Sunday, July 14, 2019

SBDJ Siri 91: Cahaya Di Lantai


Saya tergamam mendengar arahan yang bertalu-talu dari Datuk dalam keadaan cemas itu. “Saya panas, badan saya berbahang,” sahut guru silat sambil mengangkat tikar mengkuang separas kepalanya.

Toyol jadi-jadian

“Teruskan, baca surah Al-Ikhlas sebanyak yang boleh,” Datuk memberi arahan.

“Baiklah.”

Bunyi dengung tidak juga berkurangan, seluruh ruang rumah mula terang-benderang dengan cahaya merah dan hijau. Percikan cahaya itu yang terkena badan terasa pedih dan sakit.

Kepala saya mula terasa pening tetapi, mata saya masih dapat melihat kecekapan guru silat membungkus badan si sakit dengan tikar lalu digolekkan ke tepi dinding.

Benda bulat yang bercahaya itu terus mengecil dan akhirnya hilang. Telinga saya terasa macam pekak.

Bila Datuk yakin keadaan beransur aman dan tenang, ia mula melangkah menuju ke arah guru silat yang sedang membuka tikar mengkuang untuk mengeluarkan si sakit yang berada di dalamnya.

Baru tiga tapak Datuk melangkah, kelihatan satu sinaran cahaya muncul secara tiba-tiba di tengah bumbung rumah. Cahaya itu jatuh berdentum atas lantai.

Rumah terasa bergegar dan akibat dari gegaran itu, saya terdorong ke kanan. Mulut saya berlaga dengan papan dinding. Bibir saya pecah dan berdarah.

“Kepala manusia,” jerit saya macam kena histeria bila melihat kepala tanpa badan terlekap atas lantai, betul-betul di tempat cahaya dari bumbung jatuh.

Bahagian lehernya terlekap atas papan dengan darah merah melimpah di permukaan lantai. Badan saya terus menggeletar.

Saya renung ke arah isteri si sakit yang terkulai di tepi dinding. Wajahnya pucat. Dadanya nampak berombak membuang dan menarik nafas cemas. Ia kelihatan bagaikan tidak bermaya.

Guru silat terdiam, begitu juga dengan si sakit terus diam dalam gulungan tikar mengkuang.

Dalam keadaan yang takut dan cemas itu, saya terus merenung ke arah kepala tanpa badan di atas lantai.

Wajahnya amat menakutkan. Kulitnya kelihatan kasar dan penuh parut bekas jerawat. Rambutnya panjang dan lebat menutup sebahagian dari permukaan mukanya. Dahinya dililit dengan kulit ular sawa.

Paling menakutkan bila melihat hidung yang besar dan dempak itu bergerak setiap kali menarik dan melepaskan nafas, tidak ubah macam perut katak yang bernafas.

Mata kirinya terpelohong seolah-olah macam ada kepala ular tedung terjenguk di situ. Biji mata sebelah kanannya tersebut sebesar telur ayam. Ia bagaikan tersengih ke arah saya mempamerkan giginya yang bersiung di sebelah kiri.

Kepala itu bergerak ke arah saya dengan menyemburkan air liur kental berwarna kekuningan macam nanah. Saya bagaikan kena pukau tidak terdaya menggerakkan badan.

“Tuk, tolong saya,” saya menjerit.

“Kamu jangan bergerak Tamar,” sahut Datuk.

“Saya ikut cakap Datuk, saya takut tuk.”

“Duduk diam-diam di situ.”

Saya pun mengeraskan badan. Kepala itu terus bergerak dengan darah yang berlimpah-limpah. Sesekali saya terpandang kepala ular tersembul dari mata kirinya.

Tanpa disedari seluar yang saya pakai terus basah. Bau busuk dari kepala tanpa badan mendekati saya membuat saya mahu muntah.

“Hupppp,” jerut Datuk lalu menerkam ke arah kepala tersebut sambil melepaskan satu sepakan kencang.

Kepala atas lantai melayang ke udara macam bola. Berlegar-legar di udara. Serentak dengan itu terdengar bunyi suara orang bersorak dan menangis.

Angin dan ribut kedengaran menggila di luar rumah. Terdengar bunyi dahan dan pokok tumbang dirempuh angin yang amat kuat.

Bunyi suara harimau, gajah dan kerbau serta lembu kedengaran menguasai ruang rumah. Saya tidak tahu dari mana suara tersebut datang.

Kepala yang berlegar-legar di awang-awangan itu, terus bergerak dari sudut ke sudut ruang. Darah bercucuran menitik atas lantai dari bahagian bawah kepala iaitu di bahagian leher yang terpotong. Darah segar itu terus mengembang di lantai.

Guru silat terpaksa menutup kepala dan badan isteri si sakit dengan kain untuk mengelakkan dari terkena titik-titik darah dari kepala tanpa badan yang terbang.

Datuk terus meniarap dan menggerakkan badannya seperti ular menuju ke arah guru silat. Gerakan badan Datuk tidak dapat berjalan lancar seperti yang diharapkan.

Kepala tanpa badan yang terapung-apung di awang-awangan itu terus berlegar-legar mengikut gerakan badan Datuk.

Apa yang menakjubkan, darah yang menitik tidak menimpa tubuh Datuk. Darah itu bagaikan ditolak kuasa ghaib menuju ke dinding.

“Kita lawan, biar saya pukul kepala tu dengan kayu,” guru silat mengemukakan pertanyaan. Tiada jawapan dari Datuk.

Suara orang bersorak dan menangis bertambah hebat dan kuat.

“Jangan bertindak,” jawab Datuk.

Serentak dengan itu saya lihat Datuk terus bangun.

Kepala terbang menuju ke arah Datuk. Berhenti betul-betul di depan muka Datuk atau dengan kata lain mereka bertentang wajah.

Saya mengerutkan dahi, bila terlihat ular keluar dari mata sebelah kiri kepala tanpa badan. Lidah ular yang bercabang itu hampir saja mahu menjamah muka Datuk tetapi, Datuk segera bertindak dengan menjatuhkan badannya ke lantai.

Paling menakjubkan bila saya melihat kepala tersebut ikut sama jatuh atas lantai. Dari mulutnya bersemburan air liur.

Bagi mengelakkan air liur itu mengenai mata dan muka, cepat-cepat Datuk menekupkan mukanya ke lantai sambil memusingkan badannya secepat yang boleh.

Serentak dengan itu, kaki Datuk memberi satu pukulan libas yang amat kencang pada kepala tersebut.

Tendangan yang cepat dan kuat dari kaki Datuk menyebabkan kepala itu melayang ke kanan lalu melanggar dinding. Dua keping papan dinding terlucut dari pakunya.

Serentak dengan itu, saya terdengar suara orang menjerit kesakitan. Datuk segera bangun dan menerkam ke arah dinding yang terkopak.

Isteri si sakit terus diangkat oleh guru silat, dibawa ke bilik di bahagian bawah rumah. Manakala si sakit masih berada dalam bungkusan tikar mengkuang.

Suasana malam terasa gamat dengan berbagai-bagai bunyi yang tidak pernah saya dengar. Lantai terasa terumbang-ambing dan bumbung bagaikan bergoyang.

“Ke mana kepala sial tu Tamar? Hilang begitu saja,” pekik Datuk sambil mencari kepala ganjil yang tidak di undang itu.

Saya gelengkan kepala dan merasa hairan dengan kepala ganjil yang ghaib dengan tiba-tiba.

Datuk merenung melalui lubang dinding yang terkopak. Apa yang Datuk lihat hanya kegelapan malam yang sedang bermaharajalela.

“Ke mari Tamar.”

Saya terus mendekati Datuk dan sama-sama merenung keluar. Saya terlihat seperti ada seketul bara api yang sedang marak di permukaan tanah.

Bara api itu kelihatan sekejap mengecil dan sekejap mengembang macam ada manusia yang meniupnya.

“Kau tahu apa benda tu Tamar?”

“Itulah mata syaitan.”

“Mata syaitan,” saya terkejut.

“Ya,” jawab Datuk lalu mengambil papan dinding yang jatuh di lantai untuk dipasang ke tempatnya kembali.

Sebaik saja Datuk mengangkat papan dinding separas lutut, seketul cahaya meluru masuk ikut lubang lalu terkena papan dinding yang dipegang oleh Datuk.

Papan itu terlepas dari tangan Datuk dan Datuk terjatuh tetapi, Datuk berusaha untuk bangun. Usaha Datuk berhasil.

Benda bulat yang bercahaya sebesar buah mempelam itu berpusing ligat atas lantai.

Benda bulat berhenti berpusing dan terus hilang diganti dengan kepala aneh. Bentuk dan keadaannya tetap macam tadi.

Datuk renung kepala itu dengan renungan tajam. Semua pancaindera Datuk tertumpu ke situ dan saya kira renungan itu adalah renungan makrifat penuh kebatinan.

Datuk menggunakan apa yang ada pada dirinya untuk menegakkan kebenaran.

“Mahu menguji aku?” Datuk bersuara keras.

Wajahnya nampak berkerut. Renungan Datuk yang tajam itu ditentang oleh sepasang mata dari kepala aneh.

Mata kanan kepala yang tersembul terus mengecil menjadi macam mata manusia biasa. Begitu juga dengan mata sebelah kiri yang tadi sering mengeluarkan kepala ular tedung, juga bertukar menjadi mata manusia biasa.

Datuk terus duduk bersila di lantai. Sepasang tangannya diletakkan atas kedua belah kepala lutut. Matanya tidak berkedip menentang sepasang mata dari kepala aneh.

Semua urat-urat di lengan dan tangan Datuk kelihatan timbul dan tegang begitu juga dengan urat di leher dan muka. Peluh-peluh halus mula meruap di dahi dan pipi.

Tiba-tiba Datuk terlentang, macam kena tendangan yang kuat. Kedua belah tangannya terkapar dengan jejarinya terbuka dan bengkok.

Seluruh badan Datuk menggeletar dan tersentak-sentak seperti terkena kejutan elektrik.

Kepala aneh terus terlompat-lompat. Mulutnya mula tersengih mempamerkan gigi besarnya.

Suara angin dari luar begitu keras dan kuat masuk ke dalam perut rumah. Saya menggeletar dan rasa takut mula menguasai diri.

Datuk cuba bangun tapi tidak berdaya, dalam keadaan yang samar-samar saya melihat sepasang kaki berbulu tebal memijak bahagian dada Datuk membuat Datuk sukar bernafas.

Datuk terus berjuang cuba menggerakkan badannya ke kanan dan ke kiri. Saya cuba menjerit tetapi, suara saya tidak keluar.

Saya terdengar jeritan si sakit memanjang dan meninggi.

Dengan sepenuh tenaga Datuk menghentakkan siku kanannya ke lantai sambil memusingkan badannya ke kanan. Tangan kirinya melepaskan penumbuk ke kaki berbulu.

Sebaik saja tumbukan itu terkena pada sasarannya, kaki yang berbulu itu terus ghaib. Jeritan si sakit terus bergema. Datuk tumbuk lantai lagi sekali. Kali ini jeritan si sakit terus mati.

Datuk terus bangun. Berdiri gagah dengan kedua belah kakinya terkangkang. Kedua belah tangannya diluruskan ke depan.

Datuk tarik nafas panjang sambil membengkokkan kaki kanannya. Badannya terus direndahkan. Datuk hulurkan kaki kanan ke arah dinding.

“Hupppppppp,” suara Datuk keras dan saya lihat Datuk melompat hingga kepalanya tersentuh tulang bumbung. Datuk bagaikan berada di awangan beberapa saat.

Ketika berada di awang-awangan itu, Datuk kembangkan sepuluh jari tangan dan jari kakinya. Bila semua jari tangan dan kaki terkembang Datuk segera membengkokkan badannya.

Tubuh Datuk yang seketul itu kelihatan berpusing beberapa kali sebelum menyentuh lantai.

Semua gerakan yang Datuk lakukan, saya perhatikan dengan teliti. Datuk duduk bersila di lantai kembali.

Kepala aneh terus bergolek dari sudut ke sudut ruang rumah. Lidahnya yang terjelir mengeluarkan darah kental bukannya air liur. Darah kental itu melekat di lantai. Saya mula terhidu bau hanyir.

Sedang saya mengesan dari arah mana bau hanyir itu datang, saya dikejutkan oleh bunyi kaki orang berlari dalam rumah.

Saya segera angkat kepala dan saya terlihat isteri si sakit berdiri di depan saya, seluruh badannya dibaluti dengan kekabu. Susah untuk saya melihat biji mata dan wajahnya.

Saya menelan air liur bila melihat isteri si sakit, mengoyakkan bantal panjang yang dibawanya. Semua kekabu itu berterbangan lalu mengenai muka dan badan Datuk.

Saya lihat, Datuk tidak berusaha menepis kekabu yang melekat di hidungnya. Dibiarkannya kekabu itu berada di situ.

Isteri si sakit terus merapati Datuk sambil melepaskan beberapa tendangan yang kencang. Datuk mengelak ke kiri dan ke kanan.

Kerana tendangannya tidak mengenai tubuh Datuk, isteri si sakit jadi marah. Dia berusaha melepaskan tendangan bertalu-talu.

Datuk bertindak, kaki kanan isteri si sakit Datuk tangkap dan pusing ke kiri dengan sekuat hati.

Tubuh isteri si sakit jatuh atas lantai. Serentak dengan itu, terdengar suara jeritan dari isteri si sakit. Guru silat segera mendekatinya untuk memberi bantuan.

“Duduk, jangan dekat dia,” suara Datuk keras tanpa merenung ke arah guru silat.

“Dia sakit,” sahut guru silat.

“Jangan bantah cakap aku,” sergah Datuk. Guru silat patuh dengan cakap Datuk.

Datuk terus memulas kaki isteri si sakit dengan sekuat hati hingga perempuan malang itu terkencing dan terus diam. Terkulai di lantai, tidak sedarkan diri.

Kepala aneh segera mendekati isteri si sakit untuk menjilat dahi wanita yang terkapar.

Belum pun sempat lidah yang panjang dan berwarna merah garang menyentuh dahi isteri si sakit, Datuk segera menepuk lantai dengan tangan kanan.

Dia terus melompat dan menerkam ke arah kepala aneh. Bagaikan kilat Datuk menarik telinga kiri kepala aneh itu.

“Tuk, mulutnya gigit lengan tuk,” jerit saya bila melihat mulut dari kepala aneh itu menggigit lengan Datuk.

Guru silat segera bangun dan mendekati Datuk untuk menolong. Baru tiga langkah guru silat melangkah, satu tamparan kencang mengenai pangkal lehernya.

Guru silat tersembam dan tidak berdaya bangun. Saya mencapai sepotong kayu untuk membantu, saya juga menerima satu tendangan di rusuk kiri.

Pandangan saya berpinar. Lantai rumah terasa bergoyang dan saya terhuyung-hayang lalu jatuh.

Saya cuma dapat melihat lelehan darah di lengan kanan Datuk. Gigi tajam dari mulut kepala aneh terus terbenam dalam lengan daging Datuk. Muka Datuk berkerut menahan rasa sakit.

Datuk hentak kepala aneh ke dinding dengan harapan gigitan di lengan akan dilepaskan.

Usaha Datuk itu tidak berhasil, malah lidah dari mulut kepala aneh itu mula membelit leher Datuk.

Saya lihat Datuk sukar bernafas. Datuk terus terhuyung-hayang dan akhirnya Datuk jatuh atas lantai.

Datuk terus bergolek atas lantai. Datuk berusaha menghentak kepala aneh pada tiang seri beberapa kali.

Gigitan di lengan tidak juga terlepas, begitu juga dengan belitan lidah di leher Datuk. Muka Datuk berpeluh dan pucat.

Batang lehernya terus dilumur darah dari kepala aneh itu. Dengan sekuat tenaga Datuk hayunkan kepala aneh itu ke tiang seri hingga gigitan di lengan Datuk terlepas. Belitan lidah di leher juga terbuka.

Datuk segera mengambil bantal panjang yang koyak dan terus menyerkup kepala aneh. Kepala aneh itu terus menggelupur dalam bantal panjang.

Kekabu berhamburan dan berterbangan. Datuk memegang hujung bantal itu dengan sekuat hati.

“Tamar, mari tolong aku.”

Saya segera menghampiri Datuk. Saya diarahkan Datuk untuk memotong lengan baju kirinya separa siku.

Perintahnya saya patuhi lengan baju yang sudah dipotong itu segera saya apitkan ke celah ketiak. Kemudian saya serahkan pada Datuk.

“Sudah kamu ikut petua yang aku berikan.”

“Sudah tuk.”

“Sekarang kamu pergi dekat guru silat, bisikkan surah Al-Ikhlas sebanyak tiga kali, kemudian bacakan surah Al-Kursi sekali.”

“Baik tuk.”

Saya segera mendekati guru silat. Apa yang dipesan oleh Datuk segera saya tunaikan. Saya berhasil, guru silat boleh bangun.

Tanpa menerima perintah dari Datuk, saya ajak guru silat mendekati isteri si sakit. Apa yang saya lakukan pada guru silat, itu jugalah yang saya lakukan pada isteri si sakit.

Saya tidak tahu, kenapa semuanya itu saya lakukan. Saya seperti didesak oleh suara hati saya untuk berbuat demikian.

Kepala aneh yang sudah Datuk sumbatkan dalam bantal panjang itu terus bergerak-gerak, berusaha mahu keluar dari dalam bantal tersebut.

Datuk terus mengikat hujung bantal panjang dengan kain lengan baju kiri. Datuk gantungkan kepala aneh yang berada dalam bantal panjang ke paku di tiang seri.

Bantal itu terus bergerak ke kiri dan ke kanan diiringi dengan bunyi deru angin yang amat kuat. Datuk segera mendekati kami.

“Bawa perempuan ni ke dapur dan mandikan dengan air. Bila dah selesai dimandikan, kunci dalam biliknya,” Datuk keluarkan arahan.

Deru angin yang kuat terus ditingkah dengan bunyi petir dan hujan lebat. Dalam keadaan yang haru-biru itu, semua perintah Datuk dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Kami mendekati Datuk lagi untuk mendengar arahan selanjutnya.

TERKEJUT

Saya dan guru silat terkejut, bila melihat Datuk mengoyakkan gulung tikar yang membalut tubuh si sakit.

Saya mengucap panjang, tubuh si sakit sudah dipenuhi dengan bulu macam bulu di badan orang utan.

Wajah si sakit juga berubah seperti muka beruk jantan mempamerkan sepasang taring yang cukup tajam. Si sakit cuba bangun untuk menyerang Datuk.

“Jangan apa-apakan, dia tak boleh melakukan apa-apa pada kita,” kata Datuk pada guru silat yang cuba mahu menutup si sakit dengan tikar mengkuang.

Tujuan guru silat berbuat demikian untuk menghalang si sakit yang berubah rupa itu dari menyerang Datuk.

Cakap Datuk memang betul, si sakit cuma terdaya duduk saja. Setelah itu ia jatuh terlentang kembali.

Cara mendadak saja kami alihkan pandangan pada bantal panjang yang tersangkut di tiang seri. Bentuk dan keadaan bantal sudah berubah, jadi lebih panjang.

Bahagian atas dan bawah terikat, macam mayat yang sudah dikapankan terbuai-buai di terpa angin yang berputar dalam ruang rumah.

“Haaaaaa,” saya terkejut sambil membeliakkan biji mata.

Ada tangan terjulur bersama kuku yang panjang dari dalam bantal tersebut. Saya juga melihat sebahagian dari kain tersebut diresapi dengan darah.

Terdengar suara orang menangis dan menggilai dalam deru hujan dan angin yang amat keras.

“Macam mana boleh jadi begitu, bantal panjang bertukar jadi kain kafan dan ada mayat pula di dalamnya? Mayat siapa pula!”

“Tak usah banyak cakap, kita tengok saja,” jawab Datuk pada rungutan guru silat. Saya renung muka guru silat yang kehampaan.

Datuk terus termenung panjang. Mulutnya nampak bergerak-gerak macam membaca sesuatu. Apa yang dibacanya, saya sendiri pun tidak tahu.

“Bantal itu tetap bantal, cuma pandangan mata kita saja ditipu oleh iblis,” Datuk bersuara lembut.

Dia terus bergerak tiga langkah ke belakang. Berhenti. Bergerak ke kanan tiga langkah. Berhenti. Bergerak ke kiri tiga langkah. Berhenti.

Datuk tarik nafas dalam dan matanya tidak berkedip merenung ke arah bantal panjang yang nampak seperti kain kafan.

Tiba-tiba yang ditenung oleh Datuk terlucut dari tempatnya. Jatuh berdentum atas lantai. Rumah terasa bergoyang.

Benda ganjil itu terus bergolek, keadaannya juga sungguh luar biasa. Ada waktunya kelihatan menipis, ada masanya membulat, ada ketikanya memanjang.

Sepasang mata Datuk terus menyorok ke arah benda ganjil itu, tidak kira ke mana benda itu bergolek.

Saya lihat bantal panjang yang tadi bersarungkan kain warna merah muda sudah bertukar dengan kain biru muda.

Tangan dan kuku yang terjulur tetap seperti tadi, malah kukunya yang tadi nampak berwarna putih pucat sudah bertukar menjadi kemerah-merahan.

Urat-urat di belakang tangannya mula timbul seperti akar yang timbul di permukaan bumi.

Datuk masih berdiri. Sepasang kakinya bagaikan terpaku di lantai. Perlahan-lahan Datuk angkat kaki kanannya agak tinggi dari biasa kemudian menghentakkan ke lantai.

Benda yang bergolek terus terangkat seperti ditarik sesuatu hingga ke paras palang pintu.

Sebelum benda ganjil itu jatuh, Datuk segera mengambil tikar lalu digulungnya dengan cepat sekali.

Tikar mengkuang yang sudah digulung itu segera ditegakkan, di tempat yang diduga benda ganjil itu akan jatuh.

Bila tikar sudah ditegakkan di tempat yang Datuk fikirkan sesuai, Datuk segera berlari mendekati kami.

Wajahnya kemerah-merahan dan penuh dengan peluh. Saya lihat peluh tersebut menuju ke hujung dagu lalu jatuh atas dada Datuk.

“Sekarang bersedia,” kata Datuk lalu merenung muka saya dan guru silat. Saya menggigit bibir.

Saya mencari tujuan sebenar kata-kata yang Datuk ucapkan itu. Dan saya kira guru silat juga tidak dapat menangkap maksud dari kata-kata yang Datuk hamburkan itu.

“Sedia apa?” tanya guru silat.

“Bukankah sudah aku cakapkan tadi,” jawab Datuk.

“Awak tak beri apa-apa arahan pun.”

“Betulkah saya tak beri arahan?”

“Betul tuk,” balas saya dan guru silat anggukkan kepala.

Datuk terus gosok pangkal hidungnya beberapa kali. Sinar matanya lembut tertumpu ke wajah saya.

Datuk senyum dan saya sudah arif benar dengan perangai Datuk. Bila dia senyum begitu, ertinya secara tidak langsung Datuk mengakui kesilapan yang dilakukannya secara tidak sengaja.

“Kita mesti cepat bertindak, mari kita baca ayat Al-Kursi sebelum benda itu jatuh atas tikar yang saya tegakkan tadi,” ujar Datuk.

Saya dan guru silat segera anggukkan kepala dan kami segera berdiri di sisi Datuk.

Kami pun membaca ayat suci yang dikatakan oleh Datuk dalam hati dengan teliti dan sebutan yang betul.

Sebaik saja pembacaan kami berakhir, benda ganjil tadi terus jatuh atas tikar mengkuang yang ditegakkan, kami terdengar bunyi petir yang amat kuat di luar rumah.

Tikar mengkuang yang ditegakkan terus rebah dengan sendirinya. Terdapat api kecil di sekeliling tikar yang rebah itu. api itu terus marak, macam disiram petrol.

Ternyata, api itu marak hanya untuk beberapa minit saja. Kemudian api itu terus padam.

Tidak jauh dari tikar tersebut terdapat bantal panjang dalam keadaan yang elok, tidak ada yang koyak. Keadaannya tetap seperti asal.

Bunyi angin yang menguasai ruang rumah terus hilang. Dekat tiang seri dapat tempurung kelapa jantan yang dibaluti sabut nipis.

Tempurung kelapa jantan itu tergolek di situ. Tiba-tiba anak telinga saya menangkap suara azan memecah subuh yang bening. Keadaan dalam rumah jadi tenteram.

“Kau pergi buka bilik orang yang kau kunci tadi,” Datuk keluarkan arahan pada guru silat.

Saya lihat guru silat keberatan untuk memenuhi permintaan Datuk.

“Kenapa diam, pergilah buka,” sergah Datuk.

“Tapi.”

“Tak ada tapi, dia tak akan menjerit atau mencekik kamu, syaitan yang menguasainya sudah lari,” kata Datuk.

Guru silat segera pergi ke tempat yang diarahkan. Datuk dan saya segera mendekati si sakit. Datuk tepuk dahi si sakit tiga kali. Tanpa diduga, si sakit terus bangun.

“Apa macam,” itu yang diucapkan oleh si sakit pada Datuk.

“Kau bagaimana pula?”

“Saya rasa badan saya segar, macam tak ada sesuatu yang saya tanggung,” jawab si sakit dengan senyum.

Dia terus bangun. Berjalan dalam ruang rumah. Bila dia mahu keluar Datuk segera memegang bahunya.

“Kenapa?”

“Kau belum boleh pijak bumi selagi matahari belum terbit. Kalau badan kau dah sihat, pergilah mandi. Kita sembahyang subuh kemudian kau buatlah sembahyang syukur pada Allah yang menghilangkan penyakit yang kamu tanggung selama ini.”

“Baik,” jawab si sakit dan terus menuju ke bilik mandi.

Saya menggigit bibir, lelaki yang setiap kali malam saya lihat terlantar dengan perut buncit dan bila mahu bangun terpaksa menggunakan bantuan tali, kini sudah boleh bergerak ke mana saja.

Melihat gerak-gerinya, lelaki itu bagaikan tidak pernah mengalami sebarang sakit.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 91/284

BACA: SBDJ Siri 90: Ilmu Pukau Kucing
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon