Friday, May 11, 2018

8 Perkampungan Paling Bersih Di Dunia

Semua orang pasti mempunyai pandangan dan kenangan tersendiri bagaimana rasanya apabila berada di kawasan perkampungan, tidak kiralah sama ada perkampungan itu berada di dalam atau luar negeri.

Kesemuanya pasti memiliki persamaan seperti udara yang menyegarkan, pepohon hijau yang menyejukkan mata dan suasana aman permai yang dapat meredakan segala tekanan daripada hiruk-pikuk tinggal di bandar.

Jika anda inginkan kelainan apabila melancong ke negara lain dan mencari kedamaian, bolehlah cuba berkunjung ke 8 destinasti perkampungan berikut yang merupakan antara desa tercantik dan paling indah dalam dunia.

1. Bibury, England

8 Perkampungan Paling Bersih Di Dunia

Dibina kira-kira 1,000 tahun yang lalu, kampung Bibury nampaknya mencerminkan masa lampau. Ini disebabkan hampir kesemua bangunan dan landskap di kampung ini tidak berubah sama sekali.

Malah, kini beberapa sudut dan bangunan di kampung ini telah diambil alih oleh kerajaan British untuk menjaga keasliannya.

Seolah-olah masuk ke dalam mesin masa, keindahan kampung yang terletak di Costwolds, Cirencester, England ini juga sering digunakan sebagai lokasi penggambaran filem bertema abad ke-19.

2. Giethoorn, Belanda

8 Perkampungan Paling Bersih Di Dunia

Terletak di utara Belanda, Giethoorn Village juga sering disebut sebagai "Dutch Venice". Ini kerana di kampung ini tidak terdapat sebarang jalan untuk dilewati kenderaan bermotor dan penduduk kampung sendiri hanya memanfaatkan laluan sempit, jambatan, sungai dan bot kecil sebagai medium pengangkutan.

Bagi pelancong yang ingin melawat, mereka terpaksa meninggalkan kenderaannya di luar kampung dan meneruskan perjalanan menaiki perahu.

Tanpa asap daripada kenderaan bermotor, pasti udara di kampung yang indah ini sangat menyegarkan, bukan?

3. Teres Longji, China

8 Perkampungan Paling Bersih Di Dunia

Kampung yang indah ini terletak di utara Guilin, Guangxi, selatan China dan untuk sampai ke tempat ini, anda memerlukan kira-kira dua jam perjalanan dari pusat bandar.

Teres ini sebenarnya terletak di antara tiga kampung iaitu Kampung Ping'an, Kampung Jinkeng dan Kampung Guzhuang yang dianggarkan wujud sejak 650 tahun yang lalu.

Tempat yang menakjubkan ini setiap tahun dapat menarik ramai pelancong untuk datang. Adakah anda salah seorang daripada mereka?

4. Uchisar, Turki

8 Perkampungan Paling Bersih Di Dunia

Terdapat banyak kampung di daerah ini, akan tetapi Uchisar menjadi salah satu desa yang masih berpenghuni.

Desa ini begitu unik dan menghairankan disebabkan pemandangan panoramanya yang hanya dihiasi dengan hamparan berbatu.

Uniknya, bukan sahaja rumah-rumah dibuat menggunakan batu, malah hotel, kedai-kedai dan restoran di kampung ini juga dibina daripada batu.

5. Monsanto, Portugal

8 Perkampungan Paling Bersih Di Dunia

Unik, mungkin itulah perkataan paling tepat untuk menggambarkan perkampungan ini disebabkan anda akan berasa hairan sama ada tembok di sini diperbuat daripada batu atau batu yang terbuat daripada tembok.

Rumah-rumah di perkampungan yang terletak di lereng bukit granit ini memang sengaja dibuat begitu.

Walaupun mempunyai jalan yang sempit dan curam, desa yang berada 114 kilometer dari Lisbon ini tetap menjadi destinasi pilihan pelancong yang datang ke Portugal.

6. Alberobello, Itali

8 Perkampungan Paling Bersih Di Dunia

Terletak di daerah Apulia, Itali, desa yang diberi nama Alberobello ini amat istimewa. Hal ini demikian kerana selain memiliki panorama memukau, udara yang bersih dan suasana yang tenteram, Alberobello juga telah menjadi salah satu destinasi wajib dilawati bagi pelancong yang mengembara ke Itali.

Hampir 1,400 bangunan di sini mempunyai bentuk yang sangat unik dengan dinding yang diperbuat daripada batu kapur dan bumbung dari susunan batuan berbentuk kon.

Pemandangan di sini pasti akan membuatkan anda jatuh hati.

7. Simiane-La-Rotonde, Perancis

8 Perkampungan Paling Bersih Di Dunia

Segala yang anda inginkan untuk menenangkan fikiran terdapat di perkampungan nan indah ini.

Dimulakan dengan langit yang biru, hamparan padang lavender hinggalah ke kawasan pergunungan yang berdiri megah, kesemuanya amat sukar dilupakan begitu sahaja.

Selain itu, di sini juga terletaknya sebuah kubu bersejarah yang dibina pada abad ke-12 iaitu Château des Agoult yang kini merupakan salah satu daya tarikan kampung yang berada di Provence, Perancis ini.

8. Desa Hallstatt, Austria

8 Perkampungan Paling Bersih Di Dunia

Hallstatt merupakan sebuah kawasan desa pelancongan di pinggir barat Tasik Hallstatt, Gmunden, Austria.

Kawasan yang terkenal dengan keindahan panorama ini berkeluasan 60 km persegi dan menjadi salah satu tarikan utama pelancong yang datang ke Austria.

Di perkampungan ini, terdapat kurang daripada 1,000 orang penduduk dan alam semula jadi masih dipelihara, menjadikan kampung ini begitu tenang dan selesa untuk beristirahat.

Dari kampung ini juga anda dapat melihat sendiri Gunung Alps yang memukau pandangan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon