

Jika dulu ia lebih dikenali di kalangan kaum Cina, namun sejak kebelakangan ini buah naga mula digemari semua lapisan masyarakat menyebabkan permintaannya meledak di pasaran.

Pengeluaran

Pengeluaran buah naga seluas 3 hektar mampu menghasilkan lebih 1.5 metrik tan buah setiap bulan dan kira-kira 25 tan setahun.

Hasil penjualan buah naga mengikut kelas iaitu gred AA dijual RM6.50 sekilogram (kg) dan mampu menjana purata pendapatan kira-kira RM100,000 setahun.

Khasiat

Buah naga adalah sumber makanan berkhasiat yang semakin popular di Asia termasuk Malaysia dan mempunyai manfaat bagi kesihatan manusia termasuk sebagai pengimbang kadar gula darah, pelindung kesihatan mulut, pencegah kanser usus, mengurangi kolesterol, pencegah pendarahan serta mengubati keputihan.

Menariknya, buah naga ada kalanya mempunyai rasa manis atau masam mengikut jenis. Walaupun buah eksotik, buah naga selamat dimakan ibu hamil dan menyusukan bayi di samping mengandungi vitamin C, kaya dengan asid lemak serta fosforus.

Penanaman

Tanaman buah naga memerlukan suhu sekitar 20 hingga 30 darjah Celsius dengan sekurang-kurangnya tujuh jam sinaran matahari di atas tanah berpasir dan tanah lom (gembur) berpasir terutama yang kaya dengan bahan organik.

Pokok buah naga adalah jenis pokok kaktus padang pasir yang boleh menyimpan air, namun masih memerlukan penyiraman air bagi mempercepat pemanjangan ruas dan pokok meninggi terutama pada musim panas.

Penanam perlu mengawasi penyakit dan bakteria membabitkan batang reput dengan simptom kelihatan pada batang dan dahan yang mempunyai lesi berpusar mengeluarkan cecair busuk dan berlendir dengan semburan racun.

Pokok buah naga bertunas banyak ketika kecil dan perlu dipangkas selalu dan akan mula berbuah selepas enam bulan dan berterusan sehingga mencecah umur 25 hingga 30 tahun bergantung pada pembajaan.

Empat batang pokok buah naga yang diikat pada satu pancang dan setiap pokok boleh menghasilkan 10 biji buah pada satu-satu masa, masak dalam tempoh 35 hari dan semakin ia tua, semakin lebat buahnya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: hmetro

Monday, June 03, 2019

Cara Mengakarkan Dahan Pokok Tin

Cara Mengakarkan Dahan Pokok Tin

Pada posting kali ini, kami ingin berkongsi teknik pengakaran pokok tin paling mudah dan sangat sesuai bagi mereka yang kurang mahir dalam kaedah pengakaran batang pokok tin. Pembiakan Ficus carica mempunyai pelbagai cara dan kaedah, sama ada menggunakan biji benih atau pun keratan.

Pokok Tin

Keratan Tin merupakan satu kaedah pembiakan pokok terutama bagi mereka yang ingin mencuba membuat sendiri anak benih untuk tanaman benih secara keratan.

Jika menggunakan teknik yang betul, lazimnya kadar kejayaan teknik keratan akan menghasilkan sehingga 95% anak benih yang boleh hidup segar.

Bahan yang diperlukan:

1. Keratan batang yang matang

Keratan yang baik adalah lebih kurang 1-2 cm garis pusat dan mempunyai 6-8 mata tunas.

2. Bahan Kimia

Bahan penggalak akar Atonik/Racun kulat/plant sealer (atau lilin).

3. Media semaian

Media yang disyorkan ialah campuran 60% perlite dan 40% media pra-campur (Media 6 dalam 1) atau tanah hitam biasa, sedikit zeolite dan baja bokashi (jika ada).

4. Pot

Bekas semaian anak benih (pot plastik).

5. Beg plastik.

Cara-caranya:

1. Rendam keratan dalam racun kulat 5-6 jam. Antara racun kulat yang boleh digunakan ialah racun kulat Thiram, Sri Organik dll.

Kadar penggunaan adalah seperti yang disyorkan. Masukkan 1 atau 2 titik larutan Atonik ke dalam larutan racun kulat.

Racun kulat (Thiram), 1 sudu makan bagi 2 liter air bersih (hendaklah dikacau setiap 2 jam) atau Racun Sri Organik - 2 penutup bagi 2 liter air).

2. Tores 3 garisan sepanjang lebih kurang 2 cm dengan pisau pada kulit keratan dari atas ke bawah dan sapukan sedikit cecair Clonex Purple di kawasan keratan.

3. Bahagian atas keratan hendaklah disapu dengan plant sealer atau lilin (gincu pun boleh) bagi mengelakkan jangkitan kulat, serangan serangga perosak dan mengurangkan kadar kehilangan air menerusi batang.

4. Isi bekas semaian (pot plastik) dengan satu lapisan media di bahagian bawah pot. Letakkan keratan ditengah dan penuhkan pot dengan media.

Tekan dengan 3-4 jari ditepi keliling keratan agar ianya menjadi tegap dan tidak goyang.

Siram dengan air lebihan rendaman dan sejatkan sehingga tiada lagi air yang menitis.

5. Masukan bekas semaian (pot plastik) ke dalam beg plastik gelap, ikat dan simpan disatu tempat yang teduh untuk proses pengewapan.

6. Biarkan selama 7-10 hari tanpa disentuh, dibuka atau diubah walaupun sesaat.

7. Selepas 7-10 hari buka perlahan-lahan ikatan plastik tadi. Buat pemerhatian terhadap kehadiran kulat. Jika ada, sapu kawasan jangkitan dengan menggunakan racun kulat. Tutup serta merta dan ikat balik.

8. Buat pemerhatian pada pembesaran tunas selepas 2-3 minggu. Jika ianya membesar, ini bermakna peringkat pertama proses pengakaran telah berjaya dihasikan.

9. Buka ikatan plastik bag dan biarkan 2-3 hari sebelum pasu diangkat keluar untuk disimpan ditempat teduh dan proses penyesuaian anak benih tersebut (proses hardening).

10. Mulakan dengan pendedahan kepada matahari pagi selama 2-3 jam sebelum dipindah semula ke tempat teduh selama beberapa hari.

11. Seterusnya, perlahan-lahan ubah ke tempat yang mendapat cahaya matahari yang lebih panjang masanya.

Dahan Yang Berjaya Diakarkan:

Fig Tores

Batang yang telah ditoreskan dengan pisau (sebanyak 3 toresan sepanjang 2 cm dibuat).

Fig Akar

Akar yang tumbuh ditempat torehan.

Fig Tangas

Pot yang telah disemai dengan keratan dibalut dengan plastik selama 7-8 hari.

Fig Pot

Mata tunas yang telah terhasil mula membesar.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: tinohtin

Sunday, April 28, 2019

Pokok Zaitun, Penanaman, Manfaat Dan Khasiatnya

Pokok Zaitun, Penanaman, Manfaat Dan Khasiatnya

Buah Zaitun atau Olive (Olea europaea) yang dihasilkan dari pokok zaitun merupakan sejenis tumbuhan dari keluarga Oleaceae, merupakan tumbuhan paling tua didunia berasal dari kawasan Mediterranean dengan pokok dilaporkan mampu hidup sehingga lebih 1,000 tahun.

Pokok Zaitun
Buah Zaitun.

Tumbuhan ini boleh tahan dalam keadaan suhu panas, kemarau dan keadaan tanah yang agak masin (high salinity) serta mempunyai pelbagai khasiat dan kegunaan dalam masyarakat sejak zaman kuno lagi.

Zaitun merupakan sejenis buah yang telah ditanam dan digunakan sejak zaman purba Mesir lagi. Kehebatan buah zaitun telah di tulis dalam AlQuran iaitu, "Makanlah minyak zaitun dan lumurlah minyaknya, kerana ia berasal daripada pohon yang penuh berkat." (Riwayat At-Tirmizi dan Ibnu Majah)'

Dan ayat ini, "..yang dinyalakan dengan minyak yang banyak faedahnya (iaitu) zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur dan tidak pula di sebelah barat, yang minyaknya (sahaja) hampir menerangi, walaupun tidak disentuh api.."

Ini juga menunjukkan yang pokok dan buah zaitun merupakan sejenis tumbuhan yang sangat berguna dan telah diperdagangkan semenjak 2,000-3,000 tahun sebelum masihi lagi.

Pokok Zaitun telah tersebar di kawasan Mediterranean, Afrika Utara dan Eropah kerana mudah dibiakkan dengan cara vegetatif dalam keadaan cuaca kering.

Pengeluar Buah Zaitun

Penanaman pokok zaitun diseluruh dunia kini dilaporkan oleh 39 buah negara dimana pengeluaran seluruh dunia sebanyak 19.6 juta metrik tan pada tahun 2011 (Laporan FAO Statistic). Nilai pengeluaran pula adalah dilaporkan sebanyak USD15.7 bilion pada tahun tersebut. Tanaman pokok zaiton atau olive tree menjadi satu industri yang sangat penting di dunia.

Negara utama pengeluar buah zaiton terbesar di dunia adalah Sepanyol yang menghasilkan sebanyak 6.9 juta metrik tan setahun diikuti oleh Itali (3.2 juta mt), Greece (2.0 juta mt), Turki (1.75 juta mt ), Morroco (1.36 juta mt), Syria (1.09 juta mt), Tunisia, Mesir, Portugal dan Algeria (420,000 mt).

Amerika Syarikat juga menanam seluas 32,000 hektar pokok zaiton yang menghasilkan sebanyak 94,500 mt buah zaitun setahun terutama di kawasan California sebagai tanaman yang penting. Kadar penghasilan di catatkan adalah sebanyak 5,700 lbs seekar.

Pokok zaiton berkayu keras dengan banyak cabang dimana mampu mencapai ketinggian 8-15 meter. Batang pokok ini sangat besar dan seakan berpusar (typically gnarled and twisted) apabila mencecah umur ratusan tahun.

Kayu keras pokok zaiton boleh digunakan dalam industri perabot dan paling popular dikalangan orang Islam adalah untuk dibuat Tasbih kerana kayunya berminyak serta mengeluarkan bau harum.

Daunnya berbentuk Bulat lonjong (Oblong) dengan warna dun hijau perak berukuran sekitar 4-10 cm panjang dan 1-3 cm lebar. Penyusunan daun adalah bertentangan (opposite) dengan hujung daun berbentuk tajam serta agak tebal. Lazimnya umur daun adalah selama 2 tahun sebelum gugur ketanah.

Bunga pokok zaiton bersaiz kecil dengan terbit dalam 'racemose panicles' berwarna putih dalam jambak. Satu jambak selalunya mengandungi antara 15-30 kuntum bunga kecil terbit dari dahan berumur lebih dari satu tahun sahaja.

Bagaimanapun, banyak berlaku keguguran bunga dan hanya meninggalkan antara 1-3 bunga sahaja untuk pendebungaan berjaya. Setiap kuntum bunga mempunyai 4 kelopak dengan dua stamen.

Bunga ini menjalankan pendebungaan sendiri oleh faktur angin tetapi jika berlaku pendebungaan bersilang oleh kultivar tertentu mampu menghasilkan fruit-set lebih tinggi.

Buah zaitun adalah dalam bentuk Buah Drupe yang kecil dengan saiz sekitar 1-2.5 cm sahaja (Oblong) dengan warna hijau semasa muda dan akan bertukar warna kepada hijau kuning, merah gelap atau ungu apabila cukup masak bergantung kepada varieti.

Kulitnya licin dan seakan berkilat atau berminyak. Buah ini memerlukan masa selama 6-8 bulan sebelum masak sepenuhnya untuk dituai.

Buah zaitun ini yang digunakan untuk banyak kegunaan terutama untuk menghasilkan 'MINYAK ZAITUN" atau nama Inggerisnya 'Olive Oil" dan boleh digunakan untuk dalaman (kesihatan) juga luaran (kecantikan). Ia merupakan syarat utama untuk gaya hidup yang lebih sihat.

Ia digunakan dalam pembuatan produk kecantikan kerana cirinya yang boleh melembutkan kulit. Ia merupakan minyak semulajadi yang terbaik dan pilihan utama untuk tumbesaran. Paras asid yang rendah memudahkan penghadaman berbanding lemak lain.

Vitamin E dalam minyak zaitun merendahkan kolesterol LDL, tekanan darah dan risiko sakit jantung koronari. Vitamin K pula menghalang darah dari melekit dan membeku.

Kesimpulannya, minyak zaitun tulen mengandungi perlindungan kesihatan, ia mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular, arteriosklerosis dan pelbagai masalah akibat proses penuaan. Sila baca artikel seterusnya yang membincangkan mengenai buah zaitun.

Penanaman Pokok Zaitun

Tanah untuk tanaman pokok zaitun boleh dari pelbagai jenis tanah daripada tanah mineral, tanah agak masin atau pH tanah agak tinggi. Pokok ini toleran pada pH tinggi dan juga tanah mengandungi unsur Boron tinggi.

Pokok boleh tahan dalam keadaan tanah panas dan kering tetapi akan mati jika akarnya terendam dalam air selama 1 minggu.

Kawasan yang mempunyai iklim panas dan kering dengan kelembapan rendah seperti di Mediterrnean sangat sesuai untuk tanaman zaitun.

Negara yang mempunyai kelembapan tinggi seperti di Malaysia tidak sesuai untuk tanaman ini kerana mudah diserang penyakit terutamanya kulat dan juga pertumbuhan tidak seimbang.

Beberapa varieti yang di tanam di California USA juga didapati tahan kepada keadaan suhu sejuk (sekitar 5-15 Fahrenheit) tetapi untuk jangkamasa tidak terlalu lama.

Penanaman pokok zaitun di Malaysia mungkin memerlukan kajian lanjut untuk melihat kesesuaian dengan varieti baru yang mungkin sesui dengan kelembapan tinggi, hujan lebat dan juga suhu tropika yang panas sepanjang tahun.

Penanaman pokok zaitun lazimnya akan menggunakan bahan keratan batang yang kemudian akan disemai dalam nurseri. Anak benih pokok zaitun memang cepat mengeluarkan akar sama ada ia dari keratan batang, keratan akar atau dari Ovulli.

Anak benih yang disemai dibiarkan beberapa bulan sehingga sesuai untuk ditanam diladang. Kaedah penanaman pokok zaitun secara tradisional adalah dengan mengisi kawasan tanah kosong atau tanah lapang dimana kadar kepadatan lazimnya sekitar 40 pokok seekar.

Dalam sistem tanaman moden pada tanah baru pula, pokok ditanam dalam barisan dengan kepadatan sekitar 40-60 pokok sehektar.

Bentuk susunan tanaman dan sistem percabangan tanaman zaitun seakan menanam pokok limau manis. Jalankan pangkasan atau cantasan pucuk selepas pokok mencecah ketinggian 0.8-1.2 meter untuk membenarkan pokok tidak terlalu tinggi bagi menggunakan mekanisasi jentera ladang ketika menuai.

Cantasan dengan membuat sistem dahan terbuka (Open branching system) akan mengurangkan risiko serangan kulat dan juga memberikan bentuk pokok seimbang.

Kawalan rumpai dan sistem pengairan dijalankan mengikut kesesuaian kawasan dan keadaan faktur cuaca. Pembajaan diberi mengikut keperluan dan umur pokok.

Pohon Buah Zaitun
Pokok Zaitun.

Buah zaitun muda berwarna hijau dan apabila masak akan menjadi hijau kekuningan, merah gelap atau ungu bergantung kepada varieti. Buah agak keras sedikit (firm) yang lazimnya pada pertengahan musim gugur hingga musim luruh.

Apabila warna buah menjadi kehitaman atau ungu maka lazimnya kandungan minyak zaitun mencecah 20-30% dan sesuai dipetik.

Kaedah memetik buah zaitun secara tradisional dengan 3 cara menggunakan tenaga kerja yang banyak. Buah yang masak akan gugur dan dikutip selain daripada memilih buah masak yang belum gugur dan cara memetik ketiga dengan memukul dahan pokok untuk jatuhkan buah. Hamparan plastik diletakkan dibawah pohon yang hendak dituai agar buah tidak jatuh ketanah.

Kaedah memetik buah zaitun dengan jentera dinegara maju ladang komersil lebih cepat dan cekap. Jentera khas akan melalui barisan tanaman zaitun yang dikawal ketinggiannya dan alat kkas akan menggegarkan pokok lalu buah yang jatuh masuk dalam konveyor yang masuk kedalam kontena.

Buah yang dipetik akan dikumpulkan dan perlu digredkan mengikut saiz, indeks kematangan dan juga warna sebelum dijual.

Bagi tujuan buah zaitun yang hendak diproses akan dihantar ke pusat atau kilang memproses. Buah ini akan di proses dibiarkan beberapa ketika untuk hilangkan rasa pahit akibat kandungan glucocide oleoropein.

Buah akan direndam dalam larutan 1-2% lye (Sodium hydroxide) sehingga neuteral. Pemprosesan buah zaitun menggunakan peralatan khas bagi mengisar iaitu terdiri dari dua buah batu giling yang berpusing bertentangan. Buah akan lumat dan minyaknya diekastrak dengan penapis bagi menghasilkan minyak zaitun.

Minyak segar ini tahan beberapa minggu tetapi lazimnya ia akan disimpan dalam peti sejuk pada suhu 40-50 darjah Fahrenheit dan tahan sehingga 2 tahun. Minyak ini akan dijual kepada pengilang lain bagi pelbagai produk akhir.

Begitulah teknologi penanaman dan pemprosesan buah dan minyak zaitun yang saya paparkan untuk bacaan anda.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: animhosnan