Monday, June 03, 2019

Cara Mengakarkan Dahan Pokok Tin


Pada posting kali ini, kami ingin berkongsi teknik pengakaran pokok tin paling mudah dan sangat sesuai bagi mereka yang kurang mahir dalam kaedah pengakaran batang pokok tin. Pembiakan Ficus carica mempunyai pelbagai cara dan kaedah, sama ada menggunakan biji benih atau pun keratan.

Pokok Tin

Keratan Tin merupakan satu kaedah pembiakan pokok terutama bagi mereka yang ingin mencuba membuat sendiri anak benih untuk tanaman benih secara keratan.

Jika menggunakan teknik yang betul, lazimnya kadar kejayaan teknik keratan akan menghasilkan sehingga 95% anak benih yang boleh hidup segar.

Bahan yang diperlukan:

1. Keratan batang yang matang

Keratan yang baik adalah lebih kurang 1-2 cm garis pusat dan mempunyai 6-8 mata tunas.

2. Bahan Kimia

Bahan penggalak akar Atonik/Racun kulat/plant sealer (atau lilin).

3. Media semaian

Media yang disyorkan ialah campuran 60% perlite dan 40% media pra-campur (Media 6 dalam 1) atau tanah hitam biasa, sedikit zeolite dan baja bokashi (jika ada).

4. Pot

Bekas semaian anak benih (pot plastik).

5. Beg plastik.

Cara-caranya:

1. Rendam keratan dalam racun kulat 5-6 jam. Antara racun kulat yang boleh digunakan ialah racun kulat Thiram, Sri Organik dll.

Kadar penggunaan adalah seperti yang disyorkan. Masukkan 1 atau 2 titik larutan Atonik ke dalam larutan racun kulat.

Racun kulat (Thiram), 1 sudu makan bagi 2 liter air bersih (hendaklah dikacau setiap 2 jam) atau Racun Sri Organik - 2 penutup bagi 2 liter air).

2. Tores 3 garisan sepanjang lebih kurang 2 cm dengan pisau pada kulit keratan dari atas ke bawah dan sapukan sedikit cecair Clonex Purple di kawasan keratan.

3. Bahagian atas keratan hendaklah disapu dengan plant sealer atau lilin (gincu pun boleh) bagi mengelakkan jangkitan kulat, serangan serangga perosak dan mengurangkan kadar kehilangan air menerusi batang.

4. Isi bekas semaian (pot plastik) dengan satu lapisan media di bahagian bawah pot. Letakkan keratan ditengah dan penuhkan pot dengan media.

Tekan dengan 3-4 jari ditepi keliling keratan agar ianya menjadi tegap dan tidak goyang.

Siram dengan air lebihan rendaman dan sejatkan sehingga tiada lagi air yang menitis.

5. Masukan bekas semaian (pot plastik) ke dalam beg plastik gelap, ikat dan simpan disatu tempat yang teduh untuk proses pengewapan.

6. Biarkan selama 7-10 hari tanpa disentuh, dibuka atau diubah walaupun sesaat.

7. Selepas 7-10 hari buka perlahan-lahan ikatan plastik tadi. Buat pemerhatian terhadap kehadiran kulat. Jika ada, sapu kawasan jangkitan dengan menggunakan racun kulat. Tutup serta merta dan ikat balik.

8. Buat pemerhatian pada pembesaran tunas selepas 2-3 minggu. Jika ianya membesar, ini bermakna peringkat pertama proses pengakaran telah berjaya dihasikan.

9. Buka ikatan plastik bag dan biarkan 2-3 hari sebelum pasu diangkat keluar untuk disimpan ditempat teduh dan proses penyesuaian anak benih tersebut (proses hardening).

10. Mulakan dengan pendedahan kepada matahari pagi selama 2-3 jam sebelum dipindah semula ke tempat teduh selama beberapa hari.

11. Seterusnya, perlahan-lahan ubah ke tempat yang mendapat cahaya matahari yang lebih panjang masanya.

Dahan Yang Berjaya Diakarkan:

Fig Tores

Batang yang telah ditoreskan dengan pisau (sebanyak 3 toresan sepanjang 2 cm dibuat).

Fig Akar

Akar yang tumbuh ditempat torehan.

Fig Tangas

Pot yang telah disemai dengan keratan dibalut dengan plastik selama 7-8 hari.

Fig Pot

Mata tunas yang telah terhasil mula membesar.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: tinohtin

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon