Friday, November 01, 2019

Orang Yang Suka Bersedekah Paling Dicintai Allah SWT

Orang Yang Suka Bersedekah Paling Dicintai Allah SWT

Nabi Musa adalah nabi yang nama dan kisahnya paling banyak disebut dalam Al Qur’an. Nama nabi Musa tercantum dalam Al-Qur’an lebih dari 125 kali. Sementara Nabi Isa disebut sebanyak 25 kali, sedangkan nama Nabi Muhammad SAW hanya disebut 4 kali.

Bersedekah disukai Allah

Nabi Musa as merupakan salah satu dari lima nabi yang memiliki sifat Ulil ‘Azmi (golongan nabi pilihan yang mempunyai ketabahan luar biasa dalam menyebarkan ajaran tauhid), yang menurut urutannya menduduki martabat ketiga (Nuh, Ibrahim, Musa, Isa, Muhammad).

Nabi Musa adalah nabi yang membawakan kitab suci Taurat, adalah nabi yang mendapat gelar “Kalimullah”, ertinya nabi yang mendapat wahyu secara langsung dari Allah (tanpa melalui perantaraan malaikat Jibril), sedangkan rasul-rasul lain mendapat wahyu melalui perantaraan Jibril.

Kisah-kisah nabi Musa sering diceritakan oleh para ulama dan dalam kitab Mukasyafatul Qulub karya Imam Al Ghazali, diceritakan dialog antara Nabi Musa As dengan Allah SWT.
Musa: "Wahai Allah aku sudah melaksanakan ibadah. Manakah diantara ibadahku yang membuat Engkau senang. Apakah solatku?

Allah: "Solat mu itu untuk dirimu sendiri. Kerana solat membuat engkau terpelihara dari perbuatan keji dan munkar.”

Musa: “Apakah zikirku?”

Allah: "Zikir itu untukmu sendiri. Kerana zikir membuat hatimu menjadi tenang.”

Musa: “Puasaku?”

Allah: “Puasa itu untukmu sendiri. Kerana puasa melatih diri memerangi hawa nafsumu."

Musa: ”Lalu ibadah apa yang membuat Engkau senang ya Allah?"

Allah: ”Sedekah. Tatkala engkau membahagiakan orang yang sedang kesusahan dengan sedekah, sesungguhnya Aku berada disampingnya."
Dari dialog tersebut, kita fahami bahawa ternyata solat, puasa dan zikir masih belum membuat Allah senang, meskipun ibadah tersebut sangat tinggi nilai pahalanya. Kenapa demikian?

Kerana ibadah tersebut hanya dampak baik terhadap peribadi pelakunya, tetapi tidak mengandung manfaat bagi orang lain.

Sedangkan sedekah merupakan amal perbuatan yang bukan hanya berpahala bagi dirinya, tetapi juga membuatkan orang lain bahagia dan gembira.

Amal perbuatan yang membahagiakan orang lain, terutama yang sedang mengalami kesusahan, adalah perbuatan yang sangat disukai oleh Allah Ta’ala.

Perbuatan seperti inilah yang membuatkan Allah menjadi senang kepada hambaNya.

Abdul Aziz bin Umair Ra berkata, “Solat hanya menghantarmu sampai setengah perjalanan syurga. Puasa menghantarmu hingga ke depan pintu syurga. Dan sedekah memasukkanmu ke dalamnya (syurga)”

Menurut Abdul Aziz, bahawa seseorang yang hanya tekun solat dan puasa tetapi tidak bersedekah, maka dia belum memenuhi syarat untuk masuk syurga.

Orang seperti ini hanya layak sampai di pintu syurga sahaja. Dan sedekah merupakan ibadah penyempurna untuk memasukkannya ke dalam syurga.

Oleh kerananya, para ulama memberi peringatan; Bila seseorang hanya sibuk dengan ibadah ritual saja (solat, zikir, puasa, haji, dsb), maka jangan dulu merasa puas dan bangga.

Kerana itu tandanya ia hanya mencintai dirinya sendiri dan belum sepenuhnya mencintai Allah.

Padahal dalam Al-Qur’an, Allah berulang kali memerintahkan hambaNya untuk bersedekah dan bila seseorang mengabaikan perintah Allah untuk bersedekah maka itu bererti dia tidak mencintai Allah.

Kesolehan individual dan kesolehan sosial

Bentuk kesolehan ada dua macam, iaitu kesolehan individual (untuk diri sendiri) dan kesolehan sosial (untuk orang lain).

Orang yang rajin melakukan ibadah ritual seperti solat, puasa, zikir dan haji maka ia disebut orang soleh secara individual.

Kerana kesolehannya hanya untuk dirinya sendiri. Perbuatannya disebut sebagai “kesolehan individual”.

Sedangkan orang yang rajin berbuat baik kepada sesama manusia seperti sedekah, ramah, peduli, empati dan perbuatan lain yang memberi manfaat bagi orang lain maka ia disebut sebagai orang yang soleh secara sosial, perbuatannya disebut sebagai “kesolehan sosial”.

Orang mukmin harus mempunyai 2 kesolehan sekali gus, iaitu kesolehan individual dan kesolehan sosial. Dalam khasanah Al-Qur’an, “Hablim minallah” dan “hablim minan naas” harus berjalan beriringan.

Allah berfirman, “Dhuribat ‘alaihi mudh dhillatu ainamaa - tsuqifuu illaa bi hablim minallahi wa hablim minan naas.” (QS. Ali Imran 112).

Ertinya, “Ditimpakan atas mereka ‘kehinaan’ dimana saja mereka berada, kecuali kalau mereka berhubungan baik dengan Allah (hablim minallah) dan berhubungan baik dengan sesama manusia (hablim minan naas).”

Tidak dibenarkan seseorang hanya “hablim minallah” saja atau “hablil minan naas” saja.

“Hablim minallah" dan “hablim minan naas” harus seimbang, harus berjalan beriringan. Allah SWT secara tegas memerintahkan kita agar masuk Islam secara kaffah (menyeluruh).

“Udkhulu fis-silmi kaffah.” (QS. Al Baqarah: 208 ), ertinya “Masuklah ke dalam Islam secara kaffah (menyeluruh)."

Sedekah merupakan implementasi dari kesolehan sosial yang menurut Rasulullah SAW, orang yang mempunyai kesolehan sosial adalah orang yang paling baik.

Rasulullah bersabda, ”Khairunnas anfa’uhum linnas” , ertinya ”Manusia yang paling baik (dicintai Allah Ta’ala), ialah manusia yang paling bermanfaat bagi manusia yang lain." (HR. Ibnu Hajar Al-Asqalani)

Keistimewaan Orang Yang Suka Bersedekah

Terkait dengan sedekah, ada sebuah kisah. Pada suatu peperangan yang dimenangi oleh kaum Muslimin, banyak orang Yahudi yang diancam hukuman mati.

Ketika tiba pada satu tawanan yang mahu dihukum, tiba-tiba malaikat jibril datang memberitahu kepada Rasulullah SAW, supaya orang Yahudi itu dibebaskan. Diberitahukan bahawa orang Yahudi ini suka bersedekah, suka menolong fakir miskin, suka menjamu tetamu dan suka memikul beban orang lain.

Ketika Rasulullah datang memberitahu kepada orang Yahudi itu bahawa dia dibebaskan, yahudi tersebut terkejut dan bertanya, “Mengapa?”

Nabi menjawab, “Allah baru saja memberitahukan padaku bahawa engkau adalah orang yang suka bersedekah, suka menolong fakir miskin, suka menjamu tamu dan suka memikul beban orang lain.”

Kemudian orang Yahudi itu berkata, “Apakah Tuhanmu menyukai perilaku seperti ini?” Nabi menjawab, ”Betul, Tuhanku menyukai hambanya yang suka bersedekah.”

Saat itu juga orang Yahudi tersebut memeluk Islam. Dia masuk Islam kerana Allah menyukai orang yang dermawan, yang gemar bersedekah.

Keistimewaan bagi orang yang suka bersedekah (dermawan) adalah mereka lebih dekat dan lebih dicintai Allah Ta’ala.

Rasulullah bersabda, “Orang bodoh yang dermawan lebih dicintai Allah berbanding ahli ibadah yang bakhil. ” (HR. Al-Tirmidzi dari Abu Hurairah)

Lebih lanjut Rasulullah juga bersabda, “Orang yang dermawan dekat dengan Allah, dekat dengan manusia dan dekat dengan syurga. Sedangkan orang yang bakhil itu jauh dari Allah, jauh dari manusia, jauh dari syurga dan dekat dengan neraka.” (HR. Al-Tirmidzi dari Abu Hurairah)

Pendusta Agama

Terkait dengan “hablim minan naas" atau kepedulian sosial, bahawa Allah Ta’ala memberi stigma kepada orang yang tidak mempunyai kepedulian sosial dengan sebutan “Pendusta agama”.

Allah berfirman dalam Surah Al-Ma’un, tentang Pendusta Agama yang ertinya: (1) Tahukah kamu (orang) yang mendustakan agama? (2) Itulah orang yang mengherdik anak yatim (3) Dan tidak menganjurkan memberi makan orang miskin (4) Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat (5) (iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya (6) Orang-orang yang berbuat riya (7) Dan enggan (memberikan) bantuan.

Sesuai terjemahan, secara ringkasnya bahawa, pendusta agama adalah orang yang tidak peduli terhadap nasib anak-anak yatim dan fakir miskin (dhuafa).

Ramai orang menyangka bahawa mereka yang tidak peduli terhadap anak yatim dan fakir miskin bererti mereka yang “tidak berbuat kebajikan”, padahal sesungguhnya pendusta agama mempunyai kesan yang sangat besar terhadap amalan ibadah mahdhah yang telah dilakukan.

Menurut para mufassir, termasuk Prof. Dr. Hamka, hakikat “pendusta agama" adalah orang-orang yang “mendustai tiang agama."

Kita tahu bahawa tiang agama ada 5 iaitu: syahadat, solat, zakat, puasa dan haji.

Jadi, bagi orang-orang yang tidak peduli terhadap nasib anak-anak yatim dan orang-orang miskin, maka mereka adalah pendusta agama, bererti mereka telah mendustai syahadatnya, mendustai solatnya, mendustai puasanya, mendustai zakatnya dan mendustai hajinya.

Amalan yang paling disukai Allah

Ada seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah, “Wahai Rasulullah, siapa orang yang paling dicintai oleh Allah? Dan amalan apa yang paling dicintai Allah?

Maka Rasulullah bersabda, “Orang yang paling dicintai oleh Allah Ta’ala adalah yang paling bermanfaat untuk manusia lainnya. Dan amalan yang paling dicintai oleh Allah Azza wa Jalla adalah memasukan kegembiraan ke dalam hati seorang mukmin atau menghilangkan kesusahannya atau membayarkan hutangnya atau menghilangkan kelaparannya. Dan aku berjalan bersama saudaraku untuk memenuhi keperluannya itu lebih aku cintai daripada beri’tikaf di masjid Nabawi selama sebulan lamanya.” (HR. Ath Thabrani 6/139, dishahihkan Al Albani dalam Silsilah Ash Shahihah 2/575).

Menghayati hadis Nabi tersebut, maka ada 3 intisari, iaitu:

1. Orang yang paling dicintai oleh Allah Ta’ala BUKANLAH orang yang rajin beribadah ritual (solat, zikir, puasa, haji, dsb), tetapi adalah orang yang banyak terlibat dalam ibadah sosial, bermanfaat bagi masyarakat.

2. Amalan yang paling dicintai Allah adalah menolong saudara muslim yang mengalami kesulitan hidup.

3. Melakukan pekerjaan untuk memenuhi keperluan orang muslim, lebih baik daripada iktikaf di masjid Nabawi selama sebulan.

Sedekah ciri orang bertaqwa

Sedekah merupakan suatu perbuatan yang menjadi salah satu ciri bagi orang bertaqwa.

Allah berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 2-3 yang ertinya, ”(Al Qur’an) merupakan petunjuk bagi mereka yang bertaqwa, iaitu mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka.”

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: blogkalimana

Wednesday, October 30, 2019

5 Negara Termiskin Di Dunia

5 Negara Termiskin Di Dunia

KDNK per kapita sering dianggap penanda taraf hidup sesebuah negara kerana ia mencerminkan kekayaan purata setiap penduduk yang tinggal di negara tersebut dan merupakan kaedah standard yang digunakan untuk membandingkan betapa miskin atau kaya sesebuah negara.

Negara Termiskin

Di Malaysia, KDNK per kapita pada tahun 2017 adalah sebanyak RM38,977.

Kali ini kami ingin berkongsi maklumat tentang 5 negara paling miskin di dunia berdasarkan KDNK per kapita.

1. Republik Demokratik Kongo

Walaupun republik ini kaya dengan sumber alam semula jadi minyak dan pertanian, malangnya KDNK per kapita 2018 yang diunjurkan hanyalah pada kadar RM1,858 per kapita, menjadikannya negara termiskin di dunia disebabkan sistem politik yang tidak stabil.

Terdapat rusuhan politik yang sangat teruk sejak kebelakangan ini kerana Presiden Joseph Kabila yang mengambil alih kuasa selepas pembunuhan bapanya pada tahun 2001 semakin menjadi-jadi.

Majoriti populasi republik ini kekal hidup di bawah garis kemiskinan dan menganggur.

2. Republik Afrika Tengah

Ekonomi Republik Afrika Tengah sangat bergantung kepada industri berlian yang dieksport, merangkumi antara 40 hingga 55% daripada pendapatan eksport negara.

Malangnya, dianggarkan separuh daripada berlian-berlian ini dijual di pasaran gelap yang telah menafikan hasil cukai kerajaan dan telah membantutkan usaha ahli perniagaan yang rajin dan berusaha melakukan perkara dengan cara yang betul.

Selain itu, perbalahan merebut sumber dan juga kawalan membawa kepada kemiskinan dan penderitaan yang luar biasa di negara ini.

Hasilnya, republik ini menjadi negara kedua paling miskin di dunia dengan KDNK hanya sebanyak RM2,605 per kapita.

3. Burundi

Terletak di rantau Great Lakes di Afrika, Burundi mempunyai sejarah perselisihan etnik dan rampasan kuasa tentera yang secara konsistennya menggelincirkan prospek jangka panjang dalam pembangunan negara.

Menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), lebih daripada 80% populasi negara ini hidup di bawah garis kemiskinan.

Pergolakan politik sekali lagi menggegarkan negara ini sepanjang tahun 2015, walaupun terdapat peningkatan yang dibuat dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

KDNK per kapita Burundi adalah sebanyak RM3,249, antara yang paling rendah di dunia.

4. Liberia

PBB telah mengisytiharkan Liberia adalah negara defisit makanan, terletak di bahagian selatan Afrika, negara ini telah terkesan dengan teruknya oleh perang saudara yang berlangsung selama 14 tahun dan telah memecah-belahkan negara ini.

Selain itu, ekonomi negara ini hancur disebabkan wabak Ebola namun, sebelum ini ekonomi Liberia bergantung kuat terhadap bantuan asing.

Dan walaupun Liberia bergantung kepada industri pertanian, namun harga beberapa produk telah menurun membuatkan sukar untuk mendapat keuntungan.

Sebanyak 70% penduduk negara ini hidup di bawah garis kemiskinan dan KDNK per kapita adalah sebanyak RM3,503.

5. Niger

Niger adalah negara paling besar di Afrika barat yang bersempadan dengan Nigeria, dan sebahagian besar daripada kawasannya merangkumi Gurun Sahara.

Ini membuatkan aktiviti-aktiviti ekonomi yang boleh dilakukan penduduknya menjadi sangat terhad.

Negara ini terkurung antara daratan dan miskin dari segi sumber alam, walaupun begitu, negara ini mempunyai rizab minyak namun disebabkan rasuah dan konflik dalaman, membawa kepada masalah ekonomi yang sangat teruk.

20% daripada negara ini tidak diliputi oleh padang pasir namun tetap mengalami kemarau berkala, perubahan iklim yang menguatkan lagi kesan ancaman gabungan daripada desertifikasi tanah pertanian dan bekalan air minuman.

Jumlah KDNK per kapita bagi Niger adalah sebanyak RM4,420.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Memahami 4 Keperluan Asas Tumbuhan Jika Anda Minat Berkebun

Memahami 4 Keperluan Asas Tumbuhan Jika Anda Minat Berkebun

Walaupun terdapat cabaran dalam berkebun tetapi menanam dan menjaga tanaman adalah tidak sukar kerana seperti kita, tanaman memerlukan beberapa keperluan asas untuk hidup dan dengan memastikan ianya mencukupi, tanaman anda akan tumbuh dengan baik da sihat.

Keperluan Asas Tumbuhan

Keperluan asas tanaman terbahagi kepada 4 iaitu air, cahaya, nutrien dan udara.

Air

Air merupakan keperluan asas utama bukan sahaja untuk tanaman malah untuk semua kehidupan.

Kepentingan air untuk tanaman juga dapat dilihat daripada peratus berat air yang terkandung di dalam tanaman iaitu 80%-90% daripada berat tumbuh-tumbuhan adalah air.

Air memainkan pelbagai peranan penting untuk tanaman dan antaranya adalah sebagai medium pengangkutan nutrien serta diperlukan juga di dalam proses fotosintesis.

Kesan kekurangan air adalah jelas terhadap tanaman iaitu tanaman menjadi layu dan tanaman juga boleh mati hanya selepas beberapa hari tanpa air.

Pastikan tanaman anda mendapat air yang mencukupi dengan menyiram sekurang-kurangnya pada setiap pagi dan petang.

Walaubagaimanapun, air yang berlebihan juga boleh memberikan kesan negatif terhadap tanaman.

Cahaya

Fotosintesis adalah perkataan utama yang dikaitkan dengan keperluan cahaya kapada tanaman.

Melalui proses fotosintesis, tumbuh-tumbuhan menghasilkan makanan daripada tenaga cahaya.

Melalui proses ini juga tumbuh-tumbuhan menarik karbon dioksida daripada udara dan menghasilkan oksigen untuk hidupan-hidupan lain.

Kebanyakan tanaman memerlukan cahaya yang cerah, sekurang-kurangya 4 jam cahaya terus (direct sunlight) setiap hari bagi mendapatkan pertumbuhan yang baik kerana perbezaan keamatan cahaya di antara tempat yang redup dengan tempat yang terbuka adalah amat ketara.

Cahaya yang tidak mencukupi boleh menyebabkan daun menjadi kurang hijau dan tanaman tumbuh kurus dan panjang.

Kesan kekurangan cahaya boleh dilihat dengan jelas pada waktu percambahan biji benih di mana cahaya yang tidak mencukupi menyebabkan anak benih menjadi kurus dan panjang.

Udara

Udara adalah antara keperluan asas tanaman yang tidak perlu disediakan kerana sudah tersedia kepada semua hidupan di bumi.

Di dalam udara terdapat dua komponen utama yang diperlukan oleh tanaman iaitu karbon dioksida dan oksigen.

Seperti disebut di atas, karbon dioksida diperlukan untuk menghasilkan makanan, dan oksigen pula diperlukan oleh tanaman sewaktu proses respirasi iaitu proses menukar makanan kepada tenaga.

Walaupun udara tidak perlu disediakan tetapi terdapat beberapa perkara yang berkaitan seperti pengudaraan tanaman yang perlu dipastikan mencukupi.

Pengudaraan yang baik bermaksud pengaliran udara yang baik.

Pengudaraan yang tidak baik boleh menyebabkan pertumbuhan kulat kepada tanaman.

Selain daripada itu, akar juga memerlukan pengudaraan yang baik . Pastikan tanaman anda mendapat pengudaraan yang baik dengan meletakkannya di

tempat yang mempunyai aliran udara serta gunakan media tanaman yang poros untuk memastikan pengudaraan yang baik untuk akar.

Nutrien

Keperluan asas tanaman yang keempat pula adalah nutrien. Tanaman menerima nutrien secara utama melalui akar dan mendapatnya sama ada daripada nutrien yang tersedia di dalam tanah atau yang ditambah ke dalam tanah melalui pembajaan.

Terdapat sekurang-kurangnya 13 jenis nutrien yang diperlukan oleh tanaman, yang utamanya adalah nitrogen, fosforus, dan kalium.

Setiap nutrien ini mempunyai pelbagai fungsi untuk tanaman tetapi kebiasaannya hanya baja yang mengandungi nitrogen, fosforus, dan kalium yang perlu diberikan kepada tanaman disebabkan kebanyakan nutrien-nutrie lain diperlukan dengan sedikit dan tersedia di dalam tanah.

Baja kebiasaanya mempunyai rating NPK iaitu peratus berat nitrogen, fosforus dan kalium di dalamnya.

Secara mudahnya, gunakan baja 'N' tinggi untuk menggalakkan pertumbuhan, baja 'P' tinggi untuk pertumbuhan akar, dan baja 'K' tinggi untuk pengeluaran bunga dan buah.

Bagi memudahkan pembajaan, gunakan baja yang mempunyai nilai NPK yang sama rata seperti 8-8-8 atau 16-16-16 bagi memastikan tanaman mendapat nutrien utama dengan mencukupi.

Pembajaan kebiasaannya dibuat setiap 2 minggu dan kadar pembajaan adalah bergantung kepada jenis dan saiz tanaman.

Kami berharap artikel ini adalah bermanfaat dan boleh membantu di dalam aktiviti berkebun anda.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: kebuna

7 Idea Hadiah Paling Sesuai Untuk Lelaki

7 Idea Hadiah Paling Sesuai Untuk Lelaki

Bukan lelaki sahaja yang pening kepala memikirkan apa yang sesuai untuk menggembirakan teman istimewa masing-masing namun, gadis juga sering buntu untuk mencari hadiah ulang tahun kelahiran buat si pujaan hati.

Idea Hadiah Untuk Lelaki

Bukannya apa, lelaki memang jarang menghebahkan tentang barangan yang digemarinya, tetapi lebih suka untuk mendapatkannya sendiri!

Jangan risau, berikut adalah hadiah yang boleh dijadikan idea untuk diberikan sebagai kejutan kepada lelaki.

1. Topi

Topi merupakan salah satu aksesori yang paling berguna untuk si jejaka kerana bukan sahaja ia boleh dipakai ke acara-acara kasual, malahan ia menjadi pelengkap gaya ranggi teman lelaki anda!

Tidak perlu yang berjenama atau bercorak meriah, beli sahaja topi berwarna kosong buat kekasih hati yang gemar berpenampilan ringkas.

2. Sneakers

Jika ada duit lebih, apa salahnya jika belikan kasut sukan yang trendy untuk dihadiahkan sempena hari jadi teman lelaki anda.

Pasti senyuman si dia lebar berhari-hari jika dapat kasut idaman daripada kekasih hati.

3. Fon telinga

Hadiah yang ini pasti semua lelaki suka! Lebih-lebih lagi kalau dapat fon telinga tanpa wayar sebagai hadiah.

Barulah bergaya kalau dipakai ketika bersenam, berjoging atau ulang-alik ke menaiki pengangkutan awam untuk ke tempat kerja.

4. Kemeja kasual atau hoodie

Hadiah yang paling selamat sudah tentunya kemeja kasual atau hoodie kerana boleh dipakai berulang kali dan membuatkan si dia sentiasa terkenang kepada si pemberi.

Tidak perlu yang mahal, tapi yang penting anda belikan baju warna kegemarannya.

5. Permainan video

Jika teman lelaki anda seorang peminat tegar permainan video, anda tidak perlu pening-pening fikir hadiah apa yang perlu diberikan kepadanya.

Cari sahaja alat permainan video atau cakera padat permainan terbaharu untuk ditambah kepada koleksinya.

6. Beg galas

Beg galas merupakan salah satu perkakasan pelbagai guna yang sudah pastinya membuatkan teman lelaki anda berterima kasih dengan pemberian ini.

Selain boleh dibawa ke tempat kerja setiap hari, anda seolah-olah tidak akan berjauhan lagi dengan kekasih hati kerana beg galas boleh menjadi penemannya sepanjang bercuti ke pelbagai destinasi di serata dunia.

7. Minyak wangi

Haruman yang mempunyai identiti sendiri amat sesuai diberikan sebagai hadiah hari jadi kepada teman lelaki anda.

Ini kerana, minyak wangi bukan sahaja membuatkan seseorang berbau harum tetapi menyerlahkan lagi penampilan dan keyakinan si jejaka.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar

RydePool: Aplikasi Perkongsian Kereta Yang Anda Patut Cuba

RydePool: Aplikasi Perkongsian Kereta Yang Anda Patut Cuba

Ryde carpool, adalah sebuah syarikat terbaharu perkongsian kereta dari Singapura yang diwujudkan khusus untuk mereka yang tidak mahu bersusah-payah memandu pergi dan balik daripada kerja setiap hari dan hanya perlu membayar tambang paling minima, berbeza dengan perkhidmatan e-hailing yang lain..

Aplikasi Perkongsian Kereta

Di Malaysia, sebagai permulaan, perkhidmatan perkongsian kereta RydePool akan ditawarkan di kawasan Lembah Klang terlebih dulu sebelum diperluaskan ke bandar utama lain seperti di Pulau Pinang, Johor dan Melaka.

Pemandu RydePool juga tidak perlu mengambil ujian Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) kerana mereka tidak tertakluk dengan peraturan yang dikenakan kepada pemandu seru-pandu (e-hailing).

Ini kerana perkhidmatan ditawarkan adalah berbeza termasuk operasi perniagaan yang dijalankan tidak berasaskan keuntungan.

Aplikasi itu dibangunkan Zou pada tahun 2015 dan langkah kemasukan ke Malaysia adalah sebahagian daripada rancangan pengembangan globalnya termasuk persediaan melebarkan sayap ke Sydney, Australia pada tahun 2020 dan seterusnya ke Hong Kong.

Sejak mula ditubuhkan, aplikasi Ryde telah dimuat turun lebih 500,000 kali dengan lebih 25,000 pemandu dan lebih sejuta penumpang menggunakan perkhidmatan berkenaan di Singapura.

Dalam pada itu, perkhidmatan ditawarkan pihaknya itu mampu mengatasi masalah kesesakan jalan raya terutama waktu puncak selain mengurangkan pelepasan karbon apabila jumlah kereta di atas jalan raya dapat dikurangkan.

Selain itu, ia juga boleh mengembangkan rangkaian pengguna dengan mengenali rakan baharu, yang mampu membina sebuah komuniti dan mewujudkan persekitaran kongsi kereta yang lebih kondusif untuk rakyat Malaysia.

Aplikasi ini juga diharap mampu mendidik masyarakat mengenai manfaat berkongsi kereta dan mewujudkan pilihan pengangkutan harian yang lebih mampan dan mesra alam sekitar.

Tambang RydePool adalah berasaskan model bukan keuntungan yang mana penumpang membayar kos sumbangan perjalanan selepas mengambil kira jarak perjalanan, petrol, tol dan kos susut nilai kereta.

Muat turun aplikasi:

Menariknya, aplikasi RydePool menawarkan komisen penuh tambang yang diperolehi kepada pemandu bagi membolehkan mereka menampung perbelanjaan pemanduan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: bharian

Tuesday, October 29, 2019

Senarai NGO Dan Pertubuhan Pro LTTE Di Malaysia

Senarai NGO Dan Pertubuhan Pro LTTE Di Malaysia

P. Ramasamy dianggap sengaja mengapi-apikan penganut agama Hindu dengan menyebut beratus-ratus dan beribu-ribu kuil Hindu telah dirobohkan di seluruh di Malaysia pada tahun-tahun 1980-an, 1990-an dan 2000-an sewaktu Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.

Pertubuhan Pro LTTE

Pendirian P Ramasamy berhubung perobohan kuil bersejarah di Seafield sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima penganut agama itu juga boleh dianggap sebagai cubaan untuk mengapikan kaum India di negara.

P Ramasamy juga turut mengapi-apikan penganut agama bukan Islam di negara ini dengan kenyataannya yang mendakwa ruang-ruang untuk penganut agama bukan Islam sedang semakin disekat.

Selain mengapi-apikan kaum India dan masyarakat bukan Islam, P Ramasamy dikatakan cuba menghasut pemimpin-pemimpin negara dalam beberapa isu seperti pengajaran khat di sekolah dan perkara yang melibatkan pendakwah Islam, Dr Zakir Naik.

Jika sebelum ini 2 orang ADUN ditahan dibawah SOSMA kerana menghadiri dan memberi ucapan pada hari Perwira (teroris) LTTE, di sini dapat dilihat P. Ramasamy juga begitu konsisten mempromosi ritual hari Perwira (teroris) LTTE atau dikenali sebagai Maaveerar Naal pada tahun 2010, 2011, 2013, 2014, 2015, dan 2016.

Kesemua tangkap layar ini diperolehi dari Page Prof Dr Ramasamy yang merupakan page rasmi beliau. Akan tetapi kesemua gambar ini telah DIPADAM oleh page tersebut.

P Ramasamy, juga dilapor menegaskan beliau tidak gentar sekiranya dia ditangkap oleh pihak polis susulan penangkapan mereka yang didakwa mempunyai hubungan dengan LTTE.

SENARAI NGO & PERTUBUHAN PRO LTTE

Di sini kami senaraikan sebahagian besar NGO dan Pertubuhan Tamil yang pro kepada LTTE.

1. Naam Tamilar Malaysia

Naam Tamilar Malaysia adalah sebuah NGO yang menerapkan ideologi LTTE di segenap ruang lingkup pertubuhan mereka.

Kalai Mugilan adalah penggerak utama kepada NGO ini dan dia antara individu yang pernah mempersoalkan PDRM.

Link Naam Tamilar Malaysia

2. Malaysian Tamilar Kural

Malaysian Tamilar Kural juga antara NGO yang banyak menyokong LTTE dan terdapat siaran di halaman mereka memuat naik gambar tulisan tangan pengasas LTTE dan juga kenyataan menyokong LTTE secara terang-terangan.

NGO ini digerakkan oleh orang kanan P.Ramasamy iaitu David Marshel.

Link Malaysian Tamilar Kural

3. Persatuan Senthamizhan Peravai Malaysia (SEPAM)

SEPAM antara pertubuhan yang aktif mempromosi ideologi pro LTTE iaitu ideologi Seemanisme (Seeman dari Tamil Nadu) dan beberapa kali membuat program Maaveerar Naal LTTE di Puchong.

Antara bekas pimpinan mereka adalah individu yang pernah mengisytiharkan perang dan mengaku LTTE di Facebook.

Antara media yang mempromosi mereka adalah Seeman Thambigal Malaysia dan Tamizhar Media.

4) Southern Brother Club atau nama pendaftaran Persatuan Hak Asasi dan Kebajikan Saudara Selatan.

Selain itu persatuan ini dilihat bersama melakukan program Maaveerar Naal LTTE dengan NGO Tamil Vengai Malaysia.

Link: Persatuan Senthamizhan Peravai Malaysia (SEPAM)

5. Tamilar Kalam Malaysia

Pertubuhan Tamilar Kalam Malaysia juga pernah memperomosi ritual LTTE iaitu Maaveerar Naal. Malah halaman mereka juga banyak membawa eleman pro LTTE.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Panduan Pemakanan Atlet, Sebelum, Semasa Dan Selepas Pertandingan

Panduan Pemakanan Atlet, Sebelum, Semasa Dan Selepas Pertandingan

Pertandingan sudah tiba, esok akan ada perlumbaan setelah semua atlet berlatih sejak sekian lama. Pepatah "eat to win" mesti diutamakan supaya apa yang kita makan mudah dicerna dan sesuai dengan tubuh badan di hari pertandingan.

Panduan Pemakanan Atlet

Makanan harus lebih banyak mengandung karbohidrat kompleks, rendah lemak dan protein, cukup vitamin dan mineral serta cukup air.

Namun, hindari makanan yang banyak mengandung lemak, bergas, berminyak dan sukar dihadam kerana makanan tersebut sukar dicerna, juga tidak memberi sumbangan untuk merangsang glikogen otot dan hati semasa pertandingan.

Pemberian karbohidrat pada saat pertandingan bertujuan untuk mencegah terjadinya hipoglikemi, mencegah kepenatan dan untuk mengekalkan kekuatan otot.

Pemakanan Atlet

Prestasi fizikal boleh ditingkatkan melalui pemakanan yang baik. Contohnya peningkatan pengambilan karbohidrat sebelum dan semasa latihan dapat meningkatkan kualiti latihan.

Atlet akan dapat berlatih dengan lebih lama dan melambatkan rasa kelesuan ketika latihan.

Contoh pengambilan makanan:
  • Sebelum = 4 jam sebelum pertandingan, Nasi dan Buah-buahan.
  • Semasa = 1.0 setiap 15 minit – 20 minit, minuman berkarbohidrat.
  • Selepas = 1.0 2 jam selepas pertandingan, Nasi, Kentang, Roti, Glukosa.

Makanan sebelum pertandingan

Semasa aktiviti fizikal yang giat, otot akan memilih sumber tenaga dari karbohidrat berbanding lemak. Ini kerana tenaga daripada karbohidrat lebih senang diperolehi tanpa perlu memerlukan bekalan oksigen yang banyak.

Sumber tenaga yang paling cepat diperolehi ialah glikogen yang di simpan dalam otot-otot.

Atlet yang menceburi acara marathon, berbasikal jarak jauh, mendayung, memerlukan bekalan karbohidrat yang lebih tinggi. Bekalan tersebut biasanya disimpan di otot dan hati.

Jangan makan terlalu kenyang sebab perut yang penuh dengan makanan berkecenderungan mengalami kecederaan terutama dalam sukan.

Ini disebabkan darah akan tertumpu di bahagian organ penghadaman dan kurang di bahagian otot dan otak yang diperlukan untuk aktiviti fizikal.

Amalkan makanan yang mengandungi karbohidrat kerana ia lebih mudah dan cepat dihadam daripada makanan yang mengandungi lemak.

Elakkan makan yang pedas dan minuman yang bergas, kerana akan mengganggu proses penghadaman. Atlet akan merasa tidak selesa semasa pertandingan kerana perut akan memulas dan menyebabkan sendawa (burping).

Cecair yang diminum harus senag diserap dan dihadam. Susu, kopi dan teh harus dielakkan sebelum pertandingan kerana minuman ini susah untuk dihadamkan. Air adalah minuman yang paling sesuai.

Seseorang atlet harus sekurang-kurangnya makan 2 – 3 jam sebelum sesuatu pertandingan. Ini membolehkan makanan dihadam dan perut tidak rasa penuh. Pada masa yang sama, atlet juga tidak harus rasa terlalu lapar sebelum pertandingan.

Pemakanan semasa pertandingan

Jangkamasa pertandingan yang lama akan mengakibatkan kehilangan air dan sesetengah mineral melalui proses perpeluhan. Sumber tenaga karbohidrat juga akan kehabisan. Adalah penting untuk menitik beratkan tiga nutrien tersebut semasa pertandingan.

Air

Seseorang atlet akan kehilangan air yang banyak terutamanya jika bertanding dalam keadaan cuaca yang panas. Air akan hilang melalui peluh dan akan mengakibatkan peningkatan kepekatan darah dan menurunkan kapasiti darah.

Penurunan kapasiti darah ini membawa akibat kepada jantung kerana jantung terpaksa mengepam lebih cepat lagi.

Banyak gejala yang buruk akan timbul seperti dihidrasi dan stres haba akan menyusul akibat kekurangan kandungan air dalam badan.

Meminum air yang banyak adalah pendekatan yang wajar kepada atlet tersebut. Air sejuk adalah diutamakan kerana ia memudahkan penyerapan berlaku di organ penghadaman.

Atlet seharusnya jangan menunggu sampai terjadi rasa haus/dahaga oleh kerana pada waktu terasa haus ini sudah menunjukkan adanya dehidrasi awal.

Pemakanan selepas pertandingan

Acara-acara yang mempunyai masa rehat yang cukup (selepas 3 jam atau pada hari berikutnya), atlet harus memberi tumpuan kepada pemakanan yang dapat membekalkan tenaga untuk menggantikan tenaga yang telah digunakan.

Makanan berkarbohidrat dalam bentuk cecair adalah sesuai untuk mereka. Atlet tidak perlu mengambil suplemen vitamin atau mineral yang banyak pada ketika ini.

Atlet digalakkan makan makanan yang seimbang dan pada masa yang betul.

Makanan seimbang

Makanan yang mengandungi jumlah protein, karbohidrat, lemak, vitamin, garam mineral dan air yang betul disebut sebagai makanan seimbang.

Kuantiti makanan yang diperlukan adalah berbeza antara seorang dengan orang yang lain. Keperluan makanan bergantung kepada umur, saiz dan aktiviti yang kita lakukan.

Makanan yang mengandungi karbohidrat, lemak dan protein sering disebut sebagai makanan bertenaga tinggi. Ini kerana makanan ini mempunyai nilai kalori yang tinggi.

Kebanyakan buah-buahan dan sayur-sayuran hijau mempunyai nilai kalori yang rendah. Makanan ini tidak membekalkan tenaga tetapi mengandungi banyak vitamin, mineral, air dan bertindak sebagai pelawas.

Karbohidrat

Penambahan simpanan karbohidrat dalam glikogen otot dan hati dikenali sebagai tokokan karbohidrat atau dikenali sebagai kompensasi glikogen.

Teknik ini biasanya digunakan untuk atlet acara tahan lasak seperti pelari marathon, lumba basikal lebuhraya dan trithlon.

Bekalan glikogen ke otot dan hati boleh ditingkatkan dalam mengurangkan latihan dan pada masa yang sama menambahkan pengambilan makanan yang kaya dengan karbohidrat.

Pengambilan karbohidrat yang berlebihan harus djalankan selama seminggu sebelum hari pertandingan.

Pengurangan volum dan intensiti latihan sekurang-kurangnya 48 jam sebelum hari pertandingan membolehkan badan menyingkirkan sebarang hasil buangan metabolik yang mungkin menjejaskan prestasi atlit tersebut.

Fasa tokokan karbohidrat ada tiga fasa iaitu:
  • Fasa 1: Hari 1 – 2 : Latihan berintensiti tinggi, pengambilan karbohidrat norma
  • Fasa 2: Hari 3 – 5 : Latihan dikurangkan, peningkatan pengambilan karbohidrat(70 %)
  • Fasa 3: Hari ke – 6 : Hari pertandingan, selepas pertandingan pemakanan seperti biasa.

Selain itu, makanan padat yang tinggi karbohidrat kompleks dan rendah serat, misalnya buah pisang dapat memulihkan glikogen serta menggantikan cairan, vitamin, mineral dan elektrolit yang terpakai selama pertandingan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: pemakanansukan

AS Kalah Perang Di Syria?

AS Kalah Perang Di Syria?

Ketika artikel ini ditulis, Amerika Syarikat dan Turki baru sahaja memeterai 'perjanjian gencatan senjata' antara tentera Turki dan tentera pemberontak Kurdis (YPG) selama 120 jam bagi memberi laluan kepada YPG untuk berundur setelah seminggu meriam-meriam tentera Turki membedil kedudukan YPG di sempadan Turki-Syria.

AS Kalah Perang Syria

Objektif utama tentera Turki dalam operasi ketenteraan ini ialah untuk menguasai sekurang-kurangnya 30 km bumi Syria yang berada di sepanjang garis sempadan Turki dan 480 km memanjang dari Manbaj, sebuah bandar di Timur Laut Aleppo sehingga ke sempadan Iraq.

Perang sudah pun memasuki minggu kedua namun masih belum menemui jalan penyelesaian.

Sebelum diulas dengan lebih lanjut konflik yang sedang berlaku ini, ianya perlu dilihat dalam kerangka yang luas dan mendalam.

Bukan sahaja ianya pertelingkahan antara Turki dan pemberontak YPG, lebih jauh lagi pertembungan antara Sunni dan Syiah malah ianya lebih daripada itu.

Syria menjadi medan pertembungan kuasa-kuasa besar dunia dan rantau Asia Barat yang masing-masing mempunyai kepentingan tersendiri.

Amerika Syarikat mempunyai kepentingan untuk menjaga keselamatan Israel serta sumber minyak dan gas melalui 'sokongan' kepada ISIS di peringkat awal, namun akhirnya memakan diri dan seterusnya berpakat dengan pemberontak YPG untuk menghapuskan ISIS.

Iran pula menyokong regim Basyar Al-Asad, matlamatnya untuk mempertahan dan mengukuhkan kedudukannya kerana Syria satu-satunya negara di Timur Tengah yang menjadi sekutu dan menjadi jambatan antaranya dengan kumpulan Hizbullah di Lubnan yang menentang Israel.

Russia juga menyokong rejim Basyar Al-Asad, matlamatnya untuk menandingi kuasa hegemoni Amerika Syarikat di Asia Barat.

Setakat ini strategi Rusia begitu berjaya apabila diberikan keizinan membuka pangkalan tentera lautnya yang dibina di Tortuz, Syria (satu-satunya pangkalan tentera laut Rusia yang berada di laut lepas di Asia Barat).

Manakala Turki pula matlamatnya ialah untuk menjaga sempadannya daripada pemberontak Kurdish, namun berada dalam keadaan serba salah.

Pada peringkat awal, Turki menyokong perjuangan untuk menjatuhkan rejim Basyar Al-Asad, selari dengan kehendak Amerika Syarikat dan Israel, namun lama kelamaan Turki menyedari permainan jahat Amerika Syarikat dan Israel yang menikamnya dari belakang dengan menyokong YPG.

Dari situlah bermulanya halatuju baru Turki hingga tercetusnya perang yang berlaku sekarang.

Siapa YPG?

Bangsa Kurdis tidak mempunyai negara yang khusus, mereka hidup di sempadan Iran, Iraq, Syria dan Turki. Kebanyakan mereka diterima sebagai rakyat dan hidup dalam masyarakat majmuk di negara-negara yang tersebut di atas.

Namun begitu, terdapat perjuangan untuk mewujudkan sebuah negara merdeka untuk bangsa Kurdis sama ada dengan jalan demokrasi mahupun persenjataan.

Sempadannya daripada Turki di utara sehingga Iran di Selatan. Justeru itu terbentuklah rangkaian pejuang-pejuang Kurdis dengan nama-nama yang berbeza mengikut negara-negara yang diduduki oleh mereka.

PKK (Kurdistan Workers Party) yang bertapak di Turki mengambil pendekatan persenjataan manakala PYD (Democratic Unity Party) pula bertapak di Syria menjadi sayap politik dan sayap tenteranya ialah YPG.

Adapun di Iraq ditubuhkan KRG (Kurdis Regional Government) yang menjadi kerajaan di wilayah Kurdistan Iraq.

Manakala di Iran pula, pengaruh pejuang-pejuang Kurdis tidak sekuat di Iraq, Syria dan Turki. Kesemua kumpulan-kumpulan Kurdis ini adalah berfahaman nasionalis sekular dan sebahagiannya bertunjangkan kepada ideologi Maxist-Leninist khususnya PKK, PYD dan YPG.

Pengunduran tentera AS dari Syria

Kegawatan geopolitik di Asia Barat memasuki fasa baru selepas Amerika Syarikat mengundurkan saki baki tenteranya yang berada di antara sempadan Turki-Syria yang dikawal oleh Syrian Democratic Force (SDF) yang mana YPG menjadi tulang belakangnya.

Pengunduran tentera Amerika Syarikat yang diarahkan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mencetuskan kemarahan sekutunya iaitu NATO dan Kesatuan Eropah serta majoriti ahli Dewan Senat dan Kongres Amerika Syarikat.

Alasan mereka menentang pengunduran tersebut termasuk oleh sekutu kuat Donald Trump di Dewan Senat Amerika seperti Senator daripada South Carolina Lindsay Graham dan Ketua Majoriti Dewan Senat Mitch McConnell ialah mengurangkan pengaruh Amerika Syarikat di rantau tersebut, tentera Turki akan membalas dendam ke atas YPG, ISIS akan bangkit kembali setelah pengunduran tersebut dan Russia akan menguasai geopolitik rantau Asia Barat.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mempertahankan keputusan mengundurkan tentera negara itu dari utara Syria.

Dalam satu kenyataan di Twitter, Trump berkata, kos untuk terus menyokong tentera Kurdis menentang militan Daish di wilayah itu adalah terlalu tinggi.

Tentera Kurdis berperang bersama kami tetapi kami membayar sejumlah wang yang besar dan peralatan untuk berbuat demikian. Mereka juga menentang Turki sejak berdekad lalu.

Turki, Eropah, Syria, Iran, Iraq, Russia dan Kurdis kini perlu mencari jalan untuk menyelesaikannya, katanya.

Keputusan Donald Trump mengundurkan tentera Amerika Syarikat menyebabkan Speaker Kongres, Nancy Pelosi dan Senator Lindsay Graham selaku Senate Judiciary Committee Chairman, Dewan Senat Amerika Syarikat sedang merangka resolusi bersama di antara Kongres dan Dewan Senat Amerika Syarikat untuk menentang serta menolak keputusan Donald Trump dan mengembalikan tentera Amerika Syarikat ke sempadan Syria-Turki tersebut.

Lebih menimbulkan kemarahan mereka, pengunduran tersebut bukanlah untuk membawa pulang baki 1,000 anggota tentera ke Amerika Syarikat seperti yang dijanjikan oleh Donald Trump tetapi menghantar kesemua anggota tentera tersebut ke Arab Saudi untuk membantu Arab Saudi menjaga aset industri minyak dan gas agar tidak berlaku lagi serangan sebagaimana baru-baru ini.

Tidak cukup dengan anggota tentera yang ada, Donald Trump mengarahkan anggota tentera tambahan seramai 2,500 orang lagi dihantar ke Arab Saudi yang menambahkan lagi kemarahan baik di kalangan anggota Kongres dan Dewan Senat Amerika Syarikat.

Persoalan yang timbul, mengapa secara tiba-tiba Donald Trump mengarahkan pengunduran tersebut tanpa dipersetujui oleh Pentagon, Dewan Senat dan Kongres Amerika Syarikat malah turut juga ditentang oleh sekutu mereka seperti NATO dan Kesatuan Eropah?

Ramai penganalisis geopolitik Asia Barat dan daripada rangkaian ternama seperti CNN, BBC, Al-Jazeera dan Al-Arabiya memberikan pandangan mengikut kepentingan negara masing-masing namun secara ringkasnya Iran, Turki dan Russia telah berjaya dalam strategi mereka memberikan tekanan serta menghalang Amerika Syarikat daripada menjadi kuasa tunggal dan hampir berjaya menghalau Amerika Syarikat keluar daripada Asia Barat.

Israel serta kepentingan industri minyak dan gas Asia Barat

Peranan sebenar Amerika Syarikat di Asia Barat adalah untuk melindungi Israel dan menjaga kepentingan mereka dalam sektor industri minyak dan gas yang dikawal oleh gergasi minyak dan gas dunia milik syarikat multinasional Amerika Syarikat seperti Exxon Mobil.

Israel sebagaimana diketahui umum adalah sekutu rapat Amerika Syarikat dan semenjak tertubuhnya Amerika Syarikat, ramai di kalangan pemimpin kanan Amerika Syarikat dan usahawan ternama adalah dari kalangan Yahudi berfahaman zionis yang memperjuangkan penubuhan negara haram Israel di tanah Palestin sebagaimana yang kita lihat hari ini.

Apa yang berlaku di Asia Barat hari ini seperti kehancuran Iraq, Libya, Yemen dan Syria adalah akibat daripada polisi dan dasar Amerika Syarikat terhadap Israel serta monopoli industri minyak dan gas.

ISIS, perang saudara mahupun pemberontakan yang berlaku di Iraq, Syria, Libya dan Yemen atau perang menentang keganasan dan senjata pemusnah hanyalah untuk mewujudkan ketidakstabilan di Asia Barat yang memberikan kelebihan untuk Israel melindungi tanah jajahan mereka, merampas lebih banyak tanah air milik rakyat Palestin dan menguasai kepentingan industri minyak dan gas di rantau terbabit.

Apa di sebalik operasi ketenteraan Turki di Syria?

Namun, apa yang berlaku di sempadan Syria-Turki adalah berlainan dan lari daripada agenda asal Amerika Syarikat untuk menguasai dan menjadi kuasa tunggal di Asia Barat.

Semuanya bermula ketika Perang Teluk di mana Amerika Syarikat dan sekutunya menyerang Iraq untuk menjatuhkan Saddam Hussien yang dituduh melindungi Al-Qaeda dan mengeluarkan senjata pemusnah yang berbahaya.

Sebab utama Amerika Syarikat dan sekutunya menyerang Iraq adalah kerana pada ketika itu Iraq adalah ancaman utama dan terbesar kepada Israel di mana Saddam Hussien adalah penentang kuat ke atas kekejaman dan penjajahan Israel ke atas Palestin selain Iran.

Malah, Saddam Hussien acap kali mengancam untuk menyerang Israel jika berterusan merampas tanah air milik rakyat Palestin.

Pada ketika itu, tentera pemberontak Kurdis sedang berkonfrantasi dengan pemerintah di Iraq, Turki mahupun Syria untuk menuntut sebuah negara merdeka bagi bangsa Kurdis namun ditentang oleh negara-negara terbabit kerana majoriti bangsa Kurdis yang lain mampu hidup dengan bangsa Arab di negara-negara terbabit dengan aman sebagai sebuah masyarakat.

Maka, selepas Amerika Syarikat dan sekutunya berjaya menawan Iraq dan menumpaskan Saddam Hussien, Amerika Syarikat dan sekutunya berhempas pulas pula cuba menghapuskan pemberontakan menentang Amerika Syarikat dan sekutunya di serata Iraq akibat daripada penaklukan tersebut.

Di kalangan banyak kumpulan pemberontak yang melancarkan peperangan terhadap Amerika Syarikat dan sekutunya ini, ada antaranya yang benar-benar menentang penjajahan Amerika Syarikat ke atas Iraq tanpa ideologi dan fahaman yang ekstrem.

Namun di kalangan kumpulan pemberontak ini, ada antara mereka telah diserapi ideologi dan fahaman yang ekstrem lalu mewujudkan gabungan kumpulan pemberontak yang besar dinamakan ISIS.

Dipercayai ISIS sengaja diwujudkan oleh Amerika Syarikat untuk menentang kumpulan pemberontak yang menentang penjajahan Amerika Syarikat dan sekutunya di Iraq kerana ISIS lebih arif tentang Iraq dan kaedah peperangan yang sesuai menentang pemberontakan tersebut.

Setelah berjaya menghapuskan pemberontakan, ISIS menjadi semakin besar dan tidak mampu dikawal oleh Amerika Syarikat.

ISIS terus mengganas, menawan bandar-bandar di sekitar Iraq dan di sempadan Syria-Turki serta membunuh penduduk tempatan yang tidak berdosa.

Akibat daripada itu, Amerika Syarikat meminta bantuan YPG untuk menghapuskan ISIS dengan memberikan bantuan senjata, kewangan dan lojistik namun Amerika Syarikat harus memenuhi syarat mereka iaitu memberikan kebebasan kepada mereka untuk memilih tempat untuk mendirikan sebuah negara merdeka untuk bangsa Kurdis.

YPG setelah bersetuju dengan Amerika Syarikat memulakan operasi mereka menghapuskan ISIS. Amerika Syarikat bersama YPG dalam masa 4-5 tahun berjaya menghapuskan ISIS dan saki baki pejuangnya.

Bandar -bandar yang di takluki ISIS berjaya dirampas kembali dan ISIS berjaya dihapuskan dan saki baki pejuangnya berkubu di bandar-bandar di sempadan Iraq dan Syria-Turki.

YPG meneruskan tindakan mereka memerangi ISIS di bandar-bandar sempadan terbabit namun seperti juga ISIS, YPG menakhluki pula bandar-bandar terbabit.

Penaklukan YPG ke atas bandar-bandar di sempadan Syria-Turki dan Iraq pula mencetuskan krisis kemanusiaan yang besar.

Penduduk-penduduk berbangsa Arab sama ada dihalau atau lari meninggalkan kampung halaman mereka kerana dituduh melindungi mahupun menyokong ISIS.

Jutaan penduduk lari ke Turki dan negara-negara Eropah. Dianggarkan hampir 3.5 juta orang lari meninggalkan bandar-bandar terbabit dan Iraq akibat daripada penaklukan YPG.

Yang tidak berjaya melarikan diri ditangkap dan dituduh sebagai talibarut ISIS dan dipenjarakan. Dianggarkan hampir 15,000 orang dipenjarakan termasuk warga emas, wanita dan kana-kanak oleh YPG dipenjara sekitar bandar di sempadan Syria-Turki.

Setelah berjaya menghapuskan ISIS, Amerika Syarikat menduduki Iraq beberapa tahun dan mentadbir Iraq bersama pemimpin tempatan pilihan mereka.

Setelah keadaan Iraq stabil, Amerika Syarikat mengundurkan tenteranya secara berperingkat-peringkat dan kemudian menyerahkan kembali kuasa mentadbir Iraq kepada pemimpin tempatan.

Baki anggota tentera Amerika Syarikat yang ada di Iraq dikerah berundur ke kawasan yang ditadbir YPG di bandar-bandar di sempadan Turki-Syria seperti di Ras Al-Ain.

Maka apabila Donald Trump mengarahkan saki baki tentera Amerika Syarikat berundur daripada bandar di sempadan Turki-Syria ke Arab Saudi dan menyerahkan kawalan ke atas bandar-bandar terbabit kepada Turki setelah Donald Trump berunding dengan Recep Tayeb Edrogan, Presiden Turki, dunia menerimanya sebagai kejutan besar seolah-olah Amerika Syarikat melepaskan kekuasaannya terutamanya kepada Rusia dan Iran.

Pengunduran tersebut memberikan tamparan hebat kepada sekutu kuat Amerika Syarikat seperti Israel, Kesatuan Eropah dan NATO serta memberikan kejutan kepada pimpinan Amerika Syarikat sendiri di kalangan Republikan mahupun Demokrat.

Setelah tentera Amerika Syarikat berundur, tentera Turki terus menuju ke sempadan dan mengambil alih kawalan bandar terbabit walau ditentang hebat oleh YPG.

Tidak jauh dari kawasan pertempuran di antara 50 km hingga 100 km di dalam kawasan Turki, terdapat beberapa kem-kem besar pelarian yang merupakan penduduk asal bandar-bandar terbabit.

Rata-rata menaruh harapan agar dapat pulang semula ke kampung halaman mereka walau musnah kediaman mereka.

Rusia, Iran dan Turki bakal merubah geopolitik Asia Barat

Pengunduran baki tentera Amerika Syarikat di Asia Barat ke Arab Saudi oleh Donald Trump menandakan Amerika Syarikat sudah mula kehilangan pengaruh dan kekuasaan di Asia Barat.

Rata-rata pemimpin utama Asia Barat sudah mula berbaik-baik dengan Rusia dan China. Di saat artikel ini ditulis, Presiden Rusia Vladimir Putin berada di Arab Saudi untuk lawatan rasmi yang boleh dianggap satu lawatan bersejarah terutamanya sejak pengunduran tentera Amerika Syarikat.

Lawatan tersebut adalah yang pertama untuk Vladimir Putin sejak tahun 2007 yang menyaksikan Rusia menandatangani perjanjian persefahaman untuk industri minyak dan gas serta membincangkan pergolakan serta geopolitik Asia Barat.

Kehadiran Rusia sebagai kuasa baru di Asia Barat bakal menyaksikan Amerika Syarikat kehilangan kekuasaan dan pengaruh di Asia Barat.

Kehadiran Rusia sebagai 'power broker' baru dijangka mampu meredakan ketegangan di Asia Barat terutamanya diantara Iran dan Arab Saudi.

Iran yang dilihat sebagai sekutu kuat Rusia oleh dunia, begitu juga Syria yang dipimpin oleh Basyar Al-Assad dilihat menggunakan pengaruh Vladimir Putin untuk menundukkan Arab Saudi dan negara sekutunya di Asia Barat seperti UAE, Bahrain dan Oman, tidak terkecuali Amerika Syarikat.

Turki baru-baru ini mencetuskan kemarahan Amerika Syarikat dan NATO apabila membeli sistem peluru berpandu S-400 daripada Rusia, yang dilihat condong kepada Rusia oleh masyarakat dunia.

Maka, apabila Amerika Syarikat mengancam untuk mengenakan sekatan ekonomi ke atas Turki akibat tindakan Turki tidak menepati perjanjian dengan Donald Trump kerana menyerang ke kawasan yang tidak ada dalam persetujuan ketika perbincangan baru-baru ini, Erdogan mengancam untuk meneruskan serangan dengan lebih agresif untuk menghapuskan YPG.

Ancaman Amerika Syarikat nampaknya sudah tidak memberikan impak kepada Turki malah boleh dikatakan bahawa Amerika Syarikat sudah mula tidak dipercayai dan diyakini di kalangan Dunia Islam.

Sudah tentunya selepas Arab Saudi, Kita percaya negara-negara Teluk yang lain seperti UAE, Oman dan Bahrain akan mengikuti jejak langkah Arab Saudi untuk berbaik-baik dengan Rusia.

Diyakini, tidak lama lagi China akan turut sama mengembangkan sayapnya ke rantau Asia Barat untuk meluaskan pengaruh dan kekuasaannya setelah hilangnya pengaruh Amerika Syarikat.

Pengaruh Rusia juga dirasakan mampu menghentikan serangan Arab Saudi dan UAE ke atas Yemen malah menghentikan peperangan tersebut.

Konfrontasi Qatar dengan negara-negara Teluk di bawah pengaruh Arab Saudi juga dipercayai mampu diredakan dengan kehadiran Rusia.

Apa yang pasti, satu naratif baru untuk Asia Barat bakal menanti dunia dengan kehadiran Rusia sebagai 'power broker' baru di rantau ini.

Ternyata strategi Rusia, Iran dan Turki untuk melemahkan pengaruh Amerika Syarikat di Asia Barat berjaya dan menjadi kenyataan.

Yang paling rugi dan berada dalam keadaan getir sudah tentunya Israel. Lemahnya pengaruh Amerika Syarikat di Asia Barat bermakna Israel akan berada dalam situasi yang cemas kerana pelindung dan pendukung kuatnya sudah tidak mampu lagi menjadi bentengnya.

Hubungan Israel dengan Rusia juga tidak begitu baik dan berada dalam keadaan tegang apatah lagi Rusia memberi amaran kepada Israel agar tidak lagi menyerang kedudukan strategik tentera Syria dan Iran.

Rusia dijangka mampu memberikan tekanan kuat kepada Israel, siapa tahu tekanan tersebut akan membawa kepada pengunduran sepenuhnya zionis daripada bumi Palestin di masa akan datang.

Harapan kita agar rantau Asia Barat mampu mencapai keamanan yang berkekalan selepas ini. Yang paling utama ialah kesatuan di antara negara-negara Islam mesti diperkukuh dan dieratkan.

Dunia Islam seharus tidak bergantung kepada mana-mana kuasa besar untuk mencapai kegemilangan dan kemajuan kerana Dunia Islam sendiri mampu membentuk kekuatan sendiri untuk kepentingan Islam dan umatnya.

Sejarah membuktikan Dunia Islam pernah menjadi kuasa besar dan peneraju dunia, cuma persengketaan sesama negara-negara Islam dan umatnya memusnahkan legasi tersebut.

Sama-sama kita kembalikan kegemilangan Dunia Islam agar Islam tidak pudar ditelan zaman dan terus pupus dimamah oleh kemajuan dunia.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: harakahdaily

Kenapa Tenggiling Sangat Bernilai?

Kenapa Tenggiling Sangat Bernilai?

Melihat keunikan pada sisik luarannya, mungkin ramai yang menyangka haiwan ini adalah spesies garang apatah lagi memiliki kuku yang panjang dan tajam namun, tanggapan salah sama sekali kerana tenggiling adalah haiwan pemalu dan akan melindungi dirinya dengan menjadi bulat seperti bola apabila dihampiri dan disentuh manusia.

Tenggiling mahal

Tenggiling atau nama lainnya Manis javanica turut dikenali sebagai Malayan pangolin.

Terdapat lapan spesies tenggiling di dunia tetapi Malayan pangolin adalah satu-satunya spesies yang ditemui di Malaysia selain Thailand, Indonesia, Vietnam, Laos, Kemboja dan Singapura.

Haiwan yang tergolong dalam keluarga mamalia ini mendiami hutan tropika dan sub tropika, hutan kayu kering dan kawasan savana terbuka.

Tenggiling memiliki perisai unik keras pada sisik di badannya, manakala kukunya yang besar dan tajam bagi memecah sarang dan busut selain lidah melekit bagi menjilat serangga seperti semut dan anai-anai.

Telinga dan kelopak mata tenggiling boleh ditutup untuk mengelak serangan semut.

Jika berasa terancam, haiwan mamalia ini akan menggulungkan dirinya seperti bola sehingga menyukarkan gigi haiwan liar untuk menembusi dagingnya.

Malangnya, mekanisme pertahanan itu juga membuatkan ia lebih mudah bagi pemburu haram mengutip dan memasukkannya ke dalam guni.

Pemerdagangan

Tenggiling dilindungi sepenuhnya di Semenanjung Malaysia di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Justeru, Tenggiling tidak boleh dipelihara atau diniagakan malah tiada permit pemilikan dikeluarkan Jabatan Perhilitan untuk orang ramai.

Tenggiling menghadapi ancaman manusia akibat kemusnahan habitat selain menjadi buruan pemburu haram.

Ia mudah tertekan dan meskipun diselamatkan, kebanyakan tenggiling akan mati semasa proses memburu dan pemerdagangan.

Selepas ditangkap, haiwan itu diletak dalam guni tanpa sumber makanan dan boleh menyebabkannya mati.

Meskipun usaha penguatkuasaan berterusan, penyeludupan tenggiling masih berleluasa. Rampasan yang dilaporkan mungkin kecil berbanding jumlah pemerdagangan sebenar.

Permintaan tinggi dari restoran di luar negara terutamanya di China menyebabkan harga daging tenggiling melambung tinggi sehingga melebihi RM800 sekilogram di pasaran gelap yang didalangi sindiket tertentu sama ada dalam dan luar negara.

Sisik Tenggiling

Selain daging, sisik tenggiling juga tergolong di dalam larangan import mengikut Jadual Ketiga, Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686) kecuali dengan permit.

Sisik Tenggiling di pasaran gelap dianggarkan bernilai AS$3,000 sekilogram.

Mengapa Tenggiling Menjadi Buruan?

Jika berbalik kepada mitos, Tenggiling dicari kerana memiliki manfaat kesihatan - daging, sisik serta organ dalaman.

Pengamal perubatan tradisional percaya ia mampu mengubati pelbagai penyakit termasuk kanser manakala dagingnya dijadikan sajian eksotik, menguatkan tenaga syahwat lelaki, memanaskan suhu badan dan kulitnya dijadikan barangan kasut, beg dan tali pinggang.

Kebanyakan permintaan tenggiling ini adalah kerana daging dan sisiknya yang dipercayai mempunyai nilai yang tinggi.

1. Sisik Tenggiling

Sisik tenggiling dipercayai memiliki kelebihan untuk membantu kesihatan manusia. Ia dipercayai boleh meningkatkan susu ibu, mengeringkan nanah, memulihkan penyakit kulit dan penyakit dalam badan.

Apa yang lebih mengejutkan pada tahun 2015, sisik tenggiling merupakan salah satu perubatan tradisional yang dilindungi oleh insurans perubatan di Vietnam.

2. Daging Tenggiling

Di China dan Vietnam, Tenggiling merupakan daging termahal yang dipercayai memiliki kelebihan nutrisi yang bagus khususnya untuk buah pinggang.

Oleh sebab daging tenggiling sangat mahal, orang kaya di negara tersebut akan memesan daging tenggiling untuk menunjukkan "kemewahan" yang mereka miliki.

Terdapat juga dakwaan bahawa dagingnya Tenggiling mampu menguatkan tenaga syahwat lelaki serta memanaskan suhu badan.

3. Minuman 'wine' Tenggiling

Ia terhasil daripada air rebusan tenggiling bayi yang dipercayai boleh menyembuhkan penyakit kulit dan memperbaiki pernafasan.

4. Darah Tenggiling

Juga dipercayai menyembuhkan penyakit kulit dan memperbaiki pernafasan.

5. Kulit Tenggiling

Kulitnya dijadikan barangan kasut, beg dan tali pinggang.

Pusat Perlindungan Tenggiling Di Malaysia

Penubuhan Institut Penyelidikan dan Perlindungan Tenggiling Sabah (Sapsari) mampu memastikan habitat dan spesies tenggiling yang menjadi haiwan dilindungi sepenuhnya dapat dikawal daripada ancaman kepupusan.

Penubuhan Sapsari adalah satu inisiatif yang dinanti-nantikan, memandangkan haiwan Tenggiling Sunda di Sabah, semakin terjejas akibat aktiviti pemburu haram.

Sapsari atau Sabah Pangolin Sanctuary and Research Institute akan dibangunkan di kawasan Taman-taman Sabah (TTS) Tawau memandangkan kawasan itu terdapat habitat Tenggiling Sunda yang banyak.

Institut ini akan dibuka kepada orang awam dan pelancong untuk datang sebagai akses terhadap pendidikan terhadap haiwan terancam itu.

Selain itu, dengan adanya pusat ini juga mampu memberi maklumat kepada orang ramai bahawa haiwan ini adalah sepsies yang dilindungi sepenuhnya kerana mengalami ancaman kepupusan akibat aktiviti penyeludupan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2 | 3