Saturday, June 08, 2019

Potensi Lumayan Tanaman Buah Naga


Buah naga atau lebih dikenali sebagai buah pitaya mempunyai bentuk ganjil dengan kulit luar berwarna merah dan ‘sayap’ seperti seekor naga menjadikannya berlainan dengan buah-buah tempatan lain yang ditanam di Malaysia.

Potensi Buah Naga
Buah Naga.

Malah, bentuk unik buah naga yang berasal daripada keluarga cactacea tergolong dalam spesies kaktus itu kini semakin mendapat tempat dalam kalangan petani moden.

Jenis

Buah naga mempunyai dua jenis iaitu Hylocereus undatus (isi putih) dan Hylocereus polyrhizus (isi merah) yang kaya pelbagai khasiat, sementara isinya dipenuhi dengan taburan biji-biji berwarna hitam boleh dimakan dan tekstur isinya lembut seperti tembikai. Rasanya pula seperti buah kiwi.

Jika dulu ia lebih dikenali di kalangan kaum Cina, namun sejak kebelakangan ini buah naga mula digemari semua lapisan masyarakat menyebabkan permintaannya meledak di pasaran.

Pengeluaran

Pengeluaran buah naga seluas 3 hektar mampu menghasilkan lebih 1.5 metrik tan buah setiap bulan dan kira-kira 25 tan setahun.

Hasil penjualan buah naga mengikut kelas iaitu gred AA dijual RM6.50 sekilogram (kg) dan mampu menjana purata pendapatan kira-kira RM100,000 setahun.

Khasiat

Buah naga adalah sumber makanan berkhasiat yang semakin popular di Asia termasuk Malaysia dan mempunyai manfaat bagi kesihatan manusia termasuk sebagai pengimbang kadar gula darah, pelindung kesihatan mulut, pencegah kanser usus, mengurangi kolesterol, pencegah pendarahan serta mengubati keputihan.

Menariknya, buah naga ada kalanya mempunyai rasa manis atau masam mengikut jenis. Walaupun buah eksotik, buah naga selamat dimakan ibu hamil dan menyusukan bayi di samping mengandungi vitamin C, kaya dengan asid lemak serta fosforus.

Penanaman

Tanaman buah naga memerlukan suhu sekitar 20 hingga 30 darjah Celsius dengan sekurang-kurangnya tujuh jam sinaran matahari di atas tanah berpasir dan tanah lom (gembur) berpasir terutama yang kaya dengan bahan organik.

Pokok buah naga adalah jenis pokok kaktus padang pasir yang boleh menyimpan air, namun masih memerlukan penyiraman air bagi mempercepat pemanjangan ruas dan pokok meninggi terutama pada musim panas.

Penanam perlu mengawasi penyakit dan bakteria membabitkan batang reput dengan simptom kelihatan pada batang dan dahan yang mempunyai lesi berpusar mengeluarkan cecair busuk dan berlendir dengan semburan racun.

Pokok buah naga bertunas banyak ketika kecil dan perlu dipangkas selalu dan akan mula berbuah selepas enam bulan dan berterusan sehingga mencecah umur 25 hingga 30 tahun bergantung pada pembajaan.

Empat batang pokok buah naga yang diikat pada satu pancang dan setiap pokok boleh menghasilkan 10 biji buah pada satu-satu masa, masak dalam tempoh 35 hari dan semakin ia tua, semakin lebat buahnya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: hmetro

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon