Thursday, July 18, 2019

Anggur Paling Mahal Di Dunia Berharga RM45,413

Anggur Paling Mahal Di Dunia Berharga RM45,413

Segugus anggur yang dibeli pada harga 1.2 juta yen (RM45,413) dalam lelongan pertama musim 2019 di Kanazawa, Jepun, menjadikannya anggur paling mahal di pasaran sejak 12 tahun lalu, lapor agensi berita Kyodo News.

Ruby roman grapes japan

Anggur jenis ‘Ruby Roman’ itu terkenal kerana rasanya amat manis, kurang asid dan kandungan gula yang tinggi dan setiap biji anggur tersebut yang dibangunkan oleh kerajaan wilayah Ishikawa, memiliki berat lebih 20 gram.

“Kami menawarkan harga 1.2 juta yen untuk menandakan 12 tahun anggur ini berada di pasaran dan bagi meraikan lelongan pertama pada era Reiwa,” kata Takashi Hosokawa.

Takashi Hosokawa, 45, merupakan pengurus sebuah rumah tumpangan Jepun yang dikendalikan oleh syarikat yang membeli anggur tersebut, Hyakurakuso.

Reiwa merujuk kepada era pemerintahan Maharaja Jepun yang baharu pada Mei 2019 lepas.

Hyakurakuso yang memiliki tiga rumah tumpangan di wilayah Ishikawa, membeli anggur itu melalui seorang pemborong di pasar borong di pusat bandar Kanazawa.

“Kami ingin menyatakan kepada pelanggan tentang keghairahan kami apabila memegang kotak berisi anggur ini,” tambah Takashi Hosokawa.

Secara perbandingan, durian jenis Musang King yang merupakan antara durian paling mahal di Malaysia, dijual pada harga mencecah RM400 sebiji untuk buah yang mempunyai berat antara 3 hingga 4.5 kilogram.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

SBDJ Siri 92: Bomoh Tua Bawa Bencana

SBDJ Siri 92: Bomoh Tua Bawa Bencana

Kuku di ibu jari saya di gigit dan sepasang mata meraut wajah Datuk. Cara yang sangat mengejutkan dan langsung tidak diduga, kemudian Datuk terus menepuk bahu kanan saya.

Toyol jadi-jadian

“Pergi ambil air sembahyang, Tamar.”

“Sejuk tuk.”

“Pergilah, jangan banyak cakap,” suara Datuk meninggi.

Saya terus merenung ke arah bilik air. Terdengar banyak air berjatuhan di lantai. Saya senyum.

Ada orang di bilik air tuk, terpaksa tunggu dia keluar,” suara saya tersangkut-sangkut.

“Siapa?”

“Si sakit tadi tuk.”

“Hum.. aku lupa, kalau begitu kau pergi mandi di telaga.”

“Saya takut tuk.”

“Haa.. kamu,” Datuk beliakkan biji mata sambil menggaru pipi kanannya beberapa kali. Saya tahu Datuk mula marah.

Tetapi, saya merasa bertuah dan beruntung kemarahan yang mula berbunga di hati Datuk segera menurun kerana kehadiran guru silat dan isteri si sakit di sisi Datuk. Senyum pun terkembang di bibir Datuk.

Tidak lama kemudian si sakit yang berada di bilik mandi pun datang. Matanya tidak berkedip merenung wajah isterinya. Dan isterinya terus menatap sekujur tubuh suaminya.

“Bengkak perut dah hilang dan kau boleh berjalan, boleh mandi sendiri,” si isteri bersuara.

Wajahnya dibalut keriangan yang amat panjang. Si isteri segera mahu mendekati si suami. Tanpa rasa segan si isteri angkat tangan kanan menyentuh pipi suaminya.

“Jangan sentuh dia,” Datuk bersuara keras.

Semua biji mata tertumpu ke arah Datuk. Semuanya merasa hairan dan kurang senang dengan sikap Datuk.

“Dia suami saya.”

“Saya tahu, tapi bersabarlah untuk beberapa jam. Bila kita dah selesai sembahyang Subuh dan bumi sudah cerah disinar matahari, kamu boleh buat apa yang kamu suka,” kata Datuk.

“Kenapa tak boleh buat sekarang?”

“Ini cara dan petua kalau awak mahu ikut, kalau tak mahu ikut pun tak apa tetapi, kalau petua dan syarat orang tua-tua dilanggar ada masanya boleh membawa padah,” satu ingatan yang bersahaja dari Datuk.

Isteri si sakit menggigit bibir dan menelan air liur. Sedia mematuhi perintah Datuk.

“Kita sembahyang Subuh di sini?” tanya guru silat.

“Ya, di mana lagi? Kalau bukan di sini?” balas Datuk.

“Imamnya?”

“Saya," kata Datuk.

Guru silat tersenyum dan tanpa banyak bicara dia segera menuju ke bilik air mengambil air sembahyang.

DOA

Sebaik saja selesai menunaikan Fardu Subuh, kami semua membaca doa.

Selesai baca doa, isteri si sakit terus ke dapur untuk menyediakan sarapan pagi.

Guru silat turun ke halaman rumah lalu melakukan senaman kecil untuk menggerakkan darah dan menegangkan urat.

Datuk terus membaca beberapa ayat suci.

Si sakit yang baru sembuh masih duduk bersimpuh di sisi Datuk. Saya kira tentu ada sesuatu yang mahu diajukannya pada Datuk.

Sangkaan saya tidak salah, sebaik saja Datuk berhenti membaca ayat-ayat suci, lelaki bermata cengkung itu menghampiri Datuk.

“Berapa lama saya tak boleh bersama isteri saya?”

“Sekejap lagi bolehlah, kau pergi berdiri dekat tingkap dan lihat matahari. Bila matahari sudah terbit, kenakan seluruh tubuh kamu dengan sinar matahari, lepas tu kamu bolehlah bersama.”

“Terima kasih, saya ingatkan sampai berbulan-bulan.”

“Tidak,” Datuk tersenyum.

Datuk mengajak saya turun ke halaman rumah. Cakapnya saya turuti. Saya dan Datuk melakukan senaman harimau menangkap musuh dan beberapa senaman lain hingga badan saya berpeluh dalam dingin pagi.

Selesai menjalani senaman Datuk mengajak saya berjalan keliling kampung sambil membasahkan kulit dengan air embun.

Saya membantah ajakan Datuk itu. Tidak sanggup rasanya dalam cuaca pagi yang samar-samar dan dingin itu menyentuh air embun di hujung daun untuk disapukan ke kulit tubuh.

Protes saya menimbulkan rasa kurang senang dalam hati Datuk. Kerana tidak mahu ketegangan yang terjadi itu berlanjutan, saya segera mengalah.

Datuk gembira. Bila kami mahu memulakan langkah, guru silat terus bersuara.

“Nak ke mana tu?”

“Mandi embun.”

“Jangan lama-lama, nanti ada masalah di rumah saya tak tahu nak mengatasinya.”

“Belum matahari keluar kami balik,” jawapan itu amat menyenangkan diri guru silat.

Senyumannya terus terukir di bibir dan dia meneruskan latihan silatnya.

Berjalan dalam suasana dingin begini tidak boleh lambat-lambat. Langkah mesti dipercepatkan, biar semua sendi bergerak lancar lalu melahirkan peluh yang boleh menghilangkan rasa sejuk dan dingin.

Sedang saya dan Datuk asyik menghulurkan jejari pada air embun di hujung daun, kami terdengar bunyi orang memijak sesuatu dari hutan kecil di sebelah kanan. Langkah Datuk dan saya segera berhenti.

“Ada binatang buas tuk.”

“Pada hemat aku, itu bukannya bunyi langkah binatang.”

“Kalau bukan binatang, langkah apa tuk?”

Datuk terus membisu lalu membongkok.

Kepala lutut kanannya ditemukan dengan permukaan bumi. Manakala lutut kirinya tetap tegak menentang dada langit.

Kelima-lima jari kirinya dikembangkan dan terus diletakkan di atas tanah. Hidungnya dihalakan ke arah angin datang. Hidung Datuk nampak kembang kempis menghidu sesuatu.

“Manusia Tamar,” mata Datuk bersinar merenung ke arah hutan kecil.

Dahinya berkedut tetapi wajahnya tetap tenang serta bersedia menghadap sebarang kemungkinan.

Barangkali, ada orang kampung yang menggunakan hutan kecil itu sebagai jalan pintas untuk pergi ke suatu tempat, fikir saya dalam hati.

“Manusia dari mana tuk?” saya menyoal kembali.

“Entah, pedulikan, mari kita pergi,” Datuk segera menarik tangan saya.

Kami meneruskan perjalanan yang terhenti. Tidak beberapa jauh melangkah, Datuk berhenti kembali. Macam ada sesuatu yang tidak menyenangkannya.

Dan saya sendiri pun merasakan ada sesuatu yang mengikuti segala gerak dan langkah kami.

Dalam saat-saat tertentu, benda yang serasa ada itu bagaikan wujud di depan saya dan Datuk, tetapi sukar untuk dilihat apatah lagi untuk di rasa dan dipegang.

RESAH

Keadaan yang dihadapi membuat saya resah dan gelisah. Saya segera memujuk Datuk supaya pulang ke rumah adik guru silat.

Datuk gelengkan kepala sambil tumit kaki kirinya menghentak-hentak tanah beberapa kali.

Tanpa diduga, Datuk terus membengkokkan badan dan kedua belah tangannya menepuk bumi tiga kali berturut-turut.

“Kerja kamu dah selesai,” saya segera merenung ke kiri.

Saya lihat bomoh tua berdiri di situ. Matanya tidak berkedip merenung ke arah saya.

Aneh sekali kenapa dia tidak mahu memandang wajah Datuk? Apakah ini cuma satu helah darinya untuk memperdayakan Datuk? Bermacam-macam pertanyaan bermain dalam kepala saya.

“Aku hanya menyelesaikan kerja kamu yang belum selesai,” balas Datuk sambil membelakanginya.

Saya kira, cara Datuk itu amat merbahaya. Kenapa dia memberi belakang pada bomoh tua, kenapa Datuk tidak mahu menentang muka bomoh tua?

“Tapi kamu tidak pernah minta izin dari aku,” saya terdengar suara bomoh tua.

Apa yang bermain dalam kepala saya terus hilang.

“Ya, niat saya ikhlas untuk menolong,” suara Datuk rendah.

“Cara kamu menyakitkan hati aku.”

“Apa! Kerana aku menolong hamba Allah yang sakit. Boleh membuat kamu marah, aku tak faham dengan cara kamu.”

“Ya, aku nak beri kamu faham sekarang.”

“Terangkan.”

“Kamu sepatutnya jangan campur dalam hal ini. Kerja aku dengan orang yang minta tolong belum selesai.”

“Kamu terima upah untuk menjahanamkan orang lain.”

“Kerana si sakit itu memang jahat.”

“Kalau kamu dah tahu dia jahat, kenapa kamu ubati dia?”

“Aku mahu mempermainkan orang yang mengupah aku dan orang yang sakit.”

“Kamu memang iblis,” pekik Datuk.

Bomoh tua itu hilang dari pandangan saya. Datuk tergamam bila bomoh tua muncul di depannya dan mengajak beradu tenaga.

“Itu bukan cara aku. Dalam hidup aku, menjual dan membeli bukan cara aku. Kita hamba Allah dan umat Nabi Muhammad SAW kita disuruh berbaik-baik,” jawab Datuk dengan nada suara yang rendah.

“Agaknya kamu takut, ilmu kamu tidak sebanyak mana,” bomoh tua seperti mengejek Datuk.

“Tak usahlah kita nak tunjuk handal. Kita lupakan semuanya. Kalau saya tersalah, maafkan saya,” Datuk hulurkan tangan pada bomoh tua.

Cepat-cepat bomoh tua menepis huluran tangan Datuk sambil membuka langkah untuk menyerang Datuk.

“Kalau benar awak handal, jawab pertanyaan saya. Kalau semua jawapan awak betul, saya ikut awak,” Datuk memberi cadangan.

“Kamu mempermainkan aku.”

“Aku ikhlas, aku tak mahu bermusuh dengan sesiapa pun.”

“Bohong,” suara bomoh tua meninggi. Dia terus menyerang Datuk dengan sebatang kayu.

Datuk tidak bergerak dari tempatnya, menanti serangan bomoh tua dengan tenang.

Datuk hanya mengangkat ibu jari kanannya dan kayu di tangan bomoh tua terpelanting dengan sendirinya. Bomoh tua jatuh terlentang macam ada sesuatu yang menolaknya.

Bomoh tua cuba bangun dan Datuk cepat-cepat memusingkan ibu jari kanannya menunjuk ke bumi, bomoh tua tidak terdaya bangun.

Bila Datuk menegakkan ibu jarinya, bomoh tua dapat bangun dan berdiri berdepan dengan Datuk, bersedia untuk melepaskan penumbuk pada Datuk.

Lagi sekali Datuk meluruskan ibu jarinya ke bawah. Bomoh tua jatuh terlentang terkapar-kapar.

“Cuma itu saja yang ada pada aku, bangunlah,” kata Datuk tenang sambil memeluk tubuh.

Bomoh tua tidak mahu bangun. Dia duduk bersila di tanah. Jari kelingkingnya terus menguis-nguis tanah.

“Apa yang mahu kamu tanyakan pada aku?”

“Aku cuma nak menyatakan rasa kesal, kerana kamu seperti orang yang beragama tetapi membuat kerja terkutuk.”

“Sudahlah, cakap perkara apa yang mahu kamu tanyakan padaku.”

“Kamu beragama Islam?” Datuk memulakan pertanyaan.

“Ya, aku percayakan Allah, Quran dan hari kiamat serta malaikatnya,” jawab bomoh tua penuh keyakinan.

Matahari mula memunculkan diri di kaki langit. Saya terus menyandarkan badan pada sebatang pokok yang berdaun lebat.

“Sebagai orang Islam aku cuma nak tanya tiga perkara. Harap kamu dapat memberikan jawapannya.”

“Silakan, apa perkara yang nak kamu tanya sila kemukakan. Fasal agama, adat, ilmu dunia, ilmu akhirat, silakan,” bomoh tua terus ketawa kecil.

Jari kelengkengnya tidak berhenti menguis tanah. Tidak memperlihatkan sebarang rasa kebimbangan. Bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Datuk raba telinga kemudian terus duduk bertinggung. Muka bomoh tua direnung dengan tepat tanpa berkedip. Kali ini bomoh tua menentang wajah Datuk.

“Silakan, aku menanti,” bomoh tua seperti mendesak.

“Sebagai orang Islam, aku mahu tahu dari mana kamu datang?” Datuk menyambut cabaran dari bomoh tua.

“Apa, ini saja soalannya?”

“Ini soalan pertama, dua soalan lagi akan menyusul kemudian,” terang Datuk dengan tenang.

“Aku mahu kamu terus mengemukakan tiga soalan sekali. Aku tak mahu satu-satu, cara itu melambatkan.”

“Baiklah, kalau itu kemahuan kamu. Soalan pertama aku mahu tahu dari mana kamu datang,” Datuk berhenti bercakap dia. Dia menahan air lir sambil batuk kecil.

“Apa kamu buat dan ke mana kamu nak pergi?” Datuk menambah soalannya.

Bomoh tua kerutkan dahi sambil melagakan gigi atas dengan gigi bawahnya dua tiga kali.

“Dah habis soalan kamu.”

“Dah habis,” jawab Datuk tegas.

Bomoh tua menggigit kuku di ibu jari kanannya. Matanya merenung ke kiri dan ke kanan. Sesekali dia garu telinga yang tidak gatal.

Saya kira bomoh tua masih mencari jawapannya. Saya juga berfikir, apakah jawapan yang tepat pada soalan yang Datuk kemukakan.

Saya kira, inilah kali pertama Datuk mengemukakan soalan yang sedemikian. Agak aneh dan luar biasa sekali pada tanggapan saya.

“Soalan yang mudah, anak cucu aku sendiri boleh jawab. Kamu tahu yang tak pergi sekolah pun dah tahu jawapannya, ha.. ha…,” bomoh tua ketawa berdekah-dekah.

“Jawab sekarang, usah ketawa,” suara Datuk meninggi.

“Dari Allah aku datang, aku dilahirkan untuk membuat amalan dan akhirnya aku pergi pada-Nya juga. Apa kau sudah puas hati sekarang.”

“Kurang puas hati.”

“Sebabnya?” bomoh tua beliakkan biji mata. Cepat-cepat dia berdiri dan terus mencekak pinggang.

Misai tebalnya dipulas beberapa kali, macam lanun dalam drama purbakala yang mahu memperkosa gadis jelita dalam bilik tidur.

“Jawapan kamu masih ada kurang. Membayangkan kamu kurang pengetahuan,” suara Datuk lembut.

“Kurang ajar. Cakap apa yang kurang, kalau kamu tak cakap buruk padahnya.”

“Baiklah. Jawapan pertama begini: dari setitik mani kedua orang tua, kita dijadikan oleh Allah dan dikeluarkan dari rahim ibu. Tidak kira orang itu keturunan baik-baik atau tidak, sama ada berkulit hitam atau putih semuanya keluar dari lubang yang satu,” Datuk berhenti bercakap. Dia menarik nafas dalam-dalam.

“Jawapan yang kedua pula?” bomoh tua juihkan bibir ke bawah.

Datuk segera gosok pangkal hidung. Perbuatan Datuk itu menimbulkan keresahan dalam diri bomoh tua.

“Jawapan kedua apa dia? Cepat cakap. Aku tak ada masa nak dengar temberang kamu.”

“Baiklah sekarang aku…..,” Datuk berhenti bersuara.

“Eh, cakaplah. Jangan berdalih lagi,” bomoh tua mula marah.

“Sekarang kau sudah tahu dari mana asal-usul kita, kau tahu kenapa kita dijadikan? Apa yang patut kita buat,” Datuk berhenti lagi.

“Eh, aku mahu jawapan dari soalan kedua,” kali ini suara bomoh tua meninggi. Matanya mula menahan marah. Datuk masih bertenang.

“Aku baru memulakan jawapan untuk soalan kedua. Sekarang aku sambung kembali. Allah mencipta manusia dan jin semata-mata untuk mengabdikan diri pada-Nya. Jadi kita semua hamba Allah harus ikut perintah-Nya. Tidak boleh membesarkan diri, tak boleh minta disanjung atau dipuja kerana kita ini hamba Allah,” Datuk menggaru pangkal pipi sebelah kanannya.

Bomoh tua terus merenung bumi. Sinar matahari mula memancar lembut menjamah bumi dan dedaun.

“Jawapan yang ketiga pula apa dia?” desak bomoh tua.

“Kamu sudah tahu asal kita, tahu apa yang mesti kita buat waktu berada di dunia dan akhir sekali ke mana kita akan pergi,” Datuk senyum panjang.

“Akhirnya kita mati,” mendadak bomoh tua mencelah.

“Jawapan yang kurang tepat,” sanggah Datuk.

“Habis,” apa yang tepat?”

“Kita akan kembali pada yang mencipta. Segala apa yang kita buat di dunia diperhitungkan. Perbuatan jahat dibalas jahat, perbuatan yang baik menerima yang baik. Masa menghitung segala kebaikan dan kejahatan kita tidak dibezakan sama ada orang itu keturunan diraja atau hamba, semua duduk bersama. Hanya di dunia saja manusia mencipta perbezaan. Kau faham sekarang.”

“Sudahlah. Kamu nak jual temberang, kamu khianati kerja aku,” cara mengejut bomoh tua naik darah.

Melihat keadaan yang tidak begitu aman, Datuk segera menjeling serta melakukan serangan.

Belum pun sempat Datuk menemui tempat yang dihajati, bomoh tua melepaskan penumbuk sulung ke arah bahu kiri Datuk.

Nasib Datuk dapat mengelak. Bomoh tua terdorong ke depan lalu tersandar di pohon halban liar.

Datuk segera mengangkatnya. Rupa-rupanya bomoh tua tidak mahu menjalinkan persahabatan dengan Datuk.

Sebaik saja dia dapat berdiri, tanpa membuang masa dia terus melepaskan satu penumbuk lagi. Datuk tidak terdaya mengelakkannya.

Penumbuk yang agak kencang itu terkena pangkal telinga Datuk. Saya lihat Datuk terhuyung-hayang macam orang mabuk. Bomoh tua menerpa ke arah Datuk untuk melepaskan serangan.

Kasihan. Atur langkah bomoh tua tersilap. Walaupun Datuk terhuyung-hayang tetapi dia tidak kurang tenaga dan akal.

Tendangan bomoh tua disambutnya dengan satu tepisan yang kencang. Bomoh tua jatuh terkangkang atas tanah.

“Bunuh saja tuk. Bila dah mati mayatnya kita buangkan ke sungai,” secara tidak disengajakan kata-kata itu terungkap dari mulut saya. Bomoh tua yang kesakitan renung muka saya.

“Kamu jangan biadab Tamar,” sergah Datuk.

“Saya tak sengaja tuk.”

“Jaga mulut, jangan celopar sangat.”

“Maafkan saya tuk.”

“Sudahlah, bukan keturunan kita jadi pembunuh. Sikap kita berbaik dengan semua orang.”

Bomoh tua bangun, hulur tangan pada Datuk. Dengan wajah yang tenang dan damai Datuk menyambut huluran tangan itu.

“Kita sesama hamba Allah. Buat apa kita bermusuhan,” suara bomoh tua merendah.

“Saya sependapat dengan awak.”

“Kalau awak dah sependapat dengan saya, awak kenalah menghormati saya dan menunaikan permintaan saya.”

“Apakah ini satu syarat?” tanya Datuk sambil menatap biji mata bomoh tua.

Saya lihat bomoh tua seperti terkejut mendengar pertanyaan dari Datuk. Bomoh tua menggaru hujung kening kanannya.

“Terpulanglah pada kamu sendiri. Kalau kamu memikirkan itu sebagai syarat, ia akan menjadi syarat. Kalau kamu fikirkan itu bukan syarat, ia tidak jadi syarat,” penjelasan dari bomoh tua berbelit-belit dan berteka-teki serta mempunyai maksud yang tertentu.

Datuk kerutkan dahi. Dia perlu berhati-hati membalas kata-kata bomoh tua. Silap jawab diri akan terperangkap.

“Saya tidak menganggap itu syarat tetapi apa yang awak minta pada saya itu juga yang saya minta pada awak,” balas Datuk.

“Haa, awak bijak.”

“Baiklah, apa yang awak mahu dari saya,” tanya Datuk.

“Mudah saja, saya minta awak jangan ganggu saya. Ini cara saya cari makan. Saya tahu, awak bukan sebarang orang. Saya tersilap duga. Saya fikir awak macam orang-orang lain yang pernah saya duga. Lagipun awak tidak memperlihatkan kebolehan atau rasa sombong. Inilah yang membuat saya terperangkap,” bomoh tua seperti merayu.

“Saya tak faham,” Datuk berdalih.

“Sebenarnya saya mendampingi benda-benda halus yang ada kaitannya dengan angin, tanah. Benda-benda halus inilah yang banyak membantu saya. Jika ada orang datang minta ubat, benda-benda halus ini memberitahu saya apa penyakit yang dihadapi oleh orang itu."

“Oh begitu, barulah saya tahu. Lepas itu apa yang kamu buat?” soal Datuk.

“Saya terus memberitahu pada orang yang datang di mana sakitnya, apa puncanya hingga mereka percaya pada saya. Saya kenakan bayaran yang mahal.

"Saya juga ambil upah membuat orang, kemudian mengubat orang yang kena buatan itu. Benda-benda halus inilah yang membantu saya,” begitu jujur bomoh tua menerangkan kedudukan yang sebenar.

Saya hanya anggukkan kepala. Datuk lebih banyak termenung setiap kali menerima penjelasan dari bomoh tua.

“Salah seorang yang kamu kenakan, orang yang aku tolong?” tanya Datuk.

“Ya.”

“Kenapa kamu lakukan perkara tu.”

“Aku sebenarnya dendam padanya dan selalu bertelagah dengan aku tentang hal-hal agama, suka membantah.”

“Aku fikir kerana kamu mahu mencampurkan perkara karut-marut dalam hal agama. Umpamanya suruh orang percaya pada keramat, memuja kubur, membayar niat di keramat. Bukan begitu?

“Ya, memang begitu janji aku dengan makhluk halus.”

“Lagi apa janji kamu dengan makhluk-makhluk halus tu?”

“Berusaha mengurangkan akidah agama pada orang kampung. Makhluk-makhluk halus itu pula berusaha menarik perhatian atau mengabui mata orang kampung supaya memuja dan mengagumi kebolehan aku. Orang-orang di sini kebanyakannya buta agama.”

Saya mula merenung ke arah matahari yang kian meninggi. Rasa benci dan menyampah pada bomoh tua mula bertandang dalam dada saya.

Datuk terus meramas sepuluh jari di tangan yang terasa lenguh dan sakit-sakit.

“Macam mana kamu gunakan buatan pada orang yang aku tolong? Datuk bertanya lagi.

Bomoh tua terdiam sejenak. Dia kelihatan keberatan mahu menceritakan kisah sebenar pada Datuk.

“Bagaimana kamu membuatnya?” ulang Datuk.

“Satu hari ada orang mengadu dirinya sakit. Aku katakan kena buatan orang. Dan orang yang membuatnya adalah orang yang kamu lindungi itu. Secara kebetulan mereka pernah bertengkar satu masa dulu. Apalagi, aku jalankan jarum,” bomoh tua menelan air liur.

Keningnya bergerak dua tiga kali menahan sinar matahari yang terik.

“Aku suruh orang itu membalas dendam. Dia setuju. Aku pun jalankan tugas. Bila orang yang di dendam sakit, aku pergi mengubatinya,” sambung bomoh tua itu lagi.

“Ilmu kamu tak sebanyak mana. Tapi kamu berlagak macam orang pandai kemudian memperdayakan orang kampung. Kamu pengkhianat,” Datuk bersuara dengan keras.

Muka bomoh tua ditentangnya. Saya segera mendekati Datuk.

“Kita dah bersahabat. Kau tak boleh marah,” tingkah bomoh tua.

“Ya. Aku tak akan melakukan apa-apa pada kamu. Kejahatan kamu adalah urusan kamu dengan Allah. Tetapi selagi aku masih hidup aku akan melindungi orang-orang lain dari kejahatan kamu,” suara Datuk merendah.

“Jangan khianati aku kawan.”

“Hum, Datuk juihkan bibir."

Kemudian Datuk tarik tangan saya. Kami tinggalkan bomoh tua di situ, di bawah sinar matahari yang kian mengembang.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 92/284

BACA: SBDJ Siri 91: Cahaya Di Lantai
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM

Fordd Pen Llechat, Jalan Paling Curam Di Dunia

Fordd Pen Llechat, Jalan Paling Curam Di Dunia

Sebatang jalan di utara Wales, London, Fordd Pen Llechat, diumumkan sebagai jalan paling curam di dunia, selepas Guinness World Records mengesahkan jalan itu memiliki tahap kecerunan 37.45 peratus, yang mana rekod sebelum ini menjadi milik Jalan Baldwin di Bunedin, New Zealand dengan kadar kecerunan 35 peratus.

Jalan paling curam
Fordd Pen Llechat.

Seorang penduduk tempatan yang giat berkempen bagi mendapatkan pengiktirafan itu, Gwyn Headley berkata, “Saya berasa sangat lega dan gembira. Saya juga berasa kasihan terhadap rakyat New Zealand tetapi lebih curam bermakna lebih curam.”

Biarpun kebanyakan penduduk tinggal di kaki bukit tersebut, farmasi dan pejabat pos terletak di puncak Jalan Fordd Pen Llechat itu.

Headley berkata, "Guinness World Records sangat spesifik dalam kriterianya.”

Kriteria untuk rekod tersebut memerlukan jalan berkenaan digunakan oleh penduduk awam, mempunyai permukaan penuh dan mempunyai bangunan di kedua-dua belah jalan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

'Tidak Perlu Perbesarkan Perceraian Sultan Muhammad V'

'Tidak Perlu Perbesarkan Perceraian Sultan Muhammad V'

Kerajaan Kelantan setakat ini tidak menerima sebarang maklumat rasmi daripada istana Kelantan berhubung perceraian Sultan Muhammad V dengan isterinya Rihana Oksana Gorbatenko, 27, seperti yang dilaporkan beberapa media.

Perceraian Sultan Muhammad V

Menurut laporan akhbar New Straits Times, sumber mengesahkan perceraian itu dimuktamadkan pada 1 Julai lalu, susulan pemfailan cerai di Mahkamah Syariah Singapura pada 22 Julai 2019.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pula berkata, kerajaan negeri tidak berhasrat untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara itu.

"Isu perkahwinan dan perceraian adalah perkara lumrah dalam kehidupan dan tidak perlu dijadikan diperbesarkan atau pun dijadikan sebagai tajuk utama akhbar.

"Saya hairan apabila isu tersebut dijadikan laporan muka hadapan beberapa akhbar utama. Apakah tujuan tindakan itu dilakukan. Kita bimbang jika ada agenda tersembunyi disebalik tindakan itu kerana perkara ini melibatkan seorang Sultan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim di Kota Bharu.

"Sultan ini ibarat mak ayah, kita kena hormatlah macam kita hormat Perdana Menteri. Kita tidak setuju itu cerita lain tetapi penghormatan perlu ada," katanya.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris menyiarkan laporan muka hadapan mengenai Sultan Muhammad V yang didakwa telah menceraikan Rihana Oksana yang berasal dari Rusia.

Dalam pada itu, Mohd Amar berkata kerajaan Kelantan belum menerima sebarang arahan untuk mengambil tindakan ke atas pihak atau individu tertentu yang menyalahgunapakai gelaran dari istana.

Nota: Segala-galanya dirahsiakan pihak istana, jadi jangan salahkan rakyat yang tertanya-tanya. Kata Nabi SAW, war-warkan perkahwinan. Mmm..

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

AS Intip Pengguna Windows 10

AS Intip Pengguna Windows 10

Nampaknya karma telah menjalankan tugasnya apabila AS kini merasai apa yang dilakukannya kepada China tempoh hari, kerana jika berada di Jerman, anda perlu tahu yang Office 365 telah diharamkan atas sebab keselamatan.

Windows 10 Spy

Menurut kerajaan Jerman, perisian daripada Microsoft itu didapati tidak mematuhi akta General Data Protection Regulation (GPDR) berkaitan penggunaannya di tempat pembelajaran.

Daripada dua perisian yang dikenal pasti, Office 365 sudahpun diharamkan dan tidak mustahil Windows 10 menyusul kemudian.

Tahukah anda yang Office 365 edisi Jerman tidak sama dengan versi biasa?

Punca masalahnya adalah, data telemetri daripada perisian itu dihantar ke pelayan yang berada di AS dan boleh 'dibaca' pihak di sana.

Ia tidak berlaku sehinggalah Microsoft menutup pusat data mereka di Jerman dalam bulan Ogos 2018.

Kegusaran Eropah tentang AS mencabar kedaulatan wilayah mereka bukanlah perkara baru.

Contohnya, kerjaaan perancis memiliki aplikasi chat khas kerajaan untuk membasmi penjawatnya menggunakan WhatsApp untuk berbincang hal kerja.

Percayalah, AS adalah pengintip nombor satu di dunia.

BACA INI JUGA:

sumber: soyacincau

Tuesday, July 16, 2019

Benarkah Rihana Oksana Dicerai Talak Tiga?

Benarkah Rihana Oksana Dicerai Talak Tiga?

Sekeping sijil perceraian yang sedang tular menunjukkan wanita Rusia, Rihana Oksana Gorbatenko, 26, sah diceraikan talak tiga, dipercayai didaftarkan 1 Julai 2019 lalu selepas proses perceraian bertarikh 22 Jun di Singapura.

Rihana Oksana cerai talak tiga
Rihana Oksana.

Memetik laporan Astro Awani, sijil penceraian yang dilengkapi dengan nombor siri itu turut menyatakan perceraian itu sudah mendapat kelulusan daripada Mahkamah Syariah.

Model jelita yang dinobatkan sebagai Ratu Moscow 2015 itu dipercayai melangsungkan perkahwinan pada November 2018, lapor portal berita berpusat di United Kingdom, Daily Mail.

Sementara itu, media Moscow yang turut dipetik Daily Mail melaporkan perkahwinan Rihana bergolak pada 24 Januari lalu.

Dalam pada itu, beberapa sumber turut mempertikaikan hantaran Instagram Rihana sejak kebelakangan ini.

Ini kerana hantaran Instagram yang menceritakan kisah-kisah kehidupannya tidak disertakan bersama gambar-gambar baharu Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: sinarharian

Sunday, July 14, 2019

5 Makanan Yang Mengurangkan Kekuatan Seksual Lelaki

5 Makanan Yang Mengurangkan Kekuatan Seksual Lelaki

Ramai sudah maklum tentang makanan yang sesuai diambil untuk kesihatan seksual seperti coklat gelap, badam, tiram, strawberi, asparagus, madu dan lain-lain yang berupaya meningkatkan ghairah seksual. Sama ada kepada lelaki atau wanita, makanan afrodisiak boleh mempengaruhi keseimbangan hormon yang membantu kelancaran dalam hubungan intim.

Makanan Kurangkan Kekuatan Seksual Lelaki

Namun demikian, terdapat juga beberapa sumber makanan dan minuman yang boleh membantutkan keghairahan seksual individu yang tanpa disedari, boleh merosakkan selain menjejaskan organ pembiakan.

Oleh itu cuba elakkan makanan tersebut dalam menu sekiranya anda inginkan hubungan intim yang hebat.

1. MINUMAN BERKARBONAT

Pengambilan minuman bergas, berkarbonat bukan sahaja tidak baik untuk kesihatan, malah ia mempengaruhi turun naik berat badan dan mood anda.

Minuman ini juga adalah antara punca yang menyebabkan masalah kesihatan seperti kencing manis, obesiti, kaviti gigi dan lain-lain.

Jika anda mula mengalami masalah berkaitan isu-isu kesihatan, ia adalah petanda awal yang memberi kesan pada tahap keghairahan anda.

2. MINUMAN KERAS

Mungkin ada yang berasa tenang selepas meneguk beberapa gelas minuman keras namun, sebaliknya minuman keras sebenarnya membuatkan anda mabuk, mengantuk dan tidak peka terhadap apa yang berlaku di sekeliling.

Adakah anda mempunyai perasaan romantis atau rangsangan apabila melihat seseorang terhuyung-hayang kerana mabuk? Pasti tidak bukan?

Ini kerana pengambilan minuman keras akan mendorong tindak balas kimia yang boleh menghalang pengeluaran hormone testosterone kepada lelaki dan mengurangkan keghairahan.

3. GULA-GULA GETAH

Siapa yang tidak suka dengan gula-gula getah bukan? Walaupun ia berupaya menghilangkan masalah nafas berbau serta memberi manfaat kepada sistem pencernaan, namun sebaliknya ia boleh memberi kesan buruk kepada nafsu anda.

Gula-gula getah menghasilkan mentol (sejenis sebatian berhablur yang larut dalam alkohol, berangin dan digunakan dalam membuat ubat-ubatan dan sebagai bahan perisa) yang berupaya menurunkan nafsu seks.

4. SOYA

Soya adalah antara sumber minuman yang berkhasiat juga sumber protein yang baik bagi tubuh, selain pengganti yang sihat bagi daging.

Bagi wanita hamil, soya berupaya membantu pertumbuhan kulit yang lembut kepada bayi namun, tahukah anda kacang soya mengandungi fitoestrogen yang bersaing dengan hormon seks lelaki?

Ia boleh menyebabkan masalah kesuburan, pertumbuhan payudara lelaki dan keguguran bulu yang patut dielakkan.

5. KEJU

Produk-produk tenusu yang boleh didapati di pasaran hari ini tidak semula jadi kerana kebanyakannya sudah diproses.

Produk-produk tenusu yang tinggi kandungan lemak seperti keju boleh menyebabkan kerosakan pada tubuh anda.

Pengambilan produk tenusu yang tinggi dengan kandungan lemak secara berlebihan akan menyebabkan peningkatan toksik di dalam badan.

Secara tidak langsung, ia akan mengganggu pengeluaran semula jadi hormon seperti estrogen, progesteron dan testosteron yang berfungsi meningkatkan keghairahan seksual.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani

SBDJ Siri 91: Cahaya Di Lantai

SBDJ Siri 91: Cahaya Di Lantai

Saya tergamam mendengar arahan yang bertalu-talu dari Datuk dalam keadaan cemas itu. “Saya panas, badan saya berbahang,” sahut guru silat sambil mengangkat tikar mengkuang separas kepalanya.

Toyol jadi-jadian

“Teruskan, baca surah Al-Ikhlas sebanyak yang boleh,” Datuk memberi arahan.

“Baiklah.”

Bunyi dengung tidak juga berkurangan, seluruh ruang rumah mula terang-benderang dengan cahaya merah dan hijau. Percikan cahaya itu yang terkena badan terasa pedih dan sakit.

Kepala saya mula terasa pening tetapi, mata saya masih dapat melihat kecekapan guru silat membungkus badan si sakit dengan tikar lalu digolekkan ke tepi dinding.

Benda bulat yang bercahaya itu terus mengecil dan akhirnya hilang. Telinga saya terasa macam pekak.

Bila Datuk yakin keadaan beransur aman dan tenang, ia mula melangkah menuju ke arah guru silat yang sedang membuka tikar mengkuang untuk mengeluarkan si sakit yang berada di dalamnya.

Baru tiga tapak Datuk melangkah, kelihatan satu sinaran cahaya muncul secara tiba-tiba di tengah bumbung rumah. Cahaya itu jatuh berdentum atas lantai.

Rumah terasa bergegar dan akibat dari gegaran itu, saya terdorong ke kanan. Mulut saya berlaga dengan papan dinding. Bibir saya pecah dan berdarah.

“Kepala manusia,” jerit saya macam kena histeria bila melihat kepala tanpa badan terlekap atas lantai, betul-betul di tempat cahaya dari bumbung jatuh.

Bahagian lehernya terlekap atas papan dengan darah merah melimpah di permukaan lantai. Badan saya terus menggeletar.

Saya renung ke arah isteri si sakit yang terkulai di tepi dinding. Wajahnya pucat. Dadanya nampak berombak membuang dan menarik nafas cemas. Ia kelihatan bagaikan tidak bermaya.

Guru silat terdiam, begitu juga dengan si sakit terus diam dalam gulungan tikar mengkuang.

Dalam keadaan yang takut dan cemas itu, saya terus merenung ke arah kepala tanpa badan di atas lantai.

Wajahnya amat menakutkan. Kulitnya kelihatan kasar dan penuh parut bekas jerawat. Rambutnya panjang dan lebat menutup sebahagian dari permukaan mukanya. Dahinya dililit dengan kulit ular sawa.

Paling menakutkan bila melihat hidung yang besar dan dempak itu bergerak setiap kali menarik dan melepaskan nafas, tidak ubah macam perut katak yang bernafas.

Mata kirinya terpelohong seolah-olah macam ada kepala ular tedung terjenguk di situ. Biji mata sebelah kanannya tersebut sebesar telur ayam. Ia bagaikan tersengih ke arah saya mempamerkan giginya yang bersiung di sebelah kiri.

Kepala itu bergerak ke arah saya dengan menyemburkan air liur kental berwarna kekuningan macam nanah. Saya bagaikan kena pukau tidak terdaya menggerakkan badan.

“Tuk, tolong saya,” saya menjerit.

“Kamu jangan bergerak Tamar,” sahut Datuk.

“Saya ikut cakap Datuk, saya takut tuk.”

“Duduk diam-diam di situ.”

Saya pun mengeraskan badan. Kepala itu terus bergerak dengan darah yang berlimpah-limpah. Sesekali saya terpandang kepala ular tersembul dari mata kirinya.

Tanpa disedari seluar yang saya pakai terus basah. Bau busuk dari kepala tanpa badan mendekati saya membuat saya mahu muntah.

“Hupppp,” jerut Datuk lalu menerkam ke arah kepala tersebut sambil melepaskan satu sepakan kencang.

Kepala atas lantai melayang ke udara macam bola. Berlegar-legar di udara. Serentak dengan itu terdengar bunyi suara orang bersorak dan menangis.

Angin dan ribut kedengaran menggila di luar rumah. Terdengar bunyi dahan dan pokok tumbang dirempuh angin yang amat kuat.

Bunyi suara harimau, gajah dan kerbau serta lembu kedengaran menguasai ruang rumah. Saya tidak tahu dari mana suara tersebut datang.

Kepala yang berlegar-legar di awang-awangan itu, terus bergerak dari sudut ke sudut ruang. Darah bercucuran menitik atas lantai dari bahagian bawah kepala iaitu di bahagian leher yang terpotong. Darah segar itu terus mengembang di lantai.

Guru silat terpaksa menutup kepala dan badan isteri si sakit dengan kain untuk mengelakkan dari terkena titik-titik darah dari kepala tanpa badan yang terbang.

Datuk terus meniarap dan menggerakkan badannya seperti ular menuju ke arah guru silat. Gerakan badan Datuk tidak dapat berjalan lancar seperti yang diharapkan.

Kepala tanpa badan yang terapung-apung di awang-awangan itu terus berlegar-legar mengikut gerakan badan Datuk.

Apa yang menakjubkan, darah yang menitik tidak menimpa tubuh Datuk. Darah itu bagaikan ditolak kuasa ghaib menuju ke dinding.

“Kita lawan, biar saya pukul kepala tu dengan kayu,” guru silat mengemukakan pertanyaan. Tiada jawapan dari Datuk.

Suara orang bersorak dan menangis bertambah hebat dan kuat.

“Jangan bertindak,” jawab Datuk.

Serentak dengan itu saya lihat Datuk terus bangun.

Kepala terbang menuju ke arah Datuk. Berhenti betul-betul di depan muka Datuk atau dengan kata lain mereka bertentang wajah.

Saya mengerutkan dahi, bila terlihat ular keluar dari mata sebelah kiri kepala tanpa badan. Lidah ular yang bercabang itu hampir saja mahu menjamah muka Datuk tetapi, Datuk segera bertindak dengan menjatuhkan badannya ke lantai.

Paling menakjubkan bila saya melihat kepala tersebut ikut sama jatuh atas lantai. Dari mulutnya bersemburan air liur.

Bagi mengelakkan air liur itu mengenai mata dan muka, cepat-cepat Datuk menekupkan mukanya ke lantai sambil memusingkan badannya secepat yang boleh.

Serentak dengan itu, kaki Datuk memberi satu pukulan libas yang amat kencang pada kepala tersebut.

Tendangan yang cepat dan kuat dari kaki Datuk menyebabkan kepala itu melayang ke kanan lalu melanggar dinding. Dua keping papan dinding terlucut dari pakunya.

Serentak dengan itu, saya terdengar suara orang menjerit kesakitan. Datuk segera bangun dan menerkam ke arah dinding yang terkopak.

Isteri si sakit terus diangkat oleh guru silat, dibawa ke bilik di bahagian bawah rumah. Manakala si sakit masih berada dalam bungkusan tikar mengkuang.

Suasana malam terasa gamat dengan berbagai-bagai bunyi yang tidak pernah saya dengar. Lantai terasa terumbang-ambing dan bumbung bagaikan bergoyang.

“Ke mana kepala sial tu Tamar? Hilang begitu saja,” pekik Datuk sambil mencari kepala ganjil yang tidak di undang itu.

Saya gelengkan kepala dan merasa hairan dengan kepala ganjil yang ghaib dengan tiba-tiba.

Datuk merenung melalui lubang dinding yang terkopak. Apa yang Datuk lihat hanya kegelapan malam yang sedang bermaharajalela.

“Ke mari Tamar.”

Saya terus mendekati Datuk dan sama-sama merenung keluar. Saya terlihat seperti ada seketul bara api yang sedang marak di permukaan tanah.

Bara api itu kelihatan sekejap mengecil dan sekejap mengembang macam ada manusia yang meniupnya.

“Kau tahu apa benda tu Tamar?”

“Itulah mata syaitan.”

“Mata syaitan,” saya terkejut.

“Ya,” jawab Datuk lalu mengambil papan dinding yang jatuh di lantai untuk dipasang ke tempatnya kembali.

Sebaik saja Datuk mengangkat papan dinding separas lutut, seketul cahaya meluru masuk ikut lubang lalu terkena papan dinding yang dipegang oleh Datuk.

Papan itu terlepas dari tangan Datuk dan Datuk terjatuh tetapi, Datuk berusaha untuk bangun. Usaha Datuk berhasil.

Benda bulat yang bercahaya sebesar buah mempelam itu berpusing ligat atas lantai.

Benda bulat berhenti berpusing dan terus hilang diganti dengan kepala aneh. Bentuk dan keadaannya tetap macam tadi.

Datuk renung kepala itu dengan renungan tajam. Semua pancaindera Datuk tertumpu ke situ dan saya kira renungan itu adalah renungan makrifat penuh kebatinan.

Datuk menggunakan apa yang ada pada dirinya untuk menegakkan kebenaran.

“Mahu menguji aku?” Datuk bersuara keras.

Wajahnya nampak berkerut. Renungan Datuk yang tajam itu ditentang oleh sepasang mata dari kepala aneh.

Mata kanan kepala yang tersembul terus mengecil menjadi macam mata manusia biasa. Begitu juga dengan mata sebelah kiri yang tadi sering mengeluarkan kepala ular tedung, juga bertukar menjadi mata manusia biasa.

Datuk terus duduk bersila di lantai. Sepasang tangannya diletakkan atas kedua belah kepala lutut. Matanya tidak berkedip menentang sepasang mata dari kepala aneh.

Semua urat-urat di lengan dan tangan Datuk kelihatan timbul dan tegang begitu juga dengan urat di leher dan muka. Peluh-peluh halus mula meruap di dahi dan pipi.

Tiba-tiba Datuk terlentang, macam kena tendangan yang kuat. Kedua belah tangannya terkapar dengan jejarinya terbuka dan bengkok.

Seluruh badan Datuk menggeletar dan tersentak-sentak seperti terkena kejutan elektrik.

Kepala aneh terus terlompat-lompat. Mulutnya mula tersengih mempamerkan gigi besarnya.

Suara angin dari luar begitu keras dan kuat masuk ke dalam perut rumah. Saya menggeletar dan rasa takut mula menguasai diri.

Datuk cuba bangun tapi tidak berdaya, dalam keadaan yang samar-samar saya melihat sepasang kaki berbulu tebal memijak bahagian dada Datuk membuat Datuk sukar bernafas.

Datuk terus berjuang cuba menggerakkan badannya ke kanan dan ke kiri. Saya cuba menjerit tetapi, suara saya tidak keluar.

Saya terdengar jeritan si sakit memanjang dan meninggi.

Dengan sepenuh tenaga Datuk menghentakkan siku kanannya ke lantai sambil memusingkan badannya ke kanan. Tangan kirinya melepaskan penumbuk ke kaki berbulu.

Sebaik saja tumbukan itu terkena pada sasarannya, kaki yang berbulu itu terus ghaib. Jeritan si sakit terus bergema. Datuk tumbuk lantai lagi sekali. Kali ini jeritan si sakit terus mati.

Datuk terus bangun. Berdiri gagah dengan kedua belah kakinya terkangkang. Kedua belah tangannya diluruskan ke depan.

Datuk tarik nafas panjang sambil membengkokkan kaki kanannya. Badannya terus direndahkan. Datuk hulurkan kaki kanan ke arah dinding.

“Hupppppppp,” suara Datuk keras dan saya lihat Datuk melompat hingga kepalanya tersentuh tulang bumbung. Datuk bagaikan berada di awangan beberapa saat.

Ketika berada di awang-awangan itu, Datuk kembangkan sepuluh jari tangan dan jari kakinya. Bila semua jari tangan dan kaki terkembang Datuk segera membengkokkan badannya.

Tubuh Datuk yang seketul itu kelihatan berpusing beberapa kali sebelum menyentuh lantai.

Semua gerakan yang Datuk lakukan, saya perhatikan dengan teliti. Datuk duduk bersila di lantai kembali.

Kepala aneh terus bergolek dari sudut ke sudut ruang rumah. Lidahnya yang terjelir mengeluarkan darah kental bukannya air liur. Darah kental itu melekat di lantai. Saya mula terhidu bau hanyir.

Sedang saya mengesan dari arah mana bau hanyir itu datang, saya dikejutkan oleh bunyi kaki orang berlari dalam rumah.

Saya segera angkat kepala dan saya terlihat isteri si sakit berdiri di depan saya, seluruh badannya dibaluti dengan kekabu. Susah untuk saya melihat biji mata dan wajahnya.

Saya menelan air liur bila melihat isteri si sakit, mengoyakkan bantal panjang yang dibawanya. Semua kekabu itu berterbangan lalu mengenai muka dan badan Datuk.

Saya lihat, Datuk tidak berusaha menepis kekabu yang melekat di hidungnya. Dibiarkannya kekabu itu berada di situ.

Isteri si sakit terus merapati Datuk sambil melepaskan beberapa tendangan yang kencang. Datuk mengelak ke kiri dan ke kanan.

Kerana tendangannya tidak mengenai tubuh Datuk, isteri si sakit jadi marah. Dia berusaha melepaskan tendangan bertalu-talu.

Datuk bertindak, kaki kanan isteri si sakit Datuk tangkap dan pusing ke kiri dengan sekuat hati.

Tubuh isteri si sakit jatuh atas lantai. Serentak dengan itu, terdengar suara jeritan dari isteri si sakit. Guru silat segera mendekatinya untuk memberi bantuan.

“Duduk, jangan dekat dia,” suara Datuk keras tanpa merenung ke arah guru silat.

“Dia sakit,” sahut guru silat.

“Jangan bantah cakap aku,” sergah Datuk. Guru silat patuh dengan cakap Datuk.

Datuk terus memulas kaki isteri si sakit dengan sekuat hati hingga perempuan malang itu terkencing dan terus diam. Terkulai di lantai, tidak sedarkan diri.

Kepala aneh segera mendekati isteri si sakit untuk menjilat dahi wanita yang terkapar.

Belum pun sempat lidah yang panjang dan berwarna merah garang menyentuh dahi isteri si sakit, Datuk segera menepuk lantai dengan tangan kanan.

Dia terus melompat dan menerkam ke arah kepala aneh. Bagaikan kilat Datuk menarik telinga kiri kepala aneh itu.

“Tuk, mulutnya gigit lengan tuk,” jerit saya bila melihat mulut dari kepala aneh itu menggigit lengan Datuk.

Guru silat segera bangun dan mendekati Datuk untuk menolong. Baru tiga langkah guru silat melangkah, satu tamparan kencang mengenai pangkal lehernya.

Guru silat tersembam dan tidak berdaya bangun. Saya mencapai sepotong kayu untuk membantu, saya juga menerima satu tendangan di rusuk kiri.

Pandangan saya berpinar. Lantai rumah terasa bergoyang dan saya terhuyung-hayang lalu jatuh.

Saya cuma dapat melihat lelehan darah di lengan kanan Datuk. Gigi tajam dari mulut kepala aneh terus terbenam dalam lengan daging Datuk. Muka Datuk berkerut menahan rasa sakit.

Datuk hentak kepala aneh ke dinding dengan harapan gigitan di lengan akan dilepaskan.

Usaha Datuk itu tidak berhasil, malah lidah dari mulut kepala aneh itu mula membelit leher Datuk.

Saya lihat Datuk sukar bernafas. Datuk terus terhuyung-hayang dan akhirnya Datuk jatuh atas lantai.

Datuk terus bergolek atas lantai. Datuk berusaha menghentak kepala aneh pada tiang seri beberapa kali.

Gigitan di lengan tidak juga terlepas, begitu juga dengan belitan lidah di leher Datuk. Muka Datuk berpeluh dan pucat.

Batang lehernya terus dilumur darah dari kepala aneh itu. Dengan sekuat tenaga Datuk hayunkan kepala aneh itu ke tiang seri hingga gigitan di lengan Datuk terlepas. Belitan lidah di leher juga terbuka.

Datuk segera mengambil bantal panjang yang koyak dan terus menyerkup kepala aneh. Kepala aneh itu terus menggelupur dalam bantal panjang.

Kekabu berhamburan dan berterbangan. Datuk memegang hujung bantal itu dengan sekuat hati.

“Tamar, mari tolong aku.”

Saya segera menghampiri Datuk. Saya diarahkan Datuk untuk memotong lengan baju kirinya separa siku.

Perintahnya saya patuhi lengan baju yang sudah dipotong itu segera saya apitkan ke celah ketiak. Kemudian saya serahkan pada Datuk.

“Sudah kamu ikut petua yang aku berikan.”

“Sudah tuk.”

“Sekarang kamu pergi dekat guru silat, bisikkan surah Al-Ikhlas sebanyak tiga kali, kemudian bacakan surah Al-Kursi sekali.”

“Baik tuk.”

Saya segera mendekati guru silat. Apa yang dipesan oleh Datuk segera saya tunaikan. Saya berhasil, guru silat boleh bangun.

Tanpa menerima perintah dari Datuk, saya ajak guru silat mendekati isteri si sakit. Apa yang saya lakukan pada guru silat, itu jugalah yang saya lakukan pada isteri si sakit.

Saya tidak tahu, kenapa semuanya itu saya lakukan. Saya seperti didesak oleh suara hati saya untuk berbuat demikian.

Kepala aneh yang sudah Datuk sumbatkan dalam bantal panjang itu terus bergerak-gerak, berusaha mahu keluar dari dalam bantal tersebut.

Datuk terus mengikat hujung bantal panjang dengan kain lengan baju kiri. Datuk gantungkan kepala aneh yang berada dalam bantal panjang ke paku di tiang seri.

Bantal itu terus bergerak ke kiri dan ke kanan diiringi dengan bunyi deru angin yang amat kuat. Datuk segera mendekati kami.

“Bawa perempuan ni ke dapur dan mandikan dengan air. Bila dah selesai dimandikan, kunci dalam biliknya,” Datuk keluarkan arahan.

Deru angin yang kuat terus ditingkah dengan bunyi petir dan hujan lebat. Dalam keadaan yang haru-biru itu, semua perintah Datuk dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Kami mendekati Datuk lagi untuk mendengar arahan selanjutnya.

TERKEJUT

Saya dan guru silat terkejut, bila melihat Datuk mengoyakkan gulung tikar yang membalut tubuh si sakit.

Saya mengucap panjang, tubuh si sakit sudah dipenuhi dengan bulu macam bulu di badan orang utan.

Wajah si sakit juga berubah seperti muka beruk jantan mempamerkan sepasang taring yang cukup tajam. Si sakit cuba bangun untuk menyerang Datuk.

“Jangan apa-apakan, dia tak boleh melakukan apa-apa pada kita,” kata Datuk pada guru silat yang cuba mahu menutup si sakit dengan tikar mengkuang.

Tujuan guru silat berbuat demikian untuk menghalang si sakit yang berubah rupa itu dari menyerang Datuk.

Cakap Datuk memang betul, si sakit cuma terdaya duduk saja. Setelah itu ia jatuh terlentang kembali.

Cara mendadak saja kami alihkan pandangan pada bantal panjang yang tersangkut di tiang seri. Bentuk dan keadaan bantal sudah berubah, jadi lebih panjang.

Bahagian atas dan bawah terikat, macam mayat yang sudah dikapankan terbuai-buai di terpa angin yang berputar dalam ruang rumah.

“Haaaaaa,” saya terkejut sambil membeliakkan biji mata.

Ada tangan terjulur bersama kuku yang panjang dari dalam bantal tersebut. Saya juga melihat sebahagian dari kain tersebut diresapi dengan darah.

Terdengar suara orang menangis dan menggilai dalam deru hujan dan angin yang amat keras.

“Macam mana boleh jadi begitu, bantal panjang bertukar jadi kain kafan dan ada mayat pula di dalamnya? Mayat siapa pula!”

“Tak usah banyak cakap, kita tengok saja,” jawab Datuk pada rungutan guru silat. Saya renung muka guru silat yang kehampaan.

Datuk terus termenung panjang. Mulutnya nampak bergerak-gerak macam membaca sesuatu. Apa yang dibacanya, saya sendiri pun tidak tahu.

“Bantal itu tetap bantal, cuma pandangan mata kita saja ditipu oleh iblis,” Datuk bersuara lembut.

Dia terus bergerak tiga langkah ke belakang. Berhenti. Bergerak ke kanan tiga langkah. Berhenti. Bergerak ke kiri tiga langkah. Berhenti.

Datuk tarik nafas dalam dan matanya tidak berkedip merenung ke arah bantal panjang yang nampak seperti kain kafan.

Tiba-tiba yang ditenung oleh Datuk terlucut dari tempatnya. Jatuh berdentum atas lantai. Rumah terasa bergoyang.

Benda ganjil itu terus bergolek, keadaannya juga sungguh luar biasa. Ada waktunya kelihatan menipis, ada masanya membulat, ada ketikanya memanjang.

Sepasang mata Datuk terus menyorok ke arah benda ganjil itu, tidak kira ke mana benda itu bergolek.

Saya lihat bantal panjang yang tadi bersarungkan kain warna merah muda sudah bertukar dengan kain biru muda.

Tangan dan kuku yang terjulur tetap seperti tadi, malah kukunya yang tadi nampak berwarna putih pucat sudah bertukar menjadi kemerah-merahan.

Urat-urat di belakang tangannya mula timbul seperti akar yang timbul di permukaan bumi.

Datuk masih berdiri. Sepasang kakinya bagaikan terpaku di lantai. Perlahan-lahan Datuk angkat kaki kanannya agak tinggi dari biasa kemudian menghentakkan ke lantai.

Benda yang bergolek terus terangkat seperti ditarik sesuatu hingga ke paras palang pintu.

Sebelum benda ganjil itu jatuh, Datuk segera mengambil tikar lalu digulungnya dengan cepat sekali.

Tikar mengkuang yang sudah digulung itu segera ditegakkan, di tempat yang diduga benda ganjil itu akan jatuh.

Bila tikar sudah ditegakkan di tempat yang Datuk fikirkan sesuai, Datuk segera berlari mendekati kami.

Wajahnya kemerah-merahan dan penuh dengan peluh. Saya lihat peluh tersebut menuju ke hujung dagu lalu jatuh atas dada Datuk.

“Sekarang bersedia,” kata Datuk lalu merenung muka saya dan guru silat. Saya menggigit bibir.

Saya mencari tujuan sebenar kata-kata yang Datuk ucapkan itu. Dan saya kira guru silat juga tidak dapat menangkap maksud dari kata-kata yang Datuk hamburkan itu.

“Sedia apa?” tanya guru silat.

“Bukankah sudah aku cakapkan tadi,” jawab Datuk.

“Awak tak beri apa-apa arahan pun.”

“Betulkah saya tak beri arahan?”

“Betul tuk,” balas saya dan guru silat anggukkan kepala.

Datuk terus gosok pangkal hidungnya beberapa kali. Sinar matanya lembut tertumpu ke wajah saya.

Datuk senyum dan saya sudah arif benar dengan perangai Datuk. Bila dia senyum begitu, ertinya secara tidak langsung Datuk mengakui kesilapan yang dilakukannya secara tidak sengaja.

“Kita mesti cepat bertindak, mari kita baca ayat Al-Kursi sebelum benda itu jatuh atas tikar yang saya tegakkan tadi,” ujar Datuk.

Saya dan guru silat segera anggukkan kepala dan kami segera berdiri di sisi Datuk.

Kami pun membaca ayat suci yang dikatakan oleh Datuk dalam hati dengan teliti dan sebutan yang betul.

Sebaik saja pembacaan kami berakhir, benda ganjil tadi terus jatuh atas tikar mengkuang yang ditegakkan, kami terdengar bunyi petir yang amat kuat di luar rumah.

Tikar mengkuang yang ditegakkan terus rebah dengan sendirinya. Terdapat api kecil di sekeliling tikar yang rebah itu. api itu terus marak, macam disiram petrol.

Ternyata, api itu marak hanya untuk beberapa minit saja. Kemudian api itu terus padam.

Tidak jauh dari tikar tersebut terdapat bantal panjang dalam keadaan yang elok, tidak ada yang koyak. Keadaannya tetap seperti asal.

Bunyi angin yang menguasai ruang rumah terus hilang. Dekat tiang seri dapat tempurung kelapa jantan yang dibaluti sabut nipis.

Tempurung kelapa jantan itu tergolek di situ. Tiba-tiba anak telinga saya menangkap suara azan memecah subuh yang bening. Keadaan dalam rumah jadi tenteram.

“Kau pergi buka bilik orang yang kau kunci tadi,” Datuk keluarkan arahan pada guru silat.

Saya lihat guru silat keberatan untuk memenuhi permintaan Datuk.

“Kenapa diam, pergilah buka,” sergah Datuk.

“Tapi.”

“Tak ada tapi, dia tak akan menjerit atau mencekik kamu, syaitan yang menguasainya sudah lari,” kata Datuk.

Guru silat segera pergi ke tempat yang diarahkan. Datuk dan saya segera mendekati si sakit. Datuk tepuk dahi si sakit tiga kali. Tanpa diduga, si sakit terus bangun.

“Apa macam,” itu yang diucapkan oleh si sakit pada Datuk.

“Kau bagaimana pula?”

“Saya rasa badan saya segar, macam tak ada sesuatu yang saya tanggung,” jawab si sakit dengan senyum.

Dia terus bangun. Berjalan dalam ruang rumah. Bila dia mahu keluar Datuk segera memegang bahunya.

“Kenapa?”

“Kau belum boleh pijak bumi selagi matahari belum terbit. Kalau badan kau dah sihat, pergilah mandi. Kita sembahyang subuh kemudian kau buatlah sembahyang syukur pada Allah yang menghilangkan penyakit yang kamu tanggung selama ini.”

“Baik,” jawab si sakit dan terus menuju ke bilik mandi.

Saya menggigit bibir, lelaki yang setiap kali malam saya lihat terlantar dengan perut buncit dan bila mahu bangun terpaksa menggunakan bantuan tali, kini sudah boleh bergerak ke mana saja.

Melihat gerak-gerinya, lelaki itu bagaikan tidak pernah mengalami sebarang sakit.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 91/284

BACA: SBDJ Siri 90: Ilmu Pukau Kucing
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM

Juruterbang Berjaya Rakam UFO Di Grand Canyon

Juruterbang Berjaya Rakam UFO Di Grand Canyon

Seorang juruterbang, Mike Wagner, berjaya merakam dua objek terbang tidak dikenali (UFO) sedang meluncur di ngarai Grand Canyon, Arizona, kemudian memuat naik klip video pelik itu di laman perkongsian video YouTube, Rabu lalu (3/7/2019).

Grand Canyon UFO

Rakaman itu bermula dengan memaparkan panorama di Taman Negara Grand Canyon dalam negeri Arizona, Amerika Syarikat.

Sejurus kemudian, dua objek terbang dilihat pada sudut kiri klip video tersebut, menunjukkan dua UFO itu terbang dalam formasi dan selari di lokasi pelancongan popular tersebut.

Peminat teori konspirasi dikenali sebagai The Hidden Underbelly, kemudian berkongsi rakaman itu.

Sejak itu, beribu-ribu orang telah menonton klip video tersebut.

“Kapal makhluk asing, kata seorang pengguna media sosial, manakala seorang netizen lain berkata, ia mengagumkan."

Seorang lagi netizen bagaimanapun berkata, dia mengalami pengalaman serupa di lokasi sama.

“Saya sedang menonton rakaman video terbaharu saya yang dirakam di Arizona dan melihat objek terbang berbentuk seperti cerut,” katanya.

Saksikan videonya dibawah.

BACA INI JUGA:


-Sentiasapanas.com