Monday, October 15, 2018

27 Tahun Gali Kolam Tadahan Hujan, Dulu Dianggap 'Gila' Kini Jadi Wira

27 Tahun Gali Kolam Tadahan Hujan, Dulu Dianggap 'Gila' Kini Jadi Wira

Kampung Saja Pahad adalah satu komuniti terpencil di negeri Chhattisgarh yang mengalami masalah kekurangan sumber air sejak sekian lama.

27 Tahun Gali Kolam Tadahan Hujan

Memiliki hanya dua perigi, penduduk tidak mempunyai bekalan air yang mencukupi untuk ternakan mereka apatah lagi untuk mengairi tanaman.

Penduduk tidak tahu apa patut dilakukan dan kerajaan pula mengabaikan rayuan mereka tetapi seorang remaja ‘gila’ menangani masalah itu seorang diri.

Shyam Lal baru berusia 15 tahun apabila dia mengambil keputusan untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

Dia mencari satu kawasan sesuai berhampiran hutan dan mula menggali kolam bagi menjadi lokasi tadahan air untuk digunakan seluruh kampung.

Pada mulanya, penduduk kampung mentertawakan usaha anak muda itu dan mereka menganggap tindakan Lal sebagai gila.

Selepas 27 tahun, Lal yang kini berusia 42 tahun dianggap sebagai wira oleh penduduk kampungnya.

Lubang kecil yang digali Lal menggunakan alat tradisional itu kini berkeluasan 0.4 hektar dan sedalam lima meter yang penuh dengan air, cukup untuk digunakan penduduk kampungnya.

“Tiada siapa yang membantu saya, sama ada kerajaan atau penduduk kampung,” kata Lal kepada Hindustan Times.

Kisah Lal menjadi inspirasi selepas tular di Internet sehingga kerajaan menghargai sumbangannya dan menghadiahkan wang tunai.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: hmetro

Tsunami Palu Setinggi Pokok Kelapa 'Terbelah' Ketika Membadai Masjid!

Tsunami Palu Setinggi Pokok Kelapa 'Terbelah' Ketika Membadai Masjid!

Sebuah masjid di pinggir Palu masih berdiri kukuh ketika bencana besar yang melanda pada 28 September 2018 lalu, selepas saksi melaporkan air tsunami ‘melompat’ dan 'terbelah' ketika melepasi kubahnya.

Masjid Tsunami Palu

Saksi, Muhammad Alif Firmanyah, 18, berkata, ketika gempa 7.5 magnitud dan tsunami yang menyusul, dia serta anggota jemaah Masjid Jami Pantoloan bersiap untuk solat maghrib, malah azan sedang dilaungkan, lapor Tribun News dan dilaporkan cuma 50 meter dari pantai.

“Ketika itu saya sedang mengambil wuduk. Apabila gempa berlaku semua orang bertempiaran berlari keluar kerana bimbang ditimpa bangunan.

Bagaimanapun, bilal tetap meneruskan azan sehingga selesai sebelum menyelamatkan diri.

“Semua yang berlari jatuh kerana tanah bergegar dan dalam panik mereka terus berdoa serta berzikir.

"Ketika tsunami melanda, air langsung tidak membadai masjid kami sebaliknya, gelombang air setinggi pokok kelapa itu ‘melompat’ masjid dan terbelah apabila melepasi kubahnya,” katanya.

Sementara itu, Jawa Pos memetik saksi lain, Ismail, 49, berkata, air cuma memasuki masjid dari bahagian belakang selepas tsunami berlalu.

“Namun airnya tidak dalam, cuma sekitar paras lutut. Memang tidak logik.

"Namun, saya percaya ini adalah kuasa Allah kerana masjid ini memang digunakan setiap hari untuk solat berjemaah serta mengaji,” katanya.

RITUAL BALIA

Tsunami Palu Setinggi Pokok Kelapa 'Terbelah' Ketika Membadai Masjid!

Sementara itu, upacara ritual Balia (tolak bala) yang ditampilkan dalam Festival Palu Nomoni didakwa antara punca turunnya bencana dahsyat di kawasan berkenaan.

Menurut penduduk tempatan Dahlan Bali, 30, ritual yang dilakukan sejak tiga tahun itu dilakukan secara besar-besaran sebelum 'bencana menjemput'.

"Sebelum kejadian gempa dan tsunami, masyarakat di sana meraikan dan menjalankan acara balia iaitu satu upacara menolak bala yang dilakukan di pantai.

"Acara balia ini iaitu 'memberi makan' kepada penjaga laut...mereka menyediakan haiwan sembelihan seperti kerbau atau lembu serta memberi sajian buah-buahan serta pulut kuning," katanya.

Jelasnya, upacara ritual ini sebelum ini pernah diharamkan oleh seorang ulama sejak 1930-an dahulu, namun dihidupkan semula sejak tiga tahun lalu.

"Mula-mula dihidupkan acara itu sudah berlaku sedikit bencana, masuk tahun kedua bencana makin besar dan menjelang tahun ketiga iaitu tahun ini paling besar dan dahsyat," katanya.

Difahamkan ritual ini dihidupkan semula oleh pemerintah Sulawesi bagi menggalakan semula sektor pelancongan dan menjadikan ia sebagai satu objek wisata di Palu.

Memetik laporan media tempatan, Wali Kota Palu, Sulawesi Tengah, Hidayat berkata ritual Balia yang diadakan dalam Festival Palu Nomoni merupakan upacara adat. Tegasnya, tiada sedikit pun ada unsur pemujaan syaitan.

Beliau turut membidas dakwaan sesetengah pihak kepadanya yang mendakwa bahawa keterlibatan beliau dalam festival itu telah 'mengundang' bencana gempa dan tsunami di kota Palu.

Mengulas lanjut perkara ini, Dahlan melahirkan rasa sedih dek kerana antara mereka yang melakukan ritual ini adalah orang Islam.

"Ini upacara tradisional yang mengandungi amalan syirik, sedih sekali," katanya.

Justeru itu katanya, ketika ini bagi membetulkan 'apa yang salah' di sana, golongan agamawan turun bagi memperbetulkan akidah mereka.

"Kini golongan pendakwah ramai yang turun dan mereka giat menyebarkan ajaran Islam yang sebenar.

"Dan ada antara mereka juga yang tinggal di sana untuk sentiasa mengajak masyarakat di sana kembali ke jalan sebenar, dan ada antara mereka yang tiap kali masuk waktu solat sahaja mereka akan panggil masyarakat untuk solat berjemaah," katanya.

Dalam pada itu mengimbas kembali kejadian bencana dahsyat itu, Dahlan berkata, sebelum kejadian ada juga segelintir masyarakat yang mengadakan pesta.

"Mungkin ini petunjuk daripada ALLAH, ada hikmah apa yang berlaku," katanya.

Padang jarak padang tekukur
Padang jarak padang tekukur.

Dalam pada itu ketika berkongsi mengenai keadaan pasca bencana, Dahlan berkata keadaan disana boleh dikatakan berada dalam keadaan 'padang jarak padang terkukur'.

"Cuma sekarang sudah sedikit beransur pulih," katanya.

Kota Palu yang digegarkan dengan gempa berukuran 7.5 pada skala Richter dan tsunami yang melanda bandar iu, pada 28 September lalu telah mengakibatkan ribuan nyawa terkorban.

Difahamkan di sebahagian Kota Palu memperlihatkan kesukaran hidup yang dihadapi penghuninya selepas kejadian berkenaan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: hmetro | sinarharian

Tarik Perhatian UFO Dengan Lampu Suluh!

Tarik Perhatian UFO Dengan Lampu Suluh!

Jika kebetulan anda ternampak UFO tetapi kedudukannya jauh dari lokasi, bagaimana cara hendak menarik perhatiannya supaya menghampiri kedudukan anda?

UFO light
Gambar hiasan.

Terdapat beberapa insiden dimana saksi menggunakan lampu suluh untuk menarik perhatian UFO dan kebanyakannya berjaya!

UFO biasanya akan membalas isyarat cahaya yang dipancarkan dengan mengelipkan cahaya daripada badan UFO. Ini menunjukkan bahawa UFO melihat atau peka dengan cahaya yang ditujukan kearah mereka.

Ada juga kejadian UFO memasang lampu limpah (spotlight) untuk menyuluh sumber cahaya yang datang daripada saksi.

Dan ada juga berlaku dimana UFO mengubah haluannya dan menuju ke arah sumber cahaya yang menarik perhatiannya. Bila keadaan ini berlaku, biasanya saksi akan segera melarikan diri.

Saksi Penampakan UFO

Pada 7 April 2012, seorang saksi di New York telah melihat satu cahaya terang berwarna putih sebuah objek terbang tanpa sebarang bunyi.

Saksi ini kemudiannya menghalakan lampu LEDnya ke arah cahaya tersebut lalu mengelipkan lampunya.

Tiba-tiba, objek tersebut memberi tindak balas mengelipkan cahayanya dan mengubah haluan ke arah saksi.

Pada 3 Julai 2016 di New Mexico, seorang saksi yang ternampak UFO di udara telah menggunakan lampu LED ke arah objek tersebut untuk melihat reaksinya.

Dia terkejut apabila kerlipan dari lampunya mendapat tindak balas. Dia kemudian mencuba lagi dengan mengelipkan lampunya sebanyak empat kali, berhenti seketika dan kemudian kelip sekali lagi.

UFO tersebut membalas isyaratnya dengan mengelipkan cahaya sebanyak empat kali, berhenti seketika dan kemudian kelip sekali.

Saksi yang tidak percaya mendapat tindak balas dari UFO kemudian mencuba lagi dengan dua kelipan. Isyarat balas yang diterima dari UFO juga dua kali kerlipan cahaya.

Pada 25 April 2014 di Kanada, dua orang sahabat yang sedang memandu di sebatang jalan melihat sebuah UFO sedang menyuluh seperti spotlight ke tanah seakan sedang mencari atau melihat sesuatu.

Mereka memberhentikan kenderaan dan mengambil gambar UFO tersebut. Malangnya, sinaran lampu flash kamera telah menarik perhatian UFO itu.

UFO tersebut tiba-tiba mengeluarkan bunyi bernada tinggi selama 7 saat, menakutkan saksi yang segera meninggalkan kawasan tersebut. Saksi itu bernasib baik kerana tidak diekori UFO tadi.

Bagaimana untuk memulakan hubungan dengan UFO?

Pertama sekali, kita perlu berada di dalam zon panas UFO atau lokasi dimana UFO sering muncul.

Di Semenanjung, zon Pulau Pinang dan Lembah Klang adalah tempat yang paling sesuai.

Kalau di Sabah, sekitar bandaraya Kota Kinabalu manakala di Sarawak pula, antara sempadan Brunei, Miri hingga ke Kuching.

Jika kita berada di luar zon panas, peluang untuk melihat UFO adalah amat tipis.

Jika anda ternampak cahaya yang mencurigakan, cuba suluh lampu picit ke arahnya. Jika tiada apa-apa yang berlaku, anda mungkin telah menyuluh bintang kejora atau pesawat komersial yang terbang tinggi.

Jika ia membalas kerlipan cahaya anda, sah, ia adalah sebuah UFO!

Apa akan berlaku jika UFO tertarik?

Jika anda sudah menarik perhatian UFO, bersedialah dengan kemungkinan yang bakal terjadi.

Anda mungkin akan diculik selama beberapa jam, mungkin akan menjadi pengalaman ngeri, menarik dan sebagainya.

Jika UFO itu dalam misi pengawasan atau kajian saintifik yang berbentuk biologi, anda mungkin tidak akan diapa-apakan.

Jika mereka dalam usaha mendapatkan spesimen haiwan dan manusia, perbuatan anda menarik perhatian UFO ibarat menyerah diri secara sukarela.

Namun, jika anda diculik kemungkinan besar anda akan dilepaskan sebaik sahaja kajian mereka tamat.

Pengalaman anda diculik akan dipadamkan daripada memori, jadi anda tidak akan sedar telah diculik sebelum itu.

Tetapi, bagaimana jika anda dibawa ke planet mereka dan tidak lagi kembali ke Bumi? Entah. Tiada siapa pernah tahu.

Bagaimana mengetahui anda diculik UFO?

Jika anda peka tentang waktu anda melihat UFO dan kemudian ia menghilangkan diri, anda akan sedar waktu yang hilang daripada ingatan anda. Biasanya antara 30 minit sehingga 2 jam.

Jika anda tidak dapat menjelaskan ke mana perginya waktu yang hilang itu, ia adalah masa anda berada di dalam UFO!

Apa yang perlu dilakukan jika melihat UFO?

Jika anda melihat UFO, adakah berbaloi menghantar isyarat cahaya lampu suluh ke arah UFO untuk menarik perhatian mereka?

Jalan paling selamat tentulah dengan menjadi pemerhati dan bukannya diperhatikan!

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Sunday, October 14, 2018

Untung Lumayan Tanam Pokok Sengon (Kayu Balak), Bernilai Tinggi Dan Cepat Membesar!

Untung Lumayan Tanam Pokok Sengon (Kayu Balak), Bernilai Tinggi Dan Cepat Membesar!

Di Malaysia tak ramai orang mengenali pokok Sengon (Paraserianthes falcataria) atau nama lainnya Albazia, Puak, Kayu Mancis, Batai dan Jeungjin yang digunakan untuk menghasilkan kayu bagi industri perkayuan dan perabot.

Untung Lumayan Tanam Pokok Sengon (Kayu Balak)

Ia berasal dari kepulauan sebelah timur Indonesia iaitu Maluku dan Papua yang pada penghujung abad yang lepas, spesis ini mula menyebar ke seluruh Asia Tenggara.

Ciri utama yang membezakan pokok Sengon dengan pokok-pokok kayu balak yang lain ialah kadar pertumbuhan yang cepat.

Pokok ni boleh ditebang pada usia 4-6 tahun dan oleh kerana balak adalah satu produk komoditi, harganya agak stabil dan kompetetif. Pokok Sengon juga mudah ditanam dan memerlukan penjagaan yang minimum.

Gabungan ciri-ciri tersebut seakan-akan menjadikannya lebih menguntungkan daripada getah dan kelapa sawit.

Pokok Sengon terkenal di Indonesia sebagai sejenis pokok balak yang paling banyak ditanam secara komersil. Ianya semakin terkenal semenjak kerajaan Indonesia melancarkan program “Sengonisasi” pada tahun 1989.

Kini terdapat beribu-ribu hektar tanah telah ditanam dengan pokok Sengon yang sebahagian besarnya diusahakan oleh organisasi besar seperti HTI dan Perum Perhutani. Keluasan tanah yang terlibat juga meningkat dari tahun ke tahun.

Ciri-ciri Pokok Sengon

Pokok Sengon mempunyai batang yang lurus, tidak berbanir, kulit berwarna kelabu putih, licin, tidak mengelupas dan tiada cabang sehingga mencapai ketinggian 20 meter.

Pokok ini berbunga sepanjang tahun dan buah Sengon yang dihasilkan mempunyai panjang sekitar 6-12 cm. Setiap buah mempunyai biji diantara 15-30 biji.

Habitat Sengon

Sengon termasuk kategori tumbuhan yang cepat membesar iaitu pada kadar 8 meter setahun, merupakan tumbuhan tropika dan memerlukan suhu sekitar 20-33 darjah selsius.

Ianya sesuai dengan iklim monson dan lembab dengan jumlah hujan diantara 200-2700 mm/tahun dan ssesuai dengan keadaan tanah lempung berpasir dan mempunyai pengairan sederhana.

Kegunaan Sengon

Kayu Sengon mengandungi peratusan selulosa yang tinggi dan ini menjadikannya sesuai digunakan dalam industri kayu dan kertas.

Dengan nilai semasa di antara RM150 – RM1200 per kubik meter, kayu Sengon banyak diusahakan secara komersial untuk memenuhi permintaan industri perabot, pensil, papan dan kertas.

Kaedah Penanaman

Anak pokok Sengon disediakan menggunakan biji benih dan terdapat beberapa spesifikasi jarak penanaman iaitu 4×4, 3×3, 2×3 atau 2×2.

Optimumnya ialah 3×3 yang mana kayu Sengon boleh membesar ke diameter 20 cm–40 cm pada tahun ke 5 atau 6. Saiz ini adalah bersesuaian dengan standard industri kayu lapis, pallet atau sawn timber.

Penggunaan baja-bio sepanjang tempoh penanaman boleh memastikan kadar pertumbuhan yang baik serta tahan penyakit.

Daun dan dahannya agak jarang dan membenarkan jumlah cahaya yang agak banyak ke tanah. Keadaan ini memungkinkan tanaman lain diselang-seli bersama pokok Sengon.

Penyakit

Daripada segi daya tahan penyakit, pokok Sengon adalah tumbuhan yang mempunyai daya tahan yang baik.

Walau bagaimana pun, ianya masih boleh terdedah kepada kerosakan jika menerima serangan serangga perosak dan penyakit secara berterusan.

Keadaan ini boleh mempengaruhi kadar pembesaran malah lebih teruk lagi membunuh pokok tersebut.

Penggunaan baja adalah salah satu alternatif dan ini telah pun dibuktikan dengan menggunakan baja-bio W20 (Bio-Q) pada anak-anak pokok yang diserang penyakit.

4 Jenis Pokok Sengon

1. Sengon Buto (Enterolobium cyclocarpum)

Jenis sengon yang pertama adalah Sengon Buto atau sengon merah, merupakan jenis sengon yang memiliki pertumbuhan sangat cepat berbanding jenis sengon lainnya.

Ciri ciri sengon buto iaitu memiliki tekstur yang lebih kasar pada bahagian kulitnya atau dikatakan agak bersisik dan berbeza dari jenis lainnya.

Warna kulit batangnya kemerah-merahan dan batangnya lebih besar berbanding pokok sengon jenis lain.

Ciri pohon Sengon Buto yang lain adalah kayunya yang mudah patah dan mungkin ini adalah kelemahan utama pokok Sengon Buto berbanding baka sengon yang lain.

2. Sengon Laut (Paraserianthes falcataria)

Jenis sengon yang kedua ini adalah sengon laut atau biasa disebut dengan nama-nama daerah yang berbeza-beza, seperti jeungjing laut, salawaku, salawaku merah dan lain-lain.

Ciri-ciri sengon laut adalah memiliki warna putih kecoklatan, hampir seperti daging pucat, tekstur agak kasar dan memiliki serat lurus.

Pada bahagian permukaan kayu sengon laut agak licin dan berkilap dan aromanya jika masih segar seperti bau petai.

3. Sengon Solomon

Jenis sengon yang seterusnya adalah Sengon Solomon yang banyak ditanam untuk dijadikan papan membuat rumah dan kegunaan dalam pembinaan bangunan dan memiliki ketinggian sehingga 40 meter.

4. Sengon Tekek

Jenis sengon seterusnya adalah Sengon Tekek kerana bentuk permukaan kulitnya yang mirip dengan kulit cicak tokek.

Sengon tekek merupakan jenis sengon yang banyak digunakan dalam pembuatan kertas dan papan plywood.

Nilai Pelaburan

Persoalan paling utama ialah, adakah Pokok Sengon mempunyai nilai pulangan yang tinggi?

Nilai kayu balak ditentukan oleh:
  • Jenis kayu.
  • Diameter kayu. Lebih besar diameter maka lebih tinggi nilainya.
  • Kualiti kayu.

Diameter kayu adalah satu-satunya faktor yang boleh dimanipulasi iaitu dengan menentukan umur pokok yang ditebang dan penggunaan baja.

Dengan menggunakan jarak penanaman optimum iaitu 3×3, satu hektar tanah boleh ditanam 1,100 pokok Sengon.

Pada tahun ke 6, diameter pokok Sengon boleh mencapai diantara 20-40cm dan sekiranya kita mengambil diameter 25cm dan nilai semasa pada RM200 per kubik meter sebagai asas pengiraan, maka 1 hektar boleh memberi lebih RM200 ribu dalam tempoh 6 tahun.

Ini hanyalah perkiraan kasar dan tidak boleh dijadikan asas untuk anda memulakan pelaburan kayu Sengon.

Nilai sebenar mungkin lebih rendah atau lebih tinggi, tetapi apa yang nyata ialah kayu Sengon mempunyai nilai semasa yang tinggi dan kos pengurusan rendah yang mempunyai potensi sangat besar dan lumayan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Apa Itu Perjanjian 20 Perkara Sabah?

Apa Itu Perjanjian 20 Perkara Sabah?

Perjanjian 20 Perkara atau Memorandum 20 Perkara ialah senarai 20 perkara yang dibuat oleh Borneo Utara, mengusulkan syarat-syarat untuk Borneo Utara bersama-sama dengan Persekutuan Tanah Melayu, Sarawak dan Singapura membentuk persekutuan Malaysia, pada 16 September 1963 sebagai negeri Sabah.

Apa Itu Perjanjian 20 Perkara Sabah?

Penerimaan perkara-perkara ini berbeza-beza, ada yang dimasukkan dalam Perlembagaan Malaysia dan ada yang cuma diterima secara lisan sahaja.

Perkara 20, Perjanjian Malaysia dan Perlembagaan Malaysia, adalah fakta dan sejarah, termaktub dan tertulis dengan jelas, sama ada sebagai dokumen memorandum politik atau perjanjian yang menggariskan soal hak-hak rakyat Sabah sebelum, semasa dan selepas bergabung membentuk Malaysia.

Dari sisi undang-undang, Perkara 20 sebagai memorandum perkara-perkara minima untuk perlindungan khas Sabah di dalam Perlembagaan bukanlah dokumen undang-undang yang boleh mengikat atau berkuasa. Ianya cuma relevan untuk menjadi bahan rujukan apabila Mahkamah tidak boleh menafsirkan Perlembagaan Malaysia ataupun Perjanjian Malaysia secara tepat.

Perjanjian 20 Perkara ini dan Perlembagaan Malaysia adalah dua ‘dokumen’ berasingan dan mempunyai matlamat serta justifikasi tersendiri, yang merupakan satu dokumen/memorandum yang sah dan ditulis dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) Bab 2 Perenggan 14, diwujudkan oleh pemimpin politik Negara Sabah pada ketika itu sebagai mewakili aspirasi rakyat Sabah semasa proses pembentukan Malaysia.

Perkara 20 merupakan memorandum yang dibentangkan oleh pakatan lima parti politik utama Sabah kepada Inter-Governmental Committee (IGC) yang telah ditubuhkan untuk mengenal pasti dan merangka draf Perlembagaan baru, untuk Persekutuan Malaysia yang baharu, dengan mengambil kira perlindungan dan kedudukan khas Sabah dan Sarawak.

Isi kandungan Perjanjian 20 Perkara
  • Perkara 1: Agama
  • Perkara 2: Bahasa
  • Perkara 3: Perlembagaan
  • Perkara 4: Ketua Persekutuan
  • Perkara 5: Nama Persekutuan
  • Perkara 6: Imigresen
  • Perkara 7: Hak Menarik Diri
  • Perkara 8: Borneonisasi
  • Perkara 9: Pegawai-pegawai British
  • Perkara 10: Kewarganegaraan
  • Perkara 11: Cukai dan kewangan
  • Perkara 12: Kedudukan khas bangsa asli/bumiputera Borneo Utara
  • Perkara 13: Kerajaan Negeri
  • Perkara 14: Jangkamasa Peralihan
  • Perkara 15: Pelajaran
  • Perkara 16: Perlindungan kepada Perlembagaan
  • Perkara 17: Perwakilan dalam Parlimen Persekutuan
  • Perkara 18: Nama Ketua Negeri
  • Perkara 19: Nama Negeri
  • Perkara 20: Tanah, hutan, kerajaan tempatan dan lain-lain

SENARAI PERKARA

Apa Itu Perjanjian 20 Perkara Sabah?

Berikut merupakan senarai perkara yang terkandung dalam perjanjian tersebut.

Perkara 1: Agama

Walaupun tiada bantahan terhadap agama Islam sebagai agama kebangsaan Malaysia akan tetapi agama rasmi sepatutnya tidak akan diadakan di Borneo Utara dan segala perundangan mengenai agama Islam yang terkandung di dalam Perlembagaan Malaya tidak harus digunakan di Borneo Utara.

Perkara 2: Bahasa
  • Bahasa Melayu harus dijadikan Bahasa Kebangsaan Persekutuan.
  • Penggunaan Bahasa Inggeris harus diteruskan untuk tempoh sepuluh tahun selepas Hari Malaysia.
  • Bahasa Inggeris harus digunakan sebagai bahasa rasmi Borneo Utara untuk semua tujuan berkaitan dengan negeri dan persekutuan, tanpa had masa.

Perkara 3: Perlembagaan

Walaupun Perlembagaan Persekutuan Malaya diterima sebagai asas untuk membentuk Perlembagaan Malaysia, akan tetapi Perlembagan Malaysia seharusnya dipersetujui oleh pergabungan negeri-negeri bebas dan sepatutnya bukan sesuatu susunan pindaan kepada sebuah perlembagaan yang telah digubal dan dipersetujui oleh negeri-negeri yang berasingan di dalam keadaan yang berlainan sekali. Sebuah perlembagaan baru untuk Borneo Utara sewajarnya amat diperlukan.

Perkara 4: Ketua Persekutuan

Ketua (Yang Di Pertua Negara) Borneo Utara tidak layak untuk dipilih sebagai Ketua Persekutuan.

Perkara 5: Nama Persekutuan

"Malaysia" bukan "Melayu Raya".

Perkara 6: Imigresen

Kawalan ke atas penghijrahan dari luar ke mana-mana tempat di Malaysia seharusnya terletak di bawah kuasa kerajaan Persekutuan tetapi kemasukan ke Borneo Utara sepatutnya juga memerlukan persetujuan Kerajaan Negeri.

Kerajaan Persekutuan tidak seharusnya berkuasa membatalkan kemasukan sesiapa pun ke dalam Borneo Utara jika ia berkaitan dengan urusan kerajaan negeri kecuali atas sebab-sebab keselamatan sahaja.

Borneo Utara seharusnya mempunyai kuasa yang tidak terhad ke atas pergerakan seseorang, kecuali mereka yang bertugas di bawah kerajaan Persekutuan daripada tempat-tempat lain Malaysia di Borneo Utara.

Perkara 7: Hak Menarik Diri

Hak untuk memisah atau menarik diri dari Persekutuan seharusnya tidak ada.

Perkara 8: Borneonisasi

Proses untuk melantik orang-orang tempatan ke dalam perkhidmatan awam negeri Borneo Utara seharusnya diwujudkan secepat mungkin.

Perkara 9: Pegawai-pegawai British

Segala usaha harus dibuat untuk menggalakkan pegawai-pegawai Birtish untuk meneruskan perkhidmatan mereka dalam perkhidmatan awam sehingga tempat mereka boleh diganti oleh orang-orang tempatan yang berkelayakan.

Perkara 10: Kewarganegaraan

Tertakluk kepada pindaan berikut, Perenggan 148(k) cadangan dalam Laporan Cobbold seharusnya menentukan hak kewarganegaraan penduduk Borneo Utara di dalam Persekutuan:
  • Perenggan kecil (I) seharusnya tidak mengandungi syarat mengenai penetapan selama 5 tahun.
  • Untuk diselaraskan dengan undang-undang kami, perenggan kecil (II) sepatutnya menyatakan "7 daripada 10 tahun" dan bukan "8 daripada 10 tahun".
  • Perenggan kecil (II) tidak sepatutnya mengandungi sekatan berkenaan dengan kewarganegaraan ibu bapa seseorang yang dilahirkan di Borneo Utara selepas Hari Malaysia semestinya menjadi warganegara persekutuan.

Perkara 11: Cukai dan kewangan

Borneo Utara seharusnya mempunyai kuasa ke atas kewangan, tabung pembangunan dan cukai sendiri.

Perkara 12: Kedudukan khas bangsa asli/bumiputera Borneo Utara

Pada prinsipnya bangsa asli Borneo Utara seharusnya menikmati hak keistimewaan seperti yang diberikan kepada bangsa Melayu di Malaya, tetapi formula yang dipraktikkan di Malaya tidak semestinya digunapakai oleh Borneo Utara.

Perkara 13: Kerajaan Negeri

Ketua Menteri harus dipilih oleh ahli-ahli tidak rasmi Majlis Perundangan. Borneo Utara seharusnya mempunyai suatu sistem kementerian yang sesuai.

Perkara 14: Jangkamasa Peralihan

Sepatutnya tujuh tahun dan dalam masa ini kuasa perundangan mesti diberikan kepada Kerajaan Borneo Utara mengikut perlembagaan dan tidak dipengaruhi oleh kerajaan persekutuan.

Perkara 15: Pelajaran

Sistem pelajaran Borneo Utara yang wujud sekarang harus diteruskan dan dengan itu ia harus diletakkan di bawah kawalan kerajaan negeri.

Perkara 16: Perlindungan kepada Perlembagaan

Tidak ada sebarang pindaan, perubahan atau pembatalan dapat dilakukan oleh Kerajaan Pusat kepada perlindungan-perlindungan yang diberikan khas kepada Borneo Utara tanpa persetujuan kerajaan Borneo Utara. Kuasa ini adalah hak mutlak penduduk negeri ini.

Perkara 17: Perwakilan dalam Parlimen Persekutuan

Ini sepatutnya bukan hanya bergantung kepada jumlah penduduk Borneo Utara tetapi juga kepada keluasan dan keupayaannya, dan dalam mana-mana perkara ia sepatutnya tidak kurang dari jumlah perwakilan dari Singapura.

Perkara 18: Nama Ketua Negeri

Yang di-Pertua Negeri Sabah.

Perkara 19: Nama Negeri Sabah.

Perkara 20: Tanah, hutan, kerajaan tempatan dan lain-lain

Perkara dalam Perlembagaan Persekutuan mengenai kuasa Majlis Tanah Persekutuan tidak harus melibatkan Borneo Utara.

Seperti itu juga, Majlis Kebangsaan Kerajaan Tempatan tidak harus melibatkan Borneo Utara.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: wikipedia

Awas Parcel Scam, Penipuan Kiriman Barang Dari Luar Negara!

Awas Parcel Scam, Penipuan Kiriman Barang Dari Luar Negara!

Orang awam diingatkan supaya tidak terpedaya dengan janji kiriman hadiah oleh sindiket ‘parcel scam’ atau penipuan kiriman bungkusan yang telah menyebabkan mangsa mengalami kerugian ratusan ribu ringgit, yang dipercayai didalangi sindiket warga asing.

Awas Parcel Scam

Walaupun telah diwar-warkan dan diberi peringatan oleh polis dan media massa, namun masih ada yang terpedaya dengan taktik berkenaan, yang mencari mangsa melalui pelbagai medium media sosial.

Mangsa kebanyakannya wanita, mengenali suspek daripada Facebook, Twitter atau mana-mana laman sosial lain dan kemudian mula menjalinkan persahabatan dengan mereka.

Modus operandi suspek masih sama, berkenalan di media sosial untuk tempoh tiga hingga empat bulan dan kemudian memberitahu mangsa, terdapat bungkusan dihantar untuk mereka, namun perlu memasukkan sejumlah wang ke satu nombor akaun untuk mendapatkan pelepasan Kastam KLIA.

Namun, apabila mangsa menyedari tidak wujud penghantaran barang tersebut, barulah mereka sedar sebenarnya telah ditipu dan membuat laporan polis.

MODUS OPERANDI

Mangsa dalam kes-kes penipuan bungkusan pada lazimnya akan berkenalan dengan suspek melalui laman sosial.

Suspek seterusnya akan meyakinkan mangsa bahawa dia telah jatuh cinta dengan mangsa dan seterusnya berhasrat mengirimkan bungkusan kepada mangsa sebagai tanda cinta.

Setelah bungkusan tersebut dikirim, mangsa akan dihubungi oleh seseorang yang mendakwa sebagai pegawai kastam atau syarikat perkhidmatan penghantaran dan memaklumkan bungkusan yang dikirim kepada mangsa telah sampai.

Mangsa kemudiannya diarahkan membayar cukai atau insuran kerana bungkusan tersebut dikesan mengandungi wang/barang berharga yang tidak diisytihar.

Mangsa turut menerima panggilan daripada warga tempatan yang mengatakan wang pelepasan perlu dibayar ke dalam akaun tertentu yang lazimnya dimiliki warga tempatan.

Mangsa hanya sedar ditipu apabila barang yang dijanjikan tidak diterima dan pihak sindiket berterusan meminta wang daripada mangsa dengan memberikan pelbagai alasan yang berbeza.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: sinarharian | ccid

Bagaimana Teknologi Surat Khabar Tercipta?

Bagaimana Teknologi Surat Khabar Tercipta?

Penyebaran maklumat melalui tulisan semakin meluas sewaktu peradaban Mesir, ketika masyarakatnya telah menemui teknik pembuatan kertas daripada serat tumbuhan.

Bagaimana Teknologi Surat Khabar Tercipta?

Pada abad ke 8, kerajaan China telah mempelopori percetakan dengan menggunakan blok kayu yang dipahat askara Cina dengan cetakan yang diberi nama 'Ti-Pao' bermaksud 'Khabar Dari Istana'.

Pada tahun 1351, pemerintah China, Quang Soo telah mengedarkan akhbar berkenaan secara teratur seminggu sekali dan pada pertengahan kurun ke 15, Johannes Guttenberg telah berjaya mencipta mesin cetak.

Akhbar cetakan pertama yang berbentuk seperti sekarang ini muncul pertama kalinya pada tahun 1457 di Nurenberg, Jerman.

Salah satu peristiwa besar yang pertama kali disiarkan ialah pengumuman ekspedisi Christopher Columbus ke benua Amerika pada tahun 1493.

Pelopor surat khabar sebagai media berita utama ialah 'Gazette' yang diterbitkan di Venesia, Itali, pada tahun 1536 yang mana pada ketika itu, Republik Venesia masih dalam krisis peperangan.

Pada peringkat awal penerbitan, ia ditulis tangan dan dijual pada harga yang murah sebelum akhbar ini mula dicetak.

Bagaimana Teknologi Surat Khabar Tercipta?
German Relation.

Surat khabar cetak pertama terbit secara teratur pula ialah 'Oxford Gazzete' di tanah Inggeris pada tahun 1665, sebelum akhbar ini kemudiannya ditukar nama menjadi 'London Gazzete'.

Ketika Henry Muddiman menjadi editornya, untuk pertama kali dia telah menggunakan istilah 'newspaper'.

Teknologi percetakan akhbar ini kemudian terus berkembang ke seluruh Eropah dan Amerika.

Pada abad ke 18, organisasi kewartawanan semakin berkembang apabila akhbar mula dijadikan sebagai salah satu perniagaan dan alat propoganda politik kerajaan dan golongan konglomerat.

Ketika itu jugalah pejabat-pejabat akhbar mula menyusun berita dan tugasan kewartawanan secara sistematik.

Antara pelopor sistem ini yang masih kekal sehingga sekarang ialah Associated Press (AS) dan Reuters.

Bagaimana Teknologi Surat Khabar Tercipta?

Dalam era itu juga munculnya istilah Yellow Journalism, sebuah istilah pertempuran 'Headline' antara dua akhbar utama di Kota New York. Satu dimiliki oleh Joseph Pulitzer dan satu lagi milik William Randolph Hearst.

Ciri khas Yellow Journalism ini ialah corak pemberitaannya yang padat, tepat, sensasi dan judul yang diketengahkan mestilah menarik perhatian umum.

Tujuannya hanya satu, meningkatkan jualan dan konsep itu terus tersebar ke serata dunia dan kekal sehingga sekarang.

Akhbar Pertama Di Malaysia

Bagaimana Teknologi Surat Khabar Tercipta?

Di Malaysia, akhbar pertama diterbitkan adalah di Pulau Pinang pada 1 Mac 1806 dengan nama 'The Government Gazette'.

Dalam tempoh 22 tahun, akhbar ini mempunyai beberapa nama tetapi ia lebih dikenali sebagai 'The Prince of Wales Island Gazette'.

Ia ditubuhkan oleh seorang pencetak dan penerbit dari Madras bernama Andrew Burchett Bone yang berhijrah ke Pulau Pinang.

Pada awal penerbitannya, akhbar mingguan itu disemak oleh Setiausaha Kerajaan Negeri yang boleh membuang apa-apa bahan yang dianggap tidak baik.

Di penghujung kurun ke 19, akhbar berbahasa Melayu, Jawa Peranakan pula muncul. Utusan Melayu pula diterbitkan pada tahun 1907 di Singapura.

Kemudian, pada tahun 1920, Warta Malaya telah diterbitkan dan merupakan berita pertama dalam Bahasa Melayu. Akhbar ini ditulis oleh Datuk Onn Jaafar.

Utusan Malaysia diterbitkan pada 29 Mei 1939 dan Berita Harian diterbitkan pada 1 Julai 1957 sebelum kemerdekaan Tanah Melayu.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Saturday, October 13, 2018

Saintis Iklim Beri Amaran Terakhir, 12 Tahun Tempoh Terakhir Pemanasan Global!

Saintis Iklim Beri Amaran Terakhir, 12 Tahun Tempoh Terakhir Pemanasan Global!

Para saintis kajian iklim memberi amaran terakhir bumi cuma ada masa sekitar 12 tahun lagi untuk mengekalkan pemanasan global pada tahap kenaikan suhu maksimum sebanyak 1.5 darjah Celsius daripada sebelum zaman perindustrian.

Saintis Iklim Beri Amaran Terakhir, 12 Tahun Tempoh Terakhir Pemanasan Global!

Kenaikan suhu planet lebih daripada 1.5°C atau pun lebih separuh darjah saja lagi akan memburukkan risiko bencana alam kemarau, banjir, gelombang haba, kekurangan makanan dan kemiskinan kepada ratusan juta manusia di seluruh dunia, terutamanya di kawasan rendah, delta, pesisir pantai dan pulau-pulau.

Ais yang mencair dari kutub Antartika, Artik dan Greenland pula mengalir ke laut dan menaikkan paras air laut berisiko menenggelamkan sebahagian besar penempatan manusia.

Laporan terbaharu 2018 Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah dilancarkan di Incheon, Korea Selatan dengan persetujuan 195 negara anggotanya.

Ia mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan, melibatkan penyertaan ribuan saintis, pakar dan ahli akademik.

Perlu perubahan mendadak

Laporan terbaru IPCC juga menegaskan perubahan mendadak dan pada kadar segera perlu dilakukan.

Semakin rendah pelepasan (gas rumah hijau seperti CO2) pada 2030, semakin kurang cabaran mengehadkan pemanasan global setakat 1.5 °C selepas tahun 2030.

Cabaran akibat menangguhkan tindakan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau termasuk risiko kenaikan kos, terbelenggu dalam infrastruktur yang mengeluarkan karbon, aset terkandas dan mengurangkan keanjalan dalam pilihan masa hadapan pada tempoh masa jangka sederhana hingga jangka panjang, kata IPCC pada bahagian Ringkasan kepada Penggubal Dasar sepanjang 33 halaman dalam laporan itu.

Cara dunia mengendalikan sistem tenaga, guna tanah, bandar dan industri memerlukan perubahan mendadak, saran laporan tersebut.

Untuk itu, IPCC mencadangkan beberapa langkah antaranya mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida (CO2) sebanyak 45 peratus menjelang 2030 dari tahap pada 2010; tenaga boleh diperbaharui dijangka menyediakan 85 peratus bekalan elektrik menjelang 2050; hampir tiada tenaga arang batu dan peralihan daripada bahan bakar petroleum menjelang 2050.

Kesan negatif pada kesihatan

Laporan berkenaan juga menggesa individu melakukan perubahan ke arah gaya hidup lestari hijau.

Antaranya, individu digalakkan memandu kereta elektrik, berjalan atau berbasikal bagi jarak dekat serta mengurangkan perjalanan udara bagi urusan perniagaan dan berkomunikasi melalui sidang video.

Bagaimanapun, IPCC mengambil maklum faktor yang boleh menyekat perubahan mendadak yang diperlukan ini.

Kekangan ekonomi, institusi dan sosio budaya mungkin akan menjadi faktor menghambat peralihan sistem bandar dan infrastruktur, bergantung kepada keadaan negara, faktor setempat dan serantau, keupayaan dan kemampuan modal.

IPCC turut berkata, sebarang kenaikan suhu pemanasan global akan memberi kesan negatif terhadap kesihatan manusia.

Risiko dari beberapa penyakit bawaan vektor, seperti malaria dan demam denggi, dijangka meningkat dengan pemanasan dari 1.5°C ke 2°C.

Sejumlah 32,435 kes demam denggi dilaporkan berlaku di seluruh negara sejak Januari hingga 30 Jun tahun 2018 ini, berbanding tahun lalu, berlaku penurunan sebanyak 34.8 peratus atau 17,291 kes daripada 49,726 kes. Daripada 110 kematian pada 2017 kepada 53 kematian pada tempoh yang sama tahun ini.

Majalah berpengaruh kaum pemodal dunia, The Economist edisi penghujung September 2018 lalu pula menerbitkan laporan dengan judul Storms in America and the Pacific are evidence of climate change.

The Economist menyorot kemusnahan akibat taufan Florence pada 14 September dan kurang 12 jam kemudian taufan Mangkhut yang membadai Filipina, seterusnya Hong Kong dan selatan China mengaitkannya dengan peningkatan gas Co2 yang mengubah iklim dan memanaskan samudera.

Perkaitan dengan perubahan iklim berpunca daripada penimbunan gas rumah hijau di atmosfera yang dilepaskan oleh pembakaran bahan bakar fosil dan pemusnahan hutan.

Ia meciptakan ketidakseimbangan aliran tenaga yang keluar dan masuk ke planet ini, meningkatkan suhu. Sekitar 90 peratus tambahan tenaga ini terkumpul di dalam lautan. Samudera yang bertambah panas bermaksud ribut yang lebih ganas dan berpanjangan.

Bagaimanapun, The Economist mendapati maklum balas kecemasan kerajaan semakin bertambah baik dalam menghadapi bencana alam ini.

Taufan Haiyan, badai tropika paling kuat yang direkodkan pada 2013, berdasarkan perangkaan rasmi mengorbankan 6,300 nyawa, manakala 1,064 lagi hilang.

Secara perbandingan, cara kerajaan mengendalikan taufan Mangkhut (yang lebih besar daripada Haiyan) lebih berjaya.

Menjelang 19 September (2018) angka kematian mencecah 81 orang dan 70 lagi masih hilang, petik laporan itu lagi.

Dahulu, Sarawak sering dikritik memusnahkan hutan tropika paling tua di dunia melalui kegiatan pembalakan, pembinaan empangan mega dan pembukaan tanah pertanian.

Namun, pasca PRU ke-14 lalu, Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg mengumumkan tidak ada lagi lesen baru dikeluarkan untuk pembalakan dan pembukaan tanah hutan bagi penanaman kelapa sawit. Suatu polisi yang dapat mengurangkan kesan perubahan iklim dan patut dicontohi di seluruh negara.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Teknologi Bioremediasi Bersihkan Tumpahan Minyak

Teknologi Bioremediasi Bersihkan Tumpahan Minyak

Penyelidikan yang dilakukan kumpulan penyelidik di Makmal Penyelidikan Kesihatan Alam Sekitar di Fakulti Pengajian Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia, merupakan satu kaedah baharu dalam bidang bioremediasi di Malaysia apabila menggunakan sumber daripada bahan semula jadi iaitu bakteria daripada bebola tar yang tidak merosakkan alam sekitar, mampu mengatasi masalah pencemaran minyak di kawasan marin.

Teknologi Bioremediasi Bersihkan Tumpahan Minyak

Ia merupakan bebola tar yang dikutip daripada kawasan pantai timur di Pantai Rhu Sepuluh, Terengganu, terhasil daripada hidrokarbon yang wujud di dalam lapisan minyak. Gabungan hidrokarbon tersebut kemudian membentuk menjadi bebola tar berwarna hitam dan lazimnya ditemui di pesisiran pantai.

Bakteria ini dipencilkan daripada bebola tar yang dikutip di kawasan-kawasan pantai yang telah melalui proses disentrigasi apabila terapung di atas permukaan air laut dalam jangka masa yang panjang.

Kewujudan bakteria ini mampu membersihkan tumpahan minyak di laut dan seterusnya mengurangkan ancaman hidupan laut daripada masalah kepupusan.

Penyelidikan yang dilakukan itu merupakan satu kaedah baharu dalam bidang bioremediasi di Malaysia untuk membersihkan sebarang pencemaran atau tumpahan minyak.

Tumpahan minyak

Lebih menarik, tiada penyelidikan lain yang menyeluruh mengenai rawatan pencemaran minyak secara kaedah biologi yang menggunakan mikroorganisma sebagai agen pengurai.

Sebenarnya, selain kaedah pembersihan menggunakan proses bioremediasi ini, pelbagai kaedah lain telah diwujudkan untuk mengatasi pencemaran marin.

Sebagai contoh di negara-negara luar, mereka mengadakan pembakaran terkawal dan juga penyedutan minyak menggunakan peralatan canggih di kawasan-kawasan marin yang tercemar.

Pencemaran marin selalunya berpunca daripada tumpahan minyak dari pelabuhan dan galian minyak di lautan.

Selain itu, pelepasan sisa air yang mengandungi minyak dari terestial seperti sistem rawatan kumbahan juga menyebabkan hidupan marin terancam.

Justeru, teknologi bioremediasi ini sangat berpotensi dan berkesan untuk merawat air serta tanah yang tercemar dengan minyak yang mengandungi hidrokarbon tanpa memusnahkan persekitaran meskipun mengambil masa.

Kewujudan hidrokarbon petroleum boleh mencemarkan air laut dan ekosistem kawasan marin apabila ia memasuki persekitaran itu.

Hidrokarbon yang terkandung dalam minyak adalah toksik kepada hidupan marin. Ia akan membentuk satu lapisan minyak di atas permukaan air yang boleh mengganggu ekosistem hidupan di kawasan marin.

Situasi tersebut akan menyebabkan kemusnahan alga, rumpai air dan fitoplanton sebagai pengeluar serta sumber makanan dalam rantai makanan marin dan sungai malah, ia akan menghalang cahaya masuk ke dalam air untuk tumbuhan menjalankan proses fotosintesis.

Mesra alam

Teknologi Bioremediasi Bersihkan Tumpahan Minyak

Justeru, melalui proses degradasi (penguraian) minyak oleh bakteria, ia menjadi satu alternatif baharu yang mesra alam dan kos efektif untuk membersihkan perairan tercemar dan berskala besar seperti laut.

Hasil daripada penyelidikan yang dilakukan, Cellulosimicrobium cellulans ini boleh dibuat dalam bentuk serbuk atau cecair yang bermedia, kemudian disemburkan di kawasan persekitaran yang tercemar.

Bakteria tersebut kemudian akan melalui proses pertumbuhan secara semula jadi dengan menggunakan minyak sebagai sumber makanan iaitu sumber karbon dan seterusnya mengurai minyak dengan optimum.

Menariknya mengenai bakteria ini ialah ia mampu menguraikan antara 10 hingga 95.4 peratus minyak yang terdapat di dalam air.

Lazimnya, penguraian minyak oleh Cellulosimicrobium cellulans boleh diuraikan dalam tempoh 10 hari pada pH awal iaitu 7.5 dan suhu 32 darjah Celsius.

Biarpun begitu, parameter persekitaran seperti pH dan suhu perlu dikawal semasa aktiviti ini berjalan bagi membolehkan kadar degradasi maksimum berlaku walaupun ia bergantung kepada kadar kemasinan air laut tersebut.

Rawatan secara bioremediasi ini bersifat mesra alam dan kos yang rendah untuk membersihkan pencemaran minyak serta menukarnya kepada gas karbon dioksida dan air yang tiada toksik.

Aplikasi kaedah ini dapat mengawal pencemaran di kawasan berair iaitu sungai dan kawasan marin secara berkesan justeru, hidupan akuatik dapat ditingkatkan dan ekosistem seimbang wujud di kawasan tersebut dengan kehadiran rantai makanan yang teratur.

Biarpun kaedah ini selamat dan tidak mendatangkan kesan sampingan kepada hidupan marin, namun penggunaan bakteria untuk mengurai tumpahan minyak di kawasan pantai sangat kurang digunakan di Malaysia.

Dalam pada itu, eksperimen untuk menguji ketahanan Cellulosimicrobium cellulans dan seterusnya membolehkan kaedah ini dipraktikkan di persekitaran semula jadi yang tercemar dengan faktor persekitaran pelbagai.

Proses untuk mendegradasi bakteria ini pada skala yang besar di persekitaran bukanlah satu perkara yang mudah kerana faktor persekitaran yang sukar diduga.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: kosmo