Tuesday, November 24, 2020

4 Kacang Dan Buah Tinggi Kalsium

4 Kacang Dan Buah Tinggi Kalsium

Selain penting untuk pertumbuhan badan, kalsium berfungsi membantu fungsi otot, meregulasikan denyutan jantung dan isyarat pada saraf, mencegah darah beku dan menghindarkan osteoporosis apabila semakin bertambah usia.

Susu adalah antara sumber kalsium terbaik kerana mengandungi kira-kira 305mg kalsium dalam segelas susu.

Namun, tahukah anda sebenarnya terdapat pelbagai lagi sumber kalsium yang boleh anda dapatkan selain susu.

Berikut adalah senarai makanan yang memiliki kandungan kalsium yang lebih tinggi berbanding susu.

1. KACANG BADAM (ALMOND)

Badam

Salah satu snek yang baik untuk mereka yang sedang diet ialah kacang badam kerana 3/4 cawan almond ini boleh memberi kita 320mg kalsium untuk keperluan tubuh, juga kaya dengan serat dan Vitamin E.

2. BUAH TIN

Tin

Bagi yang inginkan snek manis, kunyahlah buah tin kering (dried figs) untuk mendapatkan keperluan kalsium harian anda, kerana secawan setengah buah tin kering mengandungi 320mg kalsium.

Buah Tin juga terkenal sebagai pelawas yang amat membantu melegakan masalah sembelit.

3. CHIA SEED

Chia Seed

Walaupun kecil, 100 gram chia seed mengandungi lebih kurang 631mg kalsium. Ini bermaksud, 3 sudu makan chia seed sudahpun melebihi jumlah kalsium yang terkandung dalam segelas susu.

4. KACANG KUDA

Kacang Kuda

Nampak macam snek biasa, tapi siapa sangka kacang kuda merupakan salah satu makanan yang tinggi kalsium.

1 setengah cawan kacang kuda atau chickpeas mengandungi 315mg kalsium malah, ia juga adalah sumber protein dan serat yang baik.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: siraplimau

Monday, November 16, 2020

Tahi Bintang Dan Rahsia Langit

Tahi Bintang Dan Rahsia Langit

Munculnya fenomena alam bintang jatuh, tahi bintang, meteor atau komet adalah suatu perkara biasa. Tidak ada kaitannya dengan pelbagai hal, sebagaimana keyakinan jahiliah, yang menganggap akan terkabul doa kita apabila melihatnya.

Tahi Bintang

Namun, Al Quran telah menjelaskan tentang fenomena alam tersebut bahkan, ternyata bintang, meteor dan komet itu memiliki fungsi di sisi Allah.

"Sesungguhnya, Kami telah menghiasi langit yang dekat dengan bintang-bintang, dan Kami jadikan bintang-bintang itu alat-alat pelempar syaitan, dan Kami sediakan bagi mereka seksa neraka yang menyala-nyala." (QS. Al-Mulk: 5)

Ketika menafsirkan surat Al-Mulk ayat 5, seorang ahli tafsir masa tabi'in, Qatadah rahimahullah, mengatakan:

"Allah menciptakan bintang untuk tiga hal: Allah jadikan sebagai penghias langit, sebagai pelempar syaitan, dan sebagai tanda alam untuk petunjuk arah. Maka siapa yang menggali tentang bintang, selain tiga hal tersebut, dia keliru, menyia-nyiakan jatahnya, dan membebani diri dengan sesuatu yang sama sekali dia tidak memiliki ilmu tentangnya." (HR. Bukhari dalam shahihnya secara muallaq, 4/107) Maksud beliau dengan memahami selain tiga hal tersebut adalah dengan memahami bintang untuk astrologi (bukan astronomi), seperti zodiak atau ramalan bintang. Sementara itu, As-Syaukani menafsirkan firman Allah (yang ertinya), "Aku jadikan bintang itu sebagai pelempar syaitan", beliau mengatakan, "Rajam (pelempar) secara bahasa ertinya, melempar dengan batu." (Fathul Qadir, 3/179)

Demikian pula dalam surat Al-Jinn, Allah Ta'ala berfirman, "Sesungguhnya kami telah mencuba mengetahui (rahsia) langit, maka kami mendapatinya penuh dengan penjagaan yang kuat dan panah-panah api, dan sesungguhnya kami dahulu dapat menduduki beberapa tempat di langit itu untuk mendengar-dengarkan (berita-beritanya). Tetapi sekarang barangsiapa yang (mencuba) mendengar-dengarkan (seperti itu) tentu akan menjumpai panah api yang mengintai (untuk membakarnya)." (QS. Al-Jin: 8–9)

Al-Imam Ibnu Katsir juga menafsirkan ayat di atas dengan hadis Rasulullah SAW, yang mengungkap secara lebih terperinci tentang fenomena alam tersebut.

Dari sahabat Abdullah bin Abbas Radhiyallahu anhu, ia berkata: "Salah seorang sahabat Nabi SAW dari kaum Ansar menceritakan kepadaku. Ketika mereka duduk bersama Rasulullah SAW pada suatu malam, ada bintang (meteor) jatuh memancarkan cahaya. Maka Rasulullah SAW bertanya kepada mereka: "Apa ucapan kalian pada masa jahiliah ketika ada lemparan (meteor) seperti ini?" Mereka menjawab: "Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Dulu kami katakan, "pada malam ini telah dilahirkan seorang yang terhormat dan telah mati seorang yang terhormat." Lalu Rasulullah SAW menjelaskan: "Sesunguhnya bintang itu tidaklah dilemparkan kerana kematian seseorang dan tidak pula kerana kelahiran seseorang. Akan tetapi Tuhan kita Tabaaraka wa Ta'ala, apabila telah memutuskan sesuatu perkara, bertasbihlah para malaikat yang membawa 'Arasy. Kemudian diikuti oleh para malaikat penghuni langit yang di bawah mereka, sampai tasbih itu kepada para malaikat penghuni langit dunia. Kemudian para malaikat yang di bawah para malaikat pembawa 'Arasy bertanya kepada para malaikat pembawa 'Arasy, "Apa yang dikatakan Tuhan kita?" Lalu mereka memberitahu apa yang dikatakan Allah SWT. Maka malaikat penghuni langit dunia saling bertanya pula di antara sesama mereka, sehingga berita tersebut sampai ke langit dunia. Maka para jin berusaha mencuri dengar, lalu mereka sampaikan kepada walit-walitnya (tukang sihir). Sehingga mereka dilempar dengan bintang-bintang tersebut. Berita itu mereka bawa dalam bentuk yang utuh, iaitu yang sebenarnya tetapi mereka campur dengan pembohongan dan mereka tambah-tambahkan." [HR Muslim]

Apakah bintang jatuh boleh mengabulkan permintaan?

Menurut tradisi yang diturunkan dari nenek moyang, apabila kita melihat bintang jatuh secara langsung maka satu keinginan kita akan terkabul.

Maka daripada itu, apabila kita melihat bintang jatuh mohonlah satu permintaan.

Berdoalah! Tapi berdoanya tetap kepada Allah. Salah bila kita berdoa dan minta bantuan kepada bintang jatuh. Bukan nanti dapat barokah, malah jadi musrik jadinya.

Bintang jatuh hanya sekadar perantara saja. Yang mengabulkan ya atau tidaknya doa kita adalah Allah.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:
sumber: RR

Sambutan Minggu Kesedaran Stres Sedunia

Sambutan Minggu Kesedaran Stres Sedunia

Kemurungan dan stres adalah dua situasi melibatkan masalah mental yang berbeza, tetapi sebelum seseorang itu mengalami masalah kemurungan, dia akan melalui fasa stres terlebih dahulu. Itulah bahayanya apabila kita gagal mengawal dan merawat tahap stres, kerana ia akan menjadi kemurungan yang menjadi punca sebahagian orang membunuh diri.

Minggu Stres

Selain itu, individu yang merasakan diri mengalami kemurungan perlu mendapat pengesahan dari pakar terlebih dahulu.

Minggu Kesedaran Stres Sedunia yang disambut pada setiap 4-8 November setiap tahun, menekankan pengurusan stres di tempat kerja dan peribadi.

Kenalpasti antara punca-punca stres di tempat kerja:
  • Tidak mahir dengan kerja.
  • Hasil kerja tidak dihargai.
  • Persekitaran tidak selesa.
  • Tiada keseronokan bekerja.
  • Selalu dimarahi tanpa sebab.
  • Rakan sekerja tidak membantu.
  • Beban kerja berlebihan.
  • Menangguh kerja.

Seseorang yang mengalami stres boleh mengurangkan stres yang dialami dengan segera dengan cara mengamalkan kaedah ini:
  • Bertenang.
  • Bernafas dengan dalam.
  • Berkata 'relakslah' atau 'tak mengapa'.
  • Beribadat.
  • Bercakap dengan seseorang.
  • Berurut.
  • Berehat dan mendengar muzik.
  • Beriadah.
  • Bersenam.
  • Berfikiran positif.

Stres Itu Menyeksakan

Sayangnya, tidak semua orang tahu bagaimana cara menghadapi rakan atau keluarga yang sedang stres atau tertekan.

Ketidaktahuan tersebut akhirnya membuatkan orang yang sedang stres merasa sendirian dan tidak mendapatkan sokongan dari sesiapa.

Terlebih lagi, jika orang yang mengalami stres juga tidak menunjukkan bahawa dirinya sedang tertekan.

Ini kerana mereka biasanya sering berkelakuan normal di depan orang lain.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
-Sentiasapanas.com

Apa Akan Berlaku Jika Belanjawan 2021 Tidak Di Luluskan? Darurat Atau Pilihanraya Baharu?

Apa Akan Berlaku Jika Belanjawan 2021 Tidak Di Luluskan? Darurat Atau Pilihanraya Baharu?

Belanjawan Negara Malaysia bagi tahun 2021 yang dibentang pada 6 November 2020 oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abd Aziz masih dibahaskan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat di peringkat dasar, dengan pengundian di peringkat dasar dijangka akan berlaku pada 25hb November 2020.

Belanjawan

Belanjawan 2021 ini membawa dilema, tidak sahaja kepada Kerajaan Perikataan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) tetapi juga kepada Blok Pembangkang.

Dato Seri Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang telah berucap membahas Belanjawan 2021. Najib Razak, Pengerusi Backbencer Barisan Nasional juga telah berucap. Presiden Amanah Mohamad Sabu, Lim Guan Eng Setiausaha Agung DAP serta Tun Mahathir Mohamad semuanya telah berucap.

Ketua parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) termasuk Pengerusi Parti Pejuang semuanya telah mengisytiharkan secara terbuka di dalam Dewan Rakyat bahawa mereka hanya akan menyokong Belanjawan 2021 itu sekiranya cadangan dan pindaan yang mereka tuntut diterima oleh Kerajaan PN.

Ini dilema yang dialami oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. Tunduk akur menerima tuntutan dan desakan PH, BN dan Pejuang akan menampakkan kelemahan kerajaan PN pimpinan beliau.

Jika Muhyiddin Yassin berkeras enggan meminda Belanjawan yang dibentangkan oleh Menteri Kewangannya itu, maka besar kemungkinan proses pengundian belah bahagi akan berlaku di Dewan Rakyat.

Ada kemungkinan Rang Undang-Undang Belanjawan 2021 itu tidak dapat diluluskan oleh Dewan Rakyat.

Perkara 68(1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Rang Undang-Undang Belanjawan tahunan negara mestilah diluluskan oleh Dewan Rakyat, kerana Rang Undang-Undang berkenaan kewangan tidak boleh datang dari Dewan Negara.

PROSES KELULUSAN BELANJAWAN NEGARA

Sebelum itu, kami ingin mengambil kesempatan ruangan ini untuk menjelaskan aturcara proses perbahasan dan kelulusan bagi Belanjawan 2021 supaya boleh difahami dengan mudah oleh rakyat.

Umum telah ikuti bahawa Belanjawan 2021 telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan pada 6 November lalu. Daripada sekarang hingga sekitar 25 November, wakil-wakil rakyat akan membahaskan belanjawan tersebut di peringkat dasar.

Ini bermaksud wakil rakyat boleh membahaskan perkara-perkara dasar berkaitan Belanjawan tanpa merujuk kepada mana-mana butiran. Contohnya, seseorang wakil rakyat boleh membahaskan berkenaan falsafah dan pendekatan yang diambil oleh Kerajaan dalam Belanjawan 2021. Juga yang terkait dengan angka-angka unjuran hasil dan ekonomi serta jumlah perbelanjaan yang mungkin besar atau kecil bagi sesebuah kementerian. Isu-isu di kawasan juga boleh dibangkitkan.

Perhatian tertumpu kepada ucapan perbahasan sama ada seseorang wakil rakyat itu menyokong, menolak atau menyokong dengan syarat, Belanjawan 2021.

Belanjawan boleh dipinda

Ia kemudian akan dijawab oleh Menteri Kewangan semasa sesi penggulungan sebelum Dewan Rakyat mengundi untuk kelulusan di peringkat dasar. Pada ketika ini Menteri Kewangan boleh mengulas kritikan, teguran dan cadangan wakil rakyat. Malah Menteri boleh membuat usul pindaan belanjawan untuk dibawa dalam perbahasan dan kelulusan peringkat jawatankuasa.

Pengundian boleh dijalankan dengan suara sama ada bersetuju atau tidak iaitu sekiranya lebih suara bersetuju maka masalah (dalam konteks ini Belanjawan 2021 peringkat dasar) adalah diluluskan. Ini terkandung dalam peraturan mesyuarat 46.

Tetapi, jika ada daripada kalangan wakil rakyat seramai 15 orang atau lebih yang bangun meminta untuk diadakan belah bahagian maka Yang Dipertua (atau dipanggil Pengerusi ketika peringkat Jawatankuasa) hendaklah memerintahkan diadakan belah bahagian.

Dalam belah bahagian ini penghitung undi hendaklah bertanya kepada setiap wakil rakyat sama ada bersetuju, tidak bersetuju atau tidak mahu mengundi. Ini terkandung dalam peraturan mesyuarat 47.

32 kali undian

Sekiranya diluluskan maka sesi perbahasan peringkat jawatankuasa pula akan menyusul. Dalam sesi ini, wakil rakyat akan membahaskan butiran belanja mengurus dan pembangunan bagi setiap Kementerian. Ini dijadualkan berlangsung selama 8 hari. Setiap kali selesai satu kementerian, ia akan diikuti dengan jawapan Menteri dan undian untuk kelulusan.

Sekali lagi proses undian boleh berlaku seperti semasa peringkat dasar. Bezanya ialah proses ini boleh berlaku sebanyak 32 kali memandangkan terdapat sebanyak 32 kementerian di bawah kerajaan sekarang. Masing-masing wakil rakyat kerajaan dan pembangkang perlu bersedia pada setiap masa apabila proses undian berlaku.

Begitulah prosesnya. Apa yang benar-benar bakal berlaku hanya akan diketahui apabila tiba masanya. Sebab itu kehadiran wakil rakyat amat penting terutamanya dalam proses undian.

Had 80 orang wakil rakyat pada satu satu masa yang diputuskan oleh dewan tidak terpakai ketika proses undian. Semua wakil rakyat dibenarkan masuk ke dewan ketika proses undian.

Jika Rang Undang-Undang Belanjawan 2021 tidak diluluskan oleh Dewan Rakyat, apa akan terjadi?

Rang Undang-Undang yang tidak lulus itu tidak boleh dibawa ke Dewan Negara. Ia juga tidak boleh dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan diraja.

Dalam keadaan sedemikian, apa implikasinya?

Kerajaan PN pimpinan Muhyiddin Yassin tidak ada wang untuk menguruskan negara bagi tahun 2021, kerana sesebuah Kerajaan hanya boleh berbelanja dengan menggunakan peruntukan kewangan yang telah diluluskan oleh Parlimen.

Apa pilihan yang Muhyiddin Yasin ada, jika beliau menghadapi senario sedemikian?

Pilihan pertama ialah Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri bersama-sama seluruh anggota kabinet Kerajaan PN. Dalam erti kata lain Kerajaan PN tumbang.

Persoalannya, adakah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Kerajaan pimpinannya mesti meletak jawatan jika Belanjawan 2021 tidak diluluskan oleh ahli-ahli Parlimen?

Jika diteliti di dalam Perlembagaan Persekutuan, bahawa tidak ada peruntukan yang menyatakan bahawa Perdana Menteri dan Kabinet mesti meletak jawatan jika kalah dalam undian berkenaan Belanjawan Tahunan di Dewan Rakyat.

Malaysia sejak Merdeka tidak pernah mengalami situasi di mana Rang Undang-Undang Belanjawan ditolak oleh Dewan Rakyat.

Yang ada ialah amalan lazim atau disebut konvensyen yang diamalpakai di negara-negara demokrasi khususnya di dalam Komanwel bahawa Perdana Menteri dan kabinet hendaklah meletak jawatan apabila kalah dalam undian Belanjawan tahunan.

Kekalahan sedemikian dianggap kerajaan berkenaan khusus Perdana Menteri, tidak mendapat kepercayaan yang cukup di kalangan ahli parlimen.

Jadi, secara andaian yang mungkin, apa pilihan lain yang PM Muhyiddin Yassin ada, jika beliau enggan meletak jawatan?

Muhyiddin boleh menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk menasihati Baginda supaya Dharurat seluruh negara diiystiharkan di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan atas alasan wujud keadaan dharurat yang besar di mana kehidupan ekonomi terancam akibat Belanjawan Negara tidak diluluskan oleh Dewan Rakyat.

Tetapi, adakah Muhyiddin Yassin sanggup menghadap Yang di-Pertuan Agong buat kali kedua, untuk memohon perisytiharan Dharurat selepas permohonannya kali pertama ditolak oleh Baginda?

Pilihan lain yang ada pada Muhyiddin Yassin jika Belanjawan ditolak ialah beliau terpaksa menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk menasihati Baginda supaya Parlimen Penggal ke-14 ini dibubarkan dan satu Pilihanraya Umum diadakan.

Apa risiko yang Muhyiddin mungkin hadapi jika berbuat demikian?

Ada kemungkinan bahawa permohonan Perdana Menteri itu ditolak oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan.

Apakah pilihan yang lazimnya dipakai di negara-negara demokrasi lain apabila Rang Undang-Undang Belanjawan Negara ditolak oleh Parlimen yang patut konvesyen ini dicontohi di Malaysia?

Pilihannya ialah, Perdana Menteri itu wajar menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk menyerahkan surat perletakan jawatan.

Dengan berbuat demikian Kabinetnya juga gugur, kerajaannya tumbang dan Yang di-Pertuan Agong akan menjalankan kuasa Baginda berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dengan melantik Perdana Menteri baharu berdasarkan Perkara 43(2)(a).

Sebuah Kabinet baru akan dibentuk dan sebuah Kerajaan baharu ditubuhkan dengan tugas pertamanya ialah membentangkan Belanjawan tahun 2021.

Dilema Pembangkang

Pemimpin-pemimpin blok pembangkang juga menyedari dilema yang mereka hadapi kerana tidak dapat menerima Belanjawan seperti apa yang telah dibentangkan di parlimen.

Jika mereka tolak secara keseluruhan mungkin akan berlaku pergolakan politik yang hebat seperti yang dinyatakan di atas.

Blok pembangkang tentu tidak bersetuju Perisytiharan Dharurat diisytiharkan kerana Belanjawan Kerajaan PN tewas diparlimen.

Blok Pembangkang juga tentu berpandangan bahawa Pilihanraya Umum tidak patut diadakan dalam masa terdekat di mana Pandemik Covid-19 masih di peringkat bahaya dan Perintah PKPB dikuatkuasakan di banyak negeri.

Blok pembangkang juga dalam dilema kerana mereka tidak pasti apakah langkah yang akan diambil oleh Muhyiddin Yassin dan Kerajaan PN jika pada 25 November nanti Rang Undang-Undang Belanjawan 2021 ditolak oleh Dewan Rakyat.

Sama-sama kita nantikan.

BACA INI JUGA:
sumber: 1 | 2

Monday, November 09, 2020

Moratorium Dan KWSP: Muhyiddin Lebih Teruk Dari Najib?

Moratorium Dan KWSP: Muhyiddin Lebih Teruk Dari Najib?

Majoriti tampak tidak gembira dengan Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, kerana tiada perkara menarik yang boleh membuatkan rakyat tersenyum dengan pembentangan belanjawan kali ini.

Muhyiddin

Yang sinis berkata, kalau ada pun yang menarik hanyalah tentang kejayaan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim yang berjaya membuatkan Speaker, Azhar Azizan Harun terpaksa membuat U-Turn dengan membenarkan kesemua 222 Ahli Parlimen berada di Dewan Rakyat mendengar pembentangan Belanjawan 2021.

Jika sebelum itu beliau mengeluarkan arahan hanya 80 Ahli Parlimen saja dibenarkan berada di Dewan Rakyat, berikutan desakan Anwar yang kemudian disokong empat Ahli Parlimen UMNO, Azhar terpaksa mengubah keputusannya dengan rasa yang cukup kecewa.

Kekecewaannya jelas terpancar apabila beliau kemudian menyatakan agar di lain kali permohonan seperti itu seharusnya diberi notis awal terlebih dahulu kepadanya.

Apakah ini petanda awal Belanjawan 2021 akan berdepan masalah ketika pengundian nanti?

Dua perkara yang paling membuatkan rakyat kecewa dan tidak puas hati ialah berkaitan pengeluaran wang daripada KWSP dan perlanjutan tempoh moratorium pinjaman bank.

UMNO, khususnya melalui Najib Razak, sejak dua tiga minggu sebelumnya, giat mendesak kerajaan agar membenarkan rakyat mengeluarkan wang caruman sebanyak RM10 ribu daripada Akaun 1 KWSP.

Pengeluaran wang itu adalah untuk tujuan mereka menyelesaikan urusan kehidupan berikutan pandemik Covid19 yang membuatkan ramai hilang pekerjaan dan tiada pendapatan.

Dengan RM10 ribu dapat dikeluarkan dan jika pasangan turut berbuat demikian, bermakna jumlah RM20 ribu yang ada dalam tangan mampu menyelesaikan banyak urusan kehidupan, antaranya tentang bil-bil yang tertunggak.

Jika kebenaran itu diberikan, ia dianggarkan mampu memberi manfaat dan keselesaan kepada kira-kira 4.7 juta pencarum.

Malangnya, desakan dan permintaan UMNO itu tidak dipedulikan oleh Tengku Zafrul.

Dalam pembentangannya, beliau mengumumkan hanya pencarum hilang pekerjaan dibenarkan mengeluarkan wang daripada Akaun 1 KWSP dengan jumlah RM500 sebulan selama setahun.

Dalam erti kata lain, jumlah dibenar dikeluarkan adalah RM6,000 sahaja, tetapi dengan RM500 sebulan, apa yang boleh diselesaikan?

Itu pun, oleh kerana ia terhad kepada mereka yang hilang pekerjaan, manfaatnya hanya untuk 600 ribu pencarum semata-mata berbanding sasaran daripada cadangan asal ialah 4.7 juta pencarum.

Bagi moratorium pinjaman bank, kedua-pihak iaitu UMNO dan PH telah membuat desakan agar ia dilanjutkan selama tiga atau enam bulan lagi bagi tujuan meringankan beban hidup rakyat akibat Covid19.

Desakan ini juga tidak diterima, sebaliknya Tengku Zafrul sekadar mengumumkan moratorium bersasar untuk golongan B40 di mana mereka yang berkenaan perlu berurusan dengan pihak bank untuk memohonnya.

Selain itu, mereka juga diberi pilihan sama ada mengambil moratorium selama tiga bulan atau mengurangkan jumlah bayaran bagi tempoh enam bulan dengan membuat perisytiharan bahawa pendapatan mereka telah berkurangan.

Yang nyata di sini, desakan UMNO dan PH langsung tidak diberi perhatian oleh Muhyiddin Yassin, walaupun ia adalah untuk manfaat majoriti rakyat.

Baik UMNO atau PH, terutama berkaitan dua aspek di atas iaitu pengeluaran wang KWSP dan moratorium pinjaman bank, adalah bahaya bagi masa depan mereka jika menyokong kelulusan Belanjawan 2021 ketika pengundian nanti.

Menyokongnya bererti tidak peduli terhadap keperluan rakyat yang majoritinya benar-benar memerlukan wang daripada KWSP dan moratorium dilanjutkan lagi.

Sebaliknya, dengan menolak belanjawan dan menunjukkan kebersamaan terhadap keperluan hidup rakyat, peluang pembangkang memenangi PRU akan datang adalah lebih cerah, terutama jika PRU15 diadakan seawal tahun depan.

Muhyiddin Lebih Teruk Dari Najib?

Hari demi hari yang berlalu, Muhyiddin Yassin kini bukannya makin disukai, tetapi nampaknya semakin dibenci dan dihamburkan kata-kata nista terhadapnya.

Jika selepas pembentangan Belanjawan 2021, beliau lebih teruk dikecam daripada Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz sendiri, terutama berkaitan isu KWSP dan moratorium pinjaman bank, ketika muncul dalam wawancara Astro Awani, keadaannya jauh lebih parah lagi.

Dalam semua platform media sosial yang berkongsi siaran langsung tersebut, boleh dikata lebih 90 peratus yang memberi komen telah meluahkan kata-kata kecaman, kebencian dan nistaan terhadapnya.

Malah, dalam Facebook Muhyiddin sendiri yang turut berkongsi wawancara itu, ia penuh dengan komen-komen yang bernada kebencian dan gambaran meluat kepadanya.

Di laman Facebook beberapa penyokong Muhyiddin yang cuba memuji Perdana Menteri berikutan wawancara tersebut, turut dijadikan sasaran kecaman netizen dengan kata-kata makian dan serangan.

Pendek kata, apa saja berkaitan Muhyiddin sekarang ini, lebih banyak atau lebih 90 peratus akan dibalas dengan nada kebencian berbanding suka kepadanya.

Baru lapan bulan jadi Perdana Menteri, kenapa keadaan ini berlaku?

Tidak dinafikan, semua keadaan ini bermula dengan kedudukan Muhyiddin sendiri yang naik jadi Perdana Menteri melalui jalan pengkhianatan atau pintu belakang dan bukan melalui pilihanraya.

Pada mulanya, hanya penyokong PH yang banyak mengkritik dan membalunnya, tetapi lama-kelamaan ia merebak kepada rakyat biasa, mereka yang berkecuali hanyalah penyokong PN sendiri, khususnya daripada UMNO.

Selain beberapa tindakan dan pendekatannya sendiri yang menyumbang ke arah itu, ia kemudian diperkukuhkan lagi apabila beliau sendiri sebagai Perdana Menteri dilihat tidak mesra kepada kehendak rakyat, terutama dalam isu pengeluaran Akaun 1 KWSP berjumlah RM10 ribu dan lanjutan moratorium pinjaman bank di ketika PKPB terus dipanjangkan lagi tempohnya.

Satu dua perkara lagi yang dilakukannya sebelum itu seperti melindungi Azmin Ali dan dikatakan hanya mendengar nasihat beberapa menteri serta orang kanan di sekelilingnya, kata-kata tidak berpolitik di musim PKP hanya ungkapan tak serupa bikin, menekan serta membuli rakan sendiri iaitu UMNO, memberi peruntukan besar untuk unit propaganda Jasa, semua itu secara tidak lamgsung telah menambahkan lagi kebencian rakyat terhadap Muhyiddin yang sejak dalam UMNO lagi memang diketahui tidak mesra alam, sejuk dan lebih banyak masam daripada senyum yang dipapar di wajahnya.

Jika Najib Razak sebelum PRU14 begitu dibenci oleh rakyat dan netizen, kebencian mereka terhadap Muhyiddin sekarang ini, jika diteliti, jauh lebih parah daripada itu.

Najib sekurang-kurangnya dibenci ke tahap itu setelah lapan tahun menjadi Perdana Menteri, namun Muhyiddin menerima keadaan yang sama hanya dalam lapan bulan saja tempohnya.

Apa mesti Muhyiddin lakukan sekarang?

Muhyiddin boleh saja mengabaikan semua luahan hati netizen itu, tetapi suatu perkara yang harus disedarinya ialah jika Najib yang lebih kuat kedudukannya pun boleh dijatuhkan oleh suara keramat rakyat, tentu tidak mustahil beliau yang berada di dahan rapuh sekarang ini untuk ditumbangkan sama.

Hanya masa dan ketikanya saja lagi belum tiba, tetapi ibarat durian yang sudah masak – lambat atau cepat, Muhyiddin tetap akan ke tanah akhirnya.

Untuk itu, jika beliau ada masa meneliti komen-komen netizen terhadapnya atau isterinya sendiri menyampaikan perkara itu kepadanya, keinsafan dan penyesalan pasti menerpa ke lubuk jiwanya sekarang.

Apa guna jadi ketua jika hanya 10 peratus saja yang ternampak suka?

Yang terbaik ialah beliau memilih jalan sejahtera seperti Pak Lah dahulu yang cepat-cepat berhenti sebelum kebencian makin melaut terhadapnya.

Apa lagi, jika menjadi Perdana Menteri melalui jalan pengkhianatan, lebih terpuji jika segera kembali ke pangkal jalan dan mengembalikan hak itu kepada yang berhak dan sepatutnya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:


sumber: 1 | 2

New Zealand Di Nobat 'Negara Islam' Terbaik 2019

New Zealand Di Nobat 'Negara Islam' Terbaik 2019

New Zealand dinobatkan sebagai negara yang paling sesuai dengan cita-cita Islam untuk tahun kedua berturut-turut, dalam Indeks Keislaman 2019, yang dipilih awal tahun 2020 ini, menduduki tempat pertama secara keseluruhan, diikuti oleh Sweden, Iceland, Belanda, Switzerland, Denmark dan Ireland.

New Zealand

Negara dengan majoriti Muslim yang berada di tangga teratas adalah Emiriah Arab Bersatu (UAE). Malaysia berada bawah UAE.

New Zealand menduduki tempat ketiga daripada segi ekonomi, keempat untuk undang-undang dan pemerintahan, kelima untuk hak asasi manusia dan politik serta kelapan untuk hubungan antarabangsa.

Menurut Islam, penggunaan wang untuk menghasilkan wang adalah dilarang. Ini bermaksud konsep faedah tidak dibenarkan.

Kekayaan mesti dijana daripada perdagangan yang sah dan pelaburan berdasarkan aset. Pelabur diminta untuk melabur dengan memgambil kira faedah sosial dan etika.

Walaupun berada di peringkat tinggi, sistem New Zealand tidak membantu umat Islam dalam hal keperluan kewangan peribadi mereka setiap hari.

Banyak dana KiwiSaver beretika tetapi tidak sesuai dengan standard yang diperlukan. Bahkan, syarikat di sektor alkohol dilarang.

Amanah Ethical adalah satu-satunya penyedia KiwiSaver yang membersihkan pelaburannya.

The Islamicity Indices, yang disusun oleh Islamicity Foundation, organisasi free profit berpusat di Amerika Syarikat, mengukur pematuhan pemerintah terhadap prisip Islam yang dinyatakan dalam al-Quran.

Ini termasuk mematuhi pembiayaan tanpa faedah, kesetaraan pendidikan, hak harta dan hak binatang, antara lain.

Ia tidak termasuk tugas peribadi umat Islam seperti solat, puasa dan haji.

New Zealand tidak memiliki agama rasmi dan hampir separuh daripada lima juta orang di negara ini dikenal sebagai Kristian.

Mereka bagaimanapun mendapat nilai tinggi dalam beberapa bidang yang dijejaki oleh indeks, termasuk undang-undang antirasuah dan peruntukan untuk mengurangkan kemiskinan.

Ramai tidak terkejut New Zealand mempunyai ranking tertinggi.

Cita-cita serupa

Dari segi nilai-nilai dasar Islam - integriti dan permuafakatan- New Zealand melakukannya dengan sangat baik.

Sudah tentu umat Islam ingin melakukan beberapa perkara dengan cara mereka sendiri tetapi itu tidak menjadikan mereka sebahagian daripada New Zealand.

Rasa impian dan cita-cita mereka serupa dengan kebanyakan orang di New Zealand.

Bercakap benar kepada pemerintah adalah aspek asas Islam dan tidak semua negara yang beragama Islam membenarkannya.

Sebilangan pemerintah Islam tidak menerjemahkan nilai-nilai Islam ke rencah politik dan sosial sebagaimana semestinya.

Oleh itu di New Zealand, umat Islam selalu merasa seperti dapat menjalani kehidupan yang ingin mereka jalani. Kebanyakan masyarakat Islam akan mengatakannya begitu.

Tentu saja perhubungan sedia ada diganggu oleh serangan Christchurch. Dan tentu saja ada juga rakyat New Zealand mempunyai sikap perkauman, Islamofobia dan ketaksuban.

Jadi tidak boleh dikatakan bahawa itu sempurna. Tetapi pada skala relatif ia berjalan dengan baik.

Terdapat beberapa bidang yang tidak sesuai dengan Islam, terutama mengenai masalah kewangan yang melibatkan riba.

Dari segi alkohol, perjudian, perlumbaan dan bir, umat Islam tidak akan sesuai dengan budaya itu. Umat Islam tidak akan pergi ke pub.

Tentang Hossein Askari

Hossein Askari, ahli ekonomi yang mengasaskan Islamicity Foundation, dilahirkan di Iran tetapi menghabiskan sebahagian besar hidupnya di Amerika Syarikat (AS).

Dia mempunyai PhD dalam bidang ekonomi dari MIT, mengajar di universiti di AS, dan pernah berkhidmat di lembaga eksekutif Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Indeks itu adalah cara membawa perubahan di dunia Muslim.

"Tidak lama setelah wafatnya nabi, Islam dirampas oleh para ulama dan pemerintah yang bertindak demi kepentingan mereka sendiri," katanya.

"Islam banyak memberi sumbangan pada masa awal, tetapi jika anda melihat hari ini, anda harus mempersoalkan sesuatu mengenai tafsirannya."

Tidak seperti beberapa agama utama, seperti Katholik, yang mempunyai pemimpin global tunggal untuk mengeluarkan arahan, Islam bergantung pada penafsiran al-Quran oleh ulama - sekumpulan ulama.

Hal ini memungkinkan wujud pelbagai tafsiran, baik progresif dan konservatif.

Indeks Keislaman mengukur empat bidang utama - ekonomi, undang-undang dan pemerintahan, hak asasi manusia dan politik serta hubungan antarabangsa.

“Saya melihat ajaran al-Quran mengatakan tidak boleh ada kemiskinan. Jadi kita melihat semua indeks kemiskinan, ” kata Askari.

"Negara-negara Muslim sangat hebat. Mereka terus berkembang dari tahun ke tahun. Pada masa ini, Malaysia melakukan yang terbaik secara keseluruhan, tetapi masalah masih ada rasuah dan (isu) hak asasi manusia.

“Apa yang terjadi adalah sejak awal adalah penguasa dan ulama yang korup bergabung, mereka merampas agama ini, dan mereka menggunakannya untuk memperkayakan dan untuk kekuatan mereka sendiri.

"Apabila anda melihat negara-negara Muslim, dan saya mengatakan ini secara terbuka, mereka mundur. Tidak ada kebebasan, ada ketaksamaan yang sangat besar - lihatlah Arab Saudi, ketidaksamaan di sana sangat luar biasa."

Askari bergabung dengan pakar-pakar al-Quran untuk menggali ajaran Islam yang paling penting, dan kemudian meletakkan aspek-aspek tersebut untuk membuat Indeks Keislaman.

"Saya rasa indeks saya menunjukkan negara mana yang akan kelihatan seperti negara Muslim yang melakukan perkara-perkara yang menurut Islam harus di lakukan," katanya.

"Perkara utama yang paling mereka lakukan adalah politik dan hak asasi manusia. Islam sangat jelas, tuhan memberi kebebasan kepada umat manusia.

"Sekiranya Tuhan memberi kita kebebasan itu, apa hak diktator politik untuk mengambilnya?"

'Jalan' Islam

Asas Islam adalah syariah, yang secara harfiah bermaksud “jalan”, kata Askari.

"Islam berusaha memberi anda jalan. Jika anda memilih untuk mengambilnya, menjadi orang yang lebih baik dan mewujudkan masyarakat yang lebih baik."

Pada usia 75 tahun, dia bermimpi datang ke New Zealand, tempat yang belum pernah dikunjungi.

Dia menyebutnya sebagai negara yang lembut, "kecuali di lapangan ragbi".

Ada sedikit prasangka. Liberalisme, seperti Barat memahaminya, tidak dipegang oleh banyak negara dengan majoriti Muslim. Liberalisme belum pernah menang di Timur Tengah atau di Asia Selatan dan Asia Tenggara.

Negara seperti Tunisia, yang sebelum ini merosot kini berada di kedudukan lebih baik.

Tunisia, serta Lebanon dan kadang-kadang Iraq, adalah negara yang memiliki tingkat pluralisme, persaingan dan ekspresi idea politik yang signifikan tanpa rasa takut akan penganiayaan.

Arab Saudi, yang dipandang Barat sebagai sekutu dan pemimpin dunia Islam, negara ini merosot tiga tempat dalam indeks dua tahun lalu, mendarat di nombor 85.

Askari mengatakan Arab Saudi menunjukkan prestasi sangat rendah dalam isu hak asasi manusia dan politik. Kekuanta ekonominya pula mencatat mata 3.63.

"Arab Saudi hampir menjadi negara Islam sepenuhnya. Ini adalah pendekatan paling dekat dengan yang ada di Timur Tengah dan Afrika Utara, bersama dengan Mesir dan Syria, dengan pemantauan menyeluruh setiap pemikiran," kata Hamid.

Tidak semua kedudukan negara Islam jatuh. Indonesia, negara dengan majoriti Muslim terbesar di dunia, naik 10 tempat pada 2018, ke nombor 64.

Senegal yang kaya dengan minyak, yang kini berada di nombor 83, adalah negara yang perlu diperhatikan.

Malaysia turun empat tempat ke tangga ke-47, menduduki tempat ketiga di antara negara-negara Islam.

Askari, yang menyebut indeks itu sumbangannya kepada dunia Islam, percaya ia harus dilihat sebagai satu penanda aras, bukannya dakwaan.

Ini menjadi ukuran bagaimana kita harus melakukan pembaharuan sewajarnya.

Ini menjadi wahana untuk melakukan reformasi secara damai dan membawa perubahan yang bermakna.

Sehingga itu, New Zealand, tetap menduduki tempat tertinggi.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: 1

Wednesday, November 04, 2020

Sean Connery, James Bond Pertama Meninggal Dunia

Sean Connery, James Bond Pertama Meninggal Dunia

Pemergian bintang Hollywood legenda, Sean Connery, 91, mati dalam tidur di kediamannya di The Bahamas, Kepulauan Caribbean, pada Sabtu (31 November 2020) diratapi keluarga, rakan selebriti, penerbit dan peminat seluruh dunia.

Sean Connery

Memetik laporan BBC, berita sedih berkenaan disahkan keluarga aktor kelahiran Edinburgh, Scotland itu, selain diumumkan dalam akaun Twitter rasmi, James Bond.

Isteri, Micheline Roquebrune dan dua puteranya, Jason dan Stephane mengesahkan Connery menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan tenang ketika tidur dan dikelilingi ahli keluarga.

"Upacara pengebumian akan diadakan secara tertutup, diikuti dengan majlis peringatan yang masih dalam perancangan selepas pandemik COVID-19 berakhir," kata wakil keluarga.

Micheline, 91, menceritakan detik terakhir sebelum mendiang suaminya yang menderita penyakit Demensia meninggal dunia.

Penyakit Demensia atau lebih dikenali sebagai 'nyanyuk' yang berkaitan dengan daya ingatan disebabkan kematian sel otak secara abnormal.

Menerusi dailymail.co.uk, Micheline mengakui, penyakit Demensia mengorbankan suaminya, bagaimanapun sempat menghabiskan masa bersama pada saat akhir.

Pelukis Maghribi-Perancis itu memberitahu, "Tiada lagi kehidupan baginya. Beliau sudah tidak dapat menguruskan diri, sejak akhir ini. Mati dalam tidur, keadaannya amat tenang. Saya bersamanya sepanjang masa.

"Penyakit Demensia merugikannya. Bagaimanapun, beliau dapat menunaikan hasrat terakhir iaitu melarikan diri daripada keributan dunia selebriti.

"Dia lelaki hebat sepanjang kami hidup bersama selama 45 tahun. Bagi saya, beliau adalah lelaki yang boleh dijadikan teladan.

"Tentunya, kehidupan saya sukar tanpanya. Tetapi, saya tidak mampu menghalangnya pergi untuk selamanya. Biarlah beliau pergi dengan tenang," katanya kepada dailymail.co.uk.

Berikutan kematian Sean Connery, selebriti dan peminat berkumpul dalam media sosial untuk memberi penghormatan kepada aktor itu.

Sean Connery dilahirkan tanggal 25 Ogos 1930. Ibunya, Euphemia McBain berkerja sebagai tukang cuci, manakala bapa, Joseph Connery pula mencari rezeki dengan bekerja di kilang.

Dari seorang budak kampung yang bersekolah sehingga usia 14 tahun, Sean Connery pernah melakukan kerja kolar biru seperti pemandu trak, penjual susu dan mengelap keranda.

Siapa sangka namanya menjadi tersohor seluruh pelosok dunia sebagai aktor yang terkenal dengan watak ejen perisik James Bond pada 1962.

Pembabitan Sean Connery dalam dunia seni bermula pada 1950, ketika menyertai pertandingan bina badan, Mr Universe yang berlangsung di London.

Susuk tubuh yang tegap menyebabkannya dilamar untuk membintangi drama terbitan BBC, Requiem for a Heavyweight dan diberikan watak utama sebagai peninju.

Dari situ, Sean Connery ditawarkan kontrak di bawah syarikat penerbitan terkemuka di Hollywood, Paramount Pictures.

Pembabitan pertamanya dalam industri filem Hollywood bermula apabila penerbit Albert Broccoli dan Harry Saltzman mencari calon yang sesuai membawakan watak James Bond daripada kisah adaptasi novel kepada layar lebar.

Rezeki berpihak kepada Sean Connery apabila aktor, Cary Grant menolak tawaran berkenaan, memaksa penerbit mencari pengganti yang bersedia menerima tawaran murah dan kurang dikenali.

Dengan ketinggian 6 kaki 2 inci, Sean Connery dilihat paling layak, namun penulisnya Ian Fleming menganggap beliau tidak menepati ciri yang dicari.

Penonton nyata tidak bersetuju dengan pendapat Fleming, buktinya sebaik filem berkenaan muncul di pawagam berjaya mencatat kutipan pecah panggung, sekali gus mengangkat nama Connery.

"Beliau akan terus dikenang sebagai James Bond yang asli. Sejarah pembabitan dalam dunia filem akan kekal diingati sampai bila-bila.

"Ayat popularnya, 'The name's Bond, James Bond, masih segar diingati peminat hingga hari ini," kata penerbit siri James Bond, Micahel G Wilson dan Barbara Broccoli daripada EON Production.

Sean Connery licik dan cerdik dalam membawakan watak ejen perisik 007 itu. Malah kemampuannya sebagai ejen seksi dan berkarisma tidak boleh disangkal hingga dinobatkan gelaran 'Sexiest Man Alive' oleh majalah People pada 1989 ketika berusia 59 tahun.

Sementara itu, aktor kelahiran Australia, Geoge Lazenby yang pernah membawakan watak James Bond masih terkejut dengan berita pemergian Connery.

"Saya mengucapkan selamat ulang tahun ke-90 kepadanya, beberapa minggu lalu. Tetapi, sekarang saya dengan berat hati terpaksa menyampaikan ucapan takziah buat ahli keluarga dan teman rapatnya.

"Secara peribadi, Connery menjadi sumber inspirasi saya. Saya pernah bertemu dengannya beberapa kali dan amat berbesar hati apabila beliau memberikan restu kepada filem On Her Majesty's Secret Service. Apa yang mengagumkan, kerja yang dilakukan melangkaui filem James Bond.

"Beliau aktif melakukan kerja amal, sangat menyayangi keluarga, menyertai politik dan sukan golf. Seorang insan yang baik dan aktor yang hebat di layar perak.

"Kini, aktor yang tidak begitu dihargai sudah pun meninggalkan kita. Ingatan tulus ikhlas dari saya buat Lady Micheline, anak dan cucu Connery, " tulisnya menerusi laman Instagram (IG).

Seorang lagi bintang James Bond, Pierce Brosnan berkata, beliau amat mengagumi Connery yang membawakan watak ejek perisik itu ketika masih kecil. Connery menjadi dirinya sendiri.

Katanya, Sean Connery juga membawa bayang-bayangnya ke dalam watak berkenaan dan ia akan kekal sampai bila-bila.

"Sean Connery menunjukkan jalannya dan saya hanya mengikut jejak langkahnya. Setiap pelakon yang dipertanggungjawabkan membawakan watak Bond pasti akan melihat Connery dengan rasa kagum dan hormat.

"Anda seorang yang hebat daripada pelbagai sudut, sama ada aktor, manusia dan akan terus kekal diingati sampai bila-bila," katanya yang dipetik menerusi IG.

Daniel Craig berkata, dia amat sedih sebaik mengetahui berita pemergian aktor yang sangat hebat.

"Sean Connery akan terus diingati sebagai Bond. Beliau menterjemahkan watak ejen perisikan 007 itu dengan penuh bergaya, cerdik dan mempesona di layar lebar.

"Beliau mampu menggegarkan panggung dan akan terus menjadi aktor yang berpengaruh," katanya menerusi Twitter.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: bharian

SBDJ Siri 171: Mia, Gadis Harimau

SBDJ Siri 171: Mia, Gadis Harimau

Tanpa membuang masa, secara perlahan-lahan saya dan Andi Kamarool bergerak ke arah Mia. Di saat kami mendekatinya, Mia berusaha menjauhkan diri. Dia seolah-olah memberitahu, agar dirinya jangan diganggu. Tindakan Mia sungguh mengejutkan. Bahu kiri Andi Kamarool segera saya singgung.

Toyol jadi-jadian


"Hati-hati saja Tamar," bisik Andi Kamarool.

Saya anggukkan kepala.

Tanpa ambil kisah atas kehadiran kami, Mia terus melangkah ke bahagian kepala kubur. Kami bertukar pandangan, tidak tahu apa yang harus dilakukan.

Dalam cuaca samar yang kian memberat itu, kelihatan dedaun buluh yang tua berguguran, meskipun pada saat itu angin tidak bertiup. Dedaun buluh yang gugur terus tersadai atas batu kuburan.

"Bagaimana Andi?" tanya saya perlahan.

"Berdiri di sini, kita tengok apa yang dibuatnya."

"Baiklah," jawab saya lemah.

Mia terus melangkah ke bahagian kepala kubur. Berdiri di situ sambil memeluk tubuh. Beberapa minit kemudian, dia terus melutut sambil menundukkan kepala.

Saya jadi resah, bila melihat sepasang bibir Mia bergerak pantas. Dia seolah-olah berdialog dengan longgokan batu yang kaku.

Kalau tadi, saya melihat dedaun buluh yang tua gugur, kini saya menyaksikan pula dedaun buluh yang muda dan segar berjatuhan.

Pepohon buluh bagaikan digoncang oleh sesuatu. Saya kira makhluk yang menggoncang perdu buluh itu, mestilah makhluk yang luar biasa besarnya dengan kekuatan yang tidak dapat diramalkan.

"Andi, kita dalam bahaya," dalam resah saya berbisik lagi.

"Bertenang Tamar, kita tengok sampai habis apa yang dibuatnya."

"Aku bimbang Andi."

"Usah bimbang, bertenanglah Tamar."

Saya kembali menumpukan perhatian kepada Mia dan saya lihat Mia yang melutut memanfaatkan jari telunjuk kanannya, menjolok-jolok tanah melalui celah-celah batu gunung dan sungai yang berlonggokan.

Kemudian, kedua belah tangannya digenggam (penumbuk) dan longgokan batu di depan ditumbuknya bertubi-tubi.

Mia sudah kesurupan (tidak sedarkan diri) rambutnya yang panjang mula menggerbang, menutup seluruh wajah dan sebahagian dadanya.

Di saat perhatian saya dan Andi Kamrool tertumpu kepada Mia, terdengar desiran angin yang cukup kuat.

Dedaun buluh yang tersadai atas batu kubur terus berterbangan. Suara burung gagak, burung hantu dan suara kucing hutan mula kedengaran, saling bersahut-sahutan.

Mia masih macam tadi, terus menumbuk batu kuburan. Tiupan angin yang kuat membuat saya dan Andi Kamarool hampir jatuh.

"Hee..Hee...heee..." terdengar suara jeritan perempuan yang cukup keras dan tinggi sekali.

"Mia menjerit," hati kecil saya berkata sendirian.

Tetapi, akhimya saya yakin, itu bukanlah suara jeritan Mia. Jeritan itu datang dari sebelah kiri perdu buluh.

LEMAH

Tiupan angin beransur lemah dan akhirnya berhenti terus. Suara gagak turut hilang, begitu juga dengan suara burung hantu dan kucing hutan.

Rambut Mia yang menggerbang dan menutup wajahnya, kelihatan bergerak kembali kepada kedudukan asal.

Saya lihat rambut itu bergerak lembut, macam ada tangan halus yang membelainya dan tidak sampai lima minit rambut Mia nampak rapi dan cantik, seperti baru Iepas disikat atau disisir.

Kalau tadi Mia melepaskan tumbukan yang bertalu-talu ke arah batu kubur kini, tumbukan itu beransur lemah. Dia bagaikan sudah kehabisan tenaga.

Suasana yang tadi terasa seram dan amat menakutkan bertukar menjadi tenang dan damai, bagaikan tidak ada apa berlaku di sekitar kawasan kubur tersebut.

Tanpa diduga, Mia rebah terkulai di depan kubur.

"Bantu dia Andi."

"Jangan Tamar."

Saya menarik nafas mendengar kala-kata Andi Kamarool itu. Hati kecil saya kesal kerana dia tidak mahu membantu Mia.

Tidak berapa lama berselang, Mia kembali kepada kedudukan asalnya.

"Andi, harimau," terpancut kata-kata itu dari kelopak bibir saya.

"Tamar, ada mata tengok, ada telinga dengar. Jangan banyak tanya dan jangan banyak soal," bisik Andi Kamarool.

Sesungguhnya, saya tergamam dan terkejut melihat kemunculan seekor harimau besar dari arah belakang Mia.

Harimau itu menggoyang-goyangkan ekornya, menjilat-jilat badan dan telapak kaki kanannya. Begitu jinak dan manja sekali.

Di saat Mia memusingkan badannya untuk melihat saya dan Andi Kamarool, dengan sekelip mata harimau besar itu hilang dari pandangan.

Mia segera melangkah mendekati kami. Ketika itu hari sudah gelap.

"Bagaimana?" itu ungkapan pertama yang dilontarkan kepada kami.

"Maksud kamu?" soal Andi Kamarool.

"Iya, kamu sudah tengok sendiri dan terpulanglah kepada kamu berdua. Sama ada mahu percaya atau tidak.

"Sama ada mahu disimpan sendiri atau mahu diceritakan kepada orang lain."

Dalam cuaca gelap yang kian memberat itu, saya dan Andi Kamarool saling bertukar pandangan.

"Iya. Kami dah tengok Mia," ujar saya.

"Apa pendapat kamu berdua?"

'Tak berani nak beri pendapat," tingkah Andi Kamarool.

"Kalau sudah tak tahu nak beri pendapat, eloklah kita balik ke rumah. Waktu maghrib dah dekat."

"Ayuh," serentak saya dan Andi Kamarool menyokong.

Kami bertiga pun mengatur langkah pulang dalam suasana gelap yang kian memberat. Tetapi, di kaki langit masih ada awan jingga yang kian menipis. Dada langit masih cerah bersama awan putih yang berarak lembut.

Sebaik saja sampai di pintu rumah besar, sayup-sayup terdengar alunan suara azan maghrib yang datang dari perkampungan berdekatan.

"Masuk Tamar," pelawa Mia.

Saya keberatan untuk melangkah masuk. Tetapi, bila Andi Kamarool angkat kaki kanan untuk melangkah masuk ke rumah batu yang besar itu. Bahunya segera saya paut dari belakang.

"Kenapa Tamar?"

"Tunggu sampai azan habis."

"Oh, ya."

Andi Kamarool patuh dengan cakap saya. Dia tunggu sampai azan tamat tetapi, bila dia mahu melangkah kembali, saya segera bertindak macam tadi.

Ternyata tindakan yang saya buat menimbulkan keraguan dalam diri Andi Kamarool.

Dia kerutkan dahi sambil menatap wajah saya tanpa berkedip. Malah, Mia yang sudah berada di hadapan pintu rumah turut merasa aneh dengan tindak-tanduk yang saya lakukan itu.

"Kenapa Tamar? Kamu ni ganjil sungguh."

"Kita sembahyang di rumah papan."

Dialog antara saya dengan Andi Kamarool dapat didengar oleh Mia. Dia segera keluar dari rumah. Wajah saya dan Andi direnungnya berkali-kali.

"Jadi, kamu berdua tak mahu tidur di anjung rumah saya?"

"Ehhhhhh..." saya tidak meneruskan kata-kata.

"Kamu berdua takut?" susul Mia lagi.

"Tidak Mia, tapi Tamar."

Mia jegilkan biji matanya ke arah saya. Mukanya mula merah.

"Bukan takut, saya cuma ragu Mia," saya menyambung kembali percakapan yang terputus.

Alasan yang saya luahkan, kurang disenangi. Mia menarik dan melepaskan nafas lemah. Dia tersenyum, cuba menyembunyikan rasa hampa dari pengetahuan saya dan Andi Kamarool.

Ternyata usahanya itu tidak berhasil. Resah hatinya dapat disorot dari air mukanya.

"Sekarang cakap, apa yang kamu ragukan Tamar?" Mia minta kepastian.

"Entah, aku sendiri pun tak tahu Mia. Cara tiba-tiba saja, hati tak sedap, macam ada yang tak kena."

"Sepatutnya tidak begitu," kata Mia sambil merenung wajah saya dan Andi Kamarool, silih berganti.

"Semuanya sudah aku cakapkan, semuanya sudah aku tunjukkan, aku tak mahu berselindung.

"Aku tak mahu kamu berdua memikirkan perkara yang bukan-bukan pada aku. Walau apa pun, terpulanglah kepada kamu berdua," Mia mengakhiri kuliah pendeknya dengan sebuah keluhan.

TERPAKU

Saya dan Andi Kamarool terpaku sebentar. Tidak tahu bagaimana mahu menghargai kejujuran dan keikhlasannya. Saya dan Andi Kamarool sudah melukakan perasaannya.

"Sebenarnya begini Mia..." saya tidak dapat menyambung rangkaian kata selanjutnya.

Dan Mia mula melahirkan protesnya secara terang-terangan.

Dia melangkah dua tiga tapak ke depan (keluar dari pintu rumah) dan berhenti.

Dia besar, bila dia memusingkan badannya secepat kilat, bertentang wajah, bertentang mata dengan kami. Saya berdebar.

Sinar matanya cukup tajam dan garang, macam mata anak harimau jantan yang lepas.

"Sama ada kamu berdua nak tidur atau tidak, itu adalah hak kamu berdua. Cuma yang peliknya, tadi kamu berdua bersungguh-sungguh nak tidur di anjung rumah."

"Iya, kami faham," celah Andi Kamarool.

"Kamu berdua selalu berkata macam tu, sedangkan yang sebenarnya kamu berdua memang tidak faham," nada suara Mia agak keras.

"Begini Mia," Andi Kamarool terus bersuara.

"Begini apa lagi Andi. Aku dah bagitahu pada kamu berdua. Aku tak ada apa-apa. Apa yang terjadi dan apa yang kamu lihat semuanya terjadi di luar kemahuan aku. Ada masanya, aku sendiri tak tahu apa yang berlaku," Mia tidak putus asa, terus menerangkan kedudukan dirinya yang sebenar.

Kerana tidak mahu perkara itu berlanjutan. Saya segera menarik tangan Andi Kamarool mengajak pulang ke rumah papan.

"Sabar Tamar."

"Sabar apa lagi, Andi?"

"Tamar!!!"

Nada suara Andi Kamarool mula meninggi. Sepasang matanya menelanjangi seluruh wajah saya.

Kerana tidak rela konfrantasi jadi panjang, saya terus membisu dan bersedia mengikut rentaknya.

"Mia, kami berdua tak pernah memikirkan hal-hal yang buruk tentang diri kamu. Penjelasan kamu cukup jelas Mia.

"Kami faham apa yang terjadi bukan kemahuan kamu. Ada tenaga dari luar yang membuat kamu jadi begitu, kami simpati dengan nasib kamu Mia," penuh diplomasi Andi Kamarool bersuara.

"Aku harap penjelasan tu datang dari hati yang jujur. Aku juga berharap tak akan keluar dari mulut kamu cerita yang bukan-bukan tentang aku."

"Maksudnya?" pintas Andi Kamarool.

"Cerita yang mengatakan aku ni membela hantu jembalang, berkawan dengan orang halus dan ada pendinding diri dan macam-macam lagi."

"Kami berjanji tak akan membuat perkara yang mendatangkan aib pada seseorang," kata saya.

"Di harapkan janji yang dibuat tetap dipegang," Mia tersenyum senang.

Di saat dia mahu melangkah menuju ke ruang tamu rumah besar, Andi Kamarool terbatuk kecil (yang sengaja dibuat-buat).

"Kenapa Andi?"

"Malam ni kami tak dapal tunaikan janji. Malam esok Insya Allah, janji tu kami tunaikan."

"Saya tak kisah," kata Mia bersama ketawa kecil penuh manja.

Mia pun melangkah menuju ke arah pintu yang terdedah. Lagi sekali saya tersintak. Lampu diruang tamu menyala sendiri.

Sebaik saja Mia melepasi ambang pintu, secara mendadak daun pintu terkatup sendiri. Lagi sekali, saya dan Andi Kamarool berpandangan dengan seribu persoalan bersarang dalam dada.

Memanglah, kehidupan Mia dilingkari dengan misteri yang boleh memeningkan kepala.

SERIUS

Tanpa mahu memikirkan tentang diri Mia dengan serius, kami terus pulang ke rumah papan. Kepulangan kami disambut dingin oleh Haji Basilam dan Datuk.

Mereka baru sahaja selesai sembahyang maghrib. Tanpa mempedulikan kehadiran kami, mereka terus berwirid.

Saya dan Andi Kamarool bergegas ke bilik mandi. Bersihkan tubuh dan ambil air sembahyang.

Di saat kami mahu memulakan solat maghrib, datuk sengaja pura-pura batuk. Saya faham, itu tandanya datuk kurang senang dengan saya (mungkin juga dengan Andi Kamarool) kerana melambat-lambatkan waktu sembahyang.

Berpacu dengan waktu yang terhad, kami sempat juga menyelesaikan sembahyang yang dituruti dengan doa dan wirid pendek hingga selesai.

"Kenapa tak tidur di rumah Mia?"

Haji Basilam terus mendekati kami, meninggalkan datuk yang mula membaca Quran sementara menanti waklu Isyak tiba.

Tiada jawapan untuk pertanyaan tersebut. Saya berharap, pertanyaan itu akan mati begitu saja.

"Kamu berdua kena halau?" Haji Basilam memancing jawapan.

Kami berdua menggelengkan kepala.

"Kamu berdua takut?"

Saya menarik nafas dalam-dalam dan Andi terus mengerutkan keningnya.

"Agaknya kamu berdua ni takut," nada suara Haji mula meninggi dan renungannya cukup sinis.

"Tidak, kami tak takut," sahut Andi Kamarool.

"Kalau tak takut, kenapa kamu berdua balik?"

"Kami cemas Tuk Aji," itu alasan yang diluahkan oleh Andi Kamarool.

Memang tidak dijangka sama sekali, alasan yang diluahkan oleh Andi Kamarool membuat Haji Basilam termenung sejenak. Mungkin dia berfikir sesuatu.

Saya kira, tidak akan ada soalan susulan dari Haji Basilam tetapi, bila melihat dia menggelengkan kepala bersama senyum, saya segera membuat tanggapan yang perkara ilu tidak akan berakhir begitu saja.

"Kamu berdua nak batalkan rancangan yang sedia ada?"

"Kami tak niat macam tu Tuk Aji. Rancangan tu tetap kami teruskan Tuk Aji," kata saya. "Caranya?"

Sukar untuk saya menjawab pertanyaan Haji Basilam itu. Biarlah Andi Kamarool menyelesaikannya, fikir saya dalam hati.

Bahu Andi Kamarool segera saya lepuk. Dia senyum panjang tanda dapat menangkap maksud dari tindak tanduk saya itu.

Macam selalu, sebelum memberikan pendapat, dia terlebih dahulu mengerutkan kening dan dahinya. ltulah perangai Andi Kamarool yang tidak saya senangi. Sungguh membosankan.

Kalaulah tidak kerana suara datuk yang serak-serak basah itu membaca Quran, suasana sekitar terasa agak sepi sekali.

Padahal, malam masih muda benar (saya kira belum sampai jam sembilan).

Sekali-sekala di tengah-tengah suasana kesepian yang memanjang itu terdengar suara burung jampok yang diselang seli dengan salakan anjing.

Cengkerik bagaikan enggan menyanyi, begitu juga dengan katak. Tanpa suara anjing dan burung jampok yang muncul sekali-sekala, suasana terasa amal menjemukan.

Kerana tiada jawapan segera dari kami, Haji Basilam segera mengulangi pertanyaan. Dia mahu jawapan segera.

Dia mahu memastikan sama ada kami serius atau sekadar mahu melepaskan batuk ditangga.

"Bagaimana caranya, cakap sekarang."

"Kami bermalam, dua tiga malam lagi di sini," saya menjawab.

"Kamu tahu, aku dengan datuk kamu sudah buat keputusan nak berangkat ke Sungai Penuh, lepas sembahyang subuh pagi ni.

"Itulah sebabnya, aku suruh kamu berdua bermalam di rumah Mia malam ni."

"Ehhhh..." Andi Kamarool seperti mengeluh.

Dan suaranya mati di situ. Buat seketika, kami terus membatu dalam renungan sinis Haji Basilam.

"Begini, Tuk Aji dan datuk Tamar boleh teruskan perjalanan. Biar kami tinggal di sini. Kami nak jalankan apa yang sudah kami rancang," itu keputusan yang Andi Kamarool luahkan di depan Haji Basilam.

Saya lihat Haji Basilam tersentak. Air mukanya berubah sebentar.

"Berani?" sergahnya.

"Berani," jawab kami serentak.

"Tak memerlukan pertolongan?"

"Tak perlu. Kami sudah tahu, banyak perkara ganjil yang sudah kami tengok dan alami. Mia yang buka rahsia."

"Bila?" Haji Basilam jegilkan sepasang biji matanya.

"Petang tadi," kata saya.

"Iya Tuk Aji, dari petang sampai maghrib, pasal tu kami lambat sembahyang maghrib," Andi Kamarool menambah.

Haji Basilam gosok pangkal hidungnya berkali-kali. Tiada pertanyaan yang diajukan untuk kami.

Agaknya, Haji Basilam sedang menghitung apakah pengakuan kami itu benar atau sebaliknya.

KETUK

Secara mendadak, pintu rumah diketuk bertalu-talu dari luar. Siapakah tetamu yang tidak diundang itu?

Haji Basilam renung saya dan saya pula renung Andi Kamarool. Begitulah silih berganti, tidak ada siapa pun yang rela bangun untuk membuka pintu. Ketukan bertambah kuat dan bertalu-talu.

Datuk buat tidak kisah dengan apa yang berlaku. Dia terus membaca Quran. Haji Basilam mula resah sendiri.

Matanya tetumbuk ke arah daun pintu yang kelihatan bergerak-gerak seperti ditolak oleh tenaga yang luar biasa dari luar.

Saya kira yang menolaknya itu bukanlah manusia, mungkin binatang buas dan pada saat itu saya mula teringatkan harimau di bawah pokok buluh.

Kalau tadi, daun pintu itu diketuk, kini ditampar berkali-kali. Tidak ubah seperti harimau menampar tanah kerana kelaparan.

"Tamar, pergi buka pintu tu," suruh Haji Basilam.

Saya cuba bangun tetapi, punggung bagaikan terlekat di lantai rumah. Tiba-tiba saja saya menggigil, harimau terbayang di ruang mata.

"Apa lagi yang kamu tunggu, kata berani sangat. Pergilah buka pintu tu, Tamar," saya terus dicabar oleh Haji Basilam.

Antara rasa takut dan berani cabaran Haji Basilam terus disambut. Saya bangun dan melangkah ke pintu.

Bila selak dan kunci di angkat, daun pintu pun terkuak. Mia tercegat di depan mata menatang talam yang bertudung saji.

"Untuk makan malam," katanya sambil melangkah ke ruang tengah.

Hidangan yang ditatang diletakkan di situ. Haji Basilam senyum panjang, keresahan sudah Iari dari dirinya.

"Kenapa Mia goncang dan tampar pintu macam tu, buat ayah takut saja. Ayah ingat orang jahat tadi," begitu lembut Haji bersuara. Mia tercenggang.

"Saya tak goncang, saya tak tampar pintu rumah, saya ketuk saja. Saya panggil ayah berkali-kali, tak berjawab."

Jawapan yang diungkapkan oleh Mia membuat saya dan Andi Kamarool menarik nafas panjang.

Haji Basilam hanya mengangguk saja, tidak mahu melanjutkan pertanyaan.

Datuk yang sudah berhenti membaca Quran segera merenung ke arah kami tanpa memberi sebarang komentar.

"Saya ambil lagi satu hidangan."

"Tak payah Mia, ini dah cukup, buat apa susah-susah kerana kami," Andi Kamarool renung muka Mia yang tersenyum.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 171/284

BACA: SBDJ Siri 170: Di Bilik Misteri
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Friday, October 30, 2020

Kisah Dialog Dr Burhanuddin Dengan Seorang Ateis

Kisah Dialog Dr Burhanuddin Dengan Seorang Ateis

Dr Burhanuddin Al Helmy merupakan satu sosok yang tidak perlu diperkenalkan lagi di dalam sejarah perjalanan politik negara. Selepas perang, beliau merupakan antara pengasas Parti Kebangsaan Melayu Malaya dan telah dilantik sebagai Timbalan Yang Di-Pertua manakala Yang Di-Pertuanya ialah Mokhtaruddin Lasso, seorang Melayu berfahaman ateis dan condong kepada komunisme.

Dr Burhanuddin


Satu hari, selepas menghadiri sebuah kongress PKMM, Burhanuddin dan Mokhtaruddin berehat di pejabat akhbar rasmi PKMM yang terletak di Brewster Road. Turut bersama mereka pada ketika itu ialah Ahmad Boestamam.

Mokhtaruddin tiba-tiba bertanyakan satu soalan kepada Burhanuddin mengenai ketuhanan.

"Apakah benar Tuhan itu ada, tuan Doktor?" soal Mokhtaruddin.

"Sudah tentu saja Tuhan ada," balas Dr. Burhanuddin pendek.

"Benarkah DIA berkuasa?" soal Mokhtaruddin lagi.

"Benar," jawab Dr. Burhanuddin.

"Kalau benar DIA berkuasa, suruhlah DIA membuat sepasang terompah kayu sekarang dan kalau DIA boleh membuatnya saya akan percaya Tuhan itu ada dan DIA berkuasa, tetapi tidak sebaliknya," kata Mokhtaruddin kepada Dr. Burhanuddin.

"Masakanlah patut Tuhan diminta membuat pekerjaan yang remeh seperti membuat terompah kayu itu," Dr Burhanuddin menjawab dengan tenang.

Tidak ada tanda marah dalam suaranya ketika memberikan jawapan itu kepada Mokhtaruddin Lasso, sambil menambah,

"Ini tidak bererti Tuhan tidak boleh membuat terompah kayu itu," Dr Burhanuddin meneruskan kata-katanya lagi.

"DIA boleh. Kalau alam ini dapat dicipta-Nya kenapa pula perkara mudah dan kecil seperti membuat terompah kayu itu tidak boleh?

"Kalau seseorang yang pakar dalam ilmu pasti misalnya boleh menjawab masalah-masalah yang tinggi dalam ilmu itu dengan mudahnya, mustahillah dua kali lima (2×5) dia tidak tahu. Itu logik bukan? Demikianlah ibaratnya Tuhan dengan membuat terompah kayu itu.

"Kalau ramai orang, banyak manusia yang menjadi makhluk Tuhan, sudah boleh membuat terompah kayu belaka, kenapakah harus diperlukan juga tenaga Tuhan untuk perkara yang remeh ini?

"Tidakkah itu sama saja seperti menyuruh seorang ayah mengesat hingus atau menghisap puting sedang bayi kecil pun sudah tahu belaka membuatnya?" balas Dr Burhanuddin panjang.

Mokhtaruddin terpegun dengan jawapan yang diberikan oleh Burhanuddin. Lalu beliau bertanya.

“Orang-orang Islam menyembah Tuhan yang mereka panggil Allah. Tetapi ada juga orang yang menyembah bulan, matahari dan banyak lagi.

"Mereka katakan benda-benda ini Tuhan mereka. Bagaimanakah ini sedangkan Tuhan itu dikatakan Esa, tidak dua dan tidak tiga?" soal Mokhtaruddin yang terus dibalas Dr. Burhanuddin.

"Ada orang memanggil kasut itu kasut tetapi ada pula yang memanggilnya sepatu.

"Tetapi bukankah 'kasut' dan 'sepatu' itu benda yang satu itu juga? Begitulah pula dengan Tuhan ini. Ada yang memanggilnya Allah, ada yang memanggilnya God, ada yang memanggilnya Tok Pekong, ada yang memanggilnya Sami, ada yang bertuhankan Bulan, Matahari dan entah apa lagi. Itu soal bahasa dan istilah seperti 'kasut' dan 'sepatu' tadi.

"Panggilannya saja yang banyak tetapi bendanya tetap yang satu itu juga. Ertinya Tuhan itu memang Esa,” Dr Burhanuddin mengambil nafas seketika, sebelum menambah.

"Dan kalau saudara masih meragukan adanya Tuhan, maka hujah saudara itu dapat saya kembalikan untuk menikam saudara pula."

"Bagaimana?" balas Mokhtaruddin pendek.

"Bukankah saudara mengatakan tadi ada orang yang mengatakan bulan itu Tuhan, matahari itu Tuhan.

"Allah itu Tuhan dan seterusnya – masing-masing ada Tuhan yang disembahnya," soal Dr Burhanuddin yang dibalas anggukan kepala dari Mokhtaruddin.

"Tidakkah itu menunjukkan setiap orang percayakan adanya Tuhan kerana tidak ada orang yang mengatakan tidak ada? Ya, Tuhan itu ada dan Esa," Dr Burhanuddin menghabiskan ayatnya dengan tersenyum lebar sambil memandang tepat Mokhtaruddin.

Mokhtaruddin mengangkat kedua-dua belah tangannya dan berkata, "Cukuplah setakat itu sahaja tuan Doktor dan kita kira seri – tak kalah tak menang."

"Saya ikut saja. Kalau cukup kata saudara, cukuplah. Kalau tak cukup ayuh lagi."

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Thursday, October 29, 2020

Sambutan Hari Strok Sedunia

Sambutan Hari Strok Sedunia

Sambutan Hari Strok Sedunia, diraikan pada 29 Oktober setiap tahun dengan tujuan menekankan kesan buruk kepada penghidap penyakit Strok, sekali gus dapat meningkatkan kesedaran dan pengetahuan orang ramai mengenai penyakit tersebut.

Hari Strok

Hari Strok Sedunia juga dapat memperingati tentang kecekalan dan perjuangan seseorang pesakit Strok, penjaga dan keluarganya.

Dianggarkan bahawa di seluruh dunia, satu juta serangan Strok setiap setahun dikaitkan dengan kekurangan aktiviti fizikal.

Dengan mendapatkan jumlah senaman yang disyorkan setiap minggu, anda akan mengurangkan risiko mengalami Strok.

Angin Ahmar

Strok atau Angin Ahmar, berlaku apabila aliran darah ke otak tersekat yang disebabkan oleh urat atau arteri tersumbat atau berlakunya pendarahan di dalam otak.

Tisu otak akan kekurangan oksigen, di mana ia berlaku secara tiba-tiba dan boleh menyebabkan tubuh menjadi lemah atau kekurangan kesedaran anggota badan atau muka, kurang keseimbangan dan kesukaran bertutur yang boleh menyebabkan maut.

Jenis-jenis Strok

Terdapat dua jenis Strok iaitu:
  • Strok Darah Beku Iskemia, yang mana saluran darah tersumbat dari bahagian dalam, menyebabkan pengurangan aliran darah secara mendadak.
  • Strok Pendarahan, iaitu saluran darah yang telah pecah dan menyebabkan kebocoran darah di dalam otak.
Punca Strok

Antara faktor risiko Strok ialah:
  • Tekanan darah tinggi.
  • Diabetes.
  • Kolesterol tinggi.
  • Obesiti.
  • Jenis-jenis perubatan tertentu.
  • Penyakit Jantung.
  • Kurang bersenam.
  • Stres.
  • Pengambilan minuman beralkohol berlebihan.
Simptom Strok

Antara tanda-tanda Strok iaitu:
  • Ada kesulitan melihat.
  • Perubahan penglihatan.
  • Wajah menjadi senget atau rasa kebas sebelah muka.
  • Tangan kebas atau lemah.
  • Amat sukar bercakap.
Kita seharusnya terus berusaha dalam mencegah, merawat dan mengawal penyakit ini bagi mengurangkan beban pesakit kerana penyakit Strok dapat dicegah dengan mengamalkan gaya hidup sihat.

Pada masa ini, penyakit Strok adalah antara punca kematian tertinggi dan penyebab utama kekurangan upaya di seluruh dunia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: PB