Thursday, January 24, 2019

Apa Yang Berlaku Kepada Tubuh Apabila Berhenti Merokok?

Apa Yang Berlaku Kepada Tubuh Apabila Berhenti Merokok?

Menurut Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan, penyakit yang berpunca daripada masalah sistem pernafasan menyumbang 18.54% kepada jumlah kematian manakala kanser pula menyumbang 13.56% daripada keseluruhan kes.

Berhenti Merokok

Antara faktor utama yang menyebabkan kematian ini? Tidak lain dan tidak bukan, rokok. Sudahlah menghisap rokok, pemakanan juga tidak dikawal. Bersenam pun tidak. Memang gali lubang kubur sendiri.

Tahukah anda, apabila mula berhenti merokok dan tidak lagi menyedut asap yang mengandungi 4,800 bahan toksik dengan 60 karsinogen pencetus kanser yang terdapat di dalamnya, badan sebenarnya akan mula bertindak balas secara positif seawal 20 minit.

Kali ini kami kongsikan perubahan demi perubahan yang akan berlaku kepada tubuh anda sekiranya anda berhenti merokok sekarang.

Selepas 20 minit

Tekanan darah dan kadar denyutan jantung mula menurun. Peredaran darah di bahagian tangan dan kaki mula bertambah baik.

Selepas 8 jam

Kadar karbon monoksida dalam darah berkurang dan tidak lagi menghalang oksigen daripada memasuki sel darah.

Anda boleh melakukan aktiviti fizikal dengan lebih baik kerana bekalan oksigen bertambah.

Jika anda seorang ibu mengandung, anak dalam kandungan juga mendapat bekalan oksigen dengan lebih baik.

Selepas 24 jam

Karbon monoksida disingkirkan dari badan. Bekalan oksigen di jantung meningkat dengan ketara dan mengurangkan sakit dada ketika melakukan aktiviti fizikal. Risiko untuk mendapat sakit jantung telah berkurang.

Selepas 48 jam

Nikotin disingkirkan sepenuhnya dari badan. Deria rasa dan bau kembali normal. Pernafasan menjadi bertambah baik dengan ketara.

Selain itu, rerambut halus pada paru-paru (silium) pulih seperti biasa untuk memindahkan partikel dari paru-paru.

Salah satu tandanya ialah anda kerap batuk kerana lebih banyak kotoran dan bahan toksik disingkirkan dari paru-paru.

Selepas 14 hari

Peredaran darah menjadi lebih efisien.

Selepas 1 bulan

Keadaan kulit bertambah baik.

Selepas 3 bulan

Fungsi paru-paru semakin pulih dan kapasiti meningkat sebanyak 39%. Masalah pendek nafas juga berkurang selain tona kulit menjadi lebih baik dan tidak terlalu kusam.

Selepas 1 tahun

Risiko untuk mendapat sakit jantung berkurang sehingga 50%. Jika anda pernah mendapat serangan sakit jantung, anda telah mengurangkan 25% risiko untuk mendapat serangan berikutnya yang sepatutnya boleh membawa maut.

Selepas 5-10 tahun

Bergantung kepada berapa lama dan berapa banyak anda telah merokok, dalam tempoh ini, anda telah menurunkan risiko penyakit kardiovaskular, sakit jantung dan strok menjadi kembali sama seperti orang yang tidak merokok.

Jadi, apa tunggu lagi.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Raja Yang Hilang Takhta Kerana Cinta

Raja Yang Hilang Takhta Kerana Cinta

Setakat ini sudah banyak diperkatakan tentang abdikasi atau tindakan turun takhta oleh Sultan Muhammad V dari jawatan Yang di-Pertuan (YDP) Agong namun, perlembagaan negara dan adat istiadat diraja memastikan segalanya akan kembali seperti biasa dan YDP Agong baharu akan menaiki takhta.

Sultan Muhammad V

Untuk ruangan ini saya cuba secara sepintas lalu menceritakan sedikit perihal raja-raja di sana sini dalam menghadapi cabaran ketakhtaan dan hal-hal hati nurani.

Jika Queen Beatrix di negara Belanda turun takhta secara sukarela pada tahun 2013 dan meletakkan puteranya di takhta sebagai pengganti, Raja Nepal pula hancur takhtanya apabila Putera Mahkota baginda, akibat terlalu marah dihalang dari mengahwini wanita yang dikasihinya, menembak baginda dan ahli-ahli keluarga terdekat. Ranaplah takhta diraja di situ.

Kini, Nepal menjadi sebuah Republik. Itu akibat satu dentuman hati nurani diraja.

Sebaliknya pada tahun 1936 di England, King Edward Vlll pada usia 42 senang-senang turun takhta kerana ditegah mengahwini wanita yang baginda cintai.

Berlainan dengan Putera Mahkota Nepal itu, yang berhasrat berkahwin dengan seorang gadis, King Edward Vlll memilih bakal permaisuri untuk Empayar British seorang janda dua kali.

Dalam usia bujangnya yang lanjut itu terselit kisah seorang kasanova dan romeo yang sentiasa mendampingi wanita-wanita cantik.

Namun, pilihan baginda itu mencerminkan bagaimana kerenah hati manusia ini tidak dapat diduga malah segalanya mungkin.

'Takhta kutendang demi jantung hati yang tersayang’. Itulah agaknya yang memaut sanubari baginda.

Bagaimanapun, takhta Inggeris terus tegap, sudah diduduki 70 orang raja sejak tahun 802, lebih 1,200 tahun dulu.

Raja terakhir Mesir yang bernama King Farouk selepas diturunkan dari takhta pada awal 1950-an berkata secara gurauan, "Saya percaya satu hari nanti king yang tinggal ialah king daun pakau: King Spade, King Diamond, King Clover, King Heart dan King of England."

Rujukan kepada King of England itu menunjukkan begitu mendalamnya hati orang Inggeris terhadap king atau queen mereka, seolah-olah tidak mungkin tergugat oleh apa saja.

Gara-gara hati nurani bererti perasaan yang mencakup antara kasih sayang dengan marah meradang.

Untuk ini tidak ada contoh yang lebih baik daripada King Henry Vlll di England, yang beristeri enam orang, bertakhta selama 38 tahun dari 1509 hingga 1547.

Apabila Mazhab Roman Khatolik melarang baginda menceraikan isteri pertama untuk berkahwin sekali lagi, baginda mengarahkan penubuhan Mazhab Anglican di bawah baginda. Bebaslah baginda daripada cengkaman Khatolik.

Anehnya dua daripada enam permaisurinya itu berakhir dengan kepala masing-masing dipenggal, termasuk Anne Boleyn, ibu Queen Elizabeth l.

Ada sebab-musababnya yang diada-adakan. Berdasarkan tahun-tahun yang king itu bertakhta, nescaya Sultan Mansor bertakhta pada masa yang sama di Melaka sebelum ditewaskan oleh Albuquerque dari Portugal pada tahun 1511.

King Emanuel di Portugal melaporkan kepada Pope di Rom bahawa Melaka mempunyai 30 ribu buah rumah yang diduduki oleh orang Islam (dipanggil Moors, kependekan daripada Moslem).

Jika lima orang dalam sebuah rumah, maka penduduk Melaka berjumlah 150,000 orang, lebih ramai daripada penduduk London pada waktu itu.

Emanuel bagai terlupa Melaka juga mempunyai raja. Beliau lebih memberi tekanan kepada hakikat bahawa sebuah kota besar Islam telah jatuh ke tangan Kristian Khatolik.

Albuquergue mengulas bahawa tidak terdapat strategi keselamatan di Melaka yang terbuka bebas untuk perdagangan.

Pengawal-pengawal bergajah hanya bersenjatakan lembing dan keris, itu pun hanya menjaga keselamatan raja apabila bergerak, ataupun sebagai santeri di sekeliling istana.

Kesimpulan itu menggalakkan beliau menyerang Melaka dengan hanya beberapa buah kapal.

Menjelang merdeka 1957 Raja Pahag Almarhum Sultan Abu Bakar dan permaisuri baginda Tengku Azam telah dihantar ke seberang laut sebagai bakal YDP Agong pertama.

Akhirnya Tuanku Abdul Rahman, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, yang dipilih oleh Majlis Raja-Raja.

Bekas PM Tunku Abdul Rahman mengaku dalam ruangan mingguannya di sebuah harian Inggeris dalam tahun1980-an bahawa beliau menasihati raja-raja tentang perlunya peruntukan Islam dihormati memandangkan Islam ialah agama rasmi Malaya yang merdeka.

Maksudnya, Almarhum menghadapi soal had poligami. Terlepaslah takhta YDP Agong. Perlu diulangi: fakta ini daripada sumber hitam putih Tunku, bahan tatapan umum.

Dalam penungguan, rakyat Malaysia penuh antisipasi sukacita mengalu-alukan DYMM SPB YDP Agong yang ke-16.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: sinarharian

Wednesday, January 23, 2019

SBDJ Siri 14: Bersuamikan Hantu Raya

SBDJ Siri 14: Bersuamikan Hantu Raya

Tanpa bertangguh-tangguh lagi datuk pun menceritakan, apa yang kami alami dalam hutan Ulu Kinta pada orang-orang kampung Ulu Kinta yang menanti kami di depan Balai Polis Tanjung Rambutan.

Toyol jadi-jadian

Saya tidak melibatkan diri ketika datuk bercerita. Saya lebih senang duduk di pangkal pokok kelapa di rusuk kanan balai tersebut. Balai itu kini sudah dirobohkan, digantikan dengan bangunan yang baru.

“Pelik juga ceritanya, betul ke ni?” Saya terdengar salah seorang daripada orang kampung itu bersuara. Sepasang mata datuk merenung tepat ke arah batang hidung orang itu.

“Terpulanglah pada awak, sama ada awak mahu percaya atau tidak, saya dan cucu sudah merasa dan mengalaminya.”

“Apa yang orang tu berikan pada awak.”

“Beri apa? Awak gila ke,” suara datuk mula meninggi dan orang itu terus diam.

Seorang anggota polis menghampiri kumpulan orang yang mengerumuni datuk lalu bertanyakannya, “Apa halnya ni.”

“Orang hilang ni dah jumpa di sini,” seorang lelaki berbadan tegap memberitahu anggota polis yang sudah berusia hampir lima puluh tahun itu.

Tanpa diminta datuk pun menceritakan apa yang dialaminya pada anggota polis itu.

Kemudian anggota polis itu mengakui apa yang dialami oleh datuk itu pernah dialami oleh beberapa orang penduduk di sekitar Tanjung Rambutan yang pergi memburu ke kawasan itu.

“Tapi, saya belum pernah bertemu dengannya,” suara anggota polis itu merendah.

Menurutnya, dalam waktu-waktu tertentu lelaki berserban hijau itu pernah muncul di Market Tanjung Rambutan.

Anehnya, dia hanya bersalam saja dengan siapa yang disukainya, bila orang yang disalam mahu bertanya sesuatu padanya dia akan hilang dalam sekelip mata sahaja.

“Bagi saya perkara ni, sudah jadi perkara biasa,” anggota polis itu menamatkan ceritanya dengan datuk.

Datuk tidak puas hati dengan apa yang dicakapkan oleh anggota polis itu.

“Biasa macam mana?" Datuk mendesak anggota polis yang mahu melangkah masuk ke dalam balai berpatah balik.

Dia berdiri betul-betul di depan datuk. Matanya cukup tajam menyorot wajah datuk kemudian dia senyum sinis.

“Awak orang luar, mana awak tahu.”

Termenung sejenak datuk mendengar cakap anggota polis itu.

“Memang, saya bukan orang di sini, tentulah banyak perkara yang tidak saya tahu,” datuk merendah diri.

“Saya orang Tambun, saya tahu serba sedikit tentang orang yang awak kata itu.”

“Itulah yang mahu saya dengar.”

“Begini, orang itu namanya Haji Lokman. Masa zaman Jepun dulu, dia membunuh tiga orang askar Jepun di Pekan Tambun.”

“Sebabnya?”

“Dia tak tahan melihat penyeksaan yang dilakukan oleh askar-askar Jepun pada orang kampung.”

“Jepun tak tangkap dia?” soal datuk.

Anggota polis yang berbadan tegap itu memicit pangkal dagunya sambil mengerutkan kening lebatnya.

“Jepun cuba menangkapnya tapi tidak berjaya. Akhirnya dia ditangkap ketika menunaikan sembahyang Zohur. Dia dikurung namun sebelum malamnya, dia berjaya melepaskan diri, sejak itu dia tidak pulang ke rumahnya.”

“Agaknya dia dibunuh Jepun, cerita dia melepaskan diri waktu malam tu sengaja diada-adakan,” celah datuk.

“Itulah yang anehnya, nak dikatakan mati, orang selalu berjumpa dengannya. Kalau dia hidup apa faedahnya menyeksa diri dalam hutan meninggalkan anak bini.”

“Betul juga cakap awak tu.”

“Tapi awak jumpa dia bukan?” soal anggota polis itu. Datuk angguk kepala.

“Lupakan saja perkara itu,” tambah anggota polis itu sambil meninggalkan datuk. Orang-orang dari Ulu Kuang yang berhimpun di situ berpandangan sama sendiri.

“Sudah, anggaplah ini pengalaman yang berharga untuk awak, sama ada orang mahu percaya atau tidak itu bukan soalnya, tapi awak sudah melihat dan bercakap dengannya,” salah seorang penduduk Kampung Ulu Kuang membisikan ke telinga datuk.

“Betul cakap awak tu,” balas datuk.

Datuk dan orang-orang dari Kampun Ulu Kuang meninggalkan Balai Polis Tanjung Rambutan menaiki bas menuju ke Chemor. Dari Chemor naik basikal menuju ke Kampun Ulu Kuang.

Dua hari kemudian, saya dan datuk pun meninggalkan Kampung Ulu Kuang. Pengalaman-pengalaman aneh yang saya alami itu merupakan khazanah pengalaman yang tinggi nilainya.

Saya kira boleh dijadikan panduan untuk hidup. Sekali gus mengajar saya erti kebesaran serta kekuasaan Allah.

Sesungguhnya Allah maha besar dan maha berkuasa boleh melakukan apa saja yang diinginnya dan tidak terjangkau oleh akal fikiran manusia yang selalu mendakwa sudah cukup maju dengan ilmu pengetahuan.

“Tahukah kau, di dunia ini, tidak saja dipenuhi dengan manusia, tetapi dipenuhi juga dengan jin yang tak dapat dilihat dengan mata kasar, di sinilah pentingnya agama untuk manusia,” kata datuk pada saya ketika bas yang kami naiki melintasi Pekan Menglembu.

“Aku harap, kau akan jadi orang Islam yang baik. Manusia yang tidak beragama selalu sesat.”

“Saya pun berharap hidup saya akan menjadi manusia yang dikasihi oleh Allah.”

“Bagus tu, kau mesti patuh apa yang dipertintahnya, jauhi dari perkara yang ditegahnya. Tunaikan apa yang ditetapkanoleh rukun kerana Islam itu tiang agama.”

“Saya faham tok.”

“Jika tidak patuh pada yang lima tu, Islam kau tidak akan sempurna.”

“Saya tahu tok,” tekanan suara saya merendah. Angin yang masuk ikut tingkap bas menolak rambut saya dengan mesranya.

Sampai saja di kampung halaman datuk, kami disambut oleh nenek dengan senang hati. Datuk tidak menceritakan apa yang dialaminya pada nenek.

Sayalah yang jadi tukang lapor kejadian pada nenek dan nenek tidak memberikan sebarang pendapat tentang peristiwa itu.

Dia lebih banyak tersenyum dan angguk kepala. Saya tidak tahu apakah nenek suka atau percaya dengan apa yang saya katakan.

“Saya nak pergi,” tiba-tiba datuk muncul di ambang pintu tengah. Perbualan saya terhenti. Saya lihat datuk sudah berpakaian cukup kemas dengan baju melayu teluk belangga hitam serta seluar hitam. Songkok juga hitam.

“Ke mana?” tanya nenek.

“Ke rumah bini muda,” balas datuk selamba. Nenek mengizinkan datuk pergi.

Dua hari sesudah datuk pergi ke rumah bini mudanya di kampung orang bunian. Saya dipanggil oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perak ke Batu Gajah untuk menjalani temuduga bagi memenuhi jawatan buruh hutan yang kosong dalam jabatan tersebut.

Saya terpilih dan ditempatkan di Slim River. Tidak lama saya bertugas di situ. Cuma satu minggu sahaja. Saya berhenti kerana kerja itu saya kira tidak sesuai dengan jiwa saya.

“Aku tahu, kau tak sesuai, perangai kau tak suka diperintah orang. Kau ni layak kerja sendiri jadi petani atau peniaga,” kata datuk menyambut kepulangan saya di anjung rumah.

Sesungguhnya jiwa saya rasa tenteram menjaga kebun datuk dan menjual buah-buahan hasil dusun datuk di Cangkat Beranagan.

Saya rasa hidup begini agak bebas. Sekali sekala ikut datuk menembak rusa atau kijang di mana-mana yang disukainya.

Pagi itu, seperti biasa saya pergi ke dusun memetik buah langsat dan rambutan untuk dijual pada peraih yang datang pada sebelah petang. Sedang saya asyik bekerja, datuk menemui saya.

“Banyak yang kau dapat langsat?”

“Kira dua pikul ada tuk.”

“Tinggalkan pada nenek untuk menyelesaikan bila peraih Kum Meng datang petang ni.”

“Kenapa?”

“Aku nak ajak kau ke kampung Cangkat Cermin, ada wakil ketua kampung datang menjemput aku.”

“Apa halnya.”

“Usah tanya, ikut cakap aku.”

Saya terdiam dan meninggalkan bakul buah langsat di dusun. Dengan basikal saya dan datuk ke kampung Cangkat Cermin yang terletak di lebuh raya Ipoh - Lumut.

Masa itu, lebuh raya masih belum dibina lagi. Kami terpaksa berbasikal membelah jalan tanah merah.

Sejak adanya lebuh raya, orang-orang di Cangkak Cermin tidak menggunakan jalan tanah merah yang lama itu.

Kami sampai ke rumah ketua kampung lebih kurang pukul dua petang. Saya dan datuk ditempatkan di satu bilik khas.

“Apa salahnya Tok Sidang memanggil saya?” soal datuk kepada Ketua Kampung yang berjanggut itu. Ketua Kampung mengerutkan keningnya.

“Ada hajat besar.”

“Apa hajatnya?”

“Anak buah saya berlakikan hantu raya.”

“Ha…" mulut datuk ternganga.

Saya mula resah tidak menentu. Ketua Kampung terus bercerita tentang diri anak buahnya yang malang itu. Setiap malam anak buahnya yang baru kematian suami itu di datangi oleh hantu raya.

Menurut ketua kampung itu, hantu raya tersebut tidur dan bercumbuan mesra dengannya hingga menjelang subuh.

“Siapa nama perempuan itu?” datuk mula menyoal.

“Timah.”

“Bila suaminya mati?”

“Kira-kira enam bulan yang lalu.”

“Ada anak?”

“Tak ada, suaminya mati dilanggar lori balak di Pekan Air Tawar.”

“Ini kerjanya sulit sikit,” datuk separuh mengeluh.

“Dia mengadu pada saya minta tolong dan bukan setakat itu saja, hantu raya itu kadang-kadang mengacau orang kampung,” tambah Ketua Kampung.

Datuk terdiam. Dia berfikir. Tiba-tiba datuk bangun. Berdiri dan berjalan di anjung rumah Ketua Kampung.

“Saya perlu jumpa dengannya,” itu yang terkeluar dari mulut datuk.

“Bila?”

“Kalau boleh sekarang juga.”

Ketua Kampung, saya dan datuk turun dari rumah. Ketua Kampung membawa kami ke rumah Timah dengan melintasi ladang getah kepunyaan orang Inggeris.

Rumah Timah terletak di sebidang tanah yang agak terpisah dengan rumah-rumah penduduk di situ.

Di kawasan sekeliling rumahnya ditanam dengan ubi kayu dan keledek. Di bahagian belakang rumahnya terdapat sepohon pokok cempaka. Tidak jauh daripada pokok itu terdapat sebatang pokok pulai.

Dari kaki tangga, Ketua Kampung memberi salam. Tidak ada jawapan. Lagi sekali salam diberi. Pintu rumah Timah terkuak dengan sendiri.

Batang tubuh Timah tidak juga muncul. Datuk pandang saya dan saya pandang Ketua Kampung. Dahi Ketua Kampung kelihatan berkerut.

Sinar matahari petang beransur teduh. Saya terdengar bunyi burung helang bertalu-talu, beberapa ekor burung gagak terbang rendah sambil berbunyi. Saya terasa bunyi burung gagak itu agak berbeza dengan bunyi suara gagak yang selalu saya dengar.

Tiba-tiba Timah muncul dari bawah rumah. Rambutnya tidak terurus. Mukanya kelihatan pucat dan matanya nampak tidak bercahaya. Dia semacam takut saja melihat kedatangan kami.

Ketua Kampung segera memberi tahu tujuan kedatangan datuk dan saya. Timah tersenyum lalu mempersilakan kami naik ke rumah.

“Minta maaf ya,” kata datuk sambil memandang ke wajah Timah.

“Rumah ini ada dua bilik, yang satu lagi untuk siapa?”

“Untuk..” Timah terdiam.

Dia merenung muka Ketua Kampung. Melihat keadaan itu datuk tidak mengemukakan pertanyaan lagi.

“Memang rumah ini ada dua bilik, saya ingat kerana saya yang mendirikan rumah ini bersama arwah suaminya dulu,” kata Ketua Kampung memberi penjelasan.

Datuk angguk kepala. Saya agak terkejut bila datuk bersikap kurang ajar sedikit. Dia bangun lalu melihat kedua-dua bilik yang terdapat di dalam rumah itu. Saya tahu Ketua Kampung dan Timah tidak senang dengan sikap datuk itu.

“Itu bilik saya! jangan masuk,” jerit Timah bila datuk menghampiri bilik di bahagian kiri rumah.

Datuk angguk kepala sambil meraba-raba misai tebalnya. Datuk pergi ke bilik yang satu lagi.

Saya terkejut bila datuk tunduk sambil kedua-dua belah tangannya memegang perut. Saya segera menerpa untuk membangunkan datuk.

Secara mendadak saya rasa pangkal lehar saya dipukul oleh sesuatu. Pandangan saya berpinar.

“Jangan datang,” pekik datuk bila dia melihat Ketua Kampung mahu menerpa ke arahnya.

Ketua Kampung pun tak jadi datang. Saya dan datuk segera meninggalkan bilik tersebut.

“Merbahaya, kita mesti balik sekarang,” kata datuk.

Ketua Kampung tergamam, begitu juga dengan Timah. Dalam keadaan kelam kabut itu, datuk mengemukakan soalan pada Timah.

“Bilik siapa itu?”

“Bilik suami saya,” jawab Timah.

“Dia dah mati. Untuk apa bilik tu buatnya?”

“Saaya…” suara Timah terputus.

Datuk tersenyum. Dia sudah tahu apa yang dirahsiakan oleh Timah. Kami bertiga meninggalkan rumah Timah pulang ke rumah Ketua Kampung.

Sebaik saja sampai ke kaki tangga, datuk meminta jasa baik Ketua Kampung untuk meminjam senapang kampung dan pada sesiapa yang memiliki senapang.

“Buat apa?” Ketua Kampung menyoal penuh ragu.

“Nak menembak gagak untuk menolong Timah.”

“Begitu,” suara Ketua Kampung menurun.

Dia segera mencari senapang kampung. Setengah jam kemudian Ketua Kampung kembali dengan senapang di bahu dan menyerahkan pada datuk.

Datuk membidik-bidik senapang itu. Dia melurut laras senapang dengan tapak tangan kanan. Dengan tenang datuk memasukkan peluru ke dalam laras senapang, kemudian dia meludah tapak tangan kanan dua tiga kali. Buntut senapang digosok dengan tapak tangan yang ada air liur itu.

Datuk menghalakan senapang ke arah sepasang burung gagak yang terbang rendah mencari ulat daun pisang di kawasan rumah Ketua Kampung.

Datuk segera mengambilnya segera. Bangkai gagak itu digantungnya pada dahan pokok mempelam dekat rumah Ketua Kampung.

Datuk naik ke rumah. Waktu hari mula remang-remang senja datuk menuju ke pangkal pokok mempelam. Dia menepuk bangkai gagak tiga kali sambil menabur garam halus di bangkai gagak tersebut.

Gerak geri datuk itu saya perhati dengan teliti dari tingkap rumah Ketua Kampung.

“Suami si Timah itu mengamalkan, ilmu salah, membela hantu raya semasa hidupnya."

Begitulah datuk menyatakan pada Ketua Kampung sebaik saja dia masuk ke dalam rumah. Dengan jujur Ketua Kampung menyatakan dia memang tak tahu walaupun suami Timah kawan rapatnya.

Ketua Kampung juga mengakui terdapat beberapa perkara aneh pada diri arwah suami Timah, antaranya dia selalu ditemui oleh orang kampung bekerja di ladang pada waktu malam seorang diri, bertukang rumah waktu malam, mencari kayu waktu malam seorang diri.

Ketika orang-orang melihat kejadian aneh itu, suami timah sebenarnya tidak ke mana-mana, berbual kosong dengan Ketua Kampung di rumahnya.

Bila Ketua Kampung bertanyakan hal itu kepada suami Timah, dia menafikan yang dia membuat kerja-kerja itu.

Malah, dia menuduh orang-orang kampung mengadakan cerita yang bukan-bukan kerana dengki dengan kesenangannya. Dan dengan penjelasannya itu Ketua Kampung tidak menyoalnya lagi.

Setelah menunaikan sembahyang maghrib datuk mengajak saya pergi ke suatu kawasan hutan tebal. Dia mengandar bangkai gagak dengan tenang.

Saya lihat mulut datuk terkumat kamit membaca sesuatu. Datuk menyuruh saya bersembunyi di sebalik pokok besar.

Datuk meletakkan bangkai gagak yang sudah dipanggang itu di kawasan lapang. Datuk menghidupkan api. Dia duduk di depan unggun api itu sambil berpeluk tubuh.

Dengan pertolongan cahaya api itu , saya lihat satu lembaga hitam besar berdiri di depan datuk. Serentak saya terdengar bermacam-macam bunyi. Ada bunyi suara orang menangis dan mengilai. Ada suara gendang dipalu.

“Aku tidak bertujuan jahat, aku minta kau ambil anak kau semula, kau dari jin dan kami dari manusia. Tidak serupa cara hidupnya,” suara datuk meninggi.

Lembaga hitam itu bertambah besar. Dua tiga pokok besar yang dirempuhnya habis tumbang. Seluruh kawasan itu saya rasa seperti dilanda ribut taufan yang amat kuat.

Saya terdengan bunyi burung gagak berbunyi dan dalam saat itu juga burung gagak datuk terbang menuju ke lembaga itu. Suasana menjadi tenang. Lembaga hitam hilang dari pandangan saya. Datuk segera bangun dan mendapatkan saya.

“Kita ke rumah Timah,” perintah datuk.

Saya pun ikut perintahnya. Bukanlah suatu perkara yang mudah berjalan dalam gelap. Dua tiga kali saya terjatuh tapi bangun semula. Akhirnya kami sampai rumah Timah.

Lama juga kami di situ, tidak ada sesuatu pun yang dapat kami lihat. Semuanya macam biasa.

Datuk mengajak saya pulang ke rumah Ketua Kampung. Datuk menunaikan sembahyang Ishak. Sesudah makan, datuk mengajak Ketua Kampung ke rumah Timah kembali.

Kali ini datuk menyuruh saya dan Ketua Kampung berpecah, mencari tempat perlindungan masing-masing. Datuk memakai baju hitam.

Dia membawa tiga batang serai, tiga puntung kayu yang sudah menjadi arang serta sebatang paku. Datuk tidak memakai seluar hitam, dia memakai seluar kuning dan mengikat kepalanya dengan kain putih.

Badan mula merasai kedinginan. Embun jantan mula menitik. Angin malam yang bergerak melanggar dedaun di halaman rumah. Dedaun yang berlaga sama sendiri itu melahirkan bunyi tidak menentu.

Bunyi katak bersahut-sahutan sesekali terdengar bunyi suara anjing bertingkah dengan bunyi suara burung hantu dan jampok.

Saya lihat pintu rumah Timah berkuak dengan sendirinya. Sinar lampu minyak tanah menerangi sebahagian dari halaman rumah itu. Saya lihat ada bayang-bayang hitam berdiri di muka pintu.

Serentak dengan itu terdengar bunyi suara orang lelaki batuk bertalu-talu. Saya berlari mendapatkan datuk. Saya duduk di sisinya, tiba-tiba datuk menyepak pangkal peha saya sampai terduduk.

“Jangan dekati aku,” katanya.

Saya pun segera menjauhkan diri darinya. Datuk membakar kemayan dan membakar sesuatu. Dari rumah Timah terdengar suara lelaki.

Anjing kian kuat melolong. Saya terdengar kicau burung murai ditengah malam. Bulu roma saya berdiri. Ketua Kampung datang ke tempat saya dan datuk.

Perhatian kami tertumpu pada pintu rumah Timah yang terdedah. Saya lihat seorang lelaki sedang duduk di muka pintu sambil menghisap rokok. Mukanya tidak berapa jelas kelihatan. Angin malam terus bertiup.

“Kau kenal siapa tu?” tanya datuk pada Ketua Kampung.

Ketua Kampung terdiam. Dia terus menumpu perhatian pada rumah Timah.

“Latif, laki Timah,” katanya pendek.

Datuk angguk kepala. Datuk meletakkan tiga batang serai di depannya. Tangannya menggenggam paku.

“Itu bukan latif, Itu hantu raya,” kata datuk.

Sebaik saja datuk selesai bercakap, seketul batu melayang ke arah Ketua Kampung. Kerana Ketua Kampung juga pandai bersilat, dia mengelak. Batu terkena pangkal pokok.

Datuk mencabut keris lalu menikam bumi. Ketika datuk mencabut keris pintu rumah Timah terkatup dengan sendirinya.

Kami bertiga masuk ke bawah rumah Timah. Apa yang kami dengar Timah bercakap sesuatu. Kami juga terdengar suara Timah merayu dan suara lelaki sedang di lamun berahi yang kuat. Suara Timah bertambah manja dan mengerang kepuasan.

“Hantu tu sedang berkasih dengan Timah,” datuk memberitahu Ketua Kampung.

Datuk menikam tiang seri rumah Timah dengan sekuat hati. Bila datuk mencabut keris, rumah Timah bergegar. Semua barang yang ada dalam rumah bergerak dan jatuh ke atas lantai.

Timah menjerit dan terjun ke halaman rumah. Terjelepok Timah di situ. Satu lembaga hitam yang besar terus mengangkat Timah yang tidak sedar diri itu.

Datuk menyerbu ke arah lembaga hitam itu. Datuk melintas di depannya. Ketua Kampung dan saya turut sama ke situ.

“Berhenti, kau syaitan,” jerit datuk.

Lembaga hitam itu melepaskan Timah ke atas bumi. Dia merenung tajam ke arah datuk.

“Latif,” pekik Ketua Kampung.

Lembaga hitam itu segera bertukar menjadi lelaki yang berbadan kurus, berkain pelekat tanpa baju dengan rambut tak terurus. Dia membuka langkah mengatur silat.

“Tidak ada jalan lain, kita mesti memusnahkannya malam ini juga, kalau sudah sampai subuh kita tidak berjaya membunuhnya, selama-lamanya kita tidak akan dapat melenyapkannya dari kampung ini,” ujar datuk.

Mendengar cakap datuk, lelaki kurus itu bertambah marah dan bertukar menjadi lembaga hitam sehitam bulu burung gagak. Seluruh badannya berbulu. Matanya kelihatan mengeluarkan cahaya.

Datuk mengambil tiga batang serai sambil mengacu-ngacu ke arahnya. Setiap kali serai itu di lihatnya, lembaga hitam itu akan menjerit.

Seluruh kampung bergema dengan jeritannya yang amat menakutkan itu. Lembaga itu menutup matannya dari melihat batang serai.

Datuk lalu menayangkan pula kepak burung gagak ke arahnya. Lembaga hitam itu berguling-guling di atas tanah bagaikan menahan kesakitan.

“Aku tahu asal usulmu dan rohmu tidak diterima bumi, aku akan menyempurnakan dirimu kerana engkau adalah manusia yang berasal dari tanah dan ke tanah jugalah engkau kembali,” kata datuk. Lembaga itu terus berguling-guling.

“Dia bini aku,” secara mendadak lembaga itu bersuara dan bangun. Datuk tergamam.

Dalam rasa cemas itu lembaga hitam menerpa ke arah datuk sambil kedua-dua belah tangannya yang hitam berbulu tebal menekan batang leher datuk.

Tamat siri 14/284

BACA: SBDJ Siri 13: Penunggu Hutan Hulu Kinta
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM

Apa Perlu Dilakukan Jika Kereta Terjunam Dalam Air?

Apa Perlu Dilakukan Jika Kereta Terjunam Dalam Air?

Kemalangan yang membabitkan sebuah kereta yang terjunam ke laut di Jambatan Pulau Pinang baru-baru ini mengundang pelbagai reaksi di media sosial. Ada yang marah dengan tindakan cuai pemandu yang terbabit dan ada yang tertanya-tanya apakah perkara yang perlu dilakukan sekiranya situasi itu terjadi kepada diri sendiri?

Kereta Terjunam Dalam Air

Berikut ialah tips dikongsikan di laman Youtube Tech Insider yang tular dan boleh dimanfaatkan:

1. Jangan panik

Kereta yang terjunam ke dalam air (sama ada laut, tasik mahupun sungai) tidak akan terus tenggelam serta-merta.

Ia mengambil sedikit masa, tetapi memerlukan ketenangan fikiran sebelum bertindak kerana peluang masih terbuka untuk sesiapa sahaja selamatkan diri.

2. Buka tali pinggang keledar, cuba keluar dari kenderaan

Perkara penting yang perlu diambil perhatian ialah jangan sesekali cuba membuka pintu kerana ia akan mempercepatkan kereta tenggelam serta tekanan kuat yang ada ketika dalam air menyebabkan usaha ini amat menyusahkan.

3. Buka tingkap dan keluar

Sekiranya sistem kenderaan masih berfungsi, berusahalah untuk membuka tingkap seluas-luasnya dan keluar daripada kereta anda.

Jika tidak, anda boleh pecahkan cermin kereta dengan mensasarkan cermin di bahagian tepi dan jangan cuba memecahkan cermin hadapan kerana ia telah dicipta untuk melawan impak kuat.

Mungkin kaedah tendangan tidak cukup kuat untuk pecahkan cermin kereta anda, tetapi anda boleh juga boleh menggunakan kunci stereng atau besi pada bahagian tempat duduk untuk pecahkan cermin kereta.

Semua tindakan ini perlu dilakukan dengan pantas bagi mengelak anda terus terperangkap dalam kereta yang mungkin menyebabkan kematian.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani

Malaysia Negara 'Anti-Semitisme' Ataupun Anti-Israel?

Malaysia Negara 'Anti-Semitisme' Ataupun Anti-Israel?

Isu sekatan kemasukan atlet perenang Paralimpik Israel ke Malaysia dikecam oleh kerajaan Israel yang membuat kenyataan bahawa Malaysia mengamalkan polisi 'anti-semitisme fanatik' dan bertentangan dengan semangat Olimpik.

Malaysia Anti-Israel

Ada sesetengah golongan rakyat dan pemegang pasport Malaysia yang mempunyai satu halaman khusus menyatakan bahawa Malaysia tidak mengiktiraf kewujudan negeri Israel pula lantang mengutuk sekatan ini di media sosial, di atas sebab ketidakmanusiaan yang dikatakan memangsakan atlet-atlet Israel ini.

Kenyataan jurucakap Kementerian Luar Israel, Emmanuel Nahshon menyatakan bahawa Malaysia mengamalkan sentimen 'anti-semitisme fanatik' yang lazimnya mengelirukan maksud “semitisme” mungkin kurang bersesuaian dengan pendirian diplomatik Malaysia terhadap kewujudan negeri Israel.

Pertamanya, 'anti-semitisme' didefinasikan di dalam kamus Merriam-Webster sebagai seseorang yang berpendirian yang tidak bersetuju dengan fahaman dan cara hidup penganut agama dan bangsa Yahudi, agak berbeza dengan pendirian menentang kewujudan negeri Israel.

Orang Yahudi merupakan kelompok penganut agama Yahudi yang terdiri daripada pelbagai kewarganegaraan, manakala negeri Israel pula merupakan sebuah negeri yang terdiri daripada penganut agama Yahudi, Kristian, Islam dan lain-lain.

Pendirian Malaysia jelas tidak mengiktiraf kewujudan negeri Israel, sebuah negeri yang dibentuk melalui penyerangan dan jajahan negara Palestin secara haram sejak lebih 50 tahun dahulu sehingga sekarang.

Tambahan lagi, Israel merupakan rejim yang memangsakan warga Palestin tanpa henti dengan mengusir mereka keluar daripada kediaman asal, kekejaman tentera dan pembunuhan secara terbuka dan besar-besaran terhadap penduduk awam termasuk golongan tua, wanita dan kanak-kanak, merampas hak asasi seperti kebolehan untuk mencari pekerjaan, menjana pendapatan melalui perniagaan, akses kepada kemudahan kesihatan, pendidikan dan juga keperluan asas seperti makanan dan minuman.

Begitu banyak kawasan tanah Palestin dikawal ketat oleh tentera Israel dan kawasan kediaman khusus untuk warga Israel dibina secara haram dan dipagar untuk mengelak warga Palestin daripada masuk ke kawasan-kawasan jajahan Israel ini.

Ibukota Palestin, Baitulmaqdis pula baru-baru ini dideklarasikan sebagai ibukota Israel yang dahulunya bertempat di Tel Aviv.

Hakikatnya, rejim Israel mempunyai pendirian bahawa Israel adalah negeri rasmi orang Yahudi dan sekaligus mewakili seluruh pelusuk orang Yahudi.

Ini tidak benar sama sekali, malah tindakan pentadbiran dan tentera rejim Israel dikecam oleh ramai orang Yahudi di seluruh dunia.

Bezanya dari segi pendirian Malaysia adalah, sekiranya seseorang bangsa Yahudi yang merupakan warganegara selain Israel, mereka bebas untuk melawat Malaysia mengikut status hubungan diplomatik Malaysia dengan negara berkenaan.

Pokoknya adalah Malaysia tidak mengiktiraf kewujudan negeri Israel, sekaligus tidak mengiktiraf kewarganegaraan dan pasport Israel.

Tanpa pengiktirafan pasport, pihak imigresen tidak dapat memproses kemasukan mana-mana warga Israel ke Malaysia.

Soal kebenaran khas kemasukan atlet-atlet Israel ini juga tidak patut timbul, kerana Majlis Olimpik sepatutnya sudahpun mengambil kira pendirian diplomatik dalam melantik Malaysia sebagai salah satu penganjur pusingan kelayakan Paralimpik Tokyo 2020 ini.

Adalah amat sedih untuk memerhati segelintir warga Malaysia yang begitu mudah terkeliru dengan fakta sebegini yang membawa kepada ketegangan di antara penduduk Malaysia sendiri, sehingga boleh mengakibatkan hakisan semangat patriotisme dan kenegaraan sesama kita.

Israel Negara Penjenayah

Tun Mahathir Mohamad tetap tegas dengan pendiriannya terhadap pendekatan yang diambil ke atas Israel kerana setiap negara mempunyai hak untuk membenarkan atau menghalang sesiapa pun memasuki wilayah mereka dan begitu juga pendirian Malaysia.

Ia sebagai mengulas pertanyaan terhadap keputusan Malaysia untuk menghalang kehadiran atlet negara Zionis itu bertanding dalam Kejohanan Renang Wanita Para Dunia 2019 yang akan berlangsung di Kuching, Sarawak pada Julai 2019.

“Atlet itu datang dari negara yang tidak menghormati undang-undang antarabangsa.

"Mereka buat apa sahaja yang mereka suka, termasuklah membina penempatan di negara orang, menceroboh perairan negara lain dan menakluk kapal yang mahu menghantar bantuan ke Gaza,” tegasnya.

Kata Tun Mahathir lagi, banyak perkara yang dilakukan Israel melanggar undang-undang antarabangsa, moral dan hak asasi manusia.

Malaysia katanya tidak boleh berbuat apa-apa kepada Israel dan pada masa sama tidak mahu ada apa-apa kaitan dengan negara itu.

“Mereka boleh sertai kejohanan sukan di negara lain tetapi bagi Malaysia, mereka datang dari sebuah negara penjenayah dan kami tidak boleh menerimanya,” katanya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani

Tuesday, January 22, 2019

'Pendaki Bikini' Mati Kesejukan!

'Pendaki Bikini' Mati Kesejukan!

Seorang pendaki wanita, Gigi Wu, atau juga dikenali sebagai Wu Chi-yun, yang diberi jolokan 'Pendaki Bikini' selepas dikenali suka berpakaian renang untuk mendaki, ditemui mati kesejukan ketika melakukan pendakian solo pada 11 Januari 2019 lalu di Taman Negara Yushan di Taiwan, sebelum ditemui oleh badan mencari dan menyelamat.

Pendaki Bikini

Pendaki berusia 36 tahun itu membuat panggilan kecemasan kepada seorang rakan menggunakan telefon satelit miliknya pada 19 Januari dan memberitahu dia terjatuh dan tersadung ke dalam gaung sedalam 20 meter.

Menurutnya, dia terperangkap di bawah dan tidak dapat bergerak akibat kecederaan yang dialaminya selepas terjatuh.

Perbadanan Perkhidmatan Pengangkutan Udara kepulauan itu memberitahu, mereka cuba menggunakan helikopter ke lokasi kejadian, tetapi operasi terpaksa ditangguhkan kerana cuaca buruk.

Mereka kemudian menghantar dua pasukan untuk mencari dan menyelamat dan mayat Wu ditemui di lokasi kejadian 28 jam kemudian.

Malangnya.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar

Benarkah Fenomena 'Super Blood Wolf Moon' Tanda-tanda Awal Kiamat?

Benarkah Fenomena 'Super Blood Wolf Moon' Tanda-tanda Awal Kiamat?

Ahli teori konspirasi mengatakan bahawa fenomena 'super blood wolf moon' yang jarang berlaku boleh menjadi titik mula pengakhiran dunia kerana kejadian langit yang jarang berlaku itu (tidak akan berlaku selama 18 tahun lagi) akan menyaksikan bulan berubah kepada warna merah pada awal pagi Isnin.

Super Blood Wolf Moon

Terdapat pihak mendakwa bahawa fenomena itu boleh menjadi tanda-tanda awal kiamat.

Pengkhutbah Evangelis, Paul Begley dari West Lafayette, Indiana di Amerika Syarikat memberitahu Express terdapat kemungkinan bahawa dunia akan berakhir pada 22 Januari.

Paul berkata, "Jelas sekali tanda-tanda malapetaka di langit ini menunjukkan peristiwa bencana yang berada di cakerawala.

"Kita tak tahu bila, hanya kerana anda akan menyaksikan 'Super Blood Moon' pada 20 dan 21 Januari, ia tidak bermakna 22 Januari akan aman tenteram.

Gerhana bulan bermula sejurus 2.30 pagi GMT (10.30 pagi Malaysia), tetapi masa terbaik untuk melihatnya adalah sekitar pukul 5:15 pagi GMT (1.15 tengah hari Malaysia) kerana bulan akan bertukar kepada warna merah gelap ketika melewati bayang-bayang bumi.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar

Bendera Malaysia Berkibar Di Kota Gaza

Bendera Malaysia Berkibar Di Kota Gaza

Selepas Malaysia tidak membenarkan atlet Israel memasuki negara ini, bendera Malaysia dilihat berkibar di Gaza sebagai tanda penghargaan oleh rakyat Palestin. Peminat bola sepak Palestin meraikan pendirian Malaysia dalam solidariti dengan mengibarkan bendera Malaysia di Stadium Yarmouk, salah satu stadium tertua di Kota Gaza, semasa perlawanan bola sepak pada Sabtu (19/1/2019).

Bendera Malaysia

Di sebelah bendera itu terdapat sepanduk dengan slogan menyokong Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan menteri lain kerana pendirian mereka terhadap Israel.

“Terima kasih Malaysia kerana berpendirian menentang normalisasi (hubungan) dengan apa yang dipanggil ‘Israel’,” tulis sepanduk itu.

Pada Ahad, peminat bola sepak terus meraikannya dengan memasang bendera Malaysia dan sepanduk yang sama di Stadium Palestin, tuan rumah pasukan bola sepak kebangsaan Palestin, yang dibom Israel pada 2006.

“Pemasangan (bendera dan sepanduk) di padang bola sepak merupakan tanda sokongan untuk Malaysia, untuk memperlihatkan bagaimana rakyat Palestin berbangga.

“Pendirian Malaysia diterima dengan baik oleh Palestin, terutama di Gaza,” kata Pengerusi Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM), Muslim Imran.

Beliau berkata rakyat Palestin cepat bertindak balas di media sosial di bawah hashtag #supportMalaysia dan solidariti dengan Malaysia tersebar luas di Facebook, Twitter dan Instagram.

Putrajaya sebelum ini mengumumkan ia akan melarang atlet Israel daripada bertanding dalam Kejohanan Renang Para Dunia 2019 yang akan berlangsung di Kuching, Sarawak, dari 29 Julai hingga 4 Ogos.

Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah kemudoan dilaporkan berkata Malaysia sangat meluat dengan kenyataan jurucakap Kementerian Luar Negeri Israel yang menuduh Malaysia tidak mempunyai semangat Olimpik dan melabel Dr Mahathir Mohamad anti-Yahudi.

Bercakap kepada Oxford Union Society di Britain pada Sabtu, Dr Mathathir mengulangi pendirian kerasnya terhadap Israel.

Jurucakap Kementerian Luar Negeri Israel, Emmanuel Nahshon mengecam larangan itu dan berkata keputusan itu diinspirasikan oleh sikap anti-Yahudi melampau Dr Mahathir.

Di Muar, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, Israel adalah hipokrit terbesar dalam kutukan terhadap Malaysia.

“Kenyataan Israel memaparkan sendiri sikap hipokrit mereka apabila menyatakan Malaysia mempolitikkan sukan, sedangkan mereka sendiri melakukan perbuatan sama apabila menyekat pasukan bola sepak Gaza untuk memasuki tebing barat ketika perlawanan akhir piala dunia Palestin, bukankan itu politik terhadap sukan?” katanya menerusi Instagram.

“Adakah Israel lupa bagaimana mereka sendiri meletakkan tekanan terhadap Persatuan Bola Jaring Amerika Syarikat NBA dengan memaksa untuk mengecualikan Palestin dari senarai perlawanan ketika 2018?” soalnya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: fmt

'Foward' Mesej WhatsApp Dihadkan Kepada 5 Individu

'Foward' Mesej WhatsApp Dihadkan Kepada 5 Individu

Pengguna aplikasi WhatsApp kini hanya boleh ‘forward’ mesej kepada lima individu sahaja, berkuat kuasa di seluruh dunia berkuat-kuasa serta merta, kata Naib Presiden Dasar dan Komunikasi WhatsApp, Victoria Grand.

Whatsapp Limited

Tambah beliau, “Ia bagi mengelak maklumat salah dan khabar angin tersebar secara berleluasa.”

Sebelum ini, pengguna WhatsApp dibenarkan mengedar mesej kepada 20 individu ataupun satu ‘group’.

Had jumlah penerima mesej ‘forward’ itu pada asalnya bermula di India pada Julai tahun 2018 lepas apabila khabar angin yang disebar melalui WhatsApp telah menyebabkan beberapa kes pembunuhan.

10 suspek kes bunuh ditahan di India

Seramai 10 suspek ditahan kerana disyaki terbabit dalam pembunuhan seorang lelaki yang dituduh menculik seorang kanak-kanak, iaitu satu kes dikaitkan dengan khabar angin menerusi WhatsApp.

Lebih 20 individu maut dalam serangan seumpamanya di seluruh India dalam tempoh tiga bulan, hingga memaksa pihak berkuasa, selain pemilik aplikasi WhatsApp, iaitu Facebook mencari jalan penyelesaian segera bagi menangani kejadian itu.

Polis berkata, mangsa terbaru dibunuh pada 28 Julai 2018 lalu, tetapi mayatnya yang sudah reput hanya ditemui penduduk kampung seminggu selepas itu.

Penyerang mencampak mayat mangsa ke dalam perigi, sebelum melarikan diri, kata ketua polis Dindori, K Kartikeyan kepada AFP.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani